Apabila telah datang pertolongan Allah
dan kemenangan; maka kamu
lihat manusia masuk agama Allah
dengan berbondong-bondong, maka
bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu
dan memohon ampun kepada Nya.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima
taubat.
(al-Quran, 110: 1-3)
Tindakan
meletakkan para sasterawan lebih tinggi daripada pemikir dan ilmuan adalah satu
tindakan yang tidak rasional, satu tindakan yang tidak boleh diterima oleh akal
sihat. Kenyataan ini diakui sendiri oleh ahli akademik dan para sarjana yang membuat kesimpulan,
dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara, bahawa para sasterawan
negara bukanlah pemikir, oleh itu tidak termasuk dalam golongan yang digelar
ahli ilmu. Allah Ta’ala sangat memuji ahli ilmu, al-ulama, sebagai golongan yang takutkan Allah (al-Quran, 35: 28).
Sasterawan tidak termasuk dalam golongan ini, malah segala tindakan mereka
sebagai manusia dan dalam karya mereka sebagai sasterawan, lebih kerap dan
lebih ketara sikap mereka yang menentang kebenaran dan tidak menerima hakikat
taklif yang menjadi pegangan manusia yang berpandukan ilmu yang benar. Dari
perspektif ini para sasterawan ini menolak kebenaran dalam konteks taklif, dan sikap ini membuat
mereka tidak rasional. Mereka tidak menerima hakikat insan menurut taklif
sebagai prinsip penting dalam kehidupan manusia; dengan itu mereka hanyut dalam
budaya hedonisme yang menjadi prinsip penting dalam kesusasteraan, yang
membenarkan mereka menulis
perkara-perkara yang memuaskan kehendak hawa nafsu manusia, termasuk diri
mereka sendiri. Kesimpulan ini boleh dilihat dengan jelas dalam semua laporan
Panel Anugerah Sastera Negara. Malah
Panel Anugerah Sastera Negara sendiri pun tidak rasional dalam penilaian
mereka. Contoh-contohnya telah saya berikan dalam beberapa post yang disiarkan
dalam blog ini. Supaya kesimpulan ini tidak disalahtafsir dan diselewengkan
maksudnya, anda harus membaca dengan teliti, menggunakan akal sihat, Laporan 1985, Laporan 1991,
Laporan 2009, dan Laporan 2012. Sebagai contoh, dalam Laporan 2012, anda dapat kata-kata berikut: “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan
kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan
sarat dengan renungan jiwa yang mendalam [hal. 20]. ... [Beliau] ibarat sebatang pohon yang tinggi
dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa ini. Puisinya
semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani”
[hal. 21].
Adakah
ini kesimpulan yang rasional? Jawapannya diberikan oleh Prof. Rahman Shaari
dalam syarahan perdana beliau, “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tanggapan”
(Universiti Malaya, 2004). Kata ini profesor: “Tidak ternafikan bahawa sajak
tersebut merupakan salah sebuah sajak tentang kemerdekaan yang cukup bertenaga
dan puitis” (hal. 65). Beliau merujuk sajak berjudul, “Pada Setiap Kali Kau
Tiba, Ogos” oleh Kemala. Itulah satu-satuya sajak sasterawan ini yang menarik
perhatian Prof. Rahman Shaari. Beliau tidak langsung bercakap tentang pensajak
ini yang “mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa
yang mendalam” seperti yang ditegaskan dalam Laporan 2012. Sekarang
timbul persoalan akademik yang serius: adakah Panel Anugerah Sastera Negara
telah tersalah penilaian sehingga sanggup memberi pujian yang begitu tinggi?
Atau: Prof. Rahman Shaari itulah yang tidak nampak kehebatan pensajak ini?
