Sunday, August 31, 2014

BENARKAH TIDAK ADA SARJANA CIRITAN?



Dalam tahun 1980-an Prof. Syed Hussein al-Attas memperkenalkan ungkapan “profesor kangkung” merujuk sekumpulan profesor yang tidak menulis dan berpada dengan gelaran itu tanpa terlibat dalam kegiatan intelektual yang bermakna, terutama dalam bidangnya. Tentu saja ungkapan ini menimbulkan kemarahan para pensyarah universiti, tetapi tidak pula diketengahkan apa-apa bukti yang menolak kritikan Prof. Syed Hussein al-Attas itu. Akhirnya ungkapan itu mati begitu saja. Sekiranya memang wujud profesor kangkung, tentulah mereka gembira kerana kritikan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai ahli akademik. Tidak  ada profesor jenis kangkung ini dipecat, atau diturunkan statusnya; malah ahli akademik yang terbukti plagiat pun tidak menjejaskan peluangnya untuk mendapat kedudukan tinggi di bidang  akademik itu. Kes ini mengenai seorang pensyarah yang menggunakan hasil penyelidikan pelajarnya untuk dijadikan makalah ilmiah tulisannya. Setahu saya dia kemudiannya dilantik menjadi profesor setelah tuduhan plagiat itu dikatakan timbul dari salah faham sahaja! (Maksudnya: istilah plagiat digunakan secara tidak betul, satu perkara yang pelik, yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan ahli akademik, yang tidak dapat menggunakan istilah dengan tepat! Mungkin inilah antara bukti paling jelas tentang wujudnya “sarjana ciritan” ini).

Kini timbul ungkapan baru, “sarjana ciritan”. Adakah mereka wujud? Siapakah mereka? Bukti yang dikemukakan diambil daripada tulisan para sarjana ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Ciri utama yang digunakan untuk menilai tulisan ini ialah apa yang disebut sebagai “retorik peragaan”. Ungkapan ini merujuk kegemaran ahli akademik memberi pujian tinggi dan melampau dengan menggunakan kata-kata pujian yang tidak diiringi bukti konkrit disertai dengan analisis yang mendalam, menghuraikan dengan tepat dan objektif deretan pujian yang diperagakan itu. Beberapa nama telah disebut dalam tulisan saya yang lepas, yang dimuat dalam blog ini.  Paling menarik di antara contoh ini ialah tulisan Prof. Madya Arbak Othman tentang Muhammad Haji Salleh. Tajuknya penuh sensasi dan bombastik: “Penstrukturan Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu Penelitian Semiotik” (dibentang dalam Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh, DBP 9-10 November 2010). Saya telah membahaskan kertas kerja ini dalam pos bertarikh 13 Ogos, 2014, dengan judul, “Kritikan Sastera yang Naif, Keliru dan Anti-ilmu”; sila rujuk di sana untuk penjelasan lanjut.  Selain dari itu, kesan kewujudan sarjana ciritan ini ialah merebaknya apa yang dinamakan oleh Muhammad Haji Salleh “Mutual Admiration Club” (dia bangkitkan perkara ini sejak 1973 lagi!). Contoh paling jelas wujudnya kelab ini ialah Kelab Sasterawan Negara, di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara. Paling ironik ialah Muhammad Haji Salleh sendiri menjadi penyokong dan pembela utama Kelab Sasterawan Negara ini. Saya rujuk tulisan beliau dalam Dewan Sastera (September 2013), berjudul “Puisi dan Pemikiran dalam Gaya Bahasa Baha Zain”. Baca baik-baik tulisan ini dan komentar kritis saya terhadapnya. Inilah contoh kritikan yang naif, yang saya maksudkan itu. Kita lihat sejauh mana saya silap, supaya anda dapat melihat pula sejauh mana saya betul. Tulisan Muhammad Haji Salleh ini penting dalam konteks “Mutual Admiration Club” yang beliau kritik dalam tahun 1973 itu.

Kata Muhammad Haji Salleh dalam pendahuluan tulisannya: “Baha Zain sudah diiktiraf sebagai seorang penyair dan penulis esei tersohor di Malaysia. Untuk sekian lamanya, beliau sudah pun mencapai suatu tahap gaya dan suara yang unik, dan watak kepengarangan yang sangat berbeza”. (hal. 29) Seterusnya beliau menegaskan, Baha Zain mempunyai gaya intelektual, lantas memberikan penegasan beliau, “Sajak intelektual ialah sajak yang berteraskan fikiran, atau menjadikan buah fikiran sebagai titik terasnya. … Gaya ialah tenunan watak, dan watak ialah peribadi dan pengenal. Gayanya agak susah untuk ditakrifkan, tetapi bukan logika seluruhnya yang dituju. … Oleh itu, idea juga  disampaikan dengan jalinan dan rujukan pada perasaan.  … Lihat logika yang rimbun oleh tanah subur perasaan dan bawah sedar.” Maka diberinya contoh  (saya terpaksa turunkan walaupun membuang ruang makalah ini):

Kata-kata adalah daun
lebat merimbun.

