Sunday, April 17, 2011

Pengaruh Sisyphus Dalam Pemikiran Sastera Melayu Moden


Dalam mitos Yunani, dewa Sisyphus telah dikutuk dan dilemparkan ke dalam neraka untuk dihukum dengan satu hukuman yang hampir menyerupai kaldai yang ditutup matanya untuk berpusing-pusing menarik kincir air. Berapa ribu batu pun kaldai itu berjalan, dia masih di tempat yang sama. Dalam mitos Sisyphus pula, dewa ini dihukum untuk menolak batu ke atas gunung; tetapi sebaik saja akan sampai ke puncak, batu itu bergolek turun; jadi Sisyphus akan mula menolaknya semula, begitulah selama-lamanya. Usahanya kuat, seperti kaldai di kincir air tadi, tetapi tidak pernah berhasil. Perlukah sang kaldai dan dewa Sisyphus melakukan “anjakan paradigma” untuk berubah?

Soalan ini menarik bila dilihat dari perspektif konsep kesusasteraan yang dipakai dan dipertahankan di Malaysia. Seperti yang telah kita lihat, hingga kini pengaruh Kritikan Baru dan pengaruh realisme Abad 19 di Barat masih menjadi tunjang yang kukuh dalam kritikan dan penilaian karya sastera di Malaysia, dipertahankan dengan gigih oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka rakam dalam sepuluh laporan mereka. Walaupun satu ketika dulu, sekitar tahun 1980-an, kita sering dengar laungan para sasterawan dan pengkritik (termasuk ahli akademik) supaya memulai “anjakan paradigma”, namun semuanya sudah sepi sekarang. Adakah para sasterawan dan sarjana sastera kita telah dihukum untuk menolak batu seperti Sisyphus atau diberi tugas seperti sang kaldai? Kini yang timbul, dan mungkin akan menjadi agak popular, ialah ungkapan “fikiran terjajah” (the captive mind) yang diperkenalkan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas satu masa dulu. Mungkin juga “anjakan paradigma” itu tidak terjadi kerana wujudnya “fikiran terjajah” ini. Siapa pula yang mengidap penyakit baru yang bernama “fikiran terjajah” ini? 

Ungkapan “fikiran terjajah”  mencerminkan betapa kuatnya pengaruh the captive mind yang dialami oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang terikat kepada teori-teori Barat untuk memahami konsep sastera yang mereka praktikkan.  Mereka tidak mungkin dapat membebaskan diri mereka daripada menjadi “tawanan” Barat dalam epistemologi selagi mereka tidak mahu berpegang kepada epistemologi Islam. Oleh itu, apabila mereka bercakap tentang “anjakan paradigma”, mereka sepatutnya jelas dan tegas untuk berpindah dari epistmologi Barat kepada epistemologi Islam dalam memahami makna kesusasteraan, supaya mereka dapat membebaskan diri mereka daripada kekeliruan epistemologi ini. Mereka harus berpindah dari kesusasteraan kepada persuratan, yang dimulai dan dikembangkan oleh para ulama dan cendekiawan kita sendiri. Mengapa mereka tidak mahu melakukannya?  Sebenarnya inilah pengaruh Sisyphus yang menerima kutukan itu sebagai tugas  yang akhirnya dilakukan dengan selesa setelah diulang beribu kali. Bagi sang kaldai, berapa lama pun dia berjalan berpusing di telaga untuk menaikkan air di kincir tidak menjadi persoalan kepadanya, kerana matanya tertutup tetapi mulutnya terbuka untuk disuap jerami.  Adakah para sasterawan dan sarjana sastera kita demikian pula keadaannya? Walau apa pun jawapan yang kita berikan, atau yang kita cari, namun satu perkara tidak dapat kita elakkan: kesusasteraan telah gagal mencerdikkan bangsa Melayu dan pelajar kita, dengan itu kita telah membuang masa begitu lama bergayut pada dahan buruk yang dinamakan sastera. Sesiapa juga yang menolak kesimpulan ini akan terus berada dalam tawanan pemikiran Barat yang sudah begitu lama mencengkam mereka. Hanya melalui konsep ilmu yang benar yang diajarkan dalam epistemologi Islam saja kita dapat menilai apa juga pengaruh yang kita terima atau yang dipaksakan ke atas kita. Jikalau kita bersunguh-sungguh ingin membebaskan diri dari belenggu intelektual yang diberi nama “fikiran terjajah” itu, dan benar-benar ingin melakukan “anjakan paradigma” yang sudah sekian lama kita laungkan, maka pilihan terbaik ialah dengan kembali kepada taklif, dan menerima konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.

