Tidak
saja ahli politik yang tahu, pandai, dan kerap berbohong. Terdapat juga sarjana
dan sasterawan yang seperti itu. Tidak ada kelainan antara dua golongan ini.
Pada waktu ini kedua golongan ini saling membantu satu sama lain untuk
memastikan faedah yang mereka dapat (hanya untuk segelintir saja) tidak
terlucut dari cengkaman mereka. Bagi para sasterawan, kita melihat betapa
hebatnya mereka mempertahankan kepentingan mereka dalam Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014, yang diterbitkan dalam Sastera
Teras Negara Bangsa. Cetakan terbaru
buku ini memuat ucap utama Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, yang tidak
disentuh dalam perbincangan dan tidak terdapat dalam resolusi yang panjang yang
dihasilkan oleh Sidang ini. Dokumen ini amat penting kerana ia memperlihatkan
betapa rakusnya para sasterawan ini “memperjuangkan” kepentingan peribadi
mereka, yang mereka serlahkan tanpa segan silu lagi dalam Resolusi Sidang
Kemuncak. Dalam resolusi ini, tidak
disebut betapa pentingnya konsep ilmu yang benar dalam seni mengarang, malah
seberapa boleh mereka mengelak dari membicarakannya kerana ini akan menyentuh
kedudukan mereka yang seluruhnya dinilai daripada teori sastera Barat yang
jelas anti-ilmu. Tidak berapa lama dahulu, seorang sarjana besar yang juga seorang sasterawan negara, mengomel betapa
bodohnya para sarjana Malaysia yang dengan rakus menggunakan teori sastera
Barat untuk menilai “karya kita yang bukan Barat”. Sekarang sikap mereka berubah sama sekali,
dengan melontarkan cabaran berupa pertanyaan yang sangat keras dan mengancam:
Apa salahnya dengan teori sastera Barat? Apabila anda berpendapat teori Barat
tidak boleh digunakan, anda perlu mengelakkan diri anda daripada bercakap
merapu, sebaliknya harus mempertahankan kewibawaan anda sebagai seorang sarjana
yang wajar dihormati. Dengan itu, apabila terdapat sanggahan, anda cukup
bersedia serta mempunyai asas akademik untuk menolak teori sastera Barat, supaya
pendapat tadi menjadi suatu pendapat penting yang perlu dibincangkan dengan
mendalam dari segala perspektif. Jika ini tidak berlaku, maka anda sendiri
akhirnya dinilai seluruhnya daripada perspektif teori sastera Barat, seperti
yang dapat kita lihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara terhadap
tokoh berkenaan. Adakah ini bererti
penilaian itu palsu? Kalau begitu, layakkah
beliau diberi gelaran itu? Semua ini menunjukkan betapa pentingnya teori
sastera Barat dalam kritikan sastera Melayu, oleh itu keraguan yang disuarakan
oleh tokoh ini perlukan penjelasan, oleh itu beliau sendiri tidak boleh mendiamkan
diri seperti sekarang, malah dengan gigih pula memerintahkan para sarjana
menulis tentangnya berasaskan teori sastera Barat, yang boleh kita lihat dalam
kertas kerja tentang diri tokoh ini yang seluruhnya berasaskan teori sastera
Barat. Jika penjelasan ini tidak diberikan,
mereka boleh dituduh sedang bermain dengan pandirisme yang kini mereka jadikan
arus perdana untuk memastikan mereka terus berada dalam kandang Mutual
Admiration Club yang mereka jadikan wahana untuk mempertahankan karya picisan mereka.
Mereka jadikan teksdealisme sebagai teori sastera yang mereka kaitkan dengan
pascamodernisme, untuk kononnya membolehkan para sasterawan negara diletak di
takhta keunggulan. Tetapi teksdealisme bukan teori sastera; pascamodernisme pun
satu gerakan yang hingga kini masih belum mempunyai wajah yang boleh
dipercayai. Menurut sarjana Barat, tidak ada siapa pun yang tahu dengan pasti
apakah sebenarnya pascamodenisme. Apakah
matlamatnya? Yang mereka pasti ialah pascamodernisme adalah satu gerakan
nihilisme sekumpulan sarjana, penulis dan ahli seni yang sudah kehilangan
tujuan kehidupannya. Guru mereka, Heidegger, menegaskan manusia wujud dari
tiada dan akan kembali kepada tiada (nothing).
