Peringatan Untuk
Diri: Hari ini sangat special untuk
perjuangan intelektual saya, yang ke-60 tahun selepas terbitnya cerita pendek “Kapitalis
Kecil” dalam Mingguan Pedoman (5 Januari 1957), yang diterbitkan oleh Ahmad
Boestamam. Tidaklah aneh jika beliau yang turut serta dalam perjuangan saya
(bukan sebaliknya) kerana saya kenal beliau ketika beliau dan rakan-rakan seperjuangannya
sering singgah di rumah guru saya, Ustaz Wan Ismail. Saya sudah kenal mereka
sejak remaja. Kebetulan hari ini sempena Tanah Melayu merdeka 60 tahun… Adakah
sastera Melayu sudah merdeka dari pengaruh pandirisme? Cerita pendek ini telah dirumikan dan dapat dibaca pada bahagian akhir entri ini.
Bagaimana
berubah jika tidak berubah? Dalam
penulisan kreatif, perubahan, yang
difahami di Malaysia di kalangan sasterawan,
boleh berlaku jika sasterawan
“menemui” sesuatu teknik baru dari Barat, misalnya realisme magis. Jadi mereka
pun menulis mengikut teknik itu. Perubahan juga boleh berlaku jika seseorang
sasterawan menemui sesuatu idea yang difikir menarik untuk diperkenalkan di
Malaysia, maka dia pun buatlah, seperti yang dibuat Anwar Ridhwan dalam novel
agungnya. Walaupun dari segi praktik di
Malaysia ada perubahan secara kasarnya, tetapi yang berlaku bukan perubahan, sebaliknya peniruan. Dalam konteks Malaysia
peniruan sama saja maknanya dengan
perubahan, kerana peniruan itu sendiri akan mengubah cara menulis sang
sasterawan, seperti misalnya dalam novel agung Anwar Ridhwan yang menggunakan
sadisme sebagai asas teknik bercerita. Walaupun secara kasar seolah-olah ada
perubahan, dari segi pemikiran tidak ada perubahan, kerana itulah novel
Malaysia terus ditulis dalam konteks cerita, tidak dalam konteks wacana dan
pemikiran. Bila anda menekankan aspek cerita, maka terjadilah apa yang berlaku
kepada Naratif Ogonshoto, yang kita
dapati anti-nilai yang bercorak agama, tetapi mempromosikan nilai-nilai
nihilisme yang bercorak anarkis dan
anti-agama. Semua ini jelas dalam novel agung Anwar Ridhwan, seperti yang saya
paparkan dalam entri yang lepas.
Penerokaan,
bukan Peniruan
Panel
Anugerah Sastera Negara tidak salah dalam menilai karya para sasterawan negara
yang dipilihnya, tetapi lebih besar kesalahan itu ialah kesalahan menggunakan
istilah ciptaan mereka. Yang selalu mereka gunakan ialah kelainan, pembaharuan,
eksperimen, dan seterusnya. Semua istilah yang diperkenalkan oleh Panel itu
tidak bermakna apa-apa, kerana semuanya tidak menjurus kepada penerokaan baru
dalam penulisan kreatif. Yang Panel maksudkan dengan segala istilah yang mereka
cipta secara sewenang-wenang itu (ertinya, tidak berasaskan nilai-nilai
tertentu) ialah peniruan yang dilakukan oleh para sasterawan negara dalam usaha
mereka untuk mempertingkatkan keseronokan mereka bercerita, bukan untuk
mengolah persoalan atau tema besar berasaskan pemikiran yang jelas tentang
sesuatu persoalan masyarakat. Ketiadaan ciri-ciri ini boleh anda lihat dengan
jelas dalam novel terbesar dan teragung Malaysia karya Anwar Ridhwan, yang
penuh sensasi dan perilaku sadis yang amat biadab dalam konteks kebudayaan yang
dipertahankan dalam pembangunan tamadun Malaysia selama beratus tahun.
Bagaimana Kementerian Pelajaran yang seharusnya menjaga nilai-nilai tamadun
Malaysia boleh melepaskan sebuah novel yang menentang nilai-nilai itu untuk
dikunyah oleh para pelajar sambil dipuji melulu oleh para guru sastera yang
buta nilai? Seolah-olah satu pengkhianatan intelektual telah terjadi dengan
tidak disedari, semata-mata kerana buku yang terpilih itu ditulis oleh seorang
sasterawan negara, walaupun isinya anti-ilmu dan anti-moral dan dengan sedar mempromosikan
segala kebiadaban perilaku manusia yang sadis dan biadab. (Baca dengan kritis
ulasan saya dalam entri lepas).
