Tuesday, July 2, 2013

PERSURATAN BARU DALAM ARUS PERDANA KRITIKAN SASTERA MALAYSIA



Seseorang yang saya kenal baik cuba berjenaka dengan saya, “Sekarang PB sudah masuk arus perdana, walaupun belum lagi  jadi aliran arus perdana.” Dia merenung saya sambil berkata seterusnya, “Saya secara kebetulan terdengar perbualan di kalangan kumpulan yang tidak sukakan PB. Kata mereka, PB sudah mencengkam kita semua, tak boleh dihapuskan. Mahu tidak mahu kita perlu mengetahuinya, kalau pun bukan mempelajarinya. Kita nanti akan dipandang bodoh dan degil ...”

Bagi saya itu bukan berita yang baik, tidak juga satu maklumat yang berguna. Sokongan itu bagus, tetapi tidak semestinya menjadi syarat untuk mencapai kejayaan, kecuali dalam pilihan raya, tetapi ini pun bergantung pada sistem yang dipaksakan ke atas pengundi. Penentangan pun baik, kerana kita dapat mengukur kemampuan intelek para penentang dan jelas pula arah mana mereka tuju.  Juga apa-apa yang terpendam di dalam hati mereka. Kita juga dapat melihat kejujuran akademik mereka. Bagi saya yang menjadi masalah ialah saya selalu diberitahu PB itu sukar difahami. Ini satu perkara yang sangat pelik, kerana penjelasan dan penerangan tentang PB sudah bertimbun, ditulis pula secara akademik, malah sudah dijadikan tajuk satu syarahan perdana. Apa lagi yang menjadi masalah? Ini semua soal sikap, suatu perkara yang memeranjatkan saya, datang daripada para sarjana Islam sendiri.

Soal sikap ini sebenarnya berubah-ubah dengan cepat, mengikut hasrat dan kemahuan orang  yang terlibat. Dalam sastera Melayu moden, satu ketika dulu para sasterawan dan pengkritik sastera riuh rendah mengkritik pengaruh pendekatan dan teori sastera Barat dalam sastera Melayu, yang menurut mereka perlu diberi perhatian penting. Tokoh utama gerakan “sangsi-Barat”, yang boleh bertukar menjadi anti-Barat ini ialah Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh yang diucapkannya dalam satu seminar penting anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. (Rujuk buku terbitan DBP 2005, Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14-15). Tetapi kini sudah jadi terbalik, apabila sebahagian besar daripada yang menentang itu kini menyokong dengan sungguh-sungguh pengaruh Barat dan pentingnya pemikiran Barat dalam sastera Melayu moden diteruskan dan dikekalkan, untuk memastikan tidak seorang pun daripada sasterawan negara dinilai dengan pendekatan atau teori yang berasaskan epistemologi Islam, yang menjadikan nilai-nilai Islam sebagai ukuran. Mengapa ini terjadi? Ini adalah reaksi kepada kemunculan gagasan Persuratan Baru, yang mencabar keseluruhan teori dan pendekatan Barat sampai ke akar umbi, sambil menyediakan alternatif yang jauh lebih baik dan lebih selamat bagi penulis Islam yang dulunya menjerit-jerit meminta supaya muncul teori sastera bercorak Islam yang boleh dipakai dengan meyakinkan. 

Pokoknya ialah tentang konsep ilmu. Para sasterawan dan pengkritik sastera, terutama sekali para sarjana, tidak dapat menerima konsep ilmu yang benar. Jika ini diterima, maka sudah jelas mereka sedang mengamalkan konsep ilmu yang palsu. Bayangkan masalah psikologi dan masalah akademik yang mereka hadapi, jika konsep ilmu yang benar ini mereka terima. Mereka harus mencampak keseluruhan “ilmu sastera” moden yang mereka terima dari Barat. Tidakkah ini satu mala petaka? Tetapi ini adalah ketakutan yang tidak masuk akal, yang timbul dari kejahilan dalam tradisi ilmu-ilmu Islam dan kecetekan penguasaan terhadap ilmu sastera Barat. Bagi golongan ini, mereka berfikir dalam bentuk dualisme, oleh itu mereka tidak dapat terima cabaran yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru yang mereka anggap akan melenyapkan prestij mereka dalam bidang akademik. Itulah punca sebenar penentangan terhadap konsep ilmu yang benar ini. Persuratan Baru dijadikan alasan untuk menolak konsep ilmu yang benar ini.

Dengan menolak epistemologi Islam dan konsep ilmu yang benar, mereka mahu kedudukan kukuh pendekatan dan teori Barat yang menjadi pegangan mereka tidak dicabar, kerana sebaik saja dicabar, akan timbul konflik yang serius dalam pengajaran sastera. Seluruh sistem pengajaran sastera yang ada sekarang, yang dipraktikkan di universiti, akan terbatal sekiranya metodologi yang dipakai dan ukuran yang digunakan didapati palsu. Sekarang kita menghadapi kumpulan sarjana burung unta yang bengis, yang menyembunyikan kepala mereka di dalam timbunan teori Barat seperti burung unta menyembunyikan kepala mereka di dalam pasir sambil mencari makanan. Sarjana burung unta pula menyembunyikan diri mereka dalam longgokan teori sastera Barat apabila mereka menghadapi cabaran sebesar ini. Adalah menarik apabila peribahasa Barat ini dijadikan hujah untuk menggambarkan kedudukan mereka ketika menghadapi cabaran keilmuan ini. Jadi mereka tidak saja bergantung pada Barat untuk mendapat legitimasi ilmiah; mereka juga bergantung pada Barat untuk menutup kelemahan mereka.

Inilah kedudukan sebenar dalam ilmu sastera dalam dunia akademik kita. Dan inilah kontradiksi yang paling memalukan, yang sekali gus melucukan, yang dihadapi oleh para sarjana burung unta ini. Mereka tidak mahu menerima kenyataan bahawa kelangsungan konsep sastera yang mereka pegang tidak dapat dipertahankan dengan meyakinkan apabila dicabar daripada perspektif ilmu yang menjadi asas kegemilangan kreativiti dalam tamadun Islam.  Mereka sebenarnya sedang bergayut di dahan rapuh yang disediakan oleh teori sastera Barat, oleh itu tidak berdaya menahan  rempuhan taufan ilmu yang benar yang merempuh seluruh pohon kreativiti tempat mereka berteduh. Pelampung yang mereka gunakan untuk menyelamatkan diri mereka dalam gelora rempuhan ilmu ini tidak lagi berupaya menyelamatkan mereka, kerana sudah usang dan sudah reput, menunggu untuk tenggelam dalam lautan kepalsuan dunia kreatif yang mereka pertahankan selama ini. Mahu tidak mahu mereka harus menerima kedatangan perubahan besar, satu intifadah seni yang tidak lagi boleh berkompromi dengan hakikat kepalsuan konsep kreativiti yang menjadi pegangan mereka, yang telah melahirkan sastera yang bersifat hedonistik dan para sasterawan yang hanyut dalam dunia kreatif yang seluruhnya berasaskan kejahatan manusia. Apakah jenis kebaikan yang cuba ditonjolkan oleh para sasterawan negara dalam karya mereka? Yang jelas tertonjol ialah perihal kejahatan manusia yang tidak berpegang kepada konsep ilmu yang benar, yang menafikan hakikat taklif dalam kehidupan mereka. Kemusnahan para sasterawan dan sastera yang mereka bangunkan berlaku dari dalam, dilakukan oleh mereka sendiri yang menerima kepalsuan sebagai asas kreativiti. Kita tidak mahu arus perdana seperti ini, yang tidak dapat dipertahankan kewujudannya, sehingga menimbulkan konflik yang berterusan dalam penilaian karya kreatif. Ini telah dibuktikan dengan konkrit dalam penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang hanya boleh dipertahankan dengan mengharamkan penilaian semula para sasterawan negara berasaskan konsep ilmu yang benar. Inilah konflik akademik yang tidak patut berlaku dalam bidang ilmu.  Konflik ini bertambah buruk apabila kebebasan untuk menilai semula ditutup kerana disedari para sasterawan negara ini hanya dapat dipertahankan dengan menggunakan pendekatan dan teori sastera Barat. Bagaimana perkara ini boleh kita benarkan dalam dunia akademik kita?

