Friday, August 10, 2018

ANALISIS TERBAIK TENTANG NOVEL MINI-ENSIKLOPEDIA PUJANGGA MELAYU



Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, cetakan pertama 2009), amat berhati-hati dan sangat cermat ketika menghuraikan dan menganalisis Gagasan Persuratan Baru. Bagi saya inilah contoh kecemerlangan akademik yang tidak dapat diremehkan oleh sesiapa saja yang mempunyai maruah akademik yang tinggi dan murni.  Dengan terbitnya buku penting ini, tidak ada apa-apa alasan pun dari para sarjana sastera, para pengkritik, dan para sasterawan sendiri, untuk tidak menerima kemunculan PB sebagai satu alternatif yang akan memberi kecemerlangan baru dalam perkembangan ilmu, persuratan Melayu, dan penghasilan karya kreatif yang berteraskan konsep ilmu yang benar.  Reaksi sehabis kecil yang boleh dilakukan oleh para sarjana sastera dan para pengkritik, termasuk juga para sasterawan, ialah menolak analisis ini sebagai hanya permainan akademik yang tidak bermakna apa-apa dalam perkembangan ilmu.  Tentu saja lebih baik jika mereka memberikan sanggahan mereka yang objektif untuk menolak kehadiran PB sebagai satu alternatif yang diperlukan dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia.  Sikap membisu yang mereka ambil tidak memberi faedah kepada mereka, malah boleh disifatkan sebagai menghalang perkembangan ilmu dan pemikiran baru dalam sastera Melayu.  Walaupun kehadiran PB menjadi cabaran besar kepada pemilihan para sasterawan negara, namun PB tidak berminat untuk menghukum para sasterawan negara ini, kerana PB hanya berminat memberikan analisis yang objektif kepada karya para sasterawan negara ini dilihat daripada ukuran yang diberikan oleh PB.  Dalam dunia akademik, cabaran seumpama ini adalah biasa dan perlu dihadapi dengan kontan oleh sesiapa juga yang berasa tercabar.

Peluang untuk para penentang PB memberikan sanggahan mereka menjadi lebih mudah dengan adanya buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu ini. Oleh itu, apa lagi yang anda tunggu, pengayuh sudah di tangan, gerakkanlah perahu akademik anda ke arah mana yang anda mahu dalam sungai besar akademik yang kini terbuka luas untuk diteroka oleh sesiapa saja yang berminat.  Waktu untuk mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang”  tidak boleh diterima dalam dunia akademik yang sudah berubah.  Sebagai ahli akademik, anda tidak wajar mendiamkan diri apabila dicabar untuk tampil memberikan  hujah anda yang masih berpegang kepada kekeliruan dalam memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam kebudayaan anda sendiri. Tamadun yang anda warisi sekarang dibina oleh para cendekiawan dan para ulama yang jelas konsep ilmunya; oleh itu anda tidak mempunyai hujah sama sekali untuk menafikan kehadiran mereka dalam pembinaan tamadun yang kita semua warisi sekarang, tamadun yang berasaskan konsep persuratan yang bertunjangkan ilmu yang benar.

Dalam konteks inilah telaah anda yang jujur dan kritis terhadap buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu akan memberikan pencerahan yang amat anda perlukan untuk memahami perkembangan ilmu dalam pembinaan tamadun Malaysia.  Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya itu memberi analisis yang amat cermat terhadap novel persuratan Pujangga Melayu, yang wajar didekati dengan kritis oleh sesiapa juga yang berkecimpung dalam dunia sastera; lebih-lebih lagi apabila penilaian seorang sarjana terhadap novel Naratif Ogonshoto tidak boleh dipertahankan, oleh itu harus diterima kesimpulan bahawa novel itu adalah sebuah novel picisan jika dinilai daripada perspektif ilmu dan keterampilan pemikiran pengarangnya ketika menghasilkan novel itu.  Percubaan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk meletakkan novel itu sebagai novel Melayu teragung yang tiada tandingannya, sebuah karya agung sepanjang zaman, ternyata tidak berasas kerana tidak berlandaskan konsep ilmu yang benar yang sudah menjadi asas perkembangan persuratan Melayu sejak beratus tahun. Tidak mungkin sarjana ini tidak tahu hakikat sejarah ini. Walau  bagaimana pun, kita bersedia menerima analisis beliau sekiranya beliau menolak kesimpulan yang diberikan ini sebagai tidak berasas. Kemukakan hujah anda kerana itulah pilihan terbaik dan paling selamat untuk menjaga maruah akademik anda.

Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah meletakkan pencapaian penyelidikan akademik yang tinggi untuk diteladani oleh para sarjana sastera yang kebanyakannya agak selekeh hasil “penyelidikan” atau analisis mereka. Saya telah mengemukakan contoh-contoh yang terlalu jelas keselekehannya, seperti syarahan perdana yang dikemukakan oleh Prof. Rahman Shaari tentang sajak-sajak Melayu, hasil penyelidikan Dr. Mawar Shafei tentang novel-novel Anwar Ridhwan, kajian  Dr. Norhayati Ab.Rahman tentang “the poetics of adultery” dalam sastera Indonesia dan Malaysia, tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang Naratif Ogonshoto sebuah novel oleh Anwar Ridhwan, dan yang paling menonjol ialah sikap anti-ilmu dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 anjuran ITBM yang tidak langsung menyebut peranan ilmu yang benar dalam kritikan sastera.  Kita dapat melihat bagaimana sarjana sastera berlumba-lumba kononnya “memperkenalkan” kaedah baru dalam kritikan dan teori sastera yang diambil dari Barat seluruhnya, menunjukkan mereka tidak mampu berfikir secara kritis, hanya menjadi peniru buta sahaja. Semua ini anda boleh lihat dalam kertas kerja Seminar Pemikiran Sasterawan Negara yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Walaupun Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah mengatakan tidak wajar teori sastera Barat dijadikan ukuran dalam kritikan karya Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu, namun beliau sendiri menerima dengan baik, malah bangga, apabila karyanya dinilai dari perspektif Barat dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.  Semua mereka ketakutan apabila digesa menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas kritikan sastera Melayu. Kata mereka, sastera Melayu dihasilkan berasaskan teori sastera Barat, tidak berasaskan nilai-nilai Islam; oleh itu tidak wajar jika karya mereka dinilai daripada perspektif Islam. Bagi mereka, inilah jawapan yang paling akademik dan jujur!

Hendak ke mana kamu semua, para sasterawan negara dan sarjana sastera?  Pertanyaan ini tidak dapat dielakkan, oleh itu mereka wajib menjawabnya atau memberi penjelasan yang munasabah.  Lebih-lebih lagi apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, tokoh paling terkemuka dan paling terkenal sebagai tokoh akademik yang unggul, pernah menegaskan karya sastera Melayu mesti dinilai daripada perspektif Melayu, bukan perspektif Barat atau Islam. Sehingga ini belum lagi ada penjelasan tentang keputusan yang aneh ini. Siapakah di antara sarjana sastera yang akan tampil memberi penjelasan tentang perkara ini?  Yang pasti, tiada seorang pun di antara mereka yang mempunyai keupayaan akademik yang tinggi untuk membicarakan persoalan yang rumit ini. Kerana semua mereka telah menolak PB, maka mereka kini berada dalam kebingungan yang aneh yang tidak sepatutnya dialami oleh para sarjana.

Itulah situasi yang kita hadapi sekarang dalam sastera Melayu. Semua ini hasil dari kegigihan mereka menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif yang terbaik, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Dan juga dalam rencana akademik beliau, “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies” (ASIATIC, vol. 9, no. 1, June 2015).  Dua dokumen penting ini nampaknya tidak dibaca atau tidak diketahui oleh para sarjana sastera, kerana keangkuhan mereka untuk tidak menerima perubahan walaupun dahulunya mereka bising seperti murai bercakap tentang perubahan paradigma dalam sastera Melayu.  Sekiranya ada konsep munafik dalam sastera, mungkin inilah wajahnya.

Keangkuhan kumpulan Mutual Admiration Club ini menjadi penghalang besar kepada perkembangan pemikiran dan pendekatan baru dalam sastera Melayu.  Inilah kumpulan yang memilih para sasterawan negara dan yang mempertahankan sasterawan negara itu secara picisan sekali, sama picisannya dengan karya para sasterawan negara sendiri. Supaya berlaku adil, saya sering menawarkan supaya karya kreatif dan akademik saya dinilai bersama karya mereka. Sehingga ini mereka tidak melayan cabaran ini kerana mereka yakin mereka akan kelihatan jelas sebagai kumpulan penulis picisan dan cetek meraba-raba dalam bidang akademik.  Sekali lagi kita dapat melihat kebenaran kesimpulan ini dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, yang diselenggarakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Apakah kesimpulan kita dalam perbincangan ringkas ini?  Ada dua keadaan yang memerlukan penjelasan untuk keluar dari kekeliruan tentang peranan ilmu ini. Pertama, para sarjana yang menerima teori sastera Barat sebagai jawapan dan asas perkembangan sastera Melayu perlu memberi penjelasan mengapa dalam konteks itu mereka perlu menolak peranan Islam yang definitif dalam perkembangan kebudayaan Melayu seperti yang telah dihuraikan dengan mantap sekali oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hingga kini mereka belum lagi membuktikan kesimpulan Prof. Syed Naquib itu bertentangan dengan jalannya sejarah Alam Melayu yang menerima Islam sebagai teras kebangkitan tamadun Nusantara.  Kedua,  dari segi apa pencapaian kreatif dan akademik para sasterawan dan sarjana yang menjadikan teori Barat sebagai panduan mereka telah melonjakkan kemajuan berfikir dalam perkembangan kebudayaan dan pemikiran yang berasaskan konsep ilmu yang benar.  Adakah dua keadaan ini saling bertentangan sehingga memaksa kita memilih salah satu, dan jika ini berlaku apakah kesannya terhadap perkembangan ilmu? Kita lihat nanti reaksi mereka, yang saya yakin akan mendiamkan diri dalam sikap dan tabiat “lembu kenyang” yang telah dibudayakan oleh para sasterawan dan sarjana sastera.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Ogos 2018.




No comments:

Post a Comment