Musibah dan
kecelakaan paling besar yang dihadapi sastera Melayu ialah apabila muncul the
poetics of adultery yang diterima oleh para sarjana sebagai satu
perubahan penting dalam penyelidikan sastera dan dalam kritikan sastera. Pada
waktu inilah Hikayat Salim Adil
muncul untuk mencabar kejahatan intelektual dalam sastera Melayu yang dibawa
oleh seorang sarjana yang memperkenalkan the poetics
of adultery itu. Penulis buku the
poetics of adultery ini menolak konsep ilmu dalam al-Quran, sebaliknya
menerima “teori” feminisme Elaine Showalter yang beliau namakan
ginokritik. Akibatnya karya sastera
yang langsung tidak ada kualiti pemikirannya diangkat sebagai karya yang
bermutu yang telah memperkenalkan perubahan yang amat penting dalam penulisan
kreatif, dipelopori oleh Ayu Utami.
Adakah karya perempuan muda Indonesia ini bermutu dari segi pemikiran
dan pengolahan tema yang benar-benar mencabar daya intelek pembaca? Tidak. Buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik,
adalah sebuah karya picisan yang sama sekali tidak ada kualiti akademiknya.
Beberapa entri blog ini telah mengupas persoalan ini. Yang terserlah ialah sikap berani penulis
buku ini menolak wahyu sebagai sumber ilmu, dengan itu beliau tidak ada kemampuan untuk membezakan perbuatan mungkar dengan makruf. Perzinaan
yang diceritakan dalam novel-novel yang dipilihnya dijadikan asas the
ethics of adultery itu. Inilah yang dijadikannya sumber kajiannya,
kerana menurutnya karya-karya picisan dan lucah itu mengandungi pemikiran yang
mendalam dari segi feminisme berasaskan konsep ginokritik itu. Sedikit catatan telah saya masukkan dalam Hikayat Salim Adil, hal. 57-58.
Apakah yang
dimaksudkan dengan karya intelektual, atau sering juga di sebut sebagai karya
pemikiran? Saya cuba mencari jawapannya
dalam timbunan karya para sasterawan negara, atau dalam longgokan kertas kerja yang membicarakan
“pemikiran” para sasterawan negara. Tidak bertemu. Yang dapat kita lihat di
situ ialah penggunaan pelbagai “pendekatan” kritikan Barat yang digunakan untuk
memuji karya para sasterawan negara. Tidak sebuah pun dari jumlah kertas kerja
yang besar bilangannya itu terdapat satu analisis yang kritis dan kreatif
membicarakan sumbangan para sasterawan negara ini dari segi “pemikiran”. Oleh itu, apakah jenis “pemikiran” yang
dilontarkan oleh para penulis kertas kerja ini? Hanya ocehan, atau idle talk, yang bersifat bullshit, atau hogwash, yang semuanya ditulis dalam kerangka pandirisme. Dewan Bahasa dan Pustaka yang kaya dengan
peruntukan untuk memajukan sastera tidak berusaha menerbitkan edited version semua kertas kerja ini,
atau sekumpulan pilihan yang disunting secara akademik. Kita sudah mempunyai beratus profesor
sastera; tidakkah salah seorang dari mereka boleh membuat kerja penyuntingan
itu? Jika mereka perlu wang, atau upah, beri mereka tiga ratus atau hingga
500,000 untuk menghasilkan kumpulan tulisan itu untuk dikerjakan seorang atau
beberapa orang yang boleh dibayar daripada jumlah wang yang besar itu. Sudah acap kali saya membuat cadangan dalam
blog ini supaya karya para sasterawan negara ini dinilai sehabis kritis,
sebaik-baiknya dari perspektif ilmu.
Tidak munasabah jika tiada seorang pun para sarjana yang ramai itu boleh
mengerjakan projek ini. DBP mesti rajin menghubungi mereka dengan mengemukakan
kertas cadangan yang jelas untuk mereka pertimbangkan. Jika dipersetujui, lebih
bagus jika dikumpul beberapa orang sarjana dalam satu pertemuan untuk memberi
cadangan mereka, supaya projek ini benar-benar mencapai kualiti yang kita
harapkan. Perkara yang sama boleh juga
dikerjakan oleh ITBM, jika DBP tidak berminat. Tentulah sangat berguna jika
kita dapat pandangan yang betul-betul kritis, yang mengarah kepada penerokaan
keistimewaan para sasterawan negara ini daripada perspektif ilmu. Kertas kerja
seminar tentang mereka tidak berapa berkualiti jika dinilai dari segi akademik.
