Perlukah teori sastera Barat
dicabar? Bagi Panel Anugerah Sastera Negara, teori sastera Barat tidak perlu
dicabar, dan memang tidak boleh dicabar kerana kekuatan akademik (?) yang
dimilikinya. Adakah pandangan Panel
Anugerah Sastera Negara (seterusnya PASN) ini berasaskan penelitian akademik
yang cermat dan benar-benar kritis? Sebenarnya tidak. PASN hanya mengandaikan
bahawa teori sastera Barat adalah yang terbaik dan telah terbukti dari laporan
PASN sendiri bahawa tanpa teori sastera Barat, para sasterawan negara tidak
mungkin terpilih kerana tidak ada teori lain yang boleh digunakan selain dari
teori Barat untuk menilai para sasterawan ini.
Dalam konteks yang dipakai oleh PASN, kesimpulan ini tepat sekali.
Memang betul tidak seorang pun di antara sasterawan negara itu akan menyerlah
tanpa bantuan dan ukuran yang diberikan oleh teori sastera Barat. Anda hanya perlu membaca laporan PASN untuk
melihat betapa eratnya para sasterawan negara ini bergantung pada teori sastera
Barat. Oleh sebab perkara ini telah dibincang dengan mendalam oleh Prof. Ungku
Maimunah dalam tulisannya, dan oleh saya sendiri sama ada melalui blog ini atau
melalui kertas kerja dan rencana yang saya tulis, maka tidak perlulah diulang
hujah-hujah yang telah dikemukakan. Cukup dengan merujuk, antara lain, kuliah
MASTERA Prof. Ungku Maimunah, syarahan perdana beliau, dan berbagai-bagai
kertas kerja yang beliau bentangkan dalam seminar dan sebagainya. Antara lain, perkara paling penting yang
dihuraikan dan dinilai dengan kritis oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya
ialah mengenai makna dan peranan konsep realisme dalam sastera Melayu. Inilah
kunci yang boleh digunakan oleh sesiapa saja yang ingin memahami apakah
sebenarnya faham sastera moden yang menjadi asas pembinaan sastera Melayu
moden. Dan kunci inilah juga yang boleh digunakan untuk mencabar teori sastera
Barat yang menjadi tempat bergantung para sarjana dan sasterawan Malaysia.
Apakah yang akan terjadi jika
kunci itu dilempar ke dalam laut? Para sasterawan dan para sarjana sastera akan
terpinga-pinga, menjerit ketakutan kerana dengan tiba-tiba mereka menjadi bisu,
tidak boleh berbicara tentang sastera lagi. Jika anda tidak percaya dan tidak
yakin, silalah baca huraian Prof. Ungku Maimunah dalam rencana panjang beliau
yang dimuat dalam buku suntingannya, Kedudukan
Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Di situ diberi senarai dan penjelasan tidak
kurang dari 22 jenis teori sastera Barat yang dikenali dan dipakai oleh para
sasterawan dan sarjana sastera Malaysia. Tidakkah ini suatu bukti yang amat
jelas betapa kuatnya ketergantungan para sasterawan dan sarjana kepada teori
sastera Barat? Anda mungkin akan bertanya,
sama ada dengan sinis atau marah terpulang kepada pembawaan peribadi anda
sendiri, apa salahnya digunakan teori Barat jika dengan teori itu kita sudah
berjaya membina sastera Melayu moden yang bertaraf dunia? Tetapi perkara ini tidak disedari oleh Prof.
Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menyesal dia sendiri pun telah melakukan kesalahan
dalam penilaiannya menggunakan teori sastera Barat; atau Prof. Dr. Zawiah Yahya
yang mahu menghumbankan saja teori sastera Barat itu, tanpa memberi pilihan
teori apa yang boleh digunakan. Jelas di
sini terdapat kekeliruan yang luar biasa; maka dengan itulah mereka ini perlu
dibantu supaya tidak terus keliru. Jadi jelaslah teori Barat ini perlu dan
wajar dicabar. Maka muncullah gagasan Persuratan Baru untuk melancarkan cabaran
itu. Di sinilah terjadi satu perkara yang amat pelik, tetapi benar: Hampir
seluruh para sasterawan dan sarjana sastera bangkit mempertahankan teori Barat,
lalu mengutuk gagasan Persuratan Baru sebagai “pengacau” dalam sastera Melayu
moden. Berasaskan sikap ini saja pun
sudah cukup untuk kita membuat kesimpulan bahawa teori Barat memang perlu
dicabar, supaya para sasterawan dan sarjana sastera sedar dari kekeliruan
mereka yang kini nampaknya menjadi kebanggaan mereka. Tidakkah lucu apabila mereka bangkit
mempertahankan sesuatu yang dulunya mereka anggap tidak sesuai dengan nilai dan
budaya Melayu? Apakah sebenarnya yang terjadi?
Sekali lagi: Apakah sebenarnya
yang terjadi? Jawapannya diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya,
Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu
(1972). Di situ ditegaskan oleh beliau bahawa kumpulan sasterawan dan
sarjana sastera Melayu moden itu terdiri daripada kumpulan pinggiran yang
terputus hubungan dengan tradisi Melayu dan cetek pula dalam memahami tradisi
Barat. Mereka adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Tesis dan cabaran beliau tidak disambut oleh
mana-mana sarjana dan sasterawan Melayu, tidak juga oleh para sasterawan
negara. Malah dalam buku sejarah kritikan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka (Sejarah Kesusasteraan Melayu
Moden: Esei Kritikan (2003) yang ditulis bersama oleh Prof. Dr. Hashim
Awang, Dr. Ahmad Kamal Abdullah (atau Kemala) dan dua orang lagi pegawai Dewan
Bahasa dan Pustaka, kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu tidak
pernah disanggah, dengan itu terbukti kesimpulan itu diterima oleh mereka
sebagai tepat mencerminkan kedudukan sebenar kesusasteraan Melayu moden dalam
sejarah dan kebudayaan Melayu. Para
sasterawan dan sarjana menerima kesimpulan itu sebagai tepat; inilah asas sikap
mereka mempertahankan pengaruh Barat itu, walaupun pada mulanya mereka berkata
pengaruh Barat itu tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam yang menjadi asas
tamadun Melayu. Walaupun mereka menerima dan menyokong kehadiran pengaruh teori
sastera Barat itu, namun kefahaman mereka tidak mendalam, seperti terbukti
daripada tulisan “ilmiah” mereka menggunakan “teori” Barat itu. Dua contoh yang
paling menonjol diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya, “Pemertabatan
‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu”
(Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI/SAKM XI, 7-8 Disember 2011), satu
lagi, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh
Azizi Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara” (Simposium
Kebudayaan Indonesia-Melayu XII/SKIM XII, 29-30 November 2011). Dalam kertas
kedua, dibuktikan dengan meyakinkan betapa kefahaman tentang feminisme begitu
cetek, keliru dan bercelaru sehingga sarjana yang menggunakannya untuk menilai
novel Harga Sebuah Maruah itu
berakhir dengan sebuah kritikan mantra,
yang bombastik bahasanya tetapi amat kerdil isinya, yang diperkenalkan oleh
Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, seorang sarjana yang diakui seorang pakar
feminisme di Malaysia. Contoh ini
memperlihatkan dengan amat jelas betapa kelirunya teori Barat jika digunakan
dengan begitu literal dan simplistik, dengan itu penilaian yang dibuat dengan begitu bombastik tadi hanya indah
khabar dari rupa, Much Ado About Nothing
(menurut kesimpulan Prof. Ungku Maimunah).