Jika benarlah terdapat sasterawan yang percayakan seruan lantang supaya dimulai “anjakan paradigma” dalam sastera Melayu, maka yang pertama harus mereka lakukan ialah  membebaskan diri daripada belenggu “fikiran terjajah” yang kini masih mereka pertahankan, seperti yang jelas dalam deklarasi empat orang sasterawan negara supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyatakan keburukan walaupun tidak “manis”, persis seperti yang dianjurkan oleh realisme Abad 19 di Barat yang kini masih dipegang kuat oleh para sasterawan. Apakah makna “anjakan paradigma” jika mereka masih mahu bergayut di dahan reput realisme Abad 19 di Eropah dan Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika?  Sekiranya mereka masih percaya perlunya “anjakan paradigma” dengan menolak “fikiran terjajah” yang terus kuat mencengkam fahaman mereka tentang sastera, maka yang harus mereka lakukan ialah turut serta dalam gerakan untuk membina generasi persuratan di Malaysia dalam Abad 21 ini. Untuk itu mereka harus menerima epistemologi Islam sebagai asas kritikan dan penilaian yang juga menjadi tunjang penulisan kreatif. Di sinilah relevannya gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan, 15/4/2011.

Wednesday, April 13, 2011

Kelesuan Berfikir Dalam Kesusasteraan Melayu

[Nota: Posting ini perlu dibaca bersama posting bertarikh 21/2/2011; 13/3/2011; 15/3/2011 dan 24/3/2011]

Setiap kali kita lihat dan baca tulisan mengenai apa yang dinamakan “sastera” dalam blog, dalam ruangan sastera di akhbar, dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang khusus membicarakan soal sastera, kita akan berasa amat hairan dan terkejut membaca tulisan-tulisan yang begitu dangkal, kontang kering garing tiada idea bernas, dan terlalu banyak gosip atau ocehan yang lebih menonjolkan keghairahan penulis untuk memuja dirinya dan teman-teman rapat  daripada berhujah tentang sesuatu idea yang menarik.

Jika anda ikuti ruangan sastera Berita Harian misalnya, anda akan berasa kita sudah kehilangan kemampuan berfikir dengan tenang dan kritis untuk membicarakan sesuatu perkara yang perlu dibincang dengan cermat dan teratur, tidak sekadar melambakkan istilah, ungkapan, kata-kata bombastik yang berselerak tanpa fokus yang akhirnya akan membawa kepada satu kesimpulan yang boleh mencabar pembaca untuk terus berbincang tentang sesuatu  isu yang wajar dibincangkan dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, satu ketika dulu pernah dibangkitkan isu kegagalan persatuan penulis yang dalam kegiatannya tidak mendorong ke arah pemikiran kritis yang boleh membantu perkembangan sastera yang lebih terarah, terutama dari segi pengisian ilmu dalam karya.  Isu yang ditimbulkan itu tidak hidup, mati beragan atau dimatikan kerana sebab-sebab tertentu.

