Jasa
terbesar Tun Dr. Mahathir Mohammad ialah kejayaan beliau menjadikan
pengkhianatan politik sebagai satu budaya yang mendapat sanjungan masyarakat.
Itulah legasi yang akan beliau tinggalkan dalam sejarah Malaysia, untuk menjadi
panduan tokoh-tokoh politik kemudian hari. Mari kita lihat apakah yang
dimaksudkan dengan “pengkhianatan politik” dan bagaimana dibudayakan dalam
kegiatan politik Malaysia.
Apakah yang
dimaksudkan dengan “pengkhianatan politik”? Terhadap siapa pengkhianatan itu ditujukan? Mengapa pengkhianatan
politik muncul dalam politik Malaysia?
Kegiatan
politik Tun Dr. Mahathir Mohammad adalah contoh terbaik yang boleh digunakan
untuk memahami konsep “pengkhianatan politik” ini. Moh kita lihat satu persatu pengkhianatan
politik Tun Dr. Mahathir Mohammad sebelum beliau menjadi PM dan selepas beliau
disingkirkan oleh pengikutnya sendiri, dan kini sedang berusaha untuk
“mendapatkan” kembali (lebih tepat, dan
lebih cantik kita gunakan ungkapan “untuk merebut” kembali) jawatan PM itu!
Kehebatan
kegiatan politik Tun Dr. Mahathir Mohammad sangat terkenal dalam politik
Malaysia. Semua PM sebelumnya dan selepasnya dikhianati oleh beliau kerana
menurut beliau, tiada seorang pun PM sebelum dan selepas beliau yang setanding
dengan kehebatan beliau sebagai PM Malaysia. Ini saja pun sudah cukup untuk
membuktikan “pengkhianatan politik” tokoh politik yang gila kuasa ini. Persoalan ini dibincangkan dengan agak kritis
oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya, Saya
Adalah Maha Firaun (1999). Satu ketika dulu dia melihat Anwar Ibrahim boleh
digunakan oleh beliau untuk mengimbangi pengaruh PAS, oleh itu menurut
perhitungannya sebelum Anwar Ibrahim diambil oleh PAS, dia dulu melompat
“memegang tangan” Anwar Ibrahim mengheretnya ke dalam gerombulan politiknya. Di
sinilah Tun Dr. Mahathir Mohammad memperlihatkan keulungan langkah politiknya
yang paling hebat, yang tidak pernah dan mungkin tidak akan berlaku lagi dalam
politik Malaysia jika moral dan akhlak para pemimpin politik selepas beliau
lebih baik moral dan akhlaknya daripada beliau.
Jangan salah faham. Kesimpulan ini tidak bermaksud untuk menidakkan
keulungan moral pemimpin ulung Melayu ini.
Kesimpulan ini kini sedang menular di kalangan pembicara politik dan di
kalangan rakyat juga, yang mula melihat wajah sebenar tokoh besar ini. Wajah sebenar itu menurut mereka mengejutkan,
kerana bertentangan dengan wajah yang dipamerkan. Menurut mereka, ada sesuatu
rahsia besar yang ingin disembunyikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang jika
terbuka seluruh kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh rakyat akan berkecai,
dan beliau tidak lagi akan dipercayai oleh rakyat. Hal ini, menariknya,
didedahkan oleh seorang pemuda yang aktif membicarakan soal-soal politik dan
pembohongan para pemimpin Malaysia. Beliau ialah Jufazli Shi Ahmad (TV). Lihat
huraian beliau yang menarik dan mungkin mengejutkan bagi sesiapa yang terlalu
percayakan tokoh besar yang …. (anda perlu tambah sendiri mengikut selera
anda.)
Adakah Tun
Dr. Mahathir Mohammad akan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,
terutama kepada orang Melayu, atas segala keterlanjuran beliau selama ini yang memang
terakam dalam sejarah politik Malaysia.
Tidak ada manusia politik di mana-mana negara pun yang terlepas daripada
kelakuan dan tindakan seperti yang dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam
melaksanakan tugas politiknya. Cuma agak aneh mengapa beliau sampai menceroboh
sistem kehakiman dengan memecat seorang hakim negara yang terkenal warak, Tun
Salleh Abas. Ada sebuah buku yang ditulis khas untuk menyokong keputusan Tun Dr.
Mahathir sebagai tepat, dengan itu Tun Dr. Mahathir Mohammad ternyata mendapat
penyokong yang sanggup menulis sebuah buku yang agak tebal untuk membelanya. Itulah kehebatan Tun Dr. Mahathir Mohammad,
kesalahan beliau dengan tuntas diberi pembelaan oleh seorang peguam yang
menulis buku tersebut. Saya sengaja
tidak menyebut nama pengarang dan judul buku itu, kerana terlalu popular di
kalangan pemerhati politik. Adakah penulis
buku ini juga seorang pengkhianat? Anda berilah pertimbangan sendiri selepas
membaca buku yang dari segi ilmiah adalah picisan. Sesiapa yang berusaha
mempertahankan kesalahan adalah picisan dan berjiwa Iblis laknat. Merekalah anjing-anjing politik yang mencari
faedah diri dengan melompat parti, mempersetankan undi rakyat.
