Catatan: Penjelasan
ringkas tentang pandirisme. Istilah
ini penting kerana ia menggambarkan dengan tepat ciri masyarakat Malaysia pada
waktu ini, baik dalam politik, pentadbiran awam, kebudayaan dan kesusasteraan.
Istilah yang berasal daripada falsafah hidup Pak Pandir ini menggambarkan suatu sikap mental yang kini menjadi aliran arus
perdana di Malaysia. Menurut Pak Pandir,
semua kesimpulan perlulah bersifat empiris, berasaskan pengalaman seharian;
dari situ keputusan dibuat untuk terus dilaksanakan. Inilah falsafah Pak
Pandir yang memang tepat dengan perilaku
beliau. Contoh: Ketika disuruh Mak Andeh membeli padi, dia mendatangi pesawah
dan tertarik melihat timbunan padi hampa. Dia terus saja mengaut padi hampa itu ke dalam guni besar dan memikulnya sambil
bersiul riang kerana guni itu ringan. Tiba di anak sungai, dia lihat beribu
ekor semut meniti sebatang ranting yang merintang anak sungai itu. Sebagai
seorang ahli falsafah yang menggunakan logik, dia memutuskan, jika beribu ekor
semut boleh meniti ranting itu, tentulah dia seorang boleh menitinya juga.
Ranting patah, dia terjatuh ke dalam sungai, diselematkan oleh guni padi
hampanya dan sampai juga ke seberang sungai. Dalam episod ini, walaupun Pak
Pandir kenal padi, tetapi dia tidak dapat
membezakan padi hampa dan padi berat. Anda akan lihat nanti betapa pentingnya
episod ini dalam konteks kesusasteraan Melayu. Bolehkah kita berkata Pak Pandir
tertipu oleh realisme semu? Dalam kisah
lain, apabila Mak Andeh menyuruhnya menjemput lebai dan haji, dia bertanya
siapa haji dan lebai itu. Maka jadilah seperti dalam cerita jenaka yang masyhur
itu ... Jika kita perhatikan, semua tindakan Pak Pandir berasaskan maklumat yang betul, tetapi tafsirannya salah kerana
akalnya digunakan untuk membuat keputusan yang mudah, tanpa melihat segi lain
yang lebih penting, maka salahlah keputusannya. Itulah secara ringkasnya maksud
pandirisme. Sekarang kita lihat
bagaimana pandirisme dijadikan asas untuk menilai karya akademik, karya
kreatif, dan lain-lain tulisan. Kita
akan gunakan Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 sebagai bukti betapa maharajalelanya
pandirisme dalam kesusasteraan Melayu. Saya akan tumpukan ulasan saya pada
bahagian buku-buku kritikan dan kajian, hal. 71-84 Laporan Panel.
____________________________________________________________________________
Sebaik saja Perdana Menteri sekarang berjaya merebut
kuasa hasil dari intrig dalaman, dengan sokongan bekas Perdana Menteri sendiri
yang sangat marah dan kecewa dibekukan oleh Perdana Menteri pilihannya, dua perkara besar dilakukan oleh Perdana
Menteri sekarang. Pertama sekali, mengembalikan bekas Perdana Manteri yang
gemarkan namanya tersiar dalam semua media itu muncul dalam setiap peristiwa
politik di Malaysia, memberi komentar seolah-olah beliaulah Perdana Menteri.
Perbuatan ini mendapat sokongan dari sebahagian ahli UMNO, tetapi dibenci oleh
sebahagian besar rakyat Malaysia. Berapa
besar sebahagian besar itu? Kita tidak perlu tahu kerana tidak mungkin dapat
membilangnya seperti kita dapat membilang biji petai satu papan; tetapi memang
terdapat kebencian rakyat setelah mereka tahu perangai sebenar pemimpin tua
itu. Perkara kedua yang diakukan oleh Perdana Menteri lantikan tak langsung
oleh bekas Perdana Menteri itu ialah merosakkan semua polisi yang dahulunya
sudah diterima dan memang dimaklumi.
Dalam masa bapanya, idea Malaysian Malaysia dari kumpulan Cina yang
pekat semangat perkaumannya tidak diterima; ketika itu nasionalisme Melayu
cukup kuat, dengan sokongan golongan politik kiri; dan ketika itulah dirumuskan
Prinsip Kebudayaan Kebangsaan. Kini semua itu tidak terpakai lagi, sudah
ketinggalan zaman. Yang menarik ialah, para sasterawan sendiri tidak menerima
idea Kebudayaan Kebangsaan itu seperti yang dirumuskan pada tahun 1971 dalam
satu kongres besar. Jasa Perdana Menteri baru ini yang terbesar ialah menerima
Malaysian Malaysia dengan memberi nama baru, Satu Malaysia. Di bawah polisi
ini, para menteri diturunkan darjatnya menjadi seperti budak-budak sekolah
untuk mengibarkan bendera Malaysia sambil meneriakkan slogan “Satu Malaysia”,
diketuai oleh Ketua Murid Agung sendiri yang mendirikan telunjuknya sambil
beteriak “Satu Malaysia”. Bangsawan yang sudah mati dihidupkan kembali dalam
tindakan politik kebudak-sekolahan itu sambil mendirikan telunjuk dengan
ramai-ramai meneriakan korus “Satu Malaysia”. Anda tidak perlu pergi ke Istana
Budaya untuk melihat lakonan Bangsawan ini; setiap saat RTM menyiarkannya di TV
kerajaan (yang dibiayai sepenuhnya oleh rakyat) sambil melihat Ketua Murid
Agung tersengih gembira kerana semua rakyat Malaysia kini sudah diberi
kedudukan baru sebagai kumpulan budak sekolah yang setiap masa, dalam setiap
peristiwa, akan mengibarkan bendera Malaysia sambil menjeritkan slogan “Satu
Malaysia!”. Sekarang terdapat ungkapan
popular, Salam Satu Malaysia, yang dari segi politik sedikit tinggi
kedudukannya daripada salam biasa yang diucapkan oleh orang Islam. Dengan perubahan ini, terjadilah perubahan
besar-besaran dalam gerakan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” dengan memberi
“bantuan untuk rakyat” dari budak-budak sekolah hingga kepada orang tua-tua.
Inilah proses suapan politik yang kini sudah menjadi budaya politik di
Malaysia. Proses suapan ini telah diterima sebagai tindakan politik terbaik
oleh seorang pemimpin politik untuk memastikan undi rakyat akan memihak
kepadanya dan kumpulannya. Sekarang rasuah melalui proses suapan politik ini
sudah diarus-perdanakan dan sudah pun diterima oleh rakyat, tanpa disedari
mereka bahawa mereka diasuh untuk menerima rasuah dalam bentuk baru. Konsep
rasuah itu sendiri sudah ditakrifkan dari segi undang-undang semata-mata, tidak
lagi berunsur etika dan moral. Walaupun akar
rasuah ialah moral yang rendah atau tidak bermoral, namun dari segi
undang-undang, moral tidak memainkan peranan, oleh itu seseorang pemimpin boleh
bergelumang dalam rasuah jika rasuah itu dilakukan mengikut proses
undang-undang. Bolehkah anda pastikan wawasan 2020 tidak mempunyai unsur rasuah
atau dijangkiti unsur rasuah sedikit pun? Atau itulah kemuncak proses rasuah
yang paling lihai pernah dicetuskan oleh seorang ahli politik? Misal yang lain,
yang lebih biasa, bayangkan anda mempunyai syarikat, dan menang sesuatu tender,
peluang anda untuk mendapat tender itu tidak semestinya bergantung sepenuhnya
kepada kemampuan anda membuat pembidaan yang terbaik: anda mempunyai peluang
yang lebih baik jika anda mempunyai hubungan dengan pihak yang menguruskan tender
itu. Maksudnya, anda dikenali dan boleh berunding selepas mendapat tender itu.
Dari segi prosesnya, selepas sebulan atau lebih sedikit, anda akan diberitahu
supaya belanja sebenar projek itu dikira semula dengan teliti. Jika anda diberi
tender sepuluh juta, adalah biasa anda akan menaikkan harga tender sampai tiga
puluh juta kerana adanya perubahan/penyesuaian dari segi reka-bentuk dan dari
segi harga barang yang sentiasa naik; tetapi pembayaran yang akan dibuat kepada anda di atas jumlah sepuluh juta itu. Siapakah
yang mendapat dua puluh juta lagi?
