Friday, November 16, 2018

SELAMAT BERSIDANG PARA PICISAN NEGARA!



Alhamdulillah, hari ini 16 November 2018 akan diadakan satu persidangan penting di UKM mengenai persuratan Melayu. Tidak pasti bagaimana bentuknya dan arahnya. Tetapi melihat betapa kuatnya pengaruh tokoh-tokoh picisan dalam sastera Malaysia yang mengendalikan pertemuan itu, sudah jelas yang akan muncul nanti ialah perbincangan tentang pentingnya pandirisme dikekalkan dalam kegiatan kreatif dan akademik sastera.  Sikap ini mendapat sokongan kuat daripada Kementerian Pendidikan sendiri. Inilah cerita saya untuk makluman.

Saya telah mengirim sebakul besar dokumen mengenai Gagasan Persuratan Baru, pada mulanya kepada Penasihat Menteri Pendidikan. Kiriman itu ditolak oleh Tuan Penasihat, dan surat saya dikembalikan. Ke mana perginya dokumen itu? Saya diberitahu telah dicampakkan ke dalam Sungai Kelang, kerana menurut maklumat yang saya terima PB hanya layak berada di dasar Sungai Kelang, tidak di Kementerian Pendidikan dan menjadi aspek penting dalam kurikulum sastera. Saya kirim sebakul yang lain kepada YB Menteri sendiri, dan tidak juga menerima apa-apa suratan mengenai kiriman itu. Nampaknya mendapat nasib yang sama.

Maka apabila pada hari ini, Jumaat 16 November 2018, akan diadakan perbincangan penting di antara tokoh-tokoh picisan dalam sastera Melayu, kita tahu apakah perkara yang akan dibincangkan mereka. Menariknya, para penulis muda yang menulis dalam MalaysiaKini mengutuk pertemuan ini sebagai pertemuan para penjilat kerajaan PH untuk mendapat dana yang besar untuk mereka gunakan untuk berpoya-poya seperti yang mereka lakukan tempoh hari berkunjung di Madras untuk mendapat idea!  Ketika itu mereka mendapat dana besar daripada Kerajaan BN.

Kerana mereka ini tidak membaca karya klasik Melayu, misalnya pantun, maka mereka menjadi biadab dan tidak kenal persuratan bangsa mereka sendiri. Mereka tidak tahu pantun Melayu yang masyhur ini:

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman
Akhirat juga akan sungguhnya.

Itulah peringatan yang diberikan oleh PB untuk para penggiat kreatif dan akademik.  Dan inilah yang ditolak oleh para penggiat picisan ini. Dan sikap picisan  inilah juga yang mendapat restu dan sokongan Menteri Pendidikan.

Mungkin betul juga pandangan Faisal Tehrani yang mengatakan sastera (yang dipromosi oleh para penggiat picisan ini) adalah makanan anjing.


Saya terkejut juga dengan pandangan yang dahsyat ini, kerana pada waktu ini kebetulan saya sedang menulis sebuah novel satira berjudul, “Salakan Anjing di Menara Gading”, sebagai sambungan kepada cerita pendek dalam Pujangga Melayu, “Lembu Masuk Universiti.”  Saya menulisnya dalam konteks yang diberikan oleh pantun Melayu itu.

Semoga pertemuan para tokoh picisan ini akan membuahkan sesuatu yang berguna dengan adanya peringatan ini. Selamat bersidang.


Mohd. Affandi Hasaan,
Petaling Jaya, 16 November 2018.

