Saturday, May 19, 2012

KECELARUAN KOGNITIF DAN KEHILANGAN HUJAH GEROMBOLAN PENGEKOR TEORI SASTERA BARAT


Kini sudah jelas, para pengekor teori dan pendekatan sastera Barat  sudah kehilangan hujah untuk menentang kemaraan wacana ilmu dalam persuratan Melayu.  Mereka berada dalam kecelaruan kognitif yang teruk, yang mungkin boleh diselamatkan oleh mereka dengan amukan akademik berasaskan kewarasan berfikir berpandukan gagasan Persuratan Baru. Mereka harus melakukan amukan akademik itu untuk meyakinkan diri mereka bahawa mereka berada dalam iklim sastera yang tidak lagi boleh dipertahankan, yang jika digagahi akan membuat mereka jadi tidak siuman. Apakah pilihan yang terbuka kepada mereka jika mereka mahu menyelamatkan kewarasan berfikir mereka? Mereka tidak boleh kembali mendukung biawak hidup yang dinamakan teori sastera Barat, kerana itulah yang menjadi punca mereka menghadapi kecelaruan kognitif itu. Ada di antara mereka, kononnya, telah menolak teori sastera Barat,  tetapi kedudukan mereka menjadi lebih teruk kerana mereka tidak tahu apakah yang boleh dijadikan pengganti teori Barat itu. Akhirnya mereka kembali mempertahankan teori Barat, kerana hanya di situlah saja mereka boleh bergantung secara akademik. Sekarang sudah jelas terdapat gerakan dari gerombolan ini untuk mempertahankan teori Barat, supaya kedudukan mereka menjadi relevan kembali. Jika anda perhatikan perkembangan ini, anda akan dapat melihat betapa huru haranya kumpulan ini, yang sudah sampai ke peringkat anti-ilmu. Tetapi kedudukan mereka dalam dunia akademik masih dipertahankan dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia, walaupun dari segi pemikiran dan kekuatan akademik mereka tidak lagi dapat memberi sumbangan positif, kerana seluruh gerakan mereka adalah untuk mempertahankan kedudukan mereka yang tidak lagi relevan dari segi kecemerlangan ilmu yang dulunya diharapkan daripada mereka. Mereka sudah kehilangan hujah untuk bertahan sebagai ahli akademik. Mereka terpaksa menjadi appendik teori Barat, yang satu ketika dulu mereka kutuk, tetapi kini mereka dakap kembali setelah mereka menolak alternatif yang disediakan yang berteraskan nilai-nilai Islam dan pandangan hidup Islam. Adakah kita sekarang menghadapi krisis nilai dan krisis ilmu? Persoalan ini sudah lama dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism (1978) dan Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). 

Ahli akademik yang berada dalam kecelaruan kognitif ini mungkin telah mendengar judul-judul buku ini, tetapi belum tentu mereka membacanya.  Bagi golongan ini, tidak membaca buku-buku ini adalah satu keistimewaan, satu bukti bahawa mereka menolak sama sekali  apa juga pandangan kritis yang mereka kira akan menggugat kedudukan mereka.  Di sinilah terserlah keistimewaan mereka secara negatifnya. Mereka sering kali memuji dan memberi galakan supaya para penulis atau sasterawan mencuba teknik baru, mengemukakan idea baru dalam karya mereka, tetapi mereka menyekat diri mereka daripada sebarang pengaruh yang akan membolehkan mereka melihat dunia ilmu yang lebih luas dan lebih canggih kupasannya daripada yang mereka ketahui. Maka itulah mereka tidak membaca karya-karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan persoalan ilmu dan perihal kehilangan adab di kalangan ahli akademik ini. Mereka rela menjadi pengekor taasub teori dan pendekatan Barat dan terus selesa berada dalam kegelapan ilmu.

Terdapat ahli akademik  yang menolak sebarang perbincangan tentang peranan ilmu dalam karya kreatif, kerana menurut mereka semua karya kreatif sudah mempunyai unsur ilmunya di dalam cerita. Pendirian ini hanya menyerlahkan kecelaruan kongnitif mereka, mungkin tanpa disedari, apabila ada di antara mereka berpendapat para sasterawan negara sendiri bukanlah golongn pemikir, oleh itu tidak ada pemikiran di dalam karya mereka. Ini dinyatakan misalnya dalam seminar pemikiran A. Samad Said, Abdullah Hussein dan lain-lain, diucapkan oleh pensyarah yang berpangkat profesor.  Dalam hal ini, analisis Prof. Ungku Maimunah tentang betapa celarunya penilaian panel yang diamanahkan (?) untuk memilih karya terbaik dalam Sayembara Jubli Emas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007.  Dengan memberi contoh bagaimana panel berkenaan menilai dan memilih novel Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah Maruah, sebagai salah satu pemenang utama,  Prof. Ungku Maimunah memperlihatkan bagaimana lemahnya analisis dan penghujahan mereka, yang kemudiannya dilanjutkan dalam satu “humor intelektual” yang memukau dilakonkan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hawa Che Man, yang mengangkat novel itu dengan menggunakan kaedah feminisme. (Rujuk makalah Prof. Ungku Maimunah, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”, kertas kerja untuk Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 29-30 November 2011).  Kertas kerja yang penting ini wajar dijadikan kajian kes dalam cara menganalisis beberapa persoalan penting dalam kritikan dan penilaian karya kreatif; di samping itu novel itu sendiri juga perlu dijadikan kajian kes untuk melihat sejauh mana hasrat yang dinyatakan oleh penganjur sayembara dengan segala syarat yang ditetapkan telah dicapai oleh penulis novel, dan bagaimana penilaian para juri mentafsirkan syarat-syarat itu sehingga tercapainya keputusan untuk memilih novel itu sebagai pemenang. Adakah syarat-syarat itu dipenuhi oleh para juri sendiri dan penulis novel? Semua persoalan ini dibincangkan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kertas ini. Antara persoalan besar yang dibangkitkan ialah makna “pemikiran” dalam penulisan novel; tentang kemajuan dalam bidang teknik penulisan yang dipakai pengarang;  juga tentang tempat novel itu dalam keseluruhan kemajuan penulisan novel di Malaysia, adakah telah mencapai kemajuan yang benar-benar membanggakan; dan lain-lain persoalan yang akan timbul atau ditimbulkan dalam perbincangan. Kajian kes seumpama ini penting dalam pendidikan kesusasteraan, kerana pelajar akan didedahkan kepada bagaimana sesuatu istilah digunakan, tepat tidaknya, bagaimana istilah-istilah itu ditafsir oleh penilai dan oleh penulis sendiri; dan adakah istilah itu menjurus kepada penilaian yang tepat kepada mutu sebenar novel yang dinilai.  Sekiranya penilai tersalah tafsir, maka kesilapan itu akan berterusan, diterima sebagai sesuatu yang benar; dengan itu penilaian terhadap karya berkenaan tidak mencerminkan hakikat sebenar kualiti karya berkenaan. Inilah yag terjadi dalam kritikan sastera Melayu, seperti yang dapat dilihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Aspek ini telah dihuraikan oleh saya sendiri, di samping oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani. Bacaan kami dan penilaian kami harus dibahaskan dengan objektif, terutama sekali dilihat dari segi konsep dan istilah yang kami gunakan dalam analisis dan penilaian kami. Inilah cara terbaik untuk menjelaskan beberapa isu penting dalam kritikan sastera Melayu, misalnya tentang pemikiran, teknik, wacana, cerita, plot, perwatakan dan sebagainya. Paling utama, dan paling penting pada waktu ini ialah konsep keindahan bahasa, yang bagi saya amat bercelaru. Contoh yang  diberikan oleh para pengkritik dan sarjana tentang konsep keindahan bahasa ini pada dasarnya bertentangan dengan kosep “keindahan” yang harus merujuk kepada cara ucapan, matlamat ucapan itu, dan makna yang mendalam yang dibawa bersama melalui ucapan yang indah tadi. Bagaimana kita menentukan sesuatu ucapan itu indah atau tidak? Ini tidak jelas. Jika kita mengambil tulisan Shahnon Ahmad, kita akan menolak mentah-mentah cara beliau “membawa cerita” seperti dalam Ranjau Sepanjang Jalan, yang terlalu banyak perulangan yang kosong dari segi makna, lebih mirip kepada mantra, dan tidak langsung membawa makna dilihat dari segi  estetiknya. Semua persoalan dan isu ini perlu dibahaskan kembali, supaya apabila kita bercakap tentang keindahan bahasa, kita dapat memahaminya dengan jelas dan tahu pula bagaimana keindahan bahasa itu dicapai. Beberapa istilah yang digunakan untuk maksud ini mungkin masih boleh dipakai, tetapi sejauh mana pemakaian itu perlu dikawal atau dibiarkan, baik dari segi banyaknya mahu pun dari segi gayanya. Isu-isu ini disebut oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya, terutama sekali dalam hubungannya dengan analisis berdasarkan pendekatan feminisme yang dipakai oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, yang menurut Prof. Ungku Maimunah gagal menyerlahkan keistimewaan novel Azizi itu, padahal penulisnya (Dr. Siti Hajar) begitu gigih berusaha mengangkat kualiti novel itu, tetapi akhirnya, dalam penilaian Prof. Ungku Maimunah, gagal menyerlahkan kesesuaian feminisme itu sendiri dan gagal pula memperlihatkan kualiti novel yang dinilai.  Dalam hal ini, di mana silapnya? Adakah pendekatan feminisme, atau memang novel itu tidak mempunyai kualiti seperti yang didakwa oleh juri peraduan? Dari bacaan saya, kesilapan itu berpunca daripada kekeliruan dalam memahami dan menggunakan beberapa istilah penting seperti teknik, plot, cerita dan lain-lain. Seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam analisis dan penilaiannya, pemakaian pendekatan yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru lebih berjaya dalam memberi nilai kepada novel itu. Anda boleh saja menyanggah kesimpulan ini jika anda tidak puas hati. Tetapi adakah anda sendiri sudah menguasai selok belok yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru dan yang ditawarkan oleh teori dan pendekatan Barat? Anda tidak akan dapat melihat perbezaan yang ketara jika dua pendekatan itu digunakan, sekiranya anda belum bersedia dari segi ilmiah untuk menggunakan salah satu pendekatan itu dalam analisis anda.  Anda harus mengelak daripada berada dalam keadaan “cetek meraba-meraba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau. Seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah, percubaan Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man menggunakan pendekatan feminisme untuk mengangkat martabat novel Azizi Hj. Abdullah ini hanya berakhir dengan “Much Ado About Nothing”: nilai novel itu tidak berubah, kedudukannya sebagai sebuah karya biasa seperti yang biasa ditulis oleh Azizi Hj. Abdullah tidak dapat dibantu oleh feminisme dan sanjungan bombastik sang profesor madya ini. Anda akan faham kesimpulan ini jika anda membaca analisis Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat yang menilai kembali novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu. Penelitian yang dibuat oleh beberapa orang sarjana terhadap novel itu, menggunakan teori dan pendekatan Barat, berasaskan mod bacaan cerita,  gagal menyerlahkan kualiti sebenar novel ini. Untuk mendapat penjelasan terperinci, sila rujuk makalah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, 2010; bab 5, hal. 383 dst.) 

