Friday, November 28, 2014

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN (Bahagian III)



Terlanjur buku Gagasan Persuratan Baru (edisi 2) sudah terbit,  ada baiknya jika pembaca blog ini jenguk sekejap hal. 279-295 buku tersebut, khusus tentang pandirisme dalam kritikan sastera dan dalam dunia akademik Malaysia (khusus tentang sastera). Anda semua, yang saya harap berwibawa dalam bidang akademik dan kritikan sastera, dapat membuktikan apa yang saya tulis di situ tidak tepat, hanya salah faham atau tidak faham tentang perkembangan dalam dunia akademik Malaysia yang menyerlahkan keunggulan akademik dan pemikiran yang mendalam tentang kritikan sastera dan bidang akademik dalam teori sastera yang menjadi pegangan ahli akademik kita. Anda harus membuat pembetulan jika saya tersilap, atau terlalu cetek dalam analisis saya sehingga menyelewengkan begitu jauh hakikat sebenarnya. Jika anda bersetuju, katalah anda mungkin tersilap arah, dan bersedia untuk kembali ke jalan yang betul supaya tidak sesat dalam belantara maklumat yang anda perolehi dalam teori sastera Barat. Baca terutamanya satu kutipan di hal. 288 yang saya kira penting untuk menyedarkan orang yang tidur dalam keseronokan postmodernism.

Bolehkah kita berkata dengan pasti bahawa para sasterawan negara adalah kumpulan manusia yang paling cerdik di Malaysia? Barangkali tidak perlu kita tahu; atau mungkin yang paling wajar kita tanyakan ialah, siapa di antara sasterawan negara itu yang paling cerdik dan berapa IQ nya? Siapa lagi orang Malaysia yang setinggi itu IQ nya? Secara umum, adakah para sasterawan negara itu adalah kumpulan yang paling tinggi IQ nya, berbanding dengan kumpulan lain, seperti ulama, sarjana dan ahli sains. Siapa di antara mereka yang kita boleh panggil seorang genius? Prof. Fazlur Rahman tanpa ragu memberitahu muridnya, Prof. Wan Mohd. Noor Wan Daud, bahawa Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seorang genius dalam bidangnya. Hanya seorang genius yang tahu  seorang genius yang lain bila ditemuinya atau berbicara dengannya. Saya pernah dengar Prof. Sutan Takdir Ali Sjahbana pun kata begitu, ketika saya mula masuk Universiti Malaya 1965 dan Prof. Takdir Ketua Pengajian Melayu. Hanya seorang genius yang tahu siapa genius yang lain. Hanya seorang genius yang kenal seorang genius yang lain. Mengapa perkara ini tiba-tiba muncul dalam tulisan ini? Setelah membaca pujian yang melepasi langit ketujuh yang dilontarkan kepada sasterawan negara, saya terfikir, mereka ini, para sasterawan negara ini, pastilah kumpulan genius semuanya. Jika tidak, bagaimana mereka boleh diberi pujian tinggi seperti itu? Tidak masuk akal jika yang memuji itu berbohong, atau terlalu bodoh untuk memberikan pujian yang tidak cocok dengan manusia yang dipuji. Memang dalam dunia penulisan, dikatakan oleh orang Barat, genius mereka di kalangan penulis yang paling tinggi IQ nya ialah Voltaire, dikatakan angka  ukuran IQ nya 190.  Jangan-jangan sasterawan negara pun punya IQ melebihi Voltaire? Siapa tahu? Supaya pasti, silalah ahli psikologi kita membuat ukuran itu. Voltaire diukur dari tulisannya, keputusan para pakar itu dipersetujui oleh sebahagian besar pakar psikologi Barat.  Sekarang para sasterawan negara telah ditakdiskan, tidak boleh disentuh apatah lagi dikritik. Dalam pemerhatian saya, manusia besar dalam budaya Melayu yang tidak keberatan dikritik dan dikatakan bodoh ialah Pak Pandir. Dari banyak kalinya Pak Pandir disebut-sebut, sudah sah dia amat popular. Jika dipakai ukuran Malaysia, seperti yang dibuat oleh pakar DBP ketika memilih karya agung abad 20, antara ukuran yang dipakai ialah banyaknya karya itu dibicarakan dan diberi pujian; ukuran ini pun dikenakan juga ketika memilih para sasterawan negara.  Kalau kita pakai ukuran ini, Pak Pandir adalah seorang genius, mungkin genius teragung dalam budaya lawak Melayu, malah dalam budaya Melayu secara umum. Tetapi dia tidak setanding dengan sasterawan negara. Itulah masalahnya. Tetapi dialah yang memberi kita konsep pandirisme, yang kemudiannya mewarnai kesusasteraan Melayu, dikuatkan lagi dengan pemilihan para sasterawan negara yang dari segi logik merekalah yang paling mulia dan paling tinggi kemampuan intelektualnya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang lain. Anda agak berapa IQ Pak Pandir? Pastilah lebih tinggi daripada IQ para sasterawan negara. Akhirnya saya ingin memberitahu anda semua, angka-angka IQ ini tidak berguna sedikit pun bagi orang Islam. Yang akan membawa mereka ke syurga bukan jumlah IQ nya; tetapi amal ibadatnya yang ikhlas. Jadi para sasterawan  negara bolehlah tidur lena jika IQ Pak Pandir lebih tinggi daripada IQ mereka.

