Kemunculan the
poetics of adultery dalam sastera Melayu yang saya bincang dalam entri
yang lepas, dipelopori oleh seorang pensyarah di Universiti Malaya (bagaimana
Universiti Malaya boleh menerima beliau adalah suatu tindakan tidak siuman),
membuktikan betapa karutnya kesarjanaan tentang sastera di negara Malaysia ini;
dan lebih teruk lagi diterima dengan begitu bangga sehingga diberi hadiah
istimewa. Pastilah yang menilai tulisan sarjana ini tidak ada maruah
intelektual sedikit pun, menerima suatu tindakan yang tidak boleh diterima sama
sekali oleh manusia Melayu yang mendengar azan paling tidak lima kali
sehari. Bayangkan, seorang sarjana Islam
menjadikan perzinaan sebagai sumber
puitika sastera wanita Indonesia dan Malaysia. Di mana sifat siuman sarjana
ini, atau memang sepatutnya begitu kerana sudah mabuk dengan teori feminisme
Barat yang jelas mengarut itu. Lebih mengarutkan
lagi, terdapat pula sekumpulan penilai yang lebih mengarut lagi dalam penilaian
mereka, termasuk Universiti Malaya sendiri, yang menerima buku sarjana ini
untuk diberi hadiah istimewa. Kalau anda
tidak sensitif kepada persoalan yang begitu jelas berada di depan mata anda,
maka anda turut menerima perzinaan sebagai asas puitika sastera wanita
Indonesia dan Malaysia. Dalam konteks inilah sangat penting kemunculan Hikayat Salim Adil difahami dengan
jelas, kerana inilah sebuah karya yang membawa kembali sifat siuman yang begitu
teruk di kalangan sarjana Melayu. Lihat kembali hal. 58-59 Hikayat Salim Adil. Tidakkah
ini tidak siuman?
Entri kali
ini tidak dapat dielakkan, kena juga tulis kerana pembaca Hikayat Salim Adil kebanyakannya memerlukan bantuan untuk
memahami karya ini. Mana-mana yang membuat “kritikan” maka pandangan itu sangat
berguna untuk mengukur sejauh mana hikayat ini difahami pembaca yang serius. Para
sarjana tidak berminat kerana mereka memang bersikap ingkar ilmu, malah
terang-terang bersikap anti-ilmu yang benar. Oleh itu penjelasan ini penting
untuk membantu pembaca mendapat input intelektual ketika membaca karya ini.
Mengapa
karya ini dimulai dengan prakata? Tidak memerlukan penjelasan. Oleh itu kita
tinggalkan saja. Terus saja ke Ruang Pertama. Bahagian ini penting kerana
huraian dalam bahagian ini boleh dijadikan lonjakan untuk memahami karya ini
seterusnya, terutama sekali kutipan penting dari Susan Sontag di halaman
18. Mengapa kutipan itu penting?
Sebenarnya itulah kunci untuk memahami karya ini. Baca baik-baik kutipan itu
dan cuba renung dengan mendalam apa yang tertulis di situ. Apakah yang tersirat dalam kutipan itu? Apabila anda sampai ke Ruang 2, anda
sepatutnya sudah bersedia untuk mula memahami rahsia kreatif seorang pengarang
yang berfikir, bukan yang hanya ingin bercerita.
Apakah yang
ada dalam Ruang 2 itu? Inilah asas
kefahaman anda bila anda memilih untuk membaca hikayat ini sampai habis. Jika
anda faham Ruang 2 ini, anda akan mula merasa cetusan pemikiran yang segar yang
akan membolehkan anda menggunakan pengalaman itu untuk membaca karya para
sasterawan negara, misalnya. Ini bererti
Hikayat Salim Adil menjadi asas
ukuran penilaian anda ketika menilai dengan cermat dan kritis karya para
sasterawan negara. Bagaimana ini boleh
berlaku? Untuk memahaminya, kita perlu
lihat kedudukan “Karya Falsampah” dalam
konteks keseluruhan teknik Hikayat Salim
Adil.
Kekuatan Hikayat Salim Adil yang tidak ada dalam
mana-mana karya para sasterawan negara ialah dalam pembaharuan teknik yang
menyatukan tiga komponen: wacana, cerita, dan pemikiran. Ketiga-tiga aspek ini dijalin dalam teknik stylization of ideas (siratan makna) yang diperkenalkan oleh
Gagasan Persuratan Baru. Contoh terbaik
untuk memahami konsep ini ialah dengan menganalisis “Karya Falsampah” yang
termaktub dalam Ruang 2. Ruang 2 mengemukakan satu wacana mengenai teknik
bercerita yang sebelum ini tidak pernah
berlaku dalam penulisan kreatif. Mari kita baca bersama Ruang 2 dengan kritis
dan kreatif.
