Friday, October 10, 2014

PRETENSI INTELEKTUAL DALAM KRITIKAN SASTERA MELAYU



Dalam entri yang lepas saya mencabar para sarjana dan sasterawan untuk menolak beberapa kesimpulan saya terhadap pretensi intelektual dan pretensi akademik yang amat rimbun dalam kritikan sastera Melayu. Sebelum itu saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai retorik peragaan dan fatamorgana bahasa dalam kritikan sastera Melayu. Jika anda seorang pembaca yang kritis dan peka kepada kecenderungan  para pengkritik dan sarjana kita untuk menjadikan pretensi intelektual dan pretensi akademik sebagai hujah dalam analisis dan penilaian mereka, anda akan berasa pelik mengapa mereka begitu mabuk dengan pretensi intelektual dan pretensi akademik ini. Dalam analisis saya, hal ini terjadi kerana mereka telah menjadikan pandirisme sebagai arus perdana dalam kegiatan intelektual dan kegiatan akademik mereka.  Saya tidak perlu menjelaskan lagi apa yang saya maksudkan dengan pandirisme itu, kerana tulisan di dalam blog ini telah banyak membicarakannya; dan sebelum itu telah dibicarakan dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (cetakan pertama 2008; akan diulang cetak dalam edisi  2 dengan banyak tambahan, akan terbit dalam masa terdekat).  Mahu tidak mahu pandirisme akan kekal dalam dunia akademik Malaysia, seperti konsep bullshit telah diangkat ke dunia akademik, kebudayaan, dan pendidikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya yang terkenal, On Bullshit (2005). Buku ini amat wajar menjadi bacaan wajib para sarjana, pengkritik, ahli akademik, para penulis dan sasterawan. Tentu saja para pelajar universiti wajar membacanya. Bukunya kecil dan nipis saja, tidak sukar untuk difahami. Selain dari buku ini, baca juga dua buah buku yang membicarakan persoalan yang sama: The Homeless Mind (oleh Peter L. Berger, Brigitte Berger & Hansfried Kellner. Penguin Books, 1973); Social Sciences as Sorcery (oleh Stanislav Andreski. Penguin Books, 1974).

Apakah yang dimaksudkan dengan pretensi? Takrif mudah diberikan dalam Kamus Dewan begini:  “dakwaan atau gambaran kononnya mempunyai atau melakukan sesuatu yang istimewa (padahal tidak kelihatan atau terbukti demikian)”. Ini pula penjelasan dalam kamus, Collins Cobuild Learner’s Dictionary: pretence ( dieja pretense dalam American English) (1) “a pretence is an action or way of behaving that is intended to make people believe something that is not true.” 

Takrif yang diberikan dalam Kamus Dewan cukup jelas. Dalam kritikan sastera dan tulisan “ilmiah” tentang sastera, pretensi intelektual dan pretensi akademik ini dilahirkan melalui retorik peragaan dan fatamorgana bahasa.  Melalui retorik peragaan, disenaraikan segala pujian dan sanjungan yang tidak dibuktikan; dengan menggunakan fatamorgana bahasa, antaranya eksperimental, kelainan, perubahan, penerokaan tema baru, intelektualiti, dan banyak lagi yang anda boleh kumpul dengan mudah yang terdapat dalam tulisan para sarjana ciritan ini.

Anda mahu contoh? Saya telah memberi contoh yang banyak dalam blog ini, oleh itu tidak perlu diulang di sini. Sesiapa yang berminat, sila semak kembali tulisan yang lepas-lepas yang disiarkan dalam blog ini.  Perbincangan yang terperinci telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang dimuat dalam edisi 2 buku Gagasan Persuratan Baru:  Pengenalan dan Penerapan.  Saya sendiri telah menulis satu analisis panjang penilaian novel Kawin-kawin oleh Azizi Abdullah dalam satu kertas kerja yang panjang, dibentangkan dalam “Seminar Jenaka Nusantara” (2003), anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Contoh terbaik tentu saja Laporan Anugerah Sastera Negara.  Selain dari itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan “Seminar Pemikiran SN” dan telah menghasilkan tidak kurang dari 200 kertas kerja yang kaya dengan retorik peragaan dan fatamorgana bahasa dalam konteks pretensi intelektual dan pretensi akademik. Beberapa kertas kerja seminar ini telah saya ulas dan komen dalam blog ini. Apa lagi yang anda mahu? Kalau masih tidak jelas, maka anda telah membuktikan betapa meluasnya pandirisme dalam kegiatan kritikan dan akademik kita, sehingga orang tidak sedar bahawa dia berada dalam budaya pandirisme.  Bukti bahawa pandirisme telah dijadikan arus perdana dalam bidang akademik dan kritikan sastera. Barangkali inilah maksud kelainan dan pembaharuan yang sering disebut dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Supaya tidak terlalu menghampakan pembaca blog ini, saya ulang di sini beberapa contoh pretensi intelektual untuk anda semua teliti sama ada pretensi intelektual itu benar-benar wujud, atau tidak lebih dari sangkaan belaka.  Jikalau kita ingin berbicara tentang aspek intelektual dalam Islam, kita harus kembali kepada epistemologi Islam yang mencorakkan worldview Islam. Jika kita tidak menjadikan epistemologi Islam itu sebagai asas pembicaraan kita, maka apakah jenis worldview yang ingin kita ketengahkan? Kalau kita tidak jelas dalam aspek ini, maka kita tidak berbicara tentang Islam, tetapi tentang perkara lain yang asing, yang tidak kena mengena dengan Islam. Inilah yang terjadi dalam laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Oleh itu, apabila Panel ingin meletakkan Kemala sebagai pensajak antara bangsa yang menggunakan alusi “universal” (?), maka dia memuji Kemala kerana mengambil contoh Mark Antony dan Cleopatra sebagai contoh. Ini disebut dalam konteks Kemala sebagai pensajak sufi, kononnya. Demikian juga novel Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan sebagai contoh karya intelektual yang berciri Islam, padahal kedua-duanya tidak menayangkan worldview Islam.  Oleh itu, Islam jenis apa yang cuba dipromosi oleh Anwar Ridhwan? Kita hendak tahu dan kita mempunyai hak untuk tahu dan diberitahu. Kerana ini tidak jelas, maka kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas perihal para sasterawan ini sebagai golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba” adalah tepat.

Betapa lemah dan kaburnya sistem dan ukuran yang kita pakai dalam membuat pilihan karya kreatif dan akademik untuk diberi hadiah, dapat kita lihat dengan mata terbeliak kerana terlalu terkejut apabila sebuah buku kajian, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia (2012) terpilih sebagai pemenang bahagian kajian dan kritikan.  Adakah buku ini benar-benar bermutu? Adakah buku seperti ini kita perlukan?  Apakah manfaatnya mempunyai buku seperti ini? Untuk soalan pertama, tentang mutu atau kualiti intelektual buku ini, kita boleh menjawab dengan mudah jika kita kembali kepada aspek epistemologi tadi. Buku ini mempromosi budaya hedonisme dengan menerima karya picisan dan lucah dari Indonesia sebagai salah sebuah karya penting yang menentukan apa yang disebut “puitika sastera wanita”.  Sudah jelas dari segi asasnya terang-terang bertentangan dengan epistemologi Islam, oleh itu apa yang disebut sebagai “puitika sastera wanita” ialah kelucahan wanita Barat yang dibawa ke negara ini dalam bentuk feminisme yang boleh menyesatkan wanita Islam dan merendahkan moral wanita bukan Islam. Semua penjelasan  yang diberikan dalam buku ini, atau sebahagian besarnya, mengenai kebebasan wanita seperti yang ditakrifkan dalam budaya hedonisme Barat. Inikah nilai baru yang diperlukan oleh wanita Islam? Soalan ini akan menjawab soalan kedua di atas, dengan penegasan bahawa kita tidak perlukan buku yang boleh menjatuhkan maruah kaum wanita yang patuh kepada suami dan bapanya dan keluarga lelakinya. Dengan itu jelas, buku seperti ini tidak mempunyai manfaat  intelektual dan tidak pula manfaat moral. Dari perspektif intelektual, idea yang dipaparkan dalam buku ini adalah bertentangan dengan epistemologi Islam, oleh itu boleh menyesatkan orang Islam, terutama kaum wanitanya. Idea yang ditawarkan dalam buku ini akan menimbulkan konflik yang boleh meruntuhkan sistem berkeluarga orang Islam, dan cenderung untuk mengajar kaum wanita untuk menjadi kurang ajar dan bertindak kurang ajar,  persis seperti yang berlaku di Barat. Jika kita kembali kepada epistemologi Islam untuk menilai buku seumpama ini, maka kita akan dapati buku seperti ini adalah jenis  buku picisan dari segi ideanya dan keliru dari segi penghujahannya. Dengan mengambil bulat-bulat pandangan seorang sarjana Barat untuk dipadankan dengan karya tertentu dalam sastera Melayu dan Indonesia, maka kita hanya menjadi polong budaya, merayau-rayau mencari kepala yang hilang, the homeless mind.

