(1)Tajuk ini agak menggerunkan. Menggerunkan untuk penulisnya; menggerunkan untuk pembacanya. Itulah tajuk sebuah novel yang ditulis special untuk bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia.
(2)Untuk menghasilkan novel agung ini, saya perlukan idea dari anda semua yang berminat untuk bersama saya menulis karya agung ini. Semua pendapat anda dan nama anda akan disenaraikan sebagai hujungan kepada novel ini, supaya anak cucu anda dapat melihat betapa datuk neneknya terlibat dalam penulisan sebuah novel yang akan menjadi peringatan kepada seluruh bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia hingga ke hari akhirat.
(3)Bangsa Melayu perlu digerakkan supaya bangun dari kealpaan berzaman oleh ahli politik yang berbohong dan yang menipu mereka; juga untuk menjadi peringatan bahawa mereka pun tertipu oleh para sasterawan yang memberikan mereka karya picisan tetapi diberi taraf karya besar setelah dinobatkan sebagai sasterawan negara, walaupun karya mereka adalah karya picisan dan cara pemilihan mereka sendiri pun berasaskan ukuran picisan. Perkara ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku mengenai sasterawan negara ini.
(4)Kalau anda berminat hendak memberikan sumbangan idea anda untuk projek ini, anda terlebih dahulu perlu membaca Pujangga Melayu, Hikayat Salim Adil, dan Hikayat Buyung Lurus. Ketiga-tiga buah novel ini membicarakan beberapa aspek kehidupan bangsa Melayu , dengan memberi penekanan kepada makna ilmu dalam pembinaan tamadun.
(5)Saya mahu sumbangan yang kritis. Bagaimana ini boleh dilakukan terpulang kepada kecerdikan dan kebijaksanaan anda sendiri. Kalau anda fikir memaki hamun dan menyindir kasar sebagai cara terbaik untuk menyatakan “pemikiran” dan pendirian ada, teruskan. Saya boleh terima seadanya, yang barangkali menjadi antara pendapat terbaik setelah saya pertimbangkan dan memberi makna saya sendiri berasaskan pandangan anda. Salah satu sebab mengapa saya minta anda membaca dulu tiga buah novel itu ialah kerana anda harus mempunyai asas yang kukuh untuk memberi pendapat bernas yang berguna dalam usaha saya menulis novel baru ini. Dengan itu hanya orang yang berminat dan ikhlas untuk memberi pendapat bernas berasaskan kritikan terhadap tiga buah novel itu yang mungkin boleh memberi pandangan yang bernas untuk kegunaan saya nanti. Kalau memang tidak ada orang seperti ini, saya tidak rasa terkilan sedikit pun kerana saya tahu tidaklah senang untuk menghadapi cabaran ini dengan objektif dan rasa tanggungjawab terhadap konsep ilmu yang benar yang saya perjuangkan.
(6)Sama ada anda terima atau tidak kaedah yang saya kemukakan ini bukan urusan saya, itu masalah anda sendiri. Saya akan meneruskan usaha ini sehingga terbitnya novel yang dimaksudkan, untuk menjadi satu lagi tanda bahawa keunggulan sesebuah karya kreatif mestilah dinilai daripada kemampuan penulisnya mengemukakan idea baru dan dapat pula mencipta karya yang bermutu dilihat dari perspektif pemikiran dan kemampuan kreatif untuk mencipta karya itu. Ayat ini agak berbelit-belit, tetapi maksud dan maknanya jelas. Kalau ada yang tidak faham, maka itu bukan urusan saya; andalah sebaliknya yang perlu memberikan kritikan bernas yang mungkin boleh digunakan oleh sesiapa saja yang ingin mencipta karya kreatif yang asasnya konsep ilmu yang benar dan dari segi style pula menggunakan teknik yang saya gelar stylization of ideas, atau dalam bahasa Melayunya siratan makna. Saya gunakan bahasa Inggeris kerana saya mahu orang luar negeri yang biasa dengan bahasa Inggeris tahu maksud saya dan mungkin dapat menerima stylization of ideas seperti yang saya konsepsikan itu sebagai satu teknik penulisan yang belum diketahui oleh para penulis luar negeri. Persoalan pokok di sini ialah siratan makna itu mestilah berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan khayalan dan cerita rekaan yang penuh fantasi yang tidak mempunyai kualiti ilmu di dalamnya. Perspektif ini telah banyak saya jelaskan dalam tulisan saya, dengan itu tidak ada sebab anda perlu bertanya seolah-olah ini adalah persoalan baru. Semak dulu dan baca dengan kritis tulisan-tulisan saya, sebelum anda mengemukakan kritikan anda yang tidak berasas.
