Friday, August 24, 2018

PUJANGGA MELAYU DAN HADIAH NOBEL




Dalam entri yang lepas, saya menulis tentang konsep bebelan, maksud dan peranan konsep itu  dalam wacana ilmiah, dan bagaimana bebelan yang serius boleh mencerdikkan pembaca yang terbuka kepada wacana serius. Kali ini saya akan menggunakan konsep bebelan itu untuk berbicara tentang Hadiah Nobel dan bagaimana sasterawan Malaysia boleh menunjukkan kejujuran intelektual mereka untuk mengemukakan novel Pujangga Melayu dan karya saya dalam semua bidang yang saya ceburi melayakkan saya sebagai pemenang Hadiah Nobel pertama dari Nusantara.  Jangan tertawa dulu, sekiranya anda tidak membaca karya saya dengan kritis dan cuba menilainya dengan sehabis kritis yang terdaya oleh anda yang sebenarnya cetek meraba-raba, seperti yang saya jelaskan dalam entri yang lepas.  Jika anda mentertawakan cadangan yang serius ini, anda hanya mendedahkan kehitaman peribadi anda yang tidak mempunyai kejujuran intelektual dan tidak juga kejujuran sebagai manusia yang berbudi. Saya menggunakan istilah “budi” itu dalam konteks falsafah bangsa Melayu, ketika mereka berbicara tentang peranan para budiman dalam perkembangan ilmu di Nusantara. Siapakah golongan cendekiawan yang budiman itu? Kita semua berharap anda yang megah dengan kedudukan anda sebagai ahli akademik, yang bergelar profesor dan sebagainya, sudi memberi sedikit “pencerahan” (saya tidak suka istilah ini, tetapi menggunakannya juga untuk memudahkan kefahaman anda sendiri) supaya kita semua yang dungu-dunguan ini (tidak semuanya bermastautin di Dungun) boleh mendapat sedikit “pencerahan” yang dimaksudkan.  Di mana golongan cendekiawan yang budiman itu? Tidak mungkin mereka tidak ada di kalangan golongan terpelajar secara akademik dan diberi gelaran akademik yang hebat-hebat (misalnya, gelaran Profesor Emeritus!).  Mengapa persoalan ini penting? Jika anda belum tahu, inilah antara indicator yang sering digunakan ketika kita mahu menilai perkembangan intelektual dalam sesuatu masyarakat, termasuk dalam masyarakat Malaysia (atau tak perlu masuk?  oleh itu tidak perlukan sebarang indicator).