Jangan terlalu cepat hendak menuduh terdapat unsur rasuah di sini,
kerana dari segi undang-undang perbuatan itu memang dibenarkan, juga dari segi
ekonomi (tentang harga barang dan kenaiknan upah pekerja dan sebagainya). Jika
anda melihat ahli politik kaya raya, maka anda harus faham mereka adalah
pengamal undang-undang yang ketat dan cukup setia dengan peruntukan
undang-undang itu. Jika anda menuduh sembarangan, anda akan dihukum kerana memfitnah,
sebab pengamal undang-undang yang mendapat faedah ekonomi yang begitu besar
adalah tokoh-tokoh politik yang menjadi kepercayaan pengundi dan orang ramai. Merekalah yang menggubal undang-undang untuk
melindungi kepentingan mereka. Di Malaysia persoalan begini tidak dibicarakan
berterangan, kerana risikonya amat besar: anda akan disiksa dan dipenjarakan
hanya kerana anda berkata benar.
Mengapa cerita ini masuk dalam blog yang membicarakan
persoalan persuratan dan kesusasteraan? Kaitannya terjadi di sekitar konsep
moral tadi. Panel Anugerah Sastera Negara telah mengisytiharkan bahawa moral
tidak perlu dalam sebuah karya kreatif, apatah lagi jika yang menekankan moral
itu seorang sasterawan. Semua laporan
Panel Anugerah Sastera Negara menekankan bahawa soal moral dan segala yang
berkaitan dengannya tidak harus dijadikan isu dalam penilaian sesebuah karya,
oleh itu seseorang sasterawan yang mementingkan soal moral bukanlah seorang
sasterawan tulen yang objektif dan menulis dalam konteks realisme sebenar
seperti yang diajar dalam teori sastera Barat. Realisme tidak memerlukan moral,
cukup dengan pemerian terperinci tentang kejahatan yang berlaku dalam
masyarakat untuk dinilai sendiri oleh pembaca. Dengan sikap ini, kebebasan
seseorang sasterawan adalah terjamin, dalam erti dia tidak perlu terikat dalam
apa juga kekangan moral, terutama dari konteks agama (Islam). Oleh itu dia bebas menulis tentang apa saja
dalam semangat realisme tadi. Maka lahirlah segala karya yang membicarakan
segala aspek kehidupan “realistik” manusia seperti perzinaan, pembunuhan,
penipuan, korupsi dan sebagainya dengan unsur seks dan segala perlakuan
kejantinaan menjadi bumbu penting dalam penulisan kreatif. Aspek ini ditiru
oleh ahli politik berkuasa yang menjadikan perlakuan seks sebagai senjata untuk
menjatuhkan seseorang musuh politik mereka. Sesuai dengan kemajuan dalam
pembikinan filem dan video, maka mereka menggunakan teknik itu untuk “bercerita
dengan gambar” tentang kegiatan seks seseorang musuh politik; dan ini dikaitkan
dengan hukum agama, dengan meminta orang yang dituduh itu bersumpah bahawa dia
tidak melakukannya. Anda tentu dapat mengesan bagaimana soal moral dijadikan
isu penting dalam serangan politik yang dilakukan dengan nekad tanpa sebarang sekatan
moral. Pendek kata, soal moral ini dijadikan senjata untuk bertindak secara
paling tidak bermoral. Bagaimana ini dipamerkan dalam penilaian sastera? Anda
harus membaca dengan kritis sebarang penilaian yang dibuat oleh para juri,
terutama sekali yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Bagaimana ini tercermin dalam kegiatan kesusasteraan? Saya telah banyak kali menulis tentang
kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara meletakkan suatu standard berasaskan
ukuran yang boleh diuji ketepatannya melalui pembacaan yang teliti terhadap
karya-karya yang dinilai. Kerana tidak adanya ukuran yang standard ini, maka
“penilaian” Panel keseluruhannya berasaskan common
sense yang sering kali nonsensical.
Saya telah memberi banyak contoh dalam tulisan yang lalu, dan telah memberikan
secara khusus beberapa laporan Panel mengikut tahun ditulis. Kegagalan kedua,
sebagai akibat daripada yang pertama, ialah tiadanya suatu arah yang pasti
dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia yang ditunjukkan oleh Panel.
Arah yang dimaksudkan hanya boleh dilihat jika Panel menetapkan suatu tahap
kemajuan yang ingin dan boleh dicapai dan dapat pula diperlihatkan dalam
laporan seterusnya. Apakah yang terjadi?
Tidak ada apa-apa kemajuan yang dapat
dilihat dalam karya para sasterawan negara yang dapat dikira berlainan satu
sama lain, yang boleh dijadikan hujah untuk memilih mereka sebagai sasterawan
negara. Kesemua mereka adalah sama taraf dari segi kemampuan kreatif yang
mereka tunjukkan dan dari segi “pemikiran” yang mereka paparkan dalam karya
mereka. Tetapi dari segi kedudukan, mereka diberi tiga darjat, mengikut mitos yang
dibangunkan ke atas mereka. (Ini pun telah saya bincang dalam blog ini.) Para ahli Panel hanyut dalam khayalan common sense mereka; sama seperti para
sasterawan ini hanyut dalam dunia kreatif mereka kerana tidak mempunyai asas
ilmu yang benar. Siapakah yang
mengatakan, dan apakah hujah mereka, bahawa konsep sastera acuan Barat itu
adalah terbaik untuk ditiru dan dipraktikkan oleh para sasterawan Malaysia?
Siapa pula yang menafikan persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar tidak dapat menghasilkan karya kreatif yang
bermutu tinggi? Apakah hujah mereka dan apakah bukti mereka? Untuk itu, mereka
harus membaca dua buah buku
penting: (1) Decolonising
the University: The Emerging Quest for Non-European Paradigms (USM 2012);
(2) Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance (UNESCO,
Cairo 1977). Buku (1) cukup menarik dan
wajar dibaca oleh semua sasterawan, sarjana sastera dan para pengkritik. Buku ini penting kerana isinya memperihalkan
tingkah-laku akademik mereka yang
disebut itu dengan tepat dan kadang-kadang memeranjatkan, secara langsung
memberi contoh bagaimana pandirisme dijadikan
budaya akademik dan juga dipraktikkan dengan bebas dalam kritikan sastera,
mungkin tanpa disedari kerana sudah terlalu biasa dilakukan, sudah dijadikan
arus perdana!
Tan Sri Zulkifli Abdul Razak, yang dulunya pernah
dilantik menjadi VC USM (selama 10 tahun)
dan telah berjaya meletakkan universiti itu sebagai universiti terbaik
di Malaysia, dalam tulisannya, “Reflections on Decolonising Our Universities,”
yang dimuat dalam buku pertama di atas, memberikan pendapat yang menarik
tentang fungsi universiti dan kedudukan ilmu di universiti. Saya kutip
pandangan beliau yang saya kira relevan dengan rencana ini. Pada pendapat saya, perkara-perkara yang
beliau sebut dalam tulisannya itu tepat sekali dengan proses pembentukan budaya
pandirisme dalam sistem pendidikan
Malaysia. Sistem inilah yang akhirnya melahirkan para penilai sesuatu sayembara
penulisan atau yang diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam sesuatu projek
pemilihan karya untuk diberikan hadiah.
Antara lain beliau berkata: “I must admit that I am
still uncomfortable with the notion of a ‘university’ as it is generally
understdood. I often question whether this is the ‘right’ university that I am
leading” (hal. 8). Satu kemusykilan yang bagus diutarakan. Jika kita bertanya
Pak Pandir, apakah jenis universiti yang beliau mahu? Saya yakin beliau akan
menjawab, “Sebuah universiti yang tidak melahirkan terlalu ramai Pak Pandir.
Cukuplah aku seorang yang diberi gelaran itu!” Tetapi masalahnya ialah, ajaran
Pak Pandir dalam bentuk pandirisme telah dijadikan institusi dalam kehidupan
kita. Jika anda tidak bersetuju dengan
kenyataan ini, maka saya akan menempelak anda dengan menjegilkan mata sambil
berkata, “Anda telah dikhayalkan oleh budaya padirisme ini sehingga anda tidak
sedar anda salah seorang dari penganutnya.” Dalam bahasa kaum Marxist, inilah
sejenis “false consciousness” yang
menutup kesedaran sebenar tentang hakikat pandirisme itu sendiri. [Tentang
definisi false consciousness, lihat The Blackwell Encyclopaedia of Political
Thought (1995, hal. 146-147)].
Beberapa contoh false
consciousness dalam bentuk pandirisme dapat dilihat dalam laporan Panel
Anugerah Sastera Negara. Contoh-contoh itu begitu ketara sehingga tidak perlu
disenaraikan di sini.
