Saturday, December 20, 2014

SEKALI LANCUNG KE UJIAN …



Bagus juga peribahasa Melayu ini: Sekali lancung ke ujian, seumur tak percaya. Baru sekarang jelas, para sasterawan negara ini bukan emas tulen yang boleh dibakar tetap menghasilkan emas tulen; mereka adalah emas lancungan yang bila dibakar lebur semuanya. Yang tinggal hanya gelaran: sasterawan negara. Mana hasilnya yang bermutu? Makin dianalisis, makin jelas wajah emas palsunya. Gigi palsu yang ditatah emas tetap palsu walaupun emas yang ditatah itu asli. Mana dia yang asli daripada karya para sasterawan negara? Semua mereka mengaku dengan jujur bahawa mereka adalah peniru, dan sangat bangga menjadi peniru. Panel Anugerah Sastera Negara sendiri membuat kesimpulan yang sama dalam laporan mereka. Namakan mana satu di antara sasterawan negara ini yang asli? Tak perlu diuji begitu, kata seorang kawan saya yang pakar dalam musik. Katanya, yang dinamakan lagu Melayu asli itu bukan lagu Melayu asli. “Tudung Periuk” diambil dari lagu China. Begitu juga “Seri Mersing”. Mana ada yang asli? Semua lagu R. Azmi diciplak dari lagu Hindi, tetapi kini sudah dinaik-taraf menjadi lagu Melayu asli. Apa halnya? Kata teman saya itu, apa masalahnya sasterawan negara pun tidak asli. Mereka bukan pemikir, mereka hanya cekap meniru. Itu pun satu kemahiran juga, yang memang diterima dengan baik dalam sastera Barat. So what?  Kata teman saya sambil tertawa.  Mana ada karya sastera Barat yang asli? Boleh beri satu contoh? Aku sebut beberapa nama, termasuk George Bernard Shaw dan Mark Twain, sekadar contoh. Sahabatku tertawa kuat, sambil menepuk paha kerana terlalu geli hati. Bila aku tanya apa yang menggelikan hatinya, dia semakin kuat tertawa. Akhirnya tamat di situ saja, tidak ada kepastian. Aku tidak mahu bertanya lagi, dan tidak mahu juga menjelaskan duduknya perkara sebenar. Kedua tokoh itu sudah terkenal, siapa yang peduli sama ada mereka asli atau tidak? Begitu juga sasterawan negara, sudah dikanunkan, seperti Pak Pandir dikanunkan dalam konsep pandirisme, sebagai pelopor intelektual Melayu. Beratus tahun Pak Pandir diabaikan, tiada siapa pun sedar beliau adalah seorang ahli fikir ulung yang mencetuskan pandirisme sebagai teras kebudayaan Melayu moden dalam kesusasteraan dan kesarjanaan sastera. Setelah termenung beberapa ketika, sahabat saya menyuarakan bantahannya: tidak patut kau masukkan para sasterawan negara ke dalam budaya pandirisme. Mereka tidak bersalah, malah dengan gigih mereka berusaha memajukan pemikiran orang Melayu melalui sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, novel Anwar Ridhwan dan Abdullah Hussein, cerita pendek Keris Mas dan Abdullah Hussein dan lain-lain. Apa salahnya dengan karya mereka?

Aku diselamatkan oleh panggilan telefon. Seorang kenalan minta aku menunggunya di lapangan terbang dalam masa dua jam lagi. Jadi perbualan kami terputus di situ saja. Aku tidak fikir perbualan itu perlu disambung lagi. Temanku itu seorang tukang emas. Aku akan bertanya beliau bagaimana penjual emas menipu dalam perniagaan emasnya. Aku kira lebih mudah memahami cara-caranya.  Betul juga kata kawanku tadi: mana ada sasterawan asli? Tapi aku masih terkilan…  Kalau begitu, penilaian Panel Anugerah Sastera Negara memang betul. Yang penting melantik sasterawan negara. Sama ada mereka asli atau tidak, pemikir atau tidak, bukan urusan Panel menentukannya. Mereka adalah sasterawan negara.  Sama ada karya mereka bermutu atau tidak, ditentukan sepenuhnya oleh sarjana sastera. Sehingga ini belum ada sarjana sastera yang mempersoalkan mutu karya mereka. Jadi apa masalahnya? Ya. Betul, apa masalahnya? Itulah masalahnya…

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/12/2014.


