Thursday, March 24, 2011

SASTERAWAN NEGARA TERNYATA TIDAK RELEVAN DALAM PERKEMBANGAN BUDAYA ILMU DI MALAYSIA

Sekiranya anda membaca dengan teliti dan analitis kenyataan rasmi empat orang sasterawan negara (Muhammad Hj. Salleh, Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Noordin Hassan)  bertarikh 8 Mac 2011, yang merayu kepada kaum Hindu India supaya menerima novel Interlok berasaskan konsep “the autonomy of literature”,  anda akan segera merasakan betapa tidak relevannya kumpulan Brahmin Sastera ini. Rayuan itu sebenarnya tidak perlu, malah tidak wajar dikemukakan. Kumpulan kaum Hindu India mempunyai hak dan kebebasan mereka sendiri untuk menerima atau menolak sesuatu karya yang di dalamnya terdapat perkara tentang faham dan kepercayaan mereka yang mereka tidak mahu dinyatakan. Jika prinsip kebebasan ini diterima, seperti yang dinyatakan oleh kenyataan rasmi empat orang sasterawan negara (“Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu”), maka kumpulan Hindu India ini tidak perlu dirayu supaya memberikan kebebasan itu. Dengan itu mereka sendiri tidak perlukan kebebasan memilih untuk menerima atau menolak sesuatu, “walau betapa pun tidak manis kenyataan itu”.  Mengapa hanya kumpulan sasterawan negara yang perlu diberi kebebasan “menyatakan sesuatu yang tidak manis sekali pun”, manakala kaum Hindu India tidak diberikan pilihan untuk menolak atau menerima “sesuatu yang mereka rasa tidak manis walaupun itulah kenyataannya”.  Yang menjadi isu di sini  ialah hujah songsang yang dikemukakan oleh para sasterawan negara ini untuk mempertahankan kebebasan mereka sebagai sasterawan yang tidak harus dipersoalkan oleh sesiapa sekali pun.  Mengapa mereka harus diberikan keistimewaan itu? Di sinilah terserlah anggapan tersirat mereka bahawa mereka adalah kumpulan Brahmin Sastera yang tidak boleh dipersoalkan, yang mesti diterima kedudukan istimewa itu dalam masyarakat.

Ketika saya memulai penulisan di blog ini, saya menampalkan moto yang tertulis: “Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar. Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu.” Inilah makna kebebasan yang sebenarnya, yakni kebebasan untuk berdialog walau betapa pun kita tidak suka dengan kandungan dialog itu. Inilah sifat terbuka yang mesti dipunyai oleh orang yang berilmu, atau sekurang-kurangnya yang menghormati ilmu. Jika dia tidak mempunyai kedua-duanya (tidak berilmu, dan tidak menghormati ilmu), maka bagaimana mereka boleh menuntut orang lain supaya hanya bersetuju dengan mereka? Tidakkah ini sangat pelik dan songsang?

Kehadiran kumpulan sasterawan negara ini sebenarnya menimbulkan banyak perkara yang tidak wajar kerana tidak berasaskan ilmu dan keterbukaan kepada kebenaran.  Mereka meletakkan kumpulan mereka di tempat yang terlalu istimewa dan tinggi, padahal mereka tidak layak diberi kedudukan istimewa itu walaupun mereka sudah diberi gelaran “sasterawan negara”.  Gelaran itu adalah gelaran “politik sastera” yang penerimaannya tidak berasaskan kualiti sebenar karya mereka dan sumbangan mereka dalam pemikiran, yang memang tidak terdapat dalam karya mereka.  Semua ini sudah terpahat dengan jelas dalam semua sepuluh laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Ambil saja contoh yang paling jelas dan mudah difahami, iaitu Laporan 1985 tentang A. Samad Said.  Antara lain, kata Laporan 1985: (tentang Salina): “... A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said  sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (hal. 13); “Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja.” (hal. 16); “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. ... Tetapi selain tekniknya yang merupakah hallmark karangan-karangan A. Samad Said yang mementingkan pengamatan yang terperinci, novel itu mendedahkan kepelbagaian tindakan manusia.” (hal. 16).  “Di sinilah letaknya keistimewaan A. Samad Said – kebolehan menulis secara ‘detached’ – tetapi bukan tidak simpatis -  memasukkan teknik-teknik bercerita daripada penulis-penulis Barat dengan berkesan, menggunakan dialog-dialog yang lincah dan natural dan lebih-lebih lagi keupayaan deskriptif yang terperinci, sarat dan tidak apologis”. (hal. 20).  Inilah gambaran faham realisme Barat yang bermula dalam Abad 19, kemudiannya dibawa ke Malaysia dan dijadikan faham sastera yang dominan hingga kini. Realiti itu berada dalam faham realisme ini, iaitu dalam kebobrokan masyarakat yang menjadi tema utama para sasterawan Malaysia. Faham ini telah dikanunkan dalam kesusasteraan Melayu moden, dijadikan ukuran yang mutlak dalam menilai kejayaan sesuatu karya kreatif. Melalui faham realisme ini, kejahatan dijadikan tema utama dan satu-satunya yang perlu diberi perhatian oleh para sasterawan (sila baca semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melihat kebenaran kesimpulan ini; sila rujuk juga tulisan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, Bab 4). Inilah faham yang menjadi pegangan para sasterawan negara, yang menjadikan karya sastera itu autonomous, dan harus dinilai dalam konteks “the anutonomy of literature” seperti yang dianjurkan oleh Kritikan Baru (New Criticism) yang berkembang di Amerika Syarikat satu ketika dahulu, kemudian ditinggalkan sekitar 1980-an (rujuk Frank Lentricchia, After the New Criticism, 1980.  Analisis yang lebih mendalam dan lebih jelas dapat dibaca dalam buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.)  Betapa pentingnya kejahatan sebagai tema dominan dalam kesusasteraan Melayu moden, diserlahkan dalam karya-karya A. Samad Said yang memberi tumpuan khusus dan istimewa kepada aspek perzinaan dalam masyarakat, sebagai sejenis realiti yang mesti diketengahkan dengan istimewa dalam novel-novel beliau. Novel Langit Petang yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara membicarakan kisah seorang perempuan Melayu yang meniduri 18 orang lelaki untuk “membalas dendam”.  Semua ini tidak kena mengena dengan morality, menurut mereka, kerana demikianlah realiti kehidupan. Tidakkah pandangan begini sebenarnya tidak bermoral?

Jikalau kumpulan sasterawan negara ini golongan yang berfikir, sudah lama mereka akan memikirkan dengan serius tentang faham sastera yang mereka pertahankan, yang melihat  apa yang mereka sebut sebagai realisme itu hanya pada permukaannya, pada tahap realisme semu, bukan hakikat realiti yang diajarkan oleh Islam. Malah mereka tidak dapat menerima adanya hakikat realiti itu, yang menurut mereka tidak berkaitan dengan sastera, yakni berada di luar sastera yang mereka perkembangkan. Mereka tidak menerima hakikat realiti itu oleh sebab mereka berada di luar lingkungan konsep ilmu yang benar yang diajar dalam Islam, oleh itu pada pandangan mereka kesusasteraan tidak mempunyai kaitan dengan hakikat realiti dalam kehidupan manusia, baik yang beragama Islam mahu pun yang bukan Islam. Berasaskan fahaman inilah mereka menolak sebarang percubaan untuk menilai karya mereka daripada perspektif berasaskan konsep ilmu yang benar.  Sebagai pilihan, mereka menerima dengan baik dan sering kali tanpa penelitian yang cermat apa juga teori sastera dari Barat. Ini dapat kita lihat dengan jelas dalam syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, 1989). Di situ kita lihat percubaan beliau yang bersungguh-sungguh untuk menilai kesusasteraan Melayu lama dalam konteks teori moden Barat yang dikemukakan oleh Barthes, Derrida, Jauss, Bakhtin, dan ramai lagi sarjana dan pengkritik Barat yang disenaraikan dalam syarahan perdana itu. Unsur Islam, yang menjadi dasar sastera tradisional Melayu, hilang ghaib dalam siratan jerat teori Barat yang digunakan dengan begitu saja, tanpa sebarang usaha untuk memahami dasar falsafahnya dan matlamatnya serta statusnya dari segi ilmu. Beliau mengajak para sasterawan menggunakan dekonstruksi, tanpa menyedari teori itu menolak sebarang makna yang menjadi pegangan orang beragama. Beliau tidak sedar teori itu mengajak manusia menjadi skeptik, ragu-ragu, dan tidak tentu arah dalam pencarian ilmu yang benar. Bolehkah seorang sarjana Islam yang memahami agamanya menerima pendirian ini?  Bagi kumpulan sasterawan ini, sesiapa juga yang menyoal secara serius  kedudukan teori-teori Barat dianggap  tidak faham dan tidak mengerti maksud dan tujuan sastera dicipta oleh manusia, dan bagi mereka sesiapa juga yang mempersoalkan kedudukan teori Barat adalah seorang yang fanatik dan buta sastera.  Tetapi di sinilah mereka terjebak dalam hujah berbelit-belit yang mereka cipta, apabila misalnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata, sudah bertahun-tahun kita menggunakan teori Barat untuk menilai karya kita yang bukan Barat. Beliau tidak menghuraikannya dengan jelas, oleh itu semua ucapan beliau tentang perkara ini hanyalah sejenis retorik yang tidak bermakna apa-apa, yang tidak ada hujung pangkalnya. Demikianlah betapa seriusnya kumpulan ini berada dalam kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila kita menilai karya-karya mereka secara serius dan berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajar oleh Islam. Dilihat dari perspektif ini, dari segi apa kumpulan ini relevan dalam pembinaan budaya ilmu?

