Monday, January 17, 2011

Jawapan Kepada Penanya Untuk Posting 5/1/2011


Terima kasih Saudara Shahrizal kerana memberikan rujukan kepada penanya. Tapi kerana perkara ini agak penting, biarlah saya tambah sedikit untuk difikirkan bersama.

[Politik] MIC baru saja mendapat Presiden baru, dan Tim. Menteri yang buat komen itu pun baru masuk MIC; oleh itu biasalah dalam politik orang “baru” mahu tonjolkan kewujudan mereka dalam parti. Dalam hal ini, pada umumnya UMNO bersetuju dengan MIC. UMNO mahu undi India di Tenang dan dalam PRU 13, jadi kontroversi ini diharap boleh mengubah sokongan India kepada BN/MIC; tetapi UMNO juga berhati-hati supaya Melayu tidak marah, oleh itu dicadangkan rundingan untuk mencari jalan “keluar” (kononnya). Novel ini akan tetap digunakan, tetapi dengan sedikit perubahan. Kalau penulisnya dan orang Melayu cerdik, mereka akan terima prubahan itu dengan hati terbuka. Yang penting, teks asal tidak berubah. Yang berubah teks sekolah. Ini terjadi di mana-mana, tak ada masalah. Sesiapa pun tidak dikorbankan. Kalau pengulas/guru cerdik, mereka akan sebut kontroversi itu dalam buku panduan untuk diketahui murid-murid, kerana mereka harus tahu apa yang berlaku. Jadi soal politik selesai.
[Sejarah]  Orang kata, novel ini mengenai sejarah. Sebenarnya tidak. Novel ini hanya bercerita untuk propaganda yang bersesuaian dengan tujuan Peraduan Menulis Novel 10 Tahun Merdeka. Sejarah lain sama sekali. Kita kena ingat, imigran dibawa British untuk tujuan ekonomi dan politik pecah-perintah mereka. Melayu bagusnya tidak mahu jadi kuli British, tapi mahu jadi jongos British dalam pejabat dan kerja-kerja yang lebih glamor daripada jadi kuli. Bila jadi perang dunia, India  dan China Malaysia sokong British, termasuk Komunis pada mulanya. Cheng Ping dapat bintang kerana itu. Bila Inggeris masuk ke Tanah Melayu semula, mereka marahkan Melayu kerana menyokong Jepun.  Sebenarnya British mahu berikan “kemerdekaan” kepada India dan China yang menyokong mereka. Pejuang kemerdekaan, yang mengambil alih daripada pelopornya para ulama, tapi masih terdapat pengaruh ulama (paling jelas Dr. Burhanuddin) sokong Jepun dengan harapan akan diberi kemerdekaan (mana ada kolonialis beri begitu saja). Pejuang ini golongan kiri, terpengaruh dengan nasionalisme Indonesia yang kiri. Amerika dan sekutunya yang menang perang sudah bangkrap, jadi Amerika tekan British supaya merdekakan jajahan mereka. Apa nak buat? Melayu tidak boleh diberi muka, mesti diajar. Raja2 Melayu ditekan supaya bersetuju dengan projek Malayan Union. Raja2 tak beritahu pun pembesar mereka sendiri, apatah lagi rakyat, terus tandatangan.  Adakah ini satu pengkhianatan kepada rakyat?  Tiada ahli sejarah yang berani berkata begitu.  Pembesar Melayu  kehilangan pengaruh dan kuasa. Merekalah yang “berontak” setelah raja2 diugut akan hilang kuasa terus. British pada dasarnya gembira dengan perkembangan ini, lalu menyokong “pemberontakan” pembesar Melayu. Mengapa? Yang sokong Malayan Union ialah pejuang kiri, yang ingin mereka (British) tolak dan hapuskan. Oleh itu bila UMNO diwujudkan, British sokong tunjuk perasaan menentang Malayan Union (boleh lihat dalam buku2 sejarah buktinya). Bila diadakan rundingan, India dan China dengan sokongan dan gesaan British mendesak banyak perkara untuk diserahkan oleh Melayu. Paling besar kerakyataan. Bila “merdeka”, semua imigran secara automatik jadi rakyat. Bagus bukan? Sebab itu hingga  sekarang China dan India tak boleh cakap Melayu dengan fasih, malah ada MP sekarang yang tak tahu bahasa Melayu! Tapi tak jadi masalah, kerana Melayu sendiri tak boleh berbicara dalam bahasa Melayu yang fasih.  Orang selalu sebut ada kontrak sosial. Tidak ada kontrak sosial, jadi amat hairan bila UMNO dan Melayu terikut2 terima istilah yang tak betul ini. Apa yang terjadi, kita ada pejuang kemerdekaan yang dihapuskan oleh British dengan bantuan UMNO. Pejuang kemerdekaan ini  pada umumnya telah bersatu dengan bukan Melayu, jadi pelopor perpaduan adalah para pejuang ini, bukan UMNO.  Sila semak sejarah apa sebenarnya yang berlaku kepada MCA dan MIC dalam sejarah Malaysia moden.  Kita ada perunding kemerdekaan yang diwakili UMNO dan lain2 pertubuhan bukan Melayu. Pada umumnya tidak ada perpaduan, yang ada ialah sejenis kesepakatan longgar yang pragmatis. Ini bukan kontrak sosial, sekadar persetujuan yang mesti dilahirkan untuk “mencapai” kemerdekaan dan memenuhi kehendak British dan bukan Melayu yang disokong British. Perpaduan mesti berasaskan satu bahasa, bahasa Melayu. Ini ditegaskan oleh para pejuang kemerdekaan sebenar dalam Perlembagaan mereka untuk Tanah Melayu merdeka. Ketika Perlembagaan digubal, UMNO membisu tentang Islam. Mujurlah dengan nasihat dan gesaan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan Islam disebut sebagai agama Persekutuan. Harap baca dengan teliti kandungan Persetujuan Persekutuan yang terhasil daripada Malayan Union. Banyak yang sama, dan ini Melayu sendiri tak perasan. Jadi tidak betul jika dikatakan UMNO berjaya menghapuskan Malayan Union. Baca sejarah dengan kritis, baru kita tahu UMNO dan BN adalah ahli waris Malayan Union.
[Sastera]  Dari segi sastera, jika kita boleh percaya keputusan juri/panel penilai peraduan Novel 10 Tahun Merdeka,  ini bukanlah sebuah novel bermutu, sebab itu tidak diberi hadiah pertama atau kedua; hadiah ketiga diberikan kepada Arena Wati.   Kualiti sebenar novel ini hanya boleh dilihat dengan jelas dan objektif jika dinilai dari perspektif gagasan Persuratan Baru. Sebagai sebuah novel warisan Malayan Union, sasterawan dan pengkritik sendiri tidak mahu dinilai daripada perspektif PB. Jadi warisan penjajah terus dikekalkan dalam pendidikan kita. Orang yang menentang teguran MIC, yakni badan2 penulis dan para sasterawan/sarjana, pada umumnya adalah pewaris Malayan Union, yang sangat kuat pengaruh kolonialnya.  Anda lihat mereka bersemangat, tapi dari segi kesedaran , politik dan agama, mereka lembik dan pemikiran mereka tumpul. Mereka pewaris kolonialisme British. Kalau anda tidak boleh faham, kena baca banyak buku lagi: sejarah, tamadun Melayu, peranan Islam, dan perjuangan politik pejuang Melayu. Sebenarnya kita sudah lama keliru dan tertipu, oleh itu supaya timbul sedikit kesedaran dalam masalah ini, sila baca tulisan Prof. Ungku Maimunah dalam buku-buku yang beliau tulis dan selenggarakan dalam konteks gagasan Persuratan Baru. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 17/1/2011

