Bila kita
ikuti dengan kritis perbincangan politik di Malaysia oleh ahli parti, maka
setiap anggota parti dan ketua parti dengan angkuh mendakwa bahawa mereka
adalah pemimpin parti yang menjadi pembela rakyat. Kalau anda dengar
perbincangan di antara ketua-ketua parti di mana-mana media, kita akan dapati
tiada seorang pun anggota parti dan ketua parti tidak menegaskan dengan angkuh
bahawa mereka mewakili rakyat dan matlamat mereka untuk menang dalam pilihan
raya supaya rakyat terbela dan kehidupan mereka diberi perhatian dan penekanan
supaya mereka, rakyat dan pengundi mereka, mendapat peluang untuk menikmati
kemakmuran negara. Inilah retorik pembohongan politik yang diulang sudah berapa
juta kali sejak Malaysia dikatakan merdeka, padahal pada hakikatnya rakyat
dibelenggu oleh sistem pembohongan politik yang dicetuskan dalam manifesto
pilihan raya dan dalam ceramah politik untuk mendapat sokongan pengundi, yakni
rakyat. Tidak ada ketua parti yang
mengatakan mereka menggunakan kedudukan mereka dalam parti untuk mendapat
kemewahan dan mengaut kekayaan dengan menggunakan kedudukan mereka dalam
parti. Inilah pembohongan yang mereka
ungkap dengan manis dan meyakinkan supaya mereka diberi kuasa melalui pilihan raya. Jika anda seorang pemerhati politik yang
pintar dan cerdas berfikir, anda akan dapat melihat bagaimana pembohongan itu
diungkap dalam kata-kata bersemangat untuk kononnya membela rakyat dan
mengheret mereka keluar dari kemiskinan. Jika kita percaya kita telah
dimerdekakan pada tahun 1957, bulan Ogos, maka kita berhak meragui kejujuran
para pendukung parti politik yang secara total gagal mengangkat rakyat keluar dari
belenggu kemiskinan. Yang kaya raya dan hidup mewah ialah para ketua parti. Di mana
ada ketua parti yang tidak mewah hidupnya? Mengejar kemewahan adalah matlamat
ketua parti; seperti yang ditunjukkan oleh anggota PAS yang bertugas sebagai Exco
Kelantan yang baru saja lagi membeli kereta Mercedes untuk kegunaan Ahli Exco,
berjumlah 12 buah (lebih lagi?) yang setiap satunya berharga $700,000! Kata
ahli Exco PAS Kelantan, semua anggota Exco berhak mendapat kereta itu kerana murah
dari segi ekonomi penggunaannya. Tahan
lama pula …
Contoh ini
sangat baik dalam konteks pembohongan politik ini. Orang PAS pun manusia yang ada nafsu inginkan
kemewahan yang boleh diperoleh dari kedudukan politik mereka; oleh itu mereka
pun sama juga dengan gembung-gembung UMNO yang para pemimpinnya amat
mewah. Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan
bangganya memberitahu rakyat Malaysia bahawa di bawah kepemimpinan beliau,
semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara hendaklah mengisytiharkan harta mereka
kepada Parlemen. Yang tidak mahu
membuatnya hanya anggota PAS, kerana menurut ustaz mereka yang maksum
memperagakan harta adalah haram; dan jika didedahkan dengan perisytiharan di
Dewan Rakyat, maka perbuatan itu haram kerana memperagakan kekayaan. Tentang perisytiharan harta ini Buyung Lurus
telah memberikan contohnya dari ahli politik England yang diketuai James Callaghan
yang mengisytiharkan hartanya sendiri dan semua para jemaah menteri dan pegawai
kanan yang dimuat dalam The London Times (edisi Ahad) dalam bulan
April 1976, sebaik saja Parti Buruh menang pilihan raya. Kata ahli PAS dan tokoh-tokoh mereka yang maksum, perbuatan itu
haram, kerana ada muslihat hendak menunjuk-nunjukkan kekayaan atau kemiskinan! Ini bukan pendirian Islam, kata
gembung-gembung PAS yang maksum.
