Saturday, May 2, 2015

MANA SIKANA DAN GAGASAN PERSURATAN BARU: SIAPA MELANGGAR SIAPA?



Buku kritikan sastera Mana Sikana yang berjudul, Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (ITBM 2013), adalah sebuah buku yang lucu, dan dari segi akademik adalah sebuah karya kritikan picisan yang unggul. Dalam buku ini, tidak kurang dari 500 kali perkataan unggul/keunggulan disebut dan diulang-ulang oleh penulis ini, tetapi pengulangan itu ternyata tidak dapat mengangkat buku ini sebagai sebuah buku akademik yang unggul.  Sesuai dengan gaya penulis ini yang cenderung berlebihan untuk berpesta dalam kekaburan bombastik yang memualkan, maka gayanya adalah kemuncak gaya sarjana ciritan yang diselokakan dalam Balai Maqamat. Inilah contoh hasil kegagalan teksdealisme yang menjadi pujian Mana Sikana sendiri ketika melancarkan kegigihannya dalam kritikan sastera. Seorang sasterawan negara dikatakan suka sangat jika Mana Sikana dilantik ke takhta sasterawan negara, walaupun karya kreatifnya tidak unggul setelah dengan geram membuat pelanggaran yang sangat hebat, sekurang-kurangnya dalam memberi judul kepada cerita pendeknya. Antara tiga  orang yang diharap akan terpilih dan masing-masing mengharapkan sangat akan dipilih, seorang bernama Fatimah Busu, seorang lagi Lim Swee Tin, dan yang ketiga Mana Sikana, namun  kata sasterawan negara itu Mana Sikana layak kerana dia aktif memuji para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan yang  kurang atau tidak dikenali, tetapi kekurangan itu boleh diatasi dengan mudah kerana beliau sangat rajin menulis buku kritikan dan semuanya menjadi bacaan wajib di universiti, sehingga ada sarjana berkata dekad ini boleh dipanggil dekad Mana Sikana dalam kritikan picisan. Saya tiada halangan, malah sangat mengharapkan jika Mana Sikana terpilih, untuk menjadi bukti paling kuat dalam budaya pandirisme yang kini menguasai sastera Melayu.

Setelah membuat beberapa “pelanggaran” untuk memuji para sasterawan negara dalam bukunya, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, maka Mana Sikana Sang Pengkritik, melakukan sendiri “perlanggaran” (ejaan lama yang dipakai dalam buku Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti yang diterbitkan oleh DBP 1995) yang paling berani dalam kritikan sastera Melayu dengan mengetepikan dan menolak konsep ilmu yang benar dalam kritikan sastera, kali ini dilakukannya dengan segala kegigihan dengan penuh kebencian seorang “pelanggar” yang sering dilaporkan dalam akhbar apabila sekali sekala berlaku “perlanggaran” di jalan raya dilakukan oleh samseng jalanan. Buku Mana Sikana berjudul Berdiri di Akar Diri: Kritik Sastera Melayu Pascamoden membicarakan dengan gigih segala  macam teori sastera Barat yang menjadi kegemarannya untuk ditayangkan kepada pembaca Malaysia dan para pelajar yang kehairanan membaca nama-nama teori sastera Barat yang diperagakan beliau dalam bukunya. Mana Sikana adalah seorang pengkritik sastera yang suka bercerita, oleh itu buku ini adalah kumpulan cerita kritikan yang dituturkan dengan begitu ghairah oleh seorang Pengkritik Sastera Penglipur Lara paling terkenal di Malaysia. Sebagai penutur cerita kritikan, Mana Sikana berlagak sebagai seorang penglipur lara yang hanya menuturkan cerita, tidak membicarakan dengan kritis segala macam teori Barat yang dituturkannya. Kerana tidak kreatif dan tidak kritis, maka pujian Mana Sikana terhadap para sasterawan negara menjadi semacam olok-olok untuk ditertawakan kerana terlalu banyak kontradiksi yang berselerak dalam Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Paling ketara ialah sokongannya terhadap Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, yang membenarkan kelucahan dijadikan umpan dalam penulisan novel, hanya kerana ingin memuaskan nafsu sastera Shahnon Ahmad yang menegaskan  seluruh masyarakat Malaysia sekarang adalah masyarakat yang lucah. Seluruh? Ini amat serius, kerana sudah tentu termasuk para ulama, ahli akademik yang berwibawa (mahukah anda jika saya senaraikan nama-nama mereka?), ahli politik yang memerintah dan yang membangkang, semuanya tidak berguna lagi dan sepatutnya dihapuskan! Hanya satu kumpulan kecil saja yang dikecualikan, iaitu para sasterawan negara...

