Sebelum kita lihat dengan kritis laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita lihat dahulu satu kutipan yang panjang mengenai hakikat sebenar kedudukan kesusasteraan Melayu moden, yang dirumuskan begitu baik, lengkap, tepat dan jitu, dan cukup objektif sehingga kini belum ada lagi sesiapa pun yang menyanggahnya secara akademik. Satu kesimpulan yang menggerunkan, mungkin yang mengerikan bagi para sasterawan yang insaf, tetapi yang penting diketahui dan difikirkan dengan mendalam oleh sesiapa juga yang inginkan satu perkembangan sihat dan bermakna dalam persuratan Melayu abad 21 dan seterusnya. Bacalah kutipan ini betul-betul, supaya anda tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam sastera Melayu moden yang telah (kononnya) melahirkan sebelas sasterawan negara yang hebat. Kita lihat di mana kehebatan mereka sebagai pemikir besar Malaysia.
Salah satu kritikan paling keras tentang kesusasteraan Melayu dan para sasterawan telah disuarakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau tahun 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Inilah kesimpulan beliau (hal. 54-56):
“Menurut hemat saya, unsur-unsur baru yang telah timbul dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia yang boleh dikatakan membayangkan kesan kebudayaan Barat adalah sebenarnya mendakyahkan suatu pandangan hidup yang mengutamakan nilai tragedi, nilai kesengsaraan dalam lakonan hidup insan. Dalam kebudayaan Barat sejak zaman Purbakala, tragedi mengambil peranan besar dalam mitos, dan kemudian dalam menilai luhurnya watak keperwiraan dalam sesuatu lakonan. Dari Oedipus ciptaan Sophocles; dari Hamlet dan Macbeth dan lain-lain ciptaan Shakespeare; dari Faust ciptaan Goethe, dan seterusnya hingga Sysiphus rekaan Camus, terus mengalir darah dan keluh-kesah tragedi, berulang-ulang menjelma merangkap abad beribu tahun. Justeru pandangan hidup yang berdasarkan nilai demikian bukanlah baru, akan tetapi memang menepati bawaan jiwa Barat dan kebudayaannya; membayangkan tragedi yang senantiasa dialami oleh jiwa Barat yang sejak zaman purbakala lagi asyik berpandu kepada keraguan dan falsafah sebagai punca menuntut Kebenaran; yang dari itu terkecewa pegalamannya beragama; yang seolah-olah dikutuk supaya terus mencari Kebenaran yang tiada dicapainya - yang tiada dapat dan tiada akan dicapainya. Nasibnya demikian laksana nasib dewa Prometheus yang buta terbelenggu tersiksa pada batu tunggal di tengah lautan! Dan segala nilai kebudayaan Barat, segala konsep utama mengenai kehidupan, segala hasrat - dalam agama, falsafah, kesusilaan, dan kesenian - mengandung jiwa tragedi. Renungan mengenai perwatakan dalam sesuatu lakonan, novel, cerita pendek, berpunca kepada tragedi kehidupan semesta. Kerana kehidupan pendek, kerana dunia tiada kekal, kerana akhirat luput, kerana dalam pengetahuan demikian masih tetap juga asyik melulu kepada kehidupan dunia, maka timbul dalam jiwa ketegangan dan kesunyian mahadahsyat, sedih pilu mengenangkan nasib insan yang terbelenggu pada dunianya, yang riwayat akhirnya diselubungi kegelitaan mahahebat.
“Pandangan hidup demikian, sedikit demi sedikit dengan tiada disedari telah mulai mendekati jiwa yang disebut ‘baru’ tadi. Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguhpun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru dan yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu.
“Bahawa sesungguhnya, kesusasteraan Melayu-Indonesia yang disebut ‘baru’ atau ‘moden’ itu belum cukup dewasa bagi diberi gelaran ‘kesusasteraan’ sebab belum dapat merangkum seluruh bidang kebudayaan yang mencerminkan jiwa dan hasrat masyarakat Melayu-Indonesia; belum berdaya merantau ke alam falsafah dan agama, ke alam fikiran luhur; belum menyelami lautan rasa-cita masyarakat seluruhnya; belum mengenal sentuhan rohaniah pada kecapi kalbunya. Yang ‘baru’ atau ‘moden’ itu hanya baru sedang menguji sayap dalam bidang sajak, cerita pendek, dan novel. Bentuk luarnya saja tampak baru, akan tetapi yang sebenarnya baru dalam sejarah kebudayaan itu tiada hanya tampak baru pada bentuk luar belaka, kerana bentuk luar bukan syarat yang sah bagi penilaian pembaharuan.