Jika anda seorang pembaca yang serius dan jujur, anda akan dapati entri blog ini banyak sekali mengemukakan isu-isu besar yang perlu diberi perhatian, dan dibahaskan dengan kritis. Apakah isu-isu besar itu? Oleh sebab anda telah mengetahuinya, jika anda membaca blog ini dengan kritis dan dengan kejujuran intelektual, maka tidak perlulah saya menyenaraikannya di sini. Sekadar contoh, untuk membantu anda memahami maksud saya, antara isu besar itu ialah peranan teori sastera Barat dalam  perkembangan sastera Melayu.  Sejauh mana teori Barat mempengaruhi penulisan kreatif dan penilaiannya? Ada orang berkata tidak terdapat apa-apa pengaruh tertentu, kerana menurut mereka para sasterawan Malaysia mempunyai keupayaan kreatif yang tinggi dan original ketika menulis karya mereka. Adakah ini benar? Dalam penelitian saya, yang telah saya paparkan banyak kali dalam blog ini dan dalam tulisan saya di tempat lain (dalam buku dan rencana, misalnya), kesimpulan anda itu karut, tidak dapat dibuktikan dengan hujah yang mantap jika anda membaca semua karya para sasterawan negara dengan kritis. Sayangnya sarjana dan pengkritik sastera, apatah lagi para sasterawan, tidak membaca dengan kritis dan solemn buku penting mengenai mereka berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009), karangan Prof. Ungku Maimuah Mohd. Tahir.  Jika anda membaca analisis ini, dan faham, anda akan dapati betapa kejap dan kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden, sehingga kita boleh berkata (seperti yang ditegaskan berulang kali oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka), bahawa tanpa teori Barat, tidak ada sastera Melayu.  Buku Prof. Ungku Maimunah membuktikan kesimpulan saya itu tepat dan inilah yang menjadi kebanggaan para sasterawan sendiri. Jika anda mahu bukti, anda perlu baca ulasan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap Naratif Ogonshoto, dan ulasan itu  diberi Hadiah Sastera Malaysia 2005. Kalau anda tidak faham membaca rencana itu, anda boleh bertanya beliau sejauh mana konsep pascamodernisme yang dibanggakannya itu bukan pengaruh Barat, tetapi ciptaan sasterawan dan sarjana Malaysia sendiri yang tidak berkaitan langsung dengan teori sastera Barat.  Saya boleh terima penafian karut ini jika anda memberikan hujah yang mantap yang membuktikan tiada pengaruh Barat. Apa yang perlu anda tanya ialah: Apa salahnya dengan pengaruh Barat?   Saya boleh tolong jawab pertanyaan itu dengan mudah. Pengaruh Barat itulah yang telah menyesatkan anda, apabila anda menolak konsep ilmu dalam penulisan dengan memberi alasan setiap penulisan adalah penjelmaan pemikiran yang mendalam berasaskan ilmu. Malangnya tidak seorang pun sasterawan negara memberikan penjelasan yang tegas dan meyakinkan mengenai aspek ini, oleh itu kesimpulan saya bahawa mereka tidak menjadikan ilmu sebagai teras penulisan kreatif adalah tepat dan benar.  Bagi semua sasterawan, yang disebut karya kreatif itu hanya merujuk kepada cerita, kepada imaginasi, tiada kaitan sama sekali dengan ilmu. Malah, kata mereka, ilmu itu sudah disebatikan dalam cerita. Timbulnya kesimpulan ini ialah selepas PB mencabar mereka tentang perkara ini, dengan itu mereka beranggapan mereka telah menolak cabaran PB dengan penegasan itu.  Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya telah membuktikan kesimpulan mereka hanyut dalam khayalan mereka sendiri, tidak berasaskan bukti dan hujah. Sila anda semua baca buku penting ini, sebelum anda memberi keputusan anda kepada kesimpulan saya itu.  Tidak salah untuk anda belajar sedikit daripada analisis orang lain yang mungkin bertentangan dengan pegangan anda yang belum lagi anda berikan hujah dalam analisis yang mantap. Saya masih mencari rencana dan buku yang membuktikan kesimpulan saya salah. Belum bertemu, nampaknya belum lagi ditulis.  Yang telah ditulis oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang Naratif Ogonshoto membenarkan kesimpulan saya. Ada pendapat lain?

