Saturday, October 26, 2019

PERSURATAN ADALAH PERJUANGAN. TOLAK SASTERAWAN NEGARA YANG PICISAN



Orang Asas 50 berkata, “sastera untuk masyarakat”, mengambil petua daripada Marxisme. Saya masih menunggu para sarjana dan penyokong Asas 50 tampil menafikan kesimpulan ini, supaya kita boleh memberikan pembuktian yang kita ambil daripada karya para penyokong  Asas 50 yang kini sudah ramai yang bergelar sasterawan negara. Mereka telah diberi dedak oleh DAP yang mahu dikenali sebagai pembela sastera Melayu, walaupun DAPig inilah juga yang menentang tulisan Jawi. Bagi DAPig, tulisan Jawi adalah najis agama Islam yang mesti ditentang daripada digunakan dan dipelajari di sekolah-sekolah.  Tidak ada sebuah pun persatuan penulis membantah bantahan DAP terhadap tulisan Jawi. Mereka benar-benar terhutang budi kerana menerima dedak daripada DAP; malah mereka mahu ditambah kerana menurut mereka para sasterawan adalah panglima dalam perjuangan bahasa dan  sastera. Inilah golongan yang menentang konsep ilmu yang benar, dan seterusnya menentang keras Gagasan Persuratan Baru kerana kononnya PB menghalang perkembangan sastera yang mereka rencanakan, yang anti-ilmu itu.  Tiada seorang pun yang memberitahu kita bahawa tulisan Jawi telah dirosakkan oleh DBP dengan mengemukakan ejaan baru yang seratus peratus berasaskan linguistik Inggeris. Ejaan baru Jawi adalah ejaan Inggeris dalam tulisan Jawi. Oleh itu, tidak ada sesiapa pun yang boleh membaca Jawi baru ini mempunyai kebolehan membaca Jawi lama yang digunakan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu untuk menyebarkan ilmu. Kemunculan ejaan Jawi baru adalah satu pengkhianatan besar kepada perkembangan bahasa Melayu. Apa guna tulisan Jawi jenis ini jika tidak boleh digunakan untuk membaca manuskrip Jawi Melayu yang banyak itu?

Kita tidak saja menerima begitu banyak penipuan dalam politik; malah kita pun menerima penipuan intelektual dalam perkembangan bahasa dan sastera.   Seterusnya kita mempunyai toleransi yang tinggi untuk menerima kedudukan para sasterawan negara sebagai sasterawan picisan; malah istilah picisan itu sendiri sudah tidak digunakan kerana dengan kedudukan tinggi yang diberikan kepada para sasterawan negara, maka sifat picisan karya mereka memberikan kedudukan istimewa dalam sastera Melayu. Salah seorang sasterawan negara, Shahnon Ahmad, sedar akan hal ini, lantas mengkritik Baha Zain sebagai sasterawan sajak-sajak kontot yang tidak layak diberi taraf dan gelaran sasterawan negara. Ini merupakan suatu lelucon yang tidak ketara, dan tidak disedari. Kritikan Shahnon Ahmad itu sebenarnya terkena kepada karya beliau sendiri, yang picisan dan melampau sekali sifat erotiknya.  Semua ini terjadi kerana semua sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar sebagai unsur utama yang penting dalam penulisan kreatif.  Mereka tidak dapat menerima konsep ilmu yang benar itu kerana tidak sebuah pun karya para sasterawan negara ini mempunyai kualiti sebagai hasil pemikiran kreatif berasaskan makna dan maksud konsep ilmu yang benar itu.  Ulasan dan huraian terperinci dapat dibaca dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019.)  Tentang Baha Zain, lihat ms. 85-92 yang memberi kedudukan sebenar Baha Zain sebagai pensajak picisan yang dinaik-taraf sebagai sasterawan negara. Terpilihnya Baha Zain dijelaskan oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bahawa beliau telah diminta memilih seorang calon untuk diberikan anugerah sastera; lalu ditulisnya tentang Baha Zain dalam dua muka surat, dan penilaian beliau dalam dua muka surat tulisan tangan itu diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Lelucon ini menjadi mercu tanda tentang kepalsuan kedudukan para sasterawan negara sebagai penulis picisan.  Maklumat ini saya dapat melalui satu forum yang diadakan di DBP tidak lama dulu.  Jika kejadian ini tidak benar seperti yang diakuinya, kita harap beliau membuat pembetulan, atau terus menolaknya sebagai satu pembohongan intelektual.  Penjelasan ini penting kerana kita tidak mahu penipuan bermaharajalela dalam sastera Melayu, terutama sekali dalam pemilihan sasterawan negara.  Semua di antara kita wajib mempertahankan kebenaran, dan tidak menjadikan pembohongan sebagai hujah.

