Friday, June 25, 2010

Kesan Masalah Kognitif ke Atas Penilaian Karya Kreatif

   Kumpulan ini (merujuk kepada ahli akademik yang menjadi penjaja “teori” Barat) nampaknya menghadapi masalah kognitif, sukar memahami konsep-konsep penting dalam kritikan dan tidak mahir menggunakan konsep-konsep itu, misalnya dengan menempatkannya dalam konteks yang sesuai. Kecelaruan ini kelihatan dengan nyata dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Misalnya, dalam Laporan 2009, panel memuji cerita pendek Anwar Ridhwan kerana beralih ke daerah simbolik dan eksperimental, seolah-olah dua konsep itu, simbolisme dan eksperimental, menentukan nilai sesebuah cerita pendek, padahal kedua-dua konsep itu bersifat pencirian, bukan kriteria penilaian. Tidak semestinya yang “simbolik” dan “eksperimental” itu bermutu tinggi dari segi penerokaan idea dan teknik. Diperlukan ukuran lain untuk menentukan yang “simbolik” dan “eksperimental” itu benar-benar bermutu, misalnya dengan menggunakan konsep wacana dan cerita dalam konteks gagasan Persuratan Baru (akan dijelaskan nanti). Dalam laporan itu, pencirian itu pun tidak tepat, kerana dalam cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” tidak terdapat apa-apa simbol, tidak juga gaya eksperimental, walaupun Prof. Hashim Awang berkata cerita pendek itu seperti prosa lirik yang puitis (?) dan memakai teknik “stream of consciousness”. Apakah yang eksperimental tentang teknik itu dan apa pula yang simbolik dalam cerita perzinaan itu? Panel menganggap “apartmen” adalah simbol kehidupan moden. Bagaimana? Ternyata penggunaan istilah “simbolisme” itu sendiri kacau, cetek, dan tidak munasabah dengan teknik cerita yang biasa, yang dari segi pengolahan terlalu cetek dan “artifisial” untuk diterima sebagai sebuah karya “simbolik” atau “eksperimental”. Penggunaan”istilah” sewenang-wenang begini tidak mencerminkan apa-apa kualiti dalam karya yang dinilai; tetapi lebih banyak mencerminkan masalah kognitif para penilai sendiri. Inilah yang berlaku dalam Laporan 1991 tentang pensajak Muhammad Hj. Salleh. Ada usaha untuk menjadikannya seorang pensajak intelektual, tetapi hanya dalam kata-kata, tidak dibuktikan dalam analisis dan penghujahan yang mantap. Sekali lagi masalah kognitif itu tertonjol dalam laporan dan juga dalam diri yang dilapor. Inilah yang dipanggil keaiban intelektual yang telah saya perkatakan dahulu.

Masalah kognitif ini makin jelas ketika kumpulan ini cuba memahami gagasan Persuratan Baru, lalu ada di antara mereka berkata jika dalam Persuratan Baru cerita tidak penting, maka apa gunanya menulis cerita pendek dan novel? Yang menjadi masalah bukan konsep wacana dan cerita dalam Persuratan Baru, tetapi pemahaman cetek atau langsung tidak faham konsep-konsep itu, ditambah pula dengan perasaan ingin menidakkan kewujudan Persuratan Baru yang dianggap sebagai suatu ancaman kepada mereka, iaitu ancaman dari segi penilaian yang lebih tepat dan objektif berasaskan konsep wacana dan cerita tadi. Prof. Ungku Maimunah telah memberi penjelasan panjang tentang konsep-konsep ini dalam syarahan perdana beliau dan dalam kuliah MASTERAnya, dengan mengemukakan konsep “ruang naratif”. Konsep ini boleh difahami dengan mudah, sekiranya anda tidak cacat dari segi kognitif, dengan melihat bagaimana ruang digunakan untuk mencapai maksud tertentu. Jika anda masuk ke Dewan Seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka, anda akan perhatikan bagaimana kerusi empuk disusun tanpa meja, dengan sebuah podium kecil di hadapan untuk digunakan oleh pembicara. Bandingkan pula jika anda memasuki Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya waktu diadakan peperiksaan, anda akan lihat kerusi dan meja teratur berbaris-baris, dengan keterangan yang jelas bagaimana anda boleh tahu di mana anda akan duduk. Anda tidak perlu keliling dewan itu mencari tempat anda, kerana petunjuknya telah disediakan. Anda akan terus saja masuk ke dewan dan terus ke meja anda jika anda tidak mempunyai masalah kognitif untuk membaca petunjuk yang disediakan. Jika anda berada dalam dewan teater, susunan kerusinya tidak sama dengan yang terdapat dalam dua dewan yang digambarkan tadi; begitu juga jika anda masuk ke dewan muzik orkestra. Dengan penjelasan yang agak bodoh ini semua orang yang ada masalah kognitif akan dapat faham sekarang bagaimana konsep wacana dan cerita itu dipakai dalam konteks ruang naratif tadi. Cerita itu penting, tetapi dalam konteks wacana, bukan dalam konteks penglipur lara. Cerita tidak hanyut kerana wacana akan memastikan cerita itu tersusun, teratur dengan kemas seperti tersusunnya dewan-dewan tadi mengikut fungsi masing-masing. Tetapi dalam konteks Persuratan Baru, penggunaan ruang naratif tadi diberi makna melalui stylization of ideas. Ini telah dicontohkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERAnya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, hal. 122-125, ketika beliau menjelaskan episod penamaan rumah Prof. Awang. Episod kecil itu “kelihatan” terlalu tidak bererti dan remeh jika dilihat dengan cetek tentang perkara memberi nama rumah baru mereka; tetapi jika dilihat dalam konteks stylization of ideas, episod itu adalah kesimpulan penting dalam falsafah hidup Prof. Awang. Isterinya, Aini, melihat rumah besar mereka dalam konteks materialisme untuk bermegah-megah, tetapi Prof. Awang melihatnya dalam konteks kerohanian, satu anugerah Allah Ta’la kepadanya yang cukup istimewa, oleh itu dia harus menjadikannya “istimewa” melalui penjelasan kepada isterinya dalam kutipan pendek itu. Jika anda tidak ada masalah kognitif, dan anda tahu peristiwa Balqis dan Nabi Sulaiman ‘a.s., anda akan faham bagaimana Aini berada dalam keadaan Balqis berada, sehingga dibetulkan oleh suaminya Prof. Awang, seperti kesilapan Balqis dibetulkan oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. Demikianlah penggunaan ruang naratif yang dimaksudkan dalam gagasan Persuratan Baru, yang jika difahami oleh para sasterawan, mereka akan melihat “realiti” kreatif dalam konteks yang berbeza sama sekali daripada yang mereka fahami selama ini, iaitu dalam konteks stylization of ideas yang maksudnya ialah untuk memberi makna yang paling mendalam dan tepat dalam pembinaan cerita yang dikawal dengan cermat oleh penggunaan wacana berasaskan ilmu yang benar. Jika masih terdapat sesiapa juga yang menolak gagasan Persuratan Baru setelah memahami penjelasan ini, maka jelaslah beliau menghadapi masalah kognitif yang teruk, di samping boleh diragui pula kejujurannya dan kebersihan hatinya. Perlu diingat, menolak tidak sama dengan tidak bersetuju. Sekali lagi masalah kognitif! [Di atas telah diberi bayangan tentang stylization of ideas ini ketika disebut cerita pendek “Bukan Orang Jahat”.]

Mohd. Affandi Hassan, 25/6/2010.

Thursday, June 24, 2010

Masalah Kognitif ... Perihal Ahli Sihir Firaun Yang Syuhada Dengan PASN Yang Terus Keliru

Apakah yang dimaksudkan dengan masalah kognitif? Mengapa menjadi masalah? Perhatikan: Ahli sihir Firaun tidak menghadapi masalah kognitif itu kerana mereka terus dapat melihat kebenaran setelah melihat tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang menjadi ular menelan simpulan tali yang mereka buat yang kelihatan mejadi ular, padahal palsu. Kerana tidak menghadapi masalah kognitif, dengan spontan dan berani ahli sihir Firaun itu menerima ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Musa ‘a.s. Adakah PASN berada dalam keadaan yang sama? Mereka ada masalah kognitif, oleh itu tidak dapat melihat kebenaran seperti ahli sihir Firaun melihat kebenaran. Sementara ahli sihir Firaun yang tinggi kemahirannya sebagai ahli sihir, yang berupaya membawa mereka kepada kebenaran (mereka dapat melihat kebenaran itu sebaik saja tongkat Nabi Musa ‘a.s. menjadi ular), dengan itu mereka terselamat walaupun disiksa dengan amat dahsyat oleh Firaun hingga membawa maut; sebaliknya, PASN menjauhkan diri mereka dari kebenaran, apabila mereka bukan saja tidak berminat kepada konsep ilmu yang benar, malah menentangnya kerana dianggap mengganggu kerja akademik mereka sebagai penilai. Tujuan mempertentangkan ahli sihir Firaun dengan PASN ialah supaya kita dapat melihat dengan jelas makna dan maksud masalah kognitif yang dibincangkan. Seseorang yang tidak dapat memahami sesuatu konsep yang dipakai dalam wacana ilmiah, tidak dapat melihat bagaimana konsep-konsep itu berdialog dalam sesuatu wacana untuk kemudiannya melahirkan rumusan ilmiah yang boleh dipakai untuk menganalisis sesuatu masalah, sehingga masalah tadi menjadi jelas, maka orang itu nyata menghadapi masalah kognitif. Ini tidak bererti dia seorang yang lemah akal, hanya dia tidak berupaya mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain untuk melahirkan kefahaman yang mendalam tentang sesuatu perkara. Misalnya tentang gagasan Persuratan Baru.

Banyak cerita karut yang kita dengar daripada orang-orang yang menghadapi masalah kognitif ini. Terbaru ialah bantahan mereka, mengapa PASN dibandingkan dengan Firaun? Lihat, betapa jahatnya manusia yang menghadapi masalah kognitif ini. Mereka memutar-belit kenyataan, untuk meluahkan niat jahat mereka; tetapi kerja jahat begitu adalah sia-sia dan membuang masa. Pertama yang harus diingat, bila kita membawa cerita ahli sihir Firaun ini, kita bercakap tentang ahli sihir yang diberi hidayah, yang terus masuk Islam dan mati syahid. Mereka mati syahid, dibunuh oleh Firaun kerana mereka menolak kezaliman dan penipuan Firaun. Sepatutnya PASN berasa bangga, dan gentar, kerana mereka didekatkan dengan syuhada. Jika hati mereka masih keras, tidak mahu insaf, cerita yang macam mana lagi yang boleh menginsafkan mereka? Ingat baik-baik, jangan ditipu oleh hawa nafsu anda. Perbandingan antara ahli sihir Firaun dan PASN adalah perbandingan tentang persoalan kognitif: tentang bagaimana ahli sihir yang cekatan dan cukup tinggi kemahirannya itu melihat kebenaran secara total, dan serta-merta menerima ajaran wahyu. Itu yang kita ingin tekankan. Itulah yang kita minta daripada PASN, keberanian untuk mengemukakan alternatif yang lebih baik dan jitu daripada praktik yang mereka lakukan selama 30 (tiga puluh) tahun ini dalam analisis dan penilaian mereka. Permintaan itu sangat wajar, bukan untuk menghina atau merendahkan mereka. Tujuannya untuk menaikkan taraf mereka sebagai pemikir bangsa yang menentukan kebaikan untuk bangsa mereka. Di mana salahnya perbandingan itu? Semuanya menjadi salah jika anda menghadapi masalah kognitif. Jangan jadikan kelemahan kognitif anda untuk menutup kebenaran. Atau untuk berbohong dan memutar-belitkan fakta. Kini kita bercakap tentang konsep ilmu yang benar dan apa maknanya dalam kehidupan akademik manusia. Kalau ini jelas, anda boleh faham dengan mudah maksud kelemahan kongnitif ini. Kita sambung perbincangan ini waktu lain.

Mohd. Affandi Hassan, 24/6/2010.

Wednesday, June 23, 2010

Antara Ahli Sihir Firaun dan Panel Anugerah Sastera Negara

Seperti yang diceritakan dalam al-Quran, dalam pertandingan antara Nabi Musa ‘a.s. dengan ahli sihir Firaun, para ahli sihir yang handalan itu (mereka boleh menjadikan simpulan tali kelihatan seperti ular betul-betul) serta-merta tunduk kepada realiti hakiki, kepada kebenaran wahyu, apabila melihat tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang dilemparkannya dengan perintah Allah Ta’ala menjadi ular betul dan menelan ular palsu mereka. Ketika itu tidak ada lagi ketakutan di kalangan mereka, walaupun mereka dipotong kaki tangan oleh Firaun. Itulah keberanian intelektual yang paling tinggi, yang hanya lahir di kalangan ahli ilmu yang betul-betul menguasai profesionnya, seperti ahli sihir Firaun itu. Sekarang timbul persoalan: Adakah dalam masa 30 (tiga puluh) tahun itu Panel Anugerah Sastera Negara tidak pernah tercabar untuk melihat segi lain dalam penilaian mereka daripada segi yang biasa mereka pakai? Adakah mereka tidak pernah dicabar untuk beralih daripada realiti semu yang menguasai mereka kepada realiti hakiki yang ditawarkan oleh konsep ilmu yang benar? Adakah mereka tidak tahu menahu adanya konsep ilmu yang benar itu? Semua jawapan kepada soalan ini memperlihatkan keselekehan Panel Anugerah Sastera Negara jika dibandingkan dengan ahli sihir Firaun yang dapat melihat realiti hakiki setelah melihat dengan mata kepala mereka bagaimana ular palsu mereka ditelan oleh tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang dengan izin Allah Ta’ala menjadi ular betul.