Tetapi buku ini mendapat pujian dan sanjungan yang amat tinggi daripada seorang profesor sastera yang terkenal, Prof. Hashim Awang.  Beliau pernah beberapa kali menjadi salah seorang anggota Panel Anugerah Sastera Negara, oleh itu pandangan beliau penting diberi perhatian kritis. Beliau juga terkenal  dengan satu kaedah yang berasaskan cara hidup dan budaya Melayu, dengan aspek Islam sebagai “tunjang” (?). Beliau namakan pendekatan kritikan itu “Pengkaedahan Melayu”.  Seperti juga Prof. Muhammad Haji Salleh tidak berminat menggunakan kaedah ciptaan beliau untuk menilai karya beliau sendiri, maka demikian juga Prof. Hashim Awang ini pun tidak berminat, mungkin juga menolak, penggunaan kaedah beliau sendiri ketika menilai buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia.  Dalam ulasannya yang berjudul, “Kajian Sastera Ampuh dan Bertenaga” (Dewan Sastera, Mac 2014), beliau memberi pujian dan sanjungan yang sangat tinggi terhadap buku ini. Antara lain katanya: “buku ini mendapat sambutan baik dan memberikan impak yang positif dalam kalangan sarjana dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi di Malaysia, Indonesia dan Singapura… Buku ini memiliki nilai ilmiah yang tinggi. … keilmiahan buku juga terserlah pada penemuan  yang keseluruhannya dapat dikatakan sebagai baharu dan asli. … pengkaji menggunakan landasan dan teori kajian yang ternyata baharu, segar dan penuh cabaran. Landasan teori ini pula dapat dikuasai pengkaji dengan begitu baik, kukuh dan meyakinkan. Dengan demikian, setiap huraiannya terlaksana dengan lancar dan mantap, serta mudah pula diikuti oleh pembaca. … pengkaji benar-benar melaksanakan kerjanya dengan penuh dedikasi dan jujur. … Pengkaji dapat mengumpulkan dan meneliti bahan asas yang tepat, asli dan penting. … Begitulah, buku kajian ini ternyata mempunyai banyak kelebihan. … (1) dapat memperlihatkan gambaran perkembangan sejarah dan ciri khusus penulisan novel ciptaan pengarang wanita. … (2) kajian ini turut berjaya menimbulkan jati diri  pengarang wanita dalam pelbagai aspek. … (3) buku kajian ini berjaya mengemukakan dan menerapkan teori feminisme yang dipanggil Ginokritik. Kita bukan sahaja dapat memahami teori tersebut, malah turut dapat memperlihatkan kesesuaiannya untuk diterap pada karya sastera Melayu dan Indonesia yang dihasilkan oleh pengarang wanita, walaupun bernafaskan Barat. … kita dapat menjadikan buku kajian ini sebagai contoh yang baik dalam penulisan karya ilmiah.”

Seperti yang dapat kita lihat, pujian dan sanjungan ini hanya berupa retorik peragaan yang biasa kita lihat dalam tulisan para sarjana kita, dengan dibumbui fatamorgana bahasa seperti kata-kata “impak yang positif”, “nilai ilmiah yang tinggi”, “kukuh dan meyakinkan”, “baharu dan asli”, “contoh yang baik dalam penulisan karya ilmiah”, dan banyak lagi yang boleh anda baca dalam kutipan yang disalin di sini dan juga dalam tulisan profesor ini. Semua pujian dan kata-kata dalam bentuk fatamorgana bahasa ini tidak mempunyai nilai ilmiah, malah sangat mengelirukan.  Semuanya tidak mempunyai asas ilmiah yang boleh kita nilai dengan objektif. Apakah landasan ukuran yang berada dalam otak seseorang apabila dia mengemukakan rentetan retorik peragaan dan bumbu fatamorgana bahasa? Dalam kes Prof. Hashim Awang ini, sudah jelas beliau menolak mentah-mentah Pengkaedahan Melayu beliau sendiri, dengan tidak meneliti pujian dan sanjungan itu daripada perspektif kaedah yang beliau cadangkan. Dengan itu cukup jelas, beliau sendiri sedar kaedah beliau tidak boleh dipakai untuk menilai karya ilmiah dan karya akademik kerana kaedah itu sendiri tidak mempunyai dasar ilmu yang kukuh, hanya sejenis ramalan kasar dan keliru tentang kaedah dalam kritikan dan kajian sastera.  Amatlah aneh apabila beliau memuji kaedah kritikan yang dinamakan feminisme itu tanpa melihatnya dalam konteks yang ditekannya dalam kaedah yang beliau sarankan, iaitu worldview Melayu dan Islam. Beliau harus menjelaskannya, kerana seorang profesor mempunyai tugas dan tanggungjawab ilmiah yang tidak boleh dilempar begitu saja ke dalam sampah akademik setelah beliau sendiri dengan gigih dan yakin menulis dan membicarakan kaedah beliau begitu lama. Mengapa para pembaca yang sedang belajar menjadi cerdik seperti saya dinafikan daripada mendapat manfaat pemikiran mendalam seorang profesor utama seperti beliau?  Saya tidak keberatan jikalau beliau memilih untuk tenggelam dalam retorik peragaan dan meraba-raba dalam kabus fatamorgana bahasa; tetapi beliau harus memberi tahu  kita mengapa beliau memilih untuk berada dalam kekeliruan itu. Beliau harus menunjukkan kemurahan hati seorang ahli ilmu untuk membantu pembaca memahami pendirian beliau.  Adakah betul andaian saya beliau sudah menolak Pengkaedahan Melayu yang beliau cadangkan itu?

Tidak sia-sia saya memulai Balai Maqamat dengan seloka “Sarjana Ciritan” untuk menjadi peringatan kepada para sarjana kita bahawa mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ilmiah mereka dengan mempersetankan pandangan orang lain padahal penjelasan mereka amat diperlukan. Saya tolak mentah-mentah pujian dan sanjungan Prof. Hashim Awang terhadap buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia ini, hanya kerana satu sebab, kerana pujian dan sanjungan itu bertentangan dengan kaedah yang beliau sendiri sarankan dalam pendekatan Pengkaedahan Melayu tajaan beliau.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10/10/2014.




Wednesday, October 8, 2014

SEBUAH KARYA YANG AMAT UNIK



Terdapat pembaca yang bertanya, mengapa Balai Maqamat  tidak mempunyai watak utama? Watak-wataknya lebih banyak watak samaran, yakni watak yang memakai nama samaran. Mengapa? Dalam karya ini, nama tidak diperlukan, kecuali bila tidak dapat dielak, seperti di dalam “Pertemuan Dua Rohani”.  Inilah antara ciri (antaranya, bukan semuanya dan bukan pula syarat penting) sebuah karya persuratan.  Secara khusus karya ini ingin berbicara tentang idea atau konsep korupsi dalam kehidupan manusia Malaysia.  Bagaimana korupsi itu muncul dalam pelbagai kegiatan manusia Malaysia. Misalnya, dari segi pemikiran, yang ditonjolkan dalam episod pertama, dihuraikan aspek yang berbeza antara pandai tulis dengan pandai mengarang. Pembahagian ini penting kerana antara keduanya tidak sama hasil yang diwujudkan. Dalam pandai tulis, yang ditekankan ialah cerita; sementara dalam pandai mengarang yang ditekankan ialah wacana.  Dalam pandai tulis, cerita dilihat dalam konteks beberapa konsep yang kini sudah menjadi klise, seperti plot, perwatakan, latar, dialog dan lain-lain yang ditekankan dalam pendekatan formalistik. Dalam pandai mengarang yang memberi tumpuan kepada wacana, cerita ditempatkan dalam ruang naratif, dengan itu cerita tidak lagi memainkan peranan utama untuk membina karya; sebaliknya wacana bersifat pemikiran itulah yang mengambil tempat utama, supaya hasilnya tertumpu pada pembinaan idea, bukan hanya cerita seperti dalam karya sastera. Kekuatan daya kreatif seseorang pengarang dilihat dari kemampuan intelektualnya menghuraikan idea atau pemikiran yang diberi ruang yang jelas supaya idea itu dapat dilihat kedudukannya dalam keseluruhan karya persuratan itu.  Hal ini tidak terjadi dalam karya sastera, yang hanyut dalam cerita. Semua karya para sasterawan negara termasuk dalam kategori kedua ini, oleh itu pemikirannya kabur, keliru dan tidak terurus secara intelektual. Anda boleh lihat kebenaran kesimpulan ini dengan meneliti karya para sasterawan negara. Di samping itu, anda juga dapat melihat betapa naifnya penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Inilah aspek pandirisme dalam kegiatan kreatif dan intelektual di Malaysia, yang dipanggil oleh Prof. Harry G. Frankfurt sebagai bullshit.  Pembahagian kepada karya sastera dan karya persuratan membolehkan kita melihat nilai sebenar karya sastera dibandingkan dengan karya persuratan yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Kita juga dapat melihat pembinaan mitos palsu terhadap para sasterawan negara sebagai “pemikir” walaupun aspek pemikiran itu tidak muncul dengan jelas dan tepat dalam karya mereka.  Ini pun contoh bagaimana pandirisme dijadikan asas dalam penilaian karya kreatif kita.  Oleh itu kita boleh berkata bahawa kita mempunyai hujah yang kuat untuk membuat kesimpulan bahawa pemilihan para sasterawan negara kita menjadi bukti betapa mendalamnya pandirisme dalam dunia kreatif kita dan juga dalam kesusasteraan Melayu.  Panel Anugerah Sastera Negara akan kelihatan amat naif dan agak tolol jika penilaian mereka dinilai dengan kritis berasaskan prinsip-prinsip yang dijadikan ukuran dalam gagasan Persuratan Baru. Siapakah yang akan menguji kesimpulan ini? Tentu bukan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri.  Para sarjana ciritan tidak mungkin melakukannya,  kerana mereka harus melakukan dua perkara: mempertahankan Panel Anugerah Sastera negara; dan menolak gagasan Persuratan Baru.  Yang pertama itu tidak mungkin mereka lakukan kerana kecetekan pengetahuan mereka tentang teori sastera Barat sekali pun; yang kedua itu akan membuat mereka berada seperti yang digambarkan dalam peribahasa Melayu, seperti cacing kepanasan.  Tetapi kedua-dua tindakan ini penting dilaksanakan, jika kita benar-benar serius tentang arah perkembangan kritikan sastera Melayu.