Kalau begitu, mengapa manusia mesti wujud dan menjadi penghuni dunia, membunuh
dan dibunuh, memulakan peperangan, memusnahkan manusia sendiri. Apakah ertinya
peradaban yang mereka bangunkan, jika semuanya kosong? Inilah dunia sastera
yang diingini oleh Mana Sikana, seperti yang ditegaskannya dalam dua buah
bukunya yang diterbitkan oleh ITBM. Mana Sikana adalah seorang pembicara
sastera yang anti-ilmu yang terbesar dan
paling ulung dalam dunia antarabangsa, lebih hebat daripada mana-mana sarjana
Barat yang masih mempunyai keaslian berfikir. Untuk itu, anda boleh rujuk beberapa
buah buku yang membicarakan pascamodernisme dengan mendalam dan sangat jelas. Saya pasti anda akan terkejut besar bila
membaca buku-buku ini, kerana kandungannya tidak satu pun sama dengan
benda-benda yang menarik minat Mana Sikana. Dari mana dia dapat idea tentang
pascamodernisme itu dia sendiri pun tidak tahu. Jelas sekali Buyung Lurus dalam Hikayat Buyung Lurus lebih cerdik
daripada Sikana ini. Buku-buku yang saya maksudkan disenaraikan dalam catatan
di bawah. Anda perlu membacanya sendiri jika anda berminat dalam isu ini.
Seperti
yang anda dapat lihat dalam rujukan yang
tersenarai di bawah, pascamodernisme adalah satu gerakan anti-ilmu yang amat
berpengaruh di Barat pada waktu ini. Gerakan anti-ilmu ini kini dijadikan teras
perjuangan sekumpulan sarjana dan sasterawan yang kononnya telah membentuk
hegemoni melalui sastera. Sebagai satu
gerakan golongan “lunatic” (menurut istilah Lyotard), pascamodernisme tidak
memberi apa-apa faedah kepada kita yang mempunyai konsep ilmu tersendiri yang
jauh lebih tepat dan serasi dengna kejadian manusia. Semua masalah yang
dibincangkan dalam gerakan pascamodernsme ini berpunca dari keengganan mereka untuk menerima hakikat
bahawa mereka dijadikan, oleh itu ada Tuhan yang menjadikan mereka. Sifat
“lunatic” membuat, dan mendorong mereka bercakaran sesama sendiri seolah-olah
mereka tahu apa yang menjadi masalah manusa moden, seperti yang dijelaskan
dengan terang oleh Tan Sri Prof. Dr. Kamal Hassan dalam ucap utamanya. Bodoh sungguh peserta Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014 yang tidak membincangkan ucap utama ini dengan serius. Adakah
mereka juga sudah termasuk perangkap yang disebut oleh Lyotard? (Theory,
Culture and Society: Postmodernism, ed.
Mike Featherstone, SAGE Publications, reprinted 1990; hal. 502). Saya kutip beberapa kesimpulan menarik
tentang pascamodernisme untuk memberi
sedikit gambaran apakah sebenarnya pascamodernisme ini, yang menjadi ketagihan
akademik sarjana ciritan di Malaysia.
Perhatikan
kutipan ini: “The concept of postmodernism is not widely accepted or even
understood today.” (Frederic Jameson,
seorang pakar gerakan pascamodernisme
yang banyak menulis tetangnya; dalam Hal Foster, hal. 111.) Di tempat lain Jameson menulis, “The problem
of postmodernism - - how its fundamental charcteristics are to be described,
whether it even exists in the first place, whether the very concept is of any use, or is, on the
contrary, a mystification – this problem is at one and the same time as
aesthetic and a political one.” (dalam Dan Latimer, hal. 370; italics original). Kutipan ini lebih jelas dan mudah difahami: “Any
reference to the term ‘postmodernism’ immediately exposes one to the risk of
being accused of jumping on a bandwagon, of perpetuating a rather shallow and
meaningless intellectual fad. One of the
problems is that the term is at once fashionable and yet irritatingly elusive
to define. As the Modern-day Dictionary of Received Ideas confirms: “This word has no
meaning. Use it as often as possible.” (The
Independent, 24 Dicember 1987). Over a decade earlier, in August 1975,
another newspaper announced that ‘postmodernism is dead’, and that
‘post-post-modernism is now the thing’ Palmer, R.E (1977) “Postmodernity and
Hermeneutics”, Boundary 2 22: 364).
If postmodernism is an ephemeral fashion then some critics are clear as
to who are responsible for its
prominance: ‘To-day’s paid theorists surveying the field from their booklined studies
in polytechnicts and universities are
obliged to invent movements because their careers -- no less than those miners and fishermen –
depend on it. The more movements they can give names to, the more successful
they will be (Pawley, M (1986)
‘Architecture: All the History that Fits,’ Guardian 3 Dec: 10).” (Mike
Featherstone, “Introduction” kepada buku yang diselenggarkannya, Theory, Culture and Society: Postmodernism,
London: Sage Publications 1988,
reprinted 1990, hal. 195). Semua kutipan
ini mudah difaham, tiada masalah untuk memahaminya. Itulah kenyataannya di
Barat seperti yang difahami oleh mereka.