Perbandingan yang dikemukakan di sini sangat penting kerana perbandingan itu, jika difahami betul-betul, akan membawa perubahan besar kepada ahli PASN, dan dari situ akan bermulalah penilaian karya kreatif dan karya akademik berasaskan konsep ilmu yang benar. Mengapakah ahli PASN sangat takut kepada konsep ilmu yang benar itu? Saya kira mereka bukan takut, hanya mereka tidak tahu kerana sudah dibelenggu oleh konsep ilmu yang difahami di Barat, yang mereka dakap dengan begitu kejap, tidak mahu dirongkai untuk melepaskannya ke laut luas, seperti yang diucapkan oleh salah seorang dari mereka yang menuntut “kita mesti melemparkan pengaruh England, Eropah dan Amerika Syarikat sebagai pusat dunia kita ...” Tetapi setelah dilempar ke laut, mereka terpinga-pinga kerana tidak tahu apakah pusat baru itu. Oleh itu yang dikatakan telah dilempar itu dipungut kembali, digunakan semula dengan lebih gigih. Itulah yang terjadi kepada PASN, masih terus berada di pengkalan lama yang sudah berlumut, licin dan berbahaya.

Mungkin mereka ini tidak pernah dengar nama Ratu Balqis yang terpesona dengan lantai berkilat istana Nabi Sulaiman ‘a.s., lalu disangkanya kolam yang dalam, lantas diselaknya (diangkat) kainnya hingga menampakkan betisnya, tidak peduli lagi kepada aib yang ditanggungnya kerana kesilapannya itu, sehingga dibetulkan oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa yang disangkanya kolam itu hanyalah lantai berkilat hasil kerja seni bina yang tinggi mutunya. Hanya satu ilusi, bukan kenyataan. Dan ilusi itulah yang telah menipu pandangan Ratu Balqis. Adakah PASN juga berada dalam ilusi seumpama itu, sehinngga menganggap teori dan kaedah Barat itulah saja yang betul dan layak dijadikan asas penilaian mereka. Nampaknya begitulah yang terjadi, yang segera mengingatkan kita kepada perempuan Mesir yang mengejek Zulaikha kerana tergoda melihat Nabi Yusuf ‘a.s. yang begitu tampan. Zulaikha menjawab tuduhan fitnah itu dengan mengadakan satu perkumpulan para perempuan Mesir, dengan memberi mereka pisau dan bawang untuk dikupas. Apabila Nabi Yusuf ‘a.s. dibawa di depan mereka, maka mereka tidak sedar lagi mereka telah menghiris tangan mereka kerana begitu tegoda melihat Nabi Yusuf ‘a.s. begitu tampan. Mereka telah dikuasai hawa nafsu. Adakah PASN juga berada dalam keadaan yang dialami perempuan Mesir itu, menghiris maruah mereka kerana begitu terpesona dengan teori dan kaedah kritikan Barat, kepada nilai-nilai Barat yang didakap mereka begitu erat, walaupun perbuatan itu mengaibkan? Keaiban intelektual ini tidak disedari, kerana konsep ilmu yang mereka pegang tidak membolehkan mereka mengetahui bahawa mereka sedang berada dalam keaiban itu. [Keterangan lanjut tentang keaiban intelektual ini diberikan dalam makalah saya yang diterbitkan dalam buku Peradaban Melayu Timur Laut, DBP2005.]

Selagi kumpulan PASN ini tidak berasa aib berada dalam keaiban intelektual dengan mendakap erat teori dan kaedah kritikan Barat yang mereka gunakan selama 30 (tiga puluh) tahun ini, maka tidak mungkin terjadi perubahan. Dari perspektif inilah mereka tidak setaraf dengan ahli sihir Firaun yang cekatan dan tinggi kemahiran sihirnya itu sehingga membuat mereka berupaya melihat kebenaran dan hakikat realiti, yang tidak nampak kepada anggota PASN. Dari perspektif inilah juga maka PASN menjadi benteng nilai-nilai Barat dalam sastera Melayu moden, menjadikan nilai-nilai Barat itu warisan sah sastera Melayu moden, tidak perlu diubah lagi. Oleh itu jika terdapat di antara anggota PASN ini yang mahu melontar nilai-nilai Barat ke laut, atau yang mengaku sudah berbuat salah menggunakan nilai-nilai Barat dalam menilai karya sastera Melayu, maka cakap-cakap seperti itu hanya omong kosong, sejenis ocehan atau idle talk semata-mata, seperti yang sebut oleh Martin Heidegger. [Lihat makalah tentang perkara ini yang tersiar 14 Jun 2010].

Mohd. Affandi Hassan, 23/6/2010.

Tuesday, June 22, 2010

Panel Anugerah Sastera Negara Sebagai Pembina Mitos dan Kumpulan Anti-Ilmu

Bagi orang-orang yang tidak sedar apa yang sebenarnya berlaku dalam kesusasteraan Melayu moden, tajuk ini mungkin mengejutkan mereka. Perlukah Panel Anugerah Sastera Negara (seterusnya PASN) dikritik begitu keras? Sebenarnya kita sudah terlewat, oleh itu kita telah membiarkan PASN bermaharajalela mengelirukan sasterawan dan sarjana sastera, termasuk pengkritik sastera, untuk menerima (kita perlu gunakan istilah Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit) bullshit dalam analisis dan penilaian karya kreatif selama lebih dari 30 (tiga puluh) tahun. Jika huraian dan pembuktian yang dihujahkan dalam tulisan saya tidak meyakinkan pembaca, terutama sarjana dan pengkritik sastera dan para sasterawan, maka mereka perlu membaca dengan kritis analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), yang telah berjaya memberikan gambaran yang sangat jelas tentang dinamika pemikiran yang berputar dalam kepala sarjana, pengkritik, sasterawan dan para penilai sastera yang sangat ramai itu. Satu pertanyaan besar yang mengecewakan kita jawapannya ialah pertanyaan yang berbunyi: Mengapakah karya sastera Melayu tidak terarah kepada pemikiran, tetapi terheret jauh ke arah hiburan dan luahan emosi yang akhirnya menjadikan kejahatan manusia sebagai tema agung dalam karya kreatif? Pada perkiraan saya, inilah pengaruh ajaran Hindu-Buddha dan ajaran Barat moden yang kita terima dan jadikan panduan, secara sedar atau tidak sedar. Inilah inti konsep tragedi yang menjadi pegangan para sasterawan; dan konsep ini, tanpa kita sedari, telah dijadikan tema agung (tema utama) dalam karya kita. Para sarjana, pengkritik dan penilai sastera telah menerima konsep tragedi ini sebagai ukuran utama dalam menilai karya sastera. Oleh itu, PASN menerima dengan baik Ranjau Sepanjang Jalan, Salina dan lain-lain karya yang mengangkat tragedi sebagai tema agung sastera Melayu moden. Novel-novel atau karya-karya begini menceritakan penderitaan manusia akibat kebodohan mereka, sikap mereka yang negatif terhadap kehidupan, kedegilan mereka yang tidak siuman. Inilah pandirisme yang diangkat oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera sebagai apa yang mereka namakan aliran perdana yang menggambarkan realiti kehidupan manusia, oleh itu mereka amat menyanjung apa yang mereka namakan realisme dalam sastera. Jika anda biasa membaca filsafat, sejarah pemikiran manusia, dan sejarah ajaran agama, anda akan bertemu dengan kesimpulan yang mudah: inilah sebenarnya ajaran Hindu-Buddha dan ajaran Kristian. Tidakkah aneh apabila para sasterawan, sarjana, pengkritik dan penilai sastera menerima ajaran yang dibungkus dengan nama realisme itu sebagai asas berkarya, asas analisis, dan asas penilaian? Saya menunggu sesiapa saja yang mahu mencabar kesimpulan ini membawa bukti dan hujah mereka. Persoalan ini penting kerana inilah punca kelemahan karya Melayu yang tidak mengutamakan pemikiran dan analisis, tetapi menjadikan emosi dan kebodohan manusia yuang dirundung malang sebagai nilai tertinggi dalam penulisan kreatif dan penilaian sastera. Inilah mitos yang ditonjolkan oleh PASN, yang akhirnya menjadikan mereka anti-ilmu kerana terlalu asyik berulit dalam pengaruh ajaran Hindu-Buddha dan ajaran sastera Barat yang mendewakan tragedi itu. Walaupun ada di antara mereka yang bercakap tentang “sastera Islam”, tetapi masih dalam konteks tragedi Hindu-Buddha dan ajaran sastera Barat yang secara tidak sedar mereka lanjutkan sebagai warisan yang sah.

Apabila saya bercakap tentang pembinaan mitos oleh PASN, maka saya maksudkan usaha mereka meneruskan mitos Hindu-Buddha dan Kristian ini dengan memberi nama realisme, yang kemudiannya menjadi realisme magis. Mereka berhujah bahawa karya-karya sasterawan negara adalah karya yang menggambarkan realisme dalam kehidupan manusia, iaitu manusia yang miskin, tertindas, dizalimi, ditipu dan sebagainya. Tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada “realisme”, oleh itu bukan realiti sebenarnya. Itu hanya realiti semu, tetapi manusia lekas tertipu dengan realiti semu ini, seperti yang ditunjukkan oleh Al-Quran dalam kisah Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. Realiti semu ini menjadi mainan ahli sihir Firaun. Tetapi apabila hakikat realiti ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘a.s. dengan melemparkan tongkatnya setelah diwahyukan oleh Allah Ta’ala, maka ahli sihir yang handalan itu segera melihat hakikat realiti itu dan terus tunduk menyerah, lalu menerima ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Musa ‘a.s. Dalam konteks kita di Malaysia, para sasterawan, sarjana dan sebagainya itu belum lagi sampai ke taraf profesional yang tinggi yang dipunyai oleh ahli sihir Firaun, oleh itu mereka terus lena dalam realiti semu, tidak mahu menerima hakikat realiti ajaran tauhid dan konsep taklif yang menjadi asas untuk mengenal ilmu yang benar. Sekiranya PASN sebagai golongan profesional sudah sampai ke peringkat profesionalisme yang tinggi yang dimiliki oleh ahli sihir Firaun, maka mereka tidak dapat tidak akan menerima hakikat realiti dan menolak realiti semu dalam konsep realisme yang mereka pegang. Dalam konteks inilah mereka memperagakan sikap anti-ilmu mereka. Sesiapa juga yang ingin menyanggah kesimpulan ini harus terlebih dahulu memahami konteksnya dan hujah yang dikemukakan.
Mohd. Affandi Hassan, 22/6/2010.

Padah Tiadanya Langkah Kaedah Dalam Penilaian

   Pada asasnya Panel Anugerah Sastera Negara mempunyai dua pilihan dalam melaksanakan kerja-kerja penilaian mereka. Pertama dengan membina mitos; kedua dengan menyerlahkan pemikiran dalam karya yang dinilai dan juga dalam analisis mereka sendiri. Pilihan pertama adalah yang paling mudah, dan itulah yang mereka lakukan selama tiga puluh tahun ini. Mereka tidak pernah mencuba pilihan kedua, suatu keputusan yang cukup menghairankan bagi sekumpulan sarjana dan pakar dalam bidang kesusasteraan yang diberi tanggungjawab yang begitu besar dan begitu penting untuk membina bidang kritikan sastera di Malaysia. Apakah yang menghalang mereka daripada menggunakan pilihan kedua itu? Nampaknya mereka terlalu dikongkong oleh pengalaman pembelajaran tentang kesusasteraan yang mereka dapat dari Barat. Keterikatan mereka kepada Barat, nilai-nilai Barat, pendekatan Barat, pemikiran Barat, dan lain-lain yang bersifat Barat adalah akibat sistem pendidikan negara yang menjadikan Barat sebagai rujukan dan ikutan dalam membangun negara. Para sarjana, pengkritik dan sasterawan ini tidak pernah “memberontak” terhadap kepalsuan nilai-nilai Barat dan kesementaraan pendekatan yang mereka kemukakan, yang selalu berubah-ubah seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam huraiannya. Oleh itu mereka tidak dapat melihat kepalsuan mereka sendiri, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Md. Salleh Yaafar dalam kes Muhammad Hj. Salleh melawan Mohd. Affandi Hassan. Inilah cabaran besar yang mesti dilalui dengan berani berasaskan ilmu, bukan yang berasaskan emosi atau kepercayaan yang berasaskan kejahilan.

   Kita harus berani untuk bertanya: Adakah Panel Anugerah Sastera Negara telah memberikan kepada kita kaedah penilaian karya kreatif yang terbaik, yang betul-betul akademik, yang boleh dijadikan pegangan kita? Mujurlah caranya telah diberikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam beberapa tulisannya, umpamanya dalam tulisannya di Berita Minggu 25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984. Oleh sebab Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah berulang kali dilantik menjadi ahli panel Anugerah Sastera Negara, maka sumbangan beliau untuk membaiki dan meninggikan kualiti penilaian Panel Anugerah Sastera Negara perlu dibincangkan dengan berterus terang. Dalam tulisan beliau, dengan tegas beliau telah memperingatkan perlunya “langkah kaedah” (istilah beliau) dalam kritikan dan penilaian, dengan menetapkan empat prinsip yang wajib diikuti oleh sesiapa juga yang ingin mengkritik dan menilai karya sastera. Empat prinsip itu ialah: (a) konsep dan tujuan kritik; (b) alatan dan bahasa; bentuk. Dari bentuk kritikan, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menekankan pentingnya tulisan itu mempunyai arah yang betul, dibentangkan dengan teratur, tidak melompat-lompat huraiannya, kemas dan tersusun rapi. Mengenai etika, beliau menegaskan pentingnya pengkritik dan penilai mengikuti pandangan arus perdana, tidak cuba menekankan pandangan sendiri yang berbeza jauh daripada pandangan arus perdana yang disenangi pembaca. Penulis yang melanggar arus perdana adalah tidak beretika, oleh itu segala pendapatnya tidak perlu dipertimbangkan. Bagi seorang pensajak yang megah melaungkan “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”, tentulah amat janggal untuk memberi nasihat kepada orang lain supaya “memelihara etika” dalam kritikan dan penulisan, kecuali jika makna etika itu ialah yang diberikan olehnya sendiri, bukan yang difahami oleh masyarakat umum atau yang diberi maknanya dalam kamus (seperti Kamus Dewan). Dari segi alatan dan bahasa pula, beliau menegaskan pentingnya menggunakan bahasa yang lemah lembut, sesuai dengan budi bahasa orang Melayu yang tidak mengkritik berterus terang, tetapi melalui sindiran. Bahasa yang keras dan kasar serta angkuh bunyinya adalah bahasa yang menghina dan merendahkan orang lain. Menggunakan bahasa dan istilah yang tepat adalah tuntutan akademik yang mesti diperhatikan dengan teliti. Yang paling penting dalam prinsip kritikan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ialah mengenai “konsep dan tujuan kritik”. Menurut beliau, prinsip penting kritikan ialah “menimbulkan apa yang sebenarnya terdapat dalam karya yang dikajinya.” (Penekanan ditambah). Untuk melakukan ini, pengkritik perlu bertanggungjawab terhadap karya, penulis, dan pembaca. Tegas beliau: “Bertanggungjawab kepada karya bermakna kritikawan itu melihat, tanpa prejudis atau perasaan permusuhan atau perasaan ingin memulaukan penulis atau karyanya. Semua karya mempunyai unsur kuat-lemahnya, tinggi-rendahnya dan halus-kasarnya. Seperti juga kelemahan harus ditunjukkan (juga dengan "bahasa kritikan yang objektif dan peka.)”

