Ungkapan berputar-purat dijelaskan dalam entri 5
Ogos 2010. Lihat penjelasan ungkapan ini dalam entri itu. Dalam bahasa
percakapan yang terkenal di Malaysia, perkataan kelentong bolehlah dijadikan
perkataan seerti dengan berputar-purat, walaupun kedua-duanya terdapat sedikit
perbezaan. Untuk kelentong, sila rujuk Kamus
Dewan; perkataan ini tidak terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia. Sesiapa yang biasa dengan bahasa
Indonesia tentu tahu teman rapat “kelentong” dalam bahasa Indonesia. Saya tidak
tahu. Saya pasti mesti terdapat dalam
bahasa Jawa, jangan-jangan kelentong itu memang bahasa Jawa!
Isu yang
cuba dibincangkan di sini jarang disebut, walaupun “falsafah” kelentong
menyerlah dengan jelas setiap hari dalam TV, diucapkan oleh ahli politik, juru
acara atau juru hebah TV dan Radio dan menjadi isu yang lumrah dalam berita dan
ulasan berita. Isu ini timbul dalam entri ini kerana ada yang tidak faham
membaca entri yang lepas (bertarikh 20/9/2018) mengenai Kementerian Pendidikan
dan Menterinya serta Penasihat Kepada Menteri Pendidikan. Ada yang berkata kedua-dua makhluk ini sacred, tidak boleh dijadikan bahan
perbincangan. Tetapi kerajaan PH memberi kebebasan bersuara asal jangan
melebihi batas susila dan undang-undang. Kalau tidak boleh, apa makna kebebasan
dan untuk siapa? Demikianlah tepatnya ungkapan berputar-purat itu terkena ke
batang hidung orang politik.
Para
sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera pun tidak terlepas dari tabiat ini.
Jika anda membaca dengan kritis tulisan saya dalam blog ini yang membicarakan
para sasterawan dan sarjana, anda akan dapat melihat lagak berputar-purat
mereka dengan jelas. Sekali lagi (sorry),
contoh yang sudah menjadi klasik dalam sastera Melayu ialah perihal seorang
profesor emeritus yang juga seorang sasterawan negara memanjat bumbung kilang
besi berkarat untuk mendapat ilham dan menulisnya di atas bumbung berkarat itu.
Hendak ketawa pun tidak sampai hati, kerana itulah saja kemampuan intelektual
dan akademiknya. Orang ini buktikan dengan amat kemas dalam pandangan kritisnya
yang mempersoalkan kaedah Barat digunakan untuk menilai karya sastera Melayu.
Contoh ini pun sangat masyhur; tetapi bila DBP buat seminar tentang “pemikiran”
beliau, dia berpesan kepada murid dan pengikutnya, seorang sarjana, supaya
tulis elok-elok tentang dirinya dan karyanya. Baca tulisan Dr. Siti Hajar untuk
seminar itu. Ungkapan, atau rangkaian
kata “berputar-purat” tepat sekali dipakai untuk tokoh seperti ini.
Tidak dapat
diragukan lagi contoh “berputar-purat” yang sudah menjadi klasik dalam kritikan
sastera Melayu ialah tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang novel Naratif Ogonshoto, yang amat dibanggakan
oleh para penilai Hadiah Sastera Kebangsaan untuk diberi hadiah esei terbaik
dalam tahun 2005 oleh DBP. Betapa
mengarutnya esei yang mendapat hadiah ini hanya boleh disedari jika anda,
sebagai pembaca, familiar dengan
teori sastera Barat yang dijadikan sandaran dan rujukan oleh sarjana terkenal
ini. Kelucuan paling menonjol ialah
tentang konsep postmodernism yang
dijadikan asas utama oleh sarjana ulung ini untuk menilai karya sasterawan
negara yang dari segi ilmiah adalah sebuah karya picisan, bukan karya kreatif
yang berbobot.
Dalam
politik, contoh putar-purat terbaik ialah penubuhan PPBM. Inilah sepatutnya nama UMNO dalam bahasa
Melayu. Cuba anda lihat pakaian seragam dan warna bendera mereka, merah seperti
bendera dan pakaian ahli UMNO. PPBM adalah UMNO yang direkon oleh Tun Mahathir,
menunjukkan betapa kuatnya jiwa UMNO dalam dirinya. Tentulah lebih baik bagi
UMNO dan juga PPBM jika UMNO diserapkan ke dalam PPBM kerana itulah juga UMNO
BARU yang dicipta oleh Mahathir apabila UMNO lama diharamkan. Tentu anda masih
ingat peristiwa ini, yang cukup menarik untuk dijadikan peristiwa penting dalam
kehidupan politik Melayu yang dipermainkan oleh para pemimpin mereka sesuka
hati sang pemimpin. Sekarang anda dapat
memahami dengan lebih mudah dan tepat makna berputar-purat. Sangat cantik!