Semua kutipan ini bertentangan dengan kefahaman Mana Sikana tentang
pascamodernisme yang diikuti membutatuli oleh para pelajar dan pengikutnya yang
sama keliru dengannya.
Satu
kejayaan besar dalam bidang bahasa dan nahu ialah konsep “ayat” (dalam tradisi
Indonesia disebut kalimat, satu penyelewengan dari segi konsep bahasa) yang
terjadi daripada susunan perkataan untuk memberi makna tertentu, di samping
keindahan penyampaian makna itu. Dalam bahasa al-Quran, “ayat” adalah tanda
kewujudan dan kebesaran Allah SWT. Dari sekumpulan ayat yang dicantum
dalam wacana ketika membicarakan sesuatu
ilmu, kita dapat melihat ketangkasan berfikir dan mengolah sang penulis.
Samalah keadaannya dengan melihat setiap kejadian alam, kita melihat kewujudan
dan kebesaran Allah SWT yang mencipta segala-galanya dari tiada kepada ada
(wujud). Persoalan ini sangat penting dalam falsafah Barat, dan bagi orang
sastera dalam teori sastera Barat.
Manusia Barat tidak menerima hakikat bahawa mereka dijadikan oleh Yang
Maha Pencipta dalam kadar yang amat rumit, tetapi boleh dimengerti oleh akal
manusia yang akhirnya mencipta pelbagai ilmu dalam kehidupan bertamadun mereka.
Sekiranya tidak ada kadar itu (kadar dalam makna measurement yang tetap), maka manusia tidak akan dapat memahami
kejadian alam ini. Tetapi di sinilah para ilmuan Barat bangkit dengan angkuh
mengatakan mereka telah menemui ilmu baru atau penemuan asli yang tidak pernah
diketahui manusia sebelumnya. Inilah yang membuat mereka kehilangan diri
mereka, dan tidak menerima hakikat bahawa mereka sendiri adalah ciptaan Yang
Maha Kuasa. Ini melahirkan gaya “lunatic” dalam tulisan atau perbincangan
mereka, yang akhirnya menyesatkan mereka kerana mereka tidak menerima sumber
sebenar pengetahuan mereka. Mereka seolah-olah berada di tengah lautan
bergelora di atas kapal, tidak pasti ke mana arah mereka tuju dan mengapa
mereka menuju ke situ. Semuanya terjadi
sendiri: kapal, mereka, dan lautan. Inilah yang membuat mereka kehilangan
punca, dan sikap inilah yan g melahirkan cara berfikir pascamodernisme. Anda boleh lihat semua ini dengan jelas jika
anda membaca dan meneliti teori sastera Barat dan falsafah mereka. Ini tidak
bererti tidak ada yang dapat kita manfaatkan. Banyak yang boleh kita pelajari
dan manfaatkan, tetapi kita perlukan kecekapan berfikir berasaskan konsep ilmu
yang bersumber dari al-Quran, Sunah dan pengalaman intelektual ulama Islam yang
sentiasa mencuba memahami ayat-ayat Allah dalam kehidupan keilmuan mereka. Bayangkan seorang ahli falsafah dan ulama
seperti al-Kindi, yang juga seorang ahli ilmu hisab dan geometri, merumuskan
dalam bukunya, yang tertulis dalam bahasa Arab, yang menjadi asas “inscription”
dalam teknologi komputer yang kita pakai sekarang. (Apa bendanya ini, dan banyak yang lain lagi,
anda boleh tahu jika anda bertemu dengan pakar bidang ini yang tahu tamadun
ilmu dalam Islam. Ustaz dan Tok Guru biasa tidak akan tahu kerana tradisi yang
diwarisi al-Kindi, Ibn Sina, dan lain-lain gergasi ilmu dalam Islam tidak ada
lagi dalam tamadun Islam. Mereka tidak lagi pembaca ayat-ayat Allah, oleh itu mereka menjadi semakin jauh
dari kepercayaan agama mereka sendiri, sama ada mereka beragama Islam atau
penganut agama lain.) Dalam sastera
Melayu moden, para sasterawan dan pengkritik serta sarjana sastera yang
melompat-lompat kegembiraan menerima Si Tanggang sebagai tokoh intelektual,
adalah jenis manusia yang tidak tahu membaca ayat-ayat Allah. Malah, dan ini
amat menarik, mereka sendiri tidak menulis dalam ayat-ayat dalam wacana ilmu yang benar yang akhirnya
kembali kepada kebesaran Allah. Malah mereka menjadi penipu, seperti yang saya
jelaskan dalam “Keunggulan yang Cacat.”