Prof. Dr. Zawiah Yahya dalam buku terbarunya, Reading Approaches In Malay Literature, menyenaraikan empat ciri teori pascamoden: semua pengalaman manusia dibentuk oleh masyarakat (di sini tidak ada Tuhan Maha Pencipta), oleh itu tiada yang stabil, selalu berubah-ubah; teori sastera dibentuk oleh faham ideologi masing-masing, jadi tidak objektif;  bahasa menentukan apa yang disebut realiti, dan makna ditentukan oleh penulis dan pembaca, seperti yang terdapat dalam teks, dan al-Quran adalah sejenis teks yang tidak stabil dari segi makna (Perhatian serta-merta: al-Quran bukan teks dalam maksud yang difahami oleh ideologi pasca moden, maknanya ditentukan oleh al-Quran sendiri (pendapat Shah Wali Allah: al-Quran mentafsir dirinya sendiri), oleh Nabi SAW dan para sahabat dengan persetujuan Nabi); akhirnya, yang keempat, tidak ada bacaan yang tetap untuk sesuatu teks, selalu berubah, boleh ditafsirkan dengan dan dalam pelbagai cara. [Saya harap ringkasan ini memenuhi makna yang dikehendaki, tidak tersasar terlalu jauh seperti yang dimaksudkan oleh Dr. Zawiah Yahya. Lebih baik baca sendiri buku itu, hal. 14]. Jangan terkejut jika kita membuat kesimpulan bahawa inilah pendirian dan pandangan para sasterawan, sebahagian besar sarjana sastera dan ahli akademik (dengan pengecualian yang kecil sekali).  Inilah pandangan Panel Anugerah Sastera Negara, yang mereka jadikan panduan dalam menilai karya sastera dari tahun 1981 hingga sekarang, tidak berubah (walaupun ada di antara ahli panel, termasuk Dr. Zawiah Yahya sendiri, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh misalnya, menegaskan makna boleh berubah dan tafsiran juga boleh berubah; oleh itu Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berani menulis tentang Si Tenggang yang “sudah berubah” dari seorang penderhaka kepada seorang sasterawan, saudagar besar, ahli korporat dan lain-lain).  Kita tidak boleh mengkritik mereka kerana jika sesiapa juga berbuat demikian, dia melakukan sesuatu yang karut, yang tidak masuk akal, yang tidak sesuai dengan tuntutan zaman, yang menentang modernisme. Menurut golongan ini: kita biarkan saja apa yang diingini  hawa nafsu manusia.  Jika kita menggunakan istilah agama Islam, inilah pandangan Jahiliah Moden, yang menolak adanya nilai-nilai yang tetap yang menjadi panduan manusia sepanjang zaman.  Inilah juga pandangan para sasterawan yang menolak apa-apa juga nilai mutlak seperti yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.  Adakah mereka ini termasuk juga para sasterawan negara?

Mohd. Affandi Hassan, 19/3/2011

Tuesday, March 15, 2011

SEBUAH NOTA PARIA TENTANG SASTERA YANG TIDAK PARIA

Judul ini tidak bermaksud mencari sensasi, walaupun kadang-kadang sensasi itu berguna untuk mencapai maksud tertentu. Sensasi boleh berwajah seolah-olah tidak sensasi, tetapi pada hakikatnya satu sensasi. Itu hanya dapat diketahui jika dilihat sejauh mana tidak sensasinya sensasi itu. Mengapa ia berwajah tidak sensasi, padahal lebih baik jika terus saja berwajah sensasi.  Itulah permulaan satu sensasi. Dan setiap sensasi tetap menarik perhatian  ...

Apakah makna sensasi? Kamus Dewan:  sesuatu (kejadian, keadaan, dll) yang menggemparkan atau yang membangkitkan perasaan (menarik perhatian ramai, menimbulkan rasa ingin tahu yang kuat, dsb.).  Kamus Besar Bahasa Indonesia:  yang membuat perasaan terharu (rusuh, gempar, dsb); rangsangan.  (2) yang merusuhkan (menggemparkan); kegemparan; keonaran.  (3)  perasaan atau emosi.  Kamus Moderen Bahasa Indonesia:  (Belanda sensatie) keheranan kekagetan atau besar.  Collins Cobuild English Dictionary: If you sensitize people to a particular problem or situation, you make them aware if it; a formal use.

Sekarang kita lihat kutipan ini:  “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walaupun berlainan, masih diperlukan di negara demokratis, yang memberi kebebasan kepada  sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan  kita.”

Kutipan di atas merupakan bahagian akhir atau kesimpulan daripada kenyataan rasmi (bertarikh 8 Mac 2011) empat orang sasterawan negara (Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Noordin Hassan) tentang isu Interlok, novel Abdullah Hussein, juga seorang sasterawan negara, yang ditolak oleh orang India (Hindu atau Muslim atau penganut lain-lain agama) kerana di dalamnya terdapat perkataan “paria” yang dikatakan menghina orang India kerana tidak ada paria dalam masyarakat India, hanya beberapa kasta yang telah diterima umum yang tidak termasuk paria sebagai kasta kecuali hanya satu istilah untuk menghina mereka secara keseluruhan. Istilah kasta tidak ada dalam RigVeda, kata mereka, oleh itu tidak terdapat dalam agama Hindu, lagi pula agama Hindu sendiri tidak ada, hanya yang ada ialah kepercayaan Hindu. Setiap agama mempunyai kitab suci masing-masing, yang turun dari langit dibawa oleh nabi-nabi, sedangkan kepercayaan Hindu berpunca daripada mitos yang dituturkan turun temurun, bukan berasal daripada ajaran suci yang turun dari langit. Pada hakikatnya, kata  para ahli, tidak ada kasta dalam kepercayaan Hindu, kecuali kasta Brahmin yang menjadi para pemimpin masyarakat Hindu dan menyatu-padukan mereka. Itulah hakikat yang ada di Malaysia, oleh itu mereka tidak boleh terima apabila mereka dikatakan berasal daripada kasta pariah, yang memang tidak ada. Pada mulanya orang India yang tidak paria mendesak supaya perkataan itu dibuang daripada novel itu; tetapi kemudiannya mereka menolak novel itu secara tuntas, tidak boleh masuk kelas di sekolah-sekolah untuk dijadikan teks sastera dalam KOMSAS.  Semua orang Melayu yang berpegang kepada peri pentingnya sastera dalam kehidupan mereka, terutama sekali para sasterawan, menentang keras sebarang perubahan yang didesak supaya dilakukan; apatah lagi untuk menutup pintu bilik darjah daripada dimasuki oleh novel itu, yang menurut mereka amat tinggi mutunya dan sangat cantik gaya penulisannya.  Berdasarkan latar belakang ini, maka tampillah empat orang sasterawan negara membantah kelakuan orang India itu. Kenyataan rasmi ini diajukan selepas beberapa bulan (lebih dari tiga bulan) kekecohan ini timbul.

Adakah ini bermakna empat orang sasterawan ini juga ikut serta dalam kekecohan, dalam sensasi yang dimulai oleh orang India itu?  Perhatikan kesimpulan mereka: “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu.” Apakah maksud mereka? Apakah yang tidak manis itu? Kesimpulan ini merupakan pembelaan kepada karya Abdullah Hussein, seperti yang pernah dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka yang membela novel picisan dan erotik Abdullah Hussein berjudul Kuala Lumpur Kita Punya (Laporan 1996, halaman 17. Panel tahun itu dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Menteri Pelajaran).  Orang Melayu yang berfikiran siuman berasa aneh dengan pembelaan ke atas karya itu; mereka tidak gembira membacanya kerana hujah-hujah yang diberikan adalah palsu dan terlalu dicari-cari. Mereka menolak hujah dan keputusan Panel Anugerah Sastera Negara kerana bertentangan dengan “kenyataan” yang mereka fahami dalam konteks Islam. Tetapi hujah itu mencerminkan satu falsafah sastera yang sangat berpengaruh di Barat dan juga di Malaysia, yang dipanggil realisme.  Atas nama realisme, para sasterawan diberi kebebasan untuk menulis apa saja yang mereka panggil kebobrokan masyarakat; dengan itu Kuala Lumpur Kita Punya adalah satu hasil sastera yang wajar dan sesuai dengan keadaan ketika itu (inilah hujah Panel yang paling asasi); dan berasaskan faham realisme itulah juga Shahnon Ahmad menulis masterpiecenya berjudul Shit (1999), yang kini menunggu giliran untuk dijadikan teks sastera kerana novel itu mencerminkan satu era yang paling buruk dalam sejarah politik Malaysia moden.

Apakah yang dimaksudkan dengan “kenyataan Malaysia”? Dalam konteks yang dimaksudkan oleh para sasterawan negara tersebut, kenyataan Malaysia bermaksud Abdullah Hussein telah menyatakan sesuatu yang benar apabila beliau memasukkan perkataan pariah dalam novelnya, oleh itu tidak wajar dibantah oleh sesiapa pun. Itu maksud khusus. Maksud umumnya ialah penerbitan novel Shit oleh Shahnon Ahmad, yang telah mentakrifkan dengan jelas maksud “kenyataan Malaysia” yang tidak manis itu termasuk juga tahi, kencing dan lendir serta segala kekotoran yang ada di dalam perut ahli politik (tidak termasuk dalam perut para sasterawan yang tidak mempunyai kekotoran itu). Inilah realisme yang menjadi pegangan para sasterawan Malaysia, yang mereka pertahankan dengan amat gigih sehingga ada di antara mereka berkata mereka sanggup mati (syahid??) mempertahankannya. Itu maruah bangsa, tidak boleh bertolak angsur. Dalam hal ini semua sasterawan Melayu adalah Hang Jebat yang sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankan “sastera”nya, sama seperti Hang Jebat sanggup menderhaka (tidak sama dengan membela kebenaran) untuk mempertahankan sahabatnya!!