Wednesday, November 14, 2018

TEORI KERANCUAN SASTERA MENEGAKKAN PANDIRISME DALAM PENILAIAN KREATIF



Ketua 1 PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, telah mencipta satu teori sastera untuk mempertahankan kedudukan karya picisan para sasterawan negara sebagai karya agung yang tidak boleh dikritik dan tidak dibenarkan dinilai kembali menggunakan sebarang teori yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Semua penilaian terhadap karya para sasterawan negara mestilah menggunakan teori Barat kerana karya para sasterawan negara ditulis berasaskan teori Barat. Walaupun dari segi akademik pendapat seumpama ini sangat aneh dan tidak masuk akal, namun demi mempertahankan kedudukan para sasterawan negara dari sebarang kritikan, yang tidak masuk akal itulah yang mesti dipertahankan. Maka lahirlah “teori kerancuan sastera” yang dimajukan oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dari Universiti Malaya, untuk mempertahankan novel agung sepanjang masa ciptaan Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto. Tulisan Prof. Saleeh Rahamad mempertahankan novel picisan itu diangkat ke taraf tinggi untuk menerima Hadiah Sastera Kebangsaan dalam tulisan akademik. Rencana beliau terbit dalam Dewan Sastera, September 2005.

Apakah sikap PENA dan anggota jawatan kuasanya terhadap perubahan dalam sastera Melayu? Mereka menentang sekeras-kerasnya apa juga jenis perubahan yang cuba diperkenalkan sekiranya perubahan itu tidak menerima karya picisan para sasterawan negara sebagai karya besar yang wajib disanjung.  Kemunculan projek sasterawan negara ini menjadikan ramai sasterawan dan sarjana tidak siuman, tidak dapat berfikir dengan siuman sambil membentangkan hujah yang padat dan dikemukakan dalam huraian yang jelas dan kukuh berasaskan bukti. Dalam konteks inilah “teori kerancuan sastera” itu dilontarkan dalam kritikan sastera.  Dengan tidak memberi perhatian kepada perkembangan intelektual dalam sastera Melayu, maka kewujudan PENA menjadi tidak relevan. Apakah tujuan dan matlamat PENA?  Sekiranya untuk memajukan sastera Melayu, adakah sastera yang hendak dimajukan itu berupa karya yang dihasilkan oleh sasterawan negara dan para pengikut mereka sahaja? Jika itulah matlamatnya, dan tujuan yang ingin dicapai, maka para pendukung PENA ini telah membataskan perkembangan itu kepada kelompok mereka sahaja; oleh itu usaha mereka tidak boleh dipanggil untuk sastera Melayu secara keseluruhan. Lagi pula, kesedaran kepada sejarah perkembangan intelektual sangat penting disedari di kalangan pendukung PENA. Yang dinamakan sastera Melayu masih baru; sebelum itu sudah ada persuratan Melayu. Dengan membataskan perkembangan kepada sastera Melayu yang tidak mempunyai asal usul yang jelas dan kukuh, maka para pendukung PENA tidak saja buta sejarah, tetapi anti sejarah dan berusaha untuk melenyapkan sejarah kegemilangan persuratan Melayu yang sudah berusia beratus tahun dan telah melahirkan tokoh-tokoh besar. Siapa mereka, siapa tokoh-tokoh besar persuratan itu? Inilah kerja rumah untuk PENA senaraikan bagi faedah kita semua. Kita mahu lihat adakah mereka ini kucing kurap jika dibandingkan dengan sasterawan negara? Atau sebaliknya.  Atau kedua-duanya setaraf?  Kita beri PENA menentukannya untuk menjadi asas perbincangan nanti. Sesuai dengan sikap PENA yang berjuang untuk perkembangan intelektual yang sihat, maka senarai tokoh persuratan itu penting diketahui oleh masyarakat, terutama oleh para pelajar. Tetapi jika PENA mengatakan kita tidak perlukan mereka, kerana kita sudah mempunyai sasterawan negara, maka PENA sendiri tentulah terjerumus ke dalam sikap nihilis seperti yang saya pernah sebut dalam tulisan saya. Sekiranya PENA tidak menerima  nihilisme dalam sastera Melayu, maka mereka tidak mempunyai pilihan selain memberikan kepada masyarakat senarai tokoh persuratan itu, untuk dibandingkan dengan objektif sumbangan mereka berbanding dengan sumbangan para sasterawan negara.  Bagi saya, ini adalah satu permintaan yang wajar, dan adil. Pengetahuan kita boleh bertambah kerananya, sesuatu yang baik sebenarnya. Untuk mudah kerja, senarai itu kita hadkan kepada tokoh-tokoh    yang terdapat di Kelantan, Terengganu dan di Johor.  Ketiga-tiga buah negeri ini adalah pusat perkembangan intelektual yang hebat dan benar-benar bermakna dalam sejarah intelektual kita. Sekiranya cadangan ini ditolak oleh PENA, maka sifat dan sikap nihilis itu benar-benar menjadi pegangan mereka. Adakah kita mahu sebuah organisasi yang demikian? Soalan ini sangat penting dan relevan untuk difikirkan dengan serius oleh para penulis yang berakal. Sebagai peringatan, anda tentu sudah tahu bagaimana Asas 50 menolak tulisan Jawi dalam Kongres Bahasa 1956 di Johor Baru, dan mengatakan dengan berani tulisan Jawi tiada kaitan dengan agama. Adakah PENA meneruskan kesilapan besar Asas 50 ini?

