Catatan: Tulisan ini dikirim ke Berita Harian. Disiarkan dalam blog ini untuk
manfaat pembaca yang tidak membaca akhbar. Terima kasih.
Timbul
lagi persoalan mewajibkan sastera
sebagai mata pelajaran wajib. Kali ini dibawa oleh GAPENA sebagai menunaikan
permintaan satu seminar yang mereka adakan baru-baru ini (Hari Sastera Nasional
ke 15 anjuran GAPENA). Izinkan saya
memberi komentar sekadarnya terhadap
“Godam” Salbiah Ani dalam Berita
Harian 12/4/2012 mengenai perkara ini.
Salbiah
Ani menegaskan betapa pentingnya sastera dijadikan mata pelajaran wajib kerana
di dalam teks sastera itu terdapat nilai-nilai murni yang perlu diwarisi dan
dijadikan panduan hidup para pelajar. Benarkah terdapat nilai-nilai murni dalam
karya sastera? Jika kita membaca laporan Panel
Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara, nilai
murni tidak dijadikan asas penilaian sama sekali. Tidak disebut dan tidak
dianggap penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jadi siapakah yang
menjadikan nilai murni ukuran yang menentukan sesebuah karya mempunyai nilai
yang tinggi sebagai karya sastera? Tentu sekali bukan Panel Anugerah Sastera
Negara. Oleh itu wujudnya “nilai murni” dalam karya sastera adalah tidak lebih
daripada mitos yang dibuat-buat. Para sasterawan sendiri pun tidak berminat
kepada nilai-nilai murni ini, oleh itu para sasterawan negara sendiri menulis
novel-novel lucah dan erotik yang turut dijadikan bahan penilaian Panel
Anugerah Sastera Negara sendiri. Inilah kenyataan yang diberikan kepada kita
oleh laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Adakah kenyataan ini sudah
kita tolak? Atau kita sebenarnya tidak membaca laporan mereka dan tidak pun
faham implikasinya.
Apakah
“nilai-nilai murni” itu? Belum lagi diberi definisi yang tepat dan jelas. Ada
beberapa contoh yang diberi, misalnya sikap tolong-menolong, pemurah, rajin,
gigih berusaha, bersimpati dengan orang yang susah, dan yang seumpama itu.
Adakah itu “nilai-nilai murni”? Jika diteliti dengan cermat, semua itu bukan
“nilai-nilai murni” yang dimaksudkan. Semua yang disenaraikan itu adalah
perilaku yang baik, yang mungkin mencerminkan moral dan etika tertentu. Tetapi
untuk dikatakan sebagai nilai murni belum tentu tepat. Perhatikan contoh ini.
Salah satu “nilai murni” yang selalu dibanggakan ialah sikap pemurah, suka
membantu, suka berderma. Para penderma akan menayangkan “cek palsu” yang
tertera dengan huruf besar jumlah derma yang diberikan. Berita ini diberi
liputan besar-besaran. Penderma itu diberi gelar “dermawan”. Tetapi adakah itu
nilai murni? Tidak. Sama sekali tidak. Itulah sifat angkuh, takabur,
menunjuk-nunjuk, riak, yang sangat jelas menayangkan betapa bangsatnya orang
yang berbuat demikian dan betapa rendahnya akhlak mereka. Orang begini menggunakan kesusahan orang lain
untuk menunjuk-nunjuk keangkuhan mereka menayangkan kekayaan atau harta bukan
milik mereka (umpamannya harta kerajaan dan orang ini hanya tampil sebagai
“pemberi yang dermawan” yang kononnya bersifat prihatin) supaya mereka dikenali
sebagai seorang yang dermawan dan baik hati; padahal perbuatan itu hanya
sejenis penipuan yang dibenarkan oleh masyarakat yang juga sudah begitu bangsat
sehingga tidak dapat lagi membezakan antara penipuan dan sifat dermawan yang
tulen. Banyak lagi contoh yang boleh dikemukakan, tetapi untuk maksud kita di
sini, contoh-contoh yang diberikan itu sudah mencukupi untuk kita memahami
konsep sebenar “nilai murni” yang jarang sekali terdapat dalam karya sastera,
hatta yang ditulis oleh seorang sasterawan negara sekali pun.
