Friday, May 22, 2015

PANDANGAN KRITIS TETAPI POSITIF TERHADAP TEKSDEALISME MANA SIKANA YANG GAGAL SEBAGAI KAEDAH KRITIKAN



(Catatan: Tulisan ini berupa pendahuluan kepada kumpulan kritikan saya terhadap teksdealisme Mana Sikana yang telah menghanyutkan kritikan sastera Melayu dalam lautan pandirisme).




Dalam kumpulan tulisan yang dikumpulkan di sini, terdapat dua tajuk besar yang perlu diberi perhatian kerana kedua-duannya amat penting difahami dengan mendalam dalam konteks hakikat ilmu yang menjadi teras gagasan Persuratan Baru, dan dibicarakan dengan terperinci dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992, 2005). Kemudiannya diperjelaskan lagi dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua 2014 (edisi pertama 2008).  Edisi kedua memuat beberapa tambahan dan Pendahuluan yang penting oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir tentang Persuratan Baru sebagai satu alternatif dalam sastera Melayu.  Kumpulan tulisan ini saya tujukan secara khusus kepada para pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, untuk menghormati guru saya, Pendeta Za’ba,  yang tidak pernah saya temui tetapi yang saya salin kitabnya, Ilmu Mengarang Melayu dengan tulisan saya sendiri ketika saya berumur kira-kira 12 tahun, kerana ketika itu buku itu sukar didapati dan saya pinjam daripada Guru Besar, Cikgu Umar Awang, Sekolah Melayu Pasir Mas, Kelantan. Al-fatihah untuk Za’ba dan Cikgu Umar Awang. Cikgu Umar Awang adalah salah seorang murid pertama datuk saya, Haji Zakaria Haji Taib yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Kelantan menjadi guru pertama dalam tahun 1915 seperti yang dilapor dalam majalah Pengasuh.  Sekolah Majlis itu mempunya hanya satu kelas saja. Antara murid awalnya ialah ayah Zaid Ahmad, pengarang Kelantan yang terkenal dengan cerita pendek “Mimpi Seorang Anak”. Beliau salah seorang penulis cerita pendek abad 20 pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya mulai kumpulan tulisan ini dengan dua buah tulisan mengenai konsep pandirisme, yang cukup penting diketahui dan difahami oleh pelajar dan guru sastera.  Berikutnya dibincang mengenai teksdealisme yang menjadi popular di kalangan mahasiswa dan diterima dengan baik oleh para sarjana sastera tanpa pertimbangan ilmiah dan tidak juga berasaskan kefahaman yang jelas tentang makna dan peranan ilmu dalam kritikan sastera.  Teksdealisme adalah bukti betapa ceteknya pengetahuan para sarjana sastera sehingga boleh menerima omongan Mana Sikana yang tidak ada asas akademik sama sekali. Apa yang dikatakannya empat prinsip itu saling bertentangan dan tidak diperlukan; malah tidak sedikit pun boleh membantu Mana Sikana sendiri untuk menghasilkan tulisan yang benar-benar bermutu dan karya kreatif yang boleh dianggap “unggul”.  Bacalah kritikan saya dengan kreatif dan kritis, supaya anda dapat melihat betapa naifnya Mana Sikana, sehingga dia sendiri tidak dapat mengambil manfaat daripada ideanya sendiri.  Semua penilaiannya terhadap karya sasterawan negara adalah sejenis lelucon akademik yang tidak berguna, kerana terlalu jauh menyeleweng daripada kualiti sebenar karya yang dinilainya. Daya kognitif sarjana ini hanya dapat memahami dengan dangkal recipe knowledge yang dijajanya dalam makalah dan buku-buku beliau. Baca dengan kreatif dan kritis pandangan kritis saya supaya anda tidak lagi membuang masa memberi perhatian kepada sarjana yang naif ini. Untuk dapat melihat betapa naifnya sarjana ini, banyakkan membaca buku-buku kritikan penting, terus dari sumbernya, bukan melalui sarjana naif seperti tokoh ocehan ini.

Sedikit catatan tentang takrif “teori” dalam kritikan sastera, sekadar panduan kasar secara umum. Boleh rujuk sendiri dalam buku-buku yang membicarakan aspek penting ini. Memahami aspek ini adalah satu kewajipan akademik yang tidak boleh dielakkan, supaya anda tidak hanyut dalam idle talk atau tenggelam dalam parit pandirisme, bergelumang dengan lumpur bullshit yang dikritik hebat oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit. Buku ini wajar dijadikan bacaan wajib di kalangan siswa sastera dan para sarjana sastera.  Penjelasannya diberikan dalam perbincangan tentang pandirisme dalam komuniti dunia.

Kesilapan besar Mana Sikana, yang tidak akan berlaku jika beliau faham apakah yang dimaksudkan dengan teori sastera dan kritikan sastera, ialah beliau tidak dapat membezakan antara proses mengarang dengan penilaian dalam kritikan sastera. Yang pertama, proses mengarang, tidak kena mengena dengan teori kritikan, walaupun biasanya pengarang mendapat manfaat daripada teori estetika. Dua perkara ini berbeza dan mesti dibezakan: teori kritikan mengenai penilaian karya; teori estetika pula mengenai konsep seni dan bagaimana seni itu dilahirkan dalam bentuk-bentuk tertentu. Teori estetika penting dalam membantu pengarang memperoses kegiatan kreatifnya, misalnya dengan memahami apakah ciri-ciri karya yang menepati prinsip yang dipakai dalam estetika untuk mendapat kesan dan makna yang mendalam yang dapat dicapai oleh sang pengarang. Teori sastera pula berbicara tentang ukuran yang boleh dipakai untuk menilai kesan dan makna yang mendalam tadi yang distrukturkan begitu rupa oleh sang pengarang seperti yang diajukan dalam teori estetika. Dia tidak perlu ikut segala-galanya, kerana sebagai seorang manusia kreatif, dia mungkin mempunyai caranya yang tersendiri untuk melahirkan karya yang diingininya.