Wednesday, January 5, 2011

“KALAU KAIL PANJANG SEJENGKAL ...”

Usaha Dr. Zawiah Yahya menulis dan menerbitkan buku terbaru beliau, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making (Penerbit UKM, 2010) adalah suatu usaha yang terpuji dan wajar dialu-alukan. Usaha ini penting kerana dengan terbitnya buku ini, percubaan beberapa orang sarjana Melayu menjana “teori” sastera diperkenalkan kepada dunia antarabangsa. Kedua, buku ini juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada usaha para sarjana itu, untuk dinilai dengan kritis oleh sarjana dan ahli akademik yang mungkin akan menggunakan “teori” (atau lebih tepat, pendekatan) yang diperkenalkan dalam buku ini dalam kerja-kerja akademik mereka. Meskipun demikian, ada dua persoalan penting yang perlu dibahaskan, jika dapat dibincang secara akademik untuk menjelaskan beberapa perkara yang nampaknya masih mengelirukan, yang memerlukan penjelasan atau analisis selanjutnya supaya kekeliruan itu tidak berlanjutan dan para mahasiswa atau pengguna buku ini mendapat yang terbaik daripadanya. Dua persoalan itu ialah takrif “teori”, dan sehubungan dengan itu, persoalan kedua ialah kedudukan “teori sastera” itu.