Satu
jenis “nilai murni” yang tidak dianggap penting oleh para sasterawan, sarjana,
dan wartawan sastera ialah nilai “cintakan ilmu” yang benar. Hampir tidak ada perbincangan mengenai
perkara ini. Sebaliknya, yang diutamakan dan dibanggakan ialah budaya
pandirisme yang menerima begitu saja apa juga yang dianggap popular. Sebagai
contoh, Pos Malaysia akan menerbitkan setem khas untuk memperingati sebuah
novel picisan yang “berjaya” dijadikan sebuah filem yang tidak kurang juga
picisannya. Kita tidak mendengar apa-apa bantahan atau teguran daripada para
sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis. Mereka menyokong pandirisme ini.
Adakah ini satu contoh “nilai murni”?
Apabila orang tidak lagi berupaya membezakan mana yang berharga mana
pula yang sampah, maka dia sudah kehilangan daya akal sihat dan keberanian
untuk menyatakan sesuatu yang betul, dan menyalahkan yang salah. Dia sudah
kehilangan adab, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas. Antara yang kehilangan adab ini ialah para sarjana sastera sendiri
dan para sasterawan. Banyak lagi contoh yang boleh kita kemukakan. Semua contoh
ini memperlihatkan betapa karutnya konsep “nilai murni” itu jika tidak
diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Oleh itu, kita perlu bincangkan
perkara ini dengan lebih mendalam supaya kita dapat menggunakan istilah dengan
betul dan tepat, bukan seperti sekarang yang “cetek meraba-raba” (satu gambaran
yang tepat yang diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang
kehilangan adab dalam masyarakat kita).
Pengajaran
sastera di Malaysia berada dalam dunia “cetek meraba-raba” ini. Salbiah Ani
sendiri menyebutnya ketika membicarakan kegagalan KOMSAS. Jika pengalaman ini
belum cukup untuk membuat para sarjana, sasterawan dan aktivis sastera berfikir
dengan siuman tentang pengajaran sastera, maka di manakah hak mereka untuk
lebih mengusutkan persoalan ini dengan mengemukakan cadangan supaya sastera
diwajibkan? Apakah isu sebenarnya di sini? Pertama sekali, konsep sastera itu
sudah ketinggalan zaman, sudah gagal membuat pelajar dan sasterawan sendiri,
termasuk sarjana, untuk berfikir dengan sistematik. Ketika DBP mengadakan
seminar pemikiran sasterawan negara, sarjana dan ahli akademik hampir
keseluruhannya menolaknya adanya “pemikiran” dalam karya para sasterawan negara
ini. Jika ini dijadikan hujah, maka
usaha untuk mewajibkan sastera di sekolah tertolak bulat-bulat. Apakah yang
akan diajar jika karya sastera para sasterawan negara sendiri tidak mempunyai
pemikiran? Konsep pemikiran ini pun belum jelas, masih berserabut dengan
andaian yang bukan-bukan. Prof. Ungku Maimunah, Prof. Madya Mohd. Zariat dan
lain-lain telah menulis tentang perkara ini, dengan memberikan hujah dan
pembuktian yang cukup meyakinkan. Jika persoalan ini diambil kira, maka kita
harus bereskan konsep pemikiran ini secara tuntas, supaya tidak lagi
berpusing-pusing tak tentu arah mencari hujah untuk menegakkan adanya
pemikiran, padahal tidak ada. Jelaslah
kita perlukan pendekatan dan teori sastera yang menjurus ke arah memperjelas
aspek pemikiran ini, dan dari situ barulah kita dapat mengajar sastera dengan
meyakinkan, terutama sekali dalam aspek mencerdikkan para pelajar sehingga
mereka dapat melihat manakah karya yang benar-benar bermutu dan apakah ukuran
yang digunakan untuk membuat penilaian itu. Sekarang kaedah dan teori yang
dipakai tidak menjurus ke arah itu. Itulah antara sebab utama mengapa KOMSAS
gagal, dan mengapa karya picisan dipilih, yang akhirnya membuat pelajar menjadi
bosan membaca karya picisan yang dangkal. Aspek ini masih boleh diselamatkan,
jika kita mempunyai kaedah yang membolehkan kita mengenal pasti ukuran yang
kita pakai dan dari situ dapat dengan mudah menolak atau menerima hujah-hujah
yang dikemukakan. Sekarang hal ini tidak boleh dilakukan kerana kaedah yang
kita pakai terlalu lemah dan bertentangan dengan cara otak manusia berfikir.
