Friday, September 11, 2020

KEANGKUHAN TERSEMBUNYI YANG DIPAMERKAN DENGAN SOMBONGNYA

Aku punya tajuk kali ini mungkin kedengaran agak nakal, dan mungkin juga kamu akan berkata satu tajuk yang angkuh, atau apa saja yang kamu mahu kata sekadar untuk memperbodohkan pembaca dengan matlamat utama memperkecil dan meremehkan kemampuan intelektualku.

Bolehkah seseorang menyembunyikan keangkuhannya? Boleh. Jika anda seorang peneliti politik yang cekap, anda akan melihat bagaimana Tun Dr. Mahathir sangat pandai menyembunyikan keangkuhannya. Mulai hari ini cuba anda perhatikan telatah Tun kita (jangan salah sebut, bukan Tong, tapi tun) yang amat disayangi rakyat Malaysia semua bangsa itu (ini bukan penegasan saya, saya pinjam saja; boleh anda teka siapa agaknya yang kata begitu?) menyembunyikan keangkuhannya. Tak perlu cerita panjang, perhatikan saja telatah dan kata-kata Bapa… (saya pun tak tahu, tak pasti Tun kita ni Bapa apa… Tun Razak Bapa Pembangunan, walaupun rakyat terus miskin dan merempat, sekarang tak ada air pula walaupun hujan lebat. Gila!!).  Di tempat yang ada air, air itu kotor dan beracun pula, sungai menjadi tempat pembuangan sampah bahan beracun yang disalurkan dengan selesa oleh Tokeh Cina yang mempunyai operasi sejak lama membuang racun ke dalam sungai. Walaupun kita mempunyai Kementerian Alam Sekitar, tiada siapa pun tahu kejahatan tokeh ini sehinggalah terjadi pencemaran sungai yang begitu besar, dan hebat. Para pegawai dan pekerja di Kementerian Alam Sekitar, termasuk Menterinya sekali, tak tahu apa benda pun masalah pencemaran yang begitu besar. Maka berkatalah orang bijak dalam politik, ini semua bukti yang paling jelas betapa maharajalelanya rasuah dalam pentadbiran dan politik Malaysia. Tiada siapa pun yang berani tegur atau angkat suara, nanti dia akan masuk jil tak fasal-fasal kerana buat fitnah ceritakan perkara yang benar berlaku, sedangkan yang buat kerja jahat senang-senang dapat melepaskan diri. Dikatakan oleh berita, tokoh besar pencemaran sungai itu kini telah ditangkap dan akan dibicarakan. Kerana undang-undang kita sangat adil, orang jahat tidak semestinya masuk penjara; ada kemudahan lain untuk membayar denda. Contoh: Mahkamah telah buat keputusan Datuk Seri Najib Razak yang pernah jadi PM sudah pun didenda 241 bilion dan penjara 72 tahun dicampur semuanya jadi 12 tahun saja. Bahasa undang-undang tak boleh buat main-main, nanti hang pula yang masuk penjara. Di sinilah kita lihat kecekapan Tun Dr. Mahathir Mohamed menyembunyikan benda-benda yang patut diketahui rakyat andainya sikap pemimpin terbuka dan benar-benar honest!  Siapa yang berani dakwa Tun Dr. Mahathir? Bodohlah kalau dia nak buat juga; yang pasti dia itulah yang akan masuk penjara. Tak fasal-fasal cari nahas… Jangan main-main dengan undang-undang buatan manusia!

Sekarang saya mahu cerita kisah diri saya. Bila saya mengkritik begitu keras penipuan dalam sastera Melayu,  maka saya pun dapat gelaran sebagai seorang penulis yang paling jahat kerana membuka maruah orang lain dengan misalnya menuduh karya para sasterawan negara karya picisan. Di Malaysia, bila anda diberi pangkat, atau penghormatan apa jenis sekali pun, anda tidak boleh dikritik kerana pemberian itu adalah ikhlas dan penerimanya juga ikhlas. Mereka sudah ditakdiskan sebagai orang istimewa, atau dalam bahasa sastera dipanggil telah dibrahminkan, maksudnya diangkat menjadi Brahmin Sastera yang tidak boleh dikritik lagi kerana kedudukan seseorang Brahmin sangat mulia, dikecualikan dari sebarang salah silap dalam semua tindakannya, termasuk kata-katanya yang ditunggu oleh pengikutnya.  Khusus mengenai sastera, kita boleh bertanya: Benarkah para penerima anugerah sastera negara itu melahirkan karya yang benar-benar bermutu, tidak ada ruang sama sekali untuk diangkat sebagai karya picisan. Apa maksud picisan? Apakah unsur-unsur yang membolehkan seseorang sasterawan digelar sasterawan picisan? Kebetulan saya sudah membahaskan perkara ini sudah lama, dan sudah pun memberikan ukuran yang tepat, berasaskan konsep ilmu yang benar. Anda telah diberi kemudahan yang amat baik yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri anda jika anda termasuk dalam kumpulan tokoh-tokoh picisan dalam sastera, berasaskan karya anda sendiri. Apa yang anda boleh buat, jika anda mempunyai kejujuran intelektual, ialah mengkritik ukuran yang digunakan untuk menentukan sesebuah karya itu karya picisan atau tidak.  Sehingga sekarang belum ada lagi yang berani tampil membela karya picisan itu, dengan itu membuktikan karya picisan itu memang wujud dan ditulis pula oleh sasterawan negara. Bagaimana keputusan ini boleh dibuat? Untuk menjawabnya, anda harus mengkritik konsep PB dan buktikan PB adalah mengarut, manakala yang anda pakai dan megahkan itu maka itulah yang benar. Bila anda sudah hunus pedang pembelaan anda, anda mestilah bersedia masuk gelanggang untuk membuktikan anda adalah pemain pedang yang unggul. Yang jadi masalah sekarang ialah tiada siapa pun di antara pakar sastera berani tampil di gelanggang kerana dia pun tahu dia tidak mempunyai hujah yang boleh mematahkan hujah-hujah PB. Korpus mengenai PB sudah begitu lengkap dan utuh, termasuk dari perspektif karya kreatif yang dilahirkan daripada konsep PB.

Kalau anda boleh terima penghujahan ini, apa yang anda boleh buat?  Pertama, anda menerima PB sebagai alternatif terbaik dalam bidang kreatif, yang menjamin keunggulan karya anda jika anda benar-benar mempunyai bakat besar dan  kemampuan intelektual yang tinggi untuk melahirkan karya kreatif yang betul-betul bermutu dari segi tekniknya dan hebat dari segi pengolahan temanya. Kalau anda siuman, dan tahu pula kemampuan kreatif dan kemampuan intelektual anda, saya yakin anda pun mahu melahirkan karya kreatif yang hebat, yang menonjolkan wacana pemikiran anda dan sekali gus kemampuan kreatif anda yang tinggi dari segi membina cerita yang menarik. Siapa yang tidak mahu melahirkan karya bermutu tentulah orang itu bodoh dan tidak punya bakat. Jangan salahkan sistem jika anda hanya penjaga pintu saja, bukan pemain tangkas dalam gelanggang kreatif. Maafkan saya kerana menggunakan bahasa sastera, untuk mudah difahami.

Dalam tradisi kesusasteraan Barat, tidak ada karya lucah atau tidak bermoral. Semua karya adalah sama, semuanya karya sastera. Anda tentu ingat bagaimana terjadi perbahasan hangat dari segi moral dan undang-undang mengenai sebuah novel D.H. Lawrence, yang kini telah diberi taraf sebagai sebuah karya besar, sebuah Maha Karya (Masterpiece). Di Malaysia pun ada, ditulis oleh SN Shahnon Ahmad. Semua orang tahu maka tak perlulah disebut dalam tulisan picisan ini!

