Sebuah novel dan gambar penulisnya telah dibakar oleh sekumpulan kira-kira 100 orang penganut Hindu keturunan India kerana di dalam novel itu terdapat perkataan “paria” dan orang India yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk menjadi kuli di ladang-ladang dan di Kereta api Tanah Melayu dikatakan berasal daripada kasta “pariah”. Menurut mereka, tak seorang pun orang India berketuruan Hindu itu dari kasta paria, kerana memang tidak ada kasta dalam ajaran Hindu. Tidak terdapat kasta dalam RigVeda, malah para ahli sejarah berkata perkataan kasta (caste) itu sendiri berasal daripada bahasa Pertugis, bukan perkataan Sanskrit dan tidak pula satu konsep Hindu. (Sila baca buku Cultural Background of the Peoples of Malaya, diterbitkan oleh Perak Publishing House, Ipoh, 1960. Ditulis oleh Neoh Thean Chye). Tetapi terdapat golongan Brahmin, daripada kasta Brahman, yakni kasta tinggi yang menjadi pendeta dalam agama Hindu. Inilah kasta yang dimasukkan oleh Inggeris ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli di ladang-ladang getah, di stesen kereta api dan lain-lain. Sebagai golongan Brahmin, mereka giat membina kuil untuk kegunaan golongan Brahmin ini. Mereka membina kuil itu di mana-mana saja mereka berada, di dalam kawasan mana sekali pun, tanpa mengambil-kira aspek undang-undang dan hak milik tanah yang mereka jadikan tapak kuil itu. Ini terjadi kerana dewa-dewa mereka berada di mana-mana dan berhak disembah di mana-mana saja tanpa batasan hak milik. Golongan Brahmin inilah yang menyatu-padukan penganut kepercayaan Hindu. Pada umumnya ahli-ahli sejarah berpendapat tidak ada “agama” Hindu; malah bagi mereka lebih tepat dikatakan “kepercayaan” Hindu berasaskan dongeng dewa-dewa yang dipercayai oleh penganut Hindu. Mereka tidak mempunyai kitab suci, tetapi mempunyai sekumpulan cerita yang dituturkan zaman berzaman. Itulah asas kepercayaan mereka.
Jika kita memahami pendirian mereka tentang perkara ini, maka kita tidak berasa terkejut apabila mereka sangat marah dikatakan keturunan paria yang hidup susah di India zaman kolonial dahulu dan bersedia dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk dijadikan kuli. Mereka dapati orang Inggeris memberikan kebebasan penuh untuk mereka membina kuil di mana saja yang mereka mahu. Inilah tabiat yang masih mereka lakukan hingga ke hari ini, dan ini menimbulkan konflik kerana masyarakat Malaysia moden diajar mematuhi undang-undang dan mengiktiraf hak milik tanah, oleh itu tidak dibenarkan lagi kesewenangan membina kuil di mana-mana saja yang mereka mahu. Tamadun yang dibawa oleh para Brahmin ini tidak mengiktiraf hak tersebut, oleh itu seorang sasterawan Melayu yang menulis novel yang mereka tidak suka boleh dikutuk, dibakar bukunya dan gambar pengarang buku itu. Orang Melayu menjadi marah kerana mereka mepunyai nilai-nilai tamadun yang berbeza daripada nilai-nilai Hindu yang tidak menghormati kumpulan yang dianggap berbeza daripada mereka. Bagi orang Hindu daripada kasta Brahmin, mereka adalah kumpulan manusia yang paling mulia, oleh itu berhak menghina golongan bukan Brahmin, yakni yang tidak beragama Hindu. Untuk memahami aspek ini, sila rujuk rencana menarik oleh Prof. P. T. Raju, “The Concept of Man in Indian Thought” (dalam buku suntingan S. Radhakrishnan dan P.T. Raju, The Concept of Man, George Allen @ Unwin Ltd., 1960).