Sekarang kita baca dengan kritis pandangan empat orang sasterawan negara dan pendirian para sasterawan ini. Pertama sekali, mereka tidak mempunyai fahaman yang mendalam dan betul tentang aspek “kenyataan” atau “realiti” dalam kehidupan manusia. Hal ini terjadi kerana keterbatasan pengetahuan mereka dalam perkembangan tamadun manusia, terutama sekali dalam tamadun Islam. Mereka tidak dapat membezakan antara realiti semu (yang palsu), dengan realiti hakiki (yang benar), seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran dalam kisah Balqis dan Nabi Sulaiman ‘a.s., dalam kisah Nabi Musa ‘a.s. dan para ahli sihir Mesir, dalam peristiwa menghiris jari perempuan Mesir sewaktu melihat ketampanan Nabi Yusuf ‘a.s.  Walaupun Anwar Ridhwan berkata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah membaca 160 buah teks sastera lama, termasuk teks yang bercorak Islam, namun beliau tidak dapat mengenal mana satu realiti semu, mana pula realiti hakiki. Kedua-dua sasterawan negara ini tidak mempunyai pengalaman ilmiah yang membolehkan mereka melihat realiti semu dan membezakannya dengan realiti hakiki. Oleh itu  apabila mereka bercakap tentang “kenyataan Malaysia” dan memohon supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyatakan “kenyataan Malaysia” itu walau pun tidak manis, maka mereka tercakap tentang “realiti semu”,  yakni realiti palsu. Bagi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menulis kenyataan rasmi itu, realiti semu dan realiti hakiki sama saja, kerana semuanya adalah “realiti” yang tidak perlu dipisahkan. Kesimpulan ini tentu saja bertentangan dengan pengalaman intelektual dan pengalaman beragama dalam Islam. Misalnya, dalam peristiwa Balqis, terang dan jelas al-Quran menyebut Balqis telah keliru melihat lantai berkilat istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang disangkanya air, lalu dia menyingkap pakaiannya supaya tidak basah. Dalam peristiwa Nabi Musa ‘a.s. dengan ahli sihir Firaun yang handalan, ahli sihir itu dengan mudah melihat realiti hakiki dan menerimanya lalu menerima agama tauhid dan mati syahid kerana itu. Dalam peristiwa perempuan Mesir memotong jari mereka kerana terlalu ghairah dan berkobar nafsu syahwatnya tatkala melihat Nabi Yusuf ‘a.s. lalu di depan mereka, maka mereka tidak sedar tangan mereka terhiris kerana terlalu berkobar nafsu syahwat mereka melihat Nabi Yusuf ‘a.s. yang begitu tampan. Dalam kes ini, di manakah duduknya realiti hakiki dan di mana pula realiti semu? Perempuan Mesir telah tertipu oleh hawa nafsu mereka, sehingga mereka sanggup menghiris jari mereka sendiri. Jika peristiwa ini dikaitkan dengan fahaman tentang realiti yang dipegang oleh para sasterawan kita, bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa mereka, para sasterawan ini, tidak sedar bahawa mereka setiap masa menghiris jari sastera mereka  kerana tidak mahu menerima realiti hakiki yang mereka tolak berasaskan kemahuan hawa nafsu sastera mereka. Syahwat sastera para sasterawan ini terlalu besar untuk menerima hakikat ini, oleh itu mereka tidak berasa apa-apa kerana mereka tidak tahu hakikat realiti, dan lemas dalam realiti semu. Wallahu a’lam.

Empat orang sasterawan ini meminta rakyat Malaysia “membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.”  Apakah makna “membaca sastera dari pendekatan sastera”?  Inilah pendirian Kritikan Baru (New Criticism) yang kini sudah ditinggalkan, tetapi masih dipertahankan dengan gigih oleh para sasterawan di Malaysia. Inilah juga pendirian anggota Panel Anugerah Sastera Negara, yang melihat apa yang mereka namakan sebagai “karya sastera” sebagai cetusan kudus dan khusus oleh para sasterawan untuk “meluahkan” apa-apa yang ingin mereka “luahkan”.  Asas fahaman ini ialah kebebasan penulis menulis tentang apa saja yang mereka mahu dalam konteks realisme yang dipraktikkan di Barat. Oleh sebab realisme itu dikaitkan dengan kejadian buruk (bobrok) dalam  masyarakat, maka seorang sasterawan boleh menulis dengan bebas tentang “kenyataan dalam masyarakat walaupun tidak manis”. Dengan itu lahirlah karya-karya seperti Kuala Lumpur Kita Punya yang erotik dan picisan; Salina yang mengangkat pelacuran sebagai tema agung dalam kesusasteraan; sajak “Pulang Si Tenggang” yang menjulang penderhakaan terhadap ibu bapa dengan menukar penderhakaan itu menjadi pencarian makna diri manusia; novel Ranjau Sepajang Jalan yang menjadikan kebodohan watak sebagai unsur tragedi yang indah dan mengharukan; cerita pendek “Dunia adalah Sebuah Apartmen” yang menjadikan perzinaan sebagai pencarian  identiti anak muda Melayu moden dengan bergelumang dalam maksiat.  Alasan mereka ialah semua kejahatan ini sesuatu yang memang benar-benar terjadi, sesuatu yang realistik, yang berada dalam masyarakat, yang dilakukan oleh ramai manusia, oleh itu menjadi satu tuntutan kepada para sastrawan untuk mengabadikannya (??) dalam karya mereka supaya pembaca tahu itulah kejahatan mereka sendiri (bukan kejahatan para sasterawan yang hanya melukiskannya saja). Tetapi pembaca tidak harus mencari apa-apa makna, apa-apa ajaran moral atau apa juga kebaikan, kerana karya sastera tidak perlukan itu semua. Inilah penegasan anggota Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, terutama sekali ketika memuji karya A. Samad Said yang bagi mereka sangat bermutu tinggi kerana tidak terikat kepada apa-apa ajaran moral. Tetapi di sini terjadi percanggahan yang amat ketara, apa bila Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Puitika Sastera Melayu menekankan ajaran moral, sebagai ciri utama dan penting dalam sastera Melayu lama. Adakah beliau masih berpegang dengan kesimpulan beliau itu? Nampaknya tidak, jika kita boleh percaya kenyataan rasmi yang beliau dan rakan-rakannya tulis dan sebarkan kepada masyarakat. Adakah ini merupakan sejenis kekeliruan besar dalam memahami peranan dan tugas seni dalam masyarakat beradab? Pendirian begini, yakni membebaskan sastera seperti kuda liar di padang liar telah dikritik dan dikutuk oleh Islam, dan hakikat ini diketahui oleh empat orang sasterawan ini. Jadi, mengapa masih berpegang kepada konsep sastera yang autonomous seperti fahaman Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika Syarikat sendiri?

Sekiranya para sasterawan ini ingin membela rakan mereka yang menulis Interlok, tindakan yang harus mereka lakukan amat mudah dan jelas. Mereka tidak perlu berpusing-pusing, berbelit-belit mengucapkan kekeliruan mereka untuk dijadikan panduan oleh masyarakat. Mereka tahu Tun Abdul Razak, atas nasihat para sasterawan sendiri yang ingin bermuka-muka dengan ahli politik, mencadangkan supaya diadakan peraduan menulis novel sempena sepuluh tahun merdeka. Interlok dapat hadiah sagu hati. Tidak ada hadiah pertama dan kedua, begitu “ketat” penilaian para juri. Lantas mereka berikan hadiah ketiga kepada Arena Wati, yang amat mengecewakan beliau dan para sasterawan juga. Kemudian sewaktu menjadi Menteri Pelajaran, anak Tun Razak  menjadi pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, lalu memilih Abdullah Hussein sebagai pemenang 1996. Jadi Interlok telah dirasmikan dua kali, telah diterima oleh kerajaan sendiri sebagai karya besar Malaysia yang mesti dipelajari oleh budak-budak sekolah di Malaysia supaya mereka sedar diri tentang sukarnya perundingan (bukan perjuangan) kemerdekaan, yang disertai oleh golongan Brahmin dari India yang didatangkan ke Tanah Melayu untuk dijadikan kuli oleh Inggeris di Tanah Melayu. Dalam, rundingan (bukan perjuangan) kemerdekaan itu, kaum Cina diwakili oleh golongan Mandarin dan gologan tauke mereka; manakala kaum (bukan lagi bangsa) Melayu diwakili oleh golongan pertuanan mereka. Itulah fakta sejarah, menurut sasterawan Abdullah Hussein. Dan fakta ini telah diterima dengan rasmi oleh kerajaan Malaysia. Hakikat ini menjadi hujah yang kukuh untuk kerajaan Malaysia berbuat apa saja yang mereka mahu, tetapi mereka tidak harus mengelirukan rakyat dengan berdolak-dalik kononnya perlu dicari penyelesaian yang diterima oleh  orang India yang ada sekarang, keturunan daripada pendatang yang dibawa Inggeris sebelum merdeka. Mengapa orang India tidak boleh terima fakta sejarah ini? Datuk nenek mereka sudah berada di Tanah Melayu dan di Kepulauan Melayu sejak beribu tahun, dan mereka memang datang dari India, bukan anak tempatan. Hakikat sejarah ini yang harus ditekankan oleh para sasterawan negara  ini. Mengapa mereka perlu bermain politik seperti ahli-ahli poliltik? Itulah kesilapan mereka, para sasterawan ini, yang akhirnya turut mengeruhkan lagi suasana yang sudah keruh kerana kegilaan manusia kepada kuasa politik dan ekonomi dan mungkin juga kepada kuasa sastera. Mereka menolak sedikit perubahan yang perlu dilakukan ke atas novel itu, sekali lagi berasaskan kebebasan penulis dan maruah penulis yang telah ditakdiskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Semua ini mengarah kepada  sikap angkuh mereka sendiri, yang mahu diterima sebagai golongan Brahmin Sastera yang tidak boleh disentuh. Padahal mereka semua tahu Shakespeare sendiri telah dipermudah dan dinatharkan oleh Charles Lamb dan kakaknya Mary Ann untuk diterbitkan sebagai Tales From Shakespeare (1807), yang mendapat sambutan yang begitu baik daripada masyarakat Inggeris, sehingga memungkinkan  dua orang sasterawan Inggeris itu hidup senang kerana jualan bukunya. Buku ini diterjemahkan ke bahasa Melayu dalam tahun 1920-an, atas inisiatif Pendeta Za’ba yang ketika itu Ketua Pengarang, Pejabat Karang Mengarang di Tanjung Malim. Meringkaskan karya tebal dan sukar difahami budak-budak sekolah telah dibudayakan dalam masyarakat Barat sejak lama, malah sudah dijadikan salah satu perniagaan besar dalam penerbitan dengan terbitnya Readers Digest dan novel digest oleh syarikat itu. Hanya di Malaysia saja belum dilakukan secara meluas, kerana sebab-sebab yang berkaitan dengan maruah penulis yang tidak boleh disentuh. Begitu hebat sasterawan Malaysia ini!!