Tetapi keputusan bodoh dan tidak bermoral ini ditolak bulat-bulat oleh PB.

Dalam politik lain. Seseorang tokoh politik yang menipu, berbohong dan rasuah adalah tokoh besar, seorang tokoh utama dan seorang pemain politik yang cekap kerana semua kejahatannya tidak lahir sebagai kejahatan, tetapi sebagai keampuhan bertindak untuk membela rakyat. Dalam politik Malaysia sekarang terkenal satu istilah baru yang hanya muncul belum sampai empat bulan lagi, iaitu ungkapan “kerajaan tebuk atap”. TS Muhyiddin Yassin digelar oleh musuh politiknya sebagai pencuri jawatan PM melalui tindakan “tebuk atap” itu. Masalahnya ialah, perbuatan ini direstui oleh Agong, yang melantik TS Muhyiddin Yassin sebagai PM setelah baginda diyakinkan PM sekarang punya suara majoriti. Saya belum lagi menemui huraian dan penjelasan yang masuk akal, yang jujur dan penuh takzim, yang membicarakan peristiwa ini dalam politik Malaysia. Menurut akhbar dan sumber-sumber lain, pada waktu ini kedudukan TS Muhyiddin Yassin sangat selesa, sebagai pembela rakyat yang sangat jujur untuk melihat rakyat diberi pembelaan dengan bermacam-macam habuan istimewa untuk mereka diberikan oleh Kerajaan Tebuk Atap itu. Mesti ada sesuatu penjelasan yang belum lagi diberikan kerana masih lagi berada dalam kegembiraan baru mendapat Kerajaan Tebuk Atap yang menjadi pembela rakyat yang tidak pernah berlaku dalam politik Malaysia sebelum ini, dengan sokongan Istana pula. Satu perkembangan baru dalam politik Malaysia yang amat istimewa, tetapi perlukan penjelasan dan analisis yang munasabah, jika tidak jujur pun tidak mengapa kerana dalam politik kejujuran akan membawa padah, seperti yang kita lihat di mana-mana negara pun di dunia. Kes terbaru di US adalah contoh terbaik untuk diberi perhatian oleh tokoh politik Malaysia.  Kalau anda menonton CNN, anda mungkin berasa pelik apabila muncul para pembela Presiden US sekarang yang mereka sebut amat cekap menipu rakyat Amerika sehingga diberi sokongan besar, walaupun ada ramalan mengatakan Presiden sekarang akan ditumbangkan.

Kembali kepada persoalan dalam sastera Malaysia. Jika benarlah para sasterawan negara itu sasterawan picisan, mengapa mereka dipilih? Bodoh sangatkah para pemilih itu? Tentu ada penjelasan lain yang lebih masuk akal yang seolah-olah cuba disembunyikan. Mengapa begitu? Saya pernah mencadangkan supaya para ahli meneliti ukuran yang dipakai dalam membuat pemilihan; tetapi saya diberitahu supaya diam sahaja kerana jika benar terdapat kesilapan besar dalam kriteria ukuran pemilihan, kita patut biarkan saja supaya kerajaan tidak malu telah ditipu oleh segolongan pemilih yang berada dalam kumpulan Mutual Admiration Club, yang pernah disebut oleh salah seorang SN dalam tahun 1973 lagi dalam kertasnya yang dibentangkan dalam Seminar Kritik Sastera. Ada bukunya yang dicetak oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia. Mudah didapati di mana-mana perpustakaan, termasuk di universiti. Boleh buat rujukan kalau anda seorang yang cintakan kebenaran dan tidak main-main saja bercakap tentang kebenaran tetapi bacul untuk mengaku kesilapan, jika ada.

Kalau kita lihat tokoh-tokoh yang diangkat sebagai sasterawan negara itu, semua mereka berada dalam kumpulan yang disebut Prof. Muhammad Haji Salleh sejak tahun 1973 lagi. Kita boleh terima jika ada pengakuan bahawa terdapat kesilapan ketika itu dan kesilapan itu dibetulkan dalam pemilihan para sasterawan negara sekarang. Manusia memang tidak sunyi dari membuat silap; cuma kesilapan itu ada yang disengajakan dan ada pula yang terjadi kerana sudah ditakdirkan! Atau yang memang dirancang. Persoalan sekarang: Adakah semua sasterawan negara telah dipilih dengan wajar, dan semua karya mereka adalah masterpiece belaka, sehingga melayakkan mereka diberi kedudukan tertinggi dalam sastera Melayu. Bagaimana dengan kedudukan Mohd. Affandi Haassan yang mendakwa karya beliau jauh lebih bermutu daripada semua karya sasterawan negara, yang disebutnya sebagai karya picisan jika dibandingkan dengan karya beliau. Ini satu cabaran besar yang mesti diselesaikan secara ilmiah. Caranya mudah saja. Mengaku saja kesilapan itu. Atau, yang lebih mudah lagi, minta DBP yang melantik sasterawan negara bagi pihak kerajaan meminta (atau lebih tepat mengarahkan) para sarjana sastera membuat kajian mendalam benarkah karya para sasterawan negara itu karya picisan atau hanya mendekati karya picisan, bukan betul-betul picisan, jika dibandingkan dengan Pujangga Melayu dan lain-lain karya Mohd. Affandi Hassan. Tetapi mereka tidak mahu kerana mereka tahu mereka akan … (anda penuhkan sendiri!). Oleh itu, persoalan ini tidak akan selesai. Adalah menjadi tugas para pensyarah sastera untuk mengajak para pelajar mereka membahaskan persoalan ini dan melihat bagaimana pandangan kritis mereka. Inilah cara terbaik untuk membela kedudukan para sasterawan negara. Boleh laksanakan sekarang juga, dengan bantuan DBP jika diperlukan.  Para sarjana sastera jangan lagi duduk di kandang sastera, tidak mengetahui bahawa sekarang kedudukan karya sastera telah dicabar dengan munculnya karya persuratan yang berasaskan ilmu yang benar. Kini kita mempunyai sekurang-kurangnya tiga jenis karya: karya persuratan, karya sastera, karya picisan dan lucah. Hal ini menjadi masalah apabila karya lucah juga layak dijadikan ukuran dalam memilih para sasterawan negara. Oleh itu, seperti telah saya tegaskan, terima sajalah karya lucah itu sebagai karya sastera yang sama tarafnya dengan karya sastera biasa dan layak diajarkan di universiti dan juga di sekolah.  Satu kajian tentang perkara ini telah diterbitkan dan telah pun diberi hadiah dan pengiktirafan, yakni tesis Ph.D. seorang profesor madya di Universiti Malaya. Tidak manis bagi saya menyebut namanya sebagai pakar karya lucah, yang bukunya kini diajar di universiti tempat beliau mengajar. Penyelidikan ini bagusnya membawa kepada kemunculan the aesthetics adultery dalam sastera Melayu dan Indonesia. Ini adalah kemajuan baru yang mendapat sanjungan dan penghormatan tinggi dari universiti Malaysia dan Indonesia.

Nampaknya jalan ke arah kesesatan dalam pengajian sastera telah diteroka dengan penuh semangat oleh para sarjana picisan yang konsep ilmunya berteraskan hawa nafsu kebinatangan manusia. Dalam keadaan tidak siuman ini, kita perlu menggiatkan lagi usaha memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru sekurang-kurangnya sebagai satu kesedaran baru dalam pengajian sastera, jika tidak pun sebagai alternatif kepada sistem yang menyesatkan yang dipugar di  universiti pada waktu ini.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
9 September 2020.