Dilihat daripada perspektif ini, Tanah Melayu sangat beruntung menerima golongan kasta Brahmin yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk menjadi kuli itu. Di Tanah Melayu, kumpulan ini mendapat tempat yang sangat baik, dengan itu mereka mendapat peluang untuk menjadi golongan terpelajar dengan mudah melalui penggunaan bahasa Inggeris. Mereka menjadi ahli-ahli profesional yang banyak membantu memajukan Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Mereka menjadi peguam, doktor, profesor dan guru-guru sekolah menengah, guru-guru besar, ahli-ahli politik yang berpengaruh dan banyak berjasa kepada rakyat mereka sendiri. Semua ini membuktikan mereka bukanlah golongan kasta pariah, tetapi semuanya dari kasta Brahmin yang sangat tinggi daya inteleknya dan cukup fasih berbahasa Inggris sehingga membolehkan mereka menjadi golongan terpelajar yang berpengaruh di Tanah Melayu. Mereka tidak menggemari bahasa Melayu, yang mereka anggap sebagai bahasa paria yang diucapkan oleh orang Melayu yang tidak berpendidikan dan rendah daya inteleknya. Amat jarang kita bertemu seorang Hindu Brahmin yang berpengaruh di Tanah Melayu boleh berbahasa Melayu dengan baik, apatah lagi fasih. Bagaimana bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa paria oleh golongan Brahmin yang tinggi statusnya itu perlu dikaji oleh para ahli bahasa. Di Melaka, golongan chettiar yang dahulunya menggunakan bahasa Melayu sebelum merdeka, kini menggunakan bahasa Tamil selepas merdeka, setelah timbul kesedaran peri rendahnya kedudukan bahasa Melayu di kalangan orang Melayu sendiri, terutama di kalangan ahli-ahli politik dari UMNO. Di sini nampaknya terjadi satu kontradiksi: walaupun tidak ada golongan paria di kalangan penganut Hindu, namun di kalangan masyarakat tempatan terdapat golongan paria itu pada pandangan kumpulan Hindu Brahmin ini, yang digambarkan dengan jelas dalam pemakaian bahasa Melayu yang mereka cemuh itu, sebagai bahasa bertaraf rendah untuk golongan hamba sahaja. Sebenarnya orang Melayu sangat bangga menjadi golongan hamba, oleh itu dalam bahasa mereka terdapat bahasa halus untuk golongan atasan, dan bahasa kasar tidak bertamadun untuk golongan hamba ini. Kemuncak daripada perkembangan ini ialah penyingkiran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamed, yang ketika berkuasa sebagai Perdana Menteri (selama 22 tahun) telah berjaya meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan sains dan teknologi, dikenal dengan projek PPSMI (tidak perlu dijelaskan). Dalam pandangan pemimpin UMNO yang terkenal ini, orang Melayu adalah bangsa haprak, dan bahasa Melayu adalah termasuk bahasa haprak yang tidak layak diangkat tarafnya menjadi bahasa ilmu. Projek ini mendapat sokongan dan tentangan, daripada orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi akhirnya disesuaikan dengan nama baru khusus untuk “memperkasa” bahasa Inggeris sambil “memertabat” bahasa Melayu. Silap besar jika ada orang menganggap PPSMI dihapuskan, hanya ditukar nama, tetapi semangatnya masih kekal. (Sebagai perbandingan: Hosni Mubarak telah lepaskan jawatan atas desakan berjuta rakyat Mesir yang menunjuk perasaan selama 18 hari; tetapi Mesir masih diperintah oleh kerajaan yang dilantiknya!).
Kehebatan Hindu Brahmin ini diabadikan dalam kebudayaan Melayu melalui pengaruh budaya Dravidian yang dibawa oleh Hindu Brahmin dari India ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli Inggeris. Nilai Dravidian yang paling utama yang dipegang oleh orang Melayu ialah kegemaran kepada pesta, hiburan, dan segala jenis maksiat yang diperindah dengan nama-nama baru yang menarik keinginan hawa nafsu. Sebagai contoh, RTM memperkenalkan banyak jenis hiburan, pesta dan maksiat yang dijadikan program kegemaran penonton TV. Kementerian yang menguasai RTM memperkenalkan pesta hari raya, hari deepavali, perayaan tahun baru Cina, hari Krismas dan lain-lain, yang telah disetarafkan dan disama-ratakan. Dengan itu orang Islam tidak lagi berasa tersinggung untuk ikut serta dalam perayaan keagamaan kumpulan yang dari segi Islam jelas berasaskan ajaran syirik. Walaupun syirik itu masih diketahui oleh Melayu Islam sebagai dosa besar, tetapi membesarkan hari-hari perayaan golongan syirik itu tidak dianggap syirik. Demikian tumpulnya konsep syirik itu setelah Melayu terpengaruh dengan nilai-nilai Dravidian yang gemarkan hiburan dan pesta itu. Pengaruh Dravidian yang gemarkan hiburan itu dijadikan budaya oleh kerajaan Malaysia melalui TV, oleh itu kita dapati kira-kira 80% program TV bersifat hiburan yang tidak mempunyai isi yang bersifat ilmu, program hiburan yang mengangkat kebiadaban ke taraf paling tinggi, misalnya dengan menayangkan drama-drama bercorak hantu, drama-drama yang seluruhnya hedonistik (anda mesti faham istilah ini untuk melihat betapa jahatnya program yang ditayangkan di TV kita). Jika terdapat sedikit kebaikan, maka hal itu