Pendekatannya terlalu bersifat popular dan hanya ingin memuji. Dengan
kemunculan Hikayat Salim Adil,
penerokaan yang dimaksudkan itu menjadi lebih mudah kerana sudah ada ukuran
yang boleh dipakai dan dijadikan perbandingan. Saya harap ada pihak yang
berminat dalam projek penting ini, demi untuk kebaikan sastera Melayu dan untuk
para sasterawan negara juga.
Dengan
terbitnya Hikayat Salim Adil,
perkembangan penulisan kreatif di Malaysia memulai zaman baru yang mencabar
para penulis dan para sasterawan untuk menghasilkan karya yang benar-benar
bermutu, yang boleh menandingi Hikayat
Salim Adil dari segi pemikiran dan
pengolahan persoalan semasa. Hikayat
Salim Adil kini menjadi batu
tanda dari segi kualiti pemikiran dalam karya kreatif yang berbentuk cerita. Pada waktu ini amat kurang para sarjana yang
boleh membicarakan masalah pemikiran dalam karya kreatif, oleh itu sukar untuk
mendapat pandangan kritis daripada para sarjana sastera atau pengkritik sastera
yang boleh membicarakan Hikayat Salim
Adil dengan jujur dan objektif.
Terlalu jelas betapa lemahnya kualiti kesarjanaan mereka ini yang tidak
berupaya memberi sumbangan idea apabila sesuatu karya baru yang mencabar
diterbitkan, seperti Hikayat Salim Adil
ini. Oleh sebab mereka ini dari segi
majoritinya berada dalam Mutual Admiration Club, maka penulis yang mereka
anggap tidak layak berada dalam kelab mereka tidak layak pula karya mereka
dipilih untuk dibicarakan, walaupun karya yang berada di luar lingkungan Mutual
Admiration Club itu jauh lebih bermutu dan lebih baik daripada sebarang karya
yang ditulis oleh anggota Mutual Admiration Club ini. Anggota kumpulan ini lebih berminat untuk
melindungi habuan yang mereka perolehi sebagai anggota Mutual Admiration Club,
dengan itu mereka menolak dan menyisihkan sesiapa juga yang mereka anggap bukan
anggota mereka. Mereka berusaha gigih
untuk mengekalkan kedudukan ini, bukan mengembangkan budaya ilmu yang sah dalam
perkembangan intelektual Malaysia. (Catatan: anda perlu baca entri bertarikh 22
November 2017; 1 Disember 2017; 2 Dsember 2017; 6 Disember 2017 dan beberapa
entri lagi selepasnya.)
Sumbangan
penting, dan paling utama, yang diberikan oleh Hikayat Salim Adil ialah dari segi sumber ilmu berasaskan al-Quran,
yang menjadi tunjang karya ini yang dengan itu karya ini termasuk sebuah karya
moden persuratan Melayu. Ini memberi
takrif baru dan teknik baru dalam penulisan naratif di Malaysia, barangkali
juga di dunia. Hikayat Salim Adil
menyerap cerita (naratif) dan kritikan (literary
criticism) dalam satu acuan yang
unik, menggunakan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif, yang
belum pernah dicuba oleh mana-mana pengarang dunia. Dilihat dari segi ini pun
para sarjana Malaysia sepatutnya berminat untuk menganalisis dan mengkritik
karya ini agar lebih terdedah kepada analisis yang seratus peratus berasaskan
pemikiran yang bersumber daripada konsep ilmu yang benar. Anda tidak lagi boleh
menolak hakikat ini, kerana kini sudah tercokol karya yang mencabar kemampuan
intelektual dan kemampuan akademik anda untuk dikritik dan dinilai dengan
objektif, sesuai dengan kedudukan anda sebagai para sarjana sastera yang
berwibawa dan mempunyai kedudukan akademik yang berprestij pula. Apakah yang menghalang anda daripada muncul
dengan gagah membicarakan perspektif baru dalam perkembangan sastera Malaysia? Mahu tidak mahu, anda tiada pilihan,
melainkan menerima kehadiran Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif kepada
konsep sastera yang sudah kehilangan taring dan tidak relevan lagi dengan
perkembangan ilmu di Malaysia sekarang.
Peranan PB sebagai alternatif sudah dibincangkan dengan amat jelas oleh
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani
dalam tulisan dan analisis mereka; juga dalam tulisan Dr. Zulkarnain Muhammad. Prof. Emeritus Muhammad Bukhari Lubis dalam
syarahan perdana beliau memberi ruang yang agak panjang kepada perkembangan
baru ini. (Rujuk syarahan perdana beliau, Kesusasteraan
Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir, diberikan di UPSI pada
2 Mei 2017.) Di bawah tajuk “Fikrah Mohd.
Affandi Hasaan” (hal.15-18), beliau membicarakan beberapa aspek Gagasan Persuratan Baru, yang
ditakuti oleh para sarjana sastera itu.
