Tuesday, October 27, 2020

SEBUAH LAGI KARYA LAMA UNTUK RENUNGAN

 

HADIAH-HADIAH UNTUK SASTERAWAN

 

            Tulisan ini akan membicarakan dua perkara yang berkaitan, tetapi saling bertentangan. Pertama tentang hadiah sastera, termasuk Hadiah Nobel Sastera. Kedua mengenai persoalan peminggiran sastera yang ditimbulkan kembali oleh beberapa orang penulis. Kita mulai dengan persoalan pertama. Nampaknya para sasterawan sangat terkilan kerana belum ada di antara mereka yang dapat Hadiah Nobel, walaupun menurut mereka sudah ramai sasterawan Malaysia yang layak menerima hadiah itu. Malah karya mereka jauh lebih bermutu daripada karya penerima Hadiah Nobel sendiri (tidak disebut siapa mereka). Tiga empat nama disebut-sebut layak menerima Hadiah Nobel, termasuk seorang yang belum lagi diberi Anugerah Sastera Negara. Ini menimbulkan persoalan yang menarik. Nampak gayanya mutu Anugerah Sastera Negara lebih tinggi daripada Hadiah Nobel, sehingga seorang penulis novel yang belum layak diberi Anugerah Sastera dan bergelar SN dikira layak diberi Hadiah Nobel. Inilah kedudukan Anwar Ridhwan menurut SN A. Samad Said. Perkara ini dibincangkan dalam forum di DBP baru-baru ini, dilaporkan dalam Utusan Malaysia (11 Jun 2007). Jika benarlah hujah ini, maka amatlah wajar jika Anugerah Sastera dibuka kepada semua sasterawan dunia. Keputusan ini akan memberi kejutan kepada sasterawan dunia dan meningkatkan prestij sasterawan Malaysia, yang nantinya akan lebih memudahkan mereka dipilih untuk diberi Hadiah Nobel yang diidamkan itu. Mungkin mereka tidak perlukan Hadiah Nobel lagi ketika itu, kerana Anugerah Sastera lebih tinggi nilainya daripada Hadiah Nobel sendiri. Barangkali inilah cara promosi terbaik untuk sasterawan Malaysia, oleh itu perlu disokong oleh badan-badan penulis dan organisasi seperti DBP.

            Untuk memuaskan hati para sasterawan, badan-badan penulis dan badan-badan kerajaan harus bersedia berbelanja besar untuk membuat promosi itu. Cadangan supaya karya sasterawan tertentu diterjemahkan ke dalam 30 bahasa dunia sekurang-kurangnya, jauh lebih mahal daripada cara promosi yang dicadangkan. Selain kos penerbitan yang tinggi kerana mutu buku mesti dijaga, kita juga akan menghadapi masalah timbunan buku yang tidak laku. Tidak pasti sama ada DBP sudah dapat mengatasi masalah buku tidak laku ini; tetapi yang pasti masalah ini amat berat dan belum bertemu penyelesaiannya. Oleh itu, adalah lebih ekonomik dan lebih mudah jika Anugerah Sastera Negara dibuka kepada penulis dunia, supaya para sasterawan kita mempunyai pengalaman bertanding dengan tokoh-tokoh dunia. Ini tidak jadi masalah kerana di kalangan sasterawan kita ada yang lebih baik daripada sasterawan dunia yang terbaik sekali pun. Jika cadangan ini dilaksanakan, maka sempurnalah pentakdisan sasterawan Melayu sebagai ahli waris sastera Barat yang begitu gigih mereka perjuangkan.

            Cadangan ini mempunyai kaitan dengan masalah kedua yang semakin kerap diungkit sejak akhir-akhir ini, iaitu tentang wajibnya sastera dijadikan mata pelajaran wajib untuk semua pelajar, dari tadika hingga ke universiti, untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang menikmati karya sasterawan Malaysia yang bermutu tinggi. Kata seorang penulis, peradaban Malaysia akan pincang, malah akan jadi tidak beradab, jika sastera disisihkan dalam sistem pendidikan negara. Kata para sasterawan pula, sastera lebih penting dari segala-galanya kerana sastera menampilkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan beradab tanpa mengenal batasan budaya dan agama. Benarkah anggapan ini? Oleh sebab tidak diberikan contoh yang konkrit, maka hujah-hujah ini tidak dapat diterima. Para peneliti sastera yang objektif akan segera dapat melihat kepalsuan andaian ini kerana karya sastera yang kita baca, yang dicadangkan supaya dijadikan teks wajib kepada budak-budak sekolah itu, pada dasarnya mengajar anak-anak kita bersikap kurang ajar, biadab, menerima zina dan pergaulan bebas sebagai nilai moden yang penting, mengagumi syaitan dan sebagainya. Satu lagi aspek penting yang tidak pernah disebut ialah sifat pengajaran sastera di Malaysia cenderung untuk mengajar para pelajar menjadi bodoh. Isi dan analisis yang sangat lemah dalam karya sastera Melayu membuat pembaca menjadi lebih bodoh, bukan sebaliknya. Saya telah menulis dengan panjang lebar tentang perkara ini, cukup dengan contoh dan penghujahannya. Sesiapa yang ingin membahaskan perkara ini dan menolak kesimpulan saya bolehlah membaca tulisan-tulisan itu. Dalam hubungan ini, menarik juga pandangan seorang penulis yang berkata cara mengajar sastera yang dipakai sekarang, yang memberi penekanan kepada aspek struktur (dalam konteks yang sempit) membicarakan plot, perwatakan, tema dan sebagainya sudah tidak sesuai, sudah ketinggalan zaman. Oleh itu beliau cadangkan supaya “teori-teori baru” dan “teori-teori tempatan” diajarkan juga, supaya analisisnya beraneka ragam. Sekali imbas cadangan ini kelihatan bagus, tetapi jika dihalusi, cadangan ini akan hanya memindahkan klise struktur kepada klise baru dalam bentuk apa yang disebutkan teori-teori baru tadi. Ini memang telah terjadi dan agak meluas, apabila sering kali ditekankan oleh para sarjana dan penilai sastera bahawa karya yang bermutu dan yang baik adalah karya yang “melanggar adat”, yang absurd (gila-gilaan), yang biadab, yang mementingkan kejahatan dan mempersetankan moral dan akhlak. Jika anda tidak percaya, cubalah teliti laporan Anugerah Sastera Negara dan lain-lain laporan pemilihan karya pertandingan. Memindahkan klise lama kepada klise bentuk baru bukanlah kemajuan, tetapi hanya melunakkan kebodohan lama dalam bentuk baru. Maka itulah saya cadangkan gagasan Persuratan Baru, yang menilai karya berasaskan konsep ilmu yang benar. Mari kita bahaskan dengan mendalam apakah maksud konsep ilmu yang benar itu, dengan membongkar khazanah persuratan Islam yang dipertentangkan dengan “kemiskinan pemikiran” dalam teori-teori sastera moden. Jika anda tidak sanggup melakukannya, maka anda harus bersedia belajar terlebih dulu. Hal ini ditekankan oleh penulis yang sama, yang mencadangkan supaya diajarkan “seni membaca”. Bagi saya seruan ini sangat bagus, kerana saya sendiri sudah mencadangkannya sejak tahun 1970-an lagi; malah ketika membicarakan buku Sayembara II, saya secara khusus mengajak para sasterawan dan sarjana belajar membaca dengan betul. (Disiarkan dengan judul: “Para penulis, belajarlah membaca dengan betul” dalam majalah Widya bulan Mac dan April 1982). Kemuncak dari saranan ini ialah gagasan Persuratan Baru, yang melihat karya kreatif tidak lagi dalam konteks struktur melulu seperti yang masih dilakukan, tetapi dalam konteks ilmu yang benar dengan mempertentangkan konsep wacana dan cerita, dua konsep utama gagasan Persuratan Baru. Inilah penyelesaian kepada kemelut kekeliruan besar para sasterawan dan sarjana sastera sekarang.