Menjadikan pembohongan sebagai hujah seperti yang digunakan oleh Panel Anugerah  Sastera Negara ternyata gagal mengangkat darjat para sasterawan negara kerana karya mereka tidak berupaya memberikan hujah intelektual untuk mempertahankan para sasterawan negara ini.  Kesimpulan ini boleh difahami dengan mudah jika anda menggunakan kaedah PB untuk menilai karya para sasterawan negara ini.  Inilah yang tidak mahu dilakukan oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera, kerana mereka tahu tidak sebuah pun karya para sasterawan negara boleh dipertahankan sekiranya ukuran yang digunakan dalam PB dipakai untuk menilai karya para sasterawan negara ini.  Sekarang timbul persoalan yang menarik untuk dibahaskan. Jika karya para sasterawan negara tidak boleh, dan tidak sah, untuk dinilai mengikut ukuran yang pakai dalam PB, maka atas dasar apa pula karya itu mesti dinilai mengikut teori sastera Barat?  Jika kita andaikan, oleh sebab karya itu ditulis mengikut teori sastera Barat, maka yang boleh dijadikan ukuran untuk menilai karya itu mestilah mengikut teori sastera Barat juga. Hujah ini menarik kerana kepalsuannya. Perhatikan, bagaimana para sasterawan negara sering mengatakan karya mereka berunsur Islam dan berlandaskan nilai-nilai Islam.  Adakah ini bermakna teori Barat yang mereka pakai itu adalah teori sastera Islam yang memberi keutamaan kepada konsep ilmu yang benar? Sampai begitu sekali mereka cuba mempertahankan karya picisan mereka dengan alasan bahawa teori Barat adalah seiring dan sama dengan teori sastera Islam atau yang berunsur Islam. Jika mereka menolak kesimpulan ini, maka mereka tiada pilihan melainkan karya mereka dinilai berasaskan konsep ilmu yang benar dan menggunakan konsep-konsep yang dicadangkan oleh PB.  Sebenarnya mereka masih mempunyai peluang untuk menolak PB secara total sebagai gagasan yang tidak masuk akal.  Bilakah mereka akan lakukan ini dengan tuntas?  Sudah lama kita menunggu;  cara-caranya telah saya bayangkan dan memang boleh digunakan sekiranya golongan ini benar-benar menguasai teori sastera Barat dan tahu pula kedudukan teori itu daripada perspektif  PB.  Inilah satu-satunya kaedah yang boleh mereka pakai untuk mempertahankan sifat picisan karya para sasterawan negara. Sebagai peringatan, jika mereka lakukan kaedah ini untuk mempertahankan kedudukan karya picisan para sasterawan negara, maka yang mereka lakukan itu ialah menentang nilai-nilai ilmu yang dianjurkan oleh Islam dalam karya kreatif.