Wednesday, September 9, 2020

MENGULIT MEDIOCRITY DALAM SASTERA MELAYU

Siapakah seorang yang mediocre? Anda perlu semak maknanya dalam Kamus Inggeris, atau boleh juga lihat dalam Kamus Inggeris – Melayu oleh DBP.  Dalam bahasa Melayu diberi erti sederhana, tak berapa baik. Wah, ini sudah melampau! Islam adalah agama yang sederhana, tidak extreme dalam segala perbuatan dan tindakan penganutnya. Kalau ikut makna yang diberikan, maka Islam adalah agama mediocre, untuk penganut yang mediocre, dan lain-lain. Ini tentu saja gila, tidak siuman, dan angkuh. (Saya tertawa bila menulis perkara ini; bukan kerana geli hati, tetapi kerana kebodohan bahasa Inggeris dalam hal-hal begini. Adakah bahasa Inggeris itu pun bahasa yang mediocre juga?)  Kalau bahasa Inggeris dibandingkan dengan bahasa Arab, bahasa al-Quran, maka jelas dan nyata bahasa Inggeris adalah bahasa mediocre jika dibandingkan bahasa Arab, bahasa wahyu. Orang Islam tentu saja boleh berbangga …  Bagaimana dengan bahasa Melayu, adakah satu bahasa yang mediocre kerana pengguna bahasa Melayu ramai yang mediocre? Misalnya, adakah sasterawan negara terdiri daripada kumpulan yang mediocre ilmunya dan talentnya? Kalau mereka betullah sasterawan picisan, maka sahlah mereka kumpulan yang mediocre. Oleh itu, perkataan picisan dalam bahasa Melayu sama ertinya dengan perkataan mediocre dalam bahasa Inggeris. Saya harap pakar bahasa di DBP betulkan saya, supaya  kesilapan saya tidak berterusan, sama seperti sifat mediocrity Asas 50 masih berterusan hingga sekarang, kini menjadi pegangan para sasterawan negara.

Jika bahasa Inggeris yang mediocre dibandingkan dengan bahasa Arab, adakah ini bermakna bahasa Melayu, yang kuat dipengaruhi bahasa Arab, lebih superior daripada bahasa Inggeris yang mediocre yang kering daripada unsur spiritual? Mohon pencerahan daripada pakar agama dan pakar bahasa, supaya orang Melayu tidak sesat Barat memuja bahasa Inggeris seperti yang mereka lakukan sekarang. Dan bagi kaum sasterawan, supaya mereka sedar dan tidak lagi sesat Barat menjadi pengikut teori sastera Barat, padahal sudah ada PB untuk menjinakkan mereka kepada ilmu yang benar, supaya dianuti oleh para sasterawan ini, berpindah dari sifat lembap berfikir beralih kepada ketangkasan berfikir yang memang diajarkan oleh Islam.  Jika anda ragu-ragu tentang fakta ini, silalah buat kajian perbandingan yang mendalam antara PB dengan teori sastera Barat yang nyata sekali sifat mediocrenya jika dibandingkan dengan PB yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai tapaknya.

Perbincangan kita kali ini sangat menarik, kerana kini kita sudah tahu dengan pasti bahawa para sasterawan negara adalah kumpulan penulis yang mediocre.  Itu sebab saya menegaskan mereka adalah golongan picisan, yang sah mereka adalah sasterawan mediocre yang cetek meraba-raba. Hanya sarjana yang mediocre saja yang akan membela sasterawan negara, dengan itu para sarjana itu sendiri jelas dan sah adalah kumpulan yang mediocre juga.  Kalau anda sendiri tidak mediocre, kini anda akan faham mengapa saya mengatakan para sasterawan negara adalah penulis picisan yang menulis karya picisan. Mereka, golongan yang diberi kedudukan sebagai sasterawan negara, adalah golongan mediocre yang menulis karya yang mediocre dan dilantik oleh Panel yang mediocre. Hanya orang yang mediocre saja yang tidak dapat melihat kejituan kesimpulan ini, kerana mereka sendiri adalah dari kumpulan mediocre.

Sekiranya anda tidak bersetuju dengan analisis ini, anda sah adalah golongan mediocre yang bangga menjadi golongan mediocre hingga tidak tahu bahawa anda adalah kumpulan mediocre yang berlagak seolah-olah anda terlepas dari sifat mediocre  itu.  Sekarang saya akan beri anda cara yang berkesan untuk menilai dengan tegas dan berani bahawa novel Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil adalah contoh karya mediocre yang dihasilkan oleh penulis mediocre yang memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru, satu gagasan yang juga mediocre. Dari segi logik, perhatikan baik-baik jawapan saya ini. Kini anda sudah tahu dan sudah pun mengaku anda adalah dari kumpulan mediocre, maka kesimpulan anda sendiri adalah mediocre, dengan itu Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil berdiri tegak dan teguh sebagai karya besar Malaysia yang tidak mungkin dapat ditulis oleh sasterawan negara yang mediocre itu. Kalau anda masih tidak faham, maka saya amat bersimpati dengan anda sebagai golongan mediocre dalam sastera Melayu.  Anda membuktikan sifat mediocre anda sendiri dengan cemerlang apabila anda tidak sedar bahawa anda adalah golongan mediocre yang dilantik menjadi sasterawan negara oleh Panel yang mediocre.  Bagaimana anda hendak tahu kesimpulan ini tepat? Baca analisis mengenai perkara ini dalam buku khusus mengenai persoalan ini, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019). Anda boleh buktikan buku ini sebuah buku yang mediocre dengan meneliti penghujahannya. Adakah analisisnya mediocre atau andalah yang mediocre yang tidak dapat melihat dan memahami penghujahan dalam buku itu.  Saya telah cuba membantu anda … tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya anda, setelah membaca buku itu, anda tidak berupaya menyanggahnya kerana anda memang benar-benar dari kumpulan yang mediocre.  Apa yang anda boleh buat? Kekal berada dalam lembah mediocrity sebagai sasterawan negara.  Sebagai sasterawan picisan.  Sebagai sarjana picisan.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 9/9/2020.

Catatan:  Apakah yang boleh kita panggil jenis tulisan seperti ini? Sekali imbas nampak macam mengada-ada, sengaja bermain dengan kata-kata, mungkin juga terdapat sedikit ejekan, dengan itu tidak adakah sedikit wisdom di dalamnya? Jika ada pembaca yang ingin memberi pandangan, boleh buat catatan di bahagian “comments”.  Untuk makluman, pengalaman saya memberitahu bukan senang hendak menulis dalam style begini. Saya pernah bertanya Prof. D’Raja Ungku Aziz mengapa dia masih membaca tulisan saya. Dia menjawab, “Tulisan anda adalah jenis satira, kiasan dan sindiran yang sedap dibaca, tetapi terdapat mesej penting di dalamnya.” Benarkah begitu? Sila komen, jika mahu. Saya tak pasti adakah Pak Ungku tahu saya ada blog sejak  2010 lagi.  Perhatikan juga perkataan “mengulit”. Boleh dibaca berasal daripada ulit (anda tahu maknanya?); boleh juga dibaca berasal daripada “kulit”.  Mana satu anda pilih adalah urusan anda sendiri; atau boleh juga pilih kedua-duanya. Faham maksud saya?  Tajuk ini benar-benar menarik perhatian saya. Ada unsur jenaka; ada juga unsur  … apa-apa sajalah!