Contoh-contoh yang diberikan di sini membuktikan dengan cukup meyakinkan bahawa teori dan pendekatan Barat yang diguna oleh para sarjana kita gagal menentukan nilai sebenar karya yang dinilai akibat terlalu bergantung pada mod bacaan cerita, padahal mereka seharusnya sudah mula menggunakan mod bacaan intelektual sebagai ujian yang paling tepat dan objektif untuk menilai mutu dan kualiti sesebuah novel.  Kini mereka tidak boleh mengelak untuk hanya menggunakan mod bacaan cerita, dengan wujudnya teknik mod bacaan intelektual. Ini juga menunjukkan pembinaan struktur sesebuah karya cereka tidak hanya bergantung pada cerita, atau pada plot. Sebuah karya yang lebih berhasil dan lebih kemas strukturnya dapat dihasilkan jika yang diutamakan ialah wacana yang akan mentakrifkan secara jelas proses dan matlamat penulisan karya berkenaan, yang boleh diuji keberkesanannya dengan menggunakan mod bacaan intelektual. Prof. Ungku Maimunah telah menggunakan kaedah ini ketika menilai novel Fatimah Busu, Salam Maria (lihat Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan). Hasil analisis itu menimbulkan kemarahan penulis novel dan teman-temat rapat beliau; tetapi tidak seorang pun mengemukakan hujah yang tepat untuk menolak kesimpulan Prof. Ungku Maimunah.  Kelemahan mereka yang paling ketara ialah mereka tidak dapat menjelaskan dengan meyakinkan apakah yang mereka maksudkan dengan “pemikiran” dalam novel. Hanya dengan menggunakan definisi yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru sahaja konsep “pemikiran” itu menjadi jelas dan dengan itu dapat diukur serta dinilai kedudukannya dalam karya berkenaan.

Persoalan yang sama dibangkitkan juga oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalah beliau mengenai novel Harga Sebuah Maruah. Sekarang anda mempunyai peluang dan pilihan terbaik untuk menafikan betapa tidak relevannya gagasan Persuratan Baru dengan memberikan kritikan anda yang paling keras betapa tidak perlunya membezakan wacana dan cerita dalam penulisan dan penilaian sesebuah novel, walaupun dengan adanya pembahagian itu konsep “pemikiran” yang menjadi masalah dalam kritikan sastera Melayu dapat diberi definisi dan definisi itu dapat digunakan dengan berkesan untuk menentukan wujud tidaknya “pemikiran” dalam sesebuah karya. Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya telah gagal berbuat demikian, adakah ini bermakna Panel harus tunduk kepada gagasan Persuratan Baru untuk memastikan semua analisis dan penilaian dapat dilakukan dengan objektif, tepat dan jitu? Inilah cabaran dan persoalan besar yang harus ditangani oleh pensyarah sastera seperti  Dr. Mohd Saleeh Rahamad dan teman-temannya sebagai “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam dunia akademik, kita tidak harus menggunakan gosip sebagai hujah. Dalam dunia akademik, kita harus melontarkan hujah dan bukti dalam analisis dan penilaian kita. Jika anda telah “mati hujah”,  pilihan bagi anda yang terbaik ialah menerima hujah yang paling kuat, dengan itu anda harus tunduk pada kebenaran. Jika anda enggan, anda bukanlah seorang ahli akademik yang mencintai ilmu; ini akan membuat anda sukar untuk dihormati  dan diterima oleh pelajar anda sendiri.  Jika keadaan ini tidak pernah terjadi dan tidak pernah wujud dalam dunia akademik kita, kita harus bertanya satu soalan penting: Mengapakah pembicaraan kita tentang kesusasteraan masih berada di peringkat klise, tidak memperlihatkan kemajuan berfikir dan kemajuan menganalisis yang benar-benar membuat kita berasa bangga telah diberi peluang mempelajari kesusasteraan. 

Malah kita sudah begitu selesa berada dalam dunia klise, yang saya namakan pandirisme, sehingga kita jadi kumpulan yang anti-perubahan, yang tidak menerima perubahan jika dengan perubahan itu kedudukan diri sendiri tidak terjamin lagi. Inilah mesej yang dibawa oleh Dr. Saleeh Rahamad dalam kata-katanya yang cukup jelas anti-ilmu dan anti-perubahan, “pengekor dan pentaasub Persuratan Baru” tidak sedar masih ramai lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada.  Mengapa “pengekor dan pentaasub Persuratan Baru” mesti menerima dunia klise yang dibawa oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang terus memakai kayu ukur lama yang sudah tumpul itu?  Kalau anda seorang sarjana yang benar-benar bertaraf sarjana dalam pengertian yang difahami dalam dunia akademik seluruh dunia, anda sewajarnya berkata: “Kini Persuratan Baru sudah muncul dengan kaedah dan falsafah kritikan yang menggugat status quo; kita harus menentang kehadiran Persuratan Baru yang memberi tumpuan kepada ilmu, bukan kepada cerita, kerana kesusasteraan seluruh dunia memang dibina dan dikembangkan berasaskan konsep cerita semata-mata”. Kemudian, bahaskanlah semahu-mahu anda pendirian klise anda itu. Buktikan anda benar-benar “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara dan teori sastera Barat.  Bentangkan hujah anda dengan sejelas-jelasnya, bahawa sebagai “pengekor dan pentaasub” teori sastera Barat dan penyokong Panel Anugerah Sastera Negara, pilihan anda adalah yang terbaik.

Mohd. Affandi Hassan,
18/5/2012

Wednesday, May 16, 2012

SIKAP NEGATIF SEORANG AHLI AKADEMIK: Kes Dr. Mohd Saleeh Rahamad


Andainya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menerima pujian begini: Sebagai pengekor dan pentaasub Panel Anugerah Sastera Negara, beliau tidak berasa terancam walaupun kini gagasan Persuratan Baru mendapat sokongan, daripada sarjana yang cerdik pula.  Mungkin beliau berasa bangga dan terhormat kerana dipanggil “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara itu.  Tetapi beliau mungkin tidak setuju bahawa gagasan Persuratan Baru sudah mula mendapat sokongan daripada penyokong yang mempunyai kemampuan intelektual yang tinggi dan kemampuan kognitif yang tajam. Adakah persetujuan beliau penting dalam kelangsungan hidup gagasan Persuratan Baru dalam perkembangan persuratan Melayu berteraskan konsep ilmu yang benar dalam abad 21? Persuratan Baru tidak akan terjejas dengan gugatan beliau dari penjuru mana sekali pun; tetapi kedudukan beliau akan tergugat sekiranya beliau tidak bergantung, tidak mengekori dengan taasub Panel Anugerah Sastera Negara.  Kesimpulan ini penting difahami jikalau anda ingin memahami apakah yang sebenarnya terjadi dalam kesusasteran Melayu moden dan di mana duduknya sarjana seperti Dr. Saleeh Rahamad itu.  Aspek ini telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalah beliau yang beberapa isinya saya kutip dalam posting yang lepas. Dalam kutipan itu saya tekankan betapa kedudukan para sarjana seperti Dr. Saleeh Rahamad ini telah ditentukan oleh apa yang disebut sebagai konvensi sastera oleh Prof. Ungku Maimunah, yakni sebagai “pengekor dan pentaasub” kepada konsep realisme Barat. Inilah yang melahirkan iklim sastera yang mencengkam seluruh kewarasan para sasterawan dan sarjana sastera sehingga mereka tidak nampak lagi lorong yang lebih besar yang boleh dilalui yang menuju ke arah perhentian yang lebih terjamin dari segi kewarasan akal dan keamanan rohani manusia yang berfikir dan beragama, yang sembahyang lima kali sehari dan sentiasa mendoakan untuk dirinya supaya ditunjukkan jalan yang lurus dan pengakhiran kehidupan yang diridai dan yang selamat dunia akhirat. Ini tidak dapat diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, oleh itu sesiapa juga yang menjadi “pengekor dan pentaasub” Panel itu akan tetap tersesat jalan dan akhirnya akan singgah di gaung yang dalam setelah melalui lorong berliku yang penuh bahaya. Saya berbicara sekarang dalam bahasa sastera, dan harus difahami dalam konteks itu. Sekiranya anda seorang pengikut gagasan Persuratan Baru, anda tidak akan menghadapi masalah untuk memahaminya; tetapi jika anda seorang penentang gagasan Persuratan Baru, anda akan berada dalam kecelaruan kognitif yang teruk, yang akan menghuru-harakan kewarasan berfikir anda. Ini pun bahasa sastera yang memerlukan kefahaman yang mendalam dalam konsep keindahan bahasa berteraskan konsep ihsan, yang disandarkan kepada konsep taklif.  Jika anda seorang yang berfikir, anda akan sedar bahawa anda kini diperlukan memahami persoalan ini dalam konteks yang berbeza daripada yang anda biasa berada, menggunakan konsep-konsep yang berlainan sama sekali daripada konsep yang pernah diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana yang menjadi pengikut (lebih tepat pengekor) mereka. Seorang sarjana seperti Dr. Saleeh Rahamad (kumpulan mereka memang ramai) yang berada di luar konteks, dan tidak berusaha pula untuk memahaminya (ertinya dia tidak perlu berada di dalam, cukup dengan hanya memahaminya terlebih dahulu), akan terus berada dalam kecelaruan kognitif, oleh itu tidak berdaya memahami dan melihat hakikat realiti dalam kehidupan manusia. Mereka akan terus berada dalam realiti semu, dan terus meraba-raba mencari makna dari kekosongan konsep yang mereka pakai. Inilah kehidupan akademik yang paling naif, jika anda faham maksud saya. Tetapi inilah faham sastera yang diberikan kepada kita oleh para ahli akademik yang “cetek meraba-raba” ini. Inilah tragedi yang sebenarnya dalam budaya ilmu di negara kita. Inilah yang ingin disingkirkan oleh gagasan Persuratan Baru. Anda dipersilakan untuk mempertahankan kepalsuan realiti semu yang menjadi dakapan anda; dan pada waktu yang sama anda dijemput untuk menolak gagasan Persuratan Baru yang akan memberikan anda jalan yang selamat dan perhentian yang menyeronokkan akal sihat anda.

Gambaran yang diberikan di sini berupa jemputan ikhlas daripada Persuratan Baru kepada para “pengekor dan pentaasub” iklim sastera yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para pendukung realisme Barat.  Semua ini tidak mungkin terhurai tanpa kehadiran gagasan Persuratan Baru. Jika anda masih tidak mengerti kesimpulan yang mudah ini, anda akan terus berada dalam kecelaruan kognitif; dan berasaskan hakikat itu sahaja pun anda tidak layak menjadi seorang ahli akademik yang ditugaskan untuk mengajar para pelajar menjadi cerdik.  Bagaimana anda akan mencerdikkan pelajar anda jika teras ajaran anda mengusutkan kemampuan kognitif mereka kerana anda mengasak mereka setiap saat dengan konsep-konsep yang hanya akan membawa mereka kepada kecelaruan kognitif. Dalam istilah yang dipakai oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, inilah yang disebut kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, yang akan melahirkan kehilangan adab dalam masyarakat, yang natijahnya ialah lahirnya para pemimpin palsu, termasuk sarjana palsu yang “cetek meraba-raba”.  Kesimpulan Dr. Saleeh Rahamad, “masih ramai lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada”, membenarkan kesimpulan di atas. Dapatkah anda melihat ironinya di sini? Sekali lagi, jika anda masih berada dalam kecelaruan kognitif, anda tidak mungkin dapat memahaminya. Anda akan terus terpinga-pinga, sementara orang yang memahaminya tertawa terbahak-bahak melihat humor intelektual yang memukau ini.  Dr. Saleeh Rahamad tanpa disedari menggunakan teknik stylization of ideas secara songsang, tetapi boleh difahami dan dinikmati kesan humor itu, sekiranya anda memahaminya. Inilah, antara lain, kekuatan gagasan Persuratan Baru. Gagasan itu berupaya menyerlahkan segi lain yang tidak disangka-sangka oleh orang yang berada dalam kecelaruan kognitif.  Jika anda masih belum mengerti ... Apa lagi yang boleh saya buat? Anda hanya perlu mendalami gagasan Persuratan Baru untuk memahaminya.