Sekarang
anda faham mengapa saya nilai karya para sasterawan negara sebagai picisan, dan
para penilai mereka terdiri daripada sarjana ciritan. Saya memberi digniti
kepada ilmu, dengan itu menolak apa juga percubaan untuk meremehkan ilmu yang
benar, padahal sumbernya daripada yang menciptakan manusia yang menolakannya
itu. Jika mereka berdolak-dalik berkata, mereka pun menerima konsep ilmu yang
benar, tetapi tidak dalam format yang ditunjukkan dalam gagasan Persuratan
Baru. Kalau begitu, mengapa mereka tidak wujudkan yang boleh mereka terima,
tetapi sebaliknya masih terus degil menjadikan pandirisme, hasad, dan sikap
anti-ilmu untuk menolak sesuatu yang mereka sendiri tidak berupaya
mengadakannya. Tetapi mereka berupaya melaksanannya, hanya keangkuhan dan sifat
hasad mereka saja yang membuat mereka terus hanyut dalam kejahilan ambiguiti
yang menjadi kebanggaan mereka.
Gerakan
hegemoni yang dilancarkan oleh PENA, dengan sokongan ITBM, adalah gerakan palsu
yang merugikan perkembangan intelektual yang sihat di negara kita. Menjadikan karya sastera asas negara bangsa
adalah satu usaha yang memalukan dunia ilmu yang sudah sekian lama dikembangkan
dalam tamadun Melayu melalui persuratan, yang dipelopori oleh para ulama dan cendekiawan.
Ada hati para sasterawan dan sarjana sastera ingin mengambil alih peranan itu
daripada ulama dan cendekiawan Melayu, padahal mereka adalah golongan yang
cetek meraba-raba dalam dunia ilmu, yang dari segi kemampuan intelektual dan
kreatifnya tidak seberapa, mereka yang terdiri daripada para sasterawan dan sarjana sastera ini. Kalau ini bukan sejenis penipuan intelektual
yang sangat jelas dan buruk, apa lagi nama yang boleh kita berikan kepada
gologan ini, yang berada dalam kandang Mutual Admiration Club. Sumbangan mereka
dalam dunia ilmu dan akademik adalah sumbangan yang marginal, yang cetek
meraba-raba, yang hanya menjadi pengikut kepada faham sastera Barat. Sikap
negatif mereka terhadap ilmu telah mereka perlihatkan dengan sangat angkuh
dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, apabila mereka meremehkan ucap
utama Prof. Tan Sri Mohd. Kamal Hassan, dengan tidak membincangkannya, dan jika
pun dibincangkan, tidak mahu dilapor dengan profesional untuk dimuat dalam buku
terbitan ITBM, edisi kemas kini itu. Adakah ini kesan hegemoni palsu yang
menjadi pegangan PENA dan ITBM? Isu ini
sangat peting kerana isu inilah yang melontarkan slogan palsu “sastera teras
negara bangsa”, padahal yang dikatakan
teras itu hanya pinggiran yang menjadi kebanggaan anggota Mutual Admiration
Club yang cetek meraba-raba.
Mereka
dengan angkuhnya mendesak kerajaan supaya karya para sasterawan negara dan
anggota Mutual Admiration Club diperkenalkan secara besar-besaran di peringkat
antara bangsa, dengan membutakan mata mereka bahawa sudah terdapat pendekatan alternatif
dalam memahami dan menilai karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar,
yang bersumberkan al-Quran dan Sunah, yang lebih berhak diberi perhatian jika
mereka benar-benar mahu mencabar teori sastera Barat. Tetapi mereka memperlekehkannya, padahal
mereka sendiri tidak mempunyai apa-apa yang benar-benar layak diperkenalkan di peringkat antara
bangsa dalam dunia ilmu. Apakah yang menghalang
mereka daripada bertindak jujur seperti yang sering mereka jeritkan supaya
orang lain melakukannya? Dalam tahun 2004, saya bincangkan isu ini dalam
syarahan DAMAI di UKM. (Ringkasan syarahan itu disiarkan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi
kedua.) Saya sebut tiga perkara yang
menjadi persoalan: sikap hasad, anti-ilmu dan pandirisme. Sikap hasad ini amat kuat mencengkam para
sarjana sastera dan sasterawan, sehingga mendorong mereka menghalang apa juga
perkembangan yang mereka anggap tidak sesuai dengan kedudukan mereka dalam
kandang Mutual Admiration Club itu. Contoh-contohnya boleh kita dapat dengan
mudah, kerana kejadian begini berlaku setiap masa. Hasad menjadi senjata yang
tajam dan berkesan untuk digunakan dalam melestarikan sikap anti-ilmu, supaya
hegemoni pandirisme tidak tergugat. Dalam
konteks ini, kita boleh kemukakan satu pertanyaan yang agak sensitif, tetapi
perlu ditanya: Apakah yang menghalang persatuan penulis membincangkan dengan
kritis gagasan Persuratan Baru?