Dalam kategori apakah teksdealisme berada? Teksdealisme bukan teori sastera; jauh sekali teori estetika. Dalam bahasa yang dipakai oleh John M. Ellis yang menulis Against Deconstruction (Princeton University Press, 1989), teksdealisme mungkin boleh termasuk dalam “helpful advice” seperti yang diutarakan oleh John M. Ellis (hal. 69-70).  Tapi ini pun saya kira tidak tepat, kerana teksdealisme pada hakikatnya hanyalah satu slogan yang “crude” untuk dipakai dalam retorik teh tarik ketika memuji pencapaian para sasterawan negara (dan lain-lain sasterawan). Lebih tepat teksdealisme ini dimasukkan ke dalam kategori “ramblings” yang sesuai dengan jenis bullshit yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit. Empat “prinsip” yang dikemukakan oleh Mana Sikana bukanlah prinsip, tetapi hanya sifat luaran yang kelihatan atau diperlihatkan oleh para sasterawan negara yang tidak membayangkan sama sekali nilai sebenar karya mereka. Menggunakan teksdealisme untuk menilai karya para sasterawan negara adalah satu kesilapan besar, apatah lagi untuk digunakan bagi mendudukkan mereka di atas takhta “keunggulan” yang bertentangan dengan nilai sebenar karya mereka.  Apakah ciri-ciri “keunggulan” sebenar, jika kita mahu menggunakan perkataan ini? Menurut Mana Sikana, mereka telah menunjukkan “kehadiran” mereka sebagai tokoh sejak awal lagi, sejak mula menulis (mungkin juga sejak lahir, seperti Awang Sulung Merah Muda dalam hikayatnya). Kehadiran itu diperjelaskan lagi dengan adanya “pelanggaran” yang mereka lakukan dalam karya mereka (seperti Awang Sulung melancar seperti lembing ketika keluar dari perut  ibunya sehingga tujuh gelegar patah!, contoh pelanggaran paling hebat dalam sastera Melayu); diikuti dengan “pengukuhan” dan akhirnya melahirkan “kepengarangan” (individualisme) mereka. Kempat-empat ciri ini, menurut Mana Sikana, menyelubungi ketokohan para sasterawan negara ini kerana keempat-empatnya dilalui mereka dengan cemerlang. Kesemua ciri ini boleh dikenakan ke atas mana-mana sasterawan yang telah melalui proses seorang penulis, yang tidak perlu “melanggar” apa-apa untuk memperkukuhkan dirinya sebagai seorang pengarang. Persoalan besar yang perlukan penjelasan yang tepat dan objektif ialah bagaimana empat faktor ini muncul dalam karya para sasterawan negara ini. Adakah empat faktor ini menentukan kualiti karya mereka? Tentu saja tidak, kerana sesebuah karya yang bermutu tidak perlu melanggar apa-apa kecuali memperlihatkan daya kreatif penulisnya dalam membina perwatakan, dalam pemikiran sang pengarang yang mengarah kepada penemuan teknik baru, atau pengolahan idea yang original dan mendalam, atau boleh juga berupa satu tafsiran baru terhadap persoalan biasa  yang menimbulkan makna baru kepada pembaca.  Ini dinamakan oleh Panel Anugerah Sastrera Negara sebagai eksperimen, yang di dalamnya terdapat pembaharuan. Tetapi pandangan Panel tidak tepat dan tidak boleh dipakai, kerana tidak semua eksperimen itu berjaya dan baik untuk manusia beretika; dan sebarang pembaharuan yang memisahkan manusia dari Tuhan bukanlah pembaharuan, tetapi penyesatan yang nyata. Tentu saja ini tidak menjadi masalah kepada manusia yang tidak beragama. Lihat contoh-contoh ini yang diambil daripada karya para sasterawan negara. 

