Friday, January 30, 2015

BEBERAPA PRINSIP UTAMA UNTUK MEMAJUKAN PERSURATAN MELAYU



Kemunculan gagasan Persuratan Baru tidak dapat dielakkan lagi daripada bertapak dengan kukuh dalam bidang kreatif dan akademik di Malaysia, walaupun masih menghadapi tentangan kuat dan penafian daripada para sasterawan dan sarjana. Kedudukan teori Barat itu sendiri sedang dipersoalkan dengan kritis sehingga menimbulkan perasaan tidak selamat di kalangan penganut teori Barat di Malaysia. Walaupun ketakutan itu tidak berasas, namun para penganut teori Barat ini tidak rela berpisah dengan teori Barat kerana ketergantungan kepada teori Barat itu memberi pulangan faedah yang amat lumayan, baik dari segi kewangan, pangkat, mahu pun status.  Semua ini tidak dapat diberikan oleh gagasan Persuratan Baru, oleh itu tidak ada maknanya jika gagasan Persuratan Baru diberi tempat yang sama dengan yang diberikan kepada teori sastera Barat. Halangan paling utama ialah tidak seorang pun sarjana Barat pernah menulis tentang Persuratan Baru, dengan itu Persuratan Baru hanya berada di peringkat kampung atau local, masih jauh lagi untuk menjadi saingan apatah lagi cabaran kepada teori sastera Barat yang dicetuskan dan dikembangkan di Barat oleh para ahli akademik yang terkenal dan sangat berpengaruh. Bila saya dengar argumen ini, pada mulanya saya tersenyum sinis, tetapi kemudiannya tertawa gembira kerana argumen beginilah yang saya tunggu-tunggu selama ini. Selama ini kita selalu mendengar macam-macam istilah digunakan untuk mengkritik “kestabilan mental” para sarjana, yang menurut mereka tidak stabil disebabkan terlalu bergantung kepada selimut Barat yang tebal yang memang tidak diperlukan dalam negara berhawa panas seperti Malaysia. Ada di antara mereka berkata menggunakan selimut tebal dari Barat itu sejenis kebebalan intelektual yang memalukan, kerana teori Barat tidak menjamin boleh menghuraikan dan menilai dengan objektif karya Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu dan pengarangnya  mempunyai peribadi tersendiri pula.  Lagi pula, kata yang lain yang ingin menunjukkan sudah ada kesedaran di kalangan sarjana dan sasterawan peri adanya “perhambaan ilmu” yang tidak ketara, tetapi disedari kewujudannya, yang mereka sebut “minda tertawan”. Tetapi pengalaman saya bergaul dan membaca tulisan sarjana dan sasterawan di Malaysia, meyakinkan saya bahawa mereka mungkin memiliki “minda tertawan” itu, tetapi mereka sebenarnya sangat gembira dan senang hati berada dalam tawanan minda itu kerana dari keadaan tertawan itulah mereka mendapat faedah yang saya sebut di awal tulisan ini. Jadi istilah “minda tertawan” ini tidak bermakna apa-apa, kerana manusia yang dikatakan tertawan mindanya itu memang gembira berada dalam tawanan, oleh itu perkara ini tidak menjadi isu sama sekali. Malah yang menjadi isu ialah apa bila terdapat kritikan supaya mereka membebaskan diri dari tawanan perhambaan ilmu itu. Ini yang mereka tidak mahu lakukan, kerana “pembebasan” itu akan  hanya merugikan mereka sendiri dan menyusahkan kerja mereka sebagai ahli akademik. Kata mereka, teori Barat adalah universal, dipakai oleh semua manusia akademik  seluruh dunia. Mengapa ahli akademik Malaysia perlu dikecualikan? Dalam dunia yang mengamalkan kebebasan memilih, para sarjana Malaysia telah memilih untuk memihak kepada teori sastera Barat. Hormatilah kebebasan itu, tegas mereka. Adakah ini bermakna mereka menentang perubahan dan the so called experiment dalam penulisan kreatif? Seperti yang telah saya tegaskan berkali-kali, kebebasan memilih itu dilihat dalam konteks “perhambaan ilmu” yang disebutkan, oleh itu perubahan tidak hanya akan terjadi dalam konteks “perhambaan ilmu” tadi. Jika anda membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, inilah makna perubahan itu. Inilah juga yang dihuraikan oleh para sarjana dalam tesis Ph.D. dan buku-buku mereka yang ditulis dalam konteks “perhambaan ilmu” tadi. Saya telah menyebut perkara ini banyak kali; untuk mudah lihat sepintas entri bertajuk “Keunggulan yang Cacat”. Lihat juga bagaimana para sarjana kita memuji dan mengangkat para sasterawan negara, khususnya untuk rujukan mudah tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang novel-novel Anwar Ridhwan.

Isunya ialah, “perhambaan ilmu” bukanlah sesuatu yang tidak baik, malah patut digalakkan, terutama sekali di kalangan penulis kreatif, supaya karya mereka boleh diberi penilaian yang amat positif dan lebih mudah difahami kerana mereka memakai bahasa sastera yang universal. Inilah perspektif yang digunakan untuk menilai dan memilih para sasterawan negara. Saya kira perkara ini sudah jelas dan tidak perlu dijelaskan lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Khusus untuk para sasterawan, bagi mereka berada dalam kandang “perhambaan ilmu” lebih selesa dan lebih bebas untuk mereka mencipta karya yang disenangi di Barat, dengan itu mereka mempunyai peluang untuk merebut Hadiah Nobel Sastera. Jika inilah ketakutan mereka, mereka sebenarnya takutkan kelemahan kognitif mereka dan keupayaan kreatif mereka yang amat terbatas. Mereka tidak perlu takut kerana mereka menulis karya sastera yang bertaraf dunia dan pastilah akan mendapat pengiktirafan seluruh dunia. Mereka mempunyai seluruh sarjana dan pengkritik sastera untuk menyokong mereka. Adakah itu tidak cukup?