Dilihat dalam konteks inilah maka Balai Maqamat muncul sebagai sebuah karya yang unik.  Karya ini mencabar para sarjana untuk menolaknya sebagai karya tidak bermutu dengan menggunakan apa juga teori sastera Barat yang diketahui oleh sarjana berkenaan. Dua perkara akan terjadi: karya ini benar-benar tidak bermutu; atau teori yang digunakan itu tidak berupaya menyelam ke dalam makna yang terkandung di dalam karya ini. Jika ini terjadi, maka Prof. Dr.  Muhammad Haji Salleh mempunyai hujah yang mantap apabila beliau berkata teori Barat itu tidak sesuai digunakan untuk menilai karya kita yang ditulis berasaskan premis yang berbeza daripada yang dapat difahami dan dicapai oleh teori sastera Barat. (Lihat pandangan beliau dalam  Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP 2005, hal. 14). Beliau menegaskan, sudah puluhan tahun kita menggunakan teori sastera Barat “untuk menilai diri kita yang bukan Barat”, kerana itu “kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.”) Pengakuan ini penting untuk dijadikan peringatan kerana datangnya daripada seorang sarjana terkenal di Malaysia, yang juga seorang sasterawan negara.  Tetapi beliau sendiri tidak berminat, sebagai seorang ahli akademik yang berwibawa, untuk memeriksa beberapa percubaan sarjana tempatan dalam menangani masalah ini. Katanya: “Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam”. Beliau tidak sedar (suatu perkara yang amat pelik) ketika itu sudah muncul gagasan Persuratan Baru. Adakah kesimpulan beliau itu berasas? Tidak sia-sia jika saya mulai Balai Maqamat dengan sebuah seloka,  “Sarjana Ciritan.”  Walaupun kritikan beliau terhadap teori Barat itu boleh dijadikan tajuk perbincangan akademik yang menarik, namun beliau mematikannya di situ saja, sekadar satu ocehan tidak bermakna, kerana beliau sendiri menghadapi kebuntuan akademik  yang teruk, oleh itu pandangan beliau itu mati beragan. Tidak seorang pun pengguna teori sastera Barat berminat untuk membincangkannya dengan mendalam (NB: ingat Muhammad Haji Salleh berkata tidak ada teori sastera Melayu yang mendalam dan menyeluruh!) kerana takut terkena batang hidung sendiri sebagai pengguna teori yang sedar akan kelemahannya tetapi masih menggunakannya kerana hanya itulah saja yang diketahui mereka, yang tidak juga secara mendalam. Saya telah menyinggung perkara ini ketika mengkritik Prof. Madya Arbak Othman yang memuji tinggi “kemampuan intelektual” Prof. Muhammad Haji Salleh, tetapi tidak sampai kepada satu kesimpulan yang boleh dijadikan pegangan, seolah-olah membuktikan teori semiotik yang digunakannya itu tidak mampu membicarakan kualiti pemikiran Muhammad Haji Salleh dan memberi tafsiran yang betul terhadap sajak-sajak beliau. Sekali lagi Muhammad Haji Salleh nampak seolah-olah telah menyatakan sesuatu yang betul dalam pandangannya, tetapi terbabas begitu jauh apabila usaha Arbak Othman hendak menonjolkan kualiti sajak-sajak Muhammad Haji Salleh telah gagal, bukan kerana teori semiotik itu tidak boleh dipakai, tetapi kerana sajak-sajak itu sendiri tidak berupaya mencapai standard yang digembar-gemburkan selama ini. Dengan itu teori semiotik telah membuktikan sajak-sajak sasterawan negara ini sebenarnya tidak bermutu, hanya sejenis permainan kata-kata yang mencapai tingkat ocehan dan idle talk saja, seperti yang disebut oleh Martin Heidegger.

Sekarang anda mempunyai peluang yang amat baik dan terbuka luas untuk mengkritik Balai Maqamat dan gagasan Persuratan Baru yang menjadi dasar penulisan karya itu.  Saya menegaskan inilah contoh karya persuratan yang dari segi nilai pemikirannya jauh meninggalkan karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara sekali pun. Anda boleh cabar kesimpulan ini dengan mudah kerana pada waktu ini ahli akademik Malaysia mempunyai selonggok teori sastera Barat yang boleh digunakan dengan selesa untuk menolak kesimpulan ini. Jika anda berjaya melakukannya, maka anda telah membuktikan kesahihan pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh yang mengatakan teori Barat tidak sesuai digunakan untuk menilai karya pengarang Melayu. Apakah implikasinya?  Inilah
yang amat menarik, kerana implikasinya melucukan. Ada dua kemungkinan: pandangan Muhammad Haji Salleh betul, oleh itu nilai Balai Maqamat tidak boleh ditentukan oleh teori sastera Barat. Kemungkinan kedua, teori sastera Barat yang digunakan itu membuktikan Balai Maqamat tidak bermutu, dengan itu pandangan Muhammad Haji Salleh salah, kerana ternyata teori sastera Barat memang boleh digunakan untuk menilai dengan tepat karya sastera Melayu. Yang lucunya ialah kedua-dua kemungkinan ini tidak definitif, baru pada peringkat  acahan saja, tidak meyakinkan.  Sama ada karya itu bermutu atau tidak ternyata tidak dapat ditentukan oleh teori sastera Barat, oleh itu terdapat kesukaran untuk menolak karya itu. Tetapi ada kemungkinan lain, iaitu teori yang digunakan itu tidak sesuai untuk menilai karya itu, dengan itu yang lebih tepat ialah karya itu boleh ditafsirkan mengikut teori itu. Inilah yang dilakukan oleh Arbak Othman ketika membicarakan kualiti intelektual Muhammad Haji Salleh dalam sajak-sajaknya, dengan menggunakan teori semiotik; tetapi di sini pun terdapat masalah besar, kerana tafsiran yang dilakukan hanya sejenis agakan yang tidak pasti, dengan itu kualiti pemikiran atau kualiti intelektual Muhammad Haji Salleh tidak dapat diserlahkan. Dua perkara terjadi: sajak-sajak beliau memang tidak bermutu; atau teori semiotik tidak boleh digunakan untuk menilai sajak-sajak itu. Tentu saja Muhammad Haji Salleh memilih yang kedua; manakala saya pula memilih yang pertama.  Kalau kita terima kemungkinan pertama, kita sebenarnya menegaskan bahawa karya beliau memang bermutu tinggi, sehingga tidak terjangkau oleh teori semiotik sekali pun. Apa pandangan Prof. Madya Arbak Othman? Lucunya di sini ialah kita secara tidak sedar sedang menggunakan teori keldai di kincir air, yang berjalan begitu jauh, tetapi tidak ke mana-mana.