Kegiatan sastera di Malaysia sekarang berada dalam suasana ketakutan kepada perubahan, khususnya jika perubahan itu mengenai kedudukan para sasterawan negara dan kedudukan konsep sastera itu sendiri yang  sudah gagal menghadapi perubahan yang dibawa oleh Gagasan Persuratan Baru, maka dengan itu kegiatan sastera sekarang tidak relevan dan tidak lagi berupa gerakan intelektual, kerana tiadanya dialog ilmiah yang amat kita perlukan pada waktu ini dalam keadaan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera sedang berada dalam  kekeliruan besar tentang  kedudukan ilmu yang benar dalam kegiatan sastera, seolah-olah sastera itu hanya untuk hiburan sambil bercerita untuk melestarikan konsep budaya hawa nafsu (the sensate culture) yang menjadi ikutan dan pegangan para sasterawan, jika kita menilai karya mereka. Elok juga jika persoalan ini dibaca dengan kritis dalam buku terbaru saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Sekarang orang sastera menghadapi perubahan besar dalam cara memahami konsep itu sendiri dan ini dikaitkan pula dengan penulisan kreatif.  Maknanya, karya kreatif tidak lagi hanya untuk bercerita dan  berhibur, tetapi telah bertukar arah untuk membuka jalan baru untuk menuju ke matlamat baru untuk mencerdikkan masyarakat, bukan semata-mata untuk berhibur.  Perhatikan ini baik-baik.  Walaupun Asas 50 dan para pengikutnya melontarkan slogan “sastera untuk masyarakat,”  atau “sastera untuk rakyat”, mereka hanya mengemukakan slogan yang jelas dipengaruhi oleh idea Marxisme, tanpa sebarang agenda yang jelas berasaskan matlamat yang jelas dan tepat. Asas 50 menjadikan karya sastera terpisah langsung daripada hakikat kejadian insan, dengan itu secara terang-terangan menolak peranan Islam dalam penulisan kreatif dan ini juga bermaksud tidak diterima nilai-nilai Islam dalam penilaian karya.  Menurut para pengikut Asas 50 yang hingga sekarang masih ada, malah kita boleh berkata semua sasterawan negara yang terpilih adalah pengikut Asas 50, agama tidak boleh dijadikan  unsur penting dalam sastera, kerana menurut mereka jika ini diterima, maka sastera Melayu akan terbantut kemajuannya. Sikap ini masih kuat tertanam dalam penulisan kreatif, seperti yang dibuktikan dari penolakan mereka terhadap Gagasan Persuratan Baru.
Sampai berapa lama karya picisan dan penulisnya boleh bertahan?  Inilah pertanyaan yang amat menakutkan para sasterawan negara dan sarjana sastera yang mempertahankan mereka.  Jika kita melihat perkara ini dari aspek positifnya, maka kedudukan para sasterawan negara ini memerlukan penjelasan ilmiah untuk  membuktikan mereka layak diberi gelaran itu, mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu yang sejak beratus tahun membina budaya ilmu dalam masyarakat Melayu dan Malaysia.  Golongan sasterawan yang menolak konsep ilmu yang benar tidak mungkin diberi kedudukan lebih tinggi daripada golongan ulama dan para cendekiawan itu. Gilalah masyarakat yang mengangkat Pak Pandir atau Lebai Malang sebagai lebih berilmu daripada para ulama dan cendekiawan itu. Inilah yang dimaksudkan dengan pandirisme itu.  Seperti yang sudah saya jelaskan beratus kali dalam blog ini dan dalam buku, para sasterawan negara yang picisan itu  tidak mungkin setaraf dengan para ulama dan cendekiawan yang dimaksudkan.  Maka apabila mereka diberi kedudukan istimewa dengan gelaran tertentu yang tidak secocok dengan sumbangan mereka, maka terjadilah kecelakaan budaya dalam masyarakat, apabila golongan yang tidak berilmu diberi kedudukan yang tidak layak bagi mereka, seperti para sasterawan negara itu.

