Bahagian I
Kumpulan cerita pendek Pura Bujangga diterbitkan oleh DBP 1990, dari segi sejarah
sastera adalah penting. Cerita pendek “Orang yang Berdiri” (Pembina, bil. 4, Oktober 1981) adalah
kritikan saya terawal tentang projek sasterawan negara dan pemberian gelaran
sasterawan negara. Sebelum itu saya menulis kepada DBP 1981 dengan menghantar
derma RM1.00 (satu ringgit) sebagai bantahan
kepada projek itu. Kini nampaknya bantahan saya adalah tepat; kita tidak
perlukan sasterawan negara kerana karya mereka tidak mencerminkan keunggulan
pemikiran berasaskan konsep ilmu yang benar. Konsep sastera yang kita terima dari Barat,
yang menjadi pegangan para sasterawan, adalah konsep sastera yang “perverted”, yang songsang, yang memberi
penekanan kepada kelangsungan hawa nafsu rendah manusia, oleh itu jenis karya
yang dihasilkan membawa idea realisme yang berteraskan kejahatan manusia.
Inilah jenis karya yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, yang tidak
mencerminkan keunggulan tradisi intelektual bangsa kita yang begitu lama
dikembangkan oleh para ulama dan cendekiawan kita melalui persuratan Melayu.
Cerita pendek ini penting untuk menjadi bukti bahawa kritikan saya adalah
serius, berasaskan perkembangan sebenar dalam tamadun Melayu yang terasnya
ialah nilai-nilai Islam yang dikonsepsikan dalam konsep ilmu yang benar. Dengan
cerita pendek ini, saya telah membuktikan bahawa kritikan saya terhadap projek
sasterawan negara ini bukan perkara atau kesedaran baru, malah keburukannya
telah diketahui sejak mula diwujudkan.
Ini adalah kesan pengaruh
yang amat negatif daripada gerakan Asas 50. Pengaruh negatif ini telah
membantut perkembangan intelektual dalam penulisan di Malaysia selama lebih
dari 50 tahun; dengan bayangan yang amat jelas bagaimana pengaruh ini
meruntuhkan tradisi keilmuan orang Melayu apabila pengaruh negatif Asas 50,
yang menguasai akhbar dan majalah yang mengisi ruang sastera, menampakkan wajah
buruknya yang anti-Islam, yang secara terangan menegaskan (1956 dalam Kongres
Bahasa di Johor) bahawa tulisan Jawi, yang menjadi medium perkembangan ilmu
dalam kebudayaan Melayu, tidak ada kaitannya dengan Islam dan dalam
perkembangan moden tulisan Jawi menjadi penghalang kemajuan bagi orang Melayu. Faham negatif ini diteruskan dengan
mewujudkan projek sasterawan negara, satu projek Asas 50 yang menguasai
bahagian sastera di DBP yang kemudiannya rapat dengan pemimpin atasan UMNO, khususnya Tun Razak
Husin. Pengaruh negatif ini diberi
kedudukan yang kukuh oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menerima the remnants of Asas 50 sebagai satu
kumpulan yang wajar diberi kedudukan tinggi dalam sastera Melayu moden. Inilah
kedudukan yang diteruskan hingga kini oleh para sarjana ciritan dan para
sasterawan penglipur lara yang tidak berupaya meletakkan asas yang kukuh dalam
perkembangan sastera Melayu moden dengan menjadikan ilmu yang benar sebagai
asas. Malah mereka tidak tahu apakah yang dikatakan ilmu itu, dan ini termasuk
para sarjana ciritan hatta yang mempunyai ijazah di peringkat Ph.D. sekali pun.
