Monday, April 24, 2017

NARATIF OGONSHOTO DAN PUJANGGA MELAYU: Antara Dunia Penglipur Lara dengan Dunia Ilmu (Bahagian III)

Dalam dua entri yang lepas, saya mempertikaikan analisis dan kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto sebagai karya novel terpenting dan terbaik dalam sastera Melayu. Saya mengatakan analisis dan penilaian beliau tidak berasas dari segi penghujahan akademik, yang bersimpang siur kayak seorang sarjana “mat rempit “ yang berpusing-pusing di lebuh raya kritikan sastera, merempuh semua tiang teori Barat yang tidak dikuasainya dengan memuaskan. Contoh terbaik di sini ialah ketika beliau mengaitkan Naratif Ogonshoto dengan pascamodenisme, dengan itu meletakkan novel agung ini ke dalam kelompok karya nihilis.  Supaya anda faham maksud saya, saya turunkan penjelasan tentang nihilism  seperti yang diberikan oleh The Oxford Companion to Philosophy:  “The extreme view that there is no justification for values and, in particular, no justification for morality.  It is sometimes used to mean the active rejection of and attack on such values. The word was invented by Russian novelist Turgenev to describe young rebels in Tsarist Russia. Ever since, the word has been used to condemn those who refuse to accept certain preferred prevailing values. Philosophically, ‘nihilism’ is often employed as an ominous alternative characterization of relativism and other views that deny the existence of ‘absolute’ moral standards.” Itulah Naratif Ogonshoto, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Kini anda tahu novel terbesar sastera Melayu sepanjang zaman ini adalah sebuah karya nihilis. Dalam bahagian II saya menegaskan pengarang Naratif Ogohshoto dan penulis makalah tentangnya menolak konsep “uswatun hasanah”, yang memang tidak terdapat di dalam novel dan tidak juga terdapat dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Sekarang kita lihat pula Pujangga Melayu.  Edisi kedua novel persuratan ini baru saja diterbitkan oleh Klasika Media April 2017, lengkap dengan Indeks untuk memudahkan pembaca mengikuti persoalan yang menjadi isu penting di dalam novel persuratan ini.  Sekiranya Naratif Ogonshoto juga diberi Indeks, nescaya anda akan dapat melihat dengan jelas sifat nihilis karya ini. Saya harap penerbitnya akan menyediakan Indeks itu. Ini sesuai dengan kedudukan karya itu sendiri yang harus mempertahankan dirinya, bukan sasterawan yang menulisnya, tidak juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menyanjungnya.

Sebaliknya Pujangga Melayu adalah seratus peratus bersifat didaktik, diasaskan kepada konsep ilmu yang benar dengan matlamat semua karya persuratan harus memenuhi prinsip “indah dan bermakna” yang dijelaskan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992, 2005: Dewan Bahasa dan Pustaka). Baik Anwar Ridwan mahu pun Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kedua-duanya  tidak tahu buku ini sudah diterbitkan sejak 1992, disalin daripada sebuah rencana panjang dalam Dewan Sastera sekitar tahun 1989, dijadikan buku dengan usaha seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, Puan Rogayah Abdul Hamid. Terima kasih kepada beliau yang berani menerbitkan rencana pajang itu sebagai sebuah buku. Usaha beliau tidak sia-sia kerana akhirnya Gagasan Persuratan Baru mendapat tapak yang kukuh melalui buku itu. Saya tidak pasti sejauh mana Anwar Ridhwan yang ketika itu seorang pegawai penting, terlibat dalam penerbitan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid ini. Fakta ini penting, tetapi saya tidak mahu kupas mengenainya di sini.

