Kucing kurus menggaru papan/ Papan
digaru si kayu jati;
Adakah kurus kerana tak makan?/ Kurus makan
maklumat basi
Masalah pembakuan ukuran dalam penilaian sastera
menjadi semakin penting ditangani apabila sudah jelas sekarang bahawa Panel
Anugerah Sastera Negara sudah gagal memberikan sekadar isyarat bahawa Panel
itu, selepas 40 tahun, menuju ke arah
pembakuan ukuran dalam analisis dan penilaian karya kreatif di Malaysia.
Sepatutnya perkembangan ke arah ini
sudah bermula, tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Laporan panel
Anugerah Sastera Negara untuk tahun 2009 dan 2012 adalah yang paling lekeh
dan paling rendah kualitinya, baik dari segi analisis mahu pun dari segi
penilaian terhadap karya sasterawan negara yang mereka lapor. Saya tidak perlu mengulang pandangan saya,
cukup jika pembaca merujuk posting bertarikh (antara lain) 9 November 2011 tentang tiga
beban besar dalam sastera Melayu; posting 13 November 2011; posting 14 Disember
2011; posting 18 Julai 2011; posting untuk bulan Julai 2011 yang membicarakan
secara khusus peranan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai penilai yang gagal memberi ukuran yang tepat
jelas dalam laporan mereka; dan terakhir, posting 19 September 2012 membincangkan persoalan ini
sebagai “pembakuan ukuran” dalam kritikan sastera. Posting terakhir ini
penting kerana tulisan yang lepas tidak
dapat difahami dengan baik oleh para sarjana, pengkritik dan pembaca umum, oleh
itu mereka tidak berasa perlu Panel Anugerah
Sastera Negara dikritik, kerana bagi mereka Panel itu telah menjalankan
tugas mereka dengan cemerlang dan sangat ilmiah (tinggi kualiti akademiknya).
Tetapi yang anehnya, saya belum lagi bertemu sebuah tulisan yang cerdik dan
akademik yang membela Panel Anugerah Sastera Negara; cerita-cerita yang saya
dengar masih berupa gosip sastera yang dibincangkan secara iseng-iseng ketika para
penggosip ini ingin mengumpat sesama mereka.
Mengapa kita tidak boleh kritik Panel Anugerah Sastera
Negara? Bagus juga jika ada orang yang bersedia membincangkan perkara ini,
supaya kita boleh lihat kekuatan Panel Anugerah Sastera Negara dari segi analisis,
penghujahan, dan penilaian yang mereka lakukan terhadap karya kreatif yang
mereka nilai. Saya sendiri tidak bertemu dengan kekuatan itu, mungkin kerana
saya melihat dari sudut lain yang tidak terfikir oleh Panel, atau memang
sebenarnya laporan itu tidak menyerlahkan apa-apa pandangan yang bernas tentang
kritikan sastera Melayu. Itulah sebabnya saya
pernah mencadangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka supaya bermurah hati
memberi bantuan kewangan secukupnya
kepada seorang (atau lebih) yang ingin menulis tesis Ph.D. tentang sumbangan
Panel Anugerah Sastera Negara dalam
bidang kritikan sastera dan dalam menentukan ukuran yang agak baku yang boleh
diterima untuk menjadi panduan sepanjang
zaman dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Lekeh sangatkah para calon
sarjana kita sehingga tidak seorang pun tampil menyahut cabaran ini? Saya tidak
fikir Dewan Bahasa dan Pustaka terlaku lokek untuk memberi bantuan kewangan
yang diperlukan oleh calon berkenaan. Saya harap calon yang berminat akan
tampil.
Masalah pembakuan ukuran ini amat perlu dibincangkan
dengan mendalam oleh para sarjana kita kerana kita mahu lihat apakah ukuran
yang telah dibakukan dalam kritikan sastera Melayu. Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah
banyak menulis tentang perkara ini, dalam konteks perkembangan konsep realisme
dalam kesusasteraan Melayu moden. Secara
umumnya sastera Melayu telah menjadikan realisme yang dipraktikkan dan difahami di Barat sebagai falsafah
(?) sastera Melayu, yang menjadi nilai
teras dalam kritikan sastera Melayu. Panel
Anugerah Sastera Negara menerima
realisme sebagai dasar penulisan kreatif di kalangan sasterawan; dan berasaskan
penerinaan itu, maka atas nama realisme para sasterawan diberi kebebasan yang
luas untuk menjadikan realisme itu sebagai teras penulisan mereka. Dalam
pembelaan para sasterawan ketika
dikritik mengapa mereka menulis hanya keburukan sahaja, mereka menjawab, semua
itu memang ada dan terjadi dalam masyarakat. Mereka tidak terasa jawapan ini
sangat lemah dan terlalu cetek untuk diterima, kerana bagi mereka, asal saja
sesuatu itu terjadi dan memang didapati berlaku dalam masyarakat, maka itulah
realisme dan sasterawan berhak menulis tentangnya. Demikianlah lahirnya novel Shit, TIVI, Terdedah, Kuala Lumpur Kita
Punya, Langit Petang, Salina, dan novel-novel erotik/lucah karya Azizi Hj.