Aspek penerokaan ini penting diberitahu kepada
pelajar sastera sekiranya kita mahu mereka berfikir tidak saja secara teratur tetapi
juga dengan jelas berasaskan konsep ilmu yang benar, yang menjadi sumber ilmu.
Di mana anda boleh lihat nilai-nilai ini
dalam Naratif Ogonshoto? Tidak ada, malah yang tertonjol dengan jelas
ialah jenis sastera hogwash, yakni
jenis sastera yang disepakati oleh semua kamus berbahasa Inggeris yang memberi
erti nonsense and rubbish, atau bullshit. Dalam bahasa Melayu disebut
yang mengarut. Tidak wajar sama sekali karya hogwash oleh Anwar Ridhwan ini dijadikan
buku teks di sekolah Malaysia yang mendakwa mempromosikan nilai-nilai murni,
yang langsung tidak terdapat dan tidak kelihatan dalam Naratif Ogonshoto. Siapa
mengkhianati siapa? Yang menjadi korban ialah para pelajar yang diwajibkan
membaca dan memuji sebuah novel yang tidak wajar dijadikan teks. Walaupun persoalan ini sangat serius, tidak
ada sesiapa pun tampil untuk memberi teguran kepada Kementerian Pelajaran.
Kedudukan seorang sasterawan negara tidak boleh disentuh walaupun para pegawai
Kementerian mungkin tahu novel itu picisan, tidak bermutu, dan mempromosikan
kejahatan yang bersifat sadis. Sesiapa juga boleh tampil menolak dan menafikan
kesimpulan ini, supaya anda boleh dilambak dengan seribu bukti baik dari segi
teknik, tema, mahu pun perwatakan. Saya
sudah lakukan ini dengan begitu jelas dan terperinci dalam entri blog ini. Mustahil anda tidak faham walaupun sedikit.
Bodoh sangatkah pembaca sastera Malaysia?
Saya fikir
begitulah, malah tiada tanggungjawab intelektual untuk mempertahankan
kebenaran. Tetapi tentu saja tidak semua
bersikap pasif, bersikap lembu kenyang. Sebagai contoh, Najibah Abu Bakar telah
memberi satu analisis yang menarik terhadap Balai
Maqamat dalam review beliau terhadap buku itu yang berjudul (KLIK) "Amanat Terpenting Balai Maqamat Affandi Hassan." Jelas beliau membuat banyak
rujukan untuk menulis tentang buku itu.
Saya belum lagi menemui sesiapa yang menentang PB menulis review tentang
Hikayat Buyung Lurus, yang amat jelas
ditulis berasaskan penerokaan pengarang dalam teknik dan style tinju Muhammad
Ali. Sebagai sebuah novel pemikiran,
sebuah novel intelektual, para sarjana ciritan sama ada tidak memahaminya atau
lebih tepat mengambil sikap lembu kenyang sahaja. Mereka mengambil sikap tidak mahu tahu untuk
melindungi keselekehan intelektual mereka yang pasti akan terserlah sekiranya
mereka cuba mengkritik Hikayat Buyung
Lurus. Betapa pun dicabar, mereka
tetap mengambil sikap lembu kenyang kerana itulah kedudukan yang paling
selamat. Apabila saya mencabar sesiapa
juga membaca Pujangga Melayu bersama dengan novel teragung
Malaysia, Naratif Ogonshoto, para
sarjana ciritan ini menjadi lebih takut kerana mereka tahu pengetahuan mereka
tidak dapat meneroka novel mini ensiklopedia itu. Istilah penerokaan yang saya pakai tidak menarik minat mereka, kerana bagi
mereka kelainan itulah penerokaan, walaupun dari segi ilmu lebih merupakan perkosaan ilmu yang timbul dari
kekeliruan dalam konsep ilmu. Bolehkah mereka, para sarjana ciritan ini, faham
maksud kesimpulan ini? Sekali lagi saya jemput mereka membaca sehabis kritis
entri bertarikh 28/10/2014, “Keunggulan Yang Cacat” untuk melihat kedudukan
sebenar diri mereka dalam bidang akademik.