Sebuah idea penting tidak akan lahir daripada  cerita pendek, malah cerita pendek itulah kemudiannya lahir untuk memberi makna kepada idea atau pemikiran itu. Contohnya dalam Balai Maqamat. Demikian seterusnya dalam genre-genre lain.  Pujangga Melayu lahir di bawah tapak kaki Ratu Balqis, ketika baginda mengangkat pakaiannya untuk mengelak terkena air di lantai istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang berkilat seperti air. Lantai itu kelihatan seperti kolam, hasil kerja seni bina yang amat tinggi kualitinya.  Apakah yang anda dapat daripada peristiwa ini? Anda diberi dua jenis realiti: realiti semu tentang air yang kelihatan tetapi tidak wujud; realiti hakiki yang juga tidak kelihatan tetapi wujud. Seorang sasterawan yang tidak dapat membezakan dua jenis realiti ini, atau dikaburi oleh realiti palsu seperti yang mereka gelarkan  realiti magis, akan menulis seperti menulisnya sasterawan negara Anwar Ridhwan  dan melahirkan karya yang palsu, yang beredar di permukaan realiti semu sahaja. Apa bila saya mengatakan karya para sasterawan negara ini hanya picisan, saya dapati semua mereka berada dalam realiti semu. Tetapi pandai juga mereka menjawab, Kami menulis dalam konteks realiti empirikal. Mereka tegaskan, maka lahirlah karya seperti Salina, TIVI, Kuala Lumpur Kita Punya dan lain-lain karya sasterawan negara, termasuk sajak agung realiti semu ini ciptaan Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”. Apakah maksud realiti empirikal. Cuba anda lihat matahari, atau bulan, atau bintang-bintang, anda lihat sesuatu yang kecil, padahal dari segi realitinya … lain.  Bayangkan seluruh cakerawala tunduk sujud kepada Nabi Yusuf ‘a.s. ketika baginda masih budak-budak, apa yang anda boleh dapat? Anda hanya akan faham peristiwa ini jika anda tahu makna realiti hakiki tadi.  Tidak terdapat aspek realiti hakiki dalam mana-mana teori sastera Barat yang anda gunakan dengan sombong dan angkuh: sombong memperagakan nama-nama teori segala macam; angkuh mengatakan itulah teori yang universal, walaupun pada hakikatnya palsu.  Maka apabila lahir Gagasan Persuratan Baru, segala-galanya berubah, diberi tempat yang sesuai untuk mereka. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan kawan-kawannya, dan para sasterawan, tidak dapat melihat semua ini, hanya kerana mereka menolak adanya hakikat ilmu, yakni ilmu yang benar. Orang-orang yang tidak menerima konsep ilmu yang benar tidaklah pula  murtad jika mereka beragama Islam, mereka hanya jahil dan bangga berada dalam kejahilan. Maka demikianlah lahirnya karya-karya picisan oleh para sasterawan negara.  Seiring dengan itu lahirlah pula kritikan picisan seperti yang kita baca yang ditulis oleh para sarjana (ciritan). Makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad termasuk dalam kategori mana? Saya tidak boleh tentukan untuk anda; anda sendirilah menempatkannya dalam kategori mana.

Pujangga Melayu adalah sebuah karya yang amat berbeza dari yang pernah anda baca. Kalau anda biasa membaca karya dunia, anda akan dapati tidak sebuah pun daripada karya dunia yang hebat-hebat itu boleh dibandingkan dengan Pujangga Melayu. Isunya sangat mudah. Pujangga Melayu ditulis seluruhnya berasaskan konsep ilmu yang benar. Mana ada karya dunia yang seperti itu? Di Malaysia pun tidak ada karya seperti Pujangga Melayu. Kata para sarjana sastera dan sasterawan, tiada siapa pun yang mahu menulis sebuah novel seperti Pujangga Melayu yang membosankan dan penuh dengan khutbah didaktik yang amat sangat membosankan. Tapi saya fikir hanya orang yang kurang adab saja yang berkata begitu; yang cerdik dan tahu nilai kecerdikan, tidak begitu reaksi mereka membaca Pujangga Melayu. Mereka mendapat keseronokan intelektual yang mereka tidak dapat ketika membaca novel teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto. Bagus juga jika ada di antara pembaca Naratif Ogonshoto tampil memberitahu keseronokan mereka membaca novel agung itu. Ceritalah sedikit tentang kualiti pemikiran yang terdapat di dalam novel agung itu; dan kalau dapat, beri sedikit pandangan kritis andainya anda juga membaca Pujangga Melayu.