Perkembangan
terbaru ini memberi kedudukan yang kukuh kepada konsep ilmu yang benar dalam
persuratan Melayu, dengan itu meletakkan konsep sastera di tahap kedua sebagai
konsep yang tidak lagi relevan dengan
perkembangan terbaru ini. Inilah konteks
yang melahirkan Hikayat Salim Adil. Para sarjana dan sasterawan mahu tidak mahu
terpaksa menerima perkembangan terbaru ini dan perubahan kedudukan sastera
dalam perkembangan intelektual Malaysia.
Cabaran ini cukup besar untuk dinyahkan begitu saja. Cabaran ini mesti
dihadapi, kerana itulah yang terjadi di Barat sekalipun apabila sesuatu teori
dicabar dan yang tercabar, seperti New Criticism
akan terkeluar dari kedudukannya walaupun masih terpakai untuk maksud
tertentu yang akan ditentukan oleh para sarjana sendiri. Tidak patut sarjana dan sasterawan Malaysia
sampai lari masuk tandas tergesa-gesa kerana ketakutan apabila PB meletakkan
sastera di tingkat kedua dalam perubahan paradigma yang memang amat dikecohkan
oleh para sarjana dan sasterawan satu ketika dahulu, yang tidak berapa lama
sebenarnya. Lagi pula, Panel Anugerah Sastera Negara memang meneriakkan dengan
lantang betapa perlunya perubahan dan pembaharuan dikemukakan oleh para
sasterawan dan juga para sarjana. Bacalah laporan mereka, jika anda ragu-ragu.
Walaupun
kita tahu pengaruh Mutual Admiration Club sangat kuat dalam sastera Malaysia,
namun tidak semua penulis menjadi anggota badan tidak berdaftar yang amat
berpengaruh ini. Kedudukan Mutual
Admiration Club dalam sastera Malaysia merupakan satu kecelakaan (bahasa
Inggeris, a disaster) dalam perkembangan intelektual. Dari segi
makna dan matlamat kumpulan ini, kemunculan mereka sejak 1973 (dikesan oleh
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh) hanya untuk menjaga kepentingan suku
sakat mereka, bukan kepentingan sastera.
Pelantikan para sasterawan negara adalah pelantikan daripada kumpulan
mereka sendiri. Bukti yang paling jelas ialah pemilihan Baha Zain yang lama
tertunda, kemudiannya dilantik setelah tiada lagi calon yang layak, sehingga
ditegur oleh Shahnon Ahmad bahawa Baha Zain tidak melahirkan karya yang melayakkannya
dijadikan sasterawan negara. Kalau betul
tuduhan yang serius ini, bagaimana dengan tiba-tiba beliau menjadi sasterawan
negara? Jawapannya mudah. Itulah bukti
kekuatan Mutual Admiration Club. Sahabat karib tokoh ini menggesa pengkritik
sastera Malaysia mencontohi tokoh kecil ini dalam menulis kritikan. Yang menjadi masalah, beliau tidak
menghasilkan buku yang berkualiti, hanya tulisan eceran yang bersifat popular.
Beliau tidak mempunyai kaedah tertentu dan tidak juga falsafah (?) kritikan
yang hebat. Apabila saya mencabar dua orang tokoh ini belajar dari Gagasan
Persuratan Baru, mereka berdua terus menikus. Sepatutnya mereka bangkit dengan
gagah perkasa menolak PB berterus terang berasaskan hujah dan bukti yang jelas.
Inilah sandiwara anggota Mutual Admiration Club ini, sehingga tidak puas dengan
cerita lucu ini, salah seorang dari mereka naik ke bumbung kilang berkarat
untuk mencari ilham untuk menulis kertas kerja dalam satu seminar besar 2014;
tetapi hasilnya? Semua orang tahu!
Membaca
dengan kritis Hikayat Salim Adil, boleh
membantu anda memahami PB dengan lebih mudah.
Saya akan membicarakan beberapa tajuk yang mungkin boleh membantu anda
mengenal PB lebih dekat dan bagaimana prinsip-prinsip yang terdapat dalam PB dipakai
untuk menulis karya cereka yang memberi tumpuan kepada pemikiran. Di kalangan para sasterawan, yang dimaksudkan
dengan pemikiran itu hanyalah campakkan (lontaran) nasihat atau kutipan dari
al-Quran atau hadis atau daripada kutipan kata-kata tokoh terkenal. Itu bukan
pemikiran. Yang kita maksudkan dengan pemikiran itu ialah yang terdapat dalam Hikayat Salim Adil dan Hikayat Buyung Lurus.