Friday, December 19, 2014

KONSEP ILMU YANG BENAR MENCABAR KEJUJURAN INTELEK SARJANA



Mengapakah para sarjana yang mengerjakan solat, berpuasa dan sebagainya, tidak dapat menerima konsep ilmu yang benar dalam kehidupan akademik mereka? Mengapa para sasterawan sendiri menentang kuat konsep ilmu yang benar?  Jika mereka berkata, mereka tidak menolaknya, maka mengapa di dalam karya kreatif para sasterawan dan tulisan akademik para sarjana tidak kelihatan komitmen mereka terhadap ilmu yang benar? Bila saya membaca buku Dr. Mawar Shafie yang membicarakan karya Anwar Ridhwan, saya tidak nampak beliau membicarakannya dalam konteks ilmu yang benar. Adakah ini disengajakan? Adakah ini bermaksud, apa juga pembicaraan tentang sastera, mestilah menggunakan hanya teori sastera, bukan teori ilmu. Dengan itu, kehadiran ilmu yang benar dalam analisis tidak relevan dan tidak sesuai dengan penilaian yang akan dilakukan terhadap karya sastera. Misalnya, Dr. Mawar Shafie menggunakan teori intertekstualiti ketika membicarakan novel Naratif Ogonshoto, maka sekiranya unsur ilmu yang benar itu dijadikan asas, teori itu tidak boleh digunakan lagi kerana teori itu tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Dengan itu, dari segi kritikan sastera, novel berkenaan telah dibataskan analisisnya dan penilaiannya sekiranya konsep ilmu yang benar itu dijadikan asas penilaian. Dengan itu novel itu dinafikan daripada dibicarakan dalam apa juga teori sastera yang ada pada waktu ini; dan ini akan membuat novel itu kelihatan terlalu miskin dari segi makna, tidak mencapai nilai sebenarnya yang berada dalam novel itu yang boleh dibicarakan dalam apa juga teori sastera, kecuali teori yang berasaskan konsep ilmu yang benar yang memang tidak sesuai digunakan. Lagi pula, jika dilihat dari aspek yang lebih penting, novel itu ditulis tidak berasaskan konsep ilmu yang benar, sebaliknya ditulis berasaskan teori intertekstualiti dengan sumber idea daripada falsafah politik Machiavelli, oleh itu novel itu harus dinilai dalam konteks teori yang digunakan. Hanya dengan berbuat demikian, barulah novel itu menyerlahkan kehebatannya yang mempunyai lapisan makna berlapis-lapis, dengan itu memperkayakan kefahaman pembaca terhadap tema  novel itu yang berpaksikan kejahatan dan kezaliman ahli politik, dengan itu novel itu kaya dengan pelbagai sudut makna yang mendalam tentang kehidupan manusia tanpa mengira agama.  Persoalan yang dikemukakan adalah persoalan yang universal, tidak terbatas kepada satu kelompok tertentu. Kalau pandangan ini betul, maka sudah pasti Anwar Ridhwan telah berbohong kepada pembaca apabila beliau berkata novel itu adalah sebuah novel intelektual yang berasaskan nilai-nilai Islam. Atau pengkritik, dan penilai novel itu yang berbohong, atau sekurang-kurangnya tidak membaca novel itu dengan betul, oleh itu pengakuan Anwar Ridhwan itu terlepas dari pandangan mereka. Kalau kita menerima penegasan dalam teori sastera Barat yang mengatakan pengarang tidak berhak menentukan makna dan tujuannya menulis karya itu, kerana sebaik saja karya itu ditulis dan diterbitkan, pengarang sudah mati, maka penulisnya tidak perlu mendakwa dia menulis kerana sekian-sekian tujuan, kerana dia tidak berhak lagi ke atas karyanya. Tetapi pendirian ini tidak pernah menjadi pegangan di kalangan para sasterawan Melayu, walaupun mungkin menjadi pegangan beberapa orang pengkritik sastera. Bagaimana perkara ini boleh diselesaikan? Menurut sarjana sastera dan para pengkritik sastera, tidak ada masalah yang perlu diselesaikan, kerana semua karya sastera bersifat universal dan tidak terikat kepada mana-mana nilai, kecuali nilai sastera.  Dalam hal ini, nilai agama tidak relevan dan tidak boleh dijadikan salah satu ukuran dalam penilaian karya, kerana unsur ini telah lama ditolak dalam teori sastera Barat. Oleh sebab sarjana kita menggunakan teori sastera Barat seluruhnya, maka apa yang disebutkan sebagai masalah itu sebenarnya bukanlah masalah, hanya salah faham sahaja.  Supaya tidak timbul salah faham yang akhirnya merugikan sastera Melayu, maka lebih bijaksana jika unsur ilmu itu tidak dijadikan teras dalam penilaian kerana ini akan bertentangan dengan maksud  sesebuah karya itu ditulis. Lagi pula, jika pendirian ini dijadikan asas, tidak ada lagi sasterawan negara, kerana tidak seorang pun di antara mereka akan dapat dipertahankan sekiranya unsur ilmu itu menjadi teras penilaian. Demikianlah hujah para sarjana dan pengkritik sastera.