Katalah antara yang dibuat soalan dalam peperiksaan di Malaysia ialah ukuran IQ tokoh-tokoh besar kita; katalah antara soalan yang diberikan, mana satu IQ tertinggi antara Pak Pandir dan Shakespeare? Sebelum dijadikan soalan, tengok dulu jumlah IQ dua orang tokoh besar ini, supaya bila didapati IQ Pak Pandir melebihi Shakespeare, barulah dijadikan soalan; tetapi andainya lebih rendah, tak perlu dijadikan soalan melainkan kita benar-benar sayangkan Pak Pandir yang bijak itu. Apa tujuannya perkara ini disebut di sini?  Supaya anda semua dapat maklumat yang betul, dan semua orang dapat kesempatan untuk  melihat kecerdikan tokoh-tokoh  yang berjasa kepada dunia kebudayaan masing-masing.  Selain dari itu, supaya para sasterawan negara berasa megah kerana IQ mereka lebih tinggi daripada IQ Pak Pandir, walaupun jauh lebih rendah daripada IQ Shakespeare. Demikianlah fungsi kritikan sastera itu ditentukan dengan membuat perbandingan, suatu strategi yang amat tidak digemari di kalangan para sasterawan negara. Mereka yakin IQ mereka tidak setinggi mana jika dibandingkan dengan IQ Pak Pandir, seorang genius di kalangan orang-orang pandir Melayu.  Melalui Pak Pandir, kita dapat konsep pandirisme, yang dengan cepat dijadikan arus perdana walaupun ditolak dengan keras oleh para sasterawan negara dan sarjana ciritan.   Sekarang pandirisme akan kekal dalam budaya intelektual Melayu dan akan terus dikaitkan dengan kedudukan intelektual para sasterawan negara.   Di situlah bukti kualiti genius Pak Pandir  sebagai seorang pemikir. Kini Pak Pandir bangga mempunyai cucunya yang sangat cerdik, Polan Cupan. Juga seorang genius seperti beliau.  Yang paling pelik dan lucu, Polan Cupan menang hadiah sastera!

Sekarang anda boleh lihat sendiri bagaimana sastera Melayu moden telah melahirkan ramai manusia genius yang kini bergelar sasterawan negara, manakala tidak seorang pun di antara para ulama yang dapat dianggap sebagai genius. Jadi tidak ghalat lagilah tuduhan palsu selama ini yang mengatakan para sasterawan negara tidak mempunyai  IQ yang tinggi. Kalau sudah dapat mengalahkan ulama yang alim itu, mahu IQ jenis apa lagi?  Cerita dongeng begini boleh dijadikan novel para sasterawan negara, dengan judul yang menarik: Hari-hari Bermulanya Polan Cupan Jadi Genius. Kita kontraskan antara genius dengan seniman, mana satu yang lebih unggul. Unggul yang tidak cacat.

Perbincangan tentang aspek genius ini sangat penting ketika membicarakan sumbangan pemikiran para sasterawan negara, satu gerakan besar-besaran yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menonjolkan para sasterawan negara ini sebagai pemikir bangsa yang unggul. Usaha ini  begitu penting dalam rangka mentakdiskan para sasterawan negara sebagai kumpulan yang amat istimewa yang melayakkan mereka digelar sasterawan negara, berada lebih tinggi daripada kedudukan para ulama yang tidak mempunyai apa-apa gelaran, dan kedudukan cendekiawan Melayu lainnya yang tidak diketahui pun siapa mereka.  Dalam tesis Ph.D. yang diterbitkan oleh UKM, Dr. Mawar Shafie melimpahkan pujiannya terhadap novel Naratif Ogonshoto, karya sasterawan negara Anwar Ridhwan. Dari pujian itu, kita boleh berkata Anwar Ridhwan mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada Voltaire, yang jumlahnya hanya 190, sama dengan yang dipunyai Ludwig Wittgenstein (ahli falsafah) dan Sir Isaac Newton (ahli sains).  Jika kita membaca buku Mawar Shafie ini, kita diberitahu Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang sangat jempolan kerana pandai mengambil di sana sini untuk menulis novelnya yang istimewa itu, seolah-olah seperti seorang pemborong idea yang sangat cekap menggunakan idea orang lain untuk membina karyanya sendiri yang sangat asli dan mantap dari segi gaya, retorik dan perwatakan. Tetapi ada satu perkara yang tertutup dari pandangan kita jika kita tidak sensitif kepada penerokaan idea baru dalam penulisan. Kita akan terbawa-bawa oleh “ketangkasan” mengambil di sana sini untuk dimasukkan ke dalam bakul “kreatif” sendiri barang pinjaman dari luar atas nama intertekstualiti hanya untuk merangkaikan cerita dalam bentuk penglipur lara moden, bukan untuk mewacanakan pemikiran original beliau sendiri dalam sebuah karya kreatif yang memberi perhatian kepada pemikiran, tidak hanya kepada kelangsungan cerita seperti yang ditunjukkannya dalam Naratif Ogonshoto itu. Kita hanya akan menyedari hal ini jika karya ini dibaca dalam mod bacaan intelektual seperti yang dijelaskan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya yang dimuat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Mod bacaan cerita yang digunakan oleh Mawar Shafie menggunakan pendekatan intertekstual itu menghasilkan bacaan yang jauh berbeza daripada mod bacaan intelektual. Antara keduanya, manakah yang lebih tepat dipakai jika kita ingin melihat ketangkasan berfikir seseorang pengarang?  Kerana menggunakan mod bacaan cerita, Mawar Shafie membuat satu kesilapan besar dengan mengangkat cerita-cerita dari al-Quran sebagai sebahagian daripada pinjaman interteks yang dilakukan oleh Anwar Ridhwan untuk menyelinapkan kononnya semangat Islam dalam karyanya, iaitu tentang cerita Nabi Nuh. Inilah jenis pensetaraan (levelling) yang disebut-sebut oleh Prof Syed Muhammad al-Attas dalam tulisannya ketika mengkritik para penulis moden yang tidak lagi menghormati wahyu seperti yang difahami dalam Islam, dengan menolak sebarang autoriti dalam tradisi Islam, sebaliknya menganggapnya sebagai teks biasa yang boleh dicedok-cedok sewenang-wenangnya untuk menaik taraf karyanya sendiri.  Dalam teks Anwar Ridhwan, bahtera dibangunkan berpunca daripada kepercayaan karut keluarnya penyu raksasa dari gua persembunyiannya, memberi tanda banjir besar akan berlaku. Yang karut dan tahayul dalam Naratif Ogonshoto disamakan dengan wahyu dalam al-Quran. Bagaimana sarjana dan sasterawan Islam boleh terima kesesatan ini? Apakah yang mendorong mereka untuk sesat begitu jauh? Hanya kerana ingin meniru idea Barat tentang intertekstualiti! 

