Thursday, February 16, 2012

Menetapkan Ukuran Dalam Kritikan

Pernahkah anda melihat rumah yang tidak bertangga?  Soalan ini bodoh, tetapi penting dan perlu ditanyakan. Pertanyaan bodoh ini akan membawa kita kepada kebijaksanaan tertentu jika kita tahu bagaimana menanganinya.  Dalam era Pendeta Za’ba, pelajar sekolah Melayu diperkenalkan betapa pentingnya tangga itu dengan membaca buku yang dikhususkan kepada mereka, berjudul Tangga Bacaan. Buku itu mengandungi cerita-cerita ibarat dan cerita-cerita teladan. Beruntunglah mereka kerana menerima pendidikan daripada seorang Pendeta sendiri, yang memperkenalkan pentingnya tangga dalam kehidupan mereka. Dari segi pegalaman biasa, memang setiap rumah mempunyai tangga. Bagaimana dengan rumah gudang? Mungkin tidak perlu tangga kerana yang akan menghuni rumah itu bukan manusia, tetapi barang-barang yang akan disimpan dengan selamat.  Tetapi sekarang gudang pun perlukan tangga, kerana banjir sudah melanda Malaysia  hampir di semua tempat, tidak selamat lagi meletak barang-barang di atas tanah.  Bagaimana jika rumah itu satu tingkat, di atas tanah? Misalnya, seperti kedai kopi yang selalu kita lihat di kampung-kampung. Tetapi masih ada tangga di dalam kedai tersebut, kerana tuan kedai yang tinggal di situ berasa lebih selesa dan selamat jika tempat kediamannya lebih tinggi daripada kawasan kedai. Dia perlukan tangga. Pendeknya, dari segi apa pun kita bayangkan sesebuah rumah, kita masih perlukan tangga.  Kalau anda tinggal di rumah pangsa seratus tingkat sekali pun, anda masih perlukan tangga untuk maksud tertentu. Anda tentu saja menggunakan lif jika anda menjadi penghuni tingkat dua puluh. Tetapi tangga masih diperlukan untuk keselamatan anda, selain memudahkan anda turun naik bergerak di tingkat-tingkat berdekatan, juga menjadi ukuran berapa jauhnya perjalanan anda dari bawah ke tingkat tertinggi, walaupun anda tidak perlu menaiki semua tangga.

Para sasterawan dan sarjana tidak perlukan tangga, oleh itu mereka tidak berfikir seperti orang yang biasa menggunakan tangga. Adakah mereka sebenarnya tidak perlukan tangga? Mereka juga perlukan tangga.  Amat perlu, malah mereka menggunakannya setiap hari, setiap kali mereka menulis. Tetapi tangga itu tidak kelihatan, kerana itulah mereka tidak sedar mereka menggunakan tangga setiap kali mereka menulis, apa jenis pun tulisan mereka. Jika anda seorang sarjana, tangga itu anda pinjam atau jiplak dari mana-mana sumber yang anda temui. Tetapi kerana anda tidak peduli langsung untuk mengenali jenis-jenis tangga yang anda gunakan, maka anda gunakan berbagai-bagai jenis tangga yang kadang-kadang tidak perlu digunakan, tetapi anda mahu menggunakannya juga kerana tangga itu baru ditemui, atau namanya anda suka.  Akhirnya anda berserabut dengan tangga, dan bangga menyebut jenis-jenis tangga yang anda tahu namanya tetapi tidak tahu fungsinya dengan tepat. Apakah hasilnya? Kekeliruan yang menyerabutkan “fikiran” anda.  Di sinilah bijaknya Pendeta Za’ba, yang memperkenalkan murid-murid sekolah untuk membaca terlebih dahulu kitab Tangga Bacaan.  Anda hanya akan mengerti kebijaksaaan Pendeta Za’ba jika anda sedar betapa para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera masih menggunakan kitab Tangga Bacaan hatta ketika mereka sudah mejadi profesor sastera Melayu sekali pun. Buktinya telah ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam beberapa makalah beliau, juga dalam hasil peraduan menulis dan laporan yang mereka sediakan. Adakah anda terperanjat jika ada orang berkata, Panel Anugerah Sastera Negara pun kadang-kadang masih menggunakan buku Tangga Bacaan sebagai rujukan mereka!

Moral: Jangan abaikan tangga jika anda mahu tulisan anda mempunyai kualiti yang lebih tinggi daripada isi buku Tangga Bacaan.  Mereka bangga menggunakan  buku-buku bercorak “tangga bacaan”, yakni buku-buku permulaan (intoductory atau introduction) kepada sesuatu teori atau kaedah dalam kritikan.  Hanya orang yang membaca teks asal yang tahu mereka menggunakan rujukan “tangga bacaan”, bukan teks asal yang lebih sukar, sama sukarnya menaiki tangga hingga ke mata tangga 50-60 mata anak tangga, malah yang lebih tinggi lagi. Dalam mencari ilmu, tidak ada lif yang boleh ditekan-tekan ke tingkat mana saja yang anda mahu. Anda harus mendakinya sendiri, tidak ada pilihan. Kerana itulah maka ada yang malas sanggup menaiki hanya 10-15 mata anak tangga saja, paling tinggi. Dia sihat, tetapi ilmunya sakit. Kita lihat bagaimana ilmu yag sakit itu dijelmakan dalam tulisan orang-orang yang malas menaiki tangga, dan selesa berada di peringkat “tangga bacaan”.

Inilah yang terjadi dalam kesusasteraan Melayu moden. Maksud saya menggunakan tangga sebagai perbandingan, atau lambang, kerana berapa bodoh sekali pun manusia, bila bertemu tangga, dia akan naik ke atas. Hanya beruk atau kera yang naik tidak perlu tangga kerana mereka boleh melompat dan memanjat dengan mudah; tetapi mereka masih tahu menggunakan tangga untuk turun ke bawah jika terdesak. Jadi semua makluk yang hidup dan bergerak tahu menggunakan tangga. Adakah ini satu kepastian? Tidak semestinya di kalangan sasterawan dan sarjana. Tidak semuanya tahu dan mahu menggunakan tangga, walaupun semua mereka kenal tangga dan biasa menggunakannya.  Kita dengar kritikan mereka tentang tidak perlunya tangga dalam mencapai kelebihan ilmu.

Persuratan Baru dikatakan cuba membunuh sastera Melayu yang menurut mereka sudah amat maju dan sudah melahirkan begitu ramai sasterawan negara yang berbakat besar dan sekali gus muncul sebagai pemikir bangsa yang handalan. Tetapi aspek pemikiran ini sebenarnya tidak jelas, jika kita meneliti seminar yang diadakan oleh DBP tentang pemikiran para sasterawan negara. Sehingga ini belum lagi muncul sebarang sanggahan terhadap pandangan kritis tentang aspek pemikiran ini yang telah dibicarakan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa buah tulisannya. Oleh yang demikian, pandangan yang mengatakan sasterawan negara adalah pemikir bangsa yang handalan masih boleh dipersoalkan, belum lagi dibuktikan tanpa sebarang keraguan dalam mana-mana kajian ilmiah. Pandangan para penulis kertas kerja dalam seminar khusus tentang pemikiran para sasterawan negara ini lebih cenderung untuk membuktikan yang sebaliknya, malah terdapat para penulis kertas kerja yang tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan para sasterawan negara itu pemikir bangsa yang handalan. Istilah “pemikiran” yang sering digunakan nampaknya belum lagi diberi takrif yang tepat, sehingga membolehkan kita dengan yakin berkata, si anu itu begini pemikirannya, sementara yang lain pula berbeza pemikirannya. Dalam konteks yang ada yang dipakai sekarang, istilah “pemikiran” boleh apa saja, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa buah tulisannya. Selagi persoalan ini belum dibereskan, pandangan yang dikemukakan oleh gagasan Persuratan Baru tentang aspek pemikiran ini adalah yang paling jelas dan boleh digunakan dengan meyakinkan untuk menilai “pemikiran” para sasterawan (bukan hanya sasterawan negara).  Andainya terdapat di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera yang tidak bersetuju dengan takrif pemikiran yang dipakai oleh gagasan Persuratan Baru, maka mereka harus memberikan pandangan ilmiah mereka untuk menolak atau menerima takrif yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru itu.  Tidak ada sebab untuk mereka meneruskan kekeliruan dan keraguan yang memang boleh dan sudah pun diselesaikan.