Kalau
benarlah anggota parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad jujur, mereka
sepatutnya melakukan perisytiharan harta seperti yang dilakukan oleh orang
kafir dari England itu. Nampaknya orang kafir jauh lebih jujur dan berani
daripada orang …. (anda tambah sendiri siapa mereka!)
Pembohongan
adalah budaya politik yang dijadikan ideologi yang sah dalam politik Malaysia,
dan semua ahli politik sangat bangga menjadi penganut ideologi pembohongan
politik itu. Itulah tradisi politik
dalam Islam, kata gembung-gembung politik yang menjadikan Islam sebagai alat
untuk mendapat kedudukan dan kekayaan, kemewahan dan sanjungan pengikut. Siapakah tokoh pembohong Malaysia telah pun
diberitahu oleh Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj, dan orang itu sangat bangga
mengaku beliau berbohong kerana katanya dengan jujur dia tidak sangka akan
menang pilihan raya. Orang ini diberi gelaran sebagai seorang, kononnya, yang
layak dipanggil “negarawan”, padahal yang lebih cocok dan lebih tepat beliau
adalah seorang “nagarawan” – naga yang rawan. Apa makna “rawan” dalam bahasa
Melayu? Saya sudah jelaskan hal ini dalam entri yang lepas, oleh itu tak perlu
diberi penjelasan lagi.
Dalam
politik moden, pembohongan diberi nama strategi, atau muslihat dalam bahasa
Melayu. Politik memerlukan strategi untuk mencapai kemenangan. Tidak ada
seorang yang memanggil dirinya tokoh politik tidak tahu makna strategi dan
matlamat strategi itu. Dalam ungkapan yang mudah, semua muslihat bertujuan
untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya. Kerana kemenangan itu matlamat
utama, maka tidak ada muslihat yang tidak boleh dipakai untuk mencapai tujuan
mendapat kuasa apabila sudah menang dalam pilihan raya. Faham demokrasi telah mendapat, dan diberi,
kedudukan yang istimewa dalam politik moden. Pembohongan, yang diberi nama mobilization of bias, menjadi dasar
perjuangan semua ahli politik yang mendukung faham demokrasi. Ahli politik tidak mahu terima hakikat
bahawa demokrasi adalah punca segala kejahatan dalam politik, punca segala
jenis penipuan, dan puca segala jenis penindasan. Pengalaman demokrasi di
Malaysia amat jelas menyokong kesimpulan ini.
Ingat saja operasi lalang yang masyhur itu, yang menurut
Mahathir Mohamed perlu dilaksanakan dengan keras kerana kedudukan beliau
terancam. Peristiwa Memali 1985
bertujuan untuk menghapuskan ajaran sesat Ibrahim Libya yang sedang membuat
persediaan untuk menyerang kerajaan UMNO. Menurut Musa Hitam, bukan dia yang
mengarahkan pertempuran polis dengan pengikut Ibrahim Libya; yang betul ialah
Mahathir Mohamad sendiri yang ada dalam negeri ketika kejadian itu berlaku. Beliaulah yang memberi arahan untuk menangkap
Ibrahim Libya. Mahathir Mohamad menafikan dia yang memulai pembunuhan rakyat di
Memali itu; yang menurutnya atas arahan Musa Hitam. Sekarang kita ada dua
versi. Mana satu yang betul? Tak mungkin kedua-dua pemimpin UMNO ini berbohong.
Tak mungkin juga kedua-duanya bercakap
benar. Apakah sebenarnya yang berlaku? Siapa yang bertanggungjawab di atas kejadian
itu? Wartawan yang sinis berkata,
kejadian itu terjadi sendiri, tiada siapa pun dari UMNO yang terlibat. Adakah
ini boleh membersihkan nama UMNO? Jangan
lupa, berapa lama Mahathir Mohamad menggunakan UMNO untuk mencapai cita-cita
politik peribadinya. Dengan bangganya
Mahathir Mohamad berkata Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak gagal membantu
orang Melayu yang terus miskin. Apa yang dia buat selama 22 tahun dan
kemudiannya tambah 2 tahun lagi untuk membantu Melayu? Semua ini menjadi bukti siapa sebenarnya
orang yang bernama Mahathir Mohamad itu.