Nampaknya bukan kercerdikan dan kebijaksanaan dan kesedaran kepada perkembangan sastera yang meluas  yang dipamerkan oleh para sasterawan dan sarjana dalam menangani masalah remeh-temeh ini, tetapi yang dipamerkan itu sejenis keangkuhan yang tidak perlu, yang barangkali  boleh dinamakan keangkuhan sastera. Kalau karya sastera itu memang bertujuan untuk mendidik masyarakat, terutama pelajar, mencintai nilai-niai kemanusiaan dan nilai murni (yang sebenarnya lebih tepat dipanggil nilai-nilai yang keliru), maka mereka tidak harus didedahkan kepada apa juga konflik perkauman yang tidak perlu yang akan mereka hadapi di dalam kelas jika mereka dibiarkan membaca Interlok dalam bentuk asal, yang memang bukan ditulis untuk mereka, tetapi ditulis untuk memuaskan nafsu politik ahli politik dan nafsu sastera para sasterawan ketika itu.

“Lu fikirlah sendiri”, kata Raja Lawak Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan, 15/3/2011.

Saturday, March 12, 2011

GAGASAN PERSURATAN BARU SEBAGAI KAYU UKUR DALAM PENILAIAN KARYA KREATIF DAN ANALISIS AKADEMIK

(Catatan: Tulisan ini adalah Bahagian II rencana berjudul, “Kalau Kail Panjang Sejengkal ...”, disiarkan pada 21/2/2011).

Pada umumnya ramai sarjana sastera, dan boleh dikatakan majoriti para sasterawan, tidak menerima gagasan Persuratan Baru sebagai satu kaedah yang boleh dipakai dalam menilai karya kreatif atau menjadi panduan dalam menulis karya baru. Mereka menegaskan dengan bersungguh-sungguh bahawa gagasan Persuratan Baru tidak sesuai dan tidak boleh dipakai untuk menilai karya tertentu, atau karya orang tertentu, misalnya karya para sasterawan istimewa, yakni para Brahmin Sastera yang telah muncul sejak pertengahan tahun 1970-an lagi, dengan itu istilah ini telah saya gunakan sejak 1970-an, ketika SN belum diwujudkan.  Tokoh-tokoh ini kemudiannya memenangi Anugerah Sastera dan secara rasmi betul-betul diangkat ke taraf Brahmin Sastera yang mesti berada di luar gagasan Persuratan Baru kerana karya para sasterawan  istimewa itu tidak boleh digolongkan sebagai karya bercorak Islam, sedangkan menurut pandangan mereka gagasan Persuratan Baru hanya sesuai dipakai untuk menilai karya-karya baru yang boleh digolongkan sebagai karya bercorak Islam.  Tidak jelas bagaimana dengan tiba-tiba hujah begini muncul dalam sastera Melayu, padahal sudah acap-kali disebut-sebut supaya para sasterawan dan sarjana sastera melakukan “anjakan paradigma” untuk memulakan dinamika baru dalam kesusasteraan Melayu, dengan itu pada waktu yang sama dibawa masuk sebanyak-banyaknya segala macam pendekatan dan teori sastera dari Barat untuk dipakai di Malaysia. Anda boleh melihat keseronokan baru ini dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, berjudul Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera (2006), diselenggarakan oleh Mohamad Daud Mohamad dan Huszaidi Hussin. Apakah yang menyebabkan mereka mengecualikan gagasan Persuratan Baru daripada masuk ke dalam senarai keseronokan mereka?

Pada andaian saya, jawapannya diberikan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya yang berpendapat begini (merujuk kepada (1) karya persuratan, (2) karya sastera, (3) karya picisan/erotik/lucah): “The most appropriate and challenging but rewarding application of the PB approach will have to be on karya persuratan because it will address issues that are central to PB.  The second category  will be challenging only if there is enough content and form that it  shares with the first category to warrant a rigorous analysis and argument leading to the final judgement. The third category is a non-starter since it is impossible to analyse issues of interest to PB when they are not there in the first place. Obviously most of the works in the second category and all the works in the third category need alternative approaches that can equitably evaluate them within their own writing genre.” (Dr. Zawiah Yahya, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, hal. 61).

Sekiranya kesimpulan Dr. Zawiah Yahya betul dan diterima, bagaimanakah kita dapat menentukan sesuatu karya itu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan?  Tiga kategori itu ditentukan oleh gagasan Persuratan Baru, dengan itu ketiga-tiganya perlu dianalisis dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru.  Supaya perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas dan lebih mudah difahami, kita ambil contoh novel Salina oleh A. Samad Said.  Mengikut penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, novel ini bermutu tinggi kerana meniru novel Barat dan memakai idea dari Barat sepenuhnya, dan lain-lain ukuran yang disebut oleh Panel dalam laporan mereka. Kesimpulan ini diterima tanpa sebarang sanggahan, sehinggalah munculnya gagasan Persuratan Baru yang meletakkan novel ini dalam kategori ketiga, sebuah novel picisan. Beberapa huraian dan analisis oleh Prof Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani tentang Salina (antaranya yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan) cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa Salina adalah sebuah novel picisan. Keputusan ini tidak mungkin tercapai tanpa analisis yang mendalam dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru. Dengan itu kesimpulan Dr. Zawiah Yahya tertolak hampir secara mutlak; apatah lagi jika analisis Prof. Madya Dr. Zariat tentang novel Abdul Kadir Adabi dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan diambil-kira.  Di situ Dr. Mohd. Zariat menunjukkan dengan jelas dan meyakinkan bahawa bacaan sebelum ini oleh beberapa orang sarjana sastera tidak tepat kerana menggunakan pendekatan Barat yang menolak peranan ilmu dalam karya kreatif. Sebuah kes lain, iaitu analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir terhadap novel Dr. Fatimah Busu, Salam Maria,  menunjukkan dengan pasti dan amat meyakinkan bahawa karya Dr. Fatimah Busu itu adalah sebuah karya sastera yang biasa, tidak dapat dikategorikan sebagai karya persuratan yang mengutamakan ilmu yang benar. Tidak terdapat wacana bersifat ilmu dalam novel itu, kecuali penggembelingan cerita semata-mata, hatta ketika mengutip ayat-ayat Quran dan hadis pun novel ini hanya melakukannya dalam maksud untuk memperjangkan cerita, bukan untuk menyerlahkan ilmu. Tidak terdapat analisis yang berbentuk wacana, melainkan pembebelan cerita yang sengaja dipanjangkan untuk berpretensi mengemukakan wacana Islam berasaskan analisis keilmuan. Contoh-contoh yang disebutkan di sini memperlihatkan kekeliruan kesimpulan Dr. Zawiah Yahya dalam kesimpulannya. Antara tujuan dan matlamat penting gagasan Persuratan Baru ialah untuk menentukan dalam kategori mana sesebuah karya berada; dan ini tidak dapat ditentukan dengan memuaskan dan meyakinkan tanpa analisis dan penghujahan yang teliti. Paling mudah dilihat di sini ialah kasus novel Salina, yang pada mulanya dikategorikan sebagai karya besar oleh Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi ternyata palsu apabila dianalisis dan dihujahkan dari perspektif gagasan Persuratan Baru.  Dilihat dalam konteks ini, jelas sekali gagasan Persuratan Baru berguna besar untuk menentukan kedudukan sesebuah karya, sama ada sebuah karya persuratan, karya sastera, atau karya picisan.  Pembahagian ini penting untuk menentukan kualiti sesebuah karya secara tepat dan objektif, seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah terhadap novel Salam Maria.  Sekiranya kesimpulan Dr. Zawiah Yahya bahawa ketegori kedua dan ketiga memerlukan pendekatan alternatif yang sesuai dengan genre masing-masing, maka kita akan terus berada di tahap lama, tidak dapat membezakan antara karya bermutu yang berteraskan ilmu yang benar dan mengutamakan wacana dengan karya sastera biasa dan karya picisan yang kini dipandang tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang tertulis dalam laporan mereka.  Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Pendekatan berasaskan pemikiran Barat yang bersifat liberal dan relatif yang diajukan dan dianjurkan oleh Dr. Zawiah Yahya nampaknya bertentangan dengan prinsip beliau sendiri, yang ingin melemparkan pendekatan demikian seluruhnya untuk digantikan dengan “the centrality of our own country and our own region as a base on which we stand in relation to the rest of the world.” Apakah sebenarnya maksud beliau dan pada kedudukan mana beliau berada? Pada faham saya, beliau sebenarnya, secara halus dan tersembunyi, menolak pendirian Islam yang diutarakan dalam gagasan Persuratan Baru. Saya tidak boleh berkata apa-apa jika itulah pilihan beliau; tetapi beliau tidak wajar lagi mempunyai pendirian setegas yang beliau nyatakan, jika ketegasan itu hanya berada dalam konteks kekeliruan secara berterusan tentang perkara-perkara yang ingin dinyahkannya itu.