Jelas penciuman beliau telah gagal mencium “puisi yang semerbak dengan wangian
kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Untuk menidakkan kemampuan
intelektual dan kemampuan akademik Prof. Rahman Shaari yang sepanjang hidupnya
sebagai ahli akademik meneliti dengan cermat perkembangan sajak-sajak Melayu,
tetapi masih gagal mencium keharuman puisi kerohanian pensajak ini, tentulah
tidak rasional, tidak masuk akal. Adakah ini bermakna kemampuan akademik beliau
disangsikan? Jika benar, maka bagaimana pula beliau layak diberi kedudukan
tinggi dalam bidang akademik sebagai seorang profesor sajak? Jika andaian ini
benar, ternyatalah Panel Anugerah Sastera Negara telah membuat penilaian yang
salah, mendakwa tentang kehebatan pensajak yang dinilainya tanpa mengemukakan
sebarang bukti berupa contoh sajak yang membuktikan penilaian mereka betul. Adalah lebih selamat
untuk kita memihak kepada Prof. Rahman Shaari sebagai seorang pakar sajak yang
tidak dapat disangsikan, dan kerana kepakarannya itulah maka beliau tidak
mendapati sajak-sajak sasterawan negara itu benar-benar mantap, kecuali sebuah
sajak tentang kemerdekaan yang mengikut penilaian saya tidaklah begitu
istimewa, hanya sebuah sajak biasa saja yang banyak ditulis oleh pensajak yang
bukan sasterawan negara.
Kerana
adanya kontradiksi ini, kita perlu membersihkan nama sasterawan negara ini
dengan Panel Anugerah Sastera Negara memberikan penilaian mereka dengan lebih
teliti, analisis yang benar-benar kritis, supaya benar-benar mencerminkan
kualiti sajak-sajak yang dinilai dalam Laporan
2012 itu. Sehingga lahirnya
penjelasan itu, maka kita masih berhak untuk menidakkan penilaian mereka yang
ada sekarang, tetapi sebaliknya menerima
laporan itu sebagai penilaian yang tidak rasional dan sewenang-wenang. Bagi sasterawan negara berkenaan, kedudukan
ini tentulah mengaibkan beliau. Panel Anugerah Sastera Negara boleh menyanjung
dan mengangkat beliau setinggi mana sekali pun, tetapi tentulah bukan untuk
mengaibkan beliau dan mengelirukan pembaca. Meletakkan sasterawan negara ini sebagai
pensajak sufi tidak sesuai dengan maklumat yang ada pada kita yang kita
ketahui, seperti yang dibayangkan dalam post yang lepas; selain dari itu,
karya-karya sasterawan negara ini belum lagi diuji dengan tepat menggunakan
ukuran yang sesuai dengan persajakan sufi yang diketahui umum. Penilaian yang
salah akan merendahkan darjat sajak-sajak berunsur nilai-nilai kesufian
sebenar. Aspek ini pun perlu dibahaskan dengan tuntas, tidak boleh dilempar
begitu saja kepada khalayak. Ini
merupakan tanggungjawab akademik yang tidak boleh diremehkan begitu saja oleh
Panel Anugerah Sastera Negara. Kelemahan
paling besar Laporan 2012 ialah penilaian terhadap sajak-sajak yang kononnya
sajak-sajak sufi itu dibuat berasaskan nilai-nilai sastera Barat, terutama
sekali dengan menggunakan pendekatan “hermeneutik
kerohanian” yang disesuaikan daripada teori sastera Barat. Mengapa tidak sahaja digunakan ukuran Islam
sepenuhnya? Apakah yang menghalang Panel
untuk berbuat demikian? Dua soalan yang
mudah, yang tidak mungkin dijawab oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk
mengelak daripada membuka aib mereka sendiri.
Apakah
yang mengaibkan tentang Panel Anugerh Sastera Negara ini? Ramai yang tidak tahu kerana laporan yang
mereka keluarkan tidak dijual untuk bacaan ramai. Laporan itu hanya diketahui
oleh penyelidik dan sarjana sastera saja, yang berminat dalam bidang kritikan.
Malah di antara mereka sendiri pun sedikit sekali yang tahu kandungan laporan
itu, apatah lagi pembaca bermentaliti “gosip”, mungkin langsung tidak tahu
bahawa laporan itu wujud. Apakah yang
mengaibkan tentang laporan itu? Pertama sekali, laporan itu menolak bulat-bulat
apa juga penilaian yang bercorak Islam.
Mengapa? Jika karya para sasterawan negara itu dinilai daripada perspektif
Islam, tidak seorang pun layak diberi gelaran sasterawan negara.