Mana Sikana memuji sajak “Pulang Si Tenggang” yang menegaskan: “Aku sudah belajar/ jadi kurang ajar/ memeluk kenyataan dengan logika baru/ ...  bersopan santun, menghormati/ manusa dan kehidupan.”  Kata Mana Sikana: “Puisi itu menunjukkan sikapnya yang menolak yang lama dan mencari yang baru. Semuanya ialah hasil taakulan, timbang segala. Justeru itu, ia memelihara tatasusila. Hadirnya dengan  palanggaran yang bersistematis. ... Muhammad Haji Salleh dari awal lagi bagaikan membina sebuah mitos baharu yang unggul.” (hal. 218, Berdiri di Akar Diri). Maksud “aku sudah belajar, jadi kurang ajar” ialah “memeluk kenyataan dengan logika baru, berdebat dengan hujah-hujah pejal dan nyaring, tapi juga bersopan santun, menghormati manusia dan kehidupan.”  Betulkah apabila seseorang sudah kurang ajar, maka dia bersopan santun dan menghormati manusia? Mestikah hujah-hujah yang pejal dan nyaring itu dikemukakan dengan sikap kurang ajar?  Jawapan Mana Sikana dalam kutipan di atas tidak kurang “kurang ajarnya” bila dia memuji pensajak yang menolak yang lama dan mencari yang baru, berasaskan taakulan dan pelanggaran bersistematis, untuk membina mitos baru yang unggul.  Inilah jenis ocehan, idle talk yang bersifat bullshit, tidak ada ertinya sama sekali. Apakah yang lama yang ditolak itu? Dengan menjadikan Si Tenggang ikonnya, pensajak ini menerima yang lama, yang sebenarnya pinggiran dalam budaya Melayu, sebagai sumber ilhamnya, untuk membuatnya menjadi bersopan santun walaupun Si Tenggang terkenal dalam budaya Melayu sebagai anak derhaka. Mana Sikana memuji pensajak kerana menerima sesuatu berasaskan taakulan yang bersistematis, tetapi kesimpulan ini palsu dan bertentangan dengan pemilihan Si Tenggang sebagai ikon dan contoh. Katalah kita boleh terima pilihan itu berupa pelanggaran pensajak yang sangat berani, maka bagaimana pula dia boleh klaim dia bersopan santun dan sebagainya itu kalau yang dicontohinya seorang tokoh legenda yang kurang ajar? Kita beri lagi laluan kepada pensajak ini dengan pelanggaran baru apabila “kurang ajar” itu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, oleh pensajak sendiri, sebagai “critical”: “I have learned to be critical”. Untuk makluman anda, “kurang ajar” tidak bermaksud “critical” dalam bahasa Melayu, tetapi apabila pensajak menterjemahkannya sebagai  “critical”, dia telah membuat editing setelah dikritik. Tetapi versi asal tetap tidak berubah. Inilah yan g dimaksudkan oleh Mana Sikana sebagai “membina mitos yang unggul” apabila seseorang yang mengaku kurang ajar adalah seorang yang bersopan santun, yang menggunakan akal, dan terus menghormati manusia dan kehidupan.  Apakah asas nilai manusia pensajak begini? Jawapannya sangat mudah: asasnya ialah kemahuan peribadinya, kemahuan hawa nafsunya yang menentukan baik buruk sesuatu, tidak sekali-sekali berasaskan ilmu yang benar sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang pensajak Islam. Kesimpulan ini diperkuat dengan gesaan Muhammad Haji Salleh kepada para sasterawan untuk meniru dan belajar daripada Salman Rushdie yang menulis novel The Satanic Verses itu. Adakah  sikap mengagumi Iblis itu memang sikap semula jadi sasterawan, seperti yang diungkapkan oleh Muhammad Haji Salleh dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe” bila dia berkata dia sangat kagum dengan Mephistopheles, Raja Iblis itu.  Inikah maksud pelanggaran yang menjadi obsesi Mana Sikana? 

Apakah pelanggaran yang dilakukan oleh A. Samad Said yang melayakkannya duduk di atas takhta keunggulan bikinan Mana Sikana?  Inilah hujah Mana Sikana. Menurutnya, A. Samad Said “melanggar” semua aspek penulisan novel Melayu, dari segi struktur, perwatakan, pengaruh luar yang dijadikan asas penulisannya seperti realisme magis, eksistensialisme, surealisme, teks dekonstruktif, dan banyak lagi yang disebutnya dengan begitu ghairah, hanya untuk membuat kesimpulan, A. Samad Said adalah novelis pascamodenisme yang tidak mementingkan moral, pengajaran, atau apa juga yang boleh dianggap boleh memberi manfaat. Sastera hanya wujud untuk sastera, untuk memuaskan daya kreatif sasterawan. Minat A. Samad Said yang luar biasa menulis tentang manusia separuh gila, atau benar-benar gila, yang penuh khayal dalam ilusi yang kaya dengan unsur magis, watak yang lemah dan yang hidup terumbang ambing tidak dapat menguruskan diri dan keluarga sebagai manusia beradab, semua ini bagi  Mana Sikana adalah contoh “pelanggaran” yang menjadikan karya A. Samad Said sangat istimewa. Ini satu kesimpulan yang sangat aneh, kesimpulan yang tidak masuk akal. Dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, secara tegas menolak karya begini, seperti yang disanjung oleh Mana Sikana ini. Kalau sastera beginilah yang menjadi teras “negara bangsa,” maka negara bangsa berteras sastera yang ingin dibina oleh ITBM adalah sebuah negara yang dihuni manusia tidak siuman, yang terumbang ambing dalam kegilaan mereka. Kita mesti ingat, A. Samad Said dalah seorang sasterawan negara, yang diangkat oleh Mana Sikana di atas takhta keunggulan, yakni yang sangat istimewa. Di mana istimewanya karya sasterawan ini jika kita boleh terima analisis Mana Sikana yang memuji watak-watak tidak siuman dan lemah itu? Bagusnya ialah, Mana Sikana secara langsung telah membuktikan kesimpulan saya bahawa sasterawan negara yang begitu sifatnya tidak layak dijadikan sasterawan negara yang lebih mulia daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang selama ini, sejak beratus tahun, membina budaya ilmu melalui persuratan Melayu. Demikianlah bagaimana teksdealisme hanyut dalam dunia khayalnya yang tidak berpijak kepada rasionalisme, akal sihat; sebaliknya merapu tak tentu arah mencampur-adukkan segala jenis teori sastera yang gagal meletakkan karya sasterawan negara ini sebagai karya yang bermutu. Semua usaha yang dipaparkan oleh Mana Sikana sebagai pelanggaran A. Samad Said untuk mencipta karya kanun dalam sastera Melayu, sudah jelas semuanya mengarah kepada karya picisan dari segi pemikiran dan perwatakan, walaupun mungkin dari segi teknik terdapat sedikit kemajuan yang tidak seberapa sebenarnya, kerana yang disebut “kemajuan” itu tidak mengarah kepada manfaat yang seharusnya diserlahkan dalam karya para sasterawan negara ini. Teksdealisme tidak dapat menyelamatkan Mana Sikana daripada terjerumus ke dalam gaung pandirisme. Satu-satunya jasa Mana Sikana ialah beliau telah menunjukkan betapa silapnya projek sasterawan negara ini, kerana tidak ada apa-apa yang bermanfaat yang boleh mereka “lemparkan” kepada negara dalam membina budaya ilmu.