Seperti biasa, Shahnon Ahmad terkenal kejujurannya dan keberaniannya melanggar apa saja, dan Mana Sikana pula terkenal kerana kebijaksanaannya membawa segala teori sastera Barat yang tidak lucah itu untuk membersihkan sastera Melayu yang lucah dan membenarkan kelucahan dijadikan umpan untuk melariskan karya sastera. Kita tidak mempunyai data berapa banyak karya sastera para sasterawan negara yang lucah, jika ada, yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia yang lucah.  Tetapi yang menjadi persoalan ialah, adakah laporn Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menyokong kelucahan? Mungkin istilah lucah yang dipakai Shahnon Ahmad tidak menggambarkan keseluruhan anggota masyarakat, oleh itu saya lebih selesa menggunakan istilah picisan kerana karya picisan dari segi idea, teknik dan perutusannya memang menjadi pilihan para sasterawan negara, hatta selepas mereka dianugerah gelaran itu sekali pun. Contoh: adakah karya Anwar Ridhwan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman sebuah karya lucah dari segi ideanya? Yang pasti, saya kira, karya itu adalah karya picisan dari segi idea dan perwatakan. Bagaimana pula Naratif Ogonshoto yang menjadikan kejahatan sebagai simbol perjuangan sekumpulan Mafia di sebuah pulau buatan? Bagaimana novel TIVI yang penuh dengan episod persetubuhan itu? Ini semua menuju ke arah teksdealisme dan Mana Sikana yang menyokong karya picisan dan lucah ini atas nama modenisme dan pascamodenisme.  Nampaknya kritikan sastera Malaysia sendiri tidak saja menghadapi krisis nilai yang teruk, malah lebih teruk lagi kritikan itu dan para pengamalnya menyokong kemunculan karya picisan dan lucah sebagai sebahagian daripada keunggulan para sasterawan negara yang menulis dalam konteks modenisme dan pascamdenisme. Tidakkah inilah pendirian jelas Mana Sikana ketika menyokong Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad?

Semua ini dilakukan oleh Mana Sikana dalam usahanya untuk kembali ke akar diri sendiri yang menjadi judul magnum opus kritikannya, Berdiri di Akar Diri: Kritikan  Sastera Melayu Pascamoden (ITBM, 2013). Walaupun dalam judul itu sendiri terdapat kontradiksi yang amat ketara antara “akar diri” dengan “pascamoden”, yang sudah tentu mempunyai ciri masing-masing yang saling bertentangan, manakah yang menjadi pilihan? Menurut Mana Sikana, mestilah kedua-duanya,  tidak boleh salah satunya, kerana menurut logik beliau, yang dikatakan “akar diri” itu memang menggambarkan ciri pascamoden. Tentu saja yang menjadi akar itu tidak dapat tidak berasaskan nilai-nilai Islam, yang menurut Mana Sikana mesti tunduk kepada kehendak nilai-nilai pascamoden jikalau sastera Melayu ingin melangkah ke dunia antarabangsa. Pedapat ini memang disokong dengan kuat, malah menjadi teras Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang ditayang dengan megah dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Lihat saja nasihat sasterawan negara Muhammad Haji Salleh yang menganjurkan para sasterawan Malaysia mencotohi Salman Rushie, yang menghina Rasulullah SAW dan keluarga baginda dalam novel beliau, The Satanic Verses, dan Muhammad Haji Salleh sendiri yang mengagumi mephistopheles, Raja Iblis dalam karya Goethe, Faust itu. Bagi Mana Sikana dan para sasterawan negara, Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad adalah pilihan terbaik untuk dijadikan panduan kerana memang cocok dengan kehendak modenisme dan pascamodenisme. Mana Sikana tentulah sangat gembira kerana prinsip “perlanggaran” (ejaan lama yang sebati dengan sebutan) yang menjadi tonggak teksdealisme sudah diterima oleh para sasterawan negara sendiri, melalui sokongan mereka terhadap Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad. Tetapi keputusan ini menimbulkan persoalan yang sangat aneh, yang kalau tidak berhati-hati orang yang menerimanya boleh dituduh “sasau budaya”, sudah hilang nama sendiri dan tak tahu lagi siapa ibu bapanya. Buku Mana Sikana yang ingin kembali kepada akar diri sedang bergelumang dalam lumpur pandirisme yang diberi nama modenisme dan pascamodenisme. Mari kita lihat dan baca kisah penglipur lara teksdealisme ini.

