Penerimaan
terhadap PB agak lembab, seolah-olah ada usaha terancang hendak memburukkan PB
dan pencetusnya. Kalau betul, ini bukan
cerita baru. Dalam sastera dunia perkara begini memang biasa berlaku, misalnya
antara Sartre dan seorang temannya (lebih tepat pengikutnya) yang kemudiannya
menjadi musuh ketatnya. Komen Sartre pun kesat. Siapa yang seorang lagi? Sudah
diberi Nobel Prize pada usia 44 tahun, lebih awal daripada yang diberikan
kepada Sartre dan ditolaknya. Jadi kalau
sikap hostile itu betul ada di
kalangan sasterawan dan sarjana, sudah semestinya begitu. Tak dapat tanduk
telinga dipulas, kata orang Melayu yang cerdik zaman dulu-dulu. Adakah yang menentang PB menghadapi masalah
rendah diri, atau tinggi diri? Bagus juga jika ada sesiapa yang dapat memberi
penjelasan tentang inferiority complex
dan superiority complex di kalangan sasterawan dan sarjana ini. Mana
satu yang lebih ketara? Agak anda, dari
gelagat mereka, mana satu yang lebih menonjol? Saya ada jawapannya yang agak
lucu, tetapi bagi saya tepat mencirikan dua golongan yang sebenarnya satu ini.
Lain kali saja saya akan bincang.
Gagasan
Persuratan Baru memberi peluang kepada penulis Melayu menyerlahkan kemampuan
intelek dan kreatifnya, bukan perkara baru dan tidak pula sukar untuk difahami
dan dipraktikkan bagi yang mempunyai kelebihan itu. Oleh itu, tidak ada alasan untuk
memburukkannya. Barangkali yang patut
difikirkan ialah apakah alternatif lain yang lebih baik daripada PB. Jika
memang tidak ada, sekurang-kurangnya pada waktu ini, maka pilihan terbaik ialah
Gagasan Persuratan Baru. Yang menjadi
masalah bukan PB, tetapi orang yang tidak pun tahu tentangnya pandai-pandai
bersikap memandai-memandai. Saya kira
semua sikap panda-pandai memandai-mandai ini terjadi kerana ada orang sangat
kecewa penilaian terhadap para sasterawan negara dicabar dengan hujah dan pembuktian yang
objektif berasaskan pendekatan PB. Ini
pun sebenarnya bukan masalah, kerana setiap cabaran mesti disambut dengan
tenang dan ditangkis dengan hujah-hujah yang lebih gagah. Penyelesaiannya semudah itu, tetapi nampaknya
amat sukar dilakukan kerana mereka ini berada dalam tempurung ilmu yang cetek
meraba-raba. Ini pun sebenarnya amat
mudah diselesaikan: perlengkapkanlah diri anda
dengan ilmu. Rujukan sudah banyak
diterbitkan, antaranya buku-buku mengenai PB yang senang didapati dan senang
pula membacanya. Kalau anda tidak mahu membacanya, dengan alasan apa sekalipun,
anda boleh mendapat alternatif lain.
Saya hanya ingin sebut satu contoh yang senang anda dapat. Baca karya
Thomas Mann, antaranya empat buah novelnya mengenai Nabi Yusuf (dari perspektif
Barat, bukan perspektif Islam). Judulnya:
Joseph and His Brothers
(1934), The Young Joseph (1935), Joseph
in Egypt (1936), Joseph the Provider (1944). Melihat nama
pengarang besar Abad 20 ini tak pernah disebut oleh mana-mana sasterawan dan
sarjana sastera, saya kira mereka tidak pernah dengar namanya!
Di Malaysia
cerita Nabi Yusuf ‘a.s. dijadikan dagangan sastera untuk mendapat wang sambil
mengelirukan penulis dan pembaca. Puak
inilah antara yang menentang hebat PB dan tidak menerima konsep ilmu yang benar
sebagai asas penulisan kreatif. Seperti biasa, mereka tidak memberikan hujah
kepada penolakan mereka. Dalam konteks
inilah saya pernah mencadangkan kepada mereka supaya membaca dengan kritis dan
kreatif buku Prof. Matthew L. N. Wilkinson (seorang Islam): A Fresh Look at Islam in a Multi-Faith
World: A Philosophy for success through
education (Routledge, 2105).
Perhatikan terutamanya peringatan beliau di halaman 44: “The phrase used
to characterised believers, ‘Those who believe and do right acts” (Qur’an 2-82-83).
… That is to say, belief and right action in the Qur’an exist in a relationship
of essential mutual interdependence.”
Itulah antara lain makna ilmu yang benar secara mudah difahami.