Dalam kertas kerja pertama,
Prof. Ungku Maimunah mengutip beberapa pendapat oleh Azizi Hj. Abdullah dan
Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara, tentang realisme yang difahami mereka. Jelas
sekali dari pendapat mereka sendiri betapa naifnya kefahaman mereka tentang
realisme, dan dengan amat naif pula mereka mendakwa bahawa mereka telah
melukiskan realisme itu seperti yang terdapat dalam masyarakt, padahal lebih
tepat jika dikatakan mereka sebenarnya hanya melukiskan secara yang amat kasar
(crude) gejala maksiat dalam
masyarakat. Lihat contoh-contoh ini yang
diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalah makalahnya: (bercerita tentang pengalamanya, kata Azizi
Haji Abdullah): (1) “Pada masa itu
(1960-an) karya kreatif berunsur lucah sering tersiar. ... Saya cuma nampak
dunia kejahatan saja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis.
(2) Apabila dunia penulisan menjadi
perkara nombor satu, saya berasa perlu tahu apa yang saya tidak tahu. Salah
satunya ialah dunia pelacuran. (3) Bagi saya ketika itu, dunia penulisan ialah
dunia yang penuh dengan kekotoran yang perlu dibongkar kepada umum. Bagi saya
ilham hanyalah boleh diangkat dari tempat kotor termasuk di dalam tandas. (4) Malangnya, saya tidak pernah terfikir
ketika itu perlunya seorang penulis berada di masjid. (5) Ini bukan salah saya. Yang salah ialah
karya dan penulisan lain yang mendedahkan dan menelanjangkan semua ini sehingga
memberi keyakinan bahawa jika hendak menjadi penulis, dunia seperti inilah yang
perlu dikecimpung.” (Semua kutipan diambil daripada buku Kuras-kuras Kreatif (DBP, 2007).
Bandingkan pandangan ini dengan
pandangan Shahnon Ahmad sebagai seorang sasterawan negara, yang diucapkannya
sewaktu beliau sudah diangkat menjadi sasterawan negara: “TIVI,
sekadar yang boleh, cuba mematuhi acuan ini (Quran, 16: 26). Sepanjang
perjalanan kisahnya, kecuali detik terakhir bila mana leraian dalam bentuk azab
yang digeruni tiba, digelumangi dengan maksiat yang melampaui batasan kerana
sememangnya manusia bila berada dalam kealpaan dan keingkaran nikmat Allah
serta pula menyombong diri, pasti melakukan kepelampauan melayani nafsu
kebinatangannya sehinggalah mereka dimusnahkan oleh Allah. Bukankah realiti masyarakat kita sekarang ini
sedemikian rupa? Banyak yang sudah melampaui batas dalam persoalan melayani
nafsu yang sememangnya tidak pernah puas terlayan pun sampai bila-bila. Dalam
kealpaan, mereka ingkari nikmat Allah. Mereka menyombong diri. Dan mereka
bergelumang dalam babak-babak yang umumnya diterima sebagai lucah, erotika, dan
pornografi.”
“Jangan marahkan saya kalau
terasa kelucahannya, terasa erotikanya, terasa pornografinya kerana saya hanya
mematuhi tuntutan realiti masyarakat dalam berkarya. Saya tidak boleh berbohong
dan cuba mengajak pembaca dari realiti masyarakat. [Ayat ini bingung sedikit, maksudnya begini:
Saya tidak boleh berbohong dengan
mengajak pembaca lari dari realiti
masyarkat yang memang sukakan maksiat dan
tenggelam dalam maksiat. Saya cuba mengajak pembaca memahami realiti masyarakat.]
Kelucahan, erotika dan pornografi itu adalah real (huruf condong oleh Shahnon Ahmad sendiri); malah sudah pun
melampaui batasannya di luar duga.” (Dewan
Sastera, Oktober 1997, hal. 43, kolum 1).
