Wednesday, September 30, 2015

TERUSKANLAH KEKELIRUAN ITU JIKA ANDA SELESA BERADA DALAM KEKELIRUAN



Catatan:
Saya siarkan kembali tulisan ini (2011)  kerana boleh membantu pembaca memahami entri terbaru yang sudah disiapkan, tetapi masih disemak. Lihat juga entri bertarikh  9 November 2011 tentang tiga beban sastera Melayu. Dengan meremehkan gagasan Persuratan Baru, sarjana sastera dan para pengkritik menjadi penghalang perkembangan baru yang lebih mencabar dalam bidang kreatif dan kritikan. Semua ini membuktikan omong kosong Panel Anugerah Sastera Negara, yang disokong oleh para sarjana dan pengkritik, yang kononnya  menyanjung perubahan. Dalam konteks inilah tulisan ini perlu difahami.  Sikap anti-perubahan ini berkait rapat dengan sikap anti-ilmu di kalangan sarjana dan penilai/pengkritik sastera. Mereka ingin berleluasa bertindak sesuka hati mereka untuk memastikan mereka masih terus laku, walaupun harga mereka sangat murah. Dalam dunia ilmu, yang laku sepatutnya yang berharga mahal, tetapi di Malaysia terbalik.  Oleh itu anda perlu juga membaca dengan kritis entri bertarikh  16 Julai, 2011: “Persuratan Baru Merombak Kaedah Lama Dalam Analisis dan Penilaian Karya Kreatif”.

Monday, December 5, 2011
TERUSKANLAH KEKELIRUAN ITU JIKA ANDA SELESA BERADA DALAM KEKELIRUAN
Mana yang lebih utama, bentuk atau isi? Bagi seorang pengarang, terutama sekali seorang pengarang yang cerdik dan cukup ilmu (kadang-kadang terjumpa  pengarang bodoh yang berpura-pura cerdik, seperti ada pengkritik bodoh berlagak pandai  sambil memandai-mandai melontar pendapat),  mana satu yang lebih utama tidak membuatnya terhuyung hayang mabuk kognitif kerana belum bersedia untuk menjadi pengarang. Seorang pengarang yang cerdik dan tinggi daya kreatifnya akan mencipta sesuatu yang unik kerana adanya kekuatan daya kreatifnya; dan pada waktu yang sama dia memberikan kebijaksanaan dalam karyanya hasil dari kemampuan inteleknya yang tinggi.  Masalah mana satu yang perlu diutamakan, bentuk atau isi, hanya menjadi masalah di kalangan pengamal pandirisme dalam penulisan dan kritikan sastera, tidak di kalangan pengarang Islam yang dididik dalam epistemologi tauhid dan tanggungjawab taklif.

Katalah anda seorang penulis khat yang sangat handal. Hasil kerja anda sangat cantik dan benar-benar dikagumi. Di antara karya khat anda yang paling terkenal dan banyak disimpan orang salinannya berbunyi: Aku gila, oleh itu aku berjaya. Anda tak mahu jadi gila? Anda tak akan berjaya. Orang gila masuk syurga.  Dia menuliskan kata-kata itu dalam bentuk khat yang amat cantik, tanpa memperdulikan maknanya.  Adakah dia seorang ahli khat yang siuman?  Sekiranya dia hanya ingin membuktikan bahawa kata-kata yang karut dan bodoh masih dihargai dan dipandang cantik jika khatnya cantik, maka dia tentulah seorang penulis khat yang gila. Belum ada lagi penulis khat yang gilakan bentuk tetapi tidak memperdulikan makna. Kemunculan khat itu sendiri sebagai seni kerana matlamatnya untuk memberi dua perkara: kecantikan tulisan, dan kecantikan ucapan. Khat terbentuk kerana manusia sedar kedua-duanya diperlukan oleh manusia yang siuman, kerana itulah sifat tabii dan hakiki seorang manusia.  Dalam dunia penulisan lebih-lebih lagi. Jika teknik anda selekeh, anda tidak mungkin menghasilkan karya kreatif yang bernilai. Itu klise, diketahui oleh penulis yang paling tumpul akalnya sekali pun.  Tetapi jarang orang sedar bahawa teknik dan makna tidak dapat dipisahkan: penulis yang berjaya diukur dari kecanggihan teknik dan kemampuan inteleknya mengolah persoalan yang dikemukakannya dengan cermat dan mendalam. Tetapi hakikat ini tidak disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara sekali pun, jika anda membaca laporan mereka dan meneliti kritikan saya tentang laporan itu.

Betulkah orang gila masuk syurga? Anda akan bertanya soalan ini jika anda seorang yang siuman. Bagaimana jika anda tidak saja  seorang yang siuman, tetapi juga seorang kaya, berilmu, ada firma sendiri (tak kiralah firma apa pun),  dan pada waktu yang sama anda seorang yang amat gemarkan kesenian, sukakan keindahan. Khat tadi memang sangat indah, sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona. Kerana anda seorang yang kaya dan berjaya, anda bersedia membayar satu juta atau lebih untuk mendapatkannya. Anda tayang, atau gantung khat itu di tempat paling mulia di dalam rumah anda atau di pejabat anda. Sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona dan terus memujinya. Bagaimana jika yang melihat itu tidak tahu membaca jawi? Dia masih boleh menikmati keindahan khat itu tanpa mengetahui ertinya. Dia pun boleh dan masih dianggap siuman jika dia mahu membeli “khat” tulisan China atau tulisan dari bahasa apa sekali pun kerana terpesona melihat keindahannya. Adakah dia seorang yang paling siuman? Atau hanya seorang yang gila-gila seni (kononnya) lalu membeli dengan harga mahal sesuatu hasil seni yang dia sendiri tidak tahu maknanya, kecuali hanya untuk  melihat bentuknya. Selama mana dia akan tergilakan bentuk? Tidakkah dia akan berasa bosan melihat sesuatu seperti tikus melihat besi? Katalah dia terus terpesona ...  Tiba-tiba datanglah seorang cucunya yang boleh bercakap dengan fasih walaupun masih seorang budak berumur tiga empat tahun. Tanya sang cucu: Mengapa datuk gantung benda itu? Datuk yang cerdik dan gemarkan keindahan itu menjawab selamba: Nanti kamu akan faham bila kamu sudah besar.  Kerana budak itu cerdik, dia tidak bertanya lagi, kerana dia pun tahu dia tidak akan diberikan jawapan, hanya helah atau alasan menurut cita rasa datuknya.

Bagaimana jika anda yang melihat khat itu dan membaca ayat: Orang gila masuk syurga.  Siapakah yang akan memastikan ucapan atau ungkapa n itu betul? Dari perspektif mana? Katalah anda seorang Islam, dan anda mahu tahu betul tidaknya ucapan itu, kerana anda ada seorang sahabat yang gila, oleh itu anda mahu tahu, adakah sahabat anda akan masuk syurga? Dia gila kerana bangkrap, terlalu tamak waktu siumannya, sehingga kekayaan dan kejayaannya lesap sekelip mata kerana terlalu tamak untuk mendapat lebih banyak lagi. Dia gagal. Terus gila. Adakah betul dia  akan masuk syurga? Untuk menjawab soalan itu, anda perlu bertanya seseorang yang tahu aspek kegilaan yang bagaimana yang akan membawa seseorang gila ke syurga. Ke mana pun anda pergi, dan bagaimana pun anda berdalih, anda akan hanya mendapat jawapan yang betul apabila anda tahu perspektifnya. Jika anda seorang Islam, anda akan mendapat jawapan yang memuaskan daripada seorang yang tahu tentang aspek kegilaan dalam kehidupan manusia, dan gila yang bagaimana yang sekira-kira dapat menjamin anda akan masuk syurga. Pendeknya, anda harus bertanya seorang yang berilmu, tetapi bukan sebarang ilmu. Sebaik saja mendapat kepastian jawapan daripada seorang yang berilmu, dan anda memang jujur ingin tahu betul tidaknya orang gila masuk syurga, maka anda akan membuat keputusan yang tepat:  Perlukah aku simpan khat yang cantik itu di tempat yang istimewa pula? Sekarang anda sudah tahu maknanya, oleh itu lebih mudah anda membuat keputusan. Keputusan itu tidak lagi berasaskan kegemaran anda kepada keindahan semata-mata, tetapi sekarang berasaskan ilmu yang anda dapat. Kini anda berupaya membuat keputusan yang betul dan  adil. Katalah keputusan itu seperti ini:  Anda mahu jual khat itu dengan harga mahal untuk mendapat keuntungan besar. Sebuah galeri sudah bersedia membayarnya kerana galeri itu tahu khat itu hasil seni seorang penulis khat yang amat terkenal. Menyimpan khat itu saja pun satu perbuatan yang amat dikagumi, yang “berprestij”. Katalah anda berjaya menjualnya dengan harga dua juta. Tiba-tiba setahun kemudian anda bertemu dengan orang yang anda kemukakan kemusykilan anda, yang kini bertanya anda: Bagaimana dengan khat itu?  Dengan bangga anda menjawab: Saya sudah jual dengan harga dua juta. Orang yang bijaksana itu terkejut.  Katanya dengan kesal: Tidakkah itu sejenis penipuan dan pembohongan? Anda tahu khat itu sia-sia dan mengelirukan. Mengapa kekeliruan itu dipindahkan kepada orang lain? Tidakkah itu pembohongan dan kekeliruan yang lebih besar? Anda hanya tersenyum, tidak berasa tergugat atau kesal. Dalam hati anda berfikir dengan jelas, Aku dapat dua juta senang-senang. Apa yang kelirunya?