“Jiwa ‘baru’ yang kononnya terbayang dalam kesusasteraan kita sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari segi falsafah, tiada selaras dengan sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan kebudayaan Islam. Maka dari itu yang kononnya ‘baru’ inilah yang membahayakan, yang ‘baru’ inilah yang mengandung nilai-nilai bibit kekeliruan yang membawa kepada mewujudkan satu masyarakat perpinggiran, yang tiada akan dapat merangkum hasrat Timur mahupun Barat; yang tiada dapat menyelami jiwa ketimuran mahu pun kebaratan; yang cetek meraba-raba. Dan bukanlah yang demikian laku yang akan dapat memimpin ke arah nasib gemilang masa hadapan, menetapkan dengan teguh bentuk-corak sejarah kemudian hari bagi membela bangsa dan sifat persendirian bangsa itu. ...”
Kutipan ini menggambarkan satu fitnah besar telah melanda alam fikiran para sasterawan, yang dibudayakan begitu rupa sehingga mereka tidak lagi dapat melihat hakikat sebenar keberadaan mereka dalam keadaan keliru “cetek meraba-raba” sudah sekian lama, malah berasa selesa serta cukup bangga berada dalam keadaan keliru “cetek meraba-raba” itu. Inilah dunia yang mereka gambarkan kepada kita, disempurnakan dengan baik sekali oleh anggota Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Kandungan laporan itu menjadi bukti yang tidak dapat dinafikan betapa tepat analisis dan jitunya kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Sekadar untuk memberi gambaran kasar (sila rujuk dan kaji laporan itu untuk mendapat gambaran yang lebih menyeluruh) mengenai “fitnah sastera” ini, kita petik beberapa bahagian untuk dinilai oleh pembaca.
Ketika membicarakan sumbangan A. Samad Said (Laporan 1985), Panel Anugerah Sastera Negara membuat kesimpulan berikut: “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. ... Salina ... merupakan pemapar kisah-kisah dan watak-watak yang terlihat dalam satu-satu suasana. Hendak dikatakan tidak ada tema atau tidak ada perutusan tidaklah benar-benar tepat, kerana selepas mengikuti kisah-kisah yang digambarkan, kita boleh juga mengatakan bahawa ada landasan atau ikatan yang merangkaikan kejadian dan bentuk-bentuk yang beraneka dalam Salina atau pun Sungai Mengalir Lesu. Misalnya, kita boleh mengatakan kesengsaraan yang digambarkan oleh kedua-dua buah novel ini adalah akibat peperangan dan dengan secara tidak langsung A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jika ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka.” (Laporan 1985, hal. 13). Penilaian yang saling bertentangan ini lahir daripada kekeliruan panel terhadap makna “plot” dalam pembinaan cerita. Menurut panel, Daerah Zeni tidak mempunyai plot: “Urutan kisah secara tradisional tidak wujud. Novel ini bagaikan sekeping kertas besar yang dikoyak-koyak menjadi kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kesatuan kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.” (Hal. 18). Kutipan ini memberitahu kita, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, maksud “plot” ialah urutan kisah secara tradisional; oleh itu “kepingan kecil yang terbang bertaburan” yang dikumpul dan dicantumkan kembali sehingga “terasa kesatuan kisahnya” bukan “plot”, walaupun diakui terdapat kesatuan kisah, yakni memang ada plotnya yang mungkin berbeza daripada yang biasa ditemui. Perkara ini dibangkitkan di sini kerana seluruh penilaian panel terhadap cereka berasaskan kekeliruan mereka tentang makna dan peranan plot dalam membina cereka; oleh itu timbullah kesimpulan seperti yang terdapat dalam kutipan panjang di atas. Adakah hal ini terjadi kerana A. Samad Said “terlalu pandai dan bijak” bermain dengan plot, sehingga membingungkan Panel Anugerah Sastera Negara? Sebenarnya inilah bukti kelemahan kedua-duanya: pengarang dan penilai. Pengarang tidak dapat menilai bahan yang ada di tangannya, dengan itu hanyut dalam apa yang disebut sebagai “gambaran terperinci” mengikut aliran realisme dan naturalisme yang ditirunya. Plot tidak digunakan sewajarnya untuk mengemukakan pemikiran dan analisis yang agak mendalam tentang “persoalan” atau “tema” atau “falsafah” dan sebagainya yang disebut oleh panel tidak diperlukan dalam sebuah karya yang bermutu. Jelas sekali penggunaan ruang naratif dalam novel-novel A. Samad Said tidak terarah untuk membahaskan persoalan dengan mendalam, oleh sebab keutamaan diberikan kepada keinginan untuk bercerita semata-mata, bukan untuk membahaskan “persoalan” dan sebagainya itu dengan terperinci dengan menggunakan wacana yang membolehkan “persoalan” itu diberi makna, di samping ceritanya menarik. Inilah yang disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara, suatu sanjungan yang tidak masuk akal. Jadi di sini tidak ada “pemikiran”, kerana terlalu ingin “memaparkan” begitu saja segala peristiwa dalam sejenis realisme atau naturalisme tiruan yang sebenarnya tidak difahami dengan mendalam, sekadar tiruan luaran yang biasa saja. Oleh itu semua perkara yang dipuji oleh panel, seperti tidak ada perutusan, tidak mempunyai tema tertentu, tidak didaktik, dan lain-lain sebagainya, adalah gambaran kekeliruan pengarang dan penilai sendiri tentang aspek plot ini.