Dua perkara perlu diberi
perhatian: pertama, Shahnon Ahmad mendakwa beliau telah menyempurnakan tuntutan
al-Quran dengan menulis sebuah novel lucah dan picisan; ini jelas menunjukkan
betapa naifnya sasterawan negara ini menafsirkan ayat-ayat al-Quran, terutama
sekali maksud dan tujuan kisah-kisah dalam al-Quran. Tafsiranya begitu literal,
dangkal, dan mengelirukan. Ini terjadi
kerana konteks kisah-kisah al-Quran itu tidak difikirkan dengan mendalam dan
diberi konteksnya yang dimaksudkan. Adalah amat malang apabila Shahnon Ahmad
menjadikan al-Qruan sebagai hujah untuk menulis kisah lucah dan picisan, dengan
itu merendahkan martabat al-Quran yang disalah tafsir. Pandangan sebegini naif
sepatutnya tidak lahir daripada seorang sasterawan negara. Kedua, kefahaman Shahnon Ahmad tentang makna
dan maksud realiti adalah totok seperti yang difahami oleh para penulis Barat;
malah beliau begitu naif sekali meletakkan realiti sebagai hanya kejahatan.
Adakah maksud beliau kebaikan dan
kesopanan bukan suatu realiti dalam kehidupan manusia? Adakah suatu realiti yang tidak dapat
disangkal bahawa para sasterawan Melayu, seperti yang ditunjukkan oleh Azizi
Haji Abdullah dalam kutipan di atas,
memang gemarkan unsur-unsur masyarakat yang bersifat picisan, erotik,
lucah dan segala macam keburukan untuk memudahkan mereka menulis karya sensasi,
lucah dan picisan? Sebenarnya inilah
kesimpulan yang paling tepat mencirikan faham sastera yang dianuti oleh para
sasterawan ini. Dan ini dibuktikan dengan amat jelas dalam seluruh laporan
Panel Anugerah Sastera Negara yang menerima realiti palsu anutan Shahnon Ahmad
itu sebagai asas kreatif yang telah melahirkan karya bermutu yang layak diberi
kedudukan sebagai karya bermutu dan penulisnya layak diberi gelaran Sasterawan
Negara.
Betapa naifnya faham sastera
berasaskan realisme Barat ini boleh dilihat dalam kesimpulan Shahnon Ahmad
dalam rencananya: “Bagi saya TIVI
bukanlah sebuah novelet yang layak dilucahi tapi tentunya sangat layak
digeruni. Dalam kegerunan azab Allah
itulah tersebatinya unsur tarbiah, unsur jihad dan unsur sufistik dalam TIVI.”
(kolum 3). Apakah unsur jihad,
unsur tarbiah, unsur sufistik dalam sebuah karya lucah dan picisan yang
menceritakan dengan sombong, angkuh dan
biadab persetubuhan seorang bapa dengan anak-anak perempuannya dan kelakuan
biadab tokoh utamanya? Hanya faham realisme Barat saja yang boleh menerima
kesimpulan Shahnon Ahmad yang bertentangan dengan realiti ilmu yang benar yang menolak kepalsuan kesimpulan Shahnon
Ahmad ini.
Demikianlah betapa pentingnya
teori sastera dan faham realisme Barat dicabar secara ilmiah. Inilah yang
dilakukan oleh gagasan Persuratan Baru. Dalam konteks inilah, seperti yang
ditunjukkan oleh Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah, kesusasteraan Melayu
moden itu membawa nilai palsu yang
bertentangan dengan nilai-nilai yang pernah dibangunkan dalam tamadun
Melayu melalui persuratan Melayu berteraskan pandangan hidup Islam.
Kesusasteraan Melayu moden, seperti yang dicontohkan oleh Azizi Hj. Abdullah
dan Shahnon Ahmad (dua orang tokoh yang banyak sekali menerima hadiah sastera),
adalah kesusasteraan Barat yang ditulis dalam bahasa Melayu, yang mencerminkan
sepenuhnya nilai-nilai Barat dan hanya layak diberi sanjungan dalam konteks
teori sastera Barat. Jika itulah pilihan para sasterawan dan para sarjana dan
penilai, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam
laporan mereka, maka teori dan nilai sastera Barat yang dianuti oleh para
sasterawan dan sarjana sastera itu perlu dicabar kesahihannya. Inilah tugas besar penulis dan pengarang
Malaysia abad 21.
Mohd. Affandi Hassan,
9 Mac 2012.