Memang anda seorang yang cerdik dan pintar kerana sekarang anda tidak saja tahu makna sebenar kata-kata yang berbunyi, Orang gila masuk syurga; tetapi anda juga sudah berjaya menjual khat yang istimewa itu dengan harga mahal. Anda untung dalam dua perkara: tahu hakikat sebenar dan makna tulisan khat itu; dan berjaya pula mendapat faedah dari keuntungan perniagaan anda. Tetapi adakah anda  seorang yang bijaksana, jujur, ikhlas, dan insaf serta sudah bertaubat?  Oleh sebab semua itu bukan masalah anda sebenarnya, tetapi masalah orang-orang seperti saya, maka perbuatan anda itu akan tetap menjadi persoalan kepada saya: Mengapa orang seperti anda itu terus wujud dalam kehidupan manusia?  Adakah saya akan mendapat jawapan kepada soalan itu?

Dalam dunia sastera Melayu, inilah masalah yang dihadapi berterusan oleh para sasterawan, pengkritik sastera dan para sarjana yang mengajar dan menulis tentang sastera, mungkin tidak akan ada keputusannya kerana mereka (yakni sasterawan, pengkritik, sarjana) memang tidak mahu menerima keputusan yang mereka anggap merugikan mereka.  Mengapa mereka beranggapan demikian?  Jawapannya mudah: konsep ilmu mereka tidak beres, oleh itu keliru, dan dengan itu tidak dapat dijadikan sandaran untuk membuat keputusan yang tepat dan adil.  Sebenarnya ini bukan masalah nilai atau masalah ilmu. Ini masalah sikap. Anda tahu, sebagai orang Islam, mana satu yang betul mana pula yang tidak. Anda cukup faham, kerana itu anda selalu sebut: amar makruf, nahi mungkar.  Tetapi mengapa anda masih berdegil  dan terus melakukan yang mungkar?  Kerana yang mungkar itu dilakukan oleh orang lain; anda sendiri tidak pernah melakukan kemungkaran itu.  Jadi bagi anda tidak ada masalah; semua masalah adalah kepunyaan orang lain.  Kerana itulah anda membuat keputusan: dalam karya sastera atau apa-apa pun jenis kesenian atau yang boleh dipanggil kesenian, bentuklah yang akan membuat karya itu kekal dinikmati selama-lamanya, bukan isinya, kerana isi akan berubah tafsirannya mengikut masa dan cita rasa pembaca atau penonton atau penikmat hasil seni itu. Inilah relativisme yang memang menjadi persoalan, dan masalah, dalam falsafah seni Barat. Tidak ada yang pasti, yang kekal, kerana menurut mereka hanya orang gila saja yang pasti dan mahu kekal dalam kepastian itu.  Semuanya berubah, dan menjadi tugas penulis dan penilai sastera mendewakan perubahan kerana di situlah terdapat kemajuan.  Dengan itu kejayaan dinilai dari perspektif eksperimen yang dilakukan penulis, bukan isinya. Inilah pandangan dan pendirian  Panel Anugerah Sastera Negara jika anda membaca laporan mereka. Tetapi pendapat ini tidak mempunyai asas  epistemologi sama sekali, apatah lagi asas epistemologi Islam.  Jika hakikat ini disedari, mengapa para sasterawan, pengkritik dan sarjana yang mengaku Islam menerima suatu pendirian yang tidak berasaskan ilmu? Jawapannya mudah: kerana mereka keliru dalam konsep ilmu, dengan itu mereka gagal memberi penilaian yang tepat dan objektif dalam menangani masalah kejahilan mereka.  Mereka adalah golongan ingkar yang amat degil mempertahankan kejahilan mereka, dan berasa sangat selesa berada dalam kejahilan itu dan bangga pula membuat keputusan berasaskan kejahilan dan padirisme.

Salah satu kelebihan gagasan Persuratan Baru ialah kerana PB dapat menyelesaikan masalah kejahilan dan kedegilan pandirisme ini.  Persuratan Baru terbuka untuk dikritik, dan dikritik sehabis kritis.  Boleh saja dibawa masuk beratus (jika ada) teori Barat atau teori dari mana saja untuk menangkis gagasan Persuratan Baru dan membuktikan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru tidak tepat, tidak objektif dan tidak cocok dengan   “bentuk dan isi” karya yang dinilai. Sila berikan hujah anda supaya pendirian dan penilaian anda boleh difahami oleh orang lain; dan anda juga mesti bersedia untuk dikritik dengan sehabis kritis. Kita perlukan dialog terbuka begini, bukan saja untuk memahami satu sama lain, tetapi juga untuk menolak yang palsu dan selekeh dari segi pemikiran dan penghujahan.   Jika anda belum bersedia untuk dialog itu, anda diberi peluang dan masa yang anda  perlukan, berapa lama pun anda mahu. 

Gagasan Persuratan Baru tidak sukar untuk difahami. Dalam tesis sarjana oleh R. Sharatha a/p Ramasamy, bertarikh 2007 yang dikerjakan di Akademi Pengajian Melayu, Univesiti Malaya, di bawah pengawasan dan bimbingan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, berjudul “Pujangga Melayu: Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, Puan Sharatha telah membuktikan seorang sarjana bukan Islam pun dapat memahami gagasan Persuratan Baru tanpa masalah.  Tahniah, Puan Sharatha kerana telah menunjukkan kemampuan akademik anda  menghuraikan dengan mendalam beberapa aspek Pujangga Melayu dengan menggunakan ukuran Persuratan Baru. Bagus sekali jika anda (yang membaca tulisan ini)  berkata, sesuailah dipakai kerangka analisis dan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru, kerana novel itu sendiri memang ditulis untuk membuktikan gagasan itu boleh menghasilkan karya yang bermutu. Anda boleh menambah, tentulah sesuai dan tiada apa-apa masalah jika digunakan Persuratan Baru kerana Mohd. Affandi Hassan memang menulis novel itu untuk membuktikan Persuratan Baru boleh menghasilkan karya yang bermutu. Sekarang anda hanya perlu melakukan dua perkara yang mudah: membuktikan PB tidak boleh dipakai dalam analisis dan penilaian karya kreatif, hanya boleh digunakan untuk menilai dan menganalisis Pujangga Melayu sahaja, tidak boleh dipakai untuk menilai karya lain. Anda boleh uji bagaimana selekehnya gagasan Persuratan Baru jika dipakai untuk menilai “karya besar”  dunia pilihan anda yang akan menelan PB  bulat-bulat, dan Mohd. Affandi Hassan akan terkulat-kulat melihat karya gergasi dunia menelan PB lalu melemparnya ke laut, tenggelam tidak timbul-timbul lagi.  Perkara mudah yang kedua ialah anda boleh membuktikan, dengan menggunakan PB sebagai pendekatan dalam menganalisis Pujangga Melayu,  bahawa novel itu bukan hasil sastera yang bermutu, tidak juga sebuah karya persuratan yang dicanangkan, dan PB sendiri yang dipakai untuk menilai karya itu hanyut dalam kekaburan akademik.  Sebaliknya jika anda berjaya membaca Pujangga Melayu menggunakan mod bacaan intelektual yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah, maka besar kemungkinan  anda boleh menerima analisis dan penilaian yang dibuat oleh Puan Sharatha dalam tesis sarjananya. Saya fikir ini yang lebih mudah dan lebih siuman, untuk menerima hasil penelitian akademik Puan Sharatha dan dengan itu berpuas hati bahawa gagasan PB dan Pujangga Melayu telah dapat mendamaikan masalah “bentuk dan isi” dalam konteks “indah dan bermakna” yang dijadikan matlamat penulisan kreatif dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) yang menjadi asas kepada gagasan PB. 