            Para sasterawan dan sarjana adalah keliru besar apabila mereka meletakkan sastera lebih tinggi daripada ilmu yang benar berasaskan konsep tauhid. Teori apa pun yang mereka pakai akan tetap mengelirukan mereka jika mereka enggan membetulkan konsep ilmu yang mereka anuti (sekiranya mereka penganut ilmu). Jika masalah ini tidak dibereskan, maka mereka akan tetap memandang tinggi karya sastera dengan memberi segala macam sifat dan ciri yang mereka suka, berasaskan kekeliruan pemahaman mereka tentang konsep ilmu. Oleh itu, seruan mereka supaya sastera dijadikan mata pelajaran wajib dalam pendidikan negara akan hanya menambah keliru para murid dan guru serta sarjana dan sasterawan. Yang kita perlukan sekarang bukan pendidikan atau pengajaran sastera, tetapi pendidikan estetika berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam konteks ini, kita berpindah dari sastera kepada persuratan, suatu perpindahan yang tidak dapat dielakkan jika kita benar-benar ingin melakukan “anjakan paradigma” seperti yang diriuhkan dengan gamat satu ketika dulu (kini sudah diam kerana ternyata mereka tidak mahu berubah kedudukan, kerana selesa berada dalam dunia sastera yang keliru itu). Jika hakikat ilmu ini difahami dan dijadikan asas analisis, maka kita akan dapat membaca dan  menilai dengan objektif, tepat dan jitu semua karya sastera dari mana pun juga. Para sasterawan pun tidak lagi tergila-gila inginkan anugerah dan hadiah, kerana matlamat mereka sekarang ialah mencerdikkan bangsa mereka dengan menulis karya persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar. Tidakkah ini pilihan terbaik bagi mereka? Oleh itu mereka tidak mempunyai hujah untuk menolaknya. Dari segi pendidikan pula, kita tidak lagi memberi tumpuan kepada para sasterawan yang keliru ini; tetapi akan memberi perhatian yang wajar kepada para pemikir kita yang menulis dalam konteks persuratan. Dengan mengalih tumpuan kepada pendidikan estetika, bukan hanya kepada pengajaran sastera, maka kita akan mendidik anak-anak kita menjadi cerdik dan gemarkan ilmu. Kemunculan para sasterawan sekitar tahun 1950-an, yang cuba dilanjutkan dan diperkukuh hingga sekarang, telah menyempitkan dan mengelirukan pandangan masyarakat terhadap ilmu, oleh itu telah memperbodohkan mereka. Inilah yang kita perlu ubah. Jika kita perlu membuang sastera dalam pengertiannya yang sempit dan keliru yang kita pegang sekarang, maka kita perlu berbuat demikian. Kita tidak harus membiarkan kebodohan itu terterusan untuk membina budaya pandirisme, dan merimbunkan dunia kreatif kita dengan karya-karya picisan yang dangkal, cetek dan keliru. Untuk sampai kepada kesimpulan seumpama ini kita perlukan kaedah analisis yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Ini tidak boleh diberikan oleh teori Barat. Wallahu a’lam.   (11 Julai 2007)

 

(Mohd. Affandi Hassan)

GUNTINGAN RENCANA UNTUK EDITING PERSURATAN BARU

 Nota: Sebuah tulisan lama (2007) yang masih relevan untuk dikritik atau paling tidak difikirkan.

 

 Gagasan Persuratan Baru Dan Hakikat Seni

            Apabila konsep kesusasteraan dibawa masuk ke dalam dunia penulisan moden di kalangan orang Melayu, maka konsep persuratan diketepikan dan dipandang rendah, diberi makna yang sempit. Menurut takrif para sasterawan, persuratan tidak kena mengena dengan penulisan kreatif, oleh itu persuratan hanya dikerjakan oleh orang-orang yang tidak kreatif, yang rendah tarafnya kerana mereka tidak boleh berkhayal untuk mencipta novel, cerita pendek, sajak dan sebagainya. Bahasa persuratan tidak indah, tidak mencuit perasaan seni pembaca, kata mereka. Bahasa persuratan adalah bahasa yang kaku, bahasa yang tidak menyentuh perasaan pembaca. Tidak ada keindahan estetik, kerana yang diutamakan hanya memberikan fakta. Dengan itu fakta juga diletakkan di tempat rendah, sebagai sesuatu yang tidak berupaya menyentuh perasaan seni pembaca. Dengan itu kebenaran tidak dipentingkan, kerana yang utama ialah menyerlahkan khayalan dalam cerita-cerita rekaan yang boleh ditafsirkan sesuka hati pembaca. Semakin kaya tafsiran itu, semakin tinggi nilainya sebagai karya kreatif. Dengan itu khayalan diletakkan di tempat yang tinggi, sebagai ukuran utama dalam menentukan keindahan hasil sastera, yang tidak ada pada hasil persuratan. Dengan takrif seumpama ini, maka sastera menjadi ukuran kecerdikan penulis: semakin sukar difahami, semakin banyak tafsiran yang boleh diberi, semakin istimewa penulisnya. Tetapi di sinilah juga timbul kontradiksi, seperti yang diperlihatkan dalam analisis yang dibuat oleh Dr. Mohd. Zariat dalam tesisnya, juga dalam analisis yang dipaparkan di sini. Yang terserlah adalah sebaliknya. Bukan kecerdikan atau kemampuan ilmiah yang tinggi yang ditonjolkan, tetapi hanya kecetekan dan kekeliruan yang begitu maharajalela sehingga apa yang dikatakan “sastera itu indah” menjadi sebaliknya. Style tidak memberi makna mendalam dalam konteks kebijaksanaan berasaskan ilmu yang benar. Style yang dikatakan menjadi ukuran keindahan sesebuah karya sastera ternyata hanya menjadi hiasan luaran yang cetek maknanya, dan sering kali kasar pula cara persembahannya. Apakah yang terjadi kepada konsep keindahan itu? Tidak lain hanya satu mitos yang dipopularkan oleh para sasterawan untuk meletakkan mereka di atas dalam hierarki para penulis, untuk membolehkan mereka mendapat faedah dan kedudukan terbaik. Di sinilah terjadi penipuan ilmiah yang tidak diberi perhatian sehingga munculnya gagasan Persuratan Baru, yang mula meneliti mitos ini dan memberinya konteks ilmiah yang boleh dicabar kesahihannya oleh sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan gagasan itu.

            Dengan gagasan Persuratan Baru ini, dihidupkan kembali konsep dan praktik persuratan seperti yang difahami dan dipraktikkan dalam tradisi Islam dan kebudayaan Melayu selepas Islam, yang telah melahirkan beribu ulama, pendeta, ahli fikir, penulis, ahli syair, penulis hikayat, ahli sejarah dan sebagainya. Kekayaan ilmu dan kebijaksanaan bangsa Melayu berada dalam tradisi persuratan itu, bukan dalam kesusasteraan yang dibanggakan sekarang. Tradisi persuratan Islam dan Melayu diasaskan keseluruhannya kepada konsep ilmu yang betul, bukan hanya menumpukan perhatian kepada aspek hiburan seperti yang digambarkan dalam hasil-hasil kesusasteraan. Apabila persuratan itu ditolak, dengan memberi kedudukan tinggi kepada kesusasteraan, maka hilanglah kekayaan ilmu dan kebijaksanaan bangsa Melayu, diganti dengan kekerdilan isi dan kekeliruan nilai yang dibawa oleh para sasterawan ke dalam hasil-hasil karya mereka. Gagasan Persuratan Baru berusaha mengembalikan ilmu dan kebijaksanaan dalam tradisi penulisan Melayu moden dengan mengasaskan setiap penulisan kreatif kepada konsep ilmu yang betul, menjadikan taklif sebagai panduan berkarya, dan menyerlahkan kebijaksanaan tadi melalui siratan makna (stylization of ideas) seperti yang dicontohkan dalam kisah Nabi Yusuf ‘a.s. yang disebut oleh al-Quran sebagai “kisah yang paling sempurna, paling baik” (12:3) tidak saja kerana diwahyukan kepada manusia, tetapi juga kerana siratan maknanya yang mendalam yang mengandungi kebijaksanaan tentang hakikat insan, hakikat amal, dan hakikat ceritera untuk dicontohi manusia.

            Tiga sifat sastera yang disepakati oleh para sasterawan ialah keutamaan kepada perasaan atau emosi, yang dicapai melalui naratif yang dilebih-lebihkan (khayalan kreatif), dan tumpuan kepada aspek kejahatan dalam kehidupan manusia. Dalam tradisi Barat, janru (istilah Jepun untuk genre yang sesuai dipakai dalam bahasa Melayu) tertinggi dalam sastera mereka ialah tragedi, paling rendah komedi. Dalam tragedi, manusia jatuh atau musnah kerana kesilapannya melakukan sesuatu “kejahatan” yang bertentangan dengan kekuasaan raja-raja, atau kerajaan. Keseronokan didapatkan daripada menonton drama tragedi atau membaca karya yang bersifat tragedi itu: manusia yang jatuh itu memberikan keseronokan kepada penonton atau pembaca. Inilah puncak emosi, yang kata Aristotle boleh dileraikan dengan kesudahan buruk kepada manusia yang jahat (yang mesti tokoh penting, atau orang besar, baru timbul kesan tragedinya). Tragedi menjadi aspek utama dalam karya-karya sastera Melayu moden dan dalam penilaian sastera, kerana itu sebuah novel picisan seperti Salina diangkat menjadi karya ulung kerana kesan tragedi para wataknya, terutama watak utamanya. Dalam Ranjau Sepanjang Jalan pun begitu; seterusnya dalam drama Matinya Seorang Pahlawan oleh Usman Awang. Dalam ketiga-tiga karya agung tiga orang sasterawan negara ini, aspek emosi itu dijadikan ukuran untuk menentukan nilai karya, kerana itu “penderitaan” manusia lebih diutamakan daripada kejahatan (dalam Salina dan Matinya Seorang Pahlawan) dan kebodohan (dalam Ranjau Sepanjang Jalan) mereka. Pemilihan watak dan pengolahan yang digunakan menyekat wujudnya aspek kebijaksanaan dalam karya sastera Melayu. Inilah sifat sastera Melayu yang dipraktikkan di Malaysia.