Tuesday, September 8, 2020

BERITA BAIK UNTUK PENYOKONG PERSURATAN BARU


Pelik, tapi benar. Saya diberi maklum, dan semacam amaran, supaya berhenti bercakap tentang Persuratan Baru. Sastera Melayu sudah jauh maju, dan kita pun sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara. Apa lagi bukti yang kita mahu? Ada yang menyebut bahawa satu ketika dulu saya pernah menyatakan sastera Melayu mandul, tidak maju-maju kerana tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Bagus juga pertanyaan sinis yang ditujukan kepada saya: Mana dia penulis atau sasterawan yang menulis dalam model PB? Hanya pencetus idea itu seorang saja yang menulis karya yang dia sendiri panggil karya persuratan. Tak ada sasterawan yang berminat menggunakan model PB kerana terlalu ketat, tiada kompromi dari segi teknik dan  tema. Sasterawan diikat kaki tangan, kemudian diseranah dengan kasar bahawa mereka hanya pandai menulis karya picisan.  Akibatnya, sastera Melayu menjadi mandul, tidak berkembang kerana imaginasi sasterawan ditutup dengan konsep ilmu yang benar. Dan macam-macam lagi kritikan tajam. Ada sesuatu yang tidak kena di sini, bila PB dijadikan “kambing hitam” dalam sastera Melayu.

Ini satu perkembangan yang menarik. Sekarang saya kena tanggung dosa sasterawan Melayu yang hanya pandai menulis, tetapi tidak pandai mengarang. Saya memang membezakan konsep menulis dengan mengarang. Budak sekolah kelas satu pada mulanya belajar menulis, bila dalam Kelas 3 baru mula diajar menulis karangan. Dan seterusnya.  Bila agaknya para sasterawan negara dapat melepaskan diri mereka daripada kedudukan budak sekolah itu? Ini bukan sindiran atau cacian terhadap para sasterawan negara, sebaliknya satu cabaran daripada perspektif ilmiah supaya karya para sasterawan negara itu boleh dilepaskan daripada kandang picisan, tempat mereka berada sekarang.

Kata pengkritik PB: sastera Melayu yang sudah jauh maju dan sudah pun mempunyai 14 orang sasterawan negara, dihina dengan kata-kata kesat seperti misalnya mereka yang bergelar sasterawan negara itu menulis karya picisan; yang menulis karya bermutu hanya seorang saja di Malaysia (dan mereka menyebut nama saya). Dengan pengakuan ini, apa yang saya kritik sejak tahun 1981 ketika Anugerah Sastera diperkenalkan, menjadi kenyataan apabila sudah ada penulis yang jujur mengaku tentang kesukaran menulis karya persuratan, berbanding karya sastera.  Menurut mereka, saya harus menerima hakikat bahawa karya sastera dengan karya persuratan adalah satu jenis saja, tetapi diberi nama berbeza oleh pencetus PB untuk kepentingan peribadi beliau sendiri! 

Rumusan ini akan menjadi lebih bagus lagi jika terdapat sarjana sastera yang mahu, dan berani menghuraikan secara ilmiah bahawa karya sastera sama saja dengan karya persuratan, kedua-duanya berasaskan imaginasi penulisnya. Nama berbeza kerana kita ada orang yang bernama Affandi dan ada yang bernama Anwar, kedua-duanya penulis kreatif. Yang satu lebih hebat kerana mendapat gelaran Sasterawan Negara; yang seorang lagi apa gelaran yang dia dapat?  Oleh itu, kata mereka, karya sastera pun karya persuratan juga, tiada beza dengan  karya persuratan yang digembar-gemburkan oleh Mohd. Affandi Hassan!

Perbincangan seumpama ini samalah dengan kucing yang diikat ekornya dengan tali, berpusing-pusing cuba hendak melepaskan diri daripada ikatan itu. Itulah kedudukan para sasterawan.  Mereka ibarat kucing yang diikat ekornya, berpusing-pusing cuba melepaskan diri daripada kritikan yang ditujukan kepada mereka.  Perlukah saya menyahut cabaran mereka? Tidak perlu. Sebaliknya mereka perlu membuktikan karya sastera lebih bermutu daripada karya persuratan, dengan kajian terperinci semua karya para sasterawan negara dibandingkan dengan karya persuratan Mohd. Affandi Hasaan.  Dengan kajian perbandingan seperti ini, kita pasti dapat melihat betapa mandulnya karya sastera dari segi wacana dan cerita jika dibandingkan dengan karya persuratan. Kecuali, jika anda dapat buktikan konsep wacana itu sama dengan konsep cerita, oleh itu Persuratan Baru tidak menonjolkan apa-apa pembaharuan pun! Moga-moga akan tampil seorang sarjana sastera yang cerdik dan pantas berfikir untuk menulis tentang perbandingan antara karya sastera dengan karya persuratan. Kalau sama, buktikan dari perspektif apa kedua-duanya sama, hanya berbeza pada nama saja. Saya telah cuba membantu anda untuk menafikan tiadanya perbezaan antara dua jenis karya ini. Boleh buktikan seterusnya?

Pandangan begini tidak membuktikan karya sastera itu lebih baik daripada karya persuratan, tetapi kita mungkin dapat melihat perbezaan ukuran itu boleh menentukan kedudukan karya sastera dengan karya persuratan berasaskan konsep wacana dan cerita yang dipakai dalam kedua jenis karya itu.

Sastera Melayu mandul? Saya dituduh menjadikan sastera Melayu mandul dengan kemunculan PB sebagai alternatif kepada konsep sastera yang anti-ilmu kerana menolak konsep wacana dan cerita dengan hanya menerima cerita sebagai asas penulisan kreatif.  Saya berharap sesiapa juga yang mengajukan kesimpulan ini tampil dengan gagah berani menafikannya dan menyertakan contoh-contoh karya sastera yang jauh lebih berkualiti daripada Pujangga Melayu, Hikayat Salim Adil dan lain-lain karya saya.  Dalam bidang kritikan pun begitu, berilah contoh karya tentang kritikan sastera yang jauh lebih bermutu daripada karya yang berasaskan PB.  Kini tidak dapat dielakkan untuk menerima pertembungan konsep dan praktik dalam seni mengarang yang dipakai oleh para sasterawan dan kaedah baru yang dipakai oleh pengamal (kalau ada) PB. Dengan cara ini, kelebihan PB akan lebih jelas terserlah dibandingkan dengan kedudukan karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara.  Kajian perbandingan perlu dilakukan untuk membuktikan penilaian Panel Anugerah Sastera adalah tepat setelah diteliti dengan cermat setiap ukuran yang mereka gunakan, berbanding dengan ukuran yang digunakan oleh PB yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian yang dijelaskan melalui konsep wacana dan cerita. Saya memberi laluan yang amat jelas untuk anda menafikan kewujudan PB dari perspektif kreatif dan unsur-unsur ilmiah yang menjadi dasarnya.  Kerja ini mudah jika anda tahu melakukannya, tetapi anda akan terkejut apabila hasilnya tidak memihak kepada anda, sebaliknya membuktikan dengan jelas kedudukan PB sebagai pilihan yang lebih siuman dan berpijak kepada ilmu dalam kerja-kerja kreatif dan kritikan kerana ukurannya lebih tepat dan dapat diukur dengan lebih mantap sehingga kelihatan dengan jelas sifat-sifat picisan karya sastera para sasterawan negara.