Apakah
contoh terbaik yang boleh kita dapat dalam sastera? Saya biarkan pertanyaan ini tergantung untuk
anda jawab.
Sekadar
memberi gambaran, saya telah menunjukkan beberapa contoh berputar-purat ini.
Yang terbaik bagi saya ialah kelahiran the
aesthetics of adultery yang dicetuskan
oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan dihuraikannya dengan terperinci dalam tesis
Ph.D. beliau di USM, diterbitkan oleh USM dengan judul, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM
2012). Buku ini sangat istimewa kerana diberi dua hadiah “berprestij” oleh DBP
dan Universiti Malaya. Perbuatan dua organisasi terhormat ini adalah contoh
bagaimana putar-purat dilaksanakan tanpa memahami sumbangan sebenar buku ini
dalam perkembangan intelektual Malaysia. Saya telah memberi ulasan panjang
tentang hal ini dalam blog ini; termasuk disentuh juga dalam Hikayat Salim Adil. (hal.
57-58).
Dari segi
akademik, buku Dr. Norhayati Ab. Rahman ini adalah sebuah karya picisan yang
menobatkan perzinaan dalam masyarakat Melayu dan Indonesia. Melalui buku ini,
Dr. Norhayati Ab. Rahman memperkenalkan the
aesthetics of adultery dalam
sastera Melayu yang menurut beliau adalah satu teori baru yang tidak kena
mengena dengan perzinaan walaupun novel Ayu Utami itu dijadikan bahan analisis
utama. Apakah nama teori itu? Teori the aesthetics of adultery. Dalam bahasa
Melayu bolehkah dipanggil teori Keindahan
Perzinaan Dalam Sastera? Kalau yang
dikemukakan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman itu satu teori, nampaknya
bertambahlah teori sastera bikinan sarjana sastera, lebih mudahlah para sasterawan
hendak membuat pilihan teori mana yang mereka rasa selesa dipakai dalam
penulisan kreatif. Kita akan lihat nanti
lebih banyak karya picisan berbentuk erotik dan porno ditulis dan diterima oleh
masyarakat sebagai karya penting. Mana tahu penulisnya akan diberi anugerah
sasterawan negara. Oleh itu para sarjana mempunyai lebih banyak pilihan, dan
ketika itu mereka akan mempunyai lebih banyak karya untuk dirujuk dan dijadikan
bahan pengajaran sastera di universiti. Jika ini berlaku, PB dan karya persuratan
akan lebih menyerlah kerana akan jadi lebih jelas karya persuratan jauh berbeza
dengan karya picisan. Sekarang sarjana sendiri pun tidak berapa jelas, masih
kabur, kerana itulah ada yang memberi pujian amat tinggi kepada novel picisan Naratif Ogonshoto. Dalam konteks ini
juga konsep berputar-purat itu lebih mudah difahami, dan mereka pun akan sedar
novel agung itu tidak lain daripada karya dalam kelompok berputar-purat
itu. Jika anda faham maksud
berputar-purat yang disebut dalam entri 5 Ogos 2010 itu, anda akan lebih mudah
membuat pilihan dan penilaian terhadap karya akademik seperti Dr. Mawar Shafei
tentang karya Anwar Ridhwan dan konsep intertekstualiti. Ini pun satu contoh
yang jelas tentang maksud berputar-purat itu.
Pendeknya, konsep berputar-purat itu memberi anda kaedah yang mudah
untuk mengenal pasti mana satu karya ilmiah yang benar-benar ilmiah, dan mana
satu pula karya yang penuh dengan pretensi ilmiah padahal adalah sebuah karya
picisan. Saya beri contoh kajian Dr. Mawar Shafie tadi. Kalau anda tidak jelas
tentang perkara ini, anda akan jadi seperti juri yang memilih karya picisan
yang dihasilkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan oleh Dr. Mawar Shafie untuk
diberi hadiah yang “berprestij”, kononnya!