Jadi apa yang disebut aliran arus perdana dalam kritikan sastera Melayu bukanlah arus perdana dalam erti sebenarnya; tetapi tidak lain dari kekangan perdana untuk melindungi para sasterawan negara dari dinilai berasaskan kecanggihan berfikir dan keupayaan kreatif yang tinggi.  Kesimpulan ini boleh dibuktikan dengan mudah jika gagasan Persuratan Baru digunakan untuk menilai para sasterawan negara ini. Itulah sebenarnya arus perdana, kerana pendekatan Persuratan Baru memberi keutamaan kepada aspek kecanggihan berfikir dan keupayaan kreatif yang tinggi. Apa salahnya dengan pendekatan begini?

Mohd. Affandi Hassan,
1 Julai 2013.

Sunday, June 2, 2013

KEDUDUKAN SASTERAWAN NEGARA YANG SEMAKIN SUKAR



Sejak akhir-akhir ini, ada pendapat mengatakan kedudukan sasterawan negara semakin sukar dipertahankan. Mereka berpedapat, selepas Arena Wati, pemilihan sasterawan negara ada masalah kerana calon yang walaupun popular sebagai sasterawan, oleh sebab-sebab tertentu, seolah-olah layak dilantik ke jawatan itu, padahal pada hakikatnya tidak sesuai, malah ada yang berkata pemilihannya lebih menjurus kepada kronisme sastera. Masalah ini sampai ke kemuncaknya dalam pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara ke-12. Seperti yang saya bayangkan dalam pos yang lepas, pemilihan Baha Zain tidak saja dikritik oleh Shahnon Ahmad, tetapi dibuktikan dengan jelas oleh Baha Zain sendiri, terutama seperti yang ditunjukkannya dalam ucapan penerimaannya. Beberapa orang sarjana dan sasterawan berpendapat, ucapan penerimaan Baha Zain amat mengecewakan. Panel Anugerah Sastera Negara telah bermurah hati memuji tinggi kemampuan intelektual Baha Zain sebagai “pemikir” sastera dan pengkritik sastera yang berwibawa, dengan huraian yang begitu teliti peragaan retorik peragaannya, namun Baha Zain dalam ucapan penerimaannya hanya berjaya mengucapkan kembali segala isu-isu klise yang mirip dengan berita TV3, TV Malaysia, akhbar Melayu popular, dan gosip biasa yang sering diulang-ulang. Ke mana perginya taring intelektual Baha Zain? Atau dia memang tidak bertaring?  Sesuai dengan reputasinya sebagai seorang “pemikir” sastera yang teliti, juga sebagai seorang pengkritik sastera yang tajam pemerhatiannya dan analisisnya, tiba-tiba terkulai dalam ucapan penerimaannya yang tidak bermaya, dan memang tidak kelihatan sedikit pun imbasan intelektualnya, apatah lagi analisis dan penilaian yang mantap sebagai seorang yang sudah mendewasakan dirinya selama 50 tahun berada dalam dunia kreatif dan kritikan. Ada yang berkata, Baha Zain sebenarnya bukan tidak ada kemampuan intelektual hebat yang dicirikan oleh teman-temannya, dan oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri dalam laporan mereka, tetapi dia sebenarnya sedang berusaha meletakkan standard baru dalam ucapan penerimaan seorang sasterawan negara, yang seharusnya bersifat santai, gossipy, dan dibumbui sedikit dengan sikap mengada-ada dengan menimbulkan kambali cerita lama (seperti tentang Kongres Kebudayaan Kebangsaan, atau tentang polisi bahasa kebangsaan yang dia sendiri pernah terlibat melaksanakannya) dalam suatu nostalgia pura-pura kerana zaman sudah jauh berubah dan orang tidak mahu lagi mengimbas kambali sesuatu yang terlalu sempit daerah wacananya seperti mengenai polisi kebudayaan dan kedudukan bahasa kebangsaan. Ahli politik sendiri sedar kesilapan mereka melontarkan polisi yang tidak mengikat, oleh itu tidak harus dipersalahkan sesiapa jika pelaksanaannya tidak saja rumit, tetapi juga sudah bertentangan dengan realiti baru di bawah pengaruh 1Malaysia (angkat telunjuk dengan bersemangat!). Di bawah realiti baru 1Malaysia, semuanya berbentuk plural, majmuk, walaupun kadang-kadang bertentangan dengan Perlembagaan (seperti polisi PPSMI dan Akta Pelajaran yang mengiktiraf sekolah bukan kebangsaan, oleh itu dinamakan jenis kebangsaan yang tidak ada dalam Perlembagaan!). Jika projek sasterawan negara ini diteruskan juga, maka tidak mustahil jika para penulis yang menggunakan bahasa Tamil atau bahasa China dan bahasa Inggeris,  akan layak diberi kedudukan yang setaraf dengan sasterawan negara berbahasa Melayu. Bagaimana jika karya dalam bahasa yang tidak Melayu itu didapati lebih bermutu daripada yang ditulis oleh sasterawan negara Melayu yang sudah layu daya kreatifnya dan daya intelektualya? Tentu saja sesuatu yang bermutu tidak boleh ditolak begitu saja walaupun ditulis dalam bahasa Eskimo; paling bodoh sekali pun karya demikian perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu dan diiktiraf sebagai karya asli, bukan karya terjemahan, kerana memang ditulis dalam bahasa asli yang diakui kedudukannya dalam 1Malaysia (maksudnya: bahasa Tamil dan China adalah bahasa ibunda penulisnya, oleh itu bahasa asli; apatah lagi bahasa Inggeris, yang pernah dimajukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ketika menjadi pelajar di Universiti Singapura, yang ketika itu banyak menulis sajak-sajak dalam bahasa Inggeris; pengaruh bahasa Inggeris itu tetap ketara dalam sajak-sajak Melayunya yang saya kira difikirkan dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu, seperti sajak “Pulang Si Tenggang”, yang versi Inggerisnya jauh lebih baik daripada versi Melayunya, kerana di dalamnya tidak ada ucapan kurang ajar yang mengajar orang Melayu supaya kurang ajar).

Kalau itulah keadaannya, maka jalan keluar yang terbaik ialah memulai Hadiah Persuratan Petronas, seperti yang sudah dikemukakan dalam seminar DBP Mei 2006.  Kerana masih baru, tentu DBP masih simpan segala kertas kerja yang dikemukakan. Sekarang di mana-mana saja orang bercakap tentang perlunya trasformasi untuk mencapai taraf negara maju. Tidakkah dalam polisi bahasa pun kita perlukan sejenis transformasi seperti yang dibincangkan dalam seminar DBP 2006 itu. Kegagalan projek sasterawan negara perlu, dan boleh diatasi, dengan memulakan Hadiah Persuratan Petronas. Mengapa projek sasterawan negara itu gagal telah dibincangkan dalam tiga aspek: dari aspek ilmu yang benar; dari aspek nilai; dan dari aspek pembinaan budaya kreatif yang menjurus kepada pencapaian digniti manusia berasaskan konsep taklif. Tiga aspek ini tidak ada, dan tidak kelihatan, dalam projek sasterawan negara ini. Kita telah membazir wang yang banyak begitu lama, dan membazir kata-kata begitu banyak dalam laporan dan sebagainya, namun dari segi makna yang dikehendaki dalam pembinaan tamadun, kita telah gagal sepenuhnya. Maka itulah diperlukan transformasi intelektual dan akademik berasaskan konsep ilmu yang benar, diungkapkan dalam bahasa Melayu tinggi yang indah dan saintifik. Kita perlu memulakannya sekarang.