Dalam novel Aligupit anda tidak menemui watak
sebagai individu, sebaliknya idea berdialog sesama sendiri dalam pelbagai
persoalan masyarakat. Dalam novel ini ditonjolkan dua bentuk kerajaan: pertama
kerajaan yang dipilih, yang berhimpun di Dewan Rakyat. Kedua, kerajaan kedua
yang dicipta khusus dalam bentuk projek “kemajuan” untuk memperkukuh kedudukan
politik dan ekonomi kumpulan yang menang. Kerajaan kedua inilah yang paling
berkuasa, yang membentuk sekumpulan orang kaya di kalangan ahli politik dan
penyokong mereka untuk memastikan mereka
mempunyai cukup wang yang ditipu atas nama rakyat melalui projek-projek besar
yang kononnya untuk rakyat, tetapi tujuannya supaya perbelanjaan besar-besaran
boleh dilakukan untuk memperkayakan golongan yang akan mengekalkan kuasa
politik yang menang. Semua lebuh raya di
Malaysia mengenakan tol untuk berpuluh tahun, satu projek buat duit yang amat
berjaya. Penipuan begini hanya dapat
dilihat dalam peristiwa 1MDB (1 Malaysia Development Berhad). Tiada siapa pun tahu cerita sebenarnya secara
rasmi kerana semuanya dirahsiakan untuk menjaga keselamatan negara! Beberapa
undang-undang diperkenalkan untuk menutup cerita sebenar. Sudah ada yang dipenjarakan dan didenda
kerana memfitnah. Perhatikan bagaimana konsep dan perbuatan fitnah itu
digunakan untuk menutup kebenaran supaya tidak terbuka. Fitnah adalah alat
politik yang hebat bagi parti yang berkuasa.
Sesiapa juga yang mengkritik parti yang berkuasa adalah memfitnahkan
kerajaan, oleh itu mesti dihukum dengan cepat. Inilah aligupit, yang diceritakan
dalam bentuk satira politik dalam Aligupit. Penerokaan kreatif begini tidak menarik minat
para sarjana ciritan kerana mereka perlu berfikir dan membuat penyelidikan;
oleh itu sikap lembu kenyang lebih menguntungkan dan lebih selamat.
Memperkasa
Pendidikan Sastera di Malaysia
Pendidikan
sastera Malaysia telah gagal melahirkan pelajar yang mencintai ilmu dan
keindahan. Ini terjadi kerana Kementerian
Pelajaran sendiri tidak mahu
melahirkan pelajar yang cerdik, yang cekap berfikir dan boleh membuat
pertimbangan yang jitu serta berani bila menghadapi sesuatu masalah. Para
pelajar ini tidak diasuh untuk menjadi cerdik. Mereka tidak akan menjadi cerdik
dan pintar berfikir jika pelajaran sastera yang mereka terima tidak menjurus
kepada pemikiran dan dialog yang bersifat intelektual. Mereka juga perlu
diperkenalkan kepada aspek pemikiran ini kerana inilah caranya untuk melahirkan
generasi muda yang boleh berfikir dan mengambil tindakan yang tepat berasaskan
pengalaman empiris dan kejelasan tentang konsep ilmu yang akan membantu mereka
membuat keputusan yang tepat dan berani. Semua ini tidak akan tercapai jika
guru sendiri bodoh, dangkal, dan keliru dalam banyak perkara. Contoh: Apakah
konsep sastera yang menjadi pegangan para guru? Mengapa mereka menjadikannya
pegangan mereka? Apakah matlamat yang mereka ingin capai dengan konsep sastera
seumpama itu? Semua ini mesti jelas
dalam kepala mereka sebelum mereka tampil di depan kelas untuk membebelkan
kekeliruan mereka. Perkara-perkara yang disebut di sini kelihatan begitu mudah,
seolah-olah bukan masalah dalam pendidikan sastera. Jika itulah anggapan anda,
maka jelaslah anda belum tamat mengaji ilmu pedagogi, yang memang bertujuan
untuk melahirkan pelajar yang cerdik dan berperibadi tinggi. Merekalah yang
akan jadi pemimpin negara masa depan. Pasti guru tahu semua ini. Soalnya,
bagaimana mencapainya? Khusus dalam pendidikan sastera, pelajar harus
diperkenalkan kepada aspek pemikiran, bukan hanya sekadar memahami cerita.