Perubahan nilai yang dilakukan menerusi pemilihan para sasterawan negara ini memberi kesan buruk yang bersifat serta-merta dalam tindakan dan persepsi kita terhadap nilai yang dipakai dalam membuat penilaian itu. Paling jelas ialah kita menerima sifat picisan sesebuah karya para sasterawan negara ini sebagai nilai yang unggul dalam perubahan nilai itu. Ini bererti sifat picisan sesebuah karya kreatif, jika karya itu karya para sasterawan negara,  maka yang picisan itu boleh dijadikan nilai utama dalam kritikan sastera. Inilah yang terjadi ketika para sasterawan negara dijadikan contoh dalam penulisan kreatif  hanya kerana telah diangkat menjadi sasterawan negara, tidak lagi berasaskan analisa yang kritis terhadap karya itu. Maka terjadilah penilaian yang juga picisan ketika karya picisan oleh Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, diberi kedudukan sebagai karya teragung dalam sastera Melayu berasaskan kedudukan penulisnya sebagai sasterawan negara, bukan berasaskan analisis mendalam dan kritis terhadap karya itu.  Kata orang-porang yang berkuasa dalam sastera Melayu sekarang, itu novel sangat istimewa kerana memenuhi syarat keunggulan mengikut pascamodernisme (postmodernism).  Jika mereka ini benar-benar percaya begitu, maka pendapat ini amat bagus kerana tepat sekali dengan kesimpulan saya bahawa novel ini tidak menggambarkan nilai-nilai ilmu dalam Islam, malah sebaliknya mencerminkan nilai-nilai pascamodernisme.  Masalahnya, pascamodernisme menolak semua jenis nilai, kecuali nilai mereka sendiri yang menolak apa juga faham agama dalam sastera. Bacalah buku-buku mengenai postmodernism jika anda tidak faham.  Jangan terus diperbodohkan oleh teori sastera Barat; oleh itu faham betul-betul kemajuan baru yang sedang kita hadapi sekarang dengan munculnya Gagasan PB sejak tahun 1990-an lagi.  Tidak wajar sarjana sastera tidak baca buku sastera!

Walaupun pada waktu ini orang Melayu yang berminat dalam sastera belum sedar bahawa pelantikan sasterawan negara adalah satu kesilapan besar dalam perkembangan intelektual dan kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam, namun kesedaran itu akan muncul juga sekiranya penentangan terhadap Gagasan Persuratan Baru didedahkan kepada masyarakat.  Penjelasan terperinci tentang persoalan ini telah dibuat dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, tetapi nampaknya buku ini dilarang daripada digunakan dalam pengajian sastera di universiti Malaysia.  Walaupun kita diberitahu kerajaan baru yang  menggelarkan dirinya Pakatan Harapan bersikap terbuka dan menggalakkan kebebasan bersuara yang  diizinkan, namun Kementerian Pendidikan Malaysia tidak membenarkan buku ini dijadikan telaah di kalangan pelajar sastera di universiti.   Alasan yang diberikan ialah buku ini menolak dan menghina para sasterawan negara. Alasan ini aneh dan tidak masuk akal, kerana hanya berasaskan prasangka, bukan berasaskan kajian kritis dan wajar seperti yang diizinkan dalam pendidikan tinggi di universiti.  Tidak wajar para sarjana sastera mengambil sikap memusuhi ilmu dan pendapat orang lain sebelum pendapat itu dibahaskan dengan saksama dan kritis.  Baru-baru ini Menteri Pendidikan kasut hitam memperkenalkan pendidikan sivik di sekolah; tetapi beliau sendiri tidak memperlihatkan adanya unsur sivik itu dalam diri beliau. Celakalah sesiapa juga yang menentang perkembangan ilmu dalam bidang apa pun, terutama bagi manusia yang diharapkan untuk memajukan pemikiran bernas dalam masyarakat.  Kementerian Pendidikan tidak harus menjadi jaguh perkembangan ilmu dengan menyekat kehadiran buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu, tanpa sebarang hujah. Jangan gelincirkan Pakatan Harapan ke dalam gaung kebencian yang dalam…