Bila anda berdepan dengan Pujangga
Melayu, atau Hikayat Buyung Lurus,
atau Hikayat Salim Adil, anda akan
terkulat-kulat tidak tahu bagaimana hendak menilai ketiga-tiga karya ini,
kerana anda tidak mempunyai alat ilmiah yang membolehkan anda kelihatan cerdik
dan mantap ketika membuat penilaian anda terhadap tiga buah karya persuratan
itu. Kalau anda tidak faham maksud saya, eloklah anda terjun ke dalam Sungai
Kelang untuk membersihkan diri supaya menjadi lebih cergas! Tetapi belum tentu
lebih cerdas. Waktu ini anda sedang
bergelumang dengan kekotoran akademik yang membuat anda tidak rasa berbau busuk
berada dalam kandang pandirisme, bersikap sebagai lembu kenyang.
Sekarang
kita sampai kepada satu tahap yang paling penting dalam perkembangan gerakan
berputar-purat ini dalam kritikan sastera. Siapakah tokoh besar yang sangat
istimewa yang menjadikan putar-purat ini “nasi makan air minum” beliau? Tidak
lain dan tidak bukan ialah Bapa Kritikan Moden yang amat terkenal di Malaysia,
yang dijadikan contoh dan ikutan, tidak lain dan tidak bukan ialah Mana Sikana,
yang nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah, seorang yang menurut beliau sendiri
“selesa” berbahasa Arab, tetapi klaim ini ditolak oleh Prof. Emeritus Dr.
Bukhari Lubis sejak sekian lama dan disebut lagi dalam Syarahan Perdana beliau
di UPSI, Kesusasteraan Islami Bandingan:
Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir (Tanjung Malim: Penerbit Unversiti
Pendidikan Sultan Idris, 2017). Di bawah
tajuk “Pandangan yang tidak boleh menjadi teori”, (hal. 19), beliau menegur
penggunaan perkataan Arab “Ta’abbudiyah” tidak boleh digunakan untuk menamakan
satu teori sastera. Tegas beliau, “Istilah yang mendukung nama teori ini
terlalu umum. Istilah ini boleh digunakan dalam sebarang aspek atau tindakan,
atau banyak perkara yang boleh dilakukan
dengan senang, dikira demi menjalankan ibadat, sehingga menyembelih ayam
mengikut rukun-rukunnya boleh dikatakan ta’abbudi
(kepatuhan demi melakukan ibadat).
(huruf tebal dan condong dalam asal.) Sebenarnya, kehadiran Mana Sikana sebagai
seorang sarjana (?) dan pengkritik (?) sastera adalah bukti kecetekan dan
kekeliruan para sarjana sastera yang beliau pamerkan dan yang kemudiannya
menjadi ikutan dan sanjungan para sarjana yang cetek meraba-raba. Kekeliruan
dan kecetekan pengetahuan tentang sastera boleh dilihat dengan jelas dalam penggunaan Teksdealisme dan seterusnya (i.e teori
Ta’abbudiyah). Bahawa Mana Sikana
diterima sebagai Tokoh Agung Kritikan Sastera menunjukkan betapa rendahnya
keupayaan intelektual para sarjana sastera.
Inilah inti pati yang paling menarik dalam budaya berputar-purat ini.
Pendeknya, Mana Sikana adalah seorang tokoh besar dalam kandang pandirisme yang
dinamakan “berputar-purat”. Kehebatan
Mana Sikana disindir dan dikritik keras oleh seorang penulis yang menamakan
dirinya K. B. Tan, yang menulis di Dewan
Sastera, Mei 1997, hal. 56. Judulnya sagat menarik: “Antara Ilmu dan
Retorik Kosong”.
Kita kutip
beberapa pandangan beliau yang menarik.
Perhatikan perenggan
pertama tulisan beliau: “Sastera Melayu masih ditukangi pendukung sastera yang
lemah pemikirannya. Begitulah kesimpulan Azizi Hj. Abdullah (Berita Minggu, 30 Mac 1997) setelah
membaca cerpen Hantu Bulan Puasa dan
novel Suluh Peraba, kedua-duanya
hasil karya Prof. Madya (kini profesor penuh yang senior) Rahman Shaari.
Seterusnya Azizi menyuarakan rasa kecewanya terhadap kemelut dalam sastera
Melayu moden.”