Dari
Singapura saya dapat khabar, seorang penulis (atau sasterawan) Singapura yang
terkenal, dan menurut maklumat yang sampai kepada saya, amat digemari oleh
Harry Aveling (pernah masuk Islam satu ketika dan kawin dengan seorang sarjana
Melayu) yang banyak membicarakan novel-novel Isa Kamari. Tahniah kepada beliau
diberi perhatian dan pujian oleh seorang sarjana luar negeri yang terkenal
pula. Saya dimaklumkan, Isa Kamari boleh dikatakan kenal apa bendanya yang
dipanggil Gagasan Persuratan Baru itu, dan pernah memberitahu Siti Aisyah binti
Mohamed Salim yang menulis tesis sarjana bertajuk “Sejarah Alternatif dalam
Novel Duka Tuan Bertakhta: Satu
Analisis Menurut Gagasan Persuratan Baru” (UKM 2014) supaya mengkaji novelnya
dari pendekatan PB. Siti Aisyah malah menyalin nota daripada FB beliau yang
berbunyi, “Secara peribadi saya dambakan
seseorang menganalisis Duka Tuan
Bertakhta menurut Gagasan Persuratan Baru.” Permintaan ini bunyinya amat asing bagi sasterawan Malaysia, yang boleh
dikatakan rata-rata anti ilmu dan dengan itu anti Gagasan Persuratan Baru. Berasaskan kesedaran beliau akan adanya dalam
dunia persuratan yang dipanggil Gagasan Persuratan Baru, maka beliau menulis catatan
terbarunya mencadangkan beberapa perubahan kepada PB. Apakah maksud beliau
tidak jelas kepada saya, tetapi saya kira cadangan itu boleh beliau perjelaskan
dengan membicarakan sehabis kritis dan kreatif dua buah karya saya, Pujangga Melayu dan yang terbaru Hikayat Salim Adil, dengan tidak
melupakan Hikayat Buyung Lurus yang mendapat ilham daripada
peninju Muhammad Ali itu. Beliau tidak
perlu menjadi seorang pengkritik sastera, jika beliau tidak selesa, tetapi cukup
hanya membicarakan karya tadi sebagai seorang sasterawan yang nampak adanya
sesuatu yang menarik dalam Gagasan Persuratan Baru dan sudah pun diterapkan
dalam karya yang saya sebutkan itu. Saya
kira ini merupakan satu penghormatan kepada budaya ilmu dalam sastera Melayu,
kiranya terdapat seorang sasterawan terkenal membicarakan satu idea yang ditakuti dan dimusuhi serta dicemuh oleh
para sasterawan dan sarjana Malaysia. Saya harap Isa Kamari akan menimbangkan
cadangan saya, dengan itu beliau juga
akan memberi sedikit pengajaran kepada para sarjana dan sasterawan Malaysia yang
kini menghadapi masalah jiwa dengan munculnya PB.
Pujangga Melayu jauh berbeza daripada Hikayat Salim Adil, walaupun sumbernya
Gagasan Persuratan Baru. Perbezaan ini,
jika dapat dikesan oleh pembaca yang kritis, akan memberi manfaat besar kepada
pembaca yang lembap dan yang bersikap anti ilmu pula. Saya sudah bayangkan perkara ini dalam
beberapa entri dalam blog ini, tetapi saya tidak pasti berapa orang yang dapat
mengesan perbezaan itu dan mengapa terjadi demikian. Saya bangkitkan perkara
ini untuk menunjukkan kepada anda bahawa kemungkinan kreatif seseorang tidak
terhalang dengan menggunakan pendekatan PB, malah saya sangat pasti mereka akan
menjadi lebih kreatif dan lebih seronok menulis karya kreatif. Bagaimana ini boleh terjadi saya bayangkan
secara ringkas begini. Sekiranya anda
telah memilih sesuatu tema yang agak berat, misalnya tentang perhambaan baru
dalam politik Melayu, dan bagaimana perhambaan ini diterima dengan senang hati
oleh orang Melayu. Perhambaan lama ialah di kalangan raja-raja Melayu terutama
sekali sebelum kedatangan Inggeris dan sebelum merdeka; sekarang orang Melayu
dengan sedar dan rela menjadi hamba ahli politik Warisan Malayan Union, malah
mereka sangat bangga mendapat pemimpin Warisan Malayan Union itu. Ini satu
persoalan besar dalam perkembangan politik Semenanjung di kalangan orang
Melayu. Jika anda tidak berhati-hati dan tidak menguasai tema yang anda pilih,
maka jadilah seperti novel Duka Tuan Bertakhta. Tema pilihan Isa Kamari itu amat baik dan
jika ditulis kembali oleh beliau dengan beberapa saranan yang saya kemukakan di
sini, kita akan mendapat sebuah karya yang hebat. Saya yakin Isa Kamari boleh
melakukannya, sekiranya beliau dapat melihat dengan jelas bagaimana Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil ditulis. Saya tidak bermaksud beliau mencontohi karya itu; saya hanya meminta
beliau meneliti dengan kritis, sehabis kritis yang beliau mahu, untuk melihat
bagaimana suatu idea dibahaskan dalam sebuah karya persuratan. Selepas itu beliau menulis kembali Duka Tuan Bertakhta menggunakan judul baru, atau apa saja yang beliau pilih.
Jangan tinggalkan tema yang sehebat itu tergantung dalam khayalan; buktikan
tema sebesar itu dapat dijelmakan dengan mudah dalam sebuah karya kreatif
sekiranya diberi pertimbangan yang lebih kritis ketika menulisnya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24 Januari, 2018.