Tulisan ini hendaklah dibaca bersama tulisan bertarikh
24 Jun 2014, yang membicarakan penyelewengan kebudayaan dalam pemberian
anugerah sasterawan negara ini.
Projek Anugerah Sasterawan Negara yang dirancang dan
dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka oleh sekumpulan sasterawan untuk
faedah diri mereka dan teman-teman rapat mereka, kini sudah mula disedari
merupakan satu penyelewengan budaya yang memalukan dan merugikan kita semua.
Walaupun kita kini sudah mempunyai sejumlah sasterawan negara, namun belum lagi
wujud sebuah karya daripada mereka yang boleh dibanggakan dari segi kandungan
atau aspek ilmu. Kita sedar terdapat karya yang mendapat perhatian sarjana di
dalam dan luar negara, tetapi itu tidak bermakna karya itu bermutu tinggi dan
mempunyai kelebihan dari segi pemikiran dan keunggulan kreatif. Karya-karya itu
mendapat perhatian kerana terdapat anggapan bahawa itulah saja karya terbaik
daripada para sasterawan Malaysia, yang diwakili sepenuhnya oleh para
sasterawan negara. Anggapan begini tidak tepat, walaupun karya-karya terpilih
itu mendapat pujian. Kita harus sedar semua pujian itu berdasarkan ukuran yang
amat subjektif, tidak berasaskan konsep ilmu dan ciri-ciri tamadun yang
melahirkan para sasterawan itu. Sesuatu yang dibanggakan mestilah mempunyai
ciri-ciri positif dari segi nilai dan
moral dan konstruktif dari segi
pemikiran dan pendidikan. Analisis tentang karya para sasterawan negara ini
terlalu tepu dengan pujian yang tidak dibuktikan dan tidak dihujahkan dengan
mantap. Pujian bukanlah ukuran yang boleh dipakai untuk membuktikan karya itu
benar-benar bermutu, yang positif dan konstruktif seperti yang
dimaksudkan. Namakan sebuah novel yang
mempunyai pemikiran yang positif dan konsetuktif itu; atau sebuah sajak yang
boleh dijadikan sandaran dalam kehidupan yang tidak saja indah, tetapi
meninggalkan kesan makna yang mendalam dalam pembinaan peribadi manusia.
Jika kita boleh percaya pandangan dan penjelasan para
sarjana, nampaknya tiada seorang pun sasterawan negara itu yang boleh dipanggil
sebagai seorang pemikir. Supaya hakikat ini (yakni tentang pemikiran) tidak
terlalu ditekankan, maka terdapat usaha yang agak tersusun daripada sarjana
yang menyokong mereka untuk menolak aspek pemikiran ini sebagai ukuran yang
penting dalam penilaian kita terhadap
para sasterawan negara ini. Tetapi hal ini menimbulkan kontradiksi yang
terlalu jelas, setelah Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan seminar yang
istimewa untuk membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Pastilah
istilah pemikiran itu sudah diseleweng begitu rupa oleh para sarjana sendiri
untuk mempertahankan kedudukan istimewa para saterawan negara ini. Berapa
jeniskah makna pemikiran dalam kajian para sarjana ini? Nampaknya tiada seorang
pun di antara mereka yang sanggup menjelaskan perkara ini, membuktikan betapa
kaburnya istilah “pemikiran” itu di kalangan para sarjana sendiri. Jika keputusan mereka “pemikiran” tidak
penting dalam sastera, kerana sasterawan bukan ahli fikir apatah lagi ahli
falsafah, maka di mana duduknya keistimewaan para sasterawan negara ini? Dalam
hal ini, dua perkara yang perlu dijelaskan. Jika pemikiran tidak penting dalam
kesusasteraan, maka apakah yang penting? Kreativiti? Estetik? Dalam
perbincangan yang sering dilakukan dalam kritikan sastera Barat yang ditiru
oleh para sarjana kita, kreativiti dikaitkan dengan ciri genius seorang
pengarang; manakala estetik pula dikaitkan dengan keistimewaan bersifat
peribadi sang pengarang yang dapat menyerlahkan sesuatu yang khusus dalam aspek
ini, yang membuat karyanya berbeza daripada karya sebelumnya. Kedua-dua perkara
ini memerlukan originaliti yang tinggi, bukan hanya peniruan seperti yang
dilakukan oleh para sasterawan negara. Kedua, jika pemikiran itu sebati dalam karya
seorang sasterawan, maka mengapa pula apabila dianalisis, yang dikatakan
pemikiran itu kosong? Padahal dengan menggunakan begitu banyak “teori” dari
Barat, seorang sasterawan negara ditunjukkan mempunyai begitu luas bidang
persoalan atau tema yang disentuh dalam karyanya. Ini menunjukkan, melalui
teori tertentu, seolah-olah boleh dikesan begitu banyak bidang dan aspek
tertentu kononnya dapat diserlahkan yang terdapat di dalam karya itu. Bagaimana
pula bila sampai kepada aspek pemikiran, kita tidak boleh membuat analisis yang
jelas? Sepatutnya, jika benarlah andaian para sarjana ini bahawa pemikiran itu
sebati dalam karya sastera, dengan itu salah satu keistimewaan para sasterawan
negara ini ialah aspek pemikirannya, maka bagaimana terdapat sarjana (yang
bergelar profesor, yang tentulah kepakarannya tidak boleh diremehkan) yang
mengatakan tiada pemikiran dalam karya para sasterawan negara ini? Jika ini
benar, maka ternyata Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan mengadakan seminar
pemikiran para sasterawan negara, seolah-olah telah berusaha memberi gambaran
yang salah tentang kualiti “pemikiran” para sasterawan negara ini. Atau, para
sarjana yang menolak adanya pemikiran
itulah yang salah dan silap.