Tetapi terdapat isu yang sangat penting yang cuba dielakkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera supaya tidak dibincangkan dengan meluas. Itulah isu tentang ilmu, khususnya tentang konsep ilmu yang benar dalam penulisan kreatif dan penilaiannya. Kata mereka, isu ini sebenarnya non-issue, tetapi sengaja ditonjolkan dan dibuat-buat untuk menyekat perkembangan sastera Melayu moden yang universal, yang boleh difahami dan dinikmati oleh manusia seluruh dunia.  Kemajuan kita, tegas mereka, ialah bersama manusia sejagat, bukan bersama Islam yang menetapkan adanya konsep ilmu yang benar.  Kita boleh terima hujah ini jika mereka ini benar-benar yakin bahawa itulah kekuatan mereka. Dengan itu, kita boleh saja benarkan mereka mengusahakan apa yang mereka mahu dan berasa tenteram melakukannya. Tetapi inilah yang mereka tolak, kerana kata mereka, jika konsep ilmu yang benar itu dibenarkan menjadi aliran penting (jika tidak pun aliran utama) dalam penulisan Malaysia, maka kedudukan mereka akan tergugat dan ini mereka anggap menceroboh kebebasan mereka.  Isunya mudah saja: mereka tolak konsep ilmu yang benar kerana jika ini diterima, maka akan muncullah karya persuratan yang akan menjadi saingan kepada karya sastera dan kepada teori Barat yang menjadi pegangan mereka.  Para sarjana berkata, karya persuratan berteraskan ilmu yang benar itu belum lagi tertulis, dan mungkin tidak akan tertulis kerana konsep itu bertentangan dengan  konsep kreatif yang difahami dalam sastera yang melahirkan karya kreatif itu. Kata mereka, jika diperlukan tapisan sekali pun, karya sastera boleh saja diteruskan tanpa gangguan, karya sastera yang memenuhi nilai-nilai Islam. Di sinilah mereka keliru, atau dengan sengaja mengelirukan diri. Karya persuratan yang mengutamakan wacana dalam konteks ilmu yang benar tidak boleh disamakan dengan karya sastera yang mungkin ditulis dalam bentuk cerita yang dikatakan sesuai dengan nilai-nilai Islam itu. Yang membezakan dua kategori karya ini ialah konsep wacana dan cerita. Dalam karya persuratan, wacana mengambil tempat utama untuk memberi ruang yang secukupnya dalam ruang naratif supaya wacana tadi boleh diolah dengan mendalam dengan cerita memainkan peranan kedua untuk membantu wacana tadi ditulis dalam teknik stylization of ideas. Teknik ini merangkum kedua-dua aspek itu ke dalam satu kesatuan kreatif yang indah dan bermakna. Penjelasan tentang stylization of ideas ini telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Kuliah MASTERA beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sendiri telah menjelaskan bagaimana episod kecil tentang memberi nama rumah itu menjadi satu episod penting kerana di situlah diberi makna kehidupan berasaskan konsep taklif yang merangkum aspek kerohanian dan kebendaan dalam satu kesatuan yang harmoni, seimbang dan menyeluruh (complete). Penggunaan teknik stylization of ideas (siratan makna) itu bertujuan untuk memastikan penggunaan ruang naratif  mencapai matlamat karya persuratan untuk mencapai matlamat indah dan bermakna. (Sila lihat Gagasan Persuratan Baru untuk penjelasan seterusnya.)

Terpulang kepada anda untuk melihat mengapa karya persuratan itu tidak sama dan tak mungkin sama dengan karya sastera.  Dan mengapa karya persuratan itu lebih terjamin kualitinya sebagai karya seni.  Semua ini telah dijelaskan dengan agak mencukupi dalam Gagasan Persuratan Baru. Bagi penulis pula, bagaimana stylization of ideas itu boleh dijadikan teknik penulisan terpulang sepenuhnya kepada kreativiti anda untuk mencubanya. Yang penting anda perlu memahami dengan agak mendalam prinsip-prinsip gagasan Persuratan Baru, terutama sekali konsep ilmu yang benar, konsep wacana, cerita, paksi naratif, ruang naratif, dan lain-lain. Apabila sudah dapat menguasainya, anda seperti sorang nakhoda kapal besar, boleh belayar ke mana saja yang anda mahu, memuat apa saja yang anda pilih, dan singgah di mana saja yang anda rasa selesa. Kemahiran yang anda kuasai dalam stylization of ideas, samalah dengan kemahiran anda sebagai nakhoda. Nakhoda dan penulis perlu tahu matlamat masing-masing, tahu isi muatan masing-masing. Perbandingan ini nampak mudah, tetapi bila anda berada di lautan bergelora, baru tahu mampu tidak anda melayarkan kapal anda dengan selamat. Demikian juga, bila anda mula menulis, baru anda tahu kemampuan anda untuk memikul beban intelektual dan memastikan hasilnya tidak selekeh. Contoh yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam analisis beliau terhadap novel Fatimah Busu, Salam Maria, boleh dijadikan panduan untuk melihat bagaimana muatan yang tidak sesuai dan berlebihan tidak saja mencacatkan novel, malah menjadikannya hanyut dalam cerita sensasi. Satu contoh lagi diberikan oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam analisisnya terhadap novel Arena Wati, Cakra Waruga. (Bab 9, dalam Gender dalam Sastera Melayu, UKM 2013, disunting Ungku Maimunah Mohd. Tahir.  Tentang Salam Maria, lihat bab 9,  Gagasan Persuratan Baru, edisi 2. UKM 2014).  Sebagai perbandingan, lihat komen saya tentang novel-novel Anwar Ridhwan dalam “Keunggulan yang Cacat”, entri bertarikh 28 Oktober, 2014.  Apakah asas yang dijadikan  ukuran oleh para sarjana dan pengkritik sastera yang memuji novel Fatimah Busu, Arena Wati  dan Anwar Ridhwan? Apa pula asas penilaian Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dr. Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Affandi Hassan? Mana satu yang lebih objektif dan lebih tepat antara dua perspektif ini? Sekarang anda tidak boleh mengelak lagi, mahu tidak mahu anda harus membuat kesimpulan anda sendiri berasaskan kefahaman anda antara dua pendirian ini. Mana satu pilihan anda bergantung kepada sejauh mana anda dapat melihat perbezaan antara dua pendirian ini. Bukan melihat seperti Pak Pandir melihat timbunan padi hampa; tetapi melihat sebagai seorang yang tahu membezakan padi berat dan padi hampa.  Nampaknya mudah, tetapi itulah yang mengelirukan Pak Pandir  … dan mungkin mengelirukan orang  lain juga ketika berada dalam keadaan yang sama!  Kalau perkara semudah itu boleh mengelirukan, maka apatah lagi perkara serumit ilmu yang selalu disamakan dengan maklumat dalam karya kreatif sasterawan Melayu, dan mereka menjadi begitu kecewa dan marah ketika diberitahu tentang kekeliruan mereka. Memilih untuk terus berada dalam kekeliruan bukanlah pilihan yang bijak, tetapi nampaknya inilah pilihan majoriti para sarjana dan sasterawan, berasaskan kebiasaan mereka yang selesa berada dalam kekeliruan itu. Maka tentulah sangat aneh dan tidak masuk akal sama sekali apabila mereka menuduh orang  yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai biadab, tiada susila, dan tiada etika penulisan. Semua ini terjadi dari sangkaan mereka bahawa mereka adalah golongan majoriti, oleh itu mestilah berada di pihak yang benar, kerana merekalah yang satu-satunya berada dalam apa yang mereka namakan arus perdana. Dalam konteks inilah mereka ini mewakili golongan humbug yang dihuraikan dengan jelas oleh Max Black dalam kuliahnya mengenai perkara ini, diterbitkan dengan judul “The Prevalence of Humbug”, oleh ahli falsafah Amerika Max Black. (Max Black, The Prevalence of Humbug and Other Essays, Cornell University Press, 1983).