Datang musim,
Berdebu dan kering
Bertiup angin
Merembas segala
Yang ringan tak termakan.

Yang tak terungkapkan
Tinggal diam
Alam kata
Terpendam segala.

Kata Muhammad Haji Salleh, dalam retorik peragaannya: “Lihat logika yang rimbun oleh tanah subur perasaan dan bawah sedar.” Sajak Baha Zain dan kesimpulan Muhammad Haji Salleh, kedua-duanya, adalah permainan kata yang tidak bermakna. Sajak berkenaan lebih mirip kepada sajak budak-budak sekolah yang baru belajar menulis sajak, bukan karya seorang pensajak yang telah matang. Perhatikan betapa ceteknya dua baris pertama dan seterusnya: Kata-kata adalah daun/lebat merimbun.  Ini hanya permainan kata yang kosong makna. Bandingkan penggunaan daun dan rimbun dalam tradisi Melayu: pokok yang terlalu banyak daunnya digelar “mabuk daun”, kalau terkena kepada pokok bunga maka bunganya tidak keluar. Jika terkena kepada pokok buahan, yang juga mabuk daun, tidak berbunga. Daun berguna untuk memproses makanan pokok; bunganya yang menentukan faedah pokok itu; dan hasilnya ialah buah yang lebat dan manis. Lihat, betapa cerdiknya orang tua-tua kita menggunakan rangkaian perkataan “mabuk daun”. Sajak Baha Zain ini pun jenis sajak “mabuk kata-kata” yang hanya sejenis retorik kosong. Inilah pujian Muhammad Haji Salleh dalam  konteks mabuk daun tadi: “Bahasa Baha Zain kelihatan bersahaja, namun ikhlas, menyentuh pinggir dan pusar perasaan, dan lunak berseni. Bahasa Baha (panggilan manja?) memperlihatkan unsur gaya intelektual yang cukup jelas, malah terdapat unsur akademik yang mementingkan taakulan. Logiknya lembut dan mudah lentur. Taakulannya tidak keras dan tanpa pertimbangan unsur-unsur lain yang juga menyumbang kepada ekspresi yang lebih menyeluruh. Puisinya membawa gaya perbincangan, terdapat suatu ajakan untuk terlibat dengan sesuatu idea dan mempertimbangkan hujah penyairnya.” (hal. 31). Kesimpulan ini tidak terdapat dalam sajak yang dijadikan contoh itu. Perihal daun ini dijadikan haiku yang amat indah oleh Soseki, yang saya salin dalam Pujangga Melayu (hal. 583): The winds that blow – ask them/which leaf of the tree/will be next to go. Itulah bahasa penyair; tidak saja indah bergaya, tetapi juga kaya dengan makna. Dan ini pula contoh daripada Rumi: If your thought is a rose/you are  a rose garden/ if it is a thorn/ you are fuel for the bath stove.  Tajam sungguh sindiran Rumi terhadap kepalsuan intelektual yang disebut oleh Prof. Frankfurt (dalam bukunya On Bullshit) sebagai hanya bullshit. Anda boleh perhatikan berapa banyaknya bullshit ini dalam sastera Melayu, yang saya panggil pandirisme. Sebahagian besar kritikan sastera Melayu masuk dalam kategori yang disebut oleh Prof. Frankfurt itu. 

Bagaimana hal ini boleh terjadi? Inilah masalah ilmu, khususnya keliru dalam konsep ilmu. Kerana konsep ilmu yang difahamkan dalam Islam ditolak, golongan ini berlagak angkuh memberikan pandangan peribadi mereka tanpa sebarang asas ilmu yang difahami dalam Islam. Akibatnya mereka berasa bangga berada dalam kekeliruan dan kecelaruan dalam memahami konsep-konsep penting dalam falsafah ilmu yang diajarkan dalam Islam. Maka lahirlah sajak-sajak budak sekolah yang baru belajar menulis sajak. Inilah antara contoh yang dibanggakan oleh Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya. Beliau menurunkan sajak “Nama” oleh Baha Zain:

Tanpa nama bagaimana hendak membezakan
Pasir, batu, tanah atau kayu.

Pasir tidak memerlukan nama
Batu tidak meminta nama
Tanah tidak mendaftarkan nama
Kayu tidak sedar apa namanya
Ini semua masalah manusia
Yang selalu gilakan nama.

 Inilah ulasan Muhammad Haji Salleh: “Bersahaja, ringan, dengan tambahan sepalit humor ironi –kita diserahkan setimbun hujah. Hujahnya pula disokong hujah yang lain, sekali lagi dideretkan untuk penegasan:
Apa bezanya kalau kita menukar-nukar nama
Kayu jadi batu, batu jadi pasir dan pasir jadi tanah?

Melalui sajak tersebut, beliau seakan-akan memalingkan kepada kita untuk bertanya pendapat dan tidak berminat untuk memutuskannya bagi pihaknya atau untuk kita. Sentuhan ini gaya terkini untuk Malaysia dan bahasa Melayu yang sudah memasuki dunia demokratik dan intelektual.”