   Nampaknya prinsip-prinsip penting kritikan dan penilaian karya ini tidak diketahui oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kerana tidak terdapat dalam laporan mereka. Dalam semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara, tidak terdapat di mana-mana sekali pun “langkah kaedah” yang ditunjukkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, hatta dalam laporan yang beliau sendiri menjadi salah seorang ahli panel. Mengapa hal ini terjadi? Jawapannya telah diberikan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam kutipan pendapat beliau tentang “keselekehan akademik” yang diberikan di atas. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri tidak mahu mengikut petuanya yang baik itu, apatah lagi para ahli panel yang memang secara profesional sedar akan perkara-perkara yang ditimbulkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu. Oleh itu siapakah yang perlu ikut petua itu? Mungkin guru-guru sastera, murid-murid sekolah, para pelajar universiti, terutama pelajar tahun empat yang disegani oleh Prof. Dr. Muhammad Hj.Salleh sendiri. Kerana tidak adanya “langkah kaedah” itu, maka seluruh laporan Panel Anugerah Sastera Negara saling bertentangan, tidak menjurus kepada pengertian yang mendalam yang dianjurkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, tidak mempunyai ukuran yang boleh diuji ketepatannya, tidak berupaya menilai sesebuah karya dengan “menimbulkan apa yang sebenarnya terdapat dalam karya yang dinilai” itu. Sebagai contoh, Laporan 2009, yang Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri duduk sebagai ahli panel, telah gagal menimbulkan “apa yang sebenarnya terdapat” dalam cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” yang mendapat pujian panel, padahal karya itu hanya sebuah cerita pendek biasa yang nilai estetiknya hanya terdapat pada persetubuhan haram antara watak-wataknya, tidak pada pemikiran yang mendalam tentang makna kehidupan moden, jika itulah yang menjadi persoalan, yang sewajarnya ditunjukkan dalam perilaku dan pemikiran watak Melayu/Islam yang pergi ke luar negeri untuk berzina. Panel menegaskan inilah sebuah cerita pendek yang telah berjaya memberi jalur baru yang penting dalam perkembangan cerita pendek Malaysia. Bagaimana kesimpulan ini dibuat? Sekiranya dimulai dari awal dengan “langkah kaedah” menurut petua Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, tentulah keraguan begini tidak timbul, sekurang-kurangnya kita akan faham mengapa kesimpulan itu dibuat oleh panel. Dalam keadaan sekarang, kesimpulan itu tergantung, tidak ada asasnya, tidak dibuktikan dengan fakta dan hujah.  

   Adakah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpuas hati dengan pencapaian terbaru laporan panel Anugerah Sastera yang masih membeberkan klise lama? Semua ini perlu penjelasan, dan inilah yang kita tidak dapat. Dari segi ini, sudah jelas prinsip etika yang disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu tidak dipedulikan oleh beliau sendiri dan oleh panel Anugerah Sastera Negara. Yang sangat jelas ialah betapa panel Anugerah Sastera Negara terus menerus menggunakan ukuran Barat, walaupun Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri telah mengaku perbuatan itu satu kesilapan besar yang perlu dihentikan. Dalam Laporan 1985, yang Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh duduk sebagai ahli panel, kita diberitahu sebuah novel tidak perlu mesej, tidak perlu mempunyai matlamat, tidak harus dalam bentuk yang macam mana sekali pun menggunakan khutbah, dan tidak perlu didaktik. Yang menentukan nilai karya ialah kepandaian meniru teknik Barat, seperti yang dilakukan oleh A. Samad Said, yang diberi pujian dan sanjungan oleh ahli panel. Apakah maksud semua kesimpulan ini? Sekali lagi kita tidak diberi penjelasan. Sekiranya “langkah kaedah” yang dipetuakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dilaksanakan, mungkin tidak timbul lagi segala kontradiksi yang cukup mewah dihidangkan dalam Laporan 1985 itu, yang telah saya jelaskan di atas.

   “Langkah kaedah” yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak sama dengan pembahagian laporan itu kepada bab-bab tertentu, yang dikhususkan kepada genre tertentu. Maksud “langkah kaedah” ialah pendahuluan kritis yang disediakan oleh anggota panel, menjelaskan ukuran yang mereka pakai, pendekatan yang mereka gunakan dan mengapa, kekuatan dan kelemahannya, dan matlamat yang ingin dicapai dengan menggunakan pendekatan tertentu diikuti dengan kriteria yang menjadi asas penilaian.

   Sebagai contoh, “langkah kaedah” boleh berbunyi begini: “Kami menggunakan kaedah dekonstruksi untuk menilai karya sasterawan yang kami pilih kali ini. Kami dapati, dari penelitian awal kami, karya beliau akan lebih tertonjol jika digunakan teori dekonstruksi yang kini menjadi pendekatan popular di Barat. Teori ini menitikberatkan pemikiran dalam karya sastera; oleh itu supaya tidak kelihatan terlalu condong ke Barat, kami juga menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru kerana kaedah itu menekankan aspek pemikiran dalam karya sastera, dengan itu karya sasterawan ini lebih wajar dinilai daripada perspektif pemikiran yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru. Dalam melaksanakan tugas kami, kami akan banyak menggunakan beberapa istilah dan ukuran yang dipakai dalam kedua-dua pendekatan ini, seperti yang akan kami jelaskan satu persatu. ...” (sekurang-kurangnya 10 halaman baru jelas). [“Langkah kaedah” yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dengan bantuan dan penyeliaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentulah lebih baik daripada contoh yang sederhana ini.]  

   Dengan penjelasan itu, setiap keputusan dan penilaian yang dibuat oleh panel akan diasaskan kepada ukuran tertentu yang boleh diuji ketepatannya. Itulah baru sebuah laporan yang mantap dan akademik. Tetapi inilah yang tidak dibuat, hatta oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri yang menganjurkan prinsip-prinsip kritikan beliau. Inilah yang menjadi tanda-tanya sepanjang hayat!!

   Selain dari itu, perkara yang paling menghairankan ialah mengapa semua panel yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencari sasterawan negara memilih perzinaan sebagai tema agung dalam sastera Melayu moden. Perhatikan bagaimana mereka memuji Salina, kini mereka memuji “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” pula; kedua-duanya mendewakan perzinaan sebagai tema agung sastera Melayu. Apakah yang hendak diperjuangkan oleh sasterawan Melayu dan panel penilai mereka? Sebagai golongan yang siuman, mereka harus memperlihatkan tindakan mereka juga siuman.

Monday, June 21, 2010

Panel Anugerah Sastera Negara Sebagai Ahli Waris Sastera Barat

Ralat:

Tajuk post yang lepas yang betul: Retorik Politik dan Retorik Politik Sastera Sama Saja ...


Chairil Anwar, pelopor Angkatan 45 (menurut pandangan H.B.Jassin), dengan megah dan yakin pernah berkata, “Kami [yakni sasterawan Indonesia] adalah ahli waris sastera dunia.” Yang dimaksudkan oleh Chairil Anwar dengan ungkapan “sastera dunia” itu ialah sastera Barat, itu pun tertumpu pada sastera Eropah, dan akhirnya sastera Belanda. Kesan ucapan Chairil Anwar ini terlihat dengan jelas dalam penilaian Panel Anugerah Sastera Negara (selepas ini PASN) yang terkandung dalam laporan mereka, cuma di sini lebih dikhususkan kepada sastera Inggeris dan barangkali juga sastera Amerika. Pada mulanya kita beranggapan PASN akan berubah selera dalam Laporan 2009 ketika menilai Anwar Ridhwan, setelah salah seorang anggota panel mengaku telah berbuat salah dalam penilaiannya sendiri, manakala seorang lagi pernah menegaskan dengan amat lantang, “[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe ...”, yang saya fahami kita harus menolak nilai-nilai Barat dalam menilai karya kita. Kedua-dua sarjana ini, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya, tidak boleh berbuat apa-apa dalam menghadapi pengaruh besar arus perdana dari Barat yang menghempas dan meruntuhkan nilai-nilai Melayu dan Islam dalam sastera Melayu moden. Tetapi bagi saya adalah lebih mudah bagi mereka untuk ikut saja arus perdana itu; dan inilah yang mereka lakukan seperti yang termaktub dalam laporan terbaru PASN (2009). Berikut adalah analisis saya untuk membuktikan kesimpulan saya adalah betul.

Ketika berbicara tentang sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh, sanjungan Laporan 1991 terhadap Sajak-sajak Sejarah Melayu ditolak oleh Prof. Siti Hawa Salleh, yang berpendapat sajak-sajak itu hambar dan tidak berkualiti, jika dibandingkan dengan karya Zaihasra, Balada Tun Fatimah. Kata Prof. Siti Hawa: “Di sini kelihatan seolah-olah Sajak-sajak Sejarah Melayu dilahirkan tanpa emosi dan perasaan, tanpa interpretasi atau interpretasi semula, pandangan baharu, pandangan dari sudut yang berbeza atau visi semula (re-vision), dan sebagainya. Perasaan dan emosi kita tidak tercuit atau terganggu kerana pemaparan semula episod tersebut [yakni episod Tun Fatimah dalam Sejarah Melayu]. ... Dalam bidang puisi, ternyata Balada Tun Fatimah jauh lebih bertenaga dan lebih tinggi nilai estetiknya daripada Sajak-sajak Sejarah Melayu.” Sebelum itu, menurut Prof. Siti Hawa, Sajak-sajak Sejarah Melayu, “Dari segi pengolahan semula, tanpa membincangkan unsur puitis sajak tersebut, suasananya agak mendatar, tidak menimbulkan apa-apa riak gelombang. ...’Kehambaran’ yang terdapat pada Sajak-sajak Sejarah Melayu (1981) dan kesedaran tentang keluasan kemungkinan yang dapat diteroka oleh Muhammad menerusi sajak tersebut hanya terasa setelah seorang penyair lain menghasilkan sajaknya. Pada tahun 1986, Zaihasra mencipta Balada Tun Fatimah.” (Melayu, hal. 83-84). Sajak-sajak Sejarah Melayu ini tidak mendapat apa-apa hadiah sastera, sehinggalah diberi sanjungan oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1991, yang menjadikannya sebuah karya besar (?). Dari Laporan 1991 jelas Panel 1991 tidak membaca karya Zaihasra yang terbit tahun 1986 itu, oleh itu tidak ada percubaan untuk membuat perbandingan; atau mungkin juga perbandingan itu dielakkan supaya karya Muhammad Hj. Salleh kelihatan hebat.