Adakah ini pilihan terbaik untuk kita yang mempunyai tradisi yang agung dalam tamadun ilmu yang kita warisi?  Jika kita menerima hujah-hujah para sarjana di atas, maka inilah pilihan terbaik untuk kita. Selagi kita menggunakan konsep sastera dan menjadikan sastera kegiatan kreatif yang tertinggi dalam kebudayaan Melayu moden, maka hujah tadi kelihatan agak munasabah. Tetapi jika kita menerimanya tanpa perbahasan yang mendalam, kita mungkin kehilangan peluang untuk membicarakan aspek ilmu dalam penulisan kreatif, dan akan terus hanyut menjadi pengikut teori sastera Barat. Memang tidak ada pilihan lain? Jika itu pendirian kita, maka kita telah membataskan kemampuan intelektual kita untuk meneliti persoalan ini lebih mendalam, dengan melihat alternatif yang lebih baik yang mungkin ada sekiranya kita berusaha mencarinya. Atau tidak perlu dicari lagi kerana kita sudah mempunyai dan berpegang pada teori Barat yang begitu canggih dan menyeluruh?  Semua sasterawan Malaysia dan para sarjana sastera berpendapat, sastera harus mencerminkan realiti masyarakat; oleh itu penulisan novel picisan dan erotik seperti TIVI, Kuala Lumpur Kita Punya, Salina, dan lain-lain adalah sesuai dengan konsep sastera yang dipegang dan menjadi sandaran para sasterawan, iaitu setiap hasil sastera mempunyai realiti fiksinya sendiri dan tema yang digarap adalah diambil dari realiti kehidupan sebenar. Dengan itu tidak ada karya picisan atau erotik. Itulah pendapat Shahnon Ahmad yang disokong oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang beliau sendiri menjadi anggotanya, sasterawan negara yang memperjuangkan idea berkonsepkan “sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia”.  Adakah ini penyelewengan konsep sastera dan sekali gus berupa penyelewengan konsep amal kerana Allah yang dihuraikan dengan panjang lebar oleh Pendeta Za’ba dalam kitabnya, Asohan Budi (1958).  Belum ada lagi penjelasan kerana memang tidak diperlukan. 