Apakah yang ingin dicapai dan ditunjukkan oleh sebuah “teori”? Untuk menjawab soalan ini, kita memerlukan penjelasan tentang takrif teori, ciri-ciri sebuah teori, dan apa yang boleh dilakukan oleh sebuah teori. Adakah teori sama dengan pendekatan? Jika tidak sama, manakah yang lebih sesuai untuk digunakan apabila kita membicarakankan sesebuah karya kreatif? Pada waktu mana kita perlu menggunakan teori, dan ketika mana pula kita perlu menggunakan pendekatan?

Teori pada asasnya tidak sama dengan pendekatan. Sebuah teori harus berupaya menjawab beberapa persoalan yang menjadi masalah dalam sesuatu tindakan. Misalnya, apabila Panel Anugerah Sastera Negara menilai karya para sasterawan negara, adakah mereka menggunakan teori sastera atau hanya pendekatan tertentu yang mungkin mereka pilih dengan sedar, atau digunakan secara campur-aduk (eclectic) mengikut pilihan mereka sesuai dengan karya yang mereka nilai. Sebenarnya, perbezaan ini tidak jelas dalam sepuluh laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, malah lebih selamat untuk kita membuat kesimpulan bahawa “pendekatan” mereka diasaskan sepenuhnya pada cita rasa kumpulan anggota panel yang mendapat pengetahuan tentang sastera seratus peratus daripada sumber Barat. Mereka bergantung pada konsep realisme yang difaham dan dipakai di Barat untuk menentukan “bernilai” tidaknya karya yang mereka nilai. Kaedah ini digunakan dalam semua sepuluh laporan yang mereka hasilkan selama 30 tahun labih ini. Untuk mendapat gambaran terperinci mengenai perkara ini, sila rujuk analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009). Lihat juga tulisan saya sendiri dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (ATMA, UKM 2008) dan bab 4 dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (ATMA, UKM 2010).  Panel Anugerah Sastera Negara melihat, menilai, dan menganalisis karya para sasterawan negara berasaskan sepenuhnya pada cara, nilai, dan ukuran yang dipakai dalam teori dan pendekatan  Barat. Hal ini terjadi kerana mereka menerima hakikat bahawa karya Melayu dimodelkan sepenuhnya daripada acuan yang digunakan dalam kesusasteraan Barat. Malah tanpa Barat, mereka berpendapat tidak mungkin wujud sastera Melayu moden. Para sasterawan negara ini dipilih dan diiktiraf sebagai peniru karya Barat dan pengamal gigih segala teknik penulisan yang dipakai dalam sastera Barat. Tidak ada yang asli dalam karya para sasterawan negara ini. Itulah pandangan dan pendirian Panel Anugerah Sastera Negara yang kini telah dijadikan aliran perdana, yakni aliran yang mesti dikuti sekiranya karya seseorang penulis ingin diiktiraf.

Pandangan, sikap dan kecenderungan Panel Anugerah Sastera Negara ini terbayang  jelas dalam buku Dr. Zawiah Yahya ini, yang memang beberapa kali (terakhir 2009) menjadi ahli panel.  Oleh hal yang demikian, beliau tidak berasa perlu memberi penjelasan tentang maksud, makna dan tujuan “teori” sastera, ciri-cirinya dan prinsip-prisip yang digunakan dalam teori itu. Malah bagi beliau tidak akan muncul “teori” atau pendekatan yang berasal daripada pemikiran sarjana tempatan tanpa peniruan dari Barat, hatta untuk membicarakan masalah “sastera Islam” pun perlu disandarkan kepada pemikiran Barat, dengan itu hasilnya mesti relevan dalam konteks pemikiran Barat tadi. Jika terlalu asing, maka timbul masalah kejanggalan “teori” tadi kerana bertentangan dengan nilai-nilai Barat yang menjadi sumbernya. Oleh itu, cara yang baik dan sesuai ialah dengan menggunakan “teori” dan pendekatan Barat untuk membicarakan sastera Melayu, moden atau tradisional. Sebenarnya inilah juga pandangan panel yang ditubuhkan oleh DBP untuk menilai buku-buku kritikan sastera Melayu. Misalnya, sebuah panel yang dipilih oleh DBP untuk memilih karya kritikan sangat tertarik dengan sebuah buku yang “memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88). Berasaskan hujah itu, buku tersebut dipilih untuk memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan dalam bahagian kritikan.  Ketika membicarakan “teori” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Dr. Zawiah Yahya juga menegaskan bahawa pendekatan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membawa beberapa “teori” Barat ke dalam “teorinya” untuk menilai kembali beberapa aspek sastera Melayu tradisional adalah baik, dengan itu secara tegas mengaitkan kesusasteraan Melayu dengan pemikiran Barat moden.