Dari segi akademik, Prof. Siti Hawa Salleh membuat kesimpulan yang lebih menarik tentang pencapaian akademik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Kesimpulan beliau sangat menarik dan sangat berharga untuk dijadikan renungan ahli akademik lain, oleh itu wajar diturunkan di sini walaupun agak panjang. Inilah pandangan Prof. Siti Hawa: “Muhammad, yang satu ketika dituduh ‘tersungkur di kaki Sejarah Melayu’ ini, seperti seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang gelap gelita, tersembam pula di lereng dunia sastera tradisional. Tidak berdaya lagi beliau membezakan melur biasa dengan melur susun, mawar kecil dengan mawar besar, mawar merah dengan mawar putih, dan kenanga dengan cempaka. Kita dibawa sekejap ke Barat, sekejap ke timur, dilayur dengan berbagai-bagai nama teori dan teoris sambil diberitahu, betapa amat rumit masalah sastera Melayu tradisional itu. Dan apa yang dilakukannya tidak lebih daripada mengujar sahaja.” Dalam esei yang sama Prof. Siti Hawa menegaskan tiada perkara baru yang diberikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam bukunya Puitika Satera Melayu itu, melainkan mengulang kembali pendapat lama yang sudah diketahui (hal. 254). Dalam satu catatan kecil yang menarik, Prof. Siti Hawa menyebut satu episod yang dibanggakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang kehadirannya dalam dunia sastera tradisional, yang menurut beliau dimasukinya dengan melompat jendela (hal. 254), bukan melalui proses biasa seperti yang dilalui pakar-pakar seperti Prof. Siti Hawa sendiri. Yang menarik di sini ialah perbuatan melompat jendela itu dalam kebudayaan Melayu hanya dilakukan oleh pencuri. Peristiwa kecil ini membuat kita lebih faham mengapa syarahan perdana beliau berakhir dengan sebuah buku seorang tunanetra yang masuk hutan waktu malam yang gelap gelita (hal. 254)![Rujukan dalam buku Budi Kencana]

Siapakah yang menulis Laporan 1991? Pertanyaan ini penting kerana laporan itu terlalu keras membeberkan sanjungan bombastik, mengulang klise dalam laporan sebelumnya, semuanya untuk mencapai tujuan membina mitos. Seperti seorang Hang Tuah yang tidak ada cacat celanya, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh muncul dalam mitos itu sebagai seorang pensajak intelektual dan seorang ahli akademik yang sangat hebat. Semua ini tidak salah jika gambaran itu tepat dengan bukti yang dapat diperiksa melalui karya-karyanya. Tetapi hal ini tidak terjadi. Terdapat jarak yang sangat jauh antara awan yang terapung di puncak gunung dengan tapak kaki yang bersimpang siur di kaki gunung, yang tidak menjurus ke puncak gunung, tetapi hanya berlegar di kaki gunung paling bawah. Jadi siapa yang menulis mitos itu? Jarang sasterawan dan pengkritik sastera yang mempunyai hubungan mesra dan intim seperti antara Baha Zain dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (lihat misalnya sajak “Pulang Si Tanggang”), hingga menimbulkan kejengkelan Dr. Ramli Isin membaca pujian melampau sang profesor terhadap sahabatnya sang pensajak (lihat komen Ramli Isin di atas, dalam makalah ini). Sejauh mana Baha Zain terlibat dalam pembinaan mitos ini harus dilihat dalam konteks sejauh mana pula beliau terlibat menulis laporan tentang Muhammad Hj. Salleh. Tidak mungkin beliau tidak terlibat langsung dalam penulisan laporan itu, mengingat kedudukannya sebagai seorang Ahli Panel Anugerah Sastera Negara 1991 yang penting. Satu aspek yang sering dilupakan ialah kemungkinan diri yang dinilai menulis “autobiografi intelektual”nya sendiri untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam sesuatu analisis atau penilaian terhadap dirinya. Autobiografi intelektual itu boleh saja diterima sepenuhnya atau sebahagian saja oleh Panel Penilai, dengan penyesuaian tertentu, untuk dijadikan bahagian penting dalam laporan. Saya sendiri tidak keberatan menerima penulisan bercorak ini, kerana memang tidak ada salahnya orang menulis autobiografinya. Malah dalam keadaan tertentu, hal itu wajar dilakukan, untuk memberikan maklumat paling intim tentang diri dan karya tokoh berkenaan, yang hanya diketahui olehnya sendiri. Saya tidak menganggap ini satu kesalahan atau satu kecacatan yang mengaibkan, oleh itu pembaca berhak membuat kesimpulan ke arah itu jika dia mendapati wujud cara pengolahan yang mirip dengan gaya sasterawan/pengkritik berkenaan yang kita temui dalam tulisannya.

Akhirnya saya ingin menyentuh secara ringkas Laporan 2009 mengenai Anwar Ridhwan. Pada pandangan saya, dengan terpilihnya Anwar Ridhwan sebagai sasterawan negara ke-10, maka berakhirlah pengaruh Asas 50 dalam kesusasteraan Melayu moden. Laporan 2009 menekankan kehebatan Anwar Ridhwan dalam semua bidang penulisan yang diceburinya: dalam bidang cerita pendek, “Pencapaian kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerpen meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17); manakala dalam bidang novel, “Keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan bukan saja terletak pada pemilihan tema tetapi juga pada cara pengolahannya, yang menggunakan teknik naratif yang dapat dianggap sebagai unik dan luar biasa” (hal. 30). Oleh itu, bagaimana beliau boleh dikaitkan dengan Asas 50? Dari segi gaya dan teknik, menurut Laporan 2009, beliau sudah jauh meninggalkan Asas 50; tetapi jika dilihat tema yang dikemukakannya, masih kuat melekat getah slogan “seni untuk masyarakat” yang diberi wajah baru; penglipur lara dan pawang yang menjadi tokoh utama novel-novelnya, atau ahli politik yang korup, tetap masih menggemakan semangat Asas 50. Tetapi tekniknya agak canggih kerana beliau belajar sastera secara formal, tetapi ini tidak bermakna dari segi pemikiran beliau lebih maju daripada Tan Sri A. Samad Ismail atau Keris Mas. Malah kedua-dua tokoh Asas 50 ini jauh lebih cerdas bermain dengan idea, walaupun idea mereka terlalu keras nada propagandanya. Anwar Ridhwan tidak berminat kepada propaganda, tetapi beliau seorang “pemain iklan sastera” yang cekap, hingga memukau Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang terlihat dalam laporan mereka. Semuanya berlegar di sekitar “teknik” persembahan; bukan di sekitar pemikiran. Itulah hakikat dunia pascamoden ini, dan di sinilah Anwar Ridhwan berjaya menawarkan produknya. Dari segi apa Anwar Ridhwan berlainan daripada tokoh-tokoh besar Asas 50? Cerita pendek Anwar Ridhwan jauh lebih menarik daripada cerita pendek tokoh-tokoh Asas 50 dari segi persembahan, atau yang dinamakan gaya oleh panel penilai. Mereka berasa seronok membacanya kerana mereka sudah biasa dengan teknik realisme magis misalnya, atau lain-lain teknik dan gaya yang mereka sudah biasa membacanya, atau mengajar para pelajar sastera, teknik dan gaya yang mereka sering deretkan ketika menyanjung sasterawan negara ke-10 ini adalah juga yang mereka sering tonjolkan kepada para pelajar mereka. Tentang cerita pendek, kata Laporan 2009: “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eksperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, ... apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia, [sebuah] dunia yang sempit, panas dan seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata” (hal. 10). Kehebatan cerita pendek ini ialah kerana latar belakangnya New York (London?), bukan Kuala Selangor atau Ulu Kelang. Menurut laporan ini, cerita pendek ini mengemukakan “persoalan filosofikal”. Penjelasan tentang “persoalan filosofikal” itu sangat daif, naif, samar-samar dan tidak langsung menjelaskan maksud “filosofikal”, seperti terdapat dalam kutipan ini: “Telah aku lihat dan rasai hidupmu di apartmen Jaffe Road ini. Tidak ada belas kasihan dan kedamaian. Apakah cintamu telah berakhir di apartmen ini?” [Azwar kepada Agnes kekasih seketidurannya] (hal. 11). Apakah yang “filosofikal” dalam ucapan ini? Pertanyaan itu diutarakan setelah mereka mengadakan hubungan seks. Itukah yang “filosofikal” itu? Ternyata istilah (?) “filosofikal” itu hanya perhiasan retorik yang tidak bermakna, tak ubah seperti baju kertas Pak Kaduk yang koyak rabak bila disentuh sedikit. Apakah yang “filosofikal” dalam kisah perzinaan yang dilakukan di luar negeri oleh seorang pemuda Melayu? Penilai seharusnya mempunyai perasaan malu, sedikit pun mencukupi, apabila menggunakan kata sifat yang manis didengar, tetapi tidak bermakna dan amat mengelirukan. Menggunakan perkataan tertentu untuk menunjukkan sesuatu karya itu bernilai tinggi, boleh dianggap satu contoh yang amat buruk tentang “keaiban intelektual” yang sering dilakukan oleh para penilai yang tidak bertanggungjawab. Perbuatan begini, yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dikategorikan oleh Jean-Francois Lyotard sebagai “paganism”.

[Mungkin cerita pendek ini akan benar-benar bersifat “filosofikal” jika peristiwa seks bebas itu berlaku di tengah bendang Kuala Selangor, disaksikan cahaya bulan purnama penuh. Lalu terjadi dialog kecil ini: “Kau tidak rasa berdosa disaksi bulan purnama?” (tanya Agnes). “Kita tidak berahsia. Tidak pura-pura. Kalau aku rasa berdosa, kita tidak segila ini. Yang penting bagiku peluang, bukan akibatnya. Aku seorang laki-laki siuman ... “ (kata Azwar). Mereka berpelukan.] Falsafahnya ialah: peluang melakukan kejahatan lebih penting daripada akibatnya; inilah ciri utama kehidupan moden. Inilah juga sifat dan “falsafah” kesusasteraan Melayu moden yang digambarkan oleh para sasterawan negara. Anda boleh bahaskan “falsafah hidup” ini berjela-jela.

Satu-satunya penjelasan yang agak menarik tentang cerita pendek ini diberikan oleh Prof. Hashim Awang dalam ulasannya. (Dewan Sastera, Mac 1973; hal. 35-36). Prof. Hashim memuji kejayaan Anwar Ridhwan mengemukakan teknik baru, berasaskan konsep “stream of conciousness” yang berasal daripada ajaran Sigmund Freud. Beliau berpendapat bahasa yang digunakan “puitis”, yang melayakkan cerita pendek ini boleh dijeniskan sebagai “puisi lirik”, seakan-akan cerita pendek Conrad Aiken yang terkenal, “Silent Snow, Secret Snow”. Dunia dilambangkan sebagai sebuah apartmen, tempat manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Anwar Ridhwan membiarkan saja peristiwa berlaku tanpa gangguan pengarang. Prof. Hashim tidak menyebut cerita pendek ini bersifat “filosofikal”; tetapi beliau sangat tertarik dengan tekniknya yang dianggapnya baru dan berjaya digarap penulis. Cerita pendek ini sangat penting bagi Anwar Ridhwan sendiri, sehingga karya-karyanya yang terbaik dalam genre ini dikumpulkan dengan diberi judul cerita pendek ini. Sebenarnya cerita pendek ini tidak lebih daripada sejenis permainan bahasa dan manipulasi ayat-ayat pendek yang disampaikan dalam angan-angan watak-wataknya. Khayalan watak dan realiti dibaurkan begitu rupa untuk menimbulkan kesukaran kepada pembaca supaya mereka lebih teliti membacanya sambil menentukan sendiri mana khayalan mana pula kejadian biasa. Dari segi inilah cerita pendek ini menarik perhatian Panel Anugerah Sastera Negara dan Prof. Hashim Awang. Makna dan falsafah, jika ada, diketepikan kerana yang menjadi tumpuan ialah teknik. Sebagai seorang penulis kreatif yang juga menulis cerita pendek dan novel, saya tidak akan menulis karya sebegini kerana terlalu cetek pengolahannya; dan apa yang disebut sebagai sikap objektif pengarang yang membiarkan saja peristiwa berlaku begitu saja tanpa campur tangan, adalah pendirian tidak bermoral bagi seorang pengarang yang serius yang ingin mengemukakan sesuatu yang serius, tidak hanya permainan teknik semata-mata. Pengarang harus mengelakkan dirinya dari menjadi picisan dengan mengemukakan pengolahan yang mendalam (tidak semestinya panjang) dalam bentuk pemikiran yang mantap. Contoh yang saya lakukan sendiri dalam cerita pendek “Bukan Orang Jahat” (Bukan Ahli UMNO/Bukan Salah SSB. Disiarkan semula dalam Biarlah Orang Tahu). Cerita pendek itu mengisahkan perihal seorang “penulis skrip” yang handalan, yang kerjanya menyalahkan orang yang tidak bersalah atau membersihkan tokoh yang korup dan bersalah. Tiba-tiba anak lelakinya ditangkap mencuri seluar dalam guru perempuan, lalu dikenakan tindakan disiplin. Ayahnya yang pintar itu menyediakan skrip untuk dihafal oleh anaknya ketika dibicarakan; tetapi anak itu membantah kerana yang terjadi bukan seperti di dalam skrip. Sang ayah berkata yang penting bukan kebenaran, tetapi kemenangan. Dalam perbicaraan anaknya menang, tetapi tidak dapat menerima kemenangannya, lalu lari hidup dengan orang asli di dalam hutan. Ibu si anak sangat sedih dan kecewa; tetapi suaminya berjanji akan menulis skrip lain yang akan menyambut kepulangan anaknya sebagai seorang wira. Soalnya: siapakah wira di sini, anaknya yang jujur atau ayahnya yang pintar menipu itu? Tersembunyi di dalam kisah kecil ini ialah aspek pendidikan: adakah anak itu mendapat pendidikan yang baik di sekolah dan di rumah? Tidakkah kedua-dua tempat itu lebih berminat menghukum anak tadi daripada mendidiknya? Itulah persoalan besar yang mesti difikirkan pembaca. Adakah itu falsafah cerita pendek itu? Yang tersirat dalam cerita pendek ini ialah pemikiran, bukan hanya teknik dan sisipan peristiwa biasa yang hanya bercerita tentang kejahatan manusia. Mungkin dua buah karya ini berbeza, tetapi mana satukah hanya sejenis murai yang bising; mana satu pula merak? Apa pun jenis kerangka analisis yang dipakai haruslah dapat menentukan dua jenis mergastua ini, kerana tidak semua burung boleh disetarafkan kedudukannya. Apakah manfaat yang akan anda dapat jika cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dibincang satu hingga dua jam; sanggupkah anda membuang masa begitu lama? Anda boleh menggunakan apa juga “teori” sastera yang terdapat di Barat untuk membela cerita pendek ini, anda tetap akan sampai kepada kesimpulan bahawa cerita pendek ini “miskin makna” jika anda seorang penganalisis yang cerdik dan jujur dari segi akademik. Dan karya secetek ini bukanlah “mencerminkan kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerita pendek yang telah meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (Laporan 2009, hal.17). Tetapi sebaliknya anda boleh berbincang berbulan-bulan tentang “Bukan Orang Jahat” yang ditulis berasaskan konsep stylization of ideas itu; anda akan mendapat manfaatnya dan anda dijamin akan menjadi lebih cerdik dan terbuka fikirannya untuk mendalami falsafah kehidupan manusia dan erti kebaikan serta makna kejahatan dalam kehidupan manusia. Seterusnya baca juga analisis yang lebih mendalam tentang “arus perdana” ini oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERAnya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009).


Mohd. Affandi Hassan, 21/6/2010.

Sunday, June 20, 2010

Retorik Politik dan Retorik Sastera Sama Saja ...