Kesimpulan

Dari analisis dan penilaian yang diberikan dalam tulisan ini, kita dapat melihat dengan jelas betapa teori dan pendekatan Barat yang tidak gunakan dengan berhati-hati, dengan kefahaman yang mendalam dalam aspek epistemologi Islam, akan membawa kita ke belantara maklumat yang simpang siur, berserabut dengan segala kontradiksi yang kusut hanya kerana kita menolak aspek epistemologi ini dan konsep ilmu yang benar. Punca kesesatan dalam belantara maklumat ini ialah tiadanya konsep ilmu yang jelas, yang diajarkan dalam Islam. Inilah yang akhirnya melahirkan sarjana yang kehilangan adab, yang tidak dapat membezakan mana yang benar dengan mana yang palsu, dengan menerima kepalsuan itu sebagai kebenaran hanya kerana keliru dalam konsep ilmu. Apabila maklumat disamakan dengan ilmu, maka terjadilah kekeliruan yang membawa kepada kesesatan, kerana  akal tidak lagi digunakan untuk mengenal yang benar dan menolak yang palsu.

Kesimpulan saya tentang  novel besar satu-satunya di Malaysia (siapa yang kata begitu? Umar Junus…!) ini adalah sebuah novel penglipur lara moden yang tidak mempunyai kualiti pemikiran yang bernas, hanya dibalut dengan cerita penuh sensasi yang amat lemah pengolahan dan perwatakannya.  Para sarjana ciritan dan sasterawan yang jadi penganut pandirisme mengatakan novel ini sebuah novel intelektual. Saya boleh terima jika dikategori sebagai novel picisan intelektual, dinilai dari perspektif pretensi intelektual seperti yang dilakukan oleh mereka. Tetapi tetap sebuah novel picisan yang melanggar kesopanan berkarya di dalam Islam. Jika kita  membaca dengan betul, yakni dengan membaca karya ini dalam mod bacaan intelektual, kita akan dapati novel ini hanya tidak lebih daripada novel penglipur lara moden yang tidak mempunyai kecanggihan berfikir dan keterampilan teknik penulisan, apatah lagi teknik stylization of ideas yang dimaksudkan dalam Persuratan Baru. Anda mungkin bertanya dengan hairan: Kalau begitu, mengapa novel ini diterima sebagai sebuah novel yang istimewa dan yang terbaik yang pernah ditulis di Malaysia? Itulah pengaruh dan kesan pandirisme dalam kesusasteraan Melayu, yang dihuraikan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi 2, hal. 279-295.  Jawapannya ada di situ. Bacalah dengan kritis dan objektif. Baca dalam mod bacaan intelektual, bukan dalam mod bacaan cerita.

Pembicaraan saya tentang novel dan cerita pendek Anwar Ridhwan berbeza jauh daripada kesimpulan yang didapat oleh para anggota panel penilaian dan sarjana sastera terjadi hanya kerana satu prinsip penting: saya melandaskan analisis dan penilaian saya kepada konsep ilmu yang benar yang sudah  dijadikan warisan oleh para ulama dan penulis syair sejak beratus tahun; sedangkan analisis dan penilaian panel yang memilih karya sasterawan negara ini sebagai istimewa dilandaskan seluruhnya kepada fahaman sastera Barat yang menolak bulat-bulat unsur kerohanian dan agama dalam karya kreatif.  Sekiranya sasterawan ini menulis dalam kesedaran Barat dan bertujuan untuk menjadi Barat dan menonjolkan cara berfikir Barat dalam karyanya, dan ini diterima dengan baik oleh para sarjana dan penilai sastera Melayu, maka saya mencabar keseluruhan konsep itu sebagai tidak wajar dikembangkan dalam tamadun Melayu yang dibangunkan oleh worldview Islam. Sekarang kita mempunyai dua pandangan dan cara penilaian yang sangat berbeza: mana satukah yang wajar dikembangkan dalam pembinaan budaya ilmu di negara kita? Para sasterawan dan sarjana yang diwakili Anwar Ridhwan bertegas bahawa jika sekiranya kita ingin maju dan diiktiraf oleh dunia, kita mesti mengikut mereka dan menggunakan nilai-nilai mereka. Bagi saya pandangan dan keyakinan ini bersikap anti-ilmu dan terlalu megah menjadi peniru Barat yang cetek. Pilihan ini bagi saya adalah pilihan yang salah dan sangat bertentangan dengan tradisi keilmuan Islam yang kita warisi melalui para ulama dan cendekiawan kita. Jawapan kepada kesilapan besar dalam pembikinan tamadun ini saya tegaskan dalam Gagasan Persuratan Baru. Selepas ini, seluruh perbincangan kita tentang kemajuan kreatif yang kita ingini akan berlegar antara dua kutub: Barat yang sudah menyesatkan mereka sendiri dan memang diakui mereka (lihat pandangan P. A. Sorokin, The Crisis of Our Age; dan tesis Ph.D. Robert Sinai, The Decadence of the Modern World; lihat juga buku penting ini, Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms, terbitan USM 2012); atau kita membina tradisi kita berasaskan epistemologi Islam dengan memberi penekanan kepada persuratan, bukan kesusasteraan yang sudah jelas telah mengecewakan kita kerana kecetekannya. Hujah ini mudah dilihat kebenarannya dalam karya para sasterawan negara sendiri, yang dianggap terbaik, tetapi ternyata tidak demikian. Supaya kita semua menjadi cerdik dan pandai memilih yang terbaik, saya serahkan perbincangan ini kepada generasi baru untuk memutuskan apakah yang mereka mahu untuk bangsa mereka yang komited kepada Islam.