Seperti yang anda dapat lihat, kedudukan Dr. Saleeh Rahamad sebagai sarjana sama pentingnya dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin organisasi seperti PENA.  Adalah amat patut sekiranya kita mahukan kualiti dalam tulisan beliau; sama juga kita perlukan kualiti kepemimpinan beliau dalam organisasi seperti PENA.  Bolehkah beliau mengelak, atau menganggap kita semua ini adalah sampah tidak berguna yang tidak seharusnya mempersoalkan kemampuan beliau, dari segi akademik dan kepemimpinan. Tetapi setelah beliau menulis makalah yang begitu gemilang sehingga diangkat untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, maka Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah diberi kedudukan yang setaraf dengan para sasterawan negara, dengan itu dia layak dinilai dengan objektif seperti kita menilai sumbangan para sasterawan negara.  Semua ini tidak perlu jika kita menerima kedudukan mereka sebagai tokoh yang tidak wajar dipersoalkan kerana telah dibuktikan oleh para juri kehebatan mereka sebagai tokoh dalam bidang masing-masing. Tetapi proses yang terjadi dalam perkembangan intelektual tidak demikian, kerana setiap tokoh perlu dinilai dari perspektif yang berbeza supaya kehebatannya sebagai tokoh tidak saja kekal, malah menyerlahkan kehebatan dari segi pemikiran dan pengaruh dalam perkembangan intelektual sesuatu bangsa. Demikianlah saya membangkitkan semua isu ini supaya anda tidak tertipu oleh retorik anda sendiri. Anda memerlukan pandangan lain yang berbeza. Itulah yang terjadi dalam semua tamadun dunia. Tidak ada tokoh intelektual yang tidak dipersoalkan kewajarannya, sama seperti kita mempersoalkan kewajaran penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto beyond criticism.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 November 2018.



Monday, November 12, 2018

BEBERAPA ISU TENTANG SASTERAWAN NEGARA YANG PERLUKAN PERHATIAN PENTING



Pertemuan penting untuk mengangkat sasterawan negara di UKM pada 16 November 2018 perlu menggunakan ukuran yang tepat dan objektif, yang tidak dapat diberikan oleh teori sastera Barat. Mahu tidak mahu, anda tidak boleh lagi berdalih untuk menggunakan ukuran Barat yang menentang kedudukan ilmu dalam seni mengarang seperti yang ditegaskan dalam epistemologi Islam. Walaupun anda tidak selesa dengan PB, anda terpaksa juga menggunakan ukuran yang dibakukan oleh kaedah yang diberikan oleh PB. Anda tidak ada pilihan, oleh itu anda tidak dapat mengelak daripada menggunakan kaedah PB jika anda benar-benar jujur melantik sasterawan negara kerana keistimewaan karya mereka, yang sebenarnya hanya karya picisan. Seluruh dunia sastera menghadapi malu besar jika anda tidak mahu selesaikan isu penting ini.