Ada dua isu di sini yang membolehkan saya menulis kepada Sekretariat Anugerah Nobel. Pertama, jika pengaruh Barat itu kuat, menjadi asas sastera Melayu, maka memang ada alasan untuk mengemukakan karya para sasterawan negara sebagai layak diberi pertimbangan untuk mendapat Hadiah Nobel.  Kedua, dan ini yang lebih penting, jika pengaruh itu telah dicabar dan telah pun dibuktikan dalam karya yang telah pun diterbitkan, maka lebih lagilah munasabah jika karya Mohd. Affandi Hassan diajukan kepada Sekretariat kerana karya beliau asli dan berasaskan konsep ilmu yang benar di samping menyerlahkan pemikiran bangsa Melayu dalam seni mengarang. Apa macam, boleh terima atau tidak hujah ini? Sebelum anda menjawabnya dengan tegas, kita perlu mendapat pandangan anda tentang kualiti karya para sasterawan negara dan karya Mohd. Affandi Hassan yang menyimpang jauh daripada karya mereka. Di antara dua kumpulan ini, mana satu yang lebih bernilai dari segi kreatif dan pemikiran? Anda harus berani membuat kesimpulan, jika anda benar-benar jujur dari segi akademik dan tidak terikat kepada Mutual Admiration Club yang palsu itu.  Semua sasterawan negara adalah anggota Mutual Admiration Club. Kalau anda masih ragu, anda boleh bertanya ketuanya, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara.  Saya timbulkan persoalan ini kerana menurut Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, hanya para sasterawan negara yang menjadi pengikut Mutual Admiration Club saja yang layak diajukan sebagai calon penerima Hadiah Nobel, tidak dari kumpulan yang di luar Mutual Admiration Club. Sekarang kita menghadapi masalah serius: sasterawan anggota Mutual Admiration Club itu tidak original, hanya peniru yang tidak matang; sedangkan yang di luarnya, yang dipelopori oleh Mohd. Affandi Hassan, jauh lebih matang dan karyanya jauh lebih bermutu. Kesimpulan ini tetap benar sehingga dibuktikan salah oleh para peneliti sastera yang menganggap para sasterawan negara itulah yang jempolan, yang tidak dapat diatasi oleh mana-mana sasterawan yang tidak terpilih sebagai sasterawan negara.  Sekarang anda perlu mengkritik karya Mohd. Affandi Hassan berasaskan ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Sekiranya anda tidak mampu membuat kerja sukar dan berat ini, jelaslah pengetahuan anda masih cetek, belum lagi sampai ke taraf ilmiah yang telah dibuktikan oleh PB.  Nampaknya anda mencabar diri anda sendiri dengan tidak melihat kebaikan yang dipromosikan oleh PB dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan serta penilaian sastera.  Kalau anda tidak nampak itu, ubatnya amat senang (if you are a Muslim): anda baca dan fahami Tiga Qul yang mengakhiri al-Quran. Di situ anda diberi penekanan tentang makna tauhid; kemudian anda diberi peringatan betapa jahatnya dan bahayanya sifat hasad; dan akhirnya anda diberi jalan keluar supaya sentiasa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada hasad dan sifat was-was. Cantik sekali. Cuma bagi sasterawan dan sarjana, jika mereka faham makna dan maksud Tiga Qul ini, mereka akan memilih PB. Itulah yang mereka tidak mahu. Lantak hanglah, kata orang Kedah yang senang bercakap kasar itu. Apa implikasinya dalam kehidupan berbudaya dan kehidupan golongan intelektual? Kata peribahasa, tepuk dada tanya selera. Senang, tetapi alangkah sukarnya!

Di sinilah pentingnya peranan organisasi seperti ITBM dan DBP yang diberi tugas untuk mengembangkan sastera yang bermutu dan serasi dengan peringatan dalam Tiga Qul itu. Bolehkah ini dilakukan oleh ITBM dan DBP? Kalau kita lihat kegiatan bersifat ilmu dalam dua organisasi ini, mereka telah gagal mengenal dan mempelajari peringatan Tiga Qul itu.  Begitu takutnya mereka kepada PB, hingga sanggup menolak al-Quran sebagai sumber ilmu.  Itulah juga kedudukan para sasterawan dan sarjana yang anti-ilmu. Jika anda mahu bukti, bacalah dengan teliti dan kritis buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa (2014) dan sikap para penilai (juri) Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka yang menolak Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid kerana mereka tidak suka perkataan ketayap yang digandingkan dengan baju kot!

Macam-macam hal dunia ini.  Sekarang timbul cabaran yang lebih besar, ia-itu  menerima hakikat bahawa karya Mohd. Affandi Hassan layak diangkat ke Sekretariat Hadiah Nobel mewakili penulis Nusantara.  Apa pandangan anda sebagai pembaca yang jujur dan serius?  Untuk menghilangkan keraguan anda dan pengaruh Tiga Qul itu, bacalah dengan jujur dan kritis buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009).