Sebagai penjelasan yang lebih mirip kepada gosip, kita mendengar ada pendapat yang mengatakan para ahli akademik yang terlibat dalam pengajaran sastera terlalu banyak tugas, tidak ada waktu sama sekali untuk ikut serta dalam perbincangan serius. Kata mereka, perbincangan serius itu berlaku di bilik-bilik kuliah, oleh itu tidak diketahui oleh masyarakat umum. Tetapi penjelasan ini nampaknya bertentangan dengan munculnya Majlis Profesor Negara, yang antara lain bertujuan untuk memasyarakatkan ilmu apabila para profesor “turun padang” (dulu yang turun padang hanya pesawah dan petani kerana mencari kehidupan mereka) memperkenalkan diri dan ilmu mereka kepada masyarakat.  Bagaimana pula dikatakan tidak ada waktu jika antara tugas mereka ialah mendidik masyarakat supaya menjadi cerdik?

Kegagalan para ahli akademik ini sangat ketara apabila kita meneliti tulisan murid-murid mereka yang hanya sekadar mengulangi pendapat mereka yang kebanyakannya sudah jauh ketinggalan zaman. Dengan itu kita tidak melihat apa-apa perubahan yang boleh mencetuskan pemikiran baru dalam dunia persuratan. Nampaknya para sasterawan dan ahli akademik terlalu terikat kepada konsep kesusasteraan yang sempit dan terbatas, sehingga mereka sanggup mempertahankan idea lama yang pada umumnya telah ditolak di tempat asalnya. Contoh paling baik ialah rayuan empat orang sasterawan negara baru-baru ini, yang memohon supaya mereka dan para  sasterawan diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja yang mereka mahu, “walau betapapun tidak manis kenyataan itu”. Mereka masih berfahaman lapuk tentang makna realisme yang mereka sanjung, dan tentang faham sastera yang dibawa oleh Kritikan Baru yang menjadikan karya sastera sesuatu yang autonomous, yang berdiri sendiri dan harus dinilai daripada perspektif itu. Inilah pendirian Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika Syatrikat sejak tahun 1980-an lagi, tetapi masih menjadi pegangan para sasterawan dan ahli akademik di Malaysia.

Jika anda masih ingat, satu ketika dulu mereka inilah juga yang bercakap lantang supaya diadakan anjakan paradigma. Apa maksudnya mereka tidak tahu, hanya terikut-ikut rentak perbahasan ketika itu yang selalu bercakap tentang “perubahan paradigma”. Dengan terus mempertahankan idea lapuk seperti Kritikan Baru dan realisme semu yang menjadi pegangan mereka, maka semua cakap-cakap tentang anjakan paradigma itu hanya omong kosong sahaja. Bagaimana para sasterawan, dan terutama sekali ahli akademik yang jadi profesor sastera dan pensyarah sastera, boleh terlibat dalam kegiatan omong kosong begini? Tidak hairanlah kesusasteraan Melayu begitu lesu dari segi pemikiran, kerana yang terlibat dalam bidang ini bukan terdiri daripada kumpulan manusia yang berfikir dan jelas konsep ilmunya. 

Tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan, khususnya pemikiran sasterawan negara.  Jika anda membaca kertas kerja yang dibentang, dan perbincangan yang mengikutinya, anda akan teringat sindiran tajam Umar Khayam, ahli matematik dan penyair, yang berkata dia bosan sekali menghadiri majlis perbincangan dan perbahasan, kerana dia masuk dan keluar dari pintu yang sama. Maksudnya: pengalamannya tidak bertambah. Tidak ada benda baru. Inilah sifat seminar pemikiran yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagus juga jika DBP mahu adakan seminar pemikiran sekali lagi, dikumpulkan dahulu para penulis kertas kerja, dibincangkan dengan mendalam maksud dan makna pemikiran, diagihkan kepada penulis kertas kerja tajuk-tajuk khusus yang benar-benar membahaskan aspek pemikiran. Tetapi jika DBP sendiri tidak mahu berubah dan tidak bersedia untuk berubah, maka apa juga program dan projek yang berbentuk pemikiran ini akan hanya berada di tahap sindiran Umar Khayam saja. Dengan itu baik ditutup saja pintu yang satu itu untuk mengelak daripada berkeliaran orang keluar masuk sambil mengepit fail yang isinya entah apa-apa. Jangan bikin malu sama Umar Khayam!

Mohd. Affandi Hassan, 13/4/2011