Huraian ini boleh difahami dengan lebih mudah jika dilihat dalam konteks gagasan Persuratan Baru yang membezakan aspek wacana dan cerita dengan memberi perhatian utama kepada aspek wacana. Memang benar A. Samad Said tidak menulis dalam konteks gagasan Persuratan Baru; tetapi Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani telah membuktikan dalam makalahnya (dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan) bahawa Abdul Kadir Adabi (seorang pengarang yang diberi penghormatan dengan panggilan al-adib, dalam novel yang terbit 1938, Melati Kota Bharu) boleh mencapai standard yang diingini oleh gagasan Persuratan Baru kerana beliau mempunyai daya kreatif yang tinggi dan pemikiran yang lebih jelas. Beliau adalah seorang pengarang yang berwibawa ilmunya, tidak seperti A. Samad Said. Dalam “Seminar Pemikiran A. Samad Said” (DBP, 13-15 Mei 2008), hampir semua pembicara bersetuju A. Samad Said tidak mempunyai “pemikiran”, terutama sekali penegasan Prof. Rahman Shaari, ketika ditanya, yang bulat-bulat menolak adanya “pemikiran” dalam karya-karya A. Samad Said. Bagi Panel Anugerah Sastera Negara, tiadanya pemikiran, perutusan, tema dan sebagainya bukan satu kelemahan, tetapi bukti kekuatan pengarang dan karya yang dihasilkannya. Kekuatan itu dilandaskan oleh panel kepada kehandalan A. Samad Said meniru dari Barat. Kesimpulan begini dengan amat jelas membenarkan penegasan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kutipan panjang di atas. Dalam cara tersendiri yang tidak jelas, yang samar-samar, yang mencerminkan kekeliruan para sasterawan dan penilainya, maka karya-karya yang disanjung itu “kelihatan” sangat bermutu kerana dikenakan kata-kata pujian yang pada hakikatnya tidak menggambarkan kualiti dan mutu sebenar karya yang dipuji jika dianalisis lebih mendalam dan lebih kritis. Inilah ciri-ciri “fitnah dalam sastera dan penilaiannya” yang tergambar jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Sesungguhnya suatu fitnah besar dari segi ilmu apabila orang meremehkan ilmu dan pemikiran, padahal semua tamadun dan kebijaksanaan manusia diasaskan kepada ilmu dan pemikiran. Jika hakikat ini diambil kira oleh Panel Anugerah Sastera Negara, mereka tidak akan menulis laporan bercorak anti-ilmu seperti yang mereka buat selama ini. Oleh itu laporan mereka membawa kesan negatif dalam perkembangan ilmu dan dalam kritikan sastera: mereka hanya meneruskan begitu saja pengaruh Barat yang mereka miliki dan anuti tanpa memperdulikan ciri-ciri khas tamadun Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam. Tidak saja karya yang mereka bicarakan sering kali bertentangan dengan nilai-nilai Islam; malah penilaian mereka juga bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
Mereka memuji Langit Petang kerana tekniknya, walaupun teknik yang mereka puji itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang istimewa. Sesuatu teknik dalam penulisan hanya akan menjadi istimewa jika teknik tadi menjurus ke arah pembinaan wacana dan makna dalam karya, sehingga “tema” yang dibenci (oleh Panel) itu terserlah dalam analisis dan wacana yang disediakan, seperti yang ditunjukkan oleh Abdul Kadir Abadi dalam novelnya Melati Kota Bharu. Tetapi sekiranya “tema” tidak perlu, maka yang akan terjadi bukanlah suatu karya yang betul-betul bermakna, tetapi hanya sekadar sejenis rombengan biasa yang selalu kita dengar dalam perbualan orang kampung di kedai-kedai kopi ketika mereka ingin bersantai dan berjenaka sesama mereka. Bukti bahawa penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri adalah juga sejenis rombengan yang dibuat-buat, dapat kita lihat bagaimana mereka tidak langsung menyebut hakikat sebenar novel itu ditulis, iaitu untuk menggambarkan perasaan dendam seorang perempuan Melayu, dan bagaimana dendam itu dipuaskan dengan meniduri 18 orang lelaki. Kerana penilaian itu berasaskan nilai-nilai yang keliru cetek meraba-meraba, maka satu kisah perzinaan oleh penganut Islam dibiarkan tanpa sebarang komentar untuk kononnya berlaku objektif, kerana hal itu, kononnya, seharusnya dikesan oleh pembaca sendiri. Apakah gunanya satu analisis dan penilaian jika kejahatan zina yang begitu besar dalam Islam diketepikan, dengan mengutamakan aspek teknik yang tidak pun istimewa jika dilihat dari segi makna karya itu keseluruhannya. Inilah maksud pengaruh negatif yang disebut itu, kerana semua ini menjurus kepada fitnah besar dalam kritikan sastera, apabila nilai dan ukuran yang dipakai membenarkan perbuatan zina dengan alasan itulah realisme yang harus diterima oleh para sasterawan, pembaca, dan penilai sendiri. Aspek ini menjadi kepercayaan dan pegangan yang cukup kuat dipertahankan.
