Thursday, September 3, 2020

MEMBERI MAKNA KEPADA SATU PERJUANGAN YANG KURANG SAMBUTAN

Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemunculan Gagasan Persuratan Baru, yang bukan mengenai PB, tetapi mengenai sambutan para sarjana sastera dan sasterawan terhadap PB.  Mereka telah melakukan kesilapan besar dengan melantik sasterawan negara berasaskan ukuran yang tidak berasaskan ilmu, tetapi berasaskan sensasi. Maka dengan itu penentangan terhadap PB terjadi hanya semata untuk melindungi kesilapan besar yang berlaku dalam sastera Melayu dengan pelantikan para sasterawan negara dan wujudnya Panel Anugerah Sastera Negara. Semua ini terjadi untuk mempertahankan gerombolan yang diberi gelaran/nama Mutual Admiration Club. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa semua sasterawan yang terpilih dan dipilih adalah anggota Mutual Admiration Club itu. Inilah kumpulan yang menentang konsep ilmu yang benar dalam kegiatan sastera dan kritikan sastera. Merekalah yang menjadi pengkhianat kepada perkembangan  sastera berasaskan ilmu yang benar. Itulah kenyataan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekali pun. Itulah hakikatnya.

Bagaimana kita boleh mengatasi masalah pengkhianatan terhadap ilmu ini?  Asas perkembangan ke arah ini telah dimulai oleh sekumpulan anak muda yang menjadikan tanggungjawab utama dalam kehidupan mereka ialah menyebarkan ilmu. Saya adalah antara orang yang beruntung yang karyanya diterbitkan oleh Syarikat Wadi al-Irfan: cetakan baru Pujangga Melayu, lengkap dengan Indeks; Hikayat Salim Adil; dan Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Saya harap mereka juga akan menerbitkan Hikayat Abu Gambol yang sudah lama siap, masih menunggu penerbit.

Membina budaya ilmu yang mantap dalam kegiatan ilmiah dan sastera sentiasa menjadi cita-cita dan pegangan hidup saya, yang ingin saya wariskan kepada Nusantara, supaya kegemilangan Nusantara yang Islam akan kembali lagi. Anak-beranak kita di Indonesia tidak menyokong cita-cita ini, malah mereka meremehkan saja kemunculan PB dalam kegiatan budaya dan sastera, sebagai sejenis kudis gatal dalam budaya ilmu dan budaya peradaban negara. Mereka telah membuat perisytiharan bahawa mereka adalah ahli waris sastera dunia, yang diucapkan sendiri oleh Chairil Anwar. Saya mengerti dan simpati dengan  keangkuhan Indonesia dalam bab ini, tetapi mereka harus sedar pembinaan budaya ilmu tidak diasaskan kepada keangkuhan yang diwariskan oleh Iblis kepada manusia, sejak Iblis menolak untuk menghormati Adam ‘a.s. Oleh itu, adalah wajar dan tepat jika terdapat manusia, di mana saja, yang terpengaruh dengan keangkuhan Iblis yang mengaku dia diciptakan daripada api oleh itu lebih mulia, sedangkan Adam dicipta daripada tanah yang hina, tempat orang berak dan kencing. Sama ada Iblis sedar atau tidak bukan urusan kita, bahawa manusia yang dicipta daripada tanah itu lebih mulia kerana tanahlah yang memberikan kesuburan dan makanan kepada manusia dan seluruh makhluk di dunia, sementara api hanya tahu memusnahkan jika tidak dikawal. Dengan itu, jika peranan api Iblis dalam perkembangan ilmu tidak disedari oleh manusia, maka tepat sekali jika ada di antara mereka yang meremehkan kemunculan PB dalam sastera dan budaya manusia sejagat.  Saya maksudkan manusia sejagat, kerana saya tidak ragu sedikit pun untuk mencabar apa juga sistem ilmu dari Barat dan di mana saja kerana saya tahu dan yakin tidak ada manusia yang dapat menindas dan membunuh kemunculan PB sebagai bahtera ilmu dalam persuratan.  Oleh itu, jika terdapat di Persekutuan Tanah Melayu dan Nusantara kumpulan manggak dan sombong yang mengejek dan menghina PB sebagai satu sistem dalam kegiatan kreatif, maka mereka adalah para pengikut Iblis yang telah dilaknat dan dikutuk oleh Allah SWT.  Tidak ada kompromi sama sekali ketika kita menghadapi makhluk yang bangga menjadi hamba Iblis, sedangkan kita yang mewarisi ilmu yang benar adalah hamba Allah. Saya tidak pasti berapa ramai di antara sasterawan Malaysia yang menjadi hamba Iblis ini, kerana ini bukan urusan kita yang menjadi hamba Allah. Keadaannya samalah dengan penegasan Machiavelli yang pernah menegaskan bahawa dia lebih seronok berada di neraka kerana di situlah dia boleh berbicara dengan ahli falsafah dan pengarang besar dunia; sedangkan syurga adalah tempat orang miskin yang bodoh!  Tidak pasti, berapa orang sasterawan negara dan sasterawan biasa yang menjadi pengikut Machiavelli ini, tetapi ada yang menggunakan idea Machiavelli dalam tulisan kreatif mereka, seperti yang dibuktikan oleh para sarjana sastera yang meneliti karya para sasterawan negara. Kalau anda tidak tahu maka itu urusan anda, tiada kaitan langsung dengan kenyataan ini.  Peluang untuk anda menafikannya terbuka luas; tetapi jika anda tidak tahu mengenai perkara ini, maka itu sudah sepatutnya bagi golongan yang keupayaan intelektualnya agak terbatas.

Memperkenalkan PB dalam gelanggang persuratan dan kritikan sastera adalah satu perjuangan yang mesti diteruskan hingga kiamat, satu jangka waktu yang kita tidak tahu tetapi akan sampai masa dan ketikanya. Peringatan ini penting kerana hanya dengan peringatan ini kita dapat menghalang meluasnya karya picisan yang cetek meraba-raba, yang dihasilkan dalam konteks pemberontakan Iblis seperti yang dikisahkan dalam al-Quran. Para pengarang Islam menghadapi dua pihak musuh yang sama-sama menyesatkan pengarang Islam, iaitu pengaruh sumpahan Iblis yang berusaha gigih untuk menyesatkan orang Islam, dan pengaruh dari Barat yang menolak konsep ilmu yang benar. Di Malaysia kesedaran kepada dua musuh intelektual ini agak lemah,  maka terjadilah pemberontakan untuk menyisihkan konsep ilmu yang benar dalam seni mengarang kerana sudah mendalam sekali pengaruh teori sastera Barat dalam korpus ilmiah mereka. Inilah konteks yang mendorong saya menulis Pujangga Melayu.  Bagaimana karya agung ini ditulis telah saya cerita di banyak tempat dalam blog ini, dengan satu penegasan yang penting. Saya telah mengumpul bahan selama kira-kira 20 tahun, tetapi tidak dapat menulisnya. Saya tidak punya teori yang boleh memberi jalan dan arah yang betul. Masalah ini hanya dapat diselesaikan setelah saya dapat membezakan realiti hakiki dengan realiti semu.  Pada ketika yang sama muncul pula konsep siratan makna (stylization of ideas) yang membantu saya bagaimana menyirat makna dalam karya kreatif yang sekali gus menyerlahkan konsep ilmu yang benar sebagai asasnya. Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah; dan hasilnya itulah yang saya beri judul Pujangga Melayu, judul yang mencabar seluruh sasterawan dan pengkritik sastera serta para sarjana sastera. Bukan untuk Malaysia saja, tetapi untuk mencabar seluruh praktik yang digunakan pengarang Barat dalam menulis karya mereka. Juga dalam menganalisis karya kreatif.

Rupanya, usaha ini diremehkan oleh para sasterawan Melayu, sarjana sastera dan pengkritik sastera Melayu. Apakah sumbangan mereka sebenarnya yang mendorong mereka mengejek PB sebagai  omong kosong untuk dijadikan asas penulisan kreatif dan kritikan sastera? Pertanyaan ini mereka lempar dalam tong sampah, tempat yang sesuai untuk karya mereka, seperti yang telah diberi hujah-hujahnya dalam kritikan saya terhadap karya para sasterawan negara. Rujuk buku penting, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden  (Kuala Lumpur: Wadi al-Irfan, 2019).  Lihat juga Hikayat Salim Adil yang unik dan istimewa sebagai karya kreatif yang asasnya teori sastera berasaskan Persuratan Baru, yang merangkai karya kreatif dalam bentuk cerita dengan wacana ilmiah tentang konsep ilmu dalam penulisan kreatif. Saya masih menunggu kritikan serius daripada para sasterawan dan sarjana sastera. Saya fikir mereka pun tahu jika mereka cuba bermain dengan idea kreatif mereka hanya mendedahkan kepandiran mereka sendiri, seperti yang saya telah huraikan dalam Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.

Perkembangan terbaru dalam penulisan kreatif berlaku apabila diperkenalkan dua konsep yang saling berkait, iaitu konsep wacana dan cerita.  Manakah yang lebih utama antara dua konsep ini?  Sudah berkurun-kurun cerita diberi keutamaan, dengan meninggalkan konsep wacana. Dalam kritikan sastera di Malaysia, konsep wacana itu diterjemahkan oleh pengkritik dan pengkaji sastera sebagai nasihat, pengajaran, khutbah, dan yang seumpamanya. Khutbah dilarang sama sekali dalam teknik bercerita, kerana kata penulis Melayu (?) khutbah mengganggu kelancaran cerita. Kata mereka, kalau mahu menulis cerita dalam bentuk novel atau cerita pendek, tulislah cerita dan jauhkan dan haramkan terus apa juga khutbah, nasihat, pengajaran dan yang seumpamanya.  Saya telah melanggar nasihat bodoh ini melalui konsep wacana, yang saya terapkan dalam cerita pendek dan novel. Cara terbaik untuk memahami perkembangan ini ialah dengan membaca Pujangga Melayu dengan teliti, supaya anda dapat melihat bagaimana aspek wacana itu dijadikan asas utama dalam penulisan kreatif, tanpa meninggalkan cerita yang diletakkan di tempat kedua dalam penulisan kreatif. Dengan perkembangan terbaru ini, peranan wacana dan cerita diberi tempat dan kedudukan yang sesuai dengan peranan masing-masing dalam penulisan novel. Dengan perkembangan ini, sikap anti khutbah yang menjadi pilihan para penilai karya sastera, ditempelak dengan keras dalam konsep wacana yang tidak boleh berdiri sendiri, dalam erti masih memerlukan cerita untuk menyampaikan idea tertentu dalam karya tersebut. Contoh terbaik akan anda temui dalam Pujangga Melayu, sebuah karya yang mengutamakan wacana, tetapi tidak meninggalkan cerita, malah cerita dalam pengertian asalnya dijadikan teman karib wacana.  Pujangga Melayu memilih poligami sebagai penyelesai masalah seorang tokoh ilmu yang menjadi watak utama dalam karya itu. Untuk membantu anda memahami keadaan yang sensitif ini, anda perlu membaca bahagia akhir novel ketika Fatimah, seorang gadis yang cerdik, berbicara dengan ayahnya mengapa dia perlukan empat orang isteri. Bacalah di sana jika mahu tahu. Saya memilih tajuk yang amat sensitif dalam masyarakat Melayu ini untuk menyampaikan wacana tentang  makna kehidupan yang bahagia dalam masyarakat Islam.