Apa lagi yang anda mahu? Saya dengan murah hati membantu anda, para penulis dan sarjana, untuk  memahami kedudukan sebenar anda sebagai penulis dan sarjana yang menjadi hamba teori sastera Barat, yang telah diterima dengan baik oleh para sasterawan dan sarjana sastera bahawa pengaruh Barat itulah yang menjadi pencetus kepada sastera Melayu moden yang telah melahirkan para sasterawan negara.  Jika itulah pilihan anda, maka anda harus bersedia untuk dikritik dan mungkin dikutuk kerana pendirian itu telah menentang perkembangan ilmu dalam kebudayaan Melayu yang berasaskan konsep ilmu dalam Islam, dan dari situ berkembanglah kegiatan ilmiah dalam dunia penulisan dan dalam bidang-bidang lain.  Saya lihat perkembangan baru ini sebagai pengkhianatan kepada kebudayaan Melayu dan kepada perkembangan ilmu yang diajarkan oleh Islam.  Jika itulah pilihan anda sebagai sasterawan dan sarjana sastera, maka anda harus bersedia untuk dikritik dan dikutuk kerana perkembangan songsang ini telah meresap dengan mendalam dalam bidang pendidikan, mulai dari sekolah rendah hingga ke universiti.  Pilihan anda tetap salah jika dilihat daripada perspektif ilmu dalam Islam, walaupun anda berjaya melahirkan beratus malah beribu sarjana seperti yang pernah didakwa oleh seorang profesor yang berpengaruh, yang anda semua tahu siapa orangnya.  Berbangga melahirkan sarjana yang keliru dalam persuratan Melayu bukan suatu kejayaan, malah itulah pengkhianatan kepada budaya Melayu.

Pengkhianatan ini telah dimulai dan diperkembangkan oleh golongan Asas 50, yang hingga kini masih mempunyai pengaruh dalam kesusasteraan Melayu.  Baik sekali jika anda membuat renungan sejauh mana para sasterawan negara ini telah meninggalkan kegiatan Asas 50 yang menolak tradisi Islam dalam masyarakat Melayu, dan bagaimana ini diserlahkan dalam kegiatan dan karya mereka. Orang-orang ini selalu bercakap tentang kejujuran, maka wajarlah jika kejujuran itu mereka amalkan dengan ikhlas, dan ini termasuk mengaku kesilapan yang telah dibuat dengan azam untuk tidak meneruskannya. Sejauh mana para sasterawan negara menggambarkan kehendak amar makruf dan nahi mungkar ini dalam karya mereka dan dalam sikap mereka terhadap perkara yang mungkar dan yang makruf.  Persoalan ini penting, kerana jika anda tidak jelas anda sebenarnya mengajak kepada kemungkaran dan menolak kebaikan dalam karya anda. Sejauh mana kesimpulan ini benar dapat dilihat dari sikap mereka yang menolak konsep ilmu yang benar, hanya kerana mereka benci dan tidak mahu terima Gagasan Persuratan Baru. Sekiranya kesimpulan ini tidak benar, mereka harus memperlihatkan buktinya dalam karya mereka.

Sepanjang yang saya dapat lihat dari gelagat mereka, amat jelas mereka keliru tentang maksud dan matlamat yang terkandung dalam ungkapan amar makruf nahi mungkar itu. Silalah anda buktikan dari karya anda, satu perkara yang tidak susah dilakukan jika anda jujur, seperti yang anda selalu sebut tetapi tidak melaksanakannya.  Tetapi jika anda menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh PB, anda akan dapat melihat dengan jelas di mana sebenarnya kumpulan ini berada, para sasterawan negara ini, di mana mereka berada dalam konteks amar makruf dan nahi mungkar itu.  Dengan mengetahui di mana tempat para sasterawan negara ini dalam pembinaan tamadun negara berasaskan konsep ilmu yang benar tadi, yang dilaksanakan melalui wacana dan cerita yang diasaskan daripada konsep ilmu tadi, kita boleh dengan mudah meletakkan kedudukan sebenar para sasterawan negara ini dalam pembangunan tamadun berasaskan konsep ilmu yang benar itu.  Dengan itu kita boleh menilai sumbangan mereka secara objektif, tidak lagi berasaskan retorik palsu seperti yang ada sekarang, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam laporan yang ditulis tentang mereka oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Supaya anda lebih jelas, bacalah dengan kritis buku mengenai persoalan ini, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019). 

Semua penilaian mesti berasaskan ukuran yang tepat dan objektif, tidak hanya berlandaskan retorik palsu seperti yang berlaku sekarang.  Kesimpulan ini perlu didebat dan dibincang dengan sikap terbuka, untuk mengelak sebarang prasangka  terhadap bidang kritikan sastera di Malaysia.

Tidak wajar bagi para penulis Malaysia untuk menghalang kemajuan berfikir dalam seni mengarang melalui PB, atau menghalang kemaraan PB sendiri dalam arena persuratan Malaysia seperti yang dilakukan oleh para sarjana sastera yang mengharamkan PB daripada memasuki mana-mana universiti yang menawarkan mata pelajaran sastera dan kritikan sastera, kecuali dalam dua buah universiti. Barangkali yang paling gigih menghalang kemajuan atau kemaraan PB ialah badan-badan penulis, yang dipelopori oleh PENA dan GAPENA. Walaupun saya anggota PENA antara yang paling awal menjadi ahli, badan itu tidak menerima PB kerana kononnya, tidak ada sasterawan yang menerima kehadiran PB dalam dunia penulisan Malaysia. Itulah berita baik yang saya maksudkan dalam tajuk tulisan ini.  Bagaimana pula sikap DBP? 

Demikianlah hal dunia.

Telah berkata Tok Mindok: Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7 September 2020.



Saturday, September 5, 2020

MENCARI PENGERTIAN BARU DALAM KEGIATAN PERSURATAN


Dengan lahirnya Gagasan Persuratan Baru, perbincangan secara lisan dan tulisan tentang kesusasteraan telah diberi dimensi baru yang berbeza daripada kebiasaan lama, apabila diberi keutamaan kepada konsep wacana dan cerita. Perubahan ini tidak difahami oleh para sarjana sastera, para sasterawan, dan para pengkritik sastera. Mereka masih berdegil kepada cara lama yang tidak saja outdated, tetapi lebih penting disedari dan difahami bahawa cara lama itu telah membawa orang sastera (sasterawan, sarjana, pengkritik) ke lembah kekusutan pemikiran tentang seni mengarang, dan pada waktu yang sama  mereka ini menjadi hamba kepada teori sastera Barat yang membawa mereka ke lembah belantara teori yang akhirnya telah menyesatkan mereka. Mereka telah sesat Barat, menurut ungkapan orang Kelantan. Kesesatan ini muncul dengan jelas apabila mereka menolak konsep ilmu yang benar dalam kegiatan penulisan dan kritikan terhadap hasil kegiatan tadi; akibat dari itu ialah mereka meraba-raba mencari makna daripada kepalsuan kegiatan mereka yang sesat meraba-raba itu.  These are strong words, tetapi itulah kenyataannya yang cuba dilindungi oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Mereka tidak boleh menerima “kebiasaan baru” kerana sikap anti-ilmu yang menjadi pegangan mereka. Sebenarnya mereka ini adalah kumpulan anti-ilmu yang berpura-pura tahu tentang seni mengarang dan cara pengolahannya (dalam kritikan sastera).  Bukti terbaik ialah apabila mereka dengan angkuh menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai hanya “salakan anjing kurap”, kata tokoh mereka yang bangga menjadi “sarjana” keliru dengan meletakkan penglipur lara setaraf dengan sarjana. Bodoh, tetapi diterima oleh kumpulan yang bangga dengan kebodohan mereka ini.

