Tuesday, April 25, 2017

CONCLUDING REMARKS: Perjuangan yang baru bermula, Intifadah Intelektual yang Perlu Diteruskan dan Diselesaikan.

Dalam entri yang lepas, saya mendedahkan diri saya sebagai seorang penulis kreatif dan pemikir budaya untuk dikritik seberapa kritis yang anda mampu, dengan memberi contoh polemik intelektual antara beberapa orang tokoh besar Eropah dan Arab moden. Saya sebutkan, anda mempunyai dua pilihan, yang kedua-duanya boleh dijadikan panduan. Sekiranya anda lebih bijak dan mempunyai kemampuan intelektual yang hebat, anda boleh saja mengemukakan sesuatu yang baru, yang benar-benar milik anda tetapi penting dimaklumkan kepada masyarakat.  Sebagai permulaan, anda boleh mengkritik saya dari segenap penjuru, dari penjuru kreatif dan dari penjuru ilmiah. Inilah cara terbaik untuk anda menghuraikan kehebatan pemikiran anda sendiri untuk dimanfaatkan oleh negara, khususnya bangsa Melayu yang perlu dicerdikkan dan dilepaskan dari perhambaan intelektual dan perhambaan budaya. Para sarjana (terutama yang ciritan) dan para sasterawan (termasuk sasterawan negara yang picisan) masih lagi berada dalam feudalisme ilmu dan feudalisme budaya. Cara mereka memberi sanjungan kepada para sasterawan negara dengan menjadikan mereka golongan istimewa, mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu yang membina budaya ilmu Malaysia beratus tahun, adalah satu perbuatan yang mencerminkan kehilangan adab. Saya sudah nampak ini semua sejak 1981, dengan menulis sebuah cerita pendek sebagai bantahan dan telah pun diterbitkan dalam Pura Bujangga.  Jadi kritikan saya terhadap para sasterawan negara ini bukan suatu perkara baru, tetapi satu kritikan yang berprinsip. Hanya orang yang berilmu saja yang dapat memahami perkara ini, yang saya kira termasuk Dr. Mohammad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA. Saya telah menjadi anggota PENA  sejak awal penubuhannya, ketika saya masih di universiti. Tetapi hakikat ini diremehkan saja oleh para pemimpin PENA sekarang kerana saya tidak termasuk kelompok Mutual Admiration Club seperti mereka.  Jika mereka jujur seperti yang mereka dakwa untuk diri mereka, tentulah sudah lama mereka bincang dengan mendalam Gagasan Persuratan Baru, dan peranannya dalam perkembangan kreatif dan intelektual. Tetapi mereka memilih untuk menjadi seteru kepada ilmu dan Gagasan Persuratan Baru untuk menyelamatkan karya mereka sendiri. Apakah makna kejujuran intelektual di kalangan kelompok Mutual Admiration Club ini?  PB tidak wajar dan tidak perlu dimusuhi, apatah lagi dengan perasaan hasad dan dengki pula. PB perlu difahami dan dikritik dengan objektif.  Sayangnya tidak terdapat dalam PENA orang yang boleh melakukannya. Oleh itu, lebih baik, bagi mereka, bersikap lembu kenyang! Walaupun sikap ini menunjukkan betapa rendahnya maruah intelektual mereka (low self esteem).  Bagi kumpulan “lembu kenyang”, self esteem tidak penting; yang penting peluang untuk mendapat faedah peribadi dan kelompok. Sudah tiba masanya keadaan ini berubah, dengan memilih kumpulan peneraju baru yang betul-betul mempunyai maruah dan harga diri dan benar-benar jujur untuk memajukan sastera. PENA perlu diberi wajah baru dan nafas yang benar-benar bersih dari kepentingan puak.  PENA memerlukan peneraju baru, bukan kumpulan lembu kenyang!  Saya harap mesej ini diberi perhatian oleh ahli PENA seluruhnya. (Istilah lembu kenyang adalah istilah yang masyhur di Kelantan, yang merujuk kepada sikap seronok untuk tidak aktif berbuat apa-apa yang berfaedah, asyik mengunyah rumput yang disediakan oleh tuan lembu.)