Apakah jenis bacaan yang dipakai oleh Muhammad Haji Salleh? Inilah mod bacaan cerita, yang secara total gagal memberi makna, jika ada, dalam ucapan a la budak sekolah itu. Inilah jawapan yang diberikan oleh Rumi tentang mod bacaan cerita ini:

You have neglected to give thanks for the Religion
because you got it for nothing from your father.
How should a man who inherits know the value of wealth?

Perhatikan, bagaimana kekeliruan dan kecelaruan dalam memahami konsep ilmu, membuat manusia mengelak daripada menjadikan nilai-nilai taklif sebagai asas dalam membuat penilaian. Dia tidak tahu wujudnya dialog di dalam al-Quran yang membicarakan peri pentingnya nama yang betul dalam kehidupan manusia bertamadun, yakni yang beragama:

“Allah berfirman, Hai Adam, beritahukanlah  kepada mereka nama-nama benda ini. Maka setelah  diberitahukannya nama-nama benda itu, Allah berfirman,  Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” (2: 33).

Sebelum itu, dalam ayat 2: 31 ditegaskan Allah Maha Pencipta mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya. Saya salin di sini tafsir yang diberikan oleh M. Quraish Shihab dalam tafsir beliau, Tafsir al-Misbah, Jilid 1, hal. 176-177:

“Ayat ini menginformasikan bahawa manusia dianugerahi Allah potensi untuk mengetahui nama atau fungsi dan karakteristik benda-benda, misalnya fungsi api, fungsi angin, dan sebagainya. Dia juga dianugerahi potensi untuk berbahasa. Sistem pengajaran bahasa kepada manusia (anak kecil) bukan dimulai dengan mengajarkan kata kerja, tetapi mengajarnya terlebih dahulu nama-nama. … Itulah sebahagian makna yang difahami oleh para ulama dari firman-Nya: Dia mengajar Adam nama-nama (benda) seluruhnya.

Nabi Adam diperkenalkan kepada para malaikat (mungkin lebih tepat para malaikat diperkenalkan Nabi Adam) dalam konteks yang digambarkan dalam ayat-ayat Al-Quran di atas, sebagai makhluk yang sudah disediakan dengan ilmu pengetahuan yang tidak diberikan kepada malaikat, sesuai dengan taraf baginda sebagai khalifah di bumi. Itulah maksud amanah, bukan menulis sajak  kana-kanak seperti yang dibuat oleh Baha Zain yang mempersoalkan perihal nama-nama, yang kemudiannya dipuji oleh Muhammad Haji Salleh. Jangan jadikan gelaran sasterawan negara itu sama tarafnya dengan Raja Lawak yang disukai orang Melayu itu.

Sejak awal 1960-an Prof. Diraja Ungku Aziz menekankan pentingnya menggunakan konsep yang betul dan tepat, dengan mengemukakan pendapat Confucius. Tulisan itu tersiar dalam Dewan Masyarakat 1961 (dari ingatan, mungkin tak tepat). Seperti biasa para sarjana ciritan tidak membacanya. Aspek ini memang diabaikan oleh golongan ini, hatta oleh seorang sarjana yang paling senior sekali pun. Lihat konsep gaya yang difahami (?) oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya: “Gaya ialah tenunan watak, dan watak ialah peribadi dan pengenal. Gayanya agak susah untuk ditakrifkan, tetapi bukan logika seluruhnya yang dituju.” Ini bukan gaya yang difahamkan dalam perbincangan akademik. Ini gaya seorang model yang memperagakan dirinya dengan memakai pakaian peragaan. Dalam dunia akademik, gaya mempunyai ciri kognitif, menyerlahkan kemampuan berfikir dan keupayaan memahami konsep seseorang penulis/sasterawan atau ahli akademik. Ungkapan terkenal dalam kritikan sastera ialah gaya sebagai “epistemic choice”, yang memberi gambaran tentang penguasaan ilmu seseorang penulis. Gaya adalah sebahagian daripada keupayaan merumus secara sistematik sesuatu pemikiran yang diketengahkan dalam tulisan. Ini tidak kelihatan dalam karya Baha Zain, seperti yang dicontohkan oleh Muhammad Haji Salleh. Muhammad Haji Salleh sendiri pun tidak memperlihatkan kemampuan itu, maka itulah sebabnya semua ideanya tidak boleh dikembangkan. Dia pernah kritik tentang penggunaan teori Barat, tetapi hanya kritikan yang tergantung, tidak menjejak di bumi akademik, tidak dapat dikembangkan kerana beliau sendiri tidak tahu apa yang beliau boleh buat. Cakap tinggal cakap yang mati beragan begitu saja, tidak ada manfaat dari segi perkembangan intelektual. Saya dapati Baha Zain pun begitu juga. Saya baca ucap utama beliau untuk para penulis muda: “Memartabatkan Persuratan Melayu” (Perhimpunan Penulis Muda Nasional, 3-6 Jun 2005, Pontian, Johor). Tajuknya bagus, tetapi isinya klise saja, tiada yang baru atau sekurang-kurangnya sedikit analisis yang membolehkan orang faham apa yang telah terjadi dalam masa kira-kira 80 tahun kesusasteraan Melayu mulai dikenal sebagai seni sastera. Tetapi yang paling mengecewakan ialah penutupnya, langsung tidak berani menyatakan pendirian dengan tegas dan tuntas. Begitu takut, dan ragu-ragu untuk menunjukkan komitmen intelektual seorang yang terkenal sebagai pemikir intelektual yang tersohor di Malaysia!. Saya salin kesimpulan yang mengecewakan itu:

“Meskipun penulis berada di luar lingkaran kekuasaan politik yang menentukan arah dan perkembangan kebudayaan negara, sumbangan penulis sangatlah penting untuk menghidupkan dinamika persuratan itu sendiri. Justeru itu, dia harus faham dan hormat akan tugas serta tanggungjawabnya sebagai penulis kreatif; mempunyai idea yang baik serta imaginatif bagi memperluas pengalaman dan fikiran pembaca. Tulisannya memperkaya budaya estetik dan intelektual, dan membijaksanakan masyarakat. Dia bukan pemikir konvensional; dia mampu memberikan idea alternatif di samping memiliki keberanian untuk menyatakan apa yang diyakininya. Jadi, penulis percaya pada kepentingan peranannya dan berusaha menyumbangkan karya serta fikirannya dalam pelbagai keadaan. Dia bukan apologis, pembela yang pragmatik dan licik; bukan juga untuk mendewakan tokoh tertentu; penulis itu kritis-kreatif yang faham akan risiko panggilan hidupnya. Menulis bukanlah kerja main-main dan untuk bermegah-megah, tetapi adalah satu amanah. Hanya dengan pegangan yang sedemikian baharulah masyarakat hormat akan penulis, dan penulis dapat meningkatkan martabat persuratannya.”

Sekali imbas kelihatannya sangat bagus, tetapi apabila diteliti, tidak ada satu pun perkara yang baharu yang disebut oleh Baha Zain. Perkara yang disebutnya itu sudah menjadi klise, sudah diketahui sejak sekian lama kerana kerap diulang-ulang, dalam bentuk yang hampir sama. Adakah ini tidak lebih daripada sejenis kepura-puraan belaka, yang tidak disandarkan kepada paksi ilmu yang benar? Ada disebut perkataan amanah, tetapi hanya sebutan, tanpa sebarang komitmen kerana amanah itu tidak boleh berdiri sendiri, tetapi memerlukan sandaran yang melahirkan semua nilai seorang penganut agama Islam. Mengapa Baha Zain takut untuk menyebut peranan taklif dalam seni mengarang? Mungkin beliau tidak tahu, tetapi ini tentulah amat menghinakan dirinya, kerana konsep taklif itu telah menjadi sebahagian daripada pemikiran dalam kegiatan kreatif dan akademik dan kritikan sastera. Kalau beliau tidak tahu, maka sudah jelas beliau hanya bermain-main dengan retorik yang mengabui mata pembaca yang tidak luas pengetahuannya dan tidak pula mempunyai daya kritis yang diperlukan untuk memasuki bidang penulisan ini. Adalah aneh bagi seorang intelektual yang teliti, pemikir yang handal, tiba-tiba tidak tahu langsung perkembangan terbaru dalam persuratan dan sastera Melayu, dengan lahirnya gagasan Persuratan Baru. Tidakkah Persuratan Baru mencabar seluruh kegiatan dan pemikiran tentang kesusasteraan yang dilindungi dan dipromosikan dengan gigih sehingga lahirnya kumpulan sasterawan negara dalam bentuk “Mutual Admiration Club”? Anda akan faham kritikan saya ini jika anda membaca satu ucapan Baha Zain yang sangat terkenal, yang dikutip oleh seorang pembaca yang menulis dalam ruangan Surat Kepada Editor, berjudul “Puisi Kontot Mencerna Minda” (Dewan Sastera, September 2013).  Beliau mengutip kata-kata Baha Zain yang sangat terkenal: “dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih/ dari hati yang durjana, tak akan terungkap kata-kata yang mulia.” Kita tak perlu sibuk membicarakan tentang telaga yang keruh itu, kerana pada hakikatnya tidak ada telaga yang keruh, kerana secara tabii air telaga adalah jernih, sebab itu orang bersusah payah menggali telaga. Lagi pula, Singapura telah menapis air kotor, termasuk air kencing, untuk dijadikan air bersih yang boleh diminum dan boleh digunakan untuk lain-lain keperluan. Bolehkah air yang bersih, yang berasal daripada najis atau campuran najis, digunakan untuk mengambil wuduk? Tentu anda masih ingat pesanan guru agama kita, bahawa hanya air yang suci saja yang boleh digunakan untuk mengambil wuduk. Tetapi ini tidak bererti air itu putih jilah. Jika anda di dalam hutan, susah mendapat air, tiba-tiba bertemu satu kolam, yang di sebelahnya tempat babi berkubang. Bolehkah anda gunakan air itu untuk berwuduk? Carilah sendiri jawapannya, juga mengapa contoh ini dibawa di sini. Kita hanya berminat untuk melihat makna ungkapan “dari hati yang durjana”, (yang kotor?) yang kononnya tidak memungkinkan terungkap kata-kata yang mulia. Apakah maksud “hati yang durjana”? Milik siapa hati yang demikian sifatnya? Untuk memahaminya mudah sahaja, telah diberikan jawapan dan jalan keluar oleh Imam Ghazali dalam kata-kata beliau yang terkenal: “Sebahagian tanda keikhlasan anda ialah anda tidak merasa gembira berikutan dengan pujian orang kepada anda, sebaliknya anda tidak berduka sebab cacian mereka, malah dua keadaan yang bertentangan itu sama saja pada pandangan dan perasaan anda”. (Daripada buku Intisari Karya Tasauf (tulisan Jawi), terjemahan Ustaz Muhammad Salleh bin Haji Arshad; Ustaz Abdullah al-Qari bin Haji Salleh (Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., 1980; hal.  45-46).  Saya tidak pernah berjumpa para sasterawan, sarjana, dan lebih-lebih lagi para sasterawan negara, yang dapat memenuhi ukuran yang diberikan oleh Imam Ghazali. Malah, kesan yang saya dapat agak lucu, iaitu mereka sebenarnya mempersetankan saja pemikiran Imam  Ghazali sebagai kuno, taasub, dan tidak perlu dijadikan panduan kerana terlalu menyekat kebebasan mereka untuk bertindak mengikut hawa nafsu mereka yang bagi mereka lebih sopan, lebih beradab, lebih bertamadun, dan lebih mendekati pemikiran moden yang saintifik. Dengan sikap yang bagi mereka mencerminkan nilai-nilai moden dan saintifik, mereka lebih bersedia untuk digelar “sarjana ciritan” daripada menerima pandangan Imam Ghazali yang kuno dan taasub itu; sekurang-kurangnya mereka berada dalam kumpulan sarjana atau sasterawan arus perdana yang bertunjangkan pemikiran moden berasaskan teori sastera Barat yang berpengaruh itu. Inilah penegasan Muhammad Haji Salleh dalam syarahan perdana beliau (1989):