Saya cuba menggambarkan keadaan ini pada permulaan episod “Rumah Impian Polan
Cupan” dalam Balai Maqamat pada
permulaan episod itu lagi, apabila seorang profesor lebih berminat kepada nama
Polan Cupan dan tidak mahu mendengar penjelasan Polan Cupan lantas berlalu
tergesa-gesa. Inilah tabiat sarjana ciritan. Pengaruh negatif Asas 50 ini telah
menghalang munculnya karya sastera yang berteraskan konsep ilmu yang benar,
malah dikusutkan lagi dengan lambakan teori sastera Barat yang secara tegas
menolak konsep ilmu yang benar itu dan ini menjadi ikutan para sarjana ciritan
serta para sasterawan sendiri. Keadaan ini akan berterusan sekiranya tidak ada
usaha untuk menjelaskan lagi peranan ilmu ini dan bagaimana konsep ilmu yang
benar boleh dijadikan asas untuk menilai karya sastera dan pada waktu yang sama
memberi panduan kepada para sasterawan untuk menulis sebagai golongan yang
berilmu. Kerana terpengaruh dengan
tindakan dan gesaan para sarjana ciritan dan para sasterawan sendiri, apa yang
disebut sebagai penulis muda pada umumnya tidak menerima perubahan ini kerana
menurut mereka sastera harus bebas dari sebarang halangan. Menjadikan ilmu yang
benar sebagai panduan adalah menghalang kebebasan itu, kata mereka. Adakah mereka patut dibiarkan saja dalam
kekeliruan ini? Nampaknya mereka tidak bersedia untuk membincangkan persoalan
ini, kerana menurut mereka adalah lebih baik terus menulis dan menerbitkan
karya kerana tanpa memikirkan aspek ini mereka boleh terus menulis dengan
bebas. Dengan sikap anti ilmu yang kuat, yang diberi sokongan oleh para sarjana
ciritan dan organisasi penulis, maka apa juga perubahan yang mereka timbulkan
selama ini adalah retorik semata-mata. Jika ada pun perubahan yang mereka akan
sokong dan malah yang memang mereka perjuangkan, ialah faedah lebih besar dan
peluang lebih luas untuk kepentingan mereka. Inilah yang mereka bincangkan
dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang mereka rumuskan dalam “Resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
2014, 24-26 Oktober 2014.” Semua kertas
kerja yang dibentang di dalam Sidang itu dimuat dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Sidang itu
tidak menyentuh sedikit pun aspek ilmu dalam penulisan kreatif. Menurut faham
sarjana ciritan dan sasterawan, “ilmu” adalah sebahagian daripada ciri karya
sastera. Apakah ciri dan sifat “ilmu” yang mereka maksudkan? Tidak pernah
dibincangkan, oleh itu mereka hanya menyebut begitu saja tentang “ilmu” tanpa
memberi takrif yang jelas dan menunjukkan bagaimana “ilmu” itu diserlahkan
dalam karya sastera. Sebenarnya mereka
tidak dapat membezakan antara “ilmu” dengan “maklumat dan pengetahuan”, yang
memang dibezakan dalam konsep ilmu dalam Islam. Jelaslah mereka tidak mempunyai
konsep ilmu itu, oleh itu tidak dapat
berbicara dengan siuman tentang sumber ilmu, dan apakah matlamat ilmu dalam
kehidupan manusia.
Kedudukan mereka adalah sama
dengan yang digambarkan dalam al-Quran. Saya gunakan terjemahan Inggeris Prof.
Fazlur Rahman dalam bukunya Major Themes of
the Quran (hal. 33):
“We have created many of the
jinn and humans for hell: they have minds but they do not understand therewith;
they have eyes but they do not see therewith; they have ears but they do not
listen therewith. These are like cattle, indeed even more difficult to guide –
for these are the heedless ones.” (7: 179)
Bandingkan dengan terjemahan
Melayu oleh pengarang kitab Tafsir
al-Mishbah (jilid 4, hal. 378): “Dan demi, sungguh Kami telah ciptakan
untuk Jahanam banyak dari jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak
gunakan memahami dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mereka gunakan
melihat dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mereka gunakan untuk
mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka
itulah orang-orang yang lalai”.
Muhammad Asad dalam
tafsirnya, The Message of the Quran, (hal. 231, nota kaki 144) menterjemahkan “bal hum adhall” sebagai “nay, they are
even less conscious of the right way” dengan catatan secara harfiah (literal) bermakna “they are farther
astray – inasmuch as animals follow only their instincts and natural needs and
are not conscious of the possibility or necessity of a moral choice”.
Seterusnya, M. Quraish
Shihab menjelaskan (hal. 379): “Kata al-ghafilun
terambil dari kata ghaflah, yakni lalai, tidak mengetahui atau menyadari
apa yang seharusnya diketahui dan disadari. Keimanan dan petunjuk Allah
sedemikian jelas, apalagi bagi yang berpengetahuan. Tetapi, bila mereka tidak
memanfaatkannya, mereka bagaikan orang yang tidak mengetahui atau tidak
menyadari bahawa mereka memiliki potensi atau alat untuk meraih kebahagiaan.
Inilah kelalaian yang tiada taranya”. (ejaan asal tidak diubah).