Semua keraguan ini menjurus kepada satu kesimpulan
yang amat jelas, yakni para sasterawan negara ini tidak terdiri daripada
kumpulan yang layak diberi kedudukan yang diberikan kepada mereka sekarang,
kerana kehadiran mereka hanyalah sebagai tukang cerita (penglipur lara)
semata-mata, dan sebagai pencerita pun mereka bukanlah pencerita yang
mengasyikkan. Semua persoalan atau masalah ini boleh diselesaikan jika setiap
sasterawan negara ini dianalisis daripada perspektif ilmu yang mereka wacanakan
dalam karya mereka, di samping cerita yang mereka kemukakan. Tetapi inilah yang
belum lagi dilakukan dengan sistematik, malah terdapat bangkangan yang hebat
supaya kaedah ini tidak digunakan supaya sasterawan negara dapat dilindungi
daripada dikenakan kaedah kritikan yang tegas dan objektif. Ini pun satu
penyelewengan ilmu yang amat ketara, yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan
sarjana yang selalu dimegahkan sebagai penyampai “ilmu” kepada pelajar di
universiti dan dalam masyarakat. Tidak ada sebab sama sekali untuk melindungi
para sasterawan negara ini daripada
dinilai dengan sehabis kritis berasaskan konsep ilmu yang terdapat dalam karya
mereka. Larangan ini adalah satu kecacatan yang tidak seharusnya dipertahankan.
Para sasterawan negara ini tidak hanya dibenarkan
dinilai daripada segala “teori” Barat semata-mata; kerana sikap itu berupa satu
pengakuan yang dengan sengaja menyempitkan penilaian terhadap mereka. Sikap ini
tidak saja bertentangan dengan keperluan akademik, tetapi juga boleh dianggap
tidak bermoral kerana menganggap para sasterawan negara ini seolah-olah gologan
Brahmin yang hanya layak dipuji, bukan diberi penilaian yang objektif dan
kritis.
Masalah yang dibincangkan di sini berkaitan rapat
dengan kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara memberi penilaian yang benar-benar
objektif dan tepat terhadap karya para sasterawan negara ini. Mereka tidak
berbuat demikian kerana mereka hanya menggunakan ukuran common sense yang tidak berasaskan ilmu. Saya telah bincang aspek
ini dalam banyak tulisan, oleh itu sesiapa yang inginkan penjelasan lanjut
bolehlah rujuk tulisan-tulisan itu. Anda juga perlu membaca dengan kritis semua
laporan Panel Anugerah Sastera Negara sebelum anda menilai dengan objektif
pandangan para pengkritik Panel ini. Anda juga perlu membaca kumpulan kertas
kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara untuk mendapat
sedikit gambaran tentang konsep “pemikiran” yang digunakan di dalam kertas
kerja itu, yang tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Panel amat memerlukan
sokongan para sarjana untuk mempertahankan penilaian mereka, oleh itu para
sarjana dan pengkritik sastera yang menyebelahi Panel haruslah bermurah hati
menghujahkan sokongan mereka di samping memberi pandangan akademik mereka
terhadap kritikan ke atas Panel. Hanya dengan berbuat begini saja kedudukan
sasterawan negara dan kewibawaan Panel dapat dipertahankan.
Pada umumnya Panel tidak memberikan arah yang jelas
dalam kritikan dan penilaian karya sastera, dan kegagalan ini menimbulkan
kepincangan akademik yang tidak boleh dimaafkan mengingat bahawa anggota Panel
terdiri daripada para ahli akademik pilihan, mungkin yang terbaik yang terdapat
di Malaysia. Bahawa mereka tidak menunjukkan kemampuan intelektual dan
kemampuan akademik mereka yang tidak boleh diragui adalah suatu misteri, satu
keanehan yang memerlukan penjelasan. Kita juga perlu mendapat penjelasan
mengapa penyusun buku sejarah kritikan sastera (oleh Prof. Hashim Awang dan dua
orang lagi) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mengetepikan laporan
Panel, seolah-olah laporan itu tidak bermutu langsung dan tidak penting dalam
perkembangan kritikan di Malaysia. Tetapi yang terpenting ialah kritikan Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas (dalam syarahan pengukuhan beliau, 1972) terhadap
para sasterawan (termasuk para sasterawan negara) sebagai golongan pinggiran
yang “cetek merab-raba”. Bagaimana kita
boleh memberi kedudukan begitu istimewa kepada para sasterawan negara ini jika
mereka adalah gologan pinggiran yang cetek meraba-raba? Ini pun memerlukan
penjelasan. Sehingga sekarang kesimpulan
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas belum lagi disanggah secara akademik, oleh
itu pemilihan para sasterawan negara yang dimulai 1981 (selepas 10 tahun
kritikan itu dikemukakan) adalah suatu penyelewengan kebudayaan yang memalukan
kita semua. Ini pun perlukan penjelasan juga.
Semakin cepat kita betulkan kesilapan dan penyelewengan ini, semakin
baik untuk kita, semakin terjaga maruah kita. Mempertahankan maruah akademik
adalah salah satu tugas penting para sarjana. Jika ini tidak dilakukan, mereka
hanya sarjana ciritan yang diselokakan dalam Balai Maqamat.
Mohd. Affandi Hassan,
2 Julai 2014.