Jika anda seorang pengkaji yang teliti dan jujur, anda harus menerima hakikat bahawa sasterawan negara bukanlah golongan pemikir, oleh itu tidak layak ditempatkan sebagai golongan istimewa dalam sastera Melayu.

Dalam seminar pemikiran sasterawan negara A. Samad Said tak berapa lama dulu, saya bertanya Prof. Rahman Shaari, adakah A. Samad Said seorang pemikir? Saya terkejut dan hairan apabila beliau mengatakan tidak, ertinya A. Samad Said bukan seorang pemikir. Siapakah di antara sasterawan negara yang ramai itu boleh diterima sebagai seorang pemikir? Ada orang berkata, soalan itu sangat nakal, bertujuan untuk menghina para sasterawan negara. Ini pun satu hal yang sangat pelik dan memalukan, seolah-olah orang yang beranggapan demikian, kerana terlampau ghairah ingin mempertahankan kedudukan sasterawan negara, telah menjadikan mereka seolah-olah patung Kristus di Gereja Sastera Malaysia.  Di Indonesia pula, kegiatan sastera dalam pandangan Prof. A. Teeuw, adalah sejenis gerakan gereja tidak rasmi, yang membolehkan orang Indonesia berasa sangat bangga apabila H. B. Jassin digelar Paus Sastera Indonesia oleh Gayus Siagian. Mengapa harus diberi gelar “Pope” tidak pernah dipersoalkan, walaupun H. B. Jassin telah menulis tafsir (lebih tepat terjemahan harfiah) Quran, dan dia memang seorang Islam. Bagaimana masyarakat Indonesia boleh berbangga apabila dia digelar Paus Sastera Indonesia?  Nampaknya idea ini dibawa masuk ke Malaysia, sama ada disedari atau hanya untuk megah terikut-ikut saja, dengan meletakkan para sasterawan negara ini sebagai golongan istimewa yang mesti diiktiraf sebagai kelompok yang berada di luar pagar kritikan seperti yang diberikan kepada para paderi. Mengapa mesti meletakkan mereka di luar pagar? Dengan berbuat begitu, mereka bebas dari segala kritikan yang akan meletakkan mereka seolah-olah setaraf dengan  para sasterawan lain, padahal mereka adalah golongan istimewa dan telah dianggap demikian oleh negara yang memberikan mereka gelaran itu. Sekarang anda faham apa maksud saya membawa cerita H. B. Jassin ini? Kata orang yang berpendapat begini, para sasterawan negara sendiri telah menerima hakikat itu dan dengan sedar meletakkan diri mereka sebagai golongan istimewa. Anda mahu bukti? Di mana saja anda bertemu mereka, anda mesti address “sasterawan negara”; dan dalam tiap majlis, gelaran dan nama mereka mesti disebut.  Dalam satu peristiwa, ada seorang yang bergelar ini masuk majlis dan duduk bersama orang lain; tiba-tiba ada satu orang besar sastera memberi ucapan aluan, dia sebut beberapa nama, yang bukan  sasterawan negara; tetapi tidak menyebut nama orang itu padahal dia sedar kehadiran orang itu; maka marahlah orang itu kerana berasa terhina. Oleh itu, mereka mestilah diberi keutamaan dalam mana-mana majlis sastera. Jika tidak, mereka mengomel tidak puas hati; dan omelan mereka ini telah lama kedengaran. Walaupun ada sasterawan lain tertawa kerana menganggap perbuatan itu lucu, namun sebahagian besar sasterawan menerima omelan itu sebagai suara protes yang wajar.  Kata orang yang baik-baik, apa guna diberi gelaran jika tidak disebut dan orangnya tidak diangkat-angkat? Sebenarnya memang betul, kerana itulah budaya Melayu. Jadi sebagai orang berbudaya dan beradab sopan yang tinggi, mereka mesti dihormati dan disanjung setiap masa, tanpa ragu-ragu. Lebih-lebih lagi mereka pun mahu dilayan begitu.  Adakah ini bentuk feudalisme sastera?  Ada orang mengomel, tak pasal-pasal kita dibeban dengan feudalisme sastera seperti ini.  Jika kita meneliti semua ini, tidak dapat dielakkan lagi kita harus bertanya: Siapakah sebenarnya sasterawan negara ini?