Tidakkah ini amat mengaibkan? Sikap ini mengaibkan kerana semua sasterawan
negara beragama Islam; penilai pula majoritinya Islam. Mengapa ketepikan
pandangan Islam? Inilah yang amat mengaibkan. Inilah yang paling tidak
rasional. Inilah yang menjadi sebab utama mengapa anugerah sastera mesti
diganti dengan Hadiah Persuratan PETRONAS, untuk mengembalikan sifat siuman
yang sudah hilang atau paling tidak
diketepikan sudah sekian lama. Jika anda teliti, anda akan lihat bagaimana
seorang “pensajak sufi” (kononnya!) dinilai berasaskan teori Barat yang
disesuaikan. Tidakkah ini amat mengaibkan? Mengapa sasterawan seorang ini pun
tidak layak diberi penilaian berasaskan pendekatan Islam? Dia sendiri mahu
dinilai daripada perspektif Islam supaya sifat kesufiannya terserlah; apa
alasan Panel untuk menolak permintaannya?
Kita perlukan penjelasan, sekurang-kurangnya dalam satu makalah panjang;
tetapi lebih baik dan lebih bermaruah jika ditulis sebuah buku supaya semua
kemusykilan yang dibangkitkan dapat ditolak dengan memberikan hujah dan
pembuktian yang rasional, bukan yang bercorak “cetek meraba-raba”.
Ketika
pendekatan Islam ditolak oleh Panel Anugera Sastera Negara, pada waktu yang
sama mereka mendakap erat teori dan pendekatan Barat sebagai satu-satunya
ukuran yang boleh berlaku adil kepada para sasterawan negara. Maka terjadilah
penilaian yang amat mengaibkan, yang terutama sekali dapat dilihat dalam empat laporan
yang disenaraikan di atas, yang keseluruhannya memberi isyarat yang salah dan
songsang terhadap ukuran yang dipakai untuk menentukan “kehebatan” sasterawan
negara yang mewakili laporan tadi. Saya
telah menulis tentang perkara ini, oleh itu tidak mahu mengulanginya di sini. Saya hanya ingin membicarakan beberapa kesan
negatif terhadap sistem nilai yang seolah-olah tidak kelihatan, tetapi dapat
dilihat kesannya. Ini terjadi apabila Panel Anugerah Sastera Negara membiarkan
sastera Melayu moden tumbuh liar tanpa sebarang panduan dari segi teknik mahu
pun dari segi tema, kerana mereka percaya karya yang bermutu tidak perlu
mempunyai sebarang mesej, tidak didaktik, dan tidak mempunyai matlamat
tertentu, juga tidak perlu menekankan soal moral (rujuk terutamanya Laporan 1985). Inilah kesan negatif
faham realisme Barat yang dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, yang diberi
pengiktirafan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Faham sastera begini melahirkan kekeliruan
kognitif (cognitive dissonance) di kalangan
anggota Panel sendiri, yang jelas dapat dilihat dalam laporan yang disenaraikan
di atas. Antaranya yang terkenal ialah
kesimpulan Panel 2009 yang menganggap sebuah cerita pendek sasterawan negara
tahun itu berbentuk filosofikal, kerana kononnya membicarakan kehidupan bebas
moral seperti kehidupan binatang yang bersenggama, mencari pasangan baru, dan
sebagai manusia binatang yang boleh berbicara, kehidupan moden itu penuh dengan
pembohongan. Apakah yang filosofikal
dalam cerita pendek ini? Panel tidak ada pilihan melainkan memuji cerita pendek
ini kerana inilah antara beberapa buah cerita pendek sasterawan ini yang
dianggap bermutu; akibat terlalu ingin memuji sebuah karya yang biasa saja,
Panel mengangkat karya ini dengan memberinya kedudukan sebagai sebuah karya
“filosofikal” tanpa apa-apa penjelasan. Cara begini digunakan pula dalam Laporan 2012, seperti yang dijelaskan di
atas. Semua ini tidak lebih daripada retorik pujian yang tidak mempunyai
apa-apa makna, kecuali untuk mendendangkan pujian semata-mata, walaupun tidak
benar. Dilihat dari segi ini, Panel dengan sedar berusaha menyelewengkan
pembaca yang tidak kritis untuk menganggap karya-karya yang dipuji mereka
benar-benar bermutu, walaupun dari segi perincian teliti tidak begitu. Jelas
sekali terdapat sikap anti-ilmu di kalangan anggota Panel, ketika mereka
melontarkan kesimpulan mereka seperti yang disebut di atas. Inilah kesan
penyelewengan nilai yang dibina dan digalakkan oleh Panel Anugerah Sastera
Negara, dan dari segi inilah kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara menghalang
kemajuan dalam kritikan dan penilaian sastera di Malaysia.