Prof. Rahman
Shaari adalah seorang yang sangat beruntung. Ketika pakar gigi terkenal dari
Kelantan menjadi VC Universiti Malaya, Rahman Shaari adalah teman rapat dengan
beliau, baca sajak bersama, dan sebagai “pengkritik” Rahman Shaari memuji
sajak-sajak VC itu. Persahabatan mereka terkenal di kalangan sasterawan sangat
rapat. Pada ketika itulah Rahman Shaari dinaikkan pangkat sebagai seorang
profesor. Ketika beliau memberikan “syarahan perdana” tentang sajak-sajak
Melayu, terbuktilah beliau bukan seorang sarjana yang boleh dipercayai kualiti
akademiknya. Saya telah memberi kritikan agak mendalam tentang syarahan perdana
ini, yang tidak sedikit pun kelihatan ciri “perdananya”. Syarahan perdana ini
hanyalah sebuah esei popular tentang sajak-sajak Melayu, yang dengan mudah
dapat dipertikaikan kualiti akademiknya, seperti yang saya sebut dalam ulasan
saya. Tentang novel, dan cerita pendek beliau, saya tidak pernah baca dan tidak
pun tahu beliau menulis novel yang menurut para sasterawan menjadi kegemaran
peminatnya. Dari segi akademik, saya belum lagi bertemu buku kritikan hasil
usaha beliau yang dapat dianggap berkualiti, yang misalnya boleh menandingi Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2. Walau bagaimana pun, hasrat beliau untuk menjadi
sasterawan negara yang satu ketika dulu digosipkan oleh para sasterawan, bolehlah
diberi pertimbangan. Saya tidak keberatan, kerana memang para sasterawan negara
dalam analisis saya adalah golongan penulis picisan saja. Belum ada lagi
sesiapa yang menolak kesimpulan ini, tidak juga Prof. Rahman Shaari sendiri.
Sudah wajar jika beliau juga masuk dalam kumpulan itu. Jika kita menilai syarahan perdana ini dalam
konteks “berputar-purat”, maka inilah satu contoh klasik bagaimana seorang
profesor meletakkan dirinya sebagai tokoh berputar-purat yang istimewa. Saya
sebut perkara ini dalam konteks penghinaan beliau terhadap syarahan perdana
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, yang disebutnya hanya untuk membela Gagasan
Persuratan Baru kerana saya tidak berpeluang untuk memberikan syarahan perdana
saya! Dalam tulisannya, beliau
menegaskan PB itu mudah: tonjolkan ilmu, sedikitkan cerita, jadilah karya
persuratan. Katanya, beliau belum
berminat hendak menulis karya persuratan yang dianjurkan oleh PB. Adakah
kesimpulan ini berasaskan pembacaan dan kajian yang mendalam terhadap PB, atau
hanya sejenis sentimen berasaskan sikap berputar-purat sahaja. Jelas sekali beliau tidak membaca Pujangga Melayu, yang diterbitkan oleh
Penerbit Fajar Bakti tahun 1997 yang memuatkan banyak sajak yang ditulis khusus
untuk novel itu, antaranya sajak “al-Andalus” yang muncul sebagai sajak terbaik
yang pernah muncul dalam sastera Melayu. Sajak-sajak lain juga penting dan
ternyata jauh lebih bermutu daripada mana-mana sajak yang ditulis oleh Penyair
Besar Malaysia seperti Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan lain-lain. Syarahan perdana itu diucapkan pada 29
Disember 2004. Kerana ini saja pun sudah
jelas bahawa syarahan perdana Prof. Rahman Shaari adalah sebuah syarahan
picisan saja, mengambil contoh daripada karya-karya picisan yang diangkat
menjadi karya utama dalam persajakan Melayu tanpa mengemukakan ukuran yang
tepat dan objektif. Kesimpulan ini
terbuka untuk dibahaskan dengan sehabis kritis oleh sesiapa saja yang merasa
dirinya mempunyai kualiti akademik yang tinggi dan sekali gus mempunyai cita
rasa istimewa tentang sajak-sajak Melayu.
Dalam kritikan sastera, anda tidak boleh berkompromi tentang nilai
sebenar sesebuah karya.
Kemudian K.
B. Tan memberi pendapatnya sendiri begini: “… saya juga berpendapat bahawa
sumbangan beberapa orang sarjana sastera harus dinilai semula. Kenyataan ini
dibuat atas penelitian saya terhadap tulisan mereka yang jelas memperlihatkan
ketidakupayaan untuk menulis dengan jelas dan bernas.” Pandangan ini ditujukan juga kepada Prof.
Rahman Shaari. Tetapi kritikan ini lebih jelas ditujukan kepada Mana Sikana
dengan menyebut beberapa tulisan beliau dalam Dewan Sastera dan Utusan Malaysia yang dirujuk oleh K. B.
Tan.
Memang bagus
sekiranya terdapat orang yang kritis seperti K.B. Tan, kerana ini boleh
menghidupkan dialog yang sewajarnya digalakkan dalam perkembangan budaya.