“Peganglah bara, baru tahu panas api.”

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29/1/2015.


Wednesday, January 28, 2015

SASTERAWAN NEGARA, SARJANA SASTERA SEBAGAI PEMBULI SASTERA MELAYU



Dengan tertubuhnya Asas 50, maka bermulalah perbuatan membuli dalam sastera Melayu moden. Slogan yang mereka “perjuangkan”, Sastera Untuk Masyarakat, ditentang oleh sekumpulan penulis yang menolak slogan itu diketuai oleh Hamzah Hussein yang menampilkan slogan Seni Untuk Seni. Dengan semangat buli itulah Asas 50 menolak tulisan Jawi sebagai tidak berkaitan sama sekali dengan agama Islam, dengan itu menolak tradisi ilmu beratus tahun yang diperjuangkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu seluruh Nusantara. Pembohongan ini masih lagi diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera hingga kini, sudah dijadikan arus-perdana apabila pada tahun 1981 diwujudkan gelaran sasterawan negara. Itulah kemuncak gerakan membuli kebudayaan Melayu dan kesusasteraan Melayu moden. Semangat buli ini tertonjol dengan gagah dalam kertas kerja yang dimuat oleh ITBM dalam bukunya, Sastera Teras Negara Bangsa (2014), dengan judul yang sangat “puitis” dan “filosofikal”: “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang Yang Berkarat” (hal. 203-210). Isinya? Anda perlu baca sendiri untuk menilainya, kerana kertas kerja ini sudah menjadi “klasik” dalam kegagalan sastera Melayu moden memberi sumbangan ilmu yang  bermanfaat kepada masyarakat. Inilah contoh buli sastera yang disalut jenaka untuk  memaksa pembaca menerima pendapat dan cadangan yang melucukan. Judul Sastera Teras Negara Bangsa itu sendiri satu judul yang memang jelas sifat membulinya. Apakah asas “sastera teras negara bangsa”? Dalam kertas kerja yang dirujuk di atas, sasterawan Melayu dinasihati supaya meniru Salman Rushdie yang karyanya “bergemerlapan” itu. Itukah terasnya?

Apakah teras tamadun Islam? Apakah pula teras tamadun Nusantara, tamadun Melayu?   Terasnya bukan sastera, tetapi ilmu pengetahuan. Yang menjadikan sastera sebagai teras tamadun ialah agama Hindu yang pernah dianuti oleh orang Melayu satu ketika dulu. Adakah Melayu yang Islam masih mahu menjadikan sastera warisan Hindu itu teras tamadun mereka? Dalam tamadun Islam, yang juga dalam tamadun Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam, “sastera” adalah kegiatan pinggiran yang tidak pernah dijadikan teras tamadun. Sastera Melayu moden masih lagi baru dan belum menampilkan sasterawan atau karya yang benar-benar bermutu dari segi penampilan ilmu; sastera Melayu moden itu masih lagi berada di pinggiran dan tidak mungkin dijadikan teras tamadun  bangsa dalam keadaannya yang sekarang, yang masih keliru dan cetek meraba-raba. Sastera Melayu moden masih lagi meraba-raba mencari identiti, setelah Asas 50 menolak tulisan Jawi dan peranan Islam dalam pembinaan tamadun kebudayaan Melayu. Meletakkan para sasterawan dan sarjana sastera sebagai pemacu tamadun bangsa adalah satu kesilapan besar, satu pilihan yang paling songsang, tidak berasaskan hikmat yang dipelajari dari pengalaman sejarah persuratan Melayu. Para sasterawan dan sarjana inilah yang membawa masuk nilai-nilai palsu dari Barat, terutamanya, sambil merosakkan nilai-nilai tradisi berasaskan ilmu yang telah mantap, oleh itu mereka ini tidak langsung mempunyai kredibiliti untuk menentukan wajah tamadun bangsa dan masyarakat kita. Sesuatu tamadun dibangunkan dengan sikap kritis dan terbuka sedangkan kaum sasterawan dan sarjana ini tidak mempunyai sikap terbuka dan kritis itu, malah mereka tidak dapat menerima kritikan kerana bagi mereka kritikan adalah perbuatan biadab dan tidak beretika, kecuali jika kritikan itu memuji dan menyanjung mereka.  Mereka adalah anggota Mutual Admiration Club, oleh itu mereka saling memuji sesama sendiri. Contoh paling jempul ialah nasihat seorang sasterawan negara menyuruh pengkritik sastera meniru Baha Zain, sahabatnya. Mereka sangat jujur dan bersopan memuji sesama sendiri, tetapi tidak mengiktiraf kelebihan orang lain yang lebih baik daripada mereka. Mereka bukan golongan yang jujur dan cintakan ilmu serta kebenaran, maka itulah sebabnya tidak ada sebaris pun di antara mereka menyebut peranan ilmu yang benar dalam persuratan, supaya kelemahan mereka tidak terdedah. Siapa di antara penulis kertas kerja ini menyebut tentang usaha gagasan Persuratan Baru mencetuskan kecerdikan di kalangan bangsa Melayu? Bagi mereka, gagasan Persuratan Baru tidak mencapai tingkat akademik yang membolehkannya dibicarakan secara akademik, tidak seperti sajak “Pulang Si Tenggang” yang bernilai antarabangsa itu. Saya pasti, jika Raja Lawak Malaysia kenal sajak ini, mereka akan jadikan bahan jenaka yang sangat melucukan! Sudah sampai masanya kita perkenalkan mereka peranan  pandirisme dalam sastera Melayu untuk membantu mereka mendapat bahan yang baik dan bermutu sebagai bahan jenaka. Dunia jenaka ini mesti diangkat ke tingkat intelektual yang memukau, setelah sastera Melayu moden yang didukung oleh para sasterawan negara gagal memberikan ciri intelektual itu. Rumi sudah berkata mengingatkan kita lama dulu, “Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness/ or the vulgarity. Jokes are serious.”  Tentu saja para sasterawan negara yang jauh lebih tinggi angan-angannya tidak akan menerima Rumi sebagai gergasi puisi mathnawi, yang menurut Annemarie Schimmel (disebut beliau di ISTAC, 1991 ketika pembukaan rasmi) bahawa Goethe dan Shakespeare, jika dibandingkan dengan Rumi, adalah budak-budak bermain guli saja!  Demikianlah, sekiranya  Raja Lawak Malaysia diberi  peluang mengenal budaya intelektual tinggi para sasterawan negara, mereka dapat mengalahkan para sasterawan negara dengan mudah saja. Humor, menurut kesimpulan ahli psikologi, adalah ciri genius. Inilah keistimewaan para sasterawan negara: tidak seorang pun di antara mereka mempunyai kualiti humor itu, tetapi mereka adalah golongan genius Malaysia yang paling unggul. Ternyata kita tidak boleh menerima pendapat ahli psikologi jika merugikan kita, tetapi itulah yang pelik, Freud dan para penyokongnya mendapat tempat yang tinggi dan istimewa di kalangan para sasterawan negara dan para sarjana. Sekurang-kurangnya  A. Samad Said mengaku dia dipengaruhi Freud ketika menulis Salina.  Tidakkah kelam-kabut jadinya, bila kita terpaksa juga menerima pendapat ahli psikologi walaupun mereka tidak selalunya betul. Malah dari pandangan Islam, psikologi Barat itu tidak boleh dipanggil Ilmu Jiwa dalam bahasa Melayu, kerana jiwanya sudah hilang, diganti dengan emosi dan hawa nafsu. Siapa lagi yang membuktikan kebenaran ini, jika bukan A. Samad Said melalui Salina? Kata Rumi, “Joking is teaching …”.