@@@@@@

Nota kecil tentang konsep picisan dan pretensi intelektual
Terdapat beberapa jenis karya picisan menurut tanggapan PB. (1) Novel picisan sosial, contoh TIVI oleh Shahnon Ahmad. Masalah hiburan dalam konteks budaya hawa nafsu adalah serius di Malaysia, yang melahirkan berbagai-bagai masalah sosial. Jika sasterawan tidak berupaya memahaminya dengan betul (tentu lebih baik jika difahami dengan mendalam), maka lahirlah novel TIVI yang dangkal dan picisan.  (2) Novel picisan seksual, contoh Kuala Lumpur Kita Punya oleh Abdullah Hussein (3) Novel picisan intelektual, contoh Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan novel-novel lain karya Anwar Ridhwan.  Keterangan tentang aspek picisan ini terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi 2, hal. 141-144 dan di beberapa tempat lain; lihat indeks.

Ungkapan pretensi intelektual penting diberi perhatian dan difahami dalam konteks yang betul supaya karya picisan tidak diterima sebagai karya intelektual. Lihat entri bertarikh 10 Oktober 2014 untuk mendapat penjelasan lanjut.  Seterusnya lihat entri bertarikh 28 Oktober 2014,  “Keunggulan yang Cacat,” untuk mendapat gambaran jelas tentang kedudukan sasterawan negara dalam kebudayaan Melayu.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27 November 2014.

Wednesday, November 26, 2014

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN (Bahagian II)



Bahagian I mendapat komen yang menarik, seperti berikut:

"Apabila saya melihat diri saya di dalam cermin, saya tertanya, inikah dunia saya? Saya tidak mahu lagi melihat imej dalam cermin itu, kerana saya dihantui imej A.Samad Said, Shahnon Ahmadd, Baha Zain, dan Anwar Ridhwan"

In order to exorcise the Great Void, I must succumb to the great Void. I resist it, but i cannot avoid it.”

Komen ini menarik kerana nama-nama yang disebut itu telah ditakdiskan sebagai Brahmin dalam sastera Melayu moden, suatu pengakuan yang jujur dan membenarkan andaian saya selama ini. Jarang, malah sukar sekali, mendapat kejujuran seperti ini dalam dunia sastera Melayu yang dikuasai sepenuhnya oleh faham pandirisme (the ideology of pandirisme).  Tidak semena-mena, apa yang dinafikan selama ini, tiba-tiba diakui  bahawa sesungguhnya kumpulan Brahmin itu memang wujud dalam sastera Melayu dan mereka ini diberi kemewahan (kadang-kadang sangat berlebihan) untuk dikalung dengan bunga malai retorik peragaan yang dihiasi dengan kefasihan fatamorgana bahasa, yang pernah disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara [tentang para Brahmin itu], “ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini.  … semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” (Laporan 2012, hal. 21).

Good for them, tetapi menjadi kutukan kepada budaya ilmu yang diselewengkan oleh para Brahmin sastera ini.  Kehadiran mereka, para Brahmin sastera ini, sebagai sasterawan negara, sangat janggal dan tidak sepatutnya diberi kedudukan itu, melangkah kepala para ulama dan cendekiawan Melayu lainnya.  Semakin banyak dibicarakan tentang mereka, semakin ketara budaya pandirisme, dan semakin ketara kehilangan adab dalam kebudayaan Melayu.  Tidak ada hujah sama sekali untuk meletakkan para sasterawan negara ini di atas para ulama dan cendekiawan Melayu yang lebih cerdik dan benar-benar berjasa dalam membina tamadun ilmu dalam kebudayaan kita, apatah lagi apabila mereka dijadikan golongan Brahmin sastera.  Zaman Brahmin ini sudah lama luput dalam kebudayaan Melayu, oleh itu tidak ada alasan sama sekali untuk menghidupkannya dengan nama sasterawan negara. Analisis dan penilaian saya dalam “Keunggulan yang Cacat” adalah tepat menilai kualiti sebenar novel-novel Anwar Ridhwan sebagai penglipur lara moden, dikunci dengan istilah pretensi intelektual yang mengisyaratkan betapa superficialnya karya-karya yang amat lemah perwatakannya ini. Usaha Mawar Shafie untuk mengangkat novel-novel Anwar Ridhwan menjadi sia-sia dan membuang masa kerana semua hujah beliau boleh dipatahkan dengan mudah, dan berkesan, jika dilihat dari perspektif pretensi intelektual yang saya maksudkan. Saya tidak keberatan jika kesimpulan ini disanggah oleh mana-mana sarjana ciritan. Saya meletakkan wibawa Muhammad Haji Salleh sebagai sandaran, yang mengatakan kita telah banyak melakukan kesalahan menilai karya kita yang bercorak Melayu dengan menggunakan teori sastera Barat. Sekiranya sandaran saya tidak tepat, dan dapat dimatikan dengan hujah yang lebih kuat, maka nyatalah Muhammad Haji Saleh hanya melontarkan idle talk saja, tidak dapat dijadikan pegangan dalam membuat penilaian yang kritis terhadap teori sastera Barat. Adakah pendapat beliau hanya sejenis permainan lawak akademik sahaja? “Lu fikirlah sendiri!” sergah Raja Lawak Malaysia.