            Berbeza dengan persuratan, yang diasaskan kepada ilmu, yang dikembangkan melalui wacana (bukan cerita melulu, walaupun cerita tidak diabaikan sama sekali), kerana yang dituju ialah kebaikan dari segi ajarannya, atau kebijaksanaan. Seperti yang diceritakan oleh al-Quran tentang Nabi Yusuf ‘a.s., walaupun baginda dibuang ke dalam telaga, dijual dengan harga yang sangat murah, digoda oleh perempuan cantik, dipenjarakan, kemudian dijadikan penguasa (Al-Aziz) di Mesir, dipertemukan dengan ayahanda baginda dan adik beradiknya, dijadikan saudaranya yang melakukan kejahatan terhadapnya menceritakan sendiri kejahatan mereka dan memohon maaf, dan dimaafkan, kita lihat betapa manusia diajar menjadi bijaksana, kerana yang ditujukan cerita ini ialah akal sihat, bukan emosi manusia. Mengapa kisah ini tidak boleh dijadikan panduan untuk menulis karya kreatif? Dalam novel Pujangga Melayu, ketiga-tiga aspek itu dijadikan asas untuk menulis sebuah naratif tentang pendidikan seorang pengarang, dan bagaimana pengarang itu meletakkan dirinya dalam masyarakat. Bahawa beliau adalah seorang profesor, seorang mahaguru dalam bidangnya, mencerminkan peranannya yang sebenar sebagai seorang manusia yang bijaksana dalam menempuh kehidupannya sebagai manusia biasa, bukan manusia istimewa seperti yang selalu digambarkan dalam karya-karya sastera. (Sebagai contoh, Salina adalah seorang tokoh istimewa dalam novel Salina; demikian juga Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan.) Tidak ada yang luar biasa dalam tokoh utama Pujangga Melayu; yang agak luar biasa mungkin caranya menangani persoalan hidupnya secara bijaksana, sesuatu yang dapat dicapainya kerana kehidupannya diasaskan kepada pemahaman yang betul tentang konsep ilmu. Tidak ada konflik secara fizikal, tetapi amat kaya dengan konflik dalam aspek nilai yang mungkin tidak ketara, tetapi menjadi persoalan besar yang dihuraikan melalui wacana, sama ada dalam bentuk khutbah, dialog, atau perbahasan. Gagasan Persuratan Baru menjadikan wacana dalam bentuk-bentuk tersebut untuk melahirkan konflik nilai dalam masyarakat, yang tidak disedari kepalsuannya, kerana ditutup oleh kecetekan ilmu dan kejahilan manusia. Barangkali konflik yang paling hebat yang dialami oleh watak utama novel ini ialah permintaan ayahnya sendiri untuk mengembalikan kedudukan salah seorang anaknya yang mati dibunuh. Yang dititikberatkan oleh novel bukanlah perbuatan membalas dendam (seperti Zakiah ciptaan A. Samad Said membalas dendam dengan membenarkan dirinya ditiduri 18 orang lelaki!), tetapi dengan mendidik isteri si mati untuk menjadi seorang yang dikembalikan kepada kehidupan beradab mengikut lunas-lunas Islam. Akhirnya yang diutamakan ialah keluarga, bukan individu. Inilah beberapa prinsip kreatif yang dipakai untuk menulis karya persuratan, yang berbeza dengan karya sastera.

            Satu konsep yang diperkenalkan kembali, jadi bukan konsep baru, ialah konsep siratan makna atau stylization of ideas. Dari segi strukturnya, sebuah karya persuratan dibina berasaskan konsep ilmu yang betul, yang di dalamnya dibincangkan tentang hakikat insan (supaya perwatakan diasaskan kepada konsep insan yang betul), hakikat amal (untuk memastikan perilaku manusia tidak yang bersifat hawa nafsu rendah seperti yang dilukiskan dalam karya-karya sastera), dan hakikat seni penulisan (kerana karya itu bersifat didaktik, bukan propaganda, yang menuju kepada kebijaksanaan). Tetapi dari segi kreatifnya seorang pengarang bebas menggunakan apa juga kekayaan bahasa yang dikuasainya, pengalaman ilmiah yang dipunyainya, kehalusan cita rasa yang didapatinya melalui pembacaan yang mendalam pelbagai khazanah persuratan dunia setiap zaman dan setiap tamadun manusia yang pernah wujud. Kerana itu siratan makna tidak dapat dirumuskan dengan tepat seperti pembicaraan tentang konsep ilmu. Siratan makna menjadi ujian kepada kemampuan ilmiah dan bakat yang dipunyai oleh pengarang. Di situlah dia akan menyerlahkan keupayaan kreatifnya, dengan memberi tafsiran yang mendalam kepada apa juga masalah masyarakat yang dipilihnya. Tetapi semuanya tidak akan terlepas daripada ikatan taklif. Menurut ajaran Shah Wali Allah, rahsia taklif (sirrul-taklif)  itu merujuk kepada kesempurnaan manusia yang semula jadi, untuk mencapai tiga perkara atau matlamat kehidupannya: keadilan, ilmu pengetahuan, dan ikhtiar dan usaha (dihuraikan oleh Sheikh Abdullah Nuh dalam kitabnya, Semangat Perajurit-perajurit Islam, tt., mungkin 1940?). Melalui konsep siratan makna, yang didasarkan kepada konsep ilmu yang betul dan konsep taklif, seorang pengarang akan berupaya menulis karya persuratan yang mencerminkan tiga aspek makna taklif tadi. Tidak mungkin sesiapa pun memberitahu sang pengarang cara-caranya, atau teknik yang akan dipakainya, kerana semua itu menjadi cabaran ilmiah dan cabaran kreatif yang harus dilaluinya. Tetapi dengan berpandukan prinsip-prinsip umum yang diberikan, karya persuratan yang aneka ragam, yang kaya dengan kebijaksanaan pengarang, yang diadun dengan menggunakan siratan makna yang diperolehinya sendiri melalui latihan dan pengalaman penulisan, akan dapat dicipta dari sekarang sehingga dunia kiamat, berbeza satu sama lain, tetap menarik dan boleh diterima oleh semua manusia seluruh dunia. Tidak ada orang yang menolak kecerdikan dan kebijaksanaan yang ingin dicapai melalui karya persuratan itu.

            Para sasterawan dan sarjana Melayu sebenarnya sudah sedar bahawa tidak ada sebuah teori pun dari Barat yang universal, yang boleh digunakan untuk menghuraikan semua masalah sastera dan penilaiannya. Setiap teori hanya difokuskan kepada aspek tertentu, tidak menyeluruh, oleh itu tidak berupaya memahami masalah yang dihadapi oleh manusia. Ambil saja mana-mana teori yang anda tahu, nescaya anda akan sedar betapa terbatasnya teori itu. Yang lebih penting, dan lebih bermakna kepada sesiapa juga yang mendalam ilmunya, ialah kelemahan teori itu tidak dapat menjawab soalan: Apakah matlamat sebenar teori itu? Soalan demikian hanya dapat dijawab berasaskan epistemologi tertentu, dan tidak sebuah pun teori ilmu di dunia yang boleh memberi kepastian selain epistemologi Islam yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Semua epistemologi yang dicipta manusia hanya membicarakan kehidupan dunia mereka yang terbatas, oleh itu bersifat parochial, tidak mungkin memahami erti kehidupan yang bermula dari tiada, kemudian ada, akhirnya tiada kembali. Ke mana perginya pada ketiadaan kedua itu? Apa pun juga teori yang anda gunakan, jika tidak berasaskan konsep ilmu yang benar, tidak akan dapat menjawab soalan mudah itu. Perhatikan maknanya dengan mengambil satu contoh yang diberikan oleh panel anugerah sastera negara ketika memuji keistimewaan novel Salina. Novel itu tidak mempunyai tema tertentu dan tidak pula mempunyai perutusan yang jitu. Di situlah terletak mutunya yang tinggi. Kita uji andaian dan kesimpulan ini dengan analogi yang mudah: Jika anda mempunyai kapal layar, penggunaan terbaik kapal itu ialah untuk hanyut di lautan, tanpa tujuan. Cara yang paling baik menggunakan kereta ialah merayau-rayau ke mana saja anda mahu, tiada tujuan jitu. Jika anda tulis surat, yang penting ialah bahasanya yang berbunga-bunga, bukan isi surat itu kerana surat yang baik wajib tidak ada tujuan apa-apa selain hanya untuk menulis surat, tak perlu dikirim kepada sesiapa pun. Dan seterusnya ... Tentu saja cara berhujah Laporan 1985 itu tidak masuk akal.  Inilah corak umum yang digunakan oleh para penilai (termasuk 9 laporan panel anugerah sastera negara) ketika memilih karya yang mereka anggap baik dan bermutu.