Dalam hal ini mungkin teori semiotik boleh membantu kita, asal saja kita benar-benar faham teori itu.  Karya-karya Anwar Ridhwan yang dibicarakan mengikut acuan teori semiotik telah gagal membaca karya yang dipilih dan makna yang didapat daripadanya.  Ini terjadi kerana teori itu digunakan secara literal, cetek dan diaplikasi dalam bentuk cerita. Prinsip penting yang perlu difahami dalam karya kreatif ialah matlamat karya itu ditulis untuk melahirkan keindahan dan makna yang mendalam, dalam satu  gandingan yang erat, yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya menjadi asas kelahiran karya kreatif itu. Kedua-duanya tidak mungkin dicapai tanpa kefahaman yang betul tentang konsep ilmu, kerana konsep ilmu yang salah akan mendorong tafsiran yang menyeleweng yang bertentangan dengan hakikat kejadian manusia yang perlu difahami daripada dua perspektif, iaitu perspektif tauhid dan perspektif taklif. Perspektif pertama mentakrifkan sumber ilmu, yang kedua mentakrifkan amal manusia yang lahir dari kefahaman yang betul terhadap perspektif pertama tadi. Jika ini difahami dengan betul, maka apabila kita bercakap tentang keindahan dan makna yang mendalam yang diberikan oleh sesebuah karya kreatif, maka kita berbicara tentang sumber keindahan itu berasaskan konsep ilmu yang benar, dan bagaimana dijelmakan dalam karya melalui komitmen kepada taklif. Apabila kita sudah memahami prinsip ini, maka kita boleh menggunakan apa juga teori yang kita suka dalam batas-batas yang ditakrifkan oleh tauhid dan taklif itu. Teori semiotik boleh kita pakai dengan berkesan sekiranya kita baca teori itu daripada perspektif yang dibincangkan di sini. Tetapi kita perlu berhati-hati ketika memakai teori intertekstualiti, kerana asal usul teori itu ada kaitannya dengan Marxisme dan psikologi Freud. Malah lebih baik jika tidak digunakan, kecuali jika anda benar-benar jelas tentang konsep ilmu yang benar. Lain halnya dengan teori semiotik, yang berlandaskan teori linguistik, jadi boleh mengurangkan kecenderungan untuk sesat di tengah jalan dengan begitu mudah jika digunakan teori intertekstualiti. Bagusnya menggunakan teori semiotik itu ialah kita bercakap tentang tanda-tanda, yang jika difahami daripada perspektif Islam, akan mendorong kita kepada makna hakikat kejadian insan dan hakikat amal mereka. Sebaliknya, jika tidak dalam konteks itu, maka jadilah seperti yang berlaku dalam buku Semiotik dalam Novel Anwar Ridhwan, oleh Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali.  Bacaan dan analisis tentang novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman membawa kita jauh dari kualiti sebenar novel itu sebagai novel picisan saja. Kesimpulan ini tidak mungkin dapat difahami jika aspek tanda yang difahami dalam Islam tidak difahami oleh pengguna teori semiotik ini. Ibarat menggunakan pisau yang tajam untuk menyembelih ayam, tetapi tidak membaca Basmalah dan kaedahnya juga tidak betul. Semudah itu, sebenarnya. Walaupun mudah, kena tahu juga. Demikianlah pentingnya ilmu.  (Untuk penjelasan lanjut, lihat “Keunggulan yang Cacat” (28 Oktober, 2014) dalam blog ini). Saya juga telah memberi contoh-contoh dari mathnawi Rumi dan syair-syair Iqbal dalam beberapa entri dalam blog ini (antara lain, bertarikh 13 Ogos, 2014; dan lain-lain entri bulan September).

Aspek keindahan dalam karya kreatif telah dijelaskan dengan agak terperinci dalam  Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua), halaman 97-116. Lihat juga bab 19, Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas (MPH 2012). Di situ dibicarakan konsep ihsan sebagai asas keindahan bahasa; berbanding dengan yang biasa difahami dalam sastera “keindahan” itu hanya dalam permainan kata/bahasa. Yang satu menekankan makna yang indah; yang satu lagi menekankan permainan bahasa menggunakan retorik yang sering dipakai. Inilah kefahaman Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana sastera ketika membicarakan aspek “keindahan” bahasa.  Penjelasan tentang aspek ini telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kuliah MASTERA beliau (DBP, 2009). Lihat halaman 121-125, dalam Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.

