Monday, June 15, 2020

DENDAM DAN HASAD DENGKI DI KALANGAN TOKOH POLITIK MELAYU


Gelagat hasad dengki di kalangan tokoh politik Melayu adalah sesuatu yang normal, yang tidak boleh tidak mesti dihidupkan dengan subur, dan meriah, di kalangan tokoh politik Melayu.  Oleh itu jika kita melihat setiap hari terjadi maki hamun dan hina menghina di kalangan ahli politik Melayu, maka itu adalah sesuatu yang mesti dilakukan untuk menghidupkan suasana politik, di samping memberi semangat kepada para pengikut untuk memperkuat sokongan mereka kepada tokoh pilihan mereka.  Di kalangan tokoh politik yang menggunakan agama Islam sebagai perantara untuk menyampaikan kemahuan dan hasrat  mereka untuk mendapat kejayaan dalam pilihan raya, gelagat hina menghina ini sudah menjadi nasi makan air minum bagi mereka, tiada segan silu lagi kerana bagi mereka semua manusia yang tidak termasuk dalam golongan mereka adalah musuh dan oleh itu mesti dihina serendah-rendahnya dengan memberi beberapa gelaran yang sangat indah dari segi penghinaannya. Mahu contoh? Anda perlu teliti sendiri, supaya dapat melihat dan menyaksikan gaya politik Islam di Malaysia.

Politik sebagai gerakan untuk mencari pengaruh dan mendapatkan kemewahan setelah pengaruh itu mengangkat seseorang tokoh menjadi wakil rakyat atau jawatan khusus dalam kerajaan,  menjadi pendorong utama kepada sesiapa juga untuk sanggup bergelumang dalam lumpur pertarungan merebut pengaruh. Kita pernah mendengar slogan “politik itu panglima” (atau yang hampir serupa dengan slogan ini) untuk memberi gambaran bahawa pertarungan di kalangan panglima politik ini akan berterusan walaupun sesuatu puak menang dalam pertarungan itu, tetapi kemenangan itu tidak kekal walaupun UMNO pernah memerintah Malaysia selama lebih dari 60 tahun!  Yang meruntuhkan UMNO ialah tokoh UMNO sendiri yang mahu terus memegang kuasa. Jawapannya tersembunyi dalam konsep demokrasi yang memberi peluang yang luas kepada sesiapa saja untuk membohongi pengundi (atau rakyat) dalam pertarungan merebut pengaruh itu. Pengaruh adalah peluang yang terbuka luas untuk mendapat kuasa dan selepas itu kekayaan. Siapakah di antara ahli politik yang berpengaruh di Malaysia yang papa kedana? Saya belum berjumpa orang itu, kerana jika orang itu wujud, maka nyatalah dia seorang yang bodoh dan tidak layak menjadi seorang tokoh politik.  Jika anda melihat perspektif ini dalam konteks “rasuah yang dirasuahkan” yang menjadi tajuk perbincangan baru dalam wacana politik Malaysia, anda akan dapati  wacana baru ini sudah pun dijadikan tradisi yang utuh dalam kegiatan politik Malaysia, dan di mana juga sekali pun.  Apakah maknanya?

Di dalam pertarungan merebut pengaruh dan kedudukan, seseorang mesti berbohong dan bersedia untuk menipu kerana inilah dua keadaan yang mesti dilalui dengan gigih jika anda mahu mendapat kemenangan dan dari situ layak dipanggil tokoh politik yang berjaya.  Untuk membuktikan rumusan ini tepat, dan sentiasa berulang dalam kegiatan politik Malaysia, maka anda harus berani meneliti perkembangan ketokohan seseorang ahli politik dan pencapaiannya yang dikagumi oleh rakyat. Siapa mereka, tokoh-tokoh ini, dalam politik Malaysia? Biarlah anda sendiri menentukannya…