Contoh yang lain ialah yang terdapat dalam Laporan 2009, ketika Panel Anugerah Sastera Negara memuji cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Menurut mereka, “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eksperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, ... apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia, [sebuah] dunia yang sempit, panas dan seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar kepada keseronokan semata-mata” (hal. 10). Menurut panel, cerita pendek ini mengemukakan “persoalan filosofikal”, tetapi tidak dijelaskan apakah maksud mereka dengan istilah itu. Apakah yang “filosifikal” tentang kehidupan dalam sebuah apartmen dengan segala perlakuan maksiat yang digambarkan? Itulah kehidupan manusia Barat yang dilalui mereka setiap hari, suatu kebiasaan mereka yang hanya kelihatan pelik kepada sesiapa juga yang belum mengenal kehidupan demikian dari dekat. Menggambarkan perzinaan dan mengaitkannya dengan cinta mungkin membuat panel beranggapan cerita pendek itu mengemukakan persoalan filosofikal, kerana dilakukan dalam sebuah apartmen yang panas dan sesak. Jika itulah maksud mereka, maka itik berenang di kolam sambil berkelamin adalah filosofikal, kerana menurut logik ini itek sepatutnya berkelamin di darat atau dalam reban. Ternyata istilah (?) “filosofikal” itu hanya perhiasan retorik yang tidak bermakna, tak ubah seperti baju kertas Pak Kaduk yang koyak rabak bila disentuh sedikit. Pemilihan Pak Kaduk memakai baju kertas jauh lebih “filosofikal” daripada perbuatan zina di apartmen yang sempit dan panas.
Jika karya A. Samad Said diangkat kerana tidak mempunyai tema tertentu, tidak ada perutusan, tidak mementingkan aspek moral, melukiskan kejahatan secara terperinci dan sebagainya, maka untuk karya (novel) Anwar Ridhwan, Panel Anugerah Sastera Negara memuji novel-novel beliau kerana terdapat kepelbagaian tema, bersifat eksperimental (ini antara ciri yang digemari panel), bersifat anti-plot dan anti-struktur, dengan itu permainan teknik lebih penting daripada cerita. Kesimpulan paling menarik panel ialah yang berbunyi: “Semua persoalan ini tidak dinyatakan oleh pengarang secara eksplisit atau dibincangkan dengan panjang lebar melalui dialog, jauh sekali dengan cara berkhutbah. Dengan cara begini, pengarang mengembalikan hak mentafsir di tahap abstrak kepada pembaca” (hal. 36). Ini menunjukkan kebalikan daripada pujian yang diberikan kepada A. Samad Said yang memperincikan “tema”nya yang tidak ada itu. Dua pendirian yang kelihatan bertentangan ini sebenarnya sama, yakni kedua-duanya memperlihatkan teknik analisis berasaskan “common sense” yang tidak diasaskan kepada apa-apa teori secara khusus, tetapi menggunakan nilai-nilai umum yang sering dipakai dalam penilaian sastera di Barat. Kerana itu, maka panel tidak berminat kepada makna dan pemikiran, yang tidak perlu ada dalam karya sastera (oleh itu pengarang tidak perlu mengolah persoalan secara eksplisit dan terperinci), kerana yang lebih penting ialah cerita dan teknik cerita yang pelbagai. Matlamat sebuah karya yang baik dan bermutu, menurut mereka, ialah untuk memberi kebebasan kepada pembaca membuat tafsiran mereka sendiri. Pendirian begini sebenarnya hanya sejenis retorik semata-mata, tidak diasaskan kepada pemikiran yang jelas tentang kedudukan karya kreatif sebagai hasil nukilan pengarang yang sedar tentang matlamatnya menulis, iaitu untuk menyerlahkan pemikirannya tentang kehidupan berasaskan konsep ilmu yang difahaminya. Oleh itu, karya dapat diolah sama ada melalui cara bacaan-intelektual (intellectual mode of reading) atau yang menekankan hanya cerita dalam cara bacaan-cerita (story mode of reading) seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Cara membaca begini lebih mudah untuk mengenal kekuatan sesebuah karya, bukan cara bacaan “common sense” yang telalu umum yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang tidak mempunyai fokus yang jelas yang boleh diukur dengan tepat dan jitu maksud bacaan itu. Kelemahan bacaan Panel Anugerah Sastera Negara sangat jelas apabila kita melihat betapa berleluasanya kekeliruan cetek meraba-raba dalam penilaian dan analisis mereka. Akibatnya, semua karya akan kelihatan bermutu dan hebat kerana tidak difokuskan kepada aspek yang boleh diukur. Ini telah dibuktikan dengan konkrit oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam analisis dan penilaian beliau terhadap novel Fatimah Busu, Salam Maria (lihat bab 3, Gagasan Persuratan Baru), dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang membicarakan novel al-adib Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu (terbit 1938, dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, bab 5, mulai halaman 383).