Gambaran al-Quran yang
ditekankan oleh Prof. Fazlur Rahman akan boleh difahami dengan jelas jika
dibaca bersama penegasan beliau sebelumnya yang berbunyi: “Given the depth of human self-deceptions, how important it is that man
be ‘awakened’ to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts
and do deeds that would be consequential, for upon this depends the whole
destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33) Saya telah banyak kali menyalin kutipan yang
berupa peringatan penting ini dalam blog ini, supaya para al-ghafilun sedar akan kelalaian mereka, terutama di kalangan
sarjana ciritan dan para sasterawan. Anda perlu tahu bahawa peringatan itu
bersumber daripada al-Quran sendiri, bukan pandai-pandai Prof. Fazlur Rahman
membangkitkannya.
Saya telah cuba membuat
penjelasan mengenai perkara ini ketika mengkritik teksdealisme yang meletakkan sasterawan
negara di atas takhta keunggulan. Takrif “keunggulan” yang digunakan oleh
teksdealisme dengan melihat “keunggulan” daripada empat ciri teksdealisme
terlalu naif dan tidak sedikit pun mencerminkan kualiti karya para sasterawan
negara ini. Semua ciri yang dikemukakan oleh teksdealisme tidak boleh dipakai
kerana saling bertentangan. Sebagai contoh, apa yang disebut sebagai
“pelanggaran” tidak bermakna apa-apa jika yang dilanggar itu memang sudah baik
dan yang dihasilkan dari pelanggaran itu memang songsang dan bertentangan
dengan akal sihat. Contoh terbaik ialah sajak “Pulang Si Tenggang,” yang menjadikan aspek “kurang ajar” sebagai
nilai unggul. Bagaimana ini boleh terjadi dalam masyarakat yang meletakkan
ulama, cendekiawan, dan nilai-nilai agama Islam sebagai asas tamadun Melayu?
Bagaimana mereka boleh digantikan dengan Si Tenggang yang tidak wujud dan tidak
memberi apa-apa sumbangan kepada pembinaan budaya ilmu? Jika anda menerima
andaian pensajak ini, anda telah menolak peranan ulama sebagai pembina tamadun
intelektual bersama dengan sumbangan cendekiawan Melayu. Apakah yang lebih baik
yang sudah ditawarkan oleh para sasterawan ini? Tidak ada. Saya belum lagi melihat satu huraian yang
mendalam tentang sumbangan pemikiran para sasterawan ini dan apakah nilai-nilai
teras yang menjadi asas kegiatan mereka? Oleh itu apabila teksdealisme
dijadikan ukuran, maka hasilnya ialah sumbangan para sasterawan ini sebenarnya
bertentangan dengan tradisi intelektual dalam kebudayaan Melayu. Saya tidak
nampak apa-apa yang hebat yang disumbangkan oleh para sasterawan, terutama
sasterawan negara. Ini telah saya tunjukkan secara sederhana, sekadar untuk
memberi isyarat, dalam entri bertajuk “Keunggulan yang Cacat”. Jika semua ini dilihat dari perspektif konsep
ilmu yang benar, yang menjadi panduan kita, maka sumbangan para sasterawan
negara adalah menentang konsep ilmu yang benar itu. Mengapa kita perlu menerima
mereka sebagai pembentuk budaya intelektual yang baru jika kita sudah jelas
bahawa karya mereka adalah contoh karya yang kaya dengan unsur-unsur ‘iwaj (crookedness) dalam kebudayaan
Melayu. Adakah kita tidak siuman lagi untuk menerima mereka yang merosakkan
budaya ilmu yang kita bina sejak beratus tahun? Oleh itu, kita harus menolak
kehadiran para sasterawan negara ini untuk menyelamatkan perkembangan ilmu di
dalam kebudayaan Melayu. Mereka tidak mempunyai tempat, kerana mereka adalah
kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”, yang telah dihuraikan dengan
mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan
beliau, Islam Dalam Sejarah dan
Kebudayaan Melayu (1972). Kesimpulan beliau belum lagi disanggah oleh
mana-mana sarjana ciritan yang berkeliaran dalam belantara sastera Melayu
moden.