“Karya
Falsampah” adalah kunci untuk memahami Hikayat
Salim Adil keseluruhannya.
Perhatikan bagaimana “Karya Falsampah” ditulis, dan mengapa diberi judul
yang mengaibkan. “Falsampah” adalah
singkatan daripada “fasal sampah” dalam sastera atau karya sastera. Sesuatu
karya menjadi “karya sampah” jika tidak memenuhi syarat yang paling minimum,
terdiri daripada tiga syarat utama yang juga menjadi ciri utama sebuah karya
yang bermutu. Dalam konteks kreatif Melayu (atau Malaysia), yang menjadi syarat
pertama sesebuah karya bermutu ialah karya itu mesti bertujuan, atau mempunyai matlamat, untuk mencerdikkan
bangsa Melayu. Syarat kedua, supaya syarat pertama dapat dipenuhi, maka karya
itu perlu jelas konsep ilmunya, yakni karya itu perlu berasaskan konsep ilmu yang benar yang bersumber dari
al-Quran. Dengan itu karya yang dimaksudkan perlu diberi teknik yang akan
membolehkan karya itu memenuhi dua syarat tadi, yakni menggunakan teknik stylization of ideas. Ini penting
kerana pada waktu ini, setelah persuratan Melayu diketepikan, maka yang
mengambil tempat para ulama dan cendekiawan ialah para sasterawan yang hanyut
dalam ambiguiti nilai, dan ahli politik yang korup. Dua kumpulan inilah yang
mewujudkan projek sasterawan negara; oleh itu semua yang telah dilantik menjadi sasterawan negara
terdiri daripada anggota Mutual Admiration Club belaka. Mereka terdiri daripada
satu kumpulan sasterawan yang tidak memenuhi tiga syarat utama yang disebut di
atas. Hasil karya mereka adalah picisan, anti-ilmu, penuh sensasi, sehingga
akhirnya menerima nihilisme sebagai satu unsur baru dalam karya sastera seperti
yang kita dapat lihat dengan jelas dalam Naratif
Ogonshoto yang nihilistic itu. Di mana terdapat nilai-nilai murni dalam
karya teragung itu, walaupun negara, kononnya, mengutamakan nilai-nilai murni
dalam masyarakat dan pendidikan negara. Dalam
penilaian karya picisan ini, kita disogok dengan sejenis “teori” yang tidak
siuman yang dipanggil “teori kerancuan sastera”, dicetuskan oleh Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad dalam sebuah
eseinya yang mendapat Hadiah Sastera Kebangsaan 2005 tajaan Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kekacauan dalam penilaian
sangat nyata, kerana tiadanya standard yang jelas yang dipakai. Hal ini telah
dibicarakan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam banyak
tulisan beliau; telah juga dibuktikan dengan jelas dalam tesis sarjana Nur
Fatiha Fadila Abu Bakar yang membicarakan empat buah novel Anwar Ridhwan. Apa
lagi bukti yang kita mahu? Yang perlu dilakukan oleh para sarjana dan
pengkritik sastera ialah memberi sanggahan paling kritis kepada hasil analisis
yang saya sebutkan itu. Mereka harus melakukannya dengan segera supaya mereka
tidak kelihatan sebagai golongan yang telah memberi penilaian palsu terhadap
karya yang tidak bermutu, yang pada hakikatnya adalah picisan. Kerja mereka sebenarnya menjadi mudah kerana
mereka hanya diperlukan membaca dengan kritis dan kreatif karya saya sendiri
untuk disanggah dengan membandingkannya dengan karya para sasterawan negara.
Saya telah memberi jalan kepada mereka bagaimana ini boleh dilakukan dengan
mudah dalam beberapa entri dalam blog ini.
Cabaran ini perlu mereka sambut dengan berwibawa sesuai dengan kedudukan
mereka sebagai sarjana sastera, pengkritik dan sasterawan unggul. Saya telah bermurah hati memberi jalan kepada
mereka melalui Gagasan Persuratan Baru dan penggunaan bahasa berasaskan konsep
ihsan (lihat tulisan saya dalam Adab dan
Peradaban, bab 19.) Pendeknya, anda
tidak kekurangan bahan untuk menolak dengan tuntas segala cabaran akademik yang
saya lontarkan kepada mereka untuk memastikan penilaian saya terhadap para
sasterawan negara tidak berasas. Makin lama anda menunda sanggahan anda, maka
jelas anda berada dalam keadaan yang disebut oleh Prof. Jeff Mason dalam
bukunya, Philosophical Rhetoric (Routledge, 1989) dalam kata-kata berikut
ketika mengkritik para ahli falsafah: “All the allusions to high-flown
philosophical theories, the quest for truth, the ideals of education, and so
on, are nothing but artful ruses” (hal. 17). Inilah yang kita dapati dalam Laporan Panel
Anugerah Sastera Negara, dalam tulisan para profesor sastera ketika memuji para
sasterawan negara. Paling menonjol, tentu saja, ialah pujian Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad terhadap karya nihilistik dan picisan yang berjudul Naratif Ogonshoto, karya Anwar Ridhwan.