Dengan tidak memberi perhatian kepada perkembangan intelektual dalam sastera Melayu, maka kewujudan PENA menjadi tidak relevan. Apakah tujuan dan matlamat PENA?  Sekiranya untuk memajukan sastera Melayu, adakah sastera yang hendak dimajukan itu berupa karya yang dihasilkan oleh sasterawan negara dan para pengikut mereka sahaja? Jika itulah matlamatnya, dan tujuan yang ingin dicapai, maka para pendukung PENA ini telah membataskan perkembangan itu kepada kelompok mereka sahaja; oleh itu tidak boleh dipanggil untuk sastera Melayu secara keseluruhan. Lagi pula, kesedaran kepada sejarah perkembangan intelektual sangat penting disedari di kalangan pendukung PENA. Yang dinamakan sastera Melayu masih baru; sebelum itu sudah ada persuratan Melayu. Dengan membataskan perkembangan kepada sastera Melayu yang tidak mempunyai asal usul yang jelas dan kukuh, maka para pendukung PENA tidak saja buta sejarah, tetapi anti sejarah dan berusaha untuk melenyapkan sejarah kegemilangan persuratan Melayu yang sudah berusia beratus tahun dan telah melahirkan tokoh-tokoh besar. Siapa mereka, siapa tokoh-tokoh besar persuratan itu? Inilah kerja rumah untuk PENA senaraikan bagi faedah kita semua. Kita mahu lihat adakah mereka ini kucing kurap jika dibandingkan dengan sasterawan negara? Atau sebaliknya.  Atau kedua-duanya setaraf?  Kita beri PENA menentukannya untuk menjadi asas perbincangan nanti. Sesuai dengan sikap PENA yang berjuang untuk perkembangan intelektual yang sihat, maka senarai tokoh persuratan itu penting diketahui oleh masyarakat, terutama oleh para pelajar. Tetapi jika PENA mengatakan kita tidak perlukan mereka, kerana kita sudah mempunyai sasterawan negara, maka PENA sendiri tentulah terjerumus ke dalam sikap nihilis seperti yang saya sebut dalam entri yang lepas. Sekiranya PENA tidak menerima  nihilisme dalam sastera Melayu, maka mereka tidak mempunyai pilihan selain memberikan kepada masyarakat senarai tokoh persuratan itu, untuk dibandingkan dengan objektif sumbangan mereka berbanding dengan sumbangan para sasterawan negara.  Bagi saya, ini adalah satu permintaan yang wajar, dan adil. Pengetahuan kita boleh bertambah kerananya, sesuatu yang baik sebenarnya. Untuk mudah kerja, senarai itu kita hadkan kepada tokoh-tokoh    yang terdapat di Kelantan, Terengganu dan di Johor.  Ketiga-tiga buah negeri ini adalah pusat perkembangan intelektual yang hebat dan benar-benar bermakna dalam sejarah intelektual kita. Sekiranya cadangan ini ditolak oleh PENA, maka sifat dan sikap nihilis itu benar-benar menjadi pegangan mereka. Adakah kita mahu sebuah organisasi yang demikian? Soalan ini sangat penting dan relevan untuk difikirkan dengan serius oleh para penulis yang berakal. Sebagai peringatan, anda tentu sudah tahu bagaimana Asas 50 menolak tulisan Jawi dalam Kongres Bahasa 1956 di Johor Baru, dan mengatakan dengan berani tulisan Jawi tiada kaitan dengan agama. Adakah PENA meneruskan kesilapan besar Asas 50 ini?

Seperti yang anda dapat lihat, kedudukan Dr. Saleeh Rahamad sebagai sarjana sama pentingnya dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin organisasi seperti PENA.  Adalah amat patut sekiranya kita mahukan kualiti dalam tulisan beliau; sama juga kita perlukan kualiti kepemimpinan beliau dalam organisasi seperti PENA.  Bolehkah beliau mengelak, atau menganggap kita semua ini adalah sampah tidak berguna yang tidak seharusnya mempersoalkan kemampuan beliau, dari segi akademik dan kepemimpinan. Tetapi setelah beliau menulis makalah yang begitu gemilang sehingga diangkat untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, maka Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah diberi kedudukan yang setaraf dengan para sasterawan negara, dengan itu dia layak dinilai dengan objektif seperti kita menilai sumbangan para sasterawan negara.  Semua ini tidak perlu jika kita menerima kedudukan mereka sebagai tokoh yang tidak wajar dipersoalkan kerana telah dibuktikan oleh para juri kehebatan mereka sebagai tokoh dalam bidang masing-masing. Tetapi proses yang terjadi dalam perkembangan intelektual tidak demikian, kerana setiap tokoh perlu dinilai dari perspektif yang berbeza supaya kehebatannya sebagai tokoh tidak saja kekal, malah menyerlahkan kehebatan dari segi pemikiran dan pengaruh dalam perkembangan intelektual sesuatu bangsa. Demikianlah saya membangkitkan semua isu ini supaya anda tidak tertipu oleh retorik anda sendiri. Anda memerlukan pandangan lain yang berbeza. Itulah yang terjadi dalam semua tamadun dunia. Tidak ada tokoh intelektual yang tidak dipersoalkan kewajarannya, sama seperti kita mempersoalkan kewajaran penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto beyond criticism.

Sebagai rujukan sekadarnya, untuk melihat bagaimana idea muncul dan  dibahaskan di kalangan intelektual, patut sangat anda baca sebuah buku yang sungguh sedap dibaca, buku Hannah Arendt, The Life of the Mind.  Di Malaysia, satu-satunya buku yang layak dimasukkan dalam kategori “the life of the mind” ialah novel persuratan Pujangga Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/4/2017.



No comments:

Post a Comment