Kita mengharapkan seorang Menteri Pendidikan dapat membezakan antara sivik dengan adab. Kita tidak perlu pendidikan sivik, bukan cara hidup kita sebagai orang Islam. Kita wajib tanam konsep adab dalam pendidikan. Untuk mengetahuinya lebih lanjut dan lebih mendalam, anda harus membaca buku-buku Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan aspek adab ini dalam pendidikan.  Masalahnya ialah Menteri Pendidikan kita tidak sukakan tokoh besar Malaysia sendiri, yang terkenal seluruh dunia. Apakah yang menghalang seorang Menteri Pendidikan untuk melaksanakan program pendidikan adab di sekolah-sekolah, semua jenis sekolah yang terdapat di Malaysia. Kalau kamu tidak tahu, maka inilah kamu diberitahu sudah pun ada pendidikan adab itu dicerakin dengan baik sekali oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-bukunya tentang adab.  Sekiranya konsep adab ini difahami, engkau pun akan faham dengan mudah dan jelas mengapa sasterawan negara itu wajib ditolak, kerana mereka tidak  mencerminkan aspek adab yang difahami dalam Islam. Mengapa perkara ini penting?  Mudah sahaja. Jika anda pernah membaca kitab yang ditulis oleh para ulama Melayu, dan anda bandingkan dengan karya yang ditulis oleh para sasterawan, apakah kesan anda? Sekiranya anda tidak dapat membezakan dua perkara ini, maka anda akan berada dalam kebiadaban seumur hidup anda. Itulah yang diberikan oleh karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara. Karya itu tidak membawa anda ke matlamat yang telah ditetapkan untuk manusia beragama; sebaliknya anda akan mengikuti kehidupan yang disediakan untuk anda oleh Iblis dan Syaitan yang menolak adab dengan angkuh ketika disuruh tunduk hormat kepada Adam AS.   Cerita ini anda boleh dapat dalam al-Quran;  tetapi anda telah menolaknya kerana sastera tidak membenarkan anda menerima hakikat kejadian insan sebagai asas penulisan. Semua ini tidak ada dalam sastera Barat yang anda contohi.  Sekarang anda perlu membuat pilihan, atau memang anda telah pun membuat pilihan. Amatlah memalukan apabila terdapat sarjana dan pengkritik sastera mengangkat novel Naratif Ogonshoto begitu tinggi, padahal novel itu tidak menggambarkan hakikat kejadian insan seperti yang difahami dalam Islam. Ada tidak sesiapa yang mahu mempertikaikan kesimpulan ini? Kita mahu lihat siapa orang itu dan apakah hujahnya.

Sekarang anda faham mengapa anda perlu membaca dengan kritis  entri yang lepas, untuk memahami entri ini. Jika tidak, anda akan terus berada dalam kehilangan adab merayau dalam keadaan “cetek meraba-raba” kerana tidak jelas konsep ilmu. Anda pastilah akan terus menerus “sesat Barat”, satu ungkapan yang terkenal di kalangan orang kampung di Kelantan!

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26 Oktober 2019.




Monday, October 14, 2019

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT ...



Nota:
Tulisan panjang ini penting dilihat kembali sebelum saya terbitkan tulisan terbaru tentang sasterawan negara

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN

Kehadiran teori dan pendekatan  kritikan Barat dalam sastera Melayu moden telah berjaya membawa sarjana  sastera ke dalam belantara maklumat dan sesat meraba-raba di situ.  Teori dan pendekatan itu telah memberi mereka keseronokan “akademik” yang membuat mereka khayal dalam timbunan maklumat yang mereka gunakan sewenang-wenangnya dalam kerja-kerja akademik mereka.  Kita dapat lihat keseronokan di kalangan sarjana ketika mereka membentangkan kertas kerja mereka dalam seminar pemikiran para sasterawan negara. Kita sudah mempunyai sekurang-kurangnya 200 kertas kerja yang boleh dijadikan bukti betapa penggunaan maklumat yang tidak disaring dengan konsep ilmu yang benar itu mengelirukan para sarjana ini, dan ini dijadikan asas oleh mereka ketika membuat penilaian dan kritikan terhadap karya kreatif. Kita akan meneliti beberapa buah tesis Ph.D. yang telah diterbitkan untuk melihat bagaimana kekeliruan ini dijadikan arus perdana dalam kajian dan kritikan sastera.