Bagaimana ini boleh dilakukan? Dalam kaedah lama aspek ini tidak diberi
perhatian sewajarnya. Hanya setelah Gagasan Persuratan Baru muncul dalam arena
sastera barulah aspek ini mendapat perhatian yang tegas. Oleh itu tugas pertama para guru sastera
ialah mengenali dan memahami apakah yang disebut Persuratan Baru itu, dan yakin
atau sekurang-kurangnya sedar bahawa pengenalan itu penting dalam pendidikan
sastera. Ini penting kerana PB mengajar
pelajar bagaimana membaca karya sastera dan bagaimana mereka dapat mengesan
ketangkasan pengarang menyusun struktur karyanya dan mengolah dengan jelas dan
jitu tema atau persoalan yang mereka kemukakan dalam karya mereka. Dari
perspektif PB, hal ini dapat dilakukan dengan berkesan dengan menggunakan
konsep ruang naratif, yakni bagaimana
pengarang mengisi karyanya dari perspektif pemikiran yang diadun dengan harmoni
dengan cerita. Saya anjurkan para guru sastera menggunakan konsep ini ketika
membaca Naratif Ogonshoto.
Untuk
memahami aspek ini, para guru perlu membaca dan memahami Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid (DBP 1992; 2005).
Masalah kita ialah buku ini tidak dikenali oleh para guru, apatah lagi
stok buku sudah habis dan amat sukar diperolehi, oleh itu tidak mudah untuk
guru yang berminat mendapatkan buku ini.
Sepanjang yang saya tahu dan diberitahu, hampir tiada sekolah menengah
menyimpan buku ini dalam perpustakaan sekolah. Saya harap maklumat ini tidak
benar, kerana ini amat jelas menunjukkan betapa meluasnya kezaliman intelektual
di sekolah-sekolah. Saya juga dimaklumkan bahawa tiada buku tentang Gagasan
Persuratan Baru, oleh itu hanya guru yang membaca blog ini saja yang tahu
mengenai PB. Saya anjurkan Kementerian Pelajaran menyediakan sejumlah wang
untuk membekalkan buku-buku ini di sekolah supaya kejakunan ilmu tidak berlaku
pada zaman kemajuan ilmu ini. Sekiranya
Kementerian Pelajaran memang anti-ilmu atau ingkar ilmu sekali pun, sekolah yang
mengajar sastera perlu berusaha mendapatkan buku-buku mengenai Gagasan
Persuratan Baru. Guru sastera mesti diperlengkapkan dengan kaedah baru yang
dicetuskan oleh tokoh tempatan sendiri.
Mesti ada perasaan malu kerana jahil dan perasaan bangga untuk mengetahui
hasil pemikiran tokoh tempatan yang sudah pun mendapat tempat dalam dunia ilmu.
Agak lucu, saya diberitahu terdapat pegawai DBP yang sekadar pernah mendengar
nama Mohd. Affandi Hassan, tetapi tidak pernah membaca karyanya. Sombong atau bodoh? Inilah jenis manusia bombong (yakni bodoh sombong, satu istilah baru yang saya harap
akan menjadi terkenal seperti pandirisme). Inilah contoh bodoh sombong yang
sering disebut orang-orang tua kita yang
bijaksana walaupun mereka tidak bersekolah, apatah lagi masuk universiti. Kita
bangga ramainya budak-budak kampung masuk universiti, tetapi amat sedih bila
kita tahu mereka tidak muncul sebagai golongan yang cintakan ilmu. Di mana
silapnya? Jangan salahkan Kementerian Pelajaran walaupun cara mereka mendidik
bangsa Melayu dan rakyat Malaysia tidak mengarah kepada sifat cinta ilmu itu.
Mereka lebih berminat melahirkan kuli yang
celik huruf, dengan itu semua universiti amat bangga memberitahu kita
bahawa mereka sudah bekerjasama dengan industri untuk menjual para graduan
mereka.
Tiga
Kategori Karya
Kemunculan
PB dalam dunia persuratan Malaysia membawa “padah” terbaik kepada para penulis
kerana mereka diperkenalkan kepada tiga kategori karya yang mereka boleh pilih
mana satu yang selesa dengan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif
mereka. Kategori pertama, karya
persuratan, memerlukan kefahaman yang agak mendalam konsep ilmu dalam Islam
yang bersumberkan al-Quran. Karya berasaskan ilmu ini tidaklah sesukar yang
dibayangkan oleh para sasterawan yang mengatakan PB terlalu ideal, tidak boleh
dijadikan panduan untuk menulis karya kreatif. Asal saja anda tidak bersifat
anti-ilmu, atau lebih tepat ingkar ilmu, anda boleh menghasilkan karya
persuratan. Tetapi anda perlu berhati-hati, tidak terikut-ikut dengan
sasterawan negara yang melambakkan ayat Quran dan hadis dalam apa yang mereka
namakan karya berunsur Islam. Rahsianya
mudah saja, iaitu fahami konsep ilmu.