Kesilapan
besar orang Melayu ialah apabila mereka meletakkan Mahathir Mohamad sebagai
ketua mereka, dan percaya pula kepada tokoh pembohong ini. Sebenarnya orang
Melayu sendiri suka berbohong, dan menjadikan pembohongan sebagai salah satu
ciri budaya mereka yang utama. Pada mulanya saya agak ragu hendak mempercayai
kesimpulan pakar budaya Melayu yang memberikan kesimpulan itu; lalu saya uji
pada bulan puasa lepas. Saya beli sejenis kueh yang terkenal di Kelantan,
terutama pada bulan puasa. Bila saya
bertanya adakah kueh ini buatan orang Kelantan, penjual dengan
bersungguh-sungguh mengiakan. Bila saya rasa ketika berbuka, ternyata itu kueh
tiruan, tiada langsung rasa Kelantan yang memang tidak dapat diragui jika
benarlah kueh itu buatan orang Kelantan. Mengapa penjual itu sanggup berbohong
hatta di bulan puasa sekali pun? Penjual
itu bukan orang Kelantan, oleh itu anda boleh saja berkata tentu dia tidak
tahu, dia hanya tukang jual saja. Jika inilah yang berlaku, ada aspek lain yang
saya tidak mahu sebut di sini. Anda boleh fikir sendiri jika anda mahu.
Beginilah, ketika diadakan pertandingan merebut Ketua UMNO antara Ku Li dengan
Mahathir, semua ahli UMNO dari Kelantan memilih Mahathir. Undi itu berjumlah 43
undi, semuanya memihak kepada Mahathir. Siapa boleh beri penjelasan mengapa hal
ini berlaku?
Ada orang
bilang, pengundi UMNO Kelantan memang bodoh, dan korup. Mungkin juga! Tetapi gembung-gembung PAS
berkata, pengundi Kelantanlah yang paling cerdik, kerana terus memilih PAS,
walaupun PAS tidak berusaha dan tidak berdaya membaiki ekonomi Melayu. Akhirnya
ketua-ketua PAS berkata, pengundi Kelantan tahu dosa pahala, dan mengundi calon
yang boleh menjadi saksi mereka di akhirat nanti. Sebodoh itukah pengundi
Kelantan? Sekarang orang Kelantan sangat
bangga kerana Exco PAS menggunakan Mercedes besar yang setiap satu berharga
RM700,000! Menurut MB PAS, kereta itu
ekonomi, boleh tahan lama pula.
Berapa lama
pula PAS boleh bertahan? Sekarang PAS
sudah masuk UMNO, sudah pun menubuhkan Kerajaan Nasional bersama sebuah parti
kecil kepunyaan Mahathir Mohamad, tetapi dirampas oleh Muhyiddin Yasin yang
melantik dirinya menjadi PM ke-8. Kata
para penyokongnya, PM ke-8 adalah PM terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia.
Sebenarnya semua PM Malaysia adalah terbaik, kerana semua mereka datang dari
UMNO. Dalam UMNO tiada pemimpin yang korup. Itulah hakikatnya politik
pembohongan Malaysia, warisan British yang tentunya sangat happy melihat kejayaan polisinya hingga selepas yang dikatakan
merdeka itu. Paling hebat, Mahathir Mohamad berusaha untuk menjadikan bahasa
Inggeris bahasa negara dalam Sains dan Matematik, katanya. Itulah jasa Mahathir
Mohamad yang teragung.
Demikianlah
hikayat politik Malaysia yang diceritakan oleh Buyung Lurus, tokoh terbesar
dalam sastera Melayu. Buyung Luruslah
yang mengupas dengan mendalam makna dan maksud korupsi dalam politik Malaysia.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 20 Mac 2020.