Tulisan ini penuh dengan cabaran yang ditujukan secara khusus kepada para sasterawan negara, sarjana sastera yang menjadi penyokong mereka, dan para pengkritik sastera yang dangkal analisisnya (sebagai contoh, anda boleh lihat dalam Syarahan Perdana Prof. Datuk Rahman Shaari yang berbicara tentang sajak. Juga dalam Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Saleh yang mendapat sanjungan tinggi daripada para penyokong beliau, walaupun Syarahan itu jika dinilai dari perspektif PB maka inilah contoh bagaimana idea picisan dijadikan asas syarahan perdana. Saya telah ulas perkara ini lama dulu.)

Walaupun kejujuran intelektual amat penting dalam bidang akademik, tetapi tidak demikian dalam dunia akademik Malaysia. Falsafahnya mudah dan senang: Kalau aku suka sesebuah buku, penulisnya, dan kandungan buku itu, aku beri pujian tidak kira bermutu atau tidak; sebab soal mutu itu amat subjektif, masing-masing ada cita rasa sendiri.  Inilah yang terjadi kepada kedudukan para sasterawan negara dan buku yang mereka hasilkan.  Dalam teori sastera Barat, penulis yang disanjung itulah yang menentukan kualiti karyanya; kemudian diikuti oleh para sarjana.  Ini pun terjadi di Malaysia, dan kata mereka orang yang paling terkenal dengan sikap ini ialah Mohd. Affandi Hassan, yang memuji bukunya sendiri dan memaksa orang lain ikut sama. Dalam kes teori sastera Barat, yang menentukan nilai drama Shakespeare adalah beliau sendiri, para sarjana dan pengkritik drama hanya ikut saja. Oleh itu semua karya Shakespeare adalah bermutu. Maka apabila orang seperti G.B. Shaw, yang juga seorang penulis drama yang ulung, mengkritik Shakespeare, maka beliau tidak beradab dan penilaian beliau  tidak ada kualiti, salah, dan melampau. Inilah juga sikap yang menjadi pegangan sasterawan negara: yang boleh menentukan kualiti karya mereka adalah mereka sendiri, dengan sokongan para sarjana sastera. Lalu saya ditempelak usahlah kritik kami, anda sendiri pun memuji karya anda. Apakah yang lucu di sini? Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak berani membicarakan karya saya dengan kritis dan objektif. Pertama, mereka tidak mahu baca. Kedua, mereka kata tidak bermutu, oleh itu tidak perlu membuang masa membacanya, apatah lagi membicarakannya secara ilmiah.  Mereka tidak sedar (?) persoalan in menjadi lebih rumit dan kedudukan mereka sendiri pun tidak ada sandaran ilmiah, satu tuntutan penting dalam kritikan sastera.

Ada beberapa isu peting yang saya sebut dan tonjolkan dalam para di atas. Saya cadangkan anda, sebagai pembaca yang kritis, boleh membantu kami semua memahami dengan lebih mendalam karya para sasterawan negara. Adakah anda setuju bulat-bulat dengan ukuran dan penilaian yang dibuat oleh anggota jawatankuasa pemilihan sasterawan negara? Saya tinggalkan soalan ini untuk anda jawab, jika mahu. Jika tidak mahu pun tidak mengapa. Inilah “normal baru” [norma?] dalam penilaian dan kritikan sastera Malaysia. Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.

Tidakkah itu merupakan kejayaan teragung dalam kritikan sastera Malaysia? Kita pun mahu tahu, siapakah pelopornya?  Saya yakin tiada seorang pun akan menjawab pertanyaan bodoh ini.  Walaupun bodoh, masalahnya kita semua mahu tahu!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 September 2020.


Monday, August 31, 2020

PILIHAN KITA HANYA BELAYAR BERSAMA PERSURATAN BARU DI TENGAH GELOMBANG INTELEKTUAL DUNIA

Tajuk kita kali ini nampak seolah-olah ada sedikit (mungkin juga banyak!) keangkuhan dengan meletakkan PB sebagai pemain antarabangsa di tengah-tengah segala macam teori sastera yang terpakai atau paling tidak disebut dalam kajian sastera seluruh dunia. Dilihat dalam konteks ini, bukanlah suatu keangkuhan untuk memperkenalkan PB ke peringkat antara bangsa, supaya orang Barat yang menjadi pujaan sarjana Malaysia itu bertambah sedikit lagi  pengetahuan mereka tentang sastera bahawa sudah ada kaedah yang jauh berbeza daripada yang mereka pernah gunakan, yang dibangunkan di Malaysia. Kalau sarjana Barat jujur, seperti yang mereka selalu tegaskan, maka mereka akan menerima dengan sikap terbuka apabila diperkenalkan kaedah baru itu kepada pelajar universiti di negara mereka. Mungkin satu masa nanti mereka akan jemput tokoh-tokoh PB dari Malaysia untuk berbicara tentang kaedah yang diperkenalkan di Malaysia yang diberi nama PB itu, lebih-lebih lagi kini sudah diperkenalkan konsep stylization of ideas (saya terjemahkan sebagai “siratan makna” dalam bahasa Melayu, sebelum mendapat istilah yang lebih baik) dalam penulisan kreatif. Mereka mungkin akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam konsep itu, dan tidak mustahil mereka akan memberitahu kita bahawa idea itu sudah lama terpakai dalam seni mengarang para sasterawan mereka. Kita mahu tahu apakah panggilan mereka, dan adakah betul terdapat persamaan dengan konsep yang kita perkenalkan itu; maka kalau ini benar-benar terdapat dalam sistem teori sastera yang mereka pakai, kita mahu tahu mengapa para sarjana sastera kita tidak tahu, dan tidak pernah sebut mengenainya. Mengapa ini terjadi? Biarlah mereka dan sarjana kita sendiri yang memberikan jawapannya. 

Saya sekarang memberi jalan keluar kepada gerombolan yang menolak PB untuk menangkis PB berasaskan penemuan mereka itu. Kita tunggu perkembangan seterusnya, terutama jika yang tampil itu sarjana sastera kita sendiri. Kita mahu tahu kelebihan teori Barat dan tentu saja kelemahan PB sebagai satu kaedah yang menyeluruh (comprehensive) dalam kajian sastera dan dalam penulisan kreatif.  Tentu hasilnya sangat menarik, dan anda sendiri akan dapat melihat kekuatan PB sebagai pemain antarabangsa dalam bidang akademik yang terpakai di Barat yang kini sudah dijadikan sistem kajian dalam kesusasteraan dan ditiru dengan gigihnya oleh para sarjana Malaysia.  Dengan membawa PB kepada mereka, adakah teori mereka akan terbatal atau diketepikan kerana kini sudah muncul teori baru yang lebih menyeluruh dan lebih canggih dari segi analisis dalam menentukan kualiti sebenar sesebuah karya kreatif seluruh dunia. Saya fikir para sarjana sastera Malaysia sedang menunggu pertembungan budaya dan pertembungan akademik ini untuk dijadikan hujah oleh mereka bahawa teori sastera Barat yang mereka puja itu lebih perkasa dari segi pemikiran dan praktiknya jika dibandingkan  dengan laungan nyaring PB bahawa PB telah berjaya memberi satu alternatif akademik yang jauh lebih baik dan lebih jelas prinsipnya daripada yang selama ini menjadi kebanggaan para sarjana Barat yang menjadi ikutan para pengikut mereka di Malaysia.

Persoalan ini penting disedari akibatnya dan difahami pula keterbatasannya dari segi pelaksanaannya. Dengan itu kita berharap sarjana sastera Malaysia akan sedar dan insaf bahawa mereka sudah lama menjadi hamba teori sastera Barat, tanpa memahaminya dengan mendalam.  Mereka sudah lama menjadi sarjana “muka tak malu” yang mengabdikan diri kepada sistem akademik yang memisahkan kedudukan ilmu dari sebarang kaitannya dengan kehidupan manusia Melayu yang bertuhan, yang sudah sekian lama menjadi pengikut ajaran mulhid dari Barat. Siapakah yang dapat menolak hakikat bahawa kegiatan yang paling memalukan dalam sastera Melayu ialah pemilihan para sasterawan negara, yang pemilihannya berasaskan ukuran yang bertaburan seperti manik yang putus tali   apabila direntap dengan hujah yang mantap berasaskan konsep ilmu yang menjadi pasak stylization of ideas dalam Gagasan PB.

Sekiranya para sasterawan negara ini mempunyai maruah, dan tidak mahu dikutuk oleh masyarakat sastera yang mulai sedar mereka telah tertipu hidup-hidup menerima kehadiran para sasterawan picisan yang menghasilkan karya picisan untuk kemudiannya dilantik secara picisan sebagai sasterawan negara, maka menjadi kewajipan kamu semua untuk membuktikan kedudukan kamu itu tidak sedikit pun dapat diragui berasaskan penilaian yang benar-benar tuntas berasaskan ukuran yang tepat dilihat dari perspektif stylization of ideas yang dibahaskan dengan mendalam dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan 2019).  Bagaimana anda boleh berdiam diri seperti lembu kenyang apabila disergah dengan hujah yang mantap bahawa karya para sasterawan negara adalah karya picisan, yang tidak sebuah pun dapat menandingi Pujangga Melayu atau Hikayat Salim Adil.

Tentulah amat songsang sekiranya tiada sebuah pun  karya para sasterawan negara itu yang boleh menandingi dua buah novel persuratan itu. Namun demikian, terdapat cara mudah untuk membuktikan karya para sasterawan negara itu tiada tandingannya dengan mana-mana karya yang dihasilkan berasaskan stylization of ideas itu. Apa yang anda boleh lakukan dengan mudah ialah membuktikan stylization of ideas itu hanya sejenis dongeng dalam sastera, tidak pernah digunakan di mana-mana dalam dunia ini padahal dunia telah melahirkan beribu sasterawan besar tanpa menggunakan stylization of ideas, dan semua karya agung dunia itu tanpa kecuali dapat ditandingi oleh semua karya para sasterawan negara Malaysia. Cuma, klaim ini perlukan sedikit penjelasan dan penghujahan untuk membuktikan karya para sasterawan negara itu memenuhi ukuran sejagat, malah mengatasi ukuran yang dicadangkan oleh Persuratan Baru dalam Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu. Jalan keluar telah diberikan kepada anda, oleh itu mudahlah anda buktikan bahawa semua karya para sasterawan negara adalah lebih baik daripada novel Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil. Mengapa ini penting dilakukan? Jawapannya mudah saja, kerana pembuktian itu akan menolak apa juga keraguan masyarakat sastera tentang keunggulan karya para sasterawan negara, sebagai karya unggul negara dan bukannya karya picisan seperti yang diklaim oleh PB. Tanpa pembuktian ini, maka semua karya para sasterawan negara tetaplah karya picisan kerana tidak memenuhi ukuran yang dihuraikan dalam buku di atas. Anda boleh berkata, dengan hujah dan bukti, bahawa ukuran yang dibincangkan dengan teliti dalam buku tentang anugerah sastera itu tidak boleh dipakai kerana ukuran itu bukan ukuran dalam penilaian sastera. Ukuran yang terpakai dalam menilai karya sastera berbeza daripada ukuran yang dihuraikan dalam buku tersebut. Inilah ukuran yang tepat yang menjadi ukuran yang diakui seluruh dunia. Mudah, bukan? Kerana itu, tidak perlu dilayan apa juga kritikan terhadap kepalsuan ukuran para sasterawan negara itu. Cara penyerahan seperti ini tidak boleh diterima, kerana tidak dihujahkan.  Saya telah membuktikan tanpa sebarang syak bahawa karya para sasterawan negara adalah karya picisan, dan tidak layak diberi tempat istimewa dalam sastera Melayu seperti yang dilakukan oleh DBP.