Jika anda ingin memahami persoalan ini, bacalah dengan kritis analisis Prof.
Ungku Maimunah ketika membicarakan makna dan maksud realisme dalam sastera
Melayu, juga tentang aspek pemikiran yang kabur dan keliru itu. Untuk
melakukannya, anda perlu memiliki nilai murni yang dipanggil “nilai cintakan”
ilmu yang benar. Jika anda menolak nilai
cintakan ilmu ini, anda akan terus berada dalam kekeliruan. Bagaimana orang yang
keliru boleh berbicara dengan meyakinkan tentang pendidikan sastera dan tentang
“nilai-nilai murni”?
Akhirnya
saya ingin kemukakan satu contoh bagaimana persoalan ini boleh diselesaikan.
Saya rujuk sebuah tesis sarjana yang ditulis oleh Puan R. Sharatha A/P Ramasamy
(Universiti Malaya, 2007). Tesis ini diselia oleh Prof. Madya Dr. Hashim
Ismail. Dalam tesis itu, Puan R. Sharatha membincangkan dengan meyakinkan satu
kaedah yang dinamakan “gagasan Persuratan Baru”. Kaedah itu berteraskan
nilai-nilai Islam, tetapi dapat digunakan dengan baik oleh Puan R. Sharatha
kerana beliau berusaha memahami kaedah itu. Beliau telah memberikan contoh yang
baik dari segi akademik, dengan bersikap terbuka terhadap ilmu. Mungkin anda
tidak mahu mengatakan bahawa beliau mempunyai nilai murni cintakan ilmu yang dibincang
di atas. Tetapi bagaimana pula anda yang mendakwa mempunyai nilai cintakan ilmu
berada dalam kekeliruan, menutup apa juga
kemungkinan lain yang anda rasa anda tidak suka? Jika anda termasuk dalam golongan yang
mahukan karya sastera dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah, dalam sistem
pendidikan negara, maka dakwaan anda yang mengaku cintakan ilmu, tetapi
bersikap anti-ilmu kerana tidak adanya keterbukaan kepada ilmu, maka anda tidak
layak berbicara tentang pendidikan sastera, apatah lagi membuat cadangan
tentangnya.
Sebagai
kesimpulan, saya ingin cadangkan kepada ITBM supaya menerbitkan tesis sarjana
Puan R. Sharatha itu, untuk dijadikan landasan konkrit dalam usaha para
sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis meminta kerajaan menjadikan sastera
mata pelajaran wajib. Kita perlukan kaedah yang betul, dan ini diberikan oleh
Puan R. Sharatha dalam tesis sarjana beliau. Jika anda menolak contoh yang baik
ini, yang diberikan oleh Puan R. Sharatha, maka anda tidak berhak bercakap
tentang “nilai-nilai murni” jika nilai murni cintakan ilmu itu anda tolak
mentah-mentah. Harap-harap ITBM tidak begitu, dengan itu bersedia untuk
menerbitkan tesis penting ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
16/4/2012.