Dalam
entri bertarkh 15 September 2011, yang berupa borak teh tarek Baha Zain tentang
sajarah. Saya salin semula kerana sangat sesuai dibaca lagi pada waktu ini,
sebelum saya siarkan entri tentang Balai Maqamat. Inilah dia untuk santapan rakyat (sekarang rakyat sudah pandai
bersantap).
Thursday, September 15, 2011
Perhatikan bagaimana sejarah bermain
dengan kita, atau mempermainkan kita, atau kita dipermainkan sejarah:
Majlis Profesor Negara, melalui Ketua Kluster sekian sekian ... , Prof. Datuk
Zainal Kling, mengisytiharkan dengan tegas, dengan sokongan para profesor di
dalam kumpulannya (dipanggil kluster) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah,
kerana raja-raja Melayu terus berdaulat di bawah naungan British, dan semua
pekerja kerajaan yang berada di negeri-negeri Melayu adalah anggota kerajaan
baginda, oleh itu sesiapa juga yang melakukan kesalahan adalah menderhaka
kepada baginda dan layak dihukum, dan hukuman itu dijalankan bagi pihak baginda
oleh British yang menaungi kerajaan baginda. Itulah sekira-kira hujah yang
diketengahkan. Isunya: Tanah Melayu tidak terjajah, oleh itu kemerdekaan Tanah
Melayu dan raja-raja Melayu tidak pernah digugat dengan kehadiran British
di Tanah Melayu yang hanya menjalankan tugas sebagai penasihat kepada raja-raja
Melayu. Kata Prof. Zainal Kling: “Fakta sejarah menunjukkan Tanah
Melayu tidak pernah terjajah oleh British. Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh
semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik.”
(Catatan: ahli akademik tidak termasuk dalam senarai itu, tidak juga ahli
sejarah; untuk makluman, Prof. Zainal Kling bukan ahli sejarah, tetapi seorang
“pakar” antropologi yang pernah dibimbing oleh (Prof ) Dr. Syed Husin Ali.)
Menurut Prof. Zainal Kling,
Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam
perjanjian itu bahawa negeri Perak akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi
atau dinaungi. Katanya: “Dinaungi tidak sama dengan kolonial ... Hanya tiga
negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan, Singapura, Melaka dan Pulau
Pinang.” Prof. Zainal Kling tidak menjelaskan bagaimana ketiga-tiga
“Negeri Selat” itu terjajah atau diserahkan untuk dijajah oleh British. Fakta
sejarah mengatakan, ada pun “Negeri-negeri Selat” itu asalnya tanah jajahan
raja-raja Melayu, dijual kepada British untuk membayar hutang. Mengapa sampai
begitu sekali? Hutang apa? Mungkin “fakta” ini ada disebut di mana-mana buku
sejarah, tetapi tidak disebut oleh Prof. Zainal Kling walaupun penting kerana
fakta ini mesti diketahui oleh rakyat. Beliau juga tidak sebut, dengan
berpengkalan di Negeri-negeri Selat itulah British merancang penaklukan
negeri-negeri Melayu kerana raja-raja Melayu didapati tidak berupaya menjaga
keamanan sehingga menjejaskan perniagaan British di Tanah Melayu; di samping
itu British selalu sangsi terhadap kejujuran raja-raja Melayu yang mungkin saja
membuat perjanjian dengan kuasa-kuasa Eropah seperti Belanda, Jerman dan
lain-lain sehingga merugikan British. Misalnya, di Perak sebelum
Perjanjian Pangkor, Perak membuat perjanjian dengan Belanda dan menempatkan
kubu Belanda di Sungai Perak untuk menjaga kepentingan Belanda dan sekali gus
mempertahankan kedudukan Sultan Perak. Itulah asal mula cerita kita ini, yang
sebenarnya bermula dengan penaklukan Melaka oleh Portugis 1511. Jadi cerita
penjajahan Tanah Melayu ini sudah lama. British masuk kemudian setelah kuasa
ekonomi British di Tanah Melayu terus berkembang, dan untuk menjamin
kepentingan ekonomi mereka itulah maka British “melindungi atau manaungi”
negeri-negeri Melayu dengan persetujuan raja-raja Melayu, seperti yang disebut
oleh Prof. Zainal Kling.