(7)Kita lihat persoalan ini begini. Tidak seperti Aristotle dan Plato, Socrates tidak menulis buku; dia hanya bercakap dan berbahas dengan sesiapa juga yang mahu berbahas dengan beliau. Percakapan adalah bahasa; demikian juga penulisan. Bagi orang Indonesia, pidato Soekarno menjadi senjata yang sangat tajam dalam Revolusi Indonesia. Bagaimana dengan Malaysia? Kita berjuang dengan perundingan, oleh itu orang selalu berkata kemerdekaan yang kita dapat daripada British diletak di atas dulang emas. Ada orang mengejek kita bahawa kemerdekaan yang kita perolehi bukan kemerdekaan, tetapi penjajahan mental dan budaya yang mengikat kita hingga sekarang. Ingat saja bagaimana Tun Dr Mahathir Mohammad mencuba lagi untuk mengiggeriskan orang Melayu dengan memaksa mereka mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Mahathir tidak tahu sejarah ilmu dalam Islam, oleh itu dia tidak tahu semua penemuan sains dan matematik (algebra) dibina dan diperkenalkan oleh ilmuwan Arab/Islam kepada Barat. Saya sebut perkara ini kerana kita perlu membebaskan diri kita daripada perhambaan intelektual yang bersumber dari Barat. Tetapi inilah perhambaan yang ingin dilanjutkan selama-lamanya oleh Tun Dr. Mahathir Molhammad sebagai PM dua kali. Maka rosaklah orang Melayu, dan dengan itu mereka terus dibelenggu oleh faham kemajuan Barat yang mementingkan kebendaan dan kemewahan. Inilah yang menjadi kebanggaan para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera yang tetap memperjuangkan perhambaan Barat dalam sastera Melayu.
(8)Saya ingin menegaskan bahawa para sasterawan Melayu, para sarjana sastera, dan para pengkritik sastera, kesemuanya masih menjadi hamba intelektual kepada “pemikiran” Barat yang telah membelenggu mereka begitu lama, dan nampaknya mereka ini sangat senang menjadi hamba pemikiran Barat. Mengapa begitu? Sebabnya mudah. Mereka tidak kenal Barat dan yang lebih parah mereka tidak kenal Islam dan keagungan pemikiran tokoh Islam yang telah memberi asas tamadun baru kepada dunia. Mengapa Melayu sebodoh itu? Saya maksudkan, Melayu yang jadi sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera. Mengapa mereka sebodoh itu? Dengan bersandarkan kebodohan atau bebalisme (kata seorang pemikir Melayu satu masa dulu), maka digalakkanlah “kemajuan” palsu yang dipanggil karya picisan, pemikiran (??) picisan, dan gerakan picisan melalui badan-badan penulis yang menjadi peminta sedekah kepada kerajaan yang menggunakan mereka untuk mendapat sokongan politik penipuan yang memang menjadi ukuran penting dalam kehidupan seseorang tokoh politik Malaysia. Anda perlu berhenti di sini sekejap untuk memikirkan dengan serius apa yang saya maksudkan dalam kesimpulan di atas. Ini penting, kerana jika anda tidak faham, maka anda akan terus terbelenggu dalam bebalisme yang hanya melahirkan sasterawan picisan, sarjana picisan, dan pengkritik sastera picisan. Kerana saya seorang yang amat pemurah, maka saya cabar anda untuk menolak kesimpulan ini dengan menjadikan karya saya sendiri sebagai sandaran sejauh mana saya telah membawa sastera Melayu jauh ke depan dalam pemikiran dan penerokaan teknik baru dalam penulisan. Sila hadapi cabaran ini sebagai seorang sarjana yang bukan picisan dari segi kefahaman tentang konsep ilmu dan teknik penulisan baru yang dikemukakan dalam karya-karya kreatif saya. Pintu luas terbuka, masuklah untuk duduk bersila dengan kami membentangkan idea picisan anda sambil mempertahankannya bahawa Malaysia perlukan karya picisan untuk maju.