Berasaskan kekeliruan itu, mereka berkata,  jika Persuratan Baru dijadikan landasan dalam perkembangan kreatif, perkembangan sastera akan terbantut dan lama-kelamaan akan menjadi pincang, malah mungkin juga akan terus pupus. Apakah alasan mereka? Kata mereka, Persuratan Baru mahu yang baik-baik saja, tinggi nilai seni dan nilai ilmunya. Kalau begitu, berapa orang yang boleh jadi sasterawan? Kata mereka, kemunculan  penulis muda akan terhalang dan mungkin sengaja dihalang kerana terlalu mementingkan nilai.  Lalu mereka menegaskan dengan bersemangat, penulis muda hendaklah terus menulis, tidak kira jenis apa, kategori apa, sasterakah, persuratankah. Tulis saja. Tak payah fikir sangat dalam kategori mana hendak tulis. Orang dulu yang tulis cerita seks pun tidak ada orang tegur. Akhirnya boleh jadi Sasterawan Negara juga. Kalau pakai teori Persuratan Baru, seratus tahun lagi pun tidak akan lahir sasterawan negara mengikut acuan Persuratan Baru.

Saya tidak fikir pandangan begini realistik, kerana terlalu aneh dan terlalu jelas sikap anti-ilmunya. Tidak ada sebab sama sekali untuk memusuhi gagasan Persuratan Baru, oleh itu pandangan di atas sebenarnya tidak wujud, kecuali sekali sekala  disuarakan tanpa diiringi keyakinan berasaskan pertimbangan teliti dalam analisis yang kritis dan ilmiah tentang gagasan Persuratan Baru.  Mungkinkah terdapat korelasi antara sikap anti Persuratan Baru, jika ada, dengan kemandulan pemikiran dalam kesusasteraan Melayu? Oleh sebab miskinnya aspek pemikiran ini hatta di kalangan para sasterawan negara sekali pun, maka cara untuk mempertahankan kedudukan mereka dalam mitos yang dibina oleh Panel Anugerah Sastera Negara, ialah dengan mengusutkan dan terus mengelirukan aspek pemikiran ini supaya para sasterawan negara ini akan terus kelihatan megah bergaya dalam mitos yang dibina oleh Panel Anugerah Sastera Negara itu. Jika andaian ini betul, maka aspek pemikiran ini, yang sepatutnya suatu persoalan yang serius, bertukar menjadi lucu dalam lawak jenaka yang terdapat dalam kertas kerja yang membicarakan aspek pemikiran ini. Pada pandangan saya, inilah kesimpulan yang tepat, berasaskan analisis Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa buah tulisan beliau dan dalam analisis saya sendiri (misalnya tentang novel Kawin-Kawin).  Kelucuan dan lawak jenaka dalam sastera Melayu ini akan berterusan dijadikan senjata untuk mempertahankan mitos tadi, sehingga muncul kembali sikap dan sifat siuman di kalangan sarjana dan para sasterawan sendiri yang berani melihat persoalan ini secara tuntas dan tidak ragu-ragu untuk menerima kesimpulan yang mungkin pahit, yang didapat dari analisis dan penilaian yang objektif, tepat dan saksama. Tetapi bagaimana hendak mencapai objektif itu? Nampaknya mereka harus kembali juga kepada gagasan Persuratan Baru, kerana hanya di situ saja mereka akan dapat melihat penilaian yang objektif, tepat dan saksama itu berasaskan konsep ilmu yang benar. Jadi ketakutan kepada konsep ilmu yang benar ini menjadi syarat utama untuk dihapuskan, jika mereka ingin mendapat penilaian yang paling wajar dalam masalah pemikiran ini. Ke mana pun mereka lari atau melarikan persoalan dengan mengaburkannya, mereka akhirnya akan tetap berdepan dengan kedudukan ilmu yang benar, dengan itu tidak dapat mengelak daripada menggunakan kaedah yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru.

Kembali kepada persoalan tangga tadi, itulah sebenarnya tangga yang harus mereka lalui, sama ada mereka suka atau tidak. Hanya tangga itu saja yang akan membawa ke puncak kebenaran, jika itulah yang mereka cari sebagai sasterawan atau penulis. Jika bukan itu hasrat dan matlamat mereka, tidak ada sesiapa pun yang akan mengganggu jika mereka mahu terus berhanyut dalam kekaburan makna dan kekeliruan yang mereka warisi dari konsep sastera yang mereka terima daripada  para sasterawan yang “cetek meraba-raba” itu.  Jika itulah pilihan mereka, maka pilihan itu bukanlah pilihan yang baik, oleh itu harus ditolak.

Mohd. Affandi Hassan,
15/2/2012.

Wednesday, February 1, 2012

Mencorak Perkembangan Persuratan Melayu Abad 21


Apakah yang sedang difikirkan oleh persatuan penulis di Malaysia? Apakah pula perancangan institusi yang bercorak sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Melayu (dimasukkan dalam senarai ini kerana syarikat ini mengadakan peraduan kreatif setiap tahun), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM;  nama baru ini tidak berapa jelas maksudnya seolah-olah ada pertindihan fungsi dengan DBP, oleh itu agak mengelirukan dan tidak berapa glamour!), Petronas (belum berminat dalam sastera tapi sudah berani keluarkan banyak wang untuk Anugerah itu-ini), dan stesen TV yang kini banyak menayangkan cerita hantu, cerita cinta murahan, drama keluarga yang tidak bermutu?  Apa yang mereka sedang rancang?  GAPENA, sebagai badan induk penulis, nampaknya tidak berapa berminat lagi menganjurkan peraduan menulis cerita pendek, novel dan sebagainya. Hasil peraduan nampaknya tidaklah sebaik karya yang tidak menang apa-apa peraduan. Karya-karya yang menang peraduan itu pun ada yang picisan saja dari segi mutunya (kita akan bincang aspek ini nanti).  Baru-baru ini PENA dapat durian runtuh, kononnya (?) dianugerah RM5 juta oleh Kerajaan Barisan Nasional (tetapi wang ini diletakkan di dalam poket ITBM mungkin kerana PENA  dianggap tidak layak memegang wang begitu banyak), dengan tambahan RM1 juta lagi untuk membaiki (?) Rumah PENA.   Banyakkah sedikit wang anugerah itu? Ada desas-desus mengatakan beberapa peraduan menulis sedang dirancang sebagai cara terbaik untuk menghabiskan wang itu bagi kepentingan penulis/sasterawan.  Jika betul desas-desus ini, PENA di bawah kepemimpinan muda yang terdiri daripada satu kelompok yang erat persaudaraannya, tidak berbeza daripada GAPENA yang nampaknya sudah jemu dengan peraduan itu (mungkin kerana susah hendak dapatkan penaja sekarang).  Jika itulah cara berbelanja terbaik bila banyak wang, kita tidak boleh kata apa. Seperti biasa, peneraju apa-apa juga badan/organisasi adalah yang terbaik dan paling terpuji tindakannya. Sebagai pemerhati, kita tunggu sajalah berapa hebatnya program kumpulan peneraju terbaik ini.