Apa kaitannya kejayaan dalam politik dengan dendam dan hasad di kalangan tokoh politik Melayu?  Antara buku yang menarik, yang membicarakan aspek ini dalam politik Malaysia, ialah buku Mohd. Sayuti Omar, Saya Adalah Maha Firaun (Tinta Merah, Kuala Lumpur 1999.)  Yang dirujuk sebagai Maha Firaun itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tidak seorang pun rakyat Malaysia yang tidak kenal beliau itu siapa, dan mengapa diberi gelaran itu.  Walaupun Firaun dikutuk di dalam al-Quran, dalam politik Malaysia terjadi sebaliknya, disanjung dan diberi penghormatan tertinggi. Anda mungkin mahu bertanya, adakah orang Malaysia sudah tidak siuman, dalam bahasa kasarnya gila, mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mengaku Maha Firaun sebagai tokoh terbesar mereka, mengatasi Firaun yang dikutuk di dalam al-Quran? Saya tidak dapat memberi penjelasan, kerana kecetekan pengalaman dalam politik; maka dengan penuh harapan saya berharap akan tampil pembicara yang berani dan mendalam pengetahuannya tentang politik, untuk membicarakan keistimewaan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang bangga mengaku beliau Maha Firaun, jika benarlah seperti yang dirakam oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya itu.

Adakah semua ini terjadi kerana dendam dan hasad dengki? Tajuk ini penting diberi analisis yang tepat, kerana pengaruhnya dalam perkembangan politik Malaysia sangat besar dan mengaibkan jika dilihat dari perspektif moral.   Tokoh wartawan terkenal seperti Mohd. Sayuti Omar telah memberi pencerahan dalam gaya beliau yang tersendiri ketika membicarakan ketokohan Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai tokoh politik terbesar dan teragung Malaysia.

Yang penting, malah yang maha penting dalam perkara ini ialah, Tun Dr. Mahathir Mohammad sendiri mengaku beliaulah tokoh politik terkemuka dan paling lama menjadi PM Malaysia, mencurahkan segala kepandaian beliau dalam politik untuk mengekalkan kuasa hingga kini, walaupun akhir-akhir ini gerakan politiknya tergelincir sedikit dari landasan sehingga beliau diketepikan dengan bijak oleh PM ke 8 yang amat disenangi dan dikasihi rakyat itu – menurut para penyokong dan pengagum beliau!  Begitu sayangnya beliau kepada kedudukan dan pengaruh itu membuat beliau berjanji bohong dengan pencabar beliau yang pada umumnya adalah pengikut Tun Dr. Mahathir Mohammad yang setia, yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Saya tidak pasti berapa ramai di antara rakyat Malaysia yang tahu mengapa beliau ini sanggup menjadi pengikut Tun Dr. Mahathir Mohammad walaupun sudah tertipu banyak kali apabila Tun kita yang bijak itu mungkir janji dan berbohong. Malah Tun kita yang hebat ini akhir-akhir ini menegaskan bahawa belau tidak selesa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan tidak mahu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bagusnya pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memuji dan menyokong Tun yang bijak ini. Mungkin ada orang yang agak cerdik dalam politik dapat memberi penjelasan mengapa hubungan tidak siuman antara dua tokoh ini berterusan dan menjadi masalah dalam politik Malaysia. 

Kini sudah amat jelas  boleh kita lihat, dan dengan pengakuan Tun yang bijak ini  bahawa Anwar Ibrahim tidak berpeluang menjadi PM Malaysia bila-bila masa pun. Nampaknya Tun M berjaya,  kerana kini sudah banyak kedengaran persetujuan dan sokongan daripada rakyat yang memberi nasihat kepada Anwar Ibrahim supaya lupakan sajalah cita-cita beliau itu, kerana tidak direstui oleh tokoh teragung politik Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tegas itu. Beliau  sendiri sudah menegaskan bahawa beliau akan memastikan Anwar Ibrahim tidak terpilih sebagai PM Malaysia.  Jawatan itu telah direbut dengan bijak sekali oleh tokoh besar Johor yang bernama Tan Sri Muhyiddin Yassin, anak seorang ulama terkenal dari Johor, seperti yang diwar-warkan sendiri oleh Tan Sri ini.  Sekarang PM ke 8 ini sedang memperkuat kedudukannya dengan sokongan padu daripada tokoh-tokoh yang tidak terkenal yang telah mendapat kedudukan penting dalam politik Malaysia untuk menjadi pembela dan penyokong setia kepada Muhyiddin Yassin.  Gaya dan corak kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad telah dipakai dengan selesa dan berjaya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memperkukuh kedudukannya, dengan menggunakan helah yang biasa digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam karier politiknya.

