Sunday, November 15, 2020

CADANGAN MENERBITKAN RENCANA DALAM BLOG

 

Saya bercadang hendak menerbitkan tulisan dalam blog mengikut tajuk/tema tertentu. Nampaknya saya tidak dapat melakukannya sendiri kerana sibuk dengan penulisan novel dan memoir kegiatan intelektual saya selama ini.  Kerana adanya halangan itu, saya bercadang hendak menyerahkan tugas itu kepada sesiapa yang berminat dan ada pengalaman sebagai editor. Anda boleh menghubungi saya di alamat: No. 3 Jalan 19/19; 46300 Petaling Jaya. Kita boleh berunding tentang bayaran dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan projek ini.

 

Terima kasih.

Thursday, November 12, 2020

BILA AHLI POLITIK GILA BABI

(Nota: maksud gila babi di sini ialah epilepsi, sejenis penyakit saraf yang boleh menyerang seseorang pesakit secara tiba-tiba, dan boleh membuatnya terguling di mana saja serangan itu berlaku, termasuk di jalan laluan).

 

Saya sokong jika PM Tebuk Atap betul-betul mahu isytiharkan darurat. Inilah pilihan terbaik bagi seorang ahli politik untuk mengekalkan KUASANYA yang diperolehi dari “tebuk atap”.  Ini merupakan bukti terbaik bagaimana konsep mobilization of bias dilaksanakan secara kontan, tidak teragak-agak lagi.  Inilah hakikat demokrasi, yang membenarkan tindakan jahat dilakukan untuk mempertahankan demokrasi itu. Orang selalu berkata Parlimen adalah lambang demokrasi. Karut. Tidak ada sebuah negara pun di dalam dunia yang mengaku melaksanakan demokrasi menjadikan Parlimen sebagai lambang demokrasi. Parlimen adalah tempat pembohongan dan kejahatan diluluskan untuk mengekalkan kuasa politik parti yang mempunyai majoriti, sekecil mana pun majoriti itu. Oleh itu, semua ahli politik adalah pengkhianat yang bertindak untuk membela rakyat dengan menggunakan demokrasi sebagai hujah untuk membenarkan pengkhianatan itu diteruskan.

 

@@@@@

 

Pendahuluan entri ini saya tulis sebelum kegagalan PM mendapat kebenaran Agong dan Raja-raja untuk mengizinkan perintah darurat atas alasan untuk memudahkan “perang” terhadap Covid-19.  Peristiwa ini amat penting sebagai bukti bahawa ahli politik menggunakan peluang apa saja untuk mengekalkan kedudukannya, sebagai PM dan lain-ain kedudukan.  Tidak ada seorang pun dari kalangan ahli politik yang tidak mementingkan diri dan kedudukannya.  Pengakuan dan penegasan yang sering mereka lontarkan bahawa mereka mengambil sesuatu tindakan untuk kebaikan rakyat adalah pembohongan biasa yang sering ditegaskan, dan rakyat menerima pembohongan ini kerana menurut mereka adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menerima pembohongan ahli politik kerana itulah tuntutan yang dikenakan ke atas rakyat supaya para ahli politik boleh terus berkuasa.

 

Bagaimana pula dengan keadaan dalam sastera Melayu?  Ada tidak pembohongan dan penipuan dalam menilai karya para sasterawan negara misalnya?  Bagaimana kita boleh menentukan dengan tepat dan ilmiah bahawa karya para sasterawan negara itulah yang terbaik pernah dilahirkan di Malaysia? Saya telah mengkritik ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai ukuran picisan, dan telah memberi penjelasan yang tepat kepada kesimpulan itu. Anda boleh dapat ini dalam blog ini jika anda membacanya dengan teliti dan cara bacaan anda tidak picisan.  Saya telah memberi penekanan kepada konsep picisan kerana penilaian berasaskan ukuran picisan yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera adalah sejenis penipuan intelektual yang dengan sombong diteruskan untuk membuktikan bahawa pembohongan intelektual adalah penting dalam perkembangan sastera Melayu moden. Hujah-hujah saya telah saya jelaskan dalam buku penting mengenai persoalan ini yang saya tidak mahu sebut judulnya kerana saya yakin sebodoh-bodoh pembaca pun tahu judul buku itu. Hingga kini belum ada sanggahan dan tidak mungkin akan lahir apa-apa sanggahan kerana yang dihuraikan dalam buku itu merupakan hakikat sebenar yang berlaku dalam pemilihan para sasterawan negara yang picisan itu.