Adakah ini tidak lain daripada sejenis spinning intelektual saja? Tidak. Inilah kelebihan Persuratan Baru, dapat mengesan kecelaruan kognitif ini dengan menggunakan mod bacaan intelektual. (Anda boleh baca tentang konsep ini, saya lebih senang memanggilnya teknik bacaan, dalam tulisan Prof. Ungku Maimunah.)  Mod bacaan intelektual ialah cara membaca dengan kritis, menganalisis semua aspek yang berkaitan dalam satu kesatuan sistem yang melahirkan ucapan atau pendapat itu, dalam hal ini kesimpulan yang saya buat berasaskan konsep iklim sastera yang disebut oleh Prof. Ungku Maimunah. Untuk membantu anda, sila rujuk semula pandangan Prof. Ungku Maimunah tentang iklim sastera yang membenarkan Dr. Saleeh Rahamad berbicara tentang Kuala Lumpur Kita Punya dalam bentuk yang dipilihnya (dan komen saya yang mengatakan bahawa novel itu through and through adalah novel picisan.) [Sekadar perbandingan yang boleh membantu dalam aspek analisis seumpama ini, sila baca tulisan Gregory L. Ulmer, “The Object of Post-Criticism”, dalam Hal Foster ed. The Anti-Aesthetic: Essays on Postmodern Culture, (Seattle, Washinton: Bay Press, 1983; hal. 83-110, terutama hal. 99-107)].

Mengapakah mustahil bagi Dr. Saleeh Rahamad, sebagai Ketua 1 PENA, untuk menggerakkan PENA membicarakan gagasan Persuratan Baru, cetusan seorang ahli senior PENA? Sebabnya cukup mudah: iklim sastera tempat beliau berada tidak membenarkannya keluar dari iklim itu tanpa risiko yang amat besar, iaitu beliau akan ditentang habis-habisan oleh AJK PENA  dan anggota PENA  sendiri.  Mengapa ini akan terjadi, yang mungkin boleh melucutkan jawatan Dr. Saleeh Rahamad sebagai Ketua 1 PENA? Iklim sastera yang dibina hanya membenarkan penyokong realisme Barat yang dipegang oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para pengekor mereka yang taasub menyokong Panel.  Mereka tahu, jika gagasan Persuratan Baru didebat dengan kritis, kedudukan mereka akan tergugat. Mereka tidak ada hujah untuk menolak Persuratan Baru. Itu realiti yang cuba dihindarkan daripada dibicarakan berterus terang.  Adakah keadaan ini membenarkan kritikan Tan Sri A. Samad Ismail perihal wujudnya MAFIA sastera dan cronyism dalam sastera Melayu? Ini pun satu tajuk yang penting dan cukup menarik untuk dibincangkan. Jika benar berlaku, kita harus memasukkan cronyism sebagai nilai murni yang baru dalam sastera Melayu. Apa salahnya jika kita semua bersetuju? Yang menjadi salah ialah apabila aspek ini dinafikan, tidak diakui kewujudannya. Tidakkah sastera itu dinamik dan sentiasa berubah? Itulah juga aspek penting yang sentiasa dicanangkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yakni sastera mesti berubah dan nilai-nilainya juga perlu berubah. Jika kita perlukan MAFIA untuk memajukan sastera Melayu moden dan mencetus perubahan itu, mengapa kita perlu menolaknya?  Dalam konteks Panel Anugerah Sastera Negara, inilah perbubahan paling besar dan eksperimen paling bermakna!  

Tetapi MAFIA sastera yang dimaksudkan di sini tidak sama taraf dan kelakuannya dengan MAFIA dalam dunia gangster.  MAFIA  sastera harus mencintai ilmu pengetahuan, bukan menghalang perkembangan ilmu. Jika itulah matlamatnya, mengapa perlu dipanggil MAFIA? Penjelasannya mudah: dalam dunia sastera di Malaysia, terdapat beberapa kumpulan yang saling memperkukuh kedudukan masing-masing dalam daerah pengaruh mereka, supaya tidak ditembusi oleh kumpulan lain yang nantinya akan mengambil alih “kekuasaan” mereka. Oleh itu, kita mempunyai kumpulan tertentu menguasai sesebuah organisasi, dengan strategi tertentu untuk mempertahankan kedudukan mereka dan memberi laluan hanya kepada  kumpulan mereka untuk menguasai organisasi tersebut. Inilah kumpulan yang mirip kumpulan MAFIA dalam dunia gangster, yang dengan gigih mempertahankan pengaruh mereka seolah-olah organisasi itu milik mereka sendiri; maka itulah sebabnya kita lihat hanya orang tertentu yang dibolehkan menjadi ketua organisasi tertentu, sampai berpuluh tahun. Yang diperjuangkan ialah kepentingan peribadi dan kumpulan sendiri, bukan faedah umum untuk pendukung sesuatu persatuan yang dipanggil ahli berdaftar. Dalam dunia akademik pun terjadi hal yang sama, apabila kumpulan yang berada dalam lingkungan pengaruh tertentu akan mendapat faedah lebih mudah daripada orang yang berada di luar lingkungan itu. Ini bukan satu perkara yang aneh, kerana dari segi tabiat berperilaku, manusia adalah sama dengan binatang. Dalam kumpulan serigala, mana-mana serigala yang cuba menjatuhkan ketua serigala akan dihalau dan disisihkan dari kumpulan itu. Jika yang dihalau itu berwatak kuat, dia mempunyai peluang untuk membina kumpulannya sendiri dan kembali ke tempat asal untuk merebut kuasa. Bolehkah kita lihat pola ini di Malaysia dalam persatuan penulis dan dalam pemberian hadiah dan anugerah?  Dalam politik, pola ini sangat jelas: hanya kumpulan yang berkuasa saja yang berhak dan layak mendapat gelaran tertentu, anugerah dan lain-lain pemberian yang boleh menaikkan darjat seseorang.  Maka apabila seseorang ahli akademik mengejek sesuatu kumpulan sebagai “pengekor dan pentaasub” sesuatu kumpulan atau tokoh tertentu, maka dia hanya meluahkan kemarahan dan kejengkelannya terhadap tokoh dan kumpulan itu yang dikiranya menjadi saingan kepadanya. Dalam dunia merebut pengaruh, yang terkuat tidak semestinya yang akan terus menang. Dengan perkembangan ilmu dan meningkatnya daya kritis dalam membicarakan masalah sastera, kita lihat pengaruh Panel Anugerah Sastera Negara tidak saja telah dicabar, tetapi telah diberi landasan baru dalam penilaian karya, sehingga pembaca, penulis dan sasterawan serta sarjana dan pengkritik sastera dapat melihat perbezaan tidak saja dari segi analisis dan penilaian, tetapi juga dari segi perkembangan masa depan kepada dunia kritikan dan penciptaan karya kreatif. Kita lihat di sini pengaruh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun masih kukuh bertenggek dalam institusi dan organisasi tertentu, sebenarnya sedikit demi sedikit telah kehilangan pengaruh itu. Dan ini disedari oleh orang-orang seperti Dr. Saleeh Rahamad, yang masih yakin bahawa “masih ramai lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada.”  Jika kita tidak berhati-hati dan tegas, kita akan membiarkan kumpulan ini menguasai dunia ilmu, walaupun dari segi pemikiran mereka telah kalah, telah buntu untuk mempertahankan kedudukan mereka secara akademik. Hanya kuasa yang diwarisi dalam organisasi saja yang masih menjadi tempat mereka bergantung. Tetapi seperti kata peribahasa Melayu, tidak selamat bergantung di dahan rapuh. Panel Anugerah Sastera Negara dan lain-lain institusi dan organisasi yang sejenis dengannya adalah contoh dahan rapuh itu. Jika anda masih mahu bergantung pada mereka, teruskanlah. Tetapi anda pasti akan jatuh bersama mereka, hanya lambat atau bangat saja. Masa itu akan tiba lebih cepat sekiranya pelajar kita lebih berminat kepada pemikiran dalam penulisan kreatif dan dalam pengajaran sastera. Tetapi masa itu akan terus tertangguh sekiranya kumpulan MAFIA  sastera ini dibiarkan terus merosak masa depan yang gemilang dalam persuratan Melayu andainya keutamaan kepada aspek ilmu dan pemikiran dalam karya kreatif diberi perhatian yang lebih serius.

Walau apa pun perubahan terjadi, Dr. Saleeh Rahamad masih boleh meneruskan tugasnya sebagai Ketua 1 PENA.  Nasihat dan ingatan Arenawati masih terus relevan dan harus dijadikan pedoman oleh para sarjana dan ahli akademik: Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang.   Demikian juga komitmen Dr. Saleeh Rahamad, perlu dijadikan ikutan oleh semua sarjana dan ahli akademik:  Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita. Bolehkah Dr. Saleeh Rahamad memenuhi tuntutan komitmennya sendiri?  Agak sukar, tetapi jika beliau tidak lagi menghadapi kecelaruan kognitif, beliau boleh melakukannya.  Jika semuanya diterima sebagai satu amanah, segala dan semuanya akan selamat.


Mohd. Affandi Hassan,
16/5/2012.

Sunday, May 13, 2012

PERANAN POSITIF DAN NEGATIF SEORANG AHLI AKADEMIK: Kes Saleeh Rahamad


Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang.  Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad,  3/2/2009  (dikutip dari blog pensyarah ini).
Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita(Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, 28 Januari 2010 dalam blognya).

Seingat saya, hampir tidak ada perbincangan tentang peranan negatif seorang ahli akademik yang sikapnya terhadap ilmu begitu negatif.  Walaupun manusia secara fitrahnya dijadikan dapat mengenal yang baik dan yang buruk (Quran, 91: 8), dengan penegasan seterusnya, “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya; dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” (91: 9-10),  namun seorang sarjana dan ahli akademik Islam  yang setiap hari membaca Quran (sekurang-kurangnya di dalam sembahyang, yang mendoakan untuk dirinya supaya diberi petunjuk dan dihindarkan dari dimurkai dan disesatkan), tidak memberi perhatian kepada aspek negatif dalam kehidupan akademiknya. Nasihat SN Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad, yang dimuatnya dalam blognya, menunjukkan betapa beruntungnya beliau mendapat nasihat dan penghargaan yang begitu baik. Tetapi apakah balasan beliau? Inilah balasan beliau, dalam kata-kata beliau sendiri: “Walaupun pengekor dan pentaasub Persuratan Baru tidak menggemari cara pemilihan Sasterawan Negara sekarang, masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada” (30/11/2009, beberapa bulan selepas mendapat nasihat dan penghargaan tinggi Arenawati terhadap “bakti akademik yang terlalu murni” itu).  Terima kasih kepada teman-teman yang menunjukkan kepada saya beberapa tulisan  penting Dr. Saleeh Rahamad dalam blognya, yang terlepas dari perhatian saya. 