Tetapi ada satu perkara penting yang memerlukan perhatian serius rakyat Malaysia. Tun Dr. Mahathir Mohammad sedang berada dalam keadaan serba salah yang amat sangat, takut semua rahsia besarnya akan terbongkar dalam masa terdekat. Dia merasakan sukar hendak melindungi anak-anaknya yang kaya raya terlalu-lalu hasil pusaka hidup ketika Tun Dr. Mahathir Mohammad memegang jawatan PM yang lama itu. Sekarang apakah pilihan rakyat Malaysia?  Rakyat harus memilih menyelamatkan negara atau menyelamatkan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang menggusarkan beliau ketika ini. Siapa di antara pembaca blog ini yang mahu menulis tentang perkara ini? Saya tidak mahu membuang masa, malah lebih baik mengikut perhitungan saya kita biarkan saja Tun Dr. Mahathir Mohammad mencari helah baru!!!  Mungkin telah terlewat, maka dengan itu dia akan pergi bukan membawa nama yang harum, tetapi sebaliknya. Kita tunggu saja pengakhirannya.  Bayangan pengakhiran ini terdapat dalam buku Mohd. Sayuti Omar yang anda perlu baca dengan teliti,  Saya adalah Maha Firaun.

@@@@

Satu perkara penting yang sukar di atasi ialah sikap perkauman, yang memang menjadi nasi makan air minum tokoh politik Malaysia.  Bagi orang Cina dan India (di Kelantan disebut Keling, sesuai dengan panggilan mesra dalam Sejarah Melayu), isu perkauman ini tidak akan dapat diselesaikan kerana inilah salah satu akibat mobilization of bias yang menjadi tunggak demokrasi. Demokrasi menggalakkan perkauman, yang kelihatan dengan jelas dalam nasionalisme dan sosialisme sebagai faham politik terkemuka di Malaysia.  Parti DAP yang mendakwa tidak perkauman, adalah sebuah parti perkauman yang tidak mungkin akan menerima tokoh politik Melayu sebagai ketua parti itu. Orang Melayu boleh menjadi ahli DAP, tetapi tidak ketuanya. Paling baik mungkin menjadi ahli jawatan kuasa, itu pun dalam bilangan yang amat kecil. Mahu tidak mahu, kita harus menerima DAP sebagai parti perkauman yang paling tegas mempertahankan sifat perkauman itu, berasaskan faham sosialisme Cina.  Dosa DAP yang paling besar ialah tercetusnya rusuhan kaum di Kuala Lumpur 1969, apabila DAP yang menang besar di KL berarak sambil menjerit, “Melayu balik kampung!”  Belum apa-apa lagi mereka telah menghalau Melayu … Itulah hakikat dan sikap sebenar DAP seperti yang ditunjukkan oleh ketua DAP sendiri.

Satu soalan cepu emas: Mengapa di kalangan orang Melayu ada yang menjadi ahli DAP? Belum ada lagi huraian dan analisis kepada persoalan penting ini. Nampaknya para pembicara politik Malaysia takut hendak berterus terang dalam persoalan ini. Dalam konteks ini, anda perlu baca dengan kritis buku Tunku Abdul Rahman Putra, May 13:  Before & After  (Kuala Lumpur: Utusan Melayu, 1969). Buku ini penting dijadikan teks dalam kajian politik di semua universiti Malaysia.  Berapa lama DAP boleh bertahan setelah menghalau Melayu Kuala Lumpur supaya balik kampung?  Kalau UMNO boleh diketepikan buat sementara waktu, adakah DAP juga akan menerima keadaan yang sama? Soalan ini penting diberi jawapan kerana sifat perkauman DAP telah terbukti dalam kerajaan PH, yang memberi peluang kepada tokoh DAP untuk menjadi Menteri Kewangan.  Tindakan bodoh DAP untuk menjadikan isu tulisan Jawi di sekolah sebagai isu perkauman membuktikan DAP adalah parti perkauman yang memakai topeng sosialisme. Semua ini adalah bayangan kepada sorakan mereka di Kuala Lumpur 1969 supaya Melayu balik kampung! 

DAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia, dan dengan tegas menolak nama asal Persekutuan Tanah Melayu. Bagi DAP, Melayu sama saja dengan Cina dan Keling (menurut loghat Kelantan, seperti yang terdapat dalam Sejarah Melayu), kerana mereka juga kaum pendatang, terutama dari Indonesia. Kata DAP, Semenanjung Tanah Melayu adalah milik orang asli yang dihalau oleh orang Melayu menjadi penghuni hutan. Dari mana DAP dapat fakta ini tidak jelas bagi saya. Yang jelas bagi saya orang Cina dibawa Inggeris untuk bekerja di lombong bijih di Perak, dan orang India (Keling dalam loghat Kelantan) dibawa oleh British untuk menjadi kuli di kebun getah. Dua jenis manusia ini adalah pendatang baru, selepas 1940, kecuali Baba Melaka yang berasal dari Maharaja Cina ketika Sultan Melaka melawat Cina atas jemputan. Sejarah ini mesti diajar di sekolah, supaya anak-anak Cina dan Keling tahu asal usul mereka dan terima fakta bahawa Melayu adalah asal Nusantara. Semua Kepulauan Melayu adalah tanah air Melayu, hingga ke Kemboja. Melayu lebih awal jadi penghuni dunia daripada Cina dan India. Fakta ini ada dan diketahui oleh ahli sejarah. Sila rujuk sejarah ini daripada seorang profesor di Cambridge, yang dapat memberi susur galur Melayu secara saintifik.  Lihat juga perbincangan dan huraian Prof. Madya Mat Rofa Ismail dari UPM yang membicarakan asal usul Melayu bukan dari Yunan, tetapi dari tempat lain.

Dalam apa juga kajian sejarah, kesilapan terjadi bukan kerana tidak ada fakta, tetapi fakta itu ditutup supaya tidak diketahui. Tujuannya ialah untuk membuat tafsiran baru berasaskan pembohongan sejarah. Inilah yang berlaku tentang asal usul Melayu yang dikatakan berasal dari Yunan, padahal fakta yang betul tidak begitu. Prof. Madya Mat Rofa Ismail dan rakan-rakannya menemui pembohongan ini memang sengaja dilakukan dengan tujuan untuk memberi gambaran buruk kepada bangsa Melayu. Salah satu contoh terbaik ialah konsep Malaysian Malaysia, yang merupakan pembohongan sejarah yang amat ketara. Ke mana pun mereka ini pergi, mereka tetap bukan berasal dari Kepulauan Melayu; tetapi pendatang yang dibawa Inggeris untuk menjadi kuli di lombong bijih atau di kebun getah.  Sejarah mesti digali supaya pembohongan dapat ditolak, supaya anak-anak sekolah tidak terus berada dalam kegelapan sejarah, seperti misalnya propaganda Malaysian Malaysia itu.  Pengkhianatan intelektual mesti ditentang apabila orang politik cuba menyelewengkan sejarah.

_______________

Kekayaan Yang Luar Biasa

Siapakah di antara tokoh politik Malaysia yang amat kaya? Terkejut juga kita apabila seorang pembicara di YouTube yang bernama Jufazli Shi Ahmad yang mendedahkan kekayaan luar biasa Tun Dr. Mahathir Mohammad dan anak-anaknya. Harta karun itu disimpan dalam Bank of Israel di Singapura.  Mengapa tidak di Malaysia?  Bank di Malaysia terlalu kecil untuk dapat menampung jumlah harta karun yang begitu besar.  Jadi tidak selamat, dan senang diketahui oleh rakyat yang mungkin boleh saja mencurinya, kerana di kalangan orang Melayu pun terdapat pencuri yang handal. Tidak hanya tokoh politik yang handal mencuri kekayaan negara, pencuri biasa pun berupaya mencuri dari bank.  Bagaimana jika hukum Islam (i.e hukum hudud) dilaksanakan di Malaysia, wajarkah tokoh politik yang disahkan mencuri dipotong tangannya?  Tetapi ahli politik sudah muafakat antara mereka perkara seumpama ini tidak akan berlaku di Malaysia, dengan mengharamkan penggunaan hukum hudud dalam masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia.  Kata mereka, jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia, orang Islam yang mencuri dan dipotong tangannya akan menjadi peristiwa lucu di kalangan orang bukan Islam. Tidakkah ini memalukan umat? Kesimpulan: tak perlu hukum hudud dilaksanakan dalam masyarakat majmuk. Adakah ini keputusan parti PAS juga?  Mungkin sudah ada cara lain yang sudah pun dikonsepsi oleh para ulama PAS untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Malaysia tanpa menimbulkan kontroversi.  Pelaksanaan hukum Islam tidak memerlukan persetujuan masyarakat, oleh itu sebarang halangan masyarakat tidak diterima. Kalau begitu, mengapa hingga sekarang pelaksanaan hukum hudud itu menjadi masalah?   Saya tahu jawapannya, tetapi saya fikir lebih baik kita tunggu saja jawapan para ulama PAS.