Itulah saja bebelan intelektual saya sekadarnya.  Kalau anda seorang yang cerdik, tidak senang sebenarnya untuk membebel sebagai seorang intelektual. Bukti terbaik, sekali lagi, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24 Ogos, 2018.


Thursday, August 23, 2018

BEBELAN SEORANG TOKOH INTELEKTUAL TERKEMUKA



Kita lihat apa kata Kamus Dewan dahulu tentang “bebelan”.  Menurut kamus ini, “membebel’ bermakna “mengeluarkan kata-kata secara yang tidak tersusun atau yang sukar difahami, mengomel; (2) berleter. Ini pula menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia:  (sorry, tidak ada catatan tentangnya; yang ada beber (bahasa Jawa) … Tak perlu disalin di sini. “Bebelan seorang tokoh intelektual terkemuka” adalah satu ungkapan yang tidak bermakna apa-apa. Seorang tokoh intelektual tentulah tidak akan “membebel”. Bagaimana pula dengan seorang ahli akademik, seorang sarjana sastera misalnya?  Inilah yang melucukan, kerana sarjana sastera Malaysia sangat bijak membebelkan  kecetekan akademik mereka, yang “cetek meraba-raba” dari segi ilmu dan kefahamannya tentang teori sastera Barat yang menjadi pegangan mereka.  Saya sudah beberapa kali mencabar mereka mempertahankan teori sastera Barat yang keseluruhannya bersifat, atau lebih jitu, berserabut dengan kontradiksi. Jika ini benar, bagaimana sarjana sastera boleh menerima teori yang demikian wataknya? Jika ini tidak benar, bagaimana pula para sarjana sastera tidak berupaya mempertahankan teori Barat bila saya tegaskan tak satu pun teori Barat boleh menafikan kebenaran dan kekuatan hujah gagasan Persuratan Baru?  Nampaknya mereka ini, yang kita kenal sebagai sarjana sastera,  tidak boleh lari lagi daripada berdepan dengan PB sebagai sarjana yang mantap keupayaan akademiknya.  Adakah ini bermaksud saya tidak mengiktiraf mereka sebagai sarjana yang betul-betul mempunyai sifat-sifat kesarjanaan tulen. Salah satunya ialah sifat terbuka untuk berdialog secara ilmiah, tidak seperti sekarang hanya berdiam diri seperti “lembu kenyang”, tidak kisah kepada perkembangan baru dalam dunia akademik, yang jika mereka tolak sekali pun bahawa PB tidak ada kualiti akademik, mereka harus memperlihatkan keunggulan mereka dari segi kemampuan ilmiah yang sorry to say, tidak menyerlahkan kualiti  akademik yang sewajarnya.

Saya beri contoh yang paling terkenal, iaitu penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap Naratif Ogonshoto, yang picisan dan amat lemah kualiti akademiknya.  Adalah wajar anda mempertikaikan kesimpulan ini jika tidak tepat.  Saya lihat anda berada dalam keraguan yang tidak pernah terjadi kepada Pak Pandir yang selalu jelas tindakannya, walaupun anda tertawakan “kebodohan”  beliau.  Adakah yang tidak tepat itu kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, atau penilaian saya terhadap tulisannya, atau kedua-duanya sekali? Kalau begitu, jelaslah kami berdua lebih bodoh daripada Pak Pandir yang tahu membuat pilihan yang tepat itu, seperti yang pernah saya ceritakan ketika membicarakan konsep pandirisme dalam sastera Melayu.  Saya sering mengambil contoh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad kerana kedudukan beliau yang istimewa, baik sebagai Ketua Satu PENA, mahupun pengaruhnya dalam ITBM dan DBP. Baru-baru ini kita lihat beliau menyertai rombongan menemui Anwar Ibrahim yang dijangka akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri selepas Mahathir; jelaslah beliau mempunyai fikiran yang strategik untuk menyediakan kemungkinan kerjasama erat dengan Anwar Ibrahim.  Bila teringatkan peristiwa ini, saya tertawa kecil sambil menyapa tupai yang bising mengawan di kawasan rumah saya di Petaling Jaya, sambil bertanya, “Betulkah kau seperti yang dijadikan peribahasa, sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah juga!” Saya geram betul kerana tupai yang bising mengawan itu tidak pun faham pertanyaan saya, dan terus kejar-mengejar dengan bising. Ada satu tabiat tupai betina selepas mengawan, yang saya fikir anda tahu jika anda seorang pemerhati yang baik. Walau apa pun anggapan kita, tupai memang pandai melompat, kerana itulah pembawaan semula jadi mereka. Sindiran seperti ini boleh difahami dengan mudah oleh Salim Adil, seperti yang terbukti dalam Hikayat Salim Adil, novel pemikiran yang hebat itu. Tetapi belum tentu difahami oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia.