Dalam analisis dan penilaiannya, Puan Sharatha banyak menyebut stylization of ideas.  Nampaknya stylization of ideas itu satu teknik yang berjaya difahami beliau walaupun mungkin tidak mendalam, dan teknik itu menghapuskan “masalah” yang dipanggil  masalah “bentuk atau isi” itu.  Betulkah begitu?  Nampaknya teknik stylization of ideas itu berjaya melahirkan karya persuratan, yang diterjemahkan oleh beliau genuine literature.  Kalau analisis Puan Sharatha betul, dan boleh diterima, maka sudah sah kita tidak perlu menjadikan karya sastera itu puncak pencapaian kreatif dan dengan sendirinya kita tidak perlu bersusah payah mencari sasterawan negara baru kalau hanya untuk mengangkat  karya sastera yang berada di bawah karya persuratan, jenis karya  yang menjadi punca masalah “bentuk atau isi” itu, sehingga membingungkan SN Shahnon Ahmad yang  membuatnya menolak karya-karya awalnya yang beliau fikir menyeleweng. Betulkah begitu, Prof. Emeritus Shahnon Ahmad?  Anda tidak perlu menjawabnya, kerana jawapan itu telah diberikan oleh gagasan Persuratan Baru.

Sekali lagi saya ingin mengucap tahniah kepada Puan Sharatha kerana beliau kini muncul sebagai salah seorang yang berupaya membicarakan gagasan Persuratan Baru secara akademik, dengan itu membantu para sasterawan dan sarjana memahami apa maksudnya “bentuk atau isi” dalam konteks “indah dan bermakna” sebuah karya persuratan.   Tesis sarjana anda (2007) kini menjadi rujukan yang penting.  Anda juga telah menyediakan peluang yang luas terbuka dan patut digunakan oleh orang yang masih sangsi bahawa gagasan Persuratan Baru akan menjadi asas perkembangan gemilang persuratan Melayu moden Abad 21 dan seterusnya yang berteraskan ilmu yang benar.  Cabaran bukan lagi terhadap gagasan Persuratan Baru, tetapi tertumpu pada orang yang sangsi itu.

Monday, September 14, 2015

SEJARAH YANG KELIRU ATAU AHLI SEJARAH YANG BUNTU-KELIRU?



Dalam entri bertarkh 15 September 2011, yang berupa borak teh tarek Baha Zain tentang sajarah. Saya salin semula kerana sangat sesuai dibaca lagi pada waktu ini, sebelum  saya siarkan entri tentang Balai Maqamat.   Inilah dia untuk santapan rakyat (sekarang rakyat sudah pandai bersantap).

Thursday, September 15, 2011
SEJARAH KEMERDEKAAN DAN GAGASAN PERSURATAN BARU
Perhatikan bagaimana sejarah bermain dengan kita, atau mempermainkan kita, atau kita dipermainkan sejarah:  Majlis Profesor Negara, melalui Ketua Kluster sekian sekian ... , Prof. Datuk Zainal Kling, mengisytiharkan dengan tegas, dengan sokongan para profesor di dalam kumpulannya (dipanggil kluster) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, kerana raja-raja Melayu terus berdaulat di bawah naungan British, dan semua pekerja kerajaan yang berada di negeri-negeri Melayu adalah anggota kerajaan baginda, oleh itu sesiapa juga yang melakukan kesalahan adalah menderhaka kepada baginda dan layak dihukum, dan hukuman itu dijalankan bagi pihak baginda oleh British yang menaungi kerajaan baginda. Itulah sekira-kira hujah yang diketengahkan. Isunya: Tanah Melayu tidak terjajah, oleh itu kemerdekaan Tanah Melayu  dan raja-raja Melayu tidak pernah digugat dengan kehadiran British di Tanah Melayu yang hanya menjalankan tugas sebagai penasihat kepada raja-raja Melayu. Kata Prof. Zainal Kling:   “Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah oleh British. Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik.” (Catatan: ahli akademik tidak termasuk dalam senarai itu, tidak juga ahli sejarah; untuk makluman, Prof. Zainal Kling bukan ahli sejarah, tetapi seorang “pakar” antropologi yang pernah dibimbing oleh (Prof ) Dr. Syed Husin Ali.)

Menurut Prof. Zainal Kling, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri Perak akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Katanya: “Dinaungi tidak sama dengan kolonial ... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.”   Prof. Zainal Kling tidak menjelaskan bagaimana ketiga-tiga “Negeri Selat” itu terjajah atau diserahkan untuk dijajah oleh British. Fakta sejarah mengatakan, ada pun “Negeri-negeri Selat” itu asalnya tanah jajahan raja-raja Melayu, dijual kepada British untuk membayar hutang. Mengapa sampai begitu sekali? Hutang apa? Mungkin “fakta” ini ada disebut di mana-mana buku sejarah, tetapi tidak disebut oleh Prof. Zainal Kling walaupun penting kerana fakta ini mesti diketahui oleh rakyat.  Beliau juga tidak sebut, dengan berpengkalan di Negeri-negeri Selat itulah British merancang penaklukan negeri-negeri Melayu kerana raja-raja Melayu didapati tidak berupaya menjaga keamanan sehingga menjejaskan perniagaan British di Tanah Melayu; di samping itu British selalu sangsi terhadap kejujuran raja-raja Melayu yang mungkin saja membuat perjanjian dengan kuasa-kuasa Eropah seperti Belanda, Jerman dan lain-lain sehingga merugikan British. Misalnya, di Perak sebelum  Perjanjian Pangkor, Perak membuat perjanjian dengan Belanda dan menempatkan kubu Belanda di Sungai Perak untuk menjaga kepentingan Belanda dan sekali gus mempertahankan kedudukan Sultan Perak. Itulah asal mula cerita kita ini, yang sebenarnya bermula dengan penaklukan Melaka oleh Portugis 1511. Jadi cerita penjajahan Tanah Melayu ini sudah lama. British masuk kemudian setelah kuasa ekonomi British di Tanah Melayu terus berkembang, dan untuk menjamin kepentingan ekonomi mereka itulah maka British “melindungi atau manaungi” negeri-negeri Melayu dengan persetujuan raja-raja Melayu, seperti yang disebut oleh Prof. Zainal Kling.