Saya telah menulis agak mencukupi untuk dijadikan sandaran dalam menilai pemikiran saya; oleh itu soal-soal peribadi yang banyak disebut oleh para pengkritik yang membaca atau yang tidak membaca tulisan saya dengan cermat dan kritis,  memang telah lama dijadikan alasan untuk tidak memahami secara objektif pemikiran saya, oleh itu lebih baik dibiarkan saja isu-isu buatan mereka tentang soal-soal peribadi itu berterusan. Soal sama ada saya mempunyai pengikut, atau apa-apa juga pengaruh dan sebagainya, ramai atau sedikit, dijadikan isu untuk kononnya membuktikan gagasan Persuratan Baru tidak diterima, walaupun mereka tahu isu buatan ini tidak menjejaskan pemikiran saya. (Nabi Nuh   ‘a.s. berdakwah 950 tahun, isteri dan anak baginda tidak ikut; yang ikut 8 atau 18 orang). Jika golongan ini takutkan pengaruh saya, maka saya ingin memberi jaminan, anda tidak usah bimbang, saya tak ada pengaruh (pengikut pun, kalau ada, paling ramai kurang dari 10 orang). Semua ini sebenarnya bukan masalah saya, tetapi masalah pembaca dan penilai saya.  Dalam tahun 1994, ketika membaca (bukan menilai) buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, sekumpulan penilai yang diketuai oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, menggunakan ukuran “diplomasi” untuk membuat kesimpulan buku itu tidak bernilai. Bagaimana soal diplomasi ini boleh masuk dalam penilaian mereka hanya boleh difahami jika sikap negatif mereka terhadap ilmu dan kejujuran mereka sebagai penilai dijadikan pertimbangan. (Lihat Dewan Sastera, September 1994).  Mereka mengharapkan orang lain supaya berlaku jujur, tetapi kejujuran itu tidak perlu untuk diri mereka sendiri. Oleh itu kita perlu tahu siapa mereka, supaya kita tidak begitu mudah terpedaya dengan sikap negatif mereka terhadap ilmu, dengan menyalah-gunakan kedudukan mereka sebagai penilai yang diberi amanah untuk menggalakkan perkembangan ilmu, tetapi bertindak sebaliknya, hanya kerana mereka mempunyai prasangka buruk terhadap seseorang. Mereka yang saya maksudkan ialah anggota panel yang dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, terdiri daripada Haji Aziz Deraman (Ketua Pengarah DBP, sebagai pengerusi); dengan anggota terdiri daripada Dr. Mohd. Yusof Hasan, Dr. Solehah Ishak, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Rahman Shaari, Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah, Abdullah Tahir.  Mereka  mengaku isi kandungan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid itu baik, tetapi ditulis tanpa diplomasi dalam tujuh baris pertama pendahuluan buku itu. Untuk memahami perkara yang saya bangkitkan di sini, kita bandingkan dengan satu peristiwa lama dahulu, ketika Prof. A. Teeuw mengangkat Salina sebagai sebuah novel bertaraf antarabangsa. Hampir seluruh sasterawan dan ahli akademik menunjukkan kegembiraan mereka kerana kini sudah ada seorang sasterawan yang layak diangkat ke taraf antarabangsa. Ini kemudiannya diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang tidak saja bersetuju dengan A. Teeuw, tetapi pergi lebih jauh dengan meletakkan Salina sebagai “mahakarya” yang telah menjadikan kesusasteraan Melayu moden terhormat dan dihormati. Bandingkan pula keadaan yang berlaku terhadap buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang oleh sebuah universiti Islam di London dianggap sebagai salah sebuah buku penting dalam Abad 20/21 dalam perkembangan pemikiran dalam tamadun Islam (rujuk hal. 150, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan). Bagaimanakah reaksi para sasterawan dan ahli akademik kita? Walau apa pun reaksi mereka, adalah jelas keputusan panel DBP 1994 itu tidak tepat, dengan itu kualiti  sebenar penilaian mereka dan tahap pemikiran mereka telah gagal meletakkan buku itu pada tempatnya yang layak. Apakah yang dapat kita simpulkan tentang kejujuran ilmiah mereka? 

Jika kita melihat persoalan ini dalam konteks islah dan fasad yang disebut oleh al-Quran, kita mungkin dapat memahami hakikat sebenar yang menjadi matlamat dan tujuan utama para sasterawan dan sarjana sastera: mereka adalah pendukung kebudayaan hedonisme Barat yang meletakkan kemahuan hawa nafsu manusia sebagai asas tindakan manusia, sebagai asas tindakan mereka sendiri.  Bukti yang paling nyata untuk menjadi sandaran kepada kesimpulan ini ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang terang-terangan menganjurkan dan meneruskan falsafah kritikan Barat, dengan sikap memandang remeh apa-apa juga pandangan berteraskan Islam dalam kritikan dan penilaian karya. Inilah makna islah, pembaharuan, yang dibanggakan oleh para sasterawan dan sarjana, yang dalam konteks al-Quran tidak lain daripada dolak-dalik kumpulan yang menolak nilai-nilai al-Quran, dengan berkata mereka berbuat kebaikan, padahal mereka sebenarnya berbuat fasad.  Hakikat islah yang sebenarnya terkandung dalam konsep taklif, dengan tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah.  Dalam konteks inilah saya mengkritik Muhammad Hj. Salleh, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain tokoh yang telah ditakdiskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Apakah yang telah diislahkan oleh Muhammad Hj. Salleh yang menjadikan Si Tanggang wiranya; atau yang mengagumi Mephistopheles, Raja Iblis itu? Apakah jenis islah yang telah dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, atau A. Samad Said dalam Salina? Supaya anda berasa selesa dan nyaman: Apakah yang mungkar dalam Pujangga Melayu?  Apakah yang tidak islah dalam novel itu? 

Sebagai peringatan untuk diri saya dan kepada sesiapa saja yang berminat, saya turunkan nasihat Imam Ghazali kepada seorang muridnya: “Sebahagian tanda keikhlasan anda ialah anda tidak merasa gembira berikutan dengan pujian orang kepada anda; sebaliknya anda tidak berduka sebab cacian mereka. Malah dua keadaan yang bertentangan itu sama saja pada pandangan dan perasaan anda.” (Intisari Karya-karya Tasauf, terjemahan Ustaz Mohd Salleh Hj. Arshad dan Ustaz Abdullah al-Qari bin Hj. Salleh, hal. 45-46).  Abdul Rauf Singkel pula membawa sebuah hadis sahih (jarang/tak disebut di Malaysia) untuk menjadi peringatan kita: “Bila engkau melihat orang yang selalu memuji-muji, taburkanlah debu (tanah) di mukanya.” (Tanbih Al-Masyi, terjemahan  Oman Fathurahman, hal. 139).

Gagasan Persuratan Baru mengejutkan ramai sarjana dan sasterawan kerana mereka telah terputus dari tradisi persuratan dalam bahasa Melayu, suatu tradisi yang kaya dan telah melahirkan ulama dalam semua bidang ilmu agama, pendeta, pemikir, penulis dan penyair (yang sebenarnya) dan ahli-ahli ilmu dalam bidang-bidang lain (terutama sejarah dan ilmu nahu).  Apa yang kemudiannya disebut sebagai “kesusasteraan” hanyalah satu bidang kecil, yang sampingan dan pinggiran, yang tidak melahirkan ahli ilmu  seperti yang telah dilahirkan dalam tradisi persuratan Melayu.  Inilah yang diberi keutamaan pada waktu ini, yang akhirnya melahirkan Brahmin Sastera yang membawa gelaran “sasterawan negara” yang dari segi ilmu tidak memberikan apa-apa yang boleh membuat kita bangga; malah jika kita menerima penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, mereka hanyalah peniru tradisi Barat yang paling rendah, bukan yang bersifat ilmu dan falsafah. Ini terbayang dalam karya-karya mereka, yang memang diakui oleh Panel Anugerah Sastera Negara hanyut dalam kekaburan dan kekeliruan nilai yang mereka terima dari Barat. Kritikan ini diasaskan daripada analisis laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan dari bacaan kritis karya-karya para Brahmin Sastera sendiri. Apa yang dilahirkan oleh “kesusasteraan” hanyalah sejenis pandirisme yang lebih banyak memperagakan kecetekan ilmu daripada pemikiran yang sebenarnya. Dalam konteks inilah timbul soal keterampilan ahli sihir Firaun, yang menguasai teknik sihir mereka dengan begitu tinggi, sehingga memungkinkan mereka mengenal kebenaran sebaik saja mereka melihat tongkat Nabi Musa ‘a.s. menelan ular-ular palsu mereka. Sampaikah para sasterawan dan sarjana kita ke tahap ahli sihir itu? Jika perbandingan ini dilihat dalam konteks yang dimaksudkan, tidak akan timbul kekeliruan tafsiran dan salah faham. Hal ini perlu difikirkan dengan mendalam untuk memahaminya, sama seperti peristiwa Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. dan peristiwa perempuan Mesir yang menghiris tangan mereka. Sekiranya hal ini benar-benar difahami, anda akan dapat melihat gagasan Persuratan Baru dalam konteksnya. Anda akan mengerti mengapa kita harus kembali kepada tradisi persuratan.