Mohd. Affandi Hassan,
2/6/2013.

Friday, May 31, 2013

BEBAN INTELEKTUAL SASTERAWAN NEGARA: KRISIS NILAI YANG BERPANJANGAN



Akhirnya Baha Zain diberi penghormatan untuk digelar sasterawan negara (ke-12), selepas teman-temannya di DBP dan di luar DBP seorang lepas seorang diberi anugerah itu. Dari 12 orang sasterawan negara, 6 orang bekas pekerja DBP. Lain-lain adalah suku-sakat mereka, yakni semua sasterawan negara ini dari satu rumpun, kait-mengait satu sama lain. Dengan terpilihnya Baha Zain, maka sudah terang lagi bersuluh tokoh-tokoh sasterawan yang layak diberi keudukan itu semakin mengecil, dan begitu insignificant, sehingga seorang pensajak yang diakui oleh Laporan 2013 tidak prolifik diangkat untuk diberi penghormatan negara itu. Panel menggunakan istilah “penyair”, yang saya kira tidak tepat; maka itulah saya pakai istilah “pensajak” (yakni, penulis sajak). Istilah itu tidak tepat, menurut Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu, kerana seseorang yang digelar “penyair” itu menulis syair yang indah-indah fikirannya, tinggi nilai ilmunya. Ini tidak terdapat dalam sajak-sajak moden, hatta yang ditulis oleh sasterawan negara sekali pun. Hakikat ini disedari oleh pensajak Nawawee Mohammad dalam kumpulan sajaknya, Dalam Sajak (2003). Saya salin pendapat beliau: “Sengaja saya gunakan perkataan ‘penulis sajak’ di sini, tidak ‘penyair’. ... Bagi saya, status seseorang penyair sangat tinggi dan agung kedudukannya dalam masyarakat. Harus dikagumi kerana ketinggian nilai tulisan dan buah fikiran.” (hal. xiii).

Benarlah pandangan kritis Shahnon Ahmad yang awal-awal lagi membantah pemilihan Baha Zain, dengan alasan yang cukup tepat dan paling lantang disuarakan, iaitu Baha Zain adalah penulis sajak-sajak kontot yang tidak terfokus. Benarnya dan tepatnya pandangan Shahnon Ahmad ini diakui oleh Laporan 2013 yang berterus terang mengaku Baha Zain memang bukan seorang pensajak yang kaya karya dan kaya pemikiran. Kekerdilan Baha Zain dalam dua perkara ini secara tidak langsung (kerana tentulah tidak sopan untuk menyatakannya secara langsung dan berterus terang) diungkapkan dalam Laporan 2013. Laporan ini telah cuba berlaku adil terhadap Baha Zain, tetapi kerana langkanya karya Baha Zain yang betul-betul bermutu, maka laporan tiada pilihan selain mengemukakan contoh-contoh sajak yang begitu biasa, simplistic dan tiada langsung menayangkan buah fikiran yang boleh dipegang. Saya tidak perlu menurunkan contoh-contoh pilihan Laporan 2013, yang boleh disimpulkan sebagai sajak-sajak remaja yang marah-marah. Ini amat aneh, kerana Baha Zain sendiri mengaku sejak akhir-akhir ini dia banyak melihat ke dalam diri, dan hasilnya ialah tertelurnya sajak-sajak kerohanian. Mana dia sajak-sajak kerohanian itu? Sudah pasti Panel tidak berminat, jika memang ada sajak-sajak kerohanian itu. Tetapi jika betullah sajak-sajak kerohanian itu benar-benar menyentuh sanubari, mengapa tidak dikemukakan untuk dinilai oleh pembaca laporan ini? Keselekehan Panel penilai dalam menyediakan laporan mereka boleh dilihat dalam hampir semua halaman laporan, yang memang kaya dengan retorik peragaan berupa pujian yang tidak bertempat kerana tidak ada contohnya yang boleh dijadikan pegangan bahawa contoh-contoh itu memang melambangkan kekuatan pemikiran dan kehandalan kreatif sang pensajak. Contoh-contoh yang diberikan adalah sebaliknya, tidak langsung melambangkan kekuatan pemikiran pensajak dan kehandalan kreatifnya dalam mengemukakan pemikirannya. Kegemaran memuji setinggi langit ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadis, yang antara lain dipetik oleh ulama dan  pujangga Aceh, Abdul Rauf Singkel, dalam kitabnya Tanbih al-Masya, disalin oleh Oman Fathurahman dengan diberi judul, Menyoal Wahdul Wujud (Mizan 1999). Hadis Muslim itu berbunyi (terjemahan Abdul Rauf/Oman), “Bila engkau melihat orang yang selalu memuji-muji, taburkanlah tanah di mukanya”; kerana pujian itu ibarat memenggal kepala orang yang dipuji. (hal. 139). Saya dapat satu kutipan daripada Imam Shafie yang dimuat oleh seorang bernama Akma Danira dalam facebooknya: “Sesuatu yang benar tetapi bahaya iaitu pujian manusia. Ramai yang rosak akibat terlalu hanyut dengan pujian.”  Memuji adalah sifat Panel Anugerah Sastera Negara, yang terpaksa dilakukannya untuk membina mitos di sekitar sasterawan negara yang dilaporkannya.  Tanpa pujian, sasterawan negara tidak wujud.