Dalam percaturan intelektual di mana-mana sekali pun, terdapat hanya dua keadaan. Pertama, yang bersetuju akan menjelaskan lagi dalam tulisan mereka supaya idea yang mereka sokong akan mendapat perhatian lebih luas. Yang kedua, jika mereka tidak bersetuju, mereka akan memberikan pandangan kritis yang cukup objektif, untuk membuktikan bahawa masih ada ruang untuk membuat perubahan yang lebih membina. Apa yang dilakukan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah berbeza, dan bagi saya agak negatif. Dia terlalu boros dengan pujian yang tidak wajar oleh sebab Naratif Ogonshoto yang dipujinya itu tidak terdaya menanggung beratnya pujian itu yang sebenarnya tidak ada di dalam karya itu. Sebagai seorang ahli akademik, keengganannya untuk mengikuti perkembangan baru dalam bidang kritikan, yang jauh lebih bermakna jika beliau menelitinya dengan kritis dan objektif,  seharusnya sudah membawa beliau mendekati sebuah karya seperti Pujangga Melayu.  Dengan mengkritik Pujangga Melayu yang memberikan tentangan hebat kepada Naratif Ogonshoto,  beliau mungkin dapat melihat perkembangan dari segi pemikiran dan teknik yang original yang amat jelas terserlah dalam Pujangga Melayu, sekurang-kurangnya dari segi pengolahan idea dan penerokaan teknik yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana penulis Malaysia dengan misalnya menjadikan sisipan sebagai cara menyampaikan idea dan pemikiran yang teratur dan tersusun kemas untuk mencapai matlamat indah dan bermakna dalam sebarang karya kreatif yang mengutamakan pemikiran. Jika dilihat dari perspektif ini, kita akan melihat dengan jelas betapa kerdilnya Naratif Ogonshoto yang jelas tidak memberikan  idea yang bernas yang dibahaskan dengan rapi dan jelas. Perbuatan Anwar Ridhwan merangkaikan cerita-cerita pendek sensasi untuk dijadikan sebuah novel, kononnya, bukanlah satu teknik baru seperti yang didakwa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Kritikan ini, walaupun agak keras, adalah tepat dengan kelemahan yang amat jelas yang terdapat dalam karya agung ini yang tidak dapat mempertahankan dirinya apabila dikritik. Kelemahan ini tidak ada di dalam Pujangga Melayu, yang dengan berani dan yakin menyerang kembali para pengkritiknya untuk membuktikan pendapat mereka  tidak objektif dan tidak bernilai ilmu. Mampukah seorang sarjana seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengkritik sebuah novel ilmu seperti Pujangga Melayu? Beliau tidak perlu membuktikannya, kerana tulisannya memuji Naratif Ogonshoto memberi bukti yang baik akan kemampuan akademik dan intelektual beliau. Bagi anda yang pernah membaca perbahasan dalam dunia ilmu di Barat antara Skinner dengan Chomsky, atau antara Derrida dengan lawan-lawannya seperti John R. Searle; atau di negara Arab antara Ahmad Amin dengan bekas gurunya dari Damascus; malah antara Prof Syed Muhammad  Naquib al-Attas dengan Prof. Teeuw tentang asal usul syair Melayu, tentulah anda akan melihat ketajaman hujah masing-masing, atau keselekehan hujah seperti yang terbukti dari kesilapan Teeuw yang disangkal dengan mudah dan tepat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kita mempunyai maklumat lengkap dan dokumen tercetak untuk semua perbahasan ini. Di mana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Naratif Ogonshoto berada? Pertanyaan ini sangat penting, sesuai dengan kedudukan novel ini yang terbaik dalam sejarah sastera Melayu, sehingga memaksa kita bertindak lebih cermat untuk menentukan kedudukan sebenar novel ini, supaya apa juga penilaian yang kita buat benar-benar mantap. Lebih penting ialah para pelajar tidak diberi maklumat yang salah. Dalam keadaan sekarang, Naratif Ogonshoto belum lagi teruji dari segi akademik. Paling mudah untuk melakukan hal ini ialah dengan menolak hujah-hujah yang saya kemukakan mengenai novel yang dalam pandangan saya adalah sebuah karya picisan yang penuh sensasi dan bersifat sadistic.  Saya belum bertemu sanggahan yang meyakinkan. Apatah lagi jika novel ini dinilai dari perspektif seperti yang saya senaraikan dalam entri bertarikh 15/4/2017.

Pujangga Melayu, sebuah novel persuratan, saya gelar novel mini ensiklopedia untuk memberinya kedudukan istimewa sebagai satu-satunya novel jenis ini yang saya yakin, insha Allah akan ditulis oleh penulis generasi muda yang terdidik dalam bidang pemikiran dan filsafat. Saya yakin orangnya sudah ada, menunggu untuk memasuki gelanggang persuratan sahaja. Ucapan selamat datang kepada mereka.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 23/4/2017.

No comments:

Post a Comment