Sergahan Raja Lawak itu penting untuk menyedarkan para sasterawan yang khayal dan berada dalam bakul seronok sendiri (perhatikan saya menggunakan perkataan bakul!), memuji dan mengangkat sama sendiri dalam Mutual Admiration Club yang telah dikutuk sejak tahun 1973 oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, oleh itu tidak masuk akal jika kemudiannya beliaulah yang menjadi pengasas Mutual Admiration Club di kalangan sasterawan negara!  Pemilihan Baha Zain ternyata amat cacat, seperti yang dibangkitkan oleh Shahnon Ahmad. Jika beliau selama 30 tahun tidak layak, bagaimana dengan tiba-tiba beliau layak diangkat sebagai sasterawan negara? Tentulah dengan  pertolongan anggota Mutual Admiration Club, yang beliau adalah salah seorang anggotanya. Tidak masuk akal jika beliau yang tidak layak dahulunya tiba-tiba menjadi layak, padahal beliau terus dinilai berasaskan karya dahulu juga. Apakah ukuran yang dipakai dulu dan apa pula ukuran yang dipakai sekarang? Semua ini menimbulkan keraguan yang luar biasa tentang kejujuran akademik dan kompetensi Panel Anugerah Sastera Negara. Kita perlukan penjelasan daripada mereka.

Para sarjana ciritan yang selekeh pengetahuannya tentang kritikan sastera Barat sekalipun, dan langsung tidak kenal pemikiran Islam dalam ilmu persuratan, begitu murah sekali dengan pujian yang tidak berasas, yang ditabur sewenang-wenangnya ke atas kepala para sasterawan negara.  Dua perkara yang menjadi kegemaran mereka sekarang: menggelar karya para sasterawan negara sebagai karya intelektual; kedua, memasukkan unsur Islam ke dalam karya itu walaupun yang ditulis bertentangan dengan Islam.  Kedua-duanya  merupakan pembohongan akademik yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sarjana yang mempunyai harga diri dan yang menghormati ilmu.  Persoalan  ini telah saya sentuh acap kali dalam pos yang disiarkan dalam blog ini. Jika mereka benar-benar percaya kedua-dua unsur itu terdapat dalam karya para sasterawan negara ini, cara paling tepat dan objektif untuk menentukannya ialah dengan menelitinya daripada perspektif Persuratan Baru. Mereka tidak mahu melakukannya kerana mereka sendiri tahu unsur-unsur tadi tidak ada dalam karya itu. Mereka sudah mempunyai alat untuk menguji dakwaan mereka, iaitu gagasan Persuratan Baru. Bagus juga jika mereka berkata PB tidak boleh digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara dan karya sasterawan yang lain; kerana menurut mereka  PB direka-reka untuk digunakan bagi menilai karya Mohd. Affandi Hassan saja. Argumen ini kalah gelagat Raja Lawak!  Nasib baik seloka “Sarjana Ciritan” itu saya tulis 2004 sebelum mendapat berita besar ini.  Oleh itu cabaran intelektual dan cabaran akademik yang dihadapkan kepada mereka masih belum mereka sanggah secara ilmiah dan secara akademik, walaupun mereka gemar bercakap tentang pemikiran dan aspek intelektual dalam penulisan.  Golongan Brahmin sastera dan para pengikut mereka sarjana ciritan ini  tidak  ada pilihan melainkan tunduk menerima  pelawaan PB untuk masuk ke gelenggang ilmiah membahaskan dengan mendalam kedudukan ilmu dalam kritikan sastera. Akan tiba masanya para pelajar mereka sendiri akan bertanya, mengapa mereka bersikap anti-ilmu ketika mereka diperlukan memberi dorongan kepada para pelajar itu untuk  mencintai ilmu yang benar. Para pelajar ini akan membacakan kepada para sarjana ini episod “Tenggelam Dalam Arus” dalam Balai Maqamat untuk mendapat pandangan kritis mereka, sambil berbahas dengan para pelajar itu.  Edisi kedua Gagasan Persuratan Baru sudah terbit untuk dijadikan landasan perbincangan; dan ketika itu para pelajar tidak ada pilihan melainkan memberi pendapat kritis mereka tentang teori sastera Barat yang ditusuk ke dalam benak mereka, dengan melihatnya daripada perspektif Persuratan Baru.  Pendahuluan yang ditulis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, berupa kertas kerja yang dibentangkan dalam “Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia” (Universiti Pendidikan Sultan Idris, 28-29 September 2012), membicarakan dengan jelas peranan PB sebagai alternatif dalam kritikan sastera Malaysia. Inilah masanya untuk para sarjana dan pelajar mereka belajar bersama-sama bagaimana teori sastera Barat, yang tidak dibahaskan dengan kritis, telah menutup kecerdasan intelektual mereka, yang dapat dipulihkan dengan mudah melalui perkenalan secara kritis dengan Persuratan Baru. Tidak ada siapa pun yang dirugikan dengan perbahasan kritis seperti itu. Ini hanya dapat dilakukan di universiti, secara formal, sebab di situlah satu-satunya tempat ilmu dikembangkan. Sambil menolak kepalsuan dari sumber mana sekalipun, termasuk dari sumber Persuratan Baru sendiri.  Satu cadangan yang amat sederhana untuk mengembalikan keyakinan ilmiah yang sekian lama ditutup oleh kedatangan mendadak serangan teori sastera Barat.  Ketahui olehmu (ini gaya lama yang masih bagus dipakai) bahawasanya wahai murid, menggunakan sesuatu alat yang kamu tidak kenal betul  boleh membahayakan kamu, oleh itu hendaklah kamu ketahui terlebih dahulu dan gunakannya dengan cermat supaya kamu selamat. Hendaklah kamu elakkan dirimu daripada tersesat dalam belantara maklumat yang kamu tidak faham. 