Satu keistimewaan Mana Sikana ialah sikap positif beliau terhadsap teori sastera Barat, tetapi kebencian beliau yang melampau terhadap gagasan Persuratan Baru, padahal PB melakukan “perlanggaran” yang paling seru dan hebat yang pernah berlaku dalam kritikan sastera Malaysia, malah yang dengan berani dan berwibawa mencabar semua teori Barat dilihat daripada perspektif Islam yang menjadi dasar dan teras PB.  Sikap positif beliau yang melampau terhadap teori Barat yang memang bertentagan dengan Islam dari segi kedudukan ilmu, dan kebencian beliau yang tiada taranya terhadap PB, menimbulkan pertanyaan yang tidak dapat dielakkan: Adakah Mana Sikana ini tidak mempunyai kejujuran akademik dengan menganggap PB sebagai musuh peribadi beliau yang akan meruntuhkan istana pasir yang beliau bina dalam kritikan sastera melalui teksdealisme?  Walaupun buku beliau yang menjadi magnum opus dalam kritikan sastera Malaysia, mengenai “kembali ke akar diri” dalam koteks pascamodenisme memberi senarai, dimulai dengan taabudiyyah ciptaan beliau yang sudah mati beragan, diikuti dengan “teori” yang bukan teori oleh sahabat dan guru beliau, dengan sengaja meninggalkan PB degan alasan PB tidak relevan dan tidak boleh dianggap sebagai teori sastera. Keanehan  behaviour Mana Sikana dalam menghadapi saingan kepada teksdealisme yang kononnya islamik itu, menimbulkan dua masalah kepada beliau sendiri. Pertama, keupayaan kognitif beliau agak rendah sehingga tidak boleh memahami PB dalam kefahaman yang paling naif sekali pun. Kedua, beliau secara sedar, dan tanpa segan silu, menolak teksdealisme sendiri yang tidak boleh dipakai untuk menilai PB secara akademik walaupun PB telah “melanggar” kesemua pendekatan yang popular yang dipakai di Malaysia, termasuk teksdealisme sendiri. Sikap skezofrenik (istilah beliau sendiri yang dipetik oleh K. B.Tan dalam tulisannya) yang beliau, Mana Sikana, serlahkan menimbulkan keraguan yang sangat besar terhadap kedudukan teksdealisme dalam kritikan sastera, yang secara akademik amat naif dan dari segi ilmu amat bertentangan dengan konsep ilmu yang difahami oleh para sarjana yang siuman.  Sikap sangat negatif yang ditunjukkan oleh beliau, Mana Sikana, dalam fahaman ilmu ini meletakkan beliau, Mana Sikana, di tempat paling rendah dalam perkembangan ilmu dan budaya ilmu di Malaysia, yang dikenali sebagai bullshit dalam huraian Prof. Frankfurt dan sebagai idle talk, ocehan, dalam kritikan ahli falsafah Martin Heidegger ketika menempelak sifat mengada-mengada para sarjana yang seolah-olah membicarakan sesuatu yang penting dalam bidang ilmu, padahal pada hakikatnya hanya sejenis ocehan, idle talk saja. Buku beliau, Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden, adalah satu hasil penulisan bullshit yang setiap halaman memberi gambaran yang jelas akan betapa rendahnya kualiti tulisan kritikan beliau. Nampaknya beliu sedar akan hal ini, dan insaf bahawa teksdealisme tidak membawa dirinya jauh melangkah ke arah keunggulan yang menjadi mimpinya; sebaliknya teksdealisme menjadi peghalang kepada kemajuan kreatif dan mungkin