Panel memuji Baha Zain sebagai penulis esei yang cekap, lalu bahagian ini pun penuh dengan retorik peragaan yang lebih banyak bercerita tentang kelemahan Panel daripada kekuatan esei Baha Zain. Mari kita sebariskan (tidak bererti setanding) H.B. Jassin dengan Baha Zain dan lihat bagaimana dua orang tokoh ini memperlihatkan kekuatan masing-masing. Kita lihat H.B.Jassin membicarakan hampir semua penulis Indonesia, walaupun tidak mendalam, tetapi jelas beliau membaca karya mereka dan memberi mereka galakan yang wajar. Bagaimana dengan Baha Zain? Dia hanya menulis tentang teman-teman rapat yang pernah memuji beliau, yang kini sampai pula gilirannya untuk memuji mereka. Ke mana perginya penulis lain yang beratus orang jumlahnya? Dia tidak membacanya, dan berasa tidak perlu membicarakan mereka seperti yang dibuat oleh H.B.Jassin. Oleh itu, di mana hebatnya Baha Zain dalam penulisan esei? Katalah dia memberikan pemikiran yang brilliant yang mengarah kepada perkembangan masa depan sastera dan apakah cabaran itu. Panel tidak berkata apa-apa, kecuali bergelumang dalam retorik peragaan yang tidak bermakna apa-apa.  Yang saya maksudkan mudah saja: jika benarlah Baha Zain seorang pemikir sastera, sudah pasti dia akan membuat sesuatu rumusan penting tentang kemajuan terdahulu dan bagaimana pencapaian masa depan. Tidak adakah masalah serius yang sedang dihadapi oleh para sasterawan dan dunia sastera mereka? Saya sering mengatakan, para sasterawan hanya berjaya mengelirukan masyarakat dengan mengemukakan nilai-nilai palsu, yang disokong oleh Panel dalam laporan mereka. Kalau anda membaca tulisan saya, anda akan terkesan bahawa nilai-nilai palsu itu tergambar dalam konsep ilmu yang keliru, tentang betapa ceteknya para sasterawan ini memahami dunia kreatif dan sastera dunia, sehingga mendorong Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mencirikan mereka sebagai kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Cabaran ilmu yang diajukan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah cabaran besar, yang wajar mendapat reaksi para sasterawan.  Tetapi mereka mendiamkan diri, membuktikan bahawa memang benar mereka “cetek meraba-raba.”  Sebenarnya inilah sifat karya para sasterawan negara sendiri, yang kacau dan keliru dari segi memahami masalah ilmu dan peranan kreativiti dalam kehidupan manusia yang berakal. Ini terjadi kerana pembacaan mereka amat terbatas, sebelah pihak, yakni terlalu membataskan diri mereka kepada karya Barat, tetapi itu pun cetek, oleh itu mereka tidak dapat membicarakan dengan mendalam masalah ilmu yang mengelirukan para sarjana Barat. Kalau mereka tidak cetek, mereka akan membicarakan dengan agak mendalam mengapa begitu banyak timbul segala macam teori sastera Barat, dan apakah natijahnya dalam epistemologi. Mengapa persoalan epistemologi ini penting dalam kritikan sastera dan dalam penulisan kreatif? Mana ada di antara sasterawan dan sarjana sastera yang membicarakan persoalan ini. Betapa miskinnya mereka, dapat anda lihat apakah pandangan mereka tentang konsep tragedi. Yang menulis tentang tajuk ini bukan pengkritik dan penulis esei seperti Baha Zain atau sasterawan dan sarjana seperti Muhammad Hj. Salleh atau Rahman Shaari, tetapi ditulis oleh seorang sarjana bukan sastera, Che Razi Jusoh, melalui makalahnya, “Tragedi Sebagai Salah Satu Watak Kebudayaan Barat” (dimuat dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2012.)  Kalau anda tidak berupaya membicarakan konsep realisme yang menjadi pegangan anda sebagai seorang sasterawan atau seorang sarjana sastera, maka anda tidak boleh dianggap sebagai pemikir, melainkan hanya seorang peniru dan sebagai peniru pun bukanlah peniru yang mendalam ilmunya.  Kalau anda tidak sampai ke tahap itu membicarakan sastera, maka anda bukanlah seorang pemikir yang benar-benar sedar akan masalah yang anda hadapi dan yang dihadapi oleh para sasterawan serta sarjana sastera. Anda tidak boleh dikatakan seorang sasterawan yang jujur dan seorang sarjana yang objektif jika anda tidak tahu menahu tentang gagasan Persuratan Baru, yang tidak saja mencabar keupayaan anda berfikir, tetapi juga mencabar teori satera Barat yang menjadi pegangan anda.

Membaca ucapan penerimaan Baha Zain membuat kita teringat berita biasa di TV3, TV Malaysia, di Utusan Malaysia dan Berita Harian dan lain-lain akhbar. Baha Zain mengulang apa yang sudah sering disebut dalam berita-berita itu. Pada kesempatan itu kita ingin mendengar satu ucapan yang benar-benar lahir dari pemikiran kritis beliau, sesuai dengan pujian Panel yang mengatakan beliau seorang pemikir sastera yang handal. Kehandalan berfikri itu tidak kelihatan dalam ucapan penerimaan beliau, yang melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk yang biasa kita dengar di TV dan baca dalam akhbar. Apakah visi dan impian beliau tentang sastera Melayu Abad 21 ini? Masihkah hanya sejenis appendix kepada sastera Barat? Masih bergelumang dengan emosi? Seorang pemikir harus berupaya memberi sedikit gambaran kepada apa yang akan berlaku masa depan, bukan dalam bentuk ramalan, tetapi dalam bentuk analisis berasaskan kefahaman yang mendalam tentang situasi yang ada, yang dari situ ke arah mana yang akan kita tuju. Jadi pujian Panel dinafikan oleh Baha Zain sendiri, sesuatu yang amat aneh dan tidak wajar dilakukan oleh seorang sasterawan negara.  Kalau pun beliau berasa terlalu sukar untuk berbicara tentang masa depan, maka sudah dianggap baik jika beliau meneliti perkembangan yang dilaluinya dalam masa 50 tahun pengalamannya. Apa yang dilihatnya? Apakah yang menarik perhatiannya? Apakah kemugkinan yang boleh disimpul dari perkembangan itu? Sesuai dengan kepakarannya dalam bidang esei dan kritikan sastera, tentulah amat menarik jika beliau dapat melakarkan sekadarnya perkembangan dalam bidang ini, dan apakah perkembangan baru yang boleh menjadi landasan kepada terciptanya karya kreatif yang agak berbeza daripada yang ada sekarang. Itulah pemikiran, bukan hanya laporan pemberita yang tidak pula kritis.

Bila ditimbang semua ini, sudah jelas bahawa anugerah sastera negara menghadapi krisis identiti dan krisis kognitif.  Dari segi identiti, kesemua 12 orang sasterawan negara pada umumnya tidak berbeza satu sama lain, sehingga tidak nampak wajarnya diwujudkan anugerah sastera dengan segala adat istiadatnya yang feudalistik, yang memisahkan sekumpulan sasterawan dari kumpulan besar, walaupun kedudukan mereka setaraf. Jika anda membaca karya Nawawee Mohammad yang saya sebut di atas, anda akan dapat melihat betapa Nawawee Mohammed sudah jauh lebih maju daripada pensajak yang diberi gelaran sasterawan negara itu.  Buku beliau, Kumpulan Puisi Sajak-sajak Dalam (ITBM 2013) adalah sebuah  perbendaharaan kecil, tetapi berkesan,  yang memuat sajak-sajak kerohanian yang walaupun sederhana, tetap memikat pembaca yang berakal sihat kerana yang diserlahkan dalam sajak-sajak itu ialah masalah manusia sejagat  yang tetap diuji dalam pelbagai bentuk, tetapi bagi orang beriman, semuanya tetap tersedia jalan keluar yang menunggu untuk dipilih. Bagi Nawawee, antara jalan keluar itu ialah doa (lihat sajaknya “Hanya Dalam Doa”, hal. 138), yang mengingatkan kita kepada Chairil Anwar yang akhirnya kembali kepada doa kerana itulah saja cara paling berkesan untuk orang beriman mendapat dirinya kembali setelah dilontar oleh hawa nafsunya yang dipengaruhi Shaitan.  Jika anda membaca sajak-sajak dalam kumpulan ini dengan kritis, dan dengan prasangka baik, anda akan menemui diri anda sendiri. Itulah salah satu ciri karya yang baik, yang tetap menemukan manusia kepada makna dirinya. Dan ini, sayang sekali, tidak terdapat dalam mana-mana karya yang ditulis oleh sasterawan negara, hatta dalam sajak-sajak Kemala yang saya baca (mungkin ada antologi baru yang belum sampai kepada saya!!). Tetapi di Malaysia, karya bermutu tidak diberi perhatian sekiranya anda tidak mempunyai cable sastera.  Jika anda faham maksud saya, anda akan mengerti bahawa sastera yang sepatutnya memancarkan kejujuran dan keikhlasan sanubari manusia yang tahu harga dirinya sebagai hamba Allah dan Khalifah Nya, tidak terdapat dalam karya para sasterawan negara ini. Jadi apakah yang dihidangkan mereka, sebenarnya?  Inilah yang saya maksudkan degan krisis itu.