Perlukah kita tahu apakah perancangan mereka? Bagi badan-badan ini, mereka lebih tahu dan mereka tidak perlukan apa-apa nasihat atau cadangan daripada sesiapa pun, hatta daripada mana-mana ahli sekali pun.  Itulah budaya yang sudah diinstitusikan, yang tidak wajar dipersoalkan. Tetapi adakah ini yang kita mahu? Adakah budaya ini yang akan melahirkan pemikiran bernas, yang akan melahirkan golongan pemikir, golongan intelektual? Nampaknya golongan ini tidak diperlukan, kerana dalam budaya yang sudah diinstitusikan itu, apa juga pandangan berbeza adalah penentangan dan mesti diganyang habis-habisan.  Biasanya mereka akan berkata, jika cadangan itu dilontarkan (ini ucapan retorika yang biasa dipakai di Malaysia) dengan bersopan dan menggunakan bahasa yang halus berhemah, tentu akan diterima atau paling tidak akan diberi pertimbangan yang paling wajar dan paling saksama dan paling adil.  Ini satu klise yang sudah menjadi satu humor yang unik di Malaysia: bila anda tidak mahu dengar pendapat orang lain, anda akan tuduh orang itu biadab, kasar, tidak bersopan dan lain-lain. Hanya andalah saja yang beradab sopan, yang halus budi bahasa dan berhemah tinggi. Kepura-puraan begini pun sudah diinstitusikan dengan baik sekali, dan sudah diterima sebagai standard yang tidak boleh dipersoalkan. Di sini, kekurang-ajaran dan kebiadaban dilindungi dengan baik oleh budaya pandirisme yang sudah diterima umum sebagai yang terbaik untuk dipertahankan oleh para sasterawan dan sarjana. Jika ada di antara anda yang tidak bersetuju dengan budaya ini, anda tidak perlu memprotes, kerana perbuatan itu sendiri adalah biadab dan berniat jahat. Tidaklah biadab dan amatlah jujur untuk mereka melemparkan tuduhan sedemikian kerana mereka dari kumpulan majoriti yang satu haluan. Anda boleh lihat dengan jelas betapa kuatnya pengaruh negatif dalam sistem politik kita yang kini ditiru oleh para sasterawan dan sarjana sendiri. Lagi pula dari dahulu pun dua kumpulan ini memang bersahabat baik, lebih-lebih lagi pada waktu ini jika kemurahan hati kerajaan kepada PENA  boleh dijadikan ukuran. 

Satu lagi klise dalam aktiviti persatuan penulis ini ialah mengadakan peraduan menulis. Adakah ini satu kerja mudah dan sangat berfaedah? Dalam tahun 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan satu seminar khusus untuk membincangkan perkara ini: “Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan” (25 Mei 2006). Hasilnya tidak berapa menggalakkan. Terdapat keraguan tentang “impak” yang dimaksudkan; tetapi kerana orang Melayu sangat bersopan santun dan cukup menjaga adab mengikut kefahaman mereka (kerana kefahaman mereka tentang konsep adab ini masih perlu diperhalusi, apatah lagi jika dilihat dari perspektif yang dikemukakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Atas yang mengaitkan adab dengan ilmu), maka mereka tidak mahu berterus-terang untuk mengatakan “impaknya” tidaklah sebesar mana, kalau tidak pun sering kali agak negatif. Perkara ini telah dibincangkan antara lain oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan novel Harga Sebuah Maruah, salah sebuah pemenang utama  sayembara anjuran DBP sendiri yang merayakan Jubli Emas 50 tahun kewujudan DBP. Kita akan lihat kemudian.  Walaupun sudah ada perbincangan, tetapi nampaknya kesannya tidak ada langsung dari segi kegiatan bersifat peraduan ini. Kini sedang diuruskan satu peraduan yang dianjurkan bersama oleh ITBM-PENA-Utusan Melayu (yang sudah menguasai sektor penerbitaan DBP setelah DAWAMA gagal menjalankan tugas walaupun badan itu diwujudkan khusus untuk menjalankan tugas penerbitan dan pemasaran buku-buku DBP), dalam bidang novel, cerita pendek dan sajak dengan jumlah hadiah yang biasa-biasa saja (maksudnya agak kecil jika dibandingkan dengan yang pernah diberikan). Tetapi “peraduan” ini agak istimewa, kerana dikhususkan untuk disertai oleh “penulis muda” yang lahir tahun 1966 ke bawah, tidak melebihi 45 tahun. Kalau sudah lebih umur tidak layak menyertai “peraduan” ini. Menurut analisis yang didengar, pembatasan umur ini perlu untuk memastikan “penulis muda” mendapat manfaat langsung daripada sumbangan RM5 juta itu. Dari segi lain, inilah salah satu kesan besar kepemimpinan baru PENA yang kini berada dalam tangan “penulis muda” sepenuhnya.

Perkara ini disebut di sini kerana dalam seminar 2006 itu saya pernah mencadangkan dalam kertas kerja saya dua perkara: mewujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS, dan Peraduan Menulis Novel Persuratan. Kedua-dua cadangan ini, sesuai dengan adab sopan dan sikap berhemah yang diamalkan dalam kebudayaan Melayu, dengan halus  ditolak bulat-bulat kerana tidak sesuai dengan iklim yang ada di Malaysia yang tidak mengkhususkan kegiatan kepada satu corak atau bentuk saja. Sekarang nampaknya iklim itu sudah berubah, maka itulah diadakan peraduan menulis khusus untuk para “penulis muda”. Tetapi iklim itu sudah wujud sebelum ini lagi, hanya tidak sesuai untuk menampung dua cadangan yang dikemukakan, kerana cadangan itu bertujuan mendaulatkan ilmu dalam kegiatan ilmiah dan kreatif yang tujuannya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.  Dalam kebudayaan yang mendaulatkan pandirisme, cadangan itu kedengaran agak asing dan sukar, oleh itu perlu ditolak secara berhemah dan bersopan santun dengan tidak membicarakannya. Tetapi saya masih anggap cadangan itu baik dan wajar dipertimbangkan kerana matlamatnya untuk mendaulatkan ilmu yang benar dan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang akademik dan kreatif, maka saya fikir ada gunanya jika cadangan itu disebut semula dalam tulisan ini. Tuduhan bahawa cadangan itu terlalu berat sebelah dan memihak kepada matlamat tertentu, tidak boleh digunakan lagi, dengan wujudnya “pengkhususan istimewa” kepada para penulis muda dalam peraduan yang ditaja oleh tiga serangkai itu.  Saya petik bahagian berkenaan:

“Hadiah Persuratan Petronas
            Pada waktu ini perancangan program kesusasteraan memberi tumpuan berlebihan kepada para sasterawan negara saja, seolah-olah di Malaysia sekarang hanya terdapat sembilan orang sasterawan yang berkualiti. (Catatan: Sekarang sudah berjumlah 10 orang). Bagaimana dengan penulis lain? Mahu juga kita dengar program untuk mereka, dengan misalnya diadakan seminar membicarakan tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam sebagai sasterawan, atau Dr. Burhanuddin sebagai seorang ahli fikir Melayu dalam agama dan politik dengan membicarakan bagaimana dua orang tokoh ini menggunakan bahasa Melayu yang baik untuk menyampaikan idea mereka. Kita juga ingin tahu pemikiran Abdul Rahim Kajai tentang masalah sosial dan politik di zamannya, juga pemikiran Syed Sheikh al-Hadi tentang peranan media dalam dakwah di zamannya; atau tentang Ahmad Bakhtiar, Harun Muhammad Amin dan lain-lain pengarang Melayu yang terkenal.
            Dari memberi tumpuan kepada sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus meluaskan skopnya dengan memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan mengadakan program terancang untuk memajukan persuratan Melayu. Karya persuratan daripada para pengarang dan pemikir Melayu dan Nusantara, seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Amir Hamzah, Sutan Takdir Ali Sjahbana, Za’ba, Hj. Agus Salim, Muhammad Hatta, Soekarno, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Dr. Burhanuddin dan lain-lain pengarang/pemikir terkenal seharusnya dipilih untuk dijadikan teks dalam mata pelajaran persuratan Melayu di sekolah-sekolah; tidak dibataskan kepada karya sastera yang bercorak kreatif saja. Hanya yang betul-betul terbaik daripada karya kreatif itu dipilih, tidak termasuk karya-karya baru daripada sasterawan yang belum teruji lagi. Dicadangkan supaya DBP berusaha mendapatkan kerjasama Petronas dalam program membangunkan persuratan Melayu ini. Petronas wajar dilibatkan dalam kegiatan yang bersifat intelektual dan budaya tanpa mengganggu program yang sedia ada. DBP wajar mencadangkan kepada Petronas untuk mewujudkan satu hadiah untuk menggalakkan perkembangan persuratan Melayu dalam semua bidang dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas setiap tahun, diberikan kepada sesiapa juga yang menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang ilmu yang terpilih. Hadiah itu hendaknya tidak kurang daripada RM100,000/- setiap satu, dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (ini termasuk perubatan, pergigian, kimia, fizik dll), (2) bidang sosiologi dan kemanusiaan (termasuk perundangan), dan (3) bidang bahasa (linguistik) dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap tahun kita berikan hadiah kepada tiga orang tokoh yang berjasa dalam bidang-bidang ini. Pemberian hadiah kepada para ilmuwan akan mendatangkan faedah yang sangat besar dalam memajukan pemikiran dan memartabatkan lagi bahasa Melayu. Penghargaan  seperti ini kita berikan kepada para penyelidik perubatan, pertanian, kimia dan lain-lain, di samping sumbangan bermakna para sarjana kemasyarakatan dan lain-lain. Kita dengan itu mendemokrasikan ilmu, tidak hanya mengehadkan kepada penulis kreatif saja. Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan. Maksud kesimpulan ini perlu difahami dengan jelas supaya sebarang kekeliruan yang akan timbul dari tafsiran yang salah tidak dijadikan pegangan.

Peraduan Menulis Novel Persuratan
            Cabaran Abad 21, menurut pandangan saya, ialah memulai satu janru (istilah Jepun untuk genre) baru dalam penulisan kreatif. Saya telah mencadangkan dalam banyak tulisan betapa pentingnya kita membahagikan karya kreatif itu dalam tiga kategori besar: (1) karya persuratan; (2) karya sastera; dan (3) karya picisan/erotik/lucah. Pembahagian ini akan memudahkan kita membuat penilaian yang tepat, dengan itu kita dapat mengukur sejauh mana kita telah maju dalam bidang kreatif ini. Pada waktu ini pembahagian itu tidak jelas, oleh itu panel anugerah sastera negara sendiri mencampuradukkan antara karya “bermutu” dalam kategori karya sastera dengan karya “picisan” dalam kategori karya picisan/erotik/lucah. Ketika membicarakan sastera Islam pun para sasterawan dan sarjana tidak dapat membezakan dua kategori ini, lantas sebuah karya picisan dan lucah seperti TIVI diterima sebagai sebuah karya Islam mithali kerana penulisnya melabelkan demikian, padahal dari segi “sastera”nya lebih tepat dikategorikan sebagai karya picisan dan lucah.
            Sekarang sudah sampai masanya kita mula menulis karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Caranya masih samar-samar, masih tidak jelas kepada para penulis dan masih dianggap terlalu ideal oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Oleh hal yang demikian, kita harus melaksanakan sejenis  “eksperimen kreatif” untuk menggalakkan lahirnya karya persuratan itu. Dengan itu dicadangkan semacam peraduan menulis novel persuratan yang dikendalikan dengan cermat untuk memastikan hasilnya benar-benar tepat dengan kategori yang dimaksudkan. Cara yang dicadangkan di sini boleh digunakan oleh mana-mana organisasi yang berminat melaksanakannya. 
Pada peringkat awal, para penulis diberitahu melalui siaran akhbar dan elektronik maklumat tentang peraduan itu. Para penulis kemudiannya diminta mendaftarkan nama mereka untuk menyertai peraduan itu, selepas diadakan pilihan awal berasaskan profil yang mereka kemukakan kepada urus setia. Hanya 30 orang yang memenuhi syarat awal saja dijemput menghadiri taklimat terperinci mengenai konsep “novel persuratan”. Satu majlis dialog dan perbincangan terbuka diadakan bersama peserta. Tujuan pertemuan ini ialah untuk memberitahu peserta peraduan beberapa konsep penting mengenai novel persuratan, terutama konsep wacana dan cerita dan konsep stylization of ideas, dan peranan konsep taklif dalam seni mengarang. Kefahaman itu penting bagi penulis supaya mereka tidak terus menulis novel sastera atau novel picisan yang sudah biasa mereka buat atau akan buat. Tujuan penjelasan ini dan eksperimen peraduan menulis novel persuratan ini bukan untuk menyekat kebebasan para penulis; tetapi hanya untuk memberi kefahaman kepada mereka apakah novel persuratan itu. Seterusnya urus setia akan menyediakan beberapa orang pakar runding yang boleh memberi nasihat setiap masa kepada sesiapa juga yang memintanya ketika mereka menulis novel itu. Ini untuk menjamin penulisan novel itu benar-benar berdasarkan konsep taklif dan konsep ilmu yang benar. Dalam penilaian nanti, hanya lima (5) buah dipilih untuk diberi hadiah yang sama jumlahnya, dicadangkan RM20,000 ke atas, mengikut budi bicara penganjur. Semua karya yang terpilih akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Organisasi mana yang akan menganjurkan peraduan ini dan siapa pula yang akan menyediakan hadiah dan ongkos penyelenggaraannya terbuka untuk dipilih oleh pihak yang berminat.  Sekadar satu bayangan, jika Dewan Bahasa dan Pustaka tidak berminat kerana terlalu sibuk dengan program yang lebih penting, maka sebuah organisasi penulis seperti PENA boleh mempelopori projek ini (tentu saja dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka juga). Cadangan ini dikemukakan supaya harapan kita diadakan “anjakan paradigma” dalam bidang kreatif dan akademik yang sudah lama kita bicarakan, dapat diberi peluang dengan terlaksananya cadanban ini.

Penutup
Jalan keluar yang disarankan oleh kertas ini untuk mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas dan Peraduan Menulis Novel Persuratan akan tertumpu ke arah perkembangan ilmu yang dihidangkan dalam bahasa Melayu yang bermutu tinggi, oleh para ilmuwan dan kalangan profesional di negara kita, di samping tulisan-tulisan kreatif yang tidak lagi berdolak-dalik tentang bahasa dan tema, tetapi terus mencerminkan ketinggian bakat, kedalaman ilmu pengarangnya yang menulis dalam konteks konsep ilmu yang benar.”        

Itulah cadangan saya dalam kertas kerja bertajuk, “Hadiah dan Anugerah Sastera Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, yang dibentangkan dalam seminar 2006 itu.  Cadangan itu masih relevan dan saya kira sesuai dengan iklim yang ada sekarang, jika kita dapat jadikan peraduan yang dikhususkan kepada “penulis muda” itu sebagai bukti. Atau adakah iklim akan berubah serta-merta apabila dirasa memihak kepada Persuratan Baru? Saya kira kita harus mengelak daripada meneruskan kegiatan bersifat klise yang masih diteruskan, padahal tidak membawa perubahan bermakna dalam pembinaan budaya ilmu di negara kita. Saya akan bincangkan beberapa contoh.

Contoh pertama diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kertas kerjanya, yang menganalisis dengan kritis Harga Sebuah Maruah yang ditinjau berasaskan matlamat sayembara diadakan dan meneliti bagaimana matlamat itu tercapai dalam novel berkenaan. Seperti yang dicatat oleh Prof. Ungku Maimunah, matlamat dan hasilnya saling bertentangan: pengadilan dan penilaian juri tidak tepat dengan matlamat sayembara; oleh itu novel yang diberi hadiah kedua itu menyimpang jauh dari matlamat sayembara yang dinyatakan. Inilah kesimpulan Prof. Ungku Maimunah:

“Analisis di atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan novel  Harga Sebuah Maruah.  Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara.  Malah kekeliruan dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian.  Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah.  Malah dalam banyak hal, dakwaan yang dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai.  Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian  tersebut dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.