Dr. Saleeh Rahamad pastilah mempunyai hujah yang kuat untuk membenci dan meremehkan gagasan Persuratan Baru, dan memanggil sesiapa juga yang bersetuju dengan Persuratan Baru sama kedudukannya dengan binatang yang jadi “pengekor dan pentaasub” yang tidak mempunyai pendirian sendiri seperti beliau.  Binatang memang mempunyai tabiat untuk mengikuti ketuanya, seperti yang diperlihatkan oleh angsa yang terbang kerkawan dalam satu kumpulan dengan diketuai oleh seekor yang dijadikan ketua. Dalam satu eksperimen, sebuah kapalterbang kecil dijadikan ketua oleh sekumpulan angsa, diikuti ke mana saja kapalterbang itu mendarat. Saya tidak pasti sama ada Dr. Saleeh Rahamad tahu fakta ini atau tidak, atau pernah melihat kumpulan angsa ini terbang dengan bising mengekori ketuanya. Tidak mengapa jika beliau tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan itu, kerana beliau memang bijak membuat perbandingan untuk meremehkan gagasan Persuratan Baru, pencetus idea itu,  dan sarjana yang bersetuju dengannya. Tetapi timbul sedikit kemusykilan: tidakkah perbuatan beliau itu “kurang sopan”, mungkin juga kurang ajar (tentulah aneh bagi seorang pensyarah untuk bertindak kurang ajar), atau nakal yang berlebihan?  Mana satu yang betul tidak penting dalam konteks ini, kerana yang lebih utama, dalam pandangan saya, ialah penegasan beliau, “masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada”, dengan itu menerima laporan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan tidak ada yang lain dari ukuran Panel itu yang boleh digunakan atau dijadikan pegangan. Apakah hujah beliau, beliau di sini bermaksud Dr. Saleeh Rahamad. Apakah hujah Dr. Saleeh Rahamad untuk membuat kesimpulan itu? Adakah beliau sendirilah yang benar-benar “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara? Berbeza dengan “pengekor dan pentaasub” yang pertama, mereka ini telah menulis beberapa rencana penting yang layak dijadikan rujukan untuk menghujahkan mengapa mereka menerima Persuratan Baru. Adakah Dr. Saleeh Rahamad berbuat begitu juga? Kita mahu baca tulisan beliau sebagai “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara untuk dijadikan semacam perbandingan dengan pandangan dan pendirian Persuratan Baru, moga-moga pembaca yang kritis dapat melihat pendirian mana yang lebih mantap setelah membuat perbandingan itu. Inilah kerja seorang ahli akademik seperti Dr. Saleeh Rahamad, yang tidak perlu diperingatkan oleh sesiapa pun kerana tugas itu memang tugas utama seorang ahli akademik,  dibayar gaji lumayan untuk melaksanakan tugas itu,  walaupun hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” saja.  Tetapi terdapat satu lagi kemusykilan yang tak dapat dibiarkan, iaitu mengenai sikap terbuka seorang ahli akademik. Adakah Dr. Saleeh Rahamad bermaksud ingin menegaskan bahawa gagasan Persuratan Baru tidak layak diberi perhatian oleh sesiapa sekali pun, apatah lagi jika hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” yang tidak memberi sumbangan apa-apa. Pendeknya, gagasan Persuratan Baru tidak diperlukan, oleh itu tidak wajar diberi tempat dalam keadaan apa sekalipun, kerana kebebasan akademik yang amat dipertahankan dan diperjuangkan oleh kaum akademik tidak boleh dikenakan ke atas Persuratan Baru.  Ertinya, bagi Dr. Saleeh Rahamad, tidak wajar diberi kebebasan akademik untuk memberi tempat kepada Persuratan Baru,  dengan itu tidak boleh dibincangkan secara akademik kerana Persuratan Baru tidak mempunyai kualiti akademik itu. Bagaimana Dr. Saleeh Rahamad mendapat kesimpulan demikian? Dalam satu posting, saya mengutip pandangan Imam Ghazali mengenai perkara ini (lihat posting bertarikh 4/1/2012) yang menegaskan seseorang tidak wajar menolak atau menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahuinya terlebih dahulu (baca kutipan itu di sana).


Siapakah “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Paling terkenal tentu saja Prof. Ungku Maimunah, yang menjadikan tema utama syarahan perdana beliau gagasan Persuratan Baru; seorang lagi tentu saja Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, yang banyak menulis dan membentangkan kertas kerja tentang Persuratan Baru baik di dalam mahu pun di luar negeri.  Seperti yang diketahui oleh orang-orang yang tahu, Prof. Ungku Maimunah adalah seorang profesor yang senior, yang telah membuktikan kemampuan ilmiahnya tanpa sebarang keraguan, dengan itu seorang ahli akademik yang dihormati oleh orang-orang yang tahu menghormati orang yang layak dihormati, yang hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang beradab.  Prof. Madya Dr. Mohd Zariat pula telah menghasilkan satu kajian di peringkat kedoktoran dengan menggunakan kerangka analisis Persuratan Baru; dan bukunya telah pun diterbitkan.  Adakah mereka ini “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Tentu sekali tidak. Dalam tangan mereka, Persuratan Baru diberi wajah yang lebih dinamik, misalnya Prof. Ungku Maimunah memperkenalkan beberapa istilah dan konsep yang berguna untuk menjelaskan lagi penerapan Persuratan Baru dalam kritikan sastera dan dalam penulisan kreatif.  Mereka memberi jalan keluar kepada beberapa masalah yang kini dihadapi oleh kesusasteraan Melayu. Prof. Ungku Maimunah misalnya menjelaskan dengan terperinci bagaimana konsep realisme diterap dan dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, dan bagaimana penerapan itu pada umumnya mencacatkan perkembangan sastera Melayu moden yang meminggir dan menolak peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Antara orang yang menolaknya ialah Dr. Saleeh Rahamad sendiri. Tidak pula diketahui apakah hujah beliau, kerana beliau tidak menulis apa-apa sanggahan yang sepadan dengan kedudukannya sebagai seorang sarjana, sehingga semua kejengkelan beliau terhadap Persuratan Baru boleh dianggap timbul daripada perasaan negatif semata-mata, yang tidak perlu dijelaskan dengan terang dengan memberi istilah tertentu yang sering dipakai apabila kita menghadapi orang yang begitu negatif sikapnya.  Adakah inilah jenis bakti akademik beliau?

Saya difahamkan, tesis Ph.D. beliau dianggap terbaik dalam masa 30 tahun ini, mungkin telah melangkaui standard yang ditetapkan  oleh Prof. Syed Naquib al-Attas dalam tesis Ph.D. beliau. Jika benarlah penilaian dan penghormatan yang begitu tinggi yang diberikan kepada mutu tesis beliau, tidak hairanlah jika beliau meremehkan pandangan orang lain dan sarjana lain yang dianggapnya sejenis “kucing kurap” saja dalam bidang akademik.  Pandangan yang tinggi terhadap beliau ini tentu saja satu khabar gembira. Ertinya, kita telah mempunyai seorang sarjana yang tajam dan memukau kemampuan inteleknya, yang nantinya akan layak diberi kedudukan setinggi yang diberikan kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang kini sudah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara, selain gelaran sedia ada sebagai sasterawan negara.  Tetapi sikap beliau yang menghina dan merendahkan sarjana lain yang telah memberikan sumbangan mereka yang bererti dalam perkembangan pemikiran dalam bidang kritikan, menimbulkan keraguan besar tentang sifat murni beliau sebagai seorang sarjana yang cintakan ilmu dan kebenaran. Jika Persuratan Baru membawa ajaran salah, beliau dituntut mengemukakan kritikan yang objektif, bukan hanya gosip dan sangkaan buruk seperti yang beliau lakukan.  Tetapi nampaknya hal ini tak dapat dielakkan, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam sebuah tulisannya. (Rujuk: “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu”.  Kertas kerja dibentangkan di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 7-8 Disember, 2011).  Kertas ini penting, dan saya harap dibaca dengan kritis oleh para sarjana kita, kerana dalam kertas ini Prof. Ungku Maimunah berhujah dengan meyakinkan, dengan mengemukakan bukti-bukti yang tidak dapat disangkal,  bahawa kesusasteraan Melayu moden secara sedar menerima faham realisme Barat sebagai asas penulisan kreatif dan kritikan, dengan menyediakan “iklim sastera” yang diarahkan secara khusus untuk mewujudkan “pengkonkritan Realisme Barat dalam karya kreatif” (hal. 23) dan  dalam kritikan sastera Melayu.  

Perhatikan kesimpulan Prof. Ungku Maimunah yang penting ini: “Ternyata, dunia sastera Melayu secara sedar dan sengaja membentuk iklim sastera yang jelas memihak kepada kefahaman realisme Barat, dan dengan itu memungkinkan kefahaman tersebut memakai wajah sopan, hormat dan maju, di samping boleh pula dimanfaatkan dengan mudah, bebas, berterusan; malah, lebih penting lagi, pemanfaatannya juga menguntungkan sama ada dari segi kewangan mahu pun penghormatan. Seterusnya, dengan memberinya kekebalan atau imuniti daripada sanggahan dan sangkalan, kefahaman realisme Barat tersebut dengan mudah dapat menghadirkan dirinya sebagai ciri fundamental penulisn kreatif dan kritikan Melayu, yang membentuk tradisi dan warisan. Dengan kedudukan sedemikian, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kegiatan sastera Melayu, digunapakai dengan selesa, yakin, bangga dan tanpa curiga” (hal. 23).

Apakah akibatnya kepada sastera Melayu dan kepada pemikiran dalam sastera Melayu? Inilah jawapan yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah: “... adalah juga jelas bahawa hasil daripada Laporan panel tersebut ialah terpilihnya penulis tertentu yang seterusnya diiktiraf sebagai tokoh.  Dengan mengelilingi tokoh-tokoh ini serta karya mereka dengan pujian, sanjungan dan kritikan positif (malah penelitian kesemua Laporan dari yang pertama hingga Laporan ke-10 memperlihatkan betapa langkanya kritikan yang negatif) seperti yang telah menjadi semacam budaya  penulisan Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, maka beberapa idea tentang pemanfaatan  realisme dalam penulisan kreatif dan juga kritikan, seperti yang diamalkan oleh tokoh berkenaan dan diperakukan oleh Laporan, muncul sebagai idea-idea dominan dalam penulisan kreatif, dan lebih penting lagi, sebagai idea yang sudah terbukti keberkesanan dan kejayaannya. (Huruf condong dalam original.)  Seterusnya, karya-karya yang mendukung pemanfaatan realisme tersebut dengan mudah dan tanpa banyak masalah diperikan dan diperakukan sebagai khazanah negara yang membentuk tradisi penulisan kreatif Melayu yang sah (dan kritikan yang memperakukan karya mereka ini pula dianggap kritikan yang sah), dan wajar dibanggakan dan seterusnya diwariskan. Ia juga wajar dicontohi. Ini mempunyai implikasi di luar konteks Laporan kerana penokohan yang diabsahkan oleh Laporan kemudian dimantapkan dengan sokongan berupa penerbitan karya mereka, seminar tentang pemikiran mereka, penulisan tesis, makalah, buku tentang karya mereka dan sebagainya, sehingga terbentuknya satu iklim sastera yang padu, yang bukan saja senang dengan idea-idea berkaitan realisme yang diperagakan, tetapi tidak canggung pula untuk menyokong dan memperjuangkannya, di samping bersedia untuk mempertahankannya dan sanggahan sekiranya dan apabila sanggahan muncul.  Malah, sanggahan yang kritis, seperti halnya dengan kritikan berteraskan PB, ditolak dengan dakwaan gerun iaitu kononnya akan hancurlah tradisi dan khazanah sastera Melayu sekiranya kritikan tersebut dihiraukan, hatta dakwaan gerun tersebut tidak disokong dengan hujah ilmiah dan objektif, yang lengkap dengan bukti kuat dari khazanah dan tradisi tersebut. Ternyata, usaha dan amalan memuji dan menyokong di satu pihak diimbangi dengan imuniti daripada kritikan dengan cara menghindar atau menimbulkan kesangsian, keraguan atau rasa tidak senang terhadap tulisan kritis tentang karya dan idea-idea yang dikaitkan dengan tokoh pilihan tersebut, yakni discredit apa juga tulisan yang kritis” (hal. 20-21 kertas kerja).