Pertanyaan ini tiba-tiba menjadi penting pada waktu ini selepas
terbitnya Pandirisme Dalam Komuniti Dunia,
yang menurut maklumat yang sampai kepada saya, ditolak bulat-bulat oleh para
sasterawan picisan dan sarjana sastera ciritan.
Apakah sebenarnya yang menghalang mereka daripada mendekati dengan
kritis gagasan Persuratan Baru dan peranan pandirisme dalam perkembangan
intelektual Malaysia? Sama ada bergurau atau serius, saya diberitahu jika
seseorang penulis/sasterawan diketahui mendekati gagasan Persuratan Baru, kemungkinan mereka mendapat tempat di
penerbitan seperti DBP atau ITBM agak nipis.
Sekiranya ini satu kenyataan, dan benar-benar berlaku, saya fikir
istilah adab, kejujuran dan keberanian intelektual tidak boleh dipakai kerana
itulah yang menjadi teras gagasan Persuratan Baru. Karya saya sendiri masih
diterbitkan oleh ITBM (Balai Maqamat)
walaupun mereka menarik balik keputusan untuk menerbitkan Hikayat Buyung Lurus yang dipersetujui 2013. Majalah Dewan
Sastera, walaupun amat berhati-hati, masih berani menerbitkan “Rumah Impian
Polan Cupan.” Memang benar gagasan
Persuratan Baru menjadi masalah besar kepada para sasterawan negara dan para
sarjana sastera yang menyokong mereka, tetapi ini tidak bererti gagasan
Persuratan Baru menghalang perkembangan intelektual dalam persuratan Melayu,
malah dalam perkembangan sastera sekali pun. Dari segi akademik, ternyata tidak
ada masalah kerana gagasan Persuratan Baru boleh berdiri dengan gagah sebagai
satu pendekatan yang memang diperlukan untuk menilai dengan tepat dan objektif
karya kreatif, dan pada waktu yang sama memberi ruang yang terbuka luas untuk
digunakan dalam analisis dan penilaian kerja-kerja akademik dalam bidang sastera. Satu-satunya masalah ialah sikap hasad, yang
mungkin sukar dihapuskan apabila sudah mendarah daging dalam perilaku
seseorang. Ini pilihan mereka, oleh itu mereka harus diberi kebebasan itu.
Jikalau
kita membaca dengan teliti dan kritis ucap utama Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal
Hassan untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, kita akan dapati ukuran
yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara ternyata bertentangan dengan
pandangan kritis dalam ucap utama itu.
Bagaimana ini boleh terjadi? Seperti yang saya jelaskan dalam beberapa
entri dalam blog ini, Panel Anugerah Sastera Negara tidak mengemukakan ukuran
yang boleh diuji ketepatannya, sebaliknya mereka menggunakan ukuran yang mereka
anggap sesuai dengan karya para sasterawan negara yang mereka pilih. Saya telah memberi beberapa contoh dalam
entri yang lepas, yang anda boleh semak sekiranya anda membaca laporan Panel.
Isunya ialah: Adakah istilah atau konsep yang dipakai oleh Panel untuk menilai
karya para sasterawan negara itu benar-benar mencerminkan kualiti sebenar karya
para sastrerawan negara? Saya dengan tegas mengatakan tidak, dan menulis satu
entri yang panjang : “Keunggulan Yang
Cacat”. Isu paling besar dalam kes ini
ialah: Jika kita membenarkan sarjana sastera dan sasterawan menggunakan
sikap hasad mereka untuk menolak gagasan
Persuratan Baru, maka mereka tidak
mempunyai alasan untuk menghalang penggunaan gagasan Persuratan Baru dalam
penilaian karya kreatif dan dalam kerja-kerja akademik dalam bidang ini. Walaupun saya tidak menggalakkan hasad
sebagai pakaian peribadi seseorang yang menyukai pakaian itu, saya tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk
menerima gagasan Persuratan Baru sebagai satu alternatif yang berupaya
menghadapi teori sastera Barat secara
tuntas. Mereka boleh meneruskannya
dengan bebas, kerana mereka pun sedar
dan tahu bahawa sikap mereka tidak beradab, anti-ilmu dan menjadikan pandirisme
sebagai arus perdana. Bolehkah kita
menggunakan sikap hasad mereka sebagai ukuran dalam menentukan keunggulan
kreatif dan akademik dalam bidang sastera?