Tetapi fakta itu tidak penting. Lebih penting ialah, mengapa baru sekarang, setelah diwujudkan Majlis Profesor Negara, ahli akademik kita (semua mereka?) sedar Tanah Melayu tidak pernah dijajah?  Apa sudah jadi dengan ahli sejarah kita? Tak perlulah kita membuat andaian, misalnya dengan mengatakan mereka cuai, atau sedang mabuk fakta sehingga tak tahu memilih mana fakta yang betul mana yang palsu, atau pun pengajian sejarah mereka begitu cetek sehingga tidak tahu cerita sebenar sehinggalah kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara, barulah mereka sedar mereka telah tertipu dan oleh itu perlulah diberitahu hakikat sebenar tentang sejarah Tanah Melayu yang tak pernah menjadi koloni British, kecuali tiga buah negeri selat yang dijual oleh raja-raja Melayu kepada British untuk membayar hutang atau apa-apa juga sebab yang raja-raja itu sendirilah yang mengetahuinya.  Sampai setengah abad ahli sejarah kita tidur, atau khayal dalam dunia sejarah mereka, sehinggalah disedarkan oleh Majlis Profesor Negara bahawa sejarah kita selama ini palsu, oleh itu mesti dibetulkan sekarang, serta-merta, kerana sudah tenat betul sampai tidak kenal lagi siapa pejuang, siapa pengkhianat, siapa komunis siapa pejuang Islam, dan macam-macam lagi. Gila betul dibuatnya, dibuat oleh pakar sejarah yang telah menipu kita semua, termasuk ahli politik yang berarak bertempik minta dimerdekakan, padahal selama-lamanya kita telah merdeka. Yang paling aneh, raja-raja Melayu sendiri tidak tahu mereka tidak dijajah, sehinggalah diberitahu oleh Majlis Profesor Negara. Apa sudah jadi dengan akal Melayu dan raja-raja mereka sebelum 4 September 2011, saat mereka diberitahu mereka sebenarnya sudah merdeka, oleh itu tidak perlu berjuang sampai mematikan diri untuk mendapat kemerdekaan. Lebih memalukan lagi, terhegeh-hegeh ketua-ketua UMNO pergi ke England untuk berunding mendapatkan kemerdekaan, padahal sudah merdeka. Apa punya ahli politik yang tak tahu apa yang mereka buat?   Kata para pemimpin UMNO,  yang bodoh dan buta sejarah bukanlah mereka, tetapi Mat Sabu dari PAS yang telah membangkitkan perihal sejarah perjuangan kemerdekaan yang tidak betul itu, sehingga menimbulkan kemarahan semua ahli UMNO  dan Mat Sabu sendiri diisytiharkan seorang Komunis atau penyokong Komunis, sehingga Timbalan Perdana Menteri berkata Mat Sabu kena bertaubat dan seluruh anggota UMNO meminta kerajaan mereka supaya memenjarakan Mat Sabu sehingga dalam satu forum seorang bekas profesor dan seorang bekas Naib Canselor universiti berjanji akan menampar Mat Sabu jika beliau berjumpa Mat Sabu di mana-mana! (Baca laporan/berita dalam Malaysiakini,  15/9/2011). Mungkin betul juga Mat Sabu ini bodoh kerana membuka tembelang UMNO sehingga membuat mereka hilang akal, hatta seorang profesor pun sanggup menjadi samseng hendak menampar Mat Sabu. Undang-undang  apa yang profesor ini pakai?  Sungguh haram jadah jadinya kelakuan manusia apabila sudah terlalu marah kerana pecah tembelang, sampai seorang profesor bercawat kote (istilah Kelantan) bertukar menjadi samseng. Demikian besarnya pengaruh sejarah ke atas manusia. Dan ini dibuktikan oleh Barbara Watson Andaya dalam rencana beliau (JMBRAS, Part 1 1974) yang menulis tentang  “The Installation of the First Sultan of Selangor in 1766”.  Kata beliau, sejarah itu ditulis untuk memenuhi keperluan politik atau kuasa kumpulan yang menulis sejarah masing-masing; oleh itu cerita pertabalan Sultan Selangor dalam Misa Melayu tidak sama penekanannya seperti yang ditulis oleh orang Bugis dalam Tuhfat al-Nafis. Hakikat ini ditegaskan oleh Prof. Khoo Kay Kim yang mengatakan, “The historian unavoidably has to write according to the dictates of his own interest or that of persons for whom he writes.” (JMBRAS 1974, hal. 3).  Dalam ceramahnya yang terbaru selepas kontroversi Mat Sabu ini, Prof. Khoo Kay Kim menegaskan bahawa tidak pernah menjadi polisi British dan tidak pernah dilakukan oleh mereka untuk melaksanakan polisi “pecah dan perintah”; demikian juga British hanya membawa orang India ke Tanah Melayu kerana pada waktu itu mereka menjajah India, tetapi British tidak membawa seorang pun kuli China ke Tanah Melayu kerana China bukan jajahan takluk British; malah kata Profesor Khoo Kay Kim, yang membawa kuli China ialah usahawan China sendiri. Dia tidak pula menyebut dengan bantuan dan galakan dari British, kerana tidak perlu. Kata sumber dari Perak, orang-orang besar Peraklah, dan mungkin juga sultan sendiri, antara yang membawa kuli China untuk bekerja di lombong-lombong bijih milik mereka.  Sekiranya Mat Sabu tidak buta sejarah, seperti tuduhan pemimpin dan ahli UMNO, dia tidak akan bercakap tentang penipuan dalam penulisan sejarah, kerana sejarah memang begitu sifatnya. Oleh itu memang betul kata-kata Majlis Profesor Negara seperti yang diucapkan oleh jurucakap mereka, Prof. Zainal Kling walaupun dia pun bukan ahli sejarah seperti Mat Sabu juga.

Sesuatu yang pelik sudah berlaku di mana-mana.  Sekarang teriakan merdeka masih dilaungkan, padahal tidak perlu. Merdeka dari siapa? Kalau kita tidak selesaikan kemelut ini, berapa ratus Hospital Tanjung Rambutan pun yang kita bina, tidak akan dapat memuat orang-orang  yang perlu diberi kesempatan berada di situ kerana sudah hilang akal dan perlu dikembalikan akal sihatnya!

Apakah yang kita boleh pelajari daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Inilah cerita Plato tentang manusia yang hidup di dalam gua, yang percaya mereka berada di dunia realiti, padahal hanya dalam dunia khayalan. Tetapi kerana mereka tidak keluar dari gua itu, mereka tidak tahu dunia ini luas. Dalam skala yang lebih kecil, orang tua-tua Melayu yang bijaksana, telah berkata manusia yang berada dalam gua itu kalau dikampung-kampung Melayu diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Bayangkan begitu lama ahli sejarah kita berada di bawah tempurung, begitu juga ahli politik. Adakah mereka terdiri daripada kluster manusia yang bodoh? Tidak. Mereka hanya dikhayalkan oleh mimpi buatan mereka sendiri yang dulunya tidak sedar mereka kluster hamba yang menurut perintah, atau kluster manusia yang taat setia kepada ketua-ketua mereka, yang akhirnya menjadi hamba, atau pengikut, dan kini pembela, golongan penjajah yang kini disedari bukanlah penjajah, tetapi sahabat yang baik hati. Kalau begitu, apa perlunya dimansuhkan PPSMI yang telah dilaksanakan dan didapati berkesan seperti yang ditunjukkan oleh Majlis Profesor Negara?

Apakah yang boleh kita pelajari daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Bagi para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera yang selama-lamanya menggunakan kaedah Barat dan bangga dipengaruhi oleh nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan Melayu moden, yang mentakrifkan makna moden itu sendiri,  episod Majlis Profesor Negara ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan mereka, kerana sudah lebih dari 30 tahun mereka telah menerima hakikat itu seperti yang disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan para sasterawan tidak pernah terikat kepada mana-mana pengaruh dari Barat, oleh sebab mereka hanya meniru teknik Barat dan menggunakan kaedah analisis dan penilaian dari Barat seperti raja-raja Melayu dan para pahlawan Melayu dan para pemimpin politik Melayu mendapat faedah daripada British dan orang Barat yang membawa mereka kekayaan yang membolehkan mereka membina apa-apa juga yang hendak dibina dan telah dibina, di samping mendapat kekayaan dan kemewahan dan kedudukan yang dihormati, yang kini perlu dipertahankan. Sebenarnya, Majlis Profesor Negara dan Panel Anugerah Sastera Negara tidak berbeza, dan mana-mana orang yang mendapat faedah daripadanya adalah sama.