“Saya ingin bergerak dari takrif teks Barthes yang luas dan peka kepada bentuk karya lama. Pada beliau sebuah teks adalah suatu medan metodologi, bukan suatu buku yang konkrit, dan teks itu dialami hanya dalam suatu kegiatan atau suatu persembahan. Teks adalah sesuatu yang amat simbolik” (Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, hal. 18). Anda boleh merasakan pentingnya kebebasan itu dalam kutipan ini, yang menjadi prinsip utama puitika sastera Melayu. Muhammad Haji Salleh seterusnya menegaskan, “saya ingin menganggap teks sebagai sesuatu yang lebih besar, yang lebih menyeluruh, yang bukan saja mencakupi permulaan, badan dan akhiran cerita, tetapi segala-galanya yang dipersembahkan dalam ritual-ritual yang mengiringi cerita itu…”  Dalam konteks ini, karya adalah sesuatu yang tertutup, oleh itu tidak bebas dan terikat kepada strukturnya sendiri. Kepercayaan ini membawa Muhammad Haji Salleh meletakkan persembahan dan penglipur lara sebagai tokoh yang sepatutnya diikuti, kerana beliaulah yang paling asli dan bebas dalam persembahannya. Maka dengan kepercayaan ini, beliau memulai syarahan perdananya seperti ini:

“Seperti Mahmud Wahid, penglipur lara yang bersila di hadapan khalayak penuh dengan tertib tradisi, saya berdiri dalam konteks sebuah universiti, di hadapan suatu khalayak ilmiah dan dihormati, tetapi masih digemakan tradisi Mahmud, yang tercipta oleh waktu, persekitaran dan pengalaman kesenian bangsanya.”

Dalam buku saya ketika menyanggah syarahan perdana profesor ini, saya menyatakan betapa janggalnya suasana “ilmiah” yang menerima penglipur lara sebagai suatu tradisi penting (yang sudah mati), apatah lagi memanggilnya suatu “tradisi”. Tetapi dalam konteks cerita, seperti yang ditegaskan oleh profesor ini dalam syarahan perdananya, cerita-cerita penglipur lara, sesuai dengan namanya, adalah hiburan ringan untuk bersantai di kampung-kampung terpencil. Apakah logik yang digunakan oleh sarjana ini yang menerima budaya hiburan rendah ini sebagai suatu tradisi penting dalam kebudayaan Melayu? Demikianlah kejanggalan itu tidak dilihat  dalam konteksnya yang betul apabila seseorang sudah keliru dalam konsep ilmunya. Dia tidak dapat membezakan antara hiburan, yang paksinya emosi dan hawa nafsu yang matlamatnya mencari kepuasan, dengan ilmu yang paksinya akal yang sihat yang matlamatnya ialah kebenaran. Dalam konteks inilah saya berbicara tentang kewujudan “sarjana ciritan” dalam dunia akademik, khususnya, dan dalam kebudayaan Melayu. Kita masih boleh melihat kekeliruan tentang konsep ilmu ini dalam makalah beliau yang memuji keistimewaan Baha Zain sebagai seorang sasterawan negara.