Dalam keadaan inilah Dr. Saleeh Rahamad berada, yang dengan tepat sekali digambarkan satu persatu oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kutipan panjang di atas. Di tempat lain, dalam kertas yang sama, Prof. Ungku Maimunah menegaskan seperti ini: “Iklim sastera ini jugalah yang memungkinkan Mohamad Saleeh Rahamad untuk memperkatakan kejujuran Abdullah Hussain melakarkan kerosakan moral masyarakat Kuala Lumpur di seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka itu” (hal. 22).  (Rujukan kepada kertas Dr. Saleeh Rahamad, “Kuala Lumpur Kita Punya: Paparan Realiti Sosial Bebas Nilai dan Bebas Ruang”, kertas kerja Seminar Pemikiran Abdullah Hussain,  DBP 19-20 Oktober, 2011). Sesiapa juga yang biasa dengan sejenis masalah psikologi sosial yang dipanggil “cognitive dissonance” (kecelaruan kognitif) akan dapat melihat dengan jelas betapa Dr. Saleeh Rahamad sedang berada dalam situasi itu. Sebagai orang Islam yang sembahyang lima kali sehari, yang dalam setiap fatehah yang dibacanya termaktub doa memohon ditunjuki jalan yang lurus, jalan orang-orang yang diridai Allah, bukan jalan orang yang dimurkai dan disesatkan; tetapi di luar dari sembahyangnya, sebagai seorang ahli akademik, seluruh kesedaran intelek dan kemampuan kognitifnya telah diasak dengan segala macam konsep dari teori  sastera Barat. Sebagai seorang ahli akademik, dia berasa selesa menggunakan konsep-konsep itu dan teori-teori yang dikenalinya. Tetapi sebaik saja konsep dan teori itu dicabar, maka terjadilah huyung-hayang kognitif; dan dalam keadaan itulah dia menghina orang yang tidak disenanginya, atau “teori” yang belum difahaminya, dengan meletakkan orang itu sebagai “pengekor dan pentaasub”, tanpa disedarinya dia telah mendedahkan dirinya kepada “kecelaruan kognitif” tadi. Jadi yang ditunjukkannya bukanlah kekurangan orang yang disindir dan dikecamnya; tetapi kekurangan dirinya sendiri yang terhuyung-hayang dalam kecelaruan kognitif. Hanya sarjana Islam yang benar-benar yakin kepada ajaran tauhid, dan sedar pula implikasi taklif dalam kehidupannya, dan dapat memahami dengan baik rahsia-rahsia taklif, maka mereka inilah saja yang tidak akan menderita masalah kecelaruan kognitif ini. Jika anda membaca makalah beliau yang dirujuk oleh Prof. Ungku Maimunah, anda akan dapati betapa “pemikirannya” berlagak seperti Tarzan, menghayun dirinya sambil bergayut kepada akar kayu seolah-olah berada dalam sejenis permainan. Silalah lihat filem Tarzan untuk memahami imejan ini dan anda terapkan kefahaman anda sambil membaca teks atau makalah Dr. Saleeh Rahamad tentang Kuala Lumpur Kita Punya, yang dalam tangan seorang sarjana yang tidak mengalami kecelaruan kognitif, adalah sebuah novel picisan through and through!

Adakah ini sesuai dengan pendirian beliau yang terpuji tentang sifat jujur dan cintakan kebenaran, seperti yang diucapkan beliau dalam kata-katanya ini:   “Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita” (bertarikh 28 Januari 2010). Satu pendirian yang sangat wajar dan mulia dan bagus sekali, yang perlu dimiliki oleh semua sarjana kita, terutama yang menjadi pensyarah dan mendidik para pelajar menjadi manusia cerdik yang berguna.  Sesuai dengan sikap positif beliau, adalah wajar jika beliau memberikan kuliah secara khusus tentang Persuratan Baru kepada para pelajar beliau, supaya mereka tahu perkembangan mutakhir dalam pemikiran kesusasteraan Melayu moden, yang menurut Persuratan Baru perlu ditukar menjadi persuratan Melayu, sesuai dengan tradisi kita sendiri. Tentulah sangat bermakna jika para pelajar beliau diberi peluang untuk berdebat dengan beliau tentang perkara ini, dengan bimbingan beliau sendiri.  Kita pun mahu lihat akan lahir nanti di kalangan pelajar beliau yang akan menulis tesis Ph.D. mereka yang setaraf dengan mutu yang beliau telah letakkan, atau mungkin lebih baik lagi jika mereka diperkenalkan dengan idea gagasan Persuratan Baru. Tetapi ini hanya dapat dilakukan beliau jikalau beliau tidak lagi menderita kecelaruan kognitif yang menghalangnya membuat pilihan yang tepat, kerana masih lagi terikat kepada teori sastera Barat yang memberinya kedudukan sebagai seorang pensyarah di universiti.  Jika anda menganalisis kecelaruan kognitif yang dihadapi pensyarah ini, anda akan dapat melihat betapa jauhnya dia berada di luar konsep taklif kerana dihanyutkan oleh kecelaruan kognitif yang mungkin tidak disedarinya. Dalam keadaan demikian, mana bisa beliau melihat gagasan Persuratan Baru sebagai satu gagasan besar yang akan mengubah cara berfikir tentang sastera.

Sekiranya beliau tidak menghadapi masalah kognitif, tetapi benar-benar seorang yang tajam daya inteleknya, di samping tajam pula kemampuan kognitifnya, maka sudah tentu Dr. Saleeh Rahamad sudah tahu  awal-awal lagi betapa gagasan Persuratan Baru kini sudah mempunyai tempat tersendiri dalam dunia kritikan sastera. Disedari atau tidak, gagasan Persuratan Baru telah berada jauh ke depan menyediakan munculnya persuratan Melayu abad 21, yang tidak lagi terkongkong dan dikongkong oleh teori dan pendekatan Barat yang tidak saja menjadi pegangan sebahagian besar para sarjana, tetapi dipertahankan bermati-matian sehingga tidak silu lagi menuduh sesiapa yang tidak bersama mereka sebagai “pengekor dan pentaasub” sesuatu faham yang mereka tidak suka (apa sebabnya tidak suka itu kita tidak tahu!).  Padahal seorang sarjana sastera selalu berbicara betapa tingginya kedudukan karya sastera dalam kebudayaan sesuatu bangsa atau negara, kerana di situlah terserlah “nilai-nilai murni” yang diperlukan oleh semua manusia. Jika benarlah kepercayaan itu menjadi pegangan, maka adakah penghinaan terhadap “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru itu sebahagian daripada nilai murni yang menjadi pegangan para sarjana?  Pertanyaan ini menjadi remeh-temeh sekiranya kita sedar bahawa apa yang disebut sebagai nilai murni itu hanyalah sejenis mitos, bukan suatu realiti yang benar-benar wujud; kerana yang benar-benar wujud di kalangan golongan ini ialah  kelangsungan hawa nafsu mereka yang tidak berkaitan sama sekali dengan nilai murni sejagat, iaitu nilai murni cintakan ilmu dan kebenaran.

Aspek ini boleh dikatakan tidak diberi perhatian seikhlas mungkin oleh badan-badan penulis Malaysia. Berapa orang tokoh terkemuka sesuatu badan penulis yang dihargai ketokohannya dengan menerbitkan kumpulan tulisan mengenai sumbangannya? Mungkin sudah ada, tetapi saya belum pernah lihat. Satu ketika dulu saya melihat satu program yang dibuat oleh Persatuan Penulis Kelantan menjemput beberapa orang sarjana dan sasterawan terkemuka untuk membicarakan ketokohan Norhisham Mustafa dan karyanya, tetapi bukunya saya belum lihat (saya harap sudah dicetak, atau paling kurang sedang dalam persiapan untuk dicetak). Saya kira inilah sebahagian daripada nilai murni dalam bentuk tindakan terpuji yang dilakukan dengan benar-benar ikhlas. Ini belum kita tradisikan di negara kita. Bila akan dijadikan satu amalan hanya dapat diberi jawapannya oleh badan-badan penulis sendiri.  Andainya GAPENA menjadikan ini satu tradisi, tentulah sudah terdapat beberapa buah buku jenis ini yang diterbitkan oleh badan penulis ini. Apakah yang menghalang mereka untuk memulai tradisi ini?  Adalah logik jika  PENA menjadi pelopornya.  Atau PENA pun tidak mahu terlibat dalam usaha intelektual berbentuk begini, memberi penghormatan kepada ahli mereka yang berjasa?

Saya sering juga diberitahu teman-teman, betapa bencinya segolongan besar para sasterawan dan ahli akademik kepada gagasan Persuratan Baru. Satu sikap yang amat aneh. Jika kita membaca kembali makalah dan lain-lain tulisan Prof. Ungku Maimunah tentang pengaruh realisme Barat dalam sastera Melayu, sikap ini timbul mungkin kerana golongan ini berasa terancam kedudukan mereka dengan kehadiran gagasan Persuratan Baru.  Agak saya inilah yang dirasakan oleh Dr. Saleeh Rahamad apabila beliau bercakap tentang “pengekor dan pentaasub” gagasan Persuratan Baru.  Mungkin betul, mungkin tidak betul; tetapi saya menganggapnya tidak lebih dari sejenis gosip yang tidak dapat dielakkan. Tetapi bila difikir-fikir, saya teringat kata-kata A. Samad Ismail dalam suratnya kepada Leo AWS, seorang pensajak dari Kelantan. Inilah antara luahan beliau yang menarik perhatian saya: “Saya menekankan bahawa bidang sastera sekarang dikuasai oleh MAFIA sastera dan semacam  cronyism yang kesannya memudaratkan perkembangan sastera yang sihat” (Surat bertarikh 30 November 1998, disiarkan sepenuhnya dalam Langit Dusunku, Pustaka Dewan Puisi, 2003, hal. 68-70). Betulkah wujud MAFIA  sastera? Betulkah terdapat kronisme? Sekali pun wujud MAFIA sastera dan kronisme, saya menolak sama sekali Dr. Saleeh Rahamad berada dalam lingkungan itu, walaupun beliau tidak senang dengan gagasan Persuratan Baru. A. Samad Ismail kini diberi penghormatan yang wajar apabila satu kerusi kewartawanan diwujudkan di UiTM Shah Alam atas namanya. Saya sendiri membayangkan, gagasan Persuratan Baru juga akan beroleh kerusi seperti itu atas namanya; dan tempat yang paling cocok ialah UPSI, kerana Persuratan Baru pada dasarnya muncul dalam jalur perkembangan intelektual yang dipelopori oleh Pendeta Za’ba. Tetapi bukan sekarang, kena tunggu 1000 tahun lagi, seperti yang diyakini Chairil Anwar!

Kini Dr. Saleeh Rahamad telah dipilih menjadi Ketua 1 PENA, dengan sekumpulan AJK yang terdiri daripada teman-teman rapat beliau sendiri.  Apakah rancangan beliau  supaya PENA menjadi pelopor tradisi ilmu yang dimaksudkan, seperti yang diamanahkan oleh Arenawati kepada beliau? Tentu saja menyeronokkan, sebagai satu gurauan intelektual, jika PENA mengumpulkan para sarjana kelas pertama untuk mengkritik gagasan Persuratan Baru, sambil mempertahankan Panel Anugerah Sastera Negara kerana “masih ramai lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada.”  Walaupun saya adalah salah seorang anggota PENA yang senior, namun dari segi kedudukan sama saja dengan anggota yang baru mendaftar satu hari lepas. Walaupun saya juga pernah memberi sedikit sumbangan yang amat sederhana dalam bidang sastera dan kritikan sastera,  saya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dalam bentuk anugerah, hadiah dan sebagainya yang membolehkan saya klaim sedikit keutamaan untuk diberi perhatian dalam perbincangan tentang karya-karya saya oleh PENA. Siapakah yang tercabar di sini?  Siapa pula yang akan tercalar maruah intelektualnya?  Kena tunggu 1000 tahun jugakah untuk diketahui?  Tidak. Dalam dunia sastera yang mementingkan dan mengutamakan nilai-nilai murni, penungguan itu paling lama 30 tahun atau lebih sedikit, hanya satu generasi, satu perkara biasa di Malaysia yang sudah diterima umum dengan baik. Dalam konteks yang agak berbeza, inilah “iklim penentuan” yang sudah dikonkritkan dalam sastera Melayu.  Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Tan Sri A. Samad Ismail dalam suratnya.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,  10/5/2012.

Thursday, May 3, 2012

NILAI MURNI YANG KOTOR


Catatan: Bahagian ini sambungan kepada posting bertarikh 21 April 2012, dengan sedikit penjelasan tentang konsep plot.