Beliau meneruskan pandangannya (bercakap tentang The
Bologna Process): “If we look at the Bologna Process, everything about it is
quite palatable except for the last item which enjoins ‘promotion of the
European dimension in higher education in terms of curricular development and
inter-institutional coopertion’. The
words ‘European dimension’ opened my eyes. ... What it means basically when we
talk about European dimension is that all initiatives, challenges, perspectives
and assumptions will be based on a European, particularly west European,
construct” (hal. 9).
Apa bezanya dengan ukuran yang dipakai dalam
menganalisis dan menilai karya sastera? Malah karya sastera itu sendiri memakai
acuan Barat (Eropah, Amerika Syarikat dan lain-lain yang sejenis
dengannya). Apa salahnya? Tidak ada
salahnya, kerana dengan berbuat begitu tidak ada lagi halangan untuk bertindak
bebas, semuanya dilakukan atas nama kemanusiaan sejagat. Terkandung dalam
konsep kemanusiaan sejagat itu ialah segala perbuatan maksiat sejagat, segala
perbuatan syirik sejagat, dan segala perilaku yang bersifat hedonistik yang
diasaskan kepada kemahuan hawa nafsu manusia yang rendah. Sekali lagi, jika
anda membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan karya para sasterawan
negara, sifat-sifat di atas amat dipandang tinggi, kerana itulah ciri-ciri
kesusasteraan yang universal! Inilah perkara
utama yang diajar di universiti dan yang dijadikan ukuran dalam menilai karya
kreatif dan kritikan. Kesedaran seperti
yang ditunjukkan oleh VC Zulkifli Abdul Razak tidak pernah timbul dan tidak
pernah wujud dalam kesedaran para sasterawan, pengkritik sastera dan para
sarjana sastera. Inilah jenis manusia yang kita lihat yang menjadi penentu baik
tidaknya sesebuah karya sastera Melayu. Mereka adalah hasil daripada pendidikan
(?) di universiti yang ukurannya ditentukan di Barat. Dalam dunia akademik yang
melahirkan para penilai ini, kita tidak
melihat apa-apa kemajuan dari segi berfikir dan keunggulan kreatif, kecuali
sedikit sebanyak perubahan atau kelainan yang pada hakikatnya menyesatkan
mereka semua dan pembaca mereka. Cuba anda perhatikan betapa gigihnya para
penyokong budaya hedonisme ini apabila mereka terkesan adanya kritikan terhadap
karya para sasterawan negara. Apa gunanya para sasterawan dipilih jika untuk
dikritik kemudiannya? Dengan andaian itu, mereka ini menjadi penentang
perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu, seperti yang akan kita lihat
dipamerkan dengan megah dalam “Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia
2010/2011”, terutama dalam Bahagian Esei/Kritikan/Kajian Sastera.
Dalam analisis berikutnya, saya menggunakan retorik stylization of ideas untuk menunjukkan teknik
ini pun boleh dipakai dalam tulisan berbentuk esei sebagai sejenis teknik
retorik untuk memperkuat makna beberapa idea penting yang dikemukakan dalam
esei berkenaan. Jika anda tersasasr jauh, anda akan terpinga-pinga. Anda tidak
akan faham membaca tulisan ini seterusnya jika anda tidak dapat mengaitkan
kutipan daripada VC Zulkifli dengan penghujahan berikutnya. Perut anda perlukan
padi berat untuk mengenyangkan; intelek anda perlukan stylization of ideas untuk mengenyangkan tembolok intelektual anda.
Dalam laporan DBP terbaru, tidak dimuat senarai akhir
buku kajian, kritikan dan kumpulan esei yang dinilai. Padahal semua bahagian lain
menyiarkannya. Mengapa dikecualikan bahagiah kritikan ini? Timbul
bermacam-macam andaian: ada yang beranggapan hal ini terjadi kerana adanya
penentangan kuat terhadap Persuratan Baru. Antara buku yang termasuk dalam
senarai terakhir ialah karya Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani tentang
Persuratan Baru, berasal dari tesis Ph.D. beliau. Juri berasa menjadi
tanggugjawab mereka untuk menolak apa juga buku yang membicarakan Persuratan
Baru, bermula dengan Laporan 1992/93 hingga sekarang. Antara hujah yang pernah
kita dengar ialah PB, jika diterima, akan menghumban semua sasterawan negara ke
dalam tong sampah. Apakah yang membuat timbulnya anggapan negatif ini? Pertama, ini menunjukkan betapa kuatnya
pengaruh Barat, sehingga kewujudan sasterawan negara bergantung sepenuhnya
kepada teori dan pendekatan Barat. Kedua, tiadanya toleransi terhadap pandangan
atau pendekatan alternatif yang dikira boleh menjejaskan kedudukan sasterawan
negara dan ahli akademik sendiri. Oleh itu, PB harus disingkirkan sepenuhnya
daripada gelanggang kritikan sastera di Malaysia. Adakah perbuatan ini
rasional? Sebenarnya masalah rasional ini terlekat di kerongkong akademik para
sasterawan dan sarjana sastera, sehingga menimbulkan keadaan ditelan mati emak,
diluahkan mati bapa. Biarlah terus menderita dari segi akademik asalkan
pegangan lama dapat diteruskan. Ini suatu pendirian yang amat lekeh dan selekeh
untuk dijadikan pegangan oleh para sarjana kita. Keselekehan itu terlihat
dengan ketara sekali dalam penilaian terhadap genre kajian sastera, kritikan
dan lain-lain yang disebut di atas. Kumpulan tidak rasional ini menjadi tidak
realistik dan degil, sehingga merosakkan kedudukan akademik mereka sendiri.
Mereka tidak realistik kerana cuba menghalang berkembangnya PB. Mereka menjadi
degil, oleh itu tidak rasional, dengan mahu terus berpegang kepada teori Barat.
Di sini pendirian Dr. Saleeh Rahamad amat relevan untuk dijadikan pertimbangan.
Dalam sambutannya kepada posting bertarikh 16 Mei 2012, beliau menulis begini:
Terima kasih
tuan...Walaupun semua itu tidak benar sama sekali saya berbangga kerana masih diberi
perhatian. Saya memang berhajat untuk menjemput tuan memberikan ceramah tentang
sastera tetapi belum ada kesempatan. lama sebelum ini telah saya simpan hasrat
itu. TIdak pernah saya menentang Persuratan baru walaupun saya tidak menolak
pendekatan lain. saya meraikan semuanya. salam Ramadan, semoga terus sihat dan
sejahtera.Mohon alamat emel tuan.. hantar kepada emel saya:
maisarah43@hotmail.com..saya ada hasrat untuk menjemput tuan memberikan
ceramah..tetapi bukan kerana tulisan tuan ini. Memang sejak dulu saya menyimpan
hasrat ini.
Penegasan Dr. Saleeh Rahamad “tidak pernah menentang
Persuratan Baru” adalah wajar dan memang tidak munasabaah jika terdapat ahli
akademik memusuhi Persuratan Baru. Tetapi harapan itu tidak semestinya benar,
kerana terdapat sedikit percanggahan antara pengakuan dengan perilaku sebenar yang tidak serasi dengan pengakuan itu. Adakah ini bermakna sarjana seperti ini turut
percaya jika Persuratan Baru dibiarkan berpengaruh, maka para sasterawan negara
akan dicampak ke dalam tong sampah? Dalam dunia serba mungkin seperti yang terdapat
di kalangan ahli akademilk dan sarjana sastera Melayu, pandangan-pandangan
tidak berasas begini akan terus diraikan dan dijadikan pendapat yang bertaraf
arus perdana. Sampai bila keselekehan
begini akan diteruskan?
Anggota panel yang menilai buku-buku kajian, kritikan
dan antologi esei terdiri daripada tiga orang sarjana: Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz (USM), Prof. Madya Dr. Hashim
Ismail (UM), dan Dr. Norhayati Ab.l Rahman (UM). Ketiga-tiganya telah menerbitkan tesis Ph.D.
masing-masing, yang memenuhi kriteria yang mereka jadikan ukuran dalam analisis dan penilaian
yang mereka buat terhadap buku-buku dalam genre Esei/Kritikan/Kajian Sastera
(hal. 71-84 manuskrip laporan). Ukuran
itu seperti berikut: “Kriteria-kriteria yang digunakan ialah penulisan yang
kritis, sistematik dan bertanggungjawab, menggunakan teori/pendekatan/konsep
kritikan yang relevan dengan tujuan penulisan dan menyumbang kepada
perkembangan ilmu sastera. Panel juga menilai aspek ketepatan dan kejelasannya,
selain menunjukkan pemahaman dan penguasaan penulisnya terhadap subjek yang dipilih.
Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang adalah penting.
Penulisan yang baik diharapkan berupaya menampilkan suatu penemuan baharu, atau
memberikan pemikiran serta perspektif baharu terhadap kajian yang sedia ada
serta membijaksanakan pembaca.”
Ayat yang berbunyi “memberikan pemikiran serta
perspektif baharu terhadap kajian yang sedia ada serta membijaksanakan pembaca”
nampaknya tidak dapat diberikan oleh “kajian” mereka sendiri. Tentang Prof. Dr.
Sohaimi Abd. Aziz, amatlah menarik pandangan kritis Dr. Abdul Halim Ali ini:
“Pengalaman estetik yang diketengahkan oleh Sohaimi Abdul Aziz dalam teori (sic) Rasa-Fenomenologi
tidak dijelaskan secara tuntas,
bagaimanakah rasa itu berkait secara langsung dengan nilai-nilai agamawi, jauh
sekali dari usaha untuk membuktikan, bahawa proses fenomenologi yang menjadi lorong kemasukan fenomena rasa ke dalam pengalaman pembaca sewaktu menghayati
sesebuah teks merupakan suatu proses rohaniah yang bersandar pada teras
pengajaran Islam. Rasa dan fenomenologi yang menjadi piawai ukuran tidak
mengambil apa-apa nas yang boleh memancarkan roh keislaman dengan naluri keimanan
dan ketauhidan. Akhirnya, jadilah rasa-rasa yang ditemui dalam teks itu sebagai
rasa-rasa yang terpisah dari roh agamawi”. (Lihat Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, UPSI, Kuala
Kangsar, 28-29 September 2012, hal.
38-39). Jelas dari kajian Dr. Abdul Halim Ali “teori” profesor USM ini gagal
secara total untuk membijaksanakan pembaca, kecuali pembaca yang cetek ilmunya.
Kini tidak kedengaran lagi rasa-fenomenologi
di mana-mana pun, dimusnahkan oleh pencetusnya sendiri yang tidak berupaya
mengembangkan ideanya sendiri. Adakah ini merupakan satu fenomena baru dalam kritikan sastera? Fenomena berebut-rebut melontarkan “teori” sastera yang memang
tidak boleh hidup kerana kelemahan aspek kognitif pencetus dan “teori” itu
sendiri. Aspek ini kelihatan lebih jelas
dalam hasil penilaian terhadap pemikiran orang lain yang langsung tidak
dihormati, dengan menafikan kewujudannya dengan tidak melaporkannya secara
objektif padahal telah diberi tugas dan amanah untuk berbuat demikian dalam
laporan. Apakah nama yang boleh kita berikan kepada fenomena ini?
Kajian Ph.D. (2004) Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul
Rani yang dicetak (2011) dengan judul Seksualiti
dalam Novel Melayu (515 halaman) layak diberi kritikan dalam laporan ini,
kerana memenuhi semua kriteria yang disogok oleh tiga orang juri ini. Apakah
yang menghalang mereka daripada memberi pandangan kritis mereka? Jawapan kepada
soalan ini terselit di celah fenomena
akademik yang menjadi arus perdana, yang tidak berminat kepada idea, tetapi
cukup berminat untuk memberi petua seperti yang dilakukan oleh para penilai
yang tiga orang itu, yang mereka sendiri tidak mahu menggunakannya sekiranya
dengan menggunakan kriteria yang mereka berikan itu akan muncul idea yang boleh
mencabar kedudukan mereka sebagai ahli akademik. Dr. Mohd. Zariat mengambil Gagasan Persuratan
Baru sebagai kerangka analisis dan penilaian beliau untuk membicarakan 20 buah
novel pilihan, termasuk karya sasterawan negara. Buku ini tidak saja penting sebagai sumbangan
akademik khususnya dari segi teori sastera cetusan sarjana Malaysia sendiri,
tetapi juga melalui buku ini beliau telah membuktikan kekuatan Persuratan Baru
sebagai pendekatan yang berbeza daripada yang biasa digunakan. Paling penting,
gagasan Persuratan Baru adalah satu pendekatan alternatif yang cukup berwibawa
dari segi akademik. Sekiranya tiga orang juri ini tidak menerima gagasan
Persuratan Baru sebagai satu pendekatan penting dalam kritikan sastera, namun
mereka tidak dapat menolak kemunculan begitu banyak tulisan sehingga terbina
suatu korpus yang secara langsung menyokong gagasan ini. Antaranya yang penting
ialah idea Dr. Zulkarnain Mohamed yang mengemukakan pendekatan ta’amul-taklif dalam kajian dan kritikan sastera (rujuk Jurnal SARI 29(1)(2011), hal. 137-152; tulisan beliau berjudul,
“Pendekatan ta’amul-taklif dalam
Kajian Sastera”). Prof. Ungku Maimunah
pula memperkenalkan beberapa konsep penting untuk memudahkan lagi PB difahami oleh
kumpulan sarjana sendiri (termasuk tiga orang juri), misalnya konsep ruang
naratif dan analisis mendalam yang beliau lakukan untuk memahami konsep
realisme dari pandangan Barat berbanding dengan pandangan PB. Ini semua menjadi
bukti yang sah bahawa PB sudah mempunyai kedudukan tersendiri dalam kritikan
sastera Melayu, apatah lagi inilah satu-satunya pendekatan kritikan yang boleh
membaca dan menganalisis dengan meyakinkan kegagalan Panel Anugerah Sastera
Negara dalam memberi arah yang betul kepada perkembangan kritikan di Malaysia. Hanya sarjana yang buta ilmu dan buta perut
(kerana matanya celik bulat!) saja yang tidak menyedari perkembangan ini, oleh
itu terus berada dalam posisi Pak Pandir ketika melihat padi hampa bertimbun
lalu tidak peduli lagi kepada padi berat yang memang diperlukan. Aspek pandirisme ini terlalu menonjol untuk
dibiarkan berlalu begitu saja, sehingga orang yang terlibat tidak tahu dan
tidak sedar dia sedang memikul padi hampa!
Salah satu contoh padi hampa yang amat ketara dalam dunia
akademik Malaysia ialah kemunculan feminisme dalam kritikan sastera Malaysia.
Sebuah buku tebal telah diterbitkan dengan judul yang memukau (sekiranya
melihat padi hampa itu memukau Pak Pandir), Puitika
Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit
USM, 2012), oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, berasal daripada tesis Ph.D. beliau.
Jasa paling besar buku yang berasal daripada tesis Ph.D. ini ialah keupayaannya
yang amat memukau untuk membawa karya picisan sama tarafnya dengan “karya
agung” para sasterawan negara. Malah dalam pandangan feminisme yang difahami di
Barat dan yang kemudiannya diikuti di Malaysia, kategori karya picisan itu
tidak pernah wujud, kerana menurut feminisme semua karya kreatif adalah setaraf
dan setiap satu mempunyai keistimewaan masing-masing. Ini ditunjukkan dengan
seluruh kesungguhan akademik (walaupun tidak diberikan pembuktian ilmiah)
bagaimana karya lucah dan picisan, Saman,
diangkat sebagai sebuah karya yang “menerokai unsur-unsur psikologi dalam
kalangan wanita muda (berusia lingkungan 30-an) yang terpelajar, berkerjaya
elit, berfikiran moden dan memperjuangkan kebebasan wanita dalam pelbagai aspek
kehidupan” (hal. 150). Apakah yang
dimaksudkan dengan “memperjuangkan kebebasan wanita dalam pelbagai aspek
kehidupan” itu? Ialah berlangsungnya segala kehendak hawa nafsu rendah manusia,
nafsu kebinatangan dengan segala runtunan Iblis yang “memperjuangkan” kebebasan
untuk menjadi binatang manusia yang terpelajar, moden, berkerjaya elit dan
sebagainya itu. Semua unsur ini diketepikan kerana dalam feminisme yang
diajarkan di Barat, yang ditiru dan dijadikan sandaran dalam kritikan sastera
di Malaysia, nilai tidak penting, tidak perlu dimasuk-kira; kerana yang penting
ialah kemahuan hawa nafsu untuk berbuat apa saja yang bertentangan dengan
tata-susila dan ajaran agama. Inilah sifat utama puitika sastera wanita Indonesia (dan tentu saja puitika sastera
wanita Malaysia). Dari segi akademik, penulis buku ini (lebih tepat: penulis
tesis Ph.D. ini) tidak dapat membezakan ilmu jiwa (psikologi) dengan runtunan
hawa nafsu rendah manusia. Kekeliruan ini menyebabkan seluruh buku ini adalah
keliru, sangat keliru, terutama dalam konteks sistem nilai manusia yang
dihuraikannya. Manusia yang dianalisisnya adalah kumpulan kecil manusia
pinggiran yang biadab, yang menghina diri mereka sendiri dan nilai-nilai agama
yang universal. Itulah feminisme yang difahami oleh golongan ini. Apabila
manusia yang mempunyai fahaman seperti ini diberi tugas dan amanah untuk
menilai karya akademik orang lain, maka mereka akan melihatnya dalam konteks
yang mereka huraikan dalam kutipan di atas. Jika anda masih ingat komentar Dr.