Dengan dua contoh ini, kita sudah dapat melihat betapa sia-sianya teksdealisme yang menjadi kebanggaan Mana Sikana, kerana tidak dapat meyakinkan kita bahawa para sasterawan negara ini layak berada di tempat mereka. Untuk memahami mengapa hal ini terjadi, anda perlu membaca dengan kreatif dan kritis makalah “Keunggulan yang Cacat” yang dimuat dalam kumpulan tulisan ini. Saya cadangkan makalah ini dibaca bersama dengan buku John M. Ellis, Against Deconstruction untuk melihat bagaimana Derrida “menipu” dunia intelektual Barat dengan mengemukakan “deconstruction” sebagai cabaran baru untuk  “membetulkan” kesilapan berabad yang berlaku dalam falsafah Barat. Saya tidak bercadang membicarakan buku ini, sebaliknya menggesa para mahasiswa sastera dan para sarjana sastera, guru mereka, meneliti buku penting ini untuk mengambil iktibar bagaimana seorang tokoh besar seperti Mana Sikana berkelakuan salin tak tumpah dengan yang dibuat oleh Jacques Derrida dalam falsafah Barat moden, seperti yang persis dilakukan oleh Mana Sikana dalam sastera Melayu moden. Kita telah banyak membuang masa dan wang (untuk menerbitkan karya mereka) padahal yang dihasilkan mereka hanya bullshit untuk melestarikan pandirisme dalam budaya ilmu. Prof. John Ellis memberikan analisis yang mendalam dan terperinci tentang deconstruction, yang menurutnya lahir dari kekeliruan Derrida membaca dan membuat tafsirannya yang salah tentang linguistik baru yang dikemukakan oleh Ferdinand de Saussure.  Menurut John  Ellis, deconstruction tidak boleh diiktiraf sebagai teori sastera, malah Derrida sendiri tidak mahu “teorinya” dipanggil teori, sebaliknya lebih sesuai dipanggil performance kerana yang dibuatnya ialah menggariskan beberapa cara bacaan yang berkesan. Satu prinsip deconstruction yang penting ialah “all interpretation is misinterpretation”, bermaksud tidak ada interpretasi yang tetap, dengan itu makna tidak dapat ditentukan. Apabila Prof. John Searle mengkritik deconstruction sebagai hasil “pemikiran” seorang yang  keliru dan bermuka-muka, yang eccentric, atau menurut Searle dalam perbualannya dengan Michel Foucault, “Michel Foucault once characterized Derrida’s prose style to me as obscurantisme terroriste”.  The text is written so obscurely that you can’t figure out exactly what the thesis is (hence “obscurantisme”) and then when criticizes it, the author says, “Vous m’avez mal compris; vous etes idiot” (hence “terroriste”). [Mu tak faham; mu ni bodoh.]   Dalam bukunya, Does Deconstruction Make Any Difference? Poststructuralism and the Defence of Poetry in Modern Criticism  (Indiana University Press, 1985; hal. 112), Michael Fischer membuat komen ini: “When self-described “conservative” or “traditionalist” opponents equate  deconstruction with terrorism, the decline of humanities, and the destruction of traditional values, many advocates of deconstruction emphasize its ludic, purely pleasurable fascination with the free play of language and the subtleties  of ‘slow reading’”.  Komen saya tentang deconstruction terdapat dalam sanggahan saya terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Sarjana dan Sasterawan Negara  (Kota Bharu, 1994, hal. 26-28;  tulisan asal 1989; diterbitkan dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991). Dalam tulisan itu, saya anggap deconstruction adalah satu “kutukan intelektal” Barat yang sama dengan cerita mitos Sisyphus; seperti yang digambarkan dengan tepat dan indah dalam al-Quran, 24: 40; tentang jiwa yang kufur yang ditutup dengan kegelapan di atas kegelapan. Saya tidak menolak jika ada yang berkata teksdealisme pun satu “kutukan intelektual” dalam persuratan Melayu dan dalam perkembangan intelektual Melayu moden.  Kesimpulan ini saya jelaskan dalam huraian saya di atas ketika membicarakan karya Muhammad Haji Salleh dan A. Samad Said yang menurut Mana Sikana dan teksdealisme adalah karya “unggul” yang layak ditakhtakan dalam perkembangan intelektual Melayu moden, dengan kedudukan para sasterawan negara ini lebih tinggi darjatnya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang memperkembangkan persuratan Melayu.

Jika anda membaca buku John Ellis ini dengan kritis, dan meneliti hujah Prof. John Searle mengkritik deconstruction, anda akan dapati gagasan Persuratan Baru jauh lebih bermanfaat kepada anda jika anda membacanya degan kritis dan kreatif.  Tetapi jika anda melihatnya daripada perspektif teksdealisme, maka anda akan dapati teksdealisme dan deconstruction adalah bersaudara, sama-sama tidak siuman dilihat daripada perspektf ilmu yang benar. Katalah Mana Sikana  menolak konsep ilmu yang benar, seperti Jacques Derrida, maka yang tertolak ialah Mana Sikana sendiri, bukan gagasan Persuratan Baru yang tetap berdiri utuh dan unggul walaupun tidak melakukan apa-apa pelanggaran. PB tetap siuman, ketika teksdealisme dan decontrtuction terbukti tidak siuman dilihat daripada perspektif konsep ilmu yang benar.  Apakah pilihan anda? Satu pertanyaan yang akan meletakkan anda dalam salah satu antara dua kedudukan ini. Jika anda berpendapat berada dalam keluarga tidak siuman itu terbaik, maka itu pilihan anda. Tahniah kepada  anda.