Para sarjana ciritan dan
golongan sasterawan kadang-kadang meluahkan kemarahan mereka kepada Persuratan
Baru dengan berkata bahawa mereka menerima idea PB, tetapi mereka tidak boleh
terima cara idea itu disampaikan. Kata mereka, caranya sangat biadab, penuh
kata nista yang kasar, dan langsung tidak ada diplomasi. Pada waktu yang sama mereka menegaskan bahawa
kesusasteraan, jika ingin maju, perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk
dikembangkan oleh para sasterawan dengan cara mereka sendiri, tidak memerlukan
panduan, ajaran, peringatan daripada sesiapa sekali pun. Adakah ini satu sikap
yang penuh sopan? Tidakkah ini satu kebiadaban yang sangat jelas, yang
digambarkan oleh al-Quran dengan penjelasan yang diberikan di atas bahawa
inilah kebiadaban kumpulan al-ghafilun,
yakni binatang ternak yang berkeliaran dengan bebas tetapi akhirnya pulang ke
kandang juga. Para sarjana ciritan sendiri, dan lebih-lebih lagi para
sasterawan, akhirnya akan pulang ke kandang juga walaupun mereka berkata mereka
bebas. Kandang mereka disediakan oleh teori sastera Barat. Semua yang dari
Barat itu bagi mereka sangat tertib, indah, menawan, mengkhayalkan, dan penuh
ilusi yang cantik berseri yang menawan hati para sasterawan untuk berkarya. Tidak
ada kebiadaban di dalam cara menghuraikan teori sastera Barat itu, semuanya
tersusun dengan tertib. Jelaslah orang ini tidak membaca kemelut yang begitu
gawat dalam teori sastera Barat, yang penuh tepu dengan kata mengata yang amat
dahsyat, penuh dengan tuduhan tidak berasas semata-mata hendak menegakkan
pendapat mereka. Tidak sia-sia jika saya meminta para sarjana ciritan yang
sopan santun dan penuh diplomasi serta para sasterawan yang ingin bebas seperti
binatang ternak itu membaca buku Against
Deconstruction, oleh John M. Ellis untuk melihat betapa beradabnya para
sarjana Barat ini dalam kebiadaban mereka memaksa pendapat mereka diterima dalam
cara mereka yang nampak amat santun, tetapi penuh dengan unsur ‘iwajan yang dikutuk al-Quran. Saya telah memberi contoh yang cukup jelas
ketika mengkritik Anwar Ridhwan yang begitu terpesona dengan IB, sehingga tidak
dapat melihat aspek ‘iwajan ini dalam
kutipan dari “pakar kejian Islam”,
paderi William Montgomery Watt yang mengatakan Nabi SAW memang seorang yang
jujur, tetapi orang yang jujur juga melakukan kesalahan! Baca kembali kutipan
yang saya salin dalam salah satu entri di blog ini. Saya timbulkan perkara ini
kerana IB juga menyediakan maklumat tentang Islam untuk menarik minat pelajar
dan ibu bapa Islam; tetapi itulah hakikatnya, mereka tidak ragu-ragu menghina
Islam dengan begitu “beradab” dalam pengertian yang dipakai oleh para sarjana
ciritan dan para sasterawan, dengan cara yang sangat diplomasi. Seorang
sasterawan negara yang mahu karyanya dijadikan teras negara bangsa tidak
seharusnya begitu mudah tertipu, dengan meremehkan begitu saja penipuan yang
begitu jelas. Anda tentu masih ingat
bagaimana sekumpulan sarjana ciritan yang menilai buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid menolak buku itu
kerana tidak ada diplomasi dalam memberi pendapat, walaupun yang dikritik itu
hanya bahagian pendahuluan. Mereka lebih mengutamakan diplomasi daripada
kebenaran, yang cukup jelas dalam sikap sasterawan negara juga. Dan bagi mereka
inilah yang mereka panggil adab, walaupun perbuatan dan kelakuan mereka sendiri
amat tidak beradab jika konsep adab itu difahami dengan jelas.