Dalam dunia politik Malaysia, pembohongan dan penipuan sudah dibudayakan dan menjadi amalan harian yang normal, yang jika dilanggar menjadi tidak normal. Oleh itu, orang politik berlumba-lumba berbohong dan menipu untuk mendapat kedudukan, kuasa, dan kekayaan. Perhatikan gelagat para pemimpin UMNO apabila Menteri Besar Selangor dan Ahli Exco mengisytiharkan harta dan pendapatan mereka, para pemimpin UMNO tidak suka, mengarahkan media supaya tidak menyebut perkara ini, malah perbuatan itu digambarkan sebagai propaganda murahan untuk menipu rakyat. Jadi bagi pemimpin UMNO dan para pengikut mereka, harta tidak perlu diperagakan dengan mengisytiharkannya, kerana kata mereka perbuatan itu bersifat “ria’” (riak, mengada-ada, menunjuk-nunjuk kononnya berakhlak tinggi, padahal maksudnya tidak jujur!). Sebaliknya para pemimpin UMNO memperagakan kemewahan hidup mereka dengan menunjuk-nunjuk dari segi kereta besar, rumah besar, pakaian mahal, percutian ke tempat-tempat istimewa, dan seumpamanya. Jelas betapa kebaikan diputar menjadi keburukan untuk memastikan kejahatan diri sendiri terus terlindung, dan dengan itu pembohongan, penipuan, perampasan harta rakyat boleh diteruskan dengan sokongan rakyat sendiri. Itulah aliran perdana dalam politik Malaysia. Hal yang sama terjadi pula dalam kegiatan kesusasteraan Melayu. Para sasterawan, sarjana, pengkritik sastera dan pembaca yang menyokong mereka menjadi amat marah jika kegiatan mereka diteliti, dipersoalkan dan dianalisis dengan tajam. Bagi mereka, semua itu tidak perlu. Yang perlu dan harus dibuat ialah terus menulis, memuji teman-teman atau kumpulan sendiri. Dilihat dari perspektif ini, maka kelakuan ahli politik tidak ada bezanya dengan kelakuan sasterawan, sarjana dan lain-lain yang tidak mahu diganggu-gugat dengan soalan dan analisis yang akan berakhir dengan penonjolan sebenar wajah mereka. Walaupun ada di antara mereka yang sedar bahawa banyak kesalahan sudah dibuat, tetapi mereka tidak berasa perlu membetulkannya. Wajah buruk ahli politik kini dipakai oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera yang kononnya banyak bercakap tentang perubahan, tentang anjakan paradigma (satu ketika dulu hal ini amat riuh dibicarakan, kini sudah senyap) dan tentang perlunya diwujudkan “teori” sendiri. Orang yang kononnya banyak bercakap tentang perubahan, kini menjadi penentang perubahan, sekiranya perubahan itu tidak menyokong kelemahan mereka. Apa jenis perubahan yang mereka maksudkan? Apa jenis perubahan yang mereka mahu?

Kemunculan gagasan Persuratan Baru membuat ramai sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tidak seronok lagi, kerana kini sumbangan dan pemikiran (jika ada) mereka boleh dinilai dengan tepat dan objektif dengan menggunakan prinsip-prinsip gagasan Persuratan Baru. Sepatutnya mereka lebih seronok kerana kini sumbangan mereka boleh dinilai dengan tepat dan objektif, dengan itu akan lebih menyerlahkan keunggulan mereka sebagai sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Yang lebih penting dari itu ialah terbukanya peluang keemasan yang terbuka luas untuk mengajar dan berbicara tentang sastera dengan lebih teratur dan kemas. Dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru, setiap aspek dalam analisis dan penilaian sastera boleh dibuktikan dan dihujah dengan jelas, telus dan objektif, untuk membolehkan sesiapa juga bersetuju atau menentangnya secara ilmiah. Dari segi pengajaran sastera, kaedah ini dijamin akan membuka mata mereka (pelajar dan guru) untuk melihat bagaimana idea dan pemikiran berdialog dalam wacana dan cerita untuk membina keindahan kreatif yang berasaskan konskep ilmu yang benar, yang menjadikan taklif sebagai tunjang kreativiti. Dengan itu karya-karya kreatif akan lebih hidup dan dinamik apabila dicerakin daripada perspektif wacana dan cerita. Guru dan pelajar dijamin akan bersemangat berbicara dan menganalisis karya kreatif apabila diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Konsep taklif yang menjadi asas kreativiti akan menggegarkan daya intelek guru dan pelajar apabila mereka kini akan melihat bagaimana hakikat ilmu, hakikat insan, dan hakikat amal disepadukan dalam karya persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar tadi, menggunakan teknik stylization of ideas. Tidak ada lagi agakan, andaian dan segala macam pandangan umum yang tidak berasas. Maksud kesimpulan ini dijelaskan dalam tulisan yang baru lepas ketika kita berbicara tentang asas penilaian dan ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.

Mohd. Affandi Hassan, 20/6/2010.

Teruskan Penggunaan Teori dan Pendekatan Barat ...!

  Sanjungan dan pujian Panel 1991 terhadap kemampuan berfikir dan kemampuan akademik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Sasterawan Negara yang diberi gelaran Tokoh Akademik Malaysia, seolah-olah tidak ada dan tidak akan lahir lagi selepas beliau seorang tokoh akademik sehebat dan sebesar Muhammad Hj. Salleh. Semua ini boleh dibaca dalam Laporan 1991, di bawah tajuk “Teori Sastera” (hal. 31-42). Pembinaan mitos ini tentulah amat menyusahkan “yang empunyai diri” apabila mitos yang dibina itu dirobohkan satu persatu dalam karya akademik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri, yang tidak boleh berdiri gagah mempertahankan diri dalam pencak silat kritikan yang tidak mahu meremehkan ilmu dan kemampuan intelektual yang tinggi. Panel 1991 menegaskan betapa teliti dan halusnya kerja-kerja akademik Muhammad Hj. Salleh; tetapi Prof. Mokhtar Abu Hassan mempunyai pendapat yang berbeza. Walaupun beliau memuji usaha Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, tetapi beliau berasa kesal kerana profesor itu tidak teliti dalam kerja-kerja akademiknya. Prof. Mokhtar Abu Hassan memberikan senarai yang agak panjang di bawah tajuk “Keresahan”, dengan pendahuluan yang menarik: “Meneliti kembali raut wajah Muhammad Haji Salleh yang menjadi model kulit hadapan bukunya itu, terlihat keresahan dalam jiwanya. Keresahannya itu lantaran tergesa-gesa dan ketidaktelitiannya dalam menghasilkan buku berkenaan yang dapat diperlihatkan dalam beberapa eseinya ...”, diikuti dengan senarai yang disusuli dengan komentar yang menarik. (Huruf condong ditambah). Prof. Mokhtar juga menegur Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kerana tidak teliti dalam ejaannya, suatu perkara yang mungkin tidak terjadi dalam esei-esei pelajar tahun empatnya yang dibanggakan beliau. Kesalahan ejaan ini sudah lumrah dalam kerja-kerja akademik profesor ini, dan ini amat merimaskan kita kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam kerja akademik tokoh yang bertaraf tinggi sepertinya. Dalam kertas kerja beliau dan rakan-rakannya yang berjudul, “Kritikan Sastera Malaysia dan Beberapa Saranan”, terdapat banyak salah eja nama-nama pengarang terkenal di samping kesalahan lain-lain yang tidak dibetulkan dalam buku yang dicetak. Muhammad Hj. Salleh dengan bahasa yang sopan menempelak pengkritiknya: “Jikalau Mohd. Affandi seorang yang beretika beliau akan menunggu dahulu karya itu diterbitkan” (Berita Minggu, 1 Januari 1984). Ahli akademik kita yang gopoh dan tidak teliti tidak seharusnya meletakkan kesalahan dan keselekehan kerja akademik mereka ke atas kepala orang lain yang membacanya; malah kesopanan akademik begini, dengan perasaan hormat kepada pembaca untuk tidak menyodorkan kepada mereka kerja-kerja yang selekeh dan kaya dengan kesilapan yang dengan mudah dapat dibetulkan, seharusnya sudah dijadikan amalan ilmiah yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Akan menjadi lebih biadab dan tidak sopan jika sekiranya yang tercetak di dalam buku sama saja dengan yang terdapat dalam kertas kerja yang selekeh tadi yang didakwa masih draf, oleh itu tidak boleh dibincang isinya. Mohd. Affandi Hassan tidak perlu menunggu hampir tiga tahun sebelum kertas kerja yang tidak dibetulkan itu diterbitkan untuk menulis kritikan beliau. Seorang ahli akademik yang mempunyai kesopanan akademik yang tinggi dan tidak angkuh, tentulah dengan senang hati membuat pembetulan dan pengemasan sewajarnya apabila kertas kerjanya diterbitkan. Kesopanan akademik ini perlu difahami dan dijadikan amalan dalam penulisan yang serius, tidak dihadkan kepada pelajar tahun empat sahaja seperti yang dibanggakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Beliau sendiri harus mencuba menghasilkan tulisan yang jauh lebih baik daripada murid tahun empatnya. Oleh itu syarahan perdana beliau bertajuk, Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan (Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989; edisi ke-2 1992) perlu dikemaskini dengan memasukkan pembetulan di sana sini supaya pembaca tidak terus keliru. Sebagai contoh, beliau harus dapat membezakan istilah estetika dalam persuratan Melayu dan istilah teologi dalam Islam, yakni perbezaan antara “gharib” dan “ghaib” yang di dalam syarahan perdana beliau disamakannya. Selanjutnya untuk melihat beberapa persoalan lain yang penting, sila rujuk tulisan saya, Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Kota Baharu, 1994. Diterbitkan pertama kalinya dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991).

 Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh seolah-olah menghadapi masalah kognitif apabila beliau tidak dapat membezakan antara kriteria seorang pengkritik dengan kriteria dalam kritikan sastera. Kriteria dalam kritikan sastera merujuk kepada ukuran yang digunakan ketika menilai sesebuah karya, misalnya ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menolak adanya matlamat dan tujuan dalam karya cereka seperti novel, tidak perlunya perutusan yang jelas, tidak perlu ditonjolkan aspek moral, tidak diizinkan hadirnya apa juga bentuk khutbah dalam karya kreatif, dan perlunya peniruan yang kreatif, dan pentingnya mengikut aliran tertentu sebagai panduan. Tulisan Muhammad Hj. Salleh yang diulas oleh Dr. Ramli Isin itu ditulisnya dalam tahun 1973 sebagai kertas kerja “Seminar Kritik Sastera”, Johor Bahru, 1973. Kertas itu sudah patut disemak semula, dibaiki dan dikemaskini sebelum diterbitkan semula dalam kumpulan tulisan beliau; tetapi seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Mokhtar Abu Hassan, beliau agak gopoh dan tidak menampilkan ketelitian seorang sarjana untuk bersedia membaiki tulisannya itu. Ini bertentangan dengan kesimpulan dan pujian Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka yang memuji ketelitian Muhammad Hj. Salleh.