Semoga Allah Ta’ala selamatkan persuratan Melayu daripada disesatkan oleh teori sastera Barat yang dibawa oleh para sarjana yang anti-ilmu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Disember 2014.







Wednesday, December 17, 2014

BEBERAPA CATATAN HUJUNG TAHUN BLOG PERSURATAN BARU: MENGEMBALIKAN MARUAH ILMIAH DALAM PENGAJARAN SASTERA.



Iqbal menulis tentang dirinya begini:

Aku tak hajat pada telinga zaman sekarang
Aku suara penyair dari dunia ‘kan datang
Temanku seusia tak faham maksudku mendalam
Yusufku tidak sedia bagi pasarmu ini.
                   Asrar-I Khudi (Rahsia-rahsia Peribadi)
Terjemahan Bahrum Rangkuti (Bulan Bintang, Jakarta 1976, hal. 14.)

Seterusnya:

Biarlah cinta membakar semua ragu dan syak wasangka
Hanyalah kepada Yang Esa kau tunduk, agar kau menjadi singa. (hal. 37).

Rasanya saya berada dalam kutipan pertama; sedang menuju kepada matlamat dalam kutipan kedua. Atau sudah pun tercapai? Anda sendiri di mana? Sasterawan negara berada di mana?

“Yusufku tidak sedia bagi pasarmu ini”.  Cantik dan mendalam sekali  ayat Iqbal ini. Seluruh sajak yang pernah ditulis oleh sasterawan Melayu selama ini tidak mungkin mencapai makna mendalam dalam satu baris ayat ini. Jika anda faham interteks, mungkin lebih mudah anda faham maksudnya.

Apakah yang anda sibukkan diri dalam pasar anda ini? Anda membawa Machiavelli dan persembahkan kepada khalayak Malaysia, sebagai tokoh besar yang memberi ilham kepada Tuan Presiden dalam Naratif Ogonshoto.  Anda memperkenalkan dengan sombong dan angkuh Mephistopheles sebagai tokoh Iblis yang pintar.  Katamu angkuh: “sepertimu aku terlantar/pada sungai takdir/sekali murung sebagai sarjana/tetapi sering bercermin kaca rusuh/dan memihak pada pintar Mephistopheles.”  (dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau, karya sasterawan negara Muhammad Haji Salleh, hal. 5).

“Yusufku tidak sedia bagi pasarmu ini”.  Tidakkah anda telah melemparkan Yusuf ke dalam  perigi buta? Itulah yang juga dilakukan oleh para sasterawan dan sarjana sastera: melemparkan sastera ke dalam perigi buta budaya pandirisme.

Sekarang yang akan berlagak di pasar anda adalah badut bengis dan jahat yang keluar beramai-ramai sebagai hantu Melayu untuk merasuk pelajar sekolah menengah mulai 2015; membawa masuk Machiavelli ke dalam bilik darjah untuk dibincangkan beramai-ramai dengan para guru yang terlatih dalam kesusasteraan sebagai guru pakar yang mengenal siapa Mephistopheles yang menjadi guru kepada Machiavelli yang terkenal itu. Guru dan para pelajarnya berhempas pulas membicarakan falsafah kejahatan dalam politik dan dalam sastera. Pasarmu memang kau bina untuk itu!

Demikian hebatnya pengajaran sastera di Malaysia: guru, pelajar, sasterawan dan sarjana berada sebaris dengan Machiavelli dan Mephistopheles, membincangkan dengan mendalam “kebijaksanaan” tuan Presiden dan pengikutnya yang setia untuk membunuh lawannya, sambil membiarkan seorang gadis memotong zakar seorang penentang Sang Presiden untuk dicampak kepada burung nasar. Tentulah zakar itu sebesar zakar di depan Muzium Sarawak (kini sudah dibuang atau disimpan di tempat lain!) sehingga boleh mengenyangkan kumpulan burung nasar yang berebut zakar politikus muda. Gadis-gadis Melayu yang belajar sastera mesti bersedia untuk menerima pengajaran nilai-nilai murni dalam negara Ogonshoto yang berada di dunia “separa-nyata dan separa-magis”, iaitu “dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir, firasat, mitos dan simbolisme” itu tetapi masih “berakar pada realiti dunia” Malaysia yang dikenali oleh para sasterawan negara dan penilai mereka.  Dalam pasar inilah anda akan membawa Machiavelli dan gurunya Sang Iblis Mephistopheles itu, untuk ditekuni oleh para guru sastera dan para pelajar sastera. Dalam pengajaran sastera Malaysia, nilai-nilai murni yang dibawa oleh Mephistopheles dan Machiavelli  murid agungnya itu akan memberi dinamika baru kepada pelajar sastera yang akan disuntik dengan semangat ingin maju, tanpa mengira dengan apa cara sekali pun. Sesuai dengan aspirasi mimpi yang akan dicapai dalam Wawasan 2020 nanti.