(9)“Malaysia memerlukan karya picisan untuk maju …” Kesimpulan ini boleh dilihat dalam pemilihan para sasterawan negara, ukuran yang digunakan, dan laporan yang dikemukakan terhadap setiap sasterawan negara. Semuanya picisan. (Rujuk buku saya mengenai perkara ini, terbit 2019). Inilah kehebatan sastera Malaysia, meletakkan karya picisan sebagai karya agung yang telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan gerakan picisan dalam sastera. Penegasan ini saya ulang beratus kali untuk memikat para sarjana memberi makna yang tepat kepada konsep picisan, yang tentulah berbeza daripada yang saya jadikan istilah dalam kritikan sastera Melayu yang asasnya bersifat picisan. Kalau semua karya para sasterawan negara picisan, tidak adakah sebuah pun karya mereka yang tidak picisan? Pertanyaan ini pun tidak mahu dijawab oleh sesiapa pun yang menyokong sasterawan picisan, kerana sebarang jawapan yang menafikan wujudnya karya picisan itu akan berdepan dengan Pujangga Melayu dan dua buah novel lagi. Adakah ketiga-tiganya karya picisan? Tidak ada seorang pun sarjana sastera Malaysia mahu menjawab soalan ini, kerana jawapan itu akan memaksa mereka menerima Gagasan Persuratan Baru, dan dengan itu menerima hakikat bahawa semua para sasterawan negara adalah sasterawan picisan kerana tidak sebuah pun karya mereka dapat disetarafkan dengan tiga buah novel persuratan itu. Atau, jika mereka cerdik dan jujur, mereka akan membuat kesimpulan bahawa yang picisan itu ialah tiga buah novel itu, dan mereka pun memberi definisi picisan berasaskan pembacaan mereka terhadap tiga buah novel itu. Inilah jalan mudah yang boleh mereka ambil, tetapi mereka pun tahu jika mereka berbuat demikian mereka akan duduk bersama Pak Pandir sambil meratah dengan rakus keropok pandirisme dalam sastera Melayu. Kalau begitu, apakah pilihan mereka. Mereka tidak ada pilihan kecuali menerima hakikat bahawa karya para sasterawan negara adalah karya picisan dalam konteks Gagasan Persuratan Baru. Mahu tidak mahu, mereka harus memberi hujah yang konkrit mengapa mereka menolak Gagasan Persuratan Baru. Itulah yang kita tunggu.