Kita lihat pula makna ucapan Baha Zain tentang telaga yang keruh. Apakah yang mendorong beliau berkata begitu? Dorongan itu bermula daripada perasaan amarahnya kerana beliau telah dikritik (di sini mungkin merujuk kepada kritikan Shahnon Ahmad yang menegaskan Baha Zain tidak layak diangkat menjadi sasterawan negara kerana sajak-sajaknya kontot-kontot dan tidak bermutu) sebaik saja diisytiharkan telah diberi gelaran sasterawan negara. Kalau begitu, sumbernya ialah hati yang durjana milik Baha Zain sendiri, yang telah membangkitkan perasaan amarahnya sehingga mengutuk pengkritiknya sebagai manusia yang kotor hatinya! Ini adalah kesan dari perasaan ujub dan riyak: ujub kerana merasa dirinya terlalu mulia sehingga tidak boleh dikritik, dan jika dikritik pun mestilah dengan lemah lembut (?) dan bersopan (?); riyak kerana dia merasa dirinya telah melakukan sesuatu yang begitu terpuji, oleh itu tidak perlu dikritik lagi.  Kedua-dua sifat ini, menurut Imam Ghazali, adalah tanda hati seseorang itu berpenyakit, dan dari hati yang berpenyakit itu tidak akan lahir sifat ikhlas. Inilah namanya senjata makan tuan, yang amat tepat mengenai diri sendiri! 

Daripada kesimpulan ucap utama Baha Zain tadi, jelas beliau menghadapi dua masalah besar: (1) keliru dalam konsep ilmu; dan (2) tidak ikhlas dalam ucapannya kerana menolak bulat-bulat gagasan Persuratan Baru yang memang memberikan alternatif seperti yang disebutnya dalam kesimpulannya yang bombastik itu. Jikalau kita menggunakan ungkapan beliau sendiri yang dipetik oleh penulis surat kepada editor itu, maka sorry to say, beliau menulis ucapan itu untuk dirinya sendiri!

Dalam falsafah akhlak Islam, konsep ujub (conceit, bangga diri) menjadi penghalang kepada timbulnya kesedaran untuk menambah ilmu. Abul Quasem dalam bukunya, The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam, menghuraikan konsep ujub itu begini: “Both (i.e. al-Muhasibi dan al-Ghazali) agree that conceit, in addition to causing all the evils of pride, is an obstacle to knowledge and action, the two primary means to happiness; it makes them appear sufficient to their possessor so that he neglects efforts to increase them.” (hal. 140).

Bagaimana menghapuskan perasaan riyak dijelaskan oleh Abul Quasem seperti berikut: “To get rid of the vice of ostentation, strong mortification is needed for everyone. In one way, this vice can be removed from the soul; in another, a man can repel the passing thoughts which come to his mind when he is engaged in a devotional act. The former consists of knowledge and action. Knowledge concerns the causes of ostentation and how it can be removed by realizing the harm it does in the hereafter, and in this life. The basic cause is love of influence, which is analyzable into three elements, namely, love of praise, fear of blame and greed for wealth.” (hal. 135-136).

Semua ini memberi kita satu pengajaran yang sangat baik tentang perlunya dibereskan terlebih dahulu konsep ilmu, supaya dengan itu kita dapat menerima hakikat taklif dalam seni mengarang, dan dengan penerimaan itu, kita terdedah kepada tiga rahsia taklif yang dibicarakan oleh Shah Wali Allah: ilmu pengetahuan; keadilan; usaha ikhtiar. Perkara ini dibahaskan dengan agak terperinci dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992); Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (Penerbit UKM, 2008). Persoalan ini seperti yang terdapat dalam sastera Melayu telah dibicarakan dengan mendalam dan teratur oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam syarahan perdana beliau, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2007), dan Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009).  Jemputlah menikmati hidangan ilmiah, hidangan akademik, yang tidak akan mengecewakan anda yang cintakan ilmu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30/8/2014.