Kalau anda mahu contohnya, bacalah dengan kritis Pujangga Melayu yang ditulis berasaskan konsep ilmu dalam Islam.
Ciri-ciri karya persuratan diperinci dalam Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua. Boleh lihat di sana.
Kategori
kedua ialah karya sastera. Semua
karya para sasterawan negara adalah karya sastera, tidak dapat diangkat untuk
menjadi karya persuratan. Contoh terbaik
karya sastera ialah Naratif Ogonshoto. Untuk menulis karya sastera anda tidak perlu
kemampuan intelektual yang tinggi dan tidak juga perlu mempunyai daya kreatif
yang tinggi. Tulis saja apa-apa yang anda mahu, jadilah karya sastera. Semudah
itu, oleh itu kedudukannya tidak dapat disetarafkan dengan karya
persuratan. Antara ciri karya sastera
ialah sifatnya yang cenderung kepada hiburan, bukan untuk membuat pembaca
berfikir dan mendapat manfaat dari segi nilai-nilai Islam. Supaya anda senang
memahaminya, jawablah pertanyaan ini: Apakah nilai Islam yang terdapat dalam Naratif Ogonshoto? Jika anda membaca penjelasan Dr. Solehah
Ishak dalam pendahuluan kepada terjemahannya, anda akan dapati tersirat dalam
pendahuluan itu ialah konsep sastera yang dipraktikkan di Barat, terutama
sekali yang dipanggil karya pascamoden.
Menurut pandangan yang dihargai oleh Dr. Solehah Ishak, karya sastera
tidak perlukan nilai-nilai agama, atau apa pun nilai. Yang penting ialah
keunggulan craftsmanship seseorang
penulis. Aspek ini ditekankan oleh beliau. Dalam pandangan saya, inilah jenis
sastera hogwash. Pandangan yang
dipromosikan Dr. Solehah Ishak bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.
Tetapi bagi Kementerian Pelajaran, dasar ini boleh dikendurkan untuk karya para
sasterawan negara, oleh itu karya yang anti-moral dan anti-ilmu seperti Naratif Ogonshoto layak dijadikan teks sastera.
Kategori
ketiga ialah karya picisan dan lucah. Dari sasterawan negara, karya yang paling
terkenal dalam kategori ini ialah Kuala
Lumpur Kita Punya. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak menganggap karya ini
sebagai karya lucah, tetapi sebuah karya kritik sosial kelas pertama, yakni
yang amat berjaya dihasilkan oleh penulisnya untuk memerihalkan masalah sosial (yakni masalah keruntuhan moral) ketika karya
itu ditulis. Bagi beliau, tidak ada
karya picisan dan lucah pernah dihasilkan oleh mana-mana sasterawan negara.
Pendapat beliau sukar diterima, oleh itu terdapat juga sanggahan secara tidak
langsung dari penulis seperti Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani misalnya.
Saya sendiri menolak bulat-bulat kritikan sastera jenis hogwash ini. Kuala Lumpur Kita Punya adalah jenis
karya cari duit. Tidak pasti berapa banyak yang dapat dijual dan berapa banyak
pula kutipannya. Adakah Naratif Ogonshoto pada hakikatnya jenis
karya dalam kategori ketiga ini? Sekiranya anda berpendapat begitu, saya kira
anda telah memberikan pertimbangan yang waras.
Tetapi ini tidak bermakna kesimpulan Dr. Solehah Ishak memberi sanjungan
tinggi kepada karya ini tidak waras. Ini persoalan persepsi yang sering kali
tergelencong sekiranya tidak diasaskan kepada konsep ilmu.
Itulah tiga
kategori karya yang anda perlu sedar supaya anda boleh melihat dengan lebih
jelas konsep penerokaan yang saya
maksudkan itu dalam karya persuratan seperti Pujangga Melayu, Hikayat
Buyung Lurus dan lain-lain. Mengapa
contoh ini penting hanya anda boleh ketahui sekiranya anda sendiri membaca dengan kritis karya ini. Jika anda tidak kritis dan tidak tahu membaca
karya persuratan, lebih siuman jika anda tidak menyusahkan diri anda membaca
karya yang memerlukan perhatian kritis anda.
