Sekarang
kita mempunyai dua pendapat, dua pendirian, yang terbuka untuk dipilih oleh
mana-mana pihak yang berkenaan. Untuk memastikan anda membuat pilihan yang
paling tepat, pilihan yang terbaik, anda tidak boleh terlepas daripada
tanggungjawab untuk menilai pilihan anda itu berasaskan ilmu. Inilah kedudukan
sekarang, setelah anda diberi kata dua oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh
dalam dikrinya terhadap kedudukan teori Barat dalam sastera Melayu. Seperti
yang anda sudah maklum, menurut beliau menggunakan teori Barat untuk menilai
karya sastera Melayu adalah satu kesalahan; dengan itu, secara lagik,
pelantikan para sasterawan negara (termasuk beliau sendiri) adalah salah dan
palsu kerana, menurut penegasan beliau, diasaskan kepada teori sastera Barat. Itulah
kedudukan pertama yang menjadi “arus perdana” sekarang. Jika anda menerima
pelantikan para sasterawan negara ini berasaskan teori sastera Barat, maka anda
berada dalam keadaan yang amat memalukan, iaitu anda telah membuat pilihan yang
salah. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghujahkan pendapat Prof.
Emeritus Muhammad Salleh itulah yang salah, bukan Panel Anugerah Sastera Negara
yang tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teori sastera Barat. Apa salahnya dengan teori sastera Barat? Pertanyaan ini hanya boleh dijawab oleh para
sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan sendiri. Mereka tidak
perlu bercakap atau menulis panjang lebar untuk membela teori sastera Barat
dalam sastera Melayu. Tanpa sastera Barat tidak ada sastera Melayu dan tidak
ada pengajian Melayu dan tidak ada kritik sastera. Jika anda menerima hujah
ini, maka jelaslah yang bersalah ialah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh.
Tetapi pandangan beliau sangat penting, kerana telah ada kesedaran yang perlu
dilayani dengan baik, dengan sikap akademik yang mantap. Walaupun pandangan
Prof. Muhammad Haji Salleh sendiri tidak mantap, beliau telah menyatakan
sesuatu yang betul, yang perlu diikuti. Kalau anda tidak mahu menerima pendapat
seorang profesor sastera yang sangat handalan dan amat terkenal di Malaysia
seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh itu, maka pendapat siapa lagi yang
anda boleh terima. Tentu saja bukan pendapat saya, yang tidak mempunyai apa-apa
gelaran akademik mahu pun gelaran kreatif. Walaupun saya mungkin mempunyai
kekuatan ilmiah yang jauh lebih kuat daripada Prof. Emeritus Muhammad Haji
Salleh, saya tidak mempunyai bukti seperti beliau. Kesimpulannya, pendapat
Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh adalah yang terbaik bagi siapa-siapa yang
bersikap anti ilmu, yang menolak wujudnya konsep ilmu yang benar. Bagi pihak yang menerima konsep ilmu yang
benar, pendirian saya adalah yang terbaik dan paling siuman untuk diikuti.
Inilah pilihan anda: jika anda memilih pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji
Salleh, maka anda berada dalam keadaan yang selamat kerana itulah pandangan
yang dinamakan “arus perdana”, yang menjadi pegangan majoriti dan telah berjaya
menegakkan hegemoni (menurut falsafah Dr. Mohamed Salleh Rahamad) dan kumpulan
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Inilah pegangan yang sah di Malaysia.
Adapun pandangan saya, walaupun kukuh dan tegap perkasa dari segi ilmiah, tidak
boleh dipakai, menurut kumpulan majoriti, kerana tidak dapat dilaksanakan.
Hanya satu impian, kata mereka. Tidak ada apa-apa untuk dijadikan
pegangan. Walaupun diakui oleh manusia
siuman bahawa kebenaran tidak memerlukan suara majoriti, namun kedudukannya
berlainan di Malaysia, yang sangat teguh memegang suara majoriti. Bagi mereka,
yang majoriti itu tidak mungkin berbuat silap, tidak mungkin membuat salah,
kerana mereka ramai. Apakah akibat pandangan seperti ini di Malaysia? Akibat
yang paling besar dan paling menonjol ialah pandangan ini melahirkan
pandirisme, yang kesannya amat buruk ke atas pemikiran manusia dan ke atas
perkembangan sastera Melayu moden. Saya telah jelaskan aspek ini dalam tulisan
saya.
Sikap
yang mereka ambil ini digelar sikap “lembu kanyang” dalam loghat Kelantan
(budaya Kelantan). Lembu kenyang rerus megunyah kerana rumput dibawakan kepada
mereka. Inilah keadaan badan-badan penulis di Malaysia, yang mendapat “rumput”
daripada kerajaan. Sumbangan badan penulis ini memang jelas apabila tertubuhnya
dengan subur Mutual Admiration Club. Dengan
“rumput” yang dibawakan kepada mereka oleh Kerajaan, maka badan-badan
penulis ini memperkuat kedudukan mereka dalam Mutual Admiration Club. Tidaklah
aneh jika akhirnya Prof. Emeritus, yang dalam tahun 1973 mengutuk Mutual
Admiration Club, akhirnya tidak saja menerima Mutual Admiration Club itu
penting, tetapi terus menjadi ketua kumpulan itu. Mengapakah MAC ini penting? Sebabnya cukup
mudah. MAC memberi kekuatan kepada
kumpulan ini untuk mengunyah “rumput” yang dibawakan kepada mereka tanpa
sebarang rasa bersalah atau terhina kerana maruah mereka sebagai penulis
diremehkan oleh Kerajaan yang inginkan sokongan. Sama-sama mahu: yang satu mahu
sokongan; yang satu lagi mahu wang. Kumpulan
“lembu kenyang” ini tidak berminat kepada ilmu, kepada dialog, kepada
perbahasan. Mereka hanya berminat kepada saling memuji satu sama lain.