disodorkan kepada penonton dalam bentuk propaganda yang cukup rendah kualitinya, misalnya slogan-slogan yang diulang setiap minit untuk mengkhayalkan penonton (boleh cari sendiri contoh-contohnya, mudah dikesan kerana terlalu banyak). Kerana telah dibudayakan begitu rupa, unsur Dravidian dalam kehidupan dan kebudayaan Melayu telah diterima dan dipertahankan. Oleh itu, ada orang yang akan berasa aneh apabila diberitahu mereka bahawa para sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera adalah di antara kumpulan manusia yang memperjuangkan unsur Dravidian ini dalam kesusasteraan Melayu moden, misalnya dengan melantik sekumpulan Brahmin sastera yang mereka gelar Sasterawan Negara. Golongan Brahmin sastera ini tidak boleh dikritik, kerana menurut mereka telah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong sendiri, dengan itu kata mereka sesiapa juga yang mengkritik dan tidak bersetuju dengan pilihan itu adalah menghina Agong, menderhaka, dan bertindak biadab. Karya para Brahmin sastera yang digelar Sasterawan Negara ini semuanya bernilai tinggi, menjadi kanun dalam sistem sastera Melayu moden. Selama lebih dari 30 tahun Anggota Panel Anugerah Sastera Negara menggunakan faham Dravidian ini untuk mengukuhkan kehadiran para Brahmin Sastera ini. Apakah ajaran para Brahmin Sastera ini? Menurut analisis Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, para Brahmin Sastera ini pada umumnya membina budaya hedonistik berasaskan ajaran Dravidian yang mementingkan hiburan, keseronokan, khayalan dan yang sejenis dengan nilai-nilai itu. Untuk membuktikan betapa pentingnya ajaran Dravidian ini, kita lihat dalam buku Dr. Zawiah Yahya, Reading Approaches in Malay Literature (2010), ada disebut usaha seorang sarjana dari Universiti Sains Malaysia untuk memperkenalkan kononnya sebuah “teori” baru yang dipanggil “rasa-phenomenologi”, yang akhirnya melihat karya sastera untuk mencapai “sensual joy or pleasure” (hal. 27). Pembikin “teori” ini mengaku bahawa beliau menggunakan ajaran Dravidian (walaupun tidak disebut secara khusus) dan nilai-nilai Barat. Pelik, tetapi benar! (Inilah kesan pengaruh Dravidian yang tidak disedari kerana mentaliti Dravidian tidak kritis dan tidak tahu memlilih yang terbaik, seperti yang diajarkan dalam konsep taklif yang di dalamnya terdapat tiga rahsia: ilmu pengetahuah, keadilan, usaha ikhtiar.) Karya-karya A. Samad Said telah dihuraikan dengan berjaya (??) menggunakan pendekatan Dravidian ciptaan sarjana ini. Apakah maksud “berjaya” dalam konteks ini? Maksudnya, karya A. Samad Said seperti Salina telah berjaya memikat sensual pleasure (keseronokan hawa nafsu) yang “tinggi mutunya” dan telah diakui demikian oleh para sarjana antarabangsa, antaranya Prof. Teuuw dari Belanda. Jika kesimpulan ini betul, maka kita bolehlah berkata dengan agak yakin bahawa sastera Melayu moden adalah gambaran pengaruh Dravidian dalam budaya Melayu, dan pengaruh Dravidian ini telah diterima sebagai nilai-nilai unggul dalam sastera Melayu moden, telah dijadikan aliran arus perdana dan mesti diterima oleh semua manusia kerana telah dititahkan begitu oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Inilah pendirian badan penulis seperti PENA.
Kehebatan pengaruh Dravidian ini disimpulkan begini oleh Neoh Thean Chye dalam bukunya: “We cannot do better than conclude this chapter with the words of Profsessor Majumdar. ‘For nearly fifteen hundred years, and down to a period when the Hindus had lost their independence in their own home, Hindu Kings were ruling over Indo-China and the numerous islands of the Indian Archipelago, from Sumatra to New Guinea. Indian religion, Indian culture, Indian laws and Indian government moulded the lives of the primitive races all over this wide region, and they imbibed a more elevated moral spirit and a higher intellectual taste through the religion, art and literature of India. In short, the people were lifted to a higher plane of civilisation. A greater India was established by a gentle fusion of races, which richly endowed the original inhabitants with the spiritual heritage of India.’
What better proof do we need than to know that the early Indian immigrants enriched the existing language of people by adding a wealth of Sanskrit words to them. In Malaya, to name a few: religion (agama); a plough (tenggala); time (kali, masa). And from Tamil we have kapal (ship), kedai (shop); gedung (warehouse); perahu (boat); peti (box). Many other words used in Malayan trade show the influence of Tamil merchants and sailors in this country in ancient times. And yet in our time the Tamils have been associated in the Malayan mind chiefly with immigrants of the labouring class, but let us remember that the ties between the Malay race and the Tamil race go back fifteen hundred years or more, when the Tamils were the most powerful and most highly civilised element of Dravidian India.