Kementerian Pelajaran telah menolak permintaan GAPENA supaya sastera Melayu dijadikan mata pelajaran wajib di semua peringkat sekolah, bermula dengan peringkat tadika lagi.  Keputusan Kementerian Pelajaran menolak permohonan itu dikesali oleh para sasterawan, penggiat sastera dan wartawan sastera. Kata mereka, hilanglah peluang para pelajar untuk  diasuh oleh karya sastera supaya mencintai dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam karya sastera. Benarkah karya sastera mencerminkan nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia? Mungkin ada, tetapi perkara ini tidak diberi perhatian langsung oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jika maksud nilai-nilai murni itu ialah persoalan moral dan etika dalam kehidupan, maka Panel Anugerah Sastera Negara menolaknya bulat-bulat, menegaskan dalam kata-kata yang berikut: “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. ... A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist  yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (Laporan 1985, hal. 13). Inilah kekuatan A. Samad Said yang melayakkannya diangkat sebagai seorang sasterawan negara. Di manakah “nilai-nilai murni” itu? Panel Anugerah Sastera Negara tidak menerima “nilai-nilai murni” sebagai satu faktor penting dalam penilaian mereka; dan A. Samad Said sendiri pun mengaku beliau menulis Salina kerana ingin menulis kisah hidup seorang “pelacur yang baik hati”.  Tentu saja beliau tidak bermaksud hendak menegaskan bahawa seorang pelacur bukanlah seorang yang mengamalkan nilai-nilai murni, kecuali dalam konteks kepelacurannya. Namun begitu, Salina masih boleh dipakai sebagai teks wajib, seperti yang diminta, dengan syarat kaedah penelitian terhadap novel ini menggunakan asas penilaiannya berdasarkan konsep ilmu yang benar, seperti yang dituntut dalam gagasan Persuratan Baru. Apakah kesannya terhadap nilai novel ini telah  dihuraikan  dengan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam bukunya, Seksualiti Dalam Novel Melayu (Penerbit UKM, 2011).

Kembali kepada penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati kesimpulan mereka sangat aneh, tidak masuk akal, bertentangan dengan tabiat semula jadi semua manusia. Jika anda masih ingat, waktu anda budak-budak lagi, ibu bapa anda telah bertanya anda akan jadi apa bila dewasa nanti; di sekolah pula guru anda akan bertanya tentang cita-cita anda; di pejabat, jika anda bekerja makan gaji, anda diberi tugas tertentu yang mesti dilaksanakan; jika anda bekerja sendiri, anda akan lebih tertumpu pada kejayaan yang akan anda capai, oleh itu anda mungkin bekerja lebih keras. Jika anda memandu, anda tahu ke mana anda hendak tuju. Anda mempunyai matlamat tertentu. Mungkin anda hendak ke suatu tempat untuk membeli pisang goreng kegemaran anda; mungkin anda hendak ke seminar peringkat kebangsaan tentang pendidikan sastera di sekolah-sekolah. Pendeknya, anda mempunyai matlamat. Katalah apa saja yang anda buat, pasti ada matlamat yang ingin dicapai. Tiba-tiba anda diberitahu oleh Panel Anugerah Sastera Negara matlamat itu tidak penting, tak perlu; tema pun tidak penting, tidak diperlukan; tidak ada tujuan apa-apa selain bercerita. Tidakkah bercerita itu sendiri pun satu matlamat juga? A. Samad Said sedar apa yang dibuatnya, maka itulah dia menegaskan dia ingin bercerita tentang seorang pelacur cantik yang laris di pasaran. Sekarang timbul persoalan: Mengapa Panel Anugerah Sastera Negara menafikan matlamat itu, yang menjadi tema Salina? Berapa ribu kali pun anda menggeleng kepala kehairanan, anda tidak akan mengerti mengapa Panel Anugerah Sastera Negara bertindak seperti itu. Di situlah kehebatan mereka, yang diterima bulat-bulat oleh para sarjana dan para sasterawan. Dan inilah warisan kritikan yang kita terima dan dipertahankan dengan gigih oleh kumpulan (atau gerombulan) tertentu di Malaysia.  Inilah kemuncak pandirisme!  Kerana begitu terikat kepada pandirisme, anda tidak peduli lagi kepada tujuan dan matlamat hidup anda untuk mencapai al-falah, yang anda dengar dilaungkan setiap waktu sembahyang. Tidakkah amat terkutuk apabila sasterawan tidak mempunyai matlamat dalam penulisan mereka? Jika ini bukan satu realiti, mereka sepatutnya sudah lama menolak laporan Panel Anugerah Sastera Negara kerana telah membuat kesimpulan yang salah dan tidak benar. Di manakah duduknya “nilai-nilai murni” yang digembar-gemburkan itu?

Hampir keseluruhan penilaian Panel menjadi keliru kerana kekeliruan mereka memahami konsep plot. Mereka pada umumnya bergantung seratus peratus kepada konsep plot untuk menilai novel dan cerita pendek yang mereka laporkan. Akibat ketergantungan mutlak kepada konsep plot yang keliru itu, maka mereka menilai karya kereatif dari satu jurus saja, iaitu dari aspek ceritanya. Inilah kelemahan mereka yang paling besar dan paling menonjol, yang membuat mereka tidak dapat membezakan sebuah karya picisan dengan karya yang bermutu. Dengan melihat sesuatu novel dan cerita pendek dari aspek cerita semata-mata, maka mereka tidak dapat menilai kekuatan pemikiran penulis novel, dengan itu mengabaikan aspek ilmu dan wacana dalam penilaian mereka.

Kita lihat bagaimana mereka menggunakan konsep plot dalam penilaian mereka terhadap novel Daerah Zeni. Dalam Laporan 1985 (hal. 17-18) mereka menulis: “Kisah dalam Daerah Zeni ini adalah kisah dalam kisah. ... Pada satu tahap cerita dalam novel ini merupakan cobekan-cobekan yang sengaja ‘dizigzagkan’. Plotnya tidak ada. Ruang masa tindih menindih dan berselang-seli. Urutan kisah secara tradisional tidak wujud. Novel ini bagaikan sekeping kertas besdar yang dikoyak-koyak menjadi kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.”

Apakah yang mahu diperkatakan oleh Panel dengan lukisan perbandingan sedemikian rupa? Mereka ingin menampilkan betapa hebatnya “plot” yang tidak berplot dalam novel itu; walaupun “plot” yang dikatakan tidak wujud itu ibarat kepingan kertas yang diterbangkan angin kencang, masih boleh dicantum dalam satu kesatuan yang memberi makna tertentu tentang kemanusiaan yang ingin dikemukakan oleh A. Samad Said.  Penggunaan perbandingan (atau kiasan) berlebihan dan tidak masuk akal seperti ini telah ditegur oleh Pendeta Za’ba sejak tahun 1934 lagi (lihat Ilmu Mengarang Melayu, versi Jawi, 1934, hal. 230). Kata Za’ba: “Jangan memakai bahasa kiasan yang terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya.  ... Jauhi memakai bahasa kiasan yang tiada bererti kepada pembaca atau pendengar kerana perbandingannya tiada pernah dilihat atau diketahui mereka. Begitu pula kiasan yang terpaksa dihuraikan terang-terang baharu orang mengerti.” Teguran dan kritikan ini masih berguna untuk menjadi panduan, terutama sekali hal ini berkait rapat dengan kemampuan kognitif pemakai bahasa kiasan.  Perbandingan yang digunakan oleh Panel tidak sekali-kali menjelaskan peranan plot dalam penulisan novel, selain kerana tidak logik dan tidak masuk akal, membandingkan “plot” dengan kertas besar yang dicobek-cobek kemudian diterbangkan ke angin kencang untuk dicantum kembali, hanya menyerlahkan kenaifan dan kedaifan intelektual dan lemahnya kemampuan kognitif Panel sendiri dalam memahami konsep plot dalam cereka.

Ada beberapsa kelemaan konsep plot yang perlu diberi perhatian. Pertama, plot bergantung pada cerita, tetapi tidak sebaliknya. Cerita dalam konteks plot ini dinilai daripada rentetan peristiwa, dengan itu idea dipinggirkan, dan ini memberi kesan kepada kontangnya “pemikiran” dalam novel yang bergantung pada plot semata-mata. Sebaliknya, jika cerita diletakkan dalam ruang naratif, dan penggunaan ruang itu ditentukan oleh wacana, maka cerita tidak lagi perlukan plot seperti dalam pengertian yang dipakai oleh Panel dan pengkritik sastera. Sebaliknya cerita akan ditentukan oleh kewarasan (rasionaliti) wacana yang berfungsi untuk mengolah pemikiran pengarang yang ditentukan oleh konsep ilmu yang benar; dengan itu realisme tidak lagi realisme semu, tetapi sebaliknya dilihat dalam konteks realisme hakiki berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Penjelasan kecil untuk memudahkan kefahaman perbincangan ini: Jika anda membaca novel seperti Kuala Lumpur Kita Punya atau TIVI, anda hanya melihat realiti semu tentang kejadian tertentu dalam masyarakat; tetapi anda tidak dapat melihat realiti hakiki kerana anda tidak melihat realisme itu dalam konteks taklif, padahal anda berbicara tentang manusia dan pengalamannya. Bagaimana anda boleh memisahkan realiti hakiki kehidupan manusia yang semuanya terikat kepada konsep taklif, dengan hanya membicarakan aspek luaran yang disebut realiti semu itu. Maksud realiti semu ialah realiti yang dipisahkan dari hakikat kejadian insan, dan hakikat kejadian insan itu  hanya boleh difahami dalam konteks hakikat ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Jika plot dilihat daripada perspektif ini, maka novel seperti Salina atau TIVI masih boleh ditulis, tetapi bentuknya akan berbeza sama sekali daripada bentuk yang ada sekarang, yang pada hakikatnya hanyut dalam cerita hanya untuk bercerita, bukan untuk menyerlahkan hakikat kejadian insan yang hanya dapat dihuraikan dengan menggunakan konsep ilmu yang benar.

 Panel silap besar apabila mereka berkata Daerah Zeni tidak berplot, kerana ini akan memberi makna bahawa novel itu tidak mempunyai cerita; padahal Panel sendiri mengaku novel itu meniru struktur cerita berbingkai. Di sinilah kekeliruan mereka, akibat ketergantungan kepada konsep plot yang tidak begitu difahami. Kelemahan ini hanya dapat dilihat jika digunakan konsep “ruang naratif” yang diperkenalkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa buah tulisan beliau. Sebuah cerita berada dalam satu ruang naratif yang ditentukan oleh pengarang bagaimana ruang itu akan dipergunakan: akan disumbat dengan segala macam peristiwa, atau diolah begitu rupa untuk mengejapkan tema yang dipilih dengan memberi isian yang diwacanakan dalam bentuk cerita yang diberi wajah intelektual melalui stylization of ideas.  Tidak tahu bagaimana mengurus ruang naratif  akan menghasilkan jenis novel yang ditulis oleh Azizi Abdullah, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain penulis popular Malaysia. Prof. Ungku Maimunah, dalam pembicaraannya tentang novel Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah, yang memenangi sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, menunjukkan bagaimana pengertian konsep plot yang keliru oleh sasterawan diterima oleh penilai sayembara, walaupun bertentangan dengan syarat yang diberikan oleh penganjur peraduan. (Lihat analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kertas kerjanya, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”.  Dibentang dalam Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII). UKM, Bangi 29-30 November 2011). Inilah kesimpulan beliau yang wajar diberi perhatian serius oleh penganjur sayembara, sarjana, dan pengkritik sastera: “Analisis di atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan novel Harga Sebuah Maruah. Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian. Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan  novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai. Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas penilian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.”

Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya tidak berbicara tentang laporan Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi tentang panel yang ditugaskan untuk memilih karya dalam sayembara anjuran DBP 2007. Tetapi alangkah tepatnya kesimpulan itu jika dikenakan kepada hasil laporan dan analisis Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Hal ini tidak menghairankan, kerana sebuah panel lain yang ditubuhkan oleh DBP yang menilai karya kritikan melakukan kerja selekeh yang sama, apabila buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid dinilai dari segi ukuran yang tidak kena-mengena dengan kandungan buku itu, tetapi dilihat dari perspektif yang tidak kena-mengena sama sekali dengan kandungan buku tersebut. Buku itu ditolak kerana pengarangnya tidak “diplomatik” dalam mengkritik sekumpulan sarjana yang berpura-pura tentang sastera Islam... (Sila rujuk dan baca Dewan Sastera, Disember 1994). Saya sendiri pernah menolak hadiah cerita pendek anjuran GAPENA apabila panel yang menilai karya tersebut terlalu naif dalam penilaian mereka. Akhirnya mereka memberikan hadiah yang saya tolak itu kepada Azizi Hj. Abdullah! Bagaimana anda mahu tafsirkan beberapa fakta menarik ini terserah kepada anda; tetapi dalam pemerhatian saya semuanya membuktikan betapa tepatnya bacaan saya tentang pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden.  (Sekadar perbandingan, sila rujuk laporan Shamsuddin Jaafar tentang nadwah sastera Islam, Dewan Sastera (Januari 1994),  untuk mendapat gambaran yang lebih positif dan objektif tentang buku itu. Shamsuddin Jaafar dalam laporannya membuat kesimpulan berikut: “... buku Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid banyak disebut di dalam nadwah itu sebagai model ...”  Berbeza dengan panel penilai yang dilantik oleh DBP untuk menilai buku tersebut, nampaknya peserta nadwah benar-benar mengamalkan “nilai-nilai murni” dalam perbincangan mereka!).

Konsep plot yang sudah lapok dan sudah menjadi klise dalam sastera Melayu, yang dipakai dan dijadikan ukuran utama sebuah cereka oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, sudah tumpul dan sudah habis gigi analisis yang seharusnya sentiasa tajam menggigit kepalsuan penilaian untuk memastikan hasil penilaian itu betul-betul mantap dan boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah.  Inilah kelemahan konsep plot yang kedua, yang wajar diberi perhatian terutama sekali oleh penulis. Dengan menggunakan konsep plot yang begitu lemah, kabur dan keliru, maka Panel tidak dapat membezakan sebuah karya picisan dan yang bukan picisan, dengan contoh terbaik ditunjukkan dalam penilaian mereka terhadap karya A. Samad Said.  Malah konsep picisan itu tidak ada dalam kamus mereka, kerana bagi mereka yang picisan dan bukan picisan adalah sama. Yang diperlukan, dan yang penting bagi mereka, hanya cerita, tidak kira bagaimana cerita itu dibina dan untuk tujuan apa. Kerana itulah mereka berkata cerita tidak mempunyai tujuan, kecuali untuk bercerita, dan itu bukan tujuannya (aneh bukan pendapat yang saling bertentangan begini, tetapi tidak dalam konteks Panel Anugerah Sastera Negara.) Inilah yang mereka tunjukkan dalam analisis dan penilaian mereka terhadap karya Samad Said, dan cerita pendek Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Mereka memuji karya itu dengan memberi pencirian yang begitu tinggi, dengan menganggapnya bersifat “filosofikal”. Mereka tidak dapat menjelaskan maksud mereka kerana yang mereka anggap sebagai “filosofikal” itu sama saja kedudukannya dan tarafnya dengan yang picisan. Jika anda membaca cerita pendek itu dengan kritis, anda akan dapati cerita pendek itu biasa saja, sebuah cerita pendek picisan yang tidak langsung mempunyai bibit-bibit pemikiran yang boleh dibahaskan. (Sila lihat penghujahan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan). Dalam konteks inilah kaedah bacaan yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah boleh membantu. Sebuah karya yang benar-benar mantap dan bermutu tinggi, mesti diuji dengan kayu ukur yang keras mengetuk kepalsuan yang terdapat di dalam karya itu; maka itulah Prof. Ungku Maimunah mengemukakan kaedah bacaan yang dinamakannya “mod bacaan intelektual”, berbanding dengan kaedah Panel yang dipanggil “mod bacaan cerita”. Hanya dengan menggunakan “mod bacaan intelektual” sahaja sesebuah karya itu dapat diukur dengan tepat, objektif dan benar-benar mantap. Bagaimana ini dilakukan dijelaskan oleh beliau dalam banyak tulisan beliau, antaranya yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Lihat di sana untuk mendapat penjelasan lanjut tentang cara bacaan yang dianjurkan oleh beliau, dengan contoh-contohnya sekali. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, menghuraikan dengan meyakinkan bagaimana novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, gagal diberi tafsiran yang sewajarnya, malah disalah tafsir, jika dipakai mod bacaan cerita seperti yang dilakukan oleh beberapa sarjana yang disebut oleh beliau dalam makalahnya. Kenyataan ini penting kerana sesiapa juga yang meragui kewajaran mod bacaan intelektual ini dalam penilaian sesebuah karya kreatif boleh mengemukakan hujah beliau untuk menolak mod bacaan intelektual itu tidak diperlukan dalam kritikan sastera di Malaysia. Jika inilah pendapat mereka (sebenarnya inilah pendapat mereka yang tidak dinyatakan dengan jelas kerana sebab-sebab yang mereka sendiri saja yang tahu), maka bagaimanakah mereka boleh membicarakan dengan meyakinkan kehadiran “ilmu dan pemikiran” dalam sesebuah karya kreatif? Jika mereka mempunyai tanggungjawab ilmiah, dan tanggungjawab akademik yang tidak boleh diragui, mereka harus menjelaskan perkara ini.  Sebaliknya, jika mereka menggunakan mod bacaan intelektual, mereka akan dapat melihat dengan jelas mana yang picisan dan mana pula yang betul-betul bermutu.  Inilah kelemahan paling menonjol dalam Laporan 2009 (dan yang lain-lain) yang meletakkan cerita pendek termaklum sebagai karya “filosofikal”, tetapi tidak berdaya menjelaskannya. Dengan menggunakan konsep ruang naratif, bukan plot dalam pengertian yang kabur dan keliru yang mereka tunjukkan, maka mereka dengan mudah dapat membezakan yang picisan dengan yang bermutu. Mereka harus memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan konsep picisan itu, yang boleh mereka dapat penjelasannya dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan.

Jika anda menggunakan konsep plot dalam pengertian yang kabur dan keliru seperti yang dipakai oleh Panel, anda tidak akan dapat melihat ketangkasan berfikir dan bercerita sekali gus seseorang pengarang.  Tetapi anda boleh melihatnya dengan jelas jika anda menggunakan konsep ruang naratif, kerana anda boleh melihat bagaimana seseorang pengarang menggunakan ruang naratif tadi dalam konteks stylization of ideas, bukan lagi dalam konteks susunan peristiwa seperti yang dilakukan sekarang dengan menggunakan konsep plot yang kabur dan mengelirukan itu.  Inilah aspek ketiga kelemahan konsep plot yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana, juga pengkritik sastera, dalam analisis mereka. Secara mudah, para sarjana berkata plot adalah rentetan peristiwa yang disusun dalam karya menurut urutan sebab akibat. Itu pengertian konsep plot yang paling mudah, tetapi dalam pelaksanaannya amat mengelirukan. Para pengarang berkata, mereka tidak perlu plot untuk bercerita, malah menurut mereka plot menyekat kebebasan mereka untuk bercerita secara spontan. Cerita, menurut mereka,  adalah seperti angin, tidak dapat dipaksa untuk menjadi taufan atau ribut petir. Tetapi itulah sebenarnya yang mereka lakukan setiap masa dalam tulisan mereka, kerana terdapat kesan lain yang ingin dicapai, iaitu apa yang mereka sebut sebagai unsur suspen, unsur-unsur yang mengejutkan, yang akan membuat cerita itu lebih menarik dan sedap dibaca. Semua ini dicapai, dalam praktik yang selalu mereka tonjolkan, dengan menambah bumbu yang dinamakan unsur sensasi. Unsur sensasi ini sering kali dikaitkan dengan unsur-unsur seks dan kekerasan. Unsur sensasi inilah yang menjadi trade mark karya Shahnon dan muridnya Azizi Hj. Abdullah. Unsur ini juga yang dipakai secara berlebihan oleh Fatimah Busu dalam novel-novelnya, terutamanya yang paling menonjol ialah dalam novel Salam Maria yang penuh sensasi itu. Semua aspek ini, jika anda analisis dengan cermat, membuktikan kegagalan plot untuk menyerlahkan aspek pemikiran melalui wacana yang dihujahkan dengan teliti dengan menggunakan cerita yang diberi kedudukan kedua, tetapi masih penting dalam pembinaan sesebuah karya kreatif. Kesatuan antara wacana dan cerita itu dicapai melalui stylization of ideas, bukan berasaskan suspen atau sensasi seperti yang menjadi kebiasaan para penulis Malaysia.  Jika anda masih ingat, Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mensensasikan konsep plot ketika membicarakan novel Daerah Zeni dan Langit Petang.

Itulah tiga kelemahan konsep plot yang kini masih dipertahankan oleh para penulis Malaysia kerana mereka terlalu bergantung pada teori dan pendekatan Barat. Kelemahan ini dipertahankan dengan gigih oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam kekeliruan mereka tentang makna dan maksud plot ini, dengan menegaskan bahawa aspek pemikiran dan ilmu tidak perlu dalam karya kreatif, kerana aspek itu menyekat kebebasan pengarang yang sepatutnya tidak mengarah karya mereka kepada matlamat tertentu atau tema tertentu. Jika anda faham huraian pandangan keliru dan cetek Panel Anugerah Sastera Negara tentang konsep plot, anda akan mengerti mengapa Panel menolak apa juga unsur yang dipanggil “nilai-nilai murni” itu kerana nilai-nilai itu memang tidak diperlukan dalam konsep plot yang mereka fahami. Sebaliknya, jika mereka menerima konsep ruang naratif dan bagaimana ruang naratif itu digunakan untuk dimuat dengan isian ilmu dan isian cerita dengan menggunakan stylization of ideas, kehadiran apa yang disebut sebagai “nilai-nilai murni” itu terjamin mengikut takrif bersandarkan konsep ilmu yang benar. Sekiranya anda tidak memahami analisis yang dikemukakan di sini, anda akan terus tidak mengerti mengapa laporan Panel ditulis seperti yang mereka lakukan, kerana itulah yang seharusnya terjadi dalam konteks kefahaman mereka yang keliru dan cetek terhadap konsep plot tadi.  Jika anda memahaminya, anda akan dapat memahami mengapa penilaian Panel perlu dinilai kembali. Hanya dengan berbuat begitu saja persuratan Melayu akan mendapat tempatnya yang hak dalam tamadun Malaysia yang memang dibina di atas prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai Islam, bukan nilai-nilai murni seperti yang difahami sekarang, yang mencampur-adukkan unsur mungkar dalam pengertian yang diberikan kepada konsep “nilai-nilai murni” yang kotor itu.