Pengamal dekonstruksi yang paling unggul di Malaysia ialah Mana Sikana, yang benar-benar menjadikan prinsip doconstruction “all interpretation is misinterpretation”, yang boleh kita lihat ketika dia memuji Shahnon Ahmad mengemukakan “teori sastera Islam” versi Shahnon Ahmad (yang bukan berciri Islam) yang cocok dengan pascamodenisme: bagi Mana Sikana Islam harus mengikut arus pascamodenisme untuk revelan, dan katanya inilah versi “teori sastera Islam” Shahnon Ahmad. Kata Mana Sikana: “... aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. Malah, jika dilihat dalam konteks masa, TIVI itu sendiri mempunyai unsur teks hipermodenisme, iaitu zaman yang sedang menanti selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga. Novel tersebut menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hiperrealistik, terutamannya dalam memberi lukisan tentang bagaimana berlakunya siberseks dalam kalangan keluarga. Ertinya, novel berunsur Islam dalam tanggapan Shahnon Ahmad ditandai oleh transparensi sosial. Dengan keterangan itu, saya melihat bahawa sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamoden dan hipermoden. Maka  di situlah kekuatan dan keistimdewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti.” (hal. 39,  Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)  Dalam bahasa pascamodenisme, this is sheer nonsense!


Adakah Muhammad Haji Salleh seorang genius seperti yang ditegaskan oleh Mana Sikana?  Saya tidak pasti, tetapi beliau seorang yang mempunyai sense of humour jika kita membaca tajuk eseinya tentang mimpi di atas bumbung kilang berkarat itu, dengan itu meletakkan beliau setaraf dengan genius filem komedi, Charlie Chaplin yang digelar “pelawak intelektual”, dengan itu beliau juga wajar mendapat gelaran berprestij Charlie Chaplin itu dan wajar dikagumi, seperti yang dapat kita lihat dalam tajuk makalahnya untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang berbunyi: “Mimpi sastera di atas bumbung kilang yang berkarat”, dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).  Tajuk itu seolah-olah diangkat daripada sebuah sajak tentang falsafah mimpi dalam kritikan sastera. Jika sajak itu belum ditulis, maka memang amat sesuai jika ditulis oleh seorang sasterawan negara kerana ini merupakan satu pelanggaran hebat dalam persajakan Melayu apabila sajak juga dijadikan wacana kritikan sastera, seperti yang pernah dilakukan oleh para pemikir Yunani (antaranya Lucretius, yang menulis De Rerum Natura/On the Nature of Things) beribu tahun dulu, yang menulis puisi tentang ilmu bintang dan ilmu sains.   Adakah Mana Sikana, murid Muhammad Haji Salleh yang dari segi ketokohan mengatasi gurunya, juga seorang genius? Sekiranya  pelanggaran yang dijadikan asas falsafah kritikan Mana Sikana boleh dipakai, maka beliau adalah seorang genius par excellence kerana telah melanggar banyak perkara dalam kegiatan kritikannya. Beliau juga, seperti gurunya Muhammad Haji Salleh, adalah seorang yang amat witty, seperti yang diperlihatkannya dalam semua tulisannya yang dianggap oleh beliau kritikan sastera. Tetapi “kewitian” (ini cara Mana Sikana membentuk perkataan baru, jika anda perasan dalam tulisannya) beliau tidak sepenuhnya, sekadar half-witted saja, seperti yang dikenali dalam ungkapan bahasa Inggeris yang terkenal. Itulah dia tokoh “pelanggaran” dalam kritikan sastera Melayu, Mana Sikana.  Taraf kewitian Mana Sikana sudah mencapai peringkat unggul jika dibandingkan dengan kewitian Jacques Derrida seperti yang terdapat dalam kutipan oleh John Searle ini: “Anatomists will no doubt interested to learn that “what we think of as the innermost spaces and places of the body – vagina, stomach, intestine - are in fact pockets of externality folded in”.  And logicians will no doubt be interested to learn that logocentrism is really the same as phallocentrism. According to Derrida, the term “phallogocentrism asserts this complicity: “It is one and the same system: the erection of paternal logos ... and of the phallus as ‘privileged signifier’. (Dalam tulisan Searle, “The word turned upside down”,  dalam The New York Review of Books, (October 27, 1983).  Bandingkan ini dengan pendapat Mana Sikana terhadap “Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad”:  “... aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. ... sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamden dan hipermoden.” (Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, hal. 39).  Apakah ciri masyarakat pascamoden dan hipermoden?  Ini anda kena cari sendiri, tetapi jangan tanya Mana Sikana kerana beliau sendiri tidak tahu.  Kalau beliau tahu tentu beliau tidak akan membuat kesimpulan bullshit ini!