The Indians settled down in the country in the sense of pioneers. They were never colonial groups of foreigners with their loyalty to and deriving their authority from their country of origin. Wherever they went, apart from their religion and custom, their songs and dances go with them. Hence the dances and songs which Indonesians perform and sing to celebrate festivals, etc. have a Hindu background and often illustrate the Hindu epics - the Ramayana and the Mahabharata. Similarly of the customs associated with marriage and death have their origin in Hindu society. The wedding clothes of an Indonesian Muslim bride are similar to those of a Hindu girl. When an Indonesian Muslim dies, a pot of incense is kept burning near the bed on which the deceased lies, just as in the case of a Hindu. And at a Perak coronation, ‘it is the hereditary court functionary, the Sri Naradiraja, claiming descent from the vomit of Siva’s bull, Nandi, who proclaims the royal title. He whispers to the new ruler the Hindu name of the founder of his dynasty, just as a Brahmin whispers into the ear of his pupil the name of the god who is to be the child’s special proctector through life.’ The explanation is that when Islam asserted itself in the fifteenth and sixteenth centuries it was superimposed on existing Hindu beliefs and social customs. All in all, Indian cultural and colonial expansion in South-East Asia is a brilliant episode in the history of civilisation.” (Cultural Background of the Peoples of Malaya, hal. 88-90).
Ketika buku ini ditulis dan diterbitkan, mata pelajaran sejarah dalam sistem pendidikan Malaya selepas merdeka terdiri daripada empat bahagian: (A) History of Malaya from 1400 to 1945; (B) History of the British Commonwealth 1740-1945; (C) The Cultural Background of the peoples of Malaya (Indian, Islamic, European, Chinese) down to 1900; (D) The Development of Liberty and Responsibility. Silibus ini dipakai untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 mulai 1959. Buku karangan Neoh Thean Chye ini digunakan sebagai rujukan dan teks dalam mata pelajaran sejarah itu. Buku ini dipersetujui oleh Duli Yang Mahamulia Yang di Pertuan Agong, dengan diberi kata pengantar oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Antara lain kata beliau: “ A work such as this which aims to broaden general outlook and interests among children and elders alike in the cultural background of the various races of the united Federation of Malaya may well play a part in the future of this country.” (JPM, Kuala Lumpur, 22nd April, 1960.)
Jika anda membaca Sejarah Melayu, anda akan bertemu dengan satu sistem pemerintahan kerajaan Melayu yang seluruhnya diasaskan kepada budaya rasuah yang cukup rapi dilaksanakan. Inilah warisan yang diterima oleh ketuanan Melayu yang ada sekarang, yang dikendalikan dengan sangat licin dan cermat oleh para pemimpin UMNO dan kawan-kawan politiknya daripada MIC, MCA dan lain-lain. Sesiapa yang tidak membaca Sejarah Melayu tidak akan mengerti mengapa rasuah sudah dibudayakan dalam sistem politik dan pentadbiran Malaysia moden.
Kutipan panjang itu penting kerana kesimpulan di bahagian akhir kutipan itu, tentang kekeramatan kerajaan negeri Perak, pernah diakui, seperti tertulis, oleh Almarhum Sultan Idris Shah yang menegaskan bahawa Peraklah satu-satunya negeri Melayu yang mewarisi kesultanan Melaka yang berasal dari Bukit Seguntang itu, yang seperti dinyatakan diasaskan pada sistem Hindu. Semua peralatan kerajaan mempunyai nama dan masih dipakai nama yang berunsur Hindu. Wallahu a’lam. Tentulah semua ini diketahui oleh Mufti Perak yang ada sekarang dan yang sebelumnya. Sekiranya 100 orang Hindu India yang membakar novel Sasterawan Negara bersekali dengan gambarnya itu tahu sejarah, mereka akan berasa bangga dan megah. Mereka akan berasa senang sekali bila mengetahui bahawa munculnya gelaran Sasterawan Negara telah mewujudkan pula Brahmin Sastera yang seharusnya menjadi kebanggaan mereka dan wajar dihormati dan diikuti mereka. Apa lagi yang mereka mahu? Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, juga para penggerak badan-badan sastera, semuanya tahu hakikat sejarah ini dan mereka berasa bangga mewarisi kebudayaan Dravidian itu. Tidakkah mereka sangat marah apabila warisan itu digugat dengan munculnya gagasan Persuratan Baru?
Mohd. Affandi Hassan, 12/2/2011.