Pengajaran sastera yang pada mulanya mudah dan boleh menjadi menarik minat jika kaedahnya betul,  kini menjadi sukar dan membosankan serta membebankan setelah dimasukkan beberapa unsur luaran yang tidak kena mengena dengan cara dan gaya sesebuah karya kreatif didekati. Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam tulisannya, “Kesusasteraan Melayu Mutakhir: Antara Realiti dan Harapan” (kertas kerja untuk Seminar Pemikiran 6 Sasterawan Negara II, Dewan Za’ba, UPM 26 April 2014),  menegaskan pengajaran sastera telah diberi nafas baru dengan memperkenalkan “Kesusasteraan Melayu Komunikatif” (KMK) yang menawarkan 4 kertas: (1) penghayatan karya, mengandungi 3 pecahan: puisi (tradisional dan moden), prosa tradisional dan moden (cerpen dan drama); (2) sastera dan pembangunan, mengandungi 3 bahagian: pembangunan insan, pembangunan masyarakat, pembangunan negara; (3) kreativiti, pengurusan dan multimedia, mengandungi 3 bahagian: penulisan kreatif, pengurusan, multimedia dalam sastera; dan (4) kerja kursus. Itulah nafas baru yang dimaksudkan, yang akan membuat para pelajar STPM sesak nafas.  Profesor ini memberikan beberapa statistik yang membuktikan guru-guru suka menghirup nafas baru ini, demikian juga para pelajar walaupun “kesukaannya” kurang daripada guru.  Yang menarik dalam nafas baru ini ialah pembelaan terhadap sajak terindah dalam sastera Melayu moden, satu-satunya sajak intelektual yang bermutu tinggi, “Pulang Si Tenggang” oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara. Kata profesor ini, cerita Si Tenggang ini tidak seluruhnya mengenai anak derhaka; ada nilai positifnya, iaitu kegigihan Si Tenggang untuk memajukan dirinya hingga berjaya menjadi Nakhoda besar dan saudagar besar yang kaya raya hingga dapat memikat puteri raja. Si Tenggang berusaha untuk berjaya dalam kehidupannya. Dengan nafas baru ini, maka matlamat utama cerita ini diceritakan untuk memberi pengajaran moral kepada anak-anak, ditenggelamkan dan yang dibesar-besarkan ialah kejayaan Si Tenggang. Dari sesuatu yang bersifat kerohanian dan nilai murni, ditukar kepada kejayaan kebendaan seluruhnya, dengan itu para pelajar diberi saranan supaya berusaha gigih seperti Si Tenggang sehingga mereka juga berjaya seperti Si Tenggang dan dapat menggelarkan diri mereka Tenggang II, seorang Si Tenggang baru. Sukar untuk difahami bagaimana idea bullshit ini boleh diterima dalam pengajaran sastera. 

