Pertanyaan
ini sangat bagus untuk dijadikan bukti sejauh mana Hari-Hari Terakhir Seorang
Seniman, karya seorang sasterawan negara yang hebat seperti Anwar Ridhwan,
penulis novel teragung negara Malaysia yang berjudul Naratif Ogonshoto, jika dibandingkan dengan Hikayat Buyung Lurus? Antara dua watak ini, Buyung Lurus dan Pak
Hassan, mana satu yang cerdik; mana satu yang pura-pura cerdik pun bukan,
tetapi dijadikan cerdik dengan menggelarkannya “seniman”. Benarkah Pak Hassan
seorang “seniman”, atau hanya seorang penglipur lara kelas rendah yang hidup
dalam dunia angan-angan yang membingungkannya? Dua pertanyaan yang akan
membezakan sejauha mana hebatnya karya seorang sasterawan negara, penulis novel
teragung, jika dibandingkan dengan karya biasa seorang pemikir sastera Melayu
yang telah mencetuskan ketakutan intelektual di kalangan para sasterawn dan
sarjana dengan mengemukakan Gagasan Persuratan Baru? Sesiapa juga yang membaca dengan cerdik Hikayat Buyung Lurus, akan bertanya:
mengapa penulis ini menulis dalam gaya Muhammad Ali, seorang peninju? Apa
kaitannya seorang peninju dengan seorang pujangga? Anda mesti ingat, menurut sarjana Dr. Mawar
Shafei, Anwar Ridhwan menulis novelnya Naratif
Ogonshoto untuk mencabar Machiavelli. Siapa yang lebih hebat antara
Machiavelli dan Muhammad Ali? Tentu saja pertanyaan ini bodoh, tetapi
jawapannya akan menentukan sejauh mana cerdiknya seorang peneliti sastera
dengan seorang peminat tinju Muhammad Ali yang menjadikan teknik bertinjunya
sebagai teknik penulisan novelnya. Untuk
makluman tuan-tuan dan puan-puan pembaca blog ini, belum ada pengkritik,
sarjana, atau sasterawan bertanya mengapa saya memakai teknik tinju Muhammad
Ali, sedangkan Shahnon Ahmad memakai teknik realisme magis, orang Asas 50
memakai teknik realisme sosialis, Anwar Ridhwan saya tidak tahu teknik apa yang
dia pakai, tapi kalau mengikut sarjana peneliti sastera Dr. Mawar Shafei, yang
diakui di Malaysia sebagai pakar Anwar Ridhwan,
teknik yang dipakai oleh Anwar Ridhwan ialah intertekstualiti. Panjang ceritanya
dihuraikan oleh Dr. Mawar Shafei dalam “kitab”nya mengenai Anwar Ridhwan,
sehingga begitu hebatnya teknik itu dalam tangan Anwar Ridhwan, sampai dia
berani “sunting” kisah Nabi Nuh ‘a.s. untuk disesuaikan dengan cerita tsunami
dalam novel agungnya. Tentulah teknik intertektualiti ini amat hebat, mengatasi
al-Quran yang tidak memakai teknik itu (kerana tidak perlu, kerana yang
mencipta semua perkara Allah Ta’ala sendiri, yang mewahyukan al-Quran.) Wah, sampai begitu sekali hebatnya teknik
intertekstualiti, yang direka oleh Julia Kristeva. Itulah teknik yang
melahirkan novel teragung di Malaysia, yang disepakti oleh semua sarjana
sastera seluruh dunia, oleh itu mestilah
betul. Setahu saya, hanya Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar saja yang tidak
bersetuju dengan penilaian itu, seperti yang tertulis dalam tesis sarjananya.
Kerana hanya dia seorang saja yang tidak setuju, tentulah penilaiannya
salah! Antara lain kata beliau, menolak
penilaian yang begitu “pemurah” (generous)
sehingga menjadi “murah” (cheap): “Analisis ini dengan sendirinya mencabar
pandangan Umar Junus, Saleeh Rahamad dan Mawar Shafei tentang adanya nilai
keislaman dalam Naratif Ogonshoto.”
(hal. 178 tesis). Beliau sebut mengenai
nilai Islam kerana Anwar Ridhwan sendiri mengaku novelnya adalah sebuah novel
berciri Islam! Bagaimana Anwar Ridhwan mendapat ilham daripada
Machiavelli, untuk menulis novel bercirikan Islam? Anwar
Ridhwan sendiri tidak perlu menjelaskannya, kerana kemusykilan ini menjadi
tanggungjawab Dr. Mawar Shafie menjelaskannya.