Kepincangan penilaian yang diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada perkara yang lebih penting lagi iaitu kriteria penilaian yang tertumpu kepada kefahaman prioriti cerita. Adakah kriteria penilaian seperti ini yang terbaik bagi kita dan dapat menjamin akan terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk diwariskan sebagai khazanah bangsa yang boleh dibanggakan?  Ternyata kefahaman tersebut mengetepikan ilmu iaitu teras sebuah tamadun yang berjaya. Tentu sekali mengekalkan kefahaman yang dingin terhadap ilmu bukanlah satu pilihan yang bijak, lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain, yang bertunjangkan keyakinan yang murni dan kefahaman yang utuh terhadap keutamaan ilmu dan kerelevanannya dalam penulisan kreatif.” (Huruf condong dalam asal).

Katalah anda tidak boleh dan tidak mahu terima kesimpulan di atas, dengan alasan bahawa ukuran yang digunakan oleh juri berbeza daripada ukuran yang dipegang oleh Prof. Ungku Maimunah, maka amat wajar jika hujah Prof. Ungku Maimunah kita teliti satu persatu supaya anda diberi peluang untuk memahami mengapa kesimpulan itu tidak saja wajar dan tepat, tetapi mengundang perbincangan mendalam tentang kepuraan ilmiah (yang saya istilahkan sebagai pandirisme) yang kita hadapi sekarang.  Sebenarnya kesimpulan itu adalah hasil analisis berasaskan kriteria penganjur sayembara dan ukuran yang dipakai oleh panel penilai sendiri. Dari segi itu, kesimpulan Prof. Ungku Maimunah hanya boleh ditolak dengan menafikan semua kriteria yang memang menjadi panduan sayembara. Iklan sayembara disiarkan dalam Dewan Sastera, Mac 2005. Keputusan panel disiarkan dalam Dewan Sastera, Mac 2007 (hal. 19-21).

Menurut iklan itu, tujuan sayembara ialah untuk menggalakkan golongan sasterawan tanah air mengarang novel yang menggarap persoalan masyarakat Malaysia yang membangun dan berdaya saing, liberal, progresif, aman damai dan dipandang tinggi oleh negara luar. Tema novel adalah bebas, tetapi haruslah berupaya menggambarkan sebuah masyarakat yang kaya dengan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang tinggi.  Dalam laporannya, panel penilai menggariskan kriteria seperti berikut: “Pada peringkat akhir, panel telah meneliti 14 buah manuskrip berdasarkan tiga kriteria iaitu adanya pemikiran, etika dan visi hidup positif dalam persoalan, penampilan perwatakan positif serta dinamik, dan kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan yang berdaya kreatif dengan gaya dan kebahasaan yang menarik” (Dewan Sastera, hal. 20).  Panel mendapati “beberapa perkara yang terserlah secara jelas: penerokaan teknik penulisan baharu, pemilihan persoalan semasa yang masih segar pada ingatan kita, pemertabatan watak ke dunia antarabangsa dalam dunia dagang dan intelektual, dan gaya bahasa yang turut menjadi kebanggaan” (hal. 22). Berasaskan pandangan panel, Prof. Ungku Maimunah menganalisis novel Harga Sebuah Maruah untuk melihat sejauh mana kriteria itu dipatuhi oleh juri dan  terdapat dalam novel itu.

Prof. Ungku Maimunah menegaskan, tidak ada apa-apa pembaharuan dari segi teknik, malah pengarang masih menggunakan teknik lama yang sudah lusuh, mundur dan ketinggalan zaman. Dari segi plot, pengarang menggunakan plot linear yang mendatar, yang dari segi teknik adalah plot yang paling mudah, yang konvensional. Pilihan ini dibuat untuk lebih mudah mengendalikan cerita yang bercorak peristiwa demi peristiwa berturutan dalam satu rangkaian seperti budak-budak sekolah berbaris sambil meletakkan tangan di bahu teman yang di hadapannya. Kriteria yang menyebut “kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya saing” tidak diikuti, malah tidak ada sebarang percubaan untuk memperkenalkan teknik baru. Walaupun kriteria ini dijadikan kriteria wajib, namun panel penilai tidak memperdulikannya dengan menerima Harga Sebuah Maruah sebagai novel yang berjaya dari segi teknik. Kita juga tidak dapat mengatakan teknik sensasi yang kerap digunakan oleh penulis sebagai teknik baru, kerana penulis ini memang gemarkan sensasi dalam kesemua karyanya yang telah diterbitkan dan yang menang hadiah peraduan menulis.  Pembaca yang peka dapat mengesan sifat sensasi ini dengan mudah dalam Seorang Tua di Kaki Gunung, Kawin-kawin (untuk menyebut dua contoh yang menang besar dalam peraduan menulis novel).  Kegemaran kepada aspek sensasi ini sebenarnya terdapat di kalangan ahli Panel Anugerah Sastera Negara  sendiri, jadi bukan satu perkara baru atau yang aneh. Tetapi yang aneh di sini ialah bagaimana penilai Malaysia boleh menerima aspek sensasi ini sebagai kriteria penting dalam penulisan novel. Saya kira sebabnya ialah kerana para penilai kita menganggap sesuatu cerita hanya akan menarik jika diiringi dengan sifat sensasi, suatu pilihan yang tepat jika kita ingat betapa sensasinya cerita-cerita jenaka Melayu seperti Pak Pandir. Inilah kesan dari pandirisme yang saya maksudkan.  Andaian ini saya kira tepat kerana para sasterawan dan pengkritik sastera, serta para sarjana sastera sendiri, memang gemarkan gaya sensasi, malah dalam tulisan yang dikira bercorak akademik pun kita lihat kegemaran kepada sensasi ini sangat popular. Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya yang sama memberikan contoh yang baik, walaupun beliau tidak menyebutnya sebagai contoh retorik sensasi dalam tulisan akademik. Saya akan sentuh perkara ini kemudian.

Kriteria wajib kedua ialah wujudnya “pemikiran” dalam karya. Apakah makna “pemikiran”? Hingga kini konsep ini masih lagi menjadi tanda tanya, walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka telah banyak kali mengadakan seminar mengenai “pemikiran” sasterawan negara. Dalam salah satu seminar yang diadakan, seorang profesor ditanya, apakah pemikiran tokoh yang diseminarkan itu? Dengan tegas beliau menjawab, tidak ada. Beliau adalah salah seorang pembentang kertas kerja. Kalau betul sasterawan negara pun tidak mempunyai “pemikiran”, maka apa faedahnya diadakan seminar mengenai “pemikiran” mereka?   Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya membuktikan dengan jelas masalah ini menjadi satu masalah besar dalam sastera Melayu. Oleh sebab aspek ini penting, saya ingin peturunkan satu kutipan yang agak panjang untuk memberi gambaran “sebenar” tentang pemikiran ini:

“Apabila Harga Sebuah Maruah memenangi hadiah kedua sayembara ini, adalah tidak keterlaluan jika diandaikan novel tersebut telah (huruf condong asal) memenuhi kriteria “adanya pemikiran” seperti yang dituntut itu. Apabila diteliti bahagian Laporan yang memperkatakan novel Harga Sebuah Maruah secara khusus, ternyata tidak ada langsung rujukan kepada “pemikiran” tetapi ada rujukan kepada “mesej”, dan satu-satunya “mesej” yang ditemui ialah “mesej” pembangunan itu tadi. Adakah ini bererti dalam konteks penggunaannya dalam Laporan, istilah “mesej” dan “pemikiran” dianggap sinonim?  Sekiranya jawapannya ‘tidak’, adalah wajar diajukan soalan: jika demikianlah halnya, maka apakah sebenarnya “pemikiran” dalam Harga Sebuah Maruah, yang wajib ada dalam karya tersebut sebagai memenuhi syarat memenangi sayembara berkenaan. Ternyata,  sekiranya dua istilah ini bukan sinonim, maka Laporan sesungguhnya telah gagal menjalankan tugasnya yang hakiki iaitu menjelaskan kepada khalayak sastera bahawa Harga Sebuah Maruah memang sudah memenuhi kriteria pertama itu, dan seterusnya memperincikan bagaimana ini (memenuhi kriteria tersebut) telah direalisasikan secara kreatif oleh Azizi dalam novelnya itu.”