Soalan itu tidak boleh dijawab oleh seorang pengkritik sastera, yang di Malaysia telah diberi  peranan dan kedudukan sebagai pakar untuk memuji para sasterawan negara, dan secara umum sasterawan lain yang masih menunggu giliran.  Ini menimbulkan sedikit masalah: Jika soalan itu tidak boleh ditanyakan, bagaimana kita akan menentukan status para sasterawan negara ini?  Sebenarnya status mereka telah dipastikan melalui majlis rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong yang menganugerahkan sendiri ijazah untuk membolehkan seseorang sasterawan diberi gelaran Sasterawan Negara. Itulah kedudukan mereka, sebagai seniman di raja, yang sama taraf dan kedudukannya dengan “polis di raja, askar Melayu di raja”, “kastam di raja”, dan lain-lain lagi yang diberi gelaran “di raja”. Terloncat satu soalan nakal daripada seorang murid kelas satu yang baru meninggalkan kelas tadika: “Adakah para sasterawan negara ini sama darjat dan kedudukannya dengan Profesor di Raja?”  Gurunya menjawab pantas: “Tentu tidak sama. Kita mempunyai hanya seorang Profesor Di Raja, tetapi sasterawan di raja yang bergelar sasterawan negara itu sudah berjumlah 13 orang semuanya, dan akan ditambah lagi. Lainlah jika kita menambah gelaran Profesor di Raja setiap tahun. Pada ketika itu samalah kedudukan seniman di raja yang bergelar sasterawan negara itu dengan kedudukan seorang profesor yang bergelar Profesor di Raja. Kamu faham?”.  Semua murid kelas satu (kini dipanggil tahun satu) meneriakkan dengan penuh bersemangat: “Faham cikgu!!”

Itulah ceritanya. Atau: Begitulah cerita kedudukannya. Adakah sama maknanya dua kesimpulan ini, atau kedua-duanya tidak bermakna apa-apa?  Yang sah dan pasti ialah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara untuk semua sasterawan negara, dan bukunya telah diterbitkan dengan pengantar oleh sasterawan negara sendiri.  Sama ada mereka pemikir atau apa ditentukan oleh karya dan sumbangan mereka. Yang akan menentukannya ialah pembaca yang kritis yang memberikan bukti dan hujah sebelum membuat kesimpulan.  Di antara mereka ada yang tinggi kedudukannya, ada yang sederhana, dan ada yang rendah saja kedudukannya. Mereka tidak setaraf, walaupun sama dari segi gelaran.  Walaupun mereka diberi gelaran, namun gelaran tidak menentukan kualiti karya mereka. Oleh itu ada di antara mereka yang menulis karya picisan, hatta selepas diberi gelaran sasterawan negara; dan ada di antara karya picisan yang ditulis sebelum mereka diberi gelaran itu dijadikan bukti untuk melantik mereka sebagai seniman di raja yang diberi gelaran sasterawan negara.  Sebagai penulis dan sasterawan, mereka bukanlah istimewa; tetapi gelaran sasterawan negara itu sangat istimewa, yang membolehkan mereka diletakkan di luar pagar kritikan.  Itulah kedudukan sebenar para sasterawan negara. Oleh itu mereka tidak perlu diberi taraf seorang pemikir kerana tidak diberi peluang untuk diuji sehabis kritis dalam analisis dan penilaian yang ketat berasaskan ukuran yang boleh diuji kesahihannya, tidak kira dari mana datangnya ukuran itu.  Kritikan cerita yang dipakai untuk menilai karya mereka, seperti yang dibuat sekarang,  hanya menyerlahkan kedudukan mereka sebagai penglipur lara moden atau penulis cerita, bukan sebagai pemikir.  Jika kita benar-benar berminat untuk membuktikan mereka sebagai pemikir, maka kita harus menggunakan kritikan wacana yang lebih teliti, kritis, dan objektif menganalisis dan menilai “pemikiran” mereka, bukan hanya bercerita tentang “pemikiran” mereka.  Itulah pilihan yang perlu kita buat; dan untuk itu kita perlu meletakkan sasterawan negara di canai wacana yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru. Tidakkah itu namanya melanggar feudalisme sastera? Tak pasal-pasal anda dipaksa membuat pilihan: terus bersama feudalisme sastera, atau  membina tradisi persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 12/11/2018.