Tetapi fakta itu tidak penting.
Lebih penting ialah, mengapa baru sekarang, setelah diwujudkan Majlis Profesor
Negara, ahli akademik kita (semua mereka?) sedar Tanah Melayu tidak pernah
dijajah? Apa sudah jadi dengan ahli sejarah kita? Tak perlulah kita
membuat andaian, misalnya dengan mengatakan mereka cuai, atau sedang mabuk
fakta sehingga tak tahu memilih mana fakta yang betul mana yang palsu, atau pun
pengajian sejarah mereka begitu cetek sehingga tidak tahu cerita sebenar
sehinggalah kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara, barulah mereka sedar
mereka telah tertipu dan oleh itu perlulah diberitahu hakikat sebenar tentang
sejarah Tanah Melayu yang tak pernah menjadi koloni British, kecuali tiga buah
negeri selat yang dijual oleh raja-raja Melayu kepada British untuk membayar
hutang atau apa-apa juga sebab yang raja-raja itu sendirilah yang
mengetahuinya. Sampai setengah abad ahli sejarah kita tidur, atau khayal
dalam dunia sejarah mereka, sehinggalah disedarkan oleh Majlis Profesor Negara
bahawa sejarah kita selama ini palsu, oleh itu mesti dibetulkan sekarang,
serta-merta, kerana sudah tenat betul sampai tidak kenal lagi siapa pejuang,
siapa pengkhianat, siapa komunis siapa pejuang Islam, dan macam-macam lagi.
Gila betul dibuatnya, dibuat oleh pakar sejarah yang telah menipu kita semua,
termasuk ahli politik yang berarak bertempik minta dimerdekakan, padahal
selama-lamanya kita telah merdeka. Yang paling aneh, raja-raja Melayu sendiri
tidak tahu mereka tidak dijajah, sehinggalah diberitahu oleh Majlis Profesor
Negara. Apa sudah jadi dengan akal Melayu dan raja-raja mereka sebelum 4
September 2011, saat mereka diberitahu mereka sebenarnya sudah merdeka, oleh
itu tidak perlu berjuang sampai mematikan diri untuk mendapat kemerdekaan.
Lebih memalukan lagi, terhegeh-hegeh ketua-ketua UMNO pergi ke England untuk
berunding mendapatkan kemerdekaan, padahal sudah merdeka. Apa punya ahli
politik yang tak tahu apa yang mereka buat? Kata para pemimpin
UMNO, yang bodoh dan buta sejarah bukanlah mereka, tetapi Mat Sabu dari
PAS yang telah membangkitkan perihal sejarah perjuangan kemerdekaan yang tidak
betul itu, sehingga menimbulkan kemarahan semua ahli UMNO dan Mat Sabu
sendiri diisytiharkan seorang Komunis atau penyokong Komunis, sehingga Timbalan
Perdana Menteri berkata Mat Sabu kena bertaubat dan seluruh anggota UMNO
meminta kerajaan mereka supaya memenjarakan Mat Sabu sehingga dalam satu forum
seorang bekas profesor dan seorang bekas Naib Canselor universiti berjanji akan
menampar Mat Sabu jika beliau berjumpa Mat Sabu di mana-mana! (Baca
laporan/berita dalam Malaysiakini, 15/9/2011). Mungkin betul juga
Mat Sabu ini bodoh kerana membuka tembelang UMNO sehingga membuat mereka hilang
akal, hatta seorang profesor pun sanggup menjadi samseng hendak menampar Mat
Sabu. Undang-undang apa yang profesor ini pakai? Sungguh haram
jadah jadinya kelakuan manusia apabila sudah terlalu marah kerana pecah
tembelang, sampai seorang profesor bercawat kote (istilah Kelantan) bertukar
menjadi samseng. Demikian besarnya pengaruh sejarah ke atas manusia. Dan ini
dibuktikan oleh Barbara Watson Andaya dalam rencana beliau (JMBRAS, Part 1
1974) yang menulis tentang “The Installation of the First Sultan of
Selangor in 1766”. Kata beliau, sejarah itu ditulis untuk memenuhi
keperluan politik atau kuasa kumpulan yang menulis sejarah masing-masing; oleh
itu cerita pertabalan Sultan Selangor dalam Misa Melayu tidak sama
penekanannya seperti yang ditulis oleh orang Bugis dalam Tuhfat al-Nafis.