Tiba-tiba timbul persoalan hukum, padahal undang-undang jenayah Malaysia adalah yang terbaik, antaranya, jika dibandingkan dengan undang-undang di negara lain. Ertinya, tidak perlu laksanakan hukum hudud. Dengan itu terselamatlah tokoh politik yang korup daripada dipotong tangan mereka jika mereka disahkan mencuri harta negara.  Bunyi kesimpulan ini seperti mengada-ada, memperkecil tokoh besar negara yang banyak berjasa mengumpul harta yang tidak habis dimakan hatta seribu tahun pun!  Apa salahnya menjadi kaya, walaupun dengan menipu? Dalam politik dan dalam perniagaan, pembohongan dan penipuan dibenarkan, sebagai pemudah-cara mendapat pengaruh dan harta. Jika kesimpulan ini benar, maka tiada seorang pun ahli politik dan peniaga yang tidak menipu dalam kegiatan masing-masing.  Tidak hairan jika terdapat PM yang rapat dengan para peniaga besar. Apakah peranan para peniaga kaya ini dalam politik?  Wang mereka banyak, oleh itu natural saja jika mereka diperlukan dalam pilihan raya. Habuannya besar jika menang, baik kepada tokoh politik mahu pun peniaga. Ini bukan korupsi; ini namanya strategi.

Menurut DAP, inilah cara UMNO; bukan cara DAP. Satu masa dulu PAS dikatakan memohon bantuan jihad daripada anggotanya; berjuta-juta juga dikumpulkan. Rupanya para pengikut PAS ada wang untuk diderma, ada harta untuk digunakan dalam pilihan raya. Semua ini kita tahu betapa mahalnya kos pilihan raya; menurut satu anggaran, tak kurang dari 400 juta setiap kali diadakan pilihan raya. Berapa pula belanja calon yang bertanding? Kalau anda mahu tahu, bacalah novel politik, Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu.

Dalam hikayat moden ini dicadangkan penubuhan satu institusi yang dipanggil Pusat Pengesan Penipuan Negara (PUPEN, lihat indeks.  Lihat hal. 78-85.)  Dalam keadaan sekarang yang penuh tepu dengan penipuan dari segi politik dan penampilan tokoh politik yang korup sebagai tokoh yang patut disokong dan dicontohi, maka penubuhan PUPEN menjadi sesuatu yang wajib dari segi politik, supaya sekurang-kurang terdapat rekod yang lengkap tentang penipuan politik dalam Malaysia.  Tetapi penubuhan PUPEN ditentang hebat oleh ahli politik, yang dengan tegas berkata kita tidak perlu institusi baru, kerana kita sudah ada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Yang sangat ironis, BPR malah menggalakkan penipuan dan rasuah kerana badan itu seolah-olah menentang rasuah, tetapi menggalakkan kegiatan fasad dalam keseluruhan kegiatan yang bersifat politik. Anda perlu membaca dengan kritis novel besar ini dalam konteks penggalakan perbuatan fasad dalam politik Malaysia. Anda perlu faham apa yang dimaksudkan dengan fasad dalam tindakan politik tokoh-tokoh politik Malaysia.  Jika anda menolak konsep fasad, maka anda adalah seorang yang korup dalam konteks yang luas dan menyeluruh yang terkandung dalam konsep fasad yang diberi penekanan penting dalam al-Quran. Anda jangan harap DAP akan menerima konsep ini, walaupun mereka mendakwa mereka menentang korupsi. Ini tidak aneh, kerana dalam definisi mereka korupsi itu diberi definisi yang sempit supaya mereka bebas melakukan perbuatan fasad yang dikutuk dalam al-Quran.  Sejauh mana anda faham kesimpulan ini? Baca lagi dengan teliti dan kritis, sampai anda betul-betul faham dan tahu dengan mendalam makna korupsi seperti yang dimaksudkan dengan konsep fasad itu. Bacalah Hikayat Buyung Lurus dengan kritis sekiranya anda mahu menjadi manusia yang cerdik dan tahu makna sebenar konsep korupsi itu.

(Akan disambung jika perlu)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10-15 Jun 2020

No comments:

Post a Comment