Abdul Halim Ali yang ditujukannya terhadap Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz, maka
anda harus membaca komentar itu dalam konteks feminisme yang difahami oleh Dr.
Norhayati Ab. Rahman ini: “Rasa dan fenomenologi yang menjadi piawai ukuran
tidak mengambil apa-apa nas yang boleh memancarkan roh keislaman dengan naluri
keimanan dan ketauhidan.” Mereka akan berkata, “Kami bukan tidak berminat
kepada soal-soal keagamaan, sebab kami pun orang Islam, tetapi sebagai sarjana
kami menganalisis realiti yang terjadi di dalam masyarakat ...” Saya tidak
perlu komen apa-apa; andalah yang memberi komen jika anda mahu! Ini mengingatkan saya ucapan klasik daripada
sang sasterawan negara yang dianggap sebagai pelopor sastera Islam Malaysia
yang sekali gus membawa karya lucah dan picisan ke arus perdana. Kata Shahnon
Ahmad, salah seorang pemenang Hadiah Ma’al Hijrah: “Jangan marahkan saya kalau
terasa kelucuannya (Nota sisipan: mungkin maksudnya ‘kelucahannya’), terasa
erotikanya, terasa pornografinya kerana saya hanya mematuhi tuntutan realiti
masyarakat dalam berkarya. Saya tidak boleh berbohong dan cuba mengajak pembaca
dari realiti masyarakat. Kelucahan, erotika, dan pornografi ini adalah real; malah sudah pun melampaui
batas-batasnya di luar duga.” (Dewan
Sastera, Oktober 1997, hal. 43). (Huruf condong
dalam teks asal). Bolehkah komentar Dr.
Abdul Halim Ali untuk Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz dikenakan juga kepada Raja
Novelis Malaysia ini? (Gelaran ini dianugerahkan oleh Dr. Mana Sikana aka Abdul
Rahman Napiah). Pandangan Shahnon Ahmad yang cetek ini menjadi kemegahan beliau
dan para pengikut beliau; dari segi itu memang sesuai dengan konsep sastera
yang difahami dan dipraktikkan di Barat, yang juga menjadi pegangan para
sasterawan Malaysia dan tentu saja para sarjana sastera sendiri. Sesiapa yang bertemu dengan Pak Pandir, harus
menceritakan perkara ini kepadanya. Beliau akan tertawa kuat, dan menjawab
bersahaja: “Aku ingat aku saja yang bodoh. Tak sangka pula ada orang lain yang
lebih bodoh daripada aku.” Terus tertawa. Jika ada kesempatan, saya akan menyiarkan
sebuah cerita pendek yang saya tulis lama dahulu tentang Pak Pandir, berjudul,
“Rumah Impian Polan Cupan” (Cupan
akronim “cucu Pak Pandir”. Polan Cupan adalah seorang arkitek besar bangsa
Melayu, yang mendapat ilham daripada Hassan Fathi yang terkenal itu.) Menurut cerita pendek ini, seluruh maruah
bangsa Melayu diselamatkan oleh Pak Pandir dan cucu-cicitnya dengan munculnya
budaya pandirisme dalam masyarakat sebagai budaya arus perdana yang
dipertahankan dengan gigih oleh para sarjana, sasterawan, ahli politik dan
sebagainya.
Mungkin anda tidak percaya, mungkin akan terkejut besar,
jika saya beritahu anda bahawa pelopor feminisme Melayu, tokoh terbesar
feminisme Melayu, ialah Mak Andeh, isteri Pak Pandir. [Mak Andeh kadang-kadang
disebut Mak Andir, atau terkenal dalam loghat Kelantan Pak Ndir dan Mak Ndir].
Untuk memahami kesimpulan ini, anda perlu membaca kembali cerita-cerita Mak
Andeh dan perhatikan bagaimana dia mendidik Pak Pandir supaya terus bodoh,
dengan itu tidak berpeluang langsung untuk melangsungkan kuasa patriakinya ke
atas Mak Andeh. Dalam zaman moden ini, tidak mungkin muncul seorang tokoh
sehebat Mak Andeh yang berjaya menjinakkan seorang intelektual besar seperti
Pak Pandir, yang memberikan kepada kita falsafah pandirisme, untuk terus tunduk
kepada feminisme Melayu yang dipelopori oleh Mak Andeh. Siapa di antara anda
yang berani mencabar kebenaran kesimpulan ini? Dalam konterks ini, kita sudah
pun mempunyai teori feminisme kita sendiri. Mengapa kita perlu memakai pendapat
Elaine Showalter yang boleh menjahanamkan peribadi wanita Melayu, menjadikan
mereka hanyut dalam pemberontakan yang tidak perlu, padahal contoh terbaik
telah diberikan oleh Mak Andeh? Jika
anda masih berfikir dalam konteks pandirisme, anda tidak mungkin dapat memahami
kesimpulan ini sepanjang hayat anda.
Dengan itu anda telah menjadikan feminisme sebagai sebahagian daripada
pandirisme itu.
Anda jangan terburu-buru menghukum bahawa analisis dan
penilaian saya tentang Pak Pandir dan Mak Andeh adalah karut. Apakah alasan
anda untuk mengatakannya begitu? Jika anda seorang pembaca karya sastera yang
cerdik, anda akan bertemu dengan sajak paling hibuh diperkatakan orang, “Pulang
Si Tenggang” oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, seorang sasterawan negara dan
seorang yang digelar oleh kawan-kawannya Tokoh Akademik Negara. Dalam sajak
itu, kisah Si Tenggang kononnya diberi pengertian dan tafsiran baru oleh
seorang pensajak yang juga seorang profesor sastera bahawa Si Tenggang adalah
seorang wira, bukan seorang penderhaka seperti yang diceritakan di dalam
dongeng. Apakah autoriti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh untuk membuat tafsiran
seumpama itu? Seorang profesor telah menerima tafsiran itu dengan mengatakan begini:
“Muhammad melihat Tenggang dari sudut lain. Yang pertama, Tenggang hanyalah
kisah rekaan, jadi perwatakannya boleh dianjak hingga menjadi baik ...”, oleh
itu apa yang dibuat oleh pensajak ini disimpulkan sebagai berikut: “Pengalihan
perwatakan daripada antagonis kepada protagonis dalam karya Muhammad Haji
Salleh tentulah menggongcang fikiran” (Rujuk syarahan perdana Prof. Rahman
Shaari). Anda boleh terima pendapat begini? Katalah anda boleh terima, dan
memang anda perlu terima kerana yang mengucapkannya seorang profesor sastera,
dimuat pula dalam syarahan perdana beliau, maka bagaimana anda akan menolak
tafsiran saya yang menjadikan Pak Pandir seorang intelektual dan Mak Andeh seorang
pelopor feminisme Melayu? Sebenarnya anda tidak mempunyai pilihan, kecuali
untuk bersetuju dengan saya, seperti anda telah bersetuju dan memuji hebat
sajak “Pulang Si Tenggang” itu. Sebenarnya tafsiran saya tidak mengubah
kedudukan dua orang tokoh jenaka ini, yang masih tetap Pak Pandir dan Mak Andeh
dengan segala lawak jenaka mereka yang telah berjaya mempertajam pemikiran
bangsa Melayu andainya mereka dapat membaca cerita-cerita itu dalam konteks
baru sesuai dengan tingkat pendidikan mereka.
Jika anda ingin tahu kecerdikan orang Melayu, lihat bagaimana dia
memberi tafsiran kepada cerita-cerita Pak Pandir ini. Inilah yang dilakukan
oleh Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako), yang sejak zaman mudanya lagi memakai nama
samaran Pak Pandir Moden. Jadi pandirisme
sudah diperkenalkan sejak sekian lama oleh seorang tokoh sastera dan ahli
politik Melayu yang terkenal. Jika anda baca kembali pendahuluan pendek yang
saya berikan pada permulaan tulisan ini, anda akan dapati saya tidak mengubah
apa-apa dalam cerita Pak Pandir. Saya hanya membuat tafsiran berasaskan logik
Pak Pandir sendiri. Sebenarnya buku Dr. Norhayati Ab. Rahman ini pun tidak
lebih dari sejenis tafsiran yang sangat subjektif, berasaskan pandangan Elaine
Showalter. Sejauh mana Elaine Showalter ini lebih bijak daripada Mak Andeh?