Dalam bahagian “The Last Word” bukunya, Dr. Zawiah Yahya menulis (sebagai kesimpulan, hal. 64-65): “Affandi has produced a complete package for his approach. His philosophical framework is well researched although he has a tendency to pick and choose only references that bolster his arguments in rather unproblematic way. The PB principles of criticism are laid out quite clearly and there is even a step-by-step model of classroom teaching as well as a model of practical analysis to demonstrate application of the critical approach which, in this case, is done on his creative work that adopts a writing approach based on the same principles. The latter model seems a little contrived and closed bacause it would seem that how one reads is exactly how one writes, and vice versa.

There is also a sense of absolutism about PB that does not allow it to problematise itself. Such total conviction of its rightness also seems to rule out the validity of other alternative ways of reading. In the reality of literary practise in which the practitioner or user chooses his or her own tools, it is doubtful if it will ever come to pass that only one methodology rules the realm.”

Sebagai seorang yang rendah bahasa Inggerisnya, yang tidak dapat melihat kehalusan sindiran dan ejekan dalam bahasa Inggeris tinggi yang dipakai oleh Dr. Zawiah Yahya, maka saya terpaksa merujuk kamus Collins Cobuild English Dictionary: Helping Learners With Real English untuk memahami maksud “contrived” yang dipakai oleh Dr. Zawiah ketika “memuji” pendekatan Gagasan Persuratan Baru dalam kutipan di atas. Kata kamus tersebut: “1. If you say something someone does is contrived, you think it is false and deliberate , rather than spontaneous and natural; used showing disapproval.  There was nothing contrived or calculated about what he said... It mustn’t sound like a contrived compliment.
2. If you say that the plot of a play, film, or novel is contrived, you mean that it is unlikely and unconvincing; used showing disapproval. The plot seems cumbersomely contrived.”  (Huruf tebal dan condong dalam teks asal).

Bolehkah kita berkata “pujian” Dr. Zawiah Yahya “a contrived compliment”?  Sebagai seorang Professor of Critical Theory and Postcolonial Studies, yang terkenal cermat dan objektif dalam tulisan beliau, saya fikir beliau telah menyatakan pendapat beliau dengan tepat dan objektif pada pertimbangan beliau. Tetapi pendapat dan analisis beliau masih lagi berada dalam kerangka yang beliau sendiri minta kita tolak, jika kita boleh percaya saranan beliau betapa perlunya kita menghumbankan semangat kolonial dalam dunia kesarjanaan, seperti yang saya kutip di atas. Betapa pun aneh “pendirian” (?) beliau dalam hal ini, namun saya puji dan kagum dengan keberanian beliau membicarakan suatu tajuk yang beliau belum bersedia membicarakannya dengan saksama, tetapi ini tidak bererti kita boleh mendiamkan diri apabila beliau tersasar jauh daripada semangat gagasan Persuratan Baru dengan berkata apa yang dianjurkan oleh PB adalah sesuatu yang mutlak (absolute), dengan itu menolak pendekatan lain, dan dengan itu juga seolah-olah tidak relevan dengan perkembangan dalam dunia ilmu di Barat.  Inilah sejenis contrived criticism  yang tidak berasas. Saya sendiri telah menyatakan pendirian saya dengan jelas sejak permulaan saya memasuki belantara kesusasteraan ini, bahawa kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya, tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu. (Lihat antara lain tulisan saya dalam Mastika, Oktober 1991, bertajuk “Konsep Ilmu Dalam Kritikan Sastera”; sila rujuk juga rencana saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, selenggaraan Prof. Ungku Maimunah.)

Novel Pujangga Melayu membahaskan konsep pengarang dalam persuratan Melayu, yang boleh dianggap sebagai satu manifesto penulisan untuk mencabar konsep “sasterawan” yang dipakai sekarang. Mengapa cabaran itu perlu diketengahkan saya jelaskan sendiri dalam novel itu, yang kemudiannya dianalisis dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya mengenai gagasan Persuratan Baru. Prof. Madya Dr. Zariat kemudiannya menulis sebuah analisis yang meyakinkan ketika membicarakan novel Abdul Kadir Adabi yang diterbitkan 1938, Melati Kota Bharu.  Analisis Dr. Zariat memperlihatkan kegagalan kritikan warisan Barat yang dipakai oleh sarjana kita untuk menilai novel itu secara saksama. Lain-lain contoh boleh dilihat dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan.  Untuk mengatakan dengan angkuh bahawa usaha kami yang mendukung gagasan Persuratan Baru, terutama usaha saya sendiri, sebagai sesuatu yang “contrived”, yakni yang palsu, pura-pura, dibuat-buat, mengada-ada, yang tidak natural, yang “perasan dan seronok sendiri” (semua ini termasuk dalam makna “contrived” itu), adalah sesuatu yang amat luar biasa, dan pastilah sangat biadap bagi orang yang pernah berkata “[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe ...”

Novel Pujangga Melayu ditulis kerana saya harus memberi sekadar contoh bagaimana gagasan Persuratan Baru boleh dijadikan asas penulisan kreatif. Lagi pula para sasterawan dan sarjana yang tidak berminat kepada ilmu, sering berkata gagasan Persuratan Baru terlalu ideal, tidak mungkin dilaksanakan dengan berjaya. Novel itu sendiri bercerita panjang tentang gagasan Persuratan Baru yang ditulis untuk menyerlahkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wacana, cerita, dan konsep ilmu yang benar. Jika semua ini tidak lebih daripada sejenis kepura-puraan belaka, sesuatu yang “contrived” dan tertutup kepada kemungkinan atau alternatif lain, maka bagaimana pula para sarjana yang biasa dengan kesusasteraan Barat/Inggeris boleh menerima genre tragedi, komedi dan sebagainya, yang dari segi struktur memang tertutup, sebagai sesuatu yang tidak “contrived” dan tertutup? Pujangga Melayu adalah sebuah novel dalam genre karya persuratan yang diakui sendiri oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya sebagai suatu kategori tersendiri, yang berbeza daripada karya sastera dan karya picisan etc.  Saya tidak tahu dalam konteks yang bagaimana Prof. of Critical Theory and Postcolonial Studies ini melihat dan menilai pemikiran saya dalam kritikan dan dalam karya kreatif. Ataukah yang “contrived” bukan karya saya dalam dua bidang itu, tetapi penilaian dan kritikan Prof. of Critical Theory and Postcolonial Studies itu sendiri?

Untuk memahami “pendirian” sebenar Prof. Dr. Zawiah Yahya, perhatikan kesimpulan beliau terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (hal. 43): “Muhammad has his fair share of bouquets and brickbats for his attempts at theory-buiding. His admirers pronounce him as ‘a pioneer’ who, “like Atistotle, was searching for the poetics of his own literary tradition” (Mana Sikana in Zawiah Yahya ed. 2003, 156-7) and actually uses “60 fiction and 100 non-fiction texts as a basis of a theory (Anwar Ridhwan in Zawiah Yahya ed. 2003, 173-174), as opposed to building a theory on the basis of a certain idealism or ideology.  His detractors, on the other hand, think his coverage on Malay literature is incomplete because he has not factored  in the Islamic influence that has shaped the identity of the Malays and their literary heritage. There have also been questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary  Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory.” Cemuhan Anwar Ridhwan bahawa “teori” sastera Islam diasaskan di awangan, tanpa teks yang boleh dirujuk, ternyata tidak saja menghina usaha demikian, tetapi juga bertentangan dengan kaedah berfikir yang dilakukan oleh manusia yang berfikir. Maksud saya, orang Islam tidak perlu menunggu wujudnya teks yang dimaksudkan tidak ada oleh Anwar Ridhwan, kerana teks yang bertentangan dengan Islam terlalu banyak dalam sastera Melayu moden. Itu pun sudah cukup untuk dijadikan asas untuk menulis sebuah teori, supaya teks demikian dapat dikenal pasti dan kualitinya ditentukan berasaskan ukuran Islam. Tetapi palsunya tuduhan itu terbukti apabila Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat membicarakan novel Abdul Kadir Adabi (terbit 1938), Melati Kota Bharu.  Dalam dunia penulisan Islam pula, terdapat beribu teks yang ditulis oleh para penyair Islam untuk dijadikan sandaran untuk menulis gagasan Persuratan Baru, misalnya.  