Hakikat ini ditegaskan oleh Prof. Khoo Kay Kim yang mengatakan, “The
historian unavoidably has to write according to the dictates of his own
interest or that of persons for whom he writes.” (JMBRAS 1974, hal. 3).
Dalam ceramahnya yang terbaru selepas kontroversi Mat Sabu ini, Prof.
Khoo Kay Kim menegaskan bahawa tidak pernah menjadi polisi British dan tidak
pernah dilakukan oleh mereka untuk melaksanakan polisi “pecah dan perintah”;
demikian juga British hanya membawa orang India ke Tanah Melayu kerana pada
waktu itu mereka menjajah India, tetapi British tidak membawa seorang pun kuli
China ke Tanah Melayu kerana China bukan jajahan takluk British; malah kata
Profesor Khoo Kay Kim, yang membawa kuli China ialah usahawan China sendiri.
Dia tidak pula menyebut dengan bantuan dan galakan dari British, kerana tidak
perlu. Kata sumber dari Perak, orang-orang besar Peraklah, dan mungkin
juga sultan sendiri, antara yang membawa kuli China untuk bekerja di
lombong-lombong bijih milik mereka. Sekiranya Mat Sabu tidak buta
sejarah, seperti tuduhan pemimpin dan ahli UMNO, dia tidak akan bercakap
tentang penipuan dalam penulisan sejarah, kerana sejarah memang begitu
sifatnya. Oleh itu memang betul kata-kata Majlis Profesor Negara seperti yang
diucapkan oleh jurucakap mereka, Prof. Zainal Kling walaupun dia pun bukan ahli
sejarah seperti Mat Sabu juga.
Sesuatu yang pelik sudah berlaku di
mana-mana. Sekarang teriakan merdeka masih dilaungkan, padahal tidak
perlu. Merdeka dari siapa? Kalau kita tidak selesaikan kemelut ini, berapa
ratus Hospital Tanjung Rambutan pun yang kita bina, tidak akan dapat memuat
orang-orang yang perlu diberi kesempatan berada di situ kerana sudah
hilang akal dan perlu dikembalikan akal sihatnya!
Apakah yang kita boleh pelajari
daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Inilah cerita
Plato tentang manusia yang hidup di dalam gua, yang percaya mereka berada di
dunia realiti, padahal hanya dalam dunia khayalan. Tetapi kerana mereka tidak
keluar dari gua itu, mereka tidak tahu dunia ini luas. Dalam skala yang lebih
kecil, orang tua-tua Melayu yang bijaksana, telah berkata manusia yang berada
dalam gua itu kalau dikampung-kampung Melayu diibaratkan seperti katak di bawah
tempurung. Bayangkan begitu lama ahli sejarah kita berada di bawah tempurung,
begitu juga ahli politik. Adakah mereka terdiri daripada kluster manusia yang
bodoh? Tidak. Mereka hanya dikhayalkan oleh mimpi buatan mereka sendiri yang
dulunya tidak sedar mereka kluster hamba yang menurut perintah, atau kluster
manusia yang taat setia kepada ketua-ketua mereka, yang akhirnya menjadi hamba,
atau pengikut, dan kini pembela, golongan penjajah yang kini disedari bukanlah
penjajah, tetapi sahabat yang baik hati. Kalau begitu, apa perlunya dimansuhkan
PPSMI yang telah dilaksanakan dan didapati berkesan seperti yang ditunjukkan
oleh Majlis Profesor Negara?