Kemusykilan yang dibangkitkan oleh Prof. Ungku Maimunah adalah penting dan memang wajar diberi jawapan yang jelas dalam Laporan, memandang istilah “pemikiran” ini telah digunakan secara sewenang-wenangnya sudah sekian lama, oleh itu sangat perlu diberi penjelasan. Tidak wajar suatu istilah digunakan tanpa diberikan definisi yang jelas, kerana ini akan mengelirukan pengguna istilah sendiri di samping mengaburkan maknanya dalam penggunaan akademik. Kita telah menggunakan istilah “pemikiran” ini begitu lama dan begitu kerap, jadi sangat perlu diberi penjelasan. Dalam gagasan Persuratan Baru, istilah ini tidak menjadi masalah; oleh itu saya cadangkan pengertian yang diberikan dalam gagasan Persuratan Baru diguna dengan selesa oleh para pengguna istilah ini dalam tulisan mereka. Tidak perlu bersusah payah lagi.  Inilah kesimpulan Prof. Ungku Maimunah yang wajar diberi perhatian:

“Analisis di atas menunjukkan betapa kefahaman Laporan tentang “pemikiran” dan “mesej” adalah kabur dan mengelirukan; malah, istilah “pemikiran” tersebut digunakan secara arbitrari tanpa penjelasan yang mantap. Ini adalah sesuatu yang wajar dikesali memandangkan “pemikiran” digariskan sebagai kriteria untuk urusan penilaian dan pengadilan.”

Dalam keadaan sekarang, penggunaan istilah “pemikiran” tidak memberi apa-apa manfaat, kecuali untuk mengelirukan masyarakat supaya menerima karya tidak bermutu atau karya picisan sebagai karya yang “penuh dengan pemikiran”. Kita lihat pula bagaimana kekeliruan begini diusahakan dengan gigih oleh sarjana sastera sendiri.  Prof. Ungku Maimunah mengambil contoh dari analisis Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man yang menulis/menilai Harga Sebuah Maruah dengan menggunakan pendekatan feminisme.  Tadi saya menyebut tentang kegemaran kepada sensasi, kepada ucapan bombastik yang kelihatan cukup memukau, tetapi hanya tidak lebih dari buih-buih terapung di permukaan air keruh yang mengalir malas kerana berat membawa sampah. Inilah gambaran yang dipamerkan oleh makalah Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man ketika membicarakan novel Harga Sebuah Maruah. (Lihat makalahnya, “Jiwa
Raga Wanita: Memahami dan Menyelami Pemikiran Azizi Hj. Abdullah Dalam Novel-novel Terpilih” (2010), dan “Keperkasaan Wanita dalam Harga Sebuah Maruah” (2009). Semua kutipan diambil dari makalah Prof. Ungku Maimunah.)  Menurut Siti Hajar Che Man, novel Harga Sebuah Maruah dan Sangeetha adalah novel Azizi yang “terhebat dan terhangat”. (Makalah 2010).   Penelitian Prof. Ungku Maimunah menolak sama sekali kesimpulan ini, dan inilah yang paling menarik  kerana pandangan yang bertentangan ini menyerlahkan beberapa persoalan. Pertama, bolehkah kita berkata bahawa apabila seseorang sarjana terlalu boros dengan pujian, maka sudah pasti karya yang dipujinya itu tidak bermutu. Di sini terdapat korelasi antara pujian melangit dengan mutu karya yang rendah. Kedua, setiap pujian yang berlebihan membuktikan kekeliruan dalam penilaian kerana kelemahan kognitif untuk meletakkan sesuatu konsep penting pada tempatnya yang tepat. Misalnya tentang “pemikiran”: kelemahan kognitif untuk memahami konsep ini melahirkan kekacauan yang luar biasa seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya. Ketiga, apabila seseorang sarjana menggunakan teori atau pendekatan tertentu, bolehkah kita membuat andaian bahawa terdapat korelasi yang jelas antara kemampuan menggunakan teori atau pendekatan dengan kefahaman yang naif terhadap karya kerana lemahnya kemampuan memahami teori atau pendekatan tadi. Nampaknya inilah yang terjadi kepada Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dan baru-baru ini pula oleh A. Rahim Abdullah yang membicarakan novel Kawin-kahwin. (Lihat kertas kerja beliau dalam Seminar SAKM XI, UKM 7-8 Disember 2011. Kertas kerja itu berserabut dengan kenyataan yang saling bertentangan, sungguh malang bagi pelajar ASWARA yang membacanya ...)   Sila rujuk posting bertarikh 6 Oktober 2011 untuk melihat pandangan saya tentang novel picisan ini, diringkaskan daripada satu kertas kerja yang agak panjang untuk Seminar Jenaka Nusantara 2003 di Universiti Malaya.

Prof. Ungku Maimunah menunjukkan penggunaan teori feminisme oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man tidak membantu kita meneroka “pemikiran” pengarang, tidak juga dapat memastikan karya yang dianalisis dengan menggunakan feminisme itu sebuah karya yang bermutu atau tidak. Nampaknya pembacaan berasaskan common sense lebih tepat kerana tidak terikat kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam feminisme. Apabila Siti Hajar membuat kesimpulan,  bahawa penulis Harga Sebuah Maruah telah keluar dari kepompong patriarki, oleh itu “pemikirannya selari dengan kehendak ciri-ciri feminis humanisme”, lantas terjadilah satu anjakan dalam “pemikiran” pengarang, maka beliau membacakan sesuatu yang tidak ada di dalam teks seolah-olah terdapat di dalam teks. Cara inilah juga yang dipakai oleh Azizi ketika melukiskan perwatakan wanita yang kononnya seorang watak istimewa menurut Siti Hajar (saya akan salin mantra beliau kemudian), iaitu dengan menggunakan teknik “telling and showing” seperti yang dibangkitkan oleh Prof. Ungku Maimunah. Adakah Azizi telah menggunakan teknik ini dengan berkesan? Tidak. Dia hanya melaporkan saja, kecuali beberapa peristiwa yang ditonjolkan untuk sensasi, bukan untuk melukiskan perwatakan yang istimewa seperti yang dibacakan oleh Siti Hajar dalam mantranya. “Telling and showing” adalah teknik laporan, yang penggunaannya memerlukan kecekapan bermain dengan peristiwa yang benar-benar menonjolkan kekuatan dan keistimewaan seseorang watak. Untuk melihat bagaimana teknik ini digunakan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam novelnya Pujangga Melayu, sila teliti peristiwa Aishah “meninggalkan” Teratak Desa, dan bagaimana Awang serta Aishah sendiri menangani “perselisihan” itu. Jika anda seorang yang berfikir, dan seorang yang berfikir secara positif pula, anda akan memberikan tafsiran tertentu; atau sebaliknya. Dalam hal ini, anda sama ada telah membaca dengan baik dan wajar kelakuan watak itu; atau anda hanya memperlihatkan ketidakmampuan anda memahaminya. Inilah yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang kerana terlalu bergantung kepada feminisme, membacakan sesuatu yang ada di dalam dirinya, yang tidak pun dialami oleh watak yang disanjungnya. Watak Cah berubah selepas kematian suaminya, dan perubahan ini tidak wajar dibaca seperti yang dilakukan oleh Siti Hajar. Perubahan itu menunjukkan watak ini bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang tiada lagi; dan dalam hal ini, dia adalah penjelmaan Jeha yang menjadi gila selepas kematian suaminya.  Azizi masih menulis di bawah bayang-bayang Shahnon Ahmad. Tidak ada apa-apa bacaan feministik yang boleh dikenakan kepada watak ini, apatah lagi untuk dengan liar pula mengatakan Azizi telah keluar dari kepompong patriarki. Kasihanilah pengarang ini yang tidak tahu apa-apa tentang feminisme dan tidak pun berminat untuk menulis dari perspektif itu, seperti yang telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya yang lain yang membicarakan novel-novel Azizi yang lain.