Kita lihat pula bagaimana panel hadiah sastera 1992/93 menilai sebuah karya kritikan. Panel Hadiah Sastera 1992/93 menolak buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid berdasarkan pandangan luar seperti yang terjadi kepada Balqis. Panel yang terdiri daripada Aziz Deraman (pengerusi) dengan anggotanya Dr. Mohd. Yusof Hassan, Dr. Solehah Ishak, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Prof. Rahman Shaari, Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah (aka Mana Sikana) dan Prof. Madya Hj. Abdullah Tahir, menolak buku itu dengan hujah berikut: “... [P]anel menemukan kecenderungan pengarang untuk mempersalahkan golongan tertentu dengan menggunakan ruang-ruang tersirat dengan cara yang kurang diplomatik. Pada bahagian awal lagi, iaitu di halaman 3 buku ini, pengarang telah mengatakan tiada usaha daripada orang lain untuk membezakan antara unsur-unsur Islam dalam karya sastera dengan sastera Islam sebagai satu disiplin dalam penulisan karya kreatif. ... Perbandingan yang dianggap tidak diplomatik ialah bahawa usaha yang terdahulu menyamai seorang laki-laki yang memakai pakaian Barat yang lengkap dan kemas, tetapi menaruh ketayap dan serban besar di kepalanya. Panel berpendapat, kata-kata demikian tidaklah menjadi masalah dalam penulisan esei biasa demi mencapai gaya dan membina identiti, tetapi tidak sesuai diaplikasikan dalam sebuah buku kritikan yang serius dan memuatkan ilmu.” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88).

Hujah ini menjadi sangat menarik apabila dibandingkan dengan hujah berikutnya, ketika panel memilih buku yang layak diberi hadiah. “Buku Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional karya Noriah Taslim berjaya menarik perhatian panel dengan adanya ciri-ciri seperti berikut: buku ini memuatkan sebelas esei yang kaya dengan idea, konsep, teori dan pendekatan; pengarang menilai semula kajian-kajian dan model yang terdahulu seperti yang dibuat oleh Propp, Bausani, Ingram, Bremond, dan lain-lain, dan menyesuaikan serta menerapkannya kepada Sastera Melayu Tradisional. ... Buku Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional ialah satu-satunya buku dalam tahun yang dinilai memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional. ... [P]engarang menyebutkan bahawa pengaruh Barat mewujudkan paradigma baru, sehingga pemikiran partisipatoris pecah. Tradisi kritikan sastera Melayu tradisional bermula di sini.” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88. Penegasan dalam huruf tebal ditambah).

Bahawa anggota panel itu telah membuat penilaian yang cetek dan salah terbukti apabila buku kecil Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid diterima oleh Institute for the Study of Muslim Civilizations sebagai salah sebuah karya penting dalam kategori “Key Works Initiative” (Kumpulan Karya Utama) dalam projek bibliografi yang sedang diusahakan oleh Agha Khan University di London. Buku ini memenuhi kriteria karya yang “limited to works regarded by scholarly consensus as seminal or authoritative or revisionist or classic (or a combination of these). These will have helped to shape our understanding of the Muslim heritage and contemporary experiences, by expanding horizons, challenging received ideas, connecting previously unconneted phenomena,  founding new methodologies or creating comparative perspectives.” (Lihat Lampiran untuk makluman lanjut). 


Penilaian Berdasarkan Gagasan Persuratan Baru

            Persuratan Baru (atau Genuine Literature dalam bahasa Inggeris, dengan ‘genuine’ itu merujuk kepada konsep ilmu yang benar) adalah satu kerangka analisis yang dengan mudah dapat diuji kesahihannya dan ketepatannya dalam menilai sesebuah karya kreatif, terutama sekali novel (walaupun boleh juga, dan memang dimaksudkan, digunakan untuk menilai janru selain novel). Dua unsur utama yang dipertentangkan ialah aspek wacana dan cerita dalam menilai sesebuah novel. Di bawah wacana termasuk logik, penghujahan, pembuktian, analisis, pembahasan kritis, huraian, pengolahan mendalam, dan lain-lain yang berkaitan dengan aspek argument dalam penulisan, termasuk penulisan kreatif. Sebuah novel adalah sejenis argument yang bercorak estetik kerana dibina melalui cerita yang memakai watak, dialog, ketegangan dan lain-lain unsur yang dikaitkan dengan pembinaan sebuah cerita yang menarik dan bermakna. Penggunaan yang berkesan kedua-dua unsur utama ini akan mencorakkan jenis karya yang akan terhasil nanti, sama ada hanya sebuah karya sastera, atau sebuah karya persuratan. Perbezaan ini penting kerana kedua-duanya tidak sama dari segi mutu, makna dan kebijaksanaan yang menjiwainya. Dengan “memproblematikkan” wacana dan cerita, sesebuah karya boleh diperiksa dan dianalisis dari paksi naratif yang digunakan dan dari ruang naratif dalam pembinaan karya itu, sama ada didominasi oleh wacana atau cerita. Huraian dan analisis menggunakan gagasan Persuratan Baru telah dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan novel Lorong Midaq oleh Nagib Mahfouz (dari Mesir), Salam Maria oleh Fatimah Busu dan lain-lain; manakala Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah menggunakan Persuratan Baru dalam analisis teks novel-novel Melayu pilihan untuk tesis Ph.D. beliau. Untuk memberi sedikit imbasan tentang penggunaan gagasan Persuratan Baru dalam analisis teks, di sini dipetik sekadarnya beberapa kesimpulan beliau dalam beberapa buah tulisannya. Pembaca yang berminat bolehlah meneliti tulisan-tulisan berkenaan yang boleh didapati dengan mudah.

            Tentang novel Salina, Dr. Zariat berpendapat: “Adalah jelas daripada analisis ini bahawa tanpa perubahan terhadap paksi naratifnya, Salina akan tetap dilihat di sisi Islam sebagai sebuah novel yang ‘membela kejahatan’, dan justeru,  pujian atau pengiktirafan terhadapnya akan tetap dianggap sebagai satu percanggahan dengan falsafah dan konsep kesusasteraan menurut Islam” (Jurnal Pangsura, Januari-Jun, 2006; hal. 223). Dalam pengertian yang diberikan oleh Dr. Zariat, “paksi naratif merujuk kepada pendirian novel terhadap perkara-perkara yang dipaparkan dalam cerita, yang sekali gus menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel terhadap perkara tersebut” (hal. 208).[1] Dengan kata lain, kisah pelacuran dan perbuatan maksiat zina diperindah begitu rupa dalam novel ini untuk memenuhi maksud Samad Said: “Tidak mudah untuk menurunkan seluruh liku kisah cinta seorang pelacur berhati baik di tengah-tengah desakan akibat perang” (dikutip oleh Zariat, hal. 208).

            Seterusnya kita lihat pula pandangan Dr. Zariat tentang TIVI: “Analisis terhadap novel TIVI menjelaskan bahawa matlamat untuk memberikan pengajaran melalui penonjolan azab Allah SWT telah digagalkan oleh pemilihan paksi naratifnya yang bertunjangkan pada soal ‘kejahatan seks’. Paksi naratif yang jelas bertentangan dengan uswah hasanah (contoh yang baik) ini, kemudiannya dilihat turut mempengaruhi soal penggemblengan ruang naratif novel, terutama apabila babak azab Allah SWT itu diletakkan pada bahagian penghujung novel. Ini menjadikan ruang naratif TIVI didominasi dengan isian-isian yang memaparkan kejahatan-kejahatan seks watak-wataknya, yang sekali gus menyebabkan nilai-nilai jahat begitu menonjol dalam cerita” (rujuk kertas kerja, “Antara Didaktisisme dan Cerita: Satu Analisis Perbandingan Antara Novel TIVI oleh Shahnon Ahmad dan Di Bawah Lindungan Ka’bah oleh HAMKA,” pada Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) Ke IX; Bandung, 10-12 Mac, 2005.)

            Ketika berbicara tentang Panrita oleh SN Arena Wati, Dr. Zariat membuat kesimpulan seperti berikut: “Analisis terhadap struktur naratif Panrita dengan jelas mengenal pasti dua pertimbangan yang diberikan perhatian oleh novel, iaitu memastikan cerita yang disajikan itu logik serta diterima pembaca; dan menyemarakkan lagi cerita dengan bumbu seks dan erotik. Apa yang ketara, kedua-dua pertimbangan ini jelas hanya menyumbang kepada penyampaian cerita, dan bukannya kepentingan idea/ilmu. Ini dengan sendirinya menjelaskan tentang keutamaan yang diberikan oleh novel terhadap ‘cerita’, berbanding ‘ilmu’. ... [K]eutamaan yang diberikan oleh Arena Wati ini dengan sendirinya tidak dapat meletakkan Panrita pada standard yang paling maksimum, iaitu fungsi novel sebagai wadah yang legitimate dalam menyampaikan idea/ilmu. Ini dengan sendirinya mencabar kedudukan dan keupayaan Panrita sebagai novel yang dapat memperkukuhkan (reinforced) pengiktirafan yang diterima oleh Arena Wati.” (Rujuk tulisannya, “Penggemblengan Paksi Naratif dan Ruang Naratif dalam Panrita karya Arena Wati: Satu Analisis Teks Berdasarkan Persuratan Baru”, Wacana Karya Abad 20, anjuran DBP, Langkawi, 19-21 Disember 2005). Novel yang dibicarakan itu ditulis selepas Arena Wati menerima gelaran sasterawan negara, dan dipilih sebagai salah sebuah novel paling bermutu yang dihasilkan dalam Abad 20.

            Kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani ini penting kerana huraian beliau yang berdasarkan gagasan Persuratan Baru itu boleh dicabar oleh sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan kesimpulan itu. Yang penting di sini ialah kesimpulan beliau diasaskan kepada konsep ilmu yang benar yang menjadi dasar gagasan Persuratan Baru. Pada umumnya, para sasterawan dan sarjana sastera tidak menerima konsep ilmu yang benar itu, oleh itu bagi mereka konsep itu tidak relevan dalam penilaian sastera. Pandangan serupa ini disandarkan kepada konsep sastera yang difahamkan di Barat, yang memang memisahkan nilai-nilai agama dalam kehidupan moden yang dianggap tidak relevan; tetapi kesimpulan ini bercanggah dengan budaya Melayu yang menjadikan agama Islam sebagai asasnya. Maka itulah masalah ini penting dibahaskan dengan mendalam untuk mendapat kepastian bahawa penilaian sastera yang dibuat oleh ahli panel penilai selama ini tepat atau tidak dengan ciri utama budaya Melayu itu. Sebarang penyelewengan dari prinsip itu perlu didedahkan, dan diperbetulkan, jika perlu dengan kritikan yang paling keras sekali pun.

            Tetapi yang lebih penting daripada perkara-perkara di atas ialah mengenai alat analisis yang dipakai oleh Prof. Ungku Maimunah dan Dr. Mohd. Zariat ketika menilai karya kreatif seperti novel. Mereka tidak lagi bercakap secara umum, yang sudah ketinggalan zaman dan tidak berkesan lagi, seperti penekanan terhadap tema, perutusan, perwatakan, bahasa dan gaya, plot, dialog, dan alat-alat lama yang sudah haus dari segi ketajaman analisisnya, tidak berupaya menggigit persoalan baru dan cara berfikir baru yang sudah jauh meninggalkan cara lama itu. Mereka menggunakan alat analisis yang tidak saja baru, tetapi tajam dan  kuat untuk menggigit segala kepalsuan penilaian yang dibuat dalam cara lama itu. Mereka menggunakan konsep taklif, konsep wacana, konsep  cerita yang dikontraskan dengan wacana, tentang paksi naratif, tentang ruang naratif, tentang isian cerita, tentang hakikat insan, hakikat ilmu dan amal, hakikat dan fungsi sastera, yang semuanya diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Dengan menggunakan alat-alat analisis yang baru, segar, tajam dan kuat untuk menggigit kepalsuan penilaian yang dilakukan selama ini, maka mereka dapat menghuraikan dengan tepat, jitu dan objektif aspek tema dan perutusan yang diberi penekanan oleh panel anugerah sastera negara misalnya, tetapi tidak memberi makna apa-apa selain hanya ujaran umum yang dihuraikan secara umum pula. Misalnya, dengan menggunakan alat analisis yang tajam tadi, dapatlah ditentukan apakah peranan tema dan perutusan dalam Salina yang ditegaskan oleh panel penilai sebagai tidak bertema dan tidak mempunyai perutusan jitu itu. Seperti yang disimpulkan oleh Dr. Zariat dalam analisisnya terhadap novel Salina, dengan menggunakan alat-alat analisis yang tajam dan tepat, beliau dapat melihat dengan jelas bahawa Salina adalah sebuah novel yang “membela kejahatan”. Itulah temanya, dan ini sesuai pula dengan pengakuan SN A. Samad Said sendiri bahawa kisah pelacur yang ‘laris’ itulah yang ingin diabadikannya dalam novelnya. Kesimpulan ini, yang sesuai pula dengan pengakuan SN Samad Said sendiri, menyerlahkan keselekehan penilaian panel anugerah sastera negara. Demikian pula tentang TIVI, karya sastera Islam mithali dakwaan SN Shahnon Ahmad sendiri, ternyata hanya dakwaan tanpa bukti apabila melalui analisisnya yang lebih mendalam dan jitu, Dr. Zariat sampai kepada kesimpulan bahawa novel itu kaya dengan “nilai-nilai jahat yang begitu menonjol dalam cerita”, dengan itu menolak kebenaran dakwaan SN Shahnon Ahmad bahawa novel itu sebuah karya sastera Islam yang mithali. Apakah yang mithali jika yang dipaparkan itu ialah kejahatan seks?

 

Penilaian Berdasarkan Gagasan Persuratan Baru

            Persuratan Baru (atau Genuine Literature dalam bahasa Inggeris, dengan ‘genuine’ itu merujuk kepada konsep ilmu yang benar) adalah satu kerangka analisis yang dengan mudah dapat diuji kesahihannya dan ketepatannya dalam menilai sesebuah karya kreatif, terutama sekali novel (walaupun boleh juga, dan memang dimaksudkan, digunakan untuk menilai janru selain novel). Dua unsur utama yang dipertentangkan ialah aspek wacana dan cerita dalam menilai sesebuah novel. Di bawah wacana termasuk logik, penghujahan, pembuktian, analisis, pembahasan kritis, huraian, pengolahan mendalam, dan lain-lain yang berkaitan dengan aspek argument dalam penulisan, termasuk penulisan kreatif. Sebuah novel adalah sejenis argument yang bercorak estetik kerana dibina melalui cerita yang memakai watak, dialog, ketegangan dan lain-lain unsur yang dikaitkan dengan pembinaan sebuah cerita yang menarik dan bermakna. Penggunaan yang berkesan kedua-dua unsur utama ini akan mencorakkan jenis karya yang akan terhasil nanti, sama ada hanya sebuah karya sastera, atau sebuah karya persuratan. Perbezaan ini penting kerana kedua-duanya tidak sama dari segi mutu, makna dan kebijaksanaan yang menjiwainya. Dengan “memproblematikkan” wacana dan cerita, sesebuah karya boleh diperiksa dan dianalisis dari paksi naratif yang digunakan dan dari ruang naratif dalam pembinaan karya itu, sama ada didominasi oleh wacana atau cerita. Huraian dan analisis menggunakan gagasan Persuratan Baru telah dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan novel Lorong Midaq oleh Nagib Mahfouz (dari Mesir), Salam Maria oleh Fatimah Busu dan lain-lain; manakala Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah menggunakan Persuratan Baru dalam analisis teks novel-novel Melayu pilihan untuk tesis Ph.D. beliau. Untuk memberi sedikit imbasan tentang penggunaan gagasan Persuratan Baru dalam analisis teks, di sini dipetik sekadarnya beberapa kesimpulan beliau dalam beberapa buah tulisannya. Pembaca yang berminat bolehlah meneliti tulisan-tulisan berkenaan yang boleh didapati dengan mudah.

            Tentang novel Salina, Dr. Zariat berpendapat: “Adalah jelas daripada analisis ini bahawa tanpa perubahan terhadap paksi naratifnya, Salina akan tetap dilihat di sisi Islam sebagai sebuah novel yang ‘membela kejahatan’, dan justeru,  pujian atau pengiktirafan terhadapnya akan tetap dianggap sebagai satu percanggahan dengan falsafah dan konsep kesusasteraan menurut Islam” (Jurnal Pangsura, Januari-Jun, 2006; hal. 223). Dalam pengertian yang diberikan oleh Dr. Zariat, “paksi naratif merujuk kepada pendirian novel terhadap perkara-perkara yang dipaparkan dalam cerita, yang sekali gus menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel terhadap perkara tersebut” (hal. 208).[2] Dengan kata lain, kisah pelacuran dan perbuatan maksiat zina diperindah begitu rupa dalam novel ini untuk memenuhi maksud Samad Said: “Tidak mudah untuk menurunkan seluruh liku kisah cinta seorang pelacur berhati baik di tengah-tengah desakan akibat perang” (dikutip oleh Zariat, hal. 208).

            Seterusnya kita lihat pula pandangan Dr. Zariat tentang TIVI: “Analisis terhadap novel TIVI menjelaskan bahawa matlamat untuk memberikan pengajaran melalui penonjolan azab Allah SWT telah digagalkan oleh pemilihan paksi naratifnya yang bertunjangkan pada soal ‘kejahatan seks’. Paksi naratif yang jelas bertentangan dengan uswah hasanah (contoh yang baik) ini, kemudiannya dilihat turut mempengaruhi soal penggemblengan ruang naratif novel, terutama apabila babak azab Allah SWT itu diletakkan pada bahagian penghujung novel. Ini menjadikan ruang naratif TIVI didominasi dengan isian-isian yang memaparkan kejahatan-kejahatan seks watak-wataknya, yang sekali gus menyebabkan nilai-nilai jahat begitu menonjol dalam cerita” (rujuk kertas kerja, “Antara Didaktisisme dan Cerita: Satu Analisis Perbandingan Antara Novel TIVI oleh Shahnon Ahmad dan Di Bawah Lindungan Ka’bah oleh HAMKA,” pada Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) Ke IX; Bandung, 10-12 Mac, 2005.)