Bagaimana kita boleh menentukan pandangan perempuan Amerika ini betul? Sejauh mana siumannya Elaine Showalter ketika
menghujahkan sesuatu? Adakah hujah-hujah itu boleh memberi keyakinan kepada
kita bahawa itulah “ilmu” yang kita perlu ketahui? Walaupun Dr. Norhayati mengatakan perempuan Amerika ini
telah mengemukakan teorinya sendiri, bagaimana kita boleh dengan mudah menerima
“teori” itu sebagai betul? Dia juga membuat tafsiran terhadap sejumlah maklumat
yang dikumpulnya, yang tidak semestinya maklumat yang sah. Di sinilah kita
perlu membezakan antara ilmu dengan maklumat. Di kalangan para sarjana
Malaysia, sangat ramai yang tidak dapat membezakan dua perkara ini. Asal saja
sesuatu maklumat disebut oleh seorang atau tokoh-tokoh sarjana Barat, mestilah
maklumat yang betul. Bagaimana jika maklumat itu palsu? Maklumat itu palsu jika
sumbernya karya sastera, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Norhayati sendiri
dalam bukunya yang mengambil novel-novel picisan sebagai sumber untuk dihempap
ke atas dunia akademik sebagai asas “puitika sastera wanita” hanya dengan
menggunakan bahan-bahan (karya) picisan dan bersifat pornografi. Membaca buku
Dr. Norhayati ini memberi kita gambaran betapa naifnya sesuatu analisis jika
tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Anda perlukan epistemologi untuk
menjadi asas penghujahan anda, tidak hanya sejumlah maklumat yang lebih
cenderung dapat digolongkan sebagai maklumat palsu. Aspek ini telah dibincang
dengan mendalam dalam Gagasan Persuratan
Baru (buku hijau). Lihat di sana jika anda berminat. Apa kurangnya Mak Andeh yang mendidik Pak
Pandir supaya tidak menjadi seorang patriach,
jika dibandingkan dengan Dr. Norhayati dan Elaine Showalter yang mendidik
perempuan untuk memberontak dan menjadi biadab seperti dalam novel Saman?
Pada zaman manusia sudah boleh berfikir dengan kritis, tentulah lebih
ramai yang akan memilih Mak Andeh sebagai pelopor sebenar feminisme. Sarjana
Malaysia harus memberitahu Elaine Showalter dan teman-temannya bahawa pemikir
feminisme pertama ialah seorang Melayu bernama Mak Andeh!
Apakah yang membuat, yang mendorong Pak Pandir memilih
padi hampa? Dia tahu dan dia pun diberitahu terdapat padi berat, tetapi dia
masih memilih padi hampa. Inilah yang melahirkan pandirisme itu. Mengapa? Pertanyaan yang sama boleh kita ajukan
kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Rahman Shaari dan lain-lain yang
menjadi pengikut Prof. Dr. Muhammad Salleh: Mengapa Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh memilih Si Tenggang untuk dijadikan heronya, sebagai tokoh besar dalam
golongan intelektual Melayu? Apakah keistimewaan Si Tenggang? Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh tahu siapa Si Tenggang, sama seperti Pak Pandir tahu ada
padi hampa dan ada pula padi berat.
Kedua-duanya memilih yang mereka pilih kerana kesilapan mereka dalam
menggunakan logik dan kaedah empiris, walaupun kedua-duanya memang logikal
dalam konteks masing-masing. Jika anda faham maksud saya, anda akan faham
mengapa konsep ilmu yang benar itu penting. Jika anda tidak dapat memahami
hakikat yang begitu mudah, anda akan terus terpedaya dan keliru sepanjang hayat.
Dan inilah yang terjadi dalam kesusasteraan Melayu. Para sasterawan dan sarjana
sastera, termasuk ahli akademik yang mengajar sastera, tidak tahu mereka
sebenarnya adalah pengikut Pak Pandir. Mereka melihat pendekatan dan teori
Barat sama seperti Pak Pandir melihat padi hampa; oleh itu mereka memilih
pendekatan dan teori sastera Barat sebagai ikutan, walaupun orang yang sama
sudah sedar bahawa pilihan itu tidak betul (rujuk Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14).
Demikian juga, jika anda membaca syarahan perdana Prof. Rahman Shaari
yang bertajuk, Kemantapan Puisi Melayu
Moden: Satu Tinjauan, anda akan berasa aneh mengapa sebuah syarahan perdana
hanya bertaraf “tinjauan”, bukan suatu analisis mendalam yang benar-benar dapat
memberi sumbangan dalam perkembangan ilmu dalam bidangnya. Ahli akademik bukanlah seorang “peninjau”
seperti seorang wartawan yang meninjau sesuatu berita hangat, atau seorang penyuluh
yang ingin mengetahui rahsia musuh. Ahli
akademik harus tahu peranan mereka dan tujuan syarahan perdana, supaya hasilnya
tidak hanya sebuah esei biasa yang boleh ditulis oleh seorang pelajar yang
pintar. Jika anda sedar, anda akan melihat motto blog ini yang berbunyi: “Sesiapa
yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar.” Dalam hal ini, tidak
ada kompromi. Kompromi tentang kualiti kajian dan pemikiran dalam bidang
akademik akan hanya melahirkan kumpulan pengamal budaya pandirisme, yang
sebenanyra boleh diatasi jika mereka tidak angkuh untuk menerima konsep ilmu
yang benar dalam bidang akademik. Di tempat lain saya menegaskan, “Dalam
hidup ini, kalau kita tidak boleh ditegur, kita tidak termasuk orang yang
pintar. “ (Lihat posting
bertarikh 25/10/2012, “Dunia Akademik Yang Sensitif ...?”).
Anda boleh menguji ketepatan kesimpulan ini dengan menganalisis
sajak “Pulang Si Tenggang” yang disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara
sebagai sebuah sajak intelektual, dengan membandingkannya dengan sajak “Al-Andalus”
(dalam Pujangga Melayu, hal. 106-108). Sejauh mana sajak “Pulang Si Tenggang” itu
sebuah sajak yang kaya dengan unsur-unsur intelektual? Sejauh mana pula sajak
(lebih tepat sanjak) “Al-Andalus” itu
menggambarkan unsur-unsur pandirisme dalam konteks intelektual yang palsu? Dengan membuat perbandingan ini, anda akan
mempertajam daya kritikan anda di samping anda dapat menguji sejauh mana anda
sebenarnya seorang pengkritik atau seorang ahli akademik yang boleh dipercayai
ilmunya dan dikagumi ketajaman analisisnya. Tentu saja saya mengatakan
“Al-Andalus” adalah sebuah sajak perjuangan yang kaya dengan unsur-unsur
intelektual dan pemikiran mendalam terhadap masalah yang dihadapi oleh umat
Islam kini, berbanding dengan sajak “Si Tenggang” yang hanya mencurahkan emosi
peribadi seorang pensajak (bukan penyair, mesti ingat ini!) yang bertentangan
dengan unsur-unsur nilai warisan dalam kebudayaan Melayu. Tentu saja kesimpulan
ini memerlukan perbahasan, dan mana-mana pendapat yang palsu yang dikemukakan perlu
ditolak dengan tuntas supaya pembaca dan bangsa Melayu tidak terkeliru
sepanjang hayat. Cabaran ini wajar disambut, apatah lagi kita kini sudah
mempunyai ahli akademik khusus dalam bidang persajakan. Kita harus mendapat
manfaat daripada mereka yang bertaraf profesor dan sarjana sastera dalam bidang
persajakan ini. Satu permintaan yang
adil, yang tidak wajar dihampakan. Pak Pandir sendiri menghargai padi hampa,
dan perbuatan itu telah menyelamatkannya dari kelemasan di anak sungai yang
deras airnya!
Kepalsuan penilaian akan terjadi dengan mudah jika
persoalan epistemologi ini tidak dibereskan terlebih dahulu. Saya ingin merujuk
makalah Prof. Ungku Maimunah untuk menjelaskan maksud saya. Dalam tulisan
beliau, bertajuk “Novel Harga Sebuah
Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang
Sayembara” (kertas kerja yang dibentangkan di Simposium Kebudayaan
Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 29-30
November 2011), aspek kepalsuan penilaian ini dihuraikan dengan terperinci dan
mendalam dalam makalah ini. Jika anda membaca makalah ini dengan hati-hati dan
kritis, dan membandingkannya dengan beberapa pujian terhadap novel itu (Prof.