Saya hanya boleh mengagak, yang mungkin tidak betul, bahawa kesimpulan
seperti ini adalah hasil dari penggunaan pendekatan intertekstual, yang
merangkum semua perkara dari angkasa (cerita dewa dewi) hingga ke lembah ngarai
(cerita para jin dan hantu) yang semuanya boleh dijalin dengan selamat sebagai
sebahagian daripada aspek intertekstualiti kehidupan manusia dalam cerita
penglipur lara mereka. Jika andaian saya
betul, ternyata intertekstualiti tidak berguna, hanya mengusutkan lagi
kekaburan nilai dalam masyarakat sastera yang sudah begitu teruk sekarang.
Nampaknya mereka mahu kembali ke alam animisme, seperti yang begitu jelas dapat
kita kesan dalam novel tentang seniman Pak Hassan. Ini sangat munasabah kerana
Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerja beliau yang ditulis di
atas bumbung kilang berkarat mencadacangkan cetera penglipur lara dijadikan
satu jabatan di mana-mana universiti, untuk mengembalikan nilai kemelayuan
(jangan salah baca menjadi kemaluan Melayu) sebagai asas sastera moden. Ini
disebutnya dalam ucaputama beliau dalam Seminar Pemikiran Anwar Ridhwan (2013)
seperti berikut: “Sastera sering
menjadikan pengarangnya manusia yang dirundung kegelisahan. Sastera juga
menjadikannya pencari titik-titik samar, dalam bentuk hablur yang lebih kekal,
namun menyimpan makna kehidupan itu sendiri. Kegelisahan ialah jalan rusuh
untuk dia sampai ke sana. Tetapi makna saja bukan sastera, itu ruang falsafah.
Dalam pencarian makna harus diiringi oleh muzik bahasa dan sekumpulan metafora
dan kias, kerana dalam sastera kenyataan itu harus berupa bahasa di atas
kertas. Sebagai pengarang Anwar Ridhwan
selalu mencari – dan mencari melalui waktu, tahap hidup dan ruang geografi yang berlainan. Dalam gaya dan naratifnya
beliau sering berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah
kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperiksa. Inilah
langkah pengarang yang baik, dan Anwar Ridhwan ialah seorang pengarang yang
saya anggap baik - dan oleh itu selalu
dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya
yang saksama dan tema yang menyetuh pada jantung kewujudan.” Inilah falsafah sastera menurut Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, falsafah orang hanyut yang tidak tahu ke
mana hendak dituju di tengah gelombang kehidupan, tetapi begitu degil tidak
mahu kembali saja ke pantai, ke tempat selamat.
Kalau inilah falsafah sasterawan,
dan dia seorang Islam, dia sudah melepaskan agamanya untuk berhanyut
tanpa tujuan, kerana agama tidak lagi bermakna kepadanya. Apa jenis manusia
namanya ini? Falsafah Barat ada namanya, tetapi saya tidak mahu sebut, terlalu
keji dan hina. Adakah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sedar apa makna
dan maksud yang dia cuba sampaikan? Kalau
inilah yang dikatakan sastera itu, maka kita tidak perlukan sastera. Mengapa
kita tergila-gila untuk disesatkan setelah mendapat hidayah dan petunjuk yang
benar?
Semua
benda yang “weird” akan menjadi jelas
jika anda bandingkan kecerdikan Buyung Lurus dalam Hikayat Buyung Lurus dengan “senimannya” Pak Hassan dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Di situ anda akan bertemu makna persuratan,
dan menolak sastera yang hanyut di tengah lautan pura-pura yang diucapkan dalam
bahasa orang hanyut yang tidak tahu ke
mana hendak dituju, kononnya sedang berfalsafah, tetapi sebenarnya sedang hanyut bersama sampah
sarap bersama buih sampah yang sedang menari dibawa alun.
Sampah dan buih ini akan tenggelam, untuk membersihkan kembali laut yang
dikotori sampah dan buih tadi. Pilihan para ulama dan cendekiawan dulu untuk
berkecimpung dalam persuratan, yang berasaskan ilmu, adalah tepat. Pilihan para
sasterawan untuk berhanyut bersama sampah adalah ... (anda boleh menambahnya
sendiri untuk melengkapkan ayat ini mengikut kehendak anda!)
Jika
anda mahu satu istilah untuk segala kegiatan ini, maka itulah intertekstualiti.