“Penyelewengan makna” yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man telah melahirkan kritikan mantra dalam sastera Melayu. Beliau telah menulis satu mantra yang indah dan wajar dirakamkan dalam makalah ini kerana keistimewaannya sebagai contoh kritikan mantra yang pertama kali ditemui dalam kritikan sastera Melayu. Inilah mantra itu (maaf jika agak panjang, tapi mesti diturunkan juga di sini):

“Sememangnya Cah tidak sama dengan Sangeetha, Cah juga tidak sama dengan Jeha, Cah juga tidak sama dengan Tijah isteri Dali dalam novel Jalur Sinar di Celah Daun karya Zaharah Nawawi, Cah juga tidak sama dengan Sofea watak utama dalam novel Isteri karya Rosmini Shaari, Cah juga tidak sama dengan watak Athilah dalam Cinta Penyerahan dan Tragedi karya bersama Hamidah Kamaruddin dan Zaharah Nawawi, Cah juga tidak sama degan watak Jamilah dalam novel Perempuan di Lereng Bukit nukilan Siti Hawa Hassan, Cah juga tidak sama dengan watak Datin Zakiyah dalam novel Menongkah Lumrah karya Azmah Nordin, Cah juga tidak sama dengan watak Maria menerusi novel Salam Maria karya Fatimah Busu, mahupun dalam novel Ayat-ayat Cinta nukilan Habiburrahman El-Sirazy, Cah juga tidak sama dengan Mazni watak utama novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim. Demikianlah watak Cah di tangan Azizi Hj. Abdullah, cukup istimewa, unik, tangkas, cekal, kental, berani, bersemangat waja mempertaruhkan hanya pengalaman untuk mengerjakan sawah dan mempertahankan tanah bendangnya yang hanya sekangkang kera”. (Disalin dari kertas kerja Prof. Ungku Maimunah).

Inilah hasil pendekatan feminisme. Jika Azizi tenggelam dalam sensasi yang menjadi trade mark penulisannya, maka Siti Hajar pula “fana” dalam “dewi feminisme” yang sedang dipujanya. Supaya anda faham maksud saya, inilah penjelasan yang tidak perlu tetapi mesti dijelaskan kerana tidak semua orang mengalami kehidupan berbudaya seperti kami orang Kelantan. Anda barangkali pernah dengar Main Puteri, atau Berbageh, yang dilakonkan untuk mengubat orang sakit. Tok Mindok akan membacakan mantra khusus untuk membangkitkan Semangat Dewa Muda; dan sebaik saja semangat itu menjelma dalam diri orang sakit, dia akan bangkit menari dan pada waktu yang sama menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepadanya oleh Tok Mindok. Melalui soal jawab itulah Tok Mindok “mengubat” pesakit: anginnya dikeluarkan dan dia akan berasa lega kembali, dapat menerima kembali dirinya yang asal setelah asal usulnya dibangkitkan oleh Tok Mindok. Inilah yang berlaku dalam pendekatan feminisme, apabila Siti Hajar Che Man “membangkitkan semangat dewi feminisme” untuk mengangkat keistimewaan novel Harga Sebuah Maruah, novel “terhebat dan terhangat” yang berdiri sebagai “sebuah novel yang lengkap” seperti cerita Dewa Muda dalam Main Puteri. Jika anda tidak dapat memahami bagaimana terdapat kaitan yang intim antara Main Puteri dengan feminisme, anda harus menonton sendiri Main Puteri atau Bageh di Kelantan, dan anda akan insaf betapa hebatnya Main Puteri itu jika dibandingkan dengan feminisme. (Jika anda masih tidak faham, anda harus cuba memahaminya dengan menggunakan teknik stylization of ideas untuk mentafsir bahagian ini).

Sekarang anda sudah lihat hasil sebenar peraduan menulis. Bukan saja tidak menggalakkan, malah lebih teruk lagi kita diberi penjelasan palsu yang tidak boleh dicabar kesahihannya kerana semua keputusan adalah muktamad, ditulis oleh tokoh-tokoh yang dianggap berwibawa pula. Jadi apakah kesudahannya? Kita mewariskan pandirisme melalui karya-karya tidak bermutu yang keliru, hasil dari penilaian yang keliru dan tidak berasaskan ilmu yang benar. Walaupun pilihan ini batil,  kita menerimanya kerana kebatilan sudah dibudayakan.  Tetapi mesti ada jalan keluar.

Jelaslah cadangan 2006 itu mempunyai kekuatan tersendiri sebagai jalan keluar dari kemelut yang kita hadapi sekarang.  Melaksanakan cadangan itu menjadi ujian kepada kejujuran kita menangani masalah yang kita bincangkan ini. Jalan keluar dari kemelut kekacauan dan kekeliruan yang kita hadapi ini boleh diatasi dan diselesaikan sekiranya pendekatan yang dikemukakan oleh gagasan Persuratan Baru dijadikan asas untuk menyelesaikan masalah itu. Jalan penyelesaian yang diberikan oleh Persuratan Baru adalah yang terbaik pada waktu ini, sehingga munculnya kaedah lain yang lebih baik. Kekalutan dan kekeliruan dalam memahami konsep “pemikiran” yang menjadi masalah besar dalam kritikan dan penilaian karya sastera Melayu itu boleh diselesaikan dengan mudah dan berkesan jika  masalah ini dilihat dari perspektif Persuratan Baru. Tetapi apakah yang menghalang pelaksanaannya? Jawapannya telah saya berikan dalam makalah panjang berjudul, “Kesusasteraan Melayu di Persimpangan Jalan: Anti-intelektualisme, Hasad, Pandirisme.” [Siri Wacana Ilmiah DAMAI, ATMA, UKM, 21 Disember 2004].  Pakar psikologi berpendapat, adanya perasaan hasad itu akan menghalang apa juga perubahan ke arah kebaikan; tetapi kehadiran orang-orang yang jujur dan ikhlas akan mengalahkan perancangan jahat kumpulan hasad tadi. 

Golongan hasad ini akan menghadapi dua kekalahan besar: tiadanya ketenangan jiwa dalam kehidupan mereka disebabkan perasaan iri yang diiringi kebencian dan dendam melihat kejayaan orang lain; kekalahan kedua ialah kerana mereka tidak dapat menyembunyikan kejahatan dan sifat foni mereka yang mereka serlahkan melalui kelakuan mereka sendiri. Contohnya sangat banyak, cukup kita ambil satu contoh saja kerana contoh ini amat penting diberi perhatian.  Ada di antara sarjana kita yang mencapai taraf “celebrity” di kalangan mereka, terutama sekali di kalangan teman-teman rapat yang sealiran dengan mereka, pernah berkata seolah-olah dengan perasaan kesal yang jujur, bahawa kita (yakni mereka dan rakan-rakan mereka) sudah lama melakukan kesilapan dan kesalahan dalam menilai karya kita yang berjiwa Melayu dan berbahasa Melayu dengan menggunakan ukuran dan teori Barat.  Ada pula yang dengan semangat berkobar-kobar (seakan-akan mencapai kesan “lupa” seorang Tok Mindok yang menggeleng kepalanya seperti kipas di paras maksimum) hampir menjeritkan dengan marah bahawa kita (yakni mereka dan teman-teman sealiran dengan mereka) perlu melemparkan Barat (Eropah, Amerika dan lain-lain, kecuali England!) dengan menjadikan “diri kita dan teman-teman sejiran dengan kita” sebagai pusat analisis untuk menilai teks (karya kreatif) yang kita hasilkan.  Tetapi semua jeritan itu mati di situ saja.  Mengapa terjadi demikian? Mereka terdiam setelah sedar dari “trance” Tok Mindok bahawa mereka sudah melakukan kesilapan yang lebih besar, iaitu menolak pemikiran orang lain yang sudah sedia ada hanya kerana perasaan hasad semata-mata, diiringi dengan perasaan takbur dan ghurur seorang “celebrity” yang foni. 