Anda sudah jelas tidak
terfikir betapa bodohnya dan tidak adanya rasa tanggungjawab kita dengan memberi reward, pengiktirafan, dan sanjungan
kepada kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba” yang kita panggil sasterawan
negara ini. Sudah jelas mereka tidak
mempunyai kemampuan untuk menjana kebaikan kepada masyarakat, malah sebaliknya
merekalah yang mengubah kebaikan yang kita kenali dengan mengubah sistem nilai
kita untuk menerima kejahatan, kebodohan, kebiadaban, sifat kurang ajar, dan
seluruh kemusnahan tamadun yang kita bina beratus tahun apabila mereka ini
menjadikan semua perubahan ke arah kejahatan dan kebodohan itu sebagai pegangan
baru yang dibanggakan. Inilah yang diserlahkan oleh tulisan mereka yang dimuat
dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa
dan dalam keseluruhan karya mereka yang sebenarnya hanya mengarah kepada
kebodohan, kebiadaban (dalam maksud yang diberi tafsirannya oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas yang berbicara tentang kehilangan adab di kalangan
umat Islam) dan perkara negatif yang telah saya senaraikan dan analisis dalam
tulisan di blog ini. Mereka adalah golongan al-ghafilun
yang menjadikan khayalan palsu sebagai unsur baru yang amat negatif, yang penuh
dengan unsur ‘iwajan yang melalaikan masyarakat sehingga tidak
dapat melihat kepalsuan ini sebagai kepalsuan setelah diberi pengiktirafan oleh
negara. Oleh sebab kita telah terlanjur dalam membuat pilihan yang amat negatif
ini, maka kita amat memerlukan satu kaedah yang persis yang boleh membaca
kepalsuan ini dengan tuntas dan dapat menghuraikannya dengan jelas. Inilah yang
cuba dilakukan oleh Gagasan Persuratan Baru yang mendapat tentangan hebat
daripada para sarjana ciritan dan para sasterawan yang “cetek meraba-raba” itu. Kita telah membazirkan begitu banyak wang
untuk menempatkan kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba” ini di tempat yang
mereka tidak layak mendudukinya. Kita juga telah mengelirukan para pelajar dan
guru serta pensyarah sastera yang dipaksa menerima karya yang tidak bermutu
untuk dijadikan teks dalam pengajaran sastera, sehingga membunuh minat para
pelajar yang tidak dapat menerima karya mereka ini sebagai karya yang layak
diberi tempat dalam pendidikan negara.
Semua kesimpulan ini telah dihuraikan dengan jelas dalam tulisan yang
dimuat dalam blog ini dan dalam buku-buku tentang Persuratan Baru yang telah
diterbitkan, dengan itu tidak ada lagi
alasan untuk meletakkan mereka sebagai contoh keupayaan berfikir yang tinggi
dan kemampuan kreatif yang istimewa. Mereka tidak mempunyai kedua-duanya,
seperti yang telah diperlihatkan dalam analisis dan penilaian yang objektif tentang
karya mereka. Ketergantungan mereka kepada Panel Anugerah Sastera Negara telah
dirobohkan apabila penilaian Panel dibuktikan penuh dengan pretensi intelektual
dan fatamorgana bahasa sahaja. Supaya kita tidak terus melakukan jenayah
intelektual ketika kita berupaya mencegahnya, maka tugas kita sekarang ialah
menilai kembali sumbangan para sasterawan negara ini berasaskan konsep ilmu
yang benar. Hanya itulah saja caranya kita dapat membetulkan kesilapan besar
yang telah kita lakukan. Itulah satu-satunya pilihan yang ada pada kita, jika
kita benar-benar manusia yang beradab.
Bahagian II
Cerita pendek “Kilang
Sastera” (Mingguan Malaysia, 28
September 1974) dalam Pura Bujangga
adalah satu kritikan terhadap
kepura-puraan para sasterawan, dan mereka inilah yang kemudiannya diangkat
menjadi “sasterawan negara.” Pada waktu saya menulis cerita pendek itu, belum
lagi timbul “industri kreatif” yang kini menjadi satu projek utama dalam
memajukan kedudukan kegiatan kreatif sebagai sejenis hiburan yang berkualiti, yang
dinilai sepenuhnya dari perspektif kemahuan hawa nafsu rendah manusia. Asas
“industri kreatif” ialah keperluan mendapat hiburan berasaskan kemahuan nafsu
rendah manusia yang kini amat memerlukan hiburan yang canggih untuk
mengurangkan tekanan kehidupan moden yang seluruhnya dinilai daripada
perspektif kebendaan dan keperluan hawa nafsu semata-mata. Itulah maksud
“industri kreatif” yang hendak diwujudkan di Malaysia. Dalam buku terbitan
ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa,
persoalan mengenai “industri kreatif” (baca “industri hiburan”) disentuh secara
umum oleh Anwar Ridhwan dalam kertasnya, tanpa sebarang fokus akan kesan
negatif “industri hiburan” di Malaysia yang menjadi hidangan utama dalam
pelbagai bentuk hiburan, dari drama ke lawak jenaka, dari gosip ke celoteh liar berupa program untuk
memberi tumpuan kepada pelakon dan penyanyi wanita, yang kesemuanya memakan air time yang besar, lebih dari 85%. Ini
suatu kegilaan kepada hiburan yang sudah melampaui keperluan yang siuman, telah
diangkat menjadi dadah hedonisme yang menjadikan anak-anak muda buta budaya dan
amat tumpul daya fikirnya. “Industri hiburan” telah menguasai program
televisyen. Adakah inilah bentuk
“industri kreatif” yang kita mahu? Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 tidak
berminat kepada persoalan ini, dengan itu mereka tidak lagi sensitif kepada
kehancuran bahasa Melayu yang standard dalam dunia industri hiburan dan dalam
program gosip yang diberi tumpuan yang besar oleh semua stesen TV
Malaysia. Dalam konteks inilah anda
harus membaca cerita pendek “Kilang Sastera” yang sejak awal lagi telah
membangkitkan kegilaan yang menjadi tumpuan sekarang. Apa yang disebut sebagai “industri kreatif”
itu sebenarnya “industri hiburan”, yang akan memberi penekanan kepada budaya
hawa nafsu (the sensate culture) yang
menjadikan hiburan sebagai gerakan besar-besaran dalam perdagangan semua aspek
hiburan. Ini dapat kita lihat di Malaysia misalnya dalam program ASTRO seperti
“Akademi Fantasia”, “Raja Lawak” dan lain-lain.