Saya memberikan hujah dan bukti untuk memudahkan pembaca yang tidak berapa tinggi ketangkasan berfikirnya memahami sejauh mana kesimpulan saya boleh diterima. Kalau anda mahu tahu, inilah juga kaedah kritikan Barat, seperti yang ditunjukkan oleh Morris Weitz, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism  (Faber Edition, 1972. Edisi pertama 1965.)  Di dalam buku itu diberikan hujah oleh Tolstoy yang menolak Shakespeare sebagai penulis picisan saja? Kata Weitz, hujah Tolstoy tidak boleh ditolak, tidak juga boleh diterima. Menurutnya, Tolstoy menggunakan ukuran peribadi!

Kalau anda kuasai teori sastera Barat, anda akan dapati betapa hebatnya para sarjana mereka berbohong tentang ilmu, malah mereka tidak sedikit pun tahu apa yang dimaksudkan dengan ilmu. Bacalah pandangan mereka dengan teliti dan objektif, nescaya anda akan dapati para sarjana Barat yang menjadi ikutan sasterawan dan sarjana sastera Malaysia telah menipu manusia yang tidak berilmu seperti sasterawan dan sarjana sastera, yang hanya ada sedikit maklumat yang pada dasarnya kelam-kabut, lintang-pukang tiada hujung pangkal, oleh itu apa yang disebut pengetahuan tentang sastera itu hanya omong kosong. Saya menyatakan kesimpulan ini setelah membuat ujian yang cermat tentang faham ilmu yang ada dalam Islam dan bagaimana faham ilmu itu boleh dijadikan asas penulisan kreatif dan kritikan sastera. Maka lahirlah Gagasan Persuratan Baru.  Sesiapa juga yang menentang PB dipersilakan dengan hormatnya mengemukakan pendapat anda sendiri tentang tujuan, matlamat dan proses untuk mencapai kedua-duanya dalam sastera Melayu.

Penjajahan intelektual yang dihadapi oleh para sarjana sastera dan para sasterawan Malaysia menjadikan mereka berjiwa hamba, bangga menjadi pengikut tokoh sastera Barat walaupun dari segi sejarah intelektual, Islam yang menjadi pegangan mereka selama 700 tahun menguasai Sepanyol dan memulai kemajuan Eropah dalam semua bidang ilmu moden yang kita kenal sekarang. Bagi gerombolan sastera Malaysia ini, hanya teori Barat yang mereka kenal secara  dangkal itulah satu-satunya kaedah yang sesuai digunakan dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera di Malaysia.  Bila mereka diperkenalkan kepada Gagasan Persuratan Baru, mereka meludah marah kerana kata mereka PB menghina kedudukan para sasterawan negara sebagai lambang kemajuan sastera di Malaysia, dengan mengatakan bahawa para sasterawan negara itu semuanya sasterawan picisan, dan tidak sebuah pun daripada karya mereka yang dapat menandingi Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil.  Kerana gerombolan palsu ini menghina PB sebagai “teori sastera palsu yang dibuat-buat”,  maka mereka dengan angkuh berkata, jika PB dijadikan asas penulisan kreatif dan kritikan sastera Malaysia, di mana hendak diletak para sasterawan negara yang sudah membuktikan keistimewaan kedudukan mereka di arena sastera Malaysia? Jawapan saya mudah, seperti yang saya tegaskan dalam entri yang lepas, kita koyak saja karya para sasterawan negara ini dan bungkus dalam bungkusan yang kalis air lalu terus dilempar ke dalam Sungai Kelang untuk dikutip oleh pengutip sampah yang sentiasa memerhati dan menjaga kebersihan Sungai Kelang. Apa pula sikap kita terhadap Sungai Sastera Malaysia yang amat kotor dengan karya picisan dan karya pornografi/lucah yang ditulis oleh para sasterawan negara?  Kita hanya mempunyai satu pilihan saja: kita perlu buktikan once and for all bahawa PB hanya sejenis gagasan mengarut yang tidak ada asas teori sastera universal, yang kita dapat (kata mereka) dalam sastera Barat. Cadangan ini baik, tetapi terdapat satu masalah besar yang tidak sanggup dikunyah oleh para sarjana sastera dan sasterawan negara sendiri.  Masalahnya, tidak terdapat seorang pun di antara sarjana sastera yang dapat memberi kritikan ilmiah yang tuntas untuk menolak PB. Tidak seorang pun di antara mereka yang berani, dan sanggup, mendedahkan kebodohan mereka dengan mengkritik PB yang berada di luar kemampuan intelektual mereka.

Dengan halangan seberat itu, ada di antara mereka (siapa mereka sudah saya sebut beberapa kali dalam blog ini) yang menjadikan kedudukan mereka yang terhormat dan disanjung oleh kumpulan mereka sendiri, memberi kata putus untuk menyerlahkan kepalsuan mereka sendiri, dengan mengatakan sesiapa juga yang mengkritik kedudukan para sasterawan negara adalah “anjing kurap” (ini perkataan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan sasterawan ulung wanita  Malaysia yang menjadikan pornografi sebagai seni mengarang yang sah, seperti yang disahkan oleh Prof. Madya (UM) Dr. Norhayati Ab Rahman dalam tesis Ph.D. beliau di USM, ketika memuji Dr. Fatimah Busu) (tokoh ini kini masih menunggu giliran untuk digelar Sasterawan Negara, yang telah direbut oleh seorang perempuan lain berkat sokongan seorang Menteri Pendidikan ketika itu, yang terkenal dengan gelaran “menteri kasut hitam”!).   Mereka ini memang terkenal dengan keulungan sikap mereka yang membenci PB sebagai “gagasan karut” yang menghina sastera dan sasterawan Malaysia.  Kerana PB sudah diisytiharkan sebagai najis dalam sastera Melayu, maka PB tidak boleh disentuh atau dikritik lagi; kerana kalau tidak maka terpaksalah dibuat samakan intelektual dalam satu kongres besar yang dianjurkan oleh DBP. Kongres itu belum tiba masanya lagi untuk dibuat.   Kumpulan ini yang menganggap mereka berkuasa menentukan apa yang mereka mahu, akhirnya   terpaksa juga menerima hakikat bahawa konsep sastera yang mereka bawa sudah ketinggalan zaman, sudah pun mati sebagai satu gerakan intelektual kerana tidak mempunyai kekuatan intelektual untuk menolak Gagasan Persuratan Baru yang mereka tentang itu.  Tetapi kerja ini masih boleh dibuat dengan mudah, dengan dukungan dan sokongan para sarjana Barat yang menjadi idola mereka, yang menjadi ikutan mereka yang taasub.   Apakah yang perlu mereka buat? Kita akan bincangkan perkara ini pada kesempatan lain.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 31 Ogos 2020.              







Friday, August 28, 2020

KERANA RAMAI YANG TIDAK BACA RENCANA INI, SAYA SIARKAN KEMBALI

Keindahan Bahasa Berasaskan Konsep Ihsan
(Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hlm. 19-38, UKM, 2008)

Apakah perbezaan penggunaan “bahasa sastera” dengan “bahasa persuratan”? Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru sebagai satu kerangka analisis dan prinsip penulisan kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, maka pertanyaan ini amat penting kerana jelas sekali terdapat perbezaan antara bahasa sastera dengan  bahasa persuratan. Sebelum ini perbezaan ini tidak dapat dilihat dan tidak pun diberi perhatian, tetapi dengan adanya penekanan terhadap wacana yang bersifat ilmu denga cerita  yang bersifat peristiwa dalam tulisan kreatif yang dipanggil karya sastera, terdapat kecenderungan besar untuk menggunakan “bunga bahasa” yang berlebihan. Karya-karya kreatif sangat mewah dengan “bunga bahasa”, tetapi miskin dengan makna yang mendalam. Dengan itu kita lihat karya kreatif itu rimbun dengan “bunga bahasa” yang tidak berbuah, yang kelihatan “indah” dari jauh untuk sementara waktu saja. Bunga-bunga itu berguguran jatuh menjadi sampah sarap bila direnggut sedikit saja dengan analisis yang kritis, tidak tahan ujian apabila dibedah untuk mencari isi atau maknanya. Inilah sifat utama penggunaan bahasa dalam sastera, dalam karya-karya kreatif; dan inilah yang dipanggil oleh para sasterawan sebagai “keindahan bahasa”.

Konsep keindahan bahasa yang dipakai dan dibanggakan oleh para sasterawan, yang diikuti pula oleh para sarjana sastera, adalah konsep yang lemah dan bertentangan dengan sifat bahasa yang sebenarnya. Matlamat diajarkan bahasa kepada manusia oleh Allah SWT ialah untuk mengenal tanda-tanda kebesaran Allah di dunia dan dari pengenalan itu dapatlah dibaca makna tanda-tanda itu dalam kehidupan manusia. Pada hakikatnya, bahasa adalah penjelmaan makna taklif dalam kejadian manusia dan peranannya dalam dunia. Itulah yang ditunjukkan oleh al-Quran dalam peristiwa kejadian Nabi Adam ‘a.s. ketika dipertentangkan dengan malaikat yang mempersoalkan kejadian manusia jika dengan kejadian itu akan membawa huru hara dalam dunia. Penyelewengan bahasa yang pertama digunakan oleh Iblis ketika dia memperdayakan Nabi Adam ‘a.s. supaya melanggar perintah Allah Ta’ala tidak mendekati suatu pohon yang ada di dalam syurga. Allah Ta’ala berfirman kepada Nabi Adam ‘a.s.,  jika dilanggar juga perintah itu, maka baginda akan menjadi orang yang zalim. Iblis memujuk Nabi Adam ‘a.s. bahawa tujuan Allah Ta’ala melarang baginda mendekati pohon itu kerana pokok itu akan membuatnya kekal abadi di dalam syurga. (Baca episod ini dalam al-Quran, 2:30-39). Inilah bentuk hujah yang dipakai oleh para sasterawan dan sarjan sastera ketika mempertahankan perlunya “bunga bahasa” dalam tulisan kreatif, kerana tujuannya, seperti yang difahamkan oleh golongan sasterawan, ialah untuk mengekalkan “keindahan bahasa” karya itu dalam bentuk yang menyimpang daripada hakikat taklif, tetapi dekat dengan kemahuan hawa nafsu rendah yang dipengaruhi Iblis. Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam analisisnya tentang penggunaan bahasa Shahnon Ahmad, Arena Wati dan lain-lain Sasterawan Negara dan sasterawan biasa, seperti yang terdapat di dalam tesis kedoktoran beliau, menunjukkan bagaimana para sasterawan dengan sengaja dan sedar menggunakan bahasa erotik untuk merangsang nafsu berahi para pembaca, dengan itu menambah bilangan para pembaca dan penjualan novel mereka. Analisis Dr. Zariat terhadap dua buah novel Shahnon Ahmad yang dikatakan membicarakan aspek poligami dalam Islam, jelas menunjukkan bagaimana Shahnon Ahmad memilih penggunaan bahasa yang boleh menimbulkan keberahian dan hawa nafsu, bukan untuk membicarakan masalah poligami secara beradab. (Rujuk tulisan Dr. Zariat dalam Jurnal Ilmu Kemanusiaan, Jilid 12, Oktober 2005, hal. 75-102). Dengan berbuat demikian, Shahnon Ahmad mempermudah dan menyelewengkan persoalan poligami itu untuk hanya dikaitkan dengan keperluan hawa nafsu manusia. Pendekatan yang meniru kaedah Iblis menipu Nabi Adam ‘a.s. ini menjadikan penyelewengan  praktik poligami sebagai sesuatu yang digalakkan dalam Islam, dilakukan oleh kononnya orang-orang yang faham tentang Islam. Shahnon Ahmad secara sedar menjadikan poligami sebagai faktor, dan bukti, untuk mengkritik “penipuan” tokoh-tokoh agama. Dengan menggunakan poligami sebagai faktor dan bukti kejahatan orang agama, Shahnon Ahmad dapat berleluasa menggunakan unsur erotik dalam tulisannya. Dia menggunakan poligami untuk menulis novel picisan yang bersifat erotik itu. Semua keburukan penggunaan bahasa ini menjadi jelas dan dapat difahami jika analisis tentang keindahan bahasa itu diasaskan kepada konsep ihsan. Bahasa yang dipakai oleh para sasterawan untuk merangsang hawa nafsu rendah manusia bukanlah bahasa yang indah, bukan bahasa “berseni” seperti yang didakwa oleh Shahnon Ahmad dalam banyak tulisannya, dan penggunaan bahasa yang demikian bertentangan dengan sifat bahasa yang sebenarnya seperti yang disebut di atas. Bahasa yang demikian sifatnya menjauhkan manusia dari mengenal kebenaran, oleh itu dengan mudah akan melalaikannya, atau memberi gambaran palsu yang kaya dengan ilusi yang boleh menyesatkannya.
         