Seperti yang saya sering sebut dalam kebanyakan kritikan saya tentang laporan Panel Anugerah Sastera Negara, masalah yang kita hadapi ini sangat serius, kerana ia mencalar dengan dalam sekali sistem nilai kita yang selama ini sudah kita mantapkan dalam kebudayaan dan persuratan kita, tetapi menjadi hancur lebur di dalam tangan para sasterawan negara. Sekali lagi, anda perlu baca dengan kritis semua laporan tentang para sasterawan negara ini, yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jika anda mahu, kita perlu bincang dan bahaskan krisis nilai ini dengan sehabis terbuka tanpa sebarang prasangka. Tetapi masalahnya ialah para sasterawan negara sendiri tidak terdiri daripada manusia yang terbuka sikapnya terhadap kebenaran dan ilmu; begitu juga para sarjana yang menyokong mereka. Cukup sukar untuk berdialog dengan kumpulan yang “cetek meraba-raba” ini!

Mohd. Affandi Hassan,
31/5/2013.




Saturday, May 25, 2013

MEMBINA BUDAYA POLITIK ISLAM DALAM KEGAGALAN UMNO MENGURUS DEMOKRASI DALAM POLITIK PERPECAHAN



Kemenangan tipis yang diperolehi oleh UMNO/BN sangat menyakitkan hati para pemimpin UMNO. Mereka kecewa, tetapi tidaklah sampai putus asa, walaupun hampir menjadi sasau  kerana belum pulih dari demam 2/3 majoriti yang menjadi obsesi UMNO. Para pemimpin UMNO menjadi amat marah apabila kemenangan tipis mereka disambut dengan demonstrasi besar-besaran yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat yang menolak kemenangan UMNO, dan menolak seluruh pilihan raya 2013 sebagai satu pilihan raya yang korup dan penuh dengan penipuan.  Demonstrasi secara aman itu mendapat sambutan rakyat yang luar biasa, dihadiri oleh ratusan ribu rakyat, paling kurang 30-40 ribu di tempat-tempat tertentu. Dengan menggunakan mitos keamanan dan ketenteraman awam, kerajaan yang diasaskan kepada “manipulated majority” dengan 47% undi popular,  gagal membangkitkan sentimen perkauman di kalangan rakyat untuk mencetus ketakutan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa di negara mereka.  Maka dengan tidak semena-semena, timbullah politik MAFIA yang angkuh, ditunjukkan oleh Menteri Kepolisian baru (yang tidak layak dipanggil Menteri Dalam Negeri, jawatan barunya selepas menjadi Menteri Angkatan Perang, yakni Menteri Pertahanan). Melihat kebangkitan rakyat menentang penipuan dalam pilihan raya, maka menteri ini yang bernama YB  Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menengking seluruh penentang UMNO/BN supaya berambus (dia memakai istilah Islam berhijrah, satu istilah yang tidak sesuai untuk dipadankan dengan kemarahan dan kebenciannya) meninggalkan Malaysia jika tidak menerima kemenangan UMNO/BN dalam PRU-13 dengan membuat tuduhan pilihan raya itu penuh dengan penipuan. Tentu saja UMNO/BN menafikan sekeras-kerasnya; tetapi UMNO terpaksa menerima bahawa pada hakikatnya, dari segi demokrasi, mereka telah ditolak oleh rakyat apabila mereka hanya mendapat 47% undi popular. Mereka hanya menang dari segi manipulated majority berasaskan sistem demokrasi dan sistem pilihan raya yang memihak kepada kerajaan yang memerintah, melalui manipulasi perundangan yang terang-terang menguntungkan UMNO/BN. Hakikat ini perlu diisi dalam buku sejarah, supaya tidak satu huruf pun tertinggal dalam naratif tentang penipuan dalam demokrasi yang sampai ke kemuncaknya dalam PRU-13.

Isunya di sini ialah isu penipuan dalam pilihan raya. Benarkah terdapat penipuan? Dalam bentuk yang bagaimana?  Paling jelas penipuan itu terdapat dari segi persepsi dan kenyataan yang terjadi. UMNO mengaku memang terdapat penipuan dari segi undang-undang dan sistem pilihan raya. Dari segi sistem, undi yang dikira boleh memenangkan kumpulan mana sekali pun ialah melalui jumlah kerusi. Jumlah kerusi itulah yang menentukan kemenangan, bukan jumlah undi keseluruhan. Di sinilah terjadi penipuan dari segi sistem dan undang-undang. Dari segi sistem pilihan raya, pembentukan sempadan kawasan pilihan raya diasaskan seluruhnya kepada matlamat UMNO untuk mencapai kemenangan dengan memanipulasi sistem itu yang kemudiannya dibarengi dengan kuasa undang-undang. Dengan itu semuanya akan kelihatan seolah-olah menepati dengan kehendak demokrasi, walaupun maksud dan makna demokrasi itu telah diseleweng dan ditetapkan kewujudannya berasaskan undang-unsang yang sangat jelas menyekat konsep demokrasi sebagai suara rakyat, sebaliknya menjadi suara kerajaan yang memerintah yang boleh melakukan apa saja untuk memastikan maksud dan makna yang diberikan oleh kerajaan itu tetap sah kerana diasaskan kepada undang-undang. Inilah yang ditolak oleh para penentang bentuk demokrasi yang diselewengkan itu. Adalah ironik bahawa demokrasi yang pada mulannya, dan memang didakwahkan sebagai suara rakyat, akhirnya menjadi satu sistem yang menyekat suara rakyat itu jika suara itu bertentangan dan tidak disetujui oleh kerajaan yang memerintah.  Inilah punca konflik dalam masyarakat yang kononnya mengamalkan “demokrasi”, padahal yang terjadi “demokrasi” itu dipergunakan sewenang-wenang untuk menutup suara rakyat jika suara itu akhirnya akan menumbangkan kerajaan yang dikenali korup, zalim, kejam dan sebagainya. Inilah yang terjadi di Malaysia dan di mana-mana juga negara yang mengamalkan demokrasi, kecuali di Amerika Syarikat dan Britain. Dalam kedua-dua buah negara itu, demokrasi telah diberi standard yang diterima umum sebagai sistem yang menerima adanya ketelusan pentadbiran dan sebagainya, walaupun korupsi serta penipuan masih berleluasa. Dalam contoh-contoh yang diberikan dalam blog ini, kita lihat ketelusan itu memang diperlihatkan dan diamalkan, seperti misalnya tentang perisytiharan harta oleh PM Britain James Callaghan dan Presiden George Bush Sr. Bilakah akan terjadi kepada PM Malaysia? Jika anda masih berdegil menolak kenyataan ini, anda perlu meneliti siapa yang dilantik menjadi menteri dalam Kabinet Bangsat PM 133 KOD 47%. Jika anda bukan orang yang terlalu buta politik, anda akan bertemu di dalamnya paling kurang seorang yang telah dijatuhkan hukuman oleh satu tribunal bahawa dia seorang penipu dan korup, seorang penjenayah yang belum lagi dihukum walaupun sudah dibicarakan dalam tribunal dan didapati bersalah. Carilah siapa orang itu. Yang penting, berlandaskan demokrasi, jika anda berkuasa melalui penipuan menggunakan demokrasi, maka anda boleh membersihkan seorang penjenayah sehingga layak dilantik menjadi seorang menteri.  Jika anda tidak buta politik dan masih mempunyai sedikit harga diri dan nilai-nilai moral (usah cakap fasal nilai-nilai agama), maka anda tidak boleh terima situasi ini. Maka itulah kemarahan itu ditunjukkan dalam perhimpunan aman besar-besaran membantah penipuan ini.