Gaya bebelan yang saya paparkan kepada anda ini boleh dikesan dalam banyak tulisan saya  dalam blog ini.  Saya ingin menarik perhatian anda kepada satu entri yang serius, tetapi diberi judul yang mengejutkan: “Pandirisme, Feminisme, Sobbing Orgasm Dalam Kritikan Sastera Melayu” (entri bertarikh 1 September 2015. (Istilah “sobbing orgasm” itu diberikan, atau dicadangkan oleh seseorang yang kagum dengan istilah ini!). [Nota: “Jokes are serious”, kata Rumi. Anda perlu baca entri ini.] Adakah ini satu kelebihan atau satu kegilaan yang tidak senonoh, saya yakin anda sendiri lebih tahu dan telah pun membuat kesimpulan yang tepat.  Kemampuan intelektual dan keterampilan akademik para sarjana dan sasterawan belum lagi sampai ke taraf bebelan intelektual, masih lagi berada di tahap ocehan atau idle talk seperti yang dihuraikan oleh Martin Heidegger. Kritikan ocehan ini menjadi sesuatu yang amat dibanggakan, seperti yang boleh kita lihat dalam laporan para ahli Panel Anugerah Sastera Negara yang boleh kita baca dalam laporan mereka.  Jelaslah ocehan tidak sama dengan bebelan: ocehan adalah picisan, tetapi tidak bebelan yang berasaskan kemampuan intelektual yang tinggi.  Apabila PB menjadikan bebelan yang tersusun sebagai konsep baru dalam wacana persuratan,  anda boleh lihat kepalsuan akademik yang saya kritik ketika membicarakan tulisan tokoh-tokoh akademik yang hebat (kerana diberi hadiah dan sanjungan) seperti Dr. Norhayati Ab. Rahman,  Dr. Mawar Shafei, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (sekadar memberi beberapa contoh yang terkemuka), yang anda boleh baca dalam blog ini.

Saya mula sedar pentingnya bebelan kerana inilah caranya yang mudah difahami (walaupun belum pasti) oleh para sarjana dan sasterawan yang mempunyai kemampuan intelektual yang agak terbatas, atau dalam kata-kata Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, kumpulan yang cetek  meraba-raba.  Menerusi bebelan ini kita boleh dedahkan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertama, bebelan yang teratur dan kemas boleh membantu sesiapa juga yang kurang cekap berfikir untuk memahami sesuatu masalah penting dalam dunia akademik, atau dunia ilmu. Contoh: mengapa kita perlukan teori sastera Barat untuk memajukan sastera Melayu? Jika benar teori sastera Barat boleh memajukan pemikiran kita, teori apakah yang boleh berbuat demikian? Kalau kita sudah bertemu dengan jawapannya, maka kita boleh melangkah ke depan lagi dengan mencuba membuat ketentuan bahawa yang kita usahakan itu benar-benar dapat memajukan pemikiran kita dalam dunia kreatif dan juga dalam bidang kritikan. Sekarang, kita perlu tahu dengan pasti, apakah teori yang telah berjaya melakukan semua itu? Nampaknya kita tersekat di situ, tidak pasti lagi mana satu teori Barat yang benar-benar membuat kita menjadi cerdik dan betul-betul boleh membantu kita menulis karya kreatif yang bermutu, dan juga menilainya dengan tepat. Nah, adakah harapan kita itu mendapat jawapan positif? Di sinilah para sarjana yang mabuk teori Barat ini berdepan jalan buntu, kerana mereka sendiri tidak betul-betul menguasai teori yang mereka kagumi itu, dengan itu tidak dapat melihat kepalsuan teori itu dari perspektif ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran dan dihuraikan dengan mendalam oleh para ulama kita sendiri. Jadi, apa sudah jadi? Kita mahu mendengar jawapannya daripada mereka yang kagum ini…