Kesimpulan
di atas ada kaitannya dengan sikap ahli Panel
terhadap teori dan pendekatan kritikan Barat yang menjadi panduan
mereka. Bagi mereka, hanya teori sastera
Barat yang satu-satunya boleh digunakan untuk menilai karya sasterawan
Malaysia, kerana semua mereka, tanpa kecuali, menulis di bawah lindungan teori
sastera Barat. Sekiranya ada teori sastera Islam sekali pun, tidak dapat
digunakan kerana tidak universal seperti teori sastera Barat; lagi pula, menurut mereka, jika digunakan
kaedah Islam, ada kemungkinan karya-karya sasterawan Malaysia tidak akan
terserlah. Ada saja kelemahannya di mana-mana, padahal yang dianggap kelemahan
itu adalah kekuatan karya itu menurut kaedah universal kritikan sastera Barat.
Hakikat ini dibuktikan dengan jelas dalam semua laporan yang telah diterbitkan
selama lebih dari 30 tahun ini. Kata mereka: Adakah kita akan menolak semua
karya bermutu menurut kaca mata teori Barat itu hanya semata-mata kerana kita
ingin menggunakan nilai-nilai Islam dalam kritikan sastera? Kata mereka, kita akan mundur 1400 tahun ke
belakang, padahal abad ini adalah abad avant-garde. Di mana Islam berada dalam abad avant-garde itu? Jadi wajarlah jika
karya para sasterawan Malaysia terus menerus dinilai dengan menggunakan teori
dan pendekatan Barat. Di mana salahnya
pandangan ini? Sekurang-kurangnya kita mempunyai dua pendapat daripada dua
orang ahli Panel Anugerah Sastera Negara. Pertama, Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh pernah berkata, kita telah lama melakukan kesalahan kerana menilai karya
kita menurut ukuran Barat, padahal kita menggunakan bahasa Melayu yang tidak
sama dengan bahasa-bahasa Barat. Seorang lagi profesor, iaitu Prof. Zawiah
Yahya, lebih tegas pendapatnya, sehingga beliau mahu dilemparkan terus teori
dan kaedah sastera Barat itu, diganti dengan kaedah kita sendiri. Adakah mereka serius? Sebenarnya tafsiran
bacaan saya menurut mereka adalah salah, kerana mereka tidak bermaksud begitu.
Sehingga ini saya masih menunggu apakah tafsiran yang betul itu, belum muncul-muncul.
Saya sepatutnya tidak dibiarkan berada dalam kesilapan selama-lamanya, oleh itu
mereka harus membuat pembetulan itu walaupun kedudukan saya dan mereka tidak
setaraf. Tetapi kesilapan tetap
kesilapan, walaupun yang melakukannya seorang raja atau seorang pengemis! Sudah menjadi satu etika yang terpelihara di
kalangan para ahli akademik, untuk tidak melakukan kesalahan akademik, dan jika
terjadi juga, untuk terus membetulkannya. Di Malaysia etika ini tidak diberi
perhatian, sesuai dengan adab sopan Melayu yang halus bahasanya, dan termasuk
di dalam konsep kesopanan jenis ini ialah membiarkan saja kesilapan dan
kesalahan berterusan untuk memastikan kesopanan terus
terpelihara. Mereka berhujah, Allah
melindungi “dosa” (samakah dengan kesalahan/kesilapan?) seseorang dan
barangsiapa yang melindungi kesalahan saudaranya akan dilindungi Allah kesalahannya
di Akhirat. Menurut mereka, itulah maksud sebuah hadis qudsi. Ada lagi satu
hadis yang menyatakan sesiapa yang melihat kemungkaran, mesti mengubahnya dengan
tiga cara yang terkenal itu. Hadis itu tidak boleh dipakai kepada sasterawan
dan lain-lain seperti mereka kerana mereka tidak melakukan kemungkaran apa-apa.
Menulis karya erotik dan lucah dan picisan atau menghina hukum Allah dengan
menerima konsep tragedi sebagai satu teknik dalam mengarang cerita bukanlah
satu kemungkaran, kata mereka, hanya perkara harus yang dibenarkan oleh agama. Begitu
juga menggunakan pendekatan dan teori sastera Barat yang seluruhnya sekular
itu, memang diharuskan dan bukan suatu kesalahan. Kita lihat masalah ini
seterusnya.