Sebagai bangsa bertamadun, dan mewarisi tamadun Islam yang unggul, kita tidak boleh terima para pemimpin yang bangsat dari segi moral, perilaku, pemikiran, dan sebagainya. Sekarang inilah jenis pemimpin yang kita terima, yang menggubal undang-undang dan melaksanakannya untuk faedah kumpulannya. Tidakkah ini suatu kecelakaan sejarah yang amat dahsyat? Tidakkah di sini kita lihat gambaran regim Firaun yang sudah musnah itu? Tetapi dihidupkan di negara kita dalam bentuk adaptasi yang amat lihai?

Apakah pilihan kita?  Sebenarnya pilihan kita mudah, semuanya telah dijelaskan di dalam al-Quran.  Pertama sekali, Al-Quran menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk memberi/menjadi rahmat kepada sekalian alam. Alam seluruhnya mendapat manfaat daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW dan ajaran baginda. Itulah prinsip politik Islam yang pertama: menjadi rahmat kepada seluruh alam. Prinsip ini boleh disyarahkan dalam berpuluh, malah beratus jilid buku. Biarlah orang yang alim tentangnya membahaskannya, yang perlu bagi ahli politik Islam ialah dia sedar bahawa inilah prinsip pertama dalam politik Islam, memberi manfaat kepada seluruh alam. Tidak ada perkauman, kerana tersirat di dalam prinsip ini ialah keadilan. Termasuk dalam konsep keadilan itu ialah sebarang kemajuan yang hendak dibuat, tidak boleh merosakkan alam, maka dengan itu anda tidak boleh dengan sewenang-wenang meratakan bukit dan sebaliknya kononnya untuk kemajuan. Perbuatan itu jelas ditegaskan di dalam al-Quran sebagai perbuatan fasad, yakni korupsi yang paling jahat. Kedua, al-Quran menegaskan bahawa umat Islam menjadi ukuran kepada umat yang lain, kerana mengajak berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar. Makruf bermaksud mengetahui dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam Islam, bukan nilai-nilai di luar Islam. Mungkar bererti mengetahui dengan mendalam segala kejahatan manusia dan menolaknya dalam kehidupan peribadi dan kemasyarakatan. Inilah maksud umat contoh, yang menjauhkan kezaliman dan memperkaya kehidupan manusia dengan keadilan.  Jika kita terima demokrasi sebagai satu sistem yang boleh disesuaikan dengan kehendak Islam, maka inilah prinsip demokrasi dalam Islam. Dengan prinsip ini, anda tidak akan mengadakan pilihan raya untuk menipu, menjadikannya sebagai cara untuk mendapat kuasa, padahal maksud sebenarnya ialah untuk mengaut faedah peribadi dan kroni. Prinsip ketiga berhubung dengan kepemimpinan dalam Islam. Ciri utama pemimpin Islam ialah kesedarannya yang mendalam tentang dirinya sebagai hamba Allah dan khalifah Nya di bumi. Dengan kesedaran itu, kepemimpinan adalah satu amanah besar untuk memenuhi dua tugas manusia yang disebut di atas: sebagai hamba Allah dan khalifah Nya. Sekali lagi, beratus dan beribu buah buku boleh ditulis tentang perkara ini; tetapi kesimpulan utamanya tetap sama, bahawa kepemimpinan adalah amanah, dan mesti dilaksanakan dengan adil dan ihsan. Tidak ada keadilan jika tiada keadilan untuk diri sendiri; di sini maksud keadilan itu ialah kejujuran yang total untuk menunaikan amanah. Dari situlah baru terdapat keadilan untuk orang lain; tetapi ini pun tidak bererti apa-apa tanpa adanya sifat ihsan. Sifat ihsan itulah yang memberi makna kepada keadilan, dan sebaliknya. Jika anda susah hendak faham prinsip ini, bayangkan perkara yang anda buat hari-hari. Anda tidak akan kenyang dengan sempurna jika anda hanya memakan makanan walau sebaik mana pun; anda perlu minum, walau seteguk pun. Yang seteguk itulah ihsan; yang banyak itu keadilan. Cara mudah ini boleh dibahaskan dengan mendalam oleh orang yang tahu, dan anda akan mendapat faedahnya jika anda mendengar syarahan orang yang tahu itu. Dekati mereka, supaya di dalam diri anda sentiasa mekar keadilan dan harum dengan sifat ihsan. (Sorry, guna bahasa persuratan, mungkin sukar hendak dilihat keindahannya. Belajarlah sedikit membaca karya persuratan walaupun anda seorang ahli politik!).

Cukuplah dengan tiga prinsip utama itu, walaupun banyak lagi yang boleh ditambah. Ini boleh dibuat perlahan-lahan, ibarat belajar menjala: kalau jala sudah tertebar dengan sempurna, bolehlah anda menggunakan perahu untuk menjala. Tetapi itu pun akhirnya akan dirasa tidak sempurna, kerana anda akan mula menggunakan pukat. Dan seterusnya, anda boleh bayangkan sendiri. Seorang pemimpin harus dapat berfikir dengan kreatif.  Sedikit pelajaran mudah tentang sifat kreatif: di atas disebut keadilan yang mekar, sifat ihsan yang harum. Kedua-duanya, mekar dan harum, adalah sifat bunga; jika aspek ini anda fahami, maka anda akan dapat lihat bagaimana kaitan antara keadilan dan sifat ihsan seorang pemimpin Islam, seperti yang dibayangkan dalam ayat di atas: “Sifat ihsan itulah yang memberi makna kepada keadilan, dan sebaliknya.” Bagaimana ini dapat disimpulkan dalam satu konsep yang menyeluruh? Cuba anda fikirkan tentang makna taklif dalam Islam. Bagaimana jika politik Islam itu didasarkan kepada konsep taklif? Saya biarkan anda membicarakannya sendiri. Ini pun satu aspek daripada hakikat kreativiti yang perlu ada pada seorang pemimpin, semua pemimpin.  Sebagai seorang pemimpin Islam, anda wajib menghayati hakikat taklif dalam kehidupan anda, kerana melalui kesedaran taklif yang tinggi itulah anda akan dapat menyambung kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat dengan memahami tiga  rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah dalam kitabnya yang terkenal, HujjatuLlah al-Balighah. Tiga rahsia taklif itu ialah ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Manusia beriman yang mempunyai kesedaran taklif yang tinggi, yang menjadi pemimpin, akan sedar betapa pentingnya konsep ilmu yang benar difahaminya, supaya dia dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya, dengan itu berlaku adil dalam semua tindakannya; dan dari situlah dia membuat keputusan yang terbaik, yakni usaha ikhtiarnya terarah untuk menyempurnakan hakikat taklif tadi.  Tidak mengapa jika terasa agak sukar hendak memahaminya, kerana anda akhirnya akan memahaminya melalui sedikit tarbiah tentang makna dan matlamat taklif dalam kehidupan manusia, terutama manusia beriman. Barulah anda boleh melaksanakan tiga prinsip utama kepemimpinan Islam yang dihuraikan di atas. Dalam semua bidang, tidak hanya terbatas dalam bidang politik. Jika ketiga-tiga prinsip itu dipakai, maka kecenderungan untuk menipu, bertindak zalim, melakukan rasuah, berbohong dan sebagainya yang termasuk dalam kategori perbuatan mungkar, tidak lagi dibudayakan seperti sekarang, dengan diperkukuh pula dengan undang-undang untuk melindungi kejahatan dan mencegah kebaikan jika kebaikan itu boleh mendedahkan kejahatan. Undang-undang tidak lagi dijadikan panduan untuk mengerjakan kebaikan, tetapi dijadikan senjata untuk melindungi kejahatan. Sebagai contoh, jika anda mempunyai RM500 juta di dalam bank,  hasil perbuatan rasuah anda (kerana anda seorang ahli politik yang memegang jawatan penting yang membolehkan anda merompak rakyat dan kekayaan negara), maka undang-undang berada pada pihak anda kerana anda dilindungi oleh peraturan bank yang tidak membenarkan sesiapa pun mempersoalkan bagaimana anda beroleh kekayaan sebanyak itu, padahal anda hanya seorang ahli politik, walaupun jawatan anda mungkin Menteri Besar atau seorang menteri. Sesiapa juga yang membuka rahsia itu boleh dihukum berat, itulah peraturan yang ditetapkan di dalam undang-undang. Itulah maksud undang-undang berfungsi untuk melindungi kejahatan dan penipuan. Banyak contoh lain yang boleh dikemukakan, jika anda mahu. Cukup satu itu saja sebagai contoh untuk menjelaskan maksud undang-undang melindungi kejahatan dan korupsi.