Semua program ini memberi keuntungan atau pulangan yang besar dan para
peserta juga boleh menjadi kaya raya.
Dalam cerita pendek “Najis”
saya memberi sedikit gambaran tentang usaha jahat para sarjana ciritan yang
merancang dengan teliti untuk memusnahkan usaha Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas yang menubuhkan Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu
(IBKKM). (Keterangan ringkas dalam Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua, hal. 199-200, nota hujung no. 10). Gagal di
UKM, beliau menubuhkan ISTAC, yang juga dikhianati oleh ahli politik dan
sarjana yang hasad, yang tidak mahu melihat perkembangan pemikiran dalam
pembinaan kebudayaan Melayu dan budaya ilmu di Malaysia. Mereka yang bertindak
memusnahkan program pembangunan budaya ilmu sebenarnya lebih rendah darjatnya
dan lebih hina daripada najis; tetapi najis-najis ini masih terus berleluasa
dalam kesusasteraan Melayu moden hingga ke hari ini. Mereka masih meneruskan
usaha jahat mereka untuk menghalang sebarang usaha untuk mencerdikkan
masyarakat sambil membangun budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. Saya
telah memberi contoh-contoh bagaimana golongan najis ini memainkan peranan
mereka, termasuk usaha mereka menolak Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid dengan alasan buku itu tidak
diplomatik!
Kritikan awal terhadap
kepura-puraan para sasterawan dan seniman ini bermula dengan cerita pendek “Le
Cameleon” (Mingguan Malaysia, 25 Mei
1969). Cerita pendek ini mendapat perhatian Prof. Ungku Aziz (Pak Ungku)
menurut Almarhum isteri beliau, Puan Azah Aziz. Sejak itu hingga sekarang Pak
Ungku masih lagi membaca karya saya, dan pernah memberitahu saya adalah seorang
penulis satira yang tajam kritikannya. Kritikan saya terhadap golongan “cetek
meraba-raba” ini terkumpul dalam kumpulan cerita pendek Le Masque (DBP 1974). Cerita pendek berjudul “Cerita Pendek” (Widya, November 1983) dalam Pura Bujangga penting kerana di situlah
saya sebut (hanya sebutan) perbezaan antara mengarang dengan menulis (hal.
163). Inilah dialognya: “Apakah yang kau
cari dalam longgokan sampah ini?
Sekarang tidak ada lagi pengarang.
Yang banyak penulis, yang menulis
sampah sarap …” Seterusnya dialog ini: “Aku hanya ingin meletakkan satu ukuran,
dan kita mesti betul-betul jelas apa ukuran itu.” (hal. 172). Sejak tahun 1980-an saya sudah menekankan
perbezaan ini, pada mulanya secara bersahaja; tetapi kemudiannya (2004)
menjelaskannya dalam Balai Maqamat
sebagai pendahuluan buku itu. (Baru diterbitkan oleh ITBM 2014; setelah ditolak
oleh DBP 2004). Perbezaan ini penting
difahami kerana berkaitan dengan konsep wacana dan cerita dalam Persuratan
Baru. Seorang penulis atau “pandai tulis” adalah seorang tukang cerita, seorang
penglipur lara, yang hanya ingin bercerita dan tidak berminat mewacanakan
cerita dalam ruang naratif yang lebih mementingkan pengolahan idea, bukan hanya
sekadar bercerita seperti yang dilakukan oleh para sasterawan negara. Keinginan yang begitu besar untuk hanya
bercerita sebagai penglipur lara moden dapat dilihat dalam novel-novel Anwar
Ridhwan seperti Hari-hari Terakhir
Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto, Penyeberang Sempadan dan cerita-cerita
pendek beliau yang mendapat pujian tinggi Panel Anugerah Sastera Negara.