Ini
dibuktikan oleh Dr. Mawar Shafei dalam “kitab” beliau mengenai Novel Melayu Intertektual yang digunakannya untuk membicarakan karya
Anwar Ridhwan. Siapakah Anwar Ridhwan yang menjadi pilihan Dr. Mawar Shafei?. Beliau ialah seorang penglipur lara yang amat
disenangi oleh para sarjana dan pengkritik sastera, kerana dunia penglipur lara
itu tidak memerlukan mereka berfikir secara kritis. Hasrat Anwar Ridhwan untuk menaik taraf
penglipur lara kepada “seniman” gagal sama sekali, kerana Pak Hassan yang
dipanggil “seniman” itu terlalu bodoh untuk berfikir, tetapi tidak sukar
baginya untuk menuturkan cerita penglipur lara yang diwarisinya. Jika tuan-tuan
dan puan-puan mahu membaca pandangan kritis saya tentang perkara ini, sila
rujuk entri bertajuk “Keunggulan yang cacat”.
Karya terbesar Anwar Ridhwan, Naratif
Ogonshoto, yang mendapat pujian tinggi para sarjana dan pengkritik sastera,
bukanlah karya intelektual hasil pemikiran yang mendalam, dan original daripada
seorang intelektual yang memberikan kita satu karya politik yang canggih, yang
di dalamnya terdapat falsafah politik dan falsafah kepemimpinan yang ideal.
Anda boleh menguji ketepatan kesimpulan ini dengan meletakkan semua “peristiwa”
dalam karya ini dalam ruang naratif
dengan membicarakannya dari perspektif wacana ilmu dalam karya kreatif. Apakah
yang anda dapat dalam ruang naratif itu? Anda hanya akan bertemu dunia sensasi
yang melampau, bukan pemikiran. Sensasi paling besar ialah tentang Machiavelli,
yang mendapat sorotan istimewa daripada Dr. Mawar Shafei yang pengetahuannya
tentang Machiavelli terlalu cetek untuk berbicara tentang ketokohan seorang
ahli falsafah politik seperti Machiavelli. Kita dengar celoteh Dr. Mawar Shafei:
“Begitulah antara lain, gambaran corak kepimpinan Presiden Ogonshoto. Rata-rata
segala tindakan dilakukan hanya bagi memastikan pengekalan kuasa. Apa yang
jelas, daripada kenyataan yang diajukan, falsafah Nicollo Machiavelli ‘matalamat
menghalalkan cara;’, jelas dipindahkan pengarang dalam novel ini (i.e. Naratif Ogonshoto). Presiden mengamalkan
prinsip Machiavellianisme iaitu denies
the revelance of morality in political affairs and holds that craft and deceit
are justified in mainting political power. (Kutipan ini dari tulisan Anwar
Ridhwan sendiri dalam bahasa Inggeris? Atau tulisan Dr. Mawar) ... Rujukan terhadap pemikiran ini secara
langsung diperlihatkan apabila Anwar Ridhwan menyatakan pada prinsip kepimpinan
Presiden ke-iv, bahawa Presiden pernah mengkaji pemikiran Nicollo Machiavelli.”
(hal. 168). Seterusnya:
“Menghubungkaitkan saringan ciri-ciri dalam The
Prince ini dengan sepuluh bab dalam Naratif
Ogonshoto, rata-rata ada hubungan makna yang sama dalam diri seorang ‘penguasa’; ada
gerak pemindahan ciri penguasa yang digariskan Machiavelli dengan diri watak
Presiden Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan” (hal. 171). Seterusnya: “Ciri
ketenteraan yang banyak disentuh Machiavelli rata-rata dibaiki Anwar Ridhwan
melalui pegawai-pegawai bawahannya. Namun apa yang menyerlah ialah slogan
‘matlamat menghalalkan cara’ yang diajukan Machiavelli ditemui pada sepanjang
bab-bab Naratif Ogonshoto
berlangsung. Persis hujah Machiavelli juga, mana-mana penguasa yang menyalahi
ciri-ciri yang dinyatakan, akan menerima hukuman.” (hal. 174).
Ini
bukan Machiavelli yang saya kenal ketika mengikuti kuliah sarjana dalam bidang
Political Behaviour di Universiti Essex
1975, yang dibicarakan dengan mendalam oleh Sheldon S. Wolin dalam bukunya yang
terkenal, Politics and Vision (1960),
yang memberi ruang yang begitu besar untuk membicarakan Machiavelli dengan
begitu terperinci. (Lihat perincian ini pada halaman 521 Index, dan teliti
tajuk-tajuk yang dibincangkan tentang tokoh ini.) Saya tidak pernah dengar mana-mana pensyarah
menyebut “matlamat menghalalkan cara”, kerana ini bukan ucapan Machiavelli dan
tidak terdapat dalam mana-mana karya beliau. Dari mana Dr. Mawar Shafei
mendapat slogan ini? Kita perlukan
rujukan sesuai dengan kedudukan Dr. Mawar Shafei sebagai seorang sarjana
terkemuka yang telah memenangi beberapa hadiah akademik, termasuk dari UKM.