Apa pun juga pendirian, dan jawapan anda, tradisi keilmuan Islam menolak
dengan keras sikap hasad, anti-ilmu, dan pandirisme itu.
Era
sastera sudah mati. Tiada lagi zaman sastera. Sastera telah membawa keburukan
dan kemunduran kepada kita, membawa nilai-nilai songsang yang asing sama sekali
dalam tamadun kita. Sastera telah
membuat kita tandus dalam pemifikiran, tidak boleh berfikir kerana memang bukan
tugas sastera untuk membuat orang berfikir, kerana itu apa juga unsur didaktik
dan khutbah yang boleh mendorong orang berfikir dihapuskan dan dikutuk. Sastera
dan penilai sastera, seperti yang dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah
Sastera Negara, mengutuk kebaikan, mengutuk pemikiran berasaskan konsep ilmu
yang benar, dan mengutuk moral sebagai ciri hidup yang terkongkong. Celakalah
bangsa yang menerima sastera yang demikian sifatnya. Untuk membuat kita semua
berfikir, kita harus memulai penulisan gaya baru untuk membuat pembaca berfikir
dan bertindak untuk membuat kebaikan kepada masyarakat, membina tamadun
berasaskan ilmu dan ajaran moral yang agung yang diajarkan oleh Islam dan
disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia. Kepada umat manusia, bukan
hanya kepada orang Islam. Itulah cabaran yang dihadapi oleh para pengarang
kita, tidak saja membina persuratan baru, tetapi juga mencabar segala hasil
karya dunia yang tidak membantu manusia mengenal diri manusa yang hakiki. Ini
mesej kita untuk kita dan untuk dunia. Inilah mesej yang ingin disampaikan oleh
Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hassan dalam ucap utamanya untuk Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014. Tidakkah satu pengkhianatan besar telah dilakukan para
sasterawan dan sarjana sastera bila amanat ini diperlekehkan dan dijadikan
ejekan, seperti yang dilakukan oleh para peserta Sidang. Mana buktinya mereka
menerima amanat itu? Tidak ada. Tidak ada laporan atau sekurang-kurangnya
catatan mengenai mesej penting ini. Sungguh amat memalukan, dan inilah yang
akan dikutuk generasi baru nanti. Mereka telah dikecewakan oleh generasi khayal
dan hasad dan anti-ilmu. Generasi baru ini berhak untuk mengutuk generasi yang telah
mengabaikan pemikiran dan pembinaan tamadun berasaskan konsep ilmu yang benar
dalam dunia penulisan.
Siapakah
yang mematikan daya berfikir sastera Melayu? Mereka ialah para sarjana ciritan
dan para sasterawan picisan yang berkumpul dalam kandang Mutual Admiration
Club. Kerana anggota kandang ini dilihat sebagai kumpulan yang berjaya dan
banyak pula mendapat kemudahan, maka para sasterawan berlumba-lumba masuk ke
dalam kandang bersama mereka. Jadilah sastera Melayu itu sastera kandangan yang
dangkal, penuh pretensi, mandul dari segi pemikiran; tetapi diberi pujian oleh
para sarjana ciritan yang ingin menumpang kedudukan penghuni kandang Mutual
Admiration Club, sehingga para sarjana ciritan ini sendiri, yang dulunya
menentang Mutual Admiration Club, menjadi penyokong kuat dan dengan bangga pula
menerima pelantikan sebagai jurucakap dan ketua Mutual Admiration Club. Inilah kumpulan yang menentang konsep ilmu
yang benar, walaupun mereka mengaku mereka juga Islam.