Nampaknya kita menghadapi masalah ini kerana tidak membaca karya itu dengan betul. Masalah membaca dengan betul ini memang diberi perhatian penting oleh gagasan Persuratan Baru, yang mengemukakan dua mod bacaan: mod bacaan intelektual, dan mod bacaan cerita.  Sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dan semua karya sasterawan negara hanya boleh dibaca dalam mod bacaan cerita untuk memastikan karya itu tidak terlalu menghampakan. Sebaik saja dibaca dalam  mod bacaan intelektual, maka nilai karya itu bertukar menjadi karya biasa saja, tanpa sebarang keistimewaan yang digembar-gemburkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para penulis kertas kerja tentang pemikiran sasterawan negara. Dalam kerangka analisis yang digunakan dalam gagasan Persuratan Baru, dibezakan antara wacana dan cerita, dengan penjelasan bahawa wacana memberi tumpuan kepada pemikiran dan idea dalam konteks konsep ilmu yang benar; manakala cerita pula diutamakan dalam karya sastera. Implikasinya sangat besar, boleh jadi juga akan mengejutkan para sasterawan dan sarjana sastera. Dengan adanya kategori karya persuratan, yang berteraskan konsep ilmu yang benar, maka kedudukan karya sastera, yang mengutamakan cerita, berada di bawah karya persuratan, dengan itu tidak lagi dapat diletak setaraf dengan karya persuratan kerana karya sastera tidak mementingkan ilmu dan wacana. Kesimpulan ini boleh dibuktikan dengan mudah jika kita ambil beberapa contoh karya sasterawan negara yang ditulis selepas mereka menerima anugerah itu. Karya Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan dikatakan oleh sebahagian sarjana sebagai karya berwacana ilmu, tanpa sebarang hujah yang boleh diterima. Apakah konsep ilmu yang  diserlahkan dalam  karya itu? Pada dasarnya tidak ada; yang tertonjol ialah rentetan cerita yang disambung-sambung seperti yang biasa dibuat dalam novel biasa, yakni novel cerita. Anda mungkin bertanya: So what? Apa salahnya? Pertanyaan itu sendiri membenarkan pengutamaan cerita daripada pengolahan idea yang bersifat pemikiran, yang menjadi teras karya persuratan. Dengan membaca karya itu dalam mod bacaan intelektual, kita dapati karya itu tidak boleh berdiri sebagai sebuah karya intelektual yang mementingkan idea dan pemikiran. Naratif Ogonshoto adalah sebuah cerita penglipur lara moden, bukan sebuah karya persuratan yang mementingkan ilmu. Kisahnya penuh sensasi yang dibuat-buat untuk mendatangkan kesan kegerunan palsu yang tidak menginsafkan, malah membuat kita berasa cemuh dan  bosan kerana terlalu banyak disogok dengan kejahatan.  Apakah motif pengarang menjadikan wataknya begitu sadistik? Hanya dengan suatu motif, untuk mensensasikan peristiwa dan kelakuan watak dengan matlamat untuk mendapat kesan dramatik, yang sebenarnya tidak ada. Karya begini memang layak ditulis oleh seorang sasterawan yang suka bercerita seperti seorang penglipur lara, bukan karya seorang pujangga yang teliti dari segi pengolahan idea.  Paling ketara dalam karya ini ialah tiadanya sedikit pun imbasan kebijaksanaan yang membolehkan karya ini dijadikan bahan pendidikan yang boleh mencerdikkan pelajar. Tidak ada unsur wit yang boleh menambat hati dan merangsang daya intelek pelajar untuk mereka jadikan  bahan perbincangan  yang memperkaya pengalaman estetik mereka dan mempertajam kesedaran moral mereka.  Semua kritikan ini mesti disanggah oleh para sarjana yang pernah memuji karya ini sebagai karya intelektual, padahal karya ini lebih tepat dipanggil sebuah penglipur lara moden yang persembahannya penuh sensasi yang dibuat-buat. Dilihat dari perspektif gagasan Persuratan Baru, Naratif Ogonshoto mungkin lebih tepat jika dikategori sebagai “karya picisan intelektual” yang penuh dengan pretensi intelektual, padahal unsur intelektual sebenarnya tidak ada. Apakah unsur intelektual itu sudah dibincangkan dengan mendalam dalam gagasan Persuratan Baru.

Karya intelektual sebenarnya milik Balai Maqamat. Di situ terdapat unsur wit yang boleh mencuit daya intelek seorang pembaca yang cerdik dan kritis. Keseluruhan episod Polan Cupan ditulis untuk mencapai matlamat itu, untuk mengajak pembaca yang cerdik dan kritis itu melihat segi-segi tersembunyi dalam dunia akademik dan pendidikan yang meraikan pandirisme, dan di tengah-tengahnya terdapat seorang guru yang sederhana, yang mempunyai sifat penyayang dan cintakan ilmu. Berbeza dengan keadaan dalam “Masih Murid Lagi”, yang meraikan pandirisme sepenuhnya.  Bolehkah sarjana ciritan menemui aspek kebijaksanaan dan wit dalam Balai Maqamat?

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 8/10/2014.

Sunday, September 14, 2014

KRITIKAN SASTERA MELAYU ANTARA RETORIK PERAGAAN DAN FATAMORGANA BAHASA: Pandirisme yang Gigih Dipertahankan



Antara kegiatan Dewan Bahasa dan Pustaka yang patut dipuji ialah penganjuran seminar mengenai pemikiran sasterawan negara. Dalam setiap seminar ini, tidak kurang dari 20 kertas kerja dibentangkan mengenai “pemikiran” setiap sasterawan negara; dengan mudahnya kita telah mempunyai tidak kurang dari 200 kertas “ilmiah” mengenai “pemikiran” dalam sastera Melayu yang dicetuskan oleh para sasterawan negara, hasil “pemikiran” akademik para sarjana sastera kita yang ramai itu. Adakah ini menjadi bukti keistimewaan karya para sasterawan negara yang semuanya bermutu tinggi? Adakah ini pulalah yang menjadi bukti kecemerlangan ilmiah para sarjana sastera kita? Dalam tulisan ini, saya akan cuba membicarakan perkara ini untuk menjawab dua soalan penting ini.  Saya belum nampak adanya sebarang minat dari kalangan para sarjana sastera dan ahli akademik untuk membahaskan persoalan ini kerana akan menyentuh kedudukan mereka sebagai sarjana dan ahli akademik. Keadaannya seperti membuka pekung di dada, sesuatu yang tidak perlu dilakukan untuk “keselamatan ilmu” dalam bidang sastera. Dengan kesedaran ini, kita akan dapati para sarjana sastera akan menentang keras sebarang usaha untuk membicarakan kegiatan akademik yang meragukan ini, yang akan menggugat status quo yang mereka anggap sebagai sumber rezeki mereka. Dengan berlangsungnya korupsi akademik dalam bidang penyelidikan sastera dan dalam “perkembangan” kritikan sastera berasaskan teori Barat, maka sebarang usaha untuk  meletakkan kritikan sastera Melayu di atas dasar tauhid akan ditentang supaya teori sastera Barat boleh digunakan dengan selesa oleh para sarjana sastera yang percaya bahawa tanpa teori sastera Barat, kritikan sastera Melayu akan lumpuh dan dengan itu mereka akan kehilangan pekerjaan di universiti, kerana kehadiran mereka tidak relevan lagi. Kedudukan ini mendapat sokongan daripada para sasterawan, yang berasa beruntung mendapat pembelaan dalam bentuk pujian dan sanjungan daripada para sarjana ini. Semua perkembangan ini dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara melalui laporan yang mereka tulis untuk para sasterawan negara yang mereka pilih. Jika kita meneliti perkembangan ini dengan kritis, kita akan dapati terdapat usaha gigih dan berterusan untuk meneruskan korupsi akademik dalam kritikan dan penyelidikan sastera di Malaysia. Terdapat dua cara atau kaedah digunakan untuk memastikan status quo dalam korupsi akademik diberi gambaran positif sebagai perkembangan yang perlu diteruskan, jika kesusasteraan Melayu moden ingin dijadikan sebahagian daripada sastera dunia, satu idea yang pernah dikemukakan oleh penyair Indonesia terkenal, Chairil Anwar: “Kita adalah ahli waris sastera dunia”. Idea ini diterima dan dijadikan pegangan oleh kumpulan Asas 50, dan masih diteruskan hingga sekarang terutamanya melalui projek sasterawan negara dan semua kegiatan yang berkaitan dengan projek itu. Sejauh mana kita telah diperdayakan oleh kumpulan ini? Tulisan ini akan cuba menjawabnya. Dua kaedah itu akan dibincangkan di bawah.

Apakah Takrif Pemikiran yang Dipakai Dalam Seminar Pemikiran?