Yang menjadi pengkhianat dalam perjuangan kemerdekaan yang  sudah sedia wujud itu ialah para pejuang tulen yang ikhlas berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan kerana merekalah yang awal-awal lagi  sudah keluar dari gua dan sudah menyepak tempurung yang menutup kesedaran politik mereka.  Dalam bidang sastera pula, pengkhianat itu ialah golongan (bukan kluster?) yang menamakan diri mereka pengikut gagasan Persuratan Baru yang lantang berkata  persuratan Melayu mesti dimerdekakan daripada alam khayal dengan membawa kembali peranan ilmu yang benar seperti yang dipraktikkan oleh para pujangga, ulama dan pendeta sebelum kedatangan kesusasteraan moden yang dibawa oleh penjajah Inggeris.  Tetapi kerana telah dibuktikan (tanpa sebarang bukti dan hujah  oleh Majlis Profesor Negara kerana tidak perlu) bahawa penjajahan itu tidak pernah wujud, maka sudah sahlah kesusasteraan Melayu pun tidak pernah terjajah. Oleh hal yang demikian, apa perlunya dibawa kembali barang yang hilang yang dinamakan ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam dan dipraktikkan oleh para ulama, pujangga dan pendeta silam itu? Tidakkah semuanya karut belaka? Kita beruntung kerana akhirnya kita diberi  peluang oleh kerajaan yang menubuhkan Majlis Profesor Negara untuk menyedarkan kita semua betapa bodohnya kita selama ini kerana tidak mahu berfikir dengan menggunakan akal sihat berasaskan konsep ilmu yang benar itu.

Tetapi di dalam kemelut orang-orang bodoh yang cerdik ini, yang pernah saya gelar “cerdik pandir” (yang berbeza daripada “cerdik pandai”),  saya lebih tertarik mengikuti analisis Prof. Amin Sweeney (semoga dicucuri Allah ruhnya dan diampunkan dosanya) dalam JMBRAS Part 1 1976 yang menulis tentang Pak Pandir dalam rencananya, “The Pak Pandir Cycle of Tales”.  Berasaskan pentingnya Pak Pandir sebagai seorang pemikir Melayu yang asli, saya meminjam falsafah beliau dalam cerita-cerita jenaka yang beliau lakonkan bersama Mak Andeh, untuk dijadikan istilah ilmu yang saya namakan pandirisme, yang kini sudah menjadi aliran perdana dalam kebudayaan Melayu.  Saya juga telah menulis sebuah cerita pendek yang panjang bertajuk, “Rumah Impian Dr.  Polan Cupan”, kisah seorang cucu Pak Pandir yang bernama Polan bin Cupan (cupan itu singkatan dari ‘cucu pak pandir’), seorang arkitek Melayu yang terkenal yang setaraf dengan arkitek Mesir bernama Hassan Fathi, guru beliau yang disayanginya. Cerita pendek itu telah diserahkan kepada Persatuan Penulis Kelantan lebih dari lima tahun dahulu yang mahu menerbitkan satu kumpulan karya penulis-penulis Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Timur. Saya mendapat tahu semua karya yang sudah dikumpulkan itu tenggelam dalam banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini, tidak dapat diselamatkan lagi. Jika PPK dan DBP masih berminat, saya masih simpan salinannya dan saya akan hantar salinan baru bila-bila masa saja yang mereka perlukan. Rasanya masa inilah kumpulan cerita pendek itu sesuai diterbitkan, kerana di dalamnya terdapat cerita cucu Pak Pandir yang saya yakin pasti akan menarik minat anggota Majlis Profesor Negara kerana sebuah sejarah Pak Pandir yang selama ini dalam khayalan orang Melayu, telah muncul dalam arena budaya dan intelektual Malaysia melalui konsep pandirisme yang kini menjadi budaya arus perdana.

Saya sebut perkara ini dalam konteks ini kerana baru-baru ini saya bertemu, secara tidak sengaja, sebuah seloka baru ditulis oleh seorang penulis yang tak pernah saya kenal dan tak pernah saya baca karyanya, tetapi seloka beliau yang saya temui itu sangat bagus dan bernilai seni, sama seperti seloka Melayu lama yang dinukilkan oleh Za’ba dalam Ilmu MengarangMelayu, antaranya tentang Pak Kaduk, Lebai Malang, dan sebagainya. Seloka ini bagi saya jauh lebih baik daripada sajak-sajak sasterawan negara kerana ketajaman analisisnya, yang setiap barisnya boleh ditulis syarahnya dalam sebuah buku. Inilah seloka itu yang saya salin daripada blog penulisnya (saya mohon izin saudara, diharap saya tidak disaman nanti kerana sekarang saman-menyaman ini sudah dibudayakan di Malaysia, seperti rajinnya orang menulis laporan polis misalnya laporan polis terhadap Mat Sabu sudah makan bilangan ribu, sungguh rajin orang Melyu yang sayangkan negara dan kebenaran menurut tafsiran mereka menyaman sesiapa juga yang mereka anggap boleh membodohkan mereka dan membuka tembelang mereka).  Perhatikan baris akhir seloka ini: “Tak sangka ada professor kuku”.  Tidakkah itu satu kesimpulan yang bertaraf genius?
Inilah seloka itu:

Hang punya pasai Mat Sabu....
Negara diselubungi jerebu
Dari KL hinggalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu

Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru

Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku

Keris Silau
13 September 2011
Posted by Keris Silau at 12:05 PM http://img1.blogblog.com/img/icon18_email.gifhttp://img2.blogblog.com/img/icon18_edit_allbkg.gif


Mohd. Affandi Hassan,  15/9/2011.
2 comments:
  1. https://img1.blogblog.com/img/anon36.png
Excellent....
  1. https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh6XnDhCk_gwGM954uCq860SN_64Q0nKkN3LKIhJ8m8kr2m75un5Ehmu5MfVziw-N4q4K7hYA5wms5eynSWP6zKBFGB_nhNn4Sc4w9dLxTotV8vZO95SuxawYm2PowSCkLvjGl4CKG2UkHd/s35/449.jpg
par excellence ! hebat entry ini.

Tuesday, September 1, 2015

PANDIRISME, FEMINISME, SOBBING ORGASM DALAM KRITIKAN SASTERA MELAYU



Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness,
or the vulgarity. Jokes are serious.  Rumi
                        (Coleman Barks, Delicious Laughter, hal. 83)

Sejenis pil perangsang nafsu untuk wanita baru saja diluluskan  di Amerika Syarikat, membuktikan betapa besarnya perniagaan seks dalam era pascamodernisme. Dalam hal ini terjadi kontradiksi dalam teori kritikan di Eropah dan Amerika Syarikat yang dipopularkan atas nama feminisme. Sebagai satu teori sastera, feminisme menolak sebarang bentuk eksploitasi di kalangan wanita, termasuk dalam mencari kepuasan seks. Bagi feminisme, orgasme adalah satu senjata seks yang dicipta oleh lelaki untuk menundukkan wanita sebagai hamba seks. Ini dilihat dalam konteks kemampuan wanita mencapai orgasme dalam persetubuhan, yang sebenarnya, menurut feminisme, hanya menunjukkan kekuatan lelaki ke atas wanita yang tidak dapat mencapai kepuasan seks tanpa ihsan lelaki. Lantas feminisme mengisytiharkan bahawa untuk mencapai orgasme, wanita tidak perlu lelaki. Mereka boleh melakukannya sendiri secara bebas, hingga mencapai sobbing orgasm sekali pun.  Dalam konteks inilah pil perangsang nafsu untuk wanita memainkan peranan yang istimewa: untuk membantu mencapai orgasme secara bersendirian dan dengan itu membenarkan tesis feminisme bahawa wanita tidak perlukan lelaki untuk mencapai peringkat orgasme; dan bagi lelaki untuk memastikan wanita terus menerus memerlukan lelaki untuk mencapai kepuasan nafsu seks mereka. Satu kejayaan perniagaan yang amat besar dan cukup bermakna. Tidak ada diskriminasi dari segi jantina.