Dengan terbitnya edisi kedua Gagasan Persuratan Baru, para penulis muda yang sudah menampakkan minat dalam epistemologi dalam penulisan, akan menjadi peneroka kepada perkembangan kreatif berasaskan ilmu yang benar, dan dalam masa terdekat ini kita akan melihat percambahan yang sihat dalam dialog yang bersifat ilmu di kalangan para penulis muda ini. Merekalah yang akan memulai revolusi kreatif di Malaysia, dengan mencipta karya-karya persuratan mengikut acuan mereka sendiri, tetapi tidak keluar daripada epistemologi Islam berasaskan tauhid dan taklif.  Mereka juga yang akan menjadi pembicara yang benar-benar akademik dalam persoalan ini, dengan mengemukakan pendapat mereka tidak lagi berasaskan emosi, tetapi terus terjun ke dalam dunia ilmu kerana hanya di situ saja mereka akan dapat membangunkan pemikiran orang Melayu dan berupaya mencerdikkan generasi baru.  Kegagalan para sasterawan dan para sarjana ciritan yang menyokong mereka akan menjadi semakin jelas dengan mendedahkan kepalsuan kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, yang berselindung di sebalik Mutual Admiration Club yang dulunya dikutuk oleh ketua-ketua mereka. Pengutuk utama dalam tahun 1973 kini muncul sebagai pelindung utama Mutual Admiration Club ini. Mereka menggunakan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melangsungkan kepalsuan yang semakin jelas kelihatan dalam karya para sasterawan negara. Mereka tidak mempunyai hujah untuk mempertahankan kepalsuan mereka, walaupun mereka mengambil pendirian untuk tidak berbahas dengan kumpulan penulis baru yang lebih sedar akan kepentingan ilmu dalam penulisan.
[Bahagian 3, akhir, akan menyusul].

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/11/2014.


Thursday, November 20, 2014

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN



Kehadiran teori dan pendekatan  kritikan Barat dalam sastera Melayu moden telah berjaya membawa sarjana  sastera ke dalam belantara maklumat dan sesat meraba-raba di situ.  Teori dan pendekatan itu telah memberi mereka keseronokan “akademik” yang membuat mereka khayal dalam timbunan maklumat yang mereka gunakan sewenang-wenangnya dalam kerja-kerja akademik mereka.  Kita dapat lihat keseronokan di kalangan sarjana ketika mereka membentangkan kertas kerja mereka dalam seminar pemikiran para sasterawan negara. Kita sudah mempunyai sekurang-kurangnya 200 kertas kerja yang boleh dijadikan bukti betapa penggunaan maklumat yang tidak disaring dengan konsep ilmu yang benar itu mengelirukan para sarjana ini, dan ini dijadikan asas oleh mereka ketika membuat penilaian dan kritikan terhadap karya kreatif. Kita akan meneliti beberapa buah tesis Ph.D. yang telah diterbitkan untuk melihat bagaimana kekeliruan ini dijadikan arus perdana dalam kajian dan kritikan sastera.

Para sarjana sastera Malaysia telah berjasa besar membawa masuk begitu banyak maklumat tentang kritikan sastera, dalam pelbagai pendekatan yang dipakai di Barat. Mereka begitu ghairah memperkenalkan aneka ragam pendekatan yang kadang-kadang aneh-aneh, seperti misalnya pendekatan interteksualiti, teori pascakolonial, feminisme, unsur subaltern dalam teori hegemoni Gramsci, dan lain-lain. Terbaru yang diperkenalkan mereka ialah teori (atau pendekatan?) sastera perjalanan, yang membicarakan pengalaman perjalanan sasterawan melihat muzium, patung-patung di muzium, kubur sasterawan dunia, dan lain-lain. Semua “teori” ini sesuai digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara,  dan dapat membantu menyerlahkan kekuatan karya mereka. Beberapa orang sasterawan negara sudah ada yang menulis kisah alam akhirat, tetapi hingga kini belum ada lagi teori tentang sastera akhirat ini. Mungkin sedang dalam pembinaan. Jika teori sastera akhirat ini muncul, maka lengkaplah teori sastera dunia yang boleh dipakai untuk menganalisis karya para sasterawan negara. Antara yang berani menulis tentang akhirat ini ialah Anwar Ridhwan, (lihat Laporan 2009, hal. 9, mengenai cerita pendek “Hati” tentang kehidupan manusia di alam roh), Arena Wati, dan mungkin yang lain-lain juga. Imaginasi para sasterawan negara ini tidak terbatas!  Dalam hal ini mereka adalah pengikut yang sangat taasub teori sastera Barat, dan tidak menghormati etika penulisan menurut pandangan Islam.