Sudah lebih dari 30 tahun kita berada dalam keadaan keliru cetek meraba-raba ini, oleh itu sudah tiba masanya kita meninggalkan dunia khayal penilaian “common sense” ini, dengan berpindah kepada pendekatan yang lebih terfokus, berasaskan konsep ilmu yang benar. Mengapa kita tidak boleh menggunakan kaedah berasaskan ilmu yang benar ini jika kaedah itu memberikan kita fokus analisis dan penilaian yang tepat, yang boleh menghasilkan penilaian yang boleh diukur secara objektif? Kesedaran ke arah ini nampaknya sudah ada, tapi masih samar-samar, masih berada dalam dunia “common sense” yang keliru cetek meraba-raba itu. Sebagai contoh, seorang anggota veteran Panel Anugerah Sastera Negara, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah merungut begini: “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP, 2005: hal. 14). Pengakuan ini dibuatnya dalam ucaputama beliau di DBP, oleh itu suatu pengakuan penting daripada seorang tokoh yang bergelar sasterawan negara, yang beberapa kali menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Adakah beliau maksudkan Panel Anugerah Sastera Negara yang melakukan kesalahan itu? Oleh sebab beliau bukan seorang pemikir yang sistematik, hanya seorang pensajak yang suka merantau dan menulis sajak-sajak catatan, maka pendapat beliau yang penting ini tidak pernah dihuraikan. Mati di situ saja, tergantung seperti kelawar mati yang sudah kering. Walau apa pun maksud beliau, ucapan ini menggambarkan dengan tepat sekali kaedah yang dipakai oleh beliau dan para anggota Panel Anugerah Sastera Negara hingga sekarang.
Seorang anggota veteran yang lain, Prof. Dr. Zawiah Yahya, lebih tegas dan lebih lantang bersuara, menyeru supaya dihumban saja pengaruh Barat dalam penilaian sastera di Malaysia. Ucapan beliau ini dikutip oleh seorang paderi dari Filipina, Daniel L. Espiritu dalam makalahnya yang berjudul, “Ethnohermeneutics or Oikohermeneutics? Questioning the Necessity of Caldwell’s Hermeneutics” (Journal of Asian Mission, vol. 3/2 (2001), pp. 267-281): “A Malaysian literary critic, Zawiah Yahya, in her article complains, ‘western scholarship has created imperial knowledge about us’. She urges her fellow Asians: ‘[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe and replace them with the centrality of our own country and our own region as a base on which we stand in relation to the rest of the world’. She adds, ‘We will [need to] approach a text with our own cultural schema to interpret.’” [Huruf condong ditambah, merujuk kepada ucapan Prof. Dr. Zawiah Yahya.] Tentu saja ucapan begini sangat hebat, bagai dentuman halilintar yang kuat memekakkan telinga buat seketika, diikuti ribut petir yang gamat, tetapi sesaat kemudian diam. Jika patah atau tumbang satu atau dua batang tiang elektrik, terbakar sebuah bangunan tinggi, sudah cukup baik untuk dijadikan tanda peri dahsyatnya halilintar dan ribut petir tadi. Tapi tiada apa-apa. Semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara masih ditulis dengan bertenggek di bahu teori sastera Barat, menggunakan nilai-nilai yang terpakai di Barat. Jadi apakah maksud orang-orang penting ini bercakap besar, padahal hanya dentuman mariam buluh waktu hari raya saja!