 

Salah satu kelebihan gagasan Persuratan Baru ialah kerana PB dapat menyelesaikan masalah kejahilan dan kedegilan pandirisme ini.  Persuratan Baru terbuka untuk dikritik, dan dikritik sehabis kritis.  Boleh saja dibawa masuk beratus (jika ada) teori Barat atau teori dari mana saja untuk menangkis gagasan Persuratan Baru dan membuktikan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru tidak tepat, tidak objektif dan tidak cocok dengan   “bentuk dan isi” karya yang dinilai. Sila berikan hujah anda supaya pendirian dan penilaian anda boleh difahami oleh orang lain; dan anda juga mesti bersedia untuk dikritik dengan sehabis kritis. Kita perlukan dialog terbuka begini, bukan saja untuk memahami satu sama lain, tetapi juga untuk menolak yang palsu dan selekeh dari segi pemikiran dan penghujahan.   Jika anda belum bersedia untuk dialog itu, anda diberi peluang dan masa yang anda  perlukan, berapa lama pun anda mahu. Saya telah memberikan caranya dengan mengemukakan tiga jenis karya yang kini terdapat dalam sastera Melayu. Apakah tiga jenis karya itu juga telah diberi penjelasan dalam blog ini dan dalam buku yang saya sebut itu.  Sekarang giliran anda pula, yang tidak bersetuju dengan saya, untuk membuktikan saya telah melakukan kesilapan intelektual yang besar ketika menilai para sasterawan negara sebagai penulis picisan. Jangan berdiam diri kerana ini tidak baik untuk perkembangan ilmu.  Kita tidak mahu penyakit gila babi intelektual berada dalam kritikan sastera Melayu.

 

Oleh sebab saya seorang penulis kreatif dan seorang pengkritik sastera yang melontarkan teori kritikan berasaskan konsep ilmu yang benar, maka anda yang lebih cerdik daripada saya boleh mengkritik sumbangan saya seberapa kritis yang anda mahu, dilakukan secara perseorangan atau secara berkelompok dalam kumpulan tertenu, supaya anda dapat mengumpul hujah-hujah intelektual yang anda mampu menelurkannya, supaya dengan itu anda dapat membuktikan karya kreatif saya tidak bermutu dan karya kritikan saya tidak ada asas intelektual dan tidak ada asas akademik. Mahu apa lagi, ruang begitu luas terbuka untuk anda buktikan penilaian saya tentang para sasterawan negara salah, dan penilaian songsang ahli Panel Anugeraah Sastera Negara itulah yang betul. Jika anda beranggapan saya tidak perlu dilayan, hanya membuang masa, dan tidak perlu diberi perhatian secebis pun, maka sikap itu hanya membenarkan anggapan saya bahawa anda bukanlah layak menggelarkan diri anda ahli akademik atau apa saja gelaran yang anda pandang istimewa, seperti gelaran profesor sastera dan yang seumpamanya, kerana sikap negatif anda menjadi bukti bahawa anda sebenarnya termasuk golongan picisan yang tidak mampu berfikir dan berhujah secara ilmiah dan secara akademik.  Saya bermurah hati memberitahu anda perkara ini untuk memberi kesempatan kepada anda mendalamkan lagi pengetahuan anda tentang sastera supaya anda dapat menangkis cabaran Persuratan Baru. Saya kira cabaran ini wajar, untuk mengelak daripada kegiatan penipuan intelektual anda yang sudah sekian lama anda lakukan tanpa sebarang kritikan atau teguran. Zaman gelap jahiliah sastera dalam sastrera Melayu yang dipertahankan selama ini sudah berakhir, dengan wujudnya gagasan Persuratan Baru dan karya yang berasaskan gagasan itu yang ditulis oleh pencetus idea itu sendiri, seperti novel ulung Pujangga Melayu, yang ternyata lebih bermutu, jauh lebih bermutu daripada karya besar Tolstoy War and Peace!  Jika para sarjana sastera kita mempunyai maruah ilmiah yang tinggi, mereka tentu akan menyahut cabaran ini. Sayangnya, mereka tidak membaca Pujangga Melayu, dan jauh sekali membaca War and Peace yang tebal itu. Sekiranya para profesor sastera kita terus bangga berbohong kepada para siswa mereka, maka mereka hanya meneruskan dengan bangga dan bodoh kedudukan mereka sebagai sarjana picisan. Saya tidak keberatan menerima mereka seadanya , kerana itulah saja kemampuan intelektual mereka. Walaupun dunia akademik kita akan terus menjadi bahan tertawa, kita harus berbangga kerana kita sekurang-kurangnya berjaya melahirkan badut sastera yang ramai, walaupun mereka badut picisan.