Kesimpulan Kritis
Dalam entri
ini saya memberi perhatian kepada aspek pendidikan sastera berasaskan konsep
ilmu yang benar. Sebagai guru sastera, anda tidak mempunyai pilihan selain
memahami aspek ini supaya anda akan dapat membaca dengan tepat Naratif Ogonshoto. Mengapa novel agung
ini begitu kaya dengan unsur sensasi, sadisme, anarki, nihilisme, pervert, tabiat yang weird
dan penyakit jiwa schizophrenia? Andaian saya ialah Anwar Ridhwan terpengaruh
dengan gelagat Marquis de Sade. Tokoh ini memang berpengaruh di kalangan
sasterawan Eropah, hingga Flaubert, Baudelaire,
Swinburne, malah hingga Nietzsche
sendiri pun terpengaruh dengannya. Tidak
hairan jika sasterawan negara terpenting di Malaysia juga terpengaruh dengan
Marquis de Sade. Jika andaian ini salah
sekali pun ciri-ciri yang saya sebut itu memang mainan de Sade. Dalam konteks ini, Anwar Ridhwan termasuk
dalam golongan elite tokoh-tokoh yang terpengaruh dengan de Sade. Tidak salah jika Malaysia berbangga dengan
pengaruh ini, sekurang-kurangnya terdapat kelainan yang amat aneh dalam karya
Anwar Ridhwan. Bagaimana reaksi
Kementerian Pelajaran setelah mereka mengetahui hal ini? Saya tidak fikir
mereka akan menarik balik Naratif
Ogonshoto dari dijadikan teks, kerana maruah Kementerian perlu dipelihara
supaya tidak dituduh selekeh tidak tahu membuat keputusan.
Tetapi ada
satu masalah yang memerlukan penjelasan. Mengapa terdapat percanggahan yang
begitu lebar antara idealisme Falsafah Pendidikan Negara dengan novel Naratif Ogonshoto? Yang pertama bertujuan mengajar nilai-nilai
murni dalam membina peribadi unggul; yang kedua mengajarkan segala macam
kejahatan yang tidak terfikir oleh manusia siuman seperti misalnya seorang guru
memotong jarinya dalam satu permainan tidak siuman. Kalau itulah keadaannya, maka bagaimana novel
agung ini boleh mendidik para pelajar menjadi manusia bermoral tinggi dan
berperibadi mulia? Sudah jelas terdapat sesuatu yang aneh dan tidak kena dalam
pemilihan novel ini untuk dijadikan teks. Sesudah terlanjur, dan sukar ditarik
balik, apa yang kita boleh buat? Saya kembali kepada kaedah yang disarankan
oleh Gagasan Persuratan Baru, dengan itu masih boleh dijadikan teks tetapi hendaklah
dihuraikan dan dinilai daripada perspektif ilmu yang benar. Para pelajar boleh diselamatkan daripada
terjebak dalam kejahatan yang menjadi kekuatan novel ini, seperti yang dihurai
dan dipersetujui oleh Dr. Solehah Ishak dalam pendahuluan kepada terjemahannya. Pandangan Dr. Solehan Ishak berdasarkan
sastera hogwash, oleh itu mesti
ditolak. Tetapi untuk melakukan ini diperlukan kaedah yang boleh mengenal pasti
kepalsuan pandangan Dr. Solehah Ishak, yang hanya boleh dilakukan oleh Gagasan
Persuratan Baru. Saya harap para guru
sastera boleh memikirkan perkara ini dengan serius, kerana apa juga keputusan
yang salah sudah tentu akan merosakkan para pelajar yang akan hanyut dalam
kejahatan tanpa mengetahui sesuatu yang mereka kagumi itu berunsur kejahatan.
Kepada guru
sastera, saya anjurkan mereka membaca dengan kritis entri bertarikh 28/10/2014
bertajuk “Keunggulan Yang Cacat”. Libatkan para pelajar dengan menyalin entri
itu untuk mereka baca dan bincang dengan kritis kertas itu. Para pelajar perlu
diberi peluang untuk memberikan pendapat mereka. Dengan itu tercapailah kehendak Falsafah
Pendidikan Negara.
Terima
kasih. Wassalam.
Catatan: hogwash:
nonsense; or words that are intended to deceive. [Cambridge English Dictionary]
_______________________
"KAPITALIS KECIL"
oleh MABHAS*
SEJAK dia tahu berfikir- tahukan harga wang-cita-citanya hanya satu sahaja, iaitu hendak menjadi seorang kaya. Kalau saya kaya, tentu hidup saya senang, fikirnya.