Cara mengadunnya dijelaskan dalam perbincangan yang terdapat dalam Balai Maqamat. Tiga buah karya ini perlu dibaca bersama
untuk dapat melihat bagaimana “pemikiran” dijelmakan dalam karya kreatif
mengikut acuan Gagasan Persuratan Baru. Balai Maqamat sebenarnya memberi ulasan
selari kepada setiap karya yang dimuat dalam buku itu. Jika anda ikuti perbincangan “pengarang”
dengan sahabatnya anda akan mendapat beberapa idea mengenai penulisan kreatif
berasaskan PB. Dua buah hikayat di atas
menunjukkan bagaimana ini dapat dilakukan.
Bagaimana
“pemikiran” dijelmakan secara kreatif
mengikut acuan Persuratan Baru? Saya akan bincang secara ringkas dalam
tulisan ini. Perbincangan yang lebih menyeluruh sudah diberikan dalam buku-buku
mengenai PB, antaranya Gagasan Persuratan
Baru, edisi ke-2 (UKM 2014). Anda boleh rujuk di sana untuk mendapat
penjelasan lanjut. Di sini saya akan
memberi beberapa petunjuk yang boleh digunakan untuk memahami persoalan
ini.
Pertama
sekali, PB membezakan antara peranan wacana dan cerita. Yang utama adalah wacana
yang menjadi wahana kepada pemikiran, yang disampaikan melalui bantuan
cerita. Oleh itu cerita berada di tempat kedua, menerima arahan dari wacana
dalam membina karya kreatif yang mengutamakan ilmu. Ini dilakukan melalui
penggunaan ruang naratif yang dibina
sesuai dengan matlamat karya itu sendiri. Maksudnya, ruang naratif memberi
fokus kepada persoalan utama. Misalnya, anda mahu bercerita tentang peranan
riba dalam perbankan: sejauh mana riba itu memainkan peranan dalam perkembangan
ekonomi, dan melihat bagaimana sistem kewangan Islam dibina atau diwujudkan.
Kita sampai kepada masalah Baitul Mal. Apakah peranan Baitul Mal dalam sistem
kewangan Islam dan bagaimana ini boleh diwujudkan dalam sistem ekonomi modern
yang berasaskan kapitalisme? Ini persoalan besar yang belum lagi dibicarakan
secara kreatif dalam sebuah novel. Sesiapa yang berminat dan tahu selok-belok
sistem ekonomi moden dan tahu pula konsep ekonomi Islam, boleh membantu
masyarakat menulis sebuah karya ilmu berasaskan persoalan ini. Jika anda mahu
menulisnya, maka persoalan yang amat sukar ialah menampilkan watak yang berilmu dalam konteks ekonomi
moden dan ekonomi Islam. Inilah orangnya
yang akan menjadi pembicara persoalan ini.
Pemilihan watak ini sangat penting kerana adanya konsep uswatun hasanah yang akan menjadi fokus
kepada perilaku watak tadi. Bagaimana
ini boleh dilakukan tergantung kepada kemampuan bahasa anda, kerana di sini
anda akan terikat kepada konsep keindahan
bahasa berasaskan konsep ihsan. Retorik yang akan anda pakai dalam membina
sebuah cerita yang menarik tergantung kepada kefahaman anda tentang konsep
keindahan berasaskan ihsan tadi. Semua ini mesti dipelajari dan difahami dengan
mendalam jika anda mahu menulis sebuah karya persuratan. Itulah saja beberapa
imbasan awal yang boleh anda fikirkan. Yang lebih terperinci terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua;
termasuk konsep stylization of ideas
yang penting itu.
Adakah Hikayat Salim Adil memenuhi ciri-ciri
ini? Sekarang tugas anda menentukannya dengan pertimbangan paling kritis yang
anda boleh lakukan sebagai seorang pembaca yang berilmu. Bagi saya, inilah persoalan yang menakutkan
para sarjana, kerana itulah mereka menyisihkan diri dari membicarakan karya
kreatif dengan menggunakan pendekatan PB.
Inilah kelemahan para sarjana sastera Malaysia yang amat mereka
banggakan, kerana dengan adanya kelemahan ini mereka dengan senang hati
memisahkan diri dari memanahi PB. Satu keputusan paling bodoh yang boleh
dilakukan oleh kumpulan yang berkecimpung dalam dunia akademik. Inilah cabaran Hikayat Salim Adil yang ditujukan kepada mereka.
Mohd.
Affandi Hassan,
24 Februari
2018.