Penyelewengan bahasa ini biasanya tidak terjadi di kalangan penulis yang mempunyai latar belakang agama Islam. Abdul Rahim Kajai, pelopor cerita pendek Melayu dan Bapa Kewartawanan Melayu, dan penulis yang muncul kemudian seperti Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nasaruddin, Hamdam, Muhamamd Sallehuddin dan lain-lain, menulis karya kreatif mereka dalam bahasa yang sederhana, tetapi tetap memikat pembaca. Kesantunan bahasa mereka menjadikan karya mereka tetap menarik dan berjaya sebagai hasil kreatif. Penyelewengan bahasa ini terjadi hanya apabila ASAS 50 menguasai penerbitan akhbar di Singapura dan apabila mereka menulis karya-karya kreatif mereka. Contoh buruk mereka diikuti oleh sasterawan yang muncul kemudian, kali ini berselindung di sebalik istilah “eksperimen”. Mereka yang baru ini melakukan penyelewengan bahasa ini dalam konteks “bereskperimen” tadi. Penyelewengan bahasa ini sampai ke puncaknya dalam karya agung Sasterawan Negara Shahon Ahmad berjudul Shit.

Sastera Melayu moden mula hanyut dalam khalayan liar penggunaan “bunga bahasa” ini akibat terlalu terpengaruh dengan cara dan gaya penulisan sasterawan Indonesia yang mereka tiru. Adalah jelas bahawa hal ini terjadi apabila nilai-nilai agama ditinggalkan oleh para sasterawan dan mereka menjadi angkuh memperagakan sifat individualisme Barat yang dipengaruhi oleh sasterawan Indonesia. Hanya Keris Mas, yang mempunyai latar belakang pendidikan agama, terhindar dari pengaruh buruk ini. Bahasanya tetap sederhana, dalam bayangan Abdul Rahim Kajai walaupun mereka berdua amat berbeza dari segi lenggok bahasanya. Penyelewengan bahasa ini sampai ke puncaknya dalam karya Sasterawan Negara, kecuali dalam karya Noordin Hassan. Bahasa yang kaya dengan unsur erotik menjadi sebahagian daripada sifat “keindahan bahasa” golongan ini. Akhirnya ada di antara mereka yang begitu terpesona dengan kepintaran Iblis (Mephistopheles), atau paling kurang menerima kebiadaban seorang tokoh dalam cerita rakyat Si Tanggang untuk dijadikan tokoh ikutan, semacam peribadi unggul mengikut pensajak Melayu, kebalikan daripada yang diajarkan oleh Iqbal dalam syairnya.
         
Penggunaan bahasa dalam persuratan bukan untuk perhiasan seperti dalam karya sastera, tetapi untuk mempertajam dan menjelaskan makna yang ingin disampaikan. Oleh itu, walaupun digunakan perbandingan, kiasan, dan berjenis-jenis lagi ragam bahasa (seperti bahasa ibarat, tamsil, peribahasa dan sebagainya), penggunaan itu tidak hanya untuk perhiasan atau untuk mencari kelainan, tetapi untuk memperkuat makna dalam wacana yang dipilih, sama ada untuk bercerita atau untuk berhujah melalui puisi atau prosa. Penghujahan Iqbal dalam puisinya untuk membina peribadi yang unggul, dilakukan dalam konteks penggunaan bahasa yang terikat kepada taklif, oleh itu keindahan bahasa yang dipakainya memperkuat keyakinan kita kepada hakikat taklif dalam pembinaan peribadi yang unggul tadi. Penggunaan bahasa bercorak begini hanya dapat dicapai jika seseorang benar-benar faham hakikat taklif dan dia sekali gus faham pula dengan mendalam makna ihsan dalam perilaku manusia, dalam caranya beramal. Yakni dia faham dengan mendalam hakikat amal dalam ikatan taklif tadi. Oleh itu, walau apa pun tajuk bahasannya, dalam bentuk apa pun, tidak akan lari dari ikatan taklif tadi. Dia dengan itu menggunakan bahasa seperti matlamat sebenar bahasa itu diajarkan kepada manusia oleh Allah Ta’ala. Jika dia tersasar sekalipun, atau lalai (dalam contoh Nabi Adam ‘a.s.), dia akan kembali kepada hakikat taklif tadi. Di situlah dia mencari kekuatan dalam tulisannya dan kekuatan yang didapatinya dalam konteks itu tidak mungkin akan digugat oleh sesiapa dalam keadaan yang bagaimana sekali pun. Itulah hakikat karya persuratan yang sebenarnya. Itulah penggunaan bahasa yang paling indah. Selain dari itu hanya pura-pura saja, bukan sesuatu yang hakiki yang boleh dijadikan pegangan dan pengajaran, seperti yang ditunjukkan oleh para sasterawan dalam karya mereka.

Menurut para sasterawan, karya sastera adalah istimewa kerana “keindahan bahasanya”, dengan itu para sasterawan sendiri adalah golongan istimewa dalam menggunakan bahasa yang indah. Menurut mereka. Bahasa yang indah itu kaya dengan bunga-bunga bahasa seperti perbandingan yang pelik-pelik [contoh: S. Othman Kelantan dalam Pertentangan, hal. 51, 122: Dia memuncungkan mulutnya seperti jubur ayam baru lepas berak]; kaisan yang tajam menusuk kalbu [contoh: Kassim Ahmad dalam sajaknya “Sidang Ruh” (1960), Nanti akan padamlah dengan sendirinya/ lampu dari menara tinggi/ kerana di bawahnya orang sudah mabuk/ dan Tuhan sudah mati (dalam Kemarau di Lembah, 1967, hal. 74); atau yang kasar mencakar perasaan [contoh daripada Kawin-kawin oleh Azizi Hj. Abdullah, hal. 101: Maka mulalah dia asyik mengorek tahi telinga. Sekejap-sekejap korek hidung dan selebihnya cabut bulu ketiak…]; tamsil ibarat yang aneh-aneh [contoh: Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 80: sepanjang jalan awan bermain di tali langit/ berhenti, dan berarak/ seperti benang kembali jadi kapas/ kabus berguling di bantal lembah]; bahasa berirama yang mendayu-dayu [contoh: Sasterawan Negara Usman Awang dalam Gelombang, hal. 82: Adikku manis, mari kita nyanyikan lagu baru/ Betapa senangnya dada dan teguhnya hatimu/ Cinta bukan sekadar keberanian berjanji mata/ Hidup mesti berdetik meski cuma sekali]; ungkapan istimewa yang luar biasa dan tidak pernah ditemui sebelumnya [contoh: Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 76: Seperti penjala/ aku menangkap setebar daerah/ dan ikan langgam makna]; perulangan merdu dan cantik [contoh (sama ada ini cantik atau apa terpulang kepada pembaca menimbangnya): Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, hal. 77: Petangnya mereka tiga beranak turu lagi. Pagi besoknya turun lagi. Petang besoknya turun lagi. Pagi lusanya turun lagi. Petang lusanya turun lagi];  pembentukan ayat yang istimewa, misalnya ayat yang pendek-pendek atau yang panjang-panjang [contoh: (yang pendek-pendek) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, hal. 129: Jeha kena diubati. Hari ini dia tunjuk teteknya. Besok dia tunjuk punggungnya. Lusa dia tunjuk kemaluannya. Dan kemudian lagi Jeha akan telanjang terus]. Ayat-ayat pendek begini menjadi kegemaran Shahnon, Fatimah Busu, Azizi Hj. Abdullah dan S. Othman Kelantan, dengan Shahnon Ahmad sebagai Tuk Guru dan pelopor ayat-ayat kontot dalam sastera Melayu moden. Abdullah Hussein dan Arena Wati menggemari ayat-ayat panjang, sesuai dengan ketokohan mereka sebagai tukang cerita yang unggul.

Ayat-ayat yang biadab dan kurang ajar begini diberi nilai positif sebagai ayat-ayat yang indah dan ‘puitis’ oleh pengkritik dan sarjana, dan amat disanjung oleh para sasterawan [contoh: Aku ini binatang jalang/ dari kumpulannya terbuang, dari Chairil Anwar, yang diterima sebagai ucapan paling indah dalam ‘puisi’ Indonesia kerana ucapan itu melambangkan perjuangan rakyat; di Malaysia kita dapat ucapan ini daripada Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh: Aku sudah belajar/ jadi kurang ajar, dalam sajaknya “Pulang Si Tenggang”  (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 223) yang melambangkan penemuan dirinya sebagai intelektual Melayu setelah berada di luar negeri dalam jangka masa yang lama untuk belajar, khususnya untuk mendapat gelar Doktor Falsafah dalam sastera; terjemahan bahasa Inggeris oleh penulis sendiri jauh berbeza: I’ve learnt/ the ways of the rude (termuat dalam Selected Poems and Short Stories, Form 4, sebuah buku teks). Adakah makna dalam bahasa Melayu sama dengan yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris? Di sinilah kaedah analisis berasaskan konsep ihsan tentang keindahan bahasa dalam sajak (atau sebarang karya kreatif) akan menghindarkan kita dari terpesona dengan ilusi palsu seperti yang dialami oleh Ratu Balqis, seperti yang akan dijelaskan nanti). Ucapan seumpama itu tidak dianggap biadab atau kurang ajar dalam sastera moden kerana  itulah luahan emosi paling halus dan jujur seorang pensajak atau sasterawan. Semua ini dilihat dalam konteks perubahan nilai, oleh itu perlu diterima jika orang ingin bersastera.

Hanya kaum sasterawan sahaja dibenarkan berbuat demikian (seperti dalam contoh-contoh ringkas di atas), kerana karya kreatif yang mereka cipta memerlukan permainan bahasa yang paling tinggi, dengan itu karya itu akan bermutu tinggi dan digemari oleh pembaca. Menurut para sasterawan, bahasa yang indah wajib ada di dalam karya kreatif, oleh itu setiap sasterawan wajib menggunakan bahasa berbunga yang menjadi asas keindahan bahasa sastera. Novel Kawin-kawin  oleh Azizi Hj. Abdullah yang memenangi Hadiah Sako II adalah contoh terbaik keindahan bahasa sastera, menurut panel penilai peraduan ini dalam laporan mereka. Oleh itu sesiapa juga yang ingin melihat bagaimana keindahan bahasa di dalam karya kreatif wajib membaca novel ini. Demikian juga semua karya para Sasterawan Negara, telah diakui oleh panel penilai sebagai kemuncak keindahan bahasa dalam sastera Melayu moden. Wajarlah jika semua karya mereka wajib dibaca oleh semua orang yang tahu berbahasa Melayu.