Sekali lagi kita kembali kepada Collins Cobuild English Dictionary untuk mendapat makna tersirat  yang terselit dalam bahasa Inggeris tinggi Prof of Critical Theory and Postcolonial Studies, Dr. Zawiah Yahya, seorang sarjana yang terkenal cermat penggunaan bahasanya dan sangat objektif penilaiannya. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah dihadiahkan “bouquets” oleh peminat dan pengagumnya; berbanding dengan pengkritiknya yang hanya “melemparkan” “brickbats”. Inilah pandangan Collins Cobuild English Dictionary:  “1. A bouquet is bunch of flowers which is attractively arranged. ... 2. The bouquet of something, especially wine, is the pleasant smell that it has. ...”  Ini pula tentang “brickbats”:   “Brickbats are very critical or insulting remarks which are made in public about someone or something.”  (Huruf tebal dalam teks asal).  Benarkah “pujian” melampau, tidak berasas yang dibuat oleh Mana Sikana dan Dr. Anwar Ridhwan berupa sejenis “bouquet” akademik yang “atractively arranged”?  Sesiapa juga yang telah membaca tulisan mereka akan berasa sangat aneh, dan malu sendiri, melihat bagaimana rendahnya kualiti akademik mereka dan keterlaluan mereka membuat perbandingan. Jika anda membaca tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan membandingkannya dengan falsafah Aristotle, anda akan lihat betapa rendahnya martabat ilmu para pemuji profesor ini. Dari segi ilmiah, mereka tidak bertanggungjawab. Dan jika benarlah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh betul-betul membaca sejumlah teks (160 semuanya), maka bagaimana beliau boleh terlepas  pandang tentang peranan Islam dalam tamadun Melayu? Adakah disengajakan, atau beliau tidak tahu membaca teks tentang Islam?  Pujian murahan begini benar-benar menjengkelkan pembaca yang serius, yang ingin mendapat sesuatu yang benar-benar berkualiti dan bertanggungjawab daripada seorang ahli akademik.  Dengan menilai kritikan serius terhadap kekeliruan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai sejenis “brickbats” yang tidak bertanggungjawab, maka Prof. Dr. Zawiah Yahya menganggap semua kritikan saya terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu dan makalah saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan sebagai tulisan tidak bertanggungjawab dan hanya sejenis “insulting remarks” yang tidak mempunyai kualiti akademik sama sekali.  Di sini kita harus berhati-hati membaca tulisan profesor yang terkenal cermat dan objektif pandangannya ini, supaya kita dapat menilainya secara saksama dan adil, tidak mengulangi kesilapan besar beliau yang merendahkan sejauh itu sumbangan orang lain yang tidak disukainya, yang dalam hal ini besar kemungkinan yang tidak betul-betul difahaminya. Prof. Dr. Zawiah tidak memberikan cukup analisis yang boleh dijadikan sandaran untuk kita menilai kesimpulan beliau (tentang Puitika Sastera Melayu yang dianggapnya sebuah teori)  yang berbunyi, “There have also been  questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory.”  (Penegasan ditambah).  Kata Collins Cobuild English Dictionary:  “If you refer to an action, or the result of an action, as a feat, you admire it becase it is an impressive and difficult achievement.”  Tentu saja sesiapa pun boleh “admire” sesiapa saja yang dia suka; tetapi seorang ahli akademik adalah seorang yang istimewa dan harus menjaga keistimewaan itu sebagai seorang ahli akademik yang tetap objektif, jika tidak dia tidak mempunyai maruah akademik, oleh itu pendapatnya tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dipakai.

Bagi seorang sarjana yang begitu cermat dan objektif, penggunaan istilah “theory” yang dipakai di sini tidak tepat, kerana Puitika Sastera Melayu tidak mempunyai ciri-ciri yang harus ada pada sesuatu “theory”.  Apakah masalah yang cuba diselesaikan? Adakah masalah itu penting? Bagaimana masalah itu dihuraikan? Apakah ciri penting “theory” yang dikemukakan? Bagaimana “theory” itu boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah tadi? Apakah ramalan yang boleh dibuat oleh “theory” itu untuk perkembangan masa depan? Puitika Sastera Melayu adalah sebuah esei biasa, yang mengumpulkan sejumlah maklumat yang bukan baru, bukan original, dan bukan mendesak untuk menyelesaikan sesuatu masalah penting dalam kritikan dan penilaian sastera. Tidak juga untuk dijadikan panduan bagi perkembangan masa depan yang lebih mencabar. Apa yang dilakukan oleh Puitika Sastera Melayu hanya membicarakan perkara-perkara remeh dalam sastera lama, tetapi menjadi seolah-olah penting kerana banyak sekali digunakan teori Barat, yang disenaraikan oleh Dr. Zawiah Yahya sendiri. Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan oleh Prof. Dr. Siti Hawa Salleh (rujuk Budi Kencana, hal. 255), Puitika Sastera Melayu hanyalah sejenis “ujaran” yang berpretensi ilmiah, pada hal dalam istilah Martin Heidegger, tidak lebih daripada omongan, ocehan atau “idle talk” sahaja.  Sesiapa juga yang ragu-ragu dengan kesimpulan ini, boleh rujuk kritikan saya dalam Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh; atau analisis saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan.

Menarik juga apabila Prof. Dr. Zawiah Yahya menggunakan perkataan “detractors” untuk mencirikan para pengkritik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Dalam Collins Cobuild English Dictionary, “The detractors of a person or thing are people who criticize that person or thing; used mainly in journalism.”  Dengan meletakkan pengkritik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pada taraf jurnalisme, yang cetek, tidak menyeluruh, yang selalunya penuh sensasi, yang tidak boleh dianggap akademik sama sekali, maka Dr. Zawiah menganggap kritikan itu hanya sejenis gangguan yang tidak perlu, yang remeh temeh.  Berbanding dengan ahli akademik yang memberi “buequet”, walaupun “buequet” itu  terdiri daripada jambangan bunga kering yang sudah reput dan busuk!  “Yet, it is still a buequet!!”

Percubaan Prof. Dr. Zawiah Yahya untuk membela karya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang pada pendapatnya, “even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory,” nampaknya tidak mencapai matlamatnya, malah kelihatan “a little contrived”. Masalahnya ialah esei itu bukan kedua-duanya, yakni bukan “a theory of production neither a theory of criticism.” Hanya sebuah esei biasa yang penuh dengan ocehan dan pretensi ilmiah dengan mengambil seberapa banyak teori Barat yang tidak relevan. Misalnya, beliau menyebut dan menganjurkan supaya dekonstruksi diambil dan dipakai di Malaysia, tetapi apabila teori itu dipakai untuk menganalisis karyanya, dia terus “naik angin” seperti yang berlaku kepada seorang Tok Minduk, sebuah “teater” tradisi yang dikaguminya. Jika anda tidak kenal budaya anda dan tidak biasa pula dengan teori Barat, anda tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya; maka inilah saya beritahu anda supaya anda tidak terpedaya.  Sebenarnya jika profesor itu betul-betul ingin membina satu teori dan dia mempunyai kemampuan intelektual untuk melakukannya, dia sudah pun melakukannya, tidak usah menunggu lagi. Tidakkah itu merugikan?

Pendirian Prof. Dr. Zawiah Yahya terlihat sangat aneh apabila beliau mengkritik gagasan Persuratan Baru begini: “There is also a sense of absolutism about PB that does not allow it to problematise itself.” Kesimpulan ini sangat aneh, kerana selepas beliau berkata gagasan Persuratan Baru berasaskan al-Quran dan hadis, tiba-tiba beliau membuat kesimpulan bahawa gagasan Persuratan Baru terjerumus dalam absolutism. Jika kita membaca kesimpulan ini seperti tertulis, maka ini bermakna al-Quran dan hadis tidak mutlak, hanya gagasan Persuratan Baru yang mengambil  sumber dari kedua-dua sumber itu saja yang pandai-pandai mahu menunjukkan sifat mutlaknya. Apakah maksud Prof. Dr. Zawiah Yahya dengan kesimpulan itu? Sebenarnya beliau berfikir dalam kerangka kritikan Barat, yang memang menolak apa juga yang bersifat mutlak. Tidak ada nilai-nilai mutlak, kata Barat, dan ini diikuti oleh profesor ini.  Maka dengan itu beliau membuat kesimpulan mati: “In the reality of literary practice in which the practitioner or user chooses his or her own tools, it is doubtful if it will ever come to pass that only one methodology rules the realm.”  Yang disebut “the reality of literary practice” itu ialah amalan pengkritik Barat yang menjadi panduannya.  Mengapa kita mesti percaya kepada amalan demikian? Kemungkinan untuk gagasan Persuratan Baru menjadi pendekatan yang dominan dalam kritikan di Malaysia tetap terbuka; dan ini tidak bererti orang-orang seperti Prof. Dr. Zawiah Yahya tidak boleh terus hanyut dalam kepercayaan mutlak mereka kepada nilai dan pemikiran Barat.