Ungku Maimunah menyebut beberapa contoh), anda pasti akan teringatkan betapa
terpesonanya Pak Pandir melihat padi hampa yang bertimbun, sedangkan padi berat
tidak nampak, jadi seolah-olah tidak wujud. Pengajaran yang diberikan oleh Pak
Pandir ini sebenarnya amat penting, kerana daripada pengajaran inilah kita
dapat menghuraikan dengan jelas bagaimana kepalsuan dalam analisis dan
penilaian boleh berlaku dengan mudah dan terus dilakukan tanpa perasaan
terganggu walaupun telah terlibat dalam penilaian palsu tadi, akibat tidak mengetahui atau tidak dapat melihat
“padi berat” kerana terlalu terpesona dengan timbunan padi hampa. Cantik sekali
pengajaran yang diberikan oleh Pak Pandir ini; jadi tepatlah jika berasaskan
pengajaran ini diperkenalkan konsep pandirisme
dalam budaya Melayu dan dalam dunia akademik juga, selain daripada sastera
Melayu yang telah meletakkan pandirisme sebagai peneraju “kemajuan”
kesusasteraan, seperti yang terlihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera
Negara. Anda harus sedar, bahawa
falsafah pandirisme ini milik orang-orang intelektual, ahli akademik, para
sasterawan, wartawan; bukan untuk orang biasa yang berjual beli di pasar tani
atau di mana saja berlaku tawar menawar dalam kegiatan membeli-belah di pasar.
Antara beberapa penilaian berasaskan pandirisme yang
dicatat oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya, yang paling cantik ialah huraian
beliau mengenai ukuran yang ditetapkan yang dilanggar sepenuhnya dalam
penilaian karya. Inilah ukuran atau kriteria yang ditetapkan oleh urus setia
sayembara: “Pada peringkat akhir, panel
telah meneliti manuskrip berdasarkan tiga kriteria iaitu adanya pemikiran,
etika dan visi hidup positif dalam persoalan, penampilan perwatakan positif
serta dinamik, dan kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan baharu yang
berdaya kreatif dengan gaya dan kebahasaaan yang menarik”. Dan ini pula ulasan Prof. Ungku Maimunah
dalam analisisnya: “Analisis Harga Sebuah
Maruah jelas menunjukkan teknik penulisannya jauh daripada baharu, malah
memperlihatkan pembikinan cerita yang konvensional, yang sangat lumrah
kelihatan dalam aktiviti penghasilan novel, dan dalam konteks sekarang,
dianggap lusuh, mundur dan ketinggalan zaman.
Ini bererti kriteria teknik penulisan baharu jelas tidak dipenuhi oleh Harga
Sebuah Maruah. Ini sekali gus mempertikaikan penilaian yang dibuat dan
pengiktirafan yang diberikan itu.
Berdepan dengan analisis ini, adalah sukar untuk mengatakan Harga Sebuah Maruah telah memenuhi
kriteria “menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya kreatif.” Dalam
konteks ini, kemenangan Harga Sebuah
Maruah tidak dapat tiada perlu dibaca sebagai kegagalan Laporan
mengaplikasikan kriteria yang ia sendiri gariskan”.
Kemudian Prof. Ungku Maimunah mengajukan satu soalan
yang sangat penting: “Mengapakah [kegagalan] ini terjadi? Adalah sukar untuk mengatakan para pengadil
tidak arif tentang konsep-konsep sastera, yang dalam konteks plot dan formula
di atas itu [beliau merujuk formula E. M. Forster yang terkenal itu], merupakan
antara konsep sastera yang paling asas sekali. Sudah barang tentu sayembara seistimewa Sayembara Mengarang
Sempena Jubli Emas DBP menghimpunkan sebagai pengadilnya sarjana atau pakar
sastera yang terkemuka, yang tentu sekali tidak mungkin keliru atau mudah
dikelirukan oleh pengertian plot dan formula yang sangat asas itu. Atau, adakah
kriteria yang digariskan itu lebih merupakan melepaskan batuk di tangga,
sebagai memenuhi formaliti yang perlu ada, tetapi tidak mengikat, malah boleh
diabaikan. Apa pun jua penjelasannya, analisis menunjukkan dengan jelas
kriteria “teknik penceritaan yang baharu” tidak diaplikasikan oleh para
penilai, seperti juga Harga Sebuah Maruah
tidak memenuhi kriteria berkenaan. Ini sekali gus bererti mempertikaikan
penilaian yang dibuat dan pengiktirafan yang diberikan itu bukanlah sesuatu
yang tidak wajar, malah ia sesungguhnya perlu diusahakan demi memastikan
integriti penilaian itu sendiri, di samping menjaga mutu karya yang diiktiraf.”
Jika kita melihat “kelemahan” ini dalam konteks pandirisme, maka apa yang terjadi bukanlah
sesuatu yang memalukan, atau yang perlu menimbulkan rasa susah hati para
penilai dan orang yang dinilai. Memang
itulah yang terjadi dan pasti akan terjadi dalam konteks budaya pandirisme itu.
Seperti juga Pak Pandir terselamat kerana memilih padi hampa dan memikulnya
menyeberang anak sungai, maka demikianlah juga para anggota panel telah berjaya
melaksanakan tugas mereka dengan berjaya, sama ada mereka memilih karya yang
tidak bermutu atau menulis laporan yang juga tidak bermutu. Huraian kritis yang diberikan oleh Prof.
Ungku Maimunah adalah tepat sekali dengan standard yang terpakai dalam kritikan
arus perdana yang berlaku sekarang. Inilah yang saya maksudkan dengan celebrating pandirisme. Kita lihat
catatan kecil berikutnya mengenai naratif arus perdana dalam dunia akademik dan
dunia kritikan Malaysia.
Naratif yang standard itu dipentaskan dengan setia
dalam penilaian yang dibuat untuk memilih pemenang Hadiah Sastera Perdana
Malaysia 2010/2011, khususnya dalam Bahagian
Esei/Kritikan/Kajian Sastera. Apa yang
terjadi dalam makalah Prof. Ungku Maimunah disalin dengan tepat dalam penilaian
terhadap kajian sastera. Menurut Laporan, panel membincangkan “secara rinci” 7
buah buku kajian sastera; tetapi senarainya tidak disertakan. Oleh itu pada
8/2/2013 pihak urus setia hadiah telah meminta panel memberikan senarai pendek
itu untuk makluman penyelidik dan ahli akademik; tetapi sehingga pos ini
ditulis, senarai itu belum lagi diterima. Senarai itu penting kerana antara
matlamat hadiah sastera itu diwujudkan ialah untuk “memberikan pengiktirafan bertaraf
kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya [penyelidikan] bermutu.”
Adakah 7 buah karya kajian itu boleh dianggap bermutu? Bahawa 7 buah karya itu
disenarai-pendekkan oleh panel bolehlah dianggap sebagai termasuk karya yang
boleh dianggap bermutu. Sayangnya kita tidak diberitahu judul karya berkenaan;
oleh itu kita tidak dapat membayangkan apakah corak kajian yang telah dilakukan
dan oleh siapa. Maklumat itu penting kerana melalui maklumat itu kita dapat
melihat apakah kemajuan yang telah dicapai dalam masa dua tahun penilaian
dibuat. Apakah faktor yang menghalang panel bahagian ini daripada memberikan
senarai itu, padahal bahagian-bahagian lain menyediakannya? Ini suatu misteri yang aneh, jika anda tidak
faham cara bekerja para ahli panel ini. Inilah
kesan budaya pandirisme yang masih lagi belum difahami oleh masyarakat. Dalam
konteks budaya pandirisme, cara bekerja begini adalah biasa (normal), oleh itu tidak perlu
dipersoalkan. Dengan itu kedegilan anggota panel bahagian kajian dan kritikan
sastera ini untuk tidak bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk
menyediakan senarai pendek itu, dianggap sebagai sesuatu yang semestinya begitu,
untuk melindungi kelemahan mereka sendiri. Perkara yang hendak dilindungi itu
ialah tidak tersebarnya pengaruh gagasan Persuratan Baru dalam dunia akademik
dan kritikan sastera. Antara buku yang termasuk di dalam senarai pendek itu,
pada jangkaan saya, ialah karya Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani
berjudul, Seksualiti dalam Novel Melayu
(Penerbit UKM, 2012). Empat naskhah buku itu disampaikan dengan tangan ke urus
setia, jadi tidak timbul tidak diterima. Tidak timbul juga buku itu tidak
dikemukakan kepada ahli panel, dengan itu ketiga-tiga mereka menerimanya.