Tentang Anwar Ridhwan, perlukah beliau bertenggek di bahu Machiavelli untuk
mendapat pengiktirafan sebagai sasterawan dunia? Barangkali perkara ini tidak
berapa penting. Lebih penting ialah hakikat beliau bertenggek di bahu
Machiavelli tanpa sebarang alasan yang masuk akal; lebih-lebih lagi tidak
mungkin beliau boleh mengaitkan Machiavelli dengan nilai-nilai Islam dalam novel
Naratif Ogonshoto, yang diklaimnya
sebagai novel berunsur Islam dan sebuah novel intelektual. Machiavelli sendiri
anti-agama Kristian; tidak pernah menyebut nama Jesus (Nabi Isa ‘a.s.) dalam
mana-mana karya beliau; baginya semua pemimpin agama adalah penipu dan korup;
katanya dia lebih suka masuk neraka kerana di situ dia akan bertemu ramai ahli
falsafah, untuk berdialog; lagi pula katanya neraka pastilah lebih mencabar
daripada syurga yang sepi dari sebarang konflik; dan macam-macam lagi. Adakah
Anwar Ridhwan dan Dr. Mawar Shafei tahu hakikat ini? Apa sudah jadi? Baik Dr.
Mawar Shafei mahupun Dr. Anwar Ridhwan, kedua-duanya telah memberi maklumat
salah kepada pembaca Malaysia, sesuatu yang amat mengaibkan untuk dilakukan
oleh sarjana bergelar Doktor! Jelaslah
mereka tidak membaca literature
tentang Machiavelli, kerana itu maklumat yang diberikan kepada kita hanya
berupa gosip semata-mata. Tidak wajar ahli akademik mengabui pembaca padahal
terdapat beribu buku rujukan yang boleh dipilih untuk dijadikan sandaran dalam
penulisan akademik. Tidak wajar Anwar
Ridhwan dinilai berdasarkan gosip
tentang Machiavelli seperti yang dilakukan oleh Dr. Mawar Shafei. Dalam istilah yang saya selalu gunakan bila
menghadapi situasi begini, inilah contoh pandirisme par excellence!
Siapa
sebenarnya Machiavelli diberi penilaian oleh Wolin begini: “There exists a persistent image of
Machiavelli as a clear-eyed realist, devoted to ridding political thought of
fuzzy ideals, and possessed of no more moral passion than is found in the
scientist’s dedication to objective method. Admittedly Machiavelli supplies
ample material for this portrait. His defiant announcement that he intended to
blaze a “new route” in political analysis, one which would “get at the
practical truth (verita effectuale) of the matters,” has been
accepted as the core of his system.” (hal. 203).
Seterusnya
kita lihat pula The Encyclopedia of
Philosophy, jilid 5, tentang Machiavelli, tulisan Felix Gilbert. Apa yang ditulis beliau adalah standard yang
sudah diakui bagi setiap orang yang menulis tentang Machiavelli. Sekadar
memberi sedikit imbasan, untuk menguatkan kesimpulan Wolin di atas, saya
peturunkan beberapa bahagian tulisan Gilbert untuk makluman anda. Antara lain
menurut Gilbert, “ It is of some importance to distinguish between the shocking
novelty of Machiavelli’s particular recommendations and his general concepts of
politics from which his practical counsels arose. Such a distinction helps to
explain the contradictory reception his ideas found in the following centuries.
... Although nobody in the 16th century dared publicly to express but
abhorrence, a school of political writers arose in Italy who explained that the
criteria of a statesman’s or ruler’s actions
were the interests of the state. These
advocates of the doctrine of “reason of state” – even if they did not acknowledge
their obligations to Machiavelli – followed the course Machiavelli had
chartered. ... Some 18th century thinkers recognized truth in Machiavelli’s
approach to politics. For instance, Mably and Rousseau admired Machiavelli because
he had realized that the strength of a political organization depends on the
existence of a collective spirit which is more than a summation of individual
wills..” (hal. 121). Seterusnya Gilbert
membuat kesimpulan: “Thus, in the 19th century Machiavelli became respectable as
the prophet of the idea of the national state.”