[Rujukan tentang makna “ruse”, lihat Collins
Cobuild Learners Dictionary: “A ruse is an action or plan which is intended
to deceive”. Seterusnya Chambers 2-in-1
Dictionary: “a clever stratagem
intended to deceive”. Ini pula terjemahan
dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan: “helah, muslihat; tipu helah.] Saya memberi anda peluang seluas-luasnya
untuk melihat berapa banyak “ruses”
dalam karya kreatif saya dan dalam karya akademik membicarakan Gagasan
Persuratan Baru dan dalam penilaian saya terhadap karya para sasterawan negara.
Kembali
kepada Hikayat Salim Adil, kita pergi ke halaman 58-59 tentang satu
penipuan akademik paling unggul apabila seorang sarjana yang mendapat hadiah
berprestij diberikan oleh Universiti Malaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka
mengemukakan the poetics of idultery dalam bukunya Puitika
Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerit USM 2012), tesis Ph.D. seorang
sarjana terkenal, Dr. Norhayati Ab. Rahman.
Dari segi akademik, pembohongan akademik dan penipuan intelektual
seumpama ini tidak boleh dimaafkan, apatah lagi diberi hadiah. Tetapi perkara seumpama ini sering berlaku
dalam penilaian di Malaysia, oleh itu dibenarkan dan digalakkan supaya yang
palsu begini terus maju dan para sarjana dan sasterawan terus diberi pujian dan
sanjungan. Inilah contoh yang disebut
oleh Prof. Jeff Mason “nothing but artful ruses”. Oleh itu tidaklah pelik dan menghairankan
jika para sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik menerima the
poetics of adultery yang ditaja oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman melalui
bukunya itu sebagai sesuatu perkembangan baru yang membanggakan, yang sesuai
dengan retorik Panel Anugerah Sastera sendiri. Buktinya jelas apabila buku itu
mendapat hadiah daripada dua organisasi terkenal Malaysia, DBP dan Universiti
Malaya.
Kemunculan Hikayat Salim Adil memberi anda peluang
melihat dengan jelas bagaimana “artful
ruses” yang disebut oleh Prof. Jeff Mason dalam kutipan di atas berleluasa
dalam sastera Melayu dalam segenap bidang. Hikayat
Salim Adil memberi anda hujah untuk menolak “artful ruses” itu.
Ada sebuah
buku kecil mengenai kegagalan feminisme di Barat sejak 5000 tahun hingga kini,
karangan Prof. Mary Beard, Women &
Power: A Manifesto (London Review:
Profile Books, 2017). Buku ini saja pun
sudah cukup untuk menjadi bukti betapa palsunya konsep ginokritik yang
diperkenalkan oleh Shawalter; apatah lagi jika dirujuk pula karya Prof. Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The intimate
connection between queer and feminist
theory (2nd, edition, Zed
Book: London, 2016; edisi pertama 2010).
Dalam buku Prof. Mary Beard, hal. 80, terpampang poster pilihan raya
Donald Trump sebagai Perseus memenggal
kepala Hilary Clinton sebagai Medusa.
CNN yang sepanjang masa membelasah Presiden Amerika ini menyiarkan
gambarnya bersama seorang pekerja sex, yang diakuinya dilangganinya. Kini di
Barat tidak ada pelacur; diganti dengan pekerja sex yang dihalalkan. Itulah realiti feminisme di Barat, yang
dibanggakan oleh sarjana dan sasterawan kita yang buta politik dan buta budaya
Barat. Inilah kumpulan yang menerima the
poetics of adultery sebagai satu penemuan dan kemajuan baru dan
pembaharuan dalam sastera Melayu. Jacques Barzun dalam bukunya, The Culture We Deserve (Wesleyan University Press ,1989) menulis sebuah bab,
“License to Corrupt”, mengenai perubahan dalam perkembangan bahasa, menyentuh
juga tentang sastera, yang memang berlaku dalam sastera Melayu. Hasilnya ialah the
poetics of adultery. Tanpa Hikayat
Salim Adil anda tidak akan mengerti semua ini. Demikianlah kehebatan karya
ini sebagai sebuah karya pemikiran, karya intelektual. Layaklah karya ini
menjadi Sebuah Autobiografi Intelektual tokoh yang bernama Salim Adil.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9 Mac 2018.
No comments:
Post a Comment