Monday, August 18, 2014

SANGGAHAN TERHADAP GAGASAN PERSURATAN BARU



Kritikan saya terhadap kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara memberi arah yang betul dalam kritikan sastera, para sarjana ciritan dalam sastera Melayu moden yang menjadi Pak Turut dalam kritikan sastera, dan munculnya karya sastera yang tidak bermutu, tetapi kerana ditulis atau tertulis oleh para sasterawan negara sehingga dianggap bermutu, sudah cukup untuk mendorong tertulisnya satu sanggahan yang ilmiah tentang Gagasan Persuratan Baru, dalam kajian ilmiah di peringkat sarjana atau doktor falsafah. Kita sudah sering mendengar gosip sastera di kalangan sasterawan dan para sarjana sastera sendiri, bahawa Gagasan Persuratan Baru terlalu ideal, oleh itu tidak mungkin dijadikan panduan dalam penulisan kreatif dan tidak pula berguna untuk dijadikan pendekatan utama dalam kajian dan kritikan sastera Melayu moden. Kata mereka, jika Gagasan Persuratan Baru dijadikan landasan analisis, penilaian dan pendekatan kritis dalam kajian terhadap karya sastera Melayu moden, maka yang akan terjadi ialah semua sasterawan negara akan hilang kelayakan untuk diberi sanjungan begitu tinggi dan diasingkan sebagai contoh terbaik dalam sastera Melayu moden. Tetapi andaian ini tidak pernah dibuktikan secara menyeluruh, dengan membina satu (sekurang-kurangnya) kajian mendalam aspek-aspek negatif dan merugikan sastera Melayu moden jika pendekatan berasaskan Gagasan Persuratan Baru dijadikan landasan dalam analisis, kritikan dan penilaian karya sastera. Itulah cara yang paling sopan, objektif dan ilmiah untuk membuktikan kewajaran munculnya gelaran sasterawan negara dan penerimanya. Sehingga munculnya kajian yang dikehendaki itu, maka selama itulah kewajaran gelaran sasterawan negara dan kemunculan para sasterawan negara akan terus diragui dan diremehkan dan para sasterawan yang diberi gelaran itu akan tetap menerima kesangsian dari segi kejujuran akademik dalam pemilihan mereka, dan penolakan terhadap keunggulan pemikiran para sasterawan negara ini. Jangan biarkan ini berlarutan dalam sastera Melayu moden, kerana ini akan melahirkan kesan yang amat negatif terhadap para sasterawan dan para sasterawan negara yang diberi kedudukan tinggi itu, padahal mereka tidak layak diberi kedudukan itu kerana bertentangan dengan tradisi persuratan Melayu selain kerana membawa pengaruh buruk dan nilai-nilai palsu dalam kebudayaan Melayu. Aspek ini telah diberi perhatian dalam banyak tulisan ilmiah, dengan kemuncaknya berupa syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Al-Attas (1972).

Apakah yang dimaksudkan oleh para penggosip sastera dan sarjana ciritan bahawa Persuratan Baru terlalu ideal dan tidak dapat dilaksanakan?  Sebenarnya mereka tidak faham maksud “ideal” itu, dengan anggapan negatif bahawa sesuatu yang ideal tidak boleh dipraktikkan, dan lebih dekat menyamai khayalan dan angan-angan saja. Tetapi di pihak yang lain, mereka menerima wujudnya insan kamil, dengan menyodorkan satu “teori” sastera (kononnya, padahal bukan teori, malah lebih tepat hanya sejenis petua atau panduan sastera yang lebih mengusutkan perbincangan akademik tentang sastera), bernama takmilah. Kegagalan takmilah sebagai pendekatan kritikan (?) telah ditunjukkan oleh seorang pengamal takmilah, Dr. Kamariah Kamarudin, dalam kertas kerja beliau yang dibentang di dalam Seminar Sasterawan Negara II, 26 April 2014 di UPM. Kertas ini telah memberi gambaran yang salah dan tidak tepat terhadap novel Shahnon Ahmad yang dikritik (?) oleh pengkaji takmilah ini, yang telah menerima title doktor falsafah melalui “kajian” menggunakan pendekatan takmilah. Jenis novel yang dikaji beliau ini telah dibincang dengan kritis oleh seorang sarjana sastera Islam, khusus menyentuh beberapa perkataan Arab yang dipakai Shahnon Ahmad dalam “novel-novel Islam” beliau, yang menurutnya tidak tepat, kabur dan mengelirukan. Sebaliknya, Dr. Kamariah Kamarudin yang nampaknya tidak mempunyai pengetahuan tentang sastera Islam, dengan agak gelojoh memberi sanjungan tinggi dalam bentuk retorik peragaan yang tidak dibuktikan dalam perbincangan kritis. (Rujuk kertas kerja beliau, Revolusi yang ditangguhkan karya Shahnon Ahmad berdasarkan perspektif takmilah”.) Walaupun takmilah mempunyai maksud yang baik, tetapi pengguna petua sastera Islam ini telah gagal menyerlahkan kualiti sebenar novel  yang dikajinya menggunakan pendekatan takmilah ini. Malah penggunaan takmilah lebih mengusutkan lagi penilaian dalam kritikan sastera, kerana terdapat kecenderungan untuk mengangkat karya yang sederhana menjadi sebuah karya besar dalam janru (Jepun untuk genre) “sastera Islam”.  Semua ini terjadi kerana pengkaji tidak dapat membezakan pendekatan kritikan dengan fatwa penulisan. Kalau dalam perbincangan tentang “sastera Islam” pun terdapat begitu banyak kekeliruan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, maka kita boleh bayangkan betapa besarnya kekeliruan ini ketika para sarjana kita dengan agak gelojoh menggunakan pendekatan Barat yang dari segi  akademik tidak dikuasai mereka dengan mendalam. Ini pun dapat kita lihat dalam kertas kerja yang mereka tulis yang membincangkan perihal “pemikiran”  para sasterawan negara.