Bagaimana perkembangan ini mempengaruhi kritikan sastera? Yang pasti, fenimisme seharusnya menerima baik kemunculan pil perangsang seks ini kerana ini membuktikan tesis mereka bahawa wanita boleh bebas dalam keperluan nafsu seks mereka adalah betul.  Adakah ini bermakna teori feminisme sudah tidak relevan, atau sebenarnya menjadi lebih relevan? Ketika Dr. Norhayati Ab. Rahman menulis tesisnya tentang feminisme dan diterbitkan dengan judul Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Ginokritik, perkembangan terbaru ini belum wujud, oleh itu puitika sastera wanita Indonesia masih berada dalam dunia yang ditakrifkan oleh lelaki dalam keperluan nafsu seks mereka. Oleh itu Ayu Utami dengan bangga memberitahu golongan wanita bahawa setiap wanita boleh memilih lelaki mana yang dia suka untuk mengadakan persetubuhan dan memuaskan nafsu mereka. Realiti (adakah ini satu realiti?) ini sudah diiktiraf oleh A. Samad Said dalam novel Salina dan Langit Petang. Dalam Langit Petang, watak wanitanya bertindak begitu liar dan berani untuk meniduri 18 orang lelaki hanya untuk memuaskan dendamnya ke atas  lelaki dengan membuktikan bahawa lelaki boleh menjadi hamba nafsu wanita sepanjang masa sekiranya wanita sanggup menggoda dan menawan mereka untuk menidurinya. Bagi Panel, novel ini sungguh istimewa kerana tekniknya: “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. Di sinilah terletaknya keistimewaan A. Samad Said sebagai penulis sehingga rangkaian tiga buah cerpen dapat diadun menjadi sebuah novel yang berkesan” (hal. 16). Dalam ulasannya terhadap buku ini, Panel Anugerah Sastera Negara tidak melihat ini  (i.e kelakuan watak)  sebagai satu pervesiti, tetapi sebagai satu kekuatan perwatakan yang menanam sifat berani bertindak walaupun perbuatan itu menentang nilai-nilai masyarakat. Seterusnya kata Panel: “Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja” (hal. 16).  Tetapi kemudiannya kesimpulan ini dilunakkan begini: “Jadi sebenarnya ada persoalan atau perutusan dalam novel Langit Petang, yang mestilah dicari melalui teknik-teknik yang secara sedar diolah oleh A. Samad Said supaya apa-apa yang digambarkannya dapat mencabar daya fikir kita sebagai pembaca” (hal. 16-17). Akhirnya inilah kesimpulan terpenting Panel: “Jelas bahawa novel memberi A. Samad Said kesentosaan dan kepuasan bermain di atas kanvas yang besar – menjelajah dengan idea-idea tentang erti hidup – satu hal yang sering mengacau fikiran dan selalu pula diperkatakan dalam tulisan-tulisannya. A. Samad Said dapat juga seenak-enaknya memaparkan dan melukis gambaran dengan cara yang luar biasa, iaitu daripada segi perincian dan ukiran-ukiran yang halus” (hal. 18-19). Persetankan nilai masyarakat, kerana yang penting dalam kebebasan mencipta karya kreatif sebagai karya sastera, perbuatan watak ini merupakan satu kelainan yang amat dihargai, yang membuat sastera Melayu berwajah moden dan pengarangnya muncul sebagai pelanggar nilai-nilai masyarakat dalam satu pelanggaran kreatif yang membolehkan seorang sasterawan diletakkan di atas takhta keunggulan, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Abdul Rahman Napiah aka Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (ITBM, 2015). Semua perkembangan ini menjadikan sastera Melayu moden bersifat universal, oleh itu boleh bertanding dengan sastera dunia di mana saja. Dalam konteks inilah juga Mana Sikana memuji teori sastera Islam Shahnon Ahmad yang menurutnya serasi dengan nilai-nilai pascamodernisme yang menjadikan manusia bebas dalam semua perkara, termasuk dalam meletakkan nilai-nilai agama yang tidak lagi terikat kepada autoriti para ulama, sebaliknya autoriti itu diambil alih oleh para sasterawan atas nama Islam seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad, yang menjadikan novel erotik dan lucahnya, TIVI, sebagai sebuah novel Islam mithali kerana menurutnya sesuai dengan konsep azab menurut al-Quran. Dengan gelaran sasterawan negara sebagai satu entiti baru dalam kebudayaan Melayu, maka peranan ulama diletakkan di bawah para sasterawan kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah diisytiharkan oleh pemerintah secara rasmi sebagai ulama negara. Seorang sarjana, Dr.  Rahimah Abdul Hamid, menerima novel ini sebagai sebuah novel  sufi.  Katanya: “Saya bersetuju dengan pendapat Shahnon bahawa karyanya ini berjiwa Islam.  Malah, karya nipis ini sebenarnya mendukung nilai-nilai mistik dan sufistik Islam yang halus dan mendalam” (Rujuk nota 7, hal. 198, Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua,  UKM/ATMA, 2014).Terbaru kita melihat bagaimana Panel Anugerah Sastera Negara memuji Kemala kerana menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra untuk meletakkan karya sufinya sebagai karya universal (Laporan 2012, hal. 20). Perbuatan Panel Anugerah Sastera Negara ini adalah suatu perbuatan yang perverse, tetapi tidak dilihat demikian kerana aspek universal itu lebih penting daripada nilai-nilai baku masyarakat Melayu. Adalah menarik untuk difikirkan oleh para sarjana ciritan kenyataan yang mungkin agak lucu, tetapi benar, bahawa Panel Anugerah Sastera Negara sudah mencapai peringkat sobbing orgasm mereka dengan melonjakkan karya para sasterawan negara ke taraf yang mereka tidak layak mendapatnya. Kemuncak kegilaan seksualiti teks yang dibicarakan oleh Barthes ini ialah laporan untuk Kemala, yang penuh dengan kata-kata lunak menawan membicarakan seorang sasterawan yang karyanya hanya berada di tahap sufi jenis Mark Antony dan Cleopatra yang disanjungnya.  Pendapat Panel adalah selaras dengan faham sastera Barthes yang mengatakan dengan positif bahawa text dan sex adalah sama: kedua-duanya berupaya mencapai yang disebutnya sebagai jouissance. (Lihat huraian saya dan rujukannya dalam Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, 1994, hal 24-27 untuk mendapat sedikit gambaran supaya anda dapat  memahami kesimpulan ini). Baik Shahnon Ahmad yang menulis TIVI, mahu pun Dr. Rahimah Abdul Hamid, kedua-duanya telah mencapai sobbing orgasm, yang disebut jouissance oleh Roland Barthes dalam teori sasteranya yang popular di Malaysia, dengan promotornya Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (rujuk Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, 1989). Inilah contoh perversity dalam kritikan sastera  Melayu moden. Pengamal utama faham ini ialah Mana Sikana, dalam dua buah bukunya yang menampilkan teksdealisme sebagai kemuncak sobbing orgasm dalam kritikan sastera Melayu. Berasaskan perversity inilah Mana Sikana meletakkan sasterawan negara di atas takhta keunggulan.

Konsep perversity  adalah penting dalam kritikan sastera moden, yang dipopularkan oleh Roland Barthes dan Jacques Derrida. Daripada Roland Barthes kita dapat bukunya The Pleasure of the Text (1976) dan S/Z (1975). Konsep pleasure (Perancis plaisir) adalah penting dalam kritikan sastera Barat, terutama yang dikembangkan di Eropah.  Julia Kristeva menulis buku khusus mengenai konsep ini, Desire in Language (1980).  Semua ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Freud dalam kritikan sastera, yang dengan bangganya pula dibawa masuk ke Malaysia. Kumpulan yang membawa masuk perversity ini bertanya dengan angkuh: Apa salahnya dengan Freud? Adakah dengan pertanyaan ini bermakna Freud betul dalam andaiannya? Soalan ini sudah dijawab oleh Imam Ghazali. Di sinilah anda perlukan konsep ilmu yang benar, seperti yang dihuraikan oleh Imam Ghazali dalam Pembebas dari Kesesatan. Itulah bezanya antara yang cetek meraba-raba dengan yang yakin melalui konsep ilmu yang benar.