Dalam perkembangan ini, kita dapat melihat dengan jelas betapa terikatnya para sarjana kita kepada teori sastera Barat. Sekali imbas keterikatan ini seolah-olah satu perkembangan biasa, yang banyak berlaku di negara-negara lain. Ada dua perkara penting mengapa hal ini terjadi. Pertama, inilah kesan kolonialisme yang memberikan anak jajahan bahasa jajahan, seperti Inggeris, Perancis, German, Portugis, Belanda, Sepanyol. Semua ini bahasa penjajah yang diterima menjadi bahasa kedua yang utama; malah itulah juga bahasa rasmi beberapa buah negara yang kemudiannya diberikan kemerdekaan dengan syarat-syarat tertentu, walaupun ada yang merebut kemerdekaan itu dengan pemberontakan. Bahasa penjajah, sistem ekonomi, sistem politik, perundangan, malah sistem sosial sendiri pun mengalami perubahan besar hasil penjajahan itu. Perubahan dari segi sosial lebih berkesan dengan tumbuhnya bandar-bandar baru yang mengurung penghuninya dalam rumah-rumah kecil yang sempit yang kemudiannya menjadi sumber jenayah. Pembangunan dan pemodenan membawa masalah baru yang kemudiannya dibiasakan, iaitu jenayah dalam berbagai-bagai bidang kehidupan moden. Dalam hal ini, dua jenis jenayah yang sangat popular dan dijaga dengan seluruh kekuatan sistem: iaitu jenayah ekonomi dan politik dalam bentuk rasuah. Kini rasuah diinstitusikan dari segi politik dengan diberi nama-nama khusus yang tidak lagi berupa bentuk rasuah, tetapi termasuk dalam belanjawan negara atas nama projek tertentu untuk kemakmuran rakyat. Di sinilah politik memainkan peranannya yang istimewa: wang yang diperuntukkan itu akhirnya masuk poket ahli politik sendiri dengan kerjasama pengusaha dan peniaga yang membangun negara.  Jenayah kedua, yang lebih penting, dilaksanakan dalam bentuk pelajaran dan pendidikan. Sebelum merdeka sistem pendidikan utama dalam bahasa Inggeris, yang menyatukan orang Melayu, Cina dan India di bawah satu bumbung. Selepas merdeka, semuanya dipisahkan ke sekolah jenis kebangsaan, dengan itu tiga jenis manusia yang menjadi rakyat Malaysia tidak lagi belajar dalam satu sekolah, satu sistem. Sekarang kita mempunyai tiga sistem: sistem kebangsaan untuk orang Melayu dan segelintir murid Cina dan India. Cina dan India diberi sekolah mereka sendiri dengan dibiayai oleh kerajaan. Hanya di sekolah kebangsaan saja subjek sastera ditawarkan dan diajar.  Cina dan India ada sastera mereka sendiri. Inilah wajah korupsi dalam bentuk kebudayaan dan pelajaran.

Apabila kritikan sastera lahir, ia lahir dalam satu sistem yang sudah korup, yang dikuasai sepenuhnya oleh sistem pendidikan Eropah/Barat.  Semua nilai sastera ditentukan di Eropah, di negara Barat. Semua konsep yang kita pakai dan jadikan panduan, kita ambil terus dari Eropah/Barat. Genre kita yang baru adalah genre Eropah, yang menirunya dari Arab dan Parsi, dari negara-negara Islam di Andalus. Hanya drama saja yang boleh kita katakan yang totok Eropah, berasal dari Yunani sebagai persembahan kepada dewa-dewa mereka. Sekarang inilah yang menjadi kegilaan masyarakat moden apabila dicipta peralatan baru untuk mendramakan  semua pengalaman manusia, asal saja yang terlintas di fikiran mereka atau imaginasi mereka. Antara yang dongeng dari alam fantasi dengan yang real dari pengalaman dunia nyata, tidak ada lagi garis pemisah yang membezakan antara keduanya. Inilah alam kesusasteraan yang sedang kita hadapi sekarang, dan dari alam inilah teori sastera dikonsepsi dan dipraktikkan. Anda ambil saja mana-mana teori sastera Barat, misalnya teori interteksualiti, yang mengatakan tidak ada karya sastera yang murni dan asli, semuanya diadun secara sedar atau tidak daripada fantasi yang sudah diwujudkan dalam dongeng atau yang dialami sendiri oleh penulis.  Dengan menggunakan istilah ini, segala kerja plagiat, kutipan, curian, ambilan seluruh atau sebahagian, peniruan dan sebagainya, tidak lagi menjadi suatu jenayah, sebaliknya suatu kerja terpuji menggambarkan pengarang luas pengalaman dan tahu memilih mana satu yang hendak dicuri atau ditiru. Sekarang memplagiat sudah menjadi kerja terpuji. Dengan pandangan dan anggapan seperti ini, tidak hairanlah jika para sasterawan menganggap diri mereka lebih tinggi darjatnya daripada para ulama dan ahli ilmu, oleh itu gelaran sasterawan negara itu memang cocok dengan mereka. Barangkali inilah, antara lain, jasa paling besar teori sastera Barat. Jika anda teringatkan teksdealisme, jangan lagi berkata tiruan atau ambilan atau pencurian daripada tulisan dan idea Harold Bloom, kerana Harold Bloom sendiri berkata mencuri itu terpuji, menunjukkan pengarang mempunyai keberanian untuk mengambil apa saja dan mengubahnya.  Baca bukunya, antara lain, The Anxiety of Influence: A Theory of Poetry (1973), A Map of Misreading (1975). Teksdealisme lahir dari buku-buku ini, dan ini amat menarik kerana tidak seorang pun sarjana yang menyebut hakikat ini. Sangat aneh? Saya fikir mereka tidak tahu, kerana memang benar kesimpulan Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas, para sarjana ini adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba.”

Teori sastera Barat adalah sejenis dongeng intelektual yang sentiasa berubah naratifnya, apabila muncul tukang dongeng intelektual baru yang memberi wajah lain kepada dongeng  yang sedia ada. Inilah sifat asasi “teori” interteksualiti yang dibina oleh Julia Kristeva daripada idea Bakhtin, Saussure, Jacque Lacan, yang berpunca daripada Sigmund Freud. Jika tidak berhati-hati, penggunaan teori seperti ini akan hanya melahirkan sejenis dongeng akademik yang mungkin kelihatan impresif, tetapi hanya sekadar melambakkan sejumlah maklumat biasa, bukan dalam bentuk ilmu yang boleh dijadikan panduan. Tidakkah tujuan dan matlamat ilmu untuk dijadikan panduan manusia? Kerana itu ilmu tidak boleh mengusutkan masalah, antaranya dengan berhanyut dalam idle talk dalam pesta bullshit penuh dengan  pretensi intelektual semata-mata. Inilah yang terjadi kepada buku yang berasal daripada tesis Ph.D. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu (UKM, Bangi, 2010). Buku ini antara lain membicarakan karya Anwar Ridhwan daripada pendekatan intertekstual. Apakah hasilnya? Boleh saja anda puji beliau kerana ketekunannya menampilkan begitu banyak “bukti” untuk menunjukkan Anwar Ridhwan pandai menggunakan teks dari sumber lain untuk dimasukkan ke dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. (Rujuk antara lain hal. 118-132). Di sini  timbul satu persoalan besar yang tidak disentuh oleh Mawar Shafie, malah persoalan itu timbul akibat dari analisis beliau sendiri: Apakah pengajaran yang ingin disampaikan oleh intertekstualiti? Tidak ada apa-apa yang berguna, kecuali paparan teknik yang dikatakan digunakan oleh Anwar Ridhwan dalam menulis novel itu.