Mereka sering bercakap tentang perubahan yang dilakukan oleh para sasterawan yang mereka nilai, memuji eksperimen dalam karya mereka, walaupun yang dimaksudkan dengan eksperimen itu tertumpu pada peniruan daripada acuan teknik Barat. Kemudian mereka sendiri seolah-olah sudah sedar diri, ingin melakukan perubahan pula, tetapi perubahan apakah yang telah mereka lakukan dalam laporan mereka? Hanya dentuman mariam buluh saja, tidak ada apa-apa perubahan. Dilihat dari perspektif ini, kita harus membantu mereka untuk melakukan perubahan itu dengan memperkenalkan kepada mereka konsep ilmu yang benar untuk dijadikan asas dalam melakukan perubahan itu. Mereka tidak perlu menghumban apa-apa ke dalam laut, jika masih terus bertenggek di bahu teori Barat. Mereka hanya perlu mengenal kebudayaan mereka sendiri dan kenal kebudayaan Barat dari aspek falsafah dan sistem nilainya. Seperti yang dikatakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, mereka harus melepaskan diri mereka dari kekeliruan tentang konsep ilmu, sehingga berada dalam keadaan cetek meraba-raba mencari kepastian daripada nilai-nilai Barat yang anti kepastian, yang seolah-olah Sisyphus menolak batu ke atas gunung, ketika hampir sampai ke puncak, bergolek turun kembali. Satu kutukan intelektual yang amat memilukan, tetapi tidak disedari kerana terlalu degil tidak mahu menerima kebenaran yang disediakan dalam konsep ilmu yang benar itu.
Keadaan buntu inilah yang menimbulkan “fitnah dalam sastera” yang dimaksudkan dalam tulisan ini.
Apakah yang menyebabkan munculnya fitnah sastera ini? Jika kita ikuti perkembangan sastera Melayu moden awal tahun 1950-an, ketika itu para penulis yang mula menggelar diri mereka sasterawan, yang meniru penulis Indonesia, menerima pengaruh pemikiran Barat melalui Indonesia. Ketika itu mereka terlalu terpesona dengan konsep realisme, seperti yang boleh kita temui dalam tulisan mereka tentang sastera waktu itu. Realisme memberikan mereka peluang untuk menulis tentang rakyat, keburukan pentadbiran penjajah, dan kepalsuan orang-orang berada dan juga para pemimpin politik yang berhaluan kanan. Mereka ini menjadi penyokong golongan politik kiri, kerana mereka sendiri terdiri daripada golongan bawahan; manakala golongan politik kanan terdiri daripada kaum bangsawan Melayu, sama ada yang bekerja dengan Inggeris atau yang dipelihara Inggeris seperti keluarga raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu sendiri. Penerimaan konsep realisme dari Barat ini, khususnya versi Abad 19 yang bermula di Perancis, terjadi hampir secara mendadak selepas revolusi Indonesia, dengan masuknya karya-karya moden Indonesia. Oleh sebab para sasterawan ini mempunyai pendidikan yang amat sederhana, kecuali beberapa orang dari mereka, maka mereka dengan mudah terpengaruh dengan faham realisme itu, sehingga mereka menganggap karya-karya sebelum mereka bersifat khayal dan anti-kemajuan. Begitu ghairahnya para sasterawan ini, sehingga mereka mengisytiharkan bahasa Melayu tidak perlukan tulisan Jawi, kerana tulisan itu tidak ada kaitan dengan agama Islam. Pandangan ini ternyata membuktikan mereka terputus dari tradisi keilmuan masyarakat Melayu yang telah melahirkan para pujangga, ulama dan cerdik pandai berasaskan ajaran Islam melalui tulisan Jawi. Sama ada secara sedar atau tidak, mereka menganggap Islam sebagai unsur buruk yang menghalang kemajuan, yang membawa pemikiran jumud, bukan progresif seperti mereka. Tetapi mereka sendiri tidak pula mengenal Barat dengan mendalam; maka itulah seperti yang dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, mereka adalah dari kumpulan masyarakat perpinggiran yang tidak ke Timur dan tidak pula ke Barat. Ini berbeza dengan tokoh-tokoh Indonesia, baik dari Pujangga Baru atau sebelumnya mahu pun Angkatan 45, yang mendapat pendidikan yang baik dan membaca dalam bahasa-bahasa Eropah seperti Belanda, German, Inggeris, Perancis dan lain-lain. Jadi kita mewarisi konsep kesusasteraan ini dari kumpulan sasterawan yang ikut-ikutan saja.
Sekarang kita lihat kutipan ini: “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walaupun berlainan, masih diperlukan di negara demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.”
Kutipan di atas merupakan bahagian akhir atau kesimpulan daripada kenyataan rasmi (bertarikh 8 Mac 2011) empat orang sasterawan negara (Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Noordin Hassan) tentang isu Interlok, novel Abdullah Hussein, juga seorang sasterawan negara, yang ditolak oleh orang India (Hindu atau Muslim atau penganut lain-lain agama) kerana di dalamnya terdapat perkataan “paria” yang dikatakan menghina orang India kerana tidak ada paria dalam masyarakat India.