Pandangan
begini adalah satu tragedi. Saya gunakan istilah ini dengan maksud musibah.
Adalah suatu musibah besar apabila para sasterawan dan sarjana sastera
menggunakan segala macam hujah yang berbelit-belit untuk mempertahankan
kesilapan mereka, bukan membetulkannya. Satu konsep yang mereka pegang kemas
ialah konsep tragedi, sebagai sebahagian daripada makna realisme yang mereka
fahami. Bagi para sasterawan, sesuatu karya kreatif akan membosankan dan tidak
akan menarik minat pembaca tanpa aspek tragedi dalam kehidupan manusia, yang
tidak dapat tidak mesti dialami oleh semua watak jika watak tadi berciri
realisme. Oleh itu, bagi mereka, tragedi adalah sebahagian daripada hakikat
hidup manusia yang universal, dialami oleh sesiapa juga di mana-mana pun dalam
dunia, tidak kira dia orang Islam atau bukan Islam. Pandangan ini cetek dan
salah, kerana tragedi tidak bermaksud begitu dalam kesusasteraan Barat. Makna
tragedi dalam worldview Barat telah
dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
buku-bukunya, antara lain dalam Islam and
Secularism. Pandangan beliau
dijelaskan lagi oleh murid-murid beliau, antara lain oleh Che’ Razi Jusoh
melalui makalahnya, “Tragedi Sebagai Salah Satu Watak Kebudayaan Barat” (dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan
untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, MPH 2012).
Kata
Che’ Razi Jusoh: “Tragedi biasanya berkisar dalam dunia kesusasteraan dan seni
dan tidak ramai yang menganggapnya sebagai satu watak kepada sesuatu
kebudayaan. Kenyataan bahawa tragedi sebagai salah satu watak kebudayaan Barat
adalah satu tesis dan idea asli yang
dikemukakan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui pelbagai
tulisan dan sesi kuliah beliau. Walaupun
hampir kesemua sarjana Barat mengakui tragedi lahir di Greek dan perbahasan
tentangnya telah dikemukakan secara ilmiah dan mendalam oleh Aristotle dalam
karyanya yang tersohor Poetics, namun
al-Attas berpandangan bahawa Aristotle mendapat idea tentang tragedi ini dari kisah Adam dan Hawa yang telah
dimaklumi pada zaman itu. Hal ini secara tidak langsung turut diperakui oleh
Aristotle dalam karyanya Nichomachean
Ethics, yang ditulis khusus kepada anaknya Nichomacus...” (hal. 259).
Seterusnya dalam bahagian kesimpulan, Che’ Razi Jusoh berpendapat begini: “Konsep tragedi Barat tidak dapat diterima
dalam Islam kerana ia mendorong kepada mempertuhankan manusia dan menyalahkan
agama sebagai jalan untuk menuju kasih sayang Tuhan. Kalaupun ada yang mendakwa
bahawa tragedi mampu membawa kemajuan, ia sebenarnya berupa kemajuan fizikal
semata-mata kerana dari sudut ruhani dan pemikiran, mereka sebenarnya sengsara.
Kemajuan, pembangunan dan perubahan yang menjadi buruan kebudayaan Barat adalah
lambang keperitan dan kedukaan. Tragiknya jiwa Barat, yang tampak di hadapan
kita seolah-olah sebagai seorang musafir yang mengalami kedahgaan yang amat
dahsyat dan berlari ke sana sini mencari air untuk menghilangkan kehausan jiwa
dan fikiran itu sebenarnya adalah akibat dari sikap mereka membelakangkan agama
dan mempertuhankan semangat yang dilatari faham tragedi. Amatlah tepat kenyataan al-Attas bahawa
aktiviti seni bagi Barat, tanpa mengira apa pun bentuknya, adalah amat berharga
kerana dengan senilah mereka beroleh kelegaan yang sementara, berbanding dengan
agama yang mereka anggap tidak lagi mampu memberikan kebahagiaan sebenar.”
(hal. 294-295).