yang lebih penting menjadi  penghalang kemajuan dalam bidang kritikan. Kedua-dua bidang ini menjadi lumpuh kerana munculnya ocehan atau idle talk yang diberi nama teksdealisme, yang amat jelas tidak dapat melonjakkan Mana Sikana sendiri untuk mencipta karya unggul dalam bidang kreatif, jauh sekali dalam bidang kritikan atau dalam bidang akademik. Saya belum lagi bertemu karya Mana Sikana yang hebat, sama ada dalam bidang kreatif mahupun dalam bidang kritikan. Beliau memang banyak menulis, tetapi ibarat buih di laut, yang nampak terayun-ayun di tengah lautan, tetapi tidak berguna. Lebih baik jika yang hanyut itu sebiji kelapa, yang akan terdampar di suatu tempat yang ada tanah, yang tumbuh di situ dan memulai rumpun kelapa di situ. Kalau teksdealisme gagal untuk diri Mana Sikana sendiri, bagaimana idle talk yang dipanggil teksdealisme itu boleh membawa seseorang sasterawan mencipta keunggulan dalam berkarya? Semuanya hanya impian bullshit yang bertentangan dengan kemunculan karya yang kita lihat sama sekali tidak sampai ke tingkat unggul itu. Mana Sikana berkata, “Situasi sastera kita dalam keadaan lembap. ... Teori Teksdealisme ini diciptakan sebagai usaha pembinasaan kelembapan ke arah dinamika dan maju” (hal 92).  Yang perlu ditanyakan terlebih dahulu oleh Mana Sikana ialah mengapa sastera Melayu lembab? Tentu ada sebabnya. Apakah sebab-sebab itu? Mana Sikana tidak ada jawapan, kerana beliau selain tidak tahu, tidak pula ambil tahu secara serius. Baiklah saya beritahu beliau dan para pengikut beliau, sastera Melayu menjadi lembab kerana dikuasai seluruhnya oleh budaya pandirisme, yang boleh dijadikan kiasan sebagai keldai di kincir air, sudah berjalan beribu batu, tapi masih di tempat yang sama. Itulah bandingannya sastera Melayu itu masih cetek meraba-raba kerana terlalu terikat kepada teori luar, terutama teori Barat, yang anti-ilmu. Masalah kita ialah masalah ilmu, kerana orang seperti Mana Sikana menolak konsep ilmu yang dianggapnya tidak relevan dalam perkembangan kebudayaan tinggi. Ketika membentangkan kertas kerja tentang teksdealisme pada tahun 1994 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Mana Sikana  menulis menegaskan dalam kertas itu begini: “[Teksdealisme] melalui penyaringan Islam yang saya lakukan sendiri” (Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, DBP 1995, hal. 228). Dalam buku terbaru ini, Islam sudah hilang sama sekali, sebaliknya yang diagungkan ialah nilai-nilai pascamodenisme yang menolak agama. Adakah inilah ubat yang diperakukan oleh Mana Sikana untuk mengatasi kelembapan sastera Melayu sekarang?  Persis inilah mentaliti keldai di kincir air ... Sebenarnya apa sudah jadi dengan tokoh besar ini? Saya tidak bersetuju dengan sindir-ejek beberapa sarjana nakal yang berkata karya Mana Sikana lebih mendekati “tunggul” daripada “unggul.”  Tunggul-tunggul Gerigis adalah karya Shahnon Ahmad paling unggul menurut pertimbangan Mana Sikana, dengan itu membuktikan tunggul juga boleh menjadi unggul.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2/5/2015.


No comments:

Post a Comment