Monday, January 17, 2011

Jawapan Kepada Penanya Untuk Posting 5/1/2011


Terima kasih Saudara Shahrizal kerana memberikan rujukan kepada penanya. Tapi kerana perkara ini agak penting, biarlah saya tambah sedikit untuk difikirkan bersama.

[Politik] MIC baru saja mendapat Presiden baru, dan Tim. Menteri yang buat komen itu pun baru masuk MIC; oleh itu biasalah dalam politik orang “baru” mahu tonjolkan kewujudan mereka dalam parti. Dalam hal ini, pada umumnya UMNO bersetuju dengan MIC. UMNO mahu undi India di Tenang dan dalam PRU 13, jadi kontroversi ini diharap boleh mengubah sokongan India kepada BN/MIC; tetapi UMNO juga berhati-hati supaya Melayu tidak marah, oleh itu dicadangkan rundingan untuk mencari jalan “keluar” (kononnya). Novel ini akan tetap digunakan, tetapi dengan sedikit perubahan. Kalau penulisnya dan orang Melayu cerdik, mereka akan terima prubahan itu dengan hati terbuka. Yang penting, teks asal tidak berubah. Yang berubah teks sekolah. Ini terjadi di mana-mana, tak ada masalah. Sesiapa pun tidak dikorbankan. Kalau pengulas/guru cerdik, mereka akan sebut kontroversi itu dalam buku panduan untuk diketahui murid-murid, kerana mereka harus tahu apa yang berlaku. Jadi soal politik selesai.
[Sejarah]  Orang kata, novel ini mengenai sejarah. Sebenarnya tidak. Novel ini hanya bercerita untuk propaganda yang bersesuaian dengan tujuan Peraduan Menulis Novel 10 Tahun Merdeka. Sejarah lain sama sekali. Kita kena ingat, imigran dibawa British untuk tujuan ekonomi dan politik pecah-perintah mereka. Melayu bagusnya tidak mahu jadi kuli British, tapi mahu jadi jongos British dalam pejabat dan kerja-kerja yang lebih glamor daripada jadi kuli. Bila jadi perang dunia, India  dan China Malaysia sokong British, termasuk Komunis pada mulanya. Cheng Ping dapat bintang kerana itu. Bila Inggeris masuk ke Tanah Melayu semula, mereka marahkan Melayu kerana menyokong Jepun.  Sebenarnya British mahu berikan “kemerdekaan” kepada India dan China yang menyokong mereka. Pejuang kemerdekaan, yang mengambil alih daripada pelopornya para ulama, tapi masih terdapat pengaruh ulama (paling jelas Dr. Burhanuddin) sokong Jepun dengan harapan akan diberi kemerdekaan (mana ada kolonialis beri begitu saja). Pejuang ini golongan kiri, terpengaruh dengan nasionalisme Indonesia yang kiri. Amerika dan sekutunya yang menang perang sudah bangkrap, jadi Amerika tekan British supaya merdekakan jajahan mereka. Apa nak buat? Melayu tidak boleh diberi muka, mesti diajar. Raja2 Melayu ditekan supaya bersetuju dengan projek Malayan Union. Raja2 tak beritahu pun pembesar mereka sendiri, apatah lagi rakyat, terus tandatangan.  Adakah ini satu pengkhianatan kepada rakyat?  Tiada ahli sejarah yang berani berkata begitu.  Pembesar Melayu  kehilangan pengaruh dan kuasa. Merekalah yang “berontak” setelah raja2 diugut akan hilang kuasa terus. British pada dasarnya gembira dengan perkembangan ini, lalu menyokong “pemberontakan” pembesar Melayu. Mengapa? Yang sokong Malayan Union ialah pejuang kiri, yang ingin mereka (British) tolak dan hapuskan. Oleh itu bila UMNO diwujudkan, British sokong tunjuk perasaan menentang Malayan Union (boleh lihat dalam buku2 sejarah buktinya). Bila diadakan rundingan, India dan China dengan sokongan dan gesaan British mendesak banyak perkara untuk diserahkan oleh Melayu. Paling besar kerakyataan. Bila “merdeka”, semua imigran secara automatik jadi rakyat. Bagus bukan? Sebab itu hingga  sekarang China dan India tak boleh cakap Melayu dengan fasih, malah ada MP sekarang yang tak tahu bahasa Melayu! Tapi tak jadi masalah, kerana Melayu sendiri tak boleh berbicara dalam bahasa Melayu yang fasih.  Orang selalu sebut ada kontrak sosial. Tidak ada kontrak sosial, jadi amat hairan bila UMNO dan Melayu terikut2 terima istilah yang tak betul ini. Apa yang terjadi, kita ada pejuang kemerdekaan yang dihapuskan oleh British dengan bantuan UMNO. Pejuang kemerdekaan ini  pada umumnya telah bersatu dengan bukan Melayu, jadi pelopor perpaduan adalah para pejuang ini, bukan UMNO.  Sila semak sejarah apa sebenarnya yang berlaku kepada MCA dan MIC dalam sejarah Malaysia moden.  Kita ada perunding kemerdekaan yang diwakili UMNO dan lain2 pertubuhan bukan Melayu. Pada umumnya tidak ada perpaduan, yang ada ialah sejenis kesepakatan longgar yang pragmatis. Ini bukan kontrak sosial, sekadar persetujuan yang mesti dilahirkan untuk “mencapai” kemerdekaan dan memenuhi kehendak British dan bukan Melayu yang disokong British. Perpaduan mesti berasaskan satu bahasa, bahasa Melayu. Ini ditegaskan oleh para pejuang kemerdekaan sebenar dalam Perlembagaan mereka untuk Tanah Melayu merdeka. Ketika Perlembagaan digubal, UMNO membisu tentang Islam. Mujurlah dengan nasihat dan gesaan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan Islam disebut sebagai agama Persekutuan. Harap baca dengan teliti kandungan Persetujuan Persekutuan yang terhasil daripada Malayan Union. Banyak yang sama, dan ini Melayu sendiri tak perasan. Jadi tidak betul jika dikatakan UMNO berjaya menghapuskan Malayan Union. Baca sejarah dengan kritis, baru kita tahu UMNO dan BN adalah ahli waris Malayan Union.
[Sastera]  Dari segi sastera, jika kita boleh percaya keputusan juri/panel penilai peraduan Novel 10 Tahun Merdeka,  ini bukanlah sebuah novel bermutu, sebab itu tidak diberi hadiah pertama atau kedua; hadiah ketiga diberikan kepada Arena Wati.   Kualiti sebenar novel ini hanya boleh dilihat dengan jelas dan objektif jika dinilai dari perspektif gagasan Persuratan Baru. Sebagai sebuah novel warisan Malayan Union, sasterawan dan pengkritik sendiri tidak mahu dinilai daripada perspektif PB. Jadi warisan penjajah terus dikekalkan dalam pendidikan kita. Orang yang menentang teguran MIC, yakni badan2 penulis dan para sasterawan/sarjana, pada umumnya adalah pewaris Malayan Union, yang sangat kuat pengaruh kolonialnya.  Anda lihat mereka bersemangat, tapi dari segi kesedaran , politik dan agama, mereka lembik dan pemikiran mereka tumpul. Mereka pewaris kolonialisme British. Kalau anda tidak boleh faham, kena baca banyak buku lagi: sejarah, tamadun Melayu, peranan Islam, dan perjuangan politik pejuang Melayu. Sebenarnya kita sudah lama keliru dan tertipu, oleh itu supaya timbul sedikit kesedaran dalam masalah ini, sila baca tulisan Prof. Ungku Maimunah dalam buku-buku yang beliau tulis dan selenggarakan dalam konteks gagasan Persuratan Baru. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 17/1/2011