Saturday, November 10, 2018

CATATAN KECIL TENTANG NOVEL HIKAYAT ABU GAMBOL.



Oleh sebab saya tidak pasti bilakah novel terbaru saya akan diterbitkan, dan oleh penerbit mana, maka saya fikir baik juga saya beri sedikit laporan tentang novel ini, untuk menjadi satu peringatan penting kepada pembaca. 

Karya terbaru saya Hikayat Abu Gambol adalah sebuah novel yang menggunakan sepenuhnya teknik stylization of ideas yang saya perkenalkan melalui Gagasan Persuratan Baru, yang dengan angkuh ditolak oleh para sarjana sastera dan sasterawan Malaysia, terutama sekali para sasterawan negara. Sudah semestinya begitu, kerana konsep yang saya perkenalkan itu berupaya mendedahkan kepalsuan karya mereka dan dengan itu dapat dilihat dengan jelas sifat picisan di dalam karya itu. Sehingga ini belum ada sarjana yang tampil mendedahkan kepalsuan Gagasan Persuratan Baru. Kecuali seorang sarjana terkenal, yang bernama Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Inilah kata-katanya sendiri yang saya salin dan masukkan dalam Hikayat Abu Gambol.  Kata beliau: Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang.  Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad,  3/2/2009  (dikutip dari blog pensyarah ini).

Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita(Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, 28 Januari 2010 dalam blognya).

Nasihat SN Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad, yang dimuatnya dalam blognya, menunjukkan betapa beruntungnya beliau mendapat nasihat dan penghargaan yang begitu baik. Tetapi apakah balasan beliau? Inilah balasan beliau, dalam kata-kata beliau sendiri: “Walaupun pengekor dan pentaasub Persuratan Baru tidak menggemari cara pemilihan Sasterawan Negara sekarang, masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada” (30/11/2009, beberapa bulan selepas mendapat nasihat dan penghargaan tinggi Arenawati terhadap “bakti akademik yang terlalu murni” itu).  Terima kasih kepada teman-teman yang menunjukkan kepada saya beberapa tulisan  penting Dr. Saleeh Rahamad dalam blognya, yang terlepas dari perhatian saya. 