Latar belakang yang disebut di atas merupakan perkembangan yang lumrah dalam sastera Melayu moden.  Idea brcorak perversity dalam kritikan/kajian sastera ini sudah disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam syarahan perdana beliau (hal. 18), apabila beliau bercakap tentang akal sihat Roland Barthes yang digunakannya dalam penyelidikan tentang penglipur lara Melayu.  Tetapi kerana beliau tidak mendalami pemikiran Barthes, maka yang dikatakannya akal sihat itu telah membawanya ke dalam belantara kekeliruan yang mengaibkan, seperti yang saya huraikan dalam sanggahan saya (boleh baca di sana jika anda berminat).  Kekeliruan utama sarjana ini ialah dalam memahami konsep teks yang dikemukakan oleh Barthes. Jika anda membaca Barthes dengan kritis, tetapi tidak kreatif, anda seolah-olah diberi dua pilihan untuk memahami maksud teks: yang tertutup dan lengkap sempurna sebagai “readerly text” yang makna dan tafsirannya berada di dalam teks itu sendiri diberikan oleh pengarangnya.  Tetapi dalam “writerly text”, pengarang tidak lagi berfungsi, sudah mati dan tidak boleh berbuat apa-apa ke atas teksnya. Pembacalah yang menyusun semula teksnya untuk mendapatkan makna seperti yang dapat dicapai oleh pembaca tersebut. Teks dalam konteks ini bersifat plural, atau dalam istilah yang digunakan Bakhtin yang bersifat “dialogik” yakni riuh dengan tafsiran yang pelbagai. Bezanya di sini ialah idea Bakhtin melahirkan dua orang gergasi sastera Russia: Tolstoy yang teksnya monolitik, yang melahirkan epik seperti Perang dan Damai; atau teks yang dialogik dalam karya Dostoevsky  yang melahirkan novelnya yang carnival/(carnivalesque) (mungkin kita gunakan istilah Melayu novel yang penuh temasya (termasya), untuk menterjemahkan istilah carnival itu). Dalam kedua-dua bentuk karya ini, tersembunyi hakikat kreatif seperti yang dihuraikan oleh Barthes tentang kewujudan teks sebagai satu medan permainan bahasa yang tidak terbatas, yang membenarkan anda berlari atau bersemyunyi di mana saja anda mahu. Kerana itu, dalam otak Barthes, sesebuah teks dan huraian tentangnya sentiasa bersifat kontradiksi, saling bertentangan, tiada kepastian dari segi makna, yang ada hanya sejenis performance seperti dalam sebuah drama yang dihargai sebagai satu persembahan semata-mata. Kerana itu, jika anda mengenal hakikat teori sastera Barat, anda akan dapati mereka semua berada dalam lautan ambiguiti, berhanyut  sambil makan angin dan berasa seronok berada dalam kekeliruan dan ketidakpastian matlamat.  Hal ini saya sebut dalam sanggahan saya terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (hal. 27-28). Inilah keadaan yang digambarkan oleh al-Quran,  24: 39-40 (anda harus baca sendiri untuk mendapat manfaatnya; juga lihat Tafsir a-Misbah, jilid 8,  hal. 566-572).  Atau anda sebenarnya berada dalam belantara permainan hide and seek, berpusing-pusing mencari ke sana ke mari sesuatu yang anda anggap penting tetapi sebaik saja ditemui, sebenarnya tidak penting. Sama ada anda berada di lautan ambiguiti, atau dalam belantara hide and seek ini, anda tetap tidak pasti apakah yang anda mahu. Inilah kehidupan Sisyphus dalam mitos Yunani. Usaha yang begitu besar menolak batu ke atas bukit untuk melepaskannya turun semula dan menolaknya lagi, adalah sejenis permainan intelektual dalam kehidupan intelektual Barat yang pada asasnya berasaskan hedonisme dan emosi, bukan berasaskan akal sihat. Konsep akal bagi Barat tidak seperti konsep akal dalam Islam. Akal dalam epistemologi Islam digunakan untuk membaca tanda-tanda kebesaran Allah; manakala “akal” dalam pemikiran Barat untuk menterjemahkan “pemikiran individu” yang kemudiannya distrukturkan melalui pendidikan, politik dan sebagainya sebagai budaya yang membina tamadun Barat.  Semua ini berasaskan kontradiksi yang saling bertentagan. Ambil saja konsep demokrasi dan kebebasan bersuara dan bertindak yang menjadi obsesi Barat, semua itu dilihat dalam konteks kezaliman yang tersembunyi, yang ditentukan oleh mereka untuk orang lain yang mereka kuasai. Anda boleh lihat ini apa yang berlaku di Timur Tengah sekarang. Kebebasan dan sebagainya itu hanya dalam konteks yang ditakrifkan oleh mereka, berasaskan kezaliman tersembunyi tadi. Inilah hasil dari perkembangan bahasa dalam budaya mereka yang tidak diasaskan kepada “root word” seperti dalam bahasa Arab, yang dipilih Allah Ta’ala menjadi bahasa al-Quran. Dalam bahasa Arab yang dipakai sebagai bahasa al-Quran, tidak akan terjadi kesesatan kerana semua makna diambil daripada kata dasar yang menerbitkan kata terbitan. Contoh yang paling baik untuk kita ialah kata dasar tentang konsep ilmu, yang dari situ terbit perkataan alam, yang di dalamnya terdapat tanda-tanda kebesaran Allah sebagai Pencipta. Ilmu dalam konteks ini memberikan keyakinan dan kepastian, tidak lagi ambiguiti dalam dunia hide and seek. Bukan tempat untuk bermain, tetapi tempat untuk dimakmurkan dengan segala kebaikan dan kebajikan untuk semua kejadian alam. Inilah maksud ilmu yang benar, yang tidak dipakai dalam teori Barat. Orang yang berilmu dalam pengertian ini adalah manusia yang takutkan Allah, Penciptanya. Masalah kita ialah sarjana Melayu tidak kenal lagi konsep ilmu yang benar itu, kerana mereka hanyut dalam lautan ambiguiti dan sesat dalam belantara permainan hide  and seek yang mereka temui dalam teori sastera Barat.  Dalam konteks inilah Barthes berkata teks itu perversive dan bermain dengan teks adalah sejenis perversity. Ini semua tidak difahami oleh Muhammad Haji Salleh ketika dia berkata dia menggunakan akal sihat Barthes untuk menghuraikan sastera Melayu lama (hal. 18 syarahan perdana 1989).

Sobbing orgasm dalam kritikan sastera Melayu, sejenis perversity yang menarik,  yang membuat para sarjana dan sasterawan Melayu tergila-gila sangat kepada teori sastera Barat, yang memberikan kepada mereka sejenis kepuasan  yang boleh dipanggil intelektual orgasme ketika memperkatakan karya Melayu, seperti yang dapat kita lihat dalam kertas kerja yang mereka bentangkan dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara; dan kemuncaknya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 apabila para sarjana sastera mencapai kemuncak intelektual orgasme mereka ketika membentangkan kertas kerja yang keseluruhannya mengarah kepada faedah peribadi mereka, tetapi dibuat atas nama keperluan negara.  Apa yang mereka lakukan sebenarnya telah dibicarakan dengan menarik oleh Roland Barthes dalam tulisan kritikannya (lihat Encylopedia of Comtemporary Literary Theory, Toronto University Press, 1995; hal. 607-608).  Ini bukan perkara baru, kerana Rumi telah menyebutnya dalam mathnawinya (lihat entri blog ini bertarikh 5 November 2014) dan kertas kerja saya  mengenai peranan jokes ini ketika menulis tentang novel Kawin-kawin dalam kertas kerja untuk Seminar Jenaka Nusantara di Universiti Malaya, 2003. Dalam kertas kerja itu saya menurunkan empat kisah lucu, jokes, yang kita dapat dalam Mathnawi karya Rumi.  Apa yang berlaku dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 adalah sejenis intellectual jokes yang melahirkan sejenis orgasme dalam kritikan sastera, yang hanyut dalam lautan ambiguiti dan dalam belantara teori sastera Barat yang pada hakikatnya adalah sejenis permainan hide and seek tanpa sebarang matlamat yang jelas, kerana mereka telah menolak konsep ilmu yang benar. Ini amat berbeza dengan yang dimaksudkan oleh Rumi. Konteks yang digunakan Rumi saya gunakan untuk menulis Balai Maqamat.  Anda boleh lihat dengan jelas tradisi mana yang saya ikut.
      