            Ketika berbicara tentang Panrita oleh SN Arena Wati, Dr. Zariat membuat kesimpulan seperti berikut: “Analisis terhadap struktur naratif Panrita dengan jelas mengenal pasti dua pertimbangan yang diberikan perhatian oleh novel, iaitu memastikan cerita yang disajikan itu logik serta diterima pembaca; dan menyemarakkan lagi cerita dengan bumbu seks dan erotik. Apa yang ketara, kedua-dua pertimbangan ini jelas hanya menyumbang kepada penyampaian cerita, dan bukannya kepentingan idea/ilmu. Ini dengan sendirinya menjelaskan tentang keutamaan yang diberikan oleh novel terhadap ‘cerita’, berbanding ‘ilmu’. ... [K]eutamaan yang diberikan oleh Arena Wati ini dengan sendirinya tidak dapat meletakkan Panrita pada standard yang paling maksimum, iaitu fungsi novel sebagai wadah yang legitimate dalam menyampaikan idea/ilmu. Ini dengan sendirinya mencabar kedudukan dan keupayaan Panrita sebagai novel yang dapat memperkukuhkan (reinforced) pengiktirafan yang diterima oleh Arena Wati.” (Rujuk tulisannya, “Penggemblengan Paksi Naratif dan Ruang Naratif dalam Panrita karya Arena Wati: Satu Analisis Teks Berdasarkan Persuratan Baru”, Wacana Karya Abad 20, anjuran DBP, Langkawi, 19-21 Disember 2005). Novel yang dibicarakan itu ditulis selepas Arena Wati menerima gelaran sasterawan negara, dan dipilih sebagai salah sebuah novel paling bermutu yang dihasilkan dalam Abad 20.

            Kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani ini penting kerana huraian beliau yang berdasarkan gagasan Persuratan Baru itu boleh dicabar oleh sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan kesimpulan itu. Yang penting di sini ialah kesimpulan beliau diasaskan kepada konsep ilmu yang benar yang menjadi dasar gagasan Persuratan Baru. Pada umumnya, para sasterawan dan sarjana sastera tidak menerima konsep ilmu yang benar itu, oleh itu bagi mereka konsep itu tidak relevan dalam penilaian sastera. Pandangan serupa ini disandarkan kepada konsep sastera yang difahamkan di Barat, yang memang memisahkan nilai-nilai agama dalam kehidupan moden yang dianggap tidak relevan; tetapi kesimpulan ini bercanggah dengan budaya Melayu yang menjadikan agama Islam sebagai asasnya. Maka itulah masalah ini penting dibahaskan dengan mendalam untuk mendapat kepastian bahawa penilaian sastera yang dibuat oleh ahli panel penilai selama ini tepat atau tidak dengan ciri utama budaya Melayu itu. Sebarang penyelewengan dari prinsip itu perlu didedahkan, dan diperbetulkan, jika perlu dengan kritikan yang paling keras sekali pun.

            Tetapi yang lebih penting daripada perkara-perkara di atas ialah mengenai alat analisis yang dipakai oleh Prof. Ungku Maimunah dan Dr. Mohd. Zariat ketika menilai karya kreatif seperti novel. Mereka tidak lagi bercakap secara umum, yang sudah ketinggalan zaman dan tidak berkesan lagi, seperti penekanan terhadap tema, perutusan, perwatakan, bahasa dan gaya, plot, dialog, dan alat-alat lama yang sudah haus dari segi ketajaman analisisnya, tidak berupaya menggigit persoalan baru dan cara berfikir baru yang sudah jauh meninggalkan cara lama itu. Mereka menggunakan alat analisis yang tidak saja baru, tetapi tajam dan  kuat untuk menggigit segala kepalsuan penilaian yang dibuat dalam cara lama itu. Mereka menggunakan konsep taklif, konsep wacana, konsep  cerita yang dikontraskan dengan wacana, tentang paksi naratif, tentang ruang naratif, tentang isian cerita, tentang hakikat insan, hakikat ilmu dan amal, hakikat dan fungsi sastera, yang semuanya diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Dengan menggunakan alat-alat analisis yang baru, segar, tajam dan kuat untuk menggigit kepalsuan penilaian yang dilakukan selama ini, maka mereka dapat menghuraikan dengan tepat, jitu dan objektif aspek tema dan perutusan yang diberi penekanan oleh panel anugerah sastera negara misalnya, tetapi tidak memberi makna apa-apa selain hanya ujaran umum yang dihuraikan secara umum pula. Misalnya, dengan menggunakan alat analisis yang tajam tadi, dapatlah ditentukan apakah peranan tema dan perutusan dalam Salina yang ditegaskan oleh panel penilai sebagai tidak bertema dan tidak mempunyai perutusan jitu itu. Seperti yang disimpulkan oleh Dr. Zariat dalam analisisnya terhadap novel Salina, dengan menggunakan alat-alat analisis yang tajam dan tepat, beliau dapat melihat dengan jelas bahawa Salina adalah sebuah novel yang “membela kejahatan”. Itulah temanya, dan ini sesuai pula dengan pengakuan SN A. Samad Said sendiri bahawa kisah pelacur yang ‘laris’ itulah yang ingin diabadikannya dalam novelnya. Kesimpulan ini, yang sesuai pula dengan pengakuan SN Samad Said sendiri, menyerlahkan keselekehan penilaian panel anugerah sastera negara. Demikian pula tentang TIVI, karya sastera Islam mithali dakwaan SN Shahnon Ahmad sendiri, ternyata hanya dakwaan tanpa bukti apabila melalui analisisnya yang lebih mendalam dan jitu, Dr. Zariat sampai kepada kesimpulan bahawa novel itu kaya dengan “nilai-nilai jahat yang begitu menonjol dalam cerita”, dengan itu menolak kebenaran dakwaan SN Shahnon Ahmad bahawa novel itu sebuah karya sastera Islam yang mithali. Apakah yang mithali jika yang dipaparkan itu ialah kejahatan seks? Kecuali jika kita merobah makna kejahatan seks itu, seperti yang dibuat oleh Shahnon Ahmad sendiri yang menegaskan isian perlakuan seks dan erotik adalah perlu dan mesti diterima dalam penulisan novel sebagai teknik yang berkesan, maka kesimpulan Dr. Zariat adalah tepat, manakala pandangan SN Shahnon Ahmad adalah pandangan peribadi beliau sendiri yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam sendiri. Ataukah memang nilai-nilai Islam itu mengutamakan kejahatan seks, seperti yang ditekankan Freud dalam teorinya? Jawapannya mudah dan kita tidak perlu membuang masa membahaskannya.

            Cabaran intelektual yang dihulurkan oleh gagasan Persuratan Baru untuk disambut atau disanggah oleh ahli akademik, pengkritik, dan para sasterawan, memerlukan suasana terbuka dan sikap lapang dada untuk menghadapinya, tidak boleh diketepikan dengan hanya membuat tuduhan bahawa gagasan Persuratan Baru bukan dari aliran perdana, jika yang dipanggil aliran perdana itu sudah jadi negatif dan menggigil ketakutan apabila arusnya diubah ke arah yang lebih produktif dan positif, berteraskan ilmu yang benar, bukan lagi menurut hawa nafsu yang subjektif seperti praktik sekarang.  Inilah masanya dimulai anjakan paradigma, dengan sukarela atau dengan paksaan ilmiah. Sesiapa juga yang masih berpegang kepada alat-alat analisis yang lapuk dan tumpul, harus bersedia untuk disingkirkan secara akademik melalui analisis yang lebih tajam yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru. Itulah maksud paksaan ilmiah.