Percubaan untuk membuli  Mohd. Affandi Hassan nampaknya telah gagal secara total kerana idea beliau terus hidup dan berkembang, walaupun pernah dipanggil beruk oleh seorang sasterawan negara dalam tulisan sindirannya, pernah digelar penghuni gua batu oleh seorang sasterawan negara yang lain yang tulisannya penuh kesantunan sarjana yang tidak dapat dicontohi, tetapi semua gelaran itu akhirnya terkena ke atas mereka sendiri apabila konteksnya berubah. Satu-satunya pelajaran paling baik yang diajarkan sasterawan negara kepada saya ialah nasihat akademik Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, yang mengajar saya (tahun 1984 dulu) bagaimana hendak menulis kritikan sastera yang baik. Begitu sekali kuat pengaruhnya, hingga saya menyalin sepenuhnya nasihat beliau itu dalam sebuah tulisan panjang, yang dimuat dalam buku suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir: Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, 2010). Beliau mencadangkan supaya setiap pengkritik memulai tulisan dengan “langkah kaedah” untuk memastikan tulisannya mempunyai kualiti yang tinggi. Walaupun saya memang menggunakan kaedah itu sebelum dinasihati beliau, tetapi baru kali itulah saya tahu namanya “langkah kaedah”. Terima kasih banyak di atas ingatan beliau yang ikhlas dan amat berguna kepada saya, sehingga saya kemudiannya dapat menulis kritikan jauh lebih baik dan lebih bermutu daripada yang beliau sendiri hasilkan. Dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh memulai kertas kerjanya dengan “langkah kaedah” yang indah dan penuh unsur puitis, yang tepat sekali mencerminkan kualiti tulisan beliau. Inilah “langkah kaedah” beliau yang indah-indah itu: “Saya agak lama tidak menjadi pentadbir atau perancang, jadi agak sulit untuk menempatkan diri saya dalam keadaan yang demikian. Namun begitu, saya sering menulis cadangan untuk perancang – sebahagian besarnya terselit di antara huruf dan dakwatnya dan setahu saya ramai yang cuba mencungkilnya dan mempertimbangkannya.” (hal. 203). “Langkah kaedah” ini indah kerana sifat humble profesor ini, yang walaupun sudah ketinggalan maklumat dan tidak aktif lagi berfikir, masih mahu menulis untuk menyatakan mimpi beliau di bumbung kilang berkarat. Metafora yang digunakannya sangat cantik, dekat dengan Minden tempat tinggalnya beberapa lama, selain duduknya USM, di situ pun banyak kilang yang bukan kepunyaan Malaysia. Itulah suasana yang memberinya ilham untuk turut serta dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia. Kita sangat beruntung kerana dapat lagi membaca tulisan beliau, walaupun ditulis tergesa-gesa dan ringkas pula.

Tetapi apabila kita membaca tulisan beliau, kita dapati beliau seorang pembuli sastera yang agak agresif, menyuruh orang lain buat itu dan ini, turut terikut-ikut dengan sastera lisan yang dia mahu dinaikkan taraf sehingga terbina sebuah kerusi akademik khas untuknya (bukan untuk dirinya, tetapi untuk sastera lisan itulah), dan lain-lain lagi yang anda patut baca sendiri supaya anda pun nanti akan berasa terlalu dibuli dengan cadangan yang sering kali tidak boleh dijadikan asas pembinaan tamadun sama sekali, sesuai dengan tajuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang mahu berbicara dengan mendalam tentang tamadun Melayu moden melalui sastera sebagai teras. Yang hilang di situ ialah kesedaran kepada ilmu sebagai asas tamadun, sehingga sesiapa pun boleh membuat kesimpulan yang tepat bahawa beliau, sebagai pembuli sastera, sudah terlalu jauh ketinggalan maklumat, masih bermimpi tentang sastera lisan padahal orang sedang membina genre baru dan kaedah baru untuk meneliti, mengkaji, dan menilai karya sastera. Apakah yang menyekat beliau daripada terlibat sama dalam perbincangan berbentuk ilmu? Kesan saya, beliau tahu bahawa tidak banyak yang dapat beliau sumbangkan, oleh itu lebih baik lari saja dari persoalan yang bersifat keilmuan, terus membuli peminat sastera dengan dongeng dan sastera lisan yang memang digemari oleh anak-anak, tetapi tidak lagi digemari mereka setelah mereka mencapai umur dewasa.  Saya ambil beliau sebagai contoh kegagalan ilmiah seorang ahli akademik yang begitu berpengaruh, tiba-tiba menjadi bisu dan terus kelu tidak dapat ikut serta dalam perdebatan ilmu yang amat relevan dengan tugas seorang pemikir seperti beliau. Beliau pernah mengkritik teori Barat sebagai tidak sesuai dengan karya Melayu, oleh itu tidak dapat menilai karya itu dengan tepat dan objektif. Tetapi idea yang baik ini mati begitu saja, mati beragan, tidak dibahaskan dengan mendalam sama ada oleh beliau atau penyokong beliau. Semua ini terjadi, menurut perhitungan saya, ialah akibat menolak sejarah tamadun Islam, baik yang terdapat di Malaysia, mahupun yang berselerak di seluruh dunia. Punca ilmunya di situ, dan punca itu tidak diminati langsung oleh beliau. Ketika orang mengutuk Salman Rushdie, dia menyuruh sasterawan Malaysia mencontohi penulis itu. Kalau anda masih ingat bagaimana sasterawan negara ini admire Mephistopheles ketika melawat Muzium Goethe, maka anda tentu tidak akan berasa pelik. Birds of the same feather flock together. (Birds of a feather flock together).