Nampaknya dunia akademik kita dalam bidang sastera ini amat malap yang menghampiri gelita, walaupun gemerlapan dari segi gaya bombastik dengan retorik kosong seperti yang ditunjukkan dalam analisis Prof. Ungku Maimunah yang saya petik dalam tulisan ini. Sekali lagi saya ulangi, anda yang menentang gagasan Persuratan Baru akan mati kering dan kalah terguling di medan anda sendiri, bukan kerana ditendang tersungkur oleh gagasan Persuratan Baru, tetapi kerana permainan anda sendiri yang belum bersedia berada di gelanggang ilmu. Dalam peperangan, yang kalah menjadi orang tawanan.  Dalam gelanggang ilmu di Malaysia, yang kalah itulah yang terus berkuasa.  Tetapi mereka tidak mempunyai hujah, oleh itu “kekuasaan” mereka terlalu rapuh dan tidak dapat dipertahankan apabila dibawa ke tengah gelanggang.  Itulah tragedi sebenar dalam dunia akademik  dan dunia kreatif kita yang menolak konsep ilmu yang benar.

Mohd. Affandi Hassan,
1 Februari 2012.

SEKADAR MENCELAH (BUKAN MENCELA, JANGAN SALAH SANGKA!), BUKAN APA!

Terlanjur kita bicara tentang “pemikiran” dsb.nya, gatal pula tangan nak komen sikit fasal Laporan Panel Anugerah Sastera yang terbaru yang khabarnya sudah siap. Tahniah kepada  Kemala, anda dikatakan sama standard dengan Amir Hamzah, Raja Penyair Pujangga Baru. Wah, SN Malaysia terhebat!  (untuk mengetahui makna perkataan ini tanya Dr. Siti Hajar). Laporan ditulis oleh tokoh utama DBP, seorang “celebrity” di kalangan ulama sastera Malaysia. Khabarnya ramai yang tak suka Laporan itu, tak berapa cerdik kata mereka, kurang akademik (?). Dikatakan Kemala itu “penyair sufi”. Tahniah sekali lagi untuk Kemala, inilah pensajak sufi pertama. Betulkah Kemala menulis sajak-sajak sufi? Apa yang sufi itu? Khabarnya hanya Braginsky yang bilang Kemala “pensajak sufi”. Dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari, Kemala disebut sebagai pensajak patriotik dengan menurunkan sajaknya “Pada Stiap Kali Kau Tiba, Ogos” sebagai sebuah sajak yang mantap. Mesti ingat, judul syarahan perdana itu ialah, Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan (Disember 2004). Beliau tidak sebut pun sajak-sajak sufi ciptaan Kemala. Adakah kerana tidak mantap? Tak mungkin ketika itu (2004) sajak-sajak sufi Kemala itu belum ditulis, hanya sajak-sajak patriotik dan lain-lain sajak yang tidak semantap sajak patriok tadi. Jika sajak-sajak sufi yang mantap itu sudah wujud, tetapi tidak disebut oleh Prof. Rahman Shaari, adakah ini bermakna syarahan perdana beliau itulah yang tidak mantap? Prof. Rahman Shaari begitu tinggi pujiannya terhadap sajak Kemala itu, hingga dia mencadangkan kepada GAPENA supaya menerbitkan sebuah antologi sajak-sajak patriotik dengan judul, Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos, yang akan dibaca setiap tahun ketika menyambut hari kemerdekaan. Hanya sanya, tarikh kemerdekaan itu sudah dipinda kepada bulan September; jadi Kemala terpaksalah edit sajak beliau supaya sesuai dengan keputusan kerajaan Barisan Nasional itu. Mana-mana pun, kita mesti berhati-hati, supaya orang “sufi” sebenar tidak direndahkan martabatnya, yang bukan sufi pula tak fasal-fasal diangkat jadi sufi, dan yang lebih teruk lagi gelaran begini hanya layak diberi selepas seseorang tokoh diuji selepas meninggal tak kurang dari 30 tahun, bukan semasa hidupnya. Itu pendapat satu pandangan yang tidak mahu bersufi-sufian tak tentu fasal.  Tentang bandingan dengan Amir Hamzah itu, kalau boleh dipadam, lagi baik, kata pakar sastera dan pengkritik.  Sepatutnya begitulah. Janganlah Amir Hamzah direndahkan begitu rupa. Kemala mungkin ada tempatnya tersendiri, biarlah dia duduk di situ, tak payah diangkat-angkat melampau sangat. Pokoknya, Laporan mesti bagus, kemas penghujahannya, terang jelas pembuktiannya, siuman kesimpulannya. Sudah sampai, atau memang sudah terlajak, institusi sasterawan negara ini sudah terjunam kerana Laporan yang selekeh?. Jangan hendaknya yang jadi begitu kerana Laporan tak cantik, ditulis sambil lewa macam Laporan sayembara DBP 50 Tahun itu. Takkah amat malang?  Kalau kita mahu angkat standard seseorang penulis, biarlah yang menentukannya karyanya, bukan pembaca yang gopoh. Apa lagi jika yang gopoh itu Panel Anugerah Sastera Negara.  Lagi pula, mana yang lebih tinggi martabatnya, Raja Penyair Malaysia atau “penyair sufi”? Ini mesti jelas. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man telah kasi gelaran “Raja Penyair Malaysia” kepada pensajak Muhammad Hj. Salleh. Sekarang Kemala pula diberi gelaran “penyair sufi”. Siapa yang lebih tinggi martabatnya? Kata orang yang tahu tentang benda ini, tentulah Kemala yang lebih tinggi darjat dan martabatnya, kerana dia pun setanding dengan Amir Hamzah menurut Laporan yang belum dipinda.  Macam-macam hal dunia ini!

Komen ini timbul selepas terjadi “perbincangan hangat” dengan seorang teman. Katanya, Anta mahu komen semua perkara, mahu cari fasal tak fasal-fasal. Biarlah mereka nak tulis laporan macam mana pun, itu kerja mereka. Apa yang anta nak menyibuk? Nak panggil Kemala penyair sufikah, penyair sapikah, penyair apa-apalah yang dia suka, itu dia punya fasal. Apa yang nak menyibuk sangat? Saya tergamam juga dibuatnya. Kata saya, Mari, ana mahu belanja anta makan capati. Mari kita pergi kedai mamak.   Hairan, waktu makan dan minum kopi, kami tak banyak bercakap. Bila kami sudah, teman saya kata, Sedap juga capati piramid kedai mamak ini. Kalau macam ni, ana kena datang lagi.  Waktu berpisah, teman saya dengan muka serius menggengam tangan saya waktu kami bersalam. Katanya, Jangan marah, jangan terasa hati komen-komen ana tadi. Anta kena berhati-hati. Mengapa anta anti puisi sufi pula? Mahu puisi sapi pula? Dan dia tertawa ... Saya memandangnya hairan, apakah yang menggelikan hatinya?. Yang saya tahu, ada orang sufi  yang memang suka susu sapi, apa yang jenakannya? Tak semestinya yang suka minum susu sapi itu seorang sufi!