Tetapi terdapat pula sekumpulan penulis tidak mementingkan permainan bahasa untuk mencapai keindahan isi tulisan mereka, sebaliknya menggunakan bahasa dengan cermat untuk melahirkan pemikiran yang mendalam, yang sering kali mempunyai unsur falsafah dan kebijaksanaan.

Perhatikan pula contoh-contoh berikut:

Orang berwatak kuat, yang menguasai diri sendiri
Akan menikmati setiap nasib datang kepadanya
Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya
Dia akan berusaha menggempur langit angkasa
                                                                      (Iqbal)
[Dalam Asrar-i-Khudi (Rahsia-rahsia Peribadi), terjemahan Bahrum Rangkuti, hal. 152]

Kau mencipta malam dan aku mencipta lampu
Kau menjadikan tanah liat, aku membentuk cawan
Kau mencipta hutan, padang dan bukit
Dan aku membuat batas bunga, halaman dan taman.
                                                                      (Iqbal)

Jika kita tidak memahami sesuatu perkara, jangan dusta:
Sehingga menolak kefahaman lebih afdhal, lagi wibawa
Sehingga memfitnah mereka yang lebih aula dan mulia
Sehingga kita terus tergelincir ke lembah gelap dan hina
Terperangkap dalam lumpur hasad, ghulat dan prasangka.
                                                                      (Wan Mohd. Nor Wan Daud)
[Dalam kumpulan sanjaknya, Mutiara Taman Adabi]

Sekalian Imam besar Islam zaman dahulu itu walau ‘Imam-imam Mujtahidun’ pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka tidak bersifat maksum itu. Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama. Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-segala pendapat fahaman mereka. Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata, ‘Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!’

[Za’ba dalam kitabnya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (Risalah Kedua), DBP 1982, hal. 26]

Angin pulang menyejuk bumi
Menepuk teluk mengempas emas
Lari ke gunung memuncak sunyi
Berayun alun di atas alas

[Amir Hamzah dalam sanjaknya, “Berdiri Aku”. Perhatikan perkataan ‘pulang’ yang sangat indah ditempatkan dalam kutipan itu, yang memberi makna semuanya akan kembali ke tempat asal sambil meninggalkan kesan tersendiri (Sila rujuk kumpulan sanjak Amir Hamzah dalam Buah Rindu, hal. 49, edisi Malaya 1963).

Jikalau kita membandingkan dua kelompok contoh “keindahan bahasa” itu, kita dapati kelompok pertama yang mewakili para sasterawan lebih cenderung untuk “bermain dengan bahasa” untuk meluahkan emosi mereka; manakala kelompok kedua berusaha menggunakan bahasa yang tepat untuk menyampaikan pemikiran mereka. Inilah perbezaan penggunaan bahasa antara kelompok persuratan yang diwakili para pengarang dengan kelompok sastera yang diwakili para sasterawan. Perbezaan ini perlu ditekankan di sini kerana kesannya dalam penulisan kreatif dan penilaiannya menghasilkan dua jenis karya yang berbeza. Dalam konteks yang dirumuskan dalam gagasan Persuratan Baru, karya yang mengutamakan “luahan emosi” adalah karya sastera; manakala karya yang mengutamakan pemikiran dalam bentuk wacana yang tersusun berdasarkan konsep ilmu yang benar adalah karya persuratan. Pembahagian ini tidak dapat dielakkan kerana dari segi penilaian, status karya sastera itu tidak sama dengan status karya persuratan. Yang menentukan status dua kategori karya ini bukan keindahan bahasa yang digunakan, tetapi bagaimana keindahan bahasa itu dijelmakan, yakni sama ada untuk meluahkan emosi atau menyampaikan pemikiran. Seperti yang disebut lebih awal, karya sastera memang kaya dengan “keindahan bahasa” yang diperolehi daripada “permainan bahasa” untuk meluahkan emosi, dengan memberi tumpuan kepada cerita; sementara karya persuratan mengutamakan pemikiran dan analisis, dengan memberi tumpuan kepada wacana berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam karya persuratan, keindahan bahasa dibebaskan seluas-luasnya untuk mencakup seluruh kegiatan intelektual para pengarang, tidak lagi terbatas kepada karya kreatif yang dipanggil karya sastera seperti sajak, novel, drama dan sebagainya. Oleh sebab itu, huraian tentang keindahan bahasa dalam karya persuratan mencerminkan sifat taklif yang menjadi asas terciptanya karya tadi; dan ini hanya dapat dicapai dengan menggunakan konsep ihsan sebagai asas keindahan bahasa yang hakiki. Perlunya dibezakan “keindahan bahasa yang hakiki” dalam karya persuratan dengan “keindahan bahasa sebagai permainan bahasa” dalam karya sastera adalah penting dari segi penilaian yang akan menentukan status kedua-dua kategori karya itu. Dalam hal ini, wajar jika diimbas kembali peristiwa Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. Kekeliruan yang dihadapi Ratu Balqis terjadi kerana baginda terpesona dengan keindahan seni bina yang halus hasil para tukang yang mahir, sehingga baginda sanggup melakukan sesuatu yang mengaibkan dengan mengangkat kainnya untuk menyelamatkan “maruahnya”; padahal dengan berbuat demikian baginda mendedahkan kesilapan yang tidak disedarinya, yang berpunca dari kebiasaan tindakannya dalam menentukan keputusan yang diambilnya betul dari segi pengalamannya yang terbatas. Apabila ditegur Nabi Sulaiman ‘a.s., baginda sedar akan kesilapannya dan terus menerima kebenaran yang sebelumnya terlindung kerana terpesona dengan penglihatan biasa. Dalam konteks keindahan bahasa yang dibicarakan di sini, peristiwa Ratu Balqis ini lumrah terjadi dalam penilaian karya sastera, apabila para penilai (sama ada pengkritik atau sarjana, atau pembaca umum) terpesona dengan permainan bahasa para sasterawan, sehingga menganggap permainan bahasa itu adalah keindahan bahasa yang hakiki. Inilah yang menyebabkan mereka menerima karya picisan sebagai karya yang bermutu yang layak diberi kedudukan tinggi, seperti yang dilakukan oleh panel penilai Anugerah Sastera Negara dan lain-lain panel (misalnya panel yang menganggap novel Kawin-kawin sebagai novel bermutu). Kekeliruan ini tidak akan terjadi jika konsep keindahan bahasa itu diasaskan kepada konsep ihsan.

Konsep ihsan  yang dipakai di sini diambil daripada dua buah hadis terkenal. Kedua-dua hadis sahih ini terdapat dalam koleksi Hadis Empat Puluh  yang dipilih Imam Nawawi, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ustaz Mustaffa Abdulrahman (R.A) (cetakan Jawi, Dewan Pustaka Fajar, 1988) yang diberinya syarahnya sekali; manakala terjemahan dalam bahasa Inggeris dilakukan oleh Dr. Ezzeddin Ibrahim dan Denys Johnson-Davies (Abdul Wadud) (diterbitkan 1976). Hadis pertama (hadis no. 2 dalam koleksi) menghuraikan makna Islam, iman dan ihsan. Penjelasan Dr. Ezzeddin tentang ihsan diterangkan oleh beliau seperti berikut: “Dictionary meanings for ihsan include ‘right action’, ‘goodness’, ‘charity’, ‘sincerity’, and the like. The root also means ‘to master or be proficient at’ and it is to be found in this meaning in Hadis 17 of the present collection.” (hal. 30, nota 5). Ustaz Mustaffa Abdulrahman pula menjelaskan: “Ihsan menurut pengertian bahasa, berbuat kebaikan kepada orang lain atau mengerjanya dengan baik sesuatu perbuatan” (nota 2, hal. 112). Dalam konteks hadis kedua, ihsan ialah “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak dapat melihat akan Dia, maka sesungguhnya Ia melihat engkau.” (hal. 112). Dalam Hadis 17, ihsan menurut Dr. Ezzeddin ialah “proficiency” dalam pekerjaan. Terjemahan Ustaz Mustaffa Abdulrahman pula berbunyi: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhannya. Dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya, dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihannya.” (Kedua-dua hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya).  Ustaz Mustaffa memberikan ulasan yang panjang dan menarik kepada Hadis 17 ini, dengan menegaskan bahawa makna ihsan itu sangat luas, meliputi semua perbuatan manusia, malah menjadi salah satu asas pembinaan tamadun Islam (hal. 220-225). Penjelasan Ustaz Mustaffa adalah menarik, terutama sekali apabila dikaitkan dengan kegiatan para sasterawan. Seperti yang sering didakwa oleh para sasterawan, dan diterima pula oleh masyarakat umum, kegiatan kreatif para sasterawan memberi sumbangan besar dalam pembinaan tamadun bangsa. Bagaimana matlamat dakwaan ini apabila dilihat dalam konteks ihsan seperti yang dihuraikan oleh Ustaz Mustaffa Abdulrahman dan Dr. Ezzeddin? Adakah sumbangan para sasterawan itu memenuhi ukuran yang dibayangkan dalam konsep ihsan? Pertanyaan kedua ini sangat penting kerana jawapannya akan menentukan status karya sastera yang sebenarnya dalam pembinaan tamadun manusia. Di bahagian lain dalam buku ini (lihat bab III), ada dikutip pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang sumbangan sebenar para sasterawan ini, yang dianggap olehnya sebagai golongan pinggiran yang tidak kenal kebudayaan sendiri dan tidak pula kebudayaan Barat yang mereka tiru. Menurut Prof. Al-Attas, mereka adalah golongan yang “cetek meraba-raba”. Jika benarlah kesimpulan Prof. Al-Attas, bagaimana golongan yang “cetek meraba-raba” itu berupaya membina peradaban bangsa? Kesimpulan Prof. Al-Attas belum lagi ditolak oleh para sasterawan, pengkritik mahupun sarjana sastera, walaupun telah dikecam hebat oleh Prof. Ismail Hussein, Ketua I GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Malaysia), dalam reaksinya yang cukup emosional. Menurut beliau, pandangan mencemuh (menurut anggapan beliau) Prof. Al-Attas mengetepikan pencapaian ratusan sasterawan Melayu-Indonesia, dan mengetepikan segala macam masalah perkembangan sastera Melayu baru. Beliau menegaskan: “Beliau [Prof. Al-Attas] mimpikan satu macam utopia yang sebenarnya belum pernah tercapai oleh negara-negara yang mempunyai tradisi kebudayaan yang lebih besar dan lebih tinggi. … Ini sikap yang sama sekali tidak akademis.” (Utusan Malaysia, 29/3/1972).

Berasaskan pandangan emosi Prof. Ismail Hussein, ada baiknya kita lihat apakah yang dilakukan oleh para sasterawan itu sebenarnya. Seperti yang ditunjukkan oleh para panel penilai anugerah sastera dalam laporan mereka, para sasterawan yang diangkat menjadi Sasterawan Negara itu pada umumnya adalah golongan yang hanyut dalam keghairahan mereka meniru dan menyebarkan nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam, seperti yang boleh kita lihat dengan jelas ketika para penilai ini menyanjung karya-karya picisan, karya-karya yang tidak mencerminkan nilai-nilai moral yang baik, malah bagi mereka sebuah karya yang mementingkan moral adalah karya yang tidak bermutu. Menurut mereka, karya yang bermutu itu mestilah memperlihatkan kelainan dan kaya dengan peniruan teknik dari Barat, yang tidak mempunyai perutusan moral yang jelas (lihat terutamanya Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 1985). Oleh itu, tanpa disedari, para ahli panel itu membenarkan kesimpulan Prof. Al-Attas tadi.