Untuk memahami apa yang saya catat di sini anda perlu membaca  buku-buku yang menjadi rujukan, yang tidak sukar dicari, yang saya pasti sudah pun anda baca (saya harap  begitulah), supaya anda mendapat gambaran yang agak lengkap dan menyeronokkan tentang teori sastera Barat ini. Sebenarnya mereka sebagai manusia yang menjadi hamba Allah semuanya (walaupun mereka tidak mengaku, itu tidak penting), mereka diberi sedikit kebijaksanaan yang boleh kita manfaatkan, jika kita tahu menggunakannya. Dalam konteks ini, saya anjurkan anda membaca dengan teliti seluruh bab 3, dengan tumpuan kepada  hal. 74-75 karya Julia Kristeva yang menjadi idola Mana Sikana, tetapi beliau tidak mendapat manfaatnya kerana cara beliau mendekati buku ini samalah dengan cara Pak Pandir mendekati padi hampa dan mengambil padi hampa itu sebagai padi berat. Baca 10 kali, atau 100 kali, atau seperti anda minum air setiap hari ketika terasa dahaga. Sebaik saja anda faham, anda akan dapat melihat makna stylization of ideas yang saya maksudkan.  Walaupun hanya maksud luarannya, tidak semestinya hakikat yang menjadi dasar konsep itu. Ketika itu, bolehlah anda membaca Balai Maqamat dengan kreatif dan kritis.  Anda pasti akan enjoy (?) jika anda menggunakan akal dan emosi anda dengan betul, sebagai yang dikehendaki digunakan oleh seorang sarjana, atau seorang sasterawan yang berfikir. Buku ini sudah diterbitkan lebih dari satu tahun, tetapi belum mendapat perhatian para sarjana dan sasterawan Melayu yang cerdik. Tidak pasti, sama ada mereka takut membicarakannya kerana tidak ada persediaan ilmiah yang mencukupi; atau mereka sengaja menyisihnya sebagai tidak penting. Tetapi jika mereka ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan karya persuratan dan bagaimana karya itu dicipta menggunakan konsep stylization of ideas, anda mungkin tertarik. Itu pun jika anda tidak terlalu enggan (mungkin juga agak angkuh) untuk membaca karya orang lain yang anda remehkan, walau pun ternyata jauh lebih baik daripada karya anda sendiri.  Apa yang saya bicarakan tentang teori Barat ini telah saya jelaskan dalam entri  16 Jun 2015  mengenai konsep ‘iwajan (crookedness) dalam al-Quran. Teori sastera Barat (dan Malaysia yang meniru Barat) menggambarkan dengan cemerlang sekali aspek ‘iwajan ini.

Dalam entri berikutnya, saya akan menulis secara khusus tentang Balai Maqamat, kerana saya kira inilah buku yang akan mencerdikkan para sarjana dan sasterawan Melayu jika mereka dapat memahami buku ini dalam konteks stylization of ideas. Sambil bergurau (jenaka itu serius, demikian juga vulgarity, kata Rumi dalam mathnawinya, rujuk entri bertarikh 5 November 2014), saya sering mengatakan saya dapat melihat ketangkasan berfikir sarjana dan sasterawan Melayu ketika mereka memperkatakan Balai Maqamat. Saya akan huraikan maksud saya nanti.

_____________________________________________________________

Catatan: entri ini hendaklah dibaca bersama entri bertarikh  9 November 2011;  1 Julai 2011,  pengkritik bisu tanpa teori Barat;  10 Mac 2015, Pandirisme dalam komuniti dunia;  28 Oktober 2014, Keunggulan yang cacat; 31 Mei 2014; 14 Januari 2015, kegagalan sidang kemuncak penulis;  untuk mendapat faedah maksimum.  Entri bertarikh 31 Disember 2014  tentang pembacaan dimaksudkan untuk mengembalikan sifat siuman dalam kegiatan intelektual Malaysia. Kini kita mempunyai sarjana ciritan yang terlalu ramai, dan mereka ini merosakkan pelajar dan dengan penuh gigih berusaha untuk menjadikan pelajar bodoh dan ciritan seperti mereka.

Catatan 2:  Saya petik kutipan panjang daripada Julia Kristeva kerana pandangan beliau tepat sekali menggambarkan cara berfikir Barat dalam teori sastera mereka. Bagus jika kutipan ini direnung dengan usaha berterusan untuk memahami cara berfikir Barat. Ini kurang diberi perhatian oleh sarjana kita. Inilah kutipan itu:

“The notion of dialogism, which owes much to Hegel, must not be confused with Hegelian dialectics, based on a triad and thus on struggle and projection (a movement of transcendence), which does not transgress the Aristotelian tradition founded on substance and causality. Dialogism replaces these concepts by absorbing them within the concept of relation. It does not strive towards transcendence but rather toward harmony, all the while implying an idea of rupture (of opposition and analogy) as a modality of transformation.

Dialogism situates philosophical problems within language; more precisely, within language as  a correlation of texts, as a reading-writing that falls in with non-Aristotelian, syntagmatic, correlational,  “carnivalesque” logic. Consenquently, one of the fundamental problems  facing contemporary semiotics is precisely to desrcibe  this “other logic” without denaturing it.

The term “ambivalence” lends itself perfectly to the current transitory stage of European  literature – a coexistence (an ambivalence) of “the double of lived experience” (realism and the epic) and “lived experience” itself (linguistic exploration and Manippean discourse)—a literature that will perhaps arrive at a form of thought similar to that of painting: the transmission of essence through form, and the configuration of (literary) as revealing (literary) thought without “realist” pretensions. This entails the study, through language, of the novel’s space and of its transmutations, thereby establishing a close relationship between language and space compelling us to analyze them as modes of thought. By examining the ambivalence of the spectacle (realist representation) and of lived experience (rhetoric), one might perceive the line where rupture (or junction) between them takes place. That line could be seen as the graph of motion which our culture forsakes itself in order to go beyond itself.

The path chartered between the two poles of dialogue radically abolishes problems of causality, finality, et cetera,from our philosophical arena. It suggests the importance of the dialogical principle for a space of thought much larger than that of the novel. More than binarism, dialogism may well become the basis of  our time’s intellectual structure. The predominance of the novel and other ambivalent literary structures; the communal, carnivalesque phenomena attracting young people; quantum exchanges; and current interest in the correlational symbolism of Chinese philosophy—to cite only a few striking elements of modern thought – all cofirm this hypothesis.” (Desire in Language, pp. 88-89).

Apa yang anda dapat daripada pemerhatian Julia Kristeva ini dalam kes sastera Melayu moden? Adakah kita menghadapi perkembangan yang sama, atau sedang menunggu perubahan itu di Eropah untuk ditiru di sini? Saya sendiri melihat perkembangan yang dijangkakan oleh Julia Kristeva ini adalah penjelmaan daripada lautan ambiguiti yang menghanyutkan mereka di lautan kontradiksi yang lahir dari ketidakpastian makna ilmu; atau sesat dalam belantara hide and seek teori sastera mereka yang saling bertentangan akibat tiadanya kepastian tentang konsep ilmu.  Sudahlah mereka tidak bertemu Tuhan, malah mengelakkannya; tetapi mereka juga kehilangan makna kewujudan mereka dan arah yang mereka tuju. Yang ironiknya, dalam keadaan inilah Heidegger bercakap tentang idle talk. Persis inilah juga para sarjana kita sedang lakukan sekarang.  Mereka hanya bercakap tentang konsep dialogisme, tanpa usaha yang jelas untuk mempraktikkanya dalam kegiatan ilmiah mereka. Pada dasarnya mereka adalah golongan yang anti-ilmu, yang tidak mahu berbahas tentang ilmu, dan takut menghadapi kebenaran dalam konteks ilmu. Dalam keadaan yang seperti ini, mereka tidak saja hanyut dalam dunia ambiguiti berasaskan kedegilan untuk tidak menerima konsep ilmu yang benar; mereka juga sesat di belantara teori Barat yang mereka tidak kuasai.  Dalam bahasa al-Qruan, mereka mewakili golongan binatang ternak (al-an’am). Lihat makna al-an’am itu dalam Tafsir al-Misbah. Mereka tidak dapat melihat aspek ‘iwajan dalam teori sastera Barat yang mereka sanjung. Mereka adalah golongan al-ghafilun.  Inilah golongan yang memuji novel TIVI sebagai novel mithali Islam, novel sufi yang murni; dan mereka jugalah yang meletakkan golongan al-ghafilun ini di takhta keunggulan palsu yang mereka reka sendiri.

Mohd. Affandi Hassan,
31 Ogos, 2015.