Kedua, melalui bebelan ini, kita dapat melihat kebenaran dan dapat mengenal perspektif yang betul untuk menjadi panduan kita yang benar-benar berguna. Dalam hal ini, terdapat kemajuan yang amat menarik yang bagi saya agak melucukan. Sejak tahun 2010 ketika saya mula menulis blog Persuratan Baru, saya telah mula berbicara tentang konsep ilmu dan peranan teori sastera berasaskan konsep ilmu tadi. Apakah kemajuan yang telah kita capai? Ini yang menarik, yang mungkin juga mengejutkan anda semua. Melalui perbincangan itu, saya akhirnya dapat merumuskan satu konsep yang benar-benar mencabar pengikut teori sastera Barat.  Melalui kajian watak-watak jenaka dalam sastera lisan (atau sastera lama), saya bertemu dan berbicara dengan Pak Pandir. Rupanya tokoh ini tidaklah bodoh seperti yang dianggap oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Pak Pandir adalah tokoh genius Melayu yang begitu lama diabaikan kerana pengaruh pandirisme itu sendiri. Maka saya pun menulis sebuah cerita pendek, “Rumah Impian Polan Cupan”, yang ditulis sejak 2004 termuat  dalam antologi Balai Maqamat yang hanya dapat diterbitkan dalam tahun 2014 oleh ITBM, setelah dirobek-robek oleh seorang sarjana terkenal. Seberapa boleh, saya cuba menyelamatkan naskhah itu, maka terbitlah Balai Maqamat 2014. Cerita pendek tentang Polan Cupan diterbitrkan oleh Dewan Sastera, September 2013, dan entah bagaimana “menang” Hadiah Perdana Sastera Malaysia  2013. Tetapi Balai Maqamat tidak menang apa-apa hadiah. Saya pun lupa karya mana yang menang, dan siapa penulisnya. Sekiranya anda tahu, saya fikir bagus juga jika anda beritahu serba sedikit tentang perkara ini, sebagai rekod untuk renungan pembaca sepanjang zaman. Bagi saya Balai Maqamat adalah sebuah karya besar, hasil seorang pemikir yang menulis dalam konteks Persuratan Baru. Balai Maqamat adalah sebuah karya yang cukup istimewa, jika anda faham maksud saya. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut untuk memberi kesempatan kepada anda menolak andaian saya, dengan itu kita semua dapat melihat bagaimana anda menilai sesuatu karya yang ditulis dari perspektif PB. Anda diberi peluang untuk mengkritik PB melalui “kegagalan” Balai Maqamat. Sayangnya, tiada seorang pun di antara sarjana sastera yang berani memperlihatkan kebodohan mereka. Dengan membisu seribu bahasa, kebodohan mereka semakin jelas, dan kemampuan intelektual mereka semakin terserlah kehebatannya. Inilah kelucuan yang paling menyedihkan!