  Dalam buku yang sama, Dr. Ramli Isin menegur Muhammad Hj. Salleh kerana terlalu memuji sahabat baiknya, Baha Zain. Dengan nada kesal, Ramli Isin meluahkan “kritikan halusnya” dengan berkata, “kritikan Muhammad Haji Salleh terhadap ketokohan Baha Zain dan karya puisinya itu, ada kalanya visi terhadap penyair tersebut terlalu sempurna dan, memberikan sanjungan tanpa melihat sebarang kecacatan.” Saya kira tidak salah untuk Muhammad Hj. Salleh melihat kesempurnaan tanpa kecacatan dalam karya Baha Zain, jika karya beliau memang sempurna. Lagi pula, tidak salah memuji kawan yang kita suka, asal saja kita tidak pula mengutuk musuh yang kita benci, seperti yang mungkin berlaku ke atas Mohd. Affandi Hassan yang dituduh “tidak beretika” dan “tidak tahu sastera dan kritikan sastera” tetapi masih menulis tentang “sastera”. Nabi SAW sendiri memuji sahabat baginda, untuk menyerlahkan kehebatan dan keistimewaan para sahabat baginda. Tentulah Muhammad Hj. Salleh telah melakukan sesuatu yang terpuji, jika beliau mengikut Sunah Nabi dengan memuji sahabatnya pula. Tidakkah Baha Zain itu istimewa bagi beliau? Kalau bukan begitu, tentulah sia-sia beliau mempersembahkan sajak “Pulang Si Tenggang” kepada Baha Zain, supaya kita semua tahu kedua-duanya adalah Si Tenggang moden yang “telah belajar menjadi kurang ajar” dalam cara masing-masing. Inilah dua orang tokoh yang menjadi Hang Tuah dan Hang Jebat moden dalam budaya Melayu. Siapa yang menjadi Hang Jebat tidak penting kerana kedua-duanya sudah “belajar menjadi kurang ajar”. Dr. Ramli Isin mungkin melihat perbuatan Muhammad Hj. Salleh itu tidak objektif, terlalu memihak, padahal beliau selalu berpesan supaya ahli akademik dan pengkritik tidak bertindak begitu. Baha Zain juga memberi pesanan yang sama dalam banyak tulisannya. Soal objektif atau tidak objektif ini menjadi cabaran besar kepada ahli akademik dan pengkritik sastera, kerana di situlah kemantapan ilmunya dan kejujurannya sebagai seorang ahli akademik diuji. Sesiapa juga yang tidak lulus ujian ini akan menjadi sampah akademik yang tidak dihormati, tetapi dibiarkan wujud untuk menjadi peringatan supaya tidak ada yang mencontohi tokoh yang demikian. Menyedari hal inilah Dr. Ramli Isin menurunkan semula beberapa petua yang diberikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bagaimana hendak menjadi pengkritik sastera yang baik dan berwibawa (hal. 28-30). Dr. Ramli Isin menurunkan beberapa petua yang baik untuk diturunkan di sini sebagai peringatan: “Kriteria pertama ialah tenang, adil, tidak prasangka, teliti, dan menyeluruh sewaktu memberikan kesan peribadinya terhadap sesebuah karya sastera yang dikritiknya. ... Seseorang pengkritik [tidak boleh cepat] berang, penuh prasangka terhadap bahan atau tokoh yang dikritik, dan tidak sanggup pula bersikap kritis dan saksama terhadap karya sastera yang menonjolkan idea atau teknik penceritaan yang kontroversial, ... Seseorang pengkritik jangan mudah bertolak ansur dan mudah ‘dirayu simpatinya dan dibeli’ oleh pihak tertentu. ... Seorang pengkritik yang tulen mestilah mempunyai pendirian yang tegas dan berpegang pada prinsip dan gagasan kritikan yang sebenar. [Tidak boleh] Melonggarkan konsep dan kriteria kritikan kepada kawan atau kroni, di samping memuji dan menyanjung secara keterlaluan, tetapi mengetatkannya terhadap karya musuhnya” (hal. 28-29; dan banyak lagi.) Walaupun petua ini ditujukan kepada pengkritik, tidak kepada ukuran yang dipakai untuk menilai sesuatu tulisan (kreatif mahupun kritikan atau esei), namun nasihat profesor ini tidak salah untuk diikuti; juga tidak menjadi sesuatu yang mengaibkan jika tidak diikuti. Lebih wajar dan lebih bermanfaat jika kerangka analisis yang disediakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dipelajari dengan mendalam dan dijadikan panduan dalam kerja-kerja yang bersifat keilmuan. Tiga perkara yang dihuraikan dengan mendalam oleh beliau, yang menjadi punca kemelut umat Islam dan golongan akademik, iaitu: keliru dalam memahami konsep ilmu; hilangnya adab; dan munculnya para pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan manusia. Ketiga-tiga aspek ini dicerminkan dengan baik oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam sajak-sajaknya dan juga dalam tulisan akademiknya. Dalam syarahan perdananya (Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan), beliau menegaskan seniman Melayu tidak pernah berdiri sendiri, terpisah dari seniman-seniman yang mendahuluinya atau yang sezaman dengannya; oleh itu, “jikalau dia ingin memberontak maka pemberontakan harus dilakukan di dalam sempadan tradisi, dengan perlahan, halus dan akhirnya masih menyumbang” (hal. 19). Jikalau pemerhatian beliau itu benar, maka beliau sendiri tidak boleh menerimanya, kerana beliau telah “melanggar” tradisi itu dengan menjadikan Si Tenggang anak derhaka itu sebagai model beliau yang diterima baik oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dijadikan ukuran penting dalam pelantikan beliau sebagai sasterawan negara. Dalam tradisi Melayu, cerita Si Tenggang itu menjadi lambang anak derhaka, oleh itu sesiapa juga yang kenal tradisinya tidak berminat menjadi Si Tenggang dalam konteks apa sekalipun. Tidak ada kemegahannya, malah kutukan keras sepanjang masa.
Laporan 1991 memang kaya dengan pujian dan gaya yang bombastik, tetapi tandus dari segi makna kerana gagal menonjolkan ketokohan Muhammad Hj. Salleh sebagai seorang sasterawan dan ahli akademik yang jempolan. Pembinaan mitos yang dilakukan dengan gigih dan bersungguh-sungguh oleh Panel 1991 hanya berjaya mengelirukan pembaca yang tidak kritis. Di sinilah Laporan 1991 menonjolkan sikap anti-ilmu yang amat ketara, walaupun cuba diselindung dengan kata-kata manis memuja-memuji. Pembaca dan peneliti yang tidak terikat kepada syarat (apa pun juga syarat itu), akan mendapati kesimpulan lain sama sekali, berasaskan penilaian yang lebih masuk akal dan lebih adil kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan kepada tuntutan akademik. Contoh paling mudah, yang diberikan oleh seorang sarjana, Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang bersimpati dengan Muhammad Hj. Salleh dan menjadi editor sebuah buku sanjungan terhadap beliau, yang menulis dalam tahun 2003, mengaku bahawa “teori” sastera Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh belum diuji dalam kajian ilmiah, sama ada di peringkat sarjana atau kedoktoran. Beliau melakarkan tiga peringkat pembinaan “teori”: peringkat pertama pemerian (description); peringkat kedua penjelasan (explanation); peringkat ketiga ramalan (prediction). Gagasan Persuratan Baru dalam hal ini mendapat perhatian yang agak baik, dengan munculnya tesis kedoktoran oleh Mohd. Zariat Abdul Rani dan beberapa tesis sarjana, oleh itu nampaknya ketiga-tiga peringkat pembinaan “teori” yang disebut oleh sarjana tadi sudah selamat (?) dilalui oleh gagasan Persuratan Baru, dengan hasil yang memuaskan. Malah Dr. Mohd. Zariat dalam analisisnya tentang novel Melati Kota Bharu yang ditulis oleh Abdul Kadir Adabi sebelum perang, menunjukkan bahawa novel itu boleh difahami dengan lebih mudah dan lebih mendalam jika dinilai daripada perspektif Persuratan Baru.  Saya sendiri tidak cenderung untuk menerima Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan sebagai “teori” sastera. Pendapat Prof. Dr. Zawiah Yahya bahawa buku itu mengemukakan sebuah “teori” pada tahap kedua tidak boleh diterima, tidak tepat serta mengelirukan. Syarahan perdana itu hanya satu ringkasan daripada hasil “penyelidikan” yang diterbitkan dalam tahun 1988. Pada faham saya, sebuah “teori” kritikan atau “teori” sastera harus dapat digunakan untuk menilai secara kritis sesuatu karya, yang dengan menggunakannya kita dapat memahami dengan lebih mendalam karya tersebut. Jika sekadar untuk diberitahu bahawa karya tersebut mempunyai ciri-ciri yang disenaraikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh di bahagian akhir bukunya (hal. 34-35), maka kita hanya mendapat satu senarai, tetapi senarai itu bisu, tidak dapat membantu kita menilai karya tersebut. Misalnya, ambil saja aspek didaktik yang masuk senarai. Jika ini diterima sebagai satu kriteria, maka seluruh penilaian Panel Anugerah Sastera Negara akan terbatal, tidak boleh dipakai, kerana dalam laporannya, inilah ukuran yang paling dibenci, yang bersamanya mengekor teknik khutbah yang ditolak bulat-bulat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mungkin Panel Anugerah Sastera Negara sendiri sedar akan hal ini, oleh itu mereka tidak berminat menggunakannya (yakni, Puitika Sastera Melayu) dalam analisis mereka ketika menilai para sasterawan negara selepas Muhammad Hj. Salleh, dengan itu menafikan sendiri kehebatan Muhammd Hj. Sallaeh sebagai seorang sarjana dan pemikir unggulan yang mereka puji-puji; tetapi secara sipi-sipi dan tidak tepat mereka mencuba menggunakan gagasan Persuratan Baru, walaupun hanya dengan menyebut namanya saja (yang salah, iaitu Persuratan Baru Melayu), bukan menjadikannya asas penilaian mereka. Adakah mereka bersikap anti-ilmu atau terlalu angkuh untuk tidak menerima “teori” Muhammad Hj. Salleh (yang mereka puji begitu tinggi dan bersungguh-sungguh) dan gagasan Persuratan Baru (walaupun sudah terbukti kemampuannya secara akademik), hanya mereka sendirilah yang boleh menjawabnya. Kejujuran akademik adalah salah satu perkara yang amat sukar didapati di Malaysia, seperti yang saya huraikan dalam kertas DAMAI tempoh hari. Lebih mudah mendapat sanjungan tanpa bukti, atau kutukan peribadi bersifat fitnah daripada penilaian kritis dan jujur yang boleh dipertahankan secara ilmiah. Dalam konteks ini, saya akan bahaskan dua panel lain yang membuat keputusan yang pelik dan tidak masuk akal.

  Dalam hubungan ini, kita patut memberi perhatian kepada beberapa pandangan kritis dan jujur itu, untuk mendapat perspektif lain yang lebih masuk akal. Gesaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh supaya sasterawan dan pengkritik menerima teori Barat untuk dipakai bagi memperkaya indera sastera mereka, nampaknya tidak boleh diterimanya jika terkena ke atas dirinya. Inilah pandangan Prof. Md. Salleh Yaafar mengenai perkara ini: “Di negara kita sendiri bukti bahawa pengarang tidak mati baharu saja sama-sama kita saksikan. Iaitu apabila Muhammad Haji Salleh mengatakan Mohd. Affandi Hassan memberi gambaran yang salah tentang tulisannya dan pendiriannya. Adalah menarik dicatat di sini bahawa Muhammad Haji Salleh pernah mengajak pemikir sastera di Malaysia belajar daripada Derrida.” Semuanya mesti mengikut kehendak beliau, dan tidak seorang pun boleh membuat tafsiran sendiri-sendiri kerana keupayaan itu hanya berada di tangannya sebagai seorang tokoh besar sastera.

Saturday, June 19, 2010

Sasterawan dan Sarjana Kita Terserlah Jika Dinilai daripada Perspektif dan Nilai-nilai Barat

Kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa sudah berpuluh tahun kita menggunakan teori dan pendekatan Barat dalam menilai karya-karya kita adalah satu kesalahan besar, yang dilakukan olehnya sendiri. Oleh sebab beliau tidak memberikan contoh yang boleh dijadikan panduan untuk menilai kebenaran pendapat beliau, maka kita tidak ada pilihan lain selain membuat kesimpulan kita sendiri bahawa pandangan beliau itu tidak tepat, bertentangan dengan kenyataan yang berlaku sekarang. Ini bererti, kita memang perlukan teori dan pendekatan Barat kerana hanya dengan berbuat demikian sahaja kita dapat menilai karya kreatif dan analisis akademik kita dengan objektif, tepat, dan sesuai dengan konsep kesusasteraan yang kita pegang selama ini (sudah melebihi 80 tahun, hampir satu abad). Bukti paling baru betapa benarnya kesimpulan ini ialah projek Akademi Sastera (sejenis Akademi Fantasia dalam kegiatan akademik Malaysia) yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Akademi Melayu, Universiti Malaya baru-baru ini. Dalam projek itu, pelajar sastera yang terdiri daripada anak-anak muda yang mengambil mata pelajaran sastera di universiti diasuh untuk menjadi pengnalisis dan pengkritik sastera. Untuk menjayakannya, hanya teori dan kaedah Barat saja dibenarkan. Dalam konteks ini, gagasan Persuratan Baru tidak saja diketepikan dengan agak angkuh, dianggap sebagai kaedah analisis yang tidak objektif dan bertentangan dengan ciri-ciri kesusasteraan Melayu yang diterima pada waktu ini. Adakah pendirian mereka, para ahli akademik kita yang menjadi “pengasuh” para pengkritik muda ini termasuk dalam kesalahan yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Saya kira tidak termasuk dalam kesalahan yang dimaksudkan beliau, malah dari segi logiknya gagasan Persuratan Baru mesti ditolak untuk menjaga keutuhan teori dan kaedah Barat yang menjadi pegangan ahli-ahli akademik dan para sarjana kita. Jika anda membaca buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti (untuk memberi sedikit contoh) Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera (2006), Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (2004), Persuratan dan Peradaban Nasional (2006), Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang (2006), Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (2005), semua laporan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara selama tiga puluh tahun ini, dan lain-lain terbitan DBP dalam bidang ini, anda akan yakin bahawa apa yang disebut dan dimaksudkan sebagai “kesalahan” oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu sebenarnya aliran perdana yang dipertahankan oleh beliau sendiri. Sebagai bukti, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berkali-kali duduk sebagai anggota Panel Anugerah Sastera Negara (termasuk yang terbaru), tetap meneruskan amalan yang dikatakan beliau “kesalahan” berpuluh tahun itu. Ini sudah sewajarnya begitu, tidak boleh dielak. Tetapi kita boleh melunakkan “kesalahan” itu dengan memanggilnya “kesilapan” saja. Orang yang sedar telah berbuat salah, tetapi terus melakukannya, adalah orang munafik, menurut ajaran Islam. Dia seorang yang degil dan penakut, oleh itu dia berlagak angkuh, tidak mahu tunduk kepada kebenaran kerana dia tidak tahu apakah kebenaran itu. Tetapi jika dia hanya melakukan kesilapan, maka dia boleh meneruskannya, artinya dia tidak dianggap mengaibkan untuk meneruskan kesilapan yang disedarinya. Dalam politik Malaysia, perkara ini sudah dibudayakan, demikian juga dalam sastera. Inilah yang dinamakan aliran perdana itu. Oleh sebab gagasan Persuratan Baru (PB) tidak termasuk dalam aliran perdana, hanya berada di pinggiran dalam dunia akademik Malaysia, maka secara logiknya PB mesti dicampakkan, tidak boleh diterima dalam aliran perdana tadi. Pendirian ini betul, dan sudah semestinya begitu; kerana jika diterima dalam aliran perdana, maka lenyaplah identitinya sebagai gagasan yang mencabar kepalsuan aliran perdana tadi. Jika anda dengan penuh semangat menjeritkan, “kita mesti campak teori Barat, ganti teori kita sendiri”, kita mesti bebaskan diri kita daripada belenggu pemikiran Barat, maka anda akan disorak dan diejek oleh teman-teman anda, dianggap kurang siuman kerana “ada hati” hendak membuang sesuatu yang sudah menjadi darah daging sastera Melayu moden. Oleh itu anda harus tunduk saja kepada pengaruh Barat, berfikir cara Barat, menganalisis dan menilai karya sastera Melayu berpandukan kaedah Barat. Inilah yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kita akan bincang perkara ini lebih mendalam nanti.

Mohd. Affandi Hassan, 19/6/2010.