Untuk makluman pembaca, saya salin tiga
resensi ringkas tentang Pura Bujangga
yang saya dapat dari Internet. Setakat yang saya tahu, belum ada lagi apa-apa
resensi daripada sesiapa tentang Pura
Bujangga. Para sarjana ciritan tidak
berminat kerana nanti mereka akan berbicara tentang diri mereka dan para
sasterawan yang cetek meraba-raba.
Penglipur
lara diberi taraf ulama
Sarjana
palsu cetek ilmu
Diberi
gelar mahaguru
Ahli nujum
tak kenal bintang
Diberi
gelar Nujum Terbilang.
Pembaca
mantera buta aksara
Diberi
taraf Bomoh Negara.
Simpul
sihir yang dirungkai
Hanya tali
pengikat sigai.
(Lihat sajak penuh,
“Pendekar Palsu”, dalam Pujangga Melayu,
hal. 446-447).
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24 Jun 2015.
Tuesday, October 25, 2011
1. Dari satu cerpen ke satu cerpen,
pembacaan menjadi makin seronok dan makin seronok. Cerita bertambah kritis dan
penuh dengan kiasan serta saratan sindiran yang halus, tajam, tepat dan penuh
makna.
2. Sebuah buku himpunan cerpen yang berkelas tinggi daripada seorang penulis yang sungguh lantang bersuara, (http://pbaru.blogspot.com/) yang anehnya diterbitkan oleh DBP.
3. Boleh dikatakan kesemua cerpen di dalam buku ini saya gemari. Ceritanya begitu bersahaja tetapi menyentuh satu dua perkara yang memberikan pembaca pandangan dan pemikiran yang unik.
4. Pura Bujangga. Pura bermakna pura-pura, tidak sungguh-sungguh. Sementara Bujangga pula membawa maksud orang yang pandai, sasterawan, pujangga.
5. Secara keseluruhannya bolehlah difahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis lewat cerpen-cerpennya di dalam antologi ini dengan melihat kepada judul yang dipilih.
6. Penulis cuba membawa cerita tentang manusia yang berpura-pura menjadi orang pandai. Berlagak tahu tetapi sebenarnya tidak tahu.
7. Melalui pembacaan yang lain, dituliskan bahawa manusia terbahagi kepada empat golongan, yang berkait dengan perkara tahu dan tidak tahu ini.
Satu. Mereka yang tahu bahawa mereka tahu.
Dua. Mereka yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya tahu.
Tiga. Mereka yang tahu bahawa mereka tidak tahu.
Empat. Mereka yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya tidak tahu.
8. Jika dilihat pada judulnya, Affandi Hassan cuba membawa kisah berkenaan mereka yang berada di dalam golongan keempat. Golongan yang parah sekali. Kerana mereka ini adalah kumpulan manusia yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak tahu. Tetapi berlagak tahu, yang mana akhirnya akan menyesatkan orang lain dengannya.
9. Terdapat 16 buah cerpen keseluruhannya di dalam buku ini yang berkisar tentang politik, keagamaan, kemanusiaan, jati diri dan pegangan yang mana ditulis dengan begitu tertib bersama dengan pendahuluannya, isinya, klimaksnya, dan penutupnya yang kekadang diluar dari jangkaan.
10. Belilah kalau terjumpa dengan buku ini di mana-mana. Tak rugi. Tapi sukar sekali untuk ketemu sama Pura Bujangga ini jika tidak kena dengan tempat carinya.
11. Juga rajin-rajinlah singgah sini untuk dapatkan buku-buku yang jarang ada di pasaran. Semoga bermanfaat.
2. Sebuah buku himpunan cerpen yang berkelas tinggi daripada seorang penulis yang sungguh lantang bersuara, (http://pbaru.blogspot.com/) yang anehnya diterbitkan oleh DBP.
3. Boleh dikatakan kesemua cerpen di dalam buku ini saya gemari. Ceritanya begitu bersahaja tetapi menyentuh satu dua perkara yang memberikan pembaca pandangan dan pemikiran yang unik.
4. Pura Bujangga. Pura bermakna pura-pura, tidak sungguh-sungguh. Sementara Bujangga pula membawa maksud orang yang pandai, sasterawan, pujangga.
5. Secara keseluruhannya bolehlah difahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis lewat cerpen-cerpennya di dalam antologi ini dengan melihat kepada judul yang dipilih.
6. Penulis cuba membawa cerita tentang manusia yang berpura-pura menjadi orang pandai. Berlagak tahu tetapi sebenarnya tidak tahu.