Sebenarnya kepercayaan mutlak  kepada pemikiran Barat ini diakui oleh beliau dalam kata-katanya seperti yang berikut: “... PB does not allow it  to problematise itself.”  Inilah pendirian Barat sebenarnya, menjadikan semua perkara dalam kehidupan manusia, dalam apa juga pemikiran mereka, sebagai masalah yang tidak habis-habis, tidak putus-putus, tanpa sebarang penyelesaian, persis seperti yang diceritakan dalam mitos Sisyphus, yang dihukum di neraka untuk menolak batu ke atas gunung, tetapi setiap kali batu itu hampir sampai, terus menggelonsor ke bawah, lalu Sisyphus harus menolaknya lagi, dan turun lagi. Begitulah selama-lamanya, tidak pernah selesai. (Rujuk, Collins Concise Encyclopedia of Greek and Roman Mythology. English edition, 1969). Jika anda membaca huraian dan penjelasan Prof. Ungku Maimunah tentang perkembagan toeri kritikan Barat (dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan), anda akan melihat sendiri bagaimana  hukuman terhadap Sisyphus di neraka itu dijelmakan dalam kehidupan akademik di Barat. Itulah maksud “to problematise itself” yang diterima oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya sebagai satu ciri penting dalam sesebuah teori kritikan (atau mana-mana teori dalam apa-apa bidang sekalipun).  Al-Quran  menceritakan perkara ini dalam bentuk yang lebih “dramatik”.  Apabila kaum Yahudi diperintahkan supaya menyembelih lembu betina untuk menghapuskan dosa-dosa mereka, kaum Yahudi enggan melakukannya terus, lalu bertanya Nabi Musa ‘a.s. warna kulit lembu itu, besar mana, tuakah muda, di mana boleh didapat dan sebagainya, sehingga hampir-hampir tidak dapat dilaksanakan perintah Ilahi itu. (Rujuk al-Quran, 2: 67-71). Bidal Melayu ada berkata, Malu bertanya sesat jalan. Tetapi bidal atau perumpamaan baru dalam zaman moden pula berkata, Terlalu banyak bertanya sesat Barat. Inilah akibat “to problemastise” semua perkara yang sudah selesai sekali pun. Dalam Islam ada jalan yang lurus, yang bagi orang Islam itulah permintaan mereka, menuju jalan yang lurus. Nabi orang Islam pun adalah nabi terakhir, tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w., yang mengajar umat baginda supaya berpegang kepada al-Quran dan Sunah baginda, yang akan membawa ke jalan yang lurus tadi. Mengapa pula gagasan Persuratan Baru perlu problematise sesuatu yang sudah ditetapkan; namun ini tidak bermakna tidak boleh dibuat perbaikan, seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah yang memperkenalkan beberapa prinsip baru yang membolehkan orang memahami gagasan Persuratan Baru dengan lebih mudah, misalnya konsep ruang naratif, yang banyak membantu menjelaskan makna dan maksud wacana dan cerita dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi konsep taklif, dan konsep-konsep lain yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru tetap tidak berubah. Mutlak. Ini tidak bermakna tidak boleh dipakai oleh orang yang bukan Islam, kerana mereka boleh belajar memahami gagasan Persuratan Baru, menggunakannya dalam analisis mereka, malah jika mereka penulis novel dan lain-lain, tidak ada halangan untuk mereka menulis seperti yang disarankan dalam gagasan Persuratan Baru. Mengapa mereka tidak boleh mengajarnya di sekolah atau di universiti, jika diperlukan?  Dengan ini gagasan Persuratan Baru tetap dan terus terbuka untuk difahami dan dipakai oleh sesiapa sekali pun. Ini juga tidak bermakna lain-lain kaedah tidak boleh digunakan oleh sesiapa saja. Hanya dalam konteks ini gagasan Persuratan Baru boleh saja mencabar penggunaan tadi dengan memberikan analisis yang mungkin lebih baik dan lebih tepat. Itulah yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat ketika membicarakan novel Melati Kota Bharu. Itulah sebenarnya yang akan terjadi dalam perkembangan ilmu. Jadi apa masalahnya?  Gagasan Persuratan Baru bukanlah seperti Perancangan Ekonomi 5 Tahun, yang mesti berubah setiap lima tahun, atau boleh saja diteruskan segala macam projek yang telah dirumuskan sebelumnya.

Dalam bidalan Melayu terdapat peribahasa berbunyi, Malu bertanya sesat jalan, seperti yang telah saya sebutkan. Tetapi dalam kehidupan moden pertanyaan bukan lagi untuk mendapat kepastian, supaya tidak tersesat. Segala-galanya mesti problematise supaya tetap kelihatan dinamik dan maju ke depan. Oleh itu bidalan moden yang tepat untuk kehidupan moden ialah yang berbunyi, Banyak bertanya sesat Barat. Kerana itu dalam bidalan Melayu disebut, Jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.  Kerana itu orang Melayu terus menggunakan perahu kecil pergi memancing, dan memang dapat ikan, tetapi kecil-kecil juga. Tetapi itu tidaklah menghampakan mereka, kerana mereka telah diberi pesan oleh orang tua-tua mereka, jangan terjadi seperti orang yang terlalu ghairah ingin menunjuk-nunjuk, Tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Akhirnya seluruh hidupnya dia Mendukung biawak hidup. Berapa ramaikah di antara kita yang bergelar sarjana, sasterawan dan segala macam, pada hakikatnya “mendukung biawak hidup” kerana terlalu gigih mempertahankan sesuatu yang kita ciplak dan tiru dari Barat untuk menjadi kepunyaan kita, padahal kita mempunyai pilihan yang lebih baik  yang disediakan oleh agama kita, oleh tamadun keilmuan Islam.
Supaya para pelajar kita mengenal tamadun mereka sendiri, mereka haruslah diajar “how to handle ideas”, dengan membenarkan mereka bersuara dalam perbincangan bersifat keilmuan, terutama di universiti, dan khususnya di jabatan yang mengajar bahasa dan sastera Melayu. Kita mempunyai beribu ahli akademik yang bertauliah, yang pastinya mempunyai kewibawaan ilmiah yang tidak boleh diragukan, untuk memandu dan membantu para pelajar ini.  Para pelajar sendiri tidak harus takut membuat silap dalam perbincangan demikian, kerana mereka akan dibantu oleh para pensyarah yang berwibawa. Jika ini dapat dilakukan dengan teratur, kita pasti akan dapat memajukan persuratan Melayu mencapai matlamatnya yang utama, mencerdikkan bangsa kita.

Mahu tidak mahu, gagasan Persuratan Baru kini menjadi kayu ukur dalam penilaian kreatif dan dalam analisis akademik. Alhamdulillah, terima kasih kepada teman-teman yang membantu memperkenalkan gagasan ini dan yang mengkritiknya. Setiap teguran dan peringatan, dalam bentuk apa sekali pun, tetap bermanfaat; seperti yang diperingatkan oleh Al-Quran  supaya setiap orang Islam selalu berwasiat (tegur-menegur) sesama mereka dengan kebenaran (haq) dan dengan kesabaran. Saya harap pembaca saya lebih berhati-hati, lebih cermat dan lebih kritis membaca tulisan saya supaya mendapat sedikit faedah daripadanya, terutama sekali mengenai gagasan Persuratan Baru.  Prof. Dr. Zawiah Yahya yang cermat dan teliti dalam kerja-kerja akademiknya saya fikir telah mendapat sedikit manfaat daripada kajiannya dan analisisnya tentang gagasan Persuratan Baru, walaupun banyak juga perkara-perkara yang mengecewakannya. Meskipun  dalam tulisan ini  di beberapa tempat saya agak keras mempertahankan sesuatu yang saya yakini, namun saya sangat menghargai usaha beliau memperkenalkan hasil usaha saya daripada “kail panjang sejengkal” yang saya dapat daripada lautan ilmu yang luas dan sentiasa bergelora itu.  Saya anggap beliau seorang pengkritik gagasan Persuratan Baru yang paling teliti dan berwibawa membicarakan gagasan itu, dengan itu saya yakin para pembaca kini akan mendapat dua perspektif yang jelas tentang gagasan Persuratan Baru: satu yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat; satu lagi kritikan serius oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya. Terima kasih kepada mereka semua.

Jika anda membaca Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, anda akan bertemu dengan sebuah cerita pendek dalam tulisan Jawi yang ditulis oleh Mohd. Affandi Hassan ketika beliau berusia remaja, kira-kira 16 tahun, bertajuk “Kapitalis Kecil” (terbit dalam Fikiran Rakyat, Januari 1957). Tujuan dimasukkan cerita pendek “tidak bermutu” itu ialah untuk memberitahu para pembaca yang serius bahawa apa yang difikirkan oleh Mohd. Affandi Hassan pada zaman remajanya dicetuskannya zaman matangnya dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi beliau ketika budak-budak lagi telah diperkenalkan idea Shah Wali Allah oleh Ustaz Wan Ismail Wan Nawang, penulis Khulasah al-Quran (berasaskan ajaran Shah Wali Allah). Beliau telah diperkenalkan konsep taklif sewaktu beliau tidak tahu menahu implikasi falsafahnya, tetapi ketika dewasanya beliau secara spontan menggunakan konsep itu sebagai asas gagasan Persuratan Baru. Mengapa dinamakan gagasan Persuratan Baru? Rasanya saya tidak perlu menjelaskannya kerana Prof. Ungku Maimunah telah menghuraikannya dengan baik sekali dalam kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.  Anda boleh belajar banyak perkara tentang sastera Barat dan pemikirannya dengan membaca buku itu, di samping dapat memahami dengan cukup baik gagasan Persuratan Baru. Anda juga akan faham mengapa Mohd. Affandi Hassan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris sebagai “genuine literature”. Beliau memberikan terjemahan bahasa Inggeris itu awal-awal lagi kerana beliau sedar jika dibiarkan begitu saja, orang akan menterjemahkannya secara harfiah, terjemahan yang tidak diasaskan kepada konsep dan falsafahnya, tetapi kepada kata-kata luaran. Anda perlu menjadi seorang yang berfikir untuk memahami gagasan Persuratan Baru. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 9/3/2011.