Saya tidak pasti sama ada “Pemimpi Bumbung Kilang Berkarat” pernah dengar nama Said Nursi. Sebagai pejuang, Said Nursi tidak mempunyai tempat tinggal tetap, oleh itu ada ketikanya kadang-kadang beliau menulis karyanya di atas pokok. Bezannya kecil saja: sementara sasterawan negara itu menelurkan idle talk ketika bermimpi di atas bumbung kilang berkarat, maka Said Nursi melahirkan masterpiecenya dalam tafsir Quran ketika sekali sekala menulis di atas pokok. Tetapi yang menarik minat saya ialah kisah Mat Jenin, pelopor mimpi penglipur lara itu, yang kurang bernasib baik terjatuh ketika berenang di atas pelepah kelapa. Tetapi Mat Jenin telah meninggalkan tradisi mimpi yang masih relevan hingga sekarang, dengan itu tidak terasa janggalnya apabila seorang sasterawan negara bermimpi di atas bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerjanya.

 

Rumi mengingatkan, Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness/or the vulgarity. Jokes are serious


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27/1/2015.


Sunday, January 25, 2015

PAK PANDIR, PANDIRISME, DAN BUDAYA PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU



Pandirisme, bullshit, idle talk (omongan, ocehan) adakah sama? Pandirisme merujuk kepada aspek kognitif dalam memahami sesuatu masalah; bullshit adalah satu tabiat berfikir yang lebih memberi perhatian kepada soal-soal yang serius diberi penekanan yang tidak serius; idle talk atau omongan, ocehan adalah sikap mental yang tidak dapat membezakan antara yang fundamental dengan yang remeh, disamakan tarafnya dan diberi kedudukan yang sama dalam huraian akademik atau yang mengenai epistemologi.

Pandirisme dalam Sastera Melayu

Setelah meneliti kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, yang dimuat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa, saya bertambah yakin pandirisme sudah betul-betul berada di dalam arus perdana kesusasteraan Melayu moden. Oleh itu apabila seorang penulis kertas kerja berkata, sastera Melayu boleh dibahagikan kepada tiga kelompok:  sastera perdana, sastera marginal, dan sastera komersial, maka saya menjadi amat hairan,  apakah yang dimaksudkan   sastera perdana oleh penulis ini?  Inilah penjelasan beliau: “Kumpulan sastera perdana mempunyai corak paling jelas dalam konteks idealisme dan corak pergerakan. Golongan yang paling mapan itu mempunyai tradisi dan sejarah yang panjang. Dengan menggunakan medium bahasa Melayu sebagai medium pengucapan intelektual dan emotif, kelompok tersebut kelihatan tekal biarpun kekurangan pembaca, khususnya golongan muda yang berorientasikan budaya  visual dan virtual.” (hal. 83-84).  Siapakah mereka yang termasuk dalam kumpulan perdana ini?  Penulis ini nampaknya malu hendak memberitahu kita siapakah mereka yang perdana itu, tetapi rasanya kita boleh agak mereka adalah para sasterawan negara dan sasterawan yang belum lagi jadi milik negara, masih merayau mencari tempat bergantung dan masih melobi untuk diberi tempat sebagai sasterawan negara. Mengapa mereka termasuk dalam kumpulan arus perdana? Apakah ciri-ciri mereka? Adakah kerana sumbangan mereka maka mereka itu kumpulan arus perdana? Atau kerana mereka dilantik menduduki sesuatu kedudukan yang terhormat? Atau mereka diarus-perdanakan oleh sekumpulan sarjana yang bersimpati dengan mereka?  Sebenarnya, kita mahu tahu apakah sebenarnya konsep arus perdana itu? Disebut mereka ini mempunyai tradisi dan sejarah yang panjang, menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengucapan intelektual dan emotif. Mereka mempunyai idealisme yang paling jelas. Saya sendiri tidak tahu apakah idealisme mereka, oleh itu bolehkah kita semua tahu apakah idealisme mereka? Sebelum itu kita perlu tahu siapa mereka, dan apakah yang mereka lakukan sehingga melayakkan mereka digelar kumpulan arus perdana? Atau istilah itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa makna, selain hanya satu gelaran bersifat pujian yang bercorak idle talk sahaja.  Yang mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang bukan para sasterawan, tetapi para ulama dan cendekiawan Melayu yang menggunakan persuratan Melayu untuk mengembangkan bahasa Melayu dan mendidik masyarakat  melalui sekolah-sekolah pondok dan kitab-kitab yang mereka karang. Yang dikatakan sasterawan itu baru sangat lagi, belum pun ada sejarah, baru bermula dalam tahun 1950-an, dan mereka ini tidak dapat digolong ke dalam arus perdana kerana merekalah yang menghapuskan tradisi persuratan yang beratus tahun itu, diganti dengan gerakan sastera yang baru yang tidak lagi mengenal tradisi mereka sendiri, yang “cetek meraba-raba”, yang pada umumnya anti-ilmu dan anti-Islam. Bagaimana kumpulan ini boleh diterima sebagai kumpulan arus perdana? Apakah maksud arus perdana itu, sehingga boleh digunakan begitu sewenang-wenang? Katalah kita memperakukan para sasterawan negara itulah kumpulan arus perdana, maka mereka tentulah mempunyai kelebihan yang cukup istimewa. Apakah kelebihan itu? Boleh kita tahu? Sekiranya anda berkata, kelebihan mereka telah dirakamkan dalam Laporan Anugerah Sastera Negara, maka andaian anda boleh dipatahkan dengan mudah kerana laporan yang anda maksudkan itu tidak mempunyai ukuran, tetapi hanya alasan untuk membenarkan para sasterawan itu diberi gelaran sasterawan negara.  Memang benar kita mempunyai kira-kira 250 kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” mereka, tetapi secara kolektif apakah “pemikiran” mereka? Secara individu bagaimana? Semua ini masih belum jelas, oleh itu dalam satu seminar 2006 ketika membicarakan seorang sasterawan negara, saya sendiri bertanya Prof. Rahman Shaari apakah pemikiran sasterawan A. Samad Said? Beliau mengatakan tidak ada. Ini sangat aneh, bagaimana kita boleh berbicara berhari-hari dengan sejumlah kertas kerja, jika orang yang dibicarakan itu tidak mempunyai “pemikiran”? Apa yang ada padanya? Laporan mengatakan dia seorang peniru yang bijak, menggunakan teknik Barat dengan berani, untuk menulis novel-novelnya. Tidakkah itu “pemikiran”? Dalam kaedah yang dipakai oleh Panel, “pemikiran” sama dengan “peniruan”. Nampaknya kesimpulan Panel ini telah diterima oleh semua sarjana sastera, dan mereka senang hati kerana tidak perlu bersusah payah menganalisis untuk mencari  makna “pemikiran” itu. Tetapi sebenarnya perlukah para sasterawan negara kita mempunyai “pemikiran”? Kalau ini membebankan dan tidak adil kepada mereka yang tidak mempunyai “pemikiran” itu, maka lebih baik jika istilah “pemikiran” itu tidak dikenakan kepada mereka. Cukuplah kita berkata mereka semua adalah tukang cerita yang bagus, yang menulis karya yang menarik ceritanya, dan amat berkesan serta dapat dijadikan pengajaran. Kalau ada pengajaran, tentu ada “pemikiran”, atau bagaimana? Sekarang kita berdepan dengan konsep cerita yang memberi pengajaran. Apakah pengajaran yang kita dapat dengan membaca karya para sasterawan negara ini? Untuk mengangkat mereka ke arus perdana, kita perlu mendapat penjelasan yang tuntas tenteng bentuk pengajaran yang kita dapat daripada karya para sasterawan negara ini. Atau kita tidak perlukan pengajaran itu, kerana mereka memberikan kita perkara lain? Apakah perkara istimewa yang mereka berikan itu? Supaya perkara ini tidak berlarutan, menjadi masalah akademik yang tidak dapat diselesaikan, maka bolehkah kita berkata “pengajaran” dan “pemikiran” tidak diperlukan dalam karya para sasterawan negara ini, cukuplah jika mereka dapat memberi kita kepuasan membaca karya mereka yang indah-indah bahasa dan gayanya. Kita tidak perlu bertanya lagi kerana semakin banyak dipersoalkan, semakin jelas para sasterawan negara ini sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, kecuali keistimewaan yang dilekatkan kepada mereka oleh penilai dan para sarjana yang sayangkan mereka. Jika itulah maksud kumpulan sastera perdana yang difahami oleh penulis kertas kerja ini, maka tidak ada salahlah beliau diberi keizinan untuk menggunakan istilah itu, walaupun tidak mempunyai apa-apa makna yang pasti. Itulah sifat pandirisme dalam sastera Melayu.  Dengan meletakkan para sasterawan ini di tempat istimewa dan tinggi, mengatasi para ulama dan cendekiawan yang telah berjasa dalam membina tamadun ilmu negara ini, maka kita telah berlaku zalim terhadap ilmu dan terhadap para sasterawan negara sendiri yang memang tidak layak berada di tempat itu. Andainya semua sarjana bersetuju berkata mereka adalah layak, sebenarnya dari segi ilmu, jika seorang meragui mereka, sudah cukup untuk membatalkan persetujuan arus perdana itu, lebih-lebih lagi apabila hujah penolakan itu tidak ditolak. Inilah ajaran Islam yang diturunkan kepada kita. Prinsip ini tidak lagi dipercayai oleh para sarjana dan sasterawan sendiri, oleh itu mereka terus berkeras bahawa mereka adalah golongan istimewa yang mengepalai kumpulan arus perdana, walaupun mereka menentang kebenaran dan menolak adanya ilmu yang benar. Kalau begitulah keadaannya, maka siapakah sasterawan negara itu sebenarnya?