Berasaskan konsep sastera yang memartabatkan kejahatan manusia dan perilakunya, seperti yang diakui oleh panel Anugerah Sastera Negara dengan menerima karya-karya picisan, maka konsep keindahan bahasa yang dipegang dan dipakai oleh para sasterawan merujuk kepada keinginan dan pemuasan hawa nafsu rendah manusia, para sasterawan dan watak-watak atau idea ciptaan mereka. Malah menurut mereka, kesusasteraan itu adalah bahasa yang indah, milik khusus apa yang dinamakan karya kreatif seperti novel, sajak, drama dan lain-lain. Tidak ada keindahan dalam janru (istilah Jepun untuk genre) lain yang bukan bersifat seni, misalnya tidak terdapat keindahan bahasa dalam tulisan ilmiah, dalam bahasan falsafah dan sebagainya. Hujah ini tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan sifat bahasa dan cara manusia menggunakan bahasa. Manusia menggunakan bahasa untuk memberi makna paling tepat dan indah dalam kehidupan berbudaya, dalam tamadun mereka. Hal ini disedari oleh penyelenggara Hadiah Nobel, yang telah memilih tokoh-tokoh bukan sasterawan untuk diberi Hadiah Nobel untuk sastera seperti Bertrand Russell, Winston Churchill dan lain-lain, kerana keindahan bahasa yang terdapat di dalam buku-buku mereka. Takrif keindahan bahasa berasaskan hawa nafsu dan emosi manusia yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia telah menyempitkan makna keindahan bahasa itu dari segi luaran, dari segi penggunaan metafora yang tidak terkawal, kiasan yang aneh-aneh, perbandingan yang pelik (contoh paling terkenal: “Dia memuncungkan mulutnya seperti jubur ayam lepas berak”, ciptaan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan) untuk hanya berlegar dalam kandang yang kecil, yakni kandang emosi dan hawa nafsu. Tentu saja konsep keindahan begini sangat sempit, cacat, cetek, dan salah, bertentangan dengan cara otak manusia berfungsi.

Dalam konteks yang difahami oleh para sasterawan dan sarjana  sastera, apa yang disebut “keindahan bahasa” itu pada dasarnya adalah “permainan bahasa”, oleh itu sifatnya artifisial, cetek, sengaja diada-adakan untuk mendapat perhatian, diusahakan untuk menjadi hiasan (bukan untuk mempertajam makna, seperti jelas dalam sajak “Cinta” oleh Usman Awang), dan lain-lain sifat ucapan yang tidak mengarah kepada pemikiran mendalam, tetapi hanya pemerhatian yang cetek dan sepintas lalu (seperti dalam contoh “jubur ayam” ciptaan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh memberikan contoh terbaik tentang pemerhatian cetek dan sepintas lalu dalam sajak-sajak beliau yang berupa catatan perjalanan beliau. Dari situ jelas usaha beliau “memainkan” bahasa, bukan “memperdalam” makna seperti yang kita lihat dalam penggunaan perkataan “pulang” dalam sanjak Amir Hamzah. Memainkan bahasa dalam konteks ini adalah sifat sastera yang amat dikagumi oleh sasterawan. Aspek ini dihuraikan dengan lebih mendalam oleh Sheikh Abu Hassan Ali Nadwi, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Adli Hj. Yaacob dalam kertas kerjanya yang dibentangkan di Seminar Internasional Tentang Bahasa al-Quran dan Penafsirannya, anjuran Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Jakarta, 7-9 September 2006. Judul kertas kerja beliau ialah “Sastera Islam dan al-Quran: Analisis Terhadap Konsep dan Teori Sastera Islam Moden oleh Beberapa Sasterawan Melayu di Malaysia”. [Termuat dalam prosiding seminar, hal. 264-295].

Abu Hassan Nadwi berpendapat, permainan bahasa yang disebut karya sastera itu menyukarkan sastera, menjadikan usaha sedemikian hanya untuk mencapai tujuan peribadi semata-mata. Yakni untuk bermegah-megah memperlihatkan “kelincahan” dalam permainan bahasa tadi. Bagi Ali Nadwi, usaha begini adalah dibuat-buat, oleh itu beliau menggelarkan sastera jenis ini sebagai “sastera buatan” (terjemahan Dr. Adli untuk istilah Ali Nadwi “al-adab al- sina’i”). Sastera buatan ini bertentangan dengan “sastera tulen” (al-adab al-tabi’i) menurut kategori Ali Nadwi. Beliau kesal sastera tulen yang disebutnya itu tidak mendapat perhatian para sasterawan, yang lebih seronok bergelumang dalam permainan yang diada-adakan dalam sastera buatan tadi. Yang menarik di sini ialah apabila istilah yang digunakan Abu Hassan Ali Nadwi itu hampir sama dengan istilah “genuine literature” yang menjadi terjemahan kepada Persuratan Baru. Abu Hassan Ali Nadwi memberikan huraian yang lebih mendalam kerana beliau adalah seorang ulama Islam. Bagi saya, hal ini terjadi bukan secara kebetulan, tetapi terhasil dari kajian dan pemikiran terhadap sumber yang sama. Saya tidak membaca tulisan-tulisan Abu Hassan tentang sastera, oleh itu persamaan maksud dalam dua usaha yang berasingan ini bagi saya adalah bukti wujudnya prinsip-prinsip umum penulisan berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditekankan oleh gagasan Persuratan Baru. Ini juga merupakan satu bukti bahawa usaha membina persuratan Melayu berteraskan tauhid itu mempunyai dasar yang kukuh. Dari perspektif ini, keindahan bahasa yang hakiki, yang tulen, yang sesuai dengan sifat sebenar bahasa yang indah, bukanlah hanya permainan untuk memperagakan kelainan seperti yang amat dibanggakan oleh para sasterawan. Bahasa yang indah ialah bahasa yang kaya dengan makna, hasil dari pemikiran mendalam dan renungan yang dilakukan dengan sedar untuk mendapatkan makna yang paling tepat dan indah. Buktinya dapat dilihat dalam contoh-contoh dari Iqbal dan Wan Mohd. Nor. Permainan bahasa yang dikelirukan oleh para sasterawan sebagai keindahan bahasa pada hakikatnya hanya merupakan sejenis ilusi yang mengkhayalkan, yang dari segi makna hanya berupa buih-buih terapung yang terhasil dari bakaran emas ketika tukang emas berusaha mendapatkan emas tulen dengan membakarnya. Emas tulen itu berada di bawah buih-buih tadi, tidak kelihatan, tetapi diketahui oleh tukang emas. Wan Mohd. Nor Wan Daud menggambarkan hakikat ini dalam baris sanjaknya seperti berikut (Mutiara Taman Adabi, hal. 10-11).

Masih bernilai hikmat Sa’di
Debu – walau ditiup ke langit tinggi
Tiada bertambah mutu nilainya
Tetap debu hakikat asalnya.

Intan – walau dipendam di laut dalam
Bagai Nabi Yusuf di penjara sultan
Mustahil ‘kan hilang nilai nan tinggi
Bagi mereka yang bermata jauhari.

Masalah yang kita hadapi dalam membicarakan konsep keindahan bahasa ini ialah orang-orang yang bermata jauhari itu terlalu sedikit, oleh itu ramai yang terpesona dengan buih lalu meninggalkan emas yang tersembunyi di bawah buih itu. Dengan itu mereka memuji kekosongan makna dalam limpahan buih seperti yang terdapat dalam sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh, Usman Awang (khususnya sajak beliau “Cinta” yang kaya dengan buih kata yang kosong, seperti buih sabun mainan kanak-kanak). Permainan bahasa yang melahirkan “ungkapan buih yang kosong” itu telah ditegur oleh Za’ba dengan memberi amaran kepada para penulis supaya mengelak diri daripada perbuatan “mengada-ada” dalam memakai bahasa kiasan (Ilmu Mengarang Melayu, Edisi Jawi, hal. 229-231). Beliau memperingatkan supaya menjauhi daripada “memakai bahasa kiasan yang terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya”; juga tidak memakai bahasa kiasan yang tidak bererti kepada pembaca; memahami bahawa bahasa kiasan hendaklah dipakai kena pada tempatnya; dan tidak “bersengaja-ngaja hendak memakai bahasa kiasan, supaya sentiasa munasabah dan tidak kelihatan mengada-ada saja”. Nasihat yang baik ini dicemuh oleh para sasterawan, seperti yang dapat dilihat dalam karya mereka, terutama yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Yang diutamakan oleh para sasterawan dalam kononnya mencapai “keindahan bahasa” itu ialah sekadar memberi gambaran luaran, yang sifatnya seperti buih terapung: maka lahirkan perbandingan “jubur ayam” daripada Sasterawan Negara dan sarjana sastera S. Othman Kelantan, atau misalnya seperti “sapu lidi” daripada Idrus (penulis Indonesia yang mabuk perbandingan yang ditiru oleh S. Othman Kelantan, yang mendapat restu dan perasaan kagum H.B. Jassin). Sebaliknya, keindahan bahasa yang hakiki, yang berasaskan konsep ihsan, menggambarkan makna yang mendalam melalui ungkapan yang sederhana seperti dalam contoh-contoh yang dipaparkan di atas (oleh Iqbal, Za’ba dan lain-lain). Contoh terbaik ialah karya Sayidina Ali yang terkenal, berjudul Nahjul Balaghah, kini sudah terdapat terjemahan Inggeris dan bahasa Indonesia.

Dengan melihat aspek keindahan ini dalam konteks ilmu yang benar tadi, maka keindahan tidak lagi terbatas kepada keperluan emosi manusia yang didorong oleh hawa nafsunya; tetapi terbuka luas untuk dicanai dalam apa juga pengucapan bahasa, baik lisan, tulisan, karya seni, mahupun ciptaan yang bercorak ilmiah. Dalam konteks inilah keindahan bahasa itu harus dilihat daripada perspektif ihsan, iaitu kesempurnaan amal perbuatan manusia. Menurut pendapat Shah Wali Allah, manusia terikat kepada taklif, dan ini dicirikan oleh tiga ciri yang menjadi rahsia taklif: iaitu keadilan, ilmu pengetahuan dan ikhtiar. Sesuatu perilaku manusia hanya dapat dikatakan adil jika diasaskan kepada konsep ilmu yang benar; dan dari ilmu yang benar itulah manusia membuat pilihan melalui ikhtiar yang dilakukan oleh akal yang terdidik dalam konsep ilmu yang benar tadi. Jika ketiga-tiga ciri ini berada dalam perilaku manusia, maka dia akan mencapai darjat ihsan tadi, yakni kesempurnaan amal perbuatannya. Dan inilah keindahan hakiki yang diajarkan dalam Islam, yang harus dicapai oleh semua manusia beriman, termasuk para sasterawan, pengkritik dan sarjana. Jika konsep ihsan ini dijadikan paksi dalam mencorakkan keindahan bahasa, maka yang terhasil nanti ialah hasil seni yang membuat manusia berasa aman membacanya, atau menontonnya; tidak gelisah atau marah-marah seperti yang dihasilkan oleh konsep keindahan bahasa sastera yang berteraskan hawa nafsu itu. Tentulah sukar untuk mencapainya, maka itulah hasilnya dinamakan karya seni yang tinggi nilainya. Tidak saja hasilnya indah, bermutu, tinggi nilai seninya, malah akan membuat manusia sedar diri dan kedudukannya yang sebenar sebagai sejenis makhluk Allah SWT. Melalui konsep ihsan sebagai dasar keindahan bahasa ini, kita akan dapat menilai dengan senang, tepat, jitu dan objektif sebarang karya; dan kita dapat menentukan mutu serta kedudukannya. Kita tidak akan tertipu lagi untuk memuji sebuah sajak yang menyanjung syaitan, misalnya, atau yang memuja penderhakaan dan kejahatan seperti dalam dongeng Si Tenggang itu.