Jika anda masih tidak dapat menerima bebelan seorang pemikir dan seorang intelektual boleh membantu anda menjadi cerdik, maka anda akan berada dalam kandang pandirisme seumur hidup anda. Ini bukan sesuatu yang melucukan, tetapi suatu tragedi yang memalukan dunia kreatif.  Di mana anda mahu letak muka anda? Saya tujukan pertanyaan ini kepada para sarjana dan sasterawan.  Jika anda takut untuk membicarakan sebuah karya penting seperti Balai Maqamat, maka terbuktilah anda sebenarnya pengamal pandirisme yang tegar. Satu-satunya ulasan yang cerdik yang saya pernah baca ialah yang ditulis oleh Najibah Abu Bakar, seorang pustakawan. Para sarjana yang takut berbicara tentang karya sepenting Balai Maqamat ini perlu membaca ulasan Najibah Abu Bakar ini, yang mendapat hadiah dari kerajaan Selangor.  Jelaslah kebijaksanaan dan keberanian intelektual tidak berada di kalangan para sarjana dan sasterawan. Yang paling melucukan, mereka bangga menjadi kumpulan yang tidak jujur tentang ilmu. Maka apabila lahir pula Pandirisme Dalam Komuniti Dunia, diterbitkan oleh Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), 2016 (masih baru lagi!), para sarjana dan sasterawan ini semakin terdesak.  Akhirnya mereka bangga menjadi kumpulan “lembu kenyang”, istilah sindiran tajam yang berasal dari Kelantan.  Kumpulan “lembu kenyang” inilah yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan arus perdana!  Inilah kumpulan yang bertemu dengan Anwar Ibrahim tempoh hari.

Sekarang anda boleh melihat dengan jelas bagaimana bebelan seorang tokoh intelektual terkemuka dapat memberi kesedaran intelektual kepada anda, jika anda mempunyai kualiti intelektual seperti yang difahami  di kalangan para intelektual.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22/8/2018.







Saturday, August 18, 2018

NASKHAH “KITA TIDAK PERLUKAN SASTERAWAN NEGARA”.



Naskhah ini saya siapkan 2015 lagi, masih mencari penerbit yang berminat. Persoalan yang dikemukakan sangat penting. Rupanya DBP pun sudah sedar mereka sudah buat silap besar minta Kerajaan melantik sasterawan negara. Sejak 1981 lagi saya membuat bantahan, malah cerita pendek tentang pemilihan sasterawan negara, berjudul “Orang Yang Berdiri”, diterbitkan dalam Pura Bujangga, yang dicetak oleh DBP 1990.  Saya dapat tahu, sebuah karya oleh Baha Zain, autobiografi beliau, ditolak oleh DBP.  Perbuatan ini sangat janggal, tidak sepatutnya dilakukan oleh DBP. Baha Zain telah membina DBP sejak sekian lama; kedua, beliau kini seorang sasterawan negara. Orang yang berminat dalam sastera mahu baca autobiografinya.  Tidak pantas Ketua Pengarah DBP membuat keputusan yang tidak bijak ini dengan menolak karya Baha Zain. Saya cadangkan supaya diberi pertimbangan semula, dan amatlah baik jika buku itu diterbitkan. Tentu banyak perkara yang disentuh oleh tokoh besar yang amat dikagumi oleh Muhammad Haji Salleh ini, yang minta saya tiru Baha Zain sebagai pengkritik sastera. Saya tidak keberatan belajar dari sesiapa sekali pun, tetapi bagaimana jika orang yang dikagumi oleh Muhammad Haji Salleh itu seorang tokoh yang bagi saya amat cetek pengetahuannya tentang sastera dan kritikan sastera Barat sekali pun. Beliau tidak mempunyai buku dan tulisan yang boleh menandingi tulisan saya, yang Muhammad Haji Salleh tidak pernah dengar, dan tidak pernah berbincang dengan Baha Zain mengenainya.  Saya tidak pernah anggap dua tokoh besar ini musuh saya; hanya mereka berdua saja yang anggap saya sebagai musuh mereka. Tidak baik bermusuhan dalam dunia ilmu, nampak sangat bodohnya dan angkuhnya. Mari kita berdialog dengan santai, serlahkan kelebihan hujah anda untuk saya ikuti; atau kalau tidak mampu, belajarlah dari PB.