Apakah yang boleh kita pelajari
daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Bagi para
sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera yang selama-lamanya
menggunakan kaedah Barat dan bangga dipengaruhi oleh nilai-nilai Barat dalam
kesusasteraan Melayu moden, yang mentakrifkan makna moden itu sendiri,
episod Majlis Profesor Negara ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan mereka,
kerana sudah lebih dari 30 tahun mereka telah menerima hakikat itu seperti yang
disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan para sasterawan
tidak pernah terikat kepada mana-mana pengaruh dari Barat, oleh sebab mereka
hanya meniru teknik Barat dan menggunakan kaedah analisis dan penilaian dari
Barat seperti raja-raja Melayu dan para pahlawan Melayu dan para pemimpin
politik Melayu mendapat faedah daripada British dan orang Barat yang membawa
mereka kekayaan yang membolehkan mereka membina apa-apa juga yang hendak dibina
dan telah dibina, di samping mendapat kekayaan dan kemewahan dan kedudukan yang
dihormati, yang kini perlu dipertahankan. Sebenarnya, Majlis Profesor Negara
dan Panel Anugerah Sastera Negara tidak berbeza, dan mana-mana orang yang
mendapat faedah daripadanya adalah sama.
Yang menjadi pengkhianat dalam
perjuangan kemerdekaan yang sudah sedia wujud itu ialah para pejuang
tulen yang ikhlas berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan kerana merekalah yang
awal-awal lagi sudah keluar dari gua dan sudah menyepak tempurung yang
menutup kesedaran politik mereka. Dalam bidang sastera pula, pengkhianat
itu ialah golongan (bukan kluster?) yang menamakan diri mereka pengikut gagasan
Persuratan Baru yang lantang berkata persuratan Melayu mesti dimerdekakan
daripada alam khayal dengan membawa kembali peranan ilmu yang benar seperti
yang dipraktikkan oleh para pujangga, ulama dan pendeta sebelum kedatangan
kesusasteraan moden yang dibawa oleh penjajah Inggeris. Tetapi kerana
telah dibuktikan (tanpa sebarang bukti dan hujah oleh Majlis Profesor
Negara kerana tidak perlu) bahawa penjajahan itu tidak pernah wujud, maka sudah
sahlah kesusasteraan Melayu pun tidak pernah terjajah. Oleh hal yang demikian,
apa perlunya dibawa kembali barang yang hilang yang dinamakan ilmu yang benar
yang diajarkan oleh Islam dan dipraktikkan oleh para ulama, pujangga dan
pendeta silam itu? Tidakkah semuanya karut belaka? Kita beruntung kerana
akhirnya kita diberi peluang oleh kerajaan yang menubuhkan Majlis
Profesor Negara untuk menyedarkan kita semua betapa bodohnya kita selama ini
kerana tidak mahu berfikir dengan menggunakan akal sihat berasaskan konsep ilmu
yang benar itu.
Tetapi di dalam kemelut orang-orang
bodoh yang cerdik ini, yang pernah saya gelar “cerdik pandir” (yang berbeza
daripada “cerdik pandai”), saya lebih tertarik mengikuti analisis Prof.