Beliau  berpendapat, gagasan Persuratan Baru “menyisihkan” budaya Melayu dengan memberi penekanan berlebihan kepada  Islam, seolah-olah Melayu itu tidak pernah kenal budayanya yang memang diwarisinya. Kritikan begini timbul kerana beliau tidak mengaitkan gagasan Persuratan Baru dengan epistemologi Islam, yang tidak langsung disebutnya, padahal itulah yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru. Ini terjadi, saya agak, kerana beliau ingin menekankan peri pentingnya pengaruh Barat dalam kehidupan moden, di kalangan orang Melayu yang beragama Islam sekalipun. Tersirat di sini ialah keengganan beliau menerima epistemologi Islam sebagai asas dalam pemikiran sastera dan dalam pembentukan teori  persuratan Melayu. Jika itulah pilihan beliau, dan saya kira memang itulah pilihan beliau, maka adalah wajar jika beliau beranggapan gagasan Persuratan Baru agak janggal dalam konteks moden, kerana tidak menonjolkan aspirasi moden, tetapi terlalu menekankan aspek Islamnya. Walaupun bagi orang seperti  saya pendirian begini sangat aneh dan tidak akademik, jika kita maksudkan akademik itu melihat keseluruhan tamadun Melayu dan Barat dalam konteks Islam, kerana Barat yang moden sendiri muncul setelah menerima ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh para ulama, sarjana, dan lain-lain tokoh ilmu dalam Islam, seperti yang sudah diketahui umum bagi yang membaca sejarah tamadun dunia dan peranan Islam dalam pembinaan tamadun Eropah/Barat.  Apa yang dibuat oleh  gagasan Persuratan Baru hanya meneruskan saja tradisi keilman itu, setelah begitu lama terputus dalam kesedaran ilmu para sarjana Islam sendiri.  Oleh itu kembali kepada Islam, kembali kepada taklif, salah satu prinsip pokok dalam gagasan Persuratan Baru, bukanlah mengasingkan diri dalam dunia moden, tetapi  menyedarkan kembali sikap kritis dan pemilih ahli-ahli ilmu Islam. Dalam hal ini, tidak ada penyesuaian, (seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang disenangi oleh Dr. Zawiah Yahya), tetapi penapisan kritis terhadap pemikiran Barat, seperti yang pernah dilakukan oleh para ilmuan Islam yang secara gigih membahaskan dan menghidupkan pemikiran ahli falsafah Yunani dalam konteks Islam dan berasaskan epistemologi Islam. Inilah yang perlu kita lakukan dalam Zaman Jahiliah Moden ini.  Kita harus mengheret keluar para sarjana Islam yang terjerumus ke dalam gaung Jahiliah Moden itu dengan memberikan kepada mereka alternatif berasaskan epistemologi Islam. Jika mereka masih menolak, maka itu bukan masalah gagasan Persuratan Baru, tetapi masalah mereka sendiri, yang secara teperinci  dihuraikan  dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism (1978). Golongan yang kehilangan adab ini tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka berada dalam kekeliruan besar akibat keliru dalam konsep ilmu.  Mereka menjadikan kekeliruan itu sebagai asas untuk menilai pemikiran sarjana yang mereka tentang.  Kumpulan anti-ilmu ini mengaku mereka adalah anti-kolonial, tetapi pada waktu yang sama mereka mempertahankan segala pengaruh kolonial itu dengan alasan itulah asas kemodenan orang Melayu yang mesti dikekalkan.  Kontradiksi begini tidak timbul jika mereka tidak keliru dalam konsep ilmu.