Sekarang kita baca dengan kritis pandangan empat orang sasterawan negara dan pendirian para sasterawan ini. Pertama sekali, mereka tidak mempunyai fahaman yang mendalam dan betul tentang aspek “kenyataan” atau “realiti” dalam kehidupan manusia. Hal ini terjadi kerana keterbatasan pengetahuan mereka dalam perkembangan tamadun manusia, terutama sekali dalam tamadun Islam. Mereka tidak dapat membezakan antara realiti semu (yang palsu), dengan realiti hakiki (yang benar), seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran dalam kisah Balqis dan Nabi Sulaiman ‘a.s., dalam kisah Nabi Musa ‘a.s. dan para ahli sihir Mesir, dalam peristiwa menghiris jari perempuan Mesir sewaktu melihat ketampanan Nabi Yusuf ‘a.s. Walaupun Anwar Ridhwan berkata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah membaca 160 buah teks sastera lama, termasuk teks yang bercorak Islam, namun beliau tidak dapat mengenal mana satu realiti semu, mana pula realiti hakiki. Kedua-dua sasterawan negara ini tidak mempunyai pengalaman ilmiah yang membolehkan mereka melihat realiti semu dan membezakannya dengan realiti hakiki. Oleh itu apabila mereka bercakap tentang “kenyataan Malaysia” dan memohon supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyatakan “kenyataan Malaysia” itu walau pun tidak manis, maka mereka tercakap tentang “realiti semu”, yakni realiti palsu. Bagi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menulis kenyataan rasmi itu, realiti semu dan realiti hakiki sama saja, kerana semuanya adalah “realiti” yang tidak perlu dipisahkan. Kesimpulan ini tentu saja bertentangan dengan pengalaman intelektual dan pengalaman beragama dalam Islam. Misalnya, dalam peristiwa Balqis, terang dan jelas al-Quran menyebut Balqis telah keliru melihat lantai berkilat istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang disangkanya air, lalu dia menyingkap pakaiannya supaya tidak basah. Dalam peristiwa Nabi Musa ‘a.s. dengan ahli sihir Firaun yang handalan, ahli sihir itu dengan mudah melihat realiti hakiki dan menerimanya lalu menerima agama tauhid dan mati syahid kerana itu. Dalam peristiwa perempuan Mesir memotong jari mereka kerana terlalu ghairah dan berkobar nafsu syahwatnya tatkala melihat Nabi Yusuf ‘a.s. lalu di depan mereka, maka mereka tidak sedar tangan mereka terhiris kerana terlalu berkobar nafsu syahwat mereka melihat Nabi Yusuf ‘a.s. yang begitu tampan. Dalam kes ini, di manakah duduknya realiti hakiki dan di mana pula realiti semu? Perempuan Mesir telah tertipu oleh hawa nafsu mereka, sehingga mereka sanggup menghiris jari mereka sendiri. Jika peristiwa ini dikaitkan dengan fahaman tentang realiti yang dipegang oleh para sasterawan kita, bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa mereka, para sasterawan ini, tidak sedar bahawa mereka setiap masa menghiris jari sastera mereka kerana tidak mahu menerima realiti hakiki yang mereka tolak berasaskan kemahuan hawa nafsu sastera mereka. Syahwat sastera para sasterawan ini terlalu besar untuk menerima hakikat ini, oleh itu mereka tidak berasa apa-apa kerana mereka tidak tahu hakikat realiti, dan lemas dalam realiti semu.
Empat orang sasterawan ini meminta rakyat Malaysia “membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.” Apakah makna “membaca sastera dari pendekatan sastera”? Inilah pendirian Kritikan Baru (New Criticism) yang kini sudah ditinggalkan, tetapi masih dipertahankan dengan gigih oleh para sasterawan di Malaysia. Inilah juga pendirian anggota Panel Anugerah Sastera Negara, yang melihat apa yang mereka namakan sebagai “karya sastera” sebagai cetusan kudus dan khusus oleh para sasterawan untuk “meluahkan” apa-apa yang ingin mereka “luahkan”. Asas fahaman ini ialah kebebasan penulis menulis tentang apa saja yang mereka mahu dalam konteks realisme yang dipraktikkan di Barat. Oleh sebab realisme itu dikaitkan dengan kejadian buruk (bobrok) dalam masyarakat, maka seorang sasterawan boleh menulis dengan bebas tentang “kenyataan dalam masyarakat walaupun tidak manis”. Dengan itu lahirlah karya-karya seperti Kuala Lumpur Kita Punya yang erotik dan picisan; Salina yang mengangkat pelacuran sebagai tema agung dalam kesusasteraan; sajak “Pulang Si Tenggang” yang menjulang penderhakaan terhadap ibu bapa dengan menukar penderhakaan itu menjadi pencarian makna diri manusia; novel Ranjau Sepajang Jalan yang menjadikan kebodohan watak sebagai unsur tragedi yang indah dan mengharukan; cerita pendek “Dunia adalah Sebuah Apartmen” yang