Dr. Saleeh Rahamad pastilah mempunyai hujah yang kuat untuk membenci dan meremehkan gagasan Persuratan Baru, dan memanggil sesiapa juga yang bersetuju dengan Persuratan Baru sama kedudukannya dengan binatang yang jadi “pengekor dan pentaasub” yang tidak mempunyai pendirian sendiri seperti beliau.  Binatang memang mempunyai tabiat untuk mengikuti ketuanya, seperti yang diperlihatkan oleh angsa yang terbang berkawan dalam satu kumpulan dengan diketuai oleh seekor yang dijadikan ketua. Dalam satu eksperimen, sebuah kapalterbang kecil dijadikan ketua oleh sekumpulan angsa, diikuti ke mana saja kapalterbang itu mendarat. Saya tidak pasti sama ada Dr. Saleeh Rahamad tahu fakta ini atau tidak, atau pernah melihat kumpulan angsa ini terbang dengan bising mengekori ketuanya. Tidak mengapa jika beliau tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan itu, kerana beliau memang bijak membuat perbandingan untuk meremehkan gagasan Persuratan Baru, pencetus idea itu,  dan sarjana yang bersetuju dengannya. Tetapi timbul sedikit kemusykilan: tidakkah perbuatan beliau itu “kurang sopan”, mungkin juga kurang ajar (tentulah aneh bagi seorang pensyarah untuk bertindak kurang ajar), atau nakal yang berlebihan?  Mana satu yang betul tidak penting dalam konteks ini, kerana yang lebih utama, dalam pandangan saya, ialah penegasan beliau, “masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada”, dengan itu menerima laporan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan tidak ada yang lain dari ukuran Panel itu yang boleh digunakan atau dijadikan pegangan. Apakah hujah beliau, beliau di sini bermaksud Dr. Saleeh Rahamad. Apakah hujah Dr. Saleeh Rahamad untuk membuat kesimpulan itu? Adakah beliau sendirilah yang benar-benar “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara? Berbeza dengan “pengekor dan pentaasub” yang pertama, mereka ini telah menulis beberapa rencana penting yang layak dijadikan rujukan untuk menghujahkan mengapa mereka menerima Persuratan Baru. Adakah Dr. Saleeh Rahamad berbuat begitu juga? Kita mahu baca tulisan beliau sebagai “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara untuk dijadikan semacam perbandingan dengan pandangan dan pendirian Persuratan Baru, moga-moga pembaca yang kritis dapat melihat pendirian mana yang lebih mantap setelah membuat perbandingan itu. Inilah kerja seorang ahli akademik seperti Dr. Saleeh Rahamad, yang tidak perlu diperingatkan oleh sesiapa pun kerana tugas itu memang tugas utama seorang ahli akademik,  dibayar gaji lumayan untuk melaksanakan tugas itu,  walaupun hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” saja.  Tetapi terdapat satu lagi kemusykilan yang tak dapat dibiarkan, iaitu mengenai sikap terbuka seorang ahli akademik. Adakah Dr. Saleeh Rahamad bermaksud ingin menegaskan bahawa gagasan Persuratan Baru tidak layak diberi perhatian oleh sesiapa sekali pun, apatah lagi jika hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” yang tidak memberi sumbangan apa-apa. Pendeknya, gagasan Persuratan Baru tidak diperlukan, oleh itu tidak wajar diberi tempat dalam keadaan apa sekalipun, kerana kebebasan akademik yang amat dipertahankan dan diperjuangkan oleh kaum akademik tidak boleh dikenakan ke atas Persuratan Baru.  Ertinya, bagi Dr. Saleeh Rahamad, tidak wajar diberi kebebasan akademik untuk memberi tempat kepada Persuratan Baru,  dengan itu tidak boleh dibincangkan secara akademik kerana Persuratan Baru tidak mempunyai kualiti akademik itu. Bagaimana Dr. Saleeh Rahamad mendapat kesimpulan demikian? Dalam satu posting, saya mengutip pandangan Imam Ghazali mengenai perkara ini (lihat posting bertarikh 4/1/2012) yang menegaskan seseorang tidak wajar menolak atau menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahuinya terlebih dahulu (baca kutipan itu di sana).