Tiga Jalur Perkembangan Persuratan

Saya melihat masalah ini berbeza daripada yang biasa dilihat oleh manusia biasa yang tidak memberi perhatian kepada cita-cita kemasyarakatan, kerana saya lebih berminat kepada perutusan unggul yang dibawa oleh manusia penulis ini.  Bagi saya arus perdana atau arus apa saja tidak penting, kerana yang penting ialah perutusannya untuk mencerdikkan bangsa Melayu supaya menjadi satu bangsa besar dalam konteks taklif. Ini satu perjuangan, satu intifadah dalam persuratan, bukan hanya untuk menerbitkan buku atau menulis cerita. Kerana saya meletakkan ilmu yang benar sebagai teras dalam menentukan ukuran keunggulan itu, maka saya dapati para sasterawan negara tidak memenuhi ukuran berasaskan ilmu, kerana itu saya tolak kehadiran mereka sebagai satu penyelewengan kebudayaan yang tidak sepatutnya terjadi andainya kita semua berlaku jujur dalam mengutamakan keperluan masyarakat, bukan keperluan individu seperti yang menjadi cita-cita para sasterawan yang ingin dijadikan sasterawan negara itu. Betapa songsangnya kehadiran mereka dalam tamadun Melayu yang berteraskan Islam, hanya dapat kita lihat jika kita membuat perbandingan antara penghormatan yang sangat janggal terhadap penglipur lara yang dijadikan ikon dalam syarahan perdana sorang profesor; dan ini kita bandingkan dengan ketokohan Tok Kenali yang diberi gelaran Sibawaih Nusantara (Melayu) kerana keunggulannya dalam menguasai nahu bahasa Arab. Selain terkenal sebagai seorang ulama dan seorang Tok Guru yang berpengaruh, maka Tok Kenali juga adalah contoh kecemerlangan  seorang ulama Nusantara. Bayangkan apabila sang profesor yang sama menganjurkan kepada para penulis dan sasterawan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia supaya mencontohi Salman  Rushdie dan Orhan Pamuk yang katanya menggunakan unsur-unsur mitos dan legenda untuk menulis novel yang gemerlapan, termasuk The Satanic Verses. Inilah “pemikiran” arus perdana yang diterima di Malaysia. Kalau anda seorang yang siuman, anda mungkin berfikir keras untuk memahami mengapa seorang sasterawan negara boleh bertindak begitu biadab di dalam suatu majlis besar dan terhormat. Dan inilah adab yang dibanggakan dalam Mutual Admiration Club yang melindungi para sasterawan negara itu. Inilah yang dinamakan sastera arus perdana itu. Anda akan kelihatan sangat tidak siuman jika anda tidak dapat menerima inilah gambaran sastera arus perdana yang sebenarnya, kerana yang mengutarakan semua ini adalah seorang sasterawan negara sendiri, yang mewakili semua kawan-kawannya dan seluruh para sasterawan dan sarjana sastera arus perdana Malaysia.