Sekarang dialog begini ditakuti oleh para sarjana dan pengkritik, kerana mereka
sedar lebih banyak mereka memberi pendapat, lebih terserlah kemampuan akademik
mereka yang tidak seberapa dan yang tidak seberapa itu pula cetek. Mengambil
sikap “lembu kenyang” tidak akan melindungi kecetekan mereka, malah akan lebih
menyerlahkan sikap negatif mereka terhadap ilmu. Nampaknya inilah yang menjadi
pertahanan para sarjana dan pengkritik sastera yang sering kali bercakap besar
dan bercakap banyak tetapi isinya hanya bullshit. Anda dipersilakan membaca dengan kritis Pandirisme Dalam Komuniti Dunia yang
banyak membicarakan beberapa aspek bullshit
dalam sastera Melayu. Lebih mudah, dan
lebih mencabar, bacalah dengan kritis Hikayat
Salim Adil untuk melihat bagaimana bullshit
ini diperagakan dalam sastera Melayu oleh jaguh sastera yang memanjat bumbung
kilang berkarat untuk menulis esei jenis bullshit
ini.
Nampaknya
pengaruh faham berputar-purat ini sangat besar dalam sastera Melayu, dibuktikan
dengan begitu jelas dalam karya para sasterawan negara dan dalam kegiatan para
sarjana sastera dan juga para pengkritik yang keliru dan cetek
meraba-raba. Mulai sekarang istilah
berputar-purat ini lebih meluas dipakai ketika menilai sumbangan akademik para
sarjana dan sumbangan kreatif para sasterawan.
Dengan melihat kegiatan mereka dari perspektif berputar-purat ini kita
dapat membuat penilaian yang tepat terhadap kegiatan mereka, lebih-lebih lagi
jika dilakukan dalam konteks PB. Tiada siapa pun yang masuk gelanggang ini
boleh lari dari dililit dan dibelit oleh faham berputar-purat sekiranya mereka
menolak konsep ilmu yang benar dalam kegiatan mereka.
Saya ingin
sentuh sedikit tentang peranan Kementerian Pendidikan dalam memajukan faham
berputar-purat ini dalam pentadbiran negara di bawah Malaysia Baru yang disogok
kepada rakyat oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Entri bertarikh 8 September 2018 membincangkan serba sedikit mengenai
Pakatan Harapan yang jelas tidak memberi sedikit pun perhatian kepada konsep
ilmu yang benar dalam pembinaan kebudayaan ilmu di Malaysia. Oleh itu tidak hairan jika Kementerian
Pendidikan berada dalam kekeliruan tidak dapat membezakan peranan kaki dengan
otak, dengan lebih memberi tumpuan kepada kaki seperti yang ditunjukkan oleh
Menteri. Dari beberapa ucapan Menteri,
seperti yang dilaporkan, jelas sekali beliau tidak kenal konsep ilmu yang
benar, peranan adab dalam pendidikan, dan matlamat pendidikan untuk melahirkan
warga negara beretika dan bermoral tinggi, sesuai dengan kedudukan mereka
sebagai warga negara beradab. Kementerian Pendidikan lebih berminat melahirkan
para kuli untuk menghadapi tawaran pekerjaan. Matlamat ini sebenarnya boleh
dicapai melalui sistem pendidikan yang memberi perhatian kepada konsep ilmu dan
peranan adab dalam pendidikan. Persiapan
kemahiran untuk menghadapi pasaran pekerjaan seharusnya diimbangi dengan
persiapan intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar. Yang berlaku sekarang
adalah lanjutan dari kolonialisasi
pemikiran yang terus bergantung sepenuhnya kepada Barat, yang dengan
sedar diucapkan oleh Menteri Pendidikan yang mengatakan beliau mahu menjadikan
UIA, sebuah universiti Islam, setaraf dengan Oxford atau Cambridge. Jelas sekali beliau tidak membaca dan
memikirkan dengan serius kandungan buku yang diterbitkan oleh USM, Decolonising the University: The Emerging
Quest for Non-Eurocentric Paradigms.
Prof. Dzulkifli Abdul Razak, VC USM ketika itu, dalam perutusannya,
“Reflections on Decolonising Our Universities”, antara lain menulis begini:
“Reflecting on my experience of trying to ‘transform’ Universiti Sains Malaysia
(USM) where I have been Vice-Chancellor for the last 10 years, I must admit
that I am still uncomfortable with the notion of a ‘university’ as it is
generally understood. I often question whether this is the ‘right’ university
that I am leading.” (hal. 8). Dan seterusnya. Kini belau dilantik sebagai ahli majlis
kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), setelah melepaskan jawatannya sebagai
Presiden UIA yang kini disandang oleh Menteri Pendidikan. Anda nampak ada tidak unsur berputar-purat di
sini?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 27 September, 2018.