Untuk memahami kegilaan kepada yang disebut “teori sastera” hasil ciritan para sarjana yang menggila berebut-rebut kononnya menelurkan teori baru dalam kritikan sastera, maka terjadilah seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam makalah beliau yang terbaru. Lihat kutipan penting ini:

“Dalam konteks sastera Melayu, dekad 1990-an dan berikutnya menyaksikan
kemunculan pelbagai ‘teori’ atau ‘kerangka analisis’ tempatan seperti
Takmilah, Pengkaedahan Melayu, Pendekatan Firasat, Kata Kunci,
Teksdealisme, Persuratan Baru dan sebagainya dengan pengertian
‘teori’ yang pelbagai, yang dalam banyak hal tidak pula memperlihatkan
fahaman tentang ‘teori’ serta fungsinya yang tepat dan jitu. Namun,
hakikat kemunculan pelbagai ‘teori’ tempatan ini memberi isyarat betapa
tidak beresnya situasi sastera Melayu dewasa ini terutama situasi kritikan
sastera yang lantas mengundang kemunculan teori-teori tempatan tersebut.
Melatarbelakangi penampilan ‘teori’ tempatan ini ialah pengamatan
bahawa penghasilan sastera dan lebih-lebih lagi kritikan sastera, rata-
rata dilaksanakan dengan menggunakan teori, kerangka dan idea-idea
Barat, sesuatu yang dirasakan amat janggal dan tidak sesuai sama sekali.
Ditegaskan bahawa hal ini kerana teori-teori Barat adalah produk konteks
yang sangat berbeza daripada konteks tempatan sama ada dari segi agama,
budaya, nilai atau pandang hidup, dengan itu tidak dapat berlaku adil kepada
karya tempatan sama ada karya kreatif mahupun kritikan yang rata-rata
merupakan hasil penulis dan pengkritik Melayu yang beragama Islam.”

(Disiarkan dalam MANU Bil. 30, 1-45, 2019 (Disember)
E-ISSN 2590-4086© Ungku Maimunah Mohd. Tahir)    “SENDENG-BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN: CABARAN SEBUAH CENGKAMAN
Western-bias in Modern Malay Literature:  The Challenge of a Stranglehold )


Dalam entri yang baru lepas (bertarikh 3 September 2020) saya mengajukan satu kesimpulan yang sangat penting, setelah menceritakan/menganalisis perkara-perkara yang berlaku dalam kritikan sastera Melayu, maka berbuatlah saya akan kesimpulan yang nakal dan sinis ini:

“Adakah anda setuju bulat-bulat dengan ukuran dan penilaian yang dibuat oleh anggota jawatankuasa pemilihan sasterawan negara? Saya tinggalkan soalan ini untuk anda jawab, jika mahu. Jika tidak mahu pun tidak mengapa. Inilah “normal baru” [norma?] dalam penilaian dan kritikan sastera Malaysia. Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.

Tidakkah itu merupakan kejayaan teragung dalam kritikan sastera Malaysia? Kita pun mahu tahu, siapakah pelopornya?  Saya yakin tiada seorang pun akan menjawab pertanyaan bodoh ini.  Walaupun bodoh, masalahnya kita semua mahu tahu!”

Sekiranya anda baca kesimpulan ini dalam konteks makalah Prof. Ungku Maimunah (kena baca keseluruhan makalah), maka anda akan lebih mudah memahami kesimpulan saya. Saya suka, dan kagum, dengan kesimpulan saya yang berbunyi:  “Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.”  Satu kesimpulan yang amat pintar, walaupun sinis, dan tepat dengan kejadian yang berlaku dalam sastera Melayu selepas 1981, tahun bermulanya dilantik para sasterawan picisan sebagai sasterawan negara.  Untuk berlaku adil kepada para sasterawan negara dan para penyokong mereka, dengan rendah hati saya cabar mereka supaya kemukakan sebuah karya (sebuah pun jadilah) yang dapat menandingi Pujangga Melayu atau Hikayat Salim Adil. Itulah implikasi kesimpulan saya yang berbunyi, “Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu”!  Dengan itu kita selamatkan para sasterawan negara yang karya mereka bertaraf picisan, bahawa penarafan itu tidak perlu lagi, kerana semua karya yang diterbitkan adalah bermutu!

Adakah ini bererti saya memberi jalan kepada para sasterawan negara, sarjana yang menyokong mereka, dan pengkritik sastera yang sibuk memuji teman-teman mereka?  Tentu anda masih ingat bagaimana Prof. Mohammad Saleeh Rahamad memberi kedudukan yang amat istimewa kepada SN Anwar Ridhuan? Ini terdapat dalam satu esei beliau yang mendapat Hadiah Sastera Nasional (?) dalam bidang kritikan, dipilih oleh teman-teman beliau yang menjadi juri.  Dia sendiri mengaku dia terkejut, tetapi itu cara dan gaya kesopanan Melayu yang selalu merendah diri untuk mendapat pujian dan sanjungan.  Dilihat dalam konteks budaya Melayu ini, tidaklah sangat biadab jika saya memberi penghormatan kepada karya sendiri, berupa cabaran kepada sesiapa pun untuk menunjukkan kepada kita semua bahawa saya silap, dan bahawa semua karya para sasterawan negara tiada tandingan dan akan kekal begitu. Walaupun pendapat seumpama ini kurang asam, dan sudah pasti terlalu kaya dengan unsur bodohnya, namun usaha itu berguna juga untuk menggertak dan mengherdik pembaca yang kurang kepintaran memilih. Orang begini ramai, terutama sekali yang menjadi juri pertandingan atau apa-apa juga anugerah. Saya telah buktikan ini dalam sebuah buku khusus mengenai pemilihan sasterawan negara.

Tetapi masih tinggal lagi satu masalah, yang tidak dapat diselesaikan jika kita menolak konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian itu.  Oleh itu, mahu tidak mahu, anda perlu juga mengiktiraf Gagasan Persuratan Baru sebagai teori sastera yang paling canggih yang pernah dikemukakan oleh manusia, yang menjadikan semua teori sastera Barat sebagai teori picisan kerana setiap teori itu berasaskan andaian dan rumusan yang berubah-ubah, seperti yang anda sendiri tahu jika anda membaca dan meneliti teori mereka.  PB membawa manusia bertanya siapa dirinya, mengapa dia berada di dunia ini, ke mana yang hendak ditujunya. Semua ini tidak ada dalam teori sastera Barat, oleh itu bagi mereka prinsip paling utama ialah kebebasan peribadi untuk membuat pilihan dan penilaian. Dalam Islam, kedudukan demikian memang diminta oleh Iblis, dan Iblis diberi kebebasan untuk memusnahkan manusia. Inilah pilihan Barat dan ini terserlah dalam karya sastera mereka dan dalam cara mereka menilai karya kreatif. Supaya anda berpuas hati, anda boleh bertanya soalan ini, dan menjawabnya: Apakah yang istimewa Gagasan Persuratan Baru, dan apa pula yang picisan dalam teori sastera Barat? Saya yakin semua sarjana dan sasterawan Malaysia akan tertawa besar membaca pertanyaan ini, kerana itulah pertanyaan yang paling bodoh daripada seorang pemikir sastera Melayu yang hebat.


Bodoh, tetapi hebat. Itulah Pak Pandir yang melahirkan teori Pandirisme itu. Ada orang berkata, contoh Pandirisme teragung ialah Persuratan Baru. Yang setuju angkat tangan; yang tidak setuju pun angkat tangan juga. Orang Inggeris panggil situasi itu win-win situation.  Orang Melayu yang santun dan bersikap rendah diri memang mengamalkan itu; tetapi tidak saya. Itulah kelebihan saya yang menelurkan Gagasan Persuratan Baru itu untuk menjadi kayu ukur yang tepat ketika membuat penilaian terhadap karya kreatif.  Kesimpulan ini mesti dicabar sewajarnya; sayangnya sasterawan dan sarjana sastera, serta para pengkritik, mengambil sikap “lembu kenyang”.  Mengunyah saja sepanjang masa…  Pastilah lembu tidak mengunyah Gagasan Persuratan Baru, walaupun lembu masuk universiti dalam Pujangga Melayu!