Menurut pendapatnya, tiap-tiap orang yang kaya itu pastilah senang hidupnya dan pendapat ini telah menjadi darah daging kepadanya sehingga dia lupa bahawa ada orang, kerana terlalu kaya tidak biasa hidup tenteram.
Berbagai-bagai jenis pekerjaaan telah dicubanya- menarik beca, menjadi nelayan dan banyak lagi. Semuanya itu dikerjakannya dengan tujuan dan dorongan yang sama, tugasnya mencari kekayaan.
Sejak beberapa bulan yang lalu, dia berkedai menjual barang-barang runcit atau barang-barang keperluan dapur di kampungnya itu. Ayahnya telah meninggal dunia, begitulah juga ibunya. Kerana dia anak tunggal, maka sebidang tanah peninggalan kedua orang tuanya itu terserahlah kepadanya sebagai tanah pusaka. Dan di atas tanah inilah, dia mendirikan sebuah kedai kecil untuk tempat dia menjalankan perniagaan tadi itu.
Bintangnya mulai terang dengan penghidupan baru ini. Maklumlah di kampung itu hanya itulah sahaja satu-satunya kedai yang ada. Jadi ke manakah lagi orang ramai hendak berbelanja kalau tidak ke sana? Samalah seperti menahan lukah di pergentingan, setiap ikan yang lalu pastilah akan masuk ke dalamnya.
Baru-baru ini tersebar berita mengatakan cukai-cukai telah dinaikkan oleh kerajaan. Pak Mat, orang yang bercita-cita hendak kaya ini, mendengar pula cukai naik harga, barang-barang pun turut sama naik. Jadi dia tidak bertangguh-tangguh lagi, dinaikkanlah harga barang-barang jualannya. Mancis api naik harga. Ikan kering naik harga. Gula naik harga, pendek kata tidak adalah yang tidak naik harga.
Orang-orang sekampungnya itu meluap-luap marah. Walau bagaimanapun bukanlah Pak Mat yang dimarahi mereka itu kerana mereka sedar dalam perkara itu, Pak Mat tidak boleh diletakkan sebagai bertanggungjawab.
Mereka cukup faham naiknya harga barang-barang itu ialah kerana naiknya cukai-cukai. Dan yang menaikkan cukai-cukai itu bukanlah Pak Mat melainkan segolongan orang-orang yang dulu memujuk-mujuk mereka dengan janji akan membela nasib mereka. Sungguhpun mereka tidak bersekolah tinggi tetapi mereka dapat juga mengira-ngira kalau cukai naik, kerajaan tentu banyak dapat wang. Ini mereka mengerti cuma yang mereka itu tidak mengerti ialah bagaimanakah kenaikan cukai itu boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana yang mereka selalu dengar orang mendakwakannya.
Kesempitan hidup kerana naiknya harga barang-barang. Ini bukanlah hanya terasa oleh orang-orang di kampung Pak Mat itu sahaja bahkan di mana-mana juga. Tetapi yang terasa itu bukanlah golongan kaum modal dan orang-orang yang seperti Pak Mat ini melainkan orang-orang kampung yang miskin dan yang hidupnya miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dan mereka itulah yang menyumpah-nyumpah kerana naiknya harga barang itu.
Mak Timah, seorang tua yang miskin dan tinggal berhampiran dengan rumah Pak Mat itu, misalnya semenjak naiknya harga barang itu terpaksa memberhentikan anaknya dari bersekolah.
"Aku tak berupaya lagi hendak membelanjai engkau bersekolah, katanya kepada anaknya itu. Kalau ayahmu masih hidup, dapatlah ia mengikhtiarkan perbelanjaanmu. Tetapi bagiku bagaimanakah hendak mencarikannya? Dan sekarang harga barang-barang sudah naik pula, bererti belanja hidup kita akan bertambah. Lebih baik sahaja engkau bekerja untuk menambah pendapatan kita."
"Baiklah ibu," Yusuf menjawab mengiyakan. Dan dia pun berhentilah dari bersekolah.
Dengan bertopengkan kenaikan cukai itu, Pak Mat menindas dan menghisap darah orang-orang sekampungnya. Hidup di dunia tidak ada belas kasihan, demikian dia pada suatu hari berkata kepada isterinya. Kita jangan peduli cakap-cakap orang. Ada peluang kita tidak boleh lepaskan. Ada can menaikkan harga barang-barang kita naikkan. Sekali ini tentu kita boleh jadi kaya.