menjadikan perzinaan sebagai pencarian identiti anak muda Melayu moden dengan bergelumang dalam maksiat. Alasan mereka ialah semua kejahatan ini sesuatu yang memang benar-benar terjadi, sesuatu yang realistik, yang berada dalam masyarakat, yang dilakukan oleh ramai manusia, oleh itu menjadi satu tuntutan kepada para sastrawan untuk mengabadikannya (??) dalam karya mereka supaya pembaca tahu itulah kejahatan mereka sendiri (bukan kejahatan para sasterawan yang hanya melukiskannya saja). Tetapi pembaca tidak harus mencari apa-apa makna, apa-apa ajaran moral atau apa juga kebaikan, kerana karya sastera tidak perlukan itu semua. Inilah penegasan anggota Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, terutama sekali ketika memuji karya A. Samad Said yang bagi mereka sangat bermutu tinggi kerana tidak terikat kepada apa-apa ajaran moral. Tetapi di sini terjadi percanggahan yang amat ketara, apa bila Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Puitika Sastera Melayu menekankan ajaran moral, sebagai ciri utama dan penting dalam sastera Melayu lama. Adakah beliau masih berpegang dengan kesimpulan beliau itu? Nampaknya tidak, jika kita boleh percaya kenyataan rasmi yang beliau dan rakan-rakannya tulis dan sebarkan kepada masyarakat. Adakah ini merupakan sejenis kekeliruan besar dalam memahami peranan dan tugas seni dalam masyarakat beradab? Pendirian begini, yakni membebaskan sastera seperti kuda liar di padang liar telah dikritik dan dikutuk oleh Islam, dan hakikat ini diketahui oleh empat orang sasterawan ini. Jadi, mengapa masih berpegang kepada konsep sastera yang autonomous seperti fahaman Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika Syarikat sendiri?
Tentulah amat menghairankan, mengapakah para pengkritik, sarjana dan sasterawan yang muncul selepas golongan awal ini tidak dapat melepaskan diri daripada pengaruh golongan awal yang seolah-olah terikat kepada faham realisme sastera Barat? Kumpulan ‘baru’ ini mendapat pendidikan yang baik, khususnya dalam bidang sastera dan kritikan. Adakah mereka juga seperti golongan awal, terikat kepada faham sastera Barat, atau terus terbelenggu dengan sastera Barat kerana mereka diajar di universiti dalam acuan Barat? Sebahagian besar daripada kumpulan ini yang menjadi pensyarah, profesor sastera, dan para sasterawan yang rapat dengan tokoh-tokoh awal tadi, dilantik menjadi ahli Panel Anugerah Sastera Negara. Maka tidak hairanlah jika para anggota panel ini meneruskan saja pengaruh Barat itu dalam analisis dan penilaian mereka, mempertahankan dengan gigih pengaruh Barat dan menolak bulat-bulat apa-apa juga percubaan untuk keluar dari pengaruh itu kerana mereka sangat selesa berada di dalamnya, dan yang lebih penting, itulah yang mereka pelajari dan amalkan. Mereka sudah terputus daripada tradisi kebudayaan Melayu berteraskan Islam dan tidak pula mempunyai pengetahuan dalam tradisi pemikiran Islam. Maka apabila terdapat di antara mereka yang bercakap tentang perubahan, tentang kesilapan masa lalu seperti yang disebut di atas, maka mereka sebenarnya tidak dapat meletakkan diri mereka dalam keadaan yang membenarkan mereka berubah. Mereka masih melihat perubahan itu dalam konteks sastera Barat yang mereka kenal, dan inilah yang dilanjutkan dengan megah oleh para anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Kita boleh membuat kesimpulan yang agak tepat, bahawa selagi wujudnya institusi anugerah sastera negara dengan para penilai yang terdiri daripada anggota panel seperti yang ada sekarang, kesusasteraan Melayu tidak akan berubah, akan terus menjadi appendix sastera Barat. Apatah lagi kini ada di antara para sasterawan yang sudah mendakwa bahawa mereka pun layak diberi Hadiah Nobel. Benarlah apa yang dikatakan oleh Pascale Casanova (dalam bukunya The World Republic of Letters), bahawa semua ukuran tentang sastera di dunia ditetapkan di Paris atau London. Malah keunggulan sasterawan Amerika Syarikat pun ditentukan di Paris, seperti yang terjadi kepada William Faulkner. Jadi benar juga pendapat para sasterawan Malaysia yang meminta karya-karya mereka diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah, supaya dikenali di Paris, London dan Amerika Syarikat. Hanya dari situ saja barulah mereka akan diiktiraf sebagai sasterawan dunia yang mewarisi sastera Barat, seperti yang pernah dikatakan oleh Chairil Anwar. Adakah ini tidak lain daripada fitnah besar sastera yang sengaja dicari? Wallahu a’lam.
Mohd. Affandi Hassan, 24/5/2011.