Apakah tujuan dan matlamat pengajaran sastera? Mudah saja: untuk mencerdikkan mereka (pelajar dan juga guru sastera) dengan memperkaya pengalaman intelektual  mereka melalui pembacaan karya sastera yang bernilai (bukan jenis Si Tenggang atau Naratif Ogonshoto), bukan karya yang picisan. Untuk itu, mereka perlu diperkenalkan kepada idea falsafah estetik, kritikan sastera dan beberapa pendekatan terpilih yang penting, analisis dan penilaian dalam kritikan, ukuran yang digunakan apabila menilai karya sastera, dengan memberi mereka peluang untuk menilai novel atau cerita pendek mengikut kecenderungan mereka dengan menggunakan pendekatan yang terpilih tadi. Pokoknya, beri mereka peluang berfikir dan merasakan sendiri keindahan karya kreatif yang bermutu melalui apa juga pendekatan yang didedahkan kepada mereka. Baru ada gunanya mengajar sastera kepada mereka. Matlamat kita, supaya yang terbaik di antara mereka akan menjadi pensyarah dan profesor sastera, supaya dapat ditentukan kemajuan dalam bidang ini. Sekarang tidak ada kemajuan. Yang jelas ialah betapa kayanya kekusutan dan pandirisme, kerana para sarjana kita sendiri pada umumnya anti-ilmu, cetek meraba-raba tidak pun mendalam dalam kebudayaan sendiri apatah lagi dalam kefahaman mereka terhadap bidang sastera yang dari Barat sekalipun.  Beri juga mereka baca buku tentang sejarah kritikan sastera di Malaysia yang ditulis oleh Prof. Hashim Awang dan dua orang lagi, walaupun buku tidak sebaik yang kita harapkan. Seperti biasa, sarjana kita suka sangat bercerita, demikian juga buku sejarah kritikan itu menceritakan tentang apa yang disebut sebagai “kritikan sastera”. Bagaimana pun, masih berguna sebagai sumber maklumat yang terbatas yang masih boleh dibaiki lagi jika diterbitkan edisi kedua nanti.

Pada umumnya kita perlukan satu revolusi pemikiran dan pendekatan dalam pengajaran sastera, bukan sekadar memberi nafas baru yang sebenarnya menyesakkan nafas.  Para sarjana sastera kita harus muncul sebagai pemikir, bukan hanya sekadar mampu memberi cadangan yang mengusutkan lagi pengajaran sastera di Malaysia. Untuk menarik minat pelajar kepada subjek sastera ini, beri mereka pendedahan kepada aspek pemikiran seperti yang digariskan secara kasar di atas. Jangan dihalang mereka daripada mendekati pemikiran baru dalam bidang ini, misalnya dengan mendedahkan kepada mereka buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid dan memperkenalkan mereka kepada Gagasan Persuratan Baru, supaya mereka juga tahu kini terdapat tiga kategori karya kreatif: karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan lucah. Mereka harus didedahkan kepada konsep ilmu yang benar, bukan disogokkan kepada maklumat separuh matang yang mengusutkan kefahaman mereka tentang pengajaran sastera ini. Maruah akademik dalam bidang ini harus dikembalikan; dan para pelajar serta guru sastera juga perlu mendapat pendedahan baru supaya mereka boleh berfikir secara kritis. Perkenalkan mereka kepada konsep ilmu yang benar itu.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17 Disember 2014.





Monday, December 15, 2014

KESAN NEGATIF PEMILIHAN TEKS YANG SALAH DALAM PENDIDIKAN SASTERA: TOLAK NOVEL NARATIF OGONSHOTO SEBAGAI BUKU TEKS SASTERA