Sekarang kita cuba memahami dengan jelas mengapa hal ini boleh terjadi. Dalam entri bertarikh 14 Januari 2015 mengenai Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, saya sentuh sepintas lalu tentang tiga jalur perkembangan sastera Malaysia moden. Di bawah tajuk kecil “Tiga Jalur Perkembangan Intelektual”. Jalur pertama berteraskan Islam, yang melahirkan para ulama dan cendekiawan Melayu dalam dunia persuratan yang mereka kembangkan dan menjadikannya asas tamadun Melayu moden. Dalam kategori ini saya mulai dengan Za’ba, dengan mengambil kira kegiatan persuratan yang di dalamnya termasuk penulisan karya kreatif dalam bentuk novel oleh Syed Sheikh Al-Hadi dan Abdul Kadir Adabi. Inilah zaman permulaan kritikan sastera yang dimulai oleh Za’ba yang menulis dalam majalah Qalam, membicarakan persuratan secara umum dengan mengambil contoh dari Mesir dan juga Indonesia.  Kalau anda mahu ke depan lagi, ke zaman gemilang Hamzah Fansuri dan menerima beliau sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, maka huraian dan hujahnya telah diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan nampaknya telah diterima umum.  Jalur kedua saya namakan jalur nasionalis Melayu, dipelopori oleh Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam,  Harun Muhammad Amin, Abdullah Sidek, Hamdam dan lain-lain.  Mereka hampir keseluruhannya menulis novel saja, kecuali Pungguk yang juga termasuk dalam jalur ini. Jalur ketiga dipelopori Asas 50 yang bangga memberitahu masyarakat bahawa mereka terputus daripada tradisi jumud dan mundur, tradisi feudal yang melahirkan para ulama dan sebagainya. Za’ba sendiri adalah di antara yang dikritik mereka dengan hebat sekali. Inilah kumpulan sosialis Marxis, yang seluruhnya berpayung di bawah pengaruh Angkatan 45 di Indonesia, yang turut sama mendakwa bahawa mereka, seperti kata Chairil Anwar, adalah ahli waris sastera dunia (yakni sastera Barat). Inilah yang akhirnya muncul sebagai sastera arus perdana itu. Dari kalangan mereka dan para penyokong merekalah diambil beberapa orang sasterawan untuk diberi gelaran sasterawan negara. Sekarang timbul persoalan, di mana hendak kita letak Abdullah Munsyi?  Tokoh ini penting dalam konteks “pemodenan sastera” yang dikaitkan dengan kedatangan mesin cetak ke Tanah Melayu dan terbitnya buku-buku cap batu. Saya cenderung untuk meletakkan beliau dalam jalur yang dipelopori Hamzah Fansuri itu, walaupun agak janggal kerana sikapnya yang membela  golongan penjajah, tempatnya mencari rezeki dengan menjadi guru bahasa (munsyi) dan jurutulis.  Kedudukan Abdullah adalah unik kerana beliau adalah seorang Tamil Islam yang tiada darah Melayu, tetapi menjadi pembela bahasa Melayu dan orang Melayu dan pada waktu yang sama meletakkan “orang putih” sebagai manusia yang harus dicontohi kalau orang Melayu mahu maju. Sungguh ironis, apabila nasihat beliau menjadi ikutan sasterawan arus perdana dan para sarjana Melayu sendiri, yang kemudiannya menjadikan teori dan praktik sastera Barat sebagai ikutan mereka.  Kalau Abdullah dituduh sebagai tali barut British, maka mereka ini pula tali barut siapa? Pastilah mereka juga tali barut, cuma belum pasti terhadap siapa!


Akan berubahkah wajah sastera nanti?

Itulah wajah sastera Melayu moden yang kita kenal. Sidang Kemuncak Penulis Malaysia  mengemukakan satu tajuk mengenai wajah sastera Malaysia, “Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?”, dengan dua buah kertas kerja. Kedua-dua kertas kerja ini hanya bercerita secara umum beberapa perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk yang diberikan, oleh itu kedua-duanya tidak cuba memberi analisis yang kritis yang diminta mereka melakukannya mengenai wajah sastera yang mungkin menjadi impian kedua-dua orang penulis ini, jika tidak pun yang diimpikan oleh rakyat Malaysia. Terdapat kelucuan yang tidak disengajakan dalam kedua-dua kertas ini apabila kita mendapat kesan rujukan yang mereka deretkan hanya untuk “action” (istilah Malaysia yang terkenal), atau menunjuk-nunjuk saja, bukan untuk memberi maklumat tambahan yang berguna. Tidak ada kaitannya dengan wajah sastera Melayu akan datang. Ini pun sejenis retorik peragaan juga, just to impress, tapi tiada apa-apa nilai akademiknya, hanya sejenis pretensi intelektual. Mereka akan menjadi impressive dan benar-benar bertanggungjawab jika mereka mengolah persoalan ini dengan meneliti perkembangan yang telah dilalui oleh sastera Melayu moden, sehingga terpilihnya 12 orang sasterawan negara, dan munculnya cabaran yang mengejutkan daripada gagasan Persuratan Baru. Apakah alasan mereka untuk tidak meneliti persoalan ini. Apabila mereka membebel dalam idle talk tentang pengajaran/pendidikan sastera, bagaimana mereka boleh membisu seribu bahasa dengan sombong seolah-olah tidak pernah wujud Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid yang kini sudah diulang cetak. Siapakah yang membacanya? Pasti bukan hantu Mak Limah yang pulang ke rumah; atau inilah kes Tipah tertipu lagi!  Bila seorang sarjana tidak mempunyai perasaan malu untuk menjadi cetek meraba-raba dan begitu jauh ketinggalan maklumat, maka yang penting bukan lagi wajah sastera Malaysia akan datang, tetapi wajah sarjana masa kini yang masih bermimpi ketika orang sudah pergi begitu jauh ke depan membincangkan hal-hal yang lebih asasi dalam perkembangan ilmu. Mengapa anda membiarkan diri ketinggalan begitu jauh? Adakah itu satu keistimewaan? Mungkin anda mula faham mengapa Rumi berkata,  If your thought is a rose/ you are a rose garden; / if it is a thorn/ you are fuel for the bath stove. (Rumi Daylight, hal. 100).  Mawar  dijaga oleh durinya;  mawar dipetik kerana harumnya; tetapi rantingnya yang berduri dijadikan kayu api.  Kalau fikiran anda tidak sampai ke tahap ini, tidak mungkin anda layak dan boleh berbicara tentang masa depan wajah sastera Melayu. Kedua-dua penulis ini bercakap tentang duri, bukan tentang membina taman mawar yang indah. Dalam hal ini, bagus jika anda tahu serba sedikit mengapa konsep “idle talk” dalam falsafah Heidegger itu penting dalam dunia akademi dan kritikan sastera. Saya sendiri terus membaca Heidegger kerana mahu tahu falsafah Heidegger itu sendiri hanya “idle talk” atau benar-benar unggul pemikirannya. Konsep “idle talk” ini penting kerana dalam budaya pandirisme yang menjadi arus perdana dalam sastera Melayu memang kaya dengan “idle talk” ini. Bolehkah kertas kerja yang kaya dengan “idle talk” membina wajah masa depan sastera Melayu? Tajuk buku ITBM sendiri menegaskan semua perubahan harus bersumber dan bermula daripada praktik sastera yang ada sekarang, dan yang dikatakan wajah baru itu mestilah seiras dengan wajah yang ada sekarang. Inilah maksud perubahan dalam status quo yang ada; dan ini sebenarnya bukan perubahan, hanya retorik tentang perubahan. Perubahan untuk menentukan status quo terus berada di tempatnya.