Baru-baru
ini keluar dalam satu program TV seorang tokoh yang pernah menjadi Ketua Satu
Gapena (tak pasti beliau masih lagi Ketua Satu atau tidak) bercakap tentang
korupsi dalam kerajaan, politik dan ekonomi. Walaupun beliau dianggap sebagai
seorang “intelektual” dan seorang yang terkenal dalam bidang sastera sebagai
sarjana, namun pendapat beliau amat cetek dan simplistik. Beliau tidak
menghuraikan apakah punca korupsi, dan mengapa punca itu disuburkan. Punca terbesar ialah kehilangan adab, yang
melahirkan pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan manusia. Dalam
kesusasteraan Melayu, kehilangan adab ini sangat jelas, telah dihuraikan dengan
mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-buku beliau. Inilah
punca korupsi, yang juga berlaku dalam bidang intelektual. Korupsi intelektual
lebih besar akibatnya daripada yang lain-lain itu. Korupsi intelektual boleh
meruntuhkan satu tamadun sesuatu bangsa. Di Malaysia kita tahu akibatnya, dan
telah banyak kali saya bicarakan dalam blog ini. Korupsi intelektual inilah
yang menjadi faktor keruntuhan sesuatu tamadun, yang juga berlaku dalam tamadun
Melayu. Korupsi intelektal yang menjadi projek Asas 50 telah melumpuhkan
sastera Melayu moden, yang tidak lagi mencerminkan kegiatan intelektual
berasaskan ilmu, sebaliknya menjadi satu gerakan kebiadaban baru yang berjaya
mengusutkan umat Melayu dalam kebudayaan mereka yang dulunya berteraskan ilmu,
melalui Asas 50 bertukar menjadi perjuangan nasionalis kiri yang mengetepikan
agama dan aspek kerohanian dalam kehidupan manusia. Inilah salah satu faktor
yang memudahkan munculnya pandirisme dalam kebudayaan Melayu. Kini pandirisme
itu dijadikan arus perdana, diberi nama yang memikat sebagai “hegemoni” yang
kononnya menjadikan sastera warisan Asas 50 sebagai teras negara bangsa.
Nampaknya bangsa Melayu terus menjadi bodoh kerana mereka diajar oleh
sastera Asas 50 dan pengajaran sastera
di sekolah-sekolah yang menjadikan pendekatan Barat sepenuhnya sebagai teknik
mempelajari karya sastera. Teori Barat
boleh digunakan, tetapi hendaklah dengan pengetahuan yang agak mendalam
mengenai sejarah teori itu dan mengapa sentiasa terjadi perubahan. Pengetahuan
seumpama ini penting kerana perubahan itu berkaitan dengan cara tiap-tiap teori
mendekati dan membuat tafsiran terhadap sesuatu karya. Di Malaysia teknik yang
dipakai telah dimatikan dengan segugus konsep yang tidak berubah sejak berpuluh
tahun ini, iaitu konsep-konsep tema, latar belakang, dialog, perwatakan, dan
yang sejenis dengannya. Itulah konsep yang dipakai untuk membaca dan menilai
sesuatu novel atau cerita pendek, kini sudah menjadi klise yang amat tumpul
dari segi pembacaan yang kritis. Inilah konsep-konsep klise yang masih dipakai
yang akhirnya melumpuhkan pengajaran sastera di sekolah-sekolah. Dengan
menggunakan klise ini, semua karya adalah bermutu belaka, seperti yang
dibuktikan dari penjelasan Kementerian Pelajaran ketika membela sebuah novel
yang dijadikan teks yang menimbulkan kontroversi. Kata mereka, novel itu penuh
dengan pengajaran dan nilai-nilai murni! Kesimpulan begini adalah jenis
kesimpulan klise. Inilah sikap jahil
yang menjahanamkan sastera. Lebih teruk lagi, menjahanamkan pelajar.
Walaupun
Panel Anugerah Sastera Negara amat terpesona dengan perubahan dan menjeritkan
dengan nyaring kepada para sasterawan supaya melakukan perubahan dalam karya
mereka, namun mereka sebenarnya menentang dengan gigih sebarang perubahan yang
memberi kedudukan tinggi dan sewajarnya kepada ilmu yang benar dalam kegiatan
seni mengarang. Mereka tidak terima perubahan ke arah ini, kerana mereka
menjadi menggigil ketakutan bahawa para sasterawan negara dan Panel Anugerah
Sastera Negara akan menjadi tidak relevan lagi. Kalau benarlah andaian mereka,
adakah kesilapan yang ditegaskan oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh masih
perlu diteruskan? Alternatif telah ada, yang penting hanya membuat pilihan. Tetapi
Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh sendiri tak mahukan perubahan yang
dicanangnya. Itulah masalah kita.
Pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Panel Anugerah Sastera
Negara disokong oleh GAPENA, PENA dan semua badan penulis seluruh negara.
Inilah kesan pandirisme dalam sastera Melayu moden. Dirgahayu pandirisme!
Mohd.
Affandi Hassan
Petaling
Jaya 31 Januari 2017.