Apakah
yang mendorong mereka menjadi penentang konsep ilmu yang benar itu? Sebenarnya
mereka tidak tahu kandungan agama mereka, dengan itu mereka dengan mudah
menjual agama untuk faedah diri mereka. Peristiwa Teknik Surah Yusuf adalah
perkembangan paling berjaya dalam penjualan agama ini. Melalui apa yang disebut
Teknik Surah Yusuf, mereka menerbitkan apa yang mereka namakan novel Islami,
yang satu ketika dulu amat laku di kalangan anak-anak muda yang jahil. Mereka
tidak boleh dipersalahkan, kerana di dalam kumpulan ini terdapat juga ustaz,
yang memperjuangkan dengan gigihnya
Teknik Surah Yusuf, kerana menurut mereka al-Quran juga menggunakan cerita untuk
memberi pengajaran kepada penganut Islam. Pendapat karut ini tidak sepatutnya
dikeluarkan oleh para ustaz yang opportunist
ini. Tidak ada fiction dalam ceirta-cerita
al-Quran, semuanya cerita benar, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dalam
Surah al-Kahfi ayat pertama lagi, mengenai iwajan
atau crookedness
(kebengkokan) seperti yang menjadi ciri utama fiction, cerita dalam novel. Para ustaz yang turut menjual agama
ini tidak dapat membezakan antara fakta dalam bentuk cerita (kissah) dengan fictionality dalam novel. Dengan itu, dengan menggunakan apa yang
mereka namakan Teknik Surah Yusuf, mereka telah meletakkan fiksi dalam novel
setaraf dengan kisah al-Quran. Para ustaz yang cetek ilmu agama dan tidak
mempunyai pengetahuan pula dalam teori sastera Barat yang menjadikan fictionality itu sebagai reality, telah menipu pembaca dan para
penulis Melayu yang tidak ada ilmu agama untuk menulis fiction atas nama Islam. Satu pengkhianatan yang amat besar dan
sudah wajar dikutuk sekeras-kerasnya kerana dengan sengaja menghina Islam untuk
mendapat sedikit keuntungan dunia dengan menipu dari segi ilmu. Apabila saya
memperkenalkan kategori karya persuratan, mereka yang tidak ada ilmu ini
menjerit marah bahawa dalam karya sastera pun sudah terkandung konsep ilmu yang
benar itu, dalam cerita yang dituturkan mereka. Kerana pendapat ini terlalu bodoh
dan karut, saya tidak perlu membicarakannya di sini.
Dalam
dunia yang memuja dan memperjuangkan pandirisme, saya terlebih dahulu
“menterjemahkan” Persuratan Baru sebagai “genuine literature” dalam bahasa
Inggeris, supaya maksud dan matlamat Persuratan Baru tidak diselewengkan oleh
sarjana ciritan yang mengambil jalan mudah untuk menterjemahkan Persuratan Baru sebagai “the
new letters”. Memang terdapat usaha
untuk memesongkan makna dan maksud Persuratan Baru, kerana menurut mereka
“persuratan” bukan “sastera”, oleh itu istilah sastera itu adalah definitif,
tidak boleh diubah lagi. Konsep Persuratan Baru yang diperkenalkan itu sangat
penting dalam membuat penilaian ke atas karya sastera, terutama dalam konteks
para sasterawan negara. Kita ingin menjawab soalan mudah, yang mungkin
kedengaran bodoh, yang tidak boleh dielakkan untuk dilontarkan demi untuk
menjaga status tinggi para sasterawan negara ini. Soalan itu ialah: Benarkah para sasterawan
negara ini mewakili kemuncak perkembangan intelektual dan perkembangan ilmu
dalam tamadun Melayu moden? Soalan ini
menjadi sangat penting apabila dikaitkan dengan kesimpulan Prof. Syed Muhammad
Naquib al-Attas yang beliau kemukakan dalam syarahan pengukuhan beliau 1972,
bahawa yang dinamakan pujangga dan sasterawan itu ialah kumpulan pinggiran yang
cetek meraba-raba. Sekiranya kesimpulan ini tidak benar, yakni salah, mengapa
hingga kini belum ada seorang sarjana pun yang cuba menjawab dan menolak
kesimpulan itu. Walau pun ada usaha untuk meletakkan para sasterawan negara ini
di atas takhta keunggulan, tidak ada hujah yang dikemukakan yang membuktikan
mereka layak diberi kedudukan tinggi itu. Oleh itu, siapakah mereka, para
sasterawan negara ini, yang sebenarnya? Siapa mereka? Penilaian yang dibuat oleh
Panel Anugerah Sastera Negara ke atas karya mereka tidak sedikit pun
membuktikan keunggulan mereka, malah laporan yang ditulis oleh Panel itu
membuktikan dengan jelas sifat karya mereka yang picisan dan tidak mempunyai
kualiti pemikiran yang unggul yang membolehkan mereka diletak lebih mulia
daripada para ulama dan cendekiawan yang selama beratus tahun membina tamadun
intelektual Melayu melalui persuratan.