(10)Kegagalan sastera Melayu untuk menghadapi cabaran Gagasan Persuratan Baru membawa kita kepada keadaan huru-hara dalam pendidikan sastera di Malaysia. Keengganan para sarjana menerima karya persuratan sebagai satu alternatif terbaik dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera membuat mereka kelihatan sangat bodoh berbicara di hadapan para siswa yang sudah terbuka kepada perubahan, sedangkan guru-guru mereka masih mempertahankan pandirisme dalam sastera Melayu. Tidakkah ini satu pengkhianatan dalam pendidikan sastera? Soalan ini menjadi satu sergahan yang amat lucu bila kita mengetahui bahawa Menteri Pelajaran/Pendidikan sendiri tidak tahu adanya perubahan dalam persoalan ini, kerana Sang Menteri tidak diberi maklumat yang benar, sehingga beliau sendiri muncul sebagai seorang ahli politik yang jahil dalam perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu. Saya nasihatkan, berilah sedikit maklumat kepada Pak Menteri (ini istilah saja, kerana Menteri sekarang seorang wanita) mengenai perkara ini. Jika dia bijak dan jujur, dia mungkin ingin mengetahui lebih mendalam. Walaupun kita tidak pernah mengharapkan perkembangan begini berlaku dalam politik Malaysia, tidak ada salahnya kita berusaha mencerdikkan Pak Menteri kita sendiri. Halangan terbesar ialah tidak ada seorang pun Menteri yang berminat dalam sesuatu perubahan jika perubahan itu tidak memihak kepadanya. Inilah kejujuran seorang ahli politik yang sejak dahulu perlu diteruskan untuk memastikan mereka mendapat kedudukan politik yang menguntungkan. Adakah ini sejenis rasuah intelektual yang diizinkan? Bagi ahli politik, sesuatu hanya dianggap rasuah jika melibatkan wang. Penipuan dalam politik bukan rasuah, padahal dalam al-Quran itulah antara rasuah yang terbesar bagi orang Islam. Kerana itu penipuan dalam politik diizinkan jika dengan penipuan itu rakyat “mendapat” faedah. Walaupun ini suatu konsep gila dan jahat, dalam politik rasuah jenis ini adalah satu keistimewaan yang perlu dilaksanakan oleh ahli politik jika dia mahu karier politiknya berterusan. Rasuah adalah alat politik yang ampuh dan semua ahli politik melakukannya dengan sombong dan angkuh atas nama demi kebajikan rakyat.
(11)Bagaimana pula dengan rasuah dalam sastera? Dalam penelitian saya, keadaannya sama saja dengan yang terdapat dalam politik. Rasuah intelektual memang berleluasa dalam sastera Malaysia, malah sampai begitu berpengaruh sehingga dijadikan satu gerakan besar-besaran untuk menipu dalam penilaian sastera. Dokumen penting dalam sastera Melayu ialah sebuah buku yang diterbitkan oleh ITBM yang memuat kertas kerja satu seminar di Kedah. Saya telah membuat ulasan kritis tentang buku ini. Carilah dalam mana-mana entri dalam blog ini.
(12)Sekarang, apakah yang boleh lakukan untuk membaiki dan menghapuskan kesilapan besar dalam perkembangan intelektual kita yang khusus mengenai kegiatan sastera dan penulisan kreatif, serta kritikan sastera yang benar-benar objektif berasaskan konsep ilmu yang benar. Paling celaka ialah apabila konsep ilmu yang benar itu ditolak hanya untuk mempertahankan karya picisan para sasterawan negara. Inilah kejahatan intelektual yang mesti dihadapi secara kontan, dengan menolak apa juga alasan yang bertentangan dengan konsep ilmu yang benar itu. Sudah banyak tulisan diterbitkan untuk menghadapi kesilapan besar dalam perkembangan ilmu ini, antaranya yang terbaru ialah yang ditulis dan diterbitkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam rencana terbaru beliau yang diterbitkan di dalam jurnal MANU Bil. 30, 1-45, 2019 (Disember)
E-ISSN 2590-4086© Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dengan judul, “Sendeng- Barat Dalam Sastera Melayu Moden: Cabaran Sebuah Cengkaman.” Anda perlu dapatkan rencana ini dan baca dengan cermat kerana banyak persoalan penting dibangkitkan oleh beliau untuk difikirkan bersama. Paling penting ialah bagaimana seharusnya kita menghadapi teori sastera Barat. Banyak sekali kekeliruan mengenai persoalan ini; oleh itu saya sendiri telah menegaskan bahawa kita perlu mengetahui seberapa banyak teori yang dicetuskan dalam sastera Barat dan menilai bagaimana kita boleh menggunakannya di mana sesuai.