Apakah sifat seorang genius yang tidak half-witted?  Perhatikan kata-kata Albert Eisntein ini: “Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree  it will live its whole life believing  that it is stupid.”    Apakah maksud “stupidity”?  Lagi Albert Einstein: “The difference between stupidity and genius is that genius has its limits.”  Adakah ini sejenis pelanggaran, dalam konteks teksdealisme, atau satu kanyataan yang boleh diterima kebenarannya?  Kalau anda membaca kutipan ini dalam konteks “menulis sambil bermimpi di bumbung kilang berkarat” dan pentingnya “perlanggaran” dalam kehidupan seorang genius, seperti sasterawan negara, anda akan dapat melihat makna yang saya cuba selit dalam dua kutipan yang lucu ini!

Akhirnya, saya salin sekali lagi peringatan Prof. Fazlur Rahman yang penting ini:  “Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33). [Major Themes of the Quran].


Mohd. Affandi Hassan,
13 Mei 2015.



Saturday, May 2, 2015

MANA SIKANA DAN GAGASAN PERSURATAN BARU: SIAPA MELANGGAR SIAPA?



Buku kritikan sastera Mana Sikana yang berjudul, Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (ITBM 2013), adalah sebuah buku yang lucu, dan dari segi akademik adalah sebuah karya kritikan picisan yang unggul. Dalam buku ini, tidak kurang dari 500 kali perkataan unggul/keunggulan disebut dan diulang-ulang oleh penulis ini, tetapi pengulangan itu ternyata tidak dapat mengangkat buku ini sebagai sebuah buku akademik yang unggul.  Sesuai dengan gaya penulis ini yang cenderung berlebihan untuk berpesta dalam kekaburan bombastik yang memualkan, maka gayanya adalah kemuncak gaya sarjana ciritan yang diselokakan dalam Balai Maqamat. Inilah contoh hasil kegagalan teksdealisme yang menjadi pujian Mana Sikana sendiri ketika melancarkan kegigihannya dalam kritikan sastera. Seorang sasterawan negara dikatakan suka sangat jika Mana Sikana dilantik ke takhta sasterawan negara, walaupun karya kreatifnya tidak unggul setelah dengan geram membuat pelanggaran yang sangat hebat, sekurang-kurangnya dalam memberi judul kepada cerita pendeknya. Antara tiga  orang yang diharap akan terpilih dan masing-masing mengharapkan sangat akan dipilih, seorang bernama Fatimah Busu, seorang lagi Lim Swee Tin, dan yang ketiga Mana Sikana, namun  kata sasterawan negara itu Mana Sikana layak kerana dia aktif memuji para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan yang  kurang atau tidak dikenali, tetapi kekurangan itu boleh diatasi dengan mudah kerana beliau sangat rajin menulis buku kritikan dan semuanya menjadi bacaan wajib di universiti, sehingga ada sarjana berkata dekad ini boleh dipanggil dekad Mana Sikana dalam kritikan picisan. Saya tiada halangan, malah sangat mengharapkan jika Mana Sikana terpilih, untuk menjadi bukti paling kuat dalam budaya pandirisme yang kini menguasai sastera Melayu.

Setelah membuat beberapa “pelanggaran” untuk memuji para sasterawan negara dalam bukunya, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, maka Mana Sikana Sang Pengkritik, melakukan sendiri “perlanggaran” (ejaan lama yang dipakai dalam buku Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti yang diterbitkan oleh DBP 1995) yang paling berani dalam kritikan sastera Melayu dengan mengetepikan dan menolak konsep ilmu yang benar dalam kritikan sastera, kali ini dilakukannya dengan segala kegigihan dengan penuh kebencian seorang “pelanggar” yang sering dilaporkan dalam akhbar apabila sekali sekala berlaku “perlanggaran” di jalan raya dilakukan oleh samseng jalanan. Buku Mana Sikana berjudul Berdiri di Akar Diri: Kritik Sastera Melayu Pascamoden membicarakan dengan gigih segala  macam teori sastera Barat yang menjadi kegemarannya untuk ditayangkan kepada pembaca Malaysia dan para pelajar yang kehairanan membaca nama-nama teori sastera Barat yang diperagakan beliau dalam bukunya. Mana Sikana adalah seorang pengkritik sastera yang suka bercerita, oleh itu buku ini adalah kumpulan cerita kritikan yang dituturkan dengan begitu ghairah oleh seorang Pengkritik Sastera Penglipur Lara paling terkenal di Malaysia. Sebagai penutur cerita kritikan, Mana Sikana berlagak sebagai seorang penglipur lara yang hanya menuturkan cerita, tidak membicarakan dengan kritis segala macam teori Barat yang dituturkannya. Kerana tidak kreatif dan tidak kritis, maka pujian Mana Sikana terhadap para sasterawan negara menjadi semacam olok-olok untuk ditertawakan kerana terlalu banyak kontradiksi yang berselerak dalam Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Paling ketara ialah sokongannya terhadap Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, yang membenarkan kelucahan dijadikan umpan dalam penulisan novel, hanya kerana ingin memuaskan nafsu sastera Shahnon Ahmad yang menegaskan  seluruh masyarakat Malaysia sekarang adalah masyarakat yang lucah. Seluruh? Ini amat serius, kerana sudah tentu termasuk para ulama, ahli akademik yang berwibawa (mahukah anda jika saya senaraikan nama-nama mereka?), ahli politik yang memerintah dan yang membangkang, semuanya tidak berguna lagi dan sepatutnya dihapuskan! Hanya satu kumpulan kecil saja yang dikecualikan, iaitu para sasterawan negara...