Kita
tengok satu lagi pandangan kritis tentang Machiavelli, kali ini diberikan oleh Alison
Brown dalam artikelnya yang dimuat dalam The
Blackwell Encyclopaedia of Political Thought (Blackwell Reference, 1987). Kita mulai dengan pernyataan yang mengejutkan
ini: “In the mid-twentieth century, there were more than twenty leading
theories about Machievalli’s political writings, with a bibliography of over
three thousand items.” (hal. 304). Pada
mulanya saya fikir cukuplah pernyataan itu untuk memberi imej sebenar tentang
Machiavelli, tetapi bila melihat banyak sekali pendapat Alison Brown yang menarik, saya salin
beberapa yang saya fikir bagus untuk puan-puan dan tuan-tuan renung, jika
perlu. Misalnya ini, “Machiavelli’s
method has been called inductive or scientific in drawing conclusions from
practical or historical experience of human nature that is unchanging in
political regimes experiencing a natural cycle of growth and decay.” (hal.
304). Seterusnya: “Machiavelli did not subordinate moral standards to political
ones, recognizing ‘how praiseworthy it is for a prince to keep his word and to
live by integrity and not deceit’ and that ‘it is wrong noty only accorrding to
Christian standards but by any human standards’ to treat people as
inhumanly as Philip of Macedon did in
moving them from province to province...” Dan seterusnya.
Kita
lihat dengan jelas bahawa versi Machiavelli yang dibawa oleh Dr. Mawar Shafei
dan sasterawan negara Dr. Anwar Ridhwan adalah versi Machiavelli yang korup, yang
tidak terdapat dalam perbincangan ilmiah yang standard tentang tokoh ini.
Berasaskan ini, bolehkah kita bertanya, adakah sastera Melayu mempunyai versi
Machiavelli yang korup ini? Bolehkah kita bertanya, terdapatkah di antara
mereka Machiavelli versi Dr. Mawar Shafei dan Dr. Anwar Ridhwan? Paling tidak, mereka berdua mungkin cocok
dengan versi Machievelli yang korup itu, melihat hasil perbincangan mereka
tentang Machiavelli. Kalau begitu, terdapatkah juga Machiavelli yang korup,
yang mengamalkan “matlamat menghahalkan cara” dalam kehidupan atau “perjuangan”
mereka? Mana-mana anggota kumpulan penulis mungkin tahu siapa mereka, yang
menggunakan kedudukan mereka untuk keperluan mereka seperti yang diajarkan oleh
Dr. Anwar Ridhwan melalui watak Presiden dalam novelnya yang terkenal itu. Walau apa pun pendirian anda, nampaknya anda
tidak boleh menolak kemungkinan besar sastera Melayu memang kaya dengan tokoh
Machiavelli korup ini. Buku Segar dan
Mekar bolehlah kita jadikan bukti. Di situ tidak ada Hamzah Hussein. Apa
sudah jadi? Beliau adalah kurban pertama dalam sastera Melayu hasil usaha
Machiavelli versi Dr. Mawar Shafei dan Dr. Anwar Ridhwan. Adakah anda ingin
menafikannya? Saya ada kes lain, yang saya tidak mahu sebut buat sementara
waktu, takut nanti ada di antara yang terlibat menjadi schezophrenik, sasau,
kerana terkejut!
Di
sinilah hebatnya watak Buyung Lurus, kerana inilah satu-satunya watak
intelektual tulen yang tidak boleh memalsukan dirinya kerana beliau tidak
sepandai tokoh-tokoh yang tidak mahu membicarakan perwatakannya dan tidak pun
mahu membaca kisahnya dalam Hikayat
Buyung Lurus. Demikian hebatnya
pengaruh Machiavelli versi Dr. Mawar Shafie dan Dr. Anwar Ridhwan yang menerima
ajaran Presiden dalam Naratif Ogonshoto sebagai
perilaku standard dalam versi Machiavelli ajaran Dr. Mawar Shafei dan
sasterawan negara Dr. Anwar Ridhwan. (Anda perlu ulang membaca ayat ini untuk
memahaminya.)
Berasaskan
ajaran Machiavelli korup yang dikonsepsikan oleh Dr. Mawar Shafei dan Dr. Anwar
Ridhwan, anda akan melihat dengan jelas betapa perlunya projek yang saya
huraikan dalam entri bertarikh 9/2/2017
dilaksanakan dengan segera. Tidak mahu melakukannya adalah kesan ajaran
Machiavelli korup yang dianjurkan oleh
dua orang sarjana sastera Melayu ini. Jalan keluar kebuntuan intelektual
ini ialah dengan menghasilkan penyelidikan dalam tajuk-tajuk yang dicadangkan
itu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 16 Februari 2017.
Catatan: Sila ke YouTube untuk mendapat maklumat selanjutnya, terutama tentang Machiavelli mahu masuk neraka!
No comments:
Post a Comment