Para sarjana sastera Malaysia telah berjasa besar membawa masuk begitu banyak maklumat tentang kritikan sastera, dalam pelbagai pendekatan yang dipakai di Barat. Mereka begitu ghairah memperkenalkan aneka ragam pendekatan yang kadang-kadang aneh-aneh, seperti misalnya pendekatan interteksualiti, teori pascakolonial, feminisme, unsur subaltern dalam teori hegemoni Gramsci, dan lain-lain. Terbaru yang diperkenalkan mereka ialah teori (atau pendekatan?) sastera perjalanan, yang membicarakan pengalaman perjalanan sasterawan melihat muzium, patung-patung di muzium, kubur sasterawan dunia, dan lain-lain. Semua “teori” ini sesuai digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara,  dan dapat membantu menyerlahkan kekuatan karya mereka. Beberapa orang sasterawan negara sudah ada yang menulis kisah alam akhirat, tetapi hingga kini belum ada lagi teori tentang sastera akhirat ini. Mungkin sedang dalam pembinaan. Jika teori sastera akhirat ini muncul, maka lengkaplah teori sastera dunia yang boleh dipakai untuk menganalisis karya para sasterawan negara. Antara yang berani menulis tentang akhirat ini ialah Anwar Ridhwan, (lihat Laporan 2009, hal. 9, mengenai cerita pendek “Hati” tentang kehidupan manusia di alam roh), Arena Wati, dan mungkin yang lain-lain juga. Imaginasi para sasterawan negara ini tidak terbatas!  Dalam hal ini mereka adalah pengikut yang sangat taasub teori sastera Barat, dan tidak menghormati etika penulisan menurut pandangan Islam.


Dalam perkembangan ini, kita dapat melihat dengan jelas betapa terikatnya para sarjana kita kepada teori sastera Barat. Sekali imbas keterikatan ini seolah-olah satu perkembangan biasa, yang banyak berlaku di negara-negara lain. Ada dua perkara penting mengapa hal ini terjadi. Pertama, inilah kesan kolonialisme yang memberikan anak jajahan bahasa jajahan, seperti Inggeris, Perancis, German, Portugis, Belanda, Sepanyol. Semua ini bahasa penjajah yang diterima menjadi bahasa kedua yang utama; malah itulah juga bahasa rasmi beberapa buah negara yang kemudiannya diberikan kemerdekaan dengan syarat-syarat tertentu, walaupun ada yang merebut kemerdekaan itu dengan pemberontakan. Bahasa penjajah, sistem ekonomi, sistem politik, perundangan, malah sistem sosial sendiri pun mengalami perubahan besar hasil penjajahan itu. Perubahan dari segi sosial lebih berkesan dengan tumbuhnya bandar-bandar baru yang mengurung penghuninya dalam rumah-rumah kecil yang sempit yang kemudiannya menjadi sumber jenayah. Pembangunan dan pemodenan membawa masalah baru yang kemudiannya dibiasakan, iaitu jenayah dalam berbagai-bagai bidang kehidupan moden. Dalam hal ini, dua jenis jenayah yang sangat popular dan dijaga dengan seluruh kekuatan sistem: iaitu jenayah ekonomi dan politik dalam bentuk rasuah. Kini rasuah diinstitusikan dari segi politik dengan diberi nama-nama khusus yang tidak lagi berupa bentuk rasuah, tetapi termasuk dalam belanjawan negara atas nama projek tertentu untuk kemakmuran rakyat. Di sinilah politik memainkan peranannya yang istimewa: wang yang diperuntukkan itu akhirnya masuk poket ahli politik sendiri dengan kerjasama pengusaha dan peniaga yang membangun negara. 