Hanya Esei Biasa, Bukan Pendekatan Apatah Lagi “Teori”

Berasaskan kekeliruan inilah maka mereka menerima esei-esei biasa, hasil penyelidikan yang tidak begitu mendalam, yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang dan lain-lain sebagai pendekatan kritikan yang akan menjadi asas “teori” sastera Melayu. Esei-esei yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah tidak dapat dikategorikan sebagai pendekatan kritikan, apatah lagi sebuah “teori”. Esei-esei itu hanya sekadar menyenaraikan beberapa petua yang terdapat dalam sastera tradisional, atau beberapa pandangan umum tentang apa yang disebut sebagai sastera Islam, atau tentang “teks yang unggul” yang tidak pun memberikan ukuran/kriteria yang boleh digunakan untuk membezakan sebuah karya yang bermutu dengan yang tidak bermutu. Tidak satu pun di antara esei itu menyediakan sedikit gambaran, mungkin berupa ramalan, bahawa sekiranya petua mereka diikuti, maka persuratan Melayu akan maju  dan tidak lagi menjadi pengekor nilai-nilai Barat. Hanya gagasan Persuratan Baru yang boleh diterima sebagai satu pendekatan, yang akhirnya mungkin akan menjadi sebuah “teori”, kerana adanya ukuran yang jelas yang boleh menentukan nilai  persuratan yang akan lahir dalam Abad 21. Untuk melahirkan karya bercorak Islam yang bermutu, Takmilah akan menjadi beban yang tidak perlu kerana tidak mungkin terdapat sebuah pun karya sesempurna yang dimimpikan oleh Takmilah.  Sebuah karya tetap tidak sempurna, oleh itu adalah sia-sia untuk mencapai kesempurnaan yang tidak mungkin dicapai itu. Tetapi sebuah karya bercorak Islam, yang ditulis berasaskan prinsip-prinsip yang dikemukakan dalam gagasan Persuratan Baru, mempunyai kemungkinan besar untuk menjadi sebuah karya bermutu (bukan yang sempurna, seperti yang diminta oleh Takmilah), kerana diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Lagi pula yang dipentingkan  “bukan kesempurnaan” yang tidak boleh dicapai, tetapi karya yang benar-benar mendekati prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam worldview Islam. Persoalan ini telah dibincangkan degan mendalam dan jelas dalam tiga buah makalah yang diterbitkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam bulu selenggaraan beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Makalah oleh Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Shahrizal Nasir, telah menghuraikan dengan jelas dan terperinci prinsip-prinsip “sastera Islam” yang boleh dipakai untuk menghasilkan karya yang bermutu, bukan yang “sempurna”, tetapi tepat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.  Makalah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa karya yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru telah pun ditulis dan diterbitkan dalam tahun 1939 lagi, iaitu novel Melati Kota Bharu oleh Abdul Kadir Adabi.  Hal ini terjadi kerana Abdul Kadir Adabi menulis dalam tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam.  Ini membuktikan bahawa kesedaran kepada hakikat ini telah lama wujud, dan bukan satu impian khayal seperti yang dianggap oleh sarjana Islam yang terputus dari tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam itu.

Apakah yang ingin dicapai oleh sebuah “teori” persuratan?  Pertama sekali, “teori” (lebih tepat pendekatan) tadi perlulah mengenal pasti masalah yang ingin diselesaikannya. Kedua, “teori” tadi cuba memberi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu. Ketiga, “teori” itu berupaya membuat ramalan apakah yang akan terjadi nanti jika “teori” itu dijadikan panduan. Keempat, analisis dan hujah yang digunakan berasaskan “teori” itu boleh diuji kebenarannya secara tepat, jitu dan objektif.  Keempat-empat syarat ini tidak wujud dalam esei Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Dr. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah. Sebaliknya keempat-empat syarat itu menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru. Satu huraian yang mendalam telah  diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERA beliau, berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah telah menyerlahkan betapa kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden, dipelopori oleh sasterawan Asas 50 dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Dengan munculnya  gagasan Persuratan Baru,  kedudukan itu dicabar dan Panel Anugerah Sastera Negara dikritik kerana gagal memberi arah yang betul dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia. Dengan memperkukuh pengaruh Barat dalam kritikan sastera, Panel Anugerah Sastera Negara telah menjadi satu badan yang amat negatif dan dilihat menentang sebarang usaha untuk mengembalikan peranan persuratan Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa. Sikap negatif ini menyerlahkan kedudukan dan fungsi Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu badan yang anti-ilmu dan terlalu pro-Barat.  (Insha Allah ada sambungannya.)

Mohd. Affandi Hassan,  4 Januari 2011.