Gagasan Persuratan Baru Sebagai Alternatif

Masa depan, dan wajah baru kesusasteraan Melayu, berada dalam tangan gagasan Persuratan Baru. Untuk pertama kalinya dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden, konsep sastera itu dicabar dan disisihkan, malah disingkirkan sebagai konsep yang tidak sesuai dengan hakikat insan yang seluruh kehidupannya sentiasa mencari kebenaran dan tempat yang kekal di akhirat. Untuk mencapainya, manusia perlukan konsep ilmu yang benar yang membolehkan mereka mengenal kebenaran dan kepalsuan dan menerima kebenaran itu sebagai matlamat kehidupan mereka. Dalam konteks inilah manusia memahami konsep hamba dan khalifah, yang hanya dapat dicapai melalui iman yang difaham dalam konteks ilmu yang benar. Siapakah yang akan menerima hakikat ini? Pada umumnya para sasterawan berada dalam kongkongan emosi dan hawa nafsu mereka yang inginkan kemasyhuran dan kedudukan terhormat dalam masyarakat, maka itulah diwujudkan gelaran sasterawan negara untuk memaksa masyarakat menerima para sasterawan ini sebagai golongan istimewa kerana kebolehan mereka (yang tidak seberapa) untuk bercerita dan bermain dengan emosi. Mereka dimitoskan melalui fatamorgana bahasa setelah terlebih dahulu diberi imbasan khayal sebagai golongan yang istimewa sebagai “pemikir” dengan meletakkan mereka dalam pretensi intelektual yang dibuat-buat, menggunakan retorik peragaan kononnya mempunyai keistimewaan itu dan ini, padahal sebenarnya tidak. Tepat sekali kata-kata Prof. Fazlur Rahman dalam satu kutipan yang saya salin dahulu (lihat entri bertarikh 31 Disember 2014: “Jangan Baca Karya Sasterawan Negara…”), yang diulang sekali lagi kerana sangat penting untuk memahami persoalan ini:

“Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (Major Themes of the Quran, hal. 33). 

The depth of human self-deception”, atau khusran (Quran 103: 1-3) timbul dari keengganan untuk menerima dua tugas hakiki manusia, kerana penerimaan terhadap yang satu tanpa yang satu lagi tidak bermakna apa-apa, kerana amal manusia disempurnakan dengan menerima dua hakikat kejadiannya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di bumi. Konsep sastera yang dijadikan panduan dan pegangan para sasterawan menolak salah satunya, kalau tidak kedua-duanya. Inilah maksud “self-deception” yang ditekankan oleh Prof. Fazlur Rahman dalam kutipan di atas. Contoh yang kita lihat daripada nasihat Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh supaya para sasterawan meniru Salman Rushdie untuk berjaya sebagai sasterawan, adalah contoh yang paling jelas dan paling baik dalam konteks “the depth of self-deception” di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera. Kesedaran ke arah itu hanya dapat difahami dengan memahami konsep taklif dalam kehidupan manusia beriman.  Malah di kalangan manusia yang tidak beriman pun kesedaran itu samar-samar dirasai, seperti misalnya yang dialami oleh Edmund Husserl, yang mengkritik kecenderungan Barat yang berlebihan kepada sains moden, sehingga melupakan aspek kerohaniannya. (Rujuk, antara lain, Samuel Enoch Stumpf, Socrates to Sartre: A Hisitory of Philsophy, 5th edition, 1993),  (hal. 493-495.) 

Dengan wujudnya tiga kategori karya kreatif dalam persuratan Melayu (baca Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua 2014 untuk penjelasan lanjut): karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/erotik, maka para sasterawan dan penulis diberi kebebasan untuk memilih mana satu kategori yang mereka mahu, dengan kesedaran bahawa tiap satunya mempunyai tempat tertentu dalam tamadun ilmu yang ingin diperkembangkan di Malaysia. Itulah wajah sebenar yang akan dialami oleh kesusasteraan Melayu masa depan. Kesedaran ke arah itu telah ada, telah mula mendapat perhatian, tetapi terlalu lambat untuk difahami dengan mendalam sehingga akhirnya akan menjadi pegangan dalam penulisan. Keadaan ini terjadi kerana terdapat cover up golongan Mutual Admiration Club yang menguasai sastera Melayu moden sekarang, supaya gagasan Persuratan Baru tidak dikenali, atau pun jika dikenali diberi wajah yang amat buruk sebagai satu gerakan untuk menyekat kebebasan dalam penulisan kreatif. Pembohongan ini, kalau pun diterima, boleh dipatahkan dengan mudah sekiranya anda fahami konsep taklif, yang di dalamnya terdapat tiga rahsia itu. Apakah rahsia itu dan mengapa konsep taklif itu penting dalam seni mengarang, dijelaskan dengan agak terperinci dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid dan di dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Silalah baca di sana, mana-mana yang mahu. Kalau tidak mahu pun tidak mengapa, kerana anda bebas memilih. Apa yang akan terjadi semuanya hasil pilihan anda sendiri. Untuk memahami aspek ini, sila rujuk keterangan tentangnya dalam entri 31/12/2014, merujuk Quran, 4: 115.  Andalah yang akan menentukan apakah wajah sastera Melayu dalam masa 30-50 tahun ini, setelah mengetahui kedudukan sebenarnya.  Siapakah yang boleh menyekatnya?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/1/2015.

Catatan daripada komen di blog ini:

Salam Tn Mohd Affandi Hassan dan pembaca yg lain

Sekadar nak kongsi maklumat yang saya kira bermanfaat. Tadi tonton TV Al Hijrah, ada iklan untuk rancangan 'Persepsi' untuk siaran 26.1.2015 (Isnin), fokus tentang Islam yang dipersenda. Foto Salman Rushdie dan The Satanic Verses melatari teaser untuk bual bicara itu. Menarik kan? Agaknya orang tv pun baca saranan SN yang suruh sasterawan Melayu contohi Salman Rushdie. Jangan ketinggalan menontonnya.