Abdullah. Adakah ini idea tentang
realisme yang sebenarnya? Memang benar, itulah realisme, kata Panel Anugerah
Sastera Negara dalam laporan mereka.
Kesimpulan mereka diterima oleh hampir semua para sasterawan, sarjana
dan pengkritik sastera. Shahnon Ahmad
ketika mempertahankan TIVI tidak
lucah, menegaskan bahawa apa yang ditulisnya di dalam novel itu adalah
benar-benar berlaku dalam masyarakat Melayu, dan itulah realiti yang tidak
boleh dinafikan, yang mesti diterima kewujudannya. Pendapat beginilah yang
memberinya laluan untuk menulis karya-karya lucah sebagai karya realistik yang
mencerminkan masalah masyarakat. Pandangan begini pada umumnya menjadi pegangan
para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, dengan Panel Anugerah Sastera
Negara menjadi pelindungnya. Itulah aliran perdana yang ditakdiskan dalam
sastera Melayu moden. Sejauh mana aliran perdana ini merupakan penyelewengan
sistem nilai yang sudah dibakukan dalam peradaban Melayu? Pertanyaan ini hanya
boleh dijawab sekiranya masalah pembakuan ukuran ini dibahaskan terlebih
dahulu, terutama sekali dalam konteks kedudukan apa yang dinamakan aliran
perdana itu.
Punca yang melahirkan kekeliruan besar tentang apa
yang disebut aliran perdana ini ialah konsep sastera yang dipegang oleh para
sasterawan dan disokong oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Pertama
sekali harus diakui konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan ini
adalah konsep sekular yang diterima dari Barat, yang menjadikan kebebasan
imaginasi sebagai asas utama dalam bidang kreatif. Dari perspektif ini, maka lahirlah
karya-karya eksperimen yang dengan cepat dan mudah diisytiharkan membawa
perkembangan baru dan kemajuan yang menakjubkan dalam kesusasteraan Melayu. Antara
contoh yang dibanggakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ialah cerita pendek
Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartment”, sebuah karya yang “filosofikal”
dan membawa jalur baru yang tersendiri dalam penulisan cerita pendek di
Malaysia. (Lihat Laporan 2009). Saya mengatakan (posting 29/8/2012) tema cerita
pendek ini sudah jadi klise dalam sastera Melayu moden, ditulis oleh seorang
sasterawan yang belum dewasa yang masih kuat terpengaruh dengan karya Umar Kayam misalnya (penulis “Seribu Kunang-kunang
di Manhattan”). Dalam posting itu saya
memberi contoh sebuah cerita pendek A. Samad Ismail tentang pelacuran dan
perzinaan (tema agung sastera Melayu yang juga menjadi tema utama karya ulung
Anwar Ridhwan) yang jauh lebih matang dari segi pengolahan daripada cerita
pendek Anwar Ridhwan tadi. Tetapi
kematangan seorang pengarang atau sasterawan tidak dijadikan ukuran penting
oleh Panel Anugerah Sastera Negara. A. Samad Said yang menulis Salina dalam umur awal duapuluhan tidak menampakkan kematangan dalam karya
terkenal beliau itu, meskipun dari segi kreatif beliau telah menunjukkan
kebolehannya hasil dari peniruannya terhadap teknik novel Barat; tetapi dari
segi “pemikiran” beliau belum lagi dapat mengolah masalah masyarakat bawahan
yang dipilihnya selain dari bercerita tentang mereka dan merakamkan perbualan
mereka (aspek ini yang menarik perhatian dan minat Prof. A. Teeuw yang memuji
karya ini). Kelemahan ini dapat dilihat
jika kita bandingkan karya beliau Hujan
Pagi yang ditulisnya setelah sekian lama beliau bergelar sasterawan negara. Tetapi karya ini pun masih dalam lingkungan
peniruan teknik, khususnya teknik realisme magis yang dipakai agak luas dalam Hujan Pagi. Bolehkah kita berkata “kematangan” A. Samad
Said adalah “kematangan” dari segi peniruan teknik dari Barat, yang
memperlihatkan kesugguhannya untuk meletakkan karyanya dalam lingkungan
karya-karya Barat dengan harapan beliau juga akan diberi kesempatan untuk
dipertimbangkan untuk memenangi Hadiah Nobel.