Kemuncak kekeliruan akademik ini boleh dilihat dalam pemilihan sebuah buku mengenai feminisme yang memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan, iaitu buku Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia (USM 2012). Buku ini berupa kajian beberapa buah novel terpilih dari Indonesia dan Malaysia yang ditulis oleh pengarang wanita, tanpa mengira kualitinya, kerana antara novel yang dipilih itu terdapat novel picisan yang bertaraf pornografi. Buku ini hanya berminat hendak melihat bagaimana pengarang wanita memberontak dalam karya mereka dengan mengemukakan watak wanita yang berani melepaskan diri daripada cengkaman lelaki, walau pun ada di antara watak itu menerima cengkaman hawa nafsu lelaki untuk memuaskan nafsu mereka sendiri. Bebas untuk membuat maksiat, tetapi tetap terikat kepada kejantanan lelaki ketika mereka memerlukan kepuasan hawa nafsu mereka. Itulah yang dinamakan “puitika wanita” oleh sarjana yang menulis buku ini, yang berasal daripada tesis Ph.D. beliau.  Kebejatan moral akademik ini diterima dengan baik oleh para sarjana yang membicarakan buku ini, dengan melontarkan pujian tinggi tanpa sebarang hujah ilmiah yang boleh diterima oleh akal sihat. Paling memeranjatkan, Prof. Hashim Awang dalam resensinya (Dewan Sastera) memuji berlebihan buku ini. Seperti yang kita tahu, beliau telah mengemukakan satu pendekatan yang beliau namakan “pengkaedahan Melayu” yang di dalamnya termasuk juga unsur Islam, sebagai salah satu prinsip penting. Adakah ini memberi isyarat “pengkaedahan Melayu” tidak berupaya menapis kebejatan akademik yang disodorkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman ini?  Kita perlukan sedikit penjelasan daripada beliau, supaya “pendekatan” yang beliau lontarkan kepada kita itu tidak diremehkan oleh beliau sendiri. Dalam penelitian saya, feminisme adalah kemuncak kezaliman terhadap wanita di Barat yang tidak memahami konsep insan dan menolak agama sebagai sumber nilai yang sah, oleh itu hak wanita sebagai manusia dinafikan sepenuhnya. Keadaan ini berbeza dengan kedudukan wanita dalam Islam, yang boleh mewarisi harta, dengan hak-hak tertentu sebagai isteri yang tidak boleh dizalimi. Oleh itu, amatlah aneh sekiranya sarjana Islam menerima pembohongan akademik dari Barat ini, apatah lagi buku tentang feminisme diberi hadiah dan dijadikan rujukan untuk menghina darjat wanita dalam Islam. Melalui feminisme, wanita Barat tidak diberi status seperti wanita Islam yang tetap santun dan tahu peranan mereka dalam masyarakat dan rumah tangga; sebaliknya wanita Barat yang berfaham feminis muncul sebagai kumpulan pemberontak, yang kesan utamanya ialah memecah-belahkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan.


Takmilah bukan sebuah teori, tidak juga satu pendekatan dalam kritikan, tetapi merupakan sejenis petua dalam penulisan “sastera Islam.” Menggunakan takmilah untuk menilai sebuah novel akan menghasilkan kekeliruan kerana tidak berasaskan ukuran dari segi teknik pembinaan sesebuah novel. Jika anda mahu menggunakan takmilah selepas itu, anda boleh melakukannya, tetapi anda tidak akan dapat melihat dan menentukan kewujudan novel itu sebagai sebuah karya seni. Tidak ada prinsip yang boleh digunakan untuk maksud itu dalam takmilah. Prinsip-prinsip penilaian itu diberikan dengan jelas dalam Gagasan Persuratan Baru.  Pada hemat saya, takmilah tidak sesuai untuk digunakan dalam menilai karya kreatif, seperti yang dapat kita lihat dalam kertas kerja Dr. Kamariah Kamarudin. Dalam kertas itu, kita tidak menemui prinsip-prinsip kritikan sastera yang membolehkan kita menilai karya Shahnon Ahmad dengan kritis. Apa yang dibuat oleh Dr. Kamariah Kamarudin ialah memadankan petua takmilah dengan istilah Arab dan ayat-ayat Quran yang digunakan oleh sasterawan negara ini tanpa melihat dengan kritis adakah perbuatan Shahnon Ahmad itu mencerminkan pemikiran Islam, atau hanya sejenis perhiasan yang ditempel secara superficial yang pada hakikatnya terapung-apung dalam karya itu, tidak disebatikan secara “berseni” (istilah yang sering digunakan oleh Shahnon Ahmad sendiri) di dalam karya itu. Kalau anda berasa sukar hendak memahami kesimpulan ini, cuba gunakan takmilah untuk menilai Pujangga Melayu, atau Balai Maqamat. Lihat sejauh mana dua buah karya itu menyeleweng dari takmilah, dan sebanyak mana pula sesuai dengan takmilah. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana anda menentukan kualiti pemikiran dan teknik yang digunakan dalam karya itu, untuk dijadikan kriteria dalam menentukan sejauh mana pula nilai karya itu sebagai karya persuratan. Cubalah … anda akan menemui sesuatu yang mungkin membingungkan anda nanti!  Atau sebaliknya … iaitu menemui sesuatu yang membuat anda berfikir dengan serius tentang kritikan “sastera”! Selamat mencuba dan selamat belajar.

Mohd. Affandi Hassan,
18/8/2014.