Selamatlah jiwa yang sempurna!


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5/9/2020.
















Thursday, September 3, 2020

MEMBERI MAKNA KEPADA SATU PERJUANGAN YANG KURANG SAMBUTAN

Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemunculan Gagasan Persuratan Baru, yang bukan mengenai PB, tetapi mengenai sambutan para sarjana sastera dan sasterawan terhadap PB.  Mereka telah melakukan kesilapan besar dengan melantik sasterawan negara berasaskan ukuran yang tidak berasaskan ilmu, tetapi berasaskan sensasi. Maka dengan itu penentangan terhadap PB terjadi hanya semata untuk melindungi kesilapan besar yang berlaku dalam sastera Melayu dengan pelantikan para sasterawan negara dan wujudnya Panel Anugerah Sastera Negara. Semua ini terjadi untuk mempertahankan gerombolan yang diberi gelaran/nama Mutual Admiration Club. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa semua sasterawan yang terpilih dan dipilih adalah anggota Mutual Admiration Club itu. Inilah kumpulan yang menentang konsep ilmu yang benar dalam kegiatan sastera dan kritikan sastera. Merekalah yang menjadi pengkhianat kepada perkembangan  sastera berasaskan ilmu yang benar. Itulah kenyataan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekali pun. Itulah hakikatnya.

Bagaimana kita boleh mengatasi masalah pengkhianatan terhadap ilmu ini?  Asas perkembangan ke arah ini telah dimulai oleh sekumpulan anak muda yang menjadikan tanggungjawab utama dalam kehidupan mereka ialah menyebarkan ilmu. Saya adalah antara orang yang beruntung yang karyanya diterbitkan oleh Syarikat Wadi al-Irfan: cetakan baru Pujangga Melayu, lengkap dengan Indeks; Hikayat Salim Adil; dan Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Saya harap mereka juga akan menerbitkan Hikayat Abu Gambol yang sudah lama siap, masih menunggu penerbit.

Membina budaya ilmu yang mantap dalam kegiatan ilmiah dan sastera sentiasa menjadi cita-cita dan pegangan hidup saya, yang ingin saya wariskan kepada Nusantara, supaya kegemilangan Nusantara yang Islam akan kembali lagi. Anak-beranak kita di Indonesia tidak menyokong cita-cita ini, malah mereka meremehkan saja kemunculan PB dalam kegiatan budaya dan sastera, sebagai sejenis kudis gatal dalam budaya ilmu dan budaya peradaban negara. Mereka telah membuat perisytiharan bahawa mereka adalah ahli waris sastera dunia, yang diucapkan sendiri oleh Chairil Anwar. Saya mengerti dan simpati dengan  keangkuhan Indonesia dalam bab ini, tetapi mereka harus sedar pembinaan budaya ilmu tidak diasaskan kepada keangkuhan yang diwariskan oleh Iblis kepada manusia, sejak Iblis menolak untuk menghormati Adam ‘a.s. Oleh itu, adalah wajar dan tepat jika terdapat manusia, di mana saja, yang terpengaruh dengan keangkuhan Iblis yang mengaku dia diciptakan daripada api oleh itu lebih mulia, sedangkan Adam dicipta daripada tanah yang hina, tempat orang berak dan kencing. Sama ada Iblis sedar atau tidak bukan urusan kita, bahawa manusia yang dicipta daripada tanah itu lebih mulia kerana tanahlah yang memberikan kesuburan dan makanan kepada manusia dan seluruh makhluk di dunia, sementara api hanya tahu memusnahkan jika tidak dikawal. Dengan itu, jika peranan api Iblis dalam perkembangan ilmu tidak disedari oleh manusia, maka tepat sekali jika ada di antara mereka yang meremehkan kemunculan PB dalam sastera dan budaya manusia sejagat.  Saya maksudkan manusia sejagat, kerana saya tidak ragu sedikit pun untuk mencabar apa juga sistem ilmu dari Barat dan di mana saja kerana saya tahu dan yakin tidak ada manusia yang dapat menindas dan membunuh kemunculan PB sebagai bahtera ilmu dalam persuratan.  Oleh itu, jika terdapat di Persekutuan Tanah Melayu dan Nusantara kumpulan manggak dan sombong yang mengejek dan menghina PB sebagai satu sistem dalam kegiatan kreatif, maka mereka adalah para pengikut Iblis yang telah dilaknat dan dikutuk oleh Allah SWT.  Tidak ada kompromi sama sekali ketika kita menghadapi makhluk yang bangga menjadi hamba Iblis, sedangkan kita yang mewarisi ilmu yang benar adalah hamba Allah. Saya tidak pasti berapa ramai di antara sasterawan Malaysia yang menjadi hamba Iblis ini, kerana ini bukan urusan kita yang menjadi hamba Allah. Keadaannya samalah dengan penegasan Machiavelli yang pernah menegaskan bahawa dia lebih seronok berada di neraka kerana di situlah dia boleh berbicara dengan ahli falsafah dan pengarang besar dunia; sedangkan syurga adalah tempat orang miskin yang bodoh!  Tidak pasti, berapa orang sasterawan negara dan sasterawan biasa yang menjadi pengikut Machiavelli ini, tetapi ada yang menggunakan idea Machiavelli dalam tulisan kreatif mereka, seperti yang dibuktikan oleh para sarjana sastera yang meneliti karya para sasterawan negara. Kalau anda tidak tahu maka itu urusan anda, tiada kaitan langsung dengan kenyataan ini.  Peluang untuk anda menafikannya terbuka luas; tetapi jika anda tidak tahu mengenai perkara ini, maka itu sudah sepatutnya bagi golongan yang keupayaan intelektualnya agak terbatas.

Memperkenalkan PB dalam gelanggang persuratan dan kritikan sastera adalah satu perjuangan yang mesti diteruskan hingga kiamat, satu jangka waktu yang kita tidak tahu tetapi akan sampai masa dan ketikanya. Peringatan ini penting kerana hanya dengan peringatan ini kita dapat menghalang meluasnya karya picisan yang cetek meraba-raba, yang dihasilkan dalam konteks pemberontakan Iblis seperti yang dikisahkan dalam al-Quran. Para pengarang Islam menghadapi dua pihak musuh yang sama-sama menyesatkan pengarang Islam, iaitu pengaruh sumpahan Iblis yang berusaha gigih untuk menyesatkan orang Islam, dan pengaruh dari Barat yang menolak konsep ilmu yang benar. Di Malaysia kesedaran kepada dua musuh intelektual ini agak lemah,  maka terjadilah pemberontakan untuk menyisihkan konsep ilmu yang benar dalam seni mengarang kerana sudah mendalam sekali pengaruh teori sastera Barat dalam korpus ilmiah mereka. Inilah konteks yang mendorong saya menulis Pujangga Melayu.  Bagaimana karya agung ini ditulis telah saya cerita di banyak tempat dalam blog ini, dengan satu penegasan yang penting. Saya telah mengumpul bahan selama kira-kira 20 tahun, tetapi tidak dapat menulisnya. Saya tidak punya teori yang boleh memberi jalan dan arah yang betul. Masalah ini hanya dapat diselesaikan setelah saya dapat membezakan realiti hakiki dengan realiti semu.  Pada ketika yang sama muncul pula konsep siratan makna (stylization of ideas) yang membantu saya bagaimana menyirat makna dalam karya kreatif yang sekali gus menyerlahkan konsep ilmu yang benar sebagai asasnya. Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah; dan hasilnya itulah yang saya beri judul Pujangga Melayu, judul yang mencabar seluruh sasterawan dan pengkritik sastera serta para sarjana sastera. Bukan untuk Malaysia saja, tetapi untuk mencabar seluruh praktik yang digunakan pengarang Barat dalam menulis karya mereka. Juga dalam menganalisis karya kreatif.