Friday, June 18, 2010

Konsep Ilmu yang Kabur dan Keliru

      Masalah “pemikiran” ini menjadi amat rumit dan amat mengelirukan bagi Panel Anugerah Sastera Negara yang meneliti karya-karya Muhammad Hj. Salleh, seperti yang diperlihatkan oleh mereka dalam Laporan 1991. Matlamat dan tujuan Laporan 1991 ialah untuk memperlihatkan kehebatan “pemikiran” Muhammad Hj. Salleh sebagai seorang pensajak (yakni ‘penulis sajak’) yang mendalam ilmunya dan dengan itu sajak-sajaknya kaya dengan “kebijaksanaan” yang memberi manfaat besar kepada pembaca, masyarakat dan bangsa Melayu. Tetapi semua kata-kata sanjungan yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1991 tidak dapat membuktikan hakikat sebenar kedudukan Muhammad Hj. Salleh sebagai seorang “pemikir” dalam sajak-sajaknya. Muhammad Hj. Salleh sendiri menolak beberapa tanggapan Panel Anugerah Sastera Negara 1991, apabila beliau “membuang” (yakni tidak memasukkan) beberapa buah sajak yang dijadikan bukti oleh panel bahawa beliau seorang “pemikir” yang teliti (kesimpulan panel yang kerap diulang-ulang) dan mendalam, dengan tidak memasukkannya ke dalam dua kumpulan sajak-sajak pilihan beliau, Sebuah Unggun Di Tepi Danau (DBP, 1996) dan Aksara Usia (DBP, 1998). Tidak sebuah pun sajak di dalam dua kumpulan sajak-sajak pilihan itu, yang sebelum dimasukkan ke dalam dua kumpulan itu, yang digunakan oleh panel penilai untuk menilai sumbangan Muhammad Hj. Salleh, boleh dikemukakan sebagai bukti bahawa pensajak ini seorang “pemikir”, seperti misalnya Iqbal itu seorang pemikir agung dalam syair-syairnya, dengan tema utama mengenai pembentukan peribadi yang unggul berasaskan nilai-nilai Islam.

  Muhammad Hj. Salleh hanya muncul sebagai seorang pencatat pengalaman perjalanan yang sangat berminat memperagakannya kepada pembaca betapa luasnya dan jauhnya perjalanan beliau, padahal dari segi ilmu tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Malah dalam banyak hal catatan perjalanan beliau penuh kontradiksi, tidak seimbang dengan pujian panel penilai, dan dengan malang pula pensajak ini memperlihatkan tidak saja kekeliruan beliau, malah kecacatan tanggapan beliau yang sungguh menghairankan, misalnya dalam sajak “Baris-baris Dari Muzium Goethe”. (Sebuah Unggun Di Tepi Danau, hal. 5). Dalam sajak ini Muhammad Hj. Salleh dengan penuh kagum menerima Goethe sebagai “milik bangsa dan tamadun Melayu” kerana kebijaksanaan penyair itu; dan kekaguman ini menggelincirkan beliau sehingga menerima juga Mephistopheles, Raja Iblis dalam Faust karya Goethe sebagai tokoh yang wajar dikagumi (dalam ucapannya, “dan memihak pada pintar mephistopheles”). [Huruf tebal ditambah].

  Adakah perasaan kagum yang berlebihan dan melampau ini hasil “pemikiran” beliau? Tidak ada bukti dapat dikemukakan, kecuali hanya berupa lintasan spontan seorang pensajak yang ingin memperagakan pengalamannya di luar negeri dan pernah bertemu Goethe, walaupun hanya di muzium. Walaupun Muhammad Hj. Salleh pernah sampai di Kaherah, tetapi beliau tidak berminat untuk menziarahi makam tokoh-tokoh Islam di Kaherah, tidak menyebut nama mereka, tidak tertarik dengan pencapaian ilmu mereka, dan tidak sedikit pun berasa kagum dengan kehebatan mereka sebagai ahli ilmu, atau ulama atau tokoh pahlawan. Semua ini menolak dengan mudah dan berkesan tanggapan panel penilai yang berkata, “Puisi-puisi yang membawa unsur keagamaan yang mula digarapnya sejak tahun 1970-an lagi, terus muncul dalam karya-karyanya yang mutakhir’. (Hal. 21 Laporan 1991). Jika yang dimaksudkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1991 sajak-sajak seumpama “Baris-baris Dari Muzium Goethe”, maka kesimpulan panel tidak saja meleset, tetapi bertentangan dengan bukti yang ada. Di tempat lain panel membuat kesimpulan yang tidak masuk akal kerana amat bertentangan dengan hakikat sebenar kedudukan Muhammad Hj. Salleh sebagai seorang sasterawan, ahli akademik, dan seorang intelektual yang sungguh istimewa. Kata panel: “Membaca puisi [yang dicontohkan di halaman 22-23 Laporan 1991] di atas, seperti juga dengan banyak puisinya yang lain, suatu kesan yang akan kekal dalam ingatan pembaca ialah stail Muhammad, pemilihan diksinya yang cukup berhati-hati, sasaran makna yang lebih menuju intelek, sehingga puisi-puisinya sangat berperspektif intelektual” (hal. 23). Contoh dari “Baris-baris Dari Muzium Goethe” menafikan sama sekali kesimpulan ini. Kita lihat pula sebuah sajak sasterawan ini yang cukup terkenal, iaitu sajak “Pulang Si Tenggang”. Sajak ini cukup istimewa dalam pengertian negatifnya, lebih-lebih lagi apabila dibaca bersama pujian tinggi panel terhadap sasterawan ini.

  Kata panel: “Muhammad adalah seniman yang dalam dirinya subur segala bibit kehalusan dan kemurnian nilai-nilai lama daripada tradisi nenek moyangnya. Dan dalam dirinya juga tumbuh subur kesedaran cendekia yang tinggi yang menginginkan perubahan seperti yang pernah dipelajari dan dihayatinya dalam pengembaraannya” (hal. 25). Jika pujian ini dipadankan dengan sajak “Baris-baris Dari Muzium Goethe”, maka tidak satu pun pujian itu boleh dipakai. Bagaimana seorang yang halus jiwanya, seorang seniman yang cintakan warisannya, boleh menerima Goethe dan Mephistophelesnya sebagai warisan nenek moyangnya juga? Jika benarlah pensajak ini memiliki “bibit kehalusan dan kemurnian nilai-nilai lama daripada tradisi nenek moyangnya”, bagaimana beliau boleh menulis sajak “Pulang Si Tenggang”yang terang-terang menentang nilai-nilai tradisi? Dalam sajak itu, beliau cukup bangga mengaku “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar, /memeluk kenyataan dengan logika baru,/ berdebat dengan hujah pejal dan nyaring. /tetapi juga/ bersopan santun, menghormati/ manusia dan kehidupan” (Sebuah Unggun Di Tepi Danau, hal. 223). Pengakuan pensajak ini menolak dengan tegas segala pujian panel penilai yang mendakwa beliau mempunyai segala macam keistimewaan seperti yang dipaparkan dalam sedikit kutipan di atas. Apakah yang indah dalam dongeng Si Tenggang yang dijadikan model oleh Muhammad Hj. Salleh? Jika kita membaca sajak ini bersama sajak “Baris-baris Dari Muzium Goethe” yang memperlihatkan pensajak sangat kagum kepada kepintaran Mephistopheles itu, maka kita akan mendapat kuncinya yang membolehkan kita memberikan penilaian yang tepat kepada pensajak ini. Pada umumnya beliau adalah seorang pensajak romantik, yang mempunyai ciri-ciri seorang tokoh romantik. Saya telah menghuraikan perkara ini dalam sebuah kertas kerja berjudul, “Dari Danau ke Taman: Sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh dan Wan Mohd. Noor” (Majlis Bicara Buku: Mutiara Taman Adabi, karya Prof. Dr. Wan Mohd Noor Wan Daud. Balai Seminar, DBP Wilayah Timur, Kota Baharu, 21 September 2003). Menurut Jacques Barzun, sifat-sifat seorang romantik itu antaranya: “bombastic, conservative, emotional, fanciful, formless, futile, irrational, materialistic, ornamental, stupid, unreal, melodramatic, adventurous, passionate, wild, dan lain-lain. Menurut rumusan Chris Baldick, “the romantics turned to the emotional directness of personal experience and to the boundlessness of individual imagination and aspiration” (The Oxford Dictionary of Literary Terms, 1990, hal. 193). Secara tidak langsung Panel Anugerah Sastera Negara 1991 mengakui hakikat ini apabila panel itu menerima dengan sanjungan usaha Muhammad Hj. Salleh mengembalikan Si Tenggang, anak derhaka, ke dalam sastera Melayu moden dalam kutipan penting yang berikut: “Maka Si Tenggang itu (yakni Muhammad Hj. Salleh) tidak pulang seperti Si Tenggang sebelumnya yang takbur dan bongkak, membenci dan memusuhi kaum dan ibu kandungnya. Dengan kesedaran perasaan dan keyakinan yang kental, Muhammad menghadapi realitinya, menghadapi persoalan dan masalah kewujudan diri dalam perkelilingannya” (hal. 25). 
 
   Panel 1991 dengan itu mengesahkan sikap dan sifat romantik pensajak Muhammad Hj. Salleh yang digambarkan oleh Chris Baldick dalam kutipan di atas. Muhammad Hj. Salleh sendiri dengan tegas dan berani mengaku perkara ini di tempat lain, apabila beliau menegaskan: “I was a linguistic and cultural schizophrenic . English colonized me, yet it was my lifeblood.” (Rujuk Critical Perspectives on Muhammad Hj. Salleh, hal. 20-21). Pengakuan yang jujur ini mengukuhkan keyakinan kita sifat romantik Muhammad Hj. Salleh. Dalam konteks lain, sebagai membuktikan kebenaran penilaian Panel 1991 tentang Muhammad Hj. Salleh “yang subur kehalusan dan kemurnian nilai-nilai lama” Melayu yang menjadi pegangannya, beliau meluahkan kesopanan dan kehalusan budi bahasanya dalam serangan peribadi yang amat keras terhadap Mohd. Affandi Hassan yang telah mengkritik kertas kerja beliau, “Kritikan Sastera Malaysia dan Beberapa Saranan”. Kata Muhammad Hj. Salleh: “Mohd. Affandi Hassan bukanlah seorang kritikawan yang menulis kritikan, yang menjadi suatu genre kesusasteraan. ... Mohd. Affandi juga tidak dapat dikategorikan sebagai sasterawan, ... Oleh sebab yang ditulis oleh Mohd. Affandi itu bukan kritikan dan oleh itu bukan kesusasteraan, maka pendapat-pendapatnya yang tidak ada dasar sastera tidak perlu dibincang secara serius” (Berita Minggu, 25 Disember 1983). Sebagai seorang sarjana yang menekankan kesopanan dan bahasa yang halus, sesuai dengan tamadun Melayu, beliau menegaskan, Mohd. Affandi Hassan tidak mempunyai etika, oleh itu Mohd. Affandi "tidak lebih dari penghuni gua di zaman neolitik yang tidak berbudi bahasa ...(Berita Minggu/Nadaminggu, 1/1/1984). Dengan sikap positif itu, Muhammad Hj. Salleh menggunakan kebijaksanaannya dan kepakarannya dalam kesusasteraan untuk mengutuk tulisan Mohd. Affandi Hassan habis-habisan, dengan memberikan senarai panjang terhadap keburukan dan kejahatan beliau. Tidak ada percubaan untuk membahaskan pandangan kritis Mohd. Affandi Hassan; sebaliknya Muhammad Hj. Salleh mengemukakan senarai panjang dan terperinci, mendedahkan 70-75 keburukan/kejahatan Mohd. Affandi Hassan. 
 
    Agak aneh mengapa beliau lebih berminat dengan keburukan yang dicari-carinya, sehingga tidak langsung berminat membahaskan beberapa idea pokok dalam tulisan Mohd. Affandi Hassan. Satu-satunya pendapat beliau yang baik ialah apabila beliau berkata: “Dengan jujur saya sarankan bahawa Mohd. Affandi berguru kepada Baha Zain, sekurang-kurangnya dalam penggunaan bahasa kritikan jikalau tidak dalam hal-hal lainnya. Malah beliau boleh juga mempelajari tentang nada dari Ramli Isin, suara yang tenang dan sabar, kerana bahasa Ramli jelas lebih tenang dan bersabar dari bahasanya.” (Berita Minggu, 1 Januari 1984). Saranan beliau yang jujur itu sesuai dengan kesimpulan beliau bahawa Mohd. Affandi Hassan perlu sedar “bahawa pelajar tahun empat saya memahami konsep sastera dengan lebih wajar lagi dari konsep sasteranya yang jikalau saya dapat gunakan perkataan beliau sendiri agak ‘kacau’ malah konsep ini tidak bertanggungjawab dan agak negatif.” Sebagai satu penghormatan yang jujur, Muhammad Hj. Salleh memulai tulisannya seperti berikut: “Dalam pengalaman kesusasteraan Malaysia, tradisional dan moden, kita belum perpeluang untuk bertemu dengan seorang penulis seperti Mohd. Affandi Hassan. Malah dalam pengalaman saya sendiri membaca dari kritikan sastera Inggeris, Amerika Syarikat atau Jepun, penulis seperti beliau adalah suatu fenomenon yang tidak pernah wujud.” (Berita Minggu, 25 Disember 1983). Walaupun nadanya cukup menghina dan memang dimaksudkan untuk menghina, namun Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah menyatakan sesuatu yang betul, yang mungkin tidak dimaksudkannya. Buku Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika Daripada PendekatanTauhid (1992) telah diterima oleh sebuah universiti Islam di London sebagai sebuah buku utama Abad 20 dalam tamadun Islam, dan dimasukkan ke dalam projek bibliografi yang sedang diusahakan oleh universiti itu. Sudah pasti, dan memang wajar, jika Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak pun tahu buku itu wujud, oleh itu tentulah beliau tidak pernah membacanya. Sebagai seorang sarjana sastera yang ulung di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, tentulah amat mengaibkan jika beliau tidak tahu menahu tentang buku kecil itu. Oleh itu, pada pendapat saya, kesimpulan Muhammad Hj. Salleh untuk merendahkan kebolehan orang lain itu memang boleh diterima sekiranya kita tidak mahu berubah seperti yang disarankan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam bukunya tadi, yang kemudiannya dihuraikan dengan lebih mendalam oleh beliau dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi menurut Panel 1991, Muhammad Hj. Salleh sendiri mahukan masyarakatnya berubah, iaitu dengan kembali kepada falsafah Si Tenggang dan kepintaran Mephistopheles. Nampaknya sebahagian besar sasterawan Melayu, pengkritik dan ahli akademik menerima saranan Muhammad Hj. Salleh. Maka itulah pendapat beliau wajib dibahaskan dengan lebih mendalam supaya pilihan yang dibuat itu benar-benar pilihan yang terbaik, rasional dan tidak akan menjerumuskan kita ke dalam kesesatan yang dikutuk oleh al-Quran (Q 26: 124-127). Saya fikir permintaan ini adil dan wajar. Oleh itu saya ingin menyambung sedikit lagi membicarakan Laporan 1991 untuk menyerlahkan wajah sebenar kesusasteraan Melayu baru yang dianggap oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas berada “di pinggiran” dan “keliru meraba-raba” itu.