 

Kesedaran Yang Amat Bermakna

            Huraian ringkas ini menunjukkan betapa perlunya dibereskan terlebih dahulu konsep ilmu dalam kritikan dan penulisan kreatif. Masalah ini nampaknya disedari oleh SN Shahnon Ahmad, yang menyesali kesilapan yang telah dilakukannya dalam karya-karya kreatifnya. Tetapi kesedaran Shahnon Ahmad tidak disukai oleh penulis yang membangkitkan perkara ini (Mingguan Malaysia, 12 Mac 2006). Penulis ini tidak dapat menerima, malah menentang kewarasan Shahnon Ahmad yang sedar akan kesilapannya. Kata penulis ini: “Menyesali hasil-hasil karya kreatif yang pernah dihasilkannya sebelum ini yang telah mengangkat nama beliau dalam jagat kesusasteraan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras.” Jika satu ketika dulu kita sering didengungkan dengan ungkapan “anjakan paradigma” (ketika istilah paradigma itu baru ditemui oleh sarjana dan sasterawan), maka sekarang setelah anjakan itu dilakukan oleh Shahnon Ahmad sendiri dengan caranya yang agak berbelit-belit dan tidak jelas, sepatutnya tidak ada tentangan dan bangkangan. Sepatutnya beliau dihargai dan disokong, malah sepatutnya seluruh sasterawan Malaysia menjadi pengikut Shahnon Ahmad untuk melakukan anjakan paradigma itu. Mengapa tidak wajar, tidak waras, padahal itulah yang anda canangkan selama ini? Siapakah yang tidak beres dalam perkara ini, Shahnon Ahmad yang telah sedar, atau para penentangnya yang masih bergelumang dalam Shit yang diselerakkan oleh Shahnon Ahmad sendiri? Bagi pemerhati dan peneliti perkembangan sastera Melayu moden yang bijak membaca gelagat para sasterawan dan sarjana sastera, mereka akan melihat dengan jelas perubahan yang sedang berlaku, satu perpindahan dari paradigm shift yang dulunya hanya sejenis seruan kabur kepada paradigm shit yang bergelumang dengan kekeliruan dalam konsep ilmu, kelam-kabut dalam membuat penilaian, dan riuh-rendah menonjolkan ketokohan palsu para sasterawan yang terpilih dan dipilih untuk diberi kedudukan dan anugerah. Perpindahan kepada paradigm shit ini membuktikan betapa kelirunya konsep dan praktik sastera yang dipegang oleh para sasterawan. Dalam konteks inilah pengakuan penyesalan dan pengakuan kesilapan Shahnon Ahmad sangat penting. Shahnon Ahmad telah membuktikan bahawa tanpa konsep ilmu yang benar, penghasilan karya kreatif dan penilaiannya akan hanya membawa keburukan dan keruntuhan tamadun bangsa Melayu yang selama ini kuat mempertahankan adab dan kejernihan pemikiran mereka berasaskan ajaran Islam.

Sebenarnya, pengakuan penyesalan dan permohonan maaf SN Shahnon Ahmad adalah peristiwa paling penting dalam sejarah perkembangan sastera Melayu moden. Shahnon Ahmad sebagai insan yang megah digelar sasterawan, melalui kekuatan peribadinya dan kesedarannya yang jujur, telah memberikan takrif (memberi definisi) yang tepat kepada makna, konsep dan praktik sastera itu sendiri yang menjadi pegangan para sasterawan sekarang melalui tindakannya itu. Beliau telah membuktikan, melalui kariernya sebagai sasterawan, betapa palsunya konsep dan praktik sastera yang difahami dan dipegang oleh para sasterawan sekarang. Kesusasteraan tidak memberinya rasa aman, tidak mendatangkan kebahagiaan dalam kehidupannya; malah sebaliknya menimbulkan kegelisahan dan rasa bersalah. Dengan jelas, tanpa ragu-ragu lagi, Shahnon Ahmad membuktikan bahawa kesusasteraan tidak berupaya menyaring perbuatan manusia daripada melakukan penyelewengan yang merugikan diri sasterawan, masyarakat dan negara. Seperti kuda liar yang ingin bebas berlari ke mana saja yang diingininya, maka kesusasteraan dalam pengertiannya yang difahami oleh para sasterawan, yang diambil dari tradisi Barat, hanya menjadi bererti dan bermutu jika menentang norma-norma masyarakat, memusnahkan nilai-nilai murni masyarakat, memberontak dan menghancurkan adab, adat dan kesopanan dengan mengangkat watak-watak jahat sebagai wira. Shahnon Ahmad bukan seorang penulis besar yang melahirkan karya-karya besar yang boleh dibaca berulang-ulang kerana keindahan bahasa dan kebijaksanaan yang terpancar dalam bahasa yang indah itu, malah tidak sebuah pun karyanya yang boleh dibaca lebih dari sekali (itu pun dengan kesabaran yang luar biasa), tetapi beliau seorang tokoh penting dalam sejarah sastera Melayu moden kerana beliaulah yang membuktikan kepalsuan konsep kesusasteraan yang dipraktikkan sekarang. Prof. A. Wahab Ali telah merumuskan dengan tepat kualiti karya Shahnon Ahmad ketika mengulas Tunggul-Tunggul Gerigis dalam kata-kata yang berikut: “Novel ini amat sukar untuk dinikmati kerana terlalu banyak pengulangan menyebabkan kita loya dan muntah. Bayangkan, saya sebagai seorang pengkaji novel mengambil masa yang amat lama untuk menghabiskan novel ini. Malah sering pula saya melontarkan buku itu setiap habis membaca 5-6 halaman.”  Tetapi tidak sukar untuk memahami pendirian terbaru Shahnon Ahmad, yang hanya akan lahir dari seorang tokoh yang berjiwa besar, yang tidak mahu membiarkan dirinya dan sasterawan lain terus berada dalam kekeliruan. Beliau perlu dicontohi.

Kesedaran dan keinsafan SN Shahnon Ahmad boleh dibandingkan dengan kesedaran Achdiat Karta Mihardja, pengarang Atheis, yang kemudiannya menulis Manifesto Khalifatullah (2005) dalam usia 94 tahun. Alhamdulillah, beliau boleh sampai ke tahap itu, dilanjutkan usianya untuk menyedarkan umat Indonesia dan umat Melayu akan kesilapan mereka. Mudah-mudahan ramai yang insaf. Kemunculan novel beliau terbaru itu seolah-olah memberi dukungan kuat kepada gagasan Persuratan Baru dan kemunculan novel Pujangga Melayu. Semuanya boleh terjadi dengan izin Allah!

Seorang penulis berpendidikan Arab, Ustaz Nahmar Jamil, selepas membaca beberapa makalah tentang gagasan Persuratan Baru, dengan ikhlas dan jujur memberikan pendapatnya seperti yang berikut (dengan izin):

            Kertas kerja saudara menjadikan saya berubah daripada buta kepada celik, daripada bodoh kepada cerdik. Malangnya berlaku pada saat-saat usia lanjut. Kalau berlaku pada saat-saat usia muda, mungkin keadaannya lain. Mungkin mentaliti yang lembap akan menjadi lebih radikal.” [Surat bertarikh 13 September 2005.]

 

Mohd. Affandi Hassan.

Petaling Jaya,  31 Ogos 2007.



[1] Istilah paksi naratif berasal daripada permainan gasing. Gasing besar/leper di Kelantan perlukan paksi yang kuat dan tajam untuk berpusing berjam-jam. Gasing yang tak kuat/tak tepat paksinya tidak boleh berpusing atau berpusing sekejap kemudian mati, disebut ‘gasing gila’. Bagaimana dengan paksi naratif yang keliru/longgar dalam sebuah novel/karya kreatif? Dengan menggunakan konsep paksi dan ruang naratif, sebuah novel boleh ditentukan kualitinya dan mutu pemikirannya secara tepat, jitu, dan objektif.

[2] Istilah paksi naratif berasal daripada permainan gasing. Gasing besar/leper di Kelantan perlukan paksi yang kuat dan tajam untuk berpusing berjam-jam. Gasing yang tak kuat/tak tepat paksinya tidak boleh berpusing atau berpusing sekejap kemudian mati, disebut ‘gasing gila’. Bagaimana dengan paksi naratif yang keliru/longgar dalam sebuah novel/karya kreatif? Dengan menggunakan konsep paksi dan ruang naratif, sebuah novel boleh ditentukan kualitinya dan mutu pemikirannya secara tepat, jitu, dan objektif.

Monday, October 26, 2020

MANA SATU PENDAPAT YANG BETUL?