Sekiranya buku itu memang tidak diterima mereka kerana tidak diserahkan oleh
urus setia hadiah di Dewan Bahasa dan Pustaka, mereka bertiga tentulah tahu
buku itu berada di pasaran dan wajar dinilai oleh mereka, oleh itu mereka
bila-bila masa pun boleh bertanya urus setia tentang buku itu. Andainya mereka telah terima buku itu, dan
mendapati tidak sesuai untuk dinilai kerana tidak menepati kriteria yang mereka
tetapkan, maka mereka tentulah telah membacanya, kerana tidak mungkin mereka
menolak buku itu sebelum membacanya. Apa pun alasan yang mereka berikan, mereka
tidak dapat mengelak daripada dituduh bersikap anti-ilmu, oleh itu sikap mereka
tidak akademik, dan amat diragui kejujuran akademiknya (kita tidak perlu
meragui kejujuran moral mereka yang memang mantap dan tidak terjejas oleh
perbuatan mereka dari segi akademik kerana bagi mereka dua keadaan ini tidak
berkaitan). Buku Dr. Mohd. Zariat ini
adalah hasil daripada tesis Ph.D. beliau yang diluluskan oleh Universiti
Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004, dengan mendapat gred “cemerlang” yang
diberikan oleh ahli akademik yang meneliti dan memeriksa tesis itu. Termasuk
yang turut menghargainya ialah Prof. Ulung Shamsul Amri Baharuddin yang ketika
itu menjadi pengarah ATMA. Untuk dihukum
oleh tiga orang ahli panel, terdiri daripada Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz
(USM), Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (UM) dan Dr. Norhayati Ab. Rahman (UM),
bahawa buku ini tidak mencapai standard untuk disenarai-pendek, adalah tidak
munasabah. Tetapi keputusan itu munasabah jika mereka bertiga menjelaskan secara
akademik mengapa buku ini tidak wajar diberi pertimbangan secara akademik untuk
dibincangkan dengan kritis oleh mereka bertiga. Tidak timbul soal layak atau
tidak diberi hadiah, kerana seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah
dalam makalah beliau yang dibincang di atas, pengarang yang dipilih untuk
memenangi sesuatu sayembara atau sesuatu penilaian khusus seperti Hadiah
Sastera Perdana Malaysia, tidak semestinya layak dari segi mutu karya dan para
penilai itu sendiri pun melakukan kesalahan besar menolak kriteria yang mereka
tetapkan sekiranya mereka mahu atau tidak mahu memilih karya tertentu yang
ditulis oleh penulis tertentu. Ini telah dibuktikan dengan meyakinkan dalam
makalah Prof. Ungku Maimunah yang dirujuk di atas. Adakah hal yang sama berlaku
pula terhadap buku Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani ini? Maksudnya, buku beliau tidak layak diberi
pertimbangan kritis mengikut selera tiga ahli panel ini walaupun menepati semua
kriteria yang mereka tetapkan. Secara
logik yang dipakai oleh Pak Pandir ketika memilih padi hampa, buku Prof. Madya
Dr. Mohd. Zariat ini tidak layak kerana terkeluar dari kritikan arus perdana
yang menolak gagasan Persuratan Baru, yang menurut mereka bertiga PB tidak
diberi perhatian langsung oleh para ahli akademik Malaysia dan para pengkritik
sastera, kecuali dua tiga orang yang mungkin telah gagal memahami pendekatan
dan teori sastera Barat yang menjadi ikutan para ahli akademik arus perdana. Anda perlu faham konsep arus perdana ini
sangat penting di kalangan ahli akademik Malaysia yang amat ketat menjaga mutu
kesarjanaan mereka dalam bidang kesusasteraan, seperti yang telah dibayangkan
oleh Dr. Saleeh Rahamad (Ketua Satu PENA, satu jawatan penting dalam sastera
Melayu) yang berkata dalam blognya, “masih ramai lagi pengarang dan penulis
yang menerima kayu ukur yang sedia ada.” Itulah juga pendirian tiga orang ahli
panel yang terdiri daripada Prof. Sohaimi Abd. Aziz, Prof. Madya Dr. Hashim
Ismail dan Dr. Norhayati Ab. Rahman. Walaupun
dalam responnya terhadap komen saya (rujuk pos bertarikh 16 Mei 2012) adalah
positif dengan membuat pengakuan, “Tidak pernah saya menentang Persuratan Baru
walaupun saya tidak menolak pendekatan lain” (bertarikh 25 Julai 2012), namun
sikap positif ini tidak nampak dalam perilaku tiga orang ahli panel khusus ini. Adakah perilaku negatif ahli panel ini
sesuatu yang aneh apabila diserlahkan oleh ahli akademik seperti mereka? Jika anda teliti kembali perilaku Pak Pandir
yang memilih padi hampa dan akibatnya dia dapat menyelamatkan dirinya ketika
dibawa arus setelah ranting (dahan kecil?) yang digunakannya patah; maka
demikianlah tiga orang ahli panel ini telah mengekalkan kedudukan mereka dalam
arus perdana dengan menolak buku yang membicarakan secara akademik gagasan
Persuratan Baru. Pada waktu yang sama mereka juga menempelak, secara tidak
langsung, para penyelia tesis Ph.D. yang diterbitkan itu, dan universiti yang
meluluskannya, dengan tidak membicarakan dengan kritis tesis yang telah
diterbitkan itu. Mereka sendiri telah menerbitkan tesis Ph.D. mereka. Sejauh
mana tesis mereka yang dijadikan buku itu menepati dengan kriteria yang mereka
pakai untuk orang lain? Bagi Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz, tesis itu telah
dikritik hebat oleh Dr. Abdul Halim Ali dalam kutipan yang diberikan di atas;
manakala tesis Prof. Madya Dr. Hashim Ismail pula yang diterbitkan dengan judul
Hermaneutik ... (something), tidak
membicarakan apa-apa yang baru kerana karya dan pemikiran Kaum Muda telah
dijadikan latihan ilmiah dan tesis sejak Jabatan Pengajian Melayu ditubuhkan di
Universiti Singapura sebelum dibawa ke Kuala Lumpur di Universiti Malaya;
khusus untuk tesis Dr. Norhayati pula, jasa terbesar tesis dan buku yang
diterbitkan ialah apabila beliau dengan gagahnya meletakkan karya picisan dan
pornografik sebagai karya serius yang setanding dengan karya-karya para
sasterawan negara Malaysia. Tetapi jika ketiga-tiga buku mereka dinilai
daripada perspektif kriteria yang mereka pakai, tidak satu pun ukuran itu boleh
dikenakan ke atas buku mereka. Tetapi mereka mempunyai kelebihan yang amat
penting: iaitu mereka berada dalam arus perdana, sedangkan buku Prof. Madya Dr.
Mohd. Zariat berada di luar arus perdana. Demikianlah budaya pandirisme memberi kedudukan istimewa kepada pandangan arus
perdana, walaupun yang dikatakan “perdana” itu diukur dari logik yang dipakai
oleh Pak Pandir ketika memilih padi hampa yang lebih menarik pada pandangannya,
dengan menolak padi berat yang ditunjuk oleh pesawah yang jujur itu.
Apakah kriteria yang diberikan oleh panel khusus ini?
Tegas mereka: “Kriteria-kriteria yang digunakan ialah penulisan yang kritis,
sistematik dan bertanggungjawab, menggunakan teori/pendekatan/konsep kritikan
yang relevan dengan tujuan penulisan dan menyumbang kepada perkembangan ilmu
sastera. Panel juga menilai aspek ketepatan dan kejelasannya, selain
menunjukkan pemahaman dan penguasaan penulisnya terhadap subjek yang dipilih.
Kekuatan dan keaslian persoalan ditampilkan secara matang adalah penting.
Penulisan yang baik diharapkan berupaya menampilkan suatu penemuan baharu, atau
memberikan pemikiran serta perspektif baharu terhadap kajian yang sedia ada
serta membijaksanakan pembaca. Kesahihan dan kerincian dari segi fakta dan
huraian merupakan satu indikator penulis berupaya membuat analisis yang
mendalam dan tepat. Sungguhpun demikian panel mendapati mutu yang dihasilkan
rata-ratanya sederhana. Malahan, ada kategori yang tidak memenuhi piawaian yang
telah ditetapkan.” Menurut mereka, semua
kriteria itu terdapat dalam laporan mereka; tetapi tidak terdapat dalam 7 buah
lagi buku kajian yang enggan disenaraikan oleh mereka.
Mohd. Affadi Hassan,
23/2/2013.