Amin Sweeney (semoga dicucuri Allah ruhnya dan diampunkan dosanya) dalam JMBRAS
Part 1 1976 yang menulis tentang Pak Pandir dalam rencananya, “The Pak
Pandir Cycle of Tales”. Berasaskan pentingnya Pak Pandir sebagai seorang
pemikir Melayu yang asli, saya meminjam falsafah beliau dalam cerita-cerita
jenaka yang beliau lakonkan bersama Mak Andeh, untuk dijadikan istilah ilmu
yang saya namakan pandirisme, yang kini sudah menjadi aliran perdana
dalam kebudayaan Melayu. Saya juga telah menulis sebuah cerita pendek
yang panjang bertajuk, “Rumah Impian Dr. Polan Cupan”, kisah seorang cucu
Pak Pandir yang bernama Polan bin Cupan (cupan itu singkatan dari ‘cucu pak
pandir’), seorang arkitek Melayu yang terkenal yang setaraf dengan arkitek
Mesir bernama Hassan Fathi, guru beliau yang disayanginya. Cerita pendek itu
telah diserahkan kepada Persatuan Penulis Kelantan lebih dari lima tahun dahulu
yang mahu menerbitkan satu kumpulan karya penulis-penulis Kelantan dengan
kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Timur. Saya mendapat tahu semua
karya yang sudah dikumpulkan itu tenggelam dalam banjir besar yang melanda
Kelantan baru-baru ini, tidak dapat diselamatkan lagi. Jika PPK dan DBP masih
berminat, saya masih simpan salinannya dan saya akan hantar salinan baru
bila-bila masa saja yang mereka perlukan. Rasanya masa inilah kumpulan cerita
pendek itu sesuai diterbitkan, kerana di dalamnya terdapat cerita cucu Pak
Pandir yang saya yakin pasti akan menarik minat anggota Majlis Profesor Negara
kerana sebuah sejarah Pak Pandir yang selama ini dalam khayalan orang Melayu,
telah muncul dalam arena budaya dan intelektual Malaysia melalui konsep
pandirisme yang kini menjadi budaya arus perdana.
Saya sebut perkara ini dalam konteks
ini kerana baru-baru ini saya bertemu, secara tidak sengaja, sebuah seloka baru
ditulis oleh seorang penulis yang tak pernah saya kenal dan tak pernah saya
baca karyanya, tetapi seloka beliau yang saya temui itu sangat bagus dan
bernilai seni, sama seperti seloka Melayu lama yang dinukilkan oleh Za’ba dalam
Ilmu MengarangMelayu, antaranya tentang Pak Kaduk, Lebai Malang, dan
sebagainya. Seloka ini bagi saya jauh lebih baik daripada sajak-sajak
sasterawan negara kerana ketajaman analisisnya, yang setiap barisnya boleh
ditulis syarahnya dalam sebuah buku. Inilah seloka itu yang saya salin daripada
blog penulisnya (saya mohon izin saudara, diharap saya tidak disaman nanti
kerana sekarang saman-menyaman ini sudah dibudayakan di Malaysia, seperti
rajinnya orang menulis laporan polis misalnya laporan polis terhadap Mat Sabu
sudah makan bilangan ribu, sungguh rajin orang Melyu yang sayangkan negara dan
kebenaran menurut tafsiran mereka menyaman sesiapa juga yang mereka anggap
boleh membodohkan mereka dan membuka tembelang mereka). Perhatikan baris
akhir seloka ini: “Tak sangka
ada professor kuku”. Tidakkah itu satu kesimpulan yang bertaraf genius?
Inilah seloka itu:
Hang punya
pasai Mat Sabu....
Negara
diselubungi jerebu
Dari KL hinggalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu
Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru
Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku
Keris Silau
13 September 2011
Dari KL hinggalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu
Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru
Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku
Keris Silau
13 September 2011
Posted by
Keris Silau at 12:05 PM
Mohd. Affandi Hassan,
15/9/2011.
Posted by Mohd Affandi Hassan at
6:27 PM
AnonymousSeptember 16, 2011 at 2:28 AM
Excellent....
par excellence ! hebat entry ini.
Saya siarkan entri ini kerana dalam entri tentang Balai Maqamat, saya akan berbicara sedikit tentang sejarah ketika membicarakan tentang "Cerita Sebenar Komando Mat Melayu."
ReplyDelete