Siapakah “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Paling terkenal tentu saja Prof. Ungku Maimunah, yang menjadikan tema utama syarahan perdana beliau gagasan Persuratan Baru; seorang lagi tentu saja Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, yang banyak menulis dan membentangkan kertas kerja tentang Persuratan Baru baik di dalam mahu pun di luar negeri.  Seperti yang diketahui oleh orang-orang yang tahu, Prof. Ungku Maimunah adalah seorang profesor yang senior, yang telah membuktikan kemampuan ilmiahnya tanpa sebarang keraguan, dengan itu seorang ahli akademik yang dihormati oleh orang-orang yang tahu menghormati orang yang layak dihormati, yang hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang beradab.  Prof. Madya Dr. Mohd Zariat pula telah menghasilkan satu kajian di peringkat kedoktoran dengan menggunakan kerangka analisis Persuratan Baru; dan bukunya telah pun diterbitkan.  Adakah mereka ini “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Tentu sekali tidak. Dalam tangan mereka, Persuratan Baru diberi wajah yang lebih dinamik, misalnya Prof. Ungku Maimunah memperkenalkan beberapa istilah dan konsep yang berguna untuk menjelaskan lagi penerapan Persuratan Baru dalam kritikan sastera dan dalam penulisan kreatif.  Mereka memberi jalan keluar kepada beberapa masalah yang kini dihadapi oleh kesusasteraan Melayu. Prof. Ungku Maimunah misalnya menjelaskan dengan terperinci bagaimana konsep realisme diterap dan dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, dan bagaimana penerapan itu pada umumnya mencacatkan perkembangan sastera Melayu moden yang meminggir dan menolak peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Antara orang yang menolaknya ialah Dr. Saleeh Rahamad sendiri. Tidak pula diketahui apakah hujah beliau, kerana beliau tidak menulis apa-apa sanggahan yang sepadan dengan kedudukannya sebagai seorang sarjana, sehingga semua kejengkelan beliau terhadap Persuratan Baru boleh dianggap timbul daripada perasaan negatif semata-mata, yang tidak perlu dijelaskan dengan terang dengan memberi istilah tertentu yang sering dipakai apabila kita menghadapi orang yang begitu negatif sikapnya.  Adakah inilah jenis bakti akademik beliau?

Inilah jawapan beliau sendiri:

saleeh rahamad July 25, 2012 1:28 PM

Terima kasih tuan...Walaupun semua itu tidak benar sama sekali saya berbangga kerana masih diberi perhatian. Saya memang berhajat untuk menjemput tuan memberikan ceramah tentang sastera tetapi belum ada kesempatan. lama sebelum ini telah saya simpan hasrat itu. Tidak pernah saya menentang Persuratan baru walaupun saya tidak menolak pendekatan lain. saya meraikan semuanya. salam Ramadan, semoga terus sihat dan sejahtera. Mohon alamat emel tuan.. hantar kepada emel saya: maisarah43@hotmail.com..saya ada hasrat untuk menjemput tuan memberikan ceramah..tetapi bukan kerana tulisan tuan ini. Memang sejak dulu saya menyimpan hasrat ini.

Penegasan Dr. Saleeh Rahamad “tidak pernah menentang Persuratan Baru” adalah wajar dan memang tidak munasabaah jika terdapat ahli akademik memusuhi Persuratan Baru. Tetapi harapan itu tidak semestinya benar, kerana terdapat sedikit percanggahan antara pengakuan dengan perilaku sebenar yang tidak serasi dengan pengakuan itu. Adakah ini bermakna sarjana seperti ini turut percaya jika Persuratan Baru dibiarkan berpengaruh, maka para sasterawan negara akan dicampak ke dalam tong sampah? Dalam dunia serba mungkin seperti yang terdapat di kalangan ahli akademik dan sarjana sastera Melayu, pandangan-pandangan tidak berasas begini akan terus diraikan dan dijadikan pendapat yang bertaraf arus perdana.  Sampai bila keselekehan begini akan diteruskan?

Beliau, yakni Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA,  tidak perlu memenuhi janji beliau seperti dalam kutipan di atas. Kesibukan untuk menguruskan PENA mengatasi segala-galanya, lebih-lebih lagi pada 16 November 2018 ini akan diadakan satu seminar besar di UKM membincangkan sumbangan para sasterawan negara dan peserta seminar itu akan mendengar sendiri ucapan penting semua sasterawan negara yang dijemput; selepas mendengar ucaputama Baha Zain, yang juga seorang sasterawan negara. 

Sebenarnya, sandiwara sastera jauh lebih baik daripada apa pun juga sandiwara yang disiarkan di TV.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 November 2018.