Jika kita perhatikan dengan kritis bagaimana para sasterawan ini membawa nilai-nilai palsu dalam masyarakat, dan diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai “kelainan” melalui eksperimen dalam penulisan, maka kita akan dapat melihat persamaan yang intim antara ahli politik dan para sasterawan. Dalam dunia politik, sudah banyak sekali perubahan dilakukan, yang kesemuanya mendapat sokongan dan dukungan media, terutama akhbar. Sekarang perbuatan fitnah-memfitnah tidak lagi dipandang jijik; malah sudah disempurnakan dengan amat baik dengan menggunakan teknologi moden. Misalnya, untuk membunuh karier politik seorang musuh politik, “orang-orang terhormat” dalam politik menggunakan fitnah sebagai wahana, dilakukan melalui pornografi yang ditayang dengan leluasa, hatta melalui RTM sekali pun. Inilah realiti, kata mereka. Inilah wajah ahli politik yang menipu rakyat, yang rendah moralnya dan dengan itu tidak layak menjadi atau dijadikan pemimpin/ketua. Perhatikan bagaimana perbuatan jahat memfitnah dan menuduh tanpa bukti diterima oleh sebahagian masyarakat, diasak beribu kali sehari kepada perhatian masyarakat, lalu dijadikan hujah bahawa orang yang dituduh tidak mahu bersumpah di dalam masjid, dengan itu membuktikan dia bersalah. Perhatikan, bagaimana “sumpah” dalam konteks fitnah itu dijadikan hujah untuk membenarkan pembohongan, walaupun mereka tahu “sumpah” seperti yang mereka lakukan untuk membuktikan kebenaran fitnah mereka adalah bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang mereka gembar-gemburkan merekalah yang memperjuangkannya. Dengan itu pembohongan, fitnah, umpatan, tuduhan palsu, gosip, diangkat menjadi “nilai murni” yang amat kotor dalam perkembangan nilai-nilai baru di kalangan orang politik ini.  Akhbar memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk dan memperkenalkan nilai-nilai pembohongan ini, dengan menerbitkan setiap minggu lampiran dalam akhbar yang khusus untuk melemparkan pelbagai jenis gosip yang amat digemari pembaca. Sekarang kita mempunyai wartawan khusus untuk itu, iaitu wartawan gosip. Kerjanya ialah memburukkan orang, menulis tentang perkara-perkara yang tidak ada bukti, tetapi cukup menarik kepada pembaca yang memang meminati kejahatan yang digosipkan itu.  Jika anda perhatikan pula penampilan nilai-nilai palsu di kalangan para sasterawan, anda akan dapati satu perkembangan yang selari dengan apa yang berlaku di kalangan ahli politik itu. Melalui laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati “nilai-nilai murni” yang kotor ini dijadikan asas eskperimen dalam penulisan kreatif, diberi kedudukan terhormat dan digalakkan. (Periksa dengan teliti Laporan 1985 dan Laporan 2009). Perbahasan tentang aspek ini sudah saya lakukan dalam banyak tulisan saya, yang boleh dirujuk dengan mudah, termasuk yang terdapat dalam blog ini. Oleh itu sebelum anda terjebak sama dalam pembohongan ini, anda harus meneliti tulisan saya terlebih dahulu dan memeriksa dengan teliti segala hujah dan bukti yang saya kemukakan. Anda boleh membacanya dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis.

Sekarang apa yang disebut “nilai murni” itu telah dilacurkan untuk kepentingan puak atau peribadi. Ambil contoh pemberian wang kepada rakyat.  Mengapa perbuatan ini dipestakan begitu rupa? Tujuannya supaya rakyat anggap kerajaan adalah pembela rakyat. Itulah tujuannya. Itu sebabnya dilakukan pada waktu ini, dengan segala riuh rendah dan pesta para pemimpin UMNO menabur wang di sana sini. Mahu menang pilihan raya, mahu berkuasa lagi hingga kiamat. Jadi perbuatan yang asalnya baik, terpuji, iaitu menderma dan memberi sedekah, menjadi satu perbuatan keji dan kotor kerana pelakunya mempunyai niat tertentu yang tidak ada sangkut paut dengan kebaikan menderma itu. Inilah antara contoh bagaimana “nilai murni” menjadi amat kotor dan menjijikkan apabila dilakukan seperti yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan pada waktu ini.  Kebalikan daripada perbuatan keji ini ialah sikap negatif terhadap ilmu, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka selama lebih dari 30 tahun ini.  Mereka mungkin tidak mempunyai apa-apa agenda besar seperti ahli politik, kecuali untuk membina mitos di sekitar para sasterawan negara yang mereka pilih. Secara tidak sedar, mereka telah mengetengahkan pandirisme sebagai nilai baru dalam kesusasteraan Melayu moden, yang mereka anggap sebagai “nilai murni” dalam kritikan sastera. Sikap tidak kritis  terhadap karya yang mereka nilai memberi gambaran yang keliru terhadap kedudukan karya itu, lebih-lebih lagi apabila digunakan ukuran yang saling bertentangan (rujuk Laporan 1985 yang menolak adanya tema tertentu dan matlamat dalam Salina, tetapi pada waktu yang sama mengakui memang terdapat tema tertentu, hal. 13). Kekeliruan begini tidak seharusnya ada dalam laporan sepenting itu; tetapi inilah akibat budaya pandirisme yang menjadi landasan analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam konteks ini kedudukan mereka sama saja dengan ahli politik yang menjadikan pembohongan dan penipuan sebagai strategi untuk mendapat kemenangan; manakala Panel pula menggunakan kontradiksi, pandirisme dan kekeliruan dalam falsafah nilai untuk membina mitos di sekitar para sasterawan negara. Akibatnya, penilaian mereka yang rapuh dan keliru itu dipaksakan untuk diterima, dijadikan ukuran muktamad, dengan itu dinafikan sebarang usaha untuk menilai kembali para sasterawan negara dan laporan Panel itu sendiri.  Tidakkah ini bertentangan dengan “nilai murni cintakan ilmu dan kebenaran” yang dituntut oleh tamadun manusia beriman di negara kita? Bagaimana kita boleh menerima “nilai murni yang kotor” yang diamalkan sekarang sebagai asas sebarang penilaian? Sudah nyata betapa kita harus membina kembali tamadun kita berteraskan konsep ilmu yang benar. Itulah kemuncak nilai murni yang harus kita perjuangkan dalam pembinaan tamadun negara kita.

Konsep nilai murni ini perlukan asas epistemologi yang serasi dengan nilai-nilai Islam yang dianuti oleh orang Islam. Asas itu tidak ada di kalangan para sasterawan, tidak juga nampak di kalangan anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Jika kita meneliti teori dan pendekatan Barat yang diguna dan dipromosi oleh para sarjana kita sendiri, kita pun tidak bertemu dengan persoalan nilai-nilai murni ini. Masuknya nilai-nilai murni dalam penilaian sastera hanya terjadi apabila kerajaan ingin mempropagandakan konsep pembangunan material mereka, yang tidak diimbangi dengan “pembangunan kerohanian” seperti yang difahami dalam Islam. Oleh hal yang demikian, apa yang disebut dan dianggap sebagai “nilai-nilai murni” itu lebih mengusutkan lagi persoalan kerana memang tidak terdapat dalam karya sastera. Lagi pula, Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menolak “nilai-nilai murni” untuk dijadikan ukuran dalam menentukan bernilai tidaknya karya para sasterawan negara yang mereka pilih. Bagi mereka, yang peting ialah pembaharuan, dan ini dikaitkan dengan apa juga bentuk eksperimen dalam penulisan kreatif. Dalam konteks inilah Panel Anugerah Sastera Negara (Laporan 2009) memuji “eksperimen” Anwar Ridhwan dalam cerita pendeknya yang kemudian dijadikan tajuk kumpulan Abad 20 terbitan DBP, iaitu “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”.  Cerita pendek itu diangkat setingkat lagi dengan memberinya tafsiran “simbolisme”, dengan ulasan berikut: “Cubaan bereksperimen ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata.  Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan filosofikal. ... ”

Apakah yang ‘filosofikal’ itu?  Panel tidak menjelaskannya kerana memang tidak ada apa-apa yang dapat dikatakan bersifat ‘filosofikal’ dalam cerita pendek yang biasa saja itu; kecuali jika yang dimaksudkan dengan ‘filosofikal’ itu ialah kehidupan berzina dan minum arak. Jika itulah maksud Panel, apakah yang ‘filosofikal’ tentang zina dan tabiat mabuk itu? Sebenarnya inilah ciri penting dalam laporan yang disediakan oleh Panel (baca semula laporan tentang A. Samad Said).  Panel tidak berminat, atau tidak berusaha untuk memberikan penjelasan di mana diperlukan penjelasan. Ini  terjadi  kerana Panel tidak jelas (malah lebih tepat tidak ada) falsafah nilai (axiologi) yang menjadi pegangan mereka; kerana mereka keliru dalam memahami aspek epistemologi dalam kritikan sastera, sama ada yang dicedok dari Barat atau yang difahami mereka daripada epistemologi Islam. Ringkasnya,  analisis dan kesimpulan yang mereka ajukan tidak akademik, tidak berasaskan konsep ilmu yang jelas. Hal ini menimbulkan keanehan yang luar biasa jika kita terima mereka sebagai pakar dan ahli akademik dalam bidang sastera. Keanehan itu ialah mereka tenggelam dalam dunia “common sense” mereka sendiri, dengan itu analisis dan penilaian mereka amat longgar, malah dari segi akademik tidak bertanggungjawab.  Mereka memuji dan menyanjung realisme dalam karya para sasterawan; tetapi mereka sendiri tidak realistik dalam analisis dan penilaian mereka.  Tidak ada “realisme ilmiah” yang diperlukan dalam analisis dan penilaian mereka: semuanya bertenggek di atas pentas “common sense” yang sudah lapok dan bobrok, yang runtuh dengan hanya sedikit jentikan, belum lagi digoncang dengan kuat dalam hujah yang mencabar kewibawaan mereka. Inilah kedudukan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara dalam bidang kritikan sastera Melayu moden.  Selama lebih dari 30 tahun kita telah tertipu. Adakah ini sebahagian daripada “nilai-nilai murni” yang ditekankan oleh para sasterawan itu?  Jika anda bandingkan perbuatan ini dengan perbuatan ahli politik tadi, anda akan dapati banyak sekali persamaannya. Sesuatu yang buruk, diberi sanjungan dan pujian oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan itu pembaca tidak dapat melihat lagi batas-batas sempadan antara yang baik dengan yang buruk tadi. Mereka menjadi amat keliru untuk membezakan “nilai murni” kerana konsep itu telah dikotorkan dengan memberinya ciri terpuji dalam konteks “pembaharuan” yang dikaitkan dengan eksperimen. Oleh itu perbuatan zina dan segala maksiat besar yang lain, yang menjadi tema cerpen, diberi pujian atas nama “pembaharuan” dan eksperimen, padahal kedua-duanya tidak bermakna sama sekali jika dilihat dalam konteks “nilai murni”; kecuali dalam konteks “nilai murni yang telah dikotorkan” dengan memberinya ciri “pembaharuan” dalam eksperimen kreatif. Lihat betapa karutnya hujah Panel Anugerah Sastera Negara ini jika dianalisis dan ditafsirkan dengan kritis berasaskan kefahaman yang mendalam dalam konsep ilmu yang benar. Berdasarkan analisis ini (secara ringkas saja), benarkah “nilai murni” itu wujud dalam karya sastera, terutama dalam karya para sasterawan negara, dan dicerminkan dalam analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara?

Jika anda berminat hendak menjawab soalan ini, anda harus menjelaskan tiga perkara: (1) sejauh mana karya para sasterawan negara mencerminkan nilai-nilai murni yang betul-betul murni? (2) Panel Anugerah Sastera Negara menolak, melalui laporan mereka, nilai-nilai murni sebagai ukuran yang menentukan bernilai tidaknya karya para sasterawan negara: Adakah ini mencacatkan penilaian mereka atau pada hakikatnya itulah realiti mutu karya para sasterawan negara ini?  (3)  Jawapan kepada dua soalan di atas sangat penting kerana dari situ kita akan dapat menentukan kedudukan sebenar sasterawan negara, dan pada masa yang sama kita juga dapat melihat sejauh mana tepatnya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Sekarang kita sampai kepada soalan yang paling penting: Adakah penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sudah muktamad, tidak boleh diusik lagi? Jika jawabnya tidak, adakah perlu kita nilai semula para sasterawan negara ini dengan melihat kemampuan mereka sebagai pemikir dan juga sebagai pencipta karya yang sedar tentang aspek pemikiran dalam kesusasteraan? Dari situlah baru kita dapat menentukan apakah nilai-nilai murni yang mendominasi karya mereka. Jika anda berpendapat semua ini tidak penting, membuang masa, maka anda telah meremehkan para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang telah memilih mereka. Nampaknya inilah yang terjadi, jika anda faham maksud saya. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan
2/5/2012