Monday, June 29, 2020

PENEROKA FELDA MESTI BACA SAJAK INI

WAHAI SAHABATKU PENEROKA FELDA

Kau diberi gelar peneroka.
Apakah yang kau teroka?
Kerana miskin kau dihumban ke belantara
Kerana gigihmu menebas hutan
Membelai anak getah dan kelapa sawit
Dengan ketekunan orang miskin papa kedana
Maka mereka gelar kamu peneroka.
Apakah yang kau teroka?
Kau teroka tanah hutan menjadi ladang
Bukan untukmu atau keturunanmu
Tapi untuk tuanmu yang baik hati
Yang menghumban kamu ke belantara.
Kamu jadi hamba mereka yang kaya berkuasa
Kamu jadi pembekal harta milik mereka
Yang kamu bangga anggap kamu punya.
Memang kamu punya tenaga perkasa
Untuk menghasilkan getah dan minyak kelapa
Tapi setiap timbangan bukan kamu tentukan.
Mereka tentukan untuk kamu. Kamu lihat saja.
Meski banyak kamu terima, itu kata mereka
Yang kaya bukan kamu, kerana kamu hamba.
Kamu peneroka hamba feudalisme Malayan Union
Mana kamu peduli siapa pemimpin kamu
Asal kamu dapat upah tak setimpal.
Tanah kamu teroka bukan milikmu.
Hasilnya juga bukan milikmu.
Milikmu hanya melihat hasilnya ditimbang
Yang kamu dapat hanya secebis upah murah
 Bukan jumlah sebenar yang kamu terima.
Wahai saudaraku para peneroka!
Bilakah kamu akan tuntut hasil usahamu
Jumlah sebenar yang patut kamu terima?
Saudaraku, kamu harus jadi peneroka tulen
Merampas kambali hakmu yang tertipu dan ditipu
Mengusir para peneroka palsu yang merampas hasil usahamu
Tidak kira mereka anak raja atau keluarga di raja
Atau pegawai biasa yang diupah menipumu
Tugasmu sebagai peneroka handalan
Membebaskan dirimu dari feudalisme Felda
Dari cengkaman penipu Warisan Malayan Union.

Adakah kamu mengerti,  saudaraku?
Itulah tugas kamu. Tugas peneroka handalan.
Bebaskan dirimu dari Feudalisme Felda
Rentap rantai belenggu Warisan Malayan Union.


4/10/2010.

No comments:

Post a Comment