5 comments:

  1. Terima kasih di atas penerangan yang diberikan oleh Tuan Hj. Affandi.

    Pada pendapat saya, sememangnya jika kita mahu dapatkan maklumat yang benar, maka harus untuk mencarinya dari pelbagai sudut yang saling bersangkutan. Mengaitkan hasil karya dengan "sejarah", karya dengan "Islam", karya dengan "ilmu", sememangnya mudah dari segi nama. Namun jika hanya pada nama yang gah, walhal hakikatnya maklumat yang dikaitkan dengan karya itu salah dan celaru, maka masyarakat yang menanggung akibatnya. Lihat saja dalam isu novel tersebut, harus dikaji dari sudut politik, sejarah dan sastera itu sendiri. Wa Allahu 'Alam.

    ReplyDelete
  2. Subhana-Allah, alhamdulillah wa-Allhuakbar! Jujurnya saya tidak puas membaca tulisan di atas, mohon kepada Tuan Hj. Affandi agar ianya diperpanjangkan dan dalam masa yang sama kami juga akan terus cuba meneroka apa yang patut. Insya-Allah.

    ReplyDelete
  3. Saya berminat untuk membaca karya-karya baru dan lama Tuan Haji Affandi. Bolehkah hantar kepada saya senarai lengkap (pastinya tuan sendiri lebih tahu); untuk nanti saya postkan dalam blog saya:

    http://ulasbuku.blogspot.com/

    e-mail saya: ulasbuku@gmail.com

    ReplyDelete
  4. TUAN HAJI AFFANDI,
    SAYA BARU TERJUMPA BLOG INI APABILA SELEPAS LEBIH SETAHUN MENGIKUTI BLOG SDR FAISAL TEHRANI, GATAL TANGAN KLIK DI PAUTAN BLOG TUAN HAJI.
    SEBENARNYA SAYA TELAH LAMA DIPERKENALKAN KPD TUAN HAJI OLEH ARWAH CIKGU SAYA, ABDULLAH TAHIR. SAYA AMAT TERTARIK DENGAN GAGASAN PERSURATAN BARU SEHINGGA MENJADIKAN KARYA TUAN HAJI, "WAJAH PENDETA' SEBAGAI BAHAN KAJIAN PROJEK AKHIR (SERINGKALI DISEBUT TESIS) SAYA.

    INGATAN SAYA KEPADA PERSURATAN BARU MASIH SEGAR.

    SAYA SANGAT GEMBIRA DPT MENULIS KOMEN INI KPD TUAN HAJI UTK MENYATAKAN PENGHARGAAN SAYA ATAS USAHA TUAN HAJI SELAMA INI.

    BOLEHKAH SAYA TERBITKAN SEMULA POSTING INI DI BLOG SAYA ATAU DI FACEBOOK?

    ReplyDelete