Sebarang teori kritikan sastera yang tidak berupaya membuat manusia sedar diri akan hakikat taklifnya, bukanlah sebuah teori yang berguna, oleh itu tidak layak digunakan untuk menilai sebarang hasil seni. Kecuali untuk bersenang-senang dengan hasil picisan, yang memang boleh saja dinilai dari perspektif teori berasaskan hawa nafsu itu. Jika kita terima sebuah ‘teori’ sebagai satu kerangka ilmu yang berguna untuk menjadi panduan, maka penegasan Iqbal ini perlu direnung dengan mendalam:

Tujuan ilmu dan seni bukanlah pengetahuan
Tujuan tamansari bukanlah putik dan kembang
Ilmu ialah alat bagi penjelmaan kehidupan
Ilmu ialah alat untuk mewujudkan peribadi
Ilmu dan seni ialah khadim bagi kehidupan.

[Terjemahan Bahrum Rangkuti, Asrar-i-Khudi, hal. 122].

Dalam epistemologi Islam, kita telah diajar untuk mengenal mana yang batil (palsu) dan mana yang hak (benar): Mengapa kita tidak mahu menggunakannya? Memilih kejahatan adalah satu penyelewengan. Sebaliknya, memilih kebaikan adalah keputusan paling bijak yang hanya dapat dilakukan oleh akal sihat yang dididik oleh taklif. Dalam konteks ini, keindahan bahasa adalah pancaran hakikat taklif tadi (yakni menyerlahkan sifat keadilan, ilmu pengetahuan, ikhtiar dalam bentuk pilihan terbaik), dengan itu hasilnya bercorak wacana yang memikat hati (yakni kaya dengan makna yang boleh diterima oleh akal sihat) yang terus menusuk kalbu (yakni mempunyai unsur kerohanian yang bersih dari sifat mengada-ngada); pendeknya hasil wacana tadi kaya dengan makna yang baik-baik dan bermanfaat, bukan untuk mencari sensasi yang bersifat hawa nafsu. Seperti yang ditegaskan Za’ba, pengarang yang demikian sampai ke peringkat menggambarkan “fikiran yang cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang berhias dan indah”. Memberi keutaman kepada wacana seperti yang dimaksudkan dalam gagasan Persuratan Baru, yang diiringi dengan cerita yang terkawal muatan peristiwanya, akan menghasilkan karya persuratan yang seluruh strukturnya dibina berasaskan konsep taklif yang akhirnya akan melahirkan keindahan bahasa yang memenuhi dua prinsip yang terkandung dalam konsep ihsan yang terkenal itu. Hadis 17 merujuk kepada kesempurnaan alat dan teknik (dalam ilmu persuratan merujuk kepada kemahiran yang tinggi dalam menggunakan bahasa); manakala Hadis 2 merujuk kepada kesempurnaan fahaman yang mendalam tentang hakikat taklif (dalam bentuk amal yang paling ikhlas). Dalam ilmu persuratan, konsep ihsan yang tersirat dalam kedua-dua hadis ini merujuk kepada kecanggihan teknik dan gaya yang dikuasai melalui pengalaman dan penguasaan ilmu yang benar. Berasaskan pengertian ini, keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan ditakrifkan dengan menggunakan dua prinsip tadi, oleh itu penggunaan bahasa dalam persuratan mengalami penapisan dari segi ilmu (dalam konteks bahasa yang indah itu penjelmaan daripada penguasaan ilmu yang mendalam), dan juga penapisan dari segi makna (dalam konteks bahasa yang indah itu mencerminkan kesempurnaan gaya dan kesopanan berbahasa). Dalam kesusasteraan seperti yang difahamkan oleh para sasterawan dan sarjana, “keindahan bahasa” ditakrifkan sepenuhnya berasaskan kemahuan hawa nafsu, yang hedonistik sifatnya, dengan matlamat dan tujuan yang jelas terarah kepada emosi dan hawa nafsu manusia yang paling rendah. Karya-karya para Sasterawan Negara memberikan contoh yang baik tentang “keindahan bahasa” yang bersifat hawa nafsu ini. Memang itulah sifat utama karya sastera. Hakikat ini dibuktikan dalam contoh yang diberikan di bawah tentang penyelewengan istilah dalam kritikan sastera.

Perbincangan tentang keindahan bahasa yang kabur dan merayau-rayau dalam khayalan para sasterawan dan sarjana sastera/pengkritik, sangat jelas bertentangan dengan kenyataan yang terdapat dalam karya sastera itu sendiri, yakni apa yang disebut sebagai keindahan bahasa itu bukanlah keindahan yang sebenarnya, tetapi hanya sejenis permainan bahasa yang tidak berteraskan hakikat ilmu dan tidak pula memperlihatkan pemikiran mendalam, atau hasil pengalaman yang luas dan disaring dari penelitian yang mendalam tentang epistemologi berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Kesimpulan ini boleh diuji dengan menganalisis penggunaan bahasa sasterawan dalam karya-karya mereka, terutama dalam karya-karya para Sasterawan Negara. Dalam hal ini, pandangan Prof. Harry G. Frankfurt tentang kegiatan yang bersifat bullshit yang berleluasa dalam masyarakat Amerika boleh membantu kita melihat persoalan ini dalam konteks bullshit yang dihuraikan oleh beliau. Kutipan ini boleh menjelaskan beberapa persoalan yang dihadapi di Malaysia sendiri. Kata Prof. Frankfurt:

Why is there so much bullshit? … Without assuming that the incidence of bullshit is greater now, I will mention a few consideration that helps to account for the fact that it is currently so great.

Bullshit is unavoidable whenever circumstances require someone to talk without knowing what he is talking about. Thus the production of bullshit is stimulated whenever a person’s obligations or opportunities to speak about some topic exceed his knowledge of the facts that are relevant to the topic. This discrepancy is common in public life, where people are frequently impelled – whether by their own propensities or by the demand of others – to speak extensively about matters of which they are to some degree ignorant (On Bullshit, hal. 62-63).

Dalam konteks ini, huraian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kekeliruan dalam konsep ilmu dan kehilangan adab yang akhirnya menjelmakan pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan, termasuk bidang akademik dan penulisan kreatif, cocok sekali dengan huraian Prof. Frankfurt tentang bullshit tadi. Dalam hal “keindahan bahasa” dalam karya sastera, kita juga perlu menentukan bahawa kita tidak berputar di sekeliling pendapat yang bersifat bullshit sebenarnya, yang cukup banyak kita temui dalam tulisan-tulisan pengkritik, sarjana dan para sasterawan.

Bagaimana bentuk analisis berasaskan konsep ihsan itu telah dilakukan oleh penulis ini dalam kertas kerjanya, bertajuk “Dari Danau ke Taman: Sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh dan Wan Mohd. Nor”, dikemukakan pada majlis Bicara Buku Mutiara Taman Adabi, karya Wan Mohd. Nor Wan Daud, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan DBP Wilayah Timur, diadakan di Kota Bharu pada 21 September 2003. Pembaca yang berminat bolehlah merujuk kertas kerja itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (kini boleh dibaca dalam pengenalan kumpuan puisi Mutiara Taman Adabi). Pembaca yang kritis dan tidak terpengaruh dengan pandangan umum, yang selalunya dikaitkan dengan ‘arus perdana’, akan mendapati bahawa terdapat tidak saja penilaian yang bersifat bullshit, tetapi juga karya kreatif, seperti sajak dan sebagainya, yang bersifat bullshit jika dianalisis dan dinilai berdasarkan gagasan Persuratan Baru.

Nota: Istilah bullshit dan perbincangan lanjut tentangnya boleh dibaca dalam buku Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016) diterbitkan oleh Himpunan Keilmuan Islam Hakim, dengan kerjasama Klasika Media Sdn. Bhd. (sekarang Akademi Jawi Sdn. Bhd.)





Thursday, August 27, 2020

TAK PAYAH MENYIBUK LAGI, DIAM SAJALAH BODOH…!!

 Sungai tidak boleh kotor, sastera Melayu boleh kotor dengan lambakan karya picisan dan sebagainya itu, seperti yang sudah saya bangkitkan banyak kali dalam blog ini. 
 

Itulah bunyi amaran kepada saya supaya tidak usah bicara apa-apa lagi tentang PB. Mesti sedar diri PB telah ditolak oleh sarjana sastera, dimusuhi oleh para sasterawan, dan orang-orang akademik yang terlibat dengan sastera pun sudah bosan dengan PB yang menyekat perkembangan sastera Melayu moden.  Kata mereka, PB menyekat kebebasan analisis dalam kritikan dan kebebasan mencipta karya kreatif. Kata mereka, PB pura-pura berasaskan konsep ilmu dalam Islam, dengan itu kata mereka PB sebenarnya mengkhianati Islam itu sendiri. Seterusnya mereka menegaskan, ketika sastera Melayu berpaksikan teori Barat sepenuhnya, tidak muncul pun seorang sasterawan yang menolak Islam atau mengkhianati Islam apatah lagi yang murtad; kata mereka SN Shahnon Ahmad yang menulis karya lucah dan pornografi itu pun berasaskan nilai-nilai Islam. Seterusnya kata mereka dengan bangga, seorang tokoh akademik yang terkenal dan sudah pun memenangi beberapa hadiah akademik hasil usaha akademiknya, yang membawa masuk dengan gagah perkasa teori feminisme dalam kritikan sastera Melayu, bernama Dr. Norhayati Ab. Rahman, telah memperkenalkan satu kaedah analisis yang baru dan segar dari segi akademik, yang kini terkenal sebagai the aesthetics of adultery. Lihat bukunya yang berasal daripada tesis Ph.D. dari USM. Beliau menjadikan feminisme sebagai teras analisisnya.

Satu nasihat yang baik dan jujur? Atau lebih tepat, satu amaran?  Nasihat atau amaran sama saja, kedua-duanya merupakan satu peringatan yang ikhlas daripada orang-orang yang mahu melihat kembalinya keadaan tenang dan saling mengerti, yang semuanya hilang setelah PB muncul dalam gelanggang sastera. Yang menariknya, kita sekarang berada dalam apa yang dipanggil “the new normal” akibat kemunculan Covid-19; maka kemunculan PB juga dianggap sebagai sejenis virus intelektual dalam sastera Melayu yang melahirkan a kind of the new normal dalam sastera. Maksudnya, PB adalah virus sastera yang akan melumpuhkan sastera Melayu jika tidak dimusnahkan once and for all!  Agaknya inilah maksud amaran yang diberikan oleh seseorang dalam entri bertarikh 21 Ogos 2020.  Sila baca amaran itu dan buatlah apa yang patut tentang amaran itu.

Sampai begitu sekali PB ditakuti? Dari satu sudut, amaran ini mungkin menjadi satu daya tarikan kepada para sasterawan dan sarjana sastera untuk tampil secara kontan memberikan pendapat mereka yang aggressive itu. Pada mulanya saya hanya bergurau saja apabila mencadangkan Pujangga Melayu dikoyak dan dilempar ke dalam Sungai Kelang (bagi yang duduk di KL) atau mana-mana sungai, dengan cara yang tidak membawa kekotoran kepada sungai.  Sungai tidak boleh kotor, sastera Melayu boleh kotor dengan lambakan karya picisan dan sebagainya itu, seperti yang sudah saya bangkitkan banyak kali dalam blog ini.  Sebarang usaha untuk memburukkan PB adalah satu perkara yang menarik, meskipun tidak baik, kerana perbuatan itu membuktikan dengan jelas nyata bahawa memang wujud anggapan buruk dan jahat terhadap apa juga percubaan untuk meningkatkan kualiti karya dan pemikiran dalam kritikan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. 