Aspek
tragedi ini dapat dilihat dalam keseluruhan karya para sasterawan negara, yang
melihat manusia sebagai tawanan kezaliman dalam masyarakat yang keseluruhannya
tidak berasaskan keadilan, oleh itu watak-watak yang digambarkan dalam karya
para sasterawan negara ini adalah manusia yang menjadi tawanan hawa nafsu
mereka sendiri atau hawa nafsu mereka yang menguasai mereka. Kerana itu watak-watak
ini adalah watak-watak yang lemah, yang putus harap dan keliru dalam membuat
tafsiran tentang kehidupan mereka. Semua ini adalah gambaran pengaruh tragedi
dalam kesusasteraan Melayu yang tidak berasaskan ilmu yang benar, yang secara
keseluruhnnya menjadi pengikut pendekatan dan teori sastera Barat tidak saja
dalam penilaian, tetapi lebih-lebih lagi dalam persembahan atau teknik penulisan.
Jika kita menghalusi aspek ini, kita akan menjadi amat bodoh dan degil untuk
menjadikan para sasterawan negara ini sebagai ikutan, kerana nilai-nilai yang
mereka bawa bukanlah nilai-nilai murni dalam konteks faham ilmu yang benar yang
dijadikan asas penulisan dalam persuratan Islam. Maka sebab itulah kita
mencadangkan supaya institusi anugerah sastera ini tidak diteruskan kerana ini
bererti meneruskan kekeliruan dan kejahilan dalam kehidupan manusia moden yang
masih beragama.
Karya-karya
para sasterawan negara ini akan mengelirukan pembaca yang cetek pengetahuannya
tentang falsafah seni Barat; malah mana-mana yang pengetahuannya tentang seni
Barat agak pelbagai (dari segi jenisnya, tetapi tidak mendalam dan tidak luas
dari segi jangkauannya) di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera, mereka tetap berada dalam kekeliruan selagi
tidak dibereskan konsep ilmu yang menjadi pegangan mereka, atau lebih tepat
menjadi ikutan mereka. Dalam konteks inilah anugerah sastera negara suatu
institusi baru yang membawa nilai-nilai palsu dalam kebudayaan Melayu melalui
karya sastera para sasterawan negara. Dari segi pandangan Islam, semua nilai adalah
palsu jika sumbernya manusia sendiri, yakni dengan menjadikan manusia sebagai
penentu segala nilai, seperti yang terjadi di Barat. Misalnya, apabila anda berkata nilai-nilai
murni perlu digalakkan di sekolah-sekolah dan dalam masyarakat, dengan memberi
contoh sifat pemurah dan suka berderma; sifat pemurah suka berderma itu adalah
palsu jika tujuannya untuk menunjuk-nunjuk, sambil menyerahkan cek palsu untuk
diambil gambar dan disiarkan dalam pelbagai media. Perbuatan itu terkutuk,
kerana masuk dalam istilah riak, yang memang dikutuk oleh Islam. Anda perlu berhati-hati sekiranya anda ingin
mempertahankan institusi anugerah sastera, dengan membuktikan bahawa nilai yang
dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara bukanlah nilai-nilai palsu bersumber
dari kemahuan hawa nafsu manusia sendiri.
Jika Panel Anugerah Sastera Negara bersih dari kepalsuan nilai ini, maka
anda berhak mempertahankan institusi anugerah sastera. Jika sebaliknya, anda
harus lebih berhati-hati lagi mempertahankan kepalsuan itu dari sudut yang
boleh diterima akal, misalnya dengan mengatakan sastera tidak wajar dilihat
dari perspektif Islam, kerana sastera tidak perlukan nilai-nilai Islam untuk
menghasilkan karya yang bermutu. Sastera hanya perlukan nilai-nilai universal
seperti yang diperakukan oleh teori dan pendekatan Barat, yang melihat karya
sastera secara objektif melalui konsep autotelic
writing yang menerima karya sastera sebagai autonomous, oleh itu tidak terikat kepada sebarang nilai yang
ditetapkan, tetapi menampilkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti yang
dibayangkan dalam karya para sasterawan negara Malaysia. Anda harus buktikan pandangan anda ini
benar-benar menjadi pegangan Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan
negara sendiri. Akhirnya anda harus buktikan itulah pilihan terbaik untuk
Malaysia. Jika anda gagal meyakinkan
orang yang siuman akalnya, yang tetap berpendapat institusi anugerah sastera
itu lebih banyak unsur mungkar daripada yang makruf, maka anda tidak wajar
untuk terus berkeras kepala mempertahankan pendapat anda yang foni dalam
penghujahan yang begitu naif pula, berasaskan emosi dan sentimen anda. Tegasnya, anda harus belajar menerima
kenyataan walaupun anda tidak bersetuju, kerana sudah menjadi ciri orang yang
cerdik dan jujur untuk menerima kebenaran apabila kebenaran itu dicampak ke
muka mereka setelah mereka mengelak begitu angkuh apabila diberi kesedaran
dengan cara yang baik. Anda tentu pernah mendengar orang yang faham tentang
agama memeritahu kita bahawa di dalam arak itu ada juga kebaikan; tetapi
keburukannya lebih besar, maka arak diharamkan. Demikian juga sastera yang
difahami dalam konteks Barat, ada sedikit kebaikan, tetapi kemungkarannya jauh
lebih besar. Kemungkaran yang paling besar ialah sastera meletakkan manusia sebagai
sumber nilai; dan untuk melihat betapa benarnya perkara ini, anda perlu
membaca dengan teliti dan kritis semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara.