7. Melalui pembacaan yang lain, dituliskan bahawa manusia terbahagi kepada empat golongan, yang berkait dengan perkara tahu dan tidak tahu ini.
Satu. Mereka yang tahu bahawa mereka tahu.
Dua. Mereka yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya tahu.
Tiga. Mereka yang tahu bahawa mereka tidak tahu.
Empat. Mereka yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya tidak tahu.
8. Jika dilihat pada judulnya, Affandi Hassan cuba membawa kisah berkenaan mereka yang berada di dalam golongan keempat. Golongan yang parah sekali. Kerana mereka ini adalah kumpulan manusia yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak tahu. Tetapi berlagak tahu, yang mana akhirnya akan menyesatkan orang lain dengannya.
9. Terdapat 16 buah cerpen keseluruhannya di dalam buku ini yang berkisar tentang politik, keagamaan, kemanusiaan, jati diri dan pegangan yang mana ditulis dengan begitu tertib bersama dengan pendahuluannya, isinya, klimaksnya, dan penutupnya yang kekadang diluar dari jangkaan.
10. Belilah kalau terjumpa dengan buku ini di mana-mana. Tak rugi. Tapi sukar sekali untuk ketemu sama Pura Bujangga ini jika tidak kena dengan tempat carinya.
11. Juga rajin-rajinlah singgah sini untuk dapatkan buku-buku yang jarang ada di pasaran. Semoga bermanfaat.
Dari blog Fandy Taher
“melihat buku”. yang dua lagi bawah daripada goodreads
Kulitnya
betul langsung tidak menarik, tapi isi dalamnya - kumpulan cerpen-cerpen
Mohd.Affandi Hassan yang disiarkan sekitar tahun 70-an mengandungi kritikan
yang keras terhadap pengamal-pengamal politik berhaluan kanan.
Barangkali media pada zaman 70-an lebih telus dan bebas berbanding sekarang kerana berani menyiarkan cerpen-cerpen yang jelas menyindir keras kebobrokan budaya politik waktu itu?
Begitu juga saya melihat betapa pengamal-pengamal politik kanan langsung tidak berubah, budayanya sama sahaja, dari 30 tahun dahulu hinggalah sekarang. Membaca Pura Bujangga, terasa seperti Mohd Affandi Hassan sedang melemparkan kutukan kepada senario politik sekarang, walhal cerpen-cerpen ini ditulis semasa 20 atau 30 tahun terdahulu. Politik wang serta fitnah, dan mereka yang berjuang membela rakyat dianggap pengkhianat bangsa. Bukankah itu yang sedang berlaku sekarang?
Barangkali media pada zaman 70-an lebih telus dan bebas berbanding sekarang kerana berani menyiarkan cerpen-cerpen yang jelas menyindir keras kebobrokan budaya politik waktu itu?
Begitu juga saya melihat betapa pengamal-pengamal politik kanan langsung tidak berubah, budayanya sama sahaja, dari 30 tahun dahulu hinggalah sekarang. Membaca Pura Bujangga, terasa seperti Mohd Affandi Hassan sedang melemparkan kutukan kepada senario politik sekarang, walhal cerpen-cerpen ini ditulis semasa 20 atau 30 tahun terdahulu. Politik wang serta fitnah, dan mereka yang berjuang membela rakyat dianggap pengkhianat bangsa. Bukankah itu yang sedang berlaku sekarang?
Saya lebih
menyukai kumpulan cerpen ini berbanding Mimpi Rakyat. Pertama kerana buku ini
tidak sekadar membawakan cerpen-cerpen daripada satu-satu tema tertentu. Kedua,
mungkin kerana buku ini mengumpulkan kebanyakan cerpen-cerpen yang sudah
tersiar di arus perdana, panjangnya lebih terkawal dan tidak terlalu
berjela-jela.
Antara yang saya suka ialah cerpen Cerita Pendek. Cerpen ini mengkritik dengan bijak.
Banyak cerpen yang saya suka. Hanya beberapa cerpen di hujung-hujung yang terlalu mahu mengkritik dan meleret.
Kesimpulannya, berkenalan dengan Mohd Affandi Hassan melalui cerpen-cerpennya sungguh menyenangkan :)
Antara yang saya suka ialah cerpen Cerita Pendek. Cerpen ini mengkritik dengan bijak.
Banyak cerpen yang saya suka. Hanya beberapa cerpen di hujung-hujung yang terlalu mahu mengkritik dan meleret.
Kesimpulannya, berkenalan dengan Mohd Affandi Hassan melalui cerpen-cerpennya sungguh menyenangkan :)