Adakah ini cita-cita dan matlamat yang baik? Untuk dirinya mungkin
itulah yang terbaik, tetapi untuk negara
tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan.
Beralih kepada seorang tokoh lagi, Shahnon Ahmad. Adakah beliau dilantik menjadi sasterawan
negara kerana “kematangan” karyanya? Jika kita dapat jadikan laporan tentang
dirinya yang hanya berjumlah 21 halaman, paling pendek di antara laporan Panel
Anugerah Sastera Negara, maka sukar untuk kita berkata beliau dipilih, ketika
itu, untuk dijadikan sasterawan negara kerana kematangan karyanya. Tentulah ada
sebab-sebab lain yang tersembunyi. Antara faktor yang sering disebut ialah
kegiatan politiknya dalam UMNO ketika itu. Faktor kedua mengenai peranan Asas
50 dalam pemilihan. Setelah Keris Mas terpilih, calon kedua yang “layak” ialah
Usman Awang; tetapi dari segi strategi pemilihan ini tidak bagus kerana akan
terdapat rungutan apabila kedua-dua tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka keturunan
Asas 50 dipilih berturut-turut; maka tampillah Shahnon Ahmad, aktivis politik
UMNO di Kedah ketika itu. Masa terlalu suntuk untuk menulis laporan tentang
beliau dengan terperinci; atau lebih tepat ketika itu tiada banyak yang dapat
ditulis tentang sasterawan ini kerana karyanya masih terbatas, dan itu pun
tidak semuanya bermutu. Tetapi sebagai satu strategi, pilihan terhadap Shahnon
Ahmad adalah tepat, kerana apabila tiba giliran Usman Awang, laporan tentang
diri dan karyanya adalah yang terpanjang di antara semua laporan yang pernah
ditulis dan diterbitkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Laporan itu mungkin
telah wujud, telah siap, ketika Shahnon Ahmad diputuskan untuk menjadi
sasterawan kedua menduduki takhta sasterawan negara. Jika anda masih ingat
ucapan penerimaan Keris Mas yang bercakap tentang politik sastera dan sastera
politik, maka tentulah anda akan mengerti bahawa pemilihan Shahnon Ahmad adalah
hasil dari politik sastera (untuk mudah difahami, bandingkan dengan politik
pentadbiran, politik bahasa, politik akademik, politik kenaikan pangkat, dan
yang semacam dengannya). Beliau tidak
dipilih kerana kematangan karyanya, sama seperti A. Samad Said tidak terpilih
kerana kematangan karyanya. Tetapi
adakah pilihan itu tidak tepat? Soalan ini tidak timbul ketika itu, kerana
Shahnon Ahmad seorang penulis popular dan seorang aktivis politik UMNO pula.
Soalan itu hanya timbul waktu ini, dibawa oleh Shahnon Ahmad sendiri yang
menetapkan kematangan itulah faktor utama dalam pemilihan dan perlantikan
seorang sasterawan negara. Beliau sentuh (hanya sentuh, bukan menganalisisnya
dengan tuntas) persoalan ini dalam tulisan terbaru beliau dalam Dewan Sastera, September 2012, berjudul
“Kematangan”. Terima kasih kepada seorang teman kerana menunjukkan tulisan itu
kepada saya, kerana katanya persoalan ini berkaitan dengan idea pembakuan
ukuran dalam kritikan yang saya bincangkan dalam blog ini.