Jangan takut untuk menghadapi kebenaran; sepatutnya anda lebih takut untuk
lebih lama berada dalam kemungkaran sastera dengan kembali kepada persuratan berasaskan
konsep ilmu yang benar.
Kesimpulan:
Jika
anda membahaskan karya sasterawan dalam konteks ilmu, melihat sejauh mana
sasterawan berusaha membina budaya ilmu yang sah, anda tidak dapat tidak akan
menemui begitu banyak kelemahan konsep sastera yang menjadi pegangan para
sasterawan. Pertama sekali, mereka tidak mempunyai kesedaran tentang pentingnya
ilmu dalam bidang kreatif, oleh sebab mereka sudah dibelenggu oleh konsep
sastera Barat yang menegaskan sastera itu cerita dan cerita yang disensasikan.
Kerana itu, walaupun anda mungkin seorang ustaz, anda akan bergelumang dengan
faham sensasi ini dengan memberi judul karya seperti “Seorang Blogger dari
Syurga” misalnya, seolah-olah anda mempunyai pengetahuan begitu mendalam
tentang syurga (dan neraka) yang hanya diketahui oleh Allah Ta’ala sahaja.
Banyak lagi contoh judul karya para ustaz ini yang aneh-aneh, yang
mempermainkan perkara ghaib. Sasterawan negara apatah lagi, begitu confident sekali menulis tentang ruh dan
hari kiamat, tentang siksa neraka dan sebagainya. Mengapa kita perlukan karya sastera untuk mengetahui tentang aspek ini
jika al-Quran dan Hadis sudah memberitahu kita semuanya? Inilah bukti
betapa angkuhnya para sasterawan ini, mahu tunjukkan kepandaian mereka
(sebenarnya kejahilan dan keangkuhan mereka) menulis tentang perkara-perkara
yang tidak pernah dialami mereka, walaupun di sana sini mereka inilah juga yang
memberi nasihat bahawa penulis yang berjaya dan jujur menulis hanya tentang
perkara yang mereka tahu.
Semua
ini menjadi hujah yang kuat untuk menolak institusi anugerah sastera yang cukup
jelas telah mengelirukan para sasterawan sendiri dan juga para penilai mereka,
lebih-lebih lagi para pembaca yang tidak kritis. Sungguh malang dan rugi bagi sesiapa yang
tidak mahu diselamatkan setelah sedar akan kesalahan mereka; seperti yang
terjadi kepada golongan musyrik Makkah yang bermati-matian mempertahankan
kemungkaran mereka kerana hanya di situ sajalah mereka berasa bebas melakukan
maksiat dan kemungkaran seterusnya. Pada umumnya inilah faham sastera moden
yang menjadi pegangan para sasterawan seluruh dunia, dengan dua pusat pengaruh
yang besar, Paris dan London. Hanya di dalam konteks ini saja para sasterawan
ini akan diberi peluang untuk menerima Hadiah Nobel, salah satu hadiah besar
dunia yang amat diimpikan oleh para sasterawan Malaysia! Anda boleh bayangkan sejauh mana sebenarnya
para sasterawan yang bercita-cita besar, atau bermimpi besar ini telah membina
budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar.
Satu
pertanyaan yang tidak perlu dijawab: Perlukah ada perbezaan antara karya
kreatif seorang pengarang Muslim dengan yang bukan? Jawapan yang anda berikan akan menentukan di
mana anda berada.
Mohd.
Affandi Hassan,
1/1/2013