Wednesday, June 16, 2010

Perubahan Yang Merugikan ...

Adakah perubahan seperti ini menguntungkan bangsa Melayu dan tamadun Melayu? Hanya baru sekarang telah timbul sedikit kesedaran bahawa mungkin terdapat kesilapan dalam penilaian yang dibuat selama ini, yang tidak sepatutnya berlaku, sehingga seorang sarjana pernah berkata, “…sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Huruf condong ditambah). Pengakuan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14) ini penting kerana ia membenarkan dengan jelas kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tadi, walaupun mungkin yang mengucapkannya itu tidak sedar. Tetapi sarjana ini tidak bercakap dalam konteks ilmu dalam warisan persuratan Melayu, yang mungkin dikenalinya sama-samar, tidak mendalam untuk membolehkan beliau melihat persoalan dalam konteks ilmu dan sistem nilai yang disediakan dalam persuratan Melayu. Beliau sendiri tidak pasti apakah kesalahan itu, oleh itu tidak dibayangkannya di mana-mana pun dalam tulisannya atau ucapannya, dengan misalnya memberi contoh berapakah jumlah kesalahan itu dan apakah jenisnya dan mengapa kesalahan itu terjadi. Yang kita ingin tahu ialah apakah jenis kesalahan beliau sendiri. Tidak ada analisis, hanya ujaran yang sangat umum yang dari segi akademik perlu dikonkritkan dengan contoh dan hujah; tetapi pengakuan itu penting kerana pengakuan itu memperlihatkan telah ada kesedaran peri berlakunya kesilapan yang dimaksudkan. Pengakuan ini juga membenarkan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan (secara kiasan, walaupun tidak secara langsung) bahawa para sasterawan seperti pembicara ini terdiri daripada “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”. Kenyataan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang begitu penting tidak disentuh, apatah lagi dibahaskan dengan mendalam, oleh Prof. Hashim Awang dan rakan-rakan dalam buku sejarah kritikan yang mereka tulis. Prof. Hashim Awang (dengan bantuan tiga orang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka) menulis sejarah kritikan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (2003), tidak pun menjeling laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri anggotai, suatu keputusan yang amat dikesali kerana dokumen yang begitu penting diketepikan begitu saja, padahal banyak perkara yang boleh dibahaskan. Nampaknya Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri tidak menganggap dokumen yang diterbitkannya itu penting dalam bidang kritikan. Barangkali keputusan Prof. Hashim Awang dan pendirian Dewan Bahasa dan Pustaka ada asasnya, jika hujah-hujah yang dikemukakan dalam tulisan ini boleh diterima. Bagi saya keputusan itu tidak wajar dan tidak akademik, mengingat betapa besarnya kesan negatif laporan Panel Anugerah Sastera Negara itu terhadap perkembangan kritikan dan perkembangan ilmu di Malaysia.

Apakah kesilapan utama yang dilakukan dan masih diteruskan hingga kini? Prof. Ungku Maimunah telah membicarakan aspek ini dengan terperinci dan cukup ilmiah dalam Kuliah MASTERA beliau yang diterbitkan dengan judul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009). Beliau menghuraikan dengan mendalam bagaimana sastera Melayu dinilai oleh para penilai, pengkritik dan sarjana Melayu sendiri yang bergantung kepada konsep realisme yang muncul di Eropah dalam Abad 19 sebagai pemberontakan kepada romantisisme. Realisme dalam konteks Abad 19 itu menjadi pegangan pengkritik dan sasterawan Melayu hingga sekarang. Analisis beliau menjadi lebih menarik jika dibaca bersama makalah beliau dalam buku ini, yang melakarkan perkembangan kritikan sastera di Barat, dengan memberi tumpuan kepada ukuran yang dipakai dan bagaimana ukuran itu diperdebatkan dengan ghairah sekali sehingga melahirkan pelbagai teori, masing-masing mendakwa itulah yang paling tepat membicarakan apa sebenarnya kesusasteraan dan apakah sifat-sifat asasi karya sastera. Tetapi nampaknya tidak ada sebuah teori pun yang pasti apakah sifat dan ciri khusus karya sastera, kerana semua pendapat yang dikemukakan dibantah oleh teori lain pula. Inilah satu-satunya sifat sastera yang dipersetujui, kerana konsep kreatif itu sendiri seperti yang difahami dan diamalkan dalam kesusasteraan moden tidak membenarkan adanya sebarang ikatan atau halangan dalam mencipta sesuatu karya. Itulah pandangan semua sasterawan, yang disokong oleh ahli-ahli akademik dan para pengkritik sastera. Inilah juga pendirian para sasterawan Melayu di Malaysia. Tetapi adakah pandangan ini tepat? Tidak adakah pandangan lain, yang boleh dianggap sebagai satu pilihan yang lebih baik? Di sinilah, bagi orang Islam, amaran al-Quran tentang penyair yang sesat di wadi-wadi (Quran, 26: 224-227), yang disebut oleh Ustaz Zulkarnain dalam makalahnya, boleh dijadikan panduan untuk dijadikan sempadan dan peringatan. Firman Allah SAW dalam Al-Quran (terjemahannya): “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka mengembara di setiap lembah, dan bahawa mereka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan berbuat kebajikan dan banyak mengingat Allah dan mendapat kemenangan setelah terzalimi (kerana menjawab puisi-puisi orang-orang kafir). Dan orang-orang yang zalim kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali.” Yang disebut oleh al-Quran sebagai “penyair-penyair” itu termasuk di dalamnya para sasterawan sendiri, yang kuat mempertahankan pendirian mereka untuk “sesat di wadi-wadi” bagi mencapai kebebasan berkarya yang mereka agungkan.

Peringatan dan ajaran ini tidak diterima oleh kumpulan Asas 50 dan warisannya Panel Anugerah Sastera Negara yang meletakkan ukuran yang amat longgar dan samar-samar ketika menilai dan menentukan mutu karya sasterawan yang dilantik menjadi sasterawan negara. Saya telah membincangkan perkara ini dalam sebuah kertas panjang berjudul, “Kesusasteraan Melayu di Persimpangan Jalan: Anti-Intelektualisme, Hasad, Pandirisme” (dikemukakan sebagai kertas kerja dalam Siri Wacana Ilmiah DAMAI, 21 Disember 2004, anjuran ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kertas ini dibahaskan dengan kritis oleh Dr. Rahmah Ahmad Othman dari Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur; dan Datuk Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka.) Juga dalam sebuah tulisan lain berjudul, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (dikemukakan dalam majlis Wacana Sastera, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 25 Mei 2006: Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera Ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan). Huraian dan analisis yang lebih mendalam diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Kuliah MASTERA beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2009) dengan judul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Rujuk juga syarahan perdana beliau, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2007).

Oleh sebab pendapat dan keputusan Panel Anugerah Sastera Negara penting dan nampaknya telah dikanunkan sebagai ciri penting dalam penilaian karya kreatif, maka pendapat mereka mengenai perkara ini wajar disebut kembali dalam tulisan ini supaya dapat dilihat sejauh mana dekatnya mereka dengan kutukan a-Quran, atau sedekat mana jauhnya mereka dari kutukan itu. Hal ini penting disebutkan kembali di sini kerana karya-karya yang dinilai tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara telah diberi tempat yang sangat tinggi dalam “kesusasteraan” Melayu baru, yang kewajaran kedudukannya tidak boleh dipersoalkan lagi. Dalam cara tersendiri yang tidak jelas, yang samar-samar, yang mencerminkan kekeliruan para sasterawan dan penilainya, maka karya-karya yang disanjung itu “kelihatan” sangat bermutu kerana dikenakan kata-kata pujian yang pada hakikatnya tidak menggambarkan kualiti dan mutu sebenar karya yang dipuji jika dianalisis lebih mendalam dan lebih kritis. Perhatikan contoh-contoh pujian ini supaya kekeliruan dalam penilaian karya ini boleh dilihat dengan jelas. Kata Panel Anugerah Sastera Negara: “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. … Salina … merupakan pemapar kisah-kisah dan watak-watak yang terlihat dalam satu-satu suasana. Hendak dikatakan tidak ada tema atau tidak ada perutusan tidaklah benar-benar tepat, kerana selepas mengikuti kisah-kisah yang digambarkan, kita boleh juga mengatakan bahawa ada landasan atau ikatan yang merangkaikan kejadian dan bentuk-bentuk yang beraneka dalam Salina atau pun Sungai Mengalir Lesu. Misalnya, kita boleh mengatakan kesangsaraan yang digambarkan oleh kedua-dua buah novel ini adalah akibat peperangan dan dengan secara tidak langsung A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka.” (Laporan 1985, hal. 13). Penilaian yang saling bertentangan ini lahir daripada kekeliruan panel terhadap makna “plot” dalam pembinaan cerita. Menurut panel, Daerah Zeni tidak mempunyai plot: “Urutan kisah secara tradisional tidak wujud. Novel ini bagaikan sekeping kertas besar yang dikoyak-koyak menjadi kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kesatuan kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.” (Hal. 18). Kutipan ini memberitahu kita, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, maksud “plot” ialah urutan kisah secara tradisional; oleh itu “kepingan kecil yang terbang bertaburan” yang dikumpul dan dicantumkan kembali sehingga “terasa kesatuan kisahnya” bukan “plot”, walaupun diakui terdapat kesatuan kisah, yakni memang ada plotnya yang mungkin berbeza daripada yang biasa ditemui. Perkara ini dibangkitkan di sini kerana seluruh penilaian panel terhadap cereka berasaskan kekeliruan mereka tentang makna dan peranan plot dalam membina cereka; oleh itu timbullah kesimpulan seperti yang terdapat dalam kutipan panjang di atas (pada halaman 13 Laporan 1985). Adakah hal ini terjadi kerana A. Samad Said “terlalu pandai dan bijak” bermain dengan plot, sehingga membingungkan Panel Anugerah Sastera Negara? Sebenarnya inilah bukti kelemahan kedua-duanya: pengarang dan penilai. Pengarang tidak dapat menilai bahan yang ada di tangannya, dengan itu hanyut dalam apa yang disebut sebagai “gambaran terperinci” mengikut aliran realisme dan naturalisme yang ditirunya. Plot tidak digunakan sewajarnya untuk mengemukakan pemikiran dan analisis yang agak mendalam tentang “persoalan” atau “tema” atau “falsafah” dan sebagainya yang disebut oleh panel; kerana jelas sekali penggunaan ruang naratif dalam novel-novel A. Samad Said tidak terarah untuk membahaskan persoalan dengan mendalam, oleh sebab keutamaan diberikan kepada keinginan untuk bercerita semata-mata, bukan untuk membahaskan “persoalan” dan sebagainya itu dengan terperinci dengan menggunakan wacana yang membolehkan “persoalan” itu diberi makna, di samping ceritanya menarik. Jadi di sini tidak ada “pemikiran”, kerana terlalu ingin “memaparkan” begitu saja segala peristiwa dalam sejenis realisme atau naturalisme tiruan yang sebenarnya tidak difahami dengan mendalam, sekadar tiruan luaran yang biasa saja. Oleh itu semua perkara yang dipuji oleh panel, seperti tidak ada perutusan, tidak mempunyai tema tertentu, tidak didaktik, dan lain-lain sebagainya, adalah gambaran kekeliruan pengarang dan penilai sendiri tentang aspek plot ini. Huraian ini boleh difahami dengan lebih mudah jika dilihat dalam konteks gagasan Persuratan Baru yang membezakan aspek wacana dan cerita dengan memberi perhatian utama kepada aspek wacana. Memang benar A. Samad Said tidak menulis dalam konteks gagasan Persuratan Baru; tetapi Dr. Mohd Zariat Abdul Rani telah membuktikan dalam makalahnya bahawa Abdul Kadir Adabi (seorang pengarang yang diberi penghormatan dengan panggilan al-adib, dalam novel Melati Kota Bharu) boleh mencapai standard yang diingini oleh gagasan Persuratan Baru kerana beliau mempunyai daya kreatif yang tinggi dan pemikiran yang lebih jelas. Beliau adalah seorang pengarang yang berwibawa ilmunya, tidak seperti A. Samad Said. Tentang perkara ini, dalam “Seminar Pemikiran A. Samad Said” (DBP, 13-15 Mei 2008), hampir semua pembicara bersetuju A. Samad Said tidak mempunyai “pemikiran”, terutama sekali penegasan Prof. Rahman Shaari yang bulat-bulat menolak adanya “pemikiran” dalam karya-karya A. Samad Said. Hanya sanya mereka tidak mahu menggunakan gagasan Persuratan Baru untuk menghuraikan masalah ini, oleh itu mereka meraba-raba dalam membuat kesimpulan itu; tetapi mereka sedar tentang hakikat itu, dan itu sudah agak baik.