Seperti biasa, Shahnon Ahmad terkenal kejujurannya dan keberaniannya melanggar apa saja, dan Mana Sikana pula terkenal kerana kebijaksanaannya membawa segala teori sastera Barat yang tidak lucah itu untuk membersihkan sastera Melayu yang lucah dan membenarkan kelucahan dijadikan umpan untuk melariskan karya sastera. Kita tidak mempunyai data berapa banyak karya sastera para sasterawan negara yang lucah, jika ada, yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia yang lucah.  Tetapi yang menjadi persoalan ialah, adakah laporn Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menyokong kelucahan? Mungkin istilah lucah yang dipakai Shahnon Ahmad tidak menggambarkan keseluruhan anggota masyarakat, oleh itu saya lebih selesa menggunakan istilah picisan kerana karya picisan dari segi idea, teknik dan perutusannya memang menjadi pilihan para sasterawan negara, hatta selepas mereka dianugerah gelaran itu sekali pun. Contoh: adakah karya Anwar Ridhwan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman sebuah karya lucah dari segi ideanya? Yang pasti, saya kira, karya itu adalah karya picisan dari segi idea dan perwatakan. Bagaimana pula Naratif Ogonshoto yang menjadikan kejahatan sebagai simbol perjuangan sekumpulan Mafia di sebuah pulau buatan? Bagaimana novel TIVI yang penuh dengan episod persetubuhan itu? Ini semua menuju ke arah teksdealisme dan Mana Sikana yang menyokong karya picisan dan lucah ini atas nama modenisme dan pascamodenisme.  Nampaknya kritikan sastera Malaysia sendiri tidak saja menghadapi krisis nilai yang teruk, malah lebih teruk lagi kritikan itu dan para pengamalnya menyokong kemunculan karya picisan dan lucah sebagai sebahagian daripada keunggulan para sasterawan negara yang menulis dalam konteks modenisme dan pascamdenisme. Tidakkah inilah pendirian jelas Mana Sikana ketika menyokong Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad?

Semua ini dilakukan oleh Mana Sikana dalam usahanya untuk kembali ke akar diri sendiri yang menjadi judul magnum opus kritikannya, Berdiri di Akar Diri: Kritikan  Sastera Melayu Pascamoden (ITBM, 2013). Walaupun dalam judul itu sendiri terdapat kontradiksi yang amat ketara antara “akar diri” dengan “pascamoden”, yang sudah tentu mempunyai ciri masing-masing yang saling bertentangan, manakah yang menjadi pilihan? Menurut Mana Sikana, mestilah kedua-duanya,  tidak boleh salah satunya, kerana menurut logik beliau, yang dikatakan “akar diri” itu memang menggambarkan ciri pascamoden. Tentu saja yang menjadi akar itu tidak dapat tidak berasaskan nilai-nilai Islam, yang menurut Mana Sikana mesti tunduk kepada kehendak nilai-nilai pascamoden jikalau sastera Melayu ingin melangkah ke dunia antarabangsa. Pedapat ini memang disokong dengan kuat, malah menjadi teras Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang ditayang dengan megah dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Lihat saja nasihat sasterawan negara Muhammad Haji Salleh yang menganjurkan para sasterawan Malaysia mencotohi Salman Rushie, yang menghina Rasulullah SAW dan keluarga baginda dalam novel beliau, The Satanic Verses, dan Muhammad Haji Salleh sendiri yang mengagumi mephistopheles, Raja Iblis dalam karya Goethe, Faust itu. Bagi Mana Sikana dan para sasterawan negara, Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad adalah pilihan terbaik untuk dijadikan panduan kerana memang cocok dengan kehendak modenisme dan pascamodenisme. Mana Sikana tentulah sangat gembira kerana prinsip “perlanggaran” (ejaan lama yang sebati dengan sebutan) yang menjadi tonggak teksdealisme sudah diterima oleh para sasterawan negara sendiri, melalui sokongan mereka terhadap Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad. Tetapi keputusan ini menimbulkan persoalan yang sangat aneh, yang kalau tidak berhati-hati orang yang menerimanya boleh dituduh “sasau budaya”, sudah hilang nama sendiri dan tak tahu lagi siapa ibu bapanya. Buku Mana Sikana yang ingin kembali kepada akar diri sedang bergelumang dalam lumpur pandirisme yang diberi nama modenisme dan pascamodenisme. Mari kita lihat dan baca kisah penglipur lara teksdealisme ini.