Pertama sekali yang ingin kita pastikan ialah, siapakah Pak Hassan? Benarkah beliau seorang seniman? Apakah makna seniman bagi Pak Hassan dan bagi Anwar Ridhwan sendiri?  Pak Hassan ialah seorang penglipur lara yang disensasikan hidupnya oleh penulis novel ini, yang seluruhnya dirundung malang. Beliau bukan seorang seniman. Pak Hassan sendiri tidak pernah memikirkan statusnya sebagai seorang seniman, malah dia tidak pernah mendakwa dirinya seorang seniman; Anwar Ridhwan sendiri pun tidak pasti siapakah Pak Hassan sebenarnya.  Dia hanya bercerita tentang Pak Hassan, tanpa memberi sedikit sekali pun  gambaran kehidupan seorang seniman. Pendekatan intertekstualiti tidak dapat membantu sedikit pun untuk kita memahami status Pak Hassan; yang pasti ialah beliau bukan seorang seniman. Kalau begitu, siapakah beliau sebenarnya? Anwar Ridhwan tidak bertanya soalan ini; beliau hanya ingin bercerita tentang seorang penglipur lara yang bukan seorang seniman. Di mana-mana pun di atas dunia, dalam budaya mana pun di dunia, seorang seniman adalah seorang pemikir yang amat conscious tentang kewujudannya, kerana apa saja yang dibuatnya semuanya dilihat dalam konteks matlamat yang ingin dicapainya sebagai seorang seniman.  Jadi judul novel ini yang tepat ialah, Hari-hari Terakhir Seorang Penglipur Lara Gila. Dengan tajuk ini, Pak Hassan boleh terus wujud dalam novel ini seperti yang dirancang oleh penulisnya: tentang seorang penglipur lara yang bernama Pak Hassan yang tidak siuman kerana tekanan hidupnya. Tentu saja kehidupannya amat membosankan, tanpa sebarang cabaran untuk membolehkannya muncul sebagai satu watak yang gigih dan cerdik. Kecerdikan bukanlah ciri perwatakan Pak Hassan, yang sepanjang hidupnya sentiasa murung dan kecewa kerana dia tidak tahu bagaimana mengurus dirinya.  Kalau  begitu, mengapa novel ini ditulis? Mawar Shafie menjawab, kerana Anwar Ridhwan sangat cintakan warisan tradisinya, terutama dalam kelangsungan penglipur lara dalam masyarakat moden.  Andaian ini tidak saja tidak tepat, tetapi mengarut, just idle talk semata-mata. Jika andaian Mawar Shafie benar, tentu saja Anwar Ridhwan akan menjadikan Pak Hassan seorang watak yang gigih mempertahankan warisannya, dan pada waktu yang sama berfikir dan bertindak untuk memahami kehidupan moden yang tidak lagi memerlukan cerita-cerita penglipur lara versi Pak Hasaan dalam novel ini. Bagaimana jika Anwar Ridhwan menjadikan Pak Hassan berfikir secara kreatif, misalnya dengan berkenalan dan berkawan dengan seorang pengarah filem atau drama, lalu menceritakan cerita-cerita penglipur laranya untuk difilemkan atau dijadikan kartun untuk mengajar murid-murid sekolah mencinta ilmu, misalnya. Tetapi baik Pak Hassan mahupun Anwar Ridhwan, kedua-duanya tidak berfikir secara lateral sebagai seorang seniman atau sasterawan; malah mereka sebenarnya terlalu literal dalam menghadapi persoalan kehidupan manusia. Jadi berapa banyak pun Mawar Shafie menghumbankan segala macam maklumat dalam konteks intertekstual yang dimaksudkan oleh Julia Kristeva, novel ini akan tetap berdiri sebagai sebuah novel biasa yang mirip kepada novel picisan saja. (Lihat definisi picisan dalam Gagasan Persuratan Baru). Retorik peragaan yang digunakan oleh Mawar Shafie tidak dapat menyelamatkan novel ini daripada kedudukannya sebagai hanya sebuah novel picisan, yang wataknya sangat lemah, keliru, dan tidak siuman. Tidak ada pembohongan yang lebih besar daripada ucapan ini, yang dikutip oleh Panel Anugerah Sastera Negara tentang novel ini: “Sementara itu, sarjana dan penterjemah, Harry Aveling, berpendapat bahawa ‘Anwar’s world is more than of the urban intellectual: more precise, more restrained, at once Malay and international’” (hal. 7, Laporan 2009). Inilah idle talk yang dikatakan oleh Martin Heidegger, atau sejenis bullshit dalam pemikiran Prof. Frankfurt. Satu penghinaan atau pujian terhadap orang Melayu? Atau tidak lebih daripada sejenis bullshit saja! Rujuk entri, “Keunggulan yang Cacat”, bertarikh 28/10/2014.

(Aka disambung dalam bahagian II).

Mohd. Affandi Hassan,
P.J. 20/11/2014.