Untuk meringkaskan maksud saya mengenai persoalan ini, saya salin di sini satu kutipan panjang yang membicarakan aspek feminisme dalam sastera Melayu. Bacaan saya mengenai feminisme ini meyakinkan saya bahawa inilah masalah psikologi masyarakat Eropah yang hanyut dalam kekeliruan tentang peranan ilmu dan agama dalam kehidupan moden. Persoalan ini dibawa dengan gagah perkasa oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam kajian ilmiahnya yang kemudian diterbitkan sebagai sebuah buku.  Beliau memperkenalkan satu konsep baru dalam kajiannya mengenai keinginan seks wanita dan bagaimana dipuaskan. Beliau meneroka persoalan ini melalui kajian teks terhadap beberapa buah novel yang khusus membicarakan kehidupan wanita.  Kajian tentang feminisme ini menarik kerana kehidupan seks wanita dibogelkan habis-habisan, yakni satu kajian yang saintifik dan objektif. Saya namakan ini the aesthetics of adultery.  Adultery diberi tempat istimewa dalam buku Dr. Norhayati Ab Rahman ini, dikaitkan dengan feminisme, dan berasaskan itu maka adultery adalah satu kegiatan yang dibenarkan dalam perbincangan tentang wanita dalam konteks feminisme ini. Faham karut ini diberi penghormatan dengan memberikan dua hadiah penyelidikan kepada buku sarjana ini, dengan itu mengiktiraf kejahatan sebagai kegiatan biasa dalam kehidupan seseorang wanita yang berwibawa, yang tahu tempatnya di mana dalam sistem feminisme itu. Kalau anda tidak faham maksud saya, ulang membaca bahagian ini berapa puluh kali yang anda mahu dan lihat maknanya dalam kegiatan sastera  Malaysia.

Apakah wajah sebenar feminisme ini dalam sastera Melayu? Sekurang-kurangnya terdapat tiga wajah yang menonjol dan dapat dikesan dengan mudah: wajah kebetinaan, wajah keperempuanan; dan wajah kewanitaan. Inilah tiga wajah yang dimiliki oleh para sasterawan feminis dan sarjana feminis di Malaysia.  Inilah tiga gaya penulisan para penulis dan sarjana feminis di Malaysia. Gaya kebetinaan lebih keras, berterus terang, kasar, sensasi, dan pekat dengan bumbu seks yang dijadikan teras gaya kebetinaan ini. Antara contoh: novel Saman oleh Ayu Utami;  novel-novel Fatimah Busu, termasuk yang dikaji dalam buku ini, juga novel kontroversi beliau, Salam Maria (dalam novel ini unsur seks itu berada di bawah sedar pengarang sendiri).  Gaya keperempuanan lebih jelas unsur intelektualnya, terkawal emosinya, lebih lembut dan kadang-kadang agak sentimental, lebih sederhana dari segi pengolahan. Contoh: karya Adibah Amin,  Seroja Masih di Kolam. Adapun  gaya kewanitaan pula cirinya yang utama ialah “celoteh kewanitaan” yang selalunya bercorak gosip, biasanya diiringi humor dan sindiran kewanitaan yang suka menonjolkan diri atau bermegah dengan harta benda, termasuk suami yang kaya atau tampan dan diri wanita itu sendiri yang cantik dan menarik perhatian lelaki. Gaya kewanitaan ini agak mengada-ada dan berlebihan dari segi celoteh, tetapi selalunya menyenangkan pembaca kerana unsur hiburan di dalamnya. Walaupun bahannya mungkin serius, tetapi caranya lebih mirip kepada hiburan bersifat santai, menyembunyikan hedonisme dalam retorik kewanitaan yang memuja materialisme. Inilah gaya novel-novel Rosmini Shaari, termasuk yang dibicarakan di dalam buku ini.

Jika anda biasa dengan psikologi binatang, anda akan dapati rusa betina jenis moose yang bila sampai waktu mengawan, akan mencari yang jantan paling kuat, kencing di depannya untuk memberitahu dia telah bersedia untuk mengawan. Semua binatang betina hampir sama sifatnya. Seekor kucing betina sanggup mengawan dengan beberapa ekor kucing jantan dalam suatu kawasan untuk memastikan anaknya tidak dimakan oleh kucing jantan yang tidak mengawan dengannya. Anjing pun begitu, kita lihat anjing jantan sanggup menunggu giliran berjam-jam untuk mengawan. Kita lihat mawas (orang utan) agak lambat bergerak kerana berat, tetapi bila sampai waktu mengawan, mawas jantan akan mengalahkan semua pencabarnya untuk mendapat semua mawas betina di dalam kawasan kawalannya; ketika itu semua mawas betina akan beratur menunggu giliran untuk mengawan, dan mereka tahu kerana mawas jantan akan meraung dengan kuat untuk memberitahu kedatangannya. Jika anda membaca Saman, anda melihat semua perilaku ini. Malah Dr. Norhayati lebih khusus lagi memberitahu kita bahawa “Ayu Utami ialah seorang wanita muda moden serta berfikiran terbuka dan mendapati bahawa selama ini wanita hidup terkongkong serta tidak bebas mengungkap keinginan diri sendiri. Justeru, beliau ingin bersikap jujur dengan perasaan dan pengalaman wanita khususnya dalam soal seks. ... Beliau bersikap berani, terbuka dan jujur dalam menggambarkan soal seks wanita seperti pengakuannya dalam suatu temu bual, ‘Pertama, saya hanya mahu jujur. Kedua, saya tidak menampilkan seks sebagai cerita tentang seks tapi seks itu problem bagi perempuan. Misalnya, Yasmin dan Saman membicarakan seks dengan rasa bersalah. Seks jadi diskusi, bukan peristiwa’. Dalam konteks ini, beliau menjadikan penulisan sebagai satu bentuk pernyataan tentang kebebasan diri, penegasan identiti dan keperkasaan wanita. ... Sikap pengarang ini mencerminkan protesnya terhadap nilai-nilai sosiobudaya yang membezakan hak dan kedudukan wanita dalam soal seks. Justeru, keberanian dan keterbukaan dalam soal seks melambangkan satu bentuk penentangan pengarang terhadap dwistandard seks dan kepura-puraan seks dalam masyarakat.” (hal. 110).

Apakah yang ingin disampaikan oleh Dr. Norhayati? Kebebasan individu itu lebih penting daripada nilai-nilai sosiobudaya yang telah diterima dalam masyarakat dan telah dijadikan ukuran dalam menentukan kesopanan dan adab; oleh itu setiap individu yang berani melanggarnya adalah jujur, bersikap terbuka, dan bersedia melakukan perubahan radikal dalam masyarakat.  Adakah ini yang menjadi intipati feminisme? Jika betul, maka apa yang disebut sebagai kejujuran, perubahan radikal dan sikap terbuka itu pada hakikatnya adalah kebiadaban individu dan kumpulan yang rendah moralnya atau tidak bermoral. Contoh yang saya berikan dari dunia binatang tadi sebenarnya lebih bermoral dan lebih jujur, kerana itulah kehendak tabii dalam kelangsungan kehidupan binatang. Jika inilah yang cuba ditiru oleh manusia moden, atas nama feminisme atau apa-apa nama sekalipun yang membenarkan kebiadaban itu, maka feminisme bukanlah jawapan kepada masalah masyarakat (yang sebenarnya tidak dikenal pasti), tetapi mengundang mala petaka yang lebih besar apabila manusia dibawa untuk menjadi binatang demi kebebasan hawa nafsu. Dari segi semangatnya inilah falsafah feminisme Barat, jika anda membaca tulisan mereka baik yang terdapat di Perancis mahu pun yang terdapat di Amerika. Elaine Showalter, yang menjadi ikutan para feminis di Malaysia, memberikan pendapat beliau yang amat menarik tentang perkara ini,  yang bertentangan dengan gambaran yang diserlahkan oleh Dr. Norhayati, yang nampaknya tidak diberi perhatian atau tidak disedari oleh Dr. Norhayati. Inilah pandangan beliau, yang juga menjadi kesimpulan beliau:

“A theory based on a model of women’s culture can provide, I believe, a more complete and satisfying way to talk about the specificity and difference of women writing than theories based in biology, linguistics, or psychoanalysis. Indeed, a theory of culture incorporate ideas about women’s body, language, and psyche but interprets them in relation to the social contexts in which they occur. The ways in which women conceptualize their bodies and their sexual and reproductive functions are intricately linked to their cultural environments. The female psyhe can be studied as the product or construction of cultural forces. Language, too, comes back into the picture, as we consider the social dimensions and determinants of language use, the shaping of linguistic behaviour and cultural ideals. A cultural theory acknowledges that there are important differences between women as writers: class, race, nationality, and history are literary determinants as significant as gender. Nonetheless, women’s culture forms a collective experience within the cultural whole, an experience that binds women writers to each other over time and space. It is in the emphasis on the binding force of women’s culture that this approach differs from Marxist theories of cultural hegemony.” (Dari esei Elaine Showalter, “Feminist criticism in the wilderness”, dimuat dalam David Lodge ed. Modern Criticism and Theory: A Reader (1988), hal. 344-345.  Lebih baik jika anda baca buku Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The Intimate Connection Between Queer and Feminist Theory (2nd. edition, 2016.)

Pada mulanya saya hanya bergurau saja apabila mencadangkan Pujangga Melayu dikoyak dan dilempar ke dalam Sungai Kelang (bagi yang duduk di KL) atau mana-mana sungai, dengan cara yang tidak membawa kekotoran kepada sungai.  Sungai tidak boleh kotor, sastera Melayu boleh kotor dengan lambakan karya picisan dan sebagainya itu, seperti yang sudah saya bangkitkan banyak kali dalam blog ini.  Sebarang usaha untuk memburukkan PB adalah satu perkara yang menarik, meskipun tidak siuman, kerana perbuatan itu membuktikan dengan jelas nyata bahawa memang wujud anggapan buruk dan jahat terhadap apa juga percubaan untuk meningkatkan kualiti karya dan pemikiran dalam kritikan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. 

Membawa feminisme dalam kritikan sastera Melayu adalah satu pengkhianatan akademik yang perlu dikutuk. Islam memuliakan wanita, oleh itu amatlah celaka jika wanita Islam diberi racun yang telah membunuh kewarasan wanita Barat melalui kegilaan kepada feminisme itu. Islam memuliakan wanita, dengan penegasan bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Tidakkah ibumu itu seorang wanita? Celakalah ahli akademik yang mengajar ajaran songsang seperti feminisme itu kepada para pelajar universiti. Semua kegilaan ini boleh diatasi jika kamu, sebagai ahli akademik,  menjelaskan kepada para pelajar kamu makna ilmu dalam pendidikan dan kedudukan istimewa PB dalam memberi penjelasan yang mudah dan jelas tentang makna ilmu dalam kehidupan manusia, Islam atau kafir.  Jika anda faham makna ilmu dan kedudukannya dalam pendidikan, anda pasti akan terkencing ketakutan, sekiranya anda seorang Islam, dan sedar bahawa anda sudah lama berada dalam belantara teori Barat, yang membawa anda sesat meraba-raba dalam belantara akademik itu. Tidak ada sebab, tiada alasan langsung, untuk anda menolak peranan PB dalam pendidikan, sama ada yang bersifat sastera atau lain-lain disiplin.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 25/8/2020