Satu
peruntukan undang-undang pilihan raya perlu diwujudkan yang menyatakan sesiapa
yang melompat parti akan hilang kedudukannya sebagai wakil rakyat, dan tidak
dibenarkan bertanding lagi sekurang-kurangnya selama dua kali pilihan raya. Hak
rakyat mesti dan wajib dipertahankan dalam sistem demokrasi jika anda
betul-betul jujur melaksanakan demokrasi.
Masalah yang kita hadapi ialah kejujuran bukan satu sifat penting dalam
politik, oleh itu sesiapa saja dibenarkan melakukan pengkhianatan politik,
termasuk melompat parti dan mendapat faedah jangka pendek pula. Perbuatan ini tidak dinamakan rasuah,
walaupun dari perspektif Islam perbuatan ini adalah perbuatan fasad, yakni
rasuah dalam konteks yang menyeluruh. Konsep fasad ini wajib dipopularkan, untuk memberi kesedaran kepada para
pengkhianat supaya lebih berhati-hati dalam melakukan pengkhianatan mereka.
Itulah kehebatan kegiatan politik, bebas untuk menipu dan melakukan
pengkhianatan tanpa sebarang risiko. Itulah juga kekuatan sistem demokrasi yang
menjadi anutan Malaysia. Beberapa
penjelasan yang menarik ada juga diberikan oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya
yang saya sebut beberapa kali di sini. Tentu saja buku beliau yang terbaik ialah
tentang Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mengaku dia adalah Maha Firaun!
Tokoh politik PAS mengatakan tidak ada rasuah dalam politik
Islam. Menerima hadiah dan pemberian bukanlah rasuah, tetapi pemberian ikhlas
daripada kumpulan politik yang berbeza untuk membantu pemimpin politik yang
berbeza parti bagi melawan pengkhianatan dalam politik. Dengan itu bersihlah PAS dari menerima rasuah
politik berupa wang hampir seratus juta yang diberikan UMNO melalui Datuk Seri
Najib Tun Razak. Timbul persoalan: sejauh
mana wang pemberian itu tidak dari dana 1MDB?
Soalan cepu emas ini perlu dijawab oleh mana-mana pihak yang terlibat
dengan soalan itu. Benarkah pemberian Najib bukan dari dana 1MDB? Sebenarnya
PAS belum lagi memberi penjelasan yang konkrit dan jujur bahawa pemberian itu
bukan rasuah. Sehingga isu ini jelas bukan rasuah, maka PAS tetap dilihat
sebagai penerima rasuah daripada UMNO. Seperti yang diketahui oleh semua orang
Islam, pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya ahli neraka. Sekiranya tokoh
politik Islam, sama ada dari UMNO lebih-lebih lagi dari PAS, berpegang kepada
amaran Rasulullah SAW ini, kejadian ini tidak timbul. Tetapi kerana
pengkhianatan politik sudah dibudayakan, maka perbuatan begini dibenarkan dari
segi politik, demi untuk membela rakyat!
Begitu jahatnya orang politik, menggunakan wang haram untuk mendapatkan undi
mereka, kemudian membentuk kerajaan, dan seterusnya. Tidakkah kerajaan itu
sendiri adalah kerajaan haram? Sungguh baik sekali jika gembung-gembung agama
dalam PAS yang berhati mulia untuk tampil menjelaskan rasuah politik yang
dihalalkan ini. Masalahnya, kerana rasuah itu sudah dimasyarakatkan melalui
politik, maka soal halal haram dalam politik tidak relevan lagi. Sungguh celaka
para pemimpin yang menipu rakyat dengan cara yang jahat ini!!
Begitulah hakikatnya, saudara. Pengkhianatan politik oleh para
pengkhianat telah membawa kita semua ke lereng neraka, dan menjadikan kita
golongan Jahiliah yang terkutuk. Adakah kita akan meneruskan kutukan ini?
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13-16 Jun 2020.
Assalamu alaykum wbt,
ReplyDeleteSuatu hal yang menjadi sifir pemuja
Pengkhianatan politik adalah lumrah dan kesedapan
Sikap dan deria rasa hilang lenyap
Kuasa politik senjata untuk menikam musuh dan mempertahankan kepentingan diri
Mereka menyangka kuasa politik dan pengkhianatan itu berupaya mengekalkan mereka selamanya di sini seolahnya tiada adanya hari kemudian..
Esok tiada hari pembalasan.
Kembalilah kepada fitrahmu wahai insan. Terima kasih.