Wednesday, October 9, 2019

ANDA PERLUKAN DUA PERKARA UNTUK MENYELAMATKAN KEHIDUPAN ANDA



Sedikit sekali yang faham mengapa saya memberi penekanan yang begitu besar kepada dua konsep dalam Islam:  tauhid dan taklif. Tauhid untuk mengenal hakikat Pencipta anda; taklif untuk memahami makna kehidupan anda yang anda alami seharian.  Khusus untuk para pengarang, saya rumuskan dua perkara ini dalam  Gagasan Persuratan Baru, yang berteraskan konsep ilmu yang benar.  Itulah yang saya cuba gambarkan dalam Pujangga Melayu, dengan memberi segala jenis teknik yang dapat dikuasai oleh mana-mana penulis jika dia benar-benar faham maksud dan matlamat penulisan kreatif dalam Islam. Saya pernah menegaskan, persuratan adalah perjuangan. Dua jenis perjuangan yang tidak dapat dielakkan. Pertama,  perjuangan untuk mendapat kefahaman yang mendalam tentang makna kehidupan dunia.  Kedua, sebagai seorang penulis, anda wajib memahami dengan mendalam matlamat perjuangan anda dalam persuratan. Dalam konteks inilah saya sebut bahawa persuratan adalah perjuangan; dan setiap perjuangan mempunyai matlamat yang jelas, yang telah saya simpulkan dalam Pujangga Melayu, dalam dua muka surat terakhir, yang berakhir dengan ayat yang amat pendek dan mudah,  sebagai penamat novel itu; yang dari segi makna adalah permulaan kepada satu perjuangan yang panjang: untuk menegakkan sebuah negara Islam di Nusantara.  Alangkah menariknya jika anda tertawa bila membaca kesimpulan ini,  kerana anda sekarang pada peringkat permulaan untuk memahami makna sebenar satu perjuangan yang anda sendiri tidak sempat menyempurnakannya, oleh itu perlu disempurnakan oleh orang lain. Itu sebabnya saya pernah berkata, saya beri seratus tahun kepada bangsa Melayu untuk memahami makna  Pujangga Melayu.  Dengan penjelasan ini, saya harap anda faham mengapa saya tolak sasterawan negara yang memang berjaya menulis karya picisan yang sering kali bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang telah ditradisikan dalam persuratan Melayu beratus tahun yang lalu.  Apa yang berlaku dalam sastera Melayu, itulah juga yang berlaku dalam politik Melayu.

Kita baru saja disuap dengan mimpi baru yang diberi nama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030  (Shared Prosperity Vision 2030).  Inilah antara contoh penipuan dalam sistem demokrasi yang ditegakkan melalui  konsep mobilization of bias.  Yang dipanggil WKB 2030 itu ialah contoh terbaru, mungkin yang terbaik, tentang konsep mobilization of bias itu.  Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu kasi tahu sama rakyat bahawa inilah kerajaan terbaik Malaysia yang akan memberi pembelaan terancang kepada semua rakyat. Mereka dijamin akan makmur  jika terus menyokong PH.  Kini sudah timbul suara yang belum lantang menyatakan PH sudah gagal melaksanakan janji pilihan rayanya. Antara contoh yang diberikan: harga barang mahal; pekerjaan sukar dapat;  pilihan istimewa (kroni) di kalangan penyokong masih berlaku;  dan seterusnya seperti yang anda boleh dapat melalui Internet. 