Sekarang para sarjana ciritan ini harus menjawab dan menolak dua
kesimpulan yang dilontarkan oleh Prof. Syed Naquib al-Attas dan oleh saya
sendiri. Sekarang mereka, para sarjana
ciritan ini, tidak boleh mendiamkan diri lagi. Mereka perlu tampil
mempertahankan para sasterawan negara ini dan menolak kesimpulan Prof. Syed
Muhammad Naquig al-Attas dan kesimpulan saya sendiri.
Izinkan
saya membantu mereka memberi jawapan tuntas supaya seluruh tamadun intelektual
Melayu tidak menjadi hina dina dengan kehadiran para sasterawan negara
ini. Saya ingin merujuk mereka kepada
sebuah buku penting yang ditulis oleh seorang sarjana Eropah, yang
telah memeluk Islam 1991, Matthew L. N.
Wilkinson, A Fresh Look at Islam in a Multi-Faith World: A Philosophy for success
through education (Routledge, London
2015). Dengan berpandukan kepada idea
yang dihuraikan dalam buku ini, para sarjana ciritan ini akan faham mengapa
saya menggunakan istilah “genuine literature” untuk menterjemahkan gagasan
Persuratan Baru. Mereka akan sedar betapa mereka tidak mempunyai pilihan untuk
menolak gagasan Persuratan Baru kerana PB adalah jawapan saya kepada persoalan
yang dikemukakan oleh penulis buku ini. Ucapan terima kasih dan penghargaan
saya kepada Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir kerana memperkenalkan buku penting
ini. Selamat membaca.
@@@@@
[Rujukan: Stephen R.C. Hicks, Explaining Postmodernism: Skepticism and Socialism from Rousseau to
Foucault (New Berlin/Milwaukee:
Scholarly Publishing, 2004). Thomas
Docherty, ed. Postmodernism: A Reader (New
York : Columbia University Press, 1993).
Antologi terbaik dari segi kandungan. Lihat terutamannya tulisan
Frederic Jameson, “Postmodernism, or the Cultural Logic of Late
Capitalism”. Juga Ihab Hassan, “Toward a
Concept of Postmodernism.” David odge,
ed. Modern Criticism and Theory: A Reader (London: Longman, 1988). Tulisan Frederic Jameson dan Terry Eagleton patut
dibaca. Hal Foster, The Anti-Aesthetic: Essays on Postmodern Culture (Seattle, Washington: Bay Press, 1983). Tulisan Frederic Jameson, “Postmodernism and
Consumer Society,” patut dibaca. Christopher Norris, The Truth About Postmodernism
(Oxford: Blackwell, 1993
(reprinted 1996). DanLatimer, ed. Contemporary Critical Theory (New York: Harcourt Brace Jovanovich, 1989.)
Lihat Frederic Jameson, “The Politics of Theory: Ideological Positions
in the Postmodern Debate.” Walter Truett
Anderson, ed. The Truth About the Truth:
De-confusing and Re-constructing the Postmodern World. Jean-Francois Lyotard, The Postmodern Condition: A Report on Knowledge (Minneopolis: University of Minnesota Press,
1984 (English); 9th printing 1993.)
[Catatan:
Saya diberitahu Mana Sikana ada masalah buah pinggang. Sila dapatkan al-Manna daripada Natural Prebiotik (M) Sdn
Bhd.; 12-B Jalan Bangsar Utama 1,
Bangsar Utama, 59000 Kuala Lumpur (depan MayBank Complex). al-Manna bagus untuk buah pinggang.
Kedua,
minta murid atau pengikut Mana Sikana betulkan pandangan saya terhadap
teksdealisme jika tidak tepat; juga tentang pascamodernisme yang bagi saya Mana
Sikana terlalu jauh menyeleweng.
Tanggungjawab bersama untuk membetulkan kesilapan. Terima kasih.]
NOTA PENTING: Judul asal entri ini ialah, “Pembohongan dalam kritikan
sastera Melayu.” Dalam dunia
pascamodernisme, perbezaan antara “pembohongan” (yang dikaitkan dengan penipuan) dan kejujuran (yang dikaitkan
dengan kebenaran) tergantung kepada context dan content. Di Malaysia, contoh terbaik ialah kes 1MDB dan derma RM2.6
bilion. Saya tidak perlu jelaskan, semua
orang tahu. Dunia pascamodern menerima
“schizophrenia” sebagai satu ciri penting. Fredric Jameson menulis sebuah buku
penting membicarakan poscamodernisme daripada perspektif “schizophrenia”: Postmodernism, or, The Cultural Logic of
Late Capitalism (1991). Kes 1MDB
adalah contoh “schizophrenia” dalam politik Malaysia. Banyak lagi contoh lain.
Paling terkenal ialah teksdealisme Mana Sikana.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22/5/2016.