Soalan: Bolehkah kita jadikan kematangan sebagai
ukuran yang baku dalam pemilihan seorang sasterawan negara? Maksudnya, hanya seorang sasterawan yang
betul-betul matang dalam penghasilan karyanya dan matang pula sebagai seorang
sasterawan, yang layak dipilih untuk dilantik menjadi sasterawan negara. Jika
kita membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara dengan kritis, dan mengemukakan
dua contoh yang baru saya sebut, maka nampaknya kematangan tidak pernah
dijadikan ukuran oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Apabila Shahnon Ahmad
mencadangkan kematangan sebagai ukuran yang baku dalam pemilihan seorang
sasterawan negara, adakah beliau mengemkukakan sesuatu yang penting dan patut
diterima? Sebenarnya ukuran yang beliau utarakan itu telah ditolak
mentah-mentah oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jika kematangan itulah yang
menjadi penentu layak tidaknya seorang sasterawan diberi kedudukan sebagai
sasterawan negara, maka sudah tentu yang pertama layak diberi kedudukan itu
ialah Ishak Hj. Muhammad, diikuti oleh A. Samad Ismail, dan seterusnya Kassim
Ahmad sebagai seorang pensajak yang mantap dan satu-satunya sasterawan
intelektual yang tepat dengan gelaran “sasterawan intelektual” itu. Selepas itu
barulah Keris Mas dan seterusnya. Tetapi mengapa tiga orang sasterawan ini
terlepas peluang itu? Sebenarnya mereka
dinafikan peluang itu kerana adanya politik sastera dan kuatnya pengaruh
politik sastera itu di Malaysia di kalangan orang sastera. Ketiga-tiga mereka
adalah tokoh politik kiri yang sangat terkenal di Malaysia, walaupun A. Samad
Ismail sudah diterima oleh Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana
Menteri. Ketika beliau masih hidup, Bung
Karim selalu memberitahu saya, dengan kesal dan terkilan, bahawa dia sudah
berkali-kali mengemukakan nama Ishak Hj. Muhammad untuk diabadikan namanya di
sebuah sekolah menengah. Bung Karim memberitahu, Pak Sako (gelaran mesra Ishak
yang diberikan oleh Jepun) dituduh seorang komunis, oleh itu tidak layak
dijadikan nama sebuah sekolah. Bagaimana pun, saya ada dengar kabar, sudah ada
sebuah sekolah di Pahang yang memakai nama beliau. Di mana sekolah itu saya
tidak pasti, mungkin orang Pahang boleh memberitahunya. Lagi pula beliau sudah diberi gelaran
“Dato’”, oleh itu bukan lagi seorang komunis. Saya tidak pernah dengar seorang
komunis diberi gelaran “Dato’”!
Kematangan mungkin boleh dijadikan ukuran dalam
kritikan, tetapi tidak dalam konteks Shahnon Ahmad. Dalam tulisan yang dirujuk,
kita melihat egotisme (keangkuhan dan kesombongan melampau) seorang sasterawan negara yang memandang
rendah para sasterawan yang tidak setaraf dengannya, walaupun sasterawan itu
mempunyai kualiti tertentu. Mari kita
lihat bagaimana egotisme itu dilonjakkan dengan angkuh: “Seorang sasterawan dari Sungai Petani
beria-ia benar dengan nama calonnya
[untuk dijadikan sasterawan negara] dan meminta pendapat saya. ... Saya berdiam
diri saja. Calon ini memang seorang sasterawan yang agak lama, begitu prolifik,
lantang suaranya dalam sebarang aktiviti sastera. Memang layaklah sasterawan
ini dicalonkan, tetapi saya terus membisu.
Seorang teman dari Kuala Lumpur meminta pandangan saya dengan pencalonan
seorang sasterawan yang agak ulung dan terkenal. Karyanya banyak. Sering menang
hadiah sastera. Sering menang sayembara novel. Seorang Sarjana dengan gelaran
Doktor. Seorang yang benar-benar komited dengan sastera. Saya membisu
sahaja. Seorang teman lagi mencalonkan
wanita. Beberapa nama calon wanita dikemukakan. Semuanya sasterawan besar juga.
Banyak karya. Terkenal seluruh negara. Sajaknya banyak. Cerpennya pun banyak.
Novelnya pun banyak. Apakah pandangan saya dengan calon-calon wanitanya itu?
Saya terus berdiam diri bagaikan seketul tunggul gerigis. Kalau diperhitungkan dari segi kuantiti
karya, memang banyak calon yang boleh dikekmukakan; malah senarainya
berjela-jela. Banyak yang menang sayembara novel yang sering diadakan. Banyak
sajak yang dimilikinya dalam antologi puisi dan jumlah puisi ecerannya
berjumlah ratusan. ... Seperti yang saya tegaskan, bukan itu saja yang menjadi
faktor ukuran penilaian untuk dinobatkan sebagai sasterawan negara. Satu faktor
yang utama dan sering dilupakan oleh orang adalah kematangan karya dan
kematangan sasterawan.”