 

Demikianlah penipuan intelektual diteruskan dalam budaya Melayu, khususnya dalam dunia sastera yang memang riuh dengan suara para badut sastera ini. Adakah ini nasib yang menimpa sastera Melayu atau itulah pilihan terbaik yang boleh kita lakukan untuk dijadikan tradisi picisan sastera Melayu moden. Pengkhianatan akademik ini boleh diatasi dengan menerima kemunculan Gagasan Persuratan Baru sebagai jalan keluar terbaik dari kesesatan akademik ini.

 

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 12 November 2020.

 

 

 

 

 

 

 

 

 



Sunday, November 8, 2020

SILA BACA CERITA LUCU INI

RUMAH  K.I.T.A.

Oleh Mohd. Affandi Hassan

 

            Kaum intelek tanah air pada mulanya dikenali sebagai sasterawan atau penulis, tetapi sejak muncul pendapat baru di kalangan pengkritik yang menamakan mereka “kaum sesat di awan” sebagai nama yang lebih tepat untuk sasterawan, berasaskan hasil karya mereka yang kebanyakannya berlaku di awan awang-awangan, maka golongan sasterawan dan para penulis menaikkan martabat mereka menjadi kaum intelek, sama taraf dengan ahli sains, profesor atau pensyarah universiti. Ada puak yang mengatakan mereka sesat kerana memuja syaitan yang bernama Mephistopheles, mengangkat Hang Jebat dan Si Tanggang yang menderhaka itu menjadi wira mereka, memuja pelacuran sebagai tema agung karya mereka, pendeknya kerana mereka membawa ajaran menyeleweng dalam budaya Melayu akibat terikut-ikut pengaruh Barat. Sejak itu, selama kira-kira empat puluh tahun ini, nama persatuan mereka diubah menjadi KITA (akronim bagi Kaum Intelek Tanah Air), bukan lagi GASPEN (Golongan Sasterawan dan Penulis) seperti nama asal. Baiknya nama itu sudah terbukti apabila saham KITA yang diapungkan di Bursa Saham KL naik harga menjadi hampir-hampir RM30.00 satu saham. Tak pasal-pasal orang berduit, yang tidak semestinya ahli KITA, yang membeli saham itu menjadi kaya raya.

Ahli ekonomi yang buta politik dan buta budaya, yang tidak memahami peranan para sasterawan dalam masyarakat, tidak dapat menghuraikan dengan tepat mengapa saham KITA menjadi begitu tinggi di pasaran. Para penganalisis itu melihat hanya aspek ekonomi semata-mata, tidak aspek intelektual. Oleh itu mereka tidak sedar bahawa para sasterawan kini dibeli oleh ahli-ahli politik dan parti-parti politik untuk keperluan politik mereka. Semua ini tidak disedari kerana terlalu luas terbuka di pasaran, sehingga orang tidak peduli sedikit pun peranan para sasterawan itu sudah berubah dari “sasterawan pejuang rakyat” kepada “sasterawan peneroka kekayaan”. Maksud “kekayaan” itu tidak terbatas kepada wang ringgit saja, tetapi lebih luas. Termasuk juga kedudukan, pangkat, gelaran, persahabatan dengan ahli politik berjawatan, dan lain-lain yang boleh membawa “kekayaan”. Kerana itulah ramai di antara ahli sastera yang dulunya berslogan “sastera untuk rakyat” diberi gelar Dato’, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk Patinggi dan sebagainya, sesuai dengan peranan baru mereka. Demikianlah bagaimana saham mereka meningkat begitu tinggi, setelah diapungkan di pasaran terbuka, boleh dibeli dan dipunyai dengan mudah oleh ahli-ahli politik yang banyak wang dan berkuasa pula.

            Orang-orang yang buta politik, buta budaya, dan buta ekonomi, tentu tidak faham mengapa kaum sasterawan yang sudah menjadi kaum intelek itu tidak kisah apabila bahasa Melayu diketepikan dan bahasa Inggeris disanjung; atau apabila budaya kuning digalakkan di media massa, di rangkaian TV rasmi dan milik syarikat, di pesta-pesta liar yang diberi nama “citra warna” atau “gendang-gedembung pelancong”, heboh sana heboh sini sehingga menjadi “sure” pasti; gosip yang dibudayakan; berita sensasi yang dinaikkan tarafnya menjadi kewartawanan baru dengan laporan terperinci tentang perogolan dan perzinaan anak-anak dara Melayu dilakukan oleh lelaki Melayu berbagai peringkat umur dari pelbagai jenis dan kedudukan; program TV yang penuh babak  pembunuhan, kelucahan dan kekejaman; dan banyak lagi yang sudah masuk ke dalam karya-karya para sasterawan menjadi tajuk-tajuk novel seperti TIVI yang dipuji-puji para pengkritik sebagai karya berunsur Islam; atau pemujaan terhadap syaitan yang diberi nama Mephistopheles meniru Geothe yang menurut para sasterawan perlu dicontohi kecerdikannya;  atau yang menjadikan Hang Jebat Raja Kendak dan Raja Amuk sebagai wira; malah para penderhaka seperti Si Tanggang kini menjadi wira budak-budak sekolah, diajar oleh guru-guru yang memberitahu muridnya bahawa itulah usahawan Melayu pertama sebelum wujud DEB lagi. Semua kegilaan ini menjadi kemegahan dan sanjungan sejak para sasterawan diapungkan di pasaran, boleh dibeli dengan mudah oleh ahli-ahli politik yang rakus sokongan dan rakus pujian. Ahli-ahli politik ini tersengih-sengih senang hati mendengar puji-pujian para sasterawan yang membaca sajak-sajak khas yang mereka tulis untuk melambungkan jasa-jasa ahli politik sebagai pengumpul harta yang pemurah dan pembolot kuasa yang jujur.

            Ketika berkumpul di Rumah KITA untuk satu upacara meraikan kemenangan salah seorang dari mereka diberi suatu anugerah, seorang intelek negara berkata kepada teman-temannya, setelah membaca banyak ejekan terhadap mereka:

            -Sekarang kita setaraf dengan ahli politik, setaraf dengan Menteri atau Ketua Menteri dan Menteri Besar, sama-sama bergelar, sama-sama duduk semeja, sama-sama kenal mengenal satu sama lain. Apa kita peduli jika ada kera sumbang keji kita setelah kita naik taraf? Biarkan kera terus sumbang. Biarkan Si Lunchai terkapai-kapai lemas. Siapa suruh dia terjun dalam sungai kritikan? Biarkan mereka. Kita berjuang begitu lama untuk diiktiraf, untuk dihormati, untuk diberi kedudukan tinggi. Mengapa kita harus malu jika kita apungkan maruah kita di Bursa Saham KL? Persatuan kita untung, kita yang aktif ini pun dapat faedah. Siapa yang tidak mahu ke luar negeri sepanjang masa, melawat dan memperkenalkan diri kita? Aku fikir kita membuat keputusan yang tepat dengan mencontohi ahli politik. Mengapa kamu diam?

            Mereka tertawa beramai-ramai.

            -Betul juga pandangan kamu, kata seorang yang dihormati di antara mereka. Tapi aku rasa tidak sedap juga bila timbul kritikan mengatakan kita para intelek negara ini tak lebih daripada golongan munafik baru yang mencari kesempatan. Sumbangan intelek kosong, yang melimpah ruah hanya retorik saja. Aku tersipu juga bila ada anak-anak muda yang tidak intelek lebih intelek daripada kita, menghasilkan karya-karya intelek mereka yang bagus-bagus. Kamu, apa yang kamu hasilkan dalam masa sepuluh tahun ini?, dia mencabar seorang sahabatnya yang sangat gigih mempertahankan kedudukannya dalam KITA.  Semua mereka tertawa, termasuk yang dicabar.

            Sebenarnya dalam masa dua puluh tahun lebih ini dia hanya bercakap dan bertanding jawatan saja. Hatta sebuah sajak kabur tidak bermutu pun tidak ditulisnya. Tetapi dia seorang tokoh penting persatuan KITA, seorang yang menunggu dengan sabar untuk duduk di kerusi Ketua Agung.

            -Semuanya tidak perlu, kata yang dicabar. Yang penting, kita diterima oleh tuan kita sebagai golongan intelek yang berjasa. Itu sudah cukup bagiku.

            -Ya, ya …, seru yang lain beramai-ramai, seolah-olah mengaminkan pandagan intelek teman mereka.

            -Tapi aku naik angin juga, kata seorang yang baru diberi anugerah. Lama dulu aku menulis novelku yang terpenting, menjadi pelopor novel-novel jenis itu di Tanah Melayu. Di dalamnya aku buat satu gaya senyuman istimewa, yang aku suka (lalu dia tersenyum terpulas-pulas bibirnya), aku beri nama senyuman jubur itik lepas berak …

            Mereka tertawa kuat beramai-ramai.

            -Agaknya berapa lama kau renung jubur itik berak sebelum dapat ilham itu?, seseorang mengusik, disambut tertawa beramai-ramai.

            -Mengapa pula kau naik angin? Itu kan perbandingan yang sangat original dan kreatif, menggantikan senyum kambing yang terkenal selama ini …, kata seorang sambil tertawa.

            -Aku naik angin bila aku dipanggil “intelek jubur itik”. Bolehkah aku saman budak nakal itu?

            Semua mereka tertawa kuat lagi.

            -Memang boleh saman, tapi samanmu akan dikenal nanti sebagai “saman jubur itik”. Kau mau itu?

            Riuh mereka tertawa, sampai ada yang keluar air mata kerana terlalu lucu. Hairan juga bagaiman jubur itik boleh diangkat begitu tinggi menjadi sejenis senyuman istimewa.

            -Tak usah naik angin. Kalau tidak kerana senyuman jubur itik kamu itu, aku fikir kau tidak akan diberi anugerah. Itulah hikmah jubur itik…

            Para intelek negara itu tertawa riuh rendah. Ada yang memaki hamun kerana terlalu lucu sehingga membuat mereka terlajak menjadi lucah.

            -Semuanya boleh jadi dalam sastera, kata seorang profesor sastera. Sesuatu yang bermutu dan original akan diketawakan, kerana belum biasa. Selepas ini, senyuman jubur itik akan menjadi sebahagian daripada kebudayaan tinggi kita.

            Beberapa orang yang ingin tertawa tertahan-tahan menahan sebak hati, kerana hormatkan pandangan profesor sastera yang terkenal itu. Seorang yang lain berkata dengan geram:

            -Yang buat aku marah bukan timbulnya jenis senyuman seperti jubur itik itu. Aku perhatikan ada ahli politik yang tersenyum persis seperti itu. Sebenarnya apa bezanya senyuman jubur itik dengan jubur ayam? Yang buat aku marah ialah apabila kita semua ini dianggap intelek shit oleh golongan muda yang marah-marah dan dengki. Ini semua kerana Shahnon Ahmad …

            Semua intelek negara itu tunduk seolah-olah mencoba melindungi kemaluan besar mereka kerana diejek sedemikian rupa oleh anak-anak muda yang mereka dakwa dididik oleh mereka sendiri.

            -Shahnon kata ada Era Shit dalam politik Malaysia. Ada jugakah Era Shit dalam dunia intelek kita? Aku tidak faham mengapa puak kita sendiri yang mengutuk kita, padahal orang macam Shahnon itu sudah diberi macam-macam anugerah dan kedudukan. Mau apa lagi?

            -Ini betul-betul shit!, jerit seorang dengan marah. Patutnya sudah tua-tua begini kita dijulang tinggi-tinggi oleh anak-anak muda yang gila nama gila glamour itu… Kita sudah beri peluang, mereka berakkan kita pula. Tidakkah ini betul-betul perangai shit?

            -Sebenarnya KITA sebagai sebuah persatuan kepunyaan kita sudah jadi kuat, terkenal seluruh dunia, dipuji merata tempat seluruh dunia. KITA sudah ada rumah sendiri. Kita sekarang ada syarikat sendiri, ada simpanan sudah mencecah jutaan, ada bangunan dan ada tanah sendiri. Ini semua hadiah teman-teman kita ahli politik yang prihatin. Kita berjaya, kerana perjuangan kita ikhlas, maka itulah kita dikritik. Kita dikritik kerana kejayaan kita. Bagiku itu satu penghormatan, bukan ejekan atau sindirian.

            Mereka mengangguk sambil mendengus gembira, seperti dengusan singa yang sedang melapah daging rusa yang baru ditangkapnya.

            -Sebagai golongan intelek, kita sudah berjasa besar. Coba hitung, sudah berapa ratus seminar kita anjurkan, sudah berapa ribu kertas kerja kita kumpulkan, sudah berapa ratus badan intelektual seluruh dunia kita hubungi dan mengenal kita sebagai satu-satunya wakil kaum intelek Malaysia. Malah ada di antara kerabat kita yang sudah jadi menteri. Jika itu semua bukan kejayaan, apakah kejayaan?

            Cabaran Ketua Agung KITA disamburt dengan anggukan kepala beramai-ramai, tegolek-golek seperti buah kelapa kering hanyut di laut.

            -Dengan kedudukan ini, dengan wang yang banyak, dengan prestij yang KITA punyai sekarang, kita boleh menjelajah dunia. Ini zaman global, zaman Penglima Awang moden menjelajah dunia sebagai duta bebas, bukan sebagai abdi penjajah lagi. Inilah kejayaan KITA.         

Semua kaum intelek itu diam bangga, kerana kejayaan itu dicapai oleh mereka sendiri tanpa pertolongan sesiapa pun, kecuali kawan-kawan dari kalangan ahli politik saja.

            -Aku intelek miskin, rajin menulis, kini sudah siap tiga buah buku penting. Siapa yang mahu terbitkan?, tiba-tiba seorang di antara mereka mengadu. Bolehkah KITA terbitkan karya aku ini? Atau pinjamkan aku sedikit wang supaya aku boleh terbitkan sendiri? Aku akan bayar dari hasil jualan buku aku nanti. Siapa yang sokong aku?

            Semua mereka tersenyum, tidak tersentuh oleh permintaan teman mereka yang tiada kedudukan apa-apa dalam KITA atau di mana-mana saja, sambil memerhatikan Ketua Agung KITA yang kelihatan masam saja mukanya.

            -Aku betul-betul perlu pertolongan, bukan nak sindir-sindir sesiapa, kata intelek yang perlu bantuan itu.

            -Kita sudah punya penerbit terbesar negara yang kita perjuangkan dulu untuk menerbitkan hasil karya kaum intelek tanah air. KITA tidak ada wang untuk menerbitkan karya, tidak ada wang untuk diberi pinjam kepada ahli kerana KITA bukan bank. KITA sebuah pertubuhan sukarela. Ini mesti difahami …

            Yang membuat cadangan tersengih. Lama juga kaum intelek itu terdiam.

            -Jadikah lawatan ke Cina bulan depan?, seseorang berbisik.

            -Eh, kau belum dapat tiket lagi?

            -Tiket saudara agak lewat, tapi dapat, kata Ketua Agung KITA yang mendengar bisikan cemas itu. Dia kelihatan tidak selesa dengan bisikan itu.

            -Ah, tiket? Tiket apa?, tanya seseorang yang nampaknya tidak tahu menahu rancangan melawat China itu.

            -Tiket saudara untuk berceramah di Langkawi sudah ada, kata Ketua Agung KITA  menyelamatkan keraguan yang bertanya.

            -Ohh… Terima kasih, katanya tesengih lega, puas hati.

 

tamat

 

 

                                                                                                            Petaling Jaya,

                                                                                                            28 Mei 2004