Pada umumnya semua kertas yang dibentang di dalam seminar pemikiran itu berbicara tentang tema yang dapat dikesan dalam karya para sasterawan negara. Seseorang penulis kertas kerja akan menetapkan tema yang dikatakan terdapat dalam karya tertentu seseorang sasterawan negara, misalnya tentang kemiskinan, maka ditulislah kertas kerja berasaskan tema itu. Tidak ada analisis, hanya cerita tentang sasterawan berkenaan yang dikatakan prihatin tentang kemiskinan rakyat. Itulah pola umum dalam hampir semua kertas kerja. Dengan itu, banyak perkara yang seharusnya ditonjolkan, yang mungkin boleh mendekati takrif pemikiran, tidak disebut. Contoh paling ketara dalam aspek ini ialah ketika membicarakan sumbangan tokoh-tokoh Asas 50. Tidak sebuah kertas kerja pun meneliti kegiatan Asas 50 dalam penghapusan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu dan sastera Melayu, sedangkan Asas 50 menjadi pejuang yang gigih untuk melihat tulisan Jawi tidak lagi digunakan, yang menurut mereka menjadi penghalang kepada kemajuan sastera Melayu dan pembangunan pendidikan di Malaysia. Akhbar Warta  (Bil. 58, 6 April 1954) menyiarkan berita muka depan mengutip pandangan Asas 50: “Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan agama Islam”. Walaupun aspek ini penting, dan kesan negatifnya    sangat besar dalam kelangsungan persuratan Melayu, tidak ada pakar sastera dan budaya yang menulis tentang para sasterawan negara dari Asas 50 ini menghuraikan perkara ini. Selain dari itu, jenis sastera yang cuba dimajukan oleh kumpulan Asas 50 ini tidak pernah dianalisis dengan mendalam, oleh itu sekularisasi sastera Melayu moden yang menjadi agenda utama Asas 50 tenggelam dalam kebisuan para sarjana yang menulis tentang pemikiran tokoh-tokoh Asas 50 yang dipilih menjadi sasterawan negara. Adakah perbuatan ini disengajakan? Apakah yang hendak ditutup dengan tidak membincangkan aspek ini dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara ini? Padahal inilah aspek penting sumbangan “pemikiran” golongan Asas 50 ini, yang dengan sengaja memutuskan tradisi persuratan Melayu yang kaya dengan unsur Islam itu dengan membina kesusasteraan Melayu moden yang terpisah daripada unsur agama yang menjadi warisan dalam kebudayaan Melayu itu. Pengaruh negatif projek Asas 50 ini amat besar dalam kesusasteraan Melayu moden. Ketika membicarakan karya Anwar Ridhwan, khususnya novel beliau Penyeberang Sempadan, dengan tidak bertanggungjawab sarjana yang menulis dan memuji tentang novel ini sebagai karya intelektual yang berunsur Islam. Apakah jenis Islam yang ditonjolkan dalam novel ini, jika terdapat unsur Islam? Amat jelas Islam yang dijadikan peragaan itu adalah Islam yang dilihat daripada perspektif sekular, dengan itu memberi makna yang salah serta menyeleweng daripada ajaran Islam. Islamnya menjadi tempelan di akhir novel, tidak pernah dibincangkan dalam teks yang panjang itu. Inilah salah satu pengaruh negatif daripada projek Asas 50 yang tanpa disedari menjadi ikutan para sasterawan Malaysia. Pengaruh negatif ini diikuti pula oleh para sarjana sendiri yang tidak membaca karya ini dengan kritis, kerana minat mereka hanya untuk memuji dan mempertahankan tokoh yang dipilih, seolah-olah inilah yang terbaik yang dijelmakan dalam sastera Melayu moden.

Sebaliknya, yang terjadi ialah pujian yang berlebihan dan melampau yang ditonjolkan dalam kertas kerja, menggunakan gaya penulisan yang saya namakan “retorik peragaan”. Kehebatan para sasterawan negara ini diperagakan begitu rupa untuk membina sejenis mitos palsu di sekitar kegiatan mereka. Dalam keghairahan itu, kita dapati yang diutamakan ialah memuji karya sasterawan negara ini dengan pembuktian palsu bahawa karya itu memenuhi syarat teori tertentu yang dipilih untuk membicarakan karya mereka. Contoh terbaik tentang kepalsuan retorik peragaan ini ialah tulisan Prof.  Madya Arbak Othman mengenai SN Muhammad Haji Salleh, yang diberi judul yang penuh sensasi dan bombastik: “Penstrukturan  Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu Penelitian Semiotik”. (Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh, Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 November 2010). Membaca tulisan ini meyakinkan kita bahawa yang perlu distrukturkan ialah penulisan kertas kerja ini. Usaha penulis untuk memuja Muhammad Haji Salleh menjadi sebaliknya, kerana tidak sebuah pun sajak yang dijadikan contoh oleh Arbak Othman boleh digolongkan sebagai sajak yang bermutu, sajak yang kaya dengan pemikiran. Kalau itulah yang terbaik, tetapi tidak bermutu dari segi pemikiran, malah tidak ada pun pemikiran, yang tertonjol hanyalah permainan bahasa, sejenis fatamorgana bahasa yang jelek dan mengada-ada, maka bagaimana pula dengan kualiti sajak yang tidak dijadikan contoh dalam kertas kerja ini?  Ini masalah besar yang perlu diselesaikan secara akademik, tanpa sebarang usaha untuk bermuka-muka. Kegagalan Arbak Othman berbuat demikian memberi isyarat kepada kita bahawa penilaian kita tentang pemikiran dalam karya kreatif perlu diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, yang entah bagaimana ditolak oleh Arbak Othman dan Muhammad Haji Salleh sendiri. Jika prinsip ini ditolak oleh mereka, apakah prinsip yang mereka pakai? Namakan prinsip itu, jika kamu benar-benar tergolong dalam kumpulan sarjana yang bangga dengan keunggulan akademik kamu.

Dilihat dalam konteks ilmu, institusi anugerah sastera negara ini tidak kena mengena dengan perkembangan ilmu, malah lebih tepat jika dikategorikan sebagai penjelmaan daripada Mutual Admiration Club yang diwujudkan untuk memperkasa sekumpulan sasterawan “yang cetek meraba-raba” menjadi amat hebat melalui penggunaan retorik peragaan dan fatamorgana bahasa. Perhatikan contoh ini untuk memberi sedikit gambaran tentang makna pemikiran dan kebijaksanaan dalam puisi:

God turns you from one feeling to another
            and teaches by means of opposites
   so that you will have two wings to fly
                            not one

(Rumi, diterjemahkan oleh Camille dan Kabir Helminski, Rumi Daylight, hal. 143).

Seterusnya sebuah lagi:

Lightning is quick and unpredictable.
Only with a clear mind you will know
            the transient from the stable.
Lightning laughs at those who would capture its light.

(hal. 142).

Perhatikan baris ini, dan renung dengan mendalam: Only with a clear mind you will know the transient from the stable.
Satu peringatan dan pengajaran  yang baik yang tidak ada pada sasterawan dan sarjana  sastera yang “cetek meraba-raba”. Bagaimana kita boleh baca baris, “Lightning laughs at  those who would capture its light.”?  Kalau anda membacanya dengan mod bacaan intelektual, anda akan mengerti baris ini ditujukan kepada orang-orang bodoh yang tidak dapat membezakan “the transient from the stable”, yang hanya dapat diketahui dengan adanya ilmu. Sekarang jelas apa yang dimaksudkan dengan pemikiran; dikonkritkan lagi dengan baris ini pula: “God turns  you from one feeling to another and teaches by means of opposites”. Kedengarannya sangat mudah, tetapi di situlah tersimpannya gedung ilmu dan kebijaksanaan yang diajarkan oleh al-Quran, khususnya dalam Surah Yassin, ayat  36: 36 yang bermaksud:  “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan (khalaq al-azwaj) semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui”.  Sekarang anda  dapat melihat keindahan burung yang mempunyai dua sayap, dan anda akan mengerti bagaimana sayap burung itu melambangkan rahmah tidak hanya kepada burung, tetapi juga kepada kita semua yang melihat ibu burung berhenti seketika bila mendekati sarang membawa makanan kepada anaknya. Cara Rumi mengajar pembacanya sudah saya contohkan melalui puisinya tentang bunga mawar dan durinya (rujuk pos yang lepas).  Itulah maksud pemikiran, yang kita tidak dapat dalam sajak-sajak para sasterawan negara.

Walaupun kritikan saya terhadap karya sasterawan negara agak keras, namun saya terbuka untuk dinilai dengan lebih keras dengan menagan karya saya sendiri untuk dinilai sehabis kritis oleh sesiapa saja yang berkata saya hanya pandai mengkritik, tetapi tidak berupaya melahirkan karya kreatif yang dapat menandingi karya para sasterawan negara yang paling buruk sekali pun. Saya cukup berminat hendak tahu karya para sasterawan negara yang paling buruk itu, berapa peratus dari jumlah karya terbaik mereka. Satu permintaan yang sangat wajar, dan berpatutan kerana kita mesti tahu kualiti karya para sasterawan negara kita sendiri.  Dalam perhitungan saya, karya sasterawan negara yang boleh tahan baiknya, bukan yang terbaik, berada dalam lingkungan kurang dari 10%; selebihnya, 90% hanya lebih baik sedikit daripada karya picisan. Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa Salina karya A. Samad Said saya kategorikan sebagai karya picisan saja; demikian juga sebahagian besar karya Shahnon Ahmad, termasuk Ranjau Sepanjang Jalan, TIVI, dan kumpulan novel mengenai Tuk Guru.  Saya sampai kepada kesimpulan ini setelah membaca karya-karya itu dalam mod bacaan intelektual.  Mungkin penilaiannya agak berbeza jika dibaca dalam mod bacaan cerita.  Adakah ini bermakna mod bacaan cerita sudah tidak relevan?  Kalau begitu, untuk kebaikan pembaca sendiri, kita harus menggalakkan  mereka membaca dalam mod bacaan intelektual, supaya mereka tidak membuang masa. Dengan cara itu, mereka dapat menilai karya itu dengan lebih tepat dan objektif. Sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, A. Samad Said, Usman Awang, dan Kemala, jika dibaca dalam mod bacaan intelektual, akan muncul sebagai sajak-sajak topikal yang kaya dengan retorik dalam konteks fatamorgana bahasa, tidak ada idea menarik yang membolehkan kita membaca sajak-sajak itu berulang kali kerana kekuatan pemikirannya. Kita akan huraikan perkara ini sekarang.

Retorik Peragaan dan Fatamorgana Bahasa dalam Penilaian Karya Kreatif

Salah satu ciri penting kritikan sastera Melayu ialah meluasnya penggunaan retorik peragaan dalam membuat penilaian sesebuah karya kreatif atau seseorang sasterawan.  Seluruh laporan Panel Anugerah Sastera Negara menggunakan teknik retorik peragaan ini dalam penilaian mereka. Diturunkan beberapa contoh untuk memudahkan kefahaman.

(1)  “Khusus mengenai gaya puisinya, Kemala telah menggarap puisi yang lebih jelas, telus dengan pengucapan untuk penghayatan, tanpa terlalu idiosinkratik dan kabur untuk dinikmati diksinya oleh pembaca. Ertinya, dalam puisi beliau terdapat usaha yang tulen dan hakiki untuk menyampaikan gagasan dan makna dalam lapisan pengucapan kata yang puitis serta estetik tanpa terlalu banyak lapisan makna untuk mengabur atau bersikap surealistik. Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas  yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam.”

(2)  “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark  Anthony (sic) dan Cleopatra. … Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam.”

(3)  “Begitulah, pada hakikatnya Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani. … Beliau juga dikenal pada peringkat antarabangsa melalui kehadiran dalam persidangan dan bengkel sastera sebagai pembentang kertas kerja mahu pun ahli diskusi. Dengan perkataan lain, Kemala telah banyak mengangkat sastera Melayu ke persada antarabangsa.”

Kehebatan Kemala hanya berada dalam retorik peragaan yang disalin, tetapi tidak kelihatan dalam sajak-sajak yang dijadikan contoh dalam laporan Panel. Kata-kata pujian yang dideretkan dalam retorik peragaan itu adalah contoh fatamorgana bahasa yang nampak seakan-akan ada, yakni bermakna, tetapi tidak ada, yakni tidak bermakna. Hanya sejenis pelangi bahasa yang nampak seolah-olah indah, tetapi kosong  kerana tidak wujud kecuali dalam kata-kata sahaja, tidak dalam realitinya. Itulah fatamorgana bahasa yang sering kali digunakan secara berleluasa oleh pengkritik dan sarjana sastera. Lagi pula, pemilihan contoh itu tidak tepat, misalnya alusi tentang Mark Antony dan Cleopatra. Jika alusi ini dikaitkan dengan sajak-sajak sufi (?) ciptaan Kemala, maka contoh ini sangat buruk dan barangkali memalukan Kemala sendiri, walaupun satu ketika dalam hidupnya, untuk menyatakan sesuatu perasaan yang amat intim dalam pengalaman kelelakiannya, maka dia menjadikan kisah Mark Antony dan Cleopatra itu seolah-olah menggambarkan pengalaman percintaannya, tetapi bukan pengalaman kerohanian yang bersifat kesufian seperti yang cuba ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Tidak tahulah kepada siapa kita harus berasa kasihan!

Dalam hal ini, kesimpulan Allan Bloom dalam bukunya, Love and Friendship, boleh membantu kita untuk melihat betapa naifnya contoh alusi yang dipilih oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk meletakkan Kemala di arena antarabangsa dan dalam kumpulan “penyair sufi”: “Antony and Cleopatra are enchanted with each other and unabashedly want to have sexual intercourse with each other as much as possible”. (Bab 8, “Antony and Cleopatra”, hal. 304). Mereka tidak mempunyai hubungan perkahwinan. Tentu saja Kemala tidak berfikir sebagai seorang ahli sufi ketika menggunakan alusi ini.  Mati akal Panel Anugerah Sastera Negara!

Kita ambil contoh lain pula, kali ini dari  Laporan 2009.

(4)  “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin dari bentuk eksperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berasaskan lambang seperti dalam cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartment”, “Sang Rusa, Harimau dan Singa”, dan “Tik! Tik! Tik!”. Cubaan bereksperimen ini sudah mula maju ke arah yang matang. “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai  Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata.
            Cerpen  “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” mengemukakan persoalan filosofikal.  Cerpen ini mengisahkan Azwar yang wujud hanya untuk berseronok dengan wanita dan arak. Janji yang dibuat oleh Azwar hanyalah janji untuk dimungkiri, seperti janjinya kepada Agnes. Agnes pula tidak mungkin dapat mengharapkan masa depan yang bahagia atau jelas kerana dia tahu bahawa semua kata-kata Azwar itu palsu. Keseronokannya tidak berakar pada cinta yang sejati. Bagi Agnes, tidak ada kepastian dalam hidup berkasih sayang kerana semuanya mencurigakan. Pada suatu peristiwa, Azwar bertanya kepada Agnes: “Telah aku lihat dan rasai hidupmu di apartmen Jaffe Road itu. Tidak ada belas kasihan dan kedamaian. Apakah cintamu telah berakhir di apartmen itu?” (hal. 10-11).

Ringkasan itu diberikan oleh Panel. Apakah yang filosofikal dalam karya ini? Perkataan filosofikal yang digunakan itu menjadi contoh fatamorgana bahasa, nampak bagus, tetapi kosong. Kalau pembaca tidak berhati-hati, dia akan menerima saja pandangan Panel, walaupun palsu dan cetek. Tentang istilah eksperimen. Kalau anda perhatikan, penulis yang suka “bereksperimen” itu tidak mempunyai bakat sebagai penulis, oleh itu istilah itu tidak lebih daripada sejenis eskapisme saja: bila karya itu karya eksperimen, tak boleh dikritik keras sangat. Karya itu baru bermula, belum boleh dijadikan hujah. Dua perkara yang anda boleh fikir: jika eksperimen itu hanya sejenis eskapisme, bagaimana Anwar Ridhwan boleh meningkat hingga diberi gelar sasterawan negara? Anda akan berkata, eksperimen itu telah meningkatkan mutu karya beliau. Ini boleh didebat dan telah pun saya lakukan. Kedua, Panel  Anugerah Sastera Negara telah membuat kesimpulan yang betul dengan menulis ringkasan seperti yang saya salin itu. Saya juga telah bincang aspek ini, dan kesimpulan saya tidak seperti yang anda andaikan. Anda boleh berkata, “Aku tak peduli, yang penting Panel betul dan Anwar Ridhwan sendiri telah membuktikan dia layak diberi gelar sasterawan negara.  So what?”  Tetapi itu hanya pendapat anda, bukan suatu hujah. Dalam tulisan ini dan dalam tulisan-tulisan yang lain, saya berhujah bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam projek sasterawan negara ini. Saya telah memberikan pandangan saya. Dalam tulisan ini dua perkara yang saya jadikan hujah, iaitu retorik peragaan dan fatamorgana bahasa. Sekarang saya cabar anda pula: dari perspektif apa saya silap? Adakah anda telah meneliti hujah saya dengan cermat dan faham? Adakah anda telah menjawab hujah saya satu persatu? Inilah proses akademik, proses ilmiah, yang perlu dilalui sebelum anda menerima atau menolak sesuatu pendapat. Saya hanya berbuat sesuatu untuk mengajak anda berfikir, dan membuat keputusan berasaskan maklumat, bukan hanya andaian. Dari segi itu, saya boleh berkata, hingga kini belum ada lagi hujah yang menolak pandangan saya secara ilmiah, secara intelektual, secara akademik. Malah, persoalan yang saya ketengahkan itu pun belum lagi difahami dengan betul, jadi bagaimana anda akan menolaknya atau menerimanya jikalau anda sendiri tidak faham? Saya ingin tingkatkan perbahasan kita dalam persoalan ini ke tingkat yang terbaik, bukan pada tahap sarjana ciritan. Mudah saja memberi pendapat sebagai sarjana ciritan, tetapi harganya terlalu murah, diberi percuma pun orang tidak mahu: cetek mera-raba, kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Itu yang kita mahu elakkan.

Nampaknya sukar untuk mengelak daripada berada dalam keadaan cetek meraba-raba ini. Perhatikan contoh yang lain, diambil daripada Laporan 1991.

(5)  “Kepadanya pokok persoalan atau tema sesebuah puisi adalan ilmu. (Huruf condong asal). Ini mencakupi ilmu tentang manusia dan persekitarannya, kerana menurut Muhammad, tanpa kepekaan akan dunia sekeliling, seorang penyair tidak dapat bergelut terus dengan alamnya. Muhammad juga menyedari akan ilmu yang berlainan dengan pengetahuan dan sains kerana dalam puisi tidak ada undang-undang logik yang saintifik, ilmu yang diproses secara kreatif untuk memahami perasaan dan peribadi manusia, untuk memahami adat, kecenderungan dan kebiasaan kehidupan, untuk turut mengalami detik-detik emosi yang berubah dan genting, serta ilmu untuk turut menilai kemanusiaan pada tahan-tahap tertentu. Bezanya ilmu yang diproses secara kreatif menerusi puisi datangnya melalui emosi, pengalaman, renungan, kepekaan, intuisi dan bisikan kalbu, bukan melalui penyelidikan atau kajian kesarjanaan. Dengan sendirinya ilmu kepenyairan itu menambahkan ilmu saintifik, menambahkan pengalaman kehidupan dan berhasil mempertajamkan lagi sensitiviti (kepekaan) kerana puisi lebih halus dan indah melihat ke dalam jalinan rasa dan lebih dalam melihat sesuatu menerusi daya persepsi  pancaindera. Dalam erti kata yang lain, meskipun puisi melihat sesuatu secara kilatan fikiran dan perasaan, namun ia memiliki wawasan bagi meneroka rahsia-rahsia alam dan kemanusiaan ini. Pada Muhammad, meskipun puisi bertitik tolak daripada hiburan melalui bahasa dan bentuk, namun hiburan itu terjalin secara kental dalam persoalan yang menuju ke arah makna-makna yang memperlihat kebijaksanaan. Lantas puisi itu akan membantu membijaksanakan sikap, membantu mematangkan kehidupan dengan keluasannya, serta membantu merenungi sudut-sudut kehidupan yang kaya dengan rahsia ini. Dalam erti kata yang lain, pada Muhammad, seorang penyair itu adalah sebenarnya seorang pemikir yang selalu memikirkan tentang kehidupan kemanusiaan, yang selalu memberi penilaian tentang kehidupan, yang selalu merenungi ke dalam kehidupan, yang selalu mencari jawapan kepada rahsia-rahsia alam dan yang selalu membincangkan situasi-situasi dalam kemanusiaan.” (ms. 12).

Inilah contoh kemuncak retorik peragaan yang rimbun dengan kata-kata dalam bentuk fatamorgana bahasa, yang bertentangan sama sekali dengan teks yang dihasilkan oleh pensajak ini. Betapa keliru dan kelam-kabutnya para sarjana menerima sasterawan negara ini dapat dilihat daripada reaksi dua orang sarjana yang cuba memahami sasterawan negara ini, tetapi gagal menemui sesuatu yang bermakna, dari perspektif pemikiran, kerana mereka tidak dapat mengesan kelemahan karya pensajak ini  kerana kepekaan akademik mereka telah tertutup oleh retorik peragaan itu dan pengaruh fatamorgana bahasa yang menjadi ikutan membuta-tuli hampir semua sarjana yang terlibat dalam kesusasteraan sebagai ahli akademik, pengkritik, dan penilai karya. Inilah reaksi bercorak ocehan atau idle talk oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan:

(6)  “Hal yang sama jika diteliti pada cerita Si Tanggang. Lazimnya para peneliti,
para pengkaji sastera mahupun para pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Jika derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya sepertimana yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah “Si Tanggang” juga memperlihatkan nilai positif. Akibat kemiskinan, Si Tinggang bercita-cita hendak jadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal. Untuk mencapai cita-citanya, ia bekerja dengan Nakhoda kapal apabila sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang bekerja keras untuk mencapai cita-citanya hingga menyebabkan Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Si Tanggang pun diambil  sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga hinggakan namanya terkenal. Si Tanggang dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang berjaya meniti dari satu tangga ke satu tangga untuk berjaya menjadi saudagar kaya apabila adanya perancangan.”


Inilah pembelaan profesor ini terhadap sajak “Pulang Si Tanggang” oleh Muhammad Haji Salleh. Benarkah terdapat nilai positif dalam cerita dongeng itu? Apa yang dianggap oleh profesor ini sebagai nilai positif, ditolak oleh pengakhiran dongeng ini yang disumpah ibunya hingga menjadi batu kerana sifat derhakanya. Hakikat ini tidak wajar dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menerima kejahatan Si Tanggang yang disumpah menjadi batu itu. Ternyata teori sastera profesor ini telah gagal membaca kisah ini, dan sajak yang ditulis oleh Muhammad Haji  Salleh yang mengangkat Tanggang  sebagai contoh  kejayaan ekonomi. Semuanya kerana beliau tidak membaca sajak Muhammad Haji Salleh itu dalam mod bacaan intelektual supaya aspek positifnya boleh dilihat dengan jelas dari segi moral yang menjadi fokus kepada cerita ini.  Profesor ini tidak dapat melihat fokus ini kerana tenggelam dalam retorik peragaan dan hanyut dalam fatamorgana bahasa jenis yang diperagakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Inilah contoh keliru dalam konsep ilmu, setelah fokusnya dialih kepada kejayaan ekonomi semata-mata, padahal kisah ini diwujudkan untuk maksud lain, untuk memberi pendidikan moral yang jelas kepada anak-anak. Kita lihat bagaimana sastera dan penilaiannya membawa nilai-nilai negatif dalam pendidikan setelah dikaburkan dalam retorik peragaan dan fatamorgana bahasa.


Kita lihat pula contoh yang diberikan oleh Prof. Madya Arbak Othman.


(7)  “Kemungkinqn maksud penyair yang dijangkakan dalam puisi ciptaannya, meskipun diusahakan melalui pengetahuan puitik yang mendalam dan rahsia, boleh jadi tidak benar. Kebenaran untuk mencari makna-makna yang dimaksudkan oleh penyair juga tidak termungkinkan kerana, sesuai dengan konsepsi bahawa ‘pengarang sentiasa ditanggap sudah mati’, penafsir tidak diberikan lampu hijau untuk merujuk kepada penyair bagi mendapatkan maksud sajak ciptaan penyair tersebut. Daya yang ada hanyalah kebolehan pembaca atau penafsir menentukan maksud-maksud yang dicapai berdasarkan sains tanda yang dimilikinya mengikut konteks yang terbina dalam puisi yang dikaji itu. Jika relevansinya tidak wajar atau tidak logik, usaha menentukan kemungkinan yang lain harus diteruskan supaya sajak yang mempunyai nilai intelektual tidak terabai, malahan harus diraikan, dalam perkembangan perpuisian Melayu tanah air. Tujuan penulis menggunakan interpretasi sebagai alat yang ada untuk meneroka kandungan sajak di atas ialah supaya kita dapat mengenal mana satu daripada sajak-sajak yang dikaji itu tergolong kepada kategori sajak intelektual atau sebaliknya. Sajak-sajak MHS didapati mempunyai kuasa intelek yang menarik untuk dikenal pasti dan terus dijelajahi dari semasa ke semasa”. (hal. 6 kertas). 

Keengganan untuk kembali kepada konsep ilmu yang benar ini menjadikan para sarjana kita menggunakan seluruh masa yang ada untuk membingungkan mereka dan para pelajar mereka, dengan berebut-rebut menyondolkan segala macam teori sastera yang pada hakikatnya menjauhkan mereka dari kebenaran, seperti yang dialami oleh Ratu Balqis, ahli sihir Firaun dan perempuan Mesir yang melukai tangan mereka sendiri kerana terpengaruh dengan                                                                                                                  kemahuan hawa nafsu mereka. Ratu Balqis dan ahli sihir Firaun akhirnya menemui kebenaran itu melalui Nabi Sulaiman ‘a.s. dan Nabi Musa ‘a.s. Siapakah nabi para sarjana kita? Manusia yang mereka anggap nabi itu tidak seorang pun menerima hakikat ilmu yang benar, sebaliknya menggunakan akal mereka sendiri untuk menentukan nilai-nilai yang mereka mahu. Inilah kedudukan yang menjadi ikutan para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan penilai karya sastera Malaysia.   Akibatnya ialah mereka meraba-raba mencari kepastian makna, padahal yang dianggap dan dikatakan bermakna itu pada hakikatnya tidak bermakna, hanya sejenis permainan yang amatur sifatnya. Itulah kedudukan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh yang cuba dirungkai oleh Arbak Othman yang menganggapnya, tanpa sebarang alasan kukuh, sebagai sajak-sajak intelektual yang mesti dihargai dan disanjung.  Saya mahu tegaskan di sini, tidak sebuah pun sajak Muhammad Haji Salleh yang terdapat dalam antologi beliau yang dapat dipanggil sajak intelektual. Contoh-contoh yang dikemukakan oleh Arbak Othman tidak meyakinkan beliau sendiri bahawa itulah sajak intelektual. Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan sajak intelektual itu?  Arbak Othman tidak memberikan definisinya, dengan kepercayaan aspek intelektualnya akan muncul di dalam analisis nanti. Itu pun tidak terjadi,   kerana tidak satu pun di antara sajak itu, yang dikaji beliau, boleh digolongkan sebagai sajak intelektual. Inilah juga pengalaman Panel Anugerah Sastera Negara, yang bersungguh-sungguh mencanangkan keistimewaan sajak-sajak intelektual Muhammad Haji Salleh. Apakah sajak intelektual? Apakah syarat yang perlu ada untuk membuktikan sajak itu sebuah sajak intelektual? Juga tidak diberikan. Maksud sajak intelektual itu hanya berada dalam angan-angan para pengkaji, tetapi tidak muncul dalam karya Muhammad Haji Salleh. Dalam hal ini, sungguh sangat menarik dan cukup menawan kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Madya Arbak Othman ini. Adakah Arbak Othman melampau apabila beliau membuat kesimpulan ini: “... puisi MHS dapat menggantikan mitos dan agama dari segi kebijaksanaan biasa-biasa serta kebaikan unggul yang disasarkan pada mesej.” 

Akhir sekali saya ingin salin pendapat Dr. Mana Sikana tentang Muhammad Haji Salleh. Kertas kerja beliau dibentangkan dalam Seminar Pemikiran SN Muhammad Haji Salleh, 9-10 November 2010.  Kertas kerja ini penting kerana di dalamnya disenaraikan 12 dalil keistimewaan dan keunggulan Muhammad Haji Salleh. Hanya satu senarai, tiada apa-pa penjelasan apatah lagi contoh. Inilah contoh paling unggul tentang retorik peragaan dan tabiat menyanjung dalam stail  fatamorgana bahasa.

(8)  Senarai 12 keistimewaan Muhammad Haji Salleh: (1) Muhammad Haji Salleh penyair terbaik Malaysia, mempunyai kedudukan istimewa dalam penulisan sastera. (2) Muhammad Haji Salleh ingin kembali ke Melayu, minatnya yang besar kepada primordial Melayu ini. Muhammad beranggapan zaman silam adalah zaman asli Melayu yang kaya dengan peribadi unggulnya.  (3)  Muhammad Haji Salleh memberi contoh yang tegas tentang kecintaannya terhadap apa juga yang bersifat tradisional dan klasikal Melayu itu. Sebenarnya kajiannya terhadap sastera tradisional itulah yang menemui idealisme pemikiran Muhammad Haji Salleh.  (4)  Muhammad Haji Salleh merungkai erti kemelayuan dan pembinaan jati diri Melayu melalui teori, puisi dan penulisan sasteranya. Muhammad Haji Salleh amat sedar betapa Melayu harus berfikir berdasarkan paksinya sendiri.  (5)  Muhammad Haji Salleh ingin memerdekakan sasteranya daripada belengguan pengaruhan Barat, mahu membina jati diri Sastera Melayu.  (6) Dalam kritikan sastera Muhammad Haji Salleh juga menunjukkan bahawa apa jua bentuk pandangan yang berat sebelah dan bersifat eurosentrik boleh diganti dengan pandangan yang lebih adil dan saksama dalam menilai sesuatu teks kesusasteraan. Kritikan dan wacananya haruslah berpaksikan pada diri sastera Melayu itu sendiri.  (7)  Suatu kecenderungan penulisan hasil daripada membaca teks-teksnya ialah bahawa pengarang ingin mengajak khalayak untuk memikirkan kembali makna kemajuan bagi bangsa yang telah merdeka ini.  (8) Muhammad Haji Salleh mengkritik Winstedt dan Clifford.  (9)  Muhammad Haji Salleh telah pun berjaya membina dan memiliki stail bahasanya yang sendiri dalam penulisan puisinya. Bahasa Melayunya yang asli, jernih dan bersahaja serta jelas. Beliau berjaya mengembalikan kita kepada sebuah Melayu tulen. Saya percaya subjek gaya Muhammad Haji Salleh dipersetujui dan banyak mendapat perbincangan.  (10)  Sebagai pengkaji sastera dan penulis esei, Muhammad Haji Salleh dapat diletakkan di barisan hadapan.  Memandang daripada kaca pascamoden, kritikan Muhammad Haji Salleh tidak jejak pada teori zaman ini.  (11) Rasanya tidak sah, kalau tidak disentuh pemikiran unggul dan kecenderungan Muhammad Haji Salleh dalam aspek teori. Baginya hakikat sebuah teori sastera ialah menggagaskan definisi, konsep, prinsip dan unsur-unsur sastera, di samping menyelesaikan persoalan tentang genre, fungsi, konsep teks dan pengarang. Bagi Muhammad Haji Salleh, kerja penteoran adalah amal puncak bagi seorang pengkaji sastera.  (12) Perbicaraan saya di atas secara induktif, yang juga khalayak sastera yang elit dan biasa, bersetuju untuk menyatakan: bahawa penulisan sastera Muhammad Haji Salleh bersifat intelektual. Puisinya bersifat intelektual dan kajian-kajian sastera, esei dan kritikannya bersifat intelektual… Bagaimana pun dalam konteks ini, jika kita mengikuti perkembangan puisi dan penulisan sastera Muhammad Haji Salleh tidak menjelma menjadi suatu aliran penulisan.  Kesimpulan: Sesungguhnya Muhammad Haji Salleh adalah seorang sasterawan, pengkaji dan penteori sastera yang unggul.

Itulah kehebatan Muhammad Haji Salleh menurut kajian Dr. Mana Sikana.  Membaca contoh-contoh di atas, sudah jelas bahawa retorik peragaan dan fatamorgana bahasa adalah satu realiti dalam kritikan dan penilaian sastera Malaysia.  Demikian juga kewujudan sarjana ciritan yang terlibat dalam dua kegiatan itu, memberi pengaruh yang besar dalam kelangsungan pandirisme dalam kesusasteraan, sehingga menjadi pegangan arus perdana dan amat dibanggakan oleh para penganutnya. Kita mempunyai Mutual Admiration Club yang besar dan ramai pengikutnya, saling membantu dan memperkuat satu sama lain, begitu kukuh mencengkam dunia akademik dan bidang kritikan serta penilaian sastera, sehingga kita tidak memerlukan ukuran yang standard dan objektif, kerana semuanya telah digariskan dengan jelas dalam budaya pandirisme yang dijadikan arus perdana itu. Dalam konteks inilah Panel Anugerah Sastera Negara bercakap tentang perubahan, kemajuan, eksperimen, kelainan dan sebagainya. Semuanya dilihat dalam konteks pandirisme, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat sendiri, tetapi dengan nama yang berlainan.


Kesimpulan

Tidak sia-sia Prof. Harry G. Frankfurt menulis bukunya, On Bullshit (Princeton University Press, 2005; daripada rencana beliau 1982), kerana buku ini boleh membantu kita memahami apakah yang sebenarnya berlaku dalam dunia akademik dalam bidang sastera di Malaysia.  Adakah kita terlepas daripada budaya bullshit  yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt seperti yang berlaku di Amerika Syarikat?  Beberapa contoh yang diberikan di atas mungkin boleh membantu kita untuk membuat kesimpulan kita sendiri. Sejauh mana kita lebih maju daripada Amerika Syarikat dalam budaya bullshit ini? Sebagai perbandingan, saya turunkan pendahuluan buku tersebut untuk renungan anda semua.

“One of the most salient features of our culture is that there is so much bullshit. Everyone knows this. Each of us contributes his share. But we tend to take the situation for granted. Most people are rather confident of their ability to recognize bullshit and to avoid being taken in by it. So the phenomenon has not aroused much deliberate concern, nor attracted much sustained inquiry.” (hal. 1).

Anda agak, kita berada di mana?

Mohd. Affandi Hassan,
13 September 2014.