Jika benar novel Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, telah dipilih untuk dijadikan teks tahun 2015, maka satu kesilapan besar telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan yang membuat keputusan itu. Apakah alasan Kementerian untuk memilih novel ini? Penjelasan ringkas yang diberikan ialah novel ini sebuah novel yang bermutu tinggi yang telah diakui oleh para sarjana dalam dan luar negeri, yang ditulis oleh seorang sasterawan negara. Gelaran sasterawan negara yang dianugerahkan kepada penulisnya sudah cukup untuk menjadi hujah bahawa novel ini adalah sebuah novel yang bermutu dari segi pemikiran dan indah bahasanya dilihat dari perspektif estetik.  Seperti yang kita tahu, Kementerian Pendidikan sangat sensitif tentang penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan. Tetapi apabila Kementerian memilih novel ini, maka polisi Kementerian yang ingin memperkenalkan dan mempertahankan nilai-nilai murni itu terpelanting ke dalam longkang nilai yang kotor dan busuk.  Novel Naratif Ogonshoto  adalah sebuah karya yang tidak langsung memiliki sebarang nilai murni yang menonjol dan ditonjolkan dengan sedar oleh pengarangnya; malah yang ingin ditekankan ialah betapa kejahatan itu boleh dijadikan tema novel yang bermutu sekiranya pengarang mengasaskannya kepada falsafah tertentu, dalam hal ini ialah falsafah Machiavelli. Seorang sarjana yang menulis tesis Ph.D. beliau tentang Anwar Ridhwan, Dr. Mawar Shafie, telah menegaskan dalam tesis beliau yang diterbitkan, Novel Intertekstual Melayu (UKM 2010), bahawa Anwar Ridhwan sendiri mengaku dia mendapat ilham, seperti yang ditegaskan sendiri oleh pengarangnya, daripada ajaran sesat Machiavelli yang terkenal, “matlamat menghalalkan cara”. Pengakuan ini disebut oleh Mawar  Shafie dalam bukunya itu. Pengakuan ini penting kerana pengarang novel ini sendiri tidak melihat sebarang kesalahan untuk menjadikan ajaran Machiavelli sebagai tema novelnya yang mendapat sanjungan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri.  Adakah ini bermaksud, apabila seorang sasterawan sudah diberi anugerah sasterawan negara, maka dia diberi kebebasan untuk memperkenalkan idea yang songsang dalam sistem pendidikan negara Malaysia? Jika inilah keputusan Menteri Pendidikan sendiri, yang diperakukan pula oleh pakar sastera dalam Kementerian, maka teruskanlah melakukan kesilapan ini, kerana Kementerian mempunyai kata putus dalam menentukan apakah yang dimaksudkan dengan nila-nilai murni dan nilai-nilai yang bertentangan dengan nilai-nilai murni itu.

Tetapi dari segi psikologi pendidikan, juga dari segi pendidikan moral yang diajarkan oleh Islam, para pelajar harus diajar nilai-nilai moral yang baik secara langsung dan positif, tidak melalui pendekatan negatif, jika itulah yang difikirkan oleh Kementerian, dengan mengajar murid-murid bagaimana kejahatan dilakukan oleh para pemimpin dan mereka kemudian diberitahu supaya tidak mengikuti atau menjadikan contoh kelakuan para pemimpin yang jahat dan zalim itu, yang amat ditekankan dalam novel Naratif Ogonshoto ini. Saya telah menulis panjang lebar menghujahkan bahawa novel ini adalah sebuah novel picisan saja, dimodelkan daripada cerita penglipur lara yang menurut Panel Anugerah Sastera Negara, “Dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir, firasat, mitos dan simbolisme itu masih berakar pada realiti dunia.  … sebuah dunia yang separa-nyata dan separa-magis” (Laporan 2009, hal. 33).  Adakah inilah jenis sastera yang ingin disebarkan oleh Kementerian Pendidikan kepada para pelajar sekolah menengah?

Para pendidik yang pakar dalam sistem pendidikan negara dan para sarjana sastera yang serba tahu tentang teori sastera Barat, harus terlebih dahulu membahaskan perkara ini dengan mendalam sebelum para pelajar kita disesatkan dengan ajaran Machiavelli. Mengapa kita harus menyeleweng begitu jauh? Tidak adakah karya novel yang betul-betul bermutu dan jelas nilai-nilai moral dan nilai-nilai murninya yang boleh dijadikan teladan para pelajar kita?

Kementerian Pendidikan tidak wajar membawa karya picisan ke dalam kelas, lebih-lebih lagi yang tidak menggambarkan adanya nilai-nilai murni yang menjadi falsafah pendidikan Kementerian. Di samping itu, Kementerian patut bersikap terbuka untuk mendengar pandangan yang berbeza daripada yang diberikan oleh para pegawai dan para sarjana sastera yang terlalu kebaratan cita rasanya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15/12/2014.