Dengan sikap angkuh yang ditunjukkan oleh dua orang sasterawan negara ini, maka mereka dengan tidak fasal-fasal membenarkan pandangan kritis saya bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara, jika yang dipanggil sasterawan negara itu tidak mempunyai karya yang dapat menandingi karya seorang penulis picisan seperti saya sekali pun. Oleh sebab saya menulis dalam tiga bidang, kritikan sastera, teori sastera, dan karya kreatif, maka amatlah wajar jika saya cabar dua orang tokoh besar ini untuk tampil dengan jujur membahaskan sumbangan mereka lebih bermutu daripada sumbangan saya; dan jemputlah para sarjana dan lain-lain untuk ikut sama. Jangan takut untuk bercakap benar, kerana kebenaran tidak menjadikan seseorang dipandang hina, kecuali jika mereka tidak bercakap benar.  Dalam kes dua orang tokoh besar ini, mereka tidak mahu mengkritik PB dan tidak mahu menilai karya saya dengan kritis kerana sangka mereka darjat saya akan terserlah kerana mendapat perhatian dua orang tokoh besar ini. Yang terjadi adalah sebaliknya: merekalah yang kini diberi perhatian kerana saya  mengangkat mereka sebagai tokoh besar, walaupun tidak layak diberi jolokan itu.

Dua orang tokoh besar ini sebenarnya sedang berada dalam kandang pandirisme,  dan berasa selesa  berada di dalam kandang itu. Saya menggunakan istilah “kandang” bukan untuk menghina mereka; dalam budaya Melayu, jika mereka faham budaya Melayu, “kandang” adalah tempat yang istimewa untuk diletakkan lembu yang disayangi oleh tuannya.  Saya sendiri memang berada di dalam kandang, cuma yang berbeza saya berada dalam kandang intelektual, bukan dalam kandang pandirisme. Sebenarnya, mereka juga berhak berada dalam kandang intelektual itu, jika mereka dapat meyakinkan khalayak sastera yang semakin cerdik sekarang setelah dididik dalam kandang PB. Masalahnya, mereka tidak mahu masuk kandang PB, padahal tempat itu sangat istimewa dan terhormat.  Nasihat saya, masuklah kandang PB, nanti anda akan dipandang  hormat oleh para pencinta ilmu. Itulah pilihan terbaik yang tidak dapat dipersoalkan. Jemputlah masuk ke dalam kandang PB, supaya lebih terserlah kedudukan intelektual anda. Saya sendiri yang beri jaminan ini.

Para penerbit yang membaca blog ini mungkin ingin melihat naskhah tentang sasterawan negara ini untuk diberi pertimbangan penerbitannya.  Bolehlah hubungi agen saya untuk mendapat penjelasan lanjut.  Saya belum lagi melantik agen itu, kerana belum diperlukan sehingga terdapat penerbit yang berani menerbitkan naskhah itu. Saya mungkin meletakkan naskhah itu di Perpustakaan DBP untuk semakan sesiapa saja yang berminat, terutama para penerbit. Naskhah ini sangat penting dikenali dan dibaca oleh para sarjan sastera, kerana boleh membantu mereka melihat sudut lain tentang para sasterawan negara ini. Malangnya mereka pun sama saja standardnya dengan para sasterawan negara ini; malah ada di antara sarjana ini yang sudah mengidam untuk dilantik sebagai seorang sasterawan negara. Tokoh ini sudah pun mendapat sokongan daripada Anwar Ridhwan sendiri dan beberapa orang lagi yang telah menyatakan pendirian mereka.  Jika anda membaca naskhah tentang para sasterawan negara ini, anda mungkin dapat membuat pilihan siapa yang layak berada di dalam kandang pandirisme ini. Demikianlah pentingnya naskhah ini diterbitkan.  Adakah DBP yang menolak naskhah Baha Zain akan menerima naskhah saya?  Untuk makluman, DBP telah pun menerbitkan “masterpiece” dalam kritikan sastera yang saya tulis, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18/8/2018