(13)Akhir sekali inilah pesan saya yang saya harap akan dibahaskan dengan kritis sekiranya anda berpendapat sastera moden Malaysia tidak akan lahir tanpa teori sastera Barat. Sejauh mana kesimpulan ini tepat, dan adakah ini merupakan kesimpulan yang dilontarkan begitu saja tanpa sebarang analisis yang cermat untuk melihat implikasi teori Barat dalam membina sastera Melayu moden. Tidak adanya analisis ini membuktikan tidak adanya sarjana sastera Malaysia yang betul-betul faham apakah yang dikatakan teori sastera Barat itu dan apakah implikasinya jika digunakan dalam kritikan sastera Melayu. Pembohong paling besar dalam persoalan ini terdapat berkeliaran dalam sastera Melayu, yang anda boleh dapat di dalam buku-bukunya yang telah saya kritik tempoh hari. (Rujuk entri blog berkenaan.) Secara membabi buta terdapat sarjana sastera Malaysia menerima semua teori Barat, yang tidak difahaminya dengan mendalam, sebagai pencetus sastera Melayu moden, dengan itu tanpa teori Barat tidak ada sastera Melayu. Pendapat tidak siuman ini nampaknya diterima oleh para sarjana sastera dan tentu saja para sasterawan negara, kerana jika ini diterima sebagai fakta, maka mereka ini bersandar kepada teori sastera Barat untuk mendapat pengiktirafan akademik. Walaupun sikap ini tidak siuman, tidak ada sarjana sastera memberi teguran secara akademik bahawa sikap begitu menghina kemampuan intelektual para sasterawan. Tetapi jika mereka bangga menerimanya, maka betullah rumusan saya selama ini bahawa para sarjana dan sasterawan ini pada hakikatnya adalah lackey kepada teori Barat. Jika sikap ini tidak memalukan, maka bukalah seluar mereka jika anda mahu memalukan mereka yang cetek meraba-raba ini. The great lackey dalam sastera Malaysia ialah sang tokoh yang naik ke bumbung kilang berkarat untuk menulis sebuah kertas kerja dalam satu seminar sastera yang dihadiri oleh para lackeys dalam sastera Melayu. Sekarang mudahlah bagi anda hendak membandingkan kualiti karya para lackeys ini dengan Karya Persuratan. Kita tunggu kritikan mereka jika mereka berani menafikan kesimpulan ini. Saya perlu tegaskan di sini bahawa kesimpulan ini bukan untuk menghina mereka, tetapi menyatakan sesuatu yang benar berasaskan pembacaan yang teliti terhadap karya mereka. [Catatan: Saya sudah lama, dan banyak kali, menggunakan perkataan ini. Sehingga ini tidak ada apa-apa bantahan daripada pihak berkenaan. Terima kasih.]
(14)Saya menunggu cadangan dan komen anda tentang novel ini dengan menulis terus kepada saya di alamat:
MOHD. Affandi Hassan,
No. 3 Jalan 19/19,
Post code 46300 Petaling Jaya.
(15)Saya tidak terima komen di entri ini. Anda perlu menulisnya dan mengirimkan kepada saya di alamat di atas. Semua sumbangan akan dikumpul. Jika jumlahnya melebihi 50 halaman, saya akan terbitkan pandangan anda sebagai hujungan kepada novel itu dalam penerbitan tersendiri. Tujuannya supaya anak cucu anda dapat melihat datuk neneknya pernah terlibat dalam penulisan sebuah novel dengan memberikan cadangan, pandangan, dan kritikan. Terima kasih banyak.
Selamatlah jiwa yang sempurna!
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15-28 September 2020.