Tiga matlamat WKB 2030:  (1) pembangunan untuk semua  melalui struktur baru yang progresif;  (2)  menghapuskan jurang kekayaan di kalangan rakyat tanpa mengira bangsa; (3) membina negara bersatu, makmur dan bermaruah untuk muncul sebagai paksi ekonomi Asia.   Adakah selama ini tiga perkara ini tidak ada dalam pembangunan ekonomi Malaysia? Nampaknya begitulah; dan ini diakui sendiri oleh pelopor Wawasan 2020 yang dengan syukur dan ikhlas mengaku wawasan itu gagal, digagalkan oleh Abdullah  Badawi dan Najib Tun Razak yang menolak wawasan itu. Oleh itu direka pula wawasan baru untuk menebus kegagalan wawasan lama yang juga dicipta oleh orang yang sama yang mencipta WKB 2030!  Menurut  pengakuan pencipta WKB 2030, seluruh rakyat Malaysia menerima dengan gembira projek baru ini supaya semua rakyat dalam masa 10 tahun ini akan menikmati kemakmuran bersama. Ini termasuk negeri-negeri Melayu yang mundur yang akan muncul sebagai negeri yang paling maju setelah dilaksanakan WKB 2030 ini. Lampu ajaib Aladin kini berada dalam tangan YAB Tun Dr  Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.  Kerana lampu itu dalam tangan YAB Tun Dr. Mahathir, maka terloponglah mulut Anwar Ibrahim  yang begitu berahi hendak menduduki takhta Perdana Menteri yang semakin hari semakin tebal ditutupi jerebu politik Tun Dr. Mahathir yang lihai itu.  Siapakah agaknya yang akan mewarisi WKB 2030 itu?  Agak aneh, semua orang tahu dengan pasti siapa orang itu; dengan anak Mahathir sendiri menjadi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.  Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, itulah makna WKB 2030 yang orang tidak tahu.  Sekarang rakyat Malaysia harus memilih sama ada mahu terus memeluk WKB 2030 tanpa Anwar Ibrahim, atau menolak WKB 2030 sekiranya Anwar Ibrahim menduduki takhta Perdana Menteri.  Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, susah betul hendak membuat pilihan: dipilih mati emak, dilepas mati bapa!  Kalau ditendang kedua-duanya, siapa pula yang jadi pengganti?  Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, jika benarlah terjadi perkahwinan politik antara PAS dan UMNO, maka merekalah yang akan naik dan dengan itu WKB 2030 akan dicampak ke dalam Laut Sunda (kini dipanggil Laut China Selatan, tak fasal-fasal diberi nama itu oleh penjajah).  Nampaknya orang Melayu sudah agak yakin itulah pilihan terbaik, mengembalikan perpaduan Melayu melalui perkahwinan itu.

Betulkan begitu?  Menurut nagarawan (bukan negarawan) Tun Dr. Mahathir Mohamad,  perkahwinan itu tidak mungkin terjadi, kerana UMNO telah dikafirkan oleh PAS dan dokumen pengkafiran itu belum dimansukhkan  oleh Tuan Guru Haji Hadi yang membikin dokumen penting itu.  Dari segi perhitungan politik, lebih baik jika dokumen pengkafiran itu ditarik balik dan dihumban ke Laut Sunda; dengan itu jika perkahwinan politik ini benar-benar terjadi, maka terbukalah peluang kepada Tuan Guru Haji Hadi Awang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, pilihan ini adalah yang terbaik dan paling menguntungkan politik Melayu yang dipecah-belahkan oleh Tun Dr. Mahathir  Mohamad dengan pertolongan DAPig!  Sudah patut Amanat Haji Hadi dilempar ke dalam Laut Sunda; kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengkafirkannya dan menolaknya sebagai penyelewengan akidah.  Anda boleh dapat dokumen itu di JAKIM.

Jika ini berlaku, jelaslah tajuk entri kali ini tidak tepat, terlalu jauh dari realiti politik sekarang yang menolak peranan Islam sebagai peranan definitif dalam politik Malaysia.  Bagaimana pun, anda sekarang menghadapi dua jenis amaran. Amaran pertama, yang menjadi tajuk entri ini. Amaran kedua, yang menjadi hakikat politik sekarang.  Yang penting, Vision 2020 telah menolak peranan Islam dalam pelaksanaan Wawasan 2020 itu. Anda boleh baca ini dalam dokumen penting, SEMINAR KEBANGSAAN KE  Arah Masyarakat Maju dan Perindustrian: Memahami Konsep, Implikasi dan Cabaran Wawasan 2020, bertarikh 5-7 Disember 1991.  Dengan jujur Tun Dr. Mahathir  Mohamad telah mengaku Wawasan 2020 telah gagal mencapai matlamatnya; maka itulah diperlukan  WKB 2030 yang kali ini PASTI berjaya sepenuhnya.   Kalau gagal pun tidak mengapa, kerana beliau tidak ada lagi waktu itu.

Berapa lama Melayu akan terus hanyut dalam arus mobilization of bias ini?  Oleh sebab Melayu telah diajar untuk menerima penipuan politik sebagai takdir kehidupan mereka, maka mereka tidak keberatan untuk ditipu oleh ahli politik seterusnya.  Inilah hakikat politik Malaysia yang mengasyikkan ahli politik terus berjuang dalam mencipta mimpi Mat Jenin dalam politik Melayu.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Oktober 2019.