 

Sekarang kita mempunyai dua pendapat, dua pendirian, yang terbuka untuk dipilih oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Untuk memastikan anda membuat pilihan yang paling tepat, pilihan yang terbaik, anda tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk menilai pilihan anda itu berasaskan ilmu. Inilah kedudukan sekarang, setelah anda diberi kata dua oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam dikrinya terhadap kedudukan teori Barat dalam sastera Melayu. Seperti yang anda sudah maklum, menurut beliau menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu adalah satu kesalahan; dengan itu, secara logik, pelantikan para sasterawan negara (termasuk beliau sendiri) adalah salah dan palsu kerana, menurut penegasan beliau, diasaskan kepada teori sastera Barat. Itulah kedudukan pertama yang menjadi “arus perdana” sekarang. Jika anda menerima pelantikan para sasterawan negara ini berasaskan teori sastera Barat, maka anda berada dalam keadaan yang amat memalukan, iaitu anda telah membuat pilihan yang salah. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghujahkan pendapat Prof. Emeritus Muhammad Salleh itulah yang salah, bukan Panel Anugerah Sastera Negara yang tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teori sastera Barat.  Apa salahnya dengan teori sastera Barat?  Pertanyaan ini hanya boleh dijawab oleh para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan sendiri. Mereka tidak perlu bercakap atau menulis panjang lebar untuk membela teori sastera Barat dalam sastera Melayu. Tanpa sastera Barat tidak ada sastera Melayu dan tidak ada pengajian Melayu dan tidak ada kritik sastera. Jika anda menerima hujah ini, maka jelaslah yang bersalah ialah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh. Tetapi pandangan beliau sangat penting, kerana telah ada kesedaran yang perlu dilayani dengan baik, dengan sikap akademik yang mantap. Walaupun pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh sendiri tidak mantap, beliau telah menyatakan sesuatu yang betul, yang perlu diikuti. Kalau anda tidak mahu menerima pendapat seorang profesor sastera yang sangat handalan dan amat terkenal di Malaysia seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh itu, maka pendapat siapa lagi yang anda boleh terima. Tentu saja bukan pendapat saya, yang tidak mempunyai apa-apa gelaran akademik mahu pun gelaran kreatif. Walaupun saya mungkin mempunyai kekuatan ilmiah yang jauh lebih kuat daripada Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, saya tidak mempunyai bukti seperti beliau. Kesimpulannya, pendapat Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh adalah yang terbaik bagi siapa-siapa yang bersikap anti ilmu, yang menolak wujudnya konsep ilmu yang benar.  Bagi pihak yang menerima konsep ilmu yang benar, pendirian saya adalah yang terbaik dan paling siuman untuk diikuti. Inilah pilihan anda: jika anda memilih pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, maka anda berada dalam keadaan yang selamat kerana itulah pandangan yang dinamakan “arus perdana”, yang menjadi pegangan majoriti dan telah berjaya menegakkan hegemoni (menurut falsafah Dr. Mohamed Salleh Rahamad) dan kumpulan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Inilah pegangan yang sah di Malaysia. Adapun pandangan saya, walaupun kukuh dan tegap perkasa dari segi ilmiah, tidak boleh dipakai, menurut kumpulan majoriti, kerana tidak dapat dilaksanakan. Hanya satu impian, kata mereka. Tidak ada apa-apa untuk dijadikan pegangan.  Walaupun diakui oleh manusia siuman bahawa kebenaran tidak memerlukan suara majoriti, namun kedudukannya berlainan di Malaysia, yang sangat teguh memegang suara majoriti. Bagi mereka, yang majoriti itu tidak mungkin berbuat silap, tidak mungkin membuat salah, kerana mereka ramai. Apakah akibat pandangan seperti ini di Malaysia? Akibat yang paling besar dan paling menonjol ialah pandangan ini melahirkan pandirisme, yang kesannya amat buruk ke atas pemikiran manusia dan ke atas perkembangan sastera Melayu moden. Saya telah jelaskan aspek ini dalam tulisan saya.

 

Sikap yang mereka ambil ini digelar sikap “lembu kanyang” dalam loghat Kelantan (budaya Kelantan). Lembu kenyang rerus megunyah kerana rumput dibawakan kepada mereka. Inilah keadaan badan-badan penulis di Malaysia, yang mendapat “rumput” daripada kerajaan. Sumbangan badan penulis ini memang jelas apabila tertubuhnya dengan subur Mutual Admiration Club. Dengan  “rumput” yang dibawakan kepada mereka oleh Kerajaan, maka badan-badan penulis ini memperkuat kedudukan mereka dalam Mutual Admiration Club. Tidaklah aneh jika akhirnya Prof. Emeritus, yang dalam tahun 1973 mengutuk Mutual Admiration Club, akhirnya tidak saja menerima Mutual Admiration Club itu penting, tetapi terus menjadi ketua kumpulan itu.  Mengapakah MAC ini penting? Sebabnya cukup mudah.  MAC memberi kekuatan kepada kumpulan ini untuk mengunyah “rumput” yang dibawakan kepada mereka tanpa sebarang rasa bersalah atau terhina kerana maruah mereka sebagai penulis diremehkan oleh Kerajaan yang inginkan sokongan. Sama-sama mahu: yang satu mahu sokongan; yang satu lagi mahu wang.  Kumpulan “lembu kenyang” ini tidak berminat kepada ilmu, kepada dialog, kepada perbahasan. Mereka hanya berminat kepada saling memuji satu sama lain.

 

Baru-baru ini keluar dalam satu program TV seorang tokoh yang pernah menjadi Ketua Satu Gapena (tak pasti beliau masih lagi Ketua Satu atau tidak) bercakap tentang korupsi dalam kerajaan, politik dan ekonomi. Walaupun beliau dianggap sebagai seorang “intelektual” dan seorang yang terkenal dalam bidang sastera sebagai sarjana, namun pendapat beliau amat cetek dan simplistik. Beliau tidak menghuraikan apakah punca korupsi, dan mengapa punca itu disuburkan.  Punca terbesar ialah kehilangan adab, yang melahirkan pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan manusia. Dalam kesusasteraan Melayu, kehilangan adab ini sangat jelas, telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-buku beliau. Inilah punca korupsi, yang juga berlaku dalam bidang intelektual. Korupsi intelektual lebih besar akibatnya daripada yang lain-lain itu. Korupsi intelektual boleh meruntuhkan satu tamadun sesuatu bangsa. Di Malaysia kita tahu akibatnya, dan telah banyak kali saya bicarakan dalam blog ini. Korupsi intelektual inilah yang menjadi faktor keruntuhan sesuatu tamadun, yang juga berlaku dalam tamadun Melayu. Korupsi intelektal yang menjadi projek Asas 50 telah melumpuhkan sastera Melayu moden, yang tidak lagi mencerminkan kegiatan intelektual berasaskan ilmu, sebaliknya menjadi satu gerakan kebiadaban baru yang berjaya mengusutkan umat Melayu dalam kebudayaan mereka yang dulunya berteraskan ilmu, melalui Asas 50 bertukar menjadi perjuangan nasionalis kiri yang mengetepikan agama dan aspek kerohanian dalam kehidupan manusia. Inilah salah satu faktor yang memudahkan munculnya pandirisme dalam kebudayaan Melayu. Kini pandirisme itu dijadikan arus perdana, diberi nama yang memikat sebagai “hegemoni” yang kononnya menjadikan sastera warisan Asas 50 sebagai teras negara bangsa. Nampaknya bangsa Melayu terus menjadi bodoh kerana mereka diajar oleh sastera  Asas 50 dan pengajaran sastera di sekolah-sekolah yang menjadikan pendekatan Barat sepenuhnya sebagai teknik mempelajari karya sastera.  Teori Barat boleh digunakan, tetapi hendaklah dengan pengetahuan yang agak mendalam mengenai sejarah teori itu dan mengapa sentiasa terjadi perubahan. Pengetahuan seumpama ini penting kerana perubahan itu berkaitan dengan cara tiap-tiap teori mendekati dan membuat tafsiran terhadap sesuatu karya. Di Malaysia teknik yang dipakai telah dimatikan dengan segugus konsep yang tidak berubah sejak berpuluh tahun ini, iaitu konsep-konsep tema, latar belakang, dialog, perwatakan, dan yang sejenis dengannya. Itulah konsep yang dipakai untuk membaca dan menilai sesuatu novel atau cerita pendek, kini sudah menjadi klise yang amat tumpul dari segi pembacaan yang kritis. Inilah konsep-konsep klise yang masih dipakai yang akhirnya melumpuhkan pengajaran sastera di sekolah-sekolah. Dengan menggunakan klise ini, semua karya adalah bermutu belaka, seperti yang dibuktikan dari penjelasan Kementerian Pelajaran ketika membela sebuah novel yang dijadikan teks yang menimbulkan kontroversi. Kata mereka, novel itu penuh dengan pengajaran dan nilai-nilai murni! Kesimpulan begini adalah jenis kesimpulan klise.  Inilah sikap jahil yang menjahanamkan sastera. Lebih teruk lagi, menjahanamkan pelajar.

 

Walaupun Panel Anugerah Sastera Negara amat terpesona dengan perubahan dan menjeritkan dengan nyaring kepada para sasterawan supaya melakukan perubahan dalam karya mereka, namun mereka sebenarnya menentang dengan gigih sebarang perubahan yang memberi kedudukan tinggi dan sewajarnya kepada ilmu yang benar dalam kegiatan seni mengarang. Mereka tidak terima perubahan ke arah ini, kerana mereka menjadi menggigil ketakutan bahawa para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara akan menjadi tidak relevan lagi. Kalau benarlah andaian mereka, adakah kesilapan yang ditegaskan oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh masih perlu diteruskan? Alternatif telah ada, yang penting hanya membuat pilihan. Tetapi Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh sendiri tak mahukan perubahan yang dicanangnya. Itulah masalah kita.  Pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Panel Anugerah Sastera Negara disokong oleh GAPENA, PENA dan semua badan penulis seluruh negara. Inilah kesan pandirisme dalam sastera Melayu moden.  Dirgahayu pandirisme!

 

Mohd. Affandi Hassan

Petaling Jaya 31 Januari 2017.