Satu keistimewaan Mana Sikana ialah sikap positif beliau terhadsap teori sastera Barat, tetapi kebencian beliau yang melampau terhadap gagasan Persuratan Baru, padahal PB melakukan “perlanggaran” yang paling seru dan hebat yang pernah berlaku dalam kritikan sastera Malaysia, malah yang dengan berani dan berwibawa mencabar semua teori Barat dilihat daripada perspektif Islam yang menjadi dasar dan teras PB.  Sikap positif beliau yang melampau terhadap teori Barat yang memang bertentagan dengan Islam dari segi kedudukan ilmu, dan kebencian beliau yang tiada taranya terhadap PB, menimbulkan pertanyaan yang tidak dapat dielakkan: Adakah Mana Sikana ini tidak mempunyai kejujuran akademik dengan menganggap PB sebagai musuh peribadi beliau yang akan meruntuhkan istana pasir yang beliau bina dalam kritikan sastera melalui teksdealisme?  Walaupun buku beliau yang menjadi magnum opus dalam kritikan sastera Malaysia, mengenai “kembali ke akar diri” dalam koteks pascamodenisme memberi senarai, dimulai dengan taabudiyyah ciptaan beliau yang sudah mati beragan, diikuti dengan “teori” yang bukan teori oleh sahabat dan guru beliau, dengan sengaja meninggalkan PB degan alasan PB tidak relevan dan tidak boleh dianggap sebagai teori sastera. Keanehan  behaviour Mana Sikana dalam menghadapi saingan kepada teksdealisme yang kononnya islamik itu, menimbulkan dua masalah kepada beliau sendiri. Pertama, keupayaan kognitif beliau agak rendah sehingga tidak boleh memahami PB dalam kefahaman yang paling naif sekali pun. Kedua, beliau secara sedar, dan tanpa segan silu, menolak teksdealisme sendiri yang tidak boleh dipakai untuk menilai PB secara akademik walaupun PB telah “melanggar” kesemua pendekatan yang popular yang dipakai di Malaysia, termasuk teksdealisme sendiri. Sikap skezofrenik (istilah beliau sendiri yang dipetik oleh K. B.Tan dalam tulisannya) yang beliau, Mana Sikana, serlahkan menimbulkan keraguan yang sangat besar terhadap kedudukan teksdealisme dalam kritikan sastera, yang secara akademik amat naif dan dari segi ilmu amat bertentangan dengan konsep ilmu yang difahami oleh para sarjana yang siuman.  Sikap sangat negatif yang ditunjukkan oleh beliau, Mana Sikana, dalam fahaman ilmu ini meletakkan beliau, Mana Sikana, di tempat paling rendah dalam perkembangan ilmu dan budaya ilmu di Malaysia, yang dikenali sebagai bullshit dalam huraian Prof. Frankfurt dan sebagai idle talk, ocehan, dalam kritikan ahli falsafah Martin Heidegger ketika menempelak sifat mengada-mengada para sarjana yang seolah-olah membicarakan sesuatu yang penting dalam bidang ilmu, padahal pada hakikatnya hanya sejenis ocehan, idle talk saja. Buku beliau, Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden, adalah satu hasil penulisan bullshit yang setiap halaman memberi gambaran yang jelas akan betapa rendahnya kualiti tulisan kritikan beliau. Nampaknya beliu sedar akan hal ini, dan insaf bahawa teksdealisme tidak membawa dirinya jauh melangkah ke arah keunggulan yang menjadi mimpinya; sebaliknya teksdealisme menjadi peghalang kepada kemajuan kreatif dan mungkin yang lebih penting menjadi  penghalang kemajuan dalam bidang kritikan. Kedua-dua bidang ini menjadi lumpuh kerana munculnya ocehan atau idle talk yang diberi nama teksdealisme, yang amat jelas tidak dapat melonjakkan Mana Sikana sendiri untuk mencipta karya unggul dalam bidang kreatif, jauh sekali dalam bidang kritikan atau dalam bidang akademik. Saya belum lagi bertemu karya Mana Sikana yang hebat, sama ada dalam bidang kreatif mahupun dalam bidang kritikan. Beliau memang banyak menulis, tetapi ibarat buih di laut, yang nampak terayun-ayun di tengah lautan, tetapi tidak berguna. Lebih baik jika yang hanyut itu sebiji kelapa, yang akan terdampar di suatu tempat yang ada tanah, yang tumbuh di situ dan memulai rumpun kelapa di situ. Kalau teksdealisme gagal untuk diri Mana Sikana sendiri, bagaimana idle talk yang dipanggil teksdealisme itu boleh membawa seseorang sasterawan mencipta keunggulan dalam berkarya? Semuanya hanya impian bullshit yang bertentangan dengan kemunculan karya yang kita lihat sama sekali tidak sampai ke tingkat unggul itu. Mana Sikana berkata, “Situasi sastera kita dalam keadaan lembap. ... Teori Teksdealisme ini diciptakan sebagai usaha pembinasaan kelembapan ke arah dinamika dan maju” (hal 92).  Yang perlu ditanyakan terlebih dahulu oleh Mana Sikana ialah mengapa sastera Melayu lembab? Tentu ada sebabnya. Apakah sebab-sebab itu? Mana Sikana tidak ada jawapan, kerana beliau selain tidak tahu, tidak pula ambil tahu secara serius. Baiklah saya beritahu beliau dan para pengikut beliau, sastera Melayu menjadi lembab kerana dikuasai seluruhnya oleh budaya pandirisme, yang boleh dijadikan kiasan sebagai keldai di kincir air, sudah berjalan beribu batu, tapi masih di tempat yang sama. Itulah bandingannya sastera Melayu itu masih cetek meraba-raba kerana terlalu terikat kepada teori luar, terutama teori Barat, yang anti-ilmu. Masalah kita ialah masalah ilmu, kerana orang seperti Mana Sikana menolak konsep ilmu yang dianggapnya tidak relevan dalam perkembangan kebudayaan tinggi. Ketika membentangkan kertas kerja tentang teksdealisme pada tahun 1994 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Mana Sikana  menulis menegaskan dalam kertas itu begini: “[Teksdealisme] melalui penyaringan Islam yang saya lakukan sendiri” (Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, DBP 1995, hal. 228). Dalam buku terbaru ini, Islam sudah hilang sama sekali, sebaliknya yang diagungkan ialah nilai-nilai pascamodenisme yang menolak agama. Adakah inilah ubat yang diperakukan oleh Mana Sikana untuk mengatasi kelembapan sastera Melayu sekarang?  Persis inilah mentaliti keldai di kincir air ... Sebenarnya apa sudah jadi dengan tokoh besar ini? Saya tidak bersetuju dengan sindir-ejek beberapa sarjana nakal yang berkata karya Mana Sikana lebih mendekati “tunggul” daripada “unggul.”  Tunggul-tunggul Gerigis adalah karya Shahnon Ahmad paling unggul menurut pertimbangan Mana Sikana, dengan itu membuktikan tunggul juga boleh menjadi unggul.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2/5/2015.