Cakap-cakap Pak Mat ini diterima baik oleh isterinya itu dan oleh semua anak-anaknya, kecuali anak gadisnya yang bernama Rosnah. Mereka berfikir tak lama lagi akan menjadi kaya tetapi Rosnah tidak berfikiran begitu. Dia tidak mengharapkan kekayaan yang didapat dengan menindas dan memeras orang lain – orang-orang sekampungnya sendiri. Sebaliknya dia berfikir dalam keadaan yang demikian itu, orang-orang yang seperti ayahnya itu, yang agak berada sedikit, haruslah menolong jiran-jiran tetangganya itu.
Tetapi Rosnah hanya dapat menyatakan kasihannya sahaja atau setinggi-tingginya menyatakan tidak setuju dengan pendapat ayahnya itu. Untuk mencegahnya dia tentulah tak berkuasa kerana dia bukan menteri, hidupnya pun bergantung kepada ayahnya. Dia hanya seorang gadis dan tak lebih dari itu.
Sejak kecil, Rosnah telah dididik oleh ayahya dan ibunya supaya mengasihi harta tetapi didikannya itu tidaklah memberi bekas kepadanya. Dia tidak mengejar kebendaan dan kerana itu dia tidak mengasihi harta atau orang yang berharta. Dan ini dibuktikannya dengan mencintai Hamid, seorang pemuda tani yang miskin dan bergelumang lumpur.
Yang diutamakan Rosnah ialah kejujuran hati dan kesucian jiwa. Dan ini pernah dinyatakan sendiri kepada kekasihnya, Hamid itu.
"Aku tidak mencintai rupa parasmu, demikian dia berkata–kerana walau bagaimana cantik rupa paras seseorang itu akan luntur juga sudahnya. Bunga tidak selamanya kembang. Ia pasti layu dan kemudian gugur ke bumi. Aku juga tidak mencintai harta kerana bagaimanapun kaya seseorang itu, tidaklah ia akan melebihi kaya Tuhannya."
"Biarlah orang mengejek aku kerana mencintaimu, Mid, katanya lagi. Tetapi bagiku kesucian dan kejujuran hatimu yang kuutamakan."
Tiba-tiba, Rosnah hendak dikahwinkan dengan seorang kaya tua bernama Kasim. Rosnah cuba menolak tetapi si ayah marah kepadanya. Anak tak sedar diri, berkata si ayah itu. Kita hendaklah lihat dia hidup mewah, dia tolaknya pula. Apakah engkau tidak mahu hidup bahagia, Rosnah? Siapa yang hendak engkau tunggu lagi? Dewakah?
Ibu dan adik-beradiknya menyokong si ayah. Dia diam tak berkata-kata. Hatinya di dalam remuk redam laksana kaca terhempas ke batu. Putus harapnya hendak hidup bersama-sama kekasihnya, Hamid.
Bila si ayah mengugut akan menghalaunya keluar dari rumah itu kalau dia berkeras juga tidak mahu dikahwinkan dengan orang kaya Kasim tadi, Rosnah terpaksa menganggukkan kepalanya-menerima.
Demikianlah Rosnah menjadi isteri yang nombor tiga kepada wartawan Kasim. Senang hati Pak Mat. Tercapailah sudah cita-citanya bermenantukan orang kaya. Dan Rosnah terpaksa menyerahkan tubuhnya kepada seorang yang layak dipanggil bapa dengan perasaan yang jengkel.
"Tidak berapa lama kemudian daripada itu, Pak Mat memaksa abang Rosnah, Salih supaya keluar dari kampung itu untuk berniaga atau mencari kerja. Tidak ada gunanya engkau duduk di sini dengan tidak ada bekerja Salih, demikian Pak Mat berkata kepada anaknya yang tua itu. Lebih baik engkau mencari kerja ataupun pergi ke lain tempat berniaga. Tentang modal aku boleh beri dan kalau tak cukup, aku boleh minta pada adik iparmu, Kasim itu, bersetujukah engkau?"
Apakah yang boleh dibuatnya selain mengiyakan saja? Dan pergilah Salih meninggalkan kampungnya itu walaupun hatinya begitu berat hendak meninggalkannya.
Kini, tinggallah Pak Mat, isterinya dan dua orang anaknya yang masih kecil lagi–yang masih menunggu akan besar untuk dikorbankannya pula seterusnya.
Demikianlah Pak Mat menjalankan muslihatnya untuk mengejar kekayaan–mengejar kekayaan dengan kerendahan budinya.
*MABHAS ialah nama pena Mohd. Affandi Hassan pada peringkat awal kepengarangannya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 30/8/2017.