Rupanya, usaha ini diremehkan oleh para sasterawan Melayu, sarjana sastera dan pengkritik sastera Melayu. Apakah sumbangan mereka sebenarnya yang mendorong mereka mengejek PB sebagai  omong kosong untuk dijadikan asas penulisan kreatif dan kritikan sastera? Pertanyaan ini mereka lempar dalam tong sampah, tempat yang sesuai untuk karya mereka, seperti yang telah diberi hujah-hujahnya dalam kritikan saya terhadap karya para sasterawan negara. Rujuk buku penting, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden  (Kuala Lumpur: Wadi al-Irfan, 2019).  Lihat juga Hikayat Salim Adil yang unik dan istimewa sebagai karya kreatif yang asasnya teori sastera berasaskan Persuratan Baru, yang merangkai karya kreatif dalam bentuk cerita dengan wacana ilmiah tentang konsep ilmu dalam penulisan kreatif. Saya masih menunggu kritikan serius daripada para sasterawan dan sarjana sastera. Saya fikir mereka pun tahu jika mereka cuba bermain dengan idea kreatif mereka hanya mendedahkan kepandiran mereka sendiri, seperti yang saya telah huraikan dalam Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.

Perkembangan terbaru dalam penulisan kreatif berlaku apabila diperkenalkan dua konsep yang saling berkait, iaitu konsep wacana dan cerita.  Manakah yang lebih utama antara dua konsep ini?  Sudah berkurun-kurun cerita diberi keutamaan, dengan meninggalkan konsep wacana. Dalam kritikan sastera di Malaysia, konsep wacana itu diterjemahkan oleh pengkritik dan pengkaji sastera sebagai nasihat, pengajaran, khutbah, dan yang seumpamanya. Khutbah dilarang sama sekali dalam teknik bercerita, kerana kata penulis Melayu (?) khutbah mengganggu kelancaran cerita. Kata mereka, kalau mahu menulis cerita dalam bentuk novel atau cerita pendek, tulislah cerita dan jauhkan dan haramkan terus apa juga khutbah, nasihat, pengajaran dan yang seumpamanya.  Saya telah melanggar nasihat bodoh ini melalui konsep wacana, yang saya terapkan dalam cerita pendek dan novel. Cara terbaik untuk memahami perkembangan ini ialah dengan membaca Pujangga Melayu dengan teliti, supaya anda dapat melihat bagaimana aspek wacana itu dijadikan asas utama dalam penulisan kreatif, tanpa meninggalkan cerita yang diletakkan di tempat kedua dalam penulisan kreatif. Dengan perkembangan terbaru ini, peranan wacana dan cerita diberi tempat dan kedudukan yang sesuai dengan peranan masing-masing dalam penulisan novel. Dengan perkembangan ini, sikap anti khutbah yang menjadi pilihan para penilai karya sastera, ditempelak dengan keras dalam konsep wacana yang tidak boleh berdiri sendiri, dalam erti masih memerlukan cerita untuk menyampaikan idea tertentu dalam karya tersebut. Contoh terbaik akan anda temui dalam Pujangga Melayu, sebuah karya yang mengutamakan wacana, tetapi tidak meninggalkan cerita, malah cerita dalam pengertian asalnya dijadikan teman karib wacana.  Pujangga Melayu memilih poligami sebagai penyelesai masalah seorang tokoh ilmu yang menjadi watak utama dalam karya itu. Untuk membantu anda memahami keadaan yang sensitif ini, anda perlu membaca bahagia akhir novel ketika Fatimah, seorang gadis yang cerdik, berbicara dengan ayahnya mengapa dia perlukan empat orang isteri. Bacalah di sana jika mahu tahu. Saya memilih tajuk yang amat sensitif dalam masyarakat Melayu ini untuk menyampaikan wacana tentang  makna kehidupan yang bahagia dalam masyarakat Islam.

Tulisan ini penuh dengan cabaran yang ditujukan secara khusus kepada para sasterawan negara, sarjana sastera yang menjadi penyokong mereka, dan para pengkritik sastera yang dangkal analisisnya (sebagai contoh, anda boleh lihat dalam Syarahan Perdana Prof. Datuk Rahman Shaari yang berbicara tentang sajak. Juga dalam Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Saleh yang mendapat sanjungan tinggi daripada para penyokong beliau, walaupun Syarahan itu jika dinilai dari perspektif PB maka inilah contoh bagaimana idea picisan dijadikan asas syarahan perdana. Saya telah ulas perkara ini lama dulu.)

Walaupun kejujuran intelektual amat penting dalam bidang akademik, tetapi tidak demikian dalam dunia akademik Malaysia. Falsafahnya mudah dan senang: Kalau aku suka sesebuah buku, penulisnya, dan kandungan buku itu, aku beri pujian tidak kira bermutu atau tidak; sebab soal mutu itu amat subjektif, masing-masing ada cita rasa sendiri.  Inilah yang terjadi kepada kedudukan para sasterawan negara dan buku yang mereka hasilkan.  Dalam teori sastera Barat, penulis yang disanjung itulah yang menentukan kualiti karyanya; kemudian diikuti oleh para sarjana.  Ini pun terjadi di Malaysia, dan kata mereka orang yang paling terkenal dengan sikap ini ialah Mohd. Affandi Hassan, yang memuji bukunya sendiri dan memaksa orang lain ikut sama. Dalam kes teori sastera Barat, yang menentukan nilai drama Shakespeare adalah beliau sendiri, para sarjana dan pengkritik drama hanya ikut saja. Oleh itu semua karya Shakespeare adalah bermutu. Maka apabila orang seperti G.B. Shaw, yang juga seorang penulis drama yang ulung, mengkritik Shakespeare, maka beliau tidak beradab dan penilaian beliau  tidak ada kualiti, salah, dan melampau. Inilah juga sikap yang menjadi pegangan sasterawan negara: yang boleh menentukan kualiti karya mereka adalah mereka sendiri, dengan sokongan para sarjana sastera. Lalu saya ditempelak usahlah kritik kami, anda sendiri pun memuji karya anda. Apakah yang lucu di sini? Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak berani membicarakan karya saya dengan kritis dan objektif. Pertama, mereka tidak mahu baca. Kedua, mereka kata tidak bermutu, oleh itu tidak perlu membuang masa membacanya, apatah lagi membicarakannya secara ilmiah.  Mereka tidak sedar (?) persoalan in menjadi lebih rumit dan kedudukan mereka sendiri pun tidak ada sandaran ilmiah, satu tuntutan penting dalam kritikan sastera.

Ada beberapa isu peting yang saya sebut dan tonjolkan dalam para di atas. Saya cadangkan anda, sebagai pembaca yang kritis, boleh membantu kami semua memahami dengan lebih mendalam karya para sasterawan negara. Adakah anda setuju bulat-bulat dengan ukuran dan penilaian yang dibuat oleh anggota jawatankuasa pemilihan sasterawan negara? Saya tinggalkan soalan ini untuk anda jawab, jika mahu. Jika tidak mahu pun tidak mengapa. Inilah “normal baru” [norma?] dalam penilaian dan kritikan sastera Malaysia. Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.

Tidakkah itu merupakan kejayaan teragung dalam kritikan sastera Malaysia? Kita pun mahu tahu, siapakah pelopornya?  Saya yakin tiada seorang pun akan menjawab pertanyaan bodoh ini.  Walaupun bodoh, masalahnya kita semua mahu tahu!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 September 2020.