Adakah perkara-perkara yang dibincangkan di sini – tentang korupsi, penipuan, kezaliman, penindasan dan sebagainya – hanya khayalan yang muncul dalam masyarakat yang berasa tidak selamat dan dizalimi? Mengapa tidak selamat? Siapa menzalimi siapa? Siapa yang menipu dan siapa yang tertipu? Apakah ukuran yang kita pakai untuk membuktikan perkara-perkara ini memang berada dalam masyarakat?  Dalam kumpulan mana isu-isu ini sering dibincangkan? Adakah terbatas di kalangan orang Melayu? Beberapa analisis yang kita baca menunjukkan bahawa persoalan ini dihadapi oleh semua kaum, tetapi berat ringannya jauh berbeza. Orang Melayu masih santai, seperti biasa, dan berasa cukup asal saja mereka boleh makan dan mempunyai rumah. Tetapi ahli politik melihat mereka dari sudut yang amat berbeza. Orang Melayu yang hidup santai dan berasa puas dengan kehidupan mudah mereka, bagi ahli politik adalah sumber kuasa mereka untuk mendapat kekayaan dan kemewahan.  Inilah pandangan para pemimpin UMNO terhadap orang Melayu yang berada di luar bandar. Mereka ini perlu dijaga dan diberi perhatian, tetapi tidak perlu dimajukan. Kemajuan akan mendatangkan masalah, apabila mereka akan mula bertanya dan jika pertanyaan itu tidak mendapat jawapan yang munasabah, mereka akan mula curiga tentang kejujuran para pemimpin mereka. Inilah yang perlu dijaga, supaya kecurigaan itu tidak ditumpukan kepada para pemimpin UMNO, sebaliknya ditujukan kepada puak sebelah lagi. Dalam pertarungan inilah fitnah dan pembohongan dijadikan senjata dengan mengemukakan naratif yang menarik, dengan tumpuan kepada soal seks. Jadi persoalan seks ini bukan saja menjadi kegemaran para sasterawan, tetapi juga dijadikan senjata yang berbisa oleh ahli politik. Perkembangan baru ini penting dalam konteks pertumbuhan maksiat dalam masyarakat. Skandal seks yang pada mulanya dijadikan senjata untuk membunuh hayat politik seseorang pemimpin, menjadi daya tarikan kepada masyarakat, terutama golongan muda, yang tidak lagi mempunyai perasaan malu. Dengan itu maksiat yang berkaitan dengan seks ini tumbuh dengan subur tidak saja di bandar-bandar, malah telah merebak di kampung-kampung. Pertumbuhan budaya hedonistik ini dibantu dengan gigih oleh TV, surat khabar, filem dan video lucah. Malah video lucah ini nampaknya sudah menjadi kegemaran ahli politik untuk disebarkan dalam pilihan raya baru lepas. Sudah dijadikan budaya politik 1Malaysia!  Pelopor semua budaya mesum ini tidak lain daripada Tun Dr. Mahathir Mohamed, yang mencipta sejarah di Malaysia bagaimana perbicaraan Anwar Ibrahim begitu terperinci didedahkan di Mahkamah hingga tilam dan bulu serta airmani yang melekat di tilam menjadi bukti pembohongan naratif yang mengalahkan kisah sensasi yang pernah ditulis oleh mana-mana sasterawan negara sekali pun. Sejak itu, perkataan yang dulunya tidak mahu orang sebut kerana masih ada perasaan segan dan malu, seperti liwat, air mani, lubang dan sebaginya, menjadi perkataan yang popular, bahasa basahan, di akhbar yang menjadi lidah rakyat. Dengan itu kejahatan telah dibudayakan dengan megah hasil usaha seorang Perdana Menteri sendiri. Hakikat ini perlu dicatat dalam sejarah, supaya kejahatan ini diketahui puncanya oleh generasi akan datang. Terpulang kepada mereka sama ada mahu mengutuk atau memuji tokoh yang lihai ini, yang digelar oleh Tunku Abdul Rahman sebagai “Pembohong besar!”.

Dalam keadaan begini, adakah orang agama (i.e. ulama) akan hanya jadi penonton? Saya fikir inilah masanya satu revolusi kepemimpinan Islam perlu diwujudkan di Malaysia untuk menyelamatkan orang Melayu yang semakin bercelaru dan mudah dipermainkan dalam percaturan politik yang mensekularkan nilai-nilai agama mengikut cita rasa para pemimpin politik UMNO.  Ketergantungan kepada Perlembagaan dan Rukunegara telah membuat orang Melayu hanyut dalam khayalan seolah-olah mereka tidak akan tercabar sebagai satu bangsa yang harus berdikari dalam semua perkara. Selama 56 tahun sejak merdeka mereka dikurung sebagai ayam daging oleh UMNO untuk memastikan mereka tidak berpaling menyokong para pemimpin selain dari UMNO.  Orang Melayu yang hanyut dalam khayalan ini tidak mendesak pemimpin mereka dari UMNO itu membangun kehidupan mereka seperti yang dijanjikan setiap kali diadakan pilihan raya. Maka dengan itu selama 56 tahun, dan seterusnya entah berapa puluh tahun lagi, mereka akan terbiar dan berasa sudah cukup apabila mendapat sedikit habuan daripada para pembela (baca pembela, pemelihara; bukan pembela!) mereka setiap kali diadakan pilihan raya. Sebagai ayam daging, mereka tidak tahu mencari makanan sendiri, menunggu untuk diberi makan oleh tuan mereka. Tidak pernah ada perancangan untuk membangun mereka dan menyediakan mereka untuk berdikari. Itulah orang Melayu yang dididik oleh para pemimpin mereka yang jujur. Saya telah bincangkan persoalan ini dalam pos yang lepas.  Orang Melayu tetap hina dan terbuang selagi mereka menyokong UMNO. Mereka tidak akan merdeka dan mampu berdikari. Mereka tidak mungkin dapat dan berani membuat pilihan yang baik untuk mereka. Mereka akan terus menjadi ayam daging di bawah UMNO.  Melayu yang dipelihara oleh UMNO tidak bebas, tidak merdeka, oleh itu mereka tidak tahu dan tidak berani membuat pilihan walaupun  ada di antara mereka yang mula sedar bahawa mereka tertipu sebagai ayam daging untuk disembelih dalam pilihan raya.  Seterusnya ada dua perkara yang saya mahu ulang di sini, khusus untuk perhatian para pemimpin Islam jika mereka betul pemimpin Islam yang boleh dipercayai.               

Saya mulai dengan perisytiharan harta terlebih dahulu.  Kalangan pemimpin UMNO, dengan berat hati, lebih tidak mahu daripada mahu, berkata mereka setuju isytiharkan harta mereka kepada SPRM, tetapi tidak kepada umum. Pendapat ini diasaskan kepada pentingnya keselamatan seseorang untuk tidak diganggu atau diserang apabila seseorang menaruh anggapan bahawa orang berharta itu jahat, padahal merekalah yang terbaik kerana mereka membayar zakat, memberi sedekah dan lain-lain untuk membantu orang yang tidak mampu dari segi harta.  Sebaliknya, orang yang berpendapat perlunya harta diisytiharkan kepda umum, berhujah bahawa tujuan perisytiharan harta ialah untuk diketahui rakyat, supaya mereka tahu betapa jujur dan bersihnya para pemimpin mereka. Sekiranya mereka benar-benar jujur, telus, bertanggungjawab, dan segala macam pujian untuk diri mereka yang menjurus kepada betapa jujurnya mereka, maka tidak ada alasan sama sekali untuk mereka berasa takut, atau MALU, untuk isytiharkan harta mereka.  Jika mereka menolak, maka mereka perlu gubal dan luluskan satu undang-undang khusus yang menyatakan bahawa adalah ditegah sama sekali untuk sesiapa pun daripada perdana menteri, para menteri, timbalan menteri, setiusaha parlimen, ahli dewan rakyat dan dewan undangan negeri dan yang sejenis dengan mereka, termasuk yang dilantik ke dewan negara, supaya tidak mengisytiharkan harta mereka. Jika mereka melakukannya juga, maka mereka melanggar undang-undang perlindungan maruah para pemimpin, oleh itu mereka boleh didenda satu juta atau penjara 50 tahun atau kedua-duanya sekali. Tujuan hukuman yang berat itu ialah untuk menegah sesiapa pun yang berkenaan daripada mengisytiharkan harta mereka. Jika undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen, maka tidak timbul lagi soal perisytiharan harta ini, dan semua wakil rakyat, dari perdana menteri hingga apa-apa juga yang berkaitan, boleh bekerja dengan gigih, tidak berasa takut lagi dengan adanya undang-undang mencegah daripada membuka rahsia korupsi mereka kepada rakyat. Jika rakyat sanggup menerima beratus jenis korupsi yang dihulurkan oleh para pemimpin politik, maka rakyat wajib pula membalas budi para pemimpin mereka untuk tidak mengetahui kegiatan korupsi para pemimpin mereka yang kaya raya itu. Jika ini dipersetujui, maka Malaysia akan muncul sebagai negara contoh yang dapat menyelesaikan masalah rasuah ini dengan menutupnya melalui undang-undang sambil menggalakkannya di kalangan ahli politik dan seluruh rakyat. Pada waktu ini Malaysia sudah pun muncul sebagai sebuah negara yang terkenal korupsinya, tetapi belum lagi dirasmikan oleh Parlimen.  Undang-undang yang dicadangkan di Malaysia agak ekstrem, sesuai dengan tahap korupsi yang terdapat di Malaysia. Negara-negara lain yang telah mengadakan undang-undang yang serupa, dengan nama yang berbeza, mungkin boleh dirujuk. Tidak pasti sama ada SPRM mempunyai maklumat tentang aspek korupsi ini; tetapi mereka boleh memberi nasihat profesional untuk membuat undang-undang ini lebih adil kepada para pemimpin politik dan lain-lain.  Pandangan anda semua amat diperlukan untuk memastikan sekuat mana sokongan anda terhadap undang-undang ini. Inilah satu-satunya undang-undang yang akan memperkuatkan kedudukan parti-parti politik yang membela rakyat.  Undang-undang yang dicadangkan ini sesuai dengan kedudukan hak asasi manusia yang dipraktikkan di Malaysia. Jika anda masih ingat, anda akan terkesan bahawa ada di antara ahli kabinet PRU-13 yang telah disabitkan bersalah dalam sebuah tribunal, tetapi tidak dihukum. Undang-undang ini digubal untuk membela orang-orang seperti ini, supaya kedudukan mereka tidak dipersoalkan.

Perkara tentang kedudukan syariah dalam Perlembagaan perlu disentuh dan diperingatkan sekali lagi. Tun Salleh Abas sewaktu menjadi Ketua Hakim Negara telah memberi jalan keluar kepada kedudukan syariah dalam Perlembagaan dengan memasukkan satu klausa ringkas yang menyatakan bahawa sebarang undang-undang yang bertentangan dengan syariah adalah batal sepanjang mengenai perkara tersebut. Dengan adanya klausa ini, kerajaan diberi peluang untuk menyesuaikan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen supaya tidak bercanggah dengan syariah. Nampaknya UMNO dan para pemimpin UMNO tidak suka klausa ini dimasukkan, kerana mereka menganggap kebebasan mereka tersekat, oleh itu mereka tidak bebas lagi membuat undang-undang baru yang memerlukannya serasi dengan syariah. Sekaranglah masanya klausa ini dimasukkan, ketika ahli Parlimen beragama Islam sudah mencukupi 2/3 jika dicampur yang ada dalam UMNO dengan yang di sebelah Pembangkang. Adakah ahli Parlimen Islam ini akan mengkhianati undang-undang Islam sekiranya pindaan Perlembagaan dikemukakan oleh kerajaan?  Lebih penting, kerajaan UMNO/BN yang mendakwa mereka tidak pernah mengkhianati undang-undang syariah, tidak akan mengemukakan pindaan Perlembagaan itu kerana takutkan orang bukan Islam yang menjadi ahli Parlimen. Itulah hakikat yang cuba disembunyikan, yang kini sudah jelas. Dengan adanya klausa ini, PAS berpeluang mengemukakan undang-undang berteraskan Islam di dalam Parlimen untuk memberi peluang kepada para pemimpin UMNO di dalam Parlimen menyokongnya. Sekiranya para ahli Parlimen UMNO ini tidak menyokongnya, maka mereka perlu memberi penjelasan mengapa mereka menolaknya. Dengan cara ini, para pemimpin UMNO yang beragama Islam diberi tarbiah secara langsung tentang undang-undang Islam, dan mereka kini diberi peluang untuk membohonginya atau menerima undang-undang berteraskan Islam. Di samping itu, Yang di Pertua Dewan Rakyat sendiri diberi peluang untuk membuat keputusan mengikut Perlembagaan yang telah dipinda itu. Jika dia menolaknya untuk dibincangkan dan diundi, maka adakah perbuatannya itu bertentangan dengan Perlembagaan sahaja atau bertentangan dengan undang-undang Islam yang sekali gus bertentangan dengan Perlembagaan yang telah dipinda? Demikianlah pemimpin Islam diuji di dunia lagi untuk mengambil keputusan yang bertentangan dengan agamanya, dengan bermain politik yang akan merugikan dirinya. Dia diberi peluang untuk mengkafirkan dirinya sendiri. Jadi tidak perlulah PAS  bersusah payah mengkafirkan musuh politiknya kerana ini akan dilakukan sendiri oleh mereka.  Tanggungan taklif para pemimpin UMNO akan lebih berat jika mereka menolak kemasukan klausa itu hanya berasaskan hakikat ini.

Mohd. Affandi Hassan,
25/5/2013.