Sunday, July 31, 2011

PERUBAHAN UNTUK APA? KE ARAH MANA?

Setelah mengikuti kontroversi picisan yang cuba dicetuskan di sekitar gagasan Persuratan Baru, saya terkesan bahawa kita perlukan kira-kira 30-50 tahun lagi untuk sampai ke standard yang cuba diwujudkan oleh gagasan Persuratan Baru dalam perbincangan tentang persuratan dan kesusasteraan Melayu. Tetapi itu pun sekiranya terdapat perubahan dalam cara berfikir tentang kesusasteraan, yang lebih mengutamakan persoalan epistemologi daripada hanya persoalan kaedah analisis seperti yang dikerjakan sekarang. Tanpa perubahan itu, tanpa menjadikan epistemologi sebagai asas pemikiran dalam kritikan dan penulisan kreatif, kita mungkin memerlukan satu abad untuk sampai ke taraf yang cuba dicapai oleh gagasan Persuratan Baru. Dalam konteks inilah saya mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara, kerana yang ditonjolkan oleh laporan mereka tidak mendorong ke arah perubahan besar dalam cara memahami kewujudan persuratan dan kesusasteraan dalam pembinaan tamadun manusia, khususnya manusia Melayu yang masih berada dalam aliran pandirisme yang kini dijadikan aliran perdana dalam kesusasteraan Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui projek mereka.

Kata laporan Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporannya, setiap karya yang bermutu dan bernilai seni, haruslah menunjukkan adanya “eksperimen” dalam teknik penulisan. Inilah yang mereka namakan pembaharuan, iaitu ditujukan kepada bentuk luaran, kepada ada tidaknya khutbah, persoalan moral, tema yang disengajakan, nilai-nilai kemanusiaan sejagat, dan seterusnya yang mereka senaraikan dalam laporan mereka. (Untuk mendapat gambaran terperinci, sila rujuk Kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, DBP 2009).  Yang menarik di sini ialah para sasterawan mesti menunjukkan mereka membawa perubahan dalam karya mereka melalui apa yang sering kali disebut sebagai “eksperimen” dalam penulisan. Tetapi jika anda membaca laporan mereka dengan teliti dan kritis, anda akan berasa sangat hairan, mengapa hanya penulis yang “wajib” membawa perubahan, mengapa tidak penilai dan peneliti sastera sendiri?  Malah kita lihat dengan jelas, tertulis dengan terang dalam laporan para ahli Panel Anugerah Sastera Negara ini, sikap negatif mereka terhadap “perubahan” dalam menentukan ukuran atau kriteria yang dipakai dalam menilai sesuatu karya. Mengapa hanya pendekatan “common sense” mereka saja yang boleh dipakai? Mengapa tidak boleh berubah, menggunakan ukuran yang lebih tepat dan objektif?  Terdapat sedikit percubaan, berupa tidak lebih daripada “batuk di tangga” (lihat Prof. Ungku Maimunah, hal. 52), untuk hanya menamakan gagasan Persuratan Baru dengan nama bikinan Panel sendiri, “Persuratan Melayu Baru”, yang tentu saja tidak tepat, malah memperlihatkan tiadanya sifat prihatin terhadap ilmu. Oleh itu percubaan Panel untuk menjadikan gagasan Persuratan Baru sebagai hujah bahawa terdapat sebuah novel sasterawan negara yang dinilai yang kononnya bertepatan dengan gagasan Persuratan Baru, akhirnya menjadi tidak lebih daripada sejenis ocehan, idle talk yang berjaya memperlihatkan keselekehan analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri.

Pendirian Panel Anugerah Sastera Negara yang anti-perubahan dalam kaedah analisis dan penilaian karya kreatif ini disambut baik, dan diikuti dengan membuta tuli oleh para sarjana, pengkritik dan sasterawan. Perilaku para sasterawan ini sangat jelek, setelah terpengaruh oleh saranan penilai (terdiri daripada sarjana dan pengkritik sastera), yang seolah-olah berlumba-lumba melakukan bermacam-macam jenis dan corak “eksperimen” dalam karya mereka, dengan kepercayaan bahawa mereka telah melakukan perubahan dan kemajuan dalam penulisan mereka; tetapi mereka tidak menerima wajarnya diadakan sebarang perubahan dalam cara menganalisis dan menilai karya mereka. Inilah pendirian yang menjadi dasar kontroversi picisan tentang gagasan Persuratan Baru yang dicetuskan oleh orang-orang yang tidak pun faham apakah gagasan Persuratan Baru dan mengapa gagasan itu muncul pada waktu ini. Kumpulan “cetek meraba-raba” ini dengan lantang menjeritkan bahawa karya sastera itu istimewa dan harus dinilai daripada perspektif sastera seperti yang mereka fahami. Karya sastera itu tidak wajar dinilai daripada perspektif sastera yang difahami dalam konteks epistemologi Islam, kerana telah keluar daripada lingkungan “sastera” yang istimewa itu. Oleh itu, kata mereka (meminjam  istilah yang dipakai dalam epistemologi Islam), perbuatan yang demikian adalah biadab, melanggar tata-susila kewujudan karya sastera yang istimewa dan sakral bagi mereka. Inilah jenis kumpulan penulis yang dilahirkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dan kumpulan ini secara membuta-tuli menerima ukuran “common sense” Panel Anugerah Sastera Negara sebagai ukuran yang paling tepat, yakni ukuran yang paling beradab dalam makna “adab” yang mereka fahami. Seperti yang berlaku kepada gagasan Persuratan Baru dalam Laporan 2003, maka demikianlah juga berlaku kepada konsep adab yang difahami dan digunakan secara yang amat tidak beradab, yakni yang sangat biadab, oleh kumpulan yang mencetuskan kontroversi picisan itu.  Seperti yang telah saya tegaskan berkali-kali, inilah budaya pandirisme yang menjadikan hawa nafsu sebagai ukuran, dengan berselindung di bawah konsep “kemanusiaan” yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang pada hakikatnya adalah pandangan hidup sekular Barat sepenuhnya. (Untuk memahami aspek ini, lihat posting bertarikh 21 Julai 2011).  Analisis saya dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid adalah tepat, dengan bukti yang lebih jelas diberikan oleh kumpulan pencetus kontroversi picisan ini.

Supaya persoalan ini dapat dilihat dan difahami  dengan lebih jelas, kita telusuri perkembangannya. Dewan Bahasa dan Pustaka telah melantik sekumpulan “pakar sastera” untuk menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Selama lebih dari 30 tahun Panel ini telah menjalankan tugasnya dengan memuaskan untuk melanjutkan warisan Asas 50 dan memperkuat pengaruh Barat dalam penilaian sastera Melayu moden. Seperti yang saya tunjukkan dalam beberapa tulisan mengenai sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara ini, kita lihat kumpulan ini pada dasarnya dicengkam dengan kuat oleh teori dan pendekatan Barat dalam analisis dan penilaian yang mereka lakukan, sehingga timbul sikap menentang apa juga perubahan yang boleh mencabar kedudukan selesa mereka. Walaupun mereka bersungguh-sungguh memberitahu para sasterawan peri pentingnya “eksperimen” dalam penulisan kreatif, kerana tindakan itulah yang boleh membawa perubahan dan kemajuan dalam kesusasteraan Melayu; namun mereka sendiri tidak mahukan perubahan itu dalam analisis dan penilaian karya kreatif, malah mereka menentang sebarang perubahan yang boleh menjejaskan status quo mereka sebagai pewaris teori dan pendekatan Barat.  Inilah hasil yang menjadi kebanggaan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai pelindung kesusasteraan Melayu. Untuk memastikan tiadanya perubahan, dan warisan ini diteruskan, Dewan Bahasa dan Pustaka melancarkan projek khusus mendidik penulis baru. Dari kumpulan inilah lahirnya pencetus kontroversi picisan tentang gagasan Persuratan Baru.  Jika anda baca perkembangan ini dalam konteks Laporan 2003 yang memperlekeh Persuratan Baru, anda tentu akan faham mengapa timbulnya kontroversi picisan ini pada waktu ini. Jika anda ingin menggunakan peribahasa Melayu untuk mencirikan kelakuan mereka, (yakni pencetus kontroversi picisan dan Panel Anugerah Sastera Negara), inilah kumpulan “pipit tuli makan berhujan”.  

Mohd. Affandi Hassan, 30/7/2011.


Friday, July 29, 2011

Komen Sinis Prof. Rahman Shaari Tentang Syarahan Perdana Prof. Ungku Maimunah

Prakata:  Baru-baru ini sewaktu saya menyemak fail-fail lama mencari tulisan yang dapat dimasukkan ke dalam kumplan tulisan yang sedang saya kerjakan, saya terjumpa tulisan ini, yang mulanya dikirim ke sebuah akhbar mingguan, tetapi kerana sebab-sebab tertentu saya tidak perasan sama ada disiarkan atau tidak. Jika ada di antara pembaca yang menemui rencana ini disiarkan di mana-mana, sudi kiranya memberitahu rujukannya untuk saya dapatkan keratan akhbar itu untuk simpanan. Oleh sebab tulisan ini ada kaitannya dengan posting bertarikh 16/7/2011, maka saya fikir sesuai jika rencana lama ini disiarkan dalam blog ini untuk perhatian para pembaca yang berminat. Sayangnya rujukan (tarikh dan akhbar)  tulisan Prof. Rahman Shaari tidak saya masukkan; oleh itu saya minta maaf jika kelupaan saya ini mengganggu pembaca. Kalau saya tak silap, disiarkan dalam Mingguan Malaysia.  Terima kasih.
______________________________________________________________________

            Apakah tujuan Prof. Rahman Shaari memperkecil syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir  yang membicarakan gagasan Persuratan Baru, dan dengan itu sekali gus meremehkan usaha saya mengemukakan satu kaedah analisis dalam membuat penilaian yang tepat, jitu dan objektif sesebuah karya kreatif melalui gagasan Persuratan Baru. Dengan nada mengejek, Prof. Rahman Shaari membuat kesimpulan bahawa syarahan perdana itu hanya carbon copy pendapat saya yang tidak dapat saya sampaikan secara ilmiah dan terhormat sebagai syarahan perdana kerana saya tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian. Jadi tidak ada pemikiran bernas dan asli dalam syarahan perdana itu, juga di dalam gagasan Persuratan Baru. Sejauh manakah beliau memahami gagasan Persuratan Baru untuk sampai kepada kesimpulan yang begitu negatif dan merendahkan? Saya yakin beliau tidak tahu apa-apa, dengan itu beliau tanpa silu segan lagi memperagakan keaiban intelektualnya dengan membicarakan sesuatu yang di luar kemampuan kognitifnya untuk difahami sebaik-baiknya. Inilah contoh “ocehan” (idle talk) yang disebut oleh Martin Heidegger, atau pembicaraan yang bercorak bullshit menurut Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit (2005). Komen beliau hanyalah sejenis gosip sastera yang layak diborakkan di kedai kopi, sama seperti latah geram si sasterawan yang menolak ilmu dengan berkata karya sastera bukan buku ilmu.
            Gagasan Persuratan Baru tidaklah sedangkal yang disangka dan cuba digambarkan oleh Prof. Rahman Shaari. Apabila gagasan itu mementingkan watak baik yang berilmu dan bijaksana, maka ini dikaitkan dengan konsep taklif yang menjadi prinsip utama gagasan Persuratan Baru, yang menolak kejahatan sebagai unsur utama karya kreatif seperti dalam karya sastera. Watak utama itu orang baik-baik kerana dia adalah contoh terbaik (uswah hasanah) untuk manusia, oleh itu seorang pelacur tidak mungkin menjadi contoh terbaik dalam konteks taklif tadi. Sepatutnya yang perlu ditimbulkan oleh Prof. Rahman Shaari ialah pertanyaan seperti, “mengapa penulis harus menulis tentang watak yang baik-baik, jika dengan berbuat begitu karya itu tidak menarik, gagal dari segi estetik dan perwatakan?” Jika itulah yang ditanyakan Prof. Rahman Shaari, maka jawapannya mudah saja: Jika anda seorang penulis yang cekap dan berilmu, anda boleh menulis karya persuratan yang menarik dan indah. Prof. Rahman Shaari memang mengaku beliau dapat berbuat demikian di bahagian akhir tulisannya dalam penegasan beliau, “saya masih yakin saya dapat menghasilkan karya yang dimaksudkan jika nanti saya terdorong.” Kita tunggu hasilnya nanti apabila beliau betul-betul faham gagasan Persuratan Baru dan terdorong untuk menulis karyanya dari perspektif Persuratan Baru. Andainya beliau tidak terdorong hingga akhir hayatnya, maka tidak ada yang berasa dirugikan tanpa kehadiran karya persuratan hasil buah tangan beliau, yang belum tentu mencapai standard yang dikehendaki Persuratan Baru.
            Komen Prof. Rahman Shaari yang negatif tentang syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah sebenarnya mencerminkan hakikat sebenar dunia akademik kita berhubung dengan masalah ini. Ahli akademik kita yang menceburi bidang sastera kebanyakannya menghadapi masalah kongnitif yang agak tenat. Tanggapan mereka terhadap cabaran ilmiah hanya berada pada peringkat ocehan yang hanya berupaya melahirkan gosip sastera, bukan analisis ilmiah yang mencabar pemikiran. Prof. Rahman Shaari sendiri membuktikan beliau menghadapi masalah kognitif ini apabila beliau melepaskan peluang keemasan untuk membicarakan apa yang dinamakannya “teori anjakan makna” sebagai tajuk syarahan perdana beliau. Sebaliknya, beliau memilih tajuk yang mudah, yang tidak mencabar kelesuan akademik yang berlaku sekarang; oleh itu syarahan perdana beliau yang bertajuk “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan” hanya sebuah naratif biasa tentang tema perkembangan sajak di Malaysia, bukan suatu analisis daripada “teori anjakan makna” yang menjadi pujaan beliau sekarang.  Adakah beliau menunggu seorang sarjana sehebat Prof. Ungku Maimunah untuk mengupas teori beliau itu? Tetapi sebelum sarjana hebat itu berani mengemukakan pandangan beliau, Prof. Rahman Shaari sendiri  harus membuktikan terlebih dahulu kehebatan beliau sendiri membicarakan “teori anjakan makna” yang kerap dicanangkannya. Dunia akademik khususnya dan sastera Melayu umumnya berasa sangat dirugikan apabila peluang untuk mendengar sebuah syarahan perdana yang mantap tentang “teori anjakan makna” dibiarkan berlalu begitu saja, padahal pencetusnya “mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian”. Sungguh sayang!
            Dalam usahanya memperlekeh syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah dan gagasan Persuratan Baru, Prof. Rahman Shaari secara tiba-tiba menimbulkan soal pembohongan dalam karya kreatif, lalu meletakkan Pujangga Melayu (beliau ambil bahagian akhir buku itu berjudul “Wajah Pendeta”) setaraf dengan Salam Maria, sama-sama karya bohong. Tetapi beliau menegaskan hal ini boleh diselesaikan dengan menggunakan “teori anjakan makna”. Sayangnya beliau tidak menjelaskan bagaimana “teorinya” mempunyai jawapan terhadap persoalan itu. Lebih penting, bagaimana pula jika “teori anjakan makna” itu sendiri suatu pembohongan akademik yang timbul daripada kekeliruan tentang konsep ilmu? Bolehkah pembohongan akademik membenarkan pembohongan kreatif? Ini soal epistemologi yang memerlukan penjelasan, yang kini menjadi kewajipan Prof. Rahman Shaari menjelaskannya.
Tetapi soal pembohongan ini sudah lama dibincangkan dalam kesusasteraan Arab, jadi kita tidak perlu menunggu Prof. Rahman Shaari menjelaskannya. Pembaca yang berminat bolehlah merujuk buku Mansour Ajami bertajuk, The Alchemy of Glory: The Dialectic of Truthfulness and Untruthfulness in Medieval Arabic Criticism (1988). Terlalu panjang untuk saya membicarakannya dalam makalah ringkas ini. Cukuplah dengan memberi contoh berupa soalan: Adakah karya Hamzah Fansuri (yang dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan mendalam) dan karya Iqbal, misalnya Asrar-i-Khudi, karya bohong? Jawapan yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru sangat jelas dan mudah difahami: sebarang karya yang berasaskan konsep ilmu yang benar adalah karya yang benar, walaupun dinukil daripada pemikiran pengarang. Adakah ini berlaku pada karya-karya kreatif para sasterawan negara misalnya? Jika kita meneliti penilaian yang dibuat oleh panel anugerah sastera negara, kita akan dapati unsur pembohongan dalam penilaian mereka amat ketara. Antaranya yang paling menonjol ialah kesimpulan mereka bahawa karya sastera yang baik dan bermutu tidak mempunyai mesej, tidak ada matlamat, tidak memberikan ajaran moral. Karya yang baik itu ialah yang meniru teknik karya Barat. (Rujuk antara lain Laporan 1985). Prof. Rahman Shaari sendiri pernah duduk sebagai penilai untuk hadiah sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka 1994, yang dipengerusi oleh Aziz Deraman. Panel itu juga berpendapat penerapan teori Barat adalah usaha terbaik untuk sastera Malaysia (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88).  Panel itu menilai buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) berasaskan pembohongan yang amat ketara apabila mereka berpendapat buku itu tidak bermutu kerana terdapat penggunaan perkataan “ketayap” dalam pendahuluannya. Panel penilai amat tersinggung dengan perkataan itu, oleh itu mereka tidak membicarakan langsung isi buku tersebut, yang kemudiannya diterima oleh Institute for the Study of Muslim Civilizations, Aga Khan Universiti, London sebagai sebuah buku penting yang memenuhi kriteria mereka dalam memilih karya-karya utama abad 20. Ini terjadi, saya agak, kerana mereka tidak nampak “ketayap” seperti panel Malaysia, tetapi nampak isi buku itu. Pembohongan penilaian ini telah saya huraikan agak terperinci dalam kertas kerja bertajuk “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, dikemukakan dalam Wacana Sastera anjuran DBP, 25 Mei 2006. Sesiapa yang berminat bolehlah merujuk kertas itu. Dalam kertas itu, saya jelaskan terjadinya pembohongan dalam penilaian ini kerana para penilai menggunakan “the bullshit theory of literature/criticism” akibat kekeliruan mereka tentang konsep ilmu.
            Pembohongan dalam penilaian ini hanya dapat dikesan jika digunakan cara analisis berasaskan gagasan Persuratan Baru. Di situlah, nampaknya, punca perasaan tidak senang para sarjana sastera seperti Prof. Rahman Shaari. Gagasan Persuratan Baru meneliti sumbangan mereka dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, sehingga mereka berada dalam keadaan yang diungkapkan dalam peribahasa Melayu, “seperti cacing kepanasan”. Betulkah “cacing sastera” tidak tahan panas?  Wallahu a’lam.

Petaling Jaya,  17/12/2007     


Saturday, July 23, 2011

Golongan Bijak Pandir Dalam Kesusasteraan Melayu Moden

Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai dua kumpulan golongan intelektual. Satu bijak pandai, yang amat sedikit bilangannya; satu lagi bijak pandir, yang amat ramai bilangannya. Siapakah golongan bijak pandir ini? Adakah mereka benar-benar wujud, atau hanya andaian semata-mata?  Golongan ini adalah penegak dan pengamal pandirisme dalam kesusasteraan.  Mereka adalah pengikut aliran Barat dalam memahami konsep dan makna  kesusasteraan, kononnya (atau lebih tepat “kununnya”) seperti yang terdapat dalam kesusasteraan Barat, mengikut fahaman mereka.  Tetapi salah satu kekuatan karya  Shakespeare, Goethe, Dante dan lain-lain tokoh besar sastera Barat, adalah pemikiran mereka.  Karya-karya tokoh besar sastera Barat ini terus dibicarakan dengan gigih oleh para sarjana, pengkritik dan para sasterawan Barat sendiri dalam konteks pemikiran mereka. Adakah pemikiran itu mencerminkan ilmu? Mengikut para bijak pandir, pemikiran bukan ilmu, kerana tidak ada ilmu dalam karya sastera. Yang ada hanya pemikiran, bukan ilmu. Bolehkah anda tangkap apakah yang mereka maksudkan? Adakah para bijak  pandir sastera ini  telah mengemukakan satu falsafah baru,  atau sekurang-kurangnya “pemikiran” baru dalam kesusasteraan? Timbulnya keadaan ini kerana mereka sangat marah dan benci apabila dicabar oleh gagasan Persuratan Baru, yang mengutamakan ilmu dalam karya sastera. “Mana boleh!” Jerkah mereka dengan marah dan sombong-angkuh. Mana ada ilmu dalam karya  sastera?  Kata mereka, karya sastera itu hanya cerita, tidak perlukan ilmu. Jika karya sastera perlukan ilmu, maka tidak dapat dielakkan lagi mestilah mengandungi unsur didaktik. Itu salah. Tidak ada didaktisisme dalam karya sastera kerana dalam karya sastera yang bermutu tinggi, yang unggul dan indah sebagai hasil seni, tidak ada khutbah, tidak ada pengajaran, oleh itu tidak ada ilmu. Kata mereka, ilmu tentulah berkaitan dengan khutbah dan didaktisisme, yang tidak diperlukan dalam karya sastera. Mereka memberi contoh yang konkrit dalam karya-karya para pujangga besar mereka yang mereka gelarkan “sasterawan negara”.  Mana ada pengajaran dalam karya para sasterawan negara?  Tegas mereka, sekiranya kita telah memilih para sasterawan negara, yang karyanya tidak mementingkan ilmu, maka tidakkah sangat biadab jika selepas itu kita mencari ilmu dalam karya mereka? Tidakkah ini sangat biadab dan kurang ajar? Para pengkritik dan sarjana sastera tidak patut bertindak biadab mencari ilmu atau unsur-unsur yang boleh dianggap sebagai ilmu dalam karya para sasterawan negara ini. Tidakkah anda tahu, para juri yang memilih mereka telah menetapkan bahawa karya para sasterawan negara ini tidak perlu mempunyai matlamat, tidak perlu mempunyai tema tertentu, tidak perlu menyatakan pendirian moral mereka, pendeknya mereka mesti membebaskan karya mereka daripada sebarang unsur yang boleh disifatkan mempunyai walau sedikit sekalipun ciri-ciri yang boleh menyerupai ilmu.  Itulah hakikat karya sastera, yang difahami oleh para juri dan memang menjadi amalan para sasterawan negara dan seluruh sasterawan Melayu yang mendukung keindahan seni melalui bahasa.  Kata para bijak pandir ini, keindahan hanya berada dalam penggunaan bahasa yang mengutamakan metafora, perbandingan dan segala jenis retorik bahasa yang digunakan oleh para sasterawan seluruh dunia.  Tidak ada keindahan dalam ilmu, kerana ilmu adalah fakta, bukan terjemahan daripada fakta itu. Kata para bijak pandir ini, seorang sasterawan hanya menterjemahkan fakta, bukan menghidangkan ilmu. Mereka tidak layak dan tidak dikehendaki untuk menghidangkan apa juga jenis ilmu dalam karya mereka, kerana mereka bukan ahli ilmu. Mereka ahli sastera.  Dan lain-lain lagi hujah mereka (yakni para bijak  pandir ini) yang boleh anda baca dalam tulisan para bijak pandir ini, sama ada dalam buku-buku mereka, dalam blog mereka, atau dalam ceramah dan kertas kerja yang mereka kemukakan dalam seminar.

Mengapa mereka tidak mahu ilmu dalam karya sastera? Menurut mereka, karya sastera itu seni, bukan sains. Hanya dalam sains sahaja terdapat ilmu. Dalam karya sastera tidak ada. Jika kita tanyakan para bijak pandir ini, adakah anda samakan maklumat dengan ilmu? Mereka menjawab, tidak ada bezanya. Maklumat itu ilmu, dan ilmu itu maklumat. Apa bezanya? Tanya mereka dengan megah sambil membeliakkan biji mata menyindir orang yang bertanya, yang mereka anggap sangat bodoh kerana telah membezakan maklumat yang memang sama dengan ilmu menurut falsafah ilmu mereka.  Kata mereka, ilmu per se tidak ada dan tidak patut ada dalam karya sastera kerana tempatnya dalam kitab-kitab atau dalam buku-buku ilmu per se.  Ilmu pasir? Tanya seorang yang bodoh, yang tidak pernah mendengar ungkapan per se itu.  Kumpulan bijak pandir itu tertawa kuat, terhinggut-hinggut seperti kambing kepanasan kerana terlalu geli hati. Aku sudah kata, sastera per se tidak perlu ilmu per se kerana tempatnya dalam buku-buku ilmiah, bukan dalam karya sastera. Tidakkah anda keliru?, tanya para bijak pandir ini, megah kerana berasa sudah menang berhujah.  Demikianlah akhirnya mereka mengambil keputusan, karya sastera tidak perlukan ilmu.

Apakah yang mereka, para bijak pandir ini, faham dengan konsep ilmu? Bagi para bijak pandir ini, ilmu adalah khusus membicarakan ilmu dalam disiplin tersendiri, misalnya ilmu perubatan, ilmu teknologi, ilmu sains, dan lain-lain jenis ilmu. Dalam Islam, kata mereka memberitahu, ada Ilmu Tauhid, ada Ilmu Fiqh, ada Ilmu Nahu, ada Ilmu Sejarah dan bermacam-macam lagi. Itulah ilmu, tegas mereka dengan bangga kerana telah menjelaskan maksud ilmu menurut fahaman mereka. Maka bertanyalah seorang bodoh yang tidak berilmu: Adakah tidak ilmu sastera? Dengan pantas mereka menjawab, Sastera bukan ilmu, oleh itu tidak ada ilmu sastera. Dalam sastera yang ada hanya karya sastera,  satu seni yang indah yang ditulis oleh orang-orang yang sensitif kepada keindahan yang kita namakan sasterawan atau seniman.  Orang yang  bertanya menggaru kepala, tidak dapat menerima dan tidak faham penjelasan para bijak pandir yang begitu fasih berbahasa indah-indah itu. Maka bertanyalah orang bodoh itu, Kalau begitu, apakah yang anda semua ajar di sekolah dan di universiti?  Apakah yang anda tulis jika bukan ilmu?  Semakin kuat para bijak pandir itu tertawa, geli hati yang amat sangat mendengar kekeliruan orang yang bertanya.  Lalu mereka berkata dengan bangga, menonjolkan ilmu mereka: Kami sebagai profesor, pensyarah dan guru sastera di sekolah-sekolah dan universiti mengajar murid-murid dan para pelajar universiti tentang plot, sudut pandangan, dialog, struktur, stail, latar belakang, dan sebagainya yang kita dapati dalam karya sastera. Itu bukan ilmu. Itulah teknik dalam penulisan kreatif. Anda mesti tahu semua itu, terutama sekali plot. Kita ukur kejayaan sesuatu karya sastera dengan melihat strukturnya, bagaimana cerita dibina dengan menggunakan plot yang kemas. Adakah anda sudah faham? Seterusnya, kata mereka lagi, oleh sebab para sasterawan dunia telah berjaya meneroka berbagai-bagai cara menulis dengan indah-indah, maka yang kami ajar termasuklah eksperimen yang dibuat oleh para sasterawan dunia ini, yang ditiru dan disalin dengan jayanya oleh para sasterawan kita, terutama sekali oleh para sasterawan negara yang mendapat pujian daripada para juri yang memilih mereka. Anda pernah dengar absurdisme? Pernah denganr realisme magis? Pernah dengar realisme sosialis?  Pernah dengar eksistensialisme? Sambil tertawa, para bijak pandir ini bergurau, Tidak ada yang  sial dalam eksistansialisme itu. Itu tentang kewujudan manusia moden, bukan tentang yang sial-sial dalam kehidupan moden seperti yang selalu ditafsirkan oleh orang-orang yang tidak tahu sastera pascamoden. Anda masih belum faham?

Dialog ini berterusan, mungkin sampai hari kiamat. Oleh sebab para bijak pandir yang menjadi sasterawan, pengkritik sastera dan sarjana sastera ini menolak ilmu, terutama sekali konsep ilmu yang benar, maka mereka akan terus berhujah untuk menegakkan pandirisme dalam kesusasteraan, yang mereka ajarkan di sekolah-sekolah dan di universiti  dan yang mereka tulis dalam karya-karya mereka. Kini, dengan bantuan Panel Anugerah Sastera Negara, pandirisme telah dijadikan arus perdana dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden.  Melalui hujah dan pembuktian yang diasaskan kepada falsahah pandirisme (adakah pandirisme mempunyai falsafah?), maka sebarang usaha untuk membawa ilmu dalam kesusasteraan ditentang habis-habisan kerana usaha itu amat biadab, kata golongan bijak pandir ini. Sastera Melayu sudah maju dan dikenali seluruh dunia dalam bentuk dan cara yang ada sekarang, yang tidak mementingkan ilmu, maka mengapa pula perlu diganggu dengan membawa pengaruh biadab dengan memasukkan konsep ilmu yang benar dalam sastera? Kata mereka, lebih biadab lagi apa bila karya sastera dipecah-pecah kepada tiga kategori, iaitu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan erotik. Mengapa perlu dipecah-pecah sebegitu? Tidakah itu sangat biadab? Lebih biadab lagi apabila golongan biadab ini cuba mempengaruhi kita, kata golongan bijak  pandir, untuk menerima karya persuratan itu lebih bermutu dan lebih murni daripada karya sastera kerana karya persuratan ada ilmu sedangkan karya sastera tidak ada ilmu, apatah lagi dengan menggunakan ukuran dalam karya persuratan untuk menilai karya sastera? Tidakkah itu sangat biadab? Nasib baik mereka tidak mempunyai gas pemedih mata atau apa-apa senjata tidak berbahaya yang dipunyai oleh polis untuk menyuraikan kumpulan haram yang menunjuk perasaan; sekiranya mereka (yakni para bijak pandir ini) mempunyai senjata yang tidak berbahaya itu, tentulah sesiapa yang cuba mengemukakan sesuatu yang mereka tidak suka telah disembur dengan gas pemedih mata atau water canon yang airnya beracun (rancun main-main saja kata polis yang menggunakannya).  Dalam keadaan kacau bilau yang ditimbulkan oleh segolongan kecil yang pandai-pandai membawa ilmu ke dalam karya sastera, maka kesusasteraan Melayu dikembangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti yang menyediakan jabatan khusus mengajar sastera dan kritikan sastera.  Mereka ini tidak mahu berubah, kerana kebaikan itu, kata mereka, berada dalam kejahilan, iaitu tiadanya ilmu dalam sastera. Atau memang ada ilmu tapi bukan versi ilmu yang benar? Tetapi sastera memang tidak perlukan ilmu, oleh itu, nasihat mereka dengan sopan santun, janganlah dirosakkan kesusasteraan Melayu yang sudah maju jaya tanpa memperdulikan ilmu itu. Apa gunanya ilmu kalau sudah boleh maju tanpa ilmu?, tegas mereka dengan serius.

Perbincangan tentang kemunculan golongan bijak pandir ini dan peranan mereka dalam kesusasteraan telah dibincang dengan santai dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktik.  (Lihat bab 4). Kewujudan buku ini belum lagi diketahui oleh golongan bijak pandir ini, oleh itu belum ada apa-apa  reaksi negatif atau positif daripada mereka. Lagi pula, secara logiknya, melihat judulnya  saja pun membuat mereka mual hendak muntah. Sastera Melayu sudah maju dan dikenali seluruh dunia tanpa memikirkan perlunya ilmu,  tegas para bijak pandir ini dengan bangga, oleh itu mengapa pula ada yang pandai-pandai hendak membawa ilmu ke dalam karya kreatif?  Tidak perlu pun (ini mengikut gaya Shahnon Ahmad yang terkenal itu). 

Tetapi kata orang-orang bodoh yang degil yang membawa idea ilmu ini, kalau tak mahu pun tak apalah, apa salahnya kita semua terus tinggal bodoh; lagi pula kita memang sudah maju dan boleh terus maju dengan mengutamakan kebodohan dalam falsafah pandirisme yang telah kita angkat menjadi aliran perdana. Tapi  hujah yang paling ampuh, kata orang yang cerdik di antara mereka, ialah cara Malaysia ditadbir sekarang. Kata mereka, sekarang Malaysia ditadbir oleh sekumpulan Ketua Murid, dengan diketuai oleh Ketua Murid Perdana.  Mereka sangat cekap, sangat mementingkan disiplin (seperti ketua-ketua murid di sekolah menengah) dan sangat pandai mencari ukuran kemajuan negara. Mereka telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah Negara Sekolah Menengah yang sangat cekap mengibarkan bendera sambil menaikkan jari telunjuk yang menjadi simbol Nombor Satu. Inilah kerja rasmi yang amat ditekankan oleh Ketua Murid Perdana.  Kini, kata para penyokong budaya pandirisme dalam pendidikan, universiti pun telah dijadikan sekolah menengah, dengan murid-murid yang menjadi pelajar yang telah didisiplinkan supaya tidak pandai-pandai sendiri memberi pendapat bebas. Para pensyarah pun telah didisiplinkan dengan sempurna untuk menurut telunjuk yang didirikan tadi supaya berdisiplin, ikut perintah yakni ikut telunjuk simbol Nombor Satu itu. Mengapa pula para sasterawan dan sarjana sastera hendak diajar memberontak? Biarlah Muhammad Hj. Salleh saja yng menjeritkan, “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”, yang menjadi ikutan para bijak pandai, tidak perlu diikuti oleh golongan bijak pandir. Tetapi pelik juga, golongan bijak pandir inilah yang mempertahankan sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh sehingga ada yang menggelarnya Raja Pensajak Malaysia.

Sekiranya Pak Pandir masih hidup, atau betul-betul wujud, tentulah dia akan tertawa selama tiga bulan tidak berhenti-henti mendengar ceritanya yang kini sudah dijadikan falsafah dalam segenap bidang kehidupan orang Malaysia, termasuk dalam “dunia” kesusasteraan mereka dan muncul pula  tokoh-tokohnya sebagai kumpulan bijak pandir yang hebat dan bertaraf antarabangsa